NASIB ORANG-ORANG YANG CELAKA
Hud Ayat 106: Sekarang Allah ﷻ huraikan pula tentang siapa yang celaka itu
فَأَمَّا الَّذينَ شَقوا فَفِي النّارِ لَهُم فيها زَفيرٌ وَشَهيقٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
As for those who were [destined to be] wretched, they will be in the Fire. For them therein is [violent] exhaling and inhaling.¹
- i.e., their sighs and sobs, resembling the bray of a donkey.
(MALAY)
Adapun orang-orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas (dengan merintih),
فَأَمَّا الَّذينَ شَقوا فَفِي النّارِ
Adapun orang-orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka,
Mereka yang celaka, kerana mereka tidak beriman dan beramal soleh dan tidak mengendahkan agama, tempat mereka adalah di neraka. Di situlah mereka akan kekal abadi. Mereka ini telah ditentukan tempat mereka semenjak azali lagi seperti disebut dalam hadith,
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةَ { فَمِنْهُمْ شَقِيٌّ وَسَعِيدٌ } سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ فَعَلَى مَا نَعْمَلُ عَلَى شَيْءٍ قَدْ فُرِغَ مِنْهُ أَوْ عَلَى شَيْءٍ لَمْ يُفْرَغْ مِنْهُ قَالَ بَلْ عَلَى شَيْءٍ قَدْ فُرِغَ مِنْهُ وَجَرَتْ بِهِ الْأَقْلَامُ يَا عُمَرُ وَلَكِنْ كُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ
Daripada [Umar bin Al Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata: Ketika turun ayat: “Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia.” (Hud: 105) aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: Wahai Nabi Allah, apakah kami melakukan amalan berdasarkan sesuatu yang telah ditentukan ataukah berdasarkan sesuatu yang belum ditentukan? Baginda menjawab: “Berdasarkan sesuatu yang telah ditentukan (takdirnya), dan itu telah digariskan oleh pena, wahai Umar. Akan tetapi setiap orang diberi kemudahan untuk sesuatu yang diciptakan untuknya.”
(Jami’ Tirmidzi (3036))
Status: Hasan Gharib
Syarah: mungkin hadith ini menyebabkan ramai orang terkeliru kerana kedudukan kita sebenarnya telah tertulis di Lauh Mahfuz. Maknanya kita ini sudah ditentukan sama ada kita ini ahli syurga atau ahli neraka. Oleh sebab itu tentu ramai yang rasa seolah-olah rasa tidak berguna lagi amal kita kerana memang tempat kita telah ditentukan, maka apa lagi perlu beramal? Begitulah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun terkeliru juga. Disebabkan itu Rasulullah ﷺ menjawab bahawa kita ini sekiranya telah ditetapkan sebagai ahli syurga maka akan mudah untuk melakukan amal kebaikan, dan sebaliknya jika kita ahli neraka maka kita akan lebih condong untuk melakukan amal-amal yang buruk.
Akan tetapi kita sebenarnya tidak tahu kita ini ahli syurga ataupun ahli neraka kerana berita itu adalah hal ghaib. Maka kerana itu kita ini terus saja berusaha dan terus beramal dengan amal kebaikan. Tidak perlu kita fikirkan sangat kedudukan kita nanti di akhirat. Ini seperti nasihat Rasulullah ﷺ,
عَنْ عَلِيٍّ عَلَيْهِ السَّلَام قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَمَقْعَدُهُ مِنْ النَّارِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَتَّكِلُ قَالَ لَا اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ ثُمَّ قَرَأَ { فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى إِلَى قَوْلِهِ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى }
Daripada [Ali] dia berkata: Suatu ketika, kami duduk-duduk di sisi Nabi ﷺ, maka baginda pun bersabda: “Tidak ada seorang pun daripada kalian, kecuali tempat duduknya dari syurga dan dari neraka telah ditulis.” Maka kami pun bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana bila kita sebaiknya hanya bertawakal saja?” Baginda menjawab: “Tidak! Tetapi beramallah kalian, sebab setiap orang akan dimudahkah.” Kemudian baginda membacakan ayat: “FA`AMMAA MAN `A’THAA WAT TAQAA WA SHADDAQA BIL HUSNAA FASANUYASSIRUHU LILYUSRAA (Dan barangsiapa yang memberi, dan bertaqwa serta membenarkan kebaikan)..” hingga firman-Nya, “FASANUYASSIRUHU LIL’USRAA.”(Layl: 5-7)
(Sahih Bukhari (4566))
لَهُم فيها زَفيرٌ وَشَهيقٌ
di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas
Allah ﷻ berikan gambaran keadaan mereka di neraka nanti. Satu gambaran yang amat menakutkan kerana mereka bukannya duduk relaks seperti dalam penjara. Mereka akan diazab dengan amat teruk sekali. Allah ﷻ ceritakan kepada kita suara mereka untuk menunjukkan betapa teruknya azab di dalam neraka itu untuk menakutkan kita. Ahli neraka akan memekik dan menjerit, memekik semula dan selanjutnya berganti menjadi jeritan, kerana seksaan itu kian lama kian sakit, kian pedih. Mana pekik kerana tidak tahan seksaan, datang pula jerit kerana menyesal telah berbuat salah!
Mereka akan bersuara zahir – ia diibaratkan keluar suara daripada seekor himar ketika ia bertempik. Kalimah زَفيرٌ daripada katadasar ز ف ر yang bermaksud mengeluh, teresak-esak; menarik nafas kerana kesusahan; mengerang; mengerang dalam kesedihan; laut yang mengaum; orang yang membawa beban, beban; musibah, nasib malang.
Sedangkan kalimah شَهيقٌ daripada katadasar ش ه ق yang bermaksud suara mengeluh; mengaum; bunyi keldai keldai menarik nafas sambil menjerit. Kedua-duanya melibatkan bunyi tarikan dan hembusan nafas. Maka dari sini banyaklah tafsiran ulama’ yang membezakan antara keduanya:
1. زَفيرٌ adalah bunyi semasa mengeluarkan nafas dan شَهيقٌ semasa menarik nafas.
2. Kalimah زَفيرٌ adalah suara himar semasa merintih kerana kepenatan. Ia adalah bunyi yang amat buruk sekali untuk didengar. Memang suara himar adalah suara paling buruk dalam dunia. Allah ﷻ bandingkan suara mereka dengan suara himar. Suara ini mula-mula perlahan kerana penat, tetapi lama-lama menjadi semakin kuat.
Akhirnya suara yang kuat itu menjadi شَهيقٌ, iaitu apabila himar itu penat sangat sampai tidak larat hendak berbunyi lagi. Segala bunyi ini adalah kerana mereka sedang menanggung kesakitan azab di akhirat kelak.
3. Atau زَفيرٌ ini dikatakan bunyi suara yang mula-mula keluar daripada himar itu. Manakala شَهيقٌ pula adalah bunyi suara yang pengakhiran daripada himar. Suara awal atau suara akhir himar itu dua-dua buruk sekali.
4. زَفيرٌ adalah suara yang kuat sedangkan شَهيقٌ adalah suara yang perlahan.
Kesimpulannya ia adalah suara seseorang yang terseksa di dalam neraka semasa diazab! Allahu Akbar! Itulah sahaja yang mereka lakukan tanpa henti-henti kerana mereka tidak mati-mati kerana di akhirat nanti tidak ada kematian. Mereka berterusan diseksa, namun tidak mati. Manakan mati, kulit terbakar sahaja terus diganti seperti disebut dalam Nisa’: 56
كُلَّما نَضِجَت جُلودُهُم بَدَّلنٰهُم جُلودًا غَيرَها لِيَذوقُوا العَذابَ
Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.
Bukan sahaja mereka itu berbunyi, malah neraka sendiri turut berbunyi yang menakutkan! Ini disebut dalam Mulk: 7
إِذا أُلقوا فيها سَمِعوا لَها شَهيقًا وَهِيَ تَفورُ
Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.
Maka ini semua adalah gambaran yang Allah ﷻ berikan kepada kita tentang betapa teruknya azab di neraka itu dalam bentuk suara yang menakutkan. Sebab itulah neraka ini kita tidak mahu lihat, dengar dan bau sedikitpun. Kita tidak mahu langsung dimasukkan ke dalamnya, apatah lagi berdekatan sedikitpun kepadanya.
Hud Ayat 107:
خٰلِدينَ فيها ما دامَتِ السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ إِلّا ما شاءَ رَبُّكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ فَعّالٌ لِّما يُريدُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[They will be] abiding therein as long as the heavens and the earth endure, except what your Lord should will. Indeed, your Lord is an effecter of what He intends.
(MALAY)
mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki.
خٰلِدينَ فيها ما دامَتِ السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ
mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi,
Kalimat ini bermaksud ‘berkekalannya sesuatu.’ Ini adalah penggunaan pepatah Arab. Sepertimana orang Melayu dulu ada diletakkan dalam perjanjian: ‘Selagi masih ada bulan dan bintang’. Ini hendak memberi isyarat kekalnya sesuatu itu. Maka, mereka kekal dalam neraka selama-lamanya.
Di dunia ini jikalau maut datang, hanya kita yang pergi maka selesailah. Adapun di Alam Akhirat itu, terutama dalam neraka itu, yang dikenakan azab di dalamnya akan tetaplah di situ. Hanya berubah apabila langit dan bumi sudah tidak ada lagi. Namun bilakah langit dan bumi akan berubah? Allah ﷻ akan menjadikan langit dan bumi itu akan kekal untuk selama-lamanya.
Akan tetapi kenapakah digunakan perumpamaan langit dan bumi sedangkan langit dan bumi akan dihancurkan? Ulama’ mengatakan, di akhirat nanti pasti ada langit dan bumi yang lain. Ia adalah langit dan bumi selain yang ada sekarang ini. Allah ﷻ telah jawab persoalan ini dalam Ibrahim: 48
يَومَ تُبَدَّلُ الأَرضُ غَيرَ الأَرضِ وَالسَّماواتُ
(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit,
إِلّا ما شاءَ رَبُّكَ
kecuali jika Tuhanmu menghendaki
Mereka akan kekal dalam neraka itu, kecuali kalau Allah ﷻ mengkehendaki yang lain. Terdapat banyak perbahasan tentang perkara ini melalui bahasa yang digunakan. Oleh itu ada yang mengatakan mereka tetap kekal dalam neraka, dan ada yang berpendapat mereka tidak kekal kerana Allah ﷻ boleh membuat keputusan untuk keluarkan mereka. Mereka yang tinggal dalam neraka tidak kekal, tetapi mereka yang tinggal dalam syurga akan kekal dalam syurga.
Walaupun begitu, janganlah ini memberi harapan sangat kepada kita, kerana kita kena ada perasaan tidak mahu masuk langsung ke dalam neraka walau sesaat pun. Apatah lagi perbincangan ayat ini, bukan sesaat dua, tetapi tinggal dalam neraka entah berapa ribu, berapa juta tahun. Takkan kita mahu tinggal dalam neraka selama itu? Maka, kita mestilah berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh supaya kita langsung tidak masuk ke dalam neraka.
Ada ulama’ seperti Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ yang mengatakan, mereka yang dikeluarkan hanyalah ahli tauhid yang ada dosa. Selepas mereka masuk ke dalam neraka untuk menerima balasan dosa mereka, kemudian barulah mereka dikeluarkan dari neraka kerana syafaat yang akan diberikan kepada mereka. Setelah itu tidak ada lagi seorang pun di dalam neraka kecuali orang-orang yang wajib menjadi penghuni tetap untuk selama-lamanya dan tidak ada jalan lain baginya untuk selamat dari neraka.
Maksudnya, mereka yang ada mengamalkan syirik (dan tidak sempat bertaubat sebelum mati) itu kekal dalam neraka selama-lamanya. Demikianlah menurut pendapat kebanyakan ulama’ terdahulu dan ulama’ sekarang sehubungan dengan tafsir ayat ini.
إِنَّ رَبَّكَ فَعّالٌ لِّما يُريدُ
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki.
Allah ﷻ mengingatkan lagi yang Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki dan kita tidak dapat menghalang, tidak boleh persoal apa yang Dia hendak lakukan. Kita kena terima sahaja dan redha dengan apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap diri kita.
Ia juga bermaksud hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh melakukan apa-apa yang dikehendaki-Nya. Sedangkan kita ini walaupun ada kehendak dan walaupun kita telah berusaha sedaya upaya, belum tentu lagi kita dapat melakukan apa yang kita mahu. Segala usaha kita dan kejayaan kita bergantung kepada Allah ﷻ dan kehendak-Nya sama ada Dia benarkan atau tidak.
MEREKA YANG BERGEMBIRA
Hud Ayat 108: Ayat tabshir pula. Selepas Allah ﷻ sebut tentang neraka, sekarang Allah ﷻ sebut tentang syurga pula. Tujuannya supaya kita dapat bezakan antara keduanya dan pilih mana yang kita hendak masuk.
۞ وَأَمَّا الَّذينَ سُعِدوا فَفِي الجَنَّةِ خٰلِدينَ فيها ما دامَتِ السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ إِلّا ما شاءَ رَبُّكَ ۖ عَطاءً غَيرَ مَجذوذٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And as for those who were [destined to be] prosperous, they will be in Paradise, abiding therein as long as the heavens and the earth endure, except what your Lord should will – a bestowal uninterrupted.
(MALAY)
Adapun orang-orang yang berbahagia, maka tempatnya di dalam syurga, mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain); sebagai kurnia yang tiada putus-putusnya.
وَأَمَّا الَّذينَ سُعِدوا فَفِي الجَنَّةِ
Adapun orang-orang yang berbahagia, maka tempatnya di dalam syurga,
Kalau tadi tentang penghuni neraka, sekarang tentang penghuni syurga pula. Mereka itu adalah orang yang bertuah dan akan bergembira kerana masuk syurga. Mereka inilah ahli Tauhid. Hanya ahli Tauhid sahaja yang akan masuk syurga.
خٰلِدينَ فيها ما دامَتِ السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ
mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi,
Mereka akan kekal di dalam syurga itu sampai bila-bila. Mereka tidak akan dikeluarkan dari syurga itu kerana banyak ayat-ayat yang lain yang mengatakan yang mereka akan kekal di dalamnya.
Ini kerana kalau ada kemungkinan mereka akan dikeluarkan, itu akan menyebabkan kurangnya kenikmatan dalam syurga itu. Contohnya seperti kita tinggal dalam sebuah hotel yang mewah serta serba serbi selesa, tetapi kita tahu yang kita akhirnya kena keluar juga, maka kuranglah nikmat hotel itu.
Oleh itu, bagi mereka yang tinggal dalam syurga, sudah diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya, maka tidak perlu takut, tidak perlu risau lagi, kerana syurga adalah tempat untuk menerima nikmat sahaja, tanpa kerisauan walau sedikit pun.
Seperti yang telah disebut sebelum ini, langit dan bumi adalah langit dan bumi yang lain. Ahli syurga akan bergembira apabila dimasukkan ke bumi yang lain itu seperti disebut dalam Zumar: 74
وَقالُوا الحَمدُ ِلِلهِ الَّذي صَدَقَنا وَعدَهُ وَأَورَثَنَا الأَرضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الجَنَّةِ حَيثُ نَشاءُ
Serta mereka berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janji-Nya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai;
إِلّا ما شاءَ رَبُّكَ
kecuali jika Tuhanmu menghendaki
Akan tetapi kerana Allah ﷻ tambah: ‘jika tuhan kehendaki’ pula? Ini agak pelik sedikit. Kalau di dalam ayat sebelum ini kita faham yang ada orang yang di dalam neraka akan dikeluarkan jikalau dia ada tauhid. Namun kenapa pula ada juga di sini?
Adakah ini bermaksud yang ada kemungkinan Allah ﷻ akan keluarkan mereka dari syurga? Ada tafsiran yang mengatakan ini adalah sebagai ulangan untuk penekanan sahaja.
Ada ulama’ mengatakan ini adalah lafaz untuk mengatakan Qudrat Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia boleh berbuat apa-apa sahaja, Dia tidak tertakluk dengan apa-apa. Kalau Allah ﷻ hendak mengeluarkan ahli syurga dari syurga pun, kita tidak boleh cakap apa. Itu adalah haq Allah ﷻ. Namun begitu tidaklah Allah ﷻ akan mengeluarkan penghuni syurga dari syurga itu. Maka mereka yang kekal dalam syurga itu hanyalah kerana kehendak Allah ﷻ sahaja, bukannya Allah ﷻ wajib beri.
Tafsir lain mengatakan Allah ﷻ tidak keluarkan mereka, tetapi Allah ﷻ tinggikan tingkatan mereka di dalam syurga. Keluarkan mereka dari syurga yang asal dan dinaikkan ke syurga yang lebih tinggi, dengan nikmat yang lebih hebat.
Ayat ini mengingatkan tentang kuasa Allah ﷻ dan kehendak Allah ﷻ. Apa-apa sahaja yang kita buat, mesti ingat Allah ﷻ. Ia tidak akan berjaya tanpa kehendak Allah ﷻ. Maka ini mengajar kita untuk bergantung sentiasa kepada Allah ﷻ. Ini menyedarkan yang kita ini hanyalah hamba sahaja, bukan bernilai apa sangat pun. Sedarlah kita dengan hakikat ini.
عَطاءً غَيرَ مَجذوذٍ
sebagai kurnia yang tiada putus-putusnya.
Nikmat itu tidak akan putus-putus sampai bila-bila. Ini seperti Allah ﷻ sebut dalam Teen: 6
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنُونٍ
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.
Itulah nikmat hebat yang akan didapati dalam syurga nanti. Nikmat dalam syurga akan berterusan dan malah, akan bertambah-tambah. Ini adalah kerana kalau dapat nikmat sehebat mana sekalipun, tetapi kalau sama sahaja, lama-lama akan bosan juga.
Sebagai contoh, kalau kita jumpa makanan yang sedap, seminggu dua bolehlah makan makanan yang sama. Namun jikalau sudah dua minggu makan makanan yang sama sahaja, sebagai manusia tentu kita akan berasa bosan juga, bukan? Maka Allah ﷻ akan tambah nikmat-nikmat dalam syurga itu supaya kita tidak bosan sampai bila-bila. Nanti ahli syurga itu sibuk dengan memuaskan nafsu sahaja seperti disebut dalam Yaasin:55
إِنَّ أَصحٰبَ الجَنَّةِ اليَومَ في شُغُلٍ فٰكِهونَ
Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).
IKUT TANPA PERIKSA
Hud Ayat 109: Ayat zajrun.
فَلا تَكُ في مِريَةٍ مِّمّا يَعبُدُ هٰؤُلاءِ ۚ ما يَعبُدونَ إِلّا كَما يَعبُدُ ءآباؤُهُم مِّن قَبلُ ۚ وَإِنّا لَمُوَفّوهُم نَصيبَهُم غَيرَ مَنقوصٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So do not be in doubt, [O Muḥammad], as to what these [polytheists] are worshipping. They worship not except as their fathers worshipped before. And indeed, We will give them their share undiminished.
(MALAY)
Maka janganlah kamu berada dalam keragu-raguan tentang apa yang disembah oleh mereka. Mereka tidak menyembah melainkan sebagaimana nenek moyang mereka menyembah dahulu. Dan sesungguhnya Kami pasti akan menyempurnakan dengan secukup-cukupnya pembalasan (terhadap) mereka dengan tidak dikurangi sedikit pun.
فَلا تَكُ في مِريَةٍ مِّمّا يَعبُدُ هٰؤُلاءِ
Maka janganlah kamu berada dalam keragu-raguan tentang apa yang disembah oleh mereka.
Kamu tidak perlu ragu-ragu dengan apa yang mereka puja itu kerana apa yang mereka puja itu adalah bathil. Jangan terpedaya dan jangan terpesona dengan amalan syirik mereka. Jangan ragu-ragu tentang kerosakan agama mereka. Jangan ada sangkaan langsung yang entah-entah apa yang mereka itu benar.
Juga jangan kita terikut-ikut dengan puak yang mengamalkan amalan syirik. Kena belajar mana yang salah dan mana yang benar. Kalau pengetahuan agama kurang, maka kenalah belajar supaya jangan tertipu.
Bunyi ayat ini ditujukan kepada Rasulullah ﷺ seolah-olah hendak menegur Rasulullah ﷺ yang tidak yakin dengan amalan salah kaumnya itu. Padahal kita pun tahu yang Rasulullah ﷺ tidak pernah melakukan syirik dan tidak pernah mengikut amalan khurafat kaumnya walaupun baginda belum dilantik menjadi Nabi. Maksud ayat ini sebenarnya bukan menegur Nabi ﷺ, tetapi menyuruh Nabi ﷺ terus ‘istiqamah’ di dalam fahaman baginda yang sudah tahu dan yakin bahawa amalan kaumnya itu salah.
Tafsir yang kedua adalah ayat ini bukan ditujukan kepada baginda tetapi untuk disampaikan kepada umat baginda kerana umat baginda ada yang ragu-ragu tentang fahaman syirik. Kalau kita lihat masyarakat Islam kita pun begitu juga yang samar-samar tentang yang mana tauhid dan yang mana yang syirik. Sampaikan ada yang berasa tidak bersalah meminta tolong kepada orang yang mati di dalam kubur, malah lebih teruk lagi yang mengatakan tidak salah jika meminta kepada pokok! Mereka kata kononnya tidak salah asalkan dalam hati yakin bahawa pokok itu tidak boleh tolong apa-apa, semuanya daripada Allah ﷻ.
Inilah sejenis fahaman pusing apa pun kita tidak tahu. Letak di manakah otak itu wahai ustaz?! Begitulah nasib masyarakat kita yang mendapat ustaz yang keliru, kemudian mengelirukan pula masyarakat. Masyarakat pula memang sudah jahil, ikut sahaja apa yang ustaz kata.
ما يَعبُدونَ إِلّا كَما يَعبُدُ ءآباؤُهُم مِّن قَبلُ
Mereka tidak menyembah melainkan sebagaimana nenek moyang mereka menyembah dahulu.
Ketahuilah yang mereka mengikut puja sebagaimana tok nenek mereka dahulu juga. Amalan mereka itu tidak ada dalil dan tok nenek mereka pun tidak ada dalil. Mereka cuma ikut-ikut sahaja. Mereka sangka, apabila tok nenek mereka sudah lama amalkan sesuatu amalan itu, tentulah amalan itu benar. Namun tidak sebenarnya. Kita kena perhati dengan berhati-hati dan bandingkan dengan dalil yang ada. Segala amalan kita hendaklah ada dalil daripada amalan Nabi ﷺ.
Memang manusia suka untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, tetapi kalau dalam bab agama, memang suka sahaja menggunakan apa yang telah lama ada. Kerana itulah kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah يَعبُدونَ iaitu di dalam fi’il mudhari’ (present and continuous tense) yang memberi isyarat ia masih dilakukan sampai sekarnag.
Ini adalah sepertimana golongan kita lah juga, kalau bab agama, sentiasa sahaja menggunakan apa yang telah lama diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka mengikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar atau tidak. Amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek begini. Maka kita kena terus sampaikan ilmu.
Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Sebagaimana kita hormat apa yang dilakukan oleh bapa kita jugalah. Berat hati kita untuk mengatakan bapa kita salah, bukan? Bagaimana salah sekalipun, dia tetap bapa kita.
Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agama juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada saki baki lagi amalan-amalan lain di dalam masyarakat kita.
Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat kerana,
-
- Sudah lama diamalkan maka kenapa hendak tukar?
- Tok nenek yang kita hormat yang amalkan
- Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
- Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini
Al-Qur’an menegur hujah bathil mereka ini seperti disebut dalam Baqarah: 170
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.
Hujah mereka ini dijawab oleh Allah ﷻ di dalam sambungan ayat itu. Kalau amalan itu memang ada hujah dan dalil, maka bolehlah diteruskan, namun sekiranya ia dilakukan tanpa apa-apa sandaran agama, maka kenapa diteruskan? Takkan masih hendak menurut sahaja amalan orang yang tidak berilmu hanya kerana semata-mata mereka itu tok nenek kita?
أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?
Oleh itu orang yang berilmu dan menggunakan otak dan telah belajar agama kenalah berani untuk meninggalkan amalan-amalan salah walaupun ia telah lama diamalkan. Kita tidak perlu untuk menjaga tradisi golongan yang sebelum kita jikalau ia menyelisihi wahyu.
Kalau amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat tidak ditegur, maka ia akan menjadi semakin teruk dan lama kelamaan akan dianggap sebagai agama dan baik. Sebab itulah amalan tok nenek itu dianggap sebagai baik kerana tidak pernah ditegur oleh ahli agama yang sepatutnya tahu. Begitu jugalah kita terpaksa menegur amalan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana jikalau kita tidak tegur, entah apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita. Kalaulah kita dapat hidup 50 tahun lagi dan lihat amalan masyarakat ketika itu, kita pun tidak tahu masyarakat kita itu beragama apa agaknya kerana amalan sudah menjadi terlalu pelik.
Jangan kita menjadi orang yang hanya menerima sahaja apa-apa yang disampaikan kepada kita. Ini kerana Allah ﷻ telah anugerahkan kita pancaindera untuk mendapat ilmu dan minda untuk menilai mana yang benar dan mana yang tidak. Allah ﷻ memuji orang yang bijak berakal sempurna dan waras di dalam Zumar: 18
الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna (waras).
Lihatlah ayat ini. Kita hanya dianggap berakal sempurna dan waras sekiranya kita mahu berfikir dan menggunakan akal yang baik dikurniakan Allah ﷻ ini untuk menilai dan memilih ajaran yang terbaik. Jika hanya menurut sahaja dan malas berfikir tentang ajaran yang sampai kepada kita maka kita dianggap sebagai yang tidak berakal sempurna dan waras!
Kita boleh sahaja mendengar hujah yang disampaikan oleh orang lain, namun mestilah menggunakan akal yang waras ini untuk menilainya supaya kita hanya mengikut yang أَحسَنَهُ (yang terbaik). Lalu apakah pula أَحسَنَهُ itu? Ia disebut dalam Zumar: 23 pula,
اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang
Maknanya, أَحسَنَ yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an. Oleh itu kita kena bandingkan apa-apa sahaja yang disampaikan kepada kita dengan neraca Al-Qur’an. Cuma malangnya ramai yang tidak mahir dengan tafsir Al-Qur’an maka kerana itu senang sekali mereka ditipu.
وَإِنّا لَمُوَفّوهُم نَصيبَهُم غَيرَ مَنقوصٍ
Dan sesungguhnya Kami pasti akan menyempurnakan dengan secukup-cukupnya bahagian (terhadap) mereka dengan tidak dikurangi sedikit pun.
Allah ﷻ berjanji akan membalas mereka dengan azab di atas segala perbuatan salah mereka itu. Bukan itu saja, mereka akan dibalas dengan cukup, غَيرَ مَنقوصٍ – tidak kurang walau sedikit pun.
Oleh itu, janganlah kita menjadi seperti mereka. Jangan kita membuat perkara yang sia-sia dalam kehidupan kita di dunia ini. Jangan kita ikut-ikut sahaja amalan orang lain. Kita kena belajar agama sampai kita faham. Bukan susah pun untuk belajar. Berdoalah sentiasa agar diberikan kefahaman dalam agama.
Sekian Ruku’ 9 daripada 10 ruku’ surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 September 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
