Tafsir Surah Ahzab Ayat 1 – 4 (Hukum Anak Angkat)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Madaniyyah. Walaupun dalam susunan mushaf Al-Qur’an, ia terletak pada bilangan ke 33 namun sebenarnya dari tertib turun, ia telah diturunkan setahun sebelum Surah Nur (surah ke 24).

Surah ini memang payah untuk diringkaskan kepada satu-satu topik kerana Allah ‎ﷻ khitab (berkata) kepada Nabi ﷺ, juga kepada Mukminaat dan juga kepada orang Mukmin secara umum. Jadi ada banyak pihak yang disentuh dan banyak topik yang disentuh di dalamnya.

Dari segi akidah, surah ini hendak menafikan syafaat qahriyah. Ini penting kerana syafaat jenis ini banyak dipegang oleh Arab Mekah dan orang Arab keseluruhan pada zaman Jahiliah dan juga oleh golongan Yahudi dan Nasara. Iaitu fahaman wali, Nabi dan juga malaikat boleh beri sokongan kepada penyembah dan penyeru mereka.

Dan orang Islam yang jauh dari wahyu juga ada salah faham dalam perkara ini. Maka memang kenalah mendalami surah ini supaya akidah salah ini boleh diperbetulkan. Maka orang Islam hendaklah mendalami surah ini supaya tidak melakukan perbuatan syirik yang diamalkan oleh golongan jahiliah dulu.

Dan yang keduanya surah ini hendak mematikan adat resam masyarakat Arab iaitu tidak boleh mengahwini bekas isteri anak angkat. Bagi orang Arab, apabila memelihara anak angkat, maka anak angkat itu menjadi seperti anak sebenar. Dan menantu itu menjadi menantu sebenar dan mereka juga tahu bahawa tidak boleh menikahi menantu. Maka salah faham ini hendak diperbetulkan oleh Allah ‎ﷻ. Iaitu anak angkat tidak menjadi anak kandung atau anak sebenar.

Jadi khitab surah ini diberikan kepada Nabi ﷺ, kepada orang mukmin dan mukminaat kerana hendak memberitahu bahawa untuk menukar sesuatu fahaman yang telah dipegang lama, ia memerlukan kerjasama pemimpin, golongan lelaki dan juga wanita. Jadi semua kenalah tunduk taat kepada arahan dan Sunnah Nabi ﷺ.

Ini menunjukkan betapa payahnya hendak menghilangkan adat resam yang tidak patut di dalam masyarakat. Begitu jugalah yang kita alami dalam masyarakat kita sekarang pun. Banyak sekali alasan manusia untuk terus berpegang dengan adat resam (dalam agama) walaupun sebenarnya senang sahaja kerana hanya perlu ditinggalkan sahaja.

Ini kerana pendokong-pendokong adat resam itu akan tetap hendak mempertahankan fahaman salah itu sepertimana juga orang kafir masih hendak mempertahankan agama mereka. Mereka kononnya kata: biar mati emak, jangan mati adat.

Kerana itu Allah ‎ﷻ melarang untuk melakukan amalan-amalan bidaah kerana jikalau sudah dimulakan maka akan susah untuk menghilangkannya nanti. Mungkin pada asalnya ia nampak kecil sahaja tetapi kalau tidak diperbetulkan dari awal, maka akan menyebabkan fahaman salah itu kekal dalam masyarakat. Begitulah masalah yang dihadapi oleh pengamal sunnah sekarang apabila menegur amalan bidaah masyarakat. Kita pula yang dimarah balik.

Surah ini juga menceritakan tentang Perang Ahzab. Perang ini adalah perang yang amat penting dalam Islam dan ada banyak pengajaran yang kita boleh diambil darinya.

Dan dalam surah ini nanti akan disentuh tentang perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Saidatina Zainab رضي الله عنها.

Surah ini ada banyak persamaan dengan Surah Nur. Surah Nur itu juga ada menyentuh tentang perang. Dalam Surah Nuh juga menyentuh tentang hukum hakam dan undang-undang di dalam rumah, dan di dalam Surah Ahzab ini akan disebut tentang hukum di luar rumah pula. Ia menyentuh tentang hubungan sosial sesama umat Islam. Juga menyentuh tentang pakaian wanita di luar rumah.

Dalam Surah Nur ada menyebut tentang kontroversi berkenaan ahli rumah Nabi ﷺ dan dalam surah ini juga ada kontroversi berkenaan ahli rumah Nabi ﷺ juga.

Latar belakang Surah: Nabi Muhammad ﷺ mempunyai seorang anak angkat bernama Zaid رضي الله عنه dan baginda amat rapat dengan Zaid رضي الله عنه itu sampaikan baginda menamakannya Zaid bin Muhammad kerana baginda menganggapnya sebagai anak sendiri.

Zaid رضي الله عنه itu sebenarnya berasal sebagai seorang hamba kepada baginda tetapi Nabi Muhammad ﷺ telah membebaskannya dan melayannya seperti anaknya sendiri. Begitulah baiknya Nabi Muhammad ﷺ terhadap manusia.

Apabila sudah berhijrah ke Madinah maka Nabi Muhammad ﷺ mengahwinkan Zaid رضي الله عنه dengan Zainab رضي الله عنها, seorang wanita dari keturunan bangsawan yang berkedudukan mulia. Keluarga Zainab  رضي الله عنها dan Zaid رضي الله عنه sendiri tidak suka dengan perkahwinan ini kerana walaupun Nabi ﷺ sayang kepada Zaid رضي الله عنه, tetapi beliau tetap dipandang berstatus seorang hamba. Tujuan Nabi Muhammad ﷺ mengahwinkan mereka adalah untuk menghilangkan perasaan beza antara kedudukan di dalam masyarakat.

Walaupun mereka tidak sukakan cadangan Nabi ﷺ itu tetapi oleh kerana cadangan itu datang daripada baginda maka perkahwinan itu dilangsungkan juga.

Walaupun Islam tidak menghalang lelaki dan wanita daripada kedudukan yang berbeza untuk berkahwin, tetapi perasaan ini tetap ada di dalam diri manusia dan kita kena lihat dan fikirkan juga. Jadi kita boleh katakan yang perkahwinan ini tidak sekufu. Iaitu perkahwinan yang ‘tidak setara’, atau tidak sama taraf.

Perceraian biasa sahaja berlaku pada masyarakat Arab termasuklah selepas kebangkitan Islam pun. Ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana kalau pasangan itu lihat mereka berdua tidak sesuai selepas berkahwin, maka mereka boleh sahaja bercerai. Ini biasa sahaja berlaku dan tidak perlu dimalukan. Cuma masyarakat kita sahaja yang meletakkan stigma negatif kepada perceraian dan mentaliti ini hendaklah diubah.

Selepas merasai yang perkahwinan tidak berjalan dengan baik, maka Zaid رضي الله عنه banyak kali datang kepada Nabi ﷺ menceritakan beliau tidak sesuai dengan Zainab رضي الله عنها tetapi baginda tetap menyuruh mereka mempertahankan juga perkahwinan itu.

Perkahwinan itu tidak menjadi, maka tentu ada ketidakpuasan hati kerana perkahwinan itu asalnya dicadangkan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Maka untuk menyelesaikan kekusutan itu maka Nabi Muhammad ﷺ perlu mengahwini Zainab رضي الله عنها sendiri untuk menunjukkan bahawa tidak ada masalah dengan Zainab رضي الله عنها.

Tetapi perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Zainab رضي الله عنها ini telah mencetuskan kontroversi. Ini adalah kerana dalam adat  orang Arab waktu itu, seorang ayah tidak boleh mengahwini menantunya sendiri walaupun menantu anak angkat. Maka golongan munafik telah menggunakan isu ini untuk menjatuhkan nama baik Rasulullah ﷺ.

Akan tetapi kita kena ingat bahawa Zaid رضي الله عنه itu bukanlah anak Nabi Muhammad ﷺ yang sebenar tetapi anak angkat sahaja. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ menggelarkan Zaid رضي الله عنه itu anaknya tetapi ia tidak menjadikan Zaid رضي الله عنه itu anak sebenarnya. Adat ini yang perlu diperbetulkan.

Maka walaupun Nabi Muhammad ﷺ menganggap Zaid رضي الله عنه itu sebagai anaknya sendiri tetapi di dalam Islam ia tidak menjadikan Zaid رضي الله عنه itu benar-benar anaknya. Maka tidak salah bagi Nabi Muhammad ﷺ untuk mengahwini janda Zaid رضي الله عنه itu.

Hukum Zihar

Dalam adat Arab pada waktu itu, menjadikan seseorang sebagai ahli keluarga boleh dilakukan kerana teramat sayang ataupun teramat benci. Seperti Nabi Muhammad ﷺ mengatakan Zaid رضي الله عنه itu anaknya adalah kerana baginda teramat sayang kepada Zaid رضي الله عنه itu.

Akan tetapi di dalam situasi yang lain, apabila seorang suami teramat benci kepada isterinya maka dia mengatakan yang isterinya itu haram seperti haramnya jimak dengan ibu sendiri. Perbuatan ini dinamakan zihar. Dan isu ini juga disentuh di dalam surah ini.


 

Ayat 1: Dari ayat ini sampai ke ayat ke 3 adalah Perenggan Makro Pertama di mana ditekankan kepada kita supaya jangan patuh kepada kehendak orang kafir dan golongan munafikin.

Umat Islam diingatkan supaya menolak adat resam jahiliah yang dahulu mereka telah berjanji untuk tinggalkan. Cukup dengan mematuhi kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Terimalah Allah ‎ﷻ sahaja sebagai tempat berserah dan menggantung harapan.

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ yang dalam menyampaikan wahyu Allah ‎ﷻ ini mestilah taat dan takut kepada Allah ‎ﷻ, bukannya takut kepada manusia. Mestilah juga sampaikan kebenaran dari wahyu walaupun manusia mungkin tidak suka. Maka baginda mesti menyampaikan semua wahyu dan tidak boleh menyembunyikan sebarang wahyu yang baginda rasakan berat.

Begitu juga kita yang mengajar tafsir Al-Qur’an, kenalah sampaikan semuanya. Jangan kita rasa ralat untuk menyampaikan kerana kita sudah dapat agak manusia tidak suka. Kita kena kurangkan rasa takut terhadap manusia tetapi mesti lebihkan takut kepada Allah ‎ﷻ.

يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللهَ وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ ۗ إِنَّ اللهَ كانَ عَليمًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Aḥzāb: The Companies or The Combined Forces, referring to the alliance of disbelieving Arab tribes against the Muslims in Madīnah for the battle called “al-Aḥzāb” or “al-Khandaq” (the Trench).

O Prophet, fear Allāh and do not obey the disbelievers and the hypocrites. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.

(MELAYU)

Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

 

يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Wahai Nabi,

Dalam surah ini ada lima titah kepada Nabi Muhammad  ﷺ dan ini adalah titah yang pertama. Kalau titah diberikan kepada Nabi ﷺ, tidaklah ia hanya untuk baginda sahaja. Ia juga adalah arahan untuk kita, tetapi arahan itu ditinggikan lagi apabila ia diberikan mulanya kepada Rasulullah ﷺ. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun kena buat, mana mungkin umatnya (iaitu kita) tidak perlu ikut pula, bukan?

Nabi ﷺ dipanggil dengan pangkat baginda (Nabi atau Rasul) dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Sedangkan kalau kita perhatikan kepada Nabi-nabi lain, Allah ‎ﷻ panggil mereka dengan nama mereka. Allah ‎ﷻ memberikan penghormatan kepada Nabi Muhammad dengan memanggil baginda dengan pangkatnya. Hanya ada 4 kali (3:144, 33:40, 47:2 dan 48:29) sahaja nama baginda disebut dan itu pun kerana ada sebab yang hendak disampaikan.

 

اتَّقِ اللهَ

bertakwalah kepada Allah

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya taat dan takut kepada-Nya sahaja dan jangan takut dengan apa yang dikatakan oleh golongan kafir dan juga munafiqin.

Perintah ini lahiriahnya ditujukan kepada orang yang berkedudukan tinggi (Nabi), tetapi makna yang dimaksudkan ditujukan kepada orang yang lebih rendah kedudukannya (umatnya). Kerana sesungguhnya Allah ‎ﷻ itu apabila memerintahkan kepada hamba dan Rasul-Nya dengan perintah ini, maka terlebih lagi kepada orang yang di bawahnya.

Talq ibnu Habib رحمه الله pernah mengatakan bahawa taqwa ialah bila engkau selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ atas dasar cahaya dari Allah ‎ﷻ dan mengharapkan pahala-Nya, dan bila kamu meninggalkan penderhakaan terhadap Allah ‎ﷻ atas dasar cahaya dari Allah ‎ﷻ dan kerana takut terhadap azab-Nya.

Asbabun Nuzul ayat ini: ada pemuka Quraisy datang ke Madinah dan minta Nabi Muhammad ﷺ menerima berhala-berhala mereka sebagai wasilah. Nabi Muhammad ﷺ marah dan para sahabat juga sudah marah dan hendak membunuh pemuka Quraisy itu. Maka Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini sebagai peringatan untuk tidak melakukannya kerana telah ada perjanjian damai dengan Mekah pada waktu itu.

 

 

وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ

dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. 

Orang kafir itu merujuk kepada Musyrikin Mekah dan orang munafik itu merujuk kepada golongan yang tidak percaya kepada baginda di Madinah. Golongan Munafik itu mengaku beriman tetapi sebenarnya mereka tidak beriman.

Ini kerana mereka ada pemahaman adat resam yang mereka tidak mahu ubah. Mereka bantah ajaran wahyu yang bertentangan dengan adat resam mereka. Kalau kita lihat dalam masyarakat kita pun ada masalah ini.

Ayat ini juga memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan terpengaruh dengan orang kafir dan orang munafik. Jangan terpengaruh dengan kata-kata orang kafir di Mekah dan juga orang munafik di Madinah yang mengutuk Nabi Muhammad ﷺ kerana berkahwin dengan janda anak angkatnya sendiri kerana Zaid رضي الله عنه itu tidak menjadi anaknya yang sebenar.

Ayat ini diturunkan setelah Zaid رضي الله عنه menceraikan Zainab  رضي الله عنها. Maka waktu itu adalah waktu yang sesuai untuk mengahwini Zainab رضي الله عنها untuk memusnahkan adat resam yang melarang mengahwini bekas isteri anak angkat. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ takut untuk mengambil langkah ini. Ini kerana baginda takut apa yang akan dikatakan oleh puak kafir dan juga munafik.

Baginda bukannya takut nama baginda tercalar, tetapi baginda takut gerakan Islam yang tercalar. Takut nanti ada orang yang lemah iman akan terikut-ikut dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh puak kafir dan munafik.

Kalau baginda terpengaruh atau terkesan dengan kata-kata mereka, maka baginda dikira telah mengikut hawa nafsu mereka. Maka kita pun janganlah risau sangat kalau memperkatakan perkara yang tidak sesuai dengan adat resam masyarakat.

Antaranya, jangan takut untuk menegur amalan bersanding masyarakat kita walaupun ia telah lama diamalkan. Perkara yang salah tetap harus ditegur. Janganlah hendak jaga sangat adat resam sampaikan amalan agama Hindu pun kita buat juga.

Jangan turut orang kafir dan munafik itu juga bermaksud jangan ikut saranan dari mereka yang tidak patut dilakukan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah ada mencadangkan kepada Nabi ﷺ untuk menerima berhala-berhala sebagai wasilah. Kalau baginda terima, mereka sanggup memberikan separuh dari kekayaan Mekah kepada baginda.

Kalau kita dilarang dari mengikut saranan orang kafir, memang kita boleh faham kerana mereka akan cakap perkara yang berlawanan dengan agama. Tetapi kenapa disebut munafikin juga? Bukankah kalau mereka buat saranan seperti orang kafir, maka tentu pecah tembelang mereka?

Jawapannya, memang mereka tidak cakap dengan terus terang, tetapi kena berhati-hati dengan kata-kata mereka kerana mereka mungkin berselindung dan kata-kata mereka itu sebenarnya menyokong pendapat orang kafir tanpa kita sedari. Maka kita kena perhati mereka yang ada sifat-sifat nifak dan jangan terkesan dengan kata-kata mereka.

 

إِنَّ اللهَ كانَ عَليمًا حَكيمًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Maka kena taat sahaja kepada arahan Allah ‎ﷻ dan tidak mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tahu apa yang diperlukan oleh manusia. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ tahu hukum apa yang patut dikenakan kepada manusia dan apakah perkara yang perlu ditukar dalam adat resam kalau ia tidak sesuai untuk agama.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak menikahi Zainab رضي الله عنها. Ini tentu menyelamatkan baginda dari kes ini. Tetapi Allah ‎ﷻ mahukan peristiwa itu berlaku dan kemudian menurunkan surah ini kerana hendak memberi pengajaran kepada manusia. Semua ini adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana.


 

Ayat 2: Kalau tidak boleh ikut fahaman salah masyarakat, jadi baginda kena ikut yang mana? Ikutlah wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Ia juga adalah titahan kepada kita juga.

وَاتَّبِع ما يوحىٰ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And follow that which is revealed to you from your Lord. Indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

(MELAYU)

Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَاتَّبِع ما يوحىٰ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ

Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. 

Nabi Muhammad ﷺ dan kita hanya perlu mengikut wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan dan tidak perlu risau dengan kata-kata manusia. Firman Allah ‎ﷻ lebih tinggi dan lebih penting dari kata-kata manusia.

 

إِنَّ اللهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Dan Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa yang diperkatakan dan dilakukan oleh manusia tentang perkara ini dan apa-apa sahaja. Maka kalau Nabi Muhammad ﷺ menegakkan kebenaran tetapi baginda ditohmah dan dikutuk, maka kesabaran baginda itu tidak sia-sia kerana kesabaran baginda itu akan dibalas. Ini kerana Allah tahu apa yang baginda lalui dan akan dibalas dengan pahala atas kesusahan baginda itu.

Maka begitulah juga jikalau kita dituduh dengan pelbagai tuduhan sedangkan kita hanya hendak menegakkan kebenaran. Kadangkala kita menegur ahli keluarga dan kawan-kawan kita yang melakukan amalan syirik dan juga bidaah, tetapi dimarahi dan dikutuk pula.

Maka kita kenalah bersabar dengan apa yang mereka kata itu. Namun begitu, tentunya kesabaran kita itu tidaklah percuma sahaja. Allah ‎ﷻ akan membalas dengan pahala yang amat banyak. Jadi sabar sahajalah jika dikutuk sebagai Wahabi dan sebagainya.


 

Ayat 3: Walau apa yang berlaku, kenalah ikut wahyu dan kemudian serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Apa-apa yang berlaku, itu semua dalam kehendak Allah ‎ﷻ, kita kena terima sahaja.

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And rely upon Allāh; and sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

(MELAYU)

Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

 

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ

dan bertawakkallah kepada Allah.

Dan hendaklah Nabi ﷺ bertawakal dengan menyerahkan diri dan urusan baginda kepada Allah ‎ﷻ. Jangan baginda risau yang kejadian itu akan menyebabkan Islam dan dakwah baginda terbantut. Allah beri nasihat ini kerana baginda risau sangat nanti manusia sudah tidak percaya kepada baginda.

Walaupun perkara ini adalah hal dalam keluarga baginda, tetapi ia telah menyesakkan hati baginda kerana pada waktu itu baginda sedang menghadapi kemungkinan diserang oleh Mekah.

Dan dalam masa yang sama baginda sedang menghadapi masalah dengan golongan Yahudi di Madinah kerana mereka itu hendak menjatuhkan Islam dari dalam. Pada waktu itu dua puak daripada golongan Yahudi telah pun dihalau. Dan telah ada ketidakpuasan yang kuat dari Yahudi.

Maka di dalam situasi yang agak tegang waktu itu, maka tentulah isu ini menjadi sesuatu yang besar. Dan memang jikalau ketua mengalami skandal seperti ini, ia akan menyebabkan rakyat menjadi lemah semangat dan tidak bersatu dan akan melemahkan umat Islam jikalau tidak ditangani dengan baik.

Kerana itu di dalam percaturan politik, selalunya pihak lawan akan menyerang peribadi pihak lawannya seperti skandal peribadi ataupun isu yang dihadapi oleh ahli politik itu di dalam keluarga dan cara ini amat berkesan walaupun isu-isu dalaman keluarga sepatutnya tidak ada apa-apa pun dengan pemerintahan.

Tetapi manusia memang terkesan dengan perkara-perkara sebegini. Banyak sekali ahli politik dijatuhkan dengan cara ini. Pihak musuh akan korek apa sahaja masalah dalaman ahli politik itu.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

Maka Allah ‎ﷻ memberitahu kepada baginda yang cukuplah Allah ‎ﷻ menguruskan hal baginda dan akan menyelesaikan kekacauan yang dialami oleh baginda. Serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Ini memang nasihat untuk kita juga. Kadangkala kita risau sangat dengan apa yang berlaku pada diri kita dan kita rasa kita sudah tidak boleh berbuat apa lagi. Memang kita tidak boleh buat apa-apa, tetapi Allah ‎ﷻ boleh melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ akan susun supaya perkara menjadi baik semula.


 

Ayat 4: Dari ayat ini sampai ayat ke 6 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Terdapat perbincangan HUKUM ZIHAR DAN ANAK ANGKAT. Dua hukum ini telah sedia ada dalam amalan Arab jahiliyah. Isteri jika tidak dikehendaki lagi hendaklah dilepaskan secara baik bukan secara zihar, atau tergantung hubungan (gantung tanpa tali). Islam datang mengharamkan perbuatan itu.

Selain zihar kita akan tengok hukum anak angkat tidak boleh lagi dibinkan dengan nama bapa angkat. Dan kita akan tengok adakah boleh bernikah dengan janda anak angkat.

مّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلبَينِ في جَوفِهِ ۚ وَما جَعَلَ أَزوٰجَكُمُ اللّائي تُظٰهِرونَ مِنهُنَّ أُمَّهٰتِكُم ۚ وَما جَعَلَ أَدعِياءَكُم أَبناءَكُم ۚ ذٰلِكُم قَولُكُم بِأَفوٰهِكُم ۖ وَاللهُ يَقولُ الحَقَّ وَهُوَ يَهدِي السَّبيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has not made for a man two hearts in his interior. And He has not made your wives whom you declare unlawful¹ your mothers. And He has not made your claimed [i.e., adopted] sons your [true] sons. That is [merely] your saying by your mouths, but Allāh says the truth, and He guides to the [right] way.

  • By the expression “You are to me like the back of my mother.” Such an oath taken against approaching one’s wife was a pre-Islāmic practice declared by Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) to be a sin requiring expiation as described in 58:34.

(MELAYU)

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).

 

مّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلبَينِ في جَوفِهِ

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi lelaki, dua buah hati dalam rongganya;

Allah ‎ﷻ tidak menjadikan seorang ‘lelaki’ ada dua hati. Sebagai contoh, kalau hatinya tidak suka kepada isterinya sampai menyebabkan hendak bercerai, maka dia tidak ada satu hati yang lain yang kembali sayang kepada isterinya itu. Maka kalau dia tidak sayang maka tentulah dia tidak sayang.

Dari segi literal pun, ini adalah benar dari segi fizikal. Allah ‎ﷻ sebut ‘lelaki’ sahaja yang tidak akan ada dua jantung di dalam tubuhnya. Ini kerana kalimah جوف bermaksud rongga badan manusia daripada dada hingga ke perut.

Memang lelaki tidak akan ada dua jantung di dalam tubuhnya tetapi wanita berkemungkinan besar akan ada dua hati dalam rongga badannya kerana apabila mereka mengandung, maka mereka ada ‘dua jantung’ di dalam tubuh mereka. Satu jantungnya, dan satu lagi jantung anaknya.

Kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah جوف tetapi tidak mengunakan kalimah صدور (dada) kerana sampai bila-bila pun lelaki dan wanita tidak akan ada dua jantung di dalam dada. Kerana jantung kedua dalam tubuh wanita itu bukan dalam dada wanita itu tapi dalam rongga tubuhnya.

Tetapi maksud ayat ini adalah seorang lelaki tidak boleh ada cinta dan benci dalam satu masa kerana kalau dia cinta maka dia cinta, dan jika dia benci maka dia benci.

Dan kalau kita tafsirkan di segi akidah pula, ia bermaksud jika seseorang itu sudah percaya kepada Allah ‎ﷻ maka tidaklah boleh dia percaya kepada ilah selain Allah ‎ﷻ. Kalau percaya dan seru kepada ilah selain Allah ‎ﷻ, maka itu adalah syirik. Juga kalau seorang itu Muslim, dia tidak boleh menjadi kafir; kalau dia munafik, tentu dia tidak boleh jadi mukmin dalam masa yang sama.

Ataupun seseorang itu tidak boleh mengikut syariat Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama dia membuat syariatnya sendiri. Kena pilih satu sahaja.

Maka kalau kita beri label lain pun, ia tidak mengubah hakikatnya. Kalau orang kafir kita panggil sebagai seorang ‘Muslim’, dia tetap kafir, bukan?

 

وَما جَعَلَ أَزوٰجَكُمُ اللّائي تُظٰهِرونَ مِنهُنَّ أُمَّهٰتِكُم

dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu,

Zihar adalah salah satu dari amalan buruk Arab Jahiliyyah. Apabila mereka tidak suka kepada isteri mereka, maka mereka akan kata isterinya itu haram sebagaimana haram untuk mereka meniduri isteri mereka. Ini adalah kerana kalimah ظهر bermaksud ‘belakang badan’. Jadi apabila tengah marah dengan isteri, lelaki Jahiliyah akan berkata: “Engkau bagiku seperti punggung (belakang) ibuku,”.

Apabila dia berkata begitu, maka dia tidak boleh lagi bersama dengan isterinya. Inilah adat dalam masyarakat Arab waktu itu. Namun begitu dalam masa yang sama, dia tidak menceraikan isterinya pun. Maka isterinya tidak boleh untuk berkahwin lain.

Maka statusnya tergantung tanpa tali. Tidak bersama dengan suaminya dan tidak boleh untuk berkahwin lain. Kalau suaminya itu lepaskan terus (cerai), bolehlah dia berkahwin lain, bukan? Tetapi kalau ‘zihar’, perceraian tidak berlaku.

Maka ini adalah kezaliman kerana isteri akan dibiarkan tetapi tidak dilepaskan untuk dia menguruskan dirinya dengan berkahwin lain ataupun balik kampung dan sebagainya. Perbincangan panjang tentang zihar ada di dalam Surah Mujadalah. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

{مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلا اللائِي وَلَدْنَهُمْ}

padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. (Al-Mujadilah: 2), hingga akhir ayat.

Maka Allah ‎ﷻ menegur kezaliman itu dan Allah ‎ﷻ melarang dilakukan lagi adat resam itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang isteri mereka yang mereka zihar dengan kata isterinya seperti ibu mereka, tidak akan menjadi ibu mereka sampai bila-bila. Sepertimana seorang lelaki tidak mungkin ada dua hati dalam rongganya.

 

وَما جَعَلَ أَدعِياءَكُم أَبناءَكُم

dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu

Dan anak angkat yang mereka anggap sebagai anak sendiri itu tidak menjadikan anak-anak sebagai anak kandung mereka. Walaupun mereka kata itu anak mereka atau binkan dengan nama mereka. Itu hanya kata-kata manusia sahaja. Anak-anak itu tetap sebagai anak angkat sahaja.

Sama juga, kita tidak boleh buang anak kita. Mereka tetap menjadi anak kita. Tidak boleh buang anak atau ahli keluarga yang lain. Pertalian itu tetap ada sampai bila-bila. Jadi kalau ada yang tidak mengaku anak, itu hanyalah perasaan marah yang meluap sahaja sampai otak tidak dapat berfikir lagi sampai konon ingin membuang anaknya. Hakikatnya anak itu tetap anaknya.

 

ذٰلِكُم قَولُكُم بِأَفوٰهِكُم

Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja.

Itu adalah kata-kata mereka sahaja dan kata manusia tidak boleh menjadi hukum. Anak angkat itu tidak mungkin menjadi anak sebenar kepada bapa angkatnya kerana dia keluar dari tulang sulbi lelaki lain.

Anak itu juga tidak mungkin ada dua ayah pula sepertimana seorang tidak mungkin ada dua hati dalam rongganya.

 

وَاللهُ يَقولُ الحَقَّ

Dan Allah mengatakan yang haq

Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ firmankan, ia menjadi syariat. Kata-kata Allah ‎ﷻ tidak sama dengan kata-kata manusia.

Maka ayat ini boleh disampaikan kepada orang yang berbuat bidaah dalam agama. Kena ingat yang kata-kata manusia tidak menjadi syariat. Kalau mereka reka amalan dan mengatakan amalan ini bagus, Allah ‎ﷻ suka kalau melakukannya, tidaklah ia menjadi syariat dalam agama. Kalau ada yang kata sesuatu amalan itu ‘bidaah hasanah’, ia hanyalah kata-kata manusia sahaja. Tidaklah ia akan menghasilkan pahala. Kerana untuk jadi pahala, kena ada dalil dari Allah ‎ﷻ.

 

وَهُوَ يَهدِي السَّبيلَ

dan Dia menunjukkan jalan.

Dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan itu akan memimpin manusia sampai kepada Dia. Maka kenalah belajar dan amalkan wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Kalau reka sendiri, amalan itu tidak akan sampai kepada Allah ‎ﷻ.

Allahu a’alam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 28 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Luqman Ayat 32 – 34 (Bapa dan anak tidak dapat membantu)

Ayat 32: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kapal dan pergerakan kapal di lautan itu adalah satu nikmat dari Allah. Sekarang disebutkan keadaan di lautan itu dan kesan kepada manusia.

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ ۚ وَما يَجحَدُ بِئايٰتِنا إِلّا كُلُّ خَتّارٍ كَفورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when waves come over them like canopies, they supplicate to Allāh, sincere to Him in religion [i.e., faith]. But when He delivers them to the land, there are [some] of them who are moderate [in faith]. And none rejects Our signs except everyone treacherous and ungrateful.

(MELAYU)

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi engkar.

 

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung,

Apabila di lautan, kebiasaannya akan mengalami lambungan ombak yang kadangkala amat menakutkan. Ada masa laut tenang sahaja dan ada masa ianya bergelora. Orang yang biasa ke lautan akan kenal sangat perkara ini.

 

دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya

Waktu ombak lautan tinggi sampai menutupi mereka, mereka berdoa terus kepada Allah (tanpa melalui perantara). Ini kerana mereka amat takut sekali dan mereka sedar tidak ada yang dapat menyelamatkan mereka melainkan Allah. Maka mereka doa terus kepada Allah.

Tidak sempat lagi pada waktu itu nak minta perantara (wasilah) untuk sampaikan doa mereka. Mereka terus potong ‘broker’ mereka dalam doa. Mungkin waktu itu mereka baru sedar yang tidak perlu broker dalam doa dan lebih cepat dan lebih makbul kalu terus sahaja doa kepada Allah.

 

فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ

maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan pertengahan.

Dan apabila Allah selamatkan mereka, mereka kembali kepada keadaan biasa. Mereka melakukan iqtisad. Dan kalimah ini agak susah untuk ditafsirkan kerana ada dua makna yang kita boleh ambil darinya.

Pertamanya, ia boleh bermaksud jalan pertengahan kerana kalimah مُّقتَصِدٌ dari ق ص د yang antara lain bermaksud ‘pertengahan’. Kalimah dari katadasar yang sama juga ada disebut dalam ayat 19 surah ini.

Sekarang Allah sebut lain daripada ayat-ayat sebelum ini kerana kalau dulu Allah sebut apabila mereka kembali ke daratan mereka akan kembali kepada ‘syirik’. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain yang hampir sama sahaja:

{فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ}

maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah). (Al-‘Ankabut: 65)

Tetapi di dalam ayat Surah Luqman ini, Allah mengatakan mereka itu kembali normal (pertengahan). Mereka buat biasa-biasa sahaja walaupun sebelum itu mereka telah melalui satu kejadian yang sepatutnya mengesankan mereka di lautan. Sepatutnya mereka betul-betul beriman dengan Allah, tapi mereka biasa-biasa sahaja.

Maknanya orang itu menjadi seperti biasa balik padahal dia baru sahaja melalui kejadian yang menakutkan di mana dia hampir mati di lautan dulu. Waktu itu mereka sudah sedar yang mereka kena doa terus kepada Allah. Akan tetapi Allah merungut tentang mereka dalam ayat ini kerana mereka kembali kepada keadaan biasa mereka sebelum itu.

Sepatutnya kejadian seperti itu mengubah mereka dan menjadikan mereka orang yang lebih baik tetapi mereka kembali jadi biasa sahaja. Mereka tidak ambil pengajaran dari kejadian yang mereka telah lalui di lautan itu. Sepatutnya akidah tauhid mereka menjadi kuat dan mereka faham kena doa terus kepada Allah.

Bukan semua berfahaman begitu kerana Allah berfirman فَمِنهُم (sebahagian dari mereka) sahaja kerana sebahagian daripada manusia itu yang kembali jadi syirik.

Tafsir kedua, iqtisad juga boleh bermaksud ‘jalan yang lurus’. Kalau ini yang dimaksudkan, maka mereka itu berterusan dalam tauhid. Kesan pengalaman mereka di lautan itu telah menjadikan mereka sedar diri dan sedar apakah tauhid yang sebenarnya. Iman mereka memang terus tinggi.

Oleh itu, kita boleh pakai kedua maksud itu: iaitu ada yang jadi baik dan ada yang kekal dalam sifat lama mereka (syirik).

 

وَما يَجحَدُ بِئايٰتِنا إِلّا كُلُّ خَتّارٍ كَفورٍ

Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi engkar.

Begitulah ada manusia yang engkar kepada wahyu Allah. Allah menceritakan tentang manusia yang sudah mengalami pengalaman di lautan pun boleh tidak faham tauhid dalam doa. Maka kalau kalangan kita yang jauh dari wahyu pun tentulah begitu juga.

Allah kata mereka ini خَتّارٍ (tidak setia). Malah kalimah خَتّارٍ digunakan untuk manusia yang tidak setia dan tikam belakang. Maksudnya mereka itu tidak tetap dengan apa yang telah dilalui. Mereka sudah lalui pengalaman yang sepatutnya meningkatkan iman mereka tapi mereka tidak ambil peluang. Seolah-olah mereka patah ke belakang dan tikam belakang fahaman tauhid itu. Sepatutnya mereka sokong fahaman tauhid, tapi mereka serang pula fahaman tauhid.

Kalau orang yang tidak percaya Tuhan, kadang-kadang mereka terseru juga nama Tuhan. Tapi apabila mereka kembali ke daratan, mereka tidak mengaku. Mereka kata semasa mereka seru Tuhan di lautan itu, mereka dalam keadaan keliru. Dan mereka kata, bukanlah Tuhan yang selamatkan mereka, tapi pelampung, kapal laut, atau benda-benda (tapi bukan Allah).

Dan kalau musyrik pula, mereka akan kata yang selamatkan mereka adalah wali ini dan wali itu. Padahal semasa mereka dilambung ombak itu, yang mereka seru adalah Allah sendiri. Tapi bila selamat, mereka kata ilah lain pula yang selamatkan mereka. Maka mereka pergilah ke kuburan wali itu dan mereka sedekah bunga atau sembelih kambing atau apa-apa sahaja sembahan syirik mereka itu.

Dan kerana mereka menentang fahaman tauhid, maka mereka dikatakan sebagai kufur. Kufur itu maksudnya kufur dengan nikmat yang Allah telah berikan kepadanya. Mereka kufur dengan fakta yang Allah lah yang telah selamatkan mereka. Tapi mereka tidak mengaku.

Maka mereka yang jenis seperti ini, senang sahaja untuk terus berpegang dengan akidah syirik atau fahaman atheist mereka.


 

Ayat 33:

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم وَاخشَوا يَومًا لّا يَجزي والِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلا مَولودٌ هُوَ جازٍ عَن والِدِهِ شَيئًا ۚ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, fear your Lord and fear a Day when no father will avail his son, nor will a son avail his father at all. Indeed, the promise of Allāh is truth, so let not the worldly life delude you and be not deceived about Allāh by the Deceiver [i.e., Satan].

(MELAYU)

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu

Allah mengingatkan manusia untuk bertaqwa kepadaNya. Taqwa itu maksudnya taat kepada perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Dan ketaatan yang utama adalah tauhid di mana kenalah berdoa terus kepada Allah dan tidak menggunakan perantaraan yang tidak ada diajar di dalam syarak. Antaranya menggunakan Nabi, wali, malaikat dan jin dalam doa.

 

وَاخشَوا يَومًا لّا يَجزي والِدٌ عَن وَلَدِهِ

dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya

Memang kena bertaqwa untuk selamat di akhirat. Kerana apabila di akhirat nanti, kalau tidak bertaqwa, maka ayah pun tidak dapat menyelamatkan anaknya sendiri. Kalimah يَجزي daripada katadasar ج زي yang bermaksud bayar, membalas. Maksudnya, membalas bagi pihak orang lain.

Hubungan ayah dan anak itu amat rapat dan lebih-lebih lagi dari antara guru dan anak murid. Tapi ayah yang sayang anaknya itu pun takkan sanggup nak serahkan dirinya untuk ganti anaknya kalau anaknya itu ditakdirkan masuk neraka. Maka kalau ayah pun tidak sanggup, maka agaknya ada lagikah yang sanggup? Tentu tidak ada. Kerana keadaan dan azab di akhirat itu amat menakutkan sampai tidak akan ada yang sanggup mengganti sesiapa pun.

Surah ini berakhir dengan cerita ayah dan anak kembali seperti permulaan surah ini. Allah menekankan bahawa ayah tidak boleh bantu anaknya. Seorang ayah memang sayang kepada anaknya tetapi walaupun begitu dia tidak dapat tolong anaknya di akhirat nanti.

Dan ini mengingatkan kita kepada ayat 15 surah ini di mana telah dikatakan anak tidak boleh ikut akidah ayahnya yang syirik. Kerana memang rugi kalau ikut, kerana ayahnya itu pun tidak dapat nak bela anaknya kalau anaknya itu ikut. Memang rugi serugi-ruginya kalau ikut. Memang tidak selamat.

Maka ayah kena berusaha untuk menyelamatkan anaknya dengan mengajar agama kepada anaknya. Kena ajar semasa dari kecil lagi supaya anak itu mendapat pemahaman yang benar tentang agama. Jangan hanya serahkan kepada sekolah sahaja. Kerana anak-anak akan lihat perlakuan ibubapanya dan bukan sahaja guru-guru di sekolah. Perlakuan ibubapa amat memberi kesan kepada pemikiran anak-anak.

 

وَلا مَولودٌ هُوَ جازٍ عَن والِدِهِ شَيئًا

dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. 

Sebagaimana bapa tidak dapat menyelamatkan anaknya, anaknya juga tidak dapat menyelamatkan ibubapanya. Anak pun tidak sanggup menjadi galang ganti ayahnya di dalam neraka kalau ayahnya kena masuk neraka. Betapa sayang macam mana pun seorang anak kepada ayahnya, dia tidak akan sanggup nak tolong dan ganti ayahnya.

Jangan kata nak ganti tempat di neraka, nak mempertahankan ayahnya pun nanti dia tidak akan sanggup.

 

إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Janji Allah untuk menjadikan Kiamat dan kemudian mendirikan akhirat untuk beri balasan baik kepada mereka yang baik dan balasan buruk kepada mereka yang kufur itu, amat benar. Allah pasti akan jalankan.

 

فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا

maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu,

Jangan benarkan keindahan dunia menipu kamu. Jangan kamu leka dengan tipu daya dunia.

Kalimah ghurur bermaksud sesuatu yang ambil kesempatan kepada mereka yang lalai leka. Kalau leka dengan dunia, maka syaitan akan ambil kesempatan untuk menyesatkan manusia.

Apakah yang disebut di awal-awal surah ini? Tentang hiburan, bukan? Dan kebanyakan manusia, mereka ditipu berkenaan hiburan kerana itulah sahaja dalam kehidupan mereka. Mereka tertunggu-tunggu bila filem ini dan itu nak keluar, bila game ini dan itu nak keluar, apa rekod baru yang ada di pasaran dan sebagainya.

Memang mereka buang masa sungguh. Mereka tidak sedar yang apa yang mereka tunggu-tunggu itu adalah sampah sahaja. Buat tambah dosa sahaja. Ini kita cakap tentang mereka yang menerima/menonton/dengar hiburan itu. Bagaimana pula mereka yang terlibat dalam industri hiburan itu sendiri? Tentulah lagi teruk, bukan?

Memang buang masa dan tidak produktif langsung kalau kehidupan kita dibuang dengan mengkonsumasi hiburan sahaja. Dan bila sudah habis tengok hiburan yang ada, mereka baca dan cari pula kisah kehidupan artis, mereka buat apa sekarang, apa rancangan artis itu tahun depan dan sebagainya. Maka mereka itu seolah-olah jadi hamba kepada hiburan.

Buang masa sahaja kalau kita terpesona dengan hiburan keduniaan. Bandingkan hiburan yang diberikan oleh Al-Qur’an dengan hiburan oleh filem dan juga lagu tidak sama kerana filem sekali dua saja sudah cukup tetapi Al-Qur’an itu berkali-kali kita baca ianya tetap memberi hiburan kepada kita. Sudahlah beri hiburan halwa telinga, ia memberi rahmat dan pengajaran pula kepada kita.

Zaman dahulu pun ada buang masa juga. Akan tetapi zaman sekarang lebih teruk lagi kerana lebih mudah untuk dapatkan bahan hiburan. Petik sahaja dan keluar rancangan TV dan lebih teruk lagi, sekarang ianya ada dalam poket kita sahaja (handphone)!

Maka apakah yang dapat mengubah fikiran anak-anak muda itu kalau bukan ibubapanya yang memberi pendidikan awal kepada anak dengan mengingatkan mereka tentang bahayanya hiburan dan pentingnya agama? Dan janganlah ibubapa itu pula yang menjadi punca anak-anak suka kepada hiburan pula kerana mereka melihat ibu dan ayah mereka pun begitu. Kerana kadang-kadang anak-anak itu rasa tidak bersalah untuk membuang masa dengan hiburan kerana mereka tahu ibubapa mereka juga buat perkara yang sama.

Dalam Surah Ankabut sebelum ini telah disebut bagaimana ada orang yang menanggung dosa orang-orang yang mengikut mereka. Dan sekarang dalam ayat ini, Allah memberi isyarat bahawa jikalau kita memberi contoh yang buruk kepada anak-anak kita, maka kita pun akan menanggung dosa-dosa mereka juga. Maka ini sepatutnya menyedarkan kita betapa pentingnya kita memberi pendidikan agama yang benar kepada anak cucu kita.

Ramailah yang terpesona dengan tipuan syaitan. Mereka macam dicucuk hidung dan sebenarnya hidung mereka dicucuk oleh syaitan. Syaitan membisikkan dalam hati pengikut itu: “jangan lepaskan peluang semasa hidup di dunia, hidup hanya sekali sahaja… “. Maka tertipulah kebanyakan manusia dengan bisikan ini.

Ramai yang terpesona dengan kehidupan dan kesenangan dunia sampaikan mereka terlupa yang mereka akan mati juga akhirnya. Mereka rancang nak buat itu dan ini, nak pergi ke sana dan sini, nak makan itu dan ini. Tapi mereka lupa, entah mereka ada lagi esok atau tidak?

Maka mereka tidak buat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka tidak sediakan pahala yang banyak. Kerana ramai manusia terlupalah, banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang mengingatkan kepada kematian. Sampaikan mungkin tidak ada satu mukasurat pun yang tidak ada peringatan kepada kematian.

Ada yang mengejar kesenangan keduniaan kerana pada mereka, kalau mereka senang hidup di dunia, itu adalah tanda bahawa Tuhan sayang mereka. Dan kalau Tuhan sayang, tentulah selamat di akhirat. Kerana itu ada orang-orang yang kaya yang rasa mereka itu istimewa dan mereka akan selamat di akhirat kelak. Ini adalah fahaman yang salah dan banyak disebut dalam Al-Qur’an tentang salah faham ini.

Jangan tertipu kerana kesenangan di dunia bukanlah menjadi tanda yang Allah sayang. Kesusahan hidup di dunia dan juga kesenangan itu hanyalah sebagai dugaan hidup di dunia sahaja. Ia tidak sekali-kali menjadi tanda yang Allah sayang dan tentunya tidak menjadi tanda yang seseorang itu akan selamat di akhirat.

 

وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

dan jangan (pula) penipu memperdayakan kamu berkenaan Allah.

Kalimah الغَرورُ bermaksud ‘pelalai’ atau ‘penipu’ dan ia boleh jadi apa-apa sahaja. Ia boleh jadi syaitan, manusia, kumpulan manusia, nafsu manusia atau perkara-perkara lain. Ini adalah kerana tidak disebutkan dengan tepat dan jelas.

Dan kelebihan ini adalah ia lebih merangkumi ruang lingkup yang lebih luat. Tidaklah terhad kepada satu-satu sumber sahaja. Kerana ada orang senang tertipu dengan seseorang, ada yang senang tertipu dengan kumpulan yang ramai dan macam-macam lagi.

Tapi ianya selalu diterjemahkan sebagai ‘syaitan’ kerana memang tugas syaitan adalah untuk menipu dan melekakan manusia. Jangan biarkan syaitan mengambil peluang atas kelalaian kita.

Apabila dikatakan يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ (menipu berkenaan Allah), ia boleh menjadi macam-macam perkara. Tidak terkira banyaknya. Ada yang ditipu bahawa Allah tidak ada; ada manusia yang ditipu sampai mereka percaya Allah ada ‘anak’, ‘anak angkat’ atau wakil-wakil Allah atas alam ini. Antaranya mereka ditipu sampai mereka percaya Allah wakilkan pemerintahan alami ini kepada sesetengah roh Nabi, wali dan malaikat.

Ada yang ditipu: kalau nak mendekatkan diri dengan Allah, kena dekatkan diri dengan wali-wali itu. Kerana itu ramai yang buat amal ibadat dan seruan kepada ahli kubur seperti yang dilakukan oleh golongan Habib itu.

Ada juga yang ditipu dengan sifat-sifat Allah. Mereka beri pemahaman yang salah tentang Allah. Antaranya ada yang ditipu sampai mereka berfahaman yang Allah itu bersifat Rahman sentiasa, sampaikan semua kesalahan kita akan diampunkan (kerana Allah sangat pemaaf). Maka mereka itu senang hati sahaja buat dosa dan mereka sangka Allah pasti akan maafkan mereka!

Ada yang ditipu dengan qada’ dan qadar. Oleh itu mereka rasa yang mereka telah dijadikan sekian dan sekian, maka tidaklah mereka bersalah. Sebagai contoh, ada golongan gay dan lesbian yang kata, mereka jadi begitu kerana Allah yang jadikan mereka begitu – maka tentulah mereka tidak salah…. alangkah jahilnya fahaman mereka itu!

Antaranya syaitan menipu dengan membisikkan kepada kita yang jikalau kita sedang melakukan kesalahan maka kita boleh minta maaf. Syaitan kata: “Takpe, buat dulu… nanti boleh minta maaf…”

Ada yang ditipu tentang sifat Pemaaf Allah. Mulanya mereka bisikkan supaya manusia itu buat dosa, kemudian syaitan suruh orang itu tangguhkan taubat. Syaitan akan bisikkan: “Nanti kalau kau taubat, nanti kau akan buat dosa lagi… jadi biar kau buat dulu apa kau nak buat, nanti kau taubatlah bila dah tak larat nak buat lagi…bila dah tua nanti, taubatlah….”.

Syaitan bisikkan kepada manusia yang jahil yang bertaubat berkali-kali itu adalah salah dan memalukan. Syaitan kata: “Tak malu ke asyik minta ampun sahaja. Dah banyak kali ni, Allah pun tidak akan ampunakan kamu dah.” Sedangkan memang benar boleh minta maaf kepada Allah walaupun banyak kali (asalkan ikhlas) tetapi syaitan akan tipu manusia. Akhirnya manusia itu tidak bertaubat sampai mereka mereka mati tanpa bertaubat.

Begitulah syaitan menipu tentang Allah kepada manusia yang jahil. Mereka boleh tertipu kerana mereka jauh dari wahyu. Sedangkan kalau mereka tahu wahyu, maka mereka akan kenal Allah seperti yang sepatutnya.


 

Ayat 34: Dalil aqli.

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الغَيثَ وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ ۖ وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا ۖ وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh [alone] has knowledge of the Hour and sends down the rain and knows what is in the wombs.1 And no soul perceives what it will earn tomorrow, and no soul perceives in what land it will die. Indeed, Allāh is Knowing and Acquainted.

  • i.e., every aspect of the fetus’ present and future existence.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

 

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat;

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah Kiamat akan terjadi. Ayat ini mengajar kita yang kita sebenarnya tidak ada masa. Kita jangan buang masa dengan berhibur dan terpesona dengan dunia sahaja. Kerana kita tidak tahu: entah esok Kiamat, siapa tahu?

Hanya Allah sahaja yang mengetahui bilakah akan terjadinya hari kiamat dan tidak ada selain Allah yang tahu. Malah Jibrail dan Nabi Muhammad pun tidak tahu. Ianya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, esok atau lusa jika Allah mahu dan kita tidak boleh kata belum keluar semua lagi tanda Kiamat. Memang Allah berikan pengetahuan tentang tanda-tanda Kiamat, tapi kalau Allah buat keputusan untuk jadikan Kiamat itu awal, siapa kita untuk mempersoal Allah?

Ayat ini adalah jawapan kepada soalan orang kafir tentang bilakah Kiamat itu akan berlaku. Banyak sekali disentuh dalam Al-Qur’an tentang perkara ini dan inilah jawapan yang Allah berikan kepada soalan mereka itu. Kadangkala Allah berikan soalan mereka tapi kadangkala Allah tidak sertakan soalan mereka itu.

Jawapan yang penting adalah manusia tidak akan tahu bilakah hari Kiamat itu. Kemudian Allah beri hujah: takkanlah manusia boleh tahu perkara ghaib, sedangkan perkara dalam kehidupan mereka sendiri pun mereka tidak tahu?

 

وَيُنَزِّلُ الغَيثَ

dan Dialah Yang menurunkan hujan, 

Pertamanya Allah ingatkan manusia yang hujan pun manusia tidak tahu bilakah ianya akan berlaku. Manusia amat memerlukan sumber air dari hujan itu tapi mereka boleh tunggu sahaja hujan itu turun. Kerana Allah yang menentukan bilakah hujan itu akan turun. Dan Allah juga yang menurunkan hujan sebanyak mana yang diperlukan oleh makhluk.

Maka ilmu tentang hujan juga dalam ilmu Allah taala. Tiada yang dapat menurunkan hujan melainkan Allah taala sahaja. Allah sahaja yang tahu berapa banyak hujan akan turun, ke manakah hujan itu akan mengalir, disimpan di mana dan apakah yang akan dilakukan oleh air hujan itu. Manusia mungkin boleh buat agakan sahaja berdasarkan kajian mereka, tapi itu pun tidak tepat. Maklumat yang tepat hanya dengan Allah taala sahaja.

Selagi belum sampai hari Kiamat, maka Allah tetap memberikan hujan yang boleh menumbuhkan tanaman di atas muka bumi. Ini kerana selagi Allah tidak buat keputusan untuk mematikan semua makhluk sekaligus, maka keperluan untuk hidup akan diberikan olehNya.

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan.

 

وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ

dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. 

Bagaimana kamu nak tahu bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku sedangkan anak kamu sendiri pun kamu tidak tahu bagaimana keadaannya di dalam ibunya? Sedangkan anak itu kamu amat sayang dan berharap sungguh untuk berjumpa dengannya. Tapi kamu tidak boleh buat apa, cuma tunggu sahaja.

Kamu tidak tahu sama ada ia  nanti besar mana, lelaki atau perempuan, sihat atau tidak, akan jadi pandai atau tidak, akan jadi orang beriman atau tidak. Hanya menunggu sahaja dan berharap sahaja.

Keadaan bayi itu dalam tangan Allah. Allah yang berikan sebagai hadiah kepada kita. Sebagaimana hujan menjadikan bumi ini hamil dengan tanaman dan rezeki, maka manusia juga ada yang hamil dengan rezeki anak.

Selagi belum sampai hari kiamat itu maka ada rezeki yang Allah berikan sama ada dengan cara hujan dan juga dengan cara wanita mengandung.

 

وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok.

Bagaimana kamu nak tahu bilakah hari Kiamat itu sedangkan esok apa yang terjadi pun kamu tidak tahu. Tidak ada manusia yang tahu apa yang akan terjadi esok dan kerana itu kadang-kadang dengan satu panggilan telefon saja hidup kita bertukar atau dengan satu kejadian sahaja, kita menjadi orang yang lain dan banyak lagi yang kita tidak sangka-sangkakan berlaku.

Kita tidak tahu apa yang kita akan lakukan esok. Mungkin kita ada merancang apa yang kita hendak lakukan esok tetapi kita tidak pasti sama ada kita boleh melakukannya atau tidak. Jadi oleh kerana kita tidak tahu apa yang kita akan dapat esok, maka kita jangan berlengah lagi untuk melakukan usaha untuk mendapatkan pahala.  Kena ambil peluang masa yang kita ada untuk melakukan sebanyak mungkin amalan yang dapat memberikan pada sebagai bekal kita di akhirat kelak.

 

وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. 

Bagaimana kamu mampu untuk mengetahui bilakah akan terjadinya hari Kiamat itu sedangkan manusia tidak tahu di tanah mana dia akan mati nanti. Mungkin dia mati di tandas rumahnya atau di tempat kerja atau di hospital atau di dalam perjalanan ke tempat-tempat lain.

Mungkin kita beriya-iya untuk melakukan pelancongan kepada negara luar tanpa kita sangka yang kita sebenarnya menuju ke tanah yang kita akan mati. Tanah itu menunggu sahaja kita untuk sampai kepadanya. Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“إِذَا أَرَادَ اللَّهُ قبض عبد بأرض، جعل له إليها حاجة”

Apabila Allah hendak mencabut nyawa seorang hamba di suatu negeri, maka Allah menggerakkan hamba yang bersangkutan ke negeri itu untuk suatu keperluan.

Jadi  ayat ini mengingatkan kita kepada kematian. Tetapi selalunya kita tidak ingat kepada mati apabila kita sedang menikmati kehidupan. Akan tetapi kita pun selalu terdengar bagaimana ramai manusia yang sedang bercakap atau berjalan atau tengah buat kerja tiba-tiba mati begitu sahaja tanpa apa-apa sebab. Ini adalah kerana ajal dan maut di dalam keputusan Allah.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Jadi ayat ini menyebut lima perkara ghaib yang hanya sahaja yang tahu. Dan pengetahuan tentang perkara itu Allah tidak berikan kepada sesiapa pun. Kita kena berharap dan bergantung kepada keputusan Allah sebagaimana kita hanya serahkan sahaja kepada Allah bilakah Dia hendak melakukan hari Kiamat itu.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلا هُوَ}

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri. (Al-An’am: 59), hingga akhir ayat.

Kelima-lima perkara ini disebutkan di dalam sunnah dengan istilah “kunci-kunci keghaiban”.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَفَاتِيحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ: {إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنزلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ}

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Abdullah ibnu Dinar, dari Ibnu Umar yang telah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Kunci-kunci semua yang ghaib itu ada lima, tiada seorang pun yang mengetahuinya kecuali hanya Allah. Yaitu sesungguhnya Allah, hanya di sisi-Nyalah pengetahuan tentang hari Kiamat; Dialah yang menurunkan hujan; Dia mengetahui apa yang ada di dalam rahim; tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi manakah dia akan mati; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari secara tunggal. Dia meriwayatkannya di dalam Kitabul Istisqa, bagian dari kitab sahihnya, melalui Muhammad ibnu Yusuf Al-Faryabi, dari Sufyan ibnu Sa’id As-Sauri dengan sanad yang sama.

Sebagai tambahan maklumat, tidaklah lima perkara ini sahaja yang Allah tahu, tapi banyak lagi perkara-perkara yang Allah sahaja tahu. Tapi Allah beri contoh lima perkara ini kerana ianya adalah perkara yang rapat dengan kita. Perkara ghaib yang Allah sahaja tahu itu tidak terhad dan kita pun tidak terkira banyaknya.

Allah Maha Mengetahui sama ada perkara itu halus atau pun kasar. Allah tahu yang luar dan yang di dalam. Ilmu Allah sempurna tidak macam kita yang tahu sikit-sikit sahaja. Allah tahu apa yang kita lakukan dan Allah tahu apa yang ada dalam hati kita. Semua di dalam ilmu Allah taala.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Luqman ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Sajdah.

Tarikh: 22 Oktober 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 29 – 31 (Sabar dan Syukur)

Ayat 29: Dalil aqli.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ كُلٌّ يَجري إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَأَنَّ اللهَ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see [i.e., know] that Allāh causes the night to enter the day and causes the day to enter the night and has subjected the sun and the moon, each running [its course] for a specified term, and that Allāh, with whatever you do, is acquainted?

(MELAYU)

Tidakkah kamu memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia tundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

Tidakkah kamu memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang

Siang dan malam bertukar ganti hari demi hari. Apabila sedang siang, Allah masukkan malam ke dalam siang itu dan menukarkan siang menjadi malam.

Kadang-kadang malam jadi pendek dan kadang-kadang siang jadi pendek. Yakni mengambil sebahagian dari waktu malam dimasukkan ke dalam waktu siang sehingga siang menjadi panjang, sedangkan malam pendek. Hal ini terjadi pada musim panas, kerana di musim panas itu siang hari sangat panjang.

Kemudian secara perlahan panjang siang hari berkurang, sedangkan malam hari bertambah, sehingga pada akhirnya malam hari panjang dan siang hari pendek. Hal ini terjadi pada musim dingin.

Semua urusan penukaran siang dan malam, panjang dan pendeknya malam atau siang itu adalah dalam urusan Allah. Kerana siang dan malam makhluk Allah, maka Dia boleh apa sahaja yang Dia hendak.

 

وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan memasukkan siang ke dalam malam

Semasa malam berlangsung, Allah masukkan siang supaya hari menjadi cerah dan siang bermula.

Allah menyebut tentang siang selepas ayat memberitahu dalam ayat 28 sebelum ini yang Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Jadi tidak kira pada musim mana, sama ada siang atau malam, Allah tahu apa yang kita lakukan.

Nota: pertukaran malam dan siang ini berlaku dengan perlahan-lahan. Ini menjadi bukti bahawa bumi ini berbentuk sfera. Kerana kalau bumi ini leper, tentulah siang dan malam itu terjadi dengan cara mendadak (immediately) di semua tempat. Tapi kerana bumi berbentuk sfera, maka perubahan siang dan malam berlaku sedikit demi sedikit. Ini kerana semakin bumi berpusing mengadap matahari, semakin ada bahagian yang mendapat cahaya matahari.

 

وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

dan Dia tundukkan matahari dan bulan

Matahari dan bulan yang besar itu di bawah takluk Allah. Allah menguasai keduanya dan keduanya berkhidmat menurut arahan Allah sahaja. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a. yang terdapat di dalam kitab Sahihain. Disebutkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda:

“يَا أَبَا ذَرٍّ، أَتَدْرِي أَيْنَ تَذْهَبُ هَذِهِ الشَّمْسُ؟ “. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “فَإِنَّهَا تَذْهَبُ فَتَسْجُدُ تَحْتَ الْعَرْشِ، ثُمَّ تَسْتَأْذِنُ ربَّها فَيُوشِكُ أَنْ يُقَالَ لَهَا: ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ”

Wahai Abu Zar, tahukah kamu ke manakah matahari ini pergi?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah Saw. bersabda, “Sesungguhnya matahari ini pergi dan sujud di bawah ‘Arasy kemudian ia meminta izin kepada Tuhannya. Maka sudah dekat masanya akan dikatakan kepada matahari, “Kembalilah kamu ke arah kamu datang (yakni terbitlah kamu dari arah barat).”

Maka, kalau Allah yang kuasai matahari dan bulan itu, maka bodohlah mereka yang menyembah matahari dan bulan itu. Memang ada agama yang sembah matahari dan bulan. Kerana itu ada ayat dalam Al-Qur’an yang mengatakan jangan sembah matahari dan bulan, tapi sembahlah Allah yang menjadikan keduanya.

Menarik apabila Allah gunakan siang, malam, matahari dan bulan kerana matahari, siang dan malam mengurus ibadah kita setiap hari; dan bulan pula mengurus ibadah kita mengikut bulan seperti bulan Ramadhan Bulan Syawal dan Bulan Dzulhijjah.

 

كُلٌّ يَجري إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, 

Kalimah يَجري dari ج ر ي yang antara lain bermaksud ‘berlari’. Ini memberi isyarat yang matahari dan bulan ‘berlari’ atau bergerak dalam orbitnya. Ini dibuktikan dengan ilmu falak.

Makhluk Allah seperti matahari dan bulan itu berkhidmat kepada Allah sampai masa yang ditentukan olehNya. Sampai masa nanti, mereka akan hancur, sebagaimana kita juga nanti. Maka ini juga mengingatkan kita kepada Kiamat. Kerana kalau matahari dan bulan pun hancur, maka tentulah kita pun hancur juga.

 

وَأَنَّ اللهَ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Apabila kita semua mati, maka nanti Allah akan balas segala perbuatan kita semasa di dunia kerana Allah tahu segala apa yang kita lakukan. Allah rekod semua sekali yang kita lakukan. Nanti semuanya akan dipersembahkan untuk dinilai oleh Allah sama ada ianya berdosa atau layak dapat pahala.


 

Ayat 30: Kenapakah segala penjelasan di dalam ayat-ayat sebelum ini diberikan kepada kita?

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ هُوَ الحَقُّ وَأَنَّ ما يَدعونَ مِن دونِهِ الباطِلُ وَأَنَّ اللهَ هُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because Allāh is the Truth, and that what they call upon other than Him is falsehood, and because Allāh is the Most High, the Grand.

(MELAYU)

Demikianlah, kerana sesungguhnya Allah, Dialah yang hak dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain dari Allah itulah yang batil; dan sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ هُوَ الحَقُّ

Demikianlah, kerana sesungguhnya Allah, Dialah yang hak

Allah sampaikan segala pengajaran dalam Al-Qur’an ini supaya kita yakin yang Allah itulah al-Haq. Dialah sahaja Tuhan dan ilah yang sebenar. Dialah yang maha berkuasa. Oleh kerana itu Dia sahaja yang boleh diseru dan ditaati tanpa soal.

 

وَأَنَّ ما يَدعونَ مِن دونِهِ الباطِلُ

dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain dari Allah itulah yang batil; 

Tiada seorang pun dari mereka yang dapat menggerakkan suatu zarrah pun kecuali dengan izin-Nya. Seandainya seluruh penduduk bumi berkumpul (bersatu) untuk menciptakan seekor lalat, tentulah mereka tidak akan mampu melakukannya.

Tapi ramai yang menyeru selain Allah, bukan? Allah hendak menekankan bahawa apa yang mereka seru itu adalah perbuatan yang salah dan batal. Ianya tidak dibenarkan dan ianya adalah amalan yang syirik.

Mereka yang menyeru selain Allah itu kerana mereka jauh dari wahyu dan tidak kenal Allah dengan sebenarnya. Mereka ditipu oleh syaitan yang hendak manusia melakukan syirik.

Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ramai dari kalangan orang Islam termasuk kalangan kita yang menyeru roh Nabi, wali dan malaikat dalam doa-doa mereka. Kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan benar, maka mereka sangka itu adalah amalan baik.

 

وَأَنَّ اللهَ هُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ

dan sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Allah sahaja yang layak disembah kerana Dialah yang Maha Tinggi. Dan Dialah yang Maha Besar, tidak ada yang lebih besar dariNya. Kenapa lagi kita nak seru selain Allah kalau selain Allah itu semuanya lebih rendah dan lebih kecil dari Allah?


 

Ayat 31: Dalil aqli. Allah suruh tengok kapal di lautan.

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that ships sail through the sea by the favor of Allāh that He may show you of His signs? Indeed in that are signs for everyone patient and grateful.

(MELAYU)

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, 

Sebelum ini telah disebut bagaimana matahari dan bulan ‘berlari’ di dalam orbitnya. Dan sekarang disebut pula bagaimana kapal pula berlari di dalam lautan. Maksudnya ‘belayar’.

Apabila kapal berlayar di atas lautan maka kita tahu bahawa ianya tidak pasti selamat kerana lautan selalunya bergelora. Akan tetapi kita tidak perasan perkara tersebut apabila kita melihat matahari dan bulan. Kerana kita nampak matahari dan bulan tetap sahaja kedudukannya. Maka Allah hendak memberitahu bahawa pergerakan planet di angkasa itu juga seperti perjalanan kapal di lautan juga di mana ia juga berada di dalam takluk Allah. Sebagaimana Allah selamatkan pergerakan kapal di lautan, begitu juga Allah selamatkan pergerakan planet dan bintang di angkasa.

Maka ini mengingatkan manusia, walaupun mereka ada teknologi canggih macam mana pun untuk buat kapal, tapi kalau Allah tidak beri keselamatan kepada mereka, mereka akan tenggelam juga. Kerana tidak ada teknologi yang dapat mengalahkan kekuatan lautan itu.

Kalau orang yang tidak percaya Tuhan pun, cubalah mereka duduk dalam kapal yang sedang dilantun ombak laut yang kuat. Tentu mereka pun takut juga, waktu itu barulah mereka nak berdoa kepada ‘tuhan’ yang mereka tidak percaya itu.

 

لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ

supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya.

Kapal dapat terapung dan bergerak di lautan itu adalah salah satu perkara yang ajaib sebenarnya. Kalau benda berat, selalunya tenggelam dalam air, bukan? Tapi kapal itu boleh terapung dan bergerak dengan laju pula di lautan. Ini semua dalam kuasa Allah.

Maka kalau kita terima perkara ini, maka senanglah untuk kita menyerahkan diri kita kepada Allah dengan sepenuhnya. Kerana kita sudah sedar dan yakin yang tidak ada kuasa selain kuasa Allah. Barulah senang kita nak berharap dan berdoa kepada Allah sahaja. Kerana kuasa sepenuhnya di tangan Allah, bukan?

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

Semua kehebatan yang Allah sebutkan adalah sebagai tanda bagi orang yang sabar. Kalimah صَبّارٍ adalah kalimah sabar tapi dalam bentuk mubalaghah yang memberi isyarat yang orang yang dimaksudkan itu adalah orang yang sabar berkali-kali (sangat penyabar).

Manusia kena belajar sabar dalam segenap perkara dalam kehidupan. Akan ada sahaja kejadian yang menduga kesabaran kita. Sabar ini boleh didapati apabila manusia sedar yang mereka itu hanyalah hamba sahaja dan tidak boleh nak melawan kehendak Allah. Kena sedar yang Allah itu Tuhan dan Dia boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak. Kalau dapat terima perkara ini, barulah senang untuk dapat sabar.

Bukan sahaja orang itu sabar, tapi dalam masa yang sama dia bersifat شَكورٍ. Iaitu orang yang mencari peluang untuk bersyukur kepada Allah. Kalau dapat sikit atau banyak, dia akan bersyukur kepada Allah. Dia sedar dia itu hamba dan tidak layak untuk dapat apa-apa pun. Jadi apabila Allah beri sesuatu, maka mereka akan rasa bersyukur sangat. Kerana kalau orang yang tahu dia tidak patut dapat apa-apa tapi dia dapat juga, tentu dia bersyukur, bukan?

Ringkasnya, kita kena sabar dalam penderitaan dan bersyukur dalam kenikmatan. Kedua-dua perkara ini akan sentiasa sahaja berlaku dan dua sifat ini kena sentiasa sahaja ada.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 26 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 24 – 28 (Kalimat Allah)

Ayat 24: Jangan endahkan mereka yang menentang dakwah tauhid itu.

نُمَتِّعُهُم قَليلًا ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We grant them enjoyment for a little; then We will force them to a massive punishment.

(MELAYU)

Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras.

 

نُمَتِّعُهُم قَليلًا

Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar,

Allah boleh sahaja beri kemudahan dan kesenangan kepada mereka yang engkar. Allah boleh bagi kekayaan dunia kepada mereka kerana kekayaan dunia itu tidak ada apa-apa nilai pun sebenarnya. Macam-macam mereka dapat. Kerana itu kita tidak hairan bagaimana orang yang engkar pula yang dapat banyak habuan dunia.

Kesenangan itu sementara sahaja iaitu semasa hidup di dunia sahaja. Ini kerana Allah nak buai mereka dalam kesesatan mereka. Biar mereka rasa leka dengan dunia yang sekejap dan sedikit itu. Ini kerana mereka sendiri sudah pilih jalan yang salah maka mereka akan kena tipu sahaja.

 

ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ

kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras.

Kesenangan yang mereka dapat itu sedikit dan sekejap sahaja. Semasa hidup di dunia sahaja. Dan dunia ini bukan lama pun dan tidak lama lagi matilah mereka.

Nanti mereka akan ditarik dengan kasar ke dalam azab neraka. Mereka akan dipaksa dengan keras. Mereka akan ditarik macam tuan lembu tarik lembu yang degil. Dan nanti mereka akan dikenakan dengan azab yang amat pedih.


 

Ayat 25: Ayat Dalil Aqli Iktirafi. Allah iktiraf yang mereka memang kenal Allah. Maka mereka yang menentang itu kerana degil, bukannya kerana tidak kenal Allah.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you asked them, “Who created the heavens and earth?” they would surely say, “Allāh.” Say, “[All] praise is [due] to Allāh”; but most of them do not know.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”.

Banyak ayat-ayat sebegini di dalam Al-Qur’an. Allah hendak memberitahu akidah Musyrikin Mekah itu. Bukan semua akidah mereka salah kerana ada yang benar dan Allah iktiraf akidah mereka (yang benar sahaja, bukan semua).

Mereka itu kenal Allah, bukannya tak kenal. Maka Tauhid Rububiyyah mereka memang ada. Mereka tahu yang Allahlah Tuhan dan Allahlah menjadikan alam ini.

Ramai juga umat Islam kita yang tak tahu perkara ini. Mereka sangka Musyrikin Mekah tentulah tidak sembah Allah. Ini kerana mereka tak baca Al-Qur’an dan tidak tahu sirah Nabi.

Masalah dengan Musyrikin Mekah itu, mereka sembah dan seru kepada ilah lain selain Allah. Itulah sebabnya mereka dikenal sebagai ‘Musyrikin Mekah’. Maka kalau masyarakat Muslim kita sembah Allah tapi dalam masa yang sama seru juga roh-roh Nabi, wali dan malaikat, dalam ibadah atau dalam doa, maka mereka juga ada akidah musyrik. Samalah sahaja akidah mereka dengan akidah Musyrikin Mekah itu.

 

قُلِ الحَمدُ ِللهِ

Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”;

Kalimah الحمد bermaksud ‘pujian yang khas’ (kerana ada ال) yang sepatutnya hanya diberikan kepada Allah sahaja. Ini kita telah jelaskan dalam tafsir Surah Fatihah.

Oleh kerana Musyrikin Mekah percaya adalah ilah lain selain Allah, maka mereka gunakan kalimah الحمد kepada selain Allah juga. Ini adalah salah dan Allah tekankan bahawa kalimah pujian الحمد hanya untuk Allah sahaja, tidak boleh diberikan kepada mana-mana ilah lain kerana ilah hanya Allah sahaja.

Maka kena faham kalimah alhamdulillah ini. Ramai dari kalangan Muslim kita tak tahu maksudnya. Mereka tidak sedar kepentingan kalimah alhamdulillah. Oleh kerana itu, mereka puji selain Allah secara berlebihan. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana golongan Habib dari Yaman itu mengajar dan mengamalkan pujian berlebihan terhadap Nabi Muhammad SAW. Ini adalah salah sama sekali.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Selama ini Musyrikin Mekah berikan pujian kepada berhala-berhala mereka dan ilah-ilah mereka selain Allah. Maka Allah tekankan bahawa segala pujian yang khusus itu hanyalah untuk Allah.

Maka orang kita pun kena betulkan balik fahaman tentang pujian kepada selain Allah. Jangan puji entiti lain secara berlebihan. Kalau sudah terima Allah sebagai Tuhan yang mencipta alam ini seperti yang diketahui oleh Musyrikin Mekah, maka kenalah terima yang Dia sahaja yang layak disembah dan dipuja.

Ini kerana Allah sahaja yang menguruskan alam ini. Tidaklah Allah jadikan alam ini dan berikan pula tugas mengurusnya kepada Nabi, wali dan malaikat. Tetap Allah juga yang mengurus alam ini. Pemahaman inilah yang ramai tidak tahu termasuk kebanyakan dari masyarakat Islam pun. Ini kerana mereka jahil wahyu.

Jadi ini mengajar kita yang Allahlah yang buat segalanya dan kemudian mengurus alam ini. Maka macam mana boleh ada fahaman sesat yang kata wali itu jaga kawasan ini dan wali itu jaga kawasan itu? Fahaman itu hanya diterima oleh mereka yang jahil wahyu sahaja.


 

Ayat 26: Dalil aqli.

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Allāh belongs whatever is in the heavens and earth. Indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi.

Allah suruh ajak manusia kepada ajaran tauhid dan masuk Islam sepenuhnya. Tapi kalau mereka tak mahu masuk Islam, Allah tak perlukan mereka kerana segala yang ada di langit dan di bumi milik Allah sepenuhnya.

Allah bukan sahaja memiliki alam ini, tapi Allah jugalah yang mengurusnya.

 

إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Allah Maha Kaya maksudnya Allah tidak perlu penyembahan dari makhluk. Allah tetap mulia walaupun tidak ada makhluk yang memujaNya.

Dan Allah tidak perlukan pujian dari makhluk. Kalau manusia tak sebut alhamdulillah pun Allah memang sudah terpuji. Maka kalau kita ucap alhamdulillah, ianya adalah kebaikan untuk manusia sahaja.

Mungkin ada yang terfikir, kenapakah Allah nak sangat manusia puji DiriNya? Jawapannya adalah kerana memang Allah layak dipuji dan memang patut kita puji Dia. Tak sama dengan manusia kerana kalau ada manusia suka dipuji, itu perangai yang buruk. Pujian untuk Allah sebenarnya.


 

Ayat 27: Dalil aqli. Untuk memberitahu ilmu Allah yang sempurna.

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if whatever trees upon the earth were pens and the sea [was ink], replenished thereafter by seven [more] seas, the words of Allāh would not be exhausted. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

 

(MELAYU)

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), 

Bayangkan semua pokok dalam alam ini berapa banyak agaknya? Kemudian bayangkan berapa banyak pen boleh dijadikan dari satu pokok. Kemudian darab dengan entah berapa banyak pokok dalam dunia ini pula? Dapat tak bayangkan? Kita pun tidak dapat bayangkan tapi kita pasti yang ianya amat, amat banyak, bukan?

Bila ada pen ia memerlukan dakwat, bukan? Bayangkan dakwat itu diambil dari keseluruhan laut yang ada pada alam ini. Maknanya ambil air dari tujuh lautan.

 

يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ

ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya,

Kemudian tujuh lautan ditambah sebagai dakwat lagi. Sesungguhnya penyebutan ‘tujuh lautan’ hanyalah mengandung makna mubalagah (ekstrim), bukan dimaksudkan pembatasan, bukan pula menunjukkan pengertian bahawa ada tujuh lautan di dunia ini sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang menukil dari berita israiliyat yang tidak dapat dibenarkan dan tidak pula didustakan. Bahkan pengertian ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا}

Katakanlah, “Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan yang semisal.” (Al-Kahfi:109)

 

مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ

nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. 

Apa gunanya pen dari pokok kayu dan dakwat dari lautan itu? Gunakan semua itu untuk tulis kalimat Allah.

Semua itu tidak akan cukup untuk tulis kalimah-kalimah Allah. Kalau semua itu digunakan untuk menulis ‘kalimah Allah’, pun masih tidak cukup untuk menulisnya.

Apakah pula ‘kalimah Allah’ itu? Maksudnya puji-pujian kepada Allah merangkumi segala sifatNya dan segala perbuatanNya. Kerana segala perbuatanNya itu menjadi sebab untuk memujiNya. Maka tentulah tidak cukup air laut 14 lautan pun untuk menulisnya.

Ar-Rabi’ ibnu Anas mengatakan, sesungguhnya perumpamaan ilmu semua hamba Allah dibandingkan dengan ilmu Allah sama dengan setitis air dibandingkan dengan semua lautan yang ada. Allah Swt. telah menurunkan firman-Nya berkenaan dengan hal ini, iaitu: Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena. (Luqman:27), hingga akhir ayat. Yakni seandainya laut dijadikan sebagai tinta untuk mencatat kalimah-kalimah Allah dan semua pepohonan dijadikan sebagai penanya, nescaya semua pena itu akan patah dan semua air laut akan kering kehabisan; sedangkan kalimah-kalimah Allah masih tetap utuh, tiada sesuatu pun yang dapat membatasinya. Kerana sesungguhnya seseorang tidak akan mampu memperkirakan batasannya dan tiada seorang pun yang dapat memuji-Nya sesuai dengan apa yang selayaknya bagi Dia, melainkan hanya Dia sendirilah yang mengetahui pujian itu sebagaimana Dia memuji diri-Nya sendiri. Sesungguhnya pujian Tuhan kami adalah seperti apa yang difirmankan-Nya, dan berada di luar jangkauan apa yang kita katakan.

 

إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Tidak ada yang dapat melawan kuasa Allah. Allah boleh buat apa sahaja dan tidak ada yang dapat menandingi dan menghalang apa yang Allah hendak lakukan. Bukan sahaja nak halang, nak mempersoalkan pun tidak boleh.

Dan segala perbuatan Allah Maha Terpuji kerana Dia melakukannya dalam kebijaksanaanNya. Semua yang dilakukan adalah tepat dan sebagai yang sepatutnya terjadi. Tidak pernah Allah tersilap melakukan apa-apa. Semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah yang Maha Bijaksana.


 

Ayat 28: Dari ayat yang menceritakan ‘banyak’ (pen dan air laut) sekarang menyebut tentang ‘satu’ pula.

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ ۗ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your creation and your resurrection will not be but as that of a single soul.¹ Indeed, Allāh is Hearing and Seeing.

  • The re-creation and resurrection of one or of all is accomplished with equal ease by Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MELAYU)

Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ

Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja. 

Allah jadikan kita, matikan dan kemudian bangkitkan kita selepas akhirat bermula, mudah sahaja. Allah beritahu kita yang ia tidak ubah macam Dia menjadikan Nabi Adam sahaja.

Maka jangan kita meragui kuasa Allah untuk membangkitkan semua makhluk di akhirat kelak. Memang Musyrikin Mekah tidak dapat terima kebangkitan semula kerana pada mereka ianya susah sangat. Tapi Allah nak tekankan yang ianya senang sahaja bagi Allah. Memanglah manusia tidak akan mampu nak buat, tapi Allah bukannya makhluk. Kuasa Allah tidak terbatas dan tidak ada halangan langsung. Buat satu jiwa ataupun buat semua jiwa, sama sahaja bagi Allah.

Tak sama dengan kita. Kalau kita buat satu benda dengan buat sepuluh benda, tidak sama. Kita lebih senang kalau buat satu sahaja dan kalau kena buat sepuluh benda yang sama, ianya akan jadi lebih susah untuk kita. Tapi konsep yang sama tidak boleh dipakai untuk Allah kerana kuasa Allah tidak terbatas dan tidak terhad. Seperti yang Allah telah sebut dalam ayat yang lain:

{إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ}

Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka terjadilah ia. (Yaasin: 82)

{وَمَا أَمْرُنَا إِلا وَاحِدَةٌ كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ}
Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan seperti kejapan mata. (Al-Qamar: 50)
{فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ فَإِذَا هُمْ بِالسَّاهِرَةِ}
Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah dengan satu kali tiupan saja, maka dengan serta merta mereka hidup kembali di permukaan bumi. (An-Nazi’at: 13-14)

 

إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Antara saat kita dilahirkan dan saat kita dibangkitkan nanti, Allah sentiasa mendengar dan melihat semua yang kita lalui dan lakukan. Malah Allah mendengar dan melihat semua perkara. Semuanya itu bagi Allah sama saja seperti mendengar dan melihat satu jiwa. Kalau kita bersembang dengan seorang kawan senang sahaja, tapi bila sudah sampai lima orang pun sudah jadi lain macam. Memang tak dapat nak tumpukan perhatian.

Begitu pula kekuasaan Allah atas makhluk, sama halnya dengan kekuasaan Allah atas satu jiwa, yakni mudah sekali hal itu bagi-Nya.

Ini diberitahu asalnya kepada Musyrikin Mekah kerana mereka ada pemahaman yang salah tentang Allah. Sampaikan mereka sangka kalau mereka bercakap dengan perlahan, Allah tidak dengar apa yag mereka cakap.

Untuk kita, kita kena yakin yang apa sahaja yang kita lakukan dan katakan, Allah sentiasa sahaja melihat dan mendengar. Maka kita kena berhati-hati dengan apa yang kita lakukan dan katakan. Kita selalu lupa sampaikan kita tidak kisah pun melakukan dosa sepanjang hari. Seolah-olah Allah tidak tahu apa yang kita sedang lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 24 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 20 – 23 (Jangan taqlid kepada tok nenek)

Ayat 20: Dari ayat 20 hingga ke hujung surah (ayat 34) adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi Dalil Tauhid dan Akhirat. Ia juga memberitahu yang punca syirik adalah kerana mengikut ajaran tok nenek.

Ayat 20 ini adalah Dalil Aqli.

أَلَم تَرَوا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَأَسبَغَ عَلَيكُم نِعَمَهُ ظٰهِرَةً وَباطِنَةً ۗ وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتٰبٍ مُّنيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh has made subject to you whatever is in the heavens and whatever is in the earth and amply bestowed upon you His favors, [both] apparent and unapparent? But of the people is he who disputes about Allāh without knowledge or guidance or an enlightening Book [from Him].

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.

 

أَلَم تَرَوا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi 

Allah suruh kita menggunakan mata (mata hati) dan akal kita untuk memikirkan tentang alam ini. Semua yang ada di dalam dunia ini dijadikan untuk manusia. Manusia adalah khalifah dan apabila jadi khalifah, maka ada kelebihan yang diberikan kepada manusia.

Alam rendahkan diri kepada Allah. Maka antara arahan Allah adalah menjadikan segala di dunia ini untuk manusia gunakan dengan cara yang baik. Kerana itu kita boleh makan makanan seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang ternak. Dan kita boleh duduk di atas bumi dan tinggal di mana sahaja kita mahu. Asalkan jangan ambil tanah orang lain pula.

Allah rendahkan alam ini dengan dua cara:

  • Kita boleh gunakan dengan cara apa yang kita hendak seperti air, angin, tanah, tumbuh-tumbuhan.
  • Allah uruskan alam itu untuk keperluan kita seperti matahari dan bulan. Sebab kita tidak boleh kawal bulan dan matahari tapi ianya tetap berguna untuk kita.

Maka dalam ayat ini Allah Swt. mengingatkan kepada makhluk-Nya akan semua nikmat yang telah Dia limpahkan kepada mereka, bahawa Dia telah menundukkan bagi mereka semua bintang yang di langit sebagai penerangan buat mereka di malam hari dan di siang harinya.

Dia juga telah menciptakan pula bagi manusia awan, hujan, salju serta embun yang ada di langit, dan Dia jadikan langit bagi mereka sebagai atap yang terpelihara. Semua ini adalah jasa dari Allah. Semua alam ini di dalam takluk Allah. Maka Allah yang jadikan kita boleh guna alam ini untuk kegunaan kita.

 

وَأَسبَغَ عَلَيكُم نِعَمَهُ ظٰهِرَةً وَباطِنَةً

dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. 

Kalimah أَسبَغَ dari katadasar س ب غ yang bermaksud penuh, banyak, tidak ada kekurangan, mudah, lembut, lengkap. Allah telah beri nikmat yang banyak secara sempurna kepada kita. Memang tidak akan terkira kalau kita nak kira. Maka kenanglah nikmat Allah ke atas kita.

Bila kita kenang, maka sepatutnya kita akan taat kepada segala arahan Allah dan hanya sembah dan seru Allah sahaja.

Ada nikmat yang kita tahu dan nampak tetapi ada banyak lagi nikmat yang Allah berikan tetapi kita tidak sedar. Yang zahir pun kita tidak mampu nak kira, apatah lagi kalau termasuk dengan yang kita tidak nampak. Memang kita diberi dengan kelebihan yang lebih banyak kalau dibandingkan dengan makhluk lain. Maka kena syukur bila Allah telah berikan segala nikmat itu kepada kita.

Satu tafsir zahir dan batin:

  • Zahir  bermaksud apa sahaja yang di luar tubuh kita. Macam kita dapat harta, dapat makanan dan air hujan.
  • Batin pula yang bermaksud di dalam hati kita seperti jiwa dan juga akal. Juga termasuk darah, angin, kesihatan dan segalanya. Tidak semestinya kita nampak semua perkara itu.

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ

Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan

Dan ada manusia yang berbantah-bantah tentang Allah. Maksudnya berbantah tentang tauhid tanpa berdasarkan ilmu. Kerana kita kena kenal Allah dan kena kenal Allah dalam rangka tauhid. Dan ilmu itu kena diambil dari wahyu Al-Qur’an. Tapi mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an tapi hendak bercerita tentang tauhid.

Jidal ini apabila berdebat dengan keras dan tidak patut dilakukan. Iaitu mereka yang berdebat bukan untuk mencari kebenaran tetapi sengaja untuk berdebat. Mereka pun sengaja keluarkan soalan-soalan seperti: “Allah buat apa sekarang?”, “Allah ada di mana?”, “Allah sahaja ilah atau ada ilah-ilah yang lain?”, dan macam-macam lagi soalan yang dikeluarkan untuk berdebat sahaja.

Ada orang yang suka berdebat dan melihat orang marah dan tidak perlu kita melayan mereka. Kadang-kadang kita pun geram juga dan hendak membalas hujah-hujah mereka tetapi itu sebenarnya buang masa dan hanya buat mereka gembira kerana kita layan mereka. Sedangkan mereka itu bukan bercakap tentang Allah dan tentang agama dengan ilmu tetapi mereka cakap ikut perasaan mereka sahaja.

Maka kita kena pandai memilih suasana yang aman dan tenang untuk bercakap tentang agama dan bukannya dalam keadaan cakap-cakap kosong untuk mengisi masa lapang sahaja. Kena pilih waktu dan orang.

Lihatlah di awal surah ini bagaimana Luqman memilih masa yang sesuai untuk bercakap tentang agama kepada anaknya. Maka kita pun begitu juga kena pandai mencari masa yang sesuai untuk dakwah dan mengajar. Jangan cakap dengan semberono sahaja.

 

وَلا هُدًى وَلا كِتٰبٍ مُّنيرٍ

atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.

Tidak ada dalil aqli atau dalil Naqli ataupun dalil wahyu yang mereka bawakan. Ini kerana mereka jahil ilmu wahyu kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ini penting kerana apabila kita berdakwah maka kita kena menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an. Dan jikalau kita sedang membacakan ayat Al-Qur’an tetapi ada orang yang melawan, maka mereka pula yang berdosa. Kerana apabila ayat Al-Qur’an dibacakan maka manusia sebenarnya kena dengar dan senyap. Kalau ada yang menolak, memang masalah untuk mereka kerana mereka bukan tolak kita, tapi tolak ayat Al-Qur’an dan maknanya menolak Allah!

Memang kadang-kadang mereka itu tidak ada akal tetapi kita tidak mahu menjerumuskan mereka lebih dalam lagi ke dalam dosa. Kerana kita kena ingat yang malaikat sedang menulis apa yang mereka katakan. Kalau mereka melawan sahaja ayat Al-Qur’an, maka malaikat akan terus tulis kesalahan mereka itu.

Dan kita takut kalau Allah terus tutup mata hati mereka (khatmul qalbi). Kalau Allah terus buat keputusan itu, maka tidak ada harapan lagi bagi mereka untuk mendapat hidayah lagi selepas itu.


 

Ayat 21: Dalam kisah Luqman telah disebut bagaimana seorang ayah mengajar agama dengan cara yang baik kepada anaknya. Tetapi sekarang di dalam ayat ini Allah menyebut tentang golongan manusia yang hanya ikut sahaja apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka tanpa berfikir. Masalah ini memang banyak berlaku dalam masyarakat kita.

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّبِعوا ما أَنزَلَ اللهُ قالوا بَل نَتَّبِعُ ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا ۚ أَوَلَو كانَ الشَّيطٰنُ يَدعوهُم إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Follow what Allāh has revealed,” they say, “Rather, we will follow that upon which we found our fathers.” Even if Satan was inviting them to the punishment of the Blaze?

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah”. Mereka menjawab: “(Tidak), tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam siksa api yang menyala-nyala (neraka)?

 

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّبِعوا ما أَنزَلَ اللهُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah”.

Mulanya Allah ajar supaya manusia ikut ajaran wahyu yang telah disampaikan olehNya kerana Dia adalah Tuhan. Memang apa yang diturunkanNya dalam bentuk wahyu adalah untuk diikuti oleh makhluk jin dan manusia.

Ia juga adalah peringatan kepada kita juga. Kenalah belajar wahyu Al-Qur’an dan juga wahyu Hadis. Kalau nak ikut kehendak Allah, kenalah belajar apa yang disampaikanNya di dalam wahyuNya. Itu sahaja caranya.

 

قالوا بَل نَتَّبِعُ ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا

Mereka menjawab: “(Tidak), tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. 

Tapi ada juga yang buat tidak kisah kepada wahyu tapi nak juga pakai ajaran dan amalan tok nenek.

Ayah seperti Luqman itu memang ada ilmu dan hikmah tetapi bukanlah semua ibu bapa kita ada hikmah sebegitu. Kena bandingkan ajaran dan amalan mereka dengan sunnah. Kadangkala amalan tok nenek kita tidak semestinya semua benar dan hendaklah diperiksa dengan dalil dan nas.

Tapi malangnya ada manusia yang terima sahaja ajaran yang disampaikan oleh tok nenek tanpa mereka memikirkan sama ada ianya benar ataupun tidak. Pada kebanyakan manusia, kalau sesuatu amalan itu telah lama diamalkan, tentulah ianya pasti benar. Tapi tidak semestinya.

 

أَوَلَو كانَ الشَّيطٰنُ يَدعوهُم إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam seksa api yang menyala-nyala (neraka)?

Maka Allah tegur mereka di dalam ayat ini: adakah mereka hendak ikut juga ajaran tok nenek itu walaupun mereka itu telah ditipu oleh syaitan? Dan penipuan syaitan itu tidak lain dan tidak bukan mengajak kepada neraka? Adakah kamu mahu ikut juga amalan nenek moyang kamu walaupun jalan itu sesat? Tentu tidak, bukan?

Dalam ayat lain Allah Swt. berfirman menjawab mereka:

{أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ}

(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk? (Al-Baqarah: 170)


 

Ayat 22: Ayat tabshir. Selepas Allah menceritakan tentang orang yang engkar, sekarang Allah menyebut tentang orang-orang yang selamat. Inilah yang kita kena ikut.

۞ وَمَن يُسلِم وَجهَهُ إِلَى اللهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ ۗ وَإِلَى اللهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever submits his face [i.e., self] to Allāh while he is a doer of good – then he has grasped the most trustworthy handhold. And to Allāh will be the outcome of [all] matters.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.

 

وَمَن يُسلِم وَجهَهُ إِلَى اللهِ

Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah,

Iaitu mereka yang sanggup menyerahkan jiwaraga mereka kepada Allah s.w.t. Mereka juga sanggup taat kepada keseluruhan arahan dari Allah. Maksud serah itu adalah mereka akan melakukannya tanpa soal.

 

وَهُوَ مُحسِنٌ

sedang dia orang yang berbuat kebaikan, 

Mereka juga orang berbuat kebaikan dan sentiasa membaiki diri mereka. Mereka juga mahu orang lain juga mendapat kebaikan. Mereka taat dengan arahan dan ajaran dari Allah dan RasulNya.

 

فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ

maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh.

Mereka itu seperti pegang sauh di lautan yang bergelora. Ertinya, sesungguhnya dia telah mengambil janji yang kuat dari Allah bahawa Dia tidak akan mengazabnya.

Tali ini adalah isyarat kepada tali akidah. Buhul adalah ikatan pada tali dan ia adalah bahagian yang senang untuk dipegang. Mereka akan selamat di dunia dan akhirat. Mereka akan diselamatkan dari disesatkan oleh syaitan yang sentiasa sahaja hendak memasukkan manusia ke dalam neraka.

 

وَإِلَى اللهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.

Amal akan dihantar kepada Allah untuk dinilai. Maka takutlah hari yang kita akan ditunjukkan dengan segala amal kita semasa di dunia dulu.

Juga bermaksud yang Allah yang mengurus segala perkara. Semua urusan kembali kepada Allah untuk ditentukan. Maka kenalah minta tolong kepada Allah.


 

Ayat 23: Ayat tasliah dan takhwif ukhrawi.

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever has disbelieved – let not his disbelief grieve you. To Us is their return, and We will inform them of what they did. Indeed, Allāh is Knowing of that within the breasts.

(MELAYU)

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

 

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu.

Nabi Muhammad telah banyak melakukan dakwah kepada umat baginda. Tapi ada sahaja yang menolak dan tidak mahu beriman. Maka tentulah baginda rasa sedih sangat kerana baginda prihatin kepada mereka. Nabi nak selamatkan semua orang terutama sekali kerana mereka itu adalah kaum baginda.

Maka Allah beri tasliah (pujukan) kepada baginda supaya jangan baginda bersedih kalau mereka tetap kufur walaupun telah diberi ajaran dan dakwah kepada mereka. Ini adalah kerana mereka jadi kufur itu adalah atas diri mereka sendiri. Baginda tidak dipersalahkan kerana baginda telah menjalankan tugas baginda dengan baik sekali.

Begitu juga dengan kita yang menjalankan dakwah. Kalau kita sudah dakwah dan manusia tidak beriman, maka itu bukan salah kita tapi salah mereka.

 

إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا

Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. 

Jangan risau tentang mereka kerana mereka itu akan dikembalikan kepada Allah dan Allah akan beritahu segala perbuatan mereka untuk dibalas. Serahkan sahaja kepada Allah, kita tidak perlu risau tentang nasib mereka. Tahulah Allah nak buat apa dengan mereka.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

Allah tahu apa yang ada dalam dada mereka, kenapa mereka tidak beriman dan sebagainya. Allah akan beri keputusan yang tetap.

Allah juga tahu keikhlasan kita dalam menyampaikan ajaran agama. Kalau kita tidak ikhlas pun Allah tahu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 24 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi