Tafsir Surah an-Nisa Ayat 27 – 30 (Syariat Allah itu mudah)

Ayat 27: Masih lagi kepentingan syariat yang Allah telah berikan kepada kita.

وَاللهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوٰتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh wants to accept your repentance, but those who follow [their] passions want you to digress [into] a great deviation.

MALAY

Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.

 

وَاللهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ

Dan Allah hendak menerima taubat kamu, 

Allah ulang lagi tentang hal taubat. Kali ini dalam jumlah ismiah pula dimana dalam susunan ayat ini, Allah meletakkan NamaNya di hadapan. Ini menunjukkan penekanan – Allah benar-benar hendak menerima taubat kita.

Allah mahu menerima taubat kita, asalkan kita ikut syariatNya yang telah diberikan. Kita telah banyak belajar hukum-hukum syariat yang telah disampaikan dalam surah ini dan surah-surah yang lain. Maka amalkan dengan baik, dan Allah akan menerima taubat kita.

 

وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوٰتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

sedang orang-orang yang menurut keinginan syahwat hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng dengan penyelewengan yang besar.

Allah mahu menerima taubat kita, tapi mereka yang ikut syahwat, ingin kita berpaling jauh dari syariat. Kalimah الشَّهَوَاتِ bermaksud keinginan nafsu yang kuat kalau dibandingkan dengan ‘hawa’ sahaja.

‘Hawa’ hanyalah keinginan biasa sahaja. Mereka yang ada kejahatan dalam dirinya ingin umat Islam condong jauh dari kebenaran. Mereka tak puas hati kalau kita buat sesuatu yang ikut syariat agama kita. Padahal kita bukan kacau mereka pun. Tapi ada rasa dengki dan tidak puas hati kalau kita nak amal agama. Allah nak bezakan keinginan Allah dan keinginan mereka yang ikut syahwat. Kalau tak ikut syariat, maka maknanya akan ikut syahwatlah.

Kalau dulu, ini merujuk kepada golongan munafik dan juga golongan Ahli Kitab. Mereka tidak suka dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah lama berpegang dengan satu pegangan agama dan sekarang Nabi Muhammad ﷺ datang dan membawa syariat baru pula. Maka mereka tak suka cara hidup mereka diganggu-gugat.

Memang hati mereka seleweng kalau menolak syariat Allah. Ini kerana terdapat berbagai pembaharuan syariat yang menyenangkan manusia. Walaupun ia berlawanan dengan kebiasaan mereka, tapi ianya baik. Sebagai contoh:

  • Kanak-kanak dan perempuan sudah layak menerima harta pusaka.
  • Wanita yang menjadi janda boleh menentukan hak mereka untuk berkahwin lagi dan tidak lagi tertakluk dengan kehendak keluarga bekas suaminya.
  • Tidak boleh berkahwin dengan adik beradik dalam satu masa lagi.
  • Anak angkat tidak lagi layak menerima harta pusaka.
  • Perkahwinan dengan janda anak angkat dibenarkan.

Perkara di atas adalah berlainan dengan amalan penduduk Tanah Arab dari dahulu lagi. Mereka sudah biasa dengan cara hidup dan undang-undang begitu dan mereka tidak suka apabila ada perubahan. Ini macam orang kita juga yang tidak suka amalan-amalan lama dikatakan sebagai bidaah dan khurafat.

Maka mereka yang tidak suka dengan syariat baru ini mula mengata-ngata perubahan yang dilakukan dalam Islam. Sebagai contoh, mereka mengejek dengan mengatakan mereka yang lahir dari perkahwinan yang ada adik beradik dalam satu perkahwinan itu, sebagai haram. Padahal, mereka tidak bersalah kerana perkahwinan sebegitu tidak diharamkan lagi pada masa dulu. Tapi mereka yang ada kejahatan dalam hati mereka itu sengaja nak menyakitkan hati orang lain dan nak mengajak mereka menentang syariat. Mereka kata: “apa punya karut la hukum baru ini…”

Begitulah juga yang ada dalam hati orang kafir yang jahat. Maka mereka akan kata macam-macam untuk memesongkan kita kepada kesesatan. Sebagai contoh, mereka kata agama Islam ini tindas wanita, wanita tidak boleh kerja, wanita tidak boleh pandu kereta, wanita sepatutnya tidak perlu pakai tudung dan sebagainya.

Kita kena berhati-hati dengan diayah mereka. Kita mungkin terselamat, tapi bagaimana dengan keluarga kita? Anak-anak kita sekarang hidup membesar dalam suasana dimana mereka boleh mendapat maklumat yang salah dari macam-macam arah. Kalau kita kita jaga apa yang sampai kepada anak kita, kita takut mereka akan hanyut nanti jadinya.

Golongan Yahudi lain pula kisah mereka. Mereka pun tidak setuju dengan syariat baru yang disampaikan oleh Rasulullah. Mereka telah lama beragama dan mereka telah menambah-nambah dalam agama mereka. Benda yang tidak haram, mereka telah kata haram. Jadi bila Qur’an datang dan tidak iktiraf undang-undang yang mereka telah reka, maka tentulah mereka marah.

Sebagai contoh, mereka telah mengubah hukum dengan mengatakan perempuan yang dalam haidh tidak suci. Jadi wanita yang dalam haidh bukan sahaja tidak boleh digauli, tapi makanan masakan mereka tidak boleh dimakan, mereka tidak boleh duduk sekali makan di meja makan, sentuh pun tidak boleh.

Tapi Islam datang dan mengatakan wanita itu memang tidak suci pada waktu itu tapi mereka tidak boleh dijimak sahaja. Bukannya tidak boleh duduk sekali dan makan masakan mereka. Tidaklah wanita hina sangat sampai begitu sekali. Jadi apabila Islam tidak iktiraf apa yang mereka reka itu, mereka pun marah dan tidak mahu nak ikut Qur’an. Mereka kata hukum baru ini adalah rekaan Muhammad sahaja.

Begitulah juga yang terjadi dengan ahli bidaah dalam masyarakat kita. Telah ada banyak perkara yang mereka tambah dalam agama dan mereka marah apabila kita kata apa yang mereka katakan itu tidak ada. Sebagai contoh, ada golongan ustaz yang jahil mengatakan bila nak istinja’, kena korek lubang dubur itu dan cuci dengan jari sampai ke dalam.

Ini adalah tambahan dalam agama dan menyusahkan manusia. Jadi bila kata mereka salah dan ajar ajaran salah kepada masyarakat, maka marahlah mereka. Dan mereka menolak golongan Sunnah dengan mengatakan kita sebagai ‘wahabi’ dan golongan sesat sampai tidak membenarkan kita mengajar di masjid dan surau yang mereka mengajar.


 

Ayat 28: Ini adalah kesimpulan dari penerangan tentang syariat yang telah disebut sebelum ini.

يُرِيدُ اللهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الْإِنسٰنُ ضَعِيفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh wants to lighten for you [your difficulties]; and mankind was created weak.

MALAY

Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

 

يُرِيدُ اللهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ

Allah hendak meringankan beban daripada kamu, 

Allah jadikan undang-undang syariat untuk meringankan kita. Kita mungkin sangka yang undang-undang ini menyusahkan kita, bukan? Tapi sebenarnya Allah nak ringankan beban kita. Ringan beban di dunia dan juga di akhirat.

Ada hukum-hukum adat resam masyarakat jahiliah dan yang diajar oleh Ahli Kitab itu berat dan menyusahkan. Maka Allah beri penerangan bahawa ada yang diamalkan itu salah. Dengan itu meringankan kehidupan manusia. Antaranya yang kita sudah belajar, boleh kahwini hamba kalau tidak mampu mengahwini wanita merdeka.

Kalau kita buat sesuatu ikut syariat, hidup kita akan mudah sebenarnya. Kerana hukum syariat yang diwajibkan kepada kita itu adalah sesuai untuk kita sebenarnya. Kalau kita rasa berat, maknanya kita yang ada masalah, bukan hukum itu.

Sebagai contoh, lihat cara perkahwinan kita. Mana yang senang, cara sunnah atau cara adat Melayu yang menyusahkan? Dengan wang belanja yang mahal, kena uruskan kenduri yang besar, hantaran yang berjenis-jenis, pakaian yang melampau, pelamin yang syirik, bunga manggar, adat yang tidak bertepatan dengan syariat dan macam-macam lagi. Bukankah itu menyusahkan?

Ikut cara yang Allah telah jadikanlah yang mudah. Kita pun sepatutnya tidak ada rasa nak kena ikut manusia yang kaya. Sepatutnya kita kena ikut kata Allah sahaja.

 

وَخُلِقَ الْإِنسٰنُ ضَعِيفًا

dan manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Manusia memang dilahirkan dalam keadaan lemah. Manusia tidak mampu mengurus hidup kalau tidak ada syariat dan peraturan hidup. Kerana itu Allah mudahkan kita dengan beri siap-siap apa yang perlu kita ikut. Tak payah pening kepala nak fikir-fikirkan lagi mana yang elok untuk kita.

Kita tidak akan mampu nak reka sendiri hukum yang terbaik. Ini kerana akal kita lemah untuk memikirkan mana yang baik dan mana yang buruk. Maka ikutlah sahaja apa yang Allah telah syariatkan.

Dengan ikut hukum Allah ini dapat menguatkan kita yang lemah. Sebagai contoh, lelaki memang tidak dapat nak menghalang dirinya dari wanita kerana memang sifat lelaki memerlukan wanita. Maka Allah bukan sahaja benarkan tapi malah menganjurkan manusia untuk bernikah. Dengan bernikah, pasangan suami isteri itu dapat memuaskan diri mereka sesama sendiri dan tidaklah mencari-cari perhubungan yang tidak halal. Selagi tidak berkahwin, maka kemungkinan berzina itu lagi tinggi.

Dan hukum yang Allah berikan adalah mudah dan boleh diamalkan. Kerana Allah tahu kita lemah dan tidak mampu buat yang lebih berat. Jadi syariat untuk kita ini memang sudah sesuai sangat untuk kita.

Musa عليه السلام berkata kepada Nabi kita Muhammad ﷺ. ketika beliau menjalani isra dan bersua dengannya di saat baru kembali dari Sidratul Muntaha, “Apakah yang telah difardukan atas kalian?” Nabi ﷺ menjawab, “Allah memerintahkan kepadaku mengerjakan solat lima puluh kali setiap sehari semalam.” Nabi Musa عليه السلام berkata, “Kembalilah kepada Tuhanmu, dan mintalah keringanan kepada-Nya, kerana sesungguhnya umatmu pasti tidak akan mampu melakukan hal tersebut. Sesungguhnya aku telah menguji manusia dengan tugas yang lebih ringan dari itu, tetapi ternyata mereka tidak mampu; dan sesungguhnya umatmu memiliki pendengaran, penglihatan, dan kalbu yang lebih lemah (daripada umatku).”
Maka Nabi ﷺ kembali, dan diringankan sebanyak sepuluh kali, lalu Nabi ﷺ kembali lagi kepada Musa عليه السلام. Hal tersebut terus-menerus terjadi hingga pada akhirnya tinggal salat lima waktu.


 

Ayat 29: Ini adalah hukum ke 14. Sekarang tentang Hukum Pencarian Harta. Harta ini penting kerana ianya menjadi sumber pendapatan manusia dan kalau ada ketidakpuasan hati, akan menyebabkan kekecohan, malah boleh sampai terjadi pembunuhan.

Maka, Allah mengajar apakah yang perlu dijaga dan dipatuhi di dalam berurusan dengan harta. Selepas perkahwinan, lelaki yang bertanggungjawab akan mencari nafkah untuk anak isterinya dan hendaklah dia melakukannya melalui cara yang halal.

يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوٰلَكُم بَيْنَكُم بِالْبٰطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not consume one another’s wealth unjustly¹ but only [in lawful] business by mutual consent. And do not kill yourselves [or one another]. Indeed, Allāh is to you ever Merciful.

  • i.e., unlawfully or under false pretense.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

 

يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوٰلَكُم بَيْنَكُم بِالْبٰطِلِ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah

Perkataan ‘makan’ dalam ayat ini bermaksud ‘ambil’. Dan ia juga termasuk juga makan dan minum. Jangan urus, ambil, guna, makan harta orang lain dengan cara yang salah. Cara yang salah itu boleh jadi macam-macam – curi, tipu, rampas, rasuah, riba, cara peniagaan yang salah, gharar (ketidakpastian) dan sebagainya. Semua itu termasuk dalam cara-cara yang salah, cara ‘bathil’.

Malangnya, ramai yang menipu orang lain dan menggunakan bermacam-macam cara yang salah untuk mendapatkan duit. Sebagai contoh, zaman sekarang, banyak menggunakan kontrak dalam setiap perkara. Kalau kita lihat dalam kontrak, mereka akan menggunakan tulisan kecil dan banyak sangat, sampai orang awam tak tahu apa yang ditulis. Dan mereka pun tidak sempat nak baca atau malas nak baca. Maka mereka akan setuju sahaja.

Tapi apabila ada masalah dengan urusan sesama mereka, penjual akan mengeluarkan kontrak atau terms of agreement, dan mereka kata: “ini semua sudah ada dalam kontrak, dan encik pun sudah tandatangan, jadi kami tidak boleh buat apa.” Maka, yang si pembeli pun terpaksalah gigit jari dan terima sahaja, kerana kalau ke mahkamah pun mereka akan kalah dan buang masa sahaja.

Banyak lagi cara urusan perniagaan dan harta yang batil yang diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam sunnah. Ianya disebut secara ringkas sahaja dalam ayat ini, diperjelaskan dengan lebih terperinci oleh Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu penting untuk kita belajar juga hadis.

Selain dari memakan harta orang lain dengan batil, ayat ini juga melarang manusia memakan hartanya sendiri dengan batil. Ini jikalau kita meluaskan makna ‘harta-harta kamu’ itu kepada harta kita sendiri. Maksudnya jangan menghabiskan harta kepada perkara yang haram dan juga membazir tidak tentu hala.

 

إِلَّا أَن تَكُونَ تِجٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,

Yang dibenarkan kita berurusan dan mengambil harta orang lain adalah dengan cara perniagaan. Kerana perniagaan melibatkan pertukaran barangan atau pertukaran wang sesama pihak yang terlibat. Dan semua pihak terlibat rela untuk melakukan transaksi itu.

Dan kalimah تِجٰرَةً bermaksud perniagaan yang ada tukar milik dengan wang. Maka kalau rasuah, beli saham yang barangnya tiada, perjudian, spekulasi matawang dan beli barang yang belum siap lagi, itu tidaklah termasuk dalam تِجٰرَةً. Ini perlu dipelajar khusus bab muamalat.

Dan perniagaan itu mestilah dengan syarat ada aqad persetujuan bersama. Kena dua-dua pihak setuju dan tahu apa yang mereka lakukan. Sama-sama setuju dan sama-sama mendapat kepentingan masing-masing. Ulama mengatakan dalam perniagaan dan pertukaran barangan itu, kena ada lafaz aqad dan lafaz qabul sebagai bukti kedua-dua pihak itu setuju.

Begitulah Islam begitu menjaga perkara ini supaya manusia dapat hidup dengan harmoni dan tidak ada penipuan. Akan tetapi tidaklah akad itu kena disebut sentiasa. Asalkan boleh difahami ada persetujuan antara kedua belah pihak. Sebagai contoh, kalau pekedai memang sudah jual barangan dia, tidaklah perlu untuk berkata: “saya beli” dan dia kena sebut: “saya jual”.

Memang pandangan Mazhab Syafie dalam hal ini agak keras, tapi ada lagi pendapat mazhab-mazhab lain yang kita kira lebih sesuai kalau untuk diamalkan zaman sekarang. Bayangkan susahnya kita nak amalkan kaedah Mazhab Syafie kalau kita hendak membeli di supermarket, beli dengan mesin atau membeli secara online.

Perniagaan adalah bantu membantu sebenarnya. Satu pihak ada wang untuk diberikan dan memerlukan barang, dan satu pihak lagi ada barang untuk dijual. Kalau tidak ada syariat yang menetapkan perkara ini, tentu yang akan terjadi adalah rampas merampas.

Rampas merampas itu tidak ada seorang pun yang suka dan ia sampai boleh membawa kepada perbunuhan kerana tidak puas hati. Sebab tidak ada yang rela orang ambil harta dia.

Perniagaan itu juga mestilah satu pihak redha dengan pihak yang lain. Kalau ada elemen paksaan, itu juga termasuk perkara yang dilarang. Sebagai contoh, kalau kita paksa seseorang beli barang dari kita, itu adalah paksaan, walaupun kita beri barang kepadanya dan dia pun beri wang kepada kita; atau kalau kita monopoli semua barangan dapur, sampai semua kena beli dengan kita, mahu tak mahu. Itu pun tidak dikira sebagai redha kerana mereka terpaksa beli dengan kita, kalau tidak mereka akan mati kebuluran.

Perniagaan bukanlah satu-satunya cara yang halal untuk mendapatkan harta atau pendapatan. Ada lagi banyak cara-cara lain. Antaranya, dengan mendapat hadiah. Dalam pemberian hadiah, hanya satu pihak sahaja yang memberi. Pemberian hadiah dibenarkan malah digalakkan dalam Islam.

Tapi hanya disebut perniagaan dalam ayat ini kerana ianya adalah cara yang selalu digunakan dan ianya adalah cara yang paling baik untuk mendapatkan harta yang banyak.

Dan menjadi penjual dan peniaga yang jujur boleh menjadi asbab untuk dimasukkan ke dalam syurga dan duduk di tingkatan yang tinggi:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: « التَّاجِرُ الأَمِينُ الصَّدُوقُ الْمُسْلِمُ مَعَ الشُّهَدَاءِ – وفي رواية: مع النبيين و الصديقين و الشهداء –  يَوْمَ الْقِيَامَةِ » رواه ابن ماجه والحاكم والدارقطني وغيرهم

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Seorang pedagang muslim yang jujur dan amanah (terpercaya) akan (dikumpulkan) bersama para Nabi, orang-orang shiddiq dan orang-orang yang mati syahid pada hari kiamat (nanti).” HR Ibnu Majah (no. 2139), al-Hakim (no. 2142) dan ad-Daraquthni (no. 17), dalam sanadnya ada kelemahan, akan tetapi ada hadits lain yang menguatkannya, dari Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu ‘anhu, HR at-Tirmidzi (no. 1209) dan lain-lain. Oleh kerana itu, hadits dinyatakan baik sanadnya oleh imam adz-Dzahabi dan syaikh al-Albani.

Nota: ‘Kerelaan’ bukanlah tanda yang ianya dibenarkan. Ada orang yang bertukar harta dan sama-sama rela. Tapi kalau ianya tidak halal seperti pemberian rasuah, maka ia tetap tidak halal. Atau kalau perniagaan itu barang yang haram, ia tetap haram walaupun kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bertukar wang dan barang. Yang haram tetap haram.

 

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ

dan janganlah kamu bunuh diri kamu.

Potongan ayat ini boleh berdiri sendiri atau sambung dari bahagian awal tadi tentang perniagaan.

Kalau ia bersambung dari awal, ia hendak menceritakan bahaya kalau tidak diikuti hukum Allah sebelum ini. Apabila perniagaan tidak dijalankan dengan jujur, ekonomi masyarakat akan jadi kacau bilau. Ini kerana akan ada yang terlebih kaya dan ada yang terlebih miskin.

Apabila ketidakpuasan semakin tinggi, kadar jenayah akan meningkat. Maka boleh jadi manusia berbunuhan sesama sendiri. Ini kerana korupsi akan bermaharajalela. Memang mereka bunuh orang lain, tapi itu pun dikira bunuh diri sendiri kerana orang lain dikira sebagai sebahagian dari kita juga.

Maka kalau perniagaan tidak dikawal dan pembahagian harta dijaga supaya semua puas hati, maka akhirnya keadaan akan menjadi teruk dan akhirnya akan terjadi perbunuhan sesama sendiri jikalau benda ini tidak dikawal dengan baik. Sebagai contoh, ada yang benci sangat kepada golongan kaya, dan mereka akan memberontak. Ini telah banyak kita lihat di negara-negara yang mengamalkan sistem pembahagian harta yang tidak terkawal.

Atau kalau ada yang terasa dia telah ditipu dalam perniagaan atau hak dia, maka dia mungkin buat keputusan untuk bunuh orang yang telah menipunya.

Kalau ayat ini berdiri sendiri, maka ini adalah larangan untuk membunuh. Samada bunuh orang lain atau bunuh diri sendiri. Ayat ini adalah sebagai satu dalil yang kita tidak boleh bunuh diri kita sendiri. Nyawa kita telah diberi oleh Allah dan kita tidak berhak untuk mengambilnya dengan tangan kita sendiri kerana kita tidak layak. Hanya Allah sahaja yang layak mengambil nyawa kita.

Ada banyak hadis dari Nabi ﷺ yang melarang membunuh diri. Ini adalah salah satu darinya:

من قتل نفسه بحديدة فحديدته فى يده يتوجأ بها فى بطنه فى نار جهنمخالدا مخلدا فيها أبدا ومن شرب سما فقتل نفسه فهو يتحساه فى نار جهنم خالدا مخلدافيها أبدا ومن تردى من جبل فقتل نفسه فهو يتردى فى نار جهنم خالدا مخلدا فيها أبدا

[ Barangsiapa bunuh diri dengan menggunakan besi, maka tangannya akan melukai perutnya sendiri dengan besi itu di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa bunuh diri dengan cara minum racun, maka dia akan terus meminumnya di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa melompat dari tebing untuk bunuh diri, maka dia akan terus terjatuh di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya ] [ HR. Muslim ; 313 ]

Oleh itu, kita tidak boleh bunuh diri kita, dan kita tidak boleh bunuh orang lain. Ini jelas dan sekarang kita sudah tahu dalilnya.

Dalam satu ayat ini, ada disebut penjagaan harta dan penjagaan nyawa. Kenapa didahulukan penjagaan harta sebelum penjagaan nyawa, sedangkan tentu nyawa itu lebih penting? Ditakdimkan penjagaan harta kerana salahguna atau penipuan dalam hal harta itu lebih kerap terjadi dari pembunuhan diri atau pembunuhan orang lain.

Penggunaan ayat ini amat luas. Seorang sahabat telah menggunakan ayat ini dengan luas sekali:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا حَسَنُ بْنُ مُوسَى، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعة، حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ عمْران بْنِ أَبِي أَنَسٍ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ جُبَير، عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّهُ قَالَ لَمَّا بَعَثَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ ذَاتِ السَّلَاسِلِ قَالَ: احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ، فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي صَلَاةَ الصُّبْحِ، قَالَ: فَلَمَّا قدمتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: “يَا عَمْرُو صَلَّيت بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ! ” قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ، فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أهلكَ، فَذَكَرْتُ قَوْلَ اللَّهِ [عز وَجَلَّ] {وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا} فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ. فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasan ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai’ah, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Abu Habib, dari Imran ibnu Abu Anas, dari Abdur Rahman ibnu Jubair, dari Amr ibnul As r.a. yang menceritakan bahawa ketika Nabi ﷺ mengutusnya dalam Perang Zatus Salasil, di suatu malam yang sangat dingin dia bermimpi mengeluarkan air mani. Ia merasa khawatir bila mandi jinabah, nanti akan binasa. Akhirnya dia terpaksa bertayamum, lalu salat Subuh bersama teman-temannya. Amr ibnul As melanjutkan kisahnya, “Ketika kami kembali kepada Rasulullah ﷺ, maka aku ceritakan hal tersebut kepadanya. Beliau bersabda, ‘Hai Amr, apakah kamu salat dengan teman-temanmu, sedangkan kamu mempunyai jinabah?’. Aku (Amr) menjawab, ‘Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku bermimpi mengeluarkan air mani di suatu malam yang sangat dingin, hingga aku merasa khawatir bila mandi akan binasa, kemudian aku teringat kepada firman Allah Swt. yang mengatakan: Dan janganlah kalian  membunuh diri kalian,  sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kalian. (An-Nisa: 29) Kerana itu, lalu aku bertayamum dan salat.’ Maka Rasulullah ﷺ tertawa dan tidak mengatakan sepatah kata pun.”

 

إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Allah amat kasih kepada hambaNya dan sebab itu Dia beri syariat untuk mengawal transaksi antara manusia. Syariat itu untuk kebaikan kita supaya perjalanan sosial dan ekonomi manusia jadi teratur, semua puas hati dan tidak berlaku kacau bilau dan perbunuhan.

Kalau Allah tak kasih, Allah boleh sahaja cipta kita tapi biarkan kita apa yang kita hendak buat. Tentulah kalau begitu, akan jadi kacau bilau, bukan?


 

Ayat 30: Takhwif Ukhrawi.

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does that in aggression and injustice – then We will drive him into a Fire. And that, for Allāh, is [always] easy.

MALAY

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

 

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, 

Sesiapa yang yang melanggar hukum Allah, Allah akan masukkan dia ke dalam neraka. Ini adalah ancaman dari Allah yang amat keras. Setelah mengetahui hukum-hukum yang telah disebutkan, maka hendaklah kita berjaga-jaga dan menunaikan tanggungjawab yang dikehendaki oleh hukum itu.

Dalam ayat ini, digunakan perkataan عُدْوَانًا وَظُلْمًا (menceroboh dan zalim), memberi isyarat bahawa yang akan dimasukkan ke dalam neraka adalah mereka yang sengaja melakukan kesalahan itu. Sengaja hendak melawan hukum Allah. Kalau tidak sengaja, atau dia tahu ia salah tapi tak mampu lagi untuk tidak melakukannya, maka tidak termasuk dalam ancaman ayat ini.

Tapi ada yang kurang ajar, sengaja nak melanggar hukum Allah. Mereka itu yang termasuk dalam ayat ini.

 

وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيرًا

dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, 

Senang sahaja Allah nak masukkan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya ke dalam neraka. Kerana Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Dan Dia tidak kisah sama sekali dengan reaksi dari sesiapa pun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusya.

Kemaskini: 25 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 25 – 26 (Berkahwin dengan hamba)

Ayat 25: Ini adalah sambungan tentang hukum berkahwin dengan hamba.

Ada ketikanya, berkahwin dengan hamba yang dimiliki oleh orang lain itu adalah lebih sesuai kepada seseorang kerana ianya lebih murah dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi kepada isteri itu kurang sedikit daripada tanggungjawab kepada isteri dari kalangan wanita yang merdeka. Mari kita lihat ayat ini.

وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنٰتِ الْمُؤْمِنٰتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُم مِّن فَتَيٰتِكُمُ الْمُؤْمِنٰتِ وَاللهُ أَعْلَمُ بِإِيمٰنِكُم بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَءآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ مُحْصَنٰتٍ غَيْرَ مُسٰفِحٰتٍ وَلَا مُتَّخِذٰتِ أَخْدَانٍ فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفٰحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنٰتِ مِنَ الْعَذَابِ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ وَاللهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever among you cannot [find] the means to marry free, believing women, then [he may marry] from those whom your right hands possess of believing slave girls. And Allāh is most knowing about your faith. You [believers] are of one another. So marry them with the permission of their people and give them their due compensation [i.e., mahr] according to what is acceptable. [They should be] chaste, neither [of] those who commit unlawful intercourse randomly nor those who take [secret] lovers. But once they are sheltered in marriage, if they should commit adultery, then for them is half the punishment for free [unmarried] women. This [allowance] is for him among you who fears affliction [i.e., sin], but to be patient is better for you. And Allāh is Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba – abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنٰتِ الْمُؤْمِنٰتِ

Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik lagi beriman,

Ini hukum dan jalan keluar kepada lelaki yang tidak mampu untuk berkahwin dengan wanita yang merdeka. Mungkin kerana permintaan mahr yang tinggi, atau rendah tapi dia masih tak mampu juga sebab memang tidak ada apa-apa.

 

فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُم مِّن فَتَيٰتِكُمُ الْمُؤْمِنٰتِ

maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki.

Kalau tidak mampu untuk berkahwin dengan wanita yang merdeka, seorang lelaki dibolehkan untuk berkahwin dengan hamba perempuan yang mukmin. Sebaiknya seorang lelaki merdeka kahwinlah juga dengan wanita merdeka. Tapi kalau dia memang tidak mampu bolehlah kahwin dengan wanita hamba, bagi mengelak dari melakukan zina.

Jangan terus nak kahwin dengan wanita yang hamba kerana itu bukanlah pilihan yang pertama. Kerana itulah Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa mengahwini wanita status hamba adalah makruh. Sementara Imam Syafie mengatakan kalau mampu mengahwini wanita merdeka, haram berkahwin dengan wanita hamba.

Dan hamba perempuan itu dimiliki oleh orang Islam juga. Inilah maksud أَيْمَانُكُم dalam ayat ini. Ini kerana dhomir كم itu merujukan kepada ‘orang Islam’.

Ini hanya berlaku pada zaman dahulu. Kerana sekarang tidak ada lagi hamba. Jadi, walaupun belanja perkahwinan sekarang mahal, jalan ini bukanlah jalan yang boleh digunakan.

Memang belanja perkahwinan sekarang terlalu mahal sampai menyebabkan pasangan lelaki dan perempuan terpaksa menangguh pernikahan mereka sampai duit cukup untuk buat belanja kahwin. Kadang-kadang semasa tunggu itu, mereka terlanjur melakukan perzinaan. Atau mereka melakukan perkara yang tidak patut.

Ini semua adalah kerana masalah masyarakat kita yang mementingkan kebendaan dan hendak menunjuk-nunjuk kepada orang ramai yang mereka mampu buat kenduri yang besar-besar. Dipanggil datang mereka yang tidak patut-patut seperti kumpulan kugiran, kumpulan kompang, beribu-ribu orang dan macam-macam lagi. Akhirnya ia menjadi satu pesta yang dipenuhi dengan maksiat.

Yang susahnya adalah pasangan yang hendak berkahwin itu. Mereka terpaksa mengumpul untuk masa yang lama, untuk dapat kahwin dan dihabiskan pada satu hari sahaja. Dan kalau mereka tidak mampu, mereka terpaksa pinjam dari bank dan bank tentunya mengenakan kadar riba yang tinggi.

Maka, pasangan itu memulakan kehidupan mereka bersama dengan hutang yang bertambah-tambah. Baru menikah dan hendak memulakan kehidupan berkeluarga, sudah ada hutang yang kena dibayar. Sedangkan waktu itulah yang memerlukan wang. Tambahan pula kalau dapat anak. Siapa yang susah?

Inilah yang terjadi kepada masyarakat sekarang. Agaknya, siapakah yang boleh memperbetulkannya? Kena orang yang ada agama lah yang membetulkannya. Jangan pakat sertai sekali majlis yang membazir itu. Kenalah nasihat sikit kepada ‘ibu-ibu’ dan ‘makcik-makcik’ yang suka melaram itu.

 

وَاللهُ أَعْلَمُ بِإِيمٰنِكُم

Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; 

Nak buat apa-apa pun, kena tahu yang Allah mengetahui apa yang dalam hati kita.

Juga bermaksud yang Allah tahu samada seseorang itu beriman atau tidak. Kalau seseorang itu hamba, tapi ia beriman, itu lebih baik dari seorang yang merdeka tapi tidak beriman. Kerana pada pandangan Allah, bukan kemerdekaan yang penting, tapi iman. Mungkin orang yang jadi hamba itu lebih beriman dari orang yang merdeka.

 

بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ

kamu masing-masing adalah berasal dari sebahagian yang lain

Kamu yang beriman dikira dari sebahagian yang lain. Walau berbeza kerana ada yang status hamba dan ada yang merdeka tapi dari asal yang sama, iaitu keturunan Nabi Adam juga. Kerana sama sahaja pada Allah kalau iman yang sama. Yang penting adalah iman.

Allah sebut tentang iman dalam ayat yang bercakap tentang perkahwinan dengan hamba sahaya, untuk mengingatkan kepada manusia bahawa manusia sama sahaja. Kerana mungkin ada yang tidak dapat terima seorang yang merdeka mengahwini seorang hamba. Jadi Allah ingatkan balik yang semuanya manusia. Yang jadi hamba itu kerana suasana sahaja.

Kita kena ingat yang zaman manusia mengamalkan sistem perhambaan, status hamba ini adalah amat rendah sekali. Maka, Allah buka minda manusia dengan mengingatkan manusia kepada iman. Janganlah halang kalau ada orang merdeka nak kahwin dengan hamba. Jangan juga pandang rendah kepada mereka. Mereka terpaksa menikah dengan hamba kerana terpaksa.

 

فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ

Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya

Perkahwinan itu boleh dijalankan dengan persetujuan tuan hamba itu. Ini adalah kerana tuannya itulah yang menjadi wali wanita hamba itu. Kalau tuannya tidak beri kebenaran, tidak boleh berkahwin dengan wanita itu. Seperti disebutkan di dalam sebuah hadis yang mengatakan:

“أَيُّمَا عَبْدٍ تَزَوّج بِغَيْرِ إِذَنْ مَوَاليه فَهُوَ عَاهِر”

siapa pun budaknya kawin tanpa seizin tuan-tuannya, maka dia adalah seorang pezina.

Dan kalau tuan kepada hamba itu adalah seorang wanita, maka yang menjadi wali bagi hamba wanita itu adalah wali kepada tuannya itu sendiri.

 

وَءآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut.

Untuk mengahwini wanita hamba pun perlulah dibayar mahr mereka. Berilah dengan cara makruf – dengan cara yang patut. Janganlah kerana mereka itu hanya hamba sahaya sahaja, kamu tidak bayar mahr mereka.

Mahr pun kena beri kepada tuan hamba. Sebab seorang hamba terikat dengan tuannya. Seorang hamba itu tidak ada hak, sampaikan mereka pun tidak ada harta, jadi mahr pun bukan hak mereka. Akan tetapi, Imam Malik tetap berpendapat yang mahr adalah hak wanita hamba itu.

 

مُحْصَنٰتٍ غَيْرَ مُسٰفِحٰتٍ

Mereka yang hendak menjaga maruah, bukan perempuan-perempuan lacur, 

Kahwinilah wanita hamba yang mahu memelihara diri dari zina. Bukan jenis pelacur. Maknanya kena cari wanita yang baik.

Walaupun ayat ini tentang wanita hamba, tapi seorang lelaki pun kenalah cari wanita merdeka yang baik juga untuk dikahwini. Jangan menikah dengan wanita yang suka berpeleseran.

 

وَلَا مُتَّخِذٰتِ أَخْدَانٍ

dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. 

Bukan perempuan yang mahu lelaki simpanan. Ini pun ada juga pada zaman itu. Sebagai contoh ada perempuan kaya yang berani mengambil lelaki sebagai lelaki simpanan. Jangan kita sangka lelaki sahaja yang ada mengambil perempuan simpanan. Dalam ayat ini pula, ia bermaksud perempuan yang ada teman dia (boyfriend) tapi bukan suaminya (bersekedudukan). Maka jangan kahwini hamba yang sebegitu.

 

فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفٰحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنٰتِ مِنَ الْعَذَابِ

Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka.

Sekiranya hamba perempuan buat dosa zina selepas dia telah berkahwin, hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah separuh dari hukuman yang dikenakan kepada orang merdeka. Kalau orang merdeka kena 100 rotan, mereka dikenakan dengan 50 rotan sahaja.

Ada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya melalui Ali r.a., bahawa dia pernah berkhutbah, “Hai manusia sekalian, tegakkanlah hukuman had atas budak-budak perempuan kalian, baik yang telah menikah ataupun yang belum menikah. Kerana sesungguhnya pernah budak perempuan milik Rasulullah ﷺ melakukan perbuatan zina, maka beliau ﷺ memerintahkan kepadaku untuk menderanya. Ternyata budak perempuan tersebut masih baru dalam keadaan nifas, maka aku merasa khawatir bila menderanya, nanti dia akan mati. Ketika aku ceritakan hal tersebut kepada Nabi ﷺ , maka Nabi ﷺ  bersabda:

«أَحْسَنْتَ اتْرُكْهَا حَتَّى تَمَاثَلَ»

‘Tindakanmu baik, biarkanlah dia dahulu hingga keadaannya membaik”.”

Menurut   riwayat   Abdullah   ibnu   Ahmad,   dari   selain   ayahnya, Rasulullah Saw. bersabda kepadanya:

«فَإِذَا تَعَالَتْ مِنْ نَفْسِهَا حَدَّهَا خَمْسِينَ»

Apabila dia telah bebas dari nifasnya, maka deralah dia sebanyak lima puluh kali.

Hukuman kepada penzina yang telah berkahwin adalah rejam sampai mati. Tapi kalau rejam sampai mati, tentulah tidak boleh dibahagi dua (tidak ada rejam separuh mati). Jadi, ayat ini merujuk kepada hukuman yang boleh dibahagi, iaitu 100 rotan menjadi 50 rotan. Allahu a’lam.

 

ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ

bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; 

Hukum kebenaran berkahwin dengan hamba ini khusus kepada yang takut berlaku perzinaan sahaja. Kalau ada yang rasa, kalau tidak bernikah, dia akan melakukan zina dengan wanita lain. Ini adalah kerana perkahwinan dengan hamba ini tidak digalakkan.

 

وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ

dan jika kamu bersabar, itu adalah lebih baik bagi kamu.

Kalau boleh sabar sehingga cukup belanja untuk kahwin dengan perempuan merdeka, itu adalah lebih baik. Kahwin dengan wanita yang merdeka itu lebih baik. Antaranya, kerana anak akan merdeka juga.

Ini bermakna, kalau berkahwin dengan wanita yang menjadi hamba sahaya kepada seseorang, dan mereka dapat anak, anak hasil dari perkahwinan itu akan menjadi hamba pula kepada tuan yang asal itu.

Dan seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita hamba adalah perbuatan yang rendah kerana kedudukan mereka tidak sama. Maka kalau boleh, dielakkan.

Diingatkan bahawa perkahwinan dengan hamba ini adalah kepada mereka yang tidak mampu untuk berkahwin dengan wanita yang merdeka. Jadi, kalau seseorang yang mampu, tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita yang hamba, mengikut pendapat Imam Syafie.

 

وَاللهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Walaupun perkahwinan dengan wanita yang hamba tidak digalakkan dan dikira termasuk dalam perkara makruh, tapi Allah ampunkan perkara itu, kerana ada sebab lelaki itu terpaksa berkahwin dengan wanita hamba.

Allah juga maha mengasihani, dimana Allah telah membenarkan perkahwinan dengan wanita yang hamba. Allah boleh sahaja tidak benarkan, tapi Allah benarkan atas sifat RahmahNya.

Habis Ruku’ 4 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 26: Selalu orang tanya, apa yang Allah hendak dari kita? Banyak sangat bagi hukum kepada manusia, sampai ada yang rasa lemah dan lemas dengan undang-undang Islam ini (kerana mereka tidak faham).

Oleh kerana tidak faham keindahan hukum-hukum Allah dalam Qur’an, maka ramai yang mempersoalkan undang-undang yang disampaikan. Maka ayat ini menjawap persoalan itu.

يُرِيدُ اللهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَاللهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh wants to make clear to you [the lawful from the unlawful] and guide you to the [good] practices of those before you and to accept your repentance. And Allāh is Knowing and Wise.

MALAY

Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

يُرِيدُ اللهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ

Allah menghendaki untuk menerangkan kepada kamu

Allah ingin jelaskan undang-undang syariat keluarga dan undang-undang yang lain. Dalam ayat-ayat yang kita telah belajar ini, Allah menjelaskan apakah hukum-hukum yang perlu kita ikuti.

Hukum-hukum itu memberitahu manakah yang baik dan manakah yang tidak. Semuanya itu adalah untuk kebaikan diri kita. Kalau kita belajar, akan jelas kepada kita betapa pentingnya undang-undang itu.

 

وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ

dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu

Allah mengajar kepada kita tentang cara hidup orang-orang yang berjaya sebelum kita. Kerana itulah jalan untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Hukum-hukum yang dikenakan untuk kita ikut itu bukan diberikan kepada umat Nabi Muhammad sahaja, tapi telah diberikan juga kepada para Nabi dan umat-umat sebelum kita.

Allah hendak kita berjaya dalam kehidupan kita. Maka kita kena belajar dengan contoh-contoh perjalanan hidup orang-orang yang terdahulu sebelum kita. Kalau kita ikut contoh kejayaan mereka, maka kita pun akan berjaya juga.

 

وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ

dan juga untuk menerima taubat kamu. 

Dan Allah hendak menerima taubat kita. Kerana itu Allah ajar tentang taubat di dalam ayat-ayat sebelum ini. Allah menganjurkan kita bertaubat dan Allah sebut cara-caranya. Dan kita belajar apakah tujuan taubat dan kita dah belajar Allah suka menerima taubat.

Jangan kita tertipu dengan syaitan yang menjadikan kita putus asa dengan dosa-dosa kita. Ada orang yang sudah terlalu banyak dosa sampai mereka rasa Allah tidak akan ampunkan dosa mereka lagi.

 

وَاللهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Oleh kerana Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana, maka hukum yang telah ditetapkanNya itu tentulah ada banyak kebaikan dan banyak hikmat. Kalau kita dapat ikut undang-undang itu, kita pasti akan berjaya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 24 (Nikah Mut’ah)

Ayat 24: Ini adalah Hukum ke 13 dalam Surah an-Nisa ini. Hukum perkahwinan dengan hamba yang beriman yang dimiliki oleh orang lain.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang wanita-wanita yang langsung tidak boleh dikahwini sampai bila-bila. Ayat ini menyebut tentang mereka yang tidak boleh dikahwini juga, tapi ianya haram bersyarat. Iaitu kalau sebab yang menyebabkan mereka haram dikahwini itu diangkat, mereka boleh dikahwini.

Sebagai contoh, memang kita tahu tak boleh kahwin isteri orang. Tapi kalau dia bukan isteri orang lagi, sudah boleh dikahwini, bukan?

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ كِتٰبَ اللهِ عَلَيْكُمْ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَئآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرٰضَيْتُم بِهِ مِن بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [also prohibited to you are all] married women except those your right hands possess.¹[This is] the decree of Allāh upon you. And lawful to you are [all others] beyond these, [provided] that you seek them [in marriage] with [gifts from] your property, desiring chastity, not unlawful sexual intercourse. So for whatever you enjoy [of marriage] from them, give them their due compensation² as an obligation. And there is no blame upon you for what you mutually agree to beyond the obligation. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.

  • i.e., slaves or war captives who had polytheist husbands.
  • The mahr, a specified gift to the bride required of the man upon marriage.

MALAY

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ النِّسَاءِ

Dan perempuan-perempuan isteri orang, 

Ini adalah sambungan dari ayat-ayat pengharaman berkahwin dengan wanita-wanita dalam ayat sebelum ini. Senarai itu diteruskan lagi. Perempuan-perempuan yang masih isteri orang, tidak boleh kita kahwini.

Oleh itu, seorang isteri hanya boleh dikahwini oleh seorang lelaki. Tidaklah boleh seorang isteri ada ramai suami. Ada yang mulut celupar, mengatakan kalau suami boleh ada isteri banyak, isteri pun bolehlah ada suami yang banyak juga. Ini adalah kata-kata yang menentang ketentuan Allah.

Ia juga tidak praktikal, sebagai contoh, kita pun tahu yang tujuan perkahwinan adalah untuk mendapatkan anak. Seorang wanita hanya boleh melahirkan seorang anak sahaja pada satu-satu masa. Kalau dia ada banyak suami, kalau dia melahirkan anak, anak siapakah yang dilahirkan itu? Sedangkan kalau seorang suami ada banyak isteri, dan semua isterinya melahirkan anak, dia boleh pasti bahawa itu semua adalah anaknya.

 

إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ

kecuali hamba sahaya yang kamu miliki.

Isteri orang adalah haram untuk dikahwini, melainkan kalau mereka itu hamba sahaya kita. Hamba sahaya itu boleh didapati dari hasil perang. Setelah musuh dikalahkan, kita boleh mengambil wanita-wanita sebagai tawanan dan mereka boleh menjadi milik kita.

Mungkin mereka itu isteri seseorang di negara Kafir Harbi, tapi apabila mereka masuk ke negara Islam, perkahwinan mereka itu telah mansukh.

Ada khilaf ulama berkenaan keadaan jikalau suami dan isteri yang ditangkap dan dijadikan hamba. Imam Abu Hanifah berpendapat pernikahan mereka masih ada, tapi Imam Malik dan Imam Syafie berpendapat pernikahan mereka dimansukhkan.

Mungkin mereka itu isteri orang, tapi kerana mereka hamba sahaya, mereka boleh dinikahi oleh kita. Cuma syaratnya, kena pastikan yang mereka tidak hamil waktu itu. Oleh itu, sebelum bersama dengan mereka, kenalah ditunggu sehingga haidh wanita itu datang sekali dahulu. Perbuatan ini dinamakan istibra‘ (membersihkan rahim).

Ada hadis riwayat Tirmizi berkenaan perkara ini:

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، أَخْبَرَنَا حَبَّانُ بْنُ هِلاَلٍ، حَدَّثَنَا هَمَّامُ بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا قَتَادَةُ، عَنْ أَبِي الْخَلِيلِ، عَنْ أَبِي عَلْقَمَةَ الْهَاشِمِيِّ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ أَوْطَاسٍ أَصَبْنَا نِسَاءً لَهُنَّ أَزْوَاجٌ فِي الْمُشْرِكِينَ فَكَرِهَهُنَّ رِجَالٌ مِنْهُمْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ ‏:‏‏(‏وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلاَّ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ‏)‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ ‏

Pada Hari Awtas (Peperangan Awtas), kami menawan beberapa wanita yang mempunyai suami di kalangan orang-orang musyrik, beberapa sahabat ada yang tidak suka (mengadakan hubungan kelamin dengan hamba yang ada suami), maka Allah Taala menurunkan ayat: “Dan wanita yang bersuami, kecuali orang-orang yang tangan-tangan kanan kamu memiliki … (04:24)” Tirmizi mengatakan yang hadis ini hasan.

Juga dalam hadis yang lain:

حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ مَيْسَرَةَ الْقَوَارِيْرِيُّ حَدَّثَنَا يَزِيْدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيْدُ بْنُ أَبِي عَرُوْبَةَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ صَالِحٍ أَبِي الْخَلِيْلِ عَنْ أَبِي عَلْقَمَةَ الْهَاشِمِيِّ عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ اَلْخُدْرِيِّ :

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ حُنَيْنٍ بَعَثَ جَيْشًا إِلَى أَوْطَاسَ فَلَقُوْا عَدُوًّا فَقَاتَلُوْهُمْ فَظَهَرُوْا عَلَيْهِمْ وَأَصَابُوْا لَهُمْ سَبَايَا فَكَأَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحَرَّجُوْا مِنْ غِشْيَانِهِنَّ مِنْ أَجْلِ أَزْوَاجِهِنَّ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي ذَلِكَ { وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلاَّ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ } [4 /النساء/ الآية 24] أَيْ فَهُنَّ لَكُمْ حَلاَلٌ إِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُهُنَّ

33 – (1456)

Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah bin Umar bin Maisarah Al Qawariri telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai’ telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Abu ‘Arubah dari Qatadah dari Shalih Abu Al Khalil dari Abu Alqamah Al Hasyimi dari Abu Sa’id Al Khudri :

Bahawa pada saat perang Hunain, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengirim ekspedisi ke wilayah Authas, kemudian mereka bertemu dengan musuh dan terjadilah pertempuran, akhirnya mereka dapat mengalahkan musuh dan berhasil menawan musuh, di antaranya adalah tawanan wanita, seakan-akan para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keberatan menggauli mereka, karena mereka memiliki suami-suami yang masih musyrik. Maka Allah menurunkan ayat mengenai hal itu “Dan di haramkan bagi kamu mengawini wanita-wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang kalian miliki, (Allah telah menetapkan hukum itu) sebgai ketetapan-Nya atas kamu.” (QS: An Nisaa’ : 24). Maksudnya, mereka halal bagimu setelah ‘iddah mereka habis. (Shahih Muslim 1456 -33  )

Dalam Islam hamba perempuan dihalalkan untuk digauli sebagaimana layaknya seorang isteri, namun hamba tersebut hanya boleh digauli oleh tuannya saja.

Ertinya hamba yang dimiliki oleh seorang bapa tidak boleh digauli oleh anaknya atau siapapun yang lain. Bahkan apabila dia telah melahirkan anak maka statusnya telah bertukar menjadi ‘ummul walad’ dimana tuannya tidak boleh menjualnya kepada yang lain, tetapi dia perlu terus memelihara atau memerdekakannya.

Undang-undang hamba masih lagi berjalan dalam syariat Islam. Memang tidak ada hamba lagi zaman sekarang, jadi hukum hamba itu ‘tergantung’. Ianya tidak dimansukhkan, dan boleh digunakan apabila perlu.

Oleh kerana sekarang tidak ada perang jihad, dan kalau ada perang pun, tidaklah pihak musuh mengambil hamba dari tawanan mereka, maka tidaklah Islam menjalankan sistem perhambaan lagi sekarang. Tetapi katakanlah ianya dimulakan oleh pihak musuh Islam, jadi sistem hamba masih boleh dijalankan semula.

Sebelum Islam diturunkan, perbudakan atau perhambaan sangat biasa dan tidak ada batasan yang melarangnya. Ertinya siapa saja dapat dijadikan hamba dengan cara apapun, seperti dirampas, diculik dan sebagainya. Namun ketika Islam datang perhambaan sangat dibatasi. Iaitu hanya tawanan perang yang boleh dijadikan hamba. Sebab hal ini sudah menjadi konvensi internasional, dimana orang Islam pun ditawan oleh musuh akan dijadikan hamba.

Undang-undang Islam berkenaan hamba ini ada disebut di dalam kitab-kitab Fiqh dengan terperinci. Cuma mungkin jarang diajar kerana tidak ada praktikal buat masa sekarang kerana tidak ada hamba lagi zaman sekarang. Tapi kita kena faham yang bukan Islam yang memulakan sistem perhambaan.

Undang-undang Islam cuma mengawal sistem perhambaan supaya tidak ada penyalahgunaan kepada mereka. Bayangkan, dalam Islam apabila ada hamba, hamba itu kena makan apa yang kita makan dan pakai pakaian apa yang kita pakai.

 

كِتٰبَ اللهِ عَلَيْكُمْ

suatu ketetapan hukum Allah atas kamu.

Hukum ini adalah ketetapan dari Allah, maka hendaklah kita jaga, dan jangan kita langgar. Perkahwinan dengan isteri orang lain memang tidak akan boleh sampai bila-bila.

Begitu juga dengan hukum perhambaan dan bagaimana seorang tuan boleh bergaul dengan hamba wanitanya. Mungkin kerana tidak belajar, ramai yang salah faham tentang sistem perhambaan dan bagaimana seorang tuan boleh mengadakan hubungan seks dengan hambanya. Mungkin ada yang rasa ini tidak patut. Jadi kita kena tahu serba sedikit undang-undang perhambaaan ini:

1. Islam tidaklah membenarkan seorang tentera terus mengadakan hubungan kelamin dengan wanita dari pihak musuh yang ditangkap. Mereka itu semua dikira sebagai harta kerajaan dan perlu diberikan kepada kerajaan dulu. Kerajaan yang akan buat keputusan tentang mereka.

Kerajaan boleh pilih samada untuk bebaskan dengan percuma, bebaskan tapi dengan tebusan, tukar dengan tawanan perang Orang Islam, atau dibahagikan kepada para tentera Muslim. Apabila telah diberikan, barulah boleh mengadakan hubungan seks dengan mereka.

2. Itu pun setelah menerima wanita tawanan itu, seorang lelaki kena tunggu satu kitaran haid untuk memastikan wanita itu tidak mengandung. Kalau mengandung, kena tunggu wanita itu bersalin dahulu.

3. Wanita tawanan perang yang dijadikan hamba itu tidak semestinya kena dari kalangan Ahli Kitab. Boleh mereka digauli walaupun mereka itu dari agama lain pun.

4. Hanya tuannya sahaja yang boleh menjimak wanita itu, tidak boleh diberikan kepada orang lain (ini kebiasaan zaman Jahiliah). Dan apabila wanita itu beranak, maka anak itu adalah anak kepada tuannya dan dapat hak-hak sebagai seorang anak (dapat harta pusaka dan sebagainya).

Dan wanita itu sudah mendapat status Ummul Walad dan tidak boleh dijual kepada orang lain lagi. Dan apabila tuannya mati, wanita itu otomatik menjadi bebas.

5. Tuan itu boleh membenarkan wanita hambanya itu mengahwini orang lain. Dan apabila dia sudah berkahwin, tuan itu tidak boleh menjimaknya lagi. Cuma wanita itu boleh berkhidmat dalam bentuk lain (mencuci rumah dan lain-lain lagi).

6. Isteri yang sah hanya boleh setakat 4 orang sahaja, tapi tidak ada had untuk wanita hamba. Ini bukanlah untuk membenarkan seorang lelaki menjadikan harem pula di rumahnya. Tapi tiada had ditetapkan kerana tidak tahu berapa banyak perang akan ada dan berapa banyak tawanan perang akan didapati.

7. Hamba sebagai harta dan boleh dipindah milik.

8. Apabila kerajaan telah memberikan wanita sebagai hamba kepada seseorang tentera, maka kerajaan tidak boleh ambil balik atau memansukhkan pemberian itu. Sama juga kalau wali telah serahkan anaknya untuk dikahwini, tidaklah boleh wali itu menukar perjanjian perkahwinan itu.

9. Jeneral perang tidak boleh membenarkan para tentera untuk terus berjimak dengan tawanan perang. Tawanan perang itu kena dibahagikan oleh kerajaan dahulu.

 

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوٰلِكُم

Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu

Selain daripada pengharaman wanita yang telah disebutkan dalam ayat ini dan ayat sebelum ini, boleh kamu kahwini wanita-wanita yang lain. Banyak lagi yang boleh dicari dan dikahwini. Asalkan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antaranya yang disentuh dalam ayat ini, perempuan yang hendak dikahwini itu hendaklah diberi belanja mahr.

Malah di awal surah ini telah disebut yang bukan sahaja boleh berkahwin satu, seorang lelaki dibenarkan untuk berkahwin sampai empat orang isteri pada satu masa. Maka janganlah dicari wanita yang kamu tidak boleh nikahi lagi.

Allah sebut mahr itu mestilah sesuatu yang dianggap sebagai ‘harta’. Belanja mahr itu hendaklah harta yang berpatutan. Ianya akan menjadi hak isteri itu maka hendaklah diberi jumlah yang dapat digunakan oleh mereka. Janganlah bagi 80 ringgit sahaja, atau ada yang nak beri Qur’an, atau dengan bacaan surah al-Ikhlas dan sebagainya.

Janganlah begitu. Janganlah bagi alasan nak ikut sahabat Nabi yang mahr mereka adalah ajar Qur’an sahaja kepada bakal isteri mereka. Kamu itu bukanlah sahabat. Dan zaman kita bukanlah seperti zaman mereka dengan dugaan-dugaan yang mereka lalui. Janganlah perasan rasa macam sahabat pula. Jadi, belanja Mahr itu kena diberikan dengan wang atau harta yang berpatutan.

Secara ringkasnya, lafaz بِأَمْوَالِكُم bermaksud dua perkara:

  1. Pernikahan tidak sah kalau tidak ada mahr. Jangan pula kedua pasangan lelaki dan wanita itu bersetuju untuk tak payah bayar mahr. Tidak boleh memandai buat hukum yang baru. Mesti kena ada pembayaran mahr. Tapi boleh berhutang dan tidak dibayar semasa majlis akad nikah itu – kena bayar waktu lain.
  2. Apa-apa yang diberi itu mestilah termasuk dalam أَمْوَالِ – harta. Maknanya, ada nilai benda yang diberikan sebagai mahr itu. Jadi, kalau nak beri naskah Qur’an, sebentuk cincin suasa, surah al-Ikhlas, itu tidak berapa kena.

 

مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ

untuk menjaga maruah, bukan secara berzina.

Lakukanlah perkahwinan itu dengan cara yang elok, dengan niat untuk menjaga maruah. Setiap manusia yang normal mempunyai keinginan nafsu seks, kepada pasangan yang berlawanan jenis, kerana itu yang Allah telah berikan kepada kita semua.

Mempunyai nafsu tidak salah, asalkan ianya dihadapkan ke tempat yang halal. Dan cara yang halal adalah dengan pernikahan. Ianya dilakukan dengan cara yang baik, dengan persetujuan semua pihak, disaksikan oleh para saksi dan wali dan sebagainya. Seorang lelaki meminang seorang perempuan dan perempuan itu bersetuju untuk bersama dengan lelaki itu dengan cara yang bermaruah sekali. Inilah yang indahnya.

Dan bukan untuk menjadikan mereka sebagai perempuan simpanan atau pasangan zina. Kita berkahwin ada sebab-sebabnya, bukan kerana kerana nak puaskan nafsu sahaja. Sebab ada yang beri duit untuk perempuan simpanan atau kepada pelacur. Maknanya, mereka keluarkan duit juga macam keluarkan mahr, tapi tidak sah kerana tidak ada aqad nikah dan bukan dengan cara yang bermaruah.

Anak-anak kita kena diberi ilmu supaya mereka tahu hendak hidup dan tahu bagaimana untuk bersedia untuk kahwin. Kena ajar mereka erti tanggungjawab. Ibubapa jangan bagi semua yang diminta kepada anak. Ada ibubapa yang buat segalanya untuk anak mereka, sampai anak mereka terlalu bergantung kepada ibubapa. Ini adalah kerja yang bodoh sekali.

Mungkin ibubapa sangka mereka nak senangkan anak mereka, tapi tidak sebenarnya. Kalau ibubapa itu rasa mereka boleh hidup sampai bila-bila, bolehlah mereka buat macam itu. Tapi mereka kena tahu, kalau mereka tak tahu lagi, yang mereka akan mati akhirnya. Waktu mereka sudah tiada, siapa nak jaga anak mereka? Tidak ada orang yang nak jaga anak kita macam kita jaga, kerana orang lain pun ada anak mereka sendiri.

Oleh itu, kena ajar anak untuk hidup sendiri. Zaman sekarang banyak yang semuanya bergantung kepada emak dan ayah. Sampaikan nak kahwin pun, mak ayah yang kena uruskan. Apa nak jadi masyarakat kita kalau macam itu?

 

فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَئآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya, maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya, sebagai suatu ketetapan

Untuk menjadikan perkahwinan itu sah, lelaki hendaklah memberikan mahr kepada wanita yang hendak dikahwininya. Itu adalah satu kefardhuan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka hendaklah dipenuhi.

‘Nikmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘nikmat persetubuhan’. Sebab itu jikalau seorang lelaki telah memberi mahr kepada perempuan dan persetubuhan tidak berlaku, maka mahr itu boleh dipotong separuh, kerana ‘nikmat’ yang sepatutnya didapati tidak ada.

Sebab itu mahr itu amat penting sekali. Ianya perlu diberikan dari suami. Kalau pun ianya hutang, tidak dibayar semasa pernikahan, hendaklah si suami membayarnya seperti dijanjikan. Kerana suami itu telah menikmati faraj wanita itu maka dia kenalah bayar juga mahr yang telah dijanjikan.

Dan, seorang isteri walaupun telah dinikahi, tapi tidak dibayar mahr seperti yang dijanjikan, boleh menahan farajnya dari dinikmati oleh si suami.

 

Perbincangan tentang Nikah Mut’ah

Ada keperluan di sini untuk kita membincangkan sedikit tentang nikah Mut’ah yang diamalkan oleh agama Syiah. Saya katakan ‘agama Syiah’ kerana mereka itu bukan Islam, walaupun mereka mengatakan mereka menyembah Allah dan menggunakan Qur’an.

Mereka menggunakan dalil dari ayat ini – اسْتَمْتَعْتُم – untuk menghalalkan Mut’ah. Lafaz اسْتَمْتَعْتُم diambil dari katadasar م ت ع yang bermaksud ‘mengambil nikmat’. Dan mereka kata inilah ayat yang membenarkan mut’ah. Ini adalah cara yang salah sekali dan menggunakan ayat-ayat Qur’an dengan tujuan yang salah.

Mut’ah adalah perbuatan mengadakan hubungan seks lelaki dan wanita dengan melakukan pembayaran yang dipersetujui antara lelaki dan wanita itu. Ianya memang diamalkan sebelum Islam dan cuma diharamkan selepas Perang Khaibar.

Di dalam kitab Sahihain dari Amirul Mu’minun Ali ibnu Abu Talib yang mengatakan:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نِكَاحِ الْمُتْعَةِ، وَعَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ الْأَهْلِيَّةِ يَوْمَ خَيْبَرَ

Rasulullah  melarang nikah mut’ah dan (memakan) daging keledai kampung pada hari Perang Khaibar.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Ar-Rabi’ ibnu Sabrah ibnu Ma’bad Al-Juhani, dari ayahnya, bahawa dia pernah berperang bersama-sama Rasulullah ﷺ pada hari penaklukan atas kota Mekah. Maka beliau ﷺ bersabda:

“يَأَيُّهَا النَّاسُ، إِنِّي كُنْتُ أَذِنْتُ لَكُمْ فِي الِاسْتِمْتَاعِ مِنَ النِّسَاءِ، وَإِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرم ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ مِنْهُنَّ شَيْءٌ فَلْيُخَلِّ سَبِيلَهُ، وَلَا تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا”

Hai manusia sekalian, sesungguhnya aku dahulu pernah mengizinkan kalian melakukan nikah mut’ah terhadap wanita. Dan sesungguhnya Allah telah mengharamkan hal tersebut sekarang sampai hari kiamat. Kerana itu, barang siapa yang padanya terdapat sesuatu dari nikah mut’ah ini, hendaklah dia melepaskannya, dan janganlah kalian mengambil kembali apa yang telah kalian berikan kepada mereka barang sedikit pun.

Ianya bukanlah sesuatu yang molek kerana perbuatan itu bukanlah pernikahan yang sah, wanita itu tidak mendapat hak yang sepatutnya didapati oleh seorang isteri dan ianya bukan tujuan untuk melangsungkan keturunan kerana bukan dilakukan untuk mendapatkan anak tapi kerana hendak memuaskan nafsu sahaja.

Sedangkan dalam ayat ini sendiri disebut: مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ – untuk menjaga maruah, bukan untuk zina. Sedangkan amalan Syiah ini adalah menggalakkan zina. Syiahlah satu-satunya agama dalam dunia yang menghalalkan zina. Tidak ada agama lain yang seteruk itu.

Dan dalam ayat lain, dalam Mukminoon:6 ada disebut:

إِلّا عَلىٰ أَزواجِهِم أَو ما مَلَكَت أَيمانُهُم

Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya

Maknanya, hubungan kelamin hanya boleh dilakukan dengan isteri atau dengan hamba sayaha sahaja. Maka, ini menolak kemungkinan-kemungkinan lain termasuklah nikah mut’ah.

 

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرٰضَيْتُم بِهِ مِن بَعْدِ الْفَرِيضَةِ

Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu

Kalau pasangan wanita itu dengan rela hati hendak memberikan mahr yang diterimanya kepada suaminya, tidak berdosa kalau suaminya mengambil. Asalkan saling rela.

Atau, si suami berkenan untuk memberi lebih dari yang telah dijanjikan.

Atau satu kemungkinan, si isteri sanggup untuk melengahkan lagi pembayaran mahr dari suami, mungkin kerana suaminya dalam kesempitan wang atau sebagainya.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah mengetahui isi hati manusia, samada mereka ikhlas atau tidak. Allah tahu isi hati manusia semasa mereka melakukannya. Maknanya, Allah tahu samada kita menikah itu untuk sebab yang halal atau untuk memuaskan nafsu sahaja. Allah tahu apa yang diperlukan oleh manusia. Oleh itu, Allah telah menjelaskan hukum-hukum yang perlu diikuti.

Allah Maha Bijaksana menetapkan hukum yang telah ditetapkan olehNya. Semua yang diwajibkan kepada kita adalah sesuatu yang memang patut untuk kita dan kalau kita ikut, akan memberi kebaikan untuk diri kita juga. Allah tahu hikmat sesuatu hukum itu, kadang-kadang kita tahu, kadang-kadang tidak jelas buat kita.

Kalau ianya tidak jelas, bukanlah bermaksud ianya tidak berhikmah, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Malangnya, ada yang memikirkan dan mencari apakah hikmat sesuatu hukum Allah itu, dan apabila mereka tak nampak atau tidak jumpa, mereka kata hukum itu tidak sesuai untuk zaman sekarang. Ma sha Allah, itu amatlah kurang berilmu dan kurang ajar dengan Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibnu Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 23 (Wanita haram dikahwini)

Ayat 23: Ini adalah Hukum ke 12. Wanita-wanita yang haram dikahwini itu adalah kerana sebab keturunan dan kerana susuan. Wanita-wanita yang disenaraikan ini tidak boleh dikahwini sampai bila-bila.

Ada 13 golongan yang disebut dalam ayat ini:
7 golongan kerana senasab;
2 golongan kerana susuan; dan
4 golongan kerana perkahwinan.

Yang selain dari itu, halal dikahwini dengan cara ijab dan qabul.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوٰتُكُمْ وَعَمّٰتُكُمْ وَخَٰلٰتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهٰتُكُمُ اللّٰتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوٰتُكُم مِّنَ الرَّضٰعَةِ وَأُمَّهٰتُ نِسَائِكُمْ وَرَبٰئِبُكُمُ اللّٰتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللّٰتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلٰئِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Prohibited to you [for marriage] are your mothers, your daughters, your sisters, your father’s sisters, your mother’s sisters, your brother’s daughters, your sister’s daughters, your [milk] mothers who nursed you, your sisters through nursing, your wives’ mothers, and your step-daughters under your guardianship [born] of your wives unto whom you have gone in. But if you have not gone in unto them, there is no sin upon you. And [also prohibited are] the wives of your sons who are from your [own] loins, and that you take [in marriage] two sisters simultaneously, except for what has already occurred.¹ Indeed, Allāh is ever Forgiving and Merciful.

  • See previous footnote.

MALAY

Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهٰتُكُمْ

Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, 

Emak ke atas – termasuk nenek, moyang.

Ini termasuk juga emak tiri, iaitu isteri ayah kita.

 

وَبَنَاتُكُمْ

dan anak-anak kamu, 

Anak ke bawah – termasuk cucu, cicit.

Termasuk juga dalam larangan ini, anak yang lahir dari hubungan zina kita dengan ibunya. Katakanlah kita telah melakukan seks dengan seorang wanita dan wanita itu telah melahirkan anak perempuan. Kita tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan itu kerana anak itu adalah anak kita, bukan?

Jumhur ulama menyimpulkan dalil atas haramnya anak perempuan yang terjadi akibat air mani zina bagi pelakunya berdasarkan keumuman makna firman-Nya: dan anak-anak perempuan kalian. (An-Nisa: 23).

Memang dalam Mazhab Syafie membenarkan menikah dengan anak luar nikah sendiri (kerana dikira sebagai bukan anak sebenar – bukan anak dari segi syarak). Sedangkan Mazhab Hanifah, Ahmad dan Malik mengharamkan perkara ini. Tapi akal yang sihat, tidak akan sanggup hendak kahwin dengan anak biologi sendiri samada anak luar nikah ataupun tidak.

 

وَأَخَوٰتُكُمْ

dan saudara-saudara kamu, 

Iaitu adik beradik perempuan.

Termasuk dalam larangan ini adalah berkahwin dengan adik beradik tiri, samada sama bapa, lain ibu; atau sama ibu, lain bapa.

 

وَعَمّٰتُكُمْ

dan saudara-saudara bapa kamu,

Emak saudara belah ayah. Iaitu adik beradik ayah.

 

وَخٰلٰتُكُمْ

dan saudara-saudara ibu kamu

Emak saudara belah ibu. Iaitu adik beradik emak.

 

وَبَنَاتُ الْأَخِ

dan anak-anak saudara kamu yang lelaki,

Anak saudara dari adik beradik lelaki.

 

وَبَنَاتُ الْأُخْتِ

dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, 

Anak saudara dari adik beradik perempuan.

 

وَأُمَّهٰتُكُمُ اللّٰتِي أَرْضَعْنَكُمْ

dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, 

Tidak boleh mengahwini ‘ibu susuan’. Iaitu ibu yang telah menyusu kita semasa kita kecil. Sebagaimana haram mengahwini ibu kandung, maka begitulah juga haram mengahwini ibu susuan. Dan suami kepada ibu susu itu pula menjadi ‘bapa susuan’.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Malik ibnu Anas, dari Abdullah ibnu Abu Bakar ibnu Muhammad ibnu Amr ibnu Hazm, dari Amrah binti Abdur Rahman, dari Siti Aisyah Ummul Mukminin, bahawa Rasulullah ﷺ. pernah bersabda:

«إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الْوِلَادَةُ»

Sesungguhnya persusuan itu dapat menjadikan mahram sebagaimana mahram kerana kelahiran.

Syarat menjadi ibu susuan adalah minum susu sampai lima kali ‘kenyang’ (Mazhab Syafie). Ulama lain berbeza pendapat tentang berapa kalikah bayi itu perlu menyusu sebelum dikira sebagai anak susuan. Ada yang kata asalkan menyusu sahaj dan ada yang mengatakan tiga kali kenyang.

Ulama lainnya berpendapat. tidak dapat menjadikan mahram persusuan yang kurang dari lima kali, kerana berdasarkan kepada hadis yang terdapat di dalam kitab Sahih Muslim melalui jalur Malik, dari Abdullah ibnu Abu Bakar, dari Urwah, dari Siti Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa dahulu termasuk di antara ayat Al-Qur’an yang diturunkan ialah firman-Nya: Sepuluh kali persusuan yang telah dimaklumi dapat menjadikan mahram. Kemudian hal ini dimansukh oleh lima kali persusuan yang dimaklumi. Lalu Nabi Saw. wafat, sedangkan hal tersebut termasuk bahagian dari Al-Qur’an yang dibaca.

Dan maksud ‘kenyang’ ini juga dibincangkan. Maksudnya bukan lima nyonyot, bukan lima kali ‘duduk’. Tapi begini: semasa anak itu menyusu, dia akan menyusu dan menyusu, kemudian dia angkat muka dia berhenti menyusu. Ini sudah dikira satu. Kemudian dia menyusu balik dan berhenti sebentar – ini dikira kedua dah. Jadi ‘lima kali susu sampai kenyang’ ini boleh terjadi pada sekali duduk sahaja.

Dan ada juga pendapat tambahan yang mengatakan anak itu perlulah disusui semasa dalam lingkungan umur dua tahun, mengambil dalil dari ayat Baqarah:233. Jadi tidak bolehlah ambil anak angkat umur 5 tahun tapi nak jadikan dia anak susuan, maka ambil ubat dan disusukan. Anak itu tetap tidak termasuk sebagai anak susuan.

 

وَأَخَوٰتُكُم مِّنَ الرَّضٰعَةِ

dan saudara-saudara susuan kamu, 

Ini dipanggil ‘adik beradik susuan’. Yang sama-sama menyusu dengan ibu yang sama.

Masalah yang timbul adalah kalau tidak tahu menahu tentang adik beradik susuan. Kerana yang menyusu itu tentulah semasa dia kecil. Jadi dia pun tidak tahu siapakah ibu susuan dia, siapakah adik beradik susuan dia. Masalah timbul jikalau sudah berkahwin dan tiba-tiba ada pula orang yang kata: “sebenarnya pasangan itu adalah adik beradik susuan”.

Kalau jadi begitu, tentulah susah kerana takut nanti terkahwin dengan adik beradik susuan pula. Oleh itu, kalau ada menyusukan anak orang, bagitahulah siap-siap dan simpan maklumat itu. Beritahu kepada anak-anak yang lain.

Ulama meletakkan syarat, kena ada dua saksi untuk memastikan perkara ini. Tapi kalau kita hendak berjaga-jaga, kalau ada seorang sahaja yang cakap kita sebenarnya adik beradik susuan dengan isteri kita, sebaiknya diambil langkah berjaga-jaga dengan menceraikan isteri kita itu. Allahu a’lam.

 

وَأُمَّهٰتُ نِسَائِكُمْ

dan ibu-ibu isteri kamu,

Pengharaman menikah dengan Ibu Mertua. Jadi haram walaupun tidak mengadakan hubungan kelamin pun dengan isteri kita. Maknanya, kalau kita sudah bernikah sahaja, tidak boleh selepas itu hendak mengahwini ibu isteri kita.

Walaupun kita telah bercerai dengan isteri kita. Kita tidak boleh nak ceraikan isteri kita dan kahwin dengan emak dia pula. Walaupun isteri kita sudah meninggal pun, tetap tidak boleh.

Walaupun kita tidak melakukan hubungan seks dengan anak wanita itu. Katakanlah kita menikah dengan seorang wanita, dan tiba-tiba kita tengok emak dia, kita berkenan pula dengan emak dia. Maka kita terus ceraikan isteri kita waktu itu juga (belum berjimak lagi dengan dia), kononnya kerana hendak mengahwini emak dia. Tidak boleh nak buat begitu.

 

وَرَبٰئِبُكُمُ اللّٰتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللّٰتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ

dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri;

Tidak boleh menikah dengan anak tiri. Ini adalah anak-anak dari isteri yang dalam pemeliharaan kita kerana kita telah berkahwin dengan ibu mereka. Dan kita telah melakukan hubungan kelamin dengan ibu mereka. Iaitu yang kamu telah bersetubuh dengan mereka. Kalau setakat akad sahaja, boleh lagi kalau ceraikan dan kahwin dengan anak bekas isteri.

Maksudnya, kalau kita menikah dengan seorang wanita dan selepas itu kita nampak anak dia dan berkenan pula nak menikah. Maka kita boleh terus ceraikan emak dia dan menikah dengan anak dia asalkan belum lagi berjimak dengan emak dia. (Lihat beza kalau dengan emak dia. Kalau dengan emak dia, walaupun tidak berjimak lagi, tetap tidak boleh menikah juga dengan emak isteri kita).

Ayat ini menyebut lafaz فِي حُجُورِكُم (dalam pemeliharaan kamu). Adakah ini bermaksud kalau wanita itu anak isteri kita, tapi bukan kita yang jaga dia, kita boleh berkahwin dengan dia apabila sudah bercerai dengan ibunya atau ibunya telah mati?

Jumhur ulama berpendapat tidak boleh berkahwin walaupun bukan dalam pemeliharaan kita, asalkan ianya adalah anak kandung dari isteri kita (dan kita telah jimak emaknya). Dalilnya, ada satu riwayat dimana Rasulullah ﷺ  ditawarkan berkahwin dengan anak Umm Salamah, isteri baginda dan baginda kata tidak boleh.

Tapi ada juga pendapat yang mengatakan boleh, asalkan anak itu bukan dalam jagaan kita. Sebagai contoh, kita menikah dengan emak dia, tapi anak itu duduk di negeri lain. Pendapat ini berdasarkan dari satu hadis:

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Hisyam (yakni Ibnu Yusuf), dari Ibnu Juraij, telah menceritakan kepadaku Ibrahim ibnu Ubaid ibnu Rifa’ah, telah menceritakan kepadaku Malik ibnu Aus ibnul Hadsan yang mengatakan, “Dahulu aku mempunyai seorang isteri, lalu dia meninggal dunia, sedangkan sebelum itu dia telah punya seorang anak perempuan, dan aku menyukainya. Ketika Ali ibnu Abu Talib bersua denganku, dia bertanya, ‘Mengapa kamu?’ Aku menjawab, ‘Isteriku telah meninggal dunia.’ Ali bertanya, ‘Apakah dia punya anak perempuan?’ Aku menjawab, ‘Ya, dan tinggal di Taif.’ Ali bertanya, ‘Apakah dahulunya dia berada dalam pemeliharaanmu?’ Aku menjawab, ‘Tidak, tetapi dia tinggal di Taif.” Ali berkata, ‘Kahwinilah dia’. Aku berkata, ‘Bagaimanakah dengan firman-Nya yang mengatakan: anak-anak isteri kalian yang dalam pemeliharaan kalian.  (An-Nisa: 23). Ali berkata, ‘Sesungguhnya dia bukan berada dalam pemeliharaanmu. Sebenarnya ketentuan tersebut jika dia berada dalam pemeliharaanmu’.”

Syarah: Sanad astar ini kuat dan kukuh hingga sampai kepada Ali ibnu Abu Talib dengan syarat Muslim. Akan tetapi pendapat ini  garib (aneh) sekali. Pendapat inilah yang dipegang oleh Daud Ibnu Ali Az-Zahiri dan semua muridnya, diriwayatkan oleh Abul Qasim Ar-Rafi’i. Dipilih oleh Ibnu Hazm.

Lafaz مِّن نِّسَائِكُمُ adalah lafaz yang umum, kerana tidak disebut yang wanita itu adalah isteri kita. Jadi, kalau ada wanita yang kita tidak bernikah dengannya pun, tapi kita telah mengadakan hubungan seksual dengan dia, mungkin kerana zina atau kerana kita sangka dia isteri kita waktu itu, anak-anak wanita itu sudah tidak halal bagi kita lagi.

 

فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu 

Kalau tidak sentuh lagi emak mereka, masih boleh lagi nak menikah dengan anak bekas isteri itu. Asalkan kenalah ceraikan dulu emaknya.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan satu hadis:

حَدَّثَنَا حِبَّانُ بْنُ مُوسَى، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ، أَخْبَرَنَا الْمُثَنَّى بْنُ الصَّبَّاحِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جده عن النبي صلىالله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَكَحَ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ فَلَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَتَزَوَّجَ أُمَّهَا، دُخِلَ بِالْبِنْتِ أَوْ لَمْ يُدْخَلَ، وَإِذَا تَزَوَّجَ الْأُمَّ فَلَمْ يَدْخُلْ بِهَا ثُمَّ طَلَّقَهَا، فَإِنْ شَاءَ تَزَوَّجَ الِابْنَةَ

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Hibban ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak, telah menceritakan kepada kami Al-Musanna ibnus Sabbah, dari Amr ibnu Syu’aib, dari ayahnya, dari kakeknya, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda: Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita, maka tidak halal baginya mengahwini ibu wanita itu, baik dia telah menggaulinya atau masih belum menggaulinya. Dan apabila dia kahwin dengan ibu si wanita, lalu dia tidak menggaulinya dan menceraikannya, maka jika dia suka boleh kahwin dengan anaknya.

 

وَحَلٰئِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلٰبِكُمْ

Dan isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. 

Kita tidak boleh berkahwin dengan bekas menantu. Iaitu bekas isteri anak lelaki kandung kita.

Allah tekankan yang menantu yang tidak boleh dikahwini adalah isteri anak kandung مِنْ أَصْلَابِكُمْ. Kalau bekas isteri ‘anak angkat’ kita, tidak mengapa. Ini penting kerana Nabi Muhammad ﷺ telah berkahwin dengan bekas isteri anak angkat baginda – Zayd ibn Harithah.

Apabila baginda berkahwin dengan Zainab, bekas isteri Zayd, puak Musyrikin Mekah mengutuk baginda kerana kahwin dengan menantu sendiri. Tapi Allah menekankan dalam Surah Ahzab (ayat 37) bahawa anak angkat bukanlah anak kandung dan tidak sama dengan anak kandung.

 

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

Dan menghimpunkan dua beradik sekali

Haram himpun adik beradik. Maksudnya tidak boleh kahwin adik beradik. Sudah kahwin kakak dia, nak menikah dengan adik dia pula. Ini tidak boleh – haram. Samada adik beradik dari keturunan atau kerana mereka adik beradik susuan.

Kalau telah pernah berkahwin dengan dua adik beradik semasa belum Islam, dan apabila masuk Islam, kena pilih satu sahaja dan kena ceraikan satu lagi. Ini berdasarkan dari hadis, bagaimana Nabi suruh sahabat yang ada isteri dua beradik untuk menceraikan salah seorang.

Tetapi, kalau kita sudah menceraikan salah seorang dari adik beradik itu, dan waktu iddah pun sudah tamat, maka bolehlah kita berkahwin dengan adik beradiknya. Dalam adat Melayu, ini dipanggil ‘ganti tikar’. Ini dibolehkan kerana tidak ‘menghimpunkan’ dua adik beradik. Yang tidak boleh adalah menghimpunkan keduanya dalam waktu yang sama.

Satu lagi penambahan: tidak boleh mencampurkan seorang wanita dengan anak saudaranya. Ini berdasarkan hadis. Cara untuk memahaminya, katakanlah salah seorang dari mereka itu lelaki, tentu salah seorang tidak dapat kahwin dengan salah satunya (seorang lelaki tidak boleh mengahwini emak saudaranya, bukan?)

 

إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ

kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. 

Perbuatan dosa di atas, kalau pernah dilakukan pada zaman Jahiliyah, ianya dimaafkan kerana hukum belum tertegak lagi. Cuma jangan diteruskan lagi. Jangan buat lagi dan kalau kita ada perkahwinan yang termasuk dalam senarai yang diatas, perkahwinan itu hendaklah ditamatkan.

Ringkasan bagi ayat ini, tentang siapakah yang tidak boleh dikahwini:

  1. Ibu
  2. Anak
  3. Adik beradik
  4. Makcik sebelah bapa
  5. Makcik sebelah ibu
  6. Anak saudara sebelah adik beradik lelaki
  7. Anak saudara sebelah adik beradik perempuan
  8. Ibu susuan
  9. Adik beradik susuan
  10. Ibu Mertua
  11. Anak tiri
  12. Bekas menantu
  13. Menghimpun adik beradik

 

إِنَّ اللهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah maha pengampun. Segala kesalahan yang dilakukan sebelum Islam dimaafkan.

Allahu a’lam. Habis JUZ 4. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Quran

Tafsir Ibnu Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 20 – 22 (Hukum Nikah Kahwin)

Ayat 20: Ini adalah hukum ke 10. Ianya berkenaan hukum cerai. Ini perkara biasa sahaja terjadi jadi Qur’an tentu menyentuh perkara ini. Ayat ini adalah tentang apa yang diberikan kepada isteri yang dicerai.

وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ وَءآتَيْتُمْ إِحْدٰهُنَّ قِنطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if you want to replace one wife with another and you have given one of them a great amount [in gifts], do not take [back] from it anything. Would you take it in injustice and manifest sin?

MALAY

Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?

 

وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ

Dan jika kamu hendak mengambil isteri menggantikan tempat isteri

Ini pula nasihat kepada seorang suami yang hendak mengganti isteri baru di tempat isteri lama. Dalam bahasa mudahnya, hendak menceraikan isterinya dan mengahwini wanita yang lain. Perceraian adalah perkara biasa diantara pasangan.

Cuma jangan salahgunakan kedudukan sebagai seorang suami sampai menyebabkan kezaliman kepada isteri. Allah beri peringatan di dalam ayat ini supaya jangan berlaku zalim kepada mereka, termasuk dalam hal perceraian. Kalau Allah beri peringatan sebegini, bermaksud memang ada orang yang buat.

 

وَءآتَيْتُمْ إِحْدٰهُنَّ قِنطَارًا

sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, 

Ada kemungkinan seorang suami itu telah memberi harta yang banyak kepada isteri yang hendak diceraikan itu. Iaitu harta itu diberikan sebagai mahr kepada wanita itu pada ketika mereka mula berkahwin dulu. Memanglah kalau sedang bercinta dan sedang sayang, dan hendak pula kahwin dengan wanita itu, tentu sanggup beri macam-macam.

Dalam ayat ini, digunakan lafaz قِنطَارًا. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘selonggok emas’. Ia memberi isyarat kepada harta yang banyak. Ini menjadi dalil bahawa boleh kalau hendak memberi mahr yang mahal kepada bakal isteri.

Pernah Saidina Umar melarang rakyat (waktu dia menjadi khalifah) untuk meminta atau memberi mahr yang banyak. Saidina Umar kata, kalau mahr yang banyak itu adalah baik, tentu Nabi Muhammad sudah buat begitu dah. Tapi tidak pernah Nabi Muhammad meminta mahr yang banyak untuk mengahwinkan anaknya. Jadi, Saidina Umar telah naik ke atas mimbar dan mengumumkan had mahr setakat 400 dirham atau kurang.

قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَبْدِ الرَّزَّاقِ، عَنْ قَيْسِ بْنِ رَبِيعٍ، عَنْ أَبِي حُصَيْنٍ، عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ السُّلَمِيِّ قَالَ: قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: لَا تُغَالُوا فِي مُهُورِ النِّسَاءِ. فَقَالَتِ امْرَأَةٌ: لَيْسَ ذَلِكَ لَكَ يَا عُمَرُ، إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: “وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا مِنْ ذَهَبٍ”. قَالَ: وَكَذَلِكَ هِيَ فِي قِرَاءَةِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ: “فَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا” فَقَالَ عُمَرُ: إِنَّ امْرَأَةً خَاصَمَتْ عُمَرَ فَخَصَمَتْهُ

Ibnul Munzir mengatakan. telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Ibrahim, dari Abdur Razzau. dari Qais Ibnu Rabi’, dari Abu Husain. dari Abu Abdur Rahman As-Sulami yang menceritakan bahawa Khalifah Umar Ibnu Khattab pernah mengatakan, “Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam membayar maskawin wanita.” Lalu ada seorang wanita berkata, “Tidaklah demikian, hai Umar, kerana sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman: ‘Sedangkan kalian telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak‘ (An-Nisa: 20).”  Yang dimaksud dengan qintar ialah emas yang banyak. Abu Abdur Rahman As-Sulami mengatakan, “Demikian pula menurut qiraah Abdullah ibnu Mas’ud, yakni seqintar emas. Maka janganlah kalian mengambil kembali darinya barang sedikit pun.”

Kemudian Khalifah Umar berkata, “Sesungguhnya seorang wanita telah mendebat Umar, ternyata wanita itu dapat mengalahkannya.”

Begitulah, sewaktu Umar r.a turun dari mimbar, seorang wanita telah menegur beliau dengan membacakan ayat ini kepada beliau. Kerana Allah sendiri menggunakan kalimah قِنطَارًا yang bermaksud harta yang banyak, maka takkan Saidina Umar nak hadkan pula?

Maka, Saidina Umar pun telah mengubah keputusan beliau. Maka tidak ada had untuk mahr di dalam Islam. Ia bergantung kepada kemampuan masing-masing. Allahu a’lam.

 

فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا

maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. 

Allah beri hukum kepada suami supaya jangan ambil balik apa yang telah diberikan sebagai mahr. Jangan ambil walau sedikit pun, kerana ada lafaz مِنْهُ شَيْئًا yang bermaksud ‘walaupun sedikit’.

Ini diberitahu kerana memang ada yang buat begitu. Masa sayang, masa cinta, semua sanggup diberikan. Tapi apabila sudah hendak diceraikan, mulalah minta balik apa yang telah diberikan dahulu. Mungkin kerana suami pun sudah nak kahwin orang lain, maka belanja kahwin dan hadiah isteri baru kena diberikan juga. Tentu susah kalau kena cari harta lain pula.

Jadi, cara paling mudah untuk mereka adalah ambil balik dari isteri lama. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka tidak boleh ambil balik apa yang mereka telah berikan. Nak kahwin lain, carilah harta lain.

 

أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتٰنًا

Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar

Adakah kamu sanggup nak ambil sesuatu dengan cara yang salah?

Ada yang menggunakan cara yang buruk dengan mengambil harta itu. Mungkin ada yang membuat cerita palsu untuk memburukkan bekas isterinya itu untuk membolehkan dia mengambil balik harta itu. Maka Allah mengutuk mereka yang buat cara begitu. Jangan ambil dan lebih-lebih lagi jangan ambil dengan cara memburukkan bekas isteri itu.

Lafaz بُهْتَانًا juga bermaksud ‘tuduhan palsu’. Iaitu menuduh isterinya itu telah curang dan melakukan zina. Inilah sahaja sebab yang membolehkan seorang suami mengambil hak isterinya. Jadi, kalau dia ambil juga, itu bermakna dia sudah mengatakan yang isterinya telah curang.

Dan ini sebenarnya termasuk dalam larangan Allah – Allah melarang membuat tuduhan palsu terhadap wanita yang suci. Perbuatan itu dinamakan qazf dan disebut dalam perbincangan Surah Nur nanti.

 

وَإِثْمًا مُّبِينًا

dan dosa yang nyata?

Sanggupkah kamu melakukan dosa mengambil sesuatu yang bukan hak kamu? Maka kerana itu jangan ambil mahr isteri dengan zalim. Kalau ambil dengan cara begitu, samada dengan memburukkan bekas isteri, atau rampas dengan cara zalim, itu adalah dosa yang nyata. Tidakkah kamu takut melakukan dosa?


 

Ayat 21: Hujah Allah lagi kenapa tidak patut ambil mahr yang telah diberi kepada isteri.

وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثٰقًا غَلِيظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how could you take it while you have gone in unto each other and they have taken from you a solemn covenant?

MALAY

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

 

وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain,

Wahai lelaki, bagaimana kamu sanggup nak ambil balik pemberian kamu kepada mereka dahulu, sedangkan kamu telah bergaul mesra dengan mereka semasa kamu masih bersuami isteri dahulu?

Apabila sudah bersuami isteri, tentu kita layan mereka lain dengan orang lain. Ada benda yang kita buat dengan isteri itu yang kita tidak buat dengan orang lain. Kita meluangkan banyak masa dengan mereka. Kita berkasih mesra dengan mereka. Kita beri mereka benda yang tidak diberikan kepada orang lain dan dia pun begitu juga.

Ada benda yang kita cerita kepada mereka yang kita tidak cerita kepada orang lain. Memang mereka tidak sama macam orang lain, mereka itu sebahagian dari kita, tempat mengadu kita, melepaskan resah kita dan sebagainya. Semua benda itu kita buat kerana kita telah menikah dengan mereka dan pernikahan itu sah dengan pemberian mahr itu. Oleh kerana itu, mahr yang telah diberikan itu dah jadi hak isteri kita. Itulah ‘bayaran’ bagi menghalalkan perhubungan itu.

Ada pendapat yang mengatakan perkataan أَفْضَىٰ bermaksud ‘hubungan kelamin’. Qur’an menggunakan bahasa kiasan kerana Qur’an adalah mulia dan tidak menggunakan bahasa yang jelek. Semua peringkat umur manusia boleh baca Qur’an samada kanak-kanan atau orang dewasa, lelaki atau wanita. Tidak sama dengan Bible contohnya, yang banyak perkara lucah di dalamnya sampaikan tidak boleh dibaca ayat itu di khalayak ramai.

Oleh itu, ayat ini bermaksud, kamu telah mengadakan hubungan kelamin dengan mereka, bagaimana kamu sanggup nak ambil balik mahr yang kamu sudah berikan itu?

 

وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثٰقًا غَلِيظًا

dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

Dan kamu telah ada perjanjian serius dengan isteri kamu itu untuk hidup sama selagi nyawa masih di badan. Itu adalah akad nikah perkahwinan yang telah perjanjian yang kuat. Apabila sudah ada perjanjian itu, dan sudah ada hubungan suami isteri, ibubapa pun tak boleh campur tangan dalam perjalanan kehidupan pasangan itu. Perjanjian telah termaktub atas suami untuk jaga isteri.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Jabir tentang khotbah haji wada’, bahwa Nabi Saw. di dalamnya antara lain mengatakan:

“وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُروجهن بِكَلِمَة اللَّهِ”

Berwasiatlah kalian dengan kebaikan sehubungan dengan wanita, kerana sesungguhnya kalian mengambil (memperisteri) mereka dengan amanat dari Allah dan kalian halalkan farji mereka dengan menyebut kalimah Allah.

Maknanya, lelaki itu sudah mengambil tanggungjawab untuk menjaga wanita itu dari walinya yang asal (selalunya bapa). Itu adalah amanah dari Allah, menggunakan nama Allah yang telah dilakukan dalam akad nikah, bukan? Dengan perjanjian itu, isteri telah menghalalkan farajnya kepada kamu untuk kamu nikmati.

Kalau perjanjian itu perjanjian yang kukuh, adakah kamu berani nak pecahkan perjanjian itu, wahai suami? Sedangkan perjanjian itu telah dijalankan dalam majlis pernikahan yang disaksikan oleh ramai orang? Kamu tidak malukah nanti kalau kamu diperkatakan orang? Kamu tidak malukah dengan Allah kerana telah mempergunakan NamaNya?

Ini menjadi hujah bahawa perkahwinan bukanlah perkara yang main-main. Bukanlah nak kahwin kerana nak halalkan hubungan seks sahaja dan kemudian bila sudah bosan, cerai dan tukar kepada isteri yang lain pula. Maka apabila berkahwin hendaklah niat untuk terus berada dalam perkahwinan itu selagi nyawa dikandung badan (melainkan kalau ada keperluan untuk bercerai).


 

Ayat 22: Ini adalah hukum yang ke 11. Tidak boleh mengahwini bekas isteri bapa. Sebelum ini telah disebut tentang perceraian dan tentunya ada menyentuh sedikit tentang perkahwinan kerana telah disebut tentang mahr dan sebagainya.

Dalam ayat ini, ia hendak memberitahu kita bahawa bukan semua wanita boleh dikahwini. Ada wanita yang boleh dikahwini dan ada yang tidak. Oleh kerana lebih ramai yang boleh dikahwini, Allah hanya sebut yang tak boleh dikahwini sahaja. Mereka ini digelar sebagai muharramat.

Oleh itu, selain dari yang disebut dalam ayat-ayat ini, boleh dikahwini oleh seorang lelaki.

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ ءآبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فٰحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not marry those [women] whom your fathers married, except what has already occurred.¹ Indeed, it was an immorality and hateful [to Allāh] and was evil as a way.

  • Before Islām. After the ruling was revealed by Allāh, men were required to release those women unlawful to them (e.g., a stepmother, one of two sisters, or any wives over the limit of four). The same obligation applies to one once he has accepted Islām.

MALAY

Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

 

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ ءآبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang telah diperisterikan oleh bapa kamu

Ini adalah larangan keras untuk berkahwin dengan emak tiri. Asalkan seorang wanita itu sudah pernah berkahwin dengan ayah kita sahaja, tidak boleh kita kahwin dengan dia, samada kalau ayah kita sudah mati atau ayah kita sudah ceraikan. Samada ayah itu sudah mengadakan hubungan kelamin dengan wanita itu atau tidak.

Kalau ayah kita telah mengadakan hubungan kelamin dengan seorang wanita tapi di luar nikah (zina), pun tidak boleh kita menikah dengan wanita itu lagi.

 

إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ

kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. 

Kecuali apa yang telah dilakukan pada Zaman Jahiliyah dulu. Kalau dah kahwin, biarkan sahaja. Tidak perlu diceraikan pula. Kerana ianya telah berlaku. Waktu itu pun syariat larangan ini tidak ditegakkan lagi.

Makna yang pertama, mereka tidak berdosa kerana dulu mereka tidak tahu hukum ini. Tapi apabila tahu, maka kena perbetulkan.

Maka, kalau kejadian itu berlaku selepas masuk Islam, maka hendaklah seorang lelaki itu menceraikan wanita-wanita yang pernah dikahwini oleh bapanya. Tidak boleh terus berkahwin dengan mereka.

Juga, ia bermaksud, kalau ada anak hasil dari perkahwinan dengan ibu tiri itu tidaklah mereka menjadi anak haram. Mereka masih layak untuk menerima harta pusaka contohnya.

 

إِنَّهُ كَانَ فٰحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan

Perbuatan menikahi perempuan yang telah dinikahi oleh ayah sendiri adalah perbuatan yang amat buruk dari segi akal masyarakat. Manusia yang normal akalnya pun takkan buat perkara ini melainkan gila sangat. Ianya adalah perbuatan yang dikutuk dan dosa besar.

Oleh itu, walaupun baru disebut dalam ayat Qur’an, tapi sememangnya ia adalah amalan yang buruk. Kalau Allah tak sebut pun, ianya sepatutnya dibenci oleh akal yang sihat. Kerana ianya melanggar fitrah manusia.

Oleh kerana itu, dalam Qur’an apabila digunakan kalimah مَقْتًا, ia merujuk kepada kemarahan Allah yang amat sangat. Seolah-olah Allah marah kepada mereka yang berkahwin dengan ibu tirinya sendiri.

Dengan kata lain, perbuatan tersebut memang suatu dosa besar, yang akibatnya akan membuat si anak benci kepada ayahnya sesudah dia mengahwini bekas isteri ayahnya. Kerana pada umumnya setiap orang yang mengahwini seorang wanita janda selalu membenci bekas suami isterinya.

Kerana itulah maka Umma-hatul Mukminin (isteri-isteri Nabi ﷺ) diharamkan atas umat ini, kerana kedudukan mereka sama dengan ibu dan kerana mereka adalah isteri-isteri Nabi ﷺ yang kedudukannya sebagai bapa dari umat ini, bahkan hak Nabi ﷺ lebih besar daripada para ayah, menurut kesepakatan semuanya. Bahkan cinta kepada Nabi ﷺ harus didahulukan di atas kecintaan kepada orang lain.

Ata ibnu Abu Rabbah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: dan dibenci Allah. (An-Nisa: 22) Maksudnya, perbuatan yang dibenci oleh Allah Swt. dan seburuk-buruk jalan. (An-Nisa: 22) Yakni merupakan jalan yang paling buruk bagi orang yang menempuhnya. Barang siapa yang melakukan perbuatan tersebut sesudah adanya larangan ini. berarti dia telah murtad dari agamanya dan dikenai hukuman mati serta hartanya menjadi harta fa’i diserahkan ke Baitul Mal.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim, telah menceritakan kepada kami Asy’as, dari Aildi ibnu Sabit, dari Al-Barra ibnu Azib yang mengatakan, “Pamanku bersua denganku, yakni Al-Haris ibnu Umair yang saat itu memimpin sejumlah pasukan yang kepemimpinannya diarahkan kepada pamanku.” Maka aku bertanya.”Hai paman. ke manakah Nabi ﷺ mengutusmu?” Pamanku menjawab, “‘Beliau mengutusku kepada seorang lelaki yang telah mengahwini bekas isteri ayahnya. Nabi ﷺ memerintahkan kepadaku agar memancungnya.’

Habis Ruku’ 3 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani