Tafsir Surah Yunus Ayat 91 – 93 (Mumia Firaun)

Yunus Ayat 91: Adakah diterima kata-kata iman Firaun itu? Allah ﷻ jawab kata-kata Firaun itu.

ءآلئٰنَ وَقَد عَصَيتَ قَبلُ وَكُنتَ مِنَ المُفسِدينَ

Sahih International

Now? And you had disobeyed [Him] before and were of the corrupters?

Malay

(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

 

ءآلْئٰنَ

“Adakah sekarang?!!!

“Baharu sekarang engkau hendak beriman?!!” Itulah tempelak Allah ﷻ kepada Firaun. Allah ﷻ tidak terima iman Firaun waktu itu. Padahal waktu itu Firaun belum mati lagi. Maknanya, kalau sudah hujung nyawa (nyawa-nyawa ikan) baru hendak beriman, ia tidak diterima. Ini disabitkan oleh sebuah hadith,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Daripada [Ibnu Umar رضي الله عنهما] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ﷻ menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorokan.”
(Jami’ Tirmizi (3460))
Status: Hasan

Maka dapat mengucap la ilaaha illallah semasa nazak tidak semestinya menjadi dalil orang yang mati itu selamat lagi. Entah dia pun waktu itu baru teringat hendak bertaubat, jika setakat mengucap sahaja tetapi sepanjang hidupnya amalannya bukan amalan orang Mukmin, maka dia tidak selamat. Kita tidak boleh jadikan fenomena mengucap semasa nazak itu sebagai tanda kerana ketika Rasulullah ﷺ hampir wafat pun tidaklah baginda mengucap, bukan?

Lalu bagaimana dengan amalan orang kita yang mengajar akidah kepada orang yang telah mati? Iaitu yang dimaksudkan adalah amalan talqin. Jika masih hidup lagi sudah tidak diterima perubahan akidah ketika di hujung nyawa, apatah lagi kalau sudah mati? Itulah salah satu daripada hujah kebohongan amalan talqin itu.

 

وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ

padahal sesungguhnya engkau dahulu derhaka,

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَبْلُ sahaja. Kalau maksud yang hendak dibawa adalah ‘dari dahulu’, perkataan yang selalunya digunakan adalah مِن قَبْل.

Apabila hanya kalimah قَبْلُ sahaja yang digunakan, ia bermaksud ‘baru sekejap tadi’. Maknanya, “baru sekejap tadi, kamu masih lagi derhaka, wahai Firaun.” Bukan lama pun jangka masa itu. “Baru sekarang kamu nak beriman? Tidak diterima iman kamu itu.” Baru sekarang ini hendak beriman, memang tidak ada harapan.

Pada waktu yang sepatutnya kamu beriman, kamu tidak beriman iaitu sebelum kamu nampak azab. Maka kita tegaskan di sini yang Firaun tidak dikira sebagai orang beriman. Ini penting kerana ada juga tafsiran yang mengatakan Firaun akhirnya beriman, mati sebagai orang Islam. Mereka berdalilkan dengan ayat sebelum ini (yang nampak macam Firaun mengucap syahadah itu). Ini tidak benar kerana ayat yang kita sedang baca sekarang ini memberitahu kita yang iman Firaun tidak diterima. Hendaklah dilihat semua ayat Al-Qur’an, jangan main tebuk satu ayat kemudian buat keputusan sendiri.

Dari sini kita mendapat satu kesimpulan: Sesiapa yang hanya beriman apabila nampak azab, tidak akan diterima. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Ghafir: 85

فَلَم يَكُ يَنفَعُهُم إيمٰنُهُم لَمّا رَأَوا بَأسَنا ۖ سُنَّتَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت في عِبادِهِ ۖ وَخَسِرَ هُنالِكَ الكٰفِرونَ
Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hamba-Nya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.

Ini kerana ujian kita semasa hidup adalah beriman dengan perkara yang ghaib. Jika sudah nampak azab baru mahu percaya, maka di manakah imannya? Mana ujiannya kalau begitu? Apakah pula nilai iman waktu itu? Ia tidak bernilai langsung. Maka tidak diterima iman yang hanya datang ketika nampak azab. Pengecualian dalam sejarah dunia hanya diberikan kepada umat Nabi Yunus عليه السلام, yang kisah mereka akan disebutkan nanti.

 

وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

dan engkau dulu orang yang melakukan kerosakan?

Banyak sungguh kerosakan yang telah dilakukan oleh Firaun. Dia telah menyesatkan kaumnya dan membuat kerosakan yang banyak di mukabumi. Dia telah memperhambakan Bani Israil. Dia menentang Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام apabila mereka berdakwah kepadanya. Dia juga telah menyeksa mereka yang mahu beriman kepada Islam.

Dia juga telah diberikan dengan segala macam nikmat yang hebat-hebat. Dia juga telah diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, juga mukjizat telah ditunjukkan kepadanya. Akan tetapi kesemua itu tidak mengubah dirinya. Dia tetap degil dengan kekufurannya. Maka memang tidak ada harapan dan tidak patut diberi harapan kepadanya.


 

Yunus Ayat 92: Apa yang terjadi kepada tubuh Firaun itu?

فَاليَومَ نُنَجّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكونَ لِمَن خَلفَكَ ءآيَةً ۚ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ عَن ءآيٰتِنا لَغٰفِلونَ

Sahih International

So today We will save you in body that you may be, to those who succeed you, a sign. And indeed, many among the people, of Our signs, are heedless

Malay

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

 

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ

“Maka pada hari ini, Kami menyelamatkan engkau, dengan badanmu,

Allah ﷻ telah selamatkan badan Firaun daripada hancur binasa. Bukannya selamatkan dia daripada azab. Maksudnya dia tetap mati, tetapi tubuhnya yang diselamatkan. Tubuhnya tidak tenggelam dalam laut. Atau, laut telah memuntahkan jasadnya ke tepian. Allah ﷻ jadikan perkara ini kerana golongan Bani Israil takut sangat dengan Firaun. Walaupun telah ditenggelamkan, mereka takut entah-entah Firaun masih hidup lagi. Maka Allah ﷻ muntahkan balik tubuh Firaun dan tunjukkan memang dia telah mati. Allah ﷻ sebut di dalam Baqarah:50

وَاِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ فَاَنْجَيْنٰكُمْ وَاَغْرَقْنَآ اٰلَ فِرْعَوْنَ وَاَنْتُمْ تَنْظُرُوْنَ
Dan (ingatlah) ketika Kami membelah laut untukmu, sehingga kamu dapat Kami selamatkan dan Kami tenggelamkan (Fir‘aun dan) pengikut-pengikut Fir‘aun, sedang kamu menyaksikan.

Jasad Firaun masih ada lagi di muzium di Mesir. Dikatakan bahawa dia adalah Ramses II. Dialah yang dikatakan Firaun yang menentang Nabi Musa عليه السلام namun ini pun tidaklah dapat dipastikan. Kita kena faham yang ‘Firaun’ itu bukan nama tetapi gelaran kedudukan seperti ‘Sultan’, ‘Raja’, ‘Presiden’. Kedudukan itu bertukar-tukar dan diduduki oleh orang yang berbeza. Cuma kajian mengatakan Firaun yang dihadapi Nabi Musa عليه السلام itu adalah Ramses II.

Dia telah memerintah Mesir selama 67 tahun. Itu adalah satu jangka masa yang amat lama. Dia adalah seorang yang amat bijak dan kata-katanya amat hebat sekali. Sebab itulah Allah ﷻ merakamkan kisahnya dan kata-katanya dalam Al-Qur’an supaya kita boleh belajar apakah hujah orang-orang yang ingkar itu.

Mumia Ramses II

Jasad Firaun ada di muzium sekarang, bukan Ramses II sahaja tetapi semua Firaun pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Maknanya tidak ada ketinggalan mana-mana Firaun pun kalau dikaji dalam sejarah. Namun di dalam Bible disebut yang tubuh Firaun zaman Musa عليه السلام itu tenggelam di Laut Merah. Akan tetapi, bukankah semua jasad Firaun yang diawet itu ada?

Maknanya, tubuh Firaun diselamatkan daripada rosak. Dalam riwayat kita, tubuh dia sudah tenggelam tetapi dikeluarkan oleh Allah ﷻ. Sedangkan Bible pula kata dia tenggelam ke dasar laut. Jika mengikut isi kandungan Bible yang mengatakan dia tenggelam itu, akan timbul satu persoalan: Siapa pula yang menaikkan tubuh Firaun itu? Kerana mereka tidak ada teknologi pada waktu itu untuk menyelam dan membawa naik jasad ke darat. Firaun memang patut tenggelam kerana dia memakai baju perisai dan baju perisai berat dan tentunya akan menyebabkan pemakainya akan tenggelam. (Dikatakan pasukan tenteranya tidak memakai baju perisai tetapi dia sendiri memang ada memakai perisai). Maka jika dia tenggelam sebagaimana didakwa, maka siapakah pula yang mengeluarkannya?

Jelas sekali beza antara Al-Qur’an dan Bible adalah Al-Qur’an seperti di dalam ayat ini menyebut yang tubuh Firaun ditimbulkan dan ini adalah mukjizat Al-Qur’an yang menyebut sejarah dengan tepat kerana ia adalah Kalamullah, bukannya kalam manusia seperti Bible itu.

Oleh kerana terjumpanya jasad Firaun inilah juga yang menyebabkan Dr. Maurice Bucaille telah masuk Islam. Apabila tinggalan mayat Firaun telah dijumpai (di Lembah Raja, Mesir), beliau telah dipanggil untuk memeriksa mayat tersebut kerana beliau pada waktu itu adalah pakar bedah yang terkemuka di Perancis. Beliau hairan kenapa kisah Firaun dan apa yang terjadi selepas Bani Israil menyeberang laut tidak disebut di dalam kitab-kitab Taurat dan juga Injil. Ianya hanya disebut di dalam Al-Qur’an. Maka beliau telah berhenti menjadi doktor dan belajar bahasa Arab selama 10 tahun untuk membuat kajian tentang hal ini. Akhirnya beliau telah masuk Islam walaupun pada asalnya beliau hendak menjatuhkan agama Islam dengan sains. Akhirnya beliau menjumpai Islam kerana sains.

Kenapakah tubuh Firaun diselamatkan?

 

لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ ءآيَةً

untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang selepasmu.

Supaya manusia generasi kemudian zaman berzaman boleh mengambil iktibar daripada kedegilan Firaun. Supaya jangan menjadi bodoh seperti Firaun. Mengajar manusia bahawa inilah akibatnya mereka yang zalim, yang derhaka, yang sombong. Dia amat kaya dan berkuasa di dunia ini, namun dimusnahkan akhirnya di penghujung hayat.

Lihatlah juga bagaimana utuhnya bangunan piramid itu, sampai sekarang masih ada lagi, akan tetapi kerajaannya itu tidak kekal. Firaun hendak menyelamatkan kerajaannya namun tidak berjaya. Cuma, kajian moden mendapati bukanlah Firaun yang membina piramid itu, tetapi telah wujud sebelum dia ada lagi.

Begitu juga berkenaan mumia Firaun itu, di mana ada juga pendapat yang tidak menerima itu sebagai Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام. Terdapat beberapa hujah yang diberikan:

 1. Tujuan tubuh Firaun diselamatkan adalah sebagai tanda kepada umat Nabi Musa عليه السلام pada zaman itu, untuk mereka lihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa Firaun yang mereka amat takuti itu telah benar-benar mati. Bukanlah tubuhnya menjadi pengajaran untuk zaman berzaman. Ini kerana mumia itu baru sahaja dijumpai tahun 1881, maka takkan sebelum itu tidak ada pengajaran?

2. Jasad Firaun yang kekal sampai sekarang adalah kerana diawet, bukan? Persoalannya di sini siapakah yang mengawetnya? Kerana yang bersama dengan tubuh Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام itu adalah Bani Israil yang baru sahaja menyeberang laut sehelai sepinggang. Bagaimana pula mereka boleh mempunyai bahan untuk mengawet tubuh Firaun?

3. Tubuh Firaun ketika itu berada pada Bani Israil zaman itu. Firaun itu musuh mereka. Maka sekiranya mereka mampu mengawet pun, apakah tujuannya untuk diawet kemudian disimpan pula? Bukankah perbuatan itu hanya membuang masa dan tenaga sahaja? Apakah perlunya diawet dan disimpan musuh ketat yang begitu zalim dan kejam yang sepatutnya dilemparkan sahaja ke lubuk buaya, bukan?

4. Kalau tidak dibuang ke lubuk buaya pun, tentunya mereka akan tanam kerana Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil adalah Muslim. Bilakah pula Muslim mensyariatkan tubuh mayat perlu diawet?

5. Kebiasaannya proses mengawet mayat manusia hanyalah dilakukan oleh rakyat sesebuah kerajaan dengan tujuan mengenang pemimpin mereka sahaja. Ini sebagaimana dilakukan oleh rakyat Turkiye yang mengawet jasad Kamal Ataturk atau juga seperti rakyat China mengawet pemimpin mereka Chairman Mao. Maka di manakah logiknya Bani Israil begitu membanggakan tubuh badan Firaun sehingga mahu mengawetnya pula sebagai kenangan?

6. Tubuh tidak diperlukan sebagai pengajaran. Allah ﷻ sebut kisah mereka di dalam Al-Qur’an sahaja sudah cukup. Sebagai contoh lihat Baqarah: 65-66

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

فَجَعَلنٰها نَكٰلًا لِّما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Kisah Bani Israil yang telah ditukar menjadi kera ini juga menjadi pengajaran buat kita, bukan? Namun di mana tubuh mereka yang telah jadi kera itu? Kenapakah tidak diawetkan sekali?

7. Firaun sekarang sedang diazab di Alam Barzakh seperti disebut dalam Ghafir: 46

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ
Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!””

Maka ini adalah beberapa isu dan hujah yang ditimbulkan bagi menolak pendapat yang mengatakan mumia yang berada di Mesir sekarang adalah Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام. Allahu a’lam. Allah ﷻ sahaja yang tahu perkara sebenar.

 

وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ ءآيٰتِنَا لَغٰفِلُونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada tanda-tanda Kami!”.

Allah ﷻ telah menyelamatkan tubuh Firaun supaya manusia yang melihatnya boleh mengambil iktibar. Namun malangnya, ramai yang tidak mengambil pengajaran daripada kisah itu. Mereka semua tahu kisah Firaun, boleh nampak sekurang-kurangnya gambar jasad Firaun itu, malah mungkin ada yang telah ke Mesir dan melawat jasad itu, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran.

Mereka hanya melihat sahaja, mereka hanya membaca sahaja kisah Firaun itu. Kajian tentang Mesir purba amat banyak sekali, sampaikan muncul sebuah bidang ilmu khas dipanggil ‘Egyptology’. Akan tetapi mereka hanya mengkaji tentang kehidupan Mesir purba sahaja dan bagaimana ia telah musnah sehingga mendatangkan rasa kagum dalam kalangan mereka. Namun sedikitpun mereka tidak mengambil pengajaran tentang kenapakah kerajaan begitu hebat dalam sejarah dimusnahkan.

Begitu juga dengan umat Islam yang mengetahui tentang kisah Firaun. Kebanyakan mereka masih lagi lalai. Bagaimana kita tahu mereka kebanyakannya lalai? Kerana kebanyakan manusia itu lalai untuk belajar agama dan tafsir Al-Qur’an. Mereka sibuk dengan dunia, mereka tidak memikirkan tentang akhirat. Maknanya, ada persamaan dengan Firaun, bukan?

Yang [Kera]jaan Mesir sekarang pun boleh tahan juga mempamerkan kebodohan mereka sampaikan pada April 2021, mereka telah mengadakan sebuah majlis perarakan besar-besaran sempena upacara memindahkan kedudukan Firaun. Jika dilihat daripada perarakan itu memang jelas sekali seolah-olah kita ini mengagungkan Firaun pula. Firaun, yang begitu terkenal sebagai salah seorang manusia paling zalim dalam sejarah dunia. Amat pelik sekali bila difikirkan dengan fenomena ini, adakah ini kerajaan orang Islam atau kerajaan kafir?

Perbarisan Emas Firaun, perarakan memindahkan 22 mumia dari Muzium Mesir di Tahrir ke Muzium Tamadun Nasional Mesir di Fustat, Kaherah

 

Habis Ruku’ 9 daripada 11 surah ini.


 

JASA ALLAH ﷻ KEPADA BANI ISRAIL

Yunus Ayat 93: Ayat Zajrun (teguran) kepada Bani Israil. Dalam ayat sebelum ini adalah tentang kesudahan Firaun dan tamat sudah kisah dia. Sekarang disebut tentang kesudahan Bani Israil pula. Adakah mereka mengambil pengajaran setelah mereka selamat daripadaFiraun?

وَلَقَد بَوَّأنا بَني إِسرٰءيلَ مُبَوَّأَ صِدقٍ وَرَزَقنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ فَمَا اختَلَفوا حَتّىٰ جاءَهُمُ العِلمُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

And We had certainty settled the Children of Israel in an agreeable settlement and provided them with good things. And they did not differ until [after] knowledge had come to them. Indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka tidak berselisihan melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.

 

وَلَقَدْ بَوَّأْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil

Ini adalah selepas Bani Israil diselamatkan melepasi Laut Merah. Mereka telah meninggalkan rumah-rumah mereka dan segalanya di Mesir kerana mengikut Nabi Musa عليه السلام. Maka Allah ﷻ telah memberi mereka tempat tinggal yang lebih baik.

 

مُبَوَّأَ صِدْقٍ

di negeri yang baik

Iaitu mereka telah ditempatkan di Jurusalem atau sekarang dikenali sebagai Palestin. Di situlah terletaknya BaitulMaqdis.

Kalimah صِدْقٍ yang selalu kita faham adalah bermaksud ‘benar’ tetapi bukan itu sahaja maksud صِدْقٍ itu. Ia bermaksud tempat yang baik. Ia juga boleh bermaksud ‘mulia’. Di dalam surah Isra’: 1, Allah ﷻ memberitahu kita yang tempat itu diberkati.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Lihatlah bagaimana kalau sesuatu tempat itu ada berkat, Allah ﷻ akan berikan dalilnya. Maknanya, kena ada dalil baru boleh dikatakan ia ada berkat. Bukanlah seperti yang dilakukan oleh sesetengah puak sekarang. Mereka memandai sahaja mengatakan sesuatu tempat itu berkat.

Sebagai contoh, puak Habib mengatakan yang kubur Habib yang telah mati ada berkat. Maka mereka telah berkumpul dan buat ibadat di situ. Mereka juga kata yang capal Nabi ﷺ ada berkat. Bukan itu sahaja, logo capal pun mereka kata ada berkat dan macam-macam lagi rekaan daripada mereka.

 

وَرَزَقْنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

dan Kami mengurniakan mereka dengan rezeki-rezeki yang baik.

Lihatlah betapa banyaknya nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil. Mereka dahulunya ditindas dan diperhambakan oleh Firaun. Kemudian Allah ﷻ berikan dua Nabi kepada mereka (Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام). Kemudian Allah ﷻ beri mereka nikmat ibadat dengan memerintahkan mereka mendirikan solat. Selepas itu Allah ﷻ selamatkan mereka dan memberikan mereka tempat tinggal yang penuh berkat. Allah ﷻ selamatkan mereka kerana mereka ada iman.

Apabila mereka berbuat salah dan disesatkan di padang pasir pun, Allah ﷻ masih memberi rezeki yang baik kepada mereka seperti disebut dalam Baqarah: 57

وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّبَـٰتِ ما رَزَقنَـٰكُم
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (daripada panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah daripada makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”.

Lihatlah mereka pernah mendapat makanan turun dari langit yang khas untuk mereka sahaja. Allah ﷻ masih lagi dengan rahmat-Nya memudahkan kehidupan Bani Israil itu walaupun mereka banyak membuat salah. Tidak hanya dengan nikmat makanan, malah nikmat air juga dengan mudah mereka perolehi melalui mukjizat Nabi Musa عليه السلام iaitu air yang keluar daripada batu seperti disebut dalam Baqarah:60.

وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِّزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah daripada batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu daripada rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”..

Sepatutnya sebagai hamba Allah ﷻ yang beriman, setelah mereka diberikan dengan segala nikmat itu, mereka hendaklah mensyukuri nikmat itu lalu beriman sungguh-sungguh. Namun apa yang mereka lakukan? Mereka berselisih sesama mereka.

 

فَمَا اخْتَلَفُوا حَتَّىٰ جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

Mereka tidaklah berselisihan (tentang tauhid) melainkan setelah datang kepada mereka ilmu

Sebelum ini Allah ﷻ ungkit jasa dan kurnia-Nya menempatkan Bani Israil itu di tempat yang baik dan kemudian diberi rezeki. Sekarang Allah ﷻ sebut kesalahan mereka. Kesalahan mereka menjadi lebih besar kerana mereka telah terima segala nikmat daripada Allah ﷻ, namun masih lagi berselisih.

Mereka berselisih selepas mereka mendapat Ilmu, iaitu ilmu daripada Kitab Taurat. Mereka berselisih tentang hal agama walaupun kebenaran telah sampai kepada mereka. Perkara paling besar adalah pengetahuan tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman, Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tahu daripada kitab Taurat tentang sifat baginda, bila baginda akan datang dan sebagainya. Sampaikan di dalam Al-Qur’an Allah ﷻ beritahu yang mereka kenal baginda seperti kenal anak sendiri. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Baqarah:89

وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

Namun begitu, apabila baginda benar-benar datang, mereka tolak. Mereka berselisih pendapat. Ada juga yang terima, tetapi majoriti daripada mereka tolak kerana mereka tidak dapat menerima Nabi Akhir Zaman itu dalam kalangan Bani Ismail (orang Arab). Mereka sangkakan dan tunggu dalam kalangan bangsa mereka, sebaliknya yang datang itu daripada golongan lain pula. Sudahlah selama hari itu mereka mengutuk Bangsa Arab itu sebagai tidak bertamadun, tidak ada agama, dan lain-lain lagi. Maka susahlah mereka hendak menerima Nabi Muhammad ﷺ pula. Bagi mereka ia adalah seolah-olah mereka terpaksa menjilat ludah mereka sendiri. Jatuhlah ego mereka jika mereka menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi Akhir Zaman. Sebab itulah mereka buat keputusan untuk tolak. Begitulah teruknya mereka walaupun ada ilmu sebagaimana Allah ﷻ sebudalam Bayyinah:4

وَمَا تَفَرَّقَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ اِلَّا مِنْۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَتْهُمُ الْبَيِّنَةُ ۗ
Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

Mereka ini walaupun digelar ‘Ahli Kitab’ dan dikatakan ilmu telah datang kepada mereka, tetapi mereka tidak beriman pun dengan ilmu yang ada pada mereka. Mereka hanya pilih-pilih sahaja mana yang mereka terima dan mana yang mereka hendak tolak. Allah ﷻ tegur mereka tentang hal ini dalam Baqarah:85

أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ
patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?

Sekarang pun ramai kalangan orang kita yang berselisih dalam hal agama. Lebih-lebih lagi zaman sekarang iaitu apabila bangkit mereka yang memegang sunnah. Itulah golongan yang ingin kembali kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Bukan seperti dulu, tidak kedengaran perselisihan yang seperti ini. Ini kerana pada waktu dahulu, semua mengamalkan agama yang hampir sama sahaja. Kalau berselisih pun, sikit-sikit sahaja.

Namun kita dapat rasakan yang perselisihan sekarang amat besar. Ramai yang berselisih dengan kita kerana kita bawakan ajaran tauhid, dan menentang syirik dan bid’ah lah yang menyebabkan ramai yang tolak, ramai yang berselisih dengan kita. Ini telah disebut dalam Shura:14

وَمَا تَفَرَّقُوا إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى لَّقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ أُورِثُوا الْكِتَابَ مِن بَعْدِهِمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ
Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan daripada Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.

Kalau kita hanya ajar solat, wudhu’, puasa dan cara-cara ibadat lain, tidak ada yang melarang. Namun itu adalah berkenaan ibadat semata-mata. Bagaimana pula dengan ilmu aqidah, ilmu tauhid dan syirik? Ini kerana kalau tidak diajar tentang apakah syirik itu, manusia tidak akan tahu yang mereka mengamalkan syirik. Apabila mereka mengamalkan syirik, segala amal ibadat yang mereka lakukan itu akan punah, tidak mendapat pahala pun. Alangkah ruginya.

Apakah lagi maksud ‘perselisihan berlaku setelah datang ilmu’? Perselisihan itu berlaku apabila ada yang mendapat ilmu tetapi ditolak oleh mereka yang tidak ada ilmu. Kalau sama-sama tidak ada ilmu, tidaklah ada perselisihan, kerana sama-sama jahil dan bodoh. Namun apabila ada yang mendapat ilmu sunnah, mereka sudah tidak boleh menerima amalan yang bid’ah lagi, maka di situlah bermulanya perselisihan.

Ini kerana mereka akan mula menegur golongan yang mengamalkan bid’ah itu kerana menegur kesalahan adalah wajib. Maka puak bid’ah amat marah jika amalan mereka yang sudah lama diamalkan itu ditegur. Manakan tidak, amalan itu dipusakai zaman berzaman daripada tok nenek mereka lagi dan telah lama mereka amalkan. Mereka kata kita memecah belahkan masyarakat, padahal kita hendak menyatukan masyarakat.

Kenapakah dikatakan kita hendak menyatukan masyarakat? Lihatlah bagaimana manusia sekarang berpecah dalam hal agama. Semua mengadu kita tidak bersatu. Maka, apakah cara untuk menyatukan semua pihak? Semua pihak dapat disatukan jikalau semuanya memegang hukum agama daripada sumber yang sama – AL-QUR’AN & HADITH SAHIH.

Masyarakat Islam sekarang tidak dapat bersatu kerana semua mengambil dalil agama dengan cara caca merba. Ada yang mengikut kata ulama ini, ada yang mengikut pendapat ulama itu. Itulah sebabnya perselisihan banyak berlaku. Bayangkan kalau semua pegang sumber yang sama, bukankah akan ada penyatuan?

Namun, apa yang terjadi sekarang? Kebiasaannya, apabila kita menegur amalan yang salah, puak bid’ah akan jawab: “Itu khilaf ulamak, Syeikh”. Ketahuilah bahawa khilaf yang diterima adalah jikalau ada nas yang sahih, dan daripada nas yang sahih itu, ada perbezaan pendapat daripadanya. Ini berlaku kerana pemahaman manusia adalah berbeza-beza. Sebagai contoh, dalam Baqarah:228

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci.

Dalam situasi talak begini, ulama’ feqah berbeza pendapat tentang perkataan قُرُوءٍ itu. Ada yang kata قُرُوءٍ itu bermaksud selepas tiga kali suci, sementara ada yang kata selepas tiga kali haid. Maka, ini adalah khilaf yang diterima kerana ia adalah perbezaan daripada pemahaman ulama’ daripada dalil yang sah. Maknanya, kedua-dua pendapat berdasarkan dalil ada sahih dan kedua-dua boleh diterimapakai.

Akan tetapi apabila tidak ada dalil langsung, seperti dalil untuk mengadakan Majlis Tahlil, maka ini bukanlah khilaf yang patut dilayan. Itu adalah khilaf yang tidak diterima kerana pihak yang kata boleh buat Majlis Tahlil itu tidak dapat mendatangkan nas yang sahih, melainkan pendapat manusia sahaja yang mengatakan ia adalah ‘baik’ berdasarkan akal logik mereka sahaja. Inilah juga masalah dengan amalan-amalan bid’ah yang lain.

Khilaf yang dibenarkan itu juga boleh menyebabkan perselisihan. Ia berasal daripada perbezaan pemahaman. Kita kena hormati perbezaan pemahaman itu tetapi apabila ia dibawa sampai kepada perdebatan yang keras, akan menyebabkan perselisihan. Sepatutnya kita menghormati pendapat ulama’ yang lain, kerana ada pemahaman yang berbeza. Namun apabila satu pihak menyalahkan pihak yang lain kerana pendapat yang berbeza itu, itulah yang menyebabkan perselisihan.

Daripada perselisihan inilah yang menyebabkan berpecahnya Yahudi kepada 71 golongan, Kristian kepada 72 golongan dan Islam kepada 73 golongan. Satu golongan sahaja yang masuk syurga iaitu mereka yang berpegang dengan sunnah. Maka ini khilaf yang bahaya kerana ia khilaf berkenaan tauhid. Tidak boleh khilaf berkenaan tauhid, kalau bab feqah masih boleh lagi.

Para sahabat pun ada perbezaan pendapat antara mereka, namun tidaklah sampai kepada perselisihan dan pertengkaran pula. Jikalau para sahabat pun khilaf sesama mereka, maka tidak salah kalau kita khilaf. Yang tidak boleh khilaf adalah dengan Al-Qur’an dan Rasulullah seperti firman Allah ﷻ dalam Ali Imran:31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

 

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu akan buat keputusan di antara mereka pada hari kiamat

Ini pula adalah Takhwif Ukhrawi. Di Hari Akhirat nanti, Allah ﷻ akan membuat keputusan manakah pendapat yang benar. Ada pihak kata tawasul kepada orang mati tidak boleh, ada yang kata ia adalah elok.

Maka, di Akhirat nanti, Allah ﷻ akan beritahu mana satu yang benar. Namun, siapa yang benar waktu itu sudah terlambat. Kalau yang pegang pendapat salah itu, bagaimana mereka hendak memperbetulkan amalan mereka? Oleh itu, hendaklah kita pastikan manakah pendapat yang benar semasa di dunia lagi. Kenalah buat kajian dan dapatkan keputusan yang paling tepat.

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka dulu perselisihkan itu.

Banyak yang guna alasan kata ‘khilaf ulama’. Atau mereka kata perkara itu furu’ (ranting) sahaja dan kena ‘berlapang dada’ dan terima kesemua pendapat. Padahal, banyak perselisihan itu dalam perkara penting iaitu termasuk perkara akidah, perkara tauhid yang tentunya bukan perkara ranting lagi.

Maka, janganlah kita senang-senang hendak berlapang dada dan meraikan pendapat semua orang, kerana kesannya adalah sama ada duduk di syurga, atau kekal di neraka.

Daripada ayat ini juga kita belajar yang perselisihan tetap akan ada sampailah hari kiamat. Maka jangan kita ribut sangat kerana ini perkara biasa sahaja. Tidak perlu dilayan sangat kerana ia membuang masa sahaja. Kita tidak akan dapat menghilangkan perbezaan yang pasti ada. Kita buat amal kita dan tunggu di akhirat kelak di mana segala perbezaan itu akan diselesaikan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ akan tentukan mana yang betul dan mana yang tidak. Cuma malanglah kalau di situ baru tahu rupanya selama ini berada di pihak yang salah kerana sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Januari 2024

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yunus Ayat 91 – 93 (Mumia Firaun)”

Leave a reply to azizanarahman Cancel reply