Nahl Ayat 121: Sambungan sifat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bermula ayat ini adalah khulasah (ringkasan) surah An-Nahl ini.
شاكِرًا لِّأَنعُمِهِ ۚ اجتَبٰهُ وَهَدىٰهُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[He was] grateful for His favors. He [i.e., Allāh] chose him and guided him to a straight path.
(MELAYU)
(lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.
شاكِرًا لِّأَنعُمِهِ
(lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat-Nya.
Sepanjang hidup Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda adalah seorang yang sentiasa bersyukur. Baginda bersyukur kepada Allah ﷻ atas segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.
Musyrikin Mekah diperli dalam ayat ini kerana mereka tidak bersyukur. Mereka mendapat banyak nikmat sebagai kedudukan mereka menjaga Ka’bah, tetapi mereka tidak taat kepada Allah ﷻ. Mereka kononnya ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi sebenarnya mereka tidak ikut pun amalan baginda. Maka Allah ﷻ perli Musyrikin Mekah di sini yang perasan mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Syukur itu maksudnya kena taat kepada apa yang Allah ﷻ perintah, tetapi Musyrikin Mekah sebaliknya tidak taat.
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada baginda. Tentunya baginda mendapat banyak nikmat, tetapi baginda hanya boleh bersyukur terhadap sebahagian sahaja kerana banyak lagi nikmat yang kita dapat daripada Allah ﷻ, tetapi kita tidak tahu. Tidak mungkin kita boleh tahu semua sekali.
Bagaimana bersyukur kepada Allah ﷻ? Ini telah banyak kali disebut dan kita nyatakan lagi di sini sebagai pengulangan. Syukur itu bukan hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah ﷻ. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.
Banyak ayat menyebut arahan untuk syukur kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Fatir: 12
وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.
Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.
Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.
يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.
Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))
Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.
Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152
وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur
Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.
Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.
Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?
اجتَبٰهُ
Allah telah memilihnya
Allah ﷻ telah memilih Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi seorang Nabi lagi Rasul.
Kalimah ijtiba’ bermaksud pemilihan kerana ada kelebihan yang ada pada seseorang. Ada maksud tertentu kenapa ijtiba’ ini berbeza dengan kalimah lain yang digunakan untuk ‘pemilihan’. Memang ada lagi kalimah-kalimah lain. Sebagai contoh, kalimah ‘ikthiar’ itu digunakan kalau memilih berdasarkan kebaikan. Akan tetapi kalau digunakan kalimah ijtiba’, ia bermaksud pemilihan berdasarkan kepada kebolehan.
Kalimah ijtaba’ ini adalah satu perkataan yang unik. Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu kelebihan diri kita. Namun Allah ﷻ tahu kelebihan diri kita lebih daripada diri kita sendiri. Untuk memahami maksud perkataan ijtaba’ ini, kita ambil satu perumpamaan.
Katakanlah kita ini seorang yang mempunyai ijazah dalam bidang media. Namun oleh kerana tidak ada pekerjaan, kita sudah sanggup untuk bekerja apa sahaja yang mungkin di luar bidang kemahiran atau kelayakan kita. Suatu hari, kita ternampak sebuah iklan menawarkan pekerjaan sebagai “Graphic Designer” (Pereka Grafik). Kita memang tidak ada kelayakan, tetapi kita tidak ada peluang lain lagi. Maka, kita pun pergilah ke proses temuduga itu. Dalam temuduga itu, penemuduga telah menceritakan keperluan kerja sebagai seorang “Graphic Designer”. Dalam dia bercerita tugas-tugas yang perlu dilakukan, kita sudah mula rasa kita tidak sesuai kerana memang kita tidak layak disebabkan tiada kemahiran yang diperkukan. Kita mula merasakan yang kita tidak mampu melakukan tugas-tugas yang disebut itu.
Di hujung temuramah itu, akhir sekali penemuduga telah menawarkan kerja “Graphic Designer” itu kepada kita. Tentulah kita kehairanan, kerana kita tahu kita tidak layak, bukan? Kita pun cakap kita tidak layak kepada penemuduga itu sendiri. Tetapi penemuduga itu berkata: “Saya sudah lama menemuduga bakal pekerja. Walaupun anda rasa anda tidak sesuai, tetapi daripada pengalaman saya, saya tahu yang anda boleh buat kerja ini dan anda akan buat kerja ini dengan baik. Jangan takut, anda memang sesuai.”
Maka ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana menunjukkan yang baginda ada kelebihan yang melayakkan baginda dipilih menjadi Rasul.
Begitulah juga diri kita yang telah terpilih untuk membawa jalan sunnah ini. Kita pun tidak tahu bagaimana kita dipilih oleh Allah ﷻ untuk menyebarkan dakwah ini. Namun Allah ﷻ telah memilih kita. Kalau kita fikirkan kekurangan diri kita, memang kita rasa tidak layak. Akan tetapi Allah ﷻ Maha Mengetahui hamba-Nya. Jika Allah ﷻ telah memilih kita, maka tentunya kita sesuai untuk menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah ﷻ ini. Oleh itu, kita kena teruskan tugas ini, jangan rasa kita tidak layak.
Maka, berbalik semula kepada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda telah ditinggikan darjat menjadi Nabi lagi Rasul. Allah ﷻ sendiri yang buat pemilihan itu dan itu adalah hak Allah ﷻ untuk memilih sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Bukan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja, tetapi ahli keluarga baginda juga telah mendapat nikmat itu. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi. Alangkah besarnya hati apabila keturunan dan waris baginda ramai yang dilantik menjadi Nabi dan sama-sama bekerja untuk agama.
Namun begitu, ingatlah mereka asalnya mula berdakwah berseorangan. Seperti kita juga kadang-kadang bersendirian sahaja atas jalan Sunnah. Kadang-kadang kita mulakan daripada kosong kerana kita tidak ada latar belakang pendidikan sekolah agama. Kena ingatlah yang bukan semua orang terus ada ilmu agama.
Mula-mula kita seorang sahaja yang belajar dalam keluarga kita. Mungkin kitalah seorang dalam keluarga kita yang mula belajar tafsir Al-Qur’an dan mula menjalani kehidupan berdasarkan sunnah. Kemudian kita mula ajak orang lain. Lama kelamaan, semakin ramai yang kenal sunnah dan mula untuk mendalami agama seperti kita juga. Walau bagaimanapun, ia dimulakan dengan diri kita terlebih dahulu.
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dipilih menjadi salah seorang daripada Rasul Ulul Azmi. Ada 5 orang Rasul yang diberikan dengan gelaran ini iaitu Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah gelaran dan kedudukan yang diberikan Allah ﷻ kepada hamba-hamba-Nya dengan ujian yang sangat besar dan mampu dilalui dengan kesabaran dan keimanan. Cubaan yang diberikan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ begitu berat sehingga gelaran yang diberikan Allah ﷻ kepadanya begitu tinggi kerana ketaatan, keikhlasan dan keimanan yang tinggi yang dimiliki Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Banyak pelajaran yang dapat kita petik daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menghadapi ujian yang datangnya daripada Allah ﷻ. Sekurang-kurangnya ada empat ujian yang diberikan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
1. Dibakar Raja Namrud
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir di Fadan Aram Irak, di tengah kaum penyembah berhala, termasuk ayahnya sendiri, yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai Azar). Sedangkan rajanya bernama Namrud. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak ayahnya untuk beriman, antaranya seperti disebut di dalam An’am: 74
وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.
Akan tetapi bapanya menolak dan menghalau baginda seperti disebut di dalam Maryam: 46,
قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.
Kemudian, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghancurkan patung berhala mereka. Kerana itu, Raja Namrud akhirnya memerintahkan rakyatnya untuk membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup-hidup. Namun, api yang berkobar yang hendak membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi dingin atas perintah Allah ﷻ. Di dalam Anbiya: 69, Allah ﷻ berfirman:
قُلْنَا يَا نَارُ كُوْنِيْ بَرْدًا وَّسَلَمًا عَلَى إِبْراهِيْمَ
“Kami berfirman, ‘Wahai api! Jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim!’,”
Setelah peristiwa itu, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama isterinya berhijrah ke Syam untuk beribadah dengan tenang.
2. Diperintahkan khitan
Pada usia 99 tahun, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan oleh Allah ﷻ untuk melakukan khitan, maka kemudian baginda berkhitan bersama anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusia 13 tahun ketika itu. Sejak saat itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mulai melaksanakan khitan dalam keluarganya sehingga menjadi sunnah bagi kita sekarang.
Atau, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikhitan pada usia 80 tahun, sesuai hadith daripada Rasulullah ﷺ.
اختتن إبراهيم عليه السلام وهو ابن ثمانين سنة بالقدوم
Rasulullah ﷺ bersabda, “Ibrahim al Khalil berkhitan setelah mencapai usia 80 tahun dan beliau berkhitan menggunakan kapak.”
(Sahih Bukhari No. 3107)
3. Diperintahkan menyembelih anaknya
Allah ﷻ juga memerintah dan memberikan ujian kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyembelih puteranya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang masih berusia 13 tahun sebagai qurban. Demi membuktikan kecintaannya kepada Allah ﷻ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun melaksanakannya dengan penuh ketaatan, keimanan dan keikhlasan yang tinggi. Ini disebut di dalam Saffat: 102
فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.
Namun, Allah ﷻ kemudian menggantikannya dengan menyembelih haiwan. Peristiwa besar ini telah dilakukan umat Islam sampai saat ini hingga hari akhir yang disebut dengan Hari Raya Qurban atau Idul Adha.
4. Diperintahkan membangunkan Ka’bah
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan Allah ﷻ untuk membangun Ka’bah menjadi kiblat solat umat Islam seluruh dunia hingga saat ini. Ka’bah menjadi salah satu bukti kebesaran maqam Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sisi Allah ﷻ.
Ka’bah merupakan sebuah bangunan suci yang sangat bersejarah dan akan tetap abadi hingga sampai hari akhir nanti. Dalam membangun Ka’bah ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang menjadi tukangnya dan dibantu oleh puteranya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi kulinya, serta dibantu Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi arkiteknya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 127
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu
وَهَدىٰهُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.
Allah ﷻ telah menunjukkan jalan yang lurus kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda telah mengikuti jalan itu. Iaitu menyembah Allah ﷻ semata-mata, tiada menjadikan sekutu bagi-Nya, menurut syariat yang diredhai-Nya.
Maka kita pun haruslah mengikuti jalan baginda itu. Dalam ayat yang lain, disebut yang Nabi Muhammad ﷺ juga mengikut jalan baginda. Maka kita kalau mengikut jalan Nabi Muhammad ﷺ, bermakna kita sebenarnya telah mengikut jalan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Daripada 5 orang Rasul itu, ada dua orang yang mendapat gelaran lain yang lagi tinggi kedudukannya iaitu Khalilullah. Khalilullah ialah gelaran istimewa yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga Nabi Muhammad ﷺ. Maksud gelaran itu ialah ‘Kekasih Allah’. Gelaran itu telah disebut di dalam Nisa’: 125
وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ ِللهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا
Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.
Di dalam kitab Nashoihul Ibad karangan Syeikh Imam Nawawi al-Bantani, terdapat tiga sebab yang memungkinkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapat gelaran “khalilullah” yang mulia itu.
Pertama, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu mendahulukan perintah Allah ﷻ daripada perintah lainnya. Layaknya kepada seorang kekasih, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu mendahulukan kepentingan Allah ﷻ daripada yang lain. Hal ini terzahir ketika Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintah Allah ﷻ untuk menyembelih anaknya sendiri, Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Sebelum kelahiran Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat mendambakan seorang anak. Namun hingga berpuluh-puluh tahun baginda belum dikurniai anak. Pada akhirnya baginda meminta izin kepada isterinya, Sarah, untuk menikah kedua kalinya dengan Hajar.
Melalui pernikahan ini lahirlah Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hingga saat menginjak masa remaja, Allah ﷻ memerintahkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Tanpa berfikir panjang, baginda menjalankan perintah Allah. Dengan kuasa Allah ﷻ, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diselamatkan Allah ﷻ dan diganti dengan domba.
Kedua, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu tawakal kepada Allah ﷻ. Ketika turun perintah Allah ﷻ untuk meninggalkan Siti Hajar di kawasan yang asing dan kering kontang di tengah padang pasir, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ taat dan bertawakal kepada Allah ﷻ dengan sepenuhnya tanpa keraguan.
Ketiga, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pernah makan kecuali ada tamu yang menemaninya. Baginda rela berjalan untuk mencari tamu agar dapat makan bersamanya. Hal ini membuat baginda diberi jolokan “Abu ad-Duyuf” atau bapa para tamu.
Nahl Ayat 122: Ini adalah balasan yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
وَءآتَينٰهُ فِي الدُّنيا حَسَنَةً ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّٰلِحينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We gave him good in this world, and indeed, in the Hereafter he will be among the righteous.
(MELAYU)
Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.
وَءآتَينٰهُ فِي الدُّنيا حَسَنَةً
Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia.
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendapat banyak kebaikan di dunia. Namun harus diingat yang ia bukanlah kebaikan dari segi harta. Kerana ‘kebaikan’ itu bukanlah tentang keduniaan sahaja. Yang lebih hebat adalah baginda dipilih menjadi Nabi dan pemimpin kepada golongan yang kemudian. Kemuliaan yang diberikan kepada baginda adalah amat hebat. Memang baginda diberikan dengan kebaikan semasa di dunia, tetapi kebaikan-kebaikan itu membawa kepada kebaikan di akhirat.
Namun itu semua diberi setelah baginda melalui berbagai kesusahan. Lihatlah bagaimana baginda diseksa, dibakar, disembelih anaknya, dihalau dari kampung halaman, ditinggalkan anak isteri di tempat yang jauh dan bermacam-macam lagi.
Semua ujian yang dikenakan kepada baginda itu adalah amat berat tetapi baginda dapat melepasi segala ujian itu dan kerana berjaya melepasi segala ujian itu, maka baginda telah dikurniakan dengan kebaikan yang baginda dapat di dunia ini lagi.
Antara kebaikan yang baginda dapat di dunia ini adalah nama baginda sentiasa disebut-sebut. Bayangkan di dalam Selawat Ibrahimiyah (selawat terbaik) nama baginda disebut bersama nama Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya nama baginda akan disebut sehingga ke hari Kiamat nanti.
Baginda juga menjadi ikutan contoh bagi umat manusia termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri disuruh untuk ikut baginda. Ini nanti akan disebut di dalam ayat seterusnya.
Antaranya lagi baginda telah dikurniakan dengan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika usia baginda 86 tahun; dan kemudian mendapat Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda berumur 100 tahun tanpa disangka-sangka. Melalui kedua mereka ini telah menurunkan bangsa-bangsa yang besar dan hebat. Kedua-dua anak itu telah diangkat menjadi Nabi. Malah cucu (Nabi Ya’kob عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan cicitnya (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) juga telah diangkat menjadi Nabi. Melalui anak-anaknya itu lahir keturunan yang mulia dan beriman. Anak-anak beriman adalah harta yang paling baik sekali kerana ia membawa sampai ke akhirat kerana anak yang ditinggalkan akan mendoakan kita dan melakukan amal ibadat yang pahalanya akan terus mengalir kepada arwah bapa.
Nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga amat mulia di dunia kerana semua penganut agama langit (Yahudi, Kristian dan Islam) memuji-muji baginda.
وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّٰلِحينَ
Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.
Pasti di akhirat nanti baginda akan dapat kedudukan yang lebih tinggi lagi. Baginda dimasukkan ke dalam sebahagian daripada golongan solehin.
Dalam Nisa: 69, Allah ﷻ ada meletak 4 tahap manusia – Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan akhir sekali Solehin. Oleh kerana itu kalau lihat kedudukan tahap itu, kedudukan paling rendah adalah Solehin, bukan? Namun bagaimana pula Allah ﷻ meletakkan kedudukan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini pada kedudukan solehin pula? Memang nampak macam kedudukan yang rendah tetapi ini menunjukkan kalau kita mendapat kedudukan solehin pun, maknanya kita sudah dapat duduk dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Namun bukanlah soleh baginda itu adalah soleh biasa, tetapi ia peringkat soleh para Nabi yang bermakna ia adalah antara darjat yang tinggi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 25 Februari 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
