ALLAH ﷻ SENTIASA DEKAT DENGAN KITA
Baqarah Ayat 186: Ini adalah ‘bonus’ yang diberikan Allah ﷻ dalam bulan Ramadhan. Ia adalah jenis Jumlah Mu’taridah iaitu Allah ﷻ selit tentang hal lain sebagai penekanan kepada kita di mana dalam topik tentang puasa, tiba-tiba tentang doa pula. Banyak manusia yang salah faham tentang perkara ‘doa’ ini maka kita kena betulkan pemahaman mereka. Ia sebenarnya tidak lari jauh daripada topik puasa pun kerana Allah ﷻ hendak kita mengambil peluang ketika sedang berpuasa. Oleh itu ayat ini ada hubungan kita dengan puasa tetapi di dalamnya tidak disebutkan tentang puasa.
وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
And when My servants ask you, [O Muhammad], concerning Me – indeed I am near. I respond to the invocation of the supplicant when he calls upon Me. So let them respond to Me [by obedience] and believe in Me that they may be [rightly] guided.
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي
Dan apabila ditanya kepada kamu oleh hamba-hamba-Ku tentang diri-Ku;
Allah ﷻ menggunakan kalimah إِذَا yang bermakna ‘apabila’. Allah ﷻ tidak menggunakan perkataan ‘jika’. Ini bermakna, Allah ﷻ sudah berharap yang hamba-Nya akan bertanya tentang Diri-Nya.
Allah ﷻ mengatakan kita ini adalah عِبَادِي (hamba-Ku) yang bermaksud kita ini semua hamba-Nya. Semua makhluk adalah hamba-Nya sama ada mereka mengaku atau tidak. Namun ayat ini memberi penghormatan kepada mereka yang mengaku sebagai hamba-Nya. Allah ﷻ menggelar mereka: ‘hamba-Ku’. Iaitu mereka yang beriman dengan-Nya. Ini adalah kedudukan yang terpuji. Ini kita dapat tahu kerana kalimah yang digunakan adalah عِباد iaitu jamak kepada عَبدٌ (hamba). Ada jamak lain iaitu عَبيد akan tetapi ia tidak sama dengan عِباد kerana عِباد bermaksud hamba-hamba yang taat sedangkan عَبيد bermaksud hamba-hamba yang bergelumang dengan dosa.
Apakah yang dimaksudkan ‘bertanyamu tentang Aku’? Ada ulama’ yang mengatakan pertanyaan ini adalah: Di manakah Allah ﷻ?
Ada juga yang kata ia adalah: tentang Allah ﷻ. “Adakah Allah ﷻ dekat dengan kita atau jauh? Adakah Allah ﷻ dekat, jadi kita hanya berbisik sahaja? Atau adakah Allah ﷻ jauh sampaikan bila kita hendak bercakap dengan-Nya kita kena bercakap dengan kuat?”
Ada yang kata, ini adalah soalan daripada seorang Badwi kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang perkara itu. Jawapan yang diberikan adalah dalam bahagian selepas ini, iaitu Allah ﷻ jawab yang Dia adalah dekat.
Maka di sini Allah ﷻ mengajar kita yang Allah ﷻ akan iktiraf seseorang itu sebagai عِباد (hamba-hamba yang baik) kalau bertanya tentang Allah, hendak tahu tentang Allah. Maka kita kena belajar tentang Allah. Terutama sekali dalam bab doa kerana sudah tentu kita hendak doa kita dimakbulkan. Persoalannya, bagaimanakah caranya? Maknanya mereka tanya kepada sumber yang sahih iaitu kepada Rasulullah ﷺ sendiri tentang Allah ﷻ dan tentang cara berdoa. Bukannya tanya tok guru dan tok syeikh yang merapu.
فَإِنِّي قَرِيبٌ
Sesungguhnya Aku dekat;
Tidak perlu bimbang tentang adakah Allah ﷻ dengar atau tidak doa kita itu. Kita hanya perlu doa sahaja. Allah ﷻ itu lebih dekat daripada manusia yang kita sangka boleh tolong kita. Janji kita minta sahaja kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ pasti dengar dan akan sahut.
Jawapan ini penting, kerana apabila kita minta pertolongan, mestilah dengan orang yang dekat, bukan? Sekarang, adakah kita dekat dengan Allah ﷻ? Kalau jauh, nanti Allah ﷻ tidak dengar pula doa kita, bukan? Mulalah timbul akidah hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ menggunakan perantaraan pula (tawassul) seperti yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ sebut pemahaman cetek mereka di dalam Zumar: 3
وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain daripada Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,
Jadi kita boleh perhatikan bahawa golongan Musyrikin Mekah itu berniat baik, iaitu hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Akan tetapi Allah ﷻ tetap tegur mereka dan gelar mereka sebagai golongan jahiliyyah kerana cara mendekatkan diri itu salah. Maka begitulah juga golongan safih (kurang akal) di dalam umat Islam pun, mereka sangka Allah ﷻ jauh dan cara untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ adalah dengan menggunakan perantara (wasilah) atau kita boleh katakan sebagai ejen, broker dan orang tengah. Nah, sekarang di dalam ayat Baqarah ini Allah ﷻ sebut yang Dia dekat sebenarnya, jadi apa perlu lagi kepada ejen dan broker?
Lihatlah Allah ﷻ jawab sendiri pertanyaan itu. Allah ﷻ tidak tambah perkataan قُلْ (katakanlah) di awal jawapan-Nya itu. Kalau ada perkataan قُلْ, bermakna Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ yang jawab. Memang ada ketikanya dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ yang jawab. Namun apabila Allah ﷻ sendiri yang jawab, bermakna ia adalah lebih istimewa kerana Allah ﷻ sendiri hendak jawab kepada kita. Ini juga adalah isyarat tidak ada tawassul (perantaraan) dalam doa kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ jawab sendiri, Allah ﷻ tidak suruh Nabi Muhammad ﷺ yang jawabkan. Maknanya, ada talian terus dengan Allah ﷻ dalam doa. Allah ﷻ beritahu Dia dekat, jadi apa perlunya lagi menggunakan perantara?
Allah ﷻ memberitahu kepada kita dalam ayat ini bahawa Dia sangat hampir dengan kita. Maksud ‘dekat’ itu adalah dari segi ‘pengetahuan’ dan ‘pendengaran’-Nya. Bukanlah bermaksud Allah ﷻ dekat dari segi fizikal dengan kita. Tidaklah Allah ﷻ duduk di sebelah kita dan tidaklah Allah ﷻ berada di mana-mana seperti fahaman sesat. Kalau sekarang kita boleh bandingkan dengan kita hendak bercakap dengan seseorang melalui telefon. Tidak kira jauhnya di mana, tetapi kita boleh bercakap-cakap dengannya seolah-olah dia dekat sahaja, bukan? Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Waqiah: 85
وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِنكُم وَلٰكِن لّا تُبصِرونَ
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,
Oleh itu, tidak perlu bercakap kuat dengan Allah ﷻ. Tidak perlu doa dengan suara yang kuat, menggunakan speaker dan sebagainya. Tidak perlu hendak menjerit-jerit dalam doa dan zikir. Kalau sesiapa yang berjinak dengan tarekat, guru tarekat akan beritahu yang kita kena berzikir dengan kuat kerana kita jauh daripada Allah ﷻ. Itu sudah berlawanan dengan ayat Allah ﷻ ini. Ajaran tarekat memang pandai reka fahaman baru.
Ada sebuah hadith dalam Sahih Bukhari tentang perkara ini:
عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ أَخَذَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عَقَبَةٍ أَوْ قَالَ فِي ثَنِيَّةٍ قَالَ فَلَمَّا عَلَا عَلَيْهَا رَجُلٌ نَادَى فَرَفَعَ صَوْتَهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ قَالَ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى بَغْلَتِهِ قَالَ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا مُوسَى أَوْ يَا عَبْدَ اللَّهِ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَلِمَةٍ مِنْ كَنْزِ الْجَنَّةِ قُلْتُ بَلَى قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Daripada Abu Musa Al Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata; “Nabi ﷺ pernah lalu di suatu bukit atau berkata; di suatu lembah, tatkala (keadaan jalan) agak naik, salah seorang berseru sambil mengangkat suaranya; “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, Allah Maha Besar).” Abu Musa رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ melanjutkan; ‘Ketika itu Rasulullah ﷺ tengah berada di atas haiwan tunggangannya, lalu baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Dzat yang tuli dan jauh.’ Kemudian baginda bersabda: ‘Wahai Abu Musa, -atau- wahai Abdullah, mahukah aku tunjukkan kepadamu suatu kalimat yang termasuk daripada perbendaharaan syurga? ‘Aku menjawab; ‘Tentu.’ Baginda bersabda: katakanlah ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ’ Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah.’
(Sahih Bukhari No. 5390)
Maka berdoalah dengan beradab dan suara yang lembut dan perlahan kerana Allah ﷻ tidak jauh pun. Begitulah firman Allah ﷻ di dalam A’raf: 55
ادعوا رَبَّكُم تَضَرُّعًا وَخُفيَةً ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
Lihatlah bagaimana cara doa Nabi Zakariya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila baginda berdoa (dan doa baginda dimakbulkan, bukan?) di dalam Maryam: 3
إِذ نادىٰ رَبَّهُ نِداءً خَفِيًّا
(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.
Ayat Baqarah:186 ini juga memberitahu kita bahawa kita boleh berdoa terus dengan Allah ﷻ. Tidak memerlukan perantaraan atau yang dinamakan ‘tawassul’. Ini adalah salah satu salah faham manusia. Mereka sangka Allah ﷻ jauh, maka perlukan wasilah dalam berdoa. Malah yang lebih penting lagi, jangan istighasah kepada selain Allah ﷻ. Ini adalah kesesatan nyata yang ramai umat Islam sedangkan lakukan kerana jahil wahyu. Sedangkan Allah ﷻ suruh kita berdoa terus kepadanya seperti disebut di Ghafir: 60
وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
Kenapa kita tidak mahu terus sahaja berdoa kepada Allah ﷻ? Sedangkan Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita. Apa yang kita cakap, dalam sebutan atau dalam hati kita pun. Kalau kita tidak sebut pun Allah ﷻ tahu apa yang kita kehendaki tetapi Allah ﷻ suka kalau kita cakap sendiri dan mengadu kepada-Nya.
Allah ﷻ memasukkan pemberitahuan tentang doa ini dalam ayat berkenaan Ramadhan. Ini menunjukkan kita paling hampir dengan Allah ﷻ dalam bulan Ramadhan. Jadi ayat ini tentang doa kepada Allah ﷻ dan jikalau seseorang itu dekat, senang untuk kita bercakap dengannya. Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan doa kepada-Nya dalam bulan Ramadhan.
Kalau kita lihat bahagian pertama, Allah ﷻ dekat apabila kita ‘bertanyakan’ tentang Diri’-Nya. Bermakna, apabila kita hendak ambil tahu tentang Allah ﷻ, Allah ﷻ akan mendekatkan Diri-Nya dengan kita. Maka ini memberitahu kepada kita yang kita kena belajar untuk mengenal Allah ﷻ. Untuk mengenal Allah ﷻ, kenalah dengan belajar Sifat-sifat Allah ﷻ yang disebutnya dalam Al-Qur’an, bukannya dengan belajar Sifat 20 (yang memeningkan). Yang kita kena belajar adalah Asmaul Husna, bukannya belajar Sifat 20. Maka ayat ini bukan hanya tentang doa sahaja. Namun ia juga adalah penerangan tentang Allah ﷻ. Dalam soalan ini, soalan itu bukan ‘di mana Allah ﷻ?’, tetapi ‘tentang‘ Allah ﷻ. Jadi, jawapan yang Allah ﷻ berikan adalah Dia dekat.
Kerana itu penting untuk berusaha mendapatkan taqwa. Sebab kita masih dalam isu taqwa lagi. Surah Baqarah banyak menyebut tentang taqwa. Kalau kita tahu Allah ﷻ dekat, kita takut atau malu untuk berbuat salah. Jadi kita sentiasa ingat bahawa Allah ﷻ sentiasa dekat. Apabila dekat, maknanya tentulah Allah ﷻ sentiasa melihat apa sahaja yang kita lakukan, bukan?
Ada satu penjelasan yang perlu diulang di sini. Apabila dikatakan Allah ﷻ itu ‘dekat’, bukanlah Allah ﷻ itu dekat dari segi fizikal, tetapi dari segi Ilmu Allah ﷻ – Allah ﷻ mendengar dan melihat apa yang kita lakukan. Ini hendak menolak pemahaman puak yang sesat yang mengatakan Allah ﷻ ada di mana-mana. Ini adalah fahaman yang tersasar jauh daripada pemahaman salafussoleh.
Allah ﷻ sudah kata Dia dekat, maka apa yang kita kena lakukan adalah dengan mendekatkan lagi diri kita dengan-Nya.
أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Aku menyahut doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku;
Allah ﷻlah sahaja yang layak dan mampu untuk terima doa makhluk-Nya. Allah ﷻ sahaja yang boleh menyempurnakan doa. Tidak ada entiti lain lagi selain daripada-Nya. Allah ﷻ kata دَعَانِ (berdoa kepada-Ku) jadi jangan doa kepada selain-Nya, sama ada dalam bentuk tawasul atau dalam bentuk istighasah. Kita boleh faham dengan penggunaan kalimah دَعَانِ yang bermaksud berdoa kepada-Ku. Maknanya hanya kepada Allah ﷻ sahaja, tidak ada bersangkut dengan pihak yang lain. Allah ﷻ tidak guna kalimah دعانا yang memberi isyarat ada keterlibatan lain. Maka mengarut sahaja penggunaan tawasul dan istighasah kepada selain Allah ﷻ kerana itu adalah doa yang berkongsi antara doa kepada Allah ﷻ dan permintaan kepada selain Allah ﷻ. Yang Allah ﷻ suruh doa terus dan hanya kepada-Nya sahaja, namun malang sekali golongan sesat memang tidak faham perkara ini. Begitulah apabila sudah jauh daripada ajaran wahyu.
Kalau belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan lebih prihatin tentang penggunaan bahasa oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Ada ketika Allah ﷻ gunakan istilah ‘Kami’ dan ada ketika Allah ﷻ gunakan istilah ‘Aku’. Istilah ‘Aku’ digunakan apabila hanya Allah ﷻ sahaja yang melakukannya seperti digunakan di dalam Sad: 75 tentang penciptaan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Allah ﷻ sendiri jadikan.
قالَ يٰإِبليسُ ما مَنَعَكَ أَن تَسجُدَ لِما خَلَقتُ بِيَدَيَّ
Allah berfirman: “Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku.“
Perkataan أُجِيبُ (Aku menjawab) yang digunakan dalam ayat ini bermaksud Allah ﷻ menyahut dengan segera, terus menyahut doa kita. Awal-awal lagi Allah ﷻ sudah sebut yang Dia akan jawab dengan segera. Allah ﷻ tidak kata yang Dia ‘akan’ jawab – kerana itu menunjukkan mungkin lama lagi Allah ﷻ akan jawab. Tidak begitu. Allah ﷻ kata Dia jawab terus. Apabila kita berdoa, kita berharap semoga Allah ﷻ dengar doa kita. Nah, sekarang Allah ﷻ sudah beritahu bahawa Dia memang dengar dan akan terus terus menjawab doa kita itu. Oleh itu, yakinlah yang Allah ﷻ mendengar segala doa kita. Kita kena yakin yang Allah ﷻ mendengar doa kita, kalau kita tidak ada keyakinan itu, doa itu tidak akan makbul. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.”
(Jami’ Tirmidzi No. 3479, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) Syaikh Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith ini hasan
Apabila Allah ﷻ tambah إِذَا دَعَانِ (apabila dia berdoa), itu bermaksud tiada had masa. Bila-bila sahaja Allah ﷻ akan jawab. ‘Apabila’ kita berdoa sahaja, Allah ﷻ akan menyahut. Tidak perlu melalui proses-proses tertentu, upacara tertentu macam kena buat Majlis Doa Selamat, Solat Hajat dan sebagainya. Itu semua adalah bid’ah sahaja. Itu adalah rekaan puak-puak yang hendak minta upah daripada orang yang hendak buat majlis itu. Itu semua buang duit sahaja. Kalau kita ada hajat, maka teruslah berdoa terus kepada Allah ﷻ. Tidak perlu tunggu apa-apa lagi.
Allah ﷻ menggunakan perkataan الدَّاعِ yang mengandungi huruf alif lam. Apabila ada alif lam, ini menunjukkan sesuatu perkataan itu adalah khusus. Ini menunjukkan orang yang berdoa itu adalah orang yang dianggap istimewa oleh Allah. الدَّاعِ adalah sesiapa sahaja yang berdoa kepada Allah ﷻ. Ramai orang yang tidak berdoa dengan Allah ﷻ, tetapi mereka yang berdoa terus kepada Allah ﷻ adalah istimewa sekali.
Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh terima doa, tidak ada entiti lain yang boleh buat sebegitu. Oleh itu tidak boleh berdoa melalui perantaraan seperti Solat Hajat berjama’ah yang selalu dibuat masyarakat kita itu. Sikit-sikit Solat Hajat. Itu semua adalah perbuatan salah sangka kepada Allah ﷻ – kerana mereka rasa Allah ﷻ tidak menerima doa mereka kalau tidak buat Solat Hajat. Padahal dalam ayat ini, Allah ﷻ kata Dia dekat dengan kita. Oleh itu ketahuilah yang tidak ada amalan Solat Hajat berjama’ah dalam Islam. Kalau hendak berdoa, lepas solat yang biasa kita buat, sama ada solat fardhu atau solat sunat, boleh terus berdoa kepada Allah ﷻ. Tidak perlu diberi nama ‘Solat Hajat’ pun boleh berdoa juga kerana apabila diberikan nama kepada solat itu, manusia akan mereka-reka apakah amalan yang termasuk dalam solat itu. Iaitu mulalah mereka akan tanya apakah surah untuk dibaca dalam raka’at pertama, raka’at kedua dan apakah doa yang hendak dibaca dan sebagainya. Itu semua adalah rekaan sahaja kerana Nabi ﷺ tidak mengajar Solat Hajat kepada umatnya. Nabi ﷺ suruh kita berdoa dalam solat dan tidak kira solat apa-apa pun. Dalil-dalil yang diberi untuk menghalalkan Solat Hajat itu adalah amat lemah sekali. Maka dalil-dalil itu tidak boleh dipakai. Yang ada hanya solat sunat biasa sahaja.
Kita kenalah berdoa terus kepada Allah ﷻ sahaja. Kenapa hendak berdoa melalui perantaraan lain lagi, sedangkan Allah ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini bahawa Dia adalah dekat dan Dia akan jawab sendiri doa-doa kita? Tidak ada Nabi, tidak ada wali dan tidak ada Malaikat yang boleh sahut doa. Betapa malang ada ajaran sesat yang mengajar bermacam-macam ajaran salah, sampai ada sekolah tahfiz mengajar anak muridnya untuk beri salam kepada Tok Kenali supaya dengan berkat Tok Kenali, mudah hafal Al-Qur’an. Itu adalah syirik kepada Allah ﷻ; dan ada yang jual air yang telah didoakan supaya apabila pelajar minum, boleh jadi cerdik. Itu semua daripada ajaran sesat belaka. Pelajar bukan Islam tidak minum pun air penerang hati tok guru dan mereka lebih pandai pula daripada orang kita. Tidak pelikkah begitu?
Dalam ayat ini, Allah ﷻ kata kalau berdoa kepada-Nya, Allah ﷻ akan jawab setiap kali manusia meminta. Tidak kira siang atau malam. Bukan macam manusia – kadang kalau kita telefon orang, belum tentu mereka akan jawab panggilan kita. Ini menunjukkan Allah ﷻ meluangkan masa untuk kita. Alangkah hebatnya dan alangkah sayangnya Allah ﷻ kepada kita. Bandingkan kalau di dunia ini: Katakanlah kita ada ketua syarikat. Semakin tinggi kedudukan bos itu dan semakin rendah kedudukan kita, semakin kurang peluang untuk dapat bercakap-cakap dengan bos besar kita itu. Namun tidak dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh menyahut panggilan kita pada bila-bila masa sahaja. Dengan Allah ﷻ, iaitu Dzat yang paling tinggi boleh berkomunikasi dengan yang paling rendah. Walaupun Allah ﷻ yang paling tinggi dan kita yang berpangkat hamba sahaja.
Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Jangan malu hendak minta kepada Allah ﷻ. Ada orang yang malu hendak minta syurga kepada Allah ﷻ kerana mereka rasa mereka banyak dosa dan mereka rasa mereka tidak layak masuk syurga. Jangan begitu, kenalah kita minta masuk syurga dan kena minta masuk syurga yang paling tinggi sekali – Syurga Firdaus.
Allah ﷻ menggunakan perkataan دَعْوَةَ yang dari segi nahu bermaksud ‘satu doa’ sahaja. Tidak perlu banyak kali doa, sekali doa sahaja Allah ﷻ sudah boleh jawab. Tambahan pula kalau banyak kali. Ini juga bermaksud, tidak ada syarat untuk Allah ﷻ membalas doa kita. Katakanlah kita ini orang yang banyak dosa, pun Allah ﷻ tidak tolak doa kita itu. Allah ﷻ masih lagi akan jawab doa kita. Tidak perlu kita menggunakan perantaraan dalam doa kita kerana kita takut Allah ﷻ tidak dengar doa kita. Ketahuilah, Allah ﷻ dengar doa kita. Dia hendak sangat kita doa kepada-Nya.
Satu lagi maksud perkataan الدَّاعِ adalah ‘pendoa’. Bermaksud sesiapa sahaja yang berdoa. Tidak semestinya orang yang berdoa itu orang alim, orang yang kuat ibadat, orang yang selalu solat, orang yang selalu ke masjid, tidak. Sebab salah faham beginilah yang menyebabkan orang kita apabila hendak doa, mereka akan minta orang lain doakan. Mereka akan minta ‘orang surau’ datang berdoa. Maka, mereka buat majlis ‘Doa Selamat’ di rumah mereka dan panggil orang surau datang untuk mendoakan untuk mereka. Itu semua adalah salah faham dengan konsep doa. Jangan kita sangka doa kita tidak didengari oleh Allah ﷻ kalau kita doa sendiri. Jangan begitu, jangan kita buruk sangka dengan Allah ﷻ. Itu adalah buruk sangka kerana Allah ﷻ tidak pernah kata Dia akan tolak doa kita kalau kita banyak dosa. Itu adalah salah sangka kita sahaja kepada Allah ﷻ dan kerana telah diajar oleh guru-guru yang sesat. Merekalah yang memandai kata Allah ﷻ tidak dengar doa orang yang berdosa. Mereka ajar begitu supaya kita minta mereka doakan untuk kita dan mereka akan minta upah untuk doakan bagi pihak kita. Mereka hendakkan habuan dunia sebenarnya. Semua berkenaan duit juga, akhirnya. Mereka sendiri agaknya tidak kenal Allah ﷻ, sampaikan mereka boleh ajar benda-benda begitu. Maka kita sebenarnya tidak perlu pun cari ‘orang soleh’ untuk mendoakan bagi pihak kita. Berdoalah sendiri kerana doa kita lebih ikhlas daripada sesiapa yang lain pun.
Perhatikan susunan potongan ayat ini: Allah ﷻ sebut أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ (Aku menyahut doa pendoa) dahulu sebelum sebut إِذَا دَعَانِ (apabila dia berdoa kepada-Ku). Maknanya Allah ﷻ sebut dulu yang Dia dengar doa sebelum disebut tentang perbuatan doa. Ini memberi isyarat sebelum kita berdoa lagi Allah ﷻ telah sudi mendengar doa kita, sedang menunggu-nunggu doa kita. Kesudian Allah ﷻ lebih cepat daripada perbuatan kita sendiri. Hebat, bukan?
Ayat ini dengan jelas menceritakan tentang doa dan bagaimana Allah ﷻ akan menjawab doa itu. Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi berdasarkan ayat ini untuk Allah ﷻ mendengar dan menjawab doa kita.
1. Doa itu perlu ikhlas. Hanya kepada Allah ﷻ sahaja.
2. Doa dilakukan dengan sedar. Faham apa yang kita doa.
3. Doa dengan merendahkan diri. Mengharap sangat dengan Allah ﷻ. Kita kena kecilkan diri kita.
4. Berdoa dalam keadaan takut dengan Allah ﷻ dan juga dalam keadaan hormat kepada Allah ﷻ. Kadang-kadang kita minta dengan orang, kita tidak hormat kepada mereka. Jangan kita buat begitu dengan Allah ﷻ. Jangan kata: “Ya Allah, kami sudah banyak solat, berilah apa yang kami minta ini.”
5. Doa yang sesuai. Janganlah seorang perempuan berdoa minta hendak jadi Perdana Menteri pula. Itu tidak sesuai. Doa itu juga bukanlah perkara untuk berbuat dosa.
فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي
maka hendaklah mereka cuba untuk menyahut-Ku;
Hendaklah mereka cuba menyahut seruan iman daripada Allah ﷻ. Ikutlah apa sahaja yang Allah ﷻ suruh kita buat. Taatlah kepada Allah ﷻ. Taat itu mesti hanya kepada Allah ﷻ kerana kalimah yang digunakan di sini adalah لي yang boleh bermaksud ‘milik-Ku sahaja’, atau ‘hanya kepada-Ku’. Kalau kita mahu Allah ﷻ menyahut doa kita, maka hendaklah kita menyahut seruan Allah ﷻ, arahan Allah ﷻ. Bukannya pergi cari syeikh itu dan ini, kubur itu dan ini, wali itu dan ini, orang soleh itu dan ini dan minta kita doakan bagi pihak kita. Sebaliknya kita sendiri kena perbaiki amalan kita sendiri. Sayidina Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ …
Kemudian dia (Nabi ﷺ) menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya daripada barang yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan diberi makan daripada yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?”
(Sahih Muslim No. 1015)
Lihatlah bagaimana ayat ini menggunakan pilihan perkataan. Apabila Allah ﷻ menyebut Dia jawab, Dia gunakan perkataan أُجِيبُ, yang bermaksud Dia akan terus jawab. Namun apabila menyebut tentang kita, Allah ﷻ menggunakan perkataan فَلْيَسْتَجِيبُوا, yang bermaksud dari segi nahwu, ‘cubalah’ untuk menyahut seruan-Nya. Allah ﷻ suruh kita buat seboleh mungkin sahaja kerana Allah ﷻ tahu betapa lemahnya kita.
Oleh yang demikian, ayat ini adalah antara cara-cara berdoa yang diajar sendiri oleh Allah ﷻ. Memang banyak disebut tentang adab-adab doa ini, antaranya [Anbiya’: 90 ]
إِنَّهُم كانوا يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَيَدعونَنا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكانوا لَنا خٰشِعينَ
Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.
Maknanya inilah tawassul yang dibenarkan iaitu dengan menggunakan amal kebaikan yang kita lakukan. Sebagai contoh, sedekah dan kemudian berdoa dan begitulah contoh yang diajar di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi. Maka ambil peluang di bulan Ramadhan ini untuk memperbanyakkan doa kerana siang hari kita berpuasa dan di malam hari kita beribadah lagi seperti Solat Terawih.
وَلْيُؤْمِنُوا بِي
dan hendaklah beriman kepada-Ku;
Ayat ini bermakna hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻlah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Ayat ini juga bermaksud, hendaklah mereka yakin bahawa Allah ﷻ telah mendengar doa mereka. Percaya yang Allah ﷻ akan memilih yang terbaik bagi kita. Maka kadangkala Allah ﷻ tidak beri apa yang kita minta sebaliknya Dia akan beri yang lebih baik untuk kita. Inilah iman yang perlu ada. Perumpamaannya seperti seorang ayah yang bijak dan sayangkan anak-anaknya. Ayah tidak memberi apa sahaja yang diminta oleh anaknya walaupun didesak jikalau permintaan anak itu tidak sesuai, bukan?
Lagi satu, kita kena tingkatkan iman kita. Maka kena percaya yang doa hanya untuk Allah ﷻ sahaja, jangan dicampur-campur dengan permintaan kepada selain Allah ﷻ. Itu adalah perbuatan syirik dan ia dilakukan oleh manusia yang tidak ada iman yang sempurna.
Satu perkara penting berkenaan doa yang hendak disampaikan di sini. Berapa ramai yang kita dengar, apabila kita nasihatkan mereka untuk berdoa kepada Allah ﷻ, mereka jawab: “Dah doa dah, tapi tak dapat lagi…”. Mereka sangka doa kepada Allah ﷻ itu macam “order” pizza, agaknya. Bila “order”, tidak lama lagi sampai. Tidaklah begitu dan jangan kita ada pemahaman begitu dan cakap begitu. Allah ﷻ Maha Tahu apa yang kita perlukan. Allah ﷻ akan memberi kepada kita mengikut keperluan kita. Bukan ikut apa yang kita hendak. Kita kena percaya kepada Allah ﷻ yang Allah ﷻ akan memberi yang terbaik untuk kita.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata: Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Akan dikabulkan permintaan seseorang di antara kamu, selagi tidak tergesa-gesa, iaitu mengatakan: Saya telah berdoa tetapi belum dikabulkan”.
(Sahih Al-Bukhari No. 6340)
Itulah sebabnya dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh kita ‘beriman kepada-Nya’. Maksudnya adalah percaya bahawa Allah ﷻ akan memberi kepada kita apa yang kita perlukan. Allah ﷻ akan beri yang terbaik. Oleh itu, jangan kita segan untuk doa dan jangan kita berputus asa untuk berdoa. Allah ﷻ pasti mendengar doa kita, tetapi Allah ﷻ membalas doa kita itu dengan tiga macam:
1. Allah ﷻ akan beri apa yang kita hendak dan diberi semasa di dunia lagi. Contohnya, kita doa supaya diberikan pasangan hidup, maka Allah ﷻ beri pasangan hidup untuk kita.
2. Allah ﷻ beri lain daripada apa yang kita hendak. Kita minta pasangan hidup, tetapi Allah ﷻ tidak beri. Allah ﷻ berikan benda lain, contohnya, Allah ﷻ berikan keselamatan untuk kita kerana kita lebih memerlukan keselamatan itu.
Iaitu Allah ﷻ jauhkan keburukan daripada kita. Kita pun tidak tahu apakah yang Allah ﷻ telah selamatkan kita. Tentunya sudah banyak perkara yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, tetapi kita tidak sedar pun.
3. Allah ﷻ tidak beri di dunia, tetapi Allah ﷻ akan balas di akhirat kelak. Akan diganti dalam bentuk pahala dan balasan yang lebih baik lagi. Allah ﷻ simpan dan balas di akhirat. Malah balasan di akhirat itu nanti akan berlipat kali ganda daripada apa yang kita minta dahulu.
Oleh itu, ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila ahli syurga melihat balasan yang Allah ﷻ ganti daripada doa mereka semasa di dunia dulu. Mereka suka sangat dengan balasan itu, sampaikan mereka berkata: “Alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun doa kita semasa di dunia dulu dimakbulkan, supaya kita akan mendapat balasnya di akhirat ini”. Itu adalah kerana apa yang mereka dapat di akhirat itu berlipat kali ganda daripada apa yang mereka dapat di dunia jikalau Allah ﷻ tidak makbulkan semasa di dunia.
ما مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِى الآخِرَةِ وَإِمَّا أَنُْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا. قَالُوا إِذاً نُكْثِرُ. قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah selama tidak mengandung dosa dan memutuskan silaturahmi (antar kerabat, pen) melainkan Allah akan beri padanya tiga hal: [1] Allah akan segera mengabulkan doanya, [2] Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak, dan [3] Allah akan menghindarkan daripadanya kejelekan yang semisal.” Para sahabat رضي الله عنهم lantas mengatakan, “Kalau begitu kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ lantas bersabda, “Allah nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kalian.”
[Musnad Ahmad 3/18, daripada Abu Sa’id رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ]. Syaikh Syu’aib Al Arnauth رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahwa sanadnya jayyid
Ini mengajar kita suatu perkara yang amat penting tentang doa. Kita wajib berdoa kepada Allah ﷻ tetapi hukumnya harus sahaja bagi Allah ﷻ untuk beri atau tidak. Tidak semestinya Allah ﷻ terus beri apa yang kita minta. Kadang-kadang kita fikir, apabila Allah ﷻ makbulkan dengan segera, itu tanda Allah ﷻ sayang. Akan tetapi, adakah begitu? Ada pendapat yang mengatakan kalau permintaan kita tidak terus dijawab itulah tanda Allah ﷻ sayang. Kerana Allah ﷻ suka mendengar doa hamba yang disayangi-Nya itu, maka tidak terus dimakbulkan. Sedangkan hamba yang tidak disayangi pula terus dimakbulkan kerana Allah ﷻ tidak mahu mendengar doanya lagi.
Oleh itu, jangan berputus asa dalam berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi hendaklah kita beriman kepada Allah ﷻ dan percaya bahawa Allah ﷻ akan memberi mengikut keperluan kita, bukan kehendak kita. Tidak kira berapa banyak doa kita, Allah ﷻ boleh balas semuanya sekali. Ingatlah yang kita WAJIB berdoa kepada Allah ﷻ; tetapi Allah ﷻ HARUS sahaja untuk beri apa yang kita minta. Kita boleh lihat contoh Maryam. Betapa makbulnya doanya sampaikan mendapat makanan terus daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Ali Imran: 37
كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.
Akan tetapi ada doa beliau yang tidak dimakbulkan iaitu doanya yang diulang di dalam Maryam: 23
فَأَجاءَهَا المَخاضُ إِلىٰ جِذعِ النَّخلَةِ قالَت يَـٰلَيتَنِى مِتُّ قَبلَ هٰذا وَكُنتُ نَسيًا مَّنسِيًّا|
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
Jadi kalau doa Maryam pun ada yang Allahﷻ tidak makbulkan di dunia, maka jangan peliklah kalau banyak doa-doa kita tidak dimakbulkan. Jangan risau kerana balasan kepada doa kita itu akan menanti di syurga kelak!
لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.
Apakah beza ‘hidayah’ dan رشد? Kedua-duanya ada elemen ‘petunjuk’ di dalamnya. Ulama’ mengatakan رشد bermaksud ‘mengamalkan’ hidayah yang telah diterima itu. Amal dan terus mengamalkannya. Kadang-kadang kita telah tahu apa yang hendak dibuat, tetapi kita tidak amalkan. Ataupun kita buat sedikit sahaja, sekejap sahaja. Itu bukanlah ‘رشد’. Jadi, kita boleh tahu bahawa رشد adalah istiqamah dalam beramal kebaikan. Ini adalah satu dugaan yang perlu dilakukan.
Oleh itu, berdasarkan ayat ini, kalau kita beriman dan taat kepada Allah ﷻ, itu adalah jalan untuk mendapat petunjuk – رشد. Orang yang mendapat رشد akan menjalani kehidupan ini dengan baik, dengan sempurna. Selalu dalam kehidupan ini, banyak dugaan yang kita akan hadapi. Kita kena berperang dengan syaitan dan juga nafsu kita sendiri. Untuk menghadapinya, hendaklah kita berharap dan memohon pertolongan kepada Allah ﷻ. Maka, kenalah kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk mendapatkan perkara ini kerana perkara ini disebut dalam ayat tentang doa. Allah ﷻ sahaja yang boleh memimpin kita. Kita minta kepada Allah ﷻ untuk pimpin kita dalam segenap perjalanan hidup kita kerana kadang-kadang kita tidak tahu apakah perkara yang terbaik yang patut kita lakukan dalam satu-satu pekerjaan kita. Maka, dalam hal itu, kita mintalah petunjuk kepada Allah ﷻ.
Ayat ini masih lagi dalam bahagian Puasa. Maka, kita kena ambil peluang berdoa dalam bulan Puasa ini. Doa itu termakbul selepas kita melakukan ibadah. Maka, selepas sepanjang hari kita berpuasa, maka ambillah peluang untuk berdoa. Semasa kita tunggu untuk berbuka, ambillah masa untuk berdoa. Jangan sibuk dengan hendak sediakan makanan, sibuk hendak makan sahaja. Kalau kita kisah makan sahaja, maka kita akan terlepas peluang keemasan itu. Terdapat beberapa dalil tentang mustajabnya doa setelah berpuasa.
Daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”.
(Riwayat Ibn Majah No. 1753) [Syeikh Syuaib al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”.
(Riwayat Ibn Majah No. 1752) [Syeikh Syuaib al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan hadith ini adalah hasan]
Daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata bahawa beliau mendengar Nabi ﷺ bersabda:
لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
“Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”.
[Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]
Kenapa doa orang berpuasa tidak ditolak? Kerana puasa itu kita telah sebutkan sebelum ini adalah latihan hati. Apabila hati telah dididik dan menerima latihan, maka orang itu akan semakin dekat dengan Allah ﷻ. Semakin dekat dengan Allah ﷻ menjadikan Allah ﷻ sayang kepada orang itu dan memakbulkan doanya.
Cadangan cara berdoa:
1. Mengucap dua kalimat Syahadah; sebab takut kita ada buat kufur sebelum ini. Maka, kita perbaharui iman dan Islam kita.
2. Istighfar; bacalah banyak-banyak sehingga kita jemu. Sebab kita banyak buat dosa. Selalunya kita hanya minta macam-macam kepada Allah ﷻ, tetapi kita lupa dosa kita amat banyak dengan Allah ﷻ.
Bayangkan, kalau anak yang banyak buat salah minta wang kepada ayahnya, tentu ayahnya berat hati hendak bagi. Akan tetapi, kalau anak itu datang kepada ayahnya mengaku kesalahan yang dia telah buat, dan dia kata dia tidak akan buat lagi kesalahan itu, tentu ayah itu akan lembut hati dan baru lega hati hendak beri wang kepada anak itu.
3. Taubat; rukun taubat salah satunya adalah berazam untuk tidak buat dosa yang telah kita buat. Minta ampun atas dosa yang telah kita lakukan dan azam untuk tidak buat lagi. Mintalah ampun atas dosa kita, dosa dua ibubapa kita dan dosa seluruh umat Islam.
4. Tasbih kepada Allah ﷻ berulang-ulang. Bertasbihlah sampai kita rasa sudah banyak dan rasa jemu. Tidak ada bilangan tertentu yang ditetapkan.
5. Solat sunat dua rakaat; sebagai tanda hendak minta doa kepada Allah ﷻ. Solat adalah ibadat yang paling besar sekali. Akan tetapi ini bukan Solat Hajat. Bukan juga Solat Taubat. Sebenarnya tidak ada solat Hajat dan Solat Taubat dalam Islam. Itu hanyalah rekaan sahaja.
Ia sebenarnya hanya solat sunat mutlak dan mudah sahaja untuk dilakukan. Bacalah surah apa-apa sahaja. Tidak ada ketetapan apa-apa dalam solat ini melainkan cara solat sahaja.
6. Selawat kepada Nabi ﷺ. Bukan kerana Nabi ﷺ akan menyampaikan doa itu tetapi kerana Nabi ﷺlah yang telah menyampaikan ajaran agama kepada kita supaya kita selamat. Maka, kita hargai usaha Nabi ﷺ itu dengan berdoa kepada Allah ﷻ supaya memberi kebaikan kepada Nabi ﷺ.
7. Mulakan doa dengan mengaku bahawa Allah ﷻ adalah Tuhan kita; Ini amat jarang sekali orang buat. Katakanlah bahawa Allah ﷻ yang menjadikan alam ini dan kita semua sekali. Kena bodek Allah ﷻ dengan mengaku yang hanya Dia sahaja yang boleh tolong dan boleh selesaikan masalah kita.
Sebutkan Sifat-sifat Allah ﷻ yang disebut dalam Al-Qur’an. Atau ikut cara Nabi ﷺ ajar bagaimana hendak bodek Allah ﷻ. Sebutkan kalimah-kalimah yang Nabi ﷺ telah ajar kita. Cara yang Nabi ﷺ ajar adalah yang terbaik sekali. Kalau kita tahu cara yang Nabi ﷺ ajar, baik kita ikuti. Akan tetapi kalau kita tidak tahu atau belum berjumpa lagi, bolehlah kita gunakan sahaja bahasa yang datang dari kita sendiri.
8. Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Katakan juga: Kalau Allah ﷻ kabulkan doa ini, Allah ﷻlah Tuhan. Kalau Allah ﷻ tidak makbulkan, Allah ﷻ jua Tuhan kita tetapi kalau bukan kepada Allah ﷻ kita meminta, kepada siapa lagi yang kita boleh minta tolong?
9. Selepas berdoa, hendaklah kita pohon supaya Allah ﷻ perkenankan doa kita. Sekurang-kurangnya sebutlah aameen.
10. Jangan kita putus asa dengan Allah ﷻ. Kita kena yakin yang Allah ﷻ akan terima doa kita. Terus berdoa lagi dan lagi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 3 Januari 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



