Ra’d Ayat 40: Penolakan Musyrikin Mekah kepada kerasulan Nabi Muhammad ﷺ akan dibalas.
وَإِن مّا نُرِيَنَّكَ بَعضَ الَّذي نَعِدُهُم أَو نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ وَعَلَينَا الحِسابُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whether We show you part of what We promise them or take you in death, upon you is only the [duty of] notification, and upon Us is the account.
(MALAY)
Dan sama ada Kami perlihatkan kepadamu sebahagian (seksa) yang Kami ancamkan kepada mereka atau Kami wafatkan kamu (hal itu tidak penting bagimu) kerana sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan sahaja, sedang Kami-lah yang menghisab amalan mereka.
وَإِن مّا نُرِيَنَّكَ بَعضَ الَّذي نَعِدُهُم
Dan sama ada Kami perlihatkan kepadamu sebahagian (seksa) yang Kami ancamkan kepada mereka
Sama ada Allah ﷻ perlihatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ setengah azab (bukan semua) yang dijanjikan kepada mereka. Allah ﷻ boleh buat iaitu tunjukkan kepada baginda semasa baginda hidup lagi. Maknanya, Nabi Muhammad ﷺ akan nampak sendiri azab yang akan dikenakan kepada mereka. Kalau itu terjadi, maknanya ia tidak lama lagi. Memang Rasulullah ﷺ dapat melihat kekalahan Musyrikin Mekah itu di dalam peperangan demi peperangan dan akhirnya kekalahan terakhir mereka iaitu Pembukaan Mekah.
أَو نَتَوَفَّيَنَّكَ
atau Kami wafatkan kamu
Atau Allah ﷻ matikan Nabi ﷺ terlebih dulu sampai tidak sempat melihat azab itu dikenakan kepada musuh baginda. Ini pun Allah ﷻ boleh buat. Yang pasti, mereka akan dikenakan azab itu juga akhirnya. Sekiranya Nabi ﷺ diangkat (wafat), tidak ada keperluan untuk mereka diberi peluang lagi. Punca mereka tidak dikenakan dengan azab terus adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ ada dalam kalangan mereka seperti disebut dalam Anfal: 33
وَما كانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم وَأَنتَ فيهِم
Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka.
Rasulullah ﷺ diingatkan di sini supaya jangan risau tentang kaumnya yang menentang baginda itu. Apa sahaja hukuman buat mereka, Allah ﷻ yang akan uruskan. Baginda cuma jalankan sahaja tugas dakwah dan mengajar umat. Begitu jugalah bagi kita, teruskan dengan kerja dakwah kita. Yang menentang itu, biarkan sahaja kepada Allah ﷻ.
فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ
Maka sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan saja,
Allah ﷻ ingatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang tugas baginda adalah menyampaikan sahaja. Bukan qudrat Nabi ﷺ untuk tunjukkan azab kepada mereka. Jangan hirau tentang apa yang akan berlaku. Jalankan sahaja tugas dan Nabi Muhammad ﷺ telah melakukan tugas baginda. Ayat ini semakna dengan ayat lain:
فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ لَسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُصَيْطِرٍ إِلا مَنْ تَوَلَّى وَكَفَرَ فَيُعَذِّبُهُ اللَّهُ الْعَذَابَ الأكْبَرَ إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ
Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka, tetapi orang yang berpaling dan kafir, maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang besar. Sesungguhnya kepada Kamilah kembali mereka, kemudian sesungguhnya kewajipan Kamilah menghisab mereka.
(Al-Ghasyiyah: 21-26)
Di dalam ayat ini, apabila Allah ﷻ berfirman: إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ ia bermaksud yang kerja Nabi Muhammad ﷺ hanyalah pendakwah dan pemberi peringatan sahaja, tidak ada kerja lain. Baginda tidak ada kerja sampingan (“part time”). Baginda tidaklah bekerja sebagai peniaga, gembala dan sebagainya.
Memang manusia memerlukan ada orang yang menjadi pendakwah, yang mengajar ilmu agama dan pemberi peringatan kepada manusia. Bayangkan, kalau jihad fi sabilillah pun Allah ﷻ beritahu kita supaya jangan semua pergi berjihad, sedangkan anjuran jihad itu sangatlah tinggi pahalanya, bukan? Lihat firman Allah ﷻ di dalam Tawbah: 122
وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِّنهُم طائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
Kadangkala kita tidak sempat melihat kejayaan dakwah yang kita telah jalankan. Ini adalah seperti kisah Ghulam al-Dakwah di dalam Surah Buruj itu. Beliau dibunuh sebelum sempat melihat umat manusia beriman disebabkan pengorbanannya. Akan tetapi ini tidak mengapa kerana pahala daripada dakwahnya itu tetap mengalir walaupun beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini.
وَعَلَينَا الحِسابُ
sedang Kami-lah yang menghisab amalan mereka.
Allah ﷻ tekankan yang Dia akan hisab amalan mereka dan akan hukum mereka nanti atas kesalahan mereka. Maka Nabi ﷺ jangan risau dan bersusah hati atau rasa terkilan terhadap mereka yang menentang baginda dan menyakiti hati baginda. Mereka itu tetap akan mendapat balasan mereka.
Ra’d Ayat 41: Takhwif duniawi. Mereka sentiasa meminta ditunjukkan mukjizat sebagai tanda, maka Allah ﷻ beritahu yang mereka akan ditunjukkan dengan mukjizat itu, tetapi ikut kehendak Allah ﷻ.
أَوَلَم يَرَوا أَنّا نَأتِي الأَرضَ نَنقُصُها مِن أَطرافِها ۚ وَاللهُ يَحكُمُ لا مُعَقِّبَ لِحُكمِهِ ۚ وَهُوَ سَريعُ الحِسابِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have they not seen that We set upon the land, reducing it from its borders?¹ And Allāh decides; there is no adjuster of His decision. And He is swift in account.
- Referring to the spread of Islām through Allāh’s Prophet (ṣ) and the diminishing of those areas controlled by the polytheists.
(MALAY)
Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami mendatangi daerah-daerah (orang-orang kafir), lalu Kami kurangi daerah-daerah itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya? Dan Allah menetapkan hukum (menurut kehendak-Nya), tidak ada yang dapat menolak ketetapan-Nya; dan Dialah Yang Maha cepat hisab-Nya.
أَوَلَم يَرَوا أَنّا نَأتِي الأَرضَ نَنقُصُها مِن أَطرافِها
Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami mendatangi daerah-daerah (orang-orang kafir), lalu Kami kurangi daerah-daerah itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya?
Kalimah أَوَلَم adalah di dalam bentuk istifham (soalan). Secara umumnya ada tiga jenis istifham:
1. Istifham Haqiqi (benar-benar soalan untuk bertanya dan ingin mendapatkan maklumat). Soalan sebegini tidak ada di dalam Al-Qur’an
2. Istifham Inkari (bukan soalan sebenarnya tetapi hendak menolak fahaman yang salah. Jawapan bagi soalan ini adalah ‘tidak’)
3. Istifham Taqriri (bukan juga soalan tetapi hendak mengiyakan sahaja. Jawapan bagi soalan ini adalah ‘ya’)
Mereka hendak sangat melihat tanda, tetapi bukankah mereka sendiri boleh melihatnya, Allah ﷻ telah beri hidayat kepada kawasan lain dan mereka pergi untuk mendatangi Nabi Muhammad ﷺ? Dari hujung-hujung bumi atau negeri yang selama ini mereka kuasai, tempat berhala-berhala yang berdiri dengan megahnya, beransur-ansur walaupun dengan secara sembunyi, orang datang ke Mekah untuk menyaksikan sendiri gerakan Nabi Muhammad ﷺ dan untuk mempelajari agama yang baginda bawa.
Datanglah orang seperti ‘Adi bin Hatim, orang terkemuka dalam kaumnya, datang Tamim ad-Dari, orang yang terpandang. Juga telah datang rombongan-rombongan dari Yatsrib (Madinah), sambil melakukan ibadah haji, mereka mengadakan pertemuan-pertemuan rahsia dengan Nabi Muhammad ﷺ untuk mempelajari Islam, dan telah dikirim pula pendakwah yang akan mengajarkan Al-Qur’an di Madinah.
Dari saat ke saat kemegahan Quraisy sudah mulai terpulau. Bahkan seketika pengikut-pengikut Rasulullah ﷺ yang setia berhijrah ke Habsyi dalam dua rombongan, seruan Islam telah sampai ke sana. Najasyi (Raja) Ashhamah telah memeluk Islam. Perutusan kaum Quraisy yang diutus menjemput mereka, telah kembali ke Mekah dengan tangan hampa. Benar pada lahirnya nampak Quraisy masih kuat, tetapi pengaruh mereka kian hari kian merundum. Abu Sufyan dalam per- jalanan ke Syam, telah dipanggil menghadap oleh Raja Rom di Syam (Suria), iaitu Hiraklius, dan yang beliau bertanya bukan soal lain, melainkan tentang Nabi Muhammad ﷺ dan gerak agama yang dibawanya, sehingga Abu Sufyan terpaksa menjawab pertanyaan-pertanyaan dengan jujur. Sebab itu maka bumi tempat tegak kaum musyrikin kian lama kian susut.
Itu semasa baginda di Mekah lagi. Kemudian setelah negara Islam ditegakkan dan semasa perjanjian Hudaibiyyah berlangsung, Rasulullah ﷺ telah melakukan dakwah ke negara-negara luar pula, akhirnya lebih ramai yang masuk Islam. Akhirnya lebih ramai yang berpihak kepada Muslim berbanding orang kafir. Maksudnya, Allah ﷻ tukar daerah kafir kepada daerah Islam. Orang Mekah boleh lihat sendiri bagaimana agama Islam itu semakin berkembang dan kawasan yang tetap dalam kafir menjadi semakin sedikit.
Maksud أَنّا نَأتِي الأَرضَ (Kami mendatangi daerah-daerah) bukanlah bermaksud Allah ﷻ yang datang akan tetapi Allah ﷻ menghantar orang-orang mukmin untuk menyerang orang-orang kafir. Sehinggakan kurangnya daerah orang kafir. Kalau sekarang pun kita lihat umat Islam semakin bertambah. Islam adalah agama yang paling pesat berkembang. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Anbiya’: 44
أَفَلا يَرَونَ أَنّا نَأتِي الأَرضَ نَنقُصُها مِن أَطرافِها ۚ أَفَهُمُ الغٰلِبونَ
Maka apakah mereka tidak melihat bahawasanya Kami mendatangi negeri (orang kafir), lalu Kami kurangi luasnya dari segala penjurunya. Maka apakah mereka yang menang?
Inilah kesan apabila Nabi ﷺ menjalankan tugas baginda menyampaikan ajaran Al-Qur’an ini. Ini menunjukkan kehebatan wahyu. Ia mudah diterima manusia yang berakal dan kalau orang Mekah idtak terima, ada yang akan terima seperti penduduk Madinah. Akhirnya nanti, hanya tinggal Mekah sahaja yang tidak terima Islam lagi. Mereka tidak sedarkah? Tidak cukupkah itu sebagai ‘tanda’?
وَاللهُ يَحكُمُ لا مُعَقِّبَ لِحُكمِهِ
Dan Allah menetapkan hukum, tidak ada yang dapat menolak ketetapan-Nya;
Allah ﷻlah yang buat keputusan, dan apabila Allah ﷻ sudah buat keputusan, tidak boleh ditolak keputusan Allah ﷻ itu. Ia pasti akan berlaku kerana Allah ﷻ yang menentukannya. Kalau manusia yang buat keputusan untuk buat sesuatu, belum tentu boleh terjadi. Sebaliknya untuk Allah ﷻ, ia pasti jadi.
Di dalam ayat ini Allah ﷻ hanya sebut dia يَحكُمُ sahaja tanpa memberi penjelasan apakah hukum itu. Ulama’ membahagikan hukum ada tiga jenis:
1. Hukum Syar’i. Penetapan syariat yang diwajibkan ke atas mukallaf.
2. Hukum Qadari. Penentuan apa yang akan terjadi (qada’ dan qadar)
3. Hukum Jaz’i. Pembalasan ke atas makhluk.
Maka hukum apakah yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Ketiga-tiganya boleh digunakan.
Kalimah مُعَقِّبَ dari katadasar ع ق ب yang bermaksud berjaya; mengambil tempat; datang selepas; pukulan pada tumit; ikut rapat; untuk berusaha berulang kali; kembali; menghukum; menjejaki semula langkah seseorang; mati; meninggalkan zuriat; memberi sebagai pertukaran; tempat sukar untuk mendaki; untuk mengambil maklumat yang teliti; jerit; ikuti langkah demi langkah; tumit; anak lelaki; cucu; zuriat; paksi; balasan; hasil; ganjaran; akhir; hukuman selepas dosa; seseorang yang menangguhkan atau membalikkan; yang melihat akibat atau hasil kepda urusan; yang ikut antara satu sama lain; sesuatu yang datang serta-merta selepas perkara lain tanpa gangguan; penalti; pembalasan akibat dosa.
Maknanya, jikalau Allah ﷻ telah menetapkan hukum, tidak ada sesiapa yang boleh ubah dan halang. Kalau Allah ﷻ beri hukum syariat, kita tidak boleh ubah. Begitu juga apa sahaja yang Allah ﷻ takdirkan. Jikalau Allah ﷻ beri pembalasan, pun makhluk tidak boleh halang dan ubah. Maka terimalah sahaja ketentuan daripada Allah ﷻ. Punca kegembiraan adalah apabila kita redha dengan apa sahaja ketentuan daripada Allah ﷻ; punca kesedihan adalah jikalau kita tidak terima apa sahaja yang Allah ﷻ telah tentukan.
Orang-orang musyrikin itu masih mencari berbagai dalih untuk menghalangi kejayaan Islam, untuk menyekat bertumbuhnya ajaran Nabi ﷺ, segala tipudaya telah mereka cuba, namun mereka tidak akan berjaya.
وَهُوَ سَريعُ الحِسابِ
dan Dialah Yang Maha cepat hisab-Nya.
Kelak nanti apabila telah sampai masa untuk Allah ﷻ menghisab perbuatan mereka di dunia, Dia akan cepat menghitung. Begitulah dikatakan bahawa apabila Allah ﷻ telah buka mahkamah penghakiman di akhirat kelak, hanya mengambil masa selama setengah hari sahaja. Atau sekadar waktu tidur di tengahari sahaja (tidur qailullah).
Imam Al-Muzani رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,
وَبَعْدَ البِلَى مَنْشُوْرُوْنَ وَيَوْمَ القِيَامَةِ إِلَى رَبِّهِمْ مَحْشُوْرُوْنَ وَلَدَى العَرْضِ عَلَيْهِ مُحَاسَبُوْنَ بِحَضْرَةِ الموَازِيْنِ وَنَشْرِ صُحُفِ الدَّوَاوِيْنَ وَنَسُوْهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ لَوْ كَانَ غَيْرُ اللهِ الحَاكِمَ بَيْنَ خَلْقِهِ لَكِنَّهُ اللهُ يَلِي الحُكْمَ بَيْنَهُمْ بِعَدْلِهِ بِمِقْدَارِ القَائِلَةِ فِي الدُّنْيَا “وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ”[الأنعام:٦٢] كَمَا بَدَأَهُ لَهُمْ مِنْ شَقَاوَةٍ وَسَعَادَةٍ يَوْمَئِذٍ يَعُوْدُوْنَ “فَرِيْقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَرِيْقٌ فِي السَّعِيْرِ” [الشورى:٧]
“Setelah hancur, manusia dibangkitkan. Dan pada hari kiamat, manusia dikumpulkan di hadapan Rabb-Nya. Di masa penampakan amal manusia dihisab. Dengan dihadirkannya timbangan-timbangan dan ditebarkannya lembaran-lembaran (catatan amal). Allah menghitung dengan teliti, sedangkan manusia melupakannya. Hal itu terjadi pada hari yang kadarnya di dunia adalah 50 ribu tahun. Kalaulah seandainya bukan Allah sebagai hakimnya nescaya tidak akan mampu, akan tetapi Allahlah yang menetapkan hukum di antara mereka secara adil. Sehingga lama waktunya (bagi orang beriman) adalah sekadar masa istirehat siang di dunia, dan Allah Yang Paling Cepat Perhitungan Hisabnya. Sebagaimana Allah memulai menciptakan mereka, ada yang sengsara atau bahagia, pada hari itu mereka dikembalikan. Sebahagian masuk syurga, sebahagian masuk neraka.”
Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 202
أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.
Apabila Allah ﷻ sebut hisab-Nya amat cepat, ia mempunyai tiga makna,
1. Hisab Allah ﷻ sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka janganlah leka dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’: 1
اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).
2. Hisab sebelum mati. Allah ﷻ boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Jikalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah ﷻ terus belr balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, maka kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah ﷻ balas dengan kepala kita terlanggar dinding.
3. Apabila Allah ﷻ buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk minta Allah ﷻ percepatkan hisab. Namun apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah ﷻ lakukan audit yang sebegini?
Pernah Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah ﷻ mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhluk-Nya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah ﷻ mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.
Ra’d Ayat 42: Memang musuh-musuh Nabi Muhammad ﷺ ada membuat perancangan untuk menjatuhkan baginda. Akan tetapi ia tidak berjaya.
وَقَد مَكَرَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَلِلَّهِ المَكرُ جَميعًا ۖ يَعلَمُ ما تَكسِبُ كُلُّ نَفسٍ ۗ وَسَيَعلَمُ الكُفّٰرُ لِمَن عُقبَى الدّارِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those before them had plotted, but to Allāh belongs the plan entirely. He knows what every soul earns, and the disbelievers will know for whom is the final home.
(MALAY)
Dan sungguh orang-orang kafir yang sebelum mereka (kafir Mekah) telah mengadakan tipu daya, tetapi semua tipu daya itu adalah dalam kekuasaan Allah. Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh setiap diri, dan orang-orang kafir akan mengetahui untuk siapa tempat kesudahan (yang baik) itu.
وَقَد مَكَرَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم
Dan sungguh orang-orang kafir yang sebelum mereka (kafir Mekah) telah mengadakan tipu daya,
Orang dulu juga ada menghalang wahyu dan menyekat Rasul-rasul mereka, tetapi tidak berjaya. Apakah rancangan mereka? Rancangan jahat untuk menghapuskan Rasul-rasul mereka supaya penyebaran ajaran wahyu terhenti. Maka Allah ﷻ beri pujukan dan ketenangan kepada Rasulullah ﷺ: Jangan takut wahai Nabi Muhammad ﷺ. Pasti baginda akan diberi kejayaan. Dalam ayat sebelum ini pun telah disebut yang Mekah akan tinggal seorang diri sahaja. Mereka tidak akan boleh hendak buat apa-apa. Maka percayalah dengan janji Allah ﷻ.
Golongan penentang agama Tauhid memang akan berusaha untuk menjatuhkan kebenaran. Berbagai rancangan mereka akan buat, tetapi mereka tidak akan berjaya seperti firman Allah ﷻ di dalam Ibrahim: 46
وَقَد مَكَروا مَكرَهُم وَعِندَ اللهِ مَكرُهُم وَإِن كانَ مَكرُهُم لِتَزولَ مِنهُ الجِبالُ
Dan sesungguhnya mereka telah membuat rancangan yang besar padahal di sisi Allah-lah (balasan) rancangan mereka itu. Dan sesungguhnya rancangan mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya.
Lihatlah betapa besar pun rancangan musuh-musuh Islam itu, mereka tidak akan berjaya. Sepertimana rancangan mereka hendak mereka hendak membunuh atau menghalau Nabi ﷺ telah digagalkan seperti disebut di dalam Anfal: 30
وَإِذ يَمكُرُ بِكَ الَّذينَ كَفَروا لِيُثبِتوكَ أَو يَقتُلوكَ أَو يُخرِجوكَ ۚ وَيَمكُرونَ وَيَمكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ
Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.
فَلِلَّهِ المَكرُ جَميعًا
tetapi semua tipu daya itu adalah dalam kekuasaan Allah.
Rancangan mereka yang hendak menjatuhkan dan membunuh Rasul mereka itu akan gagal kerana Allah ﷻ memiliki rancangan semua sekali. Apabila Allah ﷻ mentaqdimkan (mendahulukan) huruf ل di dalam kalimah فَلِلَّهِ, ia bermaksud khusus (eksklusif). Maksudnya perancangan adalah milik Allah ﷻ sahaja, tiada sesiapa selain-Nya yang menguasainya.
Maknanya Allah ﷻ menguasai segalanya. Allah ﷻ yang meluluskan dan membatalkan rancangan yang manusia buat. Mereka tidak akan berjaya walaupun mereka berusaha keras. Tidak akan terjadi apa-apa tanpa izin Allah ﷻ. Ayat ini semakna dengan ayat lain yang disebutkan melalui firman-Nya:
وَإِذ يَمكُرُ بِكَ الَّذينَ كَفَروا لِيُثبِتوكَ أَو يَقتُلوكَ أَو يُخرِجوكَ ۚ وَيَمكُرونَ وَيَمكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ
Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.
(Anfal: 30)
Kalimah مكر sebenarnya bermaksud ‘perancangan jahat’. Akan tetapi tidaklah sesuai kalau kita kata Allah ﷻ buat perancangan jahat pula. Maka kita boleh tafsirkan yang Allah ﷻ membalas perancangan orang-orang jahat itu. Telah terbukti Allah ﷻ telah selamatkan Rasulullah ﷺ apabila telah ada rancangan untuk membunuh baginda. Allah ﷻ balas rancangan mereka dengan mengazab mereka dan mengenakan musibah kepada mereka.
Ini sepatutnya memberikan ketenangan hati kepada para sahabat dan umat Islam. Sebagai perumpamaannya bayangkan jikalau ada ramai orang hendak memukul dan membunuh kita akan tetapi ketua polis negara berkata, “Jangan risau kerana kami tahu semua perancangan mereka.” Itu baru ada jaminan hanya daripada ketua polis negara tetapi bagaimana jikalau Allah ﷻ sendiri yang mengatakan Dia tahu rancangan musuh Islam itu? Kalau kita yakin dengan Allah ﷻ maka tentu kita tidak akan ada rasa takut. Ingatlah firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 54
وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
Allah ﷻ beritahu hal ini untuk menenangkan Nabi ﷺ, para sahabat dan para pendakwah. Kerana apa sahaja gangguan dan perancangan daripada penentang kebenaran, Allah ﷻlah yang menguasainya. Maka tidak perlu risau, serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ tenangkan hati Nabi ﷺ supaya baginda boleh fokuskan kepada kerja dakwah baginda. Tentang perancangan jahat daripada musuh itu, serahkan kepada Allah ﷻ.
Tidaklah perlu jadi seperti ahli politik sekarang. Sentiasa merancang untuk menjatuhkan kerajaan yang ada, kemudian apabila sudah dapat kuasa memerintah, kena sibuk fikirkan tentang perancangan pembangkang pula. Entah bilalah mereka hendak mentadbir negara kerana kena sibuk fikirkan hal-hal begitu. Begitulah kerja ahli politik yang asyik bermain politik sahaja. Maka kita tidak perlu sibuk hal mereka dan bincangkan tentang mereka, kerana sama sahaja mana-mana parti pun.
يَعلَمُ ما تَكسِبُ كُلُّ نَفسٍ
Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh setiap diri,
Allah ﷻ mengetahui apa yang dilakukan setiap jiwa. Rancangan mereka itu mereka buat dengan rahsia, tetapi Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ tahu sahaja apa rancangan mereka. Maka ini mengajar kita supaya jangan takut dengan para penentang di dalam kerja-kerja dakwah kita. Ini kerana kalau kita ikhlas, maka Allah ﷻ akan lindungi kita.
وَسَيَعلَمُ الكُفّٰرُ لِمَن عُقبَى الدّارِ
dan orang-orang kafir akan mengetahui untuk siapa tempat kesudahan (yang baik) itu.
Nanti orang kafir degil itu kelak akan tahu syurga itu milik siapa. Itulah tempat kesudahan yang baik kelak bagi mereka yang melakukan kebaikan dan beriman dengan sebenarnya. Mereka yang kufur itu juga akan tahu di mana mereka akan duduk iaitu di neraka. Tunggu masa sahaja.
Di dalam ayat ini tidak disebut عُقبَى الدّارِ itu disediakan bagi orang beriman. Namun ia juga disebut di dalam ayat-ayat lain seperti Qasas: 83
تِلكَ الدّارُ الآخِرَةُ نَجعَلُها لِلَّذينَ لا يُريدونَ عُلُوًّا فِي الأَرضِ وَلا فَسادًا ۚ وَالعٰقِبَةُ لِلمُتَّقينَ
Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
Di sini dengan jelas Allah ﷻ menyebut وَالعٰقِبَةُ لِلمُتَّقينَ. Di dalam semua ayat-ayat ini Allah ﷻ hendak memujuk orang beriman dengan memberitahu mereka bahawa tempat kesudahan mereka adalah di syurga di atas segala usaha mereka. Sementara tempat orang kafir nanti adalah di neraka kerana penolakan mereka dan gangguan mereka terhadap orang-orang beriman. Begitulah balasan bagi orang-orang yang bertaqwa seperti juga Allah ﷻ sebutkan di dalam Taha: 132. Di dalam ayat ini juga mengandungi kalimah العاقِبَةُ.
وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصطَبِر عَلَيها ۖ لا نَسأَلُكَ رِزقًا ۖ نَحنُ نَرزُقُكَ ۗ وَالعاقِبَةُ لِلتَّقوىٰ
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
Ra’d Ayat 43: Ayat syikayah (pengaduan Allah ﷻ tentang perangai orang kafir).
وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَستَ مُرسَلًا ۚ قُل كَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم وَمَن عِندَهُ عِلمُ الكِتٰبِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who have disbelieved say, “You are not a messenger.” Say, [O Muḥammad], “Sufficient is Allāh as Witness between me and you, and [the witness of] whoever has knowledge of the Scripture.”¹
- i.e., those who recognize the truth through their knowledge of previous scriptures.
(MALAY)
Berkatalah orang-orang kafir: “Kamu bukan seorang yang dijadikan Rasul”. Katakanlah: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan kamu, dan antara orang yang mempunyai ilmu Al Kitab”.
وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَستَ مُرسَلًا
Berkatalah orang-orang kafir: “Kamu bukan seorang yang dijadikan Rasul”.
Musyrikin Mekah kata Nabi Muhammad ﷺ itu bukan rasul, baginda tidak pernah dipilih oleh Tuhan untuk menyampaikan wahyu kepada manusia. Mereka tidak percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ dan inilah punca kekufuran mereka.
Dalam ayat ini disebut tentang mereka menolak risalah. Ada tiga perkara penting dalam agama ini: Allah ﷻ – risalah – akhirah. Ayat ini berakhir memperkatakan tentang risalah. Ketiga-tiga perkara ini mesti diimani dan seandainya salah satu tidak ada, tidak dikira beragama Islam orang itu.
Ini penting kerana ada orang yang percaya kepada Tuhan dan hari akhirah tetapi tidak mahu percaya kepada Nabi. Itu fahaman agama yang tidak lengkap kalau tidak terima ada Rasul yang menyampaikan agama. Ini sama seperti agama Kristian, mereka terima ada tuhan dan hari akhirat, tetapi mereka tidak terima Nabi Muhammad ﷺ. Atau ada golongan yang percaya kepada Al-Qur’an tetapi tidak percaya kepada hadith.
Manusia tidak ada pilihan untuk terima atau tidak Rasul itu. Manusia memang kena terima sahaja. Namun ramai yang menolak kerana tidak dapat menerima orang atasan. Mereka tidak mahu dengar cakap orang yang di atas mereka. Mereka tidak boleh merendahkan diri mereka kepada orang lain. Mereka rasa: “Kenapa aku kena ikut orang itu?” Mereka rasa bagaikan tidak perlu untuk mengikut segala apa yang Nabi Muhammad ﷺ lakukan itu.
Itulah punca ada orang menjadi ateis. Mereka tidak mahu menjadi subjek kepada hukum-hukum daripada Allah ﷻ. Mereka hendak buat apa sahaja yang mereka mahu. Mereka hendak bebas. Kkerana itulah ada yang buat amalan bid’ah kerana tidak mahu mengikut apa yang Nabi ﷺ amalkan. Mereka rasa mereka boleh buat benda yang lebih baik lagi. Mereka rasa apa yang Nabi ﷺ buat itu sesuai untuk zaman baginda sahaja dan untuk zaman sekarang, memerlukan inovasi baru dalam agama.
Oleh itu kita hairan kalau ada yang memilih untuk tidak ikut amalan Rasulullah ﷺ, sedangkan Rasulullah ﷺ itu amat penting dan kerana itu kita ikut baginda. Fikirkanlah: bagaimana hendak taat kepada Allah ﷻ kalau tidak taat kepada Nabi ﷺ? Bagaimana hendak percaya kepada akhirat kalau tidak percaya kepada Nabi ﷺ? Kerana semua perkara itu datang melalui Nabi Muhammad ﷺ, bukan? Kalau kata-kata baginda pun tidak terima dan tidak ditinggalkan, bagaimana kita hendak tahu tentang perkara-perkara ghaib yang kita tidak ada peluang pun untuk selidik sendiri?
Namun kita sedar, memang susah untuk Musyrikin Mekah untuk terima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda tinggal dengan mereka, membesar dalam kalangan mereka. Mereka lihat sendiri bagaimana Nabi Muhammad ﷺ itu seperti manusia biasa sahaja. Bandingkan dengan kita sekarang, senang sikit untuk kita terima baginda sebagai Rasul kerana kita telah dengar banyak kisah-kisah hebat tentang baginda. Namun bayangkan musyrikin Mekah untuk terima sepenuhnya.
Oleh itu, hanya mereka yang beriman penuh sahaja yang dapat terima Nabi Muhammad ﷺ pada masa itu. Kalau kita ada di Mekah dulu entah kita jadi sahabat atau tidak, kita pun tidak tahu, bukan? Bayangkan mereka duduk-duduk dengan Nabi Muhammad ﷺ, dan tiba-tiba baginda kata baginda baru sahaja dapat wahyu daripada Allah ﷻ semasa dengan mereka. Baginda kata dapat daripada Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedangkan mereka sendiri tidak nampak Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.
Maka kita kena faham yang ini memerlukan iman yang besar. Oleh itu, bukan senang untuk menerima seorang lelaki yang dikatakan kita kena ikut baginda. Jikalau ada masalah untuk terima orang atasan yang beri arahan atas kita, memang akan susah.
قُل كَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم
Katakanlah: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan kamu,
Ini adalah jawapan bagi tuduhan mereka itu. Allah ﷻ ajar baginda untuk jawab sahaja: Cukuplah Allah ﷻ sebagai saksi antara baginda dan mereka. Kalau kamu tidak mahu terima, tidak mengapalah kerana Allah ﷻ sudah melantik baginda. Baginda tidak perlukan pengiktirafan daripada orang lain. Pengiktirafan sebenarnya daripada Allah ﷻ. Kalau mereka tidak percaya, tidak perlu rasa terkilan.
Ini juga mengajar kita yang di dalam dakwah dan pengajaran kita kepada orang awam, kita tidak perlukan pengiktirafan mereka. Malah mereka tidak perlu pun panggil kita dengan pangkat seperti ‘ustaz’ atau apa-apa sahaja (PU, Daie etc). Yang penting kita kena kejar dan harapkan adalah pengiktirafan daripada Allah ﷻ. Itu sudah cukup.
وَمَن عِندَهُ عِلمُ الكِتٰبِ
dan antara orang yang mempunyai ilmu Al Kitab”.
Yang mempunyai ilmu kitab itu sama ada para malaikat atau golongan ahli kitab. Sudah cukup para malaikat dan ulama-ulama yang ada kitab di sisi mereka sebagai saksi. Mereka itu adalah Yahudi dan Nasrani. Mereka lebih kenal siapakah Nabi Muhammad ﷺ itu, bukan orang Mekah yang tidak ada ilmu kitab sebelum itu. Sudah ada yang datang mengakui bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu benar seorang Rasul kerana mereka ada ilmu di sisi mereka. Musyrikin Mekah yang tidak ada ilmu itu, biarlah mereka. Sudahlah jahil, sombong pula!
Sepatutnya mereka bergembira kalau mereka fikir panjang sikit. Kalau Nabi Akhir Zaman dalam kalangan mereka, tentulah itu baik bagi mereka kerana daripada bangsa Arab juga. Mereka bolehlah menumpang kedudukan itu kerana dalam kalangan mereka juga. Namun tidak, mereka lepaskan peluang itu. Mereka pula yang menentang Nabi ﷺ. Malah yang menentang baginda adalah daripada ahli keluarga baginda sendiri iaitu bangsa Quraisy. Merekalah satu puak dengan Rasulullah. ﷺ Mereka inilah yang menjadi pemuka kepada penentang Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka yang ada kedudukan.
Ayat ini mengajar kita untuk bertanya dengan orang yang ada ilmu pengetahuan. Tidak perlu tanya kepada orang yang jahil agama. Kadangkala kita lihat orang awam kadangkala bertanya sesama sendiri mereka sahaja. Memanglah tidak akan ke mana-mana kerana orang jahil bertanya kepada orang jahil juga, memang ke lautlah. Sebaliknya tanyalah kepada orang yang ada ilmu seperti firman Allah ﷻ di dalam Nahl: 43
فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,
Sekiranya ahli-ahli kitab itu ikhlas dengan kitab mereka sendiri (Taurat atau Injil), mereka akan kata dengan yakin yang Nabi Muhammad ﷺ itu benar-benar seorang Rasul kerana memang jelas disebut sifat-sifat baginda dalam kitab mereka dan memang sifat baginda seperti apa ada dalam kitab mereka juga. Ia bukan benda yang baru. Perihalnya sama dengan pengertian yang terkandung di dalam firman-Nya:
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُمْ بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الأمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ الْآيَةَ
dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (Iaitu), orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil.
(Al-A’raf: 156-157)
Sejak sebelum Nabi Muhammad ﷺ lahir ke dunia sudah menjadi pembicaraan dalam kalangan mereka bahawa Nabi itu akan datang di akhir zaman. Mana yang tidak terpengaruh oleh hawa nafsunya setelah Nabi datang, akan mengakui hal itu dan pernah mereka katakan kepada orang Arab sendiri, baik kepada kaum Quraisy di Mekah atau kepada orang Aus dan Khazraj di Madinah.
Allahu a’lam. Alhamdulillah Tamat Surah ar-Ra’d ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Ibrahim.
Kemaskini: 6 Mac 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Adakah pada hari kiamat nanti iaitu semasa hari oenghisaban di masyar, Allah akan tunjukkan Zat Nya pd sume makhluk sepertimana Dia menunjukkan ZatNYA didalam Syurga kpd oenghuni Syurga?
LikeLike
Tidak. Allah tunjukkan DiriNya kepada ahli syurga sahaja.
LikeLike