Tafsir Surah Baqarah Ayat 245 (Apakah Pinjaman yang Baik?)

Baqarah Ayat 245: Kita boleh lihat bagaimana ayat-ayat jihad akan diselangi dengan ayat-ayat tentang infak kerana infak perlu untuk jihad dijalankan. Jihad memerlukan belanja yang besar untuk menjalankannya. Oleh kerana itu Jihad dan Infak adalah seperti dua sayap pada burung. Kena ada kedua-dua sayap untuk burung itu terbang. Oleh kerana itu, setelah Allah ‎ﷻ sebut tentang jihad, Allah ‎ﷻ sebut pula kelebihan infak untuk jalan Allah ‎ﷻ. Ini kerana setelah berjuang dengan jiwa, maka sekarang dianjurkan kita berjuang dengan harta benda pula.

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Who is it that would loan Allah a goodly loan so He may multiply it for him many times over? And it is Allah who withholds and grants abundance, and to Him you will be returned.

MALAY
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

 

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik

Kalimah يُقرِضُ dan قَرضًا daripada kata dasar ق ر ض yang bermaksud memotong; berpaling daripada; memutuskan; berbuat baik; meninggalkan; menolak; melakukan perbuatan cemerlang; melakukan perbuatan yang paling mulia; Ia merujuk kepada perbuatan infak kerana apabila kita infak, kita memotong sebahagian daripada harta kita untuk diberikan kepada orang lain. Lebih tepat lagi, ia selalu digunakan untuk merujuk kepada perbuatan memotong dengan gigi. Ia memberi isyarat bahawa perbuatan itu adalah sesuatu yang sulit. Begitulah manusia sulit untuk memberi infak.

Bahasa yang digunakan memberi isyarat ajakan dan permintaan daripada Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya dengan penggunaan kalimah مَن ذَا الَّذي. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu Dia kena ajak dan rayu kita untuk bersedekah kerana tidak ramai yang akan buat. Ia berbeza dengan ambil harta kerana itu tidak perlu hendak ajak. Ini seperti kita tanya orang: “Siapa yang hendak ikut saya pergi berdakwah?” kerana bukan ramai yang akan buat sendiri jikalau tidak ditanya. Jadi ini adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ untuk melihat siapakah yang akan menyahutnya.

Manakala حَسَنًا bermaksud ‘baik’ dan di sini ia bermaksud ‘ikhlas’. Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang pinjaman yang ikhlas. Namun kenapa ayat tentang infak, Allah ‎ﷻ gunakan istilah ‘pinjaman’? Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘pinjaman’ dalam ayat ini kerana Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita bahawa apa yang kita berikan dalam infak itu adalah sebagai ‘pinjaman’ sahaja. Bukannya beri terus. Kalau kita pinjamkan barang, kita boleh ambil balik, bukan? Ia akan dipulangkan kepada kita kerana bukannya kita beri terus. Maknanya, Allah ‎ﷻ akan pulangkan balik infak kita itu kerana Allah ‎ﷻ hanya ‘pinjam’ sahaja. Ini kerana Allah ‎ﷻ yang buat kita dan Dia tahu kita ini kedekut sebenarnya. Kita susah hendak beri terus, tetapi kalau pinjam, bolehlah buat kira.

Sekarang Allah ‎ﷻ kata Dia yang pinjam. Kalau kita beri pinjam kepada orang lain, belum tentu dapat balik, bukan? Berapa banyak orang yang beri pinjam duit kepada kawan, tetapi kemudian kawan dia itu lesap! Sebab itu ada pepatah yang mengatakan: Money lent to a friend must be retrieved from an enemy. Yiddish Proverb pun ada: “You buy yourself an enemy when you lend a man money.” Benjamin Franklin pun ada cakap: “Lend money to an enemy, and thou’lt gain him; to a friend, and thou’lt lose him.” Akan tetapi ini yang pinjam adalah Allah ‎ﷻ dan kita boleh percaya Allah ‎ﷻ!

Rasulullah ﷺ telah bersabda dengan janji,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا ‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda: Setiap kali hamba-hamba Allah memasuki waktu pagi, dua malaikat akan turun. Salah satu malaikat itu berkata:
اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا ‏”‏‏.
Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah’. Sedang malaikat yang satunya lagi mengatakan: ‘Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang menahan hartanya’.
(Muttafaq ‘Alaih; Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, No. 1442, Sahih Muslim, Kitab al-Zakat, Bab No. 1010)

Kerana itu janganlah kita takut untuk sedekah kerana harta tidak lenyap dengan sedekah, malah akan dapat berkali-kali ganda,

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin­fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim No. 4689)

Malu juga apabila Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘pinjaman’ ini. Bayangkan, bukankah segala apa yang kita ada daripada rezeki ini semuanya dari Allah ‎ﷻ? Akan tetapi apabila Allah ‎ﷻ hendak infak, Allah ‎ﷻ kata berikan ‘pinjaman’ kepada-Nya… Macam Allah ‎ﷻ perli kita, “Tidak mengapa… Aku nak ‘pinjam’ sahaja, nanti Aku pulangkan balik…” Sekarang bayangkan kalau emak kita yang sudah banyak jasa membesarkan dan memberikan pendidikan kepada kita, apabila dia kesulitan wang, datang kepada kita dan minta pinjam wang…. adakah kita sanggup beri ‘pinjam’? Adakah kita sanggup hendak tuntut balik wang yang kita beri itu? Bukankah sepatutnya kita awal-awal lagi sudah beri pertolongan kepada emak kita? Tidak patut emak kita susah sampaikan hendak kena jumpa kita dan minta pinjam duit kita. Kita sebagai anak sepatutnya peka dengan masalah emak kita dan terus beri pertolongan tanpa perlu emak kita rasa malu datang kepada kita minta pertolongan!

Kita juga kena minta maaf kepada emak kita kerana dia sampai susah tetapi kita lambat tahu sampai dia kena datang minta tolong kepada kita kerana kita sepatutnya awal-awal lagi sudah kena tahu yang emak kita ada masalah. Tidak perlu tunggu dia datang dan beritahu kita. Kalau emak kita minta ‘pinjam’ duit kita, maknanya emak kita tahu yang kita kedekutlah sebenarnya. Sampai dia kata dia hendak pinjam sahaja, bukannya beri terus kepada dia. Memang rasa hendak bunuh diri sahaja kalau emak kita kata hendak ‘pinjam’ duit daripada kita, bukan? Rasa tidak ada gunanya kita hidup lagi. Maka, Allah ‎ﷻ hendak perli kita juga dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ tahu kita ini kedekut sebenarnya. Sebab itu Allah ‎ﷻ kata jangan takut, pemberian kita itu hanya pinjaman sahaja. Nanti akan dipulangkan. Ini kerana Allah ﷻ hendak sangat kita mengeluarkan infak di jalan-Nya.

Jadi apakah قَرضًا حَسَنًا? Ada beberapa perkara yang termasuk di dalamnya,

1. Infak untuk jihad fi sabilillah. 

Persiapan untuk peperangan memerlukan infak terutama sekali pada zaman dahulu kerana perang melibatkan:

    • Pembelian dan pemeliharaan senjata dan peralatan perang.
    • Logistik (makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal) bagi para mujahid.
    • Pengangkutan (kenderaan, kuda, unta, dll.).
    • Perbelanjaan perubatan dan rawatan bagi yang cedera.
    • Gaji atau imbuhan bagi pejuang dan keluarga mereka.

Kerana itulah ia penting dan kerana itulah Allah ﷻ beri perumpamaan orang yang infak fi sabilillah dengan jiwa dan harta sebagai perniagaan yang menguntungkan. Ini Allah ﷻ sebut di dalam Saff: 10-11

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11)

 

2. Memberi Pinjaman Tanpa Faedah (Bebas Riba)

Ia merujuk kepada pinjaman yang diberikan tanpa sebarang tambahan atau faedah (riba) yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman. Peminjam hanya perlu membayar balik jumlah pokok yang dipinjam. Jadi ini bantu membantu sesama umat dengan tujuan untuk membantu.

Motif utama di sebalik قَرضًا حَسَنًا adalah untuk membantu individu yang memerlukan (seperti mereka yang dalam kesusahan kewangan, untuk pendidikan, perubatan, atau memulakan usaha kecil) tanpa membebani mereka dengan bayaran tambahan. Seperti yang kita tahu, ramai yang mengalami masalah kewangan dan yang mereka harapkan adalah bantuan sementara sehinggalah mereka boleh bayar balik nanti. Memberi pinjaman adalah amalan mulia yang sangat digalakkan dalam Islam, dianggap sebagai bentuk sedekah atau infak di jalan Allah. Ini disokong oleh banyak hadith-hadith, antaranya

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كُلُّ قَرْضٍ صَدَقَةٌ
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Tiap pinjaman adalah sedekah.”
Hadith ini diriwayatkan oleh At-Thabrani dan Al-Baihaqi. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam Shahih At-Targhib wa At-Tarhib (no. 1478). Hasan Sahih/Sahih Lighairihi.

Di dalam hadith yang lain,

 عَنْ أَبِي أُمَامَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: دَخَلَ رَجُلٌ الْجَنَّةَ، فَرَأَى مَكْتُوبًا عَلَى بَابِهَا: الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ
Daripada Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Seseorang masuk syurga, lalu dia melihat tulisan di atas pintunya: Sedekah dibalas sepuluh kali ganda, dan pinjaman dibalas lapan belas.”
Diriwayatkan oleh At-Thabrani dan Al-Baihaqi. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam As-Silsilah Ash-Shahihah (no. 3407) dan Shahih Al-Jami’ (no. 3362). Sahih.

Saya tahu mesti anda akan bertanya: “Eh ustaz, kenapa beri pinjam lebih tinggi gandaannya daripada beri terus? Bukankah beri terus lebih baik?” Alasannya ada dua:

1. Keperluan yang Lebih Mendesak. Rasulullah ﷺ sendiri pernah bertanya hal ini:

سَأَلْتُ جِبْرِيلَ: لِمَ كَانَتْ الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، وَالْقَرْضُ بِثَمَانِ عَشْرَةَ؟ قَالَ: لأَنَّ السَّائِلَ رُبَّمَا سَأَلَ وَهُوَ لَهُ، وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إِلَّا مِنْ حَاجَةٍ”
“Aku bertanya kepada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ‘Mengapa sedekah itu (pahalanya) sepuluh kali lipat, sedangkan pinjaman itu lapan belas kali lipat?’ Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab, ‘Kerana seorang peminta-minta (sedekah) terkadang meminta padahal dia memiliki (harta), sedangkan orang yang meminta pinjaman, dia tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana keperluan yang sangat mendesak.'”

* Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam Sunannya (no. 2431)
* Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3676)
* Hadith ini dinilai sebagai hadith hasan oleh sebahagian ulama.

Ini menunjukkan bahawa orang yang meminta pinjaman biasanya berada dalam keadaan yang lebih sulit dan sangat memerlukan, sehingga bantuannya menjadi lebih penting. Sementara itu, orang yang meminta sedekah mungkin saja masih memiliki sedikit bekal, atau meminta untuk memenuhi keinginan, bukan semestinya kerana keperluan yang mendesak.

2. Membangun Rasa Tanggung Jawab dan Harga Diri. Memberikan pinjaman qardh hasan (pinjaman tanpa bunga), mendorong peminjam untuk tetap bertanggungjawab mengembalikan pinjamannya. Ini berbeza dengan sedekah yang bersifat pemberian mutlak. Dengan mengembalikan pinjaman, peminjam merasakan harga dirinya terjaga dan tidak merasa sepenuhnya bergantung. Ini juga melatih kemandirian dan rasa tanggung jawab dalam masyarakat.

Di dalam memberi pinjaman, disunatkan untuk menulis bilakah hutang itu akan dilangsaikan. Akan tetapi jikalau masa itu telah tamat, pemberi pinjaman boleh melanjutkan, malah ia akan memberi pahala bonus lagi kepadanya. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ بُرَيْدَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا، فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ صَدَقَةٌ قَبْلَ أَنْ يَحِلَّ الدَّيْنُ، فَإِذَا حَلَّ الدَّيْنُ فَأَنْظَرَهُ، فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ مِثْلَيْهِ صَدَقَةٌ
Daripada Buraidah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Barangsiapa memberikan pinjaman kepada orang yang kesusahan (mu’sir), maka baginya setiap hari (pahala) sedekah senilai pinjaman tersebut sebelum hutang itu habis tempoh. Jika hutang itu telah habis tempoh, lalu dia memberinya tambahan waktu, maka setiap harinya ia akan dinilai telah bersedekah dua kali lipat nilai hutangnya.”
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah, At-Tirmidzi (menyebut hasan sahih), dan Al-Hakim (menyebut sahih). Syaikh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mensahihkannya dalam As-Silsilah Ash-Shahihah (no. 86) dan Shahih Ibnu Majah. Sahih.

Oleh itu walaupun pemberi pinjaman tidak mendapat keuntungan material di dunia daripada pinjaman ini, Allah ‎ﷻ menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda di akhirat. Ini kerana perbuatan memberi قَرضًا حَسَنًا dianggap sebagai “meminjamkan kepada Allah” walaupun pinjaman itu diberi kepada manusia.

Namun, dalam situasi tertentu, jika peminjam menghadapi kesulitan yang benar-benar tidak dapat membayar balik, pemberi pinjaman boleh memilih untuk menghalalkan atau menggugurkan hutang tersebut, dan tindakan ini akan dianggap sebagai sedekah. Ini adalah satu bentuk keutamaan dan pahala besar yang sangat digalakkan dalam Islam, seperti yang dijelaskan dalam beberapa dalil. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 280


“Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berilah tenggang waktu sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau seluruh hutang itu) adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Di dalam hadith ada disebut kelebihan apabila melakukan hal ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “كَانَ رَجُلٌ يُدَايِنُ النَّاسَ، فَكَانَ يَقُولُ لِفَتَاهُ: إِذَا أَتَيْتَ مُعْسِرًا فَتَجَاوَزْ عَنْهُ لَعَلَّ اللَّهَ يَتَجَاوَزُ عَنَّا. فَلَقِيَ اللَّهَ فَتَجَاوَزَ عَنْهُ 
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Ada seorang laki-laki yang selalu memberi hutang kepada manusia. Dia selalu berkata kepada pelayannya: ‘Apabila kamu mendatangi orang yang kesulitan (tidak mampu bayar), maka maafkanlah dia, semoga Allah memaafkan kita.’ Lalu dia bertemu dengan Allah (meninggal dunia), dan Allah pun memaafkannya.”
(HR. Bukhari No. 2078 dan Muslim No. 1562)

Di dalam hadith yang lain,

عَنْ حُذَيْفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: أَتَى اللَّهُ بِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِهِ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَقَالَ لَهُ: مَاذَا عَمِلْتَ فِي الدُّنْيَا؟ قَالَ: كُنْتُ أُعَامِلُ النَّاسَ، فَكُنْتُ أُنْظِرُ الْمُوسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُعْسِرِ. فَقَالَ اللَّهُ: أَنَا أَحَقُّ بِمَنْ ذَلِكَ مِنْكَ، تَجَاوَزُوا عَنْ عَبْدِي
Daripada Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Allah mendatangkan seorang hamba daripada hamba-hamba-Nya yang telah Dia berikan harta kepadanya. Maka Allah bertanya kepadanya: “Apa yang kamu lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku dahulu berinteraksi dengan manusia, lalu aku menangguhkan orang yang mampu (namun belum membayar) dan aku memaafkan (menggugurkan hutang) orang yang kesulitan (tidak mampu membayar).” Maka Allah berfirman: “Aku lebih berhak untuk melakukan itu daripadamu. Maafkanlah hamba-Ku.”
(Riwayat Muslim No. 1560)

Pemberi pinjaman tidak boleh mensyaratkan atau menuntut sebarang tambahan (faedah/riba) atas jumlah pokok pinjaman. Walau bagaimanapun, jika peminjam, atas inisiatifnya sendiri dan tanpa sebarang perjanjian awal, ingin membayar lebih sebagai tanda terima kasih atau penghargaan, ini adalah dibenarkan dan bukan dikira sebagai riba. Ini dikenali sebagai ihsan (kebaikan). Begitulah yang diajar oleh Rasulullah ﷺ iaitu apabila membayar, bayar dengan lebih. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا تَقَاضَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَغْلَظَ لَهُ فَهَمَّ بِهِ أَصْحَابُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعُوهُ فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا ثُمَّ قَالَ اشْتَرُوا لَهُ بَعِيرًا فَأَعْطُوهُ إِيَّاهُ فَطَلَبُوهُ فَلَمْ يَجِدُوا إِلَّا سِنَّا أَفْضَلَ مِنْ سِنِّهِ فَقَالَ اشْتَرُوهُ فَأَعْطُوهُ إِيَّاهُ فَإِنَّ خَيْرَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً 
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa ada seseorang menuntut kepada Rasulullah  ﷺ, dia berbicara dengan kasar kepada baginda, sehingga para sahabat pun berusaha untuk menghentikannya, namun Rasulullah ﷺmengatakan: “Biarkan dia, kerana dia memiliki hak berbicara.” Kemudian baginda mengatakan: “Belikanlah seekor unta lalu berikanlah kepadanya.” Mereka pun mencarinya namun tidak mendapati kecuali seekor unta satu tahun yang lebih baik daripada unta satu tahun miliknya. Lalu baginda mengatakan: “Belikanlah lalu berikan kepadanya, kerana sesungguhnya sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar (hutang atau pinjaman).” 
(Sahih Bukhari No. 1238)

Dalam sistem kewangan Islam moden, Qardhan Hasanan sering digunakan untuk pinjaman sosial, bantuan pelajar, atau bantuan kewangan mikro untuk golongan miskin. Biasalah bank akan mengambil kesempatan dengan menggunakan istilah yang telah ada di dalam syarak untuk beri laku produk mereka. Institusi kewangan Islam mungkin mengenakan yuran pentadbiran yang munasabah (bukan keuntungan) untuk menampung kos operasi, tetapi ini berbeza dengan riba yang merupakan tambahan atas pokok pinjaman.

Begitulah indahnya Islam mengajar kita untuk membantu sesama kita. Hari ini orang lain susah, entah di waktu lain, kita pula yang susah. Yang penting, bantu membantu adalah digalakkan sangat di dalam Islam,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa melepaskan satu kesusahan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Barangsiapa memudahkan (urusan) orang yang dalam kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat. Dan Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu membantu saudaranya.”
(Sahih Muslim No. 2699)

Malangnya ramai dalam kalangan kita, bukannya membantu tetapi menambahkan lagi susah orang itu. Katakanlah seseorang yang di dalam kesusahan, ada pula yang bukannya hendak membantu, sebaliknya membebel cakap macam-macam hal (buat begini begitu, kenapalah kau jadi macam ini, kau patut buat begitu dulu, ini semua sebab kau ini dan itu). Mahu sahaja orang itu menjawab: ‘Makcik, kalaulah tidak dapat membantu, boleh tak makcik tolong saya satu sahaja? Tolong diam!’

 

فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً

supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya

Allah ‎ﷻ membalas infak kita dengan sangat banyak. Tidak tergambar betapa banyaknya. Ini kerana apabila Allah ﷻ ganti infak kita nanti bukannya pulangan sebanyak yang Dia ‘pinjam’ malah Dia akan pulangkan berganda-ganda banyaknya. Allah ‎ﷻ simpan dalam khazanah-Nya dan akan dikembalikan kepada kita di akhirat kelak. Kita akan dapat balik berkali ganda seperti disebut di dalam Baqarah: 261


“Perumpamaan orang-orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Di dalam Hadid: 11 juga Allah ﷻ telah berfirman,

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ
Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.

Di dalam Taghabun: 17 pula Allah ﷻ tambah dengan pemberian ampunan daripada dosa,

إِن تُقرِضُوا اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا يُضٰعِفهُ لَكُم وَيَغفِر لَكُم ۚ وَاللَّهُ شَكورٌ حَليمٌ
Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya Allah melipat gandakan balasannya kepadamu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.

Maka jangan takut hendak beri infak dalam jihad fisabilillah. Kalau Allah ‎ﷻ yang janjikan balasan yang berganda-ganda, tentu Allah ‎ﷻ boleh tunaikan. Maka sekarang Allah ‎ﷻ beri motivasi kepada umat Islam untuk infak. Kalau ada perniagaan yang memberikan pulangan sekali ganda pun sudah berebut-rebut manusia sertai, namun apabila Allah ﷻ janji dengan gandaan yang berlipat-lipat, tidak ramai yang menyertainya kerana tidak nampak balasannya di depan mata. Ini kerana janji Allah ﷻ ini di akhirat kelak.

Asbabun Nuzul: Sebahagian ulama, seperti Syeikh Wahbah Zuhaili رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab At-Tafsirul Munir, meriwayatkan daripada Ibnu Hibban, Ibnu Abi Hatim, dan Ibnu Mardawaih daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Mereka menyatakan bahawa ayat 245 ini turun selepas turunnya ayat 261 Surah Al-Baqarah yang berbunyi:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ”
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Apabila ayat 261 ini turun, para sahabat Nabi ﷺ terinspirasi dan ingin mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda itu. Mereka bertanya kepada Rasulullah ﷺ: “Ya Rasulullah, adakah yang boleh menambahkan lagi (pahala) bagi umatku?” Maka, Rasulullah ﷺ berdoa kepada Allah, “Ya Allah, berilah tambahan kepada umatku.” Kemudian, turunlah ayat 245 ini.

Ini menunjukkan bahawa ayat 245 ini adalah jawapan dan dorongan tambahan daripada Allah ‎ﷻ untuk terus berinfak, dengan penegasan bahawa Allah ‎ﷻ akan melipatgandakan pahala “pinjaman yang baik” tersebut, bahkan lebih daripada yang disebutkan dalam ayat 261.

 

وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan

Mungkin ada yang takut hendak infak banyak sebab takut habis harta mereka. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia lah sahaja yang mengecilkan – menahan harta menjadi sedikit. Dia juga yang mengembangkan harta kita menjadi banyak. Maka kalau Allah ‎ﷻ yang suruh kita infak, tentulah Allah ‎ﷻ akan balas dengan lebih banyak, sebab Dia mampu kembangkan rezeki kita.

Macam-macam cara Allah ‎ﷻ kembangkan rezeki kita – kita dapat kerja yang baik dengan gaji besar, perniagaan kita maju, hutang kita selesai, duit sedikit tetapi cukup untuk seisi keluarga (inilah namanya keberkatan), dan bermacam-macam cara lagi Allah ‎ﷻ balas kepada kita. Maka jangan bimbang untuk infak dengan banyak. Jangan takut harta kita habis. Allah ‎ﷻ akan kembangkan rezeki kita. Akan tetapi kena percaya kepada Allah ‎ﷻ lah kerana Dia juga yang berikan harta itu pada mulanya.

Bahagian akhir ayat ini (“Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki), dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan”) menegaskan bahawa rezeki itu adalah di tangan Allah ‎ﷻ. Ini adalah peringatan kepada hamba-Nya agar tidak takut berinfak kerana risau kemiskinan. Allah-‎ﷻlah yang berkuasa untuk melapangkan atau menyempitkan rezeki seseorang, dan semua akan kembali kepada-Nya di akhirat untuk dihisab. Jadi, berinfak adalah suatu bentuk tawakal dan keyakinan kepada kekuasaan Allah ‎ﷻ.

Dari segi akidah, ayat ini mengajar kita bahawa yang memberi rezeki adalah Allah ‎ﷻ semata-mata. Bukannya orang, usaha dan kepandaian kita. Kerana kalau kita katakan usaha kita yang mengembangkan rezeki, ramai lagi orang yang lebih keras usahanya tetapi tidak kaya-kaya; kalau kita kata kerana kepandaian kita, ada orang yang lebih pandai namun hidup biasa-biasa sahaja. Jadi jangan kita berpegang dengan akidah Qadariyyah yang mengatakan manusia memiliki kehendak dan kemampuan penuh untuk berbuat, baik atau buruk, secara bebas daripada kehendak atau takdir Allah ‎ﷻ. Akan tetapi jangan pula tidak berusaha kerana Allah ‎ﷻ hendak lihat usaha kita. Kalau berserah kepada takdir sahaja, itu sudah menyokong akidah Jabbariyyah pula, juga akidah yang sesat. Bagi mereka, manusia tidak memiliki kehendak bebas atau pilihan dalam perbuatannya; semua perbuatan manusia, baik atau buruk, sepenuhnya dipaksakan oleh kehendak dan takdir Allah ‎ﷻ. Manusia diibaratkan seperti bulu yang ditiup angin, tidak memiliki kemampuan untuk bergerak sendiri.

Akan tetapi kalau kita perhatikan, Allah ‎ﷻ tidak kata pun Dia akan kembangkan harta. Jadi ia boleh bermaksud apa-apa sahaja. Mungkin harta kita tidak banyak, tetapi hati kita lapang, anak-anak kita ramai, kawan-kawan kita banyak. Mungkin harta tidak banyak tetapi masa kita lapang untuk kita gunakan dengan keluarga dan belajar agama. Mungkin Allah ‎ﷻ beri kelapangan minda yang kreatif dan berilmu sampaikan kita boleh menulis, mengajar dan sebagainya.

 

وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

Allah ‎ﷻ mengingatkan, kalau sayang sangat harta kita pun, ingatlah yang kita semua akan mati dan pulang ke akhirat juga akhirnya. Harta yang kita sayang sangat itu, bukan boleh bawa mati pun. Harta yang kita simpan banyak-banyak itu akan menjadi milik orang lain pun kerana kita akan tinggalkan.

Kalau anak-anak kita ingat kepada kita, mungkin mereka akan sedekah dan niatkan pahala itu untuk kita. Akan tetapi kalau mereka habiskan sahaja, tidak ada pulangan untuk kita dalam bahagian harta itu dan ia habis begitu sahaja. Maka baiklah kalau kita simpan harta itu bersama Allah ‎ﷻ (dengan sedekah) supaya kita boleh ambil balik di akhirat kelak.

Mendengar ayat ini, kata Ibnu al-Arabi رَحِمَهُ اللَّهُ, manusia terbahagi kepada tiga jenis:

1. Jenis yang pertama, mengutuk Allah ‎ﷻ kononnya Allah ‎ﷻ miskin. Ini seperti kata-kata golongan Yahudi yang disebut di dalam Ali Imran: 181

لَّقَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ فَقِيرٌ وَنَحْنُ أَغْنِيَاءُ سَنَكْتُبُ مَا قَالُوا
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu

Kita kena faham bahawa apabila Allah ‎ﷻ minta pinjaman daripada kita, bukannya Dia yang perlukan pemberian daripada kita. Takkanlah Allah ‎ﷻ perlukan bantuan daripada kita sedangkan Dia Maha Kaya! Dia juga boleh bantu sendiri sesiapa yang Dia kehendaki. Sebaliknya Dia minta pinjaman daripada kita adalah kerana hendak beri peluang kepada kita untuk buat pahala sahaja. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Maidah: 64

وَقالَتِ اليَهودُ يَدُ اللهِ مَغلولَةٌ ۚ غُلَّت أَيديهِم وَلُعِنوا بِما قالوا ۘ بَل يَداهُ مَبسوطَتانِ يُنفِقُ كَيفَ يَشاءُ
Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu”, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki.

2. Golongan kedua pula adalah jenis yang baca ayat-ayat ini tetapi tidak memberi kesan apa-apa. Ini agaknya kitalah yang tidak buat apa-apa langsung setelah faham apa yang disampaikan di dalam ayat ini.

3. Ini pula adalah golongan yang terbaik. Semoga kita termasuk di dalam golongan yang ini. Mereka ambil peluang kerana mereka sangat yakin dengan apa yang Allah ‎ﷻ janjikan di dalam ayat-ayat-Nya. Ini seperti kisah Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

لما نزلت: (مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً) قال أبو الدحداح الأنصاري: يا رسول الله، وإن الله ليريد منا القرض؟ قال: “نعم يا أبا الدحداح”. قال: أرني يدك يا رسول الله. فناوله يده، قال: فإني قد أقرضت ربي حائطي. وحائط له فيه ستمائة نخلة، وأم الدحداح فيه وعيالها. قال: فجاء أبو الدحداح فنادى أم الدحداح: يا أم الدحداح، اخرجي من الحائط، فإني قد أقرضته ربي عز وجل

وفي رواية: فكانت أم الدحداح معه، فقالت: ربح البيع يا أبا الدحداح.

وفي رواية أخرى: وكانت أم الدحداح في الحائط مع عيالها، فجاءها أبو الدحداح وناداها: اخرجي يا أم الدحداح، فإني بعت الجنة. فقالت: “ربح بيعك أبا الدحداح”. فقال النبي صلى الله عليه وسلم: “كم من عذق رداح في الجنة لأبي الدحداح” أو “كم من عذق ذلاح في الجنة لأبي الدحداح”

Ketika turun ayat: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik (qardhan hasanan), maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.” (Surah Al-Baqarah: 245), berkata Abu Dahdah Al-Ansari: “Wahai Rasulullah, apakah Allah benar-benar menginginkan pinjaman daripada kita?” Nabi ﷺ bersabda: “Ya, wahai Abu Dahdah.” Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Tunjukkanlah tanganmu wahai Rasulullah.” Lalu Rasulullah ﷺ menghulurkan tangannya. Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Sesungguhnya aku telah meminjamkan kebun kurma milikku kepada Tuhanku.” Kebun kurma itu memiliki enam ratus pohon kurma, dan Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا (isterinya) berada di dalamnya bersama anak-anaknya. Kemudian Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan memanggil Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: “Wahai Ummud Dahdah, keluarlah dari kebun ini, sesungguhnya aku telah meminjamkannya kepada Tuhanku ‘Azza wa Jalla.”

Dalam satu riwayat lain: Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bersamanya, lalu dia berkata: “Beruntunglah jualanmu wahai Abu Dahdah!”

Dalam riwayat lain: Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berada di kebun itu bersama anak-anaknya, lalu Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan memanggilnya: “Keluarlah wahai Ummud Dahdah, sesungguhnya aku telah menjual (ini) untuk syurga.” Maka Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata: “Beruntunglah jualanmu wahai Abu Dahdah.” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Betapa banyak (pokok) kurma yang berbuah lebat di syurga untuk Abu Dahdah!” atau “Betapa banyak (pokok) kurma yang sarat buahnya di syurga untuk Abu Dahdah!”

Status Hadith: Kisah Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ini diriwayatkan oleh beberapa ulama hadith dengan sedikit perbezaan lafaz, termasuk:

    • Imam Muslim dalam Kitab Al-Jana’iz (namun dalam riwayat yang lain sedikit).
    • Imam Ahmad dalam Musnadnya.
    • Imam Ibnu Hibban dalam Sahihnya.
    • Imam At-Tirmidzi dalam Sunannya.
    • Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak.

Maksud kita dikembalikan juga mengandungi isyarat bahawa kita akan ditanya tentang infak kita itu. Kerana bukan semua infak sedekah itu Allah ‎ﷻ terus terima. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah meletakkan syarat-syarat infak ini. Berikut adalah syarat-syarat infak diterima Allah ‎ﷻ:

 

1. Niat yang Ikhlas Hanya Kerana Allah ‎ﷻ

Ini adalah syarat terpenting dan paling utama untuk setiap amalan dalam Islam. Kerana itulah salah satu maksud قَرضًا حَسَنًا adalah pinjaman ikhlas. Infak harus dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah ‎ﷻ, bukan untuk tujuan duniawi seperti:

    • Mendapatkan pujian atau sanjungan daripada manusia (riya’).
    • Mencari kemasyhuran atau ingin dikenali sebagai dermawan (sum’ah).
    • Mengharap balasan atau keuntungan peribadi daripada penerima.
    • Pamer atau menunjuk-nunjuk kekayaan.

Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafsh ‘Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata bahawa dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,

إنَّمَا الأعمَال بالنِّيَّاتِ وإِنَّما لِكُلِّ امريءٍ ما نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ فهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُوْلِهِ ومَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُها أو امرأةٍ يَنْكِحُهَا فهِجْرَتُهُ إلى ما هَاجَرَ إليهِ
“Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya. Setiap orang akan mendapatkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada yang dia tuju.”
(HR. Bukhari No. 1 dan Muslim No. 1907)

 

2. Harta yang Diinfakkan Mesti Halal dan Baik

Allah ‎ﷻ hanya menerima infak daripada harta yang diperoleh melalui cara yang sah (halal) dan bersih daripada unsur syubhat (ragu-ragu) atau haram. Menginfakkan harta haram (seperti hasil judi atau rasuah atau riba dan sebagainya) adalah sia-sia dan tidak akan mendatangkan pahala.

Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 267:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا ڪَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ‌ۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِ‌ۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ (٢٦٧)
“Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk-buruk daripadanya lalu kamu infakkan, padahal kamu sendiri tidak mahu menerimanya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya, Maha Terpuji.”

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik.
(HR. Muslim No. 1015)

Di dalam hadith yang lain,

لاَ يَتَصَدَّقُ أَحَدٌ بِتَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ إِلاَّ أَخَذَهَا اللَّهُ بِيَمِينِهِ فَيُرَبِّيهَا كَمَا يُرَبِّى أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ أَوْ قَلُوْصَهُ حَتَّى تَكُوْنَ مِثْلَ الْجَبَلِ أَوْ أَعْظَمَ
“Tidaklah seseorang bersedekah dengan sebutir kurma daripada hasil kerjanya yang halal melainkan Allah akan mengambil sedekah tersebut dengan tangan kanan-Nya lalu Dia membesarkannya sebagaimana ia membesarkan anak kuda atau anak unta betinanya hingga sampai semisal gunung atau lebih besar daripada itu.”
(HR. Muslim No. 1014)

 

3. Tidak Diiringi dengan Mengungkit-ungkit atau Menyakiti Perasaan Penerima

Infak yang sempurna adalah yang diberikan dengan ikhlas tanpa diikuti dengan celaan, mengungkit-ungkit pemberian, atau menyakiti perasaan orang yang menerima. Perbuatan ini boleh menghapus pahala sedekah.

Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 262:

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنًّ۬ا وَلَآ أَذً۬ى‌ۙ لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (٢٦٢)
“Orang-orang yang menginfakkan harta mereka di jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang mereka infakkan itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya atau dengan menyakiti (perasaan penerima), bagi mereka pahala di sisi Tuhan mereka. Tiada kekhuatiran terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.”

Allah ‎ﷻ juga telah berfirman di dalam Baqarah: 264:


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membatalkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima)…”

Maka jangan kita ungkit sebagai contoh: “Eh kau jangan lupa dulu masa kau jatuh, aku lah yang tolong kau naik balik dengan bagi kau pinjam. Kalau aku takde masa tu, tak tahu kau merempat lagi kot!”

 

4. Diberikan kepada Golongan yang Berhak dan Perlu

Meskipun infak boleh diberikan kepada sesiapa saja, mengutamakan golongan yang benar-benar memerlukan atau golongan yang telah ditetapkan oleh syarak (seperti fakir miskin, anak yatim, orang dalam perjalanan, dll.) akan menjadikan infak lebih bermakna dan diterima. Maka jangan bagi sembarangan sahaja sebaliknya carilah orang yang memerlukan.

Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 215

يَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ‌ۖ قُلۡ مَآ أَنفَقۡتُم مِّنۡ خَيۡرٍ۬ فَلِلۡوَٲلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ‌ۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ۬ (٢١٥)
“Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang (harus) mereka infakkan. Katakanlah: “Harta apa saja yang kamu nafkahkan, hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan (ibnus sabil)“. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”

Jangan kita melangkau dengan beri kepada orang jauh sedangkan ahli keluarga kita tidak dapat infak daripada kita. Perhatikan hadith-hadith yang banyak tentang hal ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ تَصَدَّقُوا ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَنْتَ أَبْصَرُ ‏”‏ ‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata; Nabi ﷺ memerintahkan untuk bersedekah. Kemudian seorang laki-laki berkata; ‘Wahai Rasulullah, aku memiliki satu dinar’. Kemudian baginda bersabda: “Sedekahkan kepada dirimu!” Dia berkata; ‘Aku memiliki yang lain’. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada anakmu!” Dia berkata; ‘Aku memiliki yang lain’. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada isterimu!” Dia berkata; ‘Aku memiliki yang lain’. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada pembantumu!” Dia berkata; ‘Aku memiliki yang lain’. Baginda bersabda: “Engkau lebih tahu.”
(Sunan Nasa’i No. 2535) Hasan menurut Darussalam

Syarah: kalimat “engkau lebih tahu” maksudnya sebagai penderma, kita kena prihatin kepada siapa lagi yang kita akan berikan. Kita kena gunakan penilaian siapakah yang paling memenuhi kriteria orang susah untuk menerima pemberian daripada kita.

Di dalam hadith yang lain,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim.”
(Musnad Ahmad No. 17197) Isnad Hasan

Ringkasnya, infak yang diterima oleh Allah ‎ﷻ adalah infak yang dilakukan dengan niat yang tulus ikhlas, daripada sumber harta yang halal, diberikan dengan kerelaan hati tanpa mengungkit atau menyakiti, dan diutamakan daripada harta yang terbaik serta disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Jun 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah