Yunus Ayat 63: Ayat ini memberikan definisi ‘Wali Allah’. Allah ﷻ sendiri beritahu kita dalam Al-Qur’an apakah sifat Wali Allah itu. Sifat-sifat ini yang perlu ada ada dalam kita dan kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Sekiranya kita mempunyai sifat-sifat ini, maka kita pun boleh mencapai taraf Wali Allah.
Maknanya, sesiapa sahaja boleh menjadi Wali Allah jikalau mereka memiliki sifat-sifat ini. Bukanlah wali itu mempunyai sifat yang luar biasa sebagaimana anggapan kebanyakan manusia sekarang. Padahal, Allah ﷻ beri isyarat dalam ayat ini, semua orang boleh menjadi wali Allah.
Manusia sahaja yang letakkan sifat-sifat yang mustahil pada wali itu kemudian mereka sanjung wali-wali itu. Ini selalu dilakukan oleh golongan tarekat sufi kerana kejahilan mereka. Kemudian mereka jadikan wali-wali itu sebagai pemberi Syafaat kepada mereka; mereka puja, sembah dan buat ibadat kepada wali-wali itu sebagai wasilah mereka dalam amalan tawasul mereka.
الَّذينَ ءآمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ
Those who believed and were fearing Allah
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
الَّذِينَ ءآمَنُوا
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman
Iaitu mereka yang beriman sempurna. Akidah mereka sempurna kerana mereka tidak melakukan syirik. Mereka juga tidak mengamalkan bid’ah kerana sepatutnya mereka ada ilmu Sunnah. Dari segi akhlak pula, mereka tidak melakukan maksiat.
Kita kenalah beriman sempurna. maknanya, ia bukan setakat beriman sahaja kerana ada manusia yang beriman dengan Allah ﷻ, beriman dengan Nabi dan sebagainya lagi yang perlu diimani; akan tetapi malangnya dalam masa yang sama, mereka ada juga beriman dengan perkara lain. Mereka beriman bahawa ada entiti-entiti lain yang mempunyai sifat-sifat Allah ﷻ. Itulah syirik – meletakkan sesuatu yang sama taraf dengan Allah ﷻ dari segi sifat-Nya. Bukan hanya kerana melantik tuhan yang baru, jika hanya diberikan satu sifat Allah ﷻ pun sudah menjadi syirik sebenarnya.
Sebab itulah berbagai-bagai jenis syirik yang dilakukan manusia. Sebagai contoh, Allah ﷻ sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk memberi dan menentukan siapakah yang boleh menerima syafaat. Namun ada dalam kalangan muslim yang salah sangka menganggap bahawa Nabi Muhammad ﷺ pun ada kuasa untuk menentukan siapakah yang boleh menerima Syafaat. Tanggapan ini ternyata salah sekali kerana seolah-olah mereka telah memberikan kuasa dan hak Allah ﷻ kepada Nabi ﷺ pula.
Untuk mengetahui dan memahami apakah yang dikatakan akidah yang sempurna itu, maka mestilah belajar dan fahami tafsir Al-Qur’an. Ini kerana hal-hal akidah diberitahu dengan jelas dan berulang kali dalam Al-Qur’an. Kerana itulah kita sebagai Muslim harus sedar betapa pentingnya pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Semoga Allah ﷻ memberikan kita semua taufiq untuk terus bersemangat bagi mempelajari dan memahami isi kandungan Kitab-Nya ini.
وَكَانُوا يَتَّقُونَ
serta mereka pula bertaqwa.
Taqwa bermaksud menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Bukannya setakat bermaksud ‘takut’. Kalau setakat takut, takut sahaja namun tidak pula mengamalkan amalan ibadah tidak benar, maka bukanlah layak dipanggil sebagai wali. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan cukup berhati-hati dan memastikan sama ada amalan itu Allah ﷻ suka ataupun tidak. Mereka buat itu semua kerana mereka takut dengan Allah ﷻ.
Itulah dua sifat terpenting seorang Wali Allah, iaitu mereka beriman dan bertaqwa. Orang alim juga sepatutnya mengajar orang lain. Mereka bukan hanya menyelamatkan dirinya sahaja, tetapi mereka juga menyampaikan ajaran Islam yang benar kepada masyarakat. Kerana itulah suruhan daripada Allah ﷻ (iaitu berdakwah) dan mereka taat kepada Allah ﷻ. Mereka tidaklah duduk di rumah tidak bercampur manusia. Mereka takut kalau mereka tidak sampaikan ajaran Allah ﷻ, mereka akan disoal oleh Allah ﷻ di akhirat kelak. Kalau seorang alim itu tidak mengajar, bukanlah dia seorang wali.
Daripada ayat ini, tahulah kita bahawa bukannya Wali Allah itu seorang yang asyik mengusung tasbih sahaja. Bukanlah mereka itu jenis orang yang berzikir tidak henti-henti seorang diri. Bukanlah mereka dengan pakaian tidak terurus dan compang camping, kuku panjang dan sebagainya. Malangnya ada yang percaya sebegitu. Yang peliknya ada orang gila pun dianggap wali. Mereka siap ada gelaran ‘Wali Majzub’ kepada orang yang sebegini. Mereka akan berkata: “Ingat-ingat sikit, entah-entah dalam kalangan kita ini ada wali Allah…” Ini adalah kata-kata karut yang keluar dari mulut orang yang jahil sahaja.

Bukan setakat wali sahaja, ada yang sampai kata, kena beringat takut-takut dalam manusia yang ramai-ramai ini, Nabi Muhammad ﷺ ada dalam kalangan kita. Subhanallah! Sekiranya kita tidak beri pengajaran agama yang benar dalam kalangan masyarakat kita, maka akan adalah fahaman karut-karut sebegini.
Yunus Ayat 64: Apakah balasan yang wali-wali Allah ﷻ itu akan dapat?
لَهُمُ البُشرىٰ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۚ لا تَبديلَ لِكَلِمٰتِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
For them are good tidings in the worldly life and in the Hereafter. No change is there in the words of Allah. That is what is the great attainment.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar.
لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
Untuk mereka sahajalah berita yang menggembirakan di dalam kehidupan dunia
Apakah maksud الْبُشْرَىٰ itu?
- Ada yang kata ia adalah mimpi yang baik-baik (ru’ya solihah). Ini ada dalilnya di dalam hadith.
إِذَا اقْتَـرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ، وَأَصْدَقُكُـمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا، وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُـزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ.
‘Jika Kiamat sudah dekat, maka hampir-hampir mimpi seorang muslim tidak dusta. Mimpi kalian yang paling benar adalah yang paling benar pembicaraannya. Dan mimpi seorang muslim adalah satu bahagian daripada empat puluh lima bahagian kenabian.’”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim
Daripada Ubadah bin Shamit رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,
رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
“Mimpi seorang mukmin adalah 1 daripada 46 bahagian kenabian.”
(Bukhari 6987, Muslim 6043)
Mimpi itu yang memberi keseronokan kepada mereka. Mimpi itu akan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Ia adalah atas wahyu yang sedia ada, bukannya menjadi wahyu baru pula. Ia adalah hanya untuk memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan apa yang telah usahakan.
Bukanlah untuk memberi hukum baru atau amalan yang baru. Ramai yang mengaku wali sambil mendakwa mereka telah mendapat amalan baru. Banyak amalan dalam masyarakat bila ditanya dari mana dapat amalan mereka jawab: sheikh ini dan itu dapat daripada Nabi ﷺ secara mimpi. Ada yang kata secara yaqazah (secara jaga) pun ada juga. Oleh kerana itulah kita kena berhati-hati dengan mimpi yang kita dapat itu kerana ada yang ditipu dalam mimpi. Mimpi itu ada tiga jenis:
-
-
- Daripada Allah ﷻ
- Daripada syaitan
- Mainan perasaan
-
2. Ada juga yang mengatakan الْبُشْرَىٰ yang dimaksudkan adalah kemasyhuran seseorang itu. Mereka menjadi masyhur kerana kebaikan yang telah dilakukannya, kerana penjenayah pun masyhur juga tetapi kerana keburukan. Sebagai contoh, Imam Bukhari رحمه الله telah menulis kitab sahihnya dan lihatlah bagaimana masyhur sekali kitab itu dan dengan baginda sekali. Begitu juga Imam Nawawi رحمه الله yang meninggal di usia muda namun kitab-kitabnya terkenal dan dijadikan rujukan di serata dunia sehingga hari ini.
Sepertimana juga Kitab Sahih Bukhari itu dikaji dan dibaca oleh manusia seluruh dunia. Bila sebut Sahih Bukhari sahaja, semua akan terima hadith di dalamnya sebagai sahih belaka. Nama ‘Bukhari’ pun terkenal di mana-mana. Ibubapa menamakan anak mereka dengan nama Bukhari. (Walaupun sebenarnya itu kurang tepat kerana Bukhari adalah nisbah kepada nama tempat kelahiran beliau, bukannya namanya yang sebenar).
3. Ada yang mengatakan bahawa الْبُشْرَىٰ itu adalah bantuan daripada Allah ﷻ. Dalam usahanya untuk melakukan amalan yang baik, Allah ﷻ mudahkan. Sebagai contoh, Allah ﷻ akan memudahkan wali itu untuk mengadakan kelas pengajian.
4. Ada yang mengatakan mereka akan mendapat kefahaman dan ilmu agama yang luar biasa.
5. Ada juga mengatakan mereka mendapat berita baik tentang nasib mereka. Sebagai contoh, ada sahabat yang diberikan dengan berita gembira yang mereka akan menjadi ahli syurga semasa mereka di dunia lagi. Semasa mereka hidup lagi mereka sudah mendapat berita baik itu.
Orang Mukmin juga akan mendapat berita baik ini. Apabila malaikat mengambil nyawa mereka di hujung hayat, malaikat akan memberikan berita gembira yang mereka akan dimasukkan ke syurga seperti firman Allah ﷻ dalam Fussilat: 30
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka: “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
Maklumat itu diberikan sebaik sahaja mereka mati sebelum mereka dimasukkan ke dalam alam kubur. Apakah yang mereka akan dapat nanti? Disambung di dalam ayat 31 seterusnya,
نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ
“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.
Hebat sekali kerana mati sahaja akan diberikan dengan berita gembira itu. Mereka juga akan dimasukkan terus ke dalam syurga sementara menunggu Kiamat dan peristiwa di Mahsyar. Dalilnya seperti disebut dalam Nahl: 32
الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.
Ada yang mengatakan ia adalah kemenangan di dunia. Contohnya kepada Rasulullah ﷺ diberikan kemenangan menentang orang kafir, ramai yang masuk Islam semasa baginda hidup lagi dan banyak lagi kelebihan yang diberikan kepada baginda.
Berdoalah sekarang supaya Allah ﷻ memasukkan kita ke dalam golongan ini.
وَفِي الْآخِرَةِ
dan di akhirat;
Mereka pun akan mendapat berita gembira di akhirat kelak. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka diberikan dengan segala nikmat yang mereka sendiri tidak sangka. Sementara anak cucu yang mereka tinggalkan juga akan dijaga oleh Allah ﷻ seperti disebut satu kisah di dalam Kahf:82
وَأَمَّا الجِدارُ فَكانَ لِغُلٰمَينِ يَتيمَينِ فِي المَدينَةِ وَكانَ تَحتَهُ كَنزٌ لَّهُما وَكانَ أَبوهُما صٰلِحًا
Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.
لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمٰتِ اللَّهِ
tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah
Kalimah-kalimah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah janji-janji Allah ﷻ. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah janji-janji Allah ﷻ itu. Ia pasti akan dijalankan.
Kalimah Allah ﷻ itu juga boleh bermaksud Al-Qur’an. Kita juga tidak dapat mengubah ayat-ayat Allah ﷻ. Ayat-ayat Al-Qur’an ini dipelihara dan tidak akan berubah sampai bila-bila.
ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
yang demikian itulah kejayaan yang besar.
Kejayaan yang dimaksudkan adalah mendapat berita gembira daripada Allah ﷻ. Inilah kejayaan yang sebenar. Jelas sekali ini bukan kejayaan biasa tetapi jenis الْفَوْزُ. Ia bermaksud berjaya selamat daripada bahaya. Ini adalah kerana mereka terselamat dari neraka yang amat menakutkan dan kerana itulah ia digelar الْفَوْزُ الْعَظِيمُ.
YANG MAHA BERKUASA
Yunus Ayat 65: Ini adalah ayat tasliah (pujukan).
وَلا يَحزُنكَ قَولُهُم ۘ إِنَّ العِزَّةَ لِلَّهِ جَميعًا ۚ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
And let not their speech grieve you. Indeed, honor [due to power] belongs to Allah entirely. He is the Hearing, the Knowing.
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
وَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu;
Allah ﷻ memujuk Nabi Muhammad ﷺ dan begitu jugalah kepada para pendakwah Tauhid. Janganlah kita merasa dukacita dengan kata-kata hina manusia kepada kita yang menyebarkan ajaran tauhid. Juga jangalah terlalu bersedih dengan tuduhan yang mereka lemparkan. Ingatlah bahawa Nabi Muhammad ﷺ pun telah ditolak dan dihina oleh kaumnya. Begitu juga dengan kita yang menyebar tauhid ini. Mereka kata kita sesat, kita wahabi dan sebagainya. Memang pedih rasa hati kita. Akan tetapi Allah ﷻ kata, jangan berdukacita dengan kata-kata mereka.
Allah ﷻ memujuk Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda ditolak semenjak hari pertama baginda berdakwah lagi. Iaitu ketika baginda memanggil keluarganya untuk kenduri dan hendak menyampaikan ajaran Tauhid. Kemudian ketika baginda memanggil kaumnya dan baginda sampaikan ajaran dan pesanan dari atas bukit. Kisah ini kita boleh tahu melalui Sirah Nabi.
Antara surah terawal yang diturunkan adalah Surah Muzzammil. Di dalam surah yang awal itu pun Allah ﷻ sudah pujuk baginda seperti disebut dalam Muzzammil:10
وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
Di dalam ayat Surah Yunus ini Allah ﷻ tidak membiarkan Nabi ﷺ dalam kesedihan. Akan tetapi tidakkah sedih ini adalah perasaan normal bagi mana-mana manusia? Perasaan sedih ini kadangkala tidak mampu kita kawal. Maka maksud Allah ﷻ adalah jangan bersedih keterlaluan sehingga mengganggu sangat perasaan baginda dan mengakibatkan baginda tidak dapat menjalankan kerja dakwah, dan sehingga boleh menyebabkan baginda sakit dan sebagainya. Sedih sikit-sikit itu biasalah. Biasalah manusia ini hatinya lembut seperti sabda Rasulullah ﷺ:
Janganlah dibiarkan perasaan sedih kita berlarutan sehingga memakan diri kita sendiri. Perasaan sedih yang keterlaluan boleh menyebabkan kehidupan kita terganggu. Ia boleh menyusahkan hidup pula apabila hilang fokus untuk melakukan sebarang pekerjaan. Tambahan pula syaitan amat suka kalau kita bersedih dan merekalah antara sebab manusia bersedih seperti disebut dalam Mujadilah:10
إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudarat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.

Syaitan mahu kita bersedih supaya kita lemah semangat untuk berdakwah. Ramai yang sentap dan patah semangat ketika sering ditolak sampai meninggalkan terus dakwah. Maka syaitanlah yang menang. Oleh itu jangan hiraukan mereka yang menentang itu tetapi fokus kepada tujuan utama kita iaitu menjaga agama dan teruskan beribadah seperti disebut dalam Hijr: 97-99
وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ
Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahwa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,
فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِنَ السّاجِدينَ
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),
وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).
Ini kerana apabila kita fokus pada ibadah dan buat hal kita, maka kita tidaklah terlalu melayan perasaan sangat. Yang menjadi masalah jika difikir-fikir perasaan orang, kata-kata nista daripada orang. Perbuatan sebegitu hanyalah membuang masa sahaja kerana tidak mampu untuk mengawal apa yang mereka rasa dan kata. Maka kita kena alihkan fikiran kita kepada perkara lain.
Ayat ini juga mengajar kita supaya mengawal perasaan kita jangan sampai menyusahkan diri. Walaupun perasaan tidak boleh dihilangkan, namun haruslah berusaha agar dapat dibendung. Contohnya samalah juga untuk perasaan marah. Bukannya mudah untuk kita hilangkan begitu sahaja. Semua manusia ada perasaan marah, yang itdak ada rasa marah itu lembu, bukannya manusia. Namun begitu janganlah marah sangat sampai kita membuat perkara di luar batasan pula. Tiada pihak yang mendapat keuntungan akibat daripada perasaan marah. Disebabkan rasa marah keterlaluan akibatnya amat buruk sekali sehingga mungkin ada nyawa boleh melayang.

إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
kerana sesungguhnya segala kemuliaan itu milik Allah seluruhnya;
Kenapa tidak perlu bersedih? Kerana kemuliaan milik Allah ﷻ. Maksud الْعِزَّةَ adalah القَهرُ (mengatasi), الغَلَبَة (mengalahkan), القُوَّة (kekuatan) dan المَنْعَة (menghalang). Tidak perlu bersedih kerana semua ini ada pada Allah ﷻ, maka para musuh tidak dapat menghalang dan mengalahkan baginda.
Mereka yang menentang itu hendak menghina kita tetapi ingatlah yang kemuliaan yang sebenarnya milik Allah ﷻ. Apabila kita dihina dan dikeji, mungkin kita akan ada rasa terhina, kita rasa kita tidak dihormati. Apa Allah ﷻ kata dalam ayat ini? Kekuasaan dan kemuliaan itu memang milik Allah ﷻ. Sepenuhnya milik Allah ﷻ dan bukannya pada tangan manusia dan bukan juga milik kita. Jangan kita rasa yang kita hilang sesuatu apabila orang menghina kita.
Golongan penentang sangka mereka hebat, kuat, berkuasa, ada kemuliaan. Akan tetapi Allah ﷻ beritahu yang mereka itu tersilap. Kemuliaan sebenarnya milik Allah ﷻ semuanya (جَمِيعًا) dan Allah ﷻ boleh beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah ﷻ beri kemuliaan kepada Rasulullah ﷺ dan golongan mukmin seperti disebut dalam Munafiqoon:8. Maka jangan takut, jangan sedih, tetapi kuatkanlah semangat kerana kebenaran di tangan kita.
يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ
Mereka (golongan munafik) berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang rendah daripadanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.
هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
Allah ﷻ Maha mendengar apa yang orang ingkar itu kata kepada kita dan Allah ﷻ tahu apa perasaan kita. Allah ﷻ pujuk Rasulullah ﷺ dan para pendakwah Tauhid dengan memberitahu yang Dia mendengar segalanya termasuk kata-kata penentang dan keluhan hati kita. Dari segi psikologi, kalau orang yang kita hormati tahu apa yang kita lalui, maka akan berkuranglah sedih kita, bukan? Tambahan pula kalau Allah ﷻ yang sebut seperti di dalam An’am:33
قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ
Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.
Bagi kita pula, dengan kisah-kisah ini sepatutnya memberi semangat kepada kita. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun dihina dan dicaci maki apatah lagi kita orang biasa yang hendak menyebarkan dakwah ini.
Yunus Ayat 66: Dalil Aqli tentang kemuliaan Allah ﷻ. Dalam ayat sebelum ini disebut kemuliaan milik Allah ﷻ , sekarang dijelaskan lagi kenapa Allah ﷻ mulia.
أَلا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ ۗ وَما يَتَّبِعُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ شُرَكاءَ ۚ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِن هُم إِلّا يَخرُصونَ
Unquestionably, to Allah belongs whoever is in the heavens and whoever is on the earth. And those who invoke other than Allah do not [actually] follow [His] “partners.” They follow not except assumption, and they are not but falsifying
Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.
أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّمٰوٰتِ
Ingatlah! Sesungguhnya milik Allah segala yang ada di langit
Allah ﷻ memiliki sesiapa yang ada di langit. Langit itu kepunyaan Allah ﷻ dan apa dan siapa sahaja yang berada di langit itu, Allah ﷻ yang punya. Kita pun tidak tahu apakah makhluk yang hidup di langit itu melainkan para malaikat. Namun tentunya ada lagi makhluk-makhluk lain yang akal kita tidak dapat capai. Bukankah para malaikat itu tentera Allah ﷻ? Ini seperti disebut dalam Fath:7
وَِللهِ جُنودُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi.
Bila-bila masa sahaja Allah ﷻ boleh mengarahkan para malaikat untuk memusnahkan musuh-Nya dan musuh umat Islam. Ini seperti disebut dalam Anfal:12. Maka Rasulullah ﷺ tidak perlu risau dan sedih kerana hanya Allah ﷻ berkuasa untuk memberi kemenangan kepada baginda.
إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا ۚ سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ
(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.
Sesungguhnya tentera Allah ﷻ pasti menang seperti disebut dalam Saaffat:173
وَإِنَّ جُندَنا لَهُمُ الغٰلِبونَ
Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti menang,
وَمَن فِي الْأَرْضِ
dan yang ada di bumi
Allah ﷻ juga memiliki sesiapa saja yang ada di bumi. Begitu banyaknya makhluk yang hidup di bumi, para saintis pun belum sempat untuk mengkatalog segalanya secara lengkap. Malah ada spesis yang baru menjelma yang dulu tidak ada. Maka amatlah banyak makhluk di bumi dan semuanya milik Allah ﷻ belaka, termasuklah kita.
Termasuk yang dimiliki adalah para penentang itu. Semua tindakan mereka di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh musnahkan mereka pada bila-bila masa dengan tentera-Nya. Kalau di langit, tentera Allah ﷻ adalah para malaikat, maka di bumi tenteranya adalah golongan Mukmin. Allah ﷻ boleh beri kemenangan kepada golongan Mukmin untuk mengalahkan golongan kafir.
وَمَا يَتَّبِعُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ شُرَكَاءَ
dan mereka yang menyembah sesuatu yang selain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut yang mereka sembah itu
Ada dua tafsiran tentang potongan ayat ini:
- Ini adalah jikalau ما yang bermaksud ‘apa’. Iaitu apa-apa yang golongan musyrik sembah sebagai ilah-ilah selain Allah ﷻ yang mereka anggap sebagai ‘sekutu-sekutu’ Allah ﷻ. Namun tidaklah sembahan-sembahan mereka itu sama taraf ataupun sekutu kepada Allah ﷻ sebenarnya kerana mereka tidak memiliki apa-apa pun di langit dan di bumi. Malah apa-apa yang mereka sembah itu sebenarnya tidak ada. Maka tentulah mereka tidak memiliki apa-apa. Cubalah fikirkan sendiri apakah faedahnya?
- Ini adalah jikalau ما yang bermaksud ‘tidaklah’. Yang menyembah selain Allah ﷻ itu tidaklah mengikut apa yang disuruh oleh sembahan mereka itu kerana sembahan itu bukanlah boleh bercakap pun. Yang jadi ‘jurucakap’ bagi berhala itu hanyalah tok sami/pendita. Mereka sahaja yang cakap ‘oh hari ini berhala suruh sembelih kambing’, ‘berhala suruh korbankan anak dara tahun ini’, ‘berhala nak makan nasi beriyani’, dan sebagainya.
- Tafsir lain: mereka bukan ikut pun Nabi, wali dan malaikat yang diseru itu. Contohnya yang seru Nabi Muhammad ﷺ, bukan ikut ajaran baginda pun; yang menyeru wali, mereka bukan mengikut pun amalan para wali itu. Mereka sahaja perasan mereka ikut Nabi dan wali itu.
إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ
mereka hanya menurut sangkaan semata-mata,
Mereka sahaja yang menganggap ada entiti lain yang mempunyai kuasa yang sama seperti Allah ﷻ. Akan tetapi entiti yang mereka sembah itu tidak wujud seperti berhala-berhala itu. Mereka tidak ada dalil pun melainkan sangkaan mereka sahaja. Mereka percaya sahaja kata-kata orang sebelum mereka, orang ramai, tok sami mereka, tok dukun dan sebagainya.
Mereka sahaja sangka mereka ikut ajaran Nabi, wali dan malaikat itu tetapi tidak sebenarnya.
وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.
Mereka hanya agak-agak sahaja tanpa mempunyai dalil bukti. Perkataan يَخْرُصُونَ berasal daripada katadasar خ ر ص yang bermaksud menipu, buat agakan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, sangkaan, spekulasi, memalsukan. Pada zaman dahulu ia merujuk kepada perbuatan mengagak bilangan buah kurma di atas pokok untuk dijual. Sebelum pokok itu berbuah, mereka sudah anggarkan berapa banyak buah yang pokok itu akan keluarkan. Mereka yang melakukan begitu hanya mengira dengan sekadar anggaran sahaja.
Kaedah anggaran sebegitu hanya terpakai untuk mengira buah yang ada pada pokok. Namun ingatlah yang dalam agama tidak boleh agak-agak begitu, tetapi hujah agama memerlukan dalil dan bukti yang sahih. Bila tidak ada dalil bukti, maka mereka mulalah menipu kerana خ ر ص juga bermaksud menipu. Itulah bahayanya apabila menilai perkara agama tanpa dalil yang sahih.
Malangnya begitulah kebanyakan manusia, main agak-agak dan percaya sahaja kata orang. Dari dulu sampailah sekarang seperti firman Allah ﷻ dalam Baqarah:78
وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain daripada penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
Ini amat bahaya kerana kita sepatutnya kena tahu dalil. Beramal kena ada dalil yang sahih. Malang sekali sekarang umat manusia malas belajar. Mereka menggunakan pandangan sempit yang mengatakan orang awam tidak memerlukan dalil, mereka harus terima sahaja kata-kata ulama’. Masalahnya kalau begitu, orang awam belum tentu selamat. Bagaimana sekiranya kata-kata ulama’ yang diikut itu sesat (ulama’ suu’)? Hanya kerana dia malas bertanyakan dalil, malas untuk mengambil tahu lebih sedikit tentang hal agama ini. Padahal dalil itu amat penting, kerana ia menentukan tempat sama ada di syurga atau neraka. Adakah kita sanggup memperjudikan nasib kita di akhirat kelak?
Semenjak awal Tok Adam kita diturunkan di bumi pun Allah ﷻ sudah mengingatkan kita untuk hanya mengikut hidayah daripada-Nya. Hidayah itu pula memerlukan dalil. Jika kita hanya mengikut dalil hidayah, barulah selamat di dunia dan akhirat. Ini Allah ﷻ sebu dalam Baqarah:38
قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِّنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 16 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
