PERCAKAPAN RAHSIA YANG DIBENARKAN DAN DIGALAKKAN
Mujaadilah Ayat 9: Dalam ayat sebelum ini telah disebut larangan dan bahaya kalau ada najwa (perhimpunan rahsia). Namun begitu kadangkala ada keperluan untuk melakukannya. Maka Allah ﷻ beri nasihat kalau perlu untuk melakukannya.
Ada perkara baik yang mesti diiklankan seperti perkahwinan dan kelas pengajian. Akan tetapi kalau ada perkara yang buruk dan memalukan itu perlulah dirahsiakan dan diselesaikan dengan cara rahsia. Ini demi untuk menjaga nama baik orang.
Katakanlah seseorang itu telah mengambil duit tabung masjid kerana terpaksa dan dia memang mengaku dan minta tangguh untuk bayar balik. Maka tidak perlu kita canangkan dan kita cuba selesaikan dalam kalangan AJK masjid sahaja.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا تَنٰجَيتُم فَلا تَتَنٰجَوا بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ وَتَنٰجَوا بِالبِرِّ وَالتَّقوىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, when you converse privately, do not converse about sin and aggression and disobedience to the Messenger but converse about righteousness and piety. And fear Allāh, to whom you will be gathered.
(MELAYU)
Hai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa, permusuhan dan berbuat durhaka kepada Rasul. Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang beriman,
Ditujukan kepada umat Islam secara keseluruhan, sama ada yang mukmin, yang lemah iman dan munafik sekali. Kalau mengaku beriman, kena dengarlah nasihat ini.
إِذا تَنٰجَيتُم فَلا تَتَنٰجَوا بِالإِثمِ
apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa,
Orang-orang Islam diingatkan yang jikalau mereka mahu mengadakan perjumpaan rahsia, janganlah perjumpaan itu kerana tujuan merosakkan agama. Jangan buat rancangan yang tidak baik.
وَالعُدوٰنِ
dan permusuhan
Dan jangan buat perjumpaan rahsia kerana untuk merosakkan hubungan sesama umat Islam yang lain. Jangan buat perancangan untuk menjatuhkan sesiapa.
وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ
dan berbuat derhaka kepada Rasul.
Dan jangan buat perjumpaan rahsia untuk melawan dan menentang Rasulullah ﷺ. Juga jangan buat perjumpaan untuk menentang agama.
Ini bukan sahaja perjumpaan rahsia tetapi mana-mana perjumpaan yang tidak berapa rahsia pun kerana selalunya apabila kita berbincang sesama kita dan kita tidak menjaga hati kita, maka ia akan membawa kepada perbincangan yang tidak produktif.
Ini mengajar kita untuk menjaga mulut kita dan jangan selalu duduk-duduk bersama dan komen tentang orang lain. Tidaklah semua perkara yang kita fikirkan di dalam hati kita perlu diberitahu kepada orang lain kerana kadang-kadang ia tidak membawa kepada kebaikan pun.
Sebagai contoh, mungkin ada yang sama-sama mendengar ceramah agama dan kemudian ada yang bercerita tentang ceramah itu dan mempersoalkan kata-kata penceramah itu. Ini boleh membawa kepada perkara yang tidak baik kerana mungkin ada yang sangsi pula kepada penceramah itu, dan sebagainya. Tahanlah mulut itu daripada hendak komen tentang orang lain.
Kadang-kadang perkara itu kecil sahaja, tetapi apabila ia disebut dan dibincangkan maka ia boleh menjadi perkara yang besar pula. Akan ada sahaja orang lain yang ingin menambah perkara yang dia juga tidak puas hati. Lama-lama daripada perkara kecil menjadi perkara yang besar dan di luar kawalan pula.
Maka daripada ayat ini kita dapat tahu ada najwa yang buruk dan ada juga najwa yang baik. Maka apakah najwa yang baik itu? Iaitu jika kita berjumpa dengan kenalan kita dan kita memberi nasihat kepada dia dari hati yang ikhlas untuk kebaikan bersama. Kalau najwa jenis begini, maka tentulah ia baik.
Kita kadangkala ingin menasihati orang lain, kena nasihat dengan rahsia untuk tidak memalukan dia. Barulah dia hendak mendengar nasihat kita. Kalau kita nasihat depan orang lain, dia akan berasa malu dan terasa hati dan dia mungkin akan membenci kita dan marahkan kita pula kerana telah memalukan dirinya. Nasihat kita entah ke mana pula kerana perasaan benci kepada kita itu yang lebih menguasai dirinya, bukan?
Maka boleh kalau ingin menasihati secara rahsia kerana ini adalah nasihat dari hati yang manis. Apabila kita memberi nasihat kepada orang, maka ada baiknya jika kita minta nasihat daripada orang itu juga. Kerana diri kita pun memerlukan nasihat daripada orang lain. Kita kata begini pada dia: “Saya ada hadiah nak bagi kat awak…. boleh? Tapi dengan syarat, awak kena bagi balik hadiah kepada saya….”
Kemudian sama-sama nasihat menasihati. Dia pun akan lebih terbuka kerana dia pun ada peluang untuk menegur kita – sama-sama nasihat menasihati. Kadangkala perkara ini perlu dilakukan dengan rahsia untuk tidak memalukan sesiapa. Ini adalah jenis najwa untuk meningkatkan taqwa.
وَتَنٰجَوا بِالبِرِّ وَالتَّقوىٰ
Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan taqwa.
Dan ada juga najwa yang baik yang untuk kebaikan di mana mungkin telah diadakan mesyuarat dan telah ada persetujuan untuk membina masjid di kampung itu.
Maka boleh kalau ada perjumpaan rahsia antara orang-orang yang kaya untuk memulakan beri duit untuk membina masjid itu. Maknanya rancangan untuk melakukan sesuatu di dalam mesyuarat telah diputuskan dan perjumpaan rahsia ini bukanlah untuk mengubah keputusan itu tetapi untuk menjayakannya. Najwa sebegini amat bagus sekali.
Juga mungkin ada perjumpaan rahsia untuk menyelamatkan nama baik seseorang yang telah dijatuhkan. Mungkin juga perjumpaan rahsia itu untuk membincangkan dan mendamaikan pertelingkahan antara dua kawan baik.
وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ
Dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan.
Yang penting, kita kena ada taqwa dalam hati kita. Kalau kita ada taqwa, maka kita akan tahu mana satu najwa yang bagus dan mana yang tidak. Gerak hati kita sendiri pun sudah boleh digunakan untuk menilai.
Ingatlah yang kita akan dikembalikan kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ sudah tahu apa yang kita lakukan dan apa niat kita semasa melakukannya. Kita tahu yang kita akan dipersoalkan kelak tentang perkara ini. Maka kenalah takut untuk melakukan perkara-perkara yang salah.
Mujaadilah Ayat 10:
إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Private conversation is only from Satan that he may grieve those who have believed,¹ but he will not harm them at all except by permission of Allāh. And upon Allāh let the believers rely.
- The reference may be to the sinful type of conversation, as mentioned in the previous verses, or to the practice of two persons speaking in confidence in the presence of a third, which might lead him to assume that he is the subject of their conversation. Such behavior was prohibited by the Prophet (ṣ) in narrations of al-Bukhārī and Muslim.
(MELAYU)
Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.
إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ
Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah daripada syaitan,
Bisikan-bisikan yang kita jelaskan sebagai ‘najwa’ yang dilakukan oleh puak-puak munafik (dan juga daripada golongan Yahudi) itu sebenarnya adalah daripada syaitan. Syaitan yang bisikkan kepada mereka untuk melakukannya dan mereka telah termakan dengan bisikan syaitan itu.
لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا
supaya orang-orang yang beriman itu berdukacita,
Najwa yang digerakkan oleh syaitan itu akan menyebabkan orang-orang beriman menjadi sedih. Kerana mereka yang melakukan najwa itu bercakap sesama mereka tetapi sambil memandang orang mukmin yang menyebabkan orang mukmin boleh sangka yang dialah subjek perbincangan rahsia mereka itu.
Kadang-kadang kita ternampak perbincangan rahsia di tempat tersembunyi seperti di tempat parkir atau di sudut belakang bangunan dan sebagainya yang kita tahu perbincangan mereka itu tidak baik dan kita sedih dengan apa yang kita lihat itu. Kita sudah boleh agak apa yang mereka katakan itu. Walaupun kita mungkin tersilap andaian (mungkin dia sembang tentang kebaikan), tetapi cara perbuatan mereka itu telah menyebabkan kita terasa.
Oleh kerana itu kalau bertiga, tidak boleh kalau dua orang di antara mereka bercakap dalam bahasa yang tidak difahami oleh orang ketiga. Lebih buruk lagi kalau semasa dua orang itu bercakap, mereka menunjuk-nunjuk kepada orang ketiga itu:
وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلاَثَةً، فَلاَ يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الآخَرِ حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ، مِنْ أَجْلِ أَنَّ ذَلِكَ يُحْزِنَهُ» متفق عليه، وهذا لفظ مسلم
Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Apabila kalian bertiga, maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menghiraukan yang lain, sehingga kalian bergaul dengan orang-orang, kerana hal tersebut akan membuatnya sedih.” (Muttafaqqun ‘alaih) dan ini adalah lafaz Imam Muslim.
(Sahih Bukhari no. 6.290 dan Sahih Muslim no. 2.184)

Kalau ada keperluan untuk bercakap secara rahsia berdua sahaja, atau untuk bercakap dalam bahasa lain daripada yang boleh difahami oleh orang ketiga itu, maka kenalah meminta maaf daripadanya.
عَنِ ابْنِ عُمَرَرضي الله عنهما، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلَاثَةً فَلَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الثَّالِثِ، إِلَّا بِإِذْنِهِ فَإِنَّ ذَلِكَ يُحْزِنُهُ» رواه أحمد
“Daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Apabila kalian bertiga, maka janganlah berbisik-bisik dengan membiarkan yang seorang lagi, kecuali dengan seizinnya, kerana hal tersebut boleh membuatnya sedih.”
(HR Ahmad, no. 6.338)
وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ
sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah
Tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa rancangan jahat manusia tidak berjaya jikalau Allah ﷻ tidak membenarkannya. Begitu ramai manusia yang berniat untuk melakukan kerosakan, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan.
Maka kerana itu puak munafik zaman Nabi ﷺ itu telah mencuba berbagai-bagai cara, malah sehingga ada cubaan untuk membunuh Rasulullah ﷺ, namun mereka tidak berjaya. Maka kalau ada perancangan daripada golongan munafik zaman ini pun, maka tidak perlu hairan kerana memang mereka itu dipimpin oleh syaitan. Dan serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.
وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.
Maka hendaklah orang-orang yang mengaku beriman bertawakal kepada Allah ﷻ dan serahkan apa saja yang berlaku selepas itu kepada Allah ﷻ. Kita tidak boleh menghalang perbincangan rahsia orang jahat; kita tidak dapat menghalang usaha mereka. Maka kita berserah sahaja kepada Allah ﷻ.
Sekiranya orang mukmin dapat menerima hal ini, maka tidaklah mereka risau sangat kalau nampak orang tidak baik bercakap-cakap sesama mereka. Kerana dia tahu yang mereka itu tidak dapat buat apa-apa tanpa izin Allah ﷻ. Kalau tidak tawakal, dia akan asyik fikirkan tentang mereka dalam kerisauan sampai tidak boleh hendak buat kerja lain pula nanti. Jadi, jangan fikirkan dan biarkan sahaja mereka.
ADAB DI DALAM PERHIMPUNAN
Mujaadilah Ayat 11: Allah ﷻ ajar bagaimana cara untuk menghalang perkara buruk daripada terjadi.
Salah satu cara orang yang ada niat jahat gunakan adalah dengan mengganggu mesyuarat dengan datang lambat ataupun bercakap kuat dalam mesyuarat itu atau bercakap benda yang tidak berfaedah. Mereka membuat bunyi bising dan mereka berbisik-bisik sesama mereka dan ini mengganggu perjalanan mesyuarat.
Bagaimana hendak menangani perkara itu kalau terjadi dalam mesyuarat kita? Maka Allah ﷻ memberi jalan penyelesaian untuk masalah ini.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا قيلَ لَكُم تَفَسَّحوا فِي المَجٰلِسِ فَافسَحوا يَفسَحِ اللهُ لَكُم ۖ وَإِذا قيلَ انشُزوا فَانشُزوا يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, when you are told, “Space yourselves” in assemblies, then make space; Allāh will make space for you.¹ And when you are told, “Arise,”² then arise; Allāh will raise those who have believed among you and those who were given knowledge, by degrees. And Allāh is Acquainted with what you do.
- In His mercy, in Paradise, or in everything good.
- To prayer, to battle, or to good deeds.
(MELAYU)
Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang beriman
Allah ﷻ beri arahan kepada orang mukmin dalam ayat ini. Ini adalah pengajaran tentang adab di dalam majlis terutama dalam majlis ilmu. Para sahabat رضي الله عنهم memang suka berada dalam majlis ilmu dengan Rasulullah ﷺ dan begitu juga diteruskan oleh golongan selepas mereka.
Maka kita pun kenalah ikut. Kena perbanyakkan majlis ilmu dalam kalangan kita. Kena teruskan pengajian ilmu dan biasakan dengan majlis ilmu. Kalau anak-anak kita degil pun, kena biasakan mereka datang ke majlis ilmu. Semoga mereka mendapat ilmu yang bermanfaat dan mengubah sikap mereka daripada buruk kepada sikap yang baik.
إِذا قيلَ لَكُم تَفَسَّحوا فِي المَجٰلِسِ فَافسَحوا
apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah
Golongan munafik selalu mengambil peluang untuk duduk berdekatan dengan Rasulullah ﷺ, sampai menyebabkan orang lain tidak dapat duduk dekat dengan baginda ﷺ. Ini adalah kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk yang mereka kononnya rapat dengan Nabi ﷺ. Baginda tidaklah menegur mereka tetapi sekarang Allah ﷻ yang menegur perbuatan mereka itu.
Nabi ﷺ tidak menegur kerana Nabi ﷺ malu untuk berkata apa-apa. Inilah sifat baginda ﷺ yang pemalu, sebagaimana juga baginda malu untuk menghalau orang yang duduk-duduk dalam rumah baginda selepas selesai kenduri di rumah baginda (telah disebut dalam surah yang lain). Dalam kes itu pun Allah ﷻ yang menegur perbuatan para sahabat رضي الله عنهم yang terus melepak walaupun sudah lewat.
Selalunya apabila Rasulullah ﷺ bercakap dan memberi ceramah agama, maka para sahabat akan berkumpul dekat-dekat baginda. Tetapi kali ini di dalam mesyuarat mereka disuruh untuk duduk berpecah-pecah. Jangan duduk sekelompok. Kenapa pula begitu?
Golongan mukmin disuruh untuk duduk berpecah kerana jikalau ada orang yang busuk hatinya datang, mereka tidak boleh duduk bersama kawan-kawan mereka yang jahat juga. Bila tempat kosong itu jarang, maka mereka kena duduk di antara orang-orang yang beriman. Maka mereka tidak boleh membuat rancangan berbisik-bisik sesama mereka dan membuat bunyi-bunyi yang tidak patut. Ini kerana mereka tidak duduk dengan geng mereka lagi. Mereka sudah menjadi terpencil.
Biasalah, bila kawan duduk sekali, mereka boleh buat rancangan. Macam dalam kelas budak sekolah – kalau duduk dengan geng, mulalah mereka buat kacau. Tetapi kalau mereka duduk berseorangan, mereka pun senyap juga.
Ayat ini juga ada ditafsirkan secara umum. Ia bukan untuk majlis yang ada Nabi Muhammad ﷺ sahaja, tetapi mana-mana majlis perjumpaan pun. Kalau tempat itu sesak, maka hendaklah lapangkan tempat duduk untuk bagi orang baru sampai pun boleh duduk. Berilah ruang kepada orang yang baru datang. Mereka pun boleh juga mengambil manfaat dari majlis itu, terutama kalau majlis itu adalah majlis ilmu.
Tidaklah boleh orang baru tiba suruh orang yang sudah ada di situ untuk bangun supaya dia boleh mengambil tempatnya; tetapi yang diajar adalah untuk beri ruang. Kerana mungkin sudah nampak sesak, tetapi masih boleh lagi untuk susun lagi kedudukannya itu. Ini berdasarkan dalil sebuah hadith:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : قَال رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( لاَ يُقِيْمَنَّ أَحَدُكُمْ رَجُلاً مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ ، وَلكِنْ تَوَسَّعُوْا وَتَفَسَّحُوْا )) وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا قَامَ لَهُ رَجُلٌ مِنْ مَجْلِسِهِ لَمْ يَجْلِسْ فِيهِ . مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا, ia berkata bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah seorang di antara kalian menyuruh berdiri lainnya dari tempat duduknya kemudian ia sendiri duduk di situ. Tetapi berikanlah keluasan tempat serta kelapangan (pada orang lain yang baru datang).” Ibnu Umar رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا apabila ada seorang yang berdiri dari tempat duduknya kerana menghormatinya, ia tidak suka duduk di tempat orang tadi itu. (Muttafaq ‘alaih) (HR. Bukhari, no. 6270 dan Muslim, no. 2177)
Kadang-kadang yang sampai lambat itu adalah para sahabat yang besar yang tugas mereka memang menyampaikan maklumat kepada orang lain. Maka mereka itulah yang patut duduk di hadapan.
Begitu juga kalau zaman sekarang, kalau kita tahu bahawa ada orang yang penting baru datang, maka berilah ruang kepada mereka untuk masuk. Ini bukanlah sebab ada kasta rendah dan kasta tinggi pula, tetapi mesti dilihat kepada keperluan.
يَفسَحِ اللهُ لَكُم
nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu.
Semoga dengan melakukan arahan Allah ﷻ ini, maka umat Islam akan berjaya dan salah satu maksudnya adalah dibukakan tanah-tanah untuk umat Islam. Ini kerana perancangan dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan puak munafik. Maka rancangan untuk meluaskan dakwah Islam dapat dijalankan dengan lebih baik. Mesyuarat dapat mencapai kata putus yang membawa kepada kejayaan umat Islam.
Kalau dalam majlis sekarang seperti majlis ilmu contohnya, Allah ﷻ menghargai pengorbanan orang yang memberi ruang kepada orang lain. Allah ﷻ akan balas dengan memberinya kelebihan di tempat lain. Ini adalah kerana mereka telah taat kepada arahan ketua.
وَإِذا قيلَ انشُزوا فَانشُزوا
Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah,
Kalimah نشز dalam ayat ini bermaksud bangkit daripada mesyuarat/perjumpaan dengan segera. Selepas sudah habis mesyuarat (syura) sahaja, teruslah pulang ke rumah masing-masing.
Ini kerana bahaya jikalau duduk-duduk selepas mesyuarat kerana waktu itulah ahli mesyuarat itu akan bersembang dan berbincang-bincang pula sesama kumpulan kecil mereka. Biasanya kalau sudah mula bersembang, maka akan timbullah perkara lain pula.
Maka Allah ﷻ mengajar bahawa selepas bermesyuarat untuk membuat rancangan untuk menjalankan kerja dakwah, maka bagus selepas syura itu semua terus bangkit dan keluar daripada bilik mesyuarat itu dan tidak bercakap-cakap lagi. Jangan duduk-duduk atau sambung mesyuarat kecil sambil minum teh tarik pula.
Golongan mukmin disuruh untuk pulang sahaja ke rumah kerana jikalau mereka berkumpul dengan beberapa orang selepas itu, tentu percakapan antara mereka adalah apa yang dibincangkan di dalam mesyuarat tadi. Itulah yang akan menjadi ‘najwa’ kemudiannya.
Ayat ini juga ada ditafsirkan begini: di zaman Nabi ﷺ, ada yang duduk bersama Nabi ﷺ sehingga selesai majlis baginda. Ini menyebabkan orang baru tidak dapat duduk mendengar ajaran baginda. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini memberi jalan keluar: kalau Nabi ﷺ suruh seseorang itu bangun untuk tinggalkan majlis, maka bangunlah dan berilah peluang kepada orang lain pula. Janganlah terasa kerana ini memang arahan daripada Allah ﷻ.
Tersebutlah pula bahawa kebiasaan Rasulullah ﷺ ialah memuliakan orang-orang yang ikut dalam Perang Badr, baik dalam kalangan Muhajirin mahupun dalam kalangan Ansar. Kemudian satu waktu datanglah sejumlah orang dalam kalangan ahli Perang Badr, sedangkan orang-orang selain mereka telah mengambil tempat duduk mereka berdekatan Rasulullah ﷺ.
Maka mereka yang baru datang berdiri menghadap kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada engkau, hai Nabi Allah, dan juga keberkahan-Nya.” Lalu Nabi ﷺ menjawab salam mereka. Setelah itu mereka mengucapkan salam pula kepada kaum yang telah hadir, dan kaum yang hadir pun menjawab salam mereka.
Maka mereka hanya dapat berdiri saja menunggu diberikan keluasan bagi mereka untuk duduk di majlis itu. Nabi ﷺ mengetahui penyebab yang membuat mereka tetap berdiri, iaitu kerana tidak diberikan keluasan bagi mereka di majlis itu.
Melihat hal itu Nabi ﷺ merasa tidak enak, maka baginda bersabda kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar yang bukan daripada kalangan Ahli Badar, “Hai Fulan, berdirilah kamu. Juga kamu, hai Fulan.” Dan Nabi ﷺ mempersilakan duduk beberapa orang yang tadinya hanya berdiri di hadapannya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar Ahli Badar.
Perlakuan itu membuat tidak senang orang-orang yang disuruh bangkit dari tempat duduknya, dan Nabi ﷺ mengetahui keadaan ini daripada riak muka mereka yang disuruh beranjak dari tempat duduk mereka. Maka orang-orang munafik memberikan tanggapan mereka, “Bukankah kalian menganggap teman kalian ini berlaku adil di antara sesama manusia? Demi Allah ﷻ, kami memandangnya tidak adil terhadap mereka. Sesungguhnya suatu kaum telah mengambil tempat duduk mereka dekat nabi mereka kerana mereka suka berada di dekat nabinya. Tetapi nabi ﷺ mereka menyuruh mereka beranjak dari tempat duduknya, dan mempersilakan duduk di tempat mereka orang-orang yang datang lambat.” Maka telah sampai kepada kami suatu berita bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“رَحِمَ اللهُ رَجُلًا فَسَح لِأَخِيهِ”
Semoga Allah mengasihani seseorang yang memberikan keluasan tempat duduk bagi saudaranya.
Maka sejak itu mereka bergegas meluaskan tempat duduk buat saudara mereka, dan turunnya ayat ini di hari Jumaat. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Abu Hatim رحمه الله.
Maka kita kena pandai aplikasikan keadaan ini dalam zaman kita. Kadangkala dalam sesuatu majlis ilmu, memang tidak ada ruang untuk orang lain menyelit masuk. Maka dalam keadaan begini, kenalah ada orang yang sanggup untuk berdiri dan memberikan tempatnya kepada orang yang baru sampai. Ini adalah kerana orang yang baru sampai itu mungkin orang yang penting.
Memang ini nampak seakan zalim pula, akan tetapi ini adalah keperluan semasa. Sebagai contoh, mungkin yang baru datang itu adalah ahli panel atau tetamu kehormat, maka kenalah beri tempat duduk kepada mereka. Atau orang yang baru hendak belajar (kita mungkin sudah lama belajar dan sudah tahu apa yang hendak disampaikan). Dan mungkin ini bermaksud kena tinggalkan terus tempat duduk di hadapan.
يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم
nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu
Kepada mereka yang beriman dan sanggup untuk taat kepada arahan Allah ﷻ ini, Allah ﷻ akan tinggikan kedudukan mereka di dunia dan akhirat. Ini adalah kerana mereka taat kepada arahan ketua.
Allah ﷻ memberi ganjaran meninggikan darjat mereka kalau dapat buat begitu kerana bukan senang untuk terus tinggalkan mesyuarat ataupun majlis seperti majlis ilmu. Ini kerana mungkin ada rakan-rakan kita yang kita hanya berjumpa di tempat mesyuarat saja. Rasa macam rugi pula kalau tidak melepak dengan dia.
Juga ayat ini hendak memberitahu yang kedudukan darjat yang tinggi bukanlah kerana dapat duduk rapat dengan Nabi Muhammad ﷺ dan berterusan bersama baginda ﷺ dari mula sampai habis. Kedudukan darjat yang tinggi adalah bertaut dengan iman. Kalau iman tinggi, maka darjat di sisi Allah ﷻ pun tinggi.
وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ
dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.
Allah ﷻ hendak memberitahu juga yang darjat tinggi itu diberikan kepada orang yang berilmu, bukannya kepada mereka yang nampak duduk rapat dengan Rasulullah ﷺ. Telah banyak dalil lain bagi hujah mengatakan memang golongan berilmu diberikan dengan darjat yang tinggi.
Ada golongan yang mahu dipandang tinggi, mereka cepat-cepat mendapatkan kedudukan rapat dengan baginda ﷺ di majlis baginda – supaya orang lain nampak yang dia rapat dengan Nabi lah kononnya. Maka ini adalah fahaman dan cara yang salah untuk mendapatkan darjat yang tinggi. Ini selalunya dilakukan oleh golongan munafik.
Apabila orang-orang munafik itu duduk berdekatan dengan menghimpit kepada Nabi ﷺ, maka ada sahabat-sahabat yang besar yang penting untuk baginda berbincang dengan mereka tidak dapat berbincang kerana ada para sahabat yang penting dalam menjalankan tugas dakwah. Akan tetapi kalau yang menghimpit baginda ﷺ itu adalah golongan munafik yang bukan hendak buat kerja pun, maka mereka itu buang masa sahaja.
Maka kerana itu Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ untuk suruh mereka bangun dan beri ruang kepada orang lain. Kalau duduk dekat dan lama dengan Nabi ﷺ tetapi menyusahkan baginda, ini lagi tidak patut. Maka ayat ini mengajar adab-adab di dalam majlis.
Dalam zaman sekarang pun, kita kena hormati orang yang berilmu kerana darjat mereka memang lebih daripada orang biasa. Mungkin kita kena beri tempat duduk kepada mereka kerana Allah ﷻ telah memuliakan mereka, maka kita pun kena muliakan mereka juga.
Kesimpulannya ayat ini adalah tentang majlis ilmu. Dari sini kita dapat juga mengambil pengajaran yang majlis ilmu lah yang meninggikan darjat manusia. Di dunia ini lagi darjat itu sudah dinaikkan di mana manusia akan memberi penghormatan kepada mereka. Ini terbukti daripada banyak sekali dalil daripada Rasulullah ﷺ sendiri. Sebagai contoh, apabila hendak mengebumikan jenazah para sahabat yang syahid, Nabi ﷺ tanya siapakah yang paling banyak menghafal Al-Qur’an. Yang banyak hafal Al-Qur’anlah yang dimasukkan ke dalam kubur dahulu.
Majlis ilmu yang terutama sekali adalah majlis ilmu wahyu kerana manusia kena faham wahyu, terutama sekali wahyu Al-Qur’an. Kalaulah masyarakat kita sedar tentang perkara ini, maka cepatlah naik darjat orang Islam kembali. Masalahnya sekarang umat Islam amat jauh daripada wahyu dan kerana itu kedudukan kita amat rendah sekarang.
وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka niat di dalam hati. Maka kena berhati-hati dengan perlakuan kita dan niat kita. Mungkin kita rasa manusia tidak tahu, tetapi ingatlah yang Allah ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hati kita.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 17 November 2020
Ringkasan Peta Minda Surah
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi