Tafsir Surah Baqarah Ayat 253 Part 1 (Kedudukan para Nabi)

KEDUDUKAN PARA NABI TIDAK SAMA

Baqarah Ayat 253: Di dalam ayat 251, kita telah berkenalan dengan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kemudian di dalam ayat 252 pula, telah disebut yang Nabi Muhammad ﷺ adalah salah seorang daripada para Rasul. Sekarang kita berkenalan lagi dengan institusi Kerasulan itu. Para Rasul amat penting kerana apabila syariat hendak ditegakkan, rasul akan diangkat dan dakwah akan dijalankan. Namun begitu pasti akan ada manusia yang ingkar. Ramai yang akan menentang dakwah kebenaran dan ini kita akan bertemu berkali-kali di dalam Al-Qur’an kerana mereka amat ramai sekali.

Mereka ini perlu ditentang. Tidak cukup dengan dakwah mulut sahaja, kena juga ada kekuatan ketenteraan dan kerana itulah kena dijalankan perang juga. Kalau dibiarkan sahaja, mereka akan terus mengganas dan menakutkan ramai orang yang hendak kenal dengan agama Islam. Ini adalah salah satu faedah daripada jihad perang.

Yang kedua, jihad perang juga adalah ujian kepada pendakwah Islam di mana mereka bukan sahaja berkorban harta dan masa untuk menegakkan agama Islam, tetapi mereka juga akan melepasi ujian mempertaruhkan nyawanya untuk Islam. Faedahnya, iman mereka akan meningkat ke tahap kemuncak. Ini kerana kalau berhadapan dengan mati, ia memerlukan iman yang tinggi sekali.

۞ تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ ۘ مِّنهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ ۚ وَءآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّنٰتِ وَأَيَّدنٰهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم مِّن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنٰتُ وَلٰكِنِ اختَلَفوا فَمِنهُم مَّن ءآمَنَ وَمِنهُم مَّن كَفَرَ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

SAHIH INTERNATIONAL
Those messengers – some of them We caused to exceed others. Among them were those to whom Allah spoke, and He raised some of them in degree. And We gave Jesus, the Son of Mary, clear proofs, and We supported him with the Pure Spirit. If Allah had willed, those [generations] succeeding them would not have fought each other after the clear proofs had come to them. But they differed, and some of them believed and some of them disbelieved. And if Allah had willed, they would not have fought each other, but Allah does what He intends.

MALAY
Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

 

تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ

Itulah Rasul-rasul yang Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain

Itulah para Rasul, sama ada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Muhammad ﷺ dan ramai lagi yang kita akan berkenalan di dalam Al-Qur’an ini. Kalimah تِلكَ (itu), merupakan kata penunjuk sesuatu yang jauh yang sengaja dipilih di sini untuk mengisyaratkan betapa jauh dan tingginya kedudukan para Rasul itu, dan menunjukkan bahawa mereka adalah satu kelompok yang kedudukannya — dari segi ketaqwaan dan kedekatan kepada Allah ‎ﷻ — sungguh jauh berbeza dengan manusia-manusia biasa. Ini sama seperti penggunaan ذٰلِكَ di dalam ayat Baqarah: 2

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ
Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Penggunaan تِلكَ adalah kata tunjuk femini kerana kalimah yang digunakan selepas itu adalah الرُّسُلُ (jamak bagi الرسول) yang di dalam bentuk jamak yang bukan manusia (non-human plural). Walaupun “rasul” adalah manusia (berakal), perkataan “الرُّسُلُ” secara tatabahasa adalah jamak yang tidak berakal dalam konteks ini.

Sekarang bandingkan penggunaan kata tunjuk أُولٰئِكَ yang digunakan dalam An’am: 90 pula.

أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدَى اللَّهُ
Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah

Walaupun ia juga merujuk kepada para Nabi, tetapi di dalam ayat An’am: 90 ini digunakan kata tunjuk أُولٰئِكَ di dalam bentuk muzakkar kerana ia kata tunjuk kepada kalimah الَّذينَ. Sekian sedikit maklumat bagi pembaca yang ada belajar sikit-sikit nahu Bahasa Arab.

Para Rasul adalah manusia yang dilantik khas untuk menyampaikan wahyu untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ dengan cara tauhid. Ini kerana ada yang kenal siapa Allah ‎ﷻ, tetapi tidak mentauhidkan-Nya. Selain daripada itu, para Nabi itu tugasnya mengajar manusia cara untuk taat kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka adalah penyatu umat manusia sebenarnya kerana mereka membawa mesej akidah yang sama. Malangnya ada juga fahaman yang kata Nabi-nabi itulah yang menyebabkan manusia berpecah. Mereka kata asalnya kita semua ‘anak Tuhan’ tetapi manusia berpecah mengikut Nabi-nabi yang berlainan. Ini adalah fahaman yang salah kerana para Nabi itu bukan memecahkan fahaman. Mereka membawakan mesej akidah yang sama sahaja zaman berzaman. Yang berpecahnya adalah manusia selepas mereka.

Ayat sebelum ini tsabit tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ apabila Allah ‎ﷻ berfirman وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ. Namun Nabi lain pun dihormati juga maka Allah ‎ﷻ sentuh tentang mereka dalam ayat ini. Semua mereka adalah model ikutan kita. Akan tetapi di sini Allah ‎ﷻ beritahu satu maklumat wahyu iaitu kedudukan para Nabi itu tidak sama kerana ada yang dilebihkan daripada sebahagian yang lain. Namun kena ingat bahawa semua itu adalah berstatus Nabi. Jangan jadi seperti umat terdahulu yang tidak menerima kenabian sesetengah Nabi. Mereka telah melakukan tafriq – tidak mengiktiraf semua Rasul (ada yang mereka terima dan ada yang mereka tidak terima). Kita umat Islam tidak tafriq tetapi ada tafdhil. Dalilnya adalah ayat ini. Apa pula ini? Kerana ayat Baqarah: 285 ada menyebut tentang perkara ini:

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ
(Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

‘Tafriq’ maksudnya bezakan Nabi itu, ada yang terima sebagai Nabi dan ada yang tidak. ‘Tafdhil’ pula adalah membezakan kedudukan Nabi antara satu sama lain, kerana ada yang kedudukan lebih tinggi daripada sesetengah yang lain. Ayat ini tentang tafdhil ini. Allah ‎ﷻ sendiri yang buat begitu. Bukan kita yang bezakan sendiri. Allah ‎ﷻ melebihkan kedudukan sesetengah rasul berbanding rasul-rasul dan nabi-nabi yang lain. Ada rasul yang digelar sebagai Rasul Ulul Azmi kerana kedudukan mereka yang istimewa. Akhirnya, semua Nabi itu tidak dapat menandingi kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun umur Nabi ﷺ kita itu pendek, tetapi cabaran dan dugaan yang diberikan kepadanya dahulu adalah amat berat. Sebagai contoh, setelah baginda menghadapi musuh di Mekah dan setelah berhijrah ke Madinah, musuh Baginda bertambah dan bukannya berkurang. Semasa di Mekah, musuhnya hanya kafir Quraish sahaja, tetapi semasa di Madinah, baginda berhadapan dengan musyrikin Mekah, Yahudi, munafik, kerajaan Rom, kerajaan Parsi dan kafir kawasan sekitar.

Kita umat Islam tidak membezakan antara Rasul-rasul itu. Semuanya adalah Rasul bagi kita semua. Namun kita terima dan sedar bahawa kedudukan para Rasul itu tidaklah semuanya sama dan kita tidak merendahkan mana-mana Rasul. Perumpamaannya seperti kita melihat bintang-bintang di langit. Dari segi ilmu kita tahu bahawa tidaklah sama semua bintang itu. Ada yang lebih besar daripada yang lain, ada yang lebih cerah daripada yang lain. Akan tetapi pada mata kita yang melihatnya di malam hari, lebih kurang sama sahaja.

Biasa sahaja Allah ‎ﷻ memberi kelebihan tertentu kepada yang Dia kehendaki. Seperti tempat, contohnya Mekah dan Tanah Haram itu dilebihkan daripada tempat-tempat lain; bulan Ramadhan itu lebih mulia daripada bulan-bulan lain dengan kelebihan yang kita telah maklum; seperti juga hari Jumaat adalah penghulu segala hari; Allah ‎ﷻ juga beri kelebihan kepada masa seperti waktu sepertiga hujung malam di mana Allah ‎ﷻ turun dan menawarkan jawapan kepada doa sesiapa yang bangun ketika itu. Jadi waktu itu adalah antara waktu utama untuk berdoa.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ؟ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ؟ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ؟”
“Rabb kita Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi turun ke langit dunia pada setiap malam, ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lalu Dia berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan memperkenankan doanya? Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberinya? Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya?'”
Hadith ini adalah Muttafaqun ‘Alaih, iaitu diriwayatkan oleh dua imam hadith yang paling sahih: Sahih Bukhari (No. 1145, 6321, 7494); Sahih Muslim (No. 758)

Jadi Allah ‎ﷻ telah melebihkan kedudukan sesetengah Nabi di atas sebahagian yang lain. Perlu diingat bahawa kelebihan yang dianugerahkan Allah ‎ﷻ bukannya tanpa dasar atau pilih kasih, tetapi atas dasar hikmah kebijaksanaan sesuai dengan tugas dan fungsi yang akan dipikul oleh setiap Nabi itu. Memang tidak ada satu ketetapan Allah ‎ﷻ yang tanpa hikmah dan kemaslahatan untuk makhluk. Kita sahaja yang akal tidak sampai untuk memahami pemilihan Allah ‎ﷻ ini. Kita beriman sahaja dengan ketentuan Allah ‎ﷻ dan tidak mempersoalkannya.

 

مِّنهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ

Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya

Sekarang diberitahu kelebihan sesetengah Nabi atas para Nabi yang lain. Sebagai contoh, ada Nabi yang dapat bercakap dengan Allah ‎ﷻ. Yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalilnya Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 164

وَكَلَّمَ اللهُ موسىٰ تَكليمًا
Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).

Kita ini selalu bercakap dengan Allah ‎ﷻ seperti di dalam solat dan di dalam doa kita. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak pun bercakap dengan kita secara langsung. Maka ini merupakan sebuah penghormatan yang amat tinggi, malah bukan semua Nabi dapat bercakap secara terus dengan Allah ‎ﷻ. Kerana kelebihan ini Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan gelaran Kalamullah (yang berdialog dengan Allah ‎ﷻ). Antara contoh Allah ‎ﷻ berkata-kata dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ayat Taha: 11-12

فَلَمَّآ أَتَٮٰهَا نُودِىَ يَـٰمُوسَىٰٓ (١١) إِنِّىٓ أَنَا۟ رَبُّكَ فَٱخۡلَعۡ نَعۡلَيۡكَ‌ۖ إِنَّكَ بِٱلۡوَادِ ٱلۡمُقَدَّسِ طُوًى (١٢)
Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: Wahai Musa! (11) Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. (12)

Malah panjang lagi perbualan antara Allah ﷻ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam surah Taha itu. Kena ingat yang puak Yahudi sedang membaca Al-Qur’an juga dan apabila disebut ada Nabi yang bercakap terus dengan Allah ‎ﷻ, mereka terus tahu bahawa yang dimaksudkan adalah Nabi mereka yang utama, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka tentu mereka suka, sebab itu adalah Nabi yang mereka sayangi. Jadi ini adalah dakwah kepada mereka juga kerana telah ada persamaan antara kita dan mereka.

Namun jangan lupa yang bukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang bercakap-cakap dengan Allah ﷻ kerana Nabi Muhammad ﷺ pun pernah bercakap-cakap dengan Allah ﷻ juga. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan Allah ﷻ di Gunung Thur sementara Nabi Muhammad ﷺ berdialog dengan Allah ﷻ ketika Peristiwa Mi’raj. Sebahagian daripada peristiwa itu adalah seperti potongan hadith ini,

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

ثُمَّ فُرِضَتْ عَلَيَّ خَمْسُونَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَنَزَلْتُ إِلَى مُوسَى، فَقَالَ: “مَا فُرِضَ عَلَى أُمَّتِكَ؟” قُلْتُ: “فُرِضَتْ عَلَيْهِمْ خَمْسُونَ صَلَاةً”. قَالَ: “فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ، فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ ذَلِكَ، فَإِنِّي قَدْ بَلَوْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَخَبَرْتُهُمْ”. قَالَ: فَرَجَعْتُ إِلَى رَبِّي، فَقَالَ: “هِيَ خَمْسُونَ صَلَاةً فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ”. فَنَزَلْتُ إِلَى مُوسَى، فَقَالَ: “ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ”. فَلَمْ أَزَلْ أَرْجِعُ بَيْنَ رَبِّي تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَبَيْنَ مُوسَى حَتَّى قَالَ: “يَا مُحَمَّدُ، إِنَّهَا خَمْسُ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، لِكُلِّ صَلَاةٍ عَشْرُ أَمْثَالِهَا، فَذَلِكَ خَمْسُونَ صَلَاةً، وَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كُتِبَتْ لَهُ حَسَنَةً، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا لَمْ تُكْتَبْ، فَإِنْ عَمِلَهَا كُتِبَتْ سَيِّئَةً وَاحِدَةً”. فَنَزَلْتُ حَتَّى انْتَهَيْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ: “ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ”. فَقُلْتُ: “قَدِ اسْتَحْيَيْتُ مِنْ رَبِّي، وَلَكِنِّي أَرْضَى وَأُسَلِّمُ”.
“…Kemudian aku diwajibkan lima puluh kali solat setiap siang dan malam. Maka aku pun turun bertemu Musa. Dia bertanya, ‘Apa yang diwajibkan oleh Tuhanmu atas umatmu?’ Aku menjawab, ‘Diwajibkan atas mereka lima puluh kali solat.’ Musa berkata, ‘Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan, sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melakukannya, kerana aku telah menguji Bani Israil dan mengetahui keadaan mereka.’ Baginda bersabda: ‘Maka aku kembali kepada Tuhanku.’ Lalu Allah berfirman: ‘Ia adalah lima puluh kali solat setiap siang dan malam.’ (Nabi ﷺ kembali menemui Musa, dan Musa menasihatkan hal yang sama). Maka aku tidak henti-henti berulang-alik antara Tuhanku, Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi, dan antara Musa, sehingga Allah berfirman: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya ia adalah lima kali solat setiap siang dan malam, bagi setiap solat pahalanya sepuluh kali ganda, maka itu adalah lima puluh solat (dari segi pahala). Dan barangsiapa yang berhasrat melakukan satu kebaikan tetapi tidak melakukannya, akan ditulis baginya satu kebaikan. Dan barangsiapa yang berhasrat melakukan satu kejahatan tetapi tidak melakukannya, tidak akan ditulis (dosa). Jika dia melakukannya, maka ditulis satu kejahatan.’ Maka aku pun turun sehingga aku bertemu Musa. Dia berkata: ‘Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan lagi.’ Aku menjawab: ‘Aku telah merasa malu kepada Tuhanku, tetapi aku redha dan aku berserah diri.'”
(Sahih Bukhari No. 349 dan Sahih Muslim No. 162)

Akan tetapi Nabi Muhammad ﷺ tidaklah digelar Kalamullah. Ini kerana baginda mendapat gelaran Khalilullah خَلِيلُ ٱللَّهِ (Kekasih Allah) dan ia lebih tinggi lagi. Ini kerana kalimah Khalil datang daripada kata dasar خ ل ل yang bermaksud menyerap/menembus/meresap seperti air yang meresap ke dalam tanah. Jadi ia adalah satu kasih yang menyerap hingga ke dalam yang menunjukkan dalamnya cinta antara Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ. Kedudukan yang sama juga diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Nota: Jadi kedudukan Nabi Muhammad ﷺ adalah Khalilullah, bukannya Habibullah. Ini kerana status habib itu adalah cinta biasa sahaja. Maka golongan yang menggunakan nama Habib kerana kononnya Nabi ﷺ itu Habibullah dan mereka itu keturunan Nabi ﷺ (belum pasti lagi sebenarnya, cuba periksa DNA dulu untuk pastikan) telah merendahkan kedudukan Nabi ﷺ. Ini seperti pegawai polis pangkat Komisioner Polis tetapi awak panggil dia Inspektor sahaja.

Namun bagaimana dengan ayat Syura: 52 yang mengatakan tidak boleh bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ?

وَما كانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ
Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia yang Allah berkata-kata dengannya

Jadi kena baca ayat itu seluruhnya di mana Allah ‎ﷻ berfirman,

وَما كانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ إِلّا وَحيًا أَو مِن وَراءِ حِجابٍ
Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia yang Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja),

Jadi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun berdialog dengan Allah ‎ﷻ, akan tetapi baginda tidaklah dapat melihat Allah ‎ﷻ. Begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ, baginda ketika Mi’raj, tidak melihat Allah ‎ﷻ. Diriwayatkan daripada Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ رَأَيْتَ رَبَّكَ؟. فَقَالَ: “رَأَيْتُ نُورًا
Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: “Adakah engkau melihat Tuhanmu?” Baginda ﷺ menjawab: “Aku melihat cahaya.”
Sahih Muslim: Kitab Al-Iman, Bab: Fi Qaulihi ﷺ: “Nurun Anna Arahu” (No. 178).

Namun begiitu, timbul pula persoalan bagaimanakah cara Allah ‎ﷻ bercakap-cakap dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ? Ini kita tidaklah tahu kerana kita tidak mengalaminya. Bagaimanakah suara Allah ‎ﷻ dan bahasa apa yang Allah ‎ﷻ gunakan , kita tidak tahu. Tidak pula diberitahu dengan jelas melalui wahyu tentang perincian ini. Yang penting Allah ‎ﷻ bercakap dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ faham percakapan itu. Itu sahaja sudah cukup bagi kita.

Yang tidak patut adalah mempersoalkan kebolehan Allah ‎ﷻ berkata-kata. Ini adalah akidah sesetengah kelompok umat Islam yang tidak boleh menerima Allah ‎ﷻ berkata-kata; kerana kata mereka, kalau Allah ‎ﷻ berkata-kata, sudah disamakan dengan makhluk pula. Entah bila kita samakan percakapan Allah ‎ﷻ dengan makhluk pun kita tidak tahu. Tentulah tidak sama cara Allah ‎ﷻ bercakap dengan cara kita bercakap. Kita terima dengan bulat hati kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang beritahu Dia bercakap. Takkan Allah ‎ﷻ tidak boleh bercakap pula? Sedangkan kita boleh bercakap dan kemampuan kita bercakap itu Allah ‎ﷻ yang beri, kotak peti suara Dia yang buat, bahasa kita ini Allah ‎ﷻ yang cipta, telinga untuk mendengar pun Allah ‎ﷻ yang beri. Malah nanti di akhirat anggota tubuh dan kulit kita pun boleh bercakap. Tiba-tiba ada kumpulan yang kata Allah ‎ﷻ tidak bercakap? Jadi bagaimana dengan ayat-ayat yang kata Allah ‎ﷻ bercakap ini? Sudahlah susah mereka kena bersilat untuk datangkan hujah-hujah untuk mentakwil ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Benda tidak perlu dibuat mereka pergi buat pula bagi pening semua orang. Ini bahaya kerana kalau kata Allah ‎ﷻ tidak bercakap, itu sudah secara langsung atau tidak langsung mengatakan Allah ‎ﷻ cacat bisu pula!

Lagi satu masalah masyarakat kita adalah ada yang kata ada tok guru mereka boleh bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ. Memang perasan habis mereka tentang bab ini. Selalunya golongan sufi tarekat lah yang bodoh piang boleh percaya benda-benda macam ini. Tok guru mereka goreng apa sahaja mereka percaya. Memang tok guru tarekat akan menguji anak murid. Kalau anak murid jenis percaya sahaja apa sahaja yang mereka cakap, itulah anak murid yang mereka akan sayang dan ajar benda-benda yang lebih mengarut. Bayangkan yang dapat bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ pun Rasul peringkat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ, tiba-tiba mereka boleh percaya pula tok guru cap taik kucing mereka itu boleh bercakap dengan Allah ‎ﷻ? Kita memang tidak boleh menghalang wujudnya kumpulan-kumpulan sebegini, tetapi kita kena sampaikan ilmu kesedaran supaya tidaklah semakin ramai yang terjebak dengan kumpulan sebegini. Sebab kita sedih sangat kalau ada saudara mara dan sahabat taulan kita yang boleh percaya kekarutan sebegini.

 

وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ

dan ditinggikan-Nya sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. 

Bukan semua semua di tingkatan yang sama. Ada Nabi yang ada kedudukan Rasul Ulul Azmi. Itu adalah lima orang Nabi yang telah melalui ujian yang hebat dan mereka telah diberikan dengan kedudukan yang tinggi dibandingkan dengan Nabi-Nabi yang lain. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ahqaf: 35

فَاصبِر كَما صَبَرَ أُولُو العَزمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَستَعجِل لَّهُم
maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dalam kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu).

Kedudukan Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling tinggi. Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda bahawa baginda telah diuji dengan berat dan tidak ada Nabi lain yang diuji seperti ujian yang dikenakan kepada baginda. Bila ujian kepada Nabi Muhammad ﷺ itu lebih berat, maka darjat baginda pun lebih juga. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“لَقَدْ أُخِفْتُ فِي اللَّهِ مَا لَمْ يُخَفْ أَحَدٌ، وَلَقَدْ أُوذِيتُ فِي اللَّهِ مَا لَمْ يُؤْذَ أَحَدٌ، وَلَقَدْ أَتَتْ عَلَيَّ ثَلَاثُونَ مِنْ بَيْنِ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ وَمَا لِي وَلَا لِبِلَالٍ طَعَامٌ يَأْكُلُهُ ذُو كَبِدٍ إِلَّا شَيْءٌ يُوَارَى بِإِبْطِ بِلَالٍ.”
“Sungguh, aku telah ditakut-takuti (diancam) di jalan Allah dengan cara yang tidak pernah ditakut-takuti (diancam) seorang pun, dan sungguh aku telah disakiti di jalan Allah dengan cara yang tidak pernah disakiti seorang pun. Dan sungguh telah datang kepadaku tiga puluh (hari atau malam) berturut-turut, di mana tidak ada makanan bagiku dan tidak pula bagi Bilal yang boleh dimakan oleh makhluk hidup, melainkan sesuatu yang sangat sedikit yang disembunyikan di bawah ketiak Bilal.”
Sunan At-Tirmidzi: Kitab Sifatul Qiyamah wal War’i wal Wara’, Bab: Ma Ja’a fi Sya’ni An-Nabi ﷺ (No. 2472). Imam At-Tirmidzi menyatakan: “Hadith ini Hasan Sahih.”

Namun bagaimana dengan hadith yang Nabi ﷺ pernah melarang membandingkan kedudukan para Nabi seperti disebut di dalam hadith seperti,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَيْنَمَا يَهُودِيٌّ يَعْرِضُ سِلْعَتَهُ أُعْطِيَ بِهَا شَيْئًا كَرِهَهُ فَقَالَ لَا وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَى الْبَشَرِ فَسَمِعَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَامَ فَلَطَمَ وَجْهَهُ وَقَالَ تَقُولُ وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَى الْبَشَرِ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَظْهُرِنَا فَذَهَبَ إِلَيْهِ فَقَالَ أَبَا الْقَاسِمِ إِنَّ لِي ذِمَّةً وَعَهْدًا فَمَا بَالُ فُلَانٍ لَطَمَ وَجْهِي فَقَالَ لِمَ لَطَمْتَ وَجْهَهُ فَذَكَرَهُ فَغَضِبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ ثُمَّ قَالَ لَا تُفَضِّلُوا بَيْنَ أَنْبِيَاءِ اللَّهِ فَإِنَّهُ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَيَصْعَقُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ أُخْرَى فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ بُعِثَ فَإِذَا مُوسَى آخِذٌ بِالْعَرْشِ فَلَا أَدْرِي أَحُوسِبَ بِصَعْقَتِهِ يَوْمَ الطُّورِ أَمْ بُعِثَ قَبْلِي وَلَا أَقُولُ إِنَّ أَحَدًا أَفْضَلُ مِنْ يُونُسَ بْنِ مَتَّى
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Ketika seorang Yahudi sedang menawarkan barang dagangannya ada orang yang membelinya dengan menukarkan sesuatu namun dia tidak menyukainya seraya berkata; “Tidak. Demi Dzat Yang telah memilih Musa untuk seluruh manusia”. Ucapannya ini didengar oleh seorang daripada Kaum Ansar lalu dia bangkit dan menampar muka orang Yahudi itu seraya berkata; “Kamu mengatakan demi Dzat Yang telah memilih Musa untuk seluruh manusia padahal ada Nabi ﷺ yang hidup di tengah-tengah kita”. Maka orang Yahudi itu pergi menemui Nabi ﷺ dan berkata; “Wahai Abu Al Qasim, sesungguhnya aku memiliki kehormatan dan perjanjian, lalu bagaimana dengan seseorang yang telah menampar mukaku?”. Baginda bertanya (kepada orang Ansar itu): “Mengapa kamu menampar mukanya?. Orang itu menceritakan kejadiannya. Maka Nabi ﷺ marah yang nampak pada wajah baginda kemudian bersabda: “Janganlah kalian menbanding-bandingkan di antara sesama Nabi-Nabi Allah. Sungguh nanti akan ditiup sangkakala lalu semua makhluk yang ada di langit dan di bumi mati, kecuali yang Allah kehendaki. Lalu sangkakala ditiup lagi, maka akulah orang yang pertama sedar (dibangkitkan hidup lagi) namun saat itu aku melihat Musa sedang berpegangan pada ‘Arsy. Aku tidak tahu apakah kerana dia diperhitungkan dengan pengsan (kematian) nya pada peristiwa di Thursina atau dia dibangkitkan sebelum aku, dan aku tidak mengatakan ada seseorang yang lebih utama daripada Yunus bin Matta”.
(Sahih Bukhari No. 3414)

Para ulama telah menggabungkan dan menjelaskan perkara ini dengan beberapa sudut pandang:

1. Larangan dalam Konteks Pertengkaran/Perpecahan:

    • Larangan ini datang dalam konteks apabila perbandingan itu dilakukan untuk tujuan perdebatan, persengketaan, atau merendah-rendahkan martabat Nabi lain. Nabi Muhammad ﷺ ingin mengajar umatnya untuk bersatu dan menghormati semua utusan Allah‎ ﷻ, tanpa memilih kasih atau menyalahkan sesama.
    • Contohnya, hadith tentang Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sering dikaitkan dengan situasi di mana orang mungkin berdebat tentang siapa yang lebih mulia atau Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin dipandang rendah kerana kisah baginda ditelan ikan kerana meninggalkan kaumnya.

2. Larangan dari Sudut Tawaduk Nabi ﷺ:

    • Ia menunjukkan kerendahan hati Nabi Muhammad ﷺ yang luar biasa. Walaupun Baginda adalah Sayyidul Anbiya wal Mursalin (Penghulu Sekalian Nabi dan Rasul) dan yang paling utama di sisi Allah ‎ﷻ, baginda tidak suka jika perbandingan itu digunakan untuk merendahkan martabat nabi lain.

3. Keyakinan Tanpa Perbandingan yang Tidak Perlu:

    • Umat Islam wajib mengimani semua Nabi dan sedar bahawa tidak semua Nabi darjatnya sama. Allah ‎ﷻ sendiri yang menentukan darjat setiap Nabi. Kita sebagai hamba tidak perlu berlebihan dalam membuat perbandingan yang boleh membawa kepada sifat sombong atau merendahkan orang lain. Tugas kita adalah beriman kepada semua Nabi tanpa diskriminasi.

4. Kedudukan Ilmiah (Bukan Amalan):

    • Perbezaan darjat di antara para nabi adalah suatu hakikat yang ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ dan boleh dibincangkan dalam konteks ilmu akidah (misalnya, Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling utama), tetapi bukan untuk diamalkan dalam bentuk perdebatan yang merendahkan atau menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat. Oh lagi satu, kedudukan darjat atau kelebihan itu mestilah ada dalilnya daripada wahyu, kerana kita tidak boleh memandai-mandai meletakkan kelebihan para Nabi mengikut akal kita sendiri sahaja.

5. Baginda Tidak Tahu Lagi Kedudukan Baginda: 

    • Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ semasa bersabda ini, baginda tidak diberikan lagi wahyu tentang kedudukan baginda yang melebihi para Nabi yang lain. Selepas itu baru baginda dapat tahu (melalui wahyu) tentang kedudukan baginda.

Secara ringkas, hadith ini tidak bermaksud bahawa semua nabi mempunyai darjat yang sama. Sebaliknya, ia adalah pengajaran tentang adab, tawaduk, dan larangan untuk merendahkan mana-mana Nabi Allah atau terlibat dalam perdebatan yang boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Setiap nabi mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah ‎ﷻ dan menghadapi ujian yang berbeza.

Terdapat banyakkk sekali hadith tentang kelebihan Nabi Muhammad ﷺ. Kita cuba masukkan sedikit di sini. Baginda yang pertama sekali masuk ke dalam syurga,

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَنَا أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ
Daripada Anas رَضِيَ اللهُ عَنْهُ dia berkata, Rasulullah ﷺ telah bersabda, “Aku adalah orang yang pertama masuk syurga.”
(Riwayat Muslim No. 197)

Baginda mempunyai hati yang terbaik

عن عبد الله بن مسعود، قال: ” إن الله نظر في قلوب العباد، فوجد قلب محمد صلى الله عليه وسلم خير قلوب العباد، فاصطفاه لنفسه، فابتعثه برسالته، ثم نظر في قلوب العباد بعد قلب محمد، فوجد قلوب أصحابه خير قلوب العباد، فجعلهم وزراء نبيه، يقاتلون على دينه، فما رأى المسلمون حسنا، فهو عند الله حسن، وما رأوا سيئا فهو عند الله سيئ “
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Allah melihat ke dalam hati para hamba, dan mendapati hati Muhammad ﷺ sebaik-baik hati para hamba, maka Dia memilihnya untuk Diri-Nya sendiri dan mengutus baginda dengan risalah-Nya.Kemudian Dia melihat ke dalam hati hamba-hamba setelah hati Muhammad, dan mendapati hati para sahabatnya sebaik-baik hati hamba, maka dia menjadikan mereka pembantu Nabinya, berperang atas agamanya. Maka apa sahaja yang dilihat oleh orang Islam sebagai baik adalah baik di sisi Allah, dan apa yang mereka lihat buruk adalah buruk di sisi Allah.”
Musnad Ahmad (5/211) dengan sanad yang sahih.

Secara jelas telah diberikan 5 kelebihan baginda berbanding para Nabi yang lain.

جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ وَأُحِلَّتْ لِي الْغَنَائِمُ وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ
“Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun daripada Nabi-Nabi sebelumku; aku ditolong melawan musuhku dengan ketakutan mereka sepanjang sebulan perjalanan, bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud dan suci; maka di mana sahaja seorang laki-laki daripada ummatku mendapati waktu solat hendaklah dia solat. Dihalalkan harta rampasan untukku, para Nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia, dan aku diberikan (hak) syafa’at”.
(Sahih Bukhari No. 419)

Baginda adalah penutup Para Nabi,

عَنْ جَابِرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلِي وَمَثَلُ الْأَنْبِيَاءِ كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى دَارًا فَأَتَمَّهَا وَأَكْمَلَهَا إِلَّا مَوْضِعَ لَبِنَةٍ فَجَعَلَ النَّاسُ يَدْخُلُونَهَا وَيَتَعَجَّبُونَ مِنْهَا وَيَقُولُونَ لَوْلَا مَوْضِعُ اللَّبِنَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنَا مَوْضِعُ اللَّبِنَةِ جِئْتُ فَخَتَمْتُ الْأَنْبِيَاءَ
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Perumpamaanku dengan Nabi-Nabi sebelumku adalah seperti orang membangun rumah, lalu disempurnakannya buatannya, kecuali sebuah sudut (belum terpasang) dengan sebuah bata. Maka masuklah orang banyak ke rumah itu. Mereka mulai kagum akan keindahannya. Lalu mereka berkata; ‘seandainya batu di sini sudah dipasang tentu bangunan ini menjadi lebih sempurna.’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Maka akulah yang memasang bata itu, aku datang sebagai Nabi terakhir.”
(Sahih Muslim No. 4240)

Baginda adalah penghulu Bani Adam. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا فَخْرَ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ.”
“Aku adalah penghulu (pemimpin) anak Adam pada Hari Kiamat dan itu bukan kesombongan. Akulah orang yang pertama kali bumi terbelah darinya (bangkit dari kubur), dan akulah pemberi syafaat pertama dan orang yang pertama kali diberi izin untuk memberi syafaat.”
Sahih Muslim: Kitab Al-Fadha’il, Bab: Tafdhilun Nabi ﷺ ala Jami’il Khalqi (No. 2278).

Baginda adalah Pemilik Al-Maqam Al-Mahmud (Kedudukan yang Terpuji) dan Syafaat Agung. Al-Maqam Al-Mahmud adalah kedudukan tertinggi yang akan diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ pada Hari Kiamat, yang merangkumi syafaat agung (Asy-Syafa’ah Al-Kubra). Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ.”
“Sesiapa yang mengucapkan ketika mendengar azan: ‘Ya Allah, Tuhan Pemilik seruan yang sempurna ini dan solat yang akan didirikan, berikanlah kepada Muhammad Al-Wasilah dan Al-Fadhilah, dan bangkitkanlah baginda pada Maqam Mahmud (kedudukan yang terpuji) yang telah Engkau janjikan kepadanya,’ maka dia berhak mendapatkan syafaatku pada Hari Kiamat.”
Sahih Bukhari: Kitab Al-Azan, Bab: Ad-Du’a ‘inda An-Nida’ (No. 614).

Pemberi Syafaat Terbanyak untuk Umatnya. Nabi Muhammad ﷺ dianugerahkan hak syafaat yang sangat luas untuk umatnya, termasuk bagi mereka yang berdosa besar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ فَتَعَجَّلَ كُلُّ نَبِيٍّ دَعْوَتَهُ، وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِي لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا.”
“Setiap Nabi mempunyai satu doa yang pasti dikabulkan, maka setiap Nabi telah menyegerakan doanya (di dunia ini). Dan sesungguhnya aku telah menyimpan doaku itu sebagai syafaat untuk umatku pada Hari Kiamat. Syafaat itu insya-Allah akan sampai kepada sesiapa sahaja daripada umatku yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun.”
Sahih Bukhari: Kitab Ad-Da’awat, Bab: Li Kulli Nabiyyin Da’wah Mustajabah (No. 6304).

Maka kesimpulannya, potongan ayat وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ ini merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Cuma tidak disebut dengan jelas nama baginda di sini. Memang nama Nabi Muhammad ﷺ tidak disebut secara tersurat, tetapi itu menunjukkan kelebihan dan keagungan baginda, seakan-akan tanpa disebut namanya pun orang telah tahu. Malah yang lebih hebat, bukan sahaja Nabi Muhammad ﷺ sudah terhebat, umatnya (ini kitalah juga) adalah umat yang terbaik seperti disebut di dalam Ali Imran: 110

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). 

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 16 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 253 Part 1 (Kedudukan para Nabi)”

  1. soalan : Betulkah syaitan takut dengan bacaan ayatul kursi? Yang saya faham , syaitan tidak takut tapi syaitan takut kalau manusia itu mentauhidkan Allah swt…

    Like

    1. soalan yang bagus dan jawapan anda betul. perkara ini mungkin ramai tidak faham kerana ia agak halus.
      kita baca ayat kursi itu bukannya untuk takutkan syaitan, tapi untuk ingatkan kita kembali kepada perkara tauhid. maka kalau kita sudah kembali sedar tentang tauhid, maka syaitan pun takut dengan kita.

      Like

Leave a comment