Yunus Ayat 100: Ini adalah ayat tentang ketentuan daripada Allah ﷻ (qadar).
وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تُؤمِنَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَيَجعَلُ الرِّجسَ عَلَى الَّذينَ لا يَعقِلونَ
And it is not for a soul to believe except by permission of Allah , and He will place defilement upon those who will not use reason.
Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah; dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).
وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تُؤمِنَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ
Dan tiadalah seseorang itu boleh beriman melainkan dengan izin Allah
Ramai manusia yang beriman, tetapi bolehkah seseorang itu beriman dengan sendirinya? Daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa hendak beriman pun sudah kena dapat izin daripada Allah ﷻ. Maknanya di dalam taqdir Allah ﷻ, iaitu setelah Allah ﷻ berikan pilihan kepada mereka untuk ikhtiar mencari hidayah. Jikalau Allah ﷻ tidak izinkan, tidak ada peluang bagi seorang manusia itu untuk beriman. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan:30
وَما تَشاءونَ إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ
Dan kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), kecuali bila dikehendaki Allah.
Sebab itulah ada orang yang lahir dalam Islam namun mati dalam kufur. Ada juga yang lahir dalam keluarga yang kafir, tetapi dia alhamdulillah mati dalam Islam. Oleh itu jikalau kita alhamdulillah seorang yang beriman, jangan kita sangka bahawa kita beriman kerana usaha kita dan kerana kebaikan atau kelebihan kita, tetapi ingatlah bahawa kita beriman kerana Allah ﷻ yang izinkan kita beriman. Maka, hendaklah kita sebagai orang beriman sentiasa bersyukur kepada Allah ﷻ banyak-banyak dengan nikmat iman yang telah Dia kurniakan ini.
Walaupun sudah beriman kita masih lagi kena terus meminta Allah beri iman ﷻ kepada kita. Sebab itulah setiap hari kita berdoa dalam Fatihah solat kita minta diberikan hidayah. Semoga Allah ﷻ izinkan kita untuk mati di dalam iman. Tanda seseorang itu beriman, dia mudah sahaja untuk menjalankan perintah agama. Sebagai contoh, ringan sahaja mengerjakan solat. Akan tetapi jikalau liat sahaja, itu ada masalah. Kena belajar lagi untuk meningkatkan iman kerana iman boleh ditingkatkan dengan ilmu.
Jangan pula ada yang salah faham ayat ini dengan kata mereka yang tidak beriman itu kerana Allah ﷻ tidak beri izin. Kononnya Allah ﷻ telah tentukan yang memang dia tidak akan beriman. Ini tidak benar kerana Allah ﷻ sudah beri peluang untuk kita memilih sama ada mahu beriman atau tidak. Allah ﷻ telah sebut di dalam Kahf: 29 tentang hal ini:
فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya
Maknanya kita ada pilihan sendiri untuk beriman atau tidak. Jikalau tidak beriman, jangan pula salahkan Allah ﷻ dan orang lain kerana kamu sendiri yang pilih jalan itu. Kalau kamu mahu beriman, sudah tentu Allah ﷻ akan beri izin. Malah kalau ada keinginan untuk menerima kebenaran (inabah) maka Allah ﷻ akan tarik orang itu ke arah kebenaran.
Selalu kita tanya orang yang baru belajar tafsir Al-Qur’an begini: “pernah tak sebelum ini tidak lama dahulu awak berdoa kepada Allah untuk tunjuk kebenaran?” Mereka pasti akan jawab benar mereka ada berdoa begitu. Dan oleh kerana doa mereka itu, maka Allah tarik mereka ke kelas tafsir Al-Qur’an untuk memahami wahyuNya. Maka hidayah itu bermula dengan keinginan sendiri.
وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ
dan Allah menjadikan kekotoran ke atas orang-orang yang tidak mahu menggunakan akalnya.
Kalimah الرِّجْسَ bermaksud ‘kekotoran’. Kekotoran dalam ayat ini bermaksud ‘kekotoran kekufuran’. Bukanlah kekotoran fizikal tetapi najis syirik. Ia diibaratkan sebagai najis kerana ia terlalu buruk. Orang yang tidak berakal adalah orang yang tidak menggunakan akalnya untuk melihat ayat-ayat Allah ﷻ.
Mungkin ada yang menyalahkan Allah ﷻ apabila seseorang itu tidak beriman. Berdasarkan kepada potongan ayat di atas, mereka mungkin berhujah yang seseorang itu tidak beriman kerana Allah ﷻ yang tidak mengizinkan. Nauzu billah min zaalik! Jangan kita salah anggap kepada Allah ﷻ sampai begitu sekali.
Namun di dalam potongan ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa mereka yang tidak beriman itu adalah kerana mereka sendiri yang tidak menggunakan akal fikiran mereka. Walaupun mereka telah diberi dengan berbagai hujah dan dalil, tetapi mereka masih tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memikirkannya. Mereka buat tidak tahu sahaja. Kepada mereka yang seperti itulah yang Allah ﷻ tidak beri izin kepada mereka untuk beriman.
Kita akan dipertanggungjawabkan dengan pilihan kita kerana Allah ﷻ telah memberikan akal dan pancaindera kepada kita untuk melihat dan memahami tanda-tanda-Nya. Jika tidak gunakan, maka itu adalah salah kita sendiri malah lebih dahsyat lagi Allah ﷻ anggap kita ini adalah lebih sesat daripada binatang ternak seperti firman-Nya dalam A’raf:179
وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
Oleh itu dari keseluruhan ayat ini, kita boleh tahu bahawa ada dua faktor untuk membolehkan seseorang itu untuk beriman:
Faktor 1: Keinginan seorang manusia itu sendiri untuk beriman, dan
Faktor 2: Izin Allah ﷻ
Hanya apabila ada kedua-dua faktor ini barulah seseorang itu boleh beriman.
AJAKAN UNTUK BERFIKIR
Yunus Ayat 101: Ayat Zajrun (teguran) daripada Allah ﷻ kerana kedegilan mereka yang kufur. Dalam ayat sebelum ini, kita diberitahu bahawa kita perlu menggunakan akal untuk beriman. Maka dalam ayat ini, Allah ﷻ mengajar kita bagaimana menggunakan akal kita.
قُلِ انظُروا ماذا فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَما تُغنِي الآيٰتُ وَالنُّذُرُ عَن قَومٍ لّا يُؤمِنونَ
Say, “Observe what is in the heavens and earth.” But of no avail will be signs or warners to a people who do not believe
Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.
قُلِ انظُرُوا مَاذَا فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan apa yang ada di langit dan di bumi
Apabila Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ katakan, itu bermaksud apa yang hendak disampaikan itu adalah perkara yang penting. Allah ﷻ suruh lihatlah keindahan alam ini dan bagaimana alam ini bergerak kerana taat kepada perintah Allah ﷻ. Dengan hanya memerhatikan alam ini akan dapat meningkatkan rasa takjub kita kepada Allah ﷻ dan sekaligus akan dapat meningkatkan iman kita.
Melalui akal kita sepatutnya berfikir: Alam sebegini besar, tentunya ada yang menjadikannya dan menguruskannya. Oleh itu sekiranya ada manusia yang meminta bukti kewujudan Allah ﷻ, maka suruh mereka perhatikan alam yang amat hebat ini. Melihat alam ini dan memikirkan tentangnya adalah wajib kerana Allah ﷻ suruh kita melakukannya. Antaranya disebut dalam Mulk: 3-4
الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
ثُمَّ ارجِعِ البَصَرَ كَرَّتَينِ يَنقَلِب إِلَيكَ البَصَرُ خاسِئًا وَهُوَ حَسيرٌ
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan balik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang dia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).
Sememangnya hobi masyarakat Arab pada zaman itu adalah melihat langit. Mereka tidak ada TV seperti kita maka masa malam mereka akan duduk di bumbung rumah mereka (bukan bumbung macam kita) sambil melihat langit dan bintang. Kali ini Allah ﷻ tambah dengan suruh mereka fikirkan siapa yang menjadikannya? Kerana mustahil semuanya terjadi dan bergerak sendiri. Lihatlah juga bagaimana sempurnanya alam ini. Kalau makhluk pun sudah sempurna, apatah lagi Dzat yang menjadikannya, bukan?
Kemudian lihatlah juga keindahan bumi dan segala kehebatan padanya. Tidak habis para pengkaji mengkaji kehebatan bumi ini dan segala isinya. Semua ini mesti disusun oleh satu entiti yang maha hebat, bukan? Itulah Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menjadikan semua yang ada pada alam ini dan ia berjalan dan berfungsi dengan baik dan teratur. Semuanya teratur kerana alam ini taat kepada perintah Allah ﷻ. Maka ini pula mengajar kita satu perkara lagi: sekiranya alam yang sebegini besar pun taat kepada Allah ﷻ, kenapa kita tidak buat begitu juga?
Apabila kita memerhatikan alam ini, kita akan dapati yang semuanya ada tujuan. Sama ada kita tahu atau tidak sahaja kerana kajian moden kadangkala belum sampai kepada pemahaman tentang alam ini. Apabila kita banyak mengkaji, banyak maklumat yang kita akan dapat dan kita tahu yang semua yang Allah ﷻ jadikan ini bersebab seperti disebut dalam Ali Imran:191
وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا
dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,
Allah ﷻ berfirman lagi di dalam Luqman:10
خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.
Begitulah yang diajar oleh Luqman kepada anaknya. Beliau ajar tentang Allah ﷻ supaya anaknya kenal Allah ﷻ. Selepas itu barulah beliau suruh anaknya berfikir tentang selain Allah ﷻ yang disembah,
هٰذا خَلقُ اللهِ فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ ۚ بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.
Beginilah sepatutnya kita ajar anak-anak kita supaya menggunakan akal fikiran. Jangan lah hanya beri mereka tonton Cocomelon sahaja. Bagi akal itu berfungsi sedikit. Jangan fikir untuk beri mereka makan dan minum sahaja tetapi berikan mereka sesuatu untuk mereka fikirkan tentang agama dan Allah ﷻ.
Kita sendiripun patut fikir: Jikalau alam ini Allah ﷻ jadikan ada sebab, takkan aku yang Allah ﷻ jadikan lebih hebat daripada alam ini tidak bersebab? Takkan aku hanya hidup untuk makan, minum, berak, bekerja, pergi sekolah, berkeluarga dan kemudian mati begitu sahaja? Tentu ada sebab Allah ﷻ jadikan aku sebegini punya hebat, bukan?
وَمَا تُغْنِي الْآيٰتُ وَالنُّذُرُ
tidak akan memberi faedah segala tanda dan bukti, dan segala peringatan
Seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, mereka yang tidak beriman itu adalah kerana tidak menggunakan akal mereka. Walau begitu banyak tanda dalam alam ini, mereka yang tidak beriman masih juga tidak nampak tanda-tanda itu. Mungkin mereka kata, apalah sangat dengan langit dan bumi itu? Dari kecil lagi mereka sudah nampak langit dan bumi.
Mereka ini sudah terkeliru. Mereka hanya mahukan perkara yang ajaib, yang pelik sahaja. Sebab itu kalau ada guru sesat tunjuk sedikit magis sahaja mereka sudah percaya dan ikut orang itu seperti yang telah terjadi dengan Ayah Pin itu. Mereka tidak nampak sebenarnya alam ini pun hebat sebenarnya. Salah faham mereka ini sama seperti pemahaman Yahudi tentang Pemuda Kahfi seperti disebut dalam Kahf:9
أَم حَسِبتَ أَنَّ أَصحٰبَ الكَهفِ وَالرَّقيمِ كانوا مِن ءآيٰتِنا عَجَبًا
Adakah engkau menyangka, bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
Apa mereka sangka para Pemuda Kahf yang ditidurkan selama 300 tahun itu sudah paling hebat? Bagaimana pula dengan langit dan bumi yang telah berfungsi entah berapa bilion tahun ini? Apa sangat 300 tahun kalau dibandingkan dengan alam ini yang berbilion tahun?
عَن قَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ
kepada orang-orang yang tidak beriman.
Mereka nampak tanda dalam alam itu, mereka nampak dan baca ayat-ayat Al-Quran yang tepat dan indah, tetapi mereka masih juga tidak mahu beriman. Pancaindera mereka sudah tidak memberi faedah lagi kepada mereka seperti disebut dalam Kahf:57
إِنّا جَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي ءآذانِهِم وَقرًا ۖ وَإِن تَدعُهُم إِلَى الهُدىٰ فَلَن يَهتَدوا إِذًا أَبَدًا
Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
Mereka tidak beriman kerana mereka sendiri yang tidak mahu beriman. Ini adalah kerana mereka telah menutup pintu hati dan akal minda mereka daripada memikirkan tentang kebenaran. Mereka hanya fikir perut mereka sahaja dan bagaimana memenuhkannya. Maka adakah salah kalau Allah ﷻ memasukkan orang-orang yang sebegini ke dalam neraka? Tentu tidak!
Yunus Ayat 102: Takhwif Duniawi. Ayat ini tentang mereka yang melengah-lengahkan diri untuk beriman. Termasuklah mereka yang tak datang-datang belajar agama, terutama sekali tafsir Al-Qur’an. Mereka jenis orang yang leka dengan kehidupan dunia mereka. Mereka lengah-lengah untuk datang ke kelas pengajian dan kerana itu mereka terus jahil dalam agama.
فَهَل يَنتَظِرونَ إِلّا مِثلَ أَيّامِ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِهِم ۚ قُل فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِّنَ المُنتَظِرينَ
So do they wait except for like [what occurred in] the days of those who passed on before them? Say, “Then wait; indeed, I am with you among those who wait.”
Maka orang-orang yang tersebut tidak menunggu melainkan (azab Allah) sebagaimana kejadian-kejadian yang berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tunggulah, sesungguhnya aku juga bersama-sama kamu dari orang-orang yang menunggu”.
فَهَلْ يَنتَظِرُونَ
Apakah mereka tunggu,
Tidaklah mereka itu menunggu-nunggu untuk beriman melainkan mereka menunggu-nunggu sesuatu. Apakah yang mereka tunggu itu? Apa yang mereka tunggu itu akan disebut dalam potongan ayat selepas ini.
Ayat ini juga boleh merujuk kepada mereka menunggu-nunggu untuk belajar. Apabila diajak belajar tafsir, ada sahaja alasan yang mereka akan berikan. Antaranya: ‘Nak belajar bahasa Arab dululah, nak belajar feqah dululah, nak tunggu anak besar sikitlah, nak tunggu projek siap dululah…’ malah berbagai-bagai lagi.
Mereka sangka mereka ada banyak masa untuk hidup. Padahal, tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah kita akan meninggalkan dunia ini untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Apakah alasan kita nanti apabila Allah ﷻ tanya kenapa tidak belajar dan memahami kitab-Nya Al-Qur’an?
Termasuk juga dalam hal ini, mereka yang menunggu-nunggu untuk bertaubat. Mereka bagaikan tidak kisah menanggung dosa. Mereka mungkin menunggu sampai dosa mereka sudah banyak agaknya baru hendak meminta ampun sekali harung. Sekali lagi, tidak ada sesiapa yang tahu bilakah kita akan mati. Maka, jangan tunggu-tunggu untuk melakukan perkara yang baik.
إِلَّا مِثْلَ أَيَّامِ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِهِمْ
melainkan sebagaimana kejadian-kejadian (azab Allah) yang berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka.
Mereka menunggu bala diturunkan kepada mereka sama seperti yang diberikan kepada kaum-kaum yang sebelum ini. Bila sudah nampak bala itu baru mereka hendak beriman agaknya. Akan tetapi seperti yang kita telah sebut, waktu itu sudah terlambat.
Adakah apabila azab yang dijanjikan kepada mereka itu sudah benar-benar berada di depan mata mereka, baru mereka hendak beriman? Kalau azab itu sudah datang, maka tentunya mereka akan beriman bersungguh-sungguh waktu itu. Malangnya, iman mereka di waktu itu sudah tidak diterima lagi. Seperti yang telah disebut tentang iman Firaun yang hanya beriman apabila dia hampir mati. Kalau iman Firaun tidak diterima, tentulah iman mereka juga tidak akan diterima.
قُلْ فَانتَظِرُوا
Katakanlah: “Tunggulah,
Mereka jenis ini sudah tidak perlu dibahaskan lagi dengan mereka. Mereka itu jenis jahil murakkab (jahil tetapi tidak sedar yang mereka itu jahil). Maka Allah ﷻ suruh katakan kepada mereka, kalau kamu hendak tunggu juga sampai datang azab itu, maka kau tunggulah.
إِنِّي مَعَكُم مِّنَ الْمُنتَظِرِينَ
sesungguhnya aku juga bersama-sama kamu daripada orang-orang yang menunggu”.
Aku pun menunggu juga untuk melihat apakah balasan nasib diriku dan juga apa yang akan terjadi kepada kamu.
Ayat ini mengajar kita untuk jangan menunggu-nunggu lagi. Berimanlah dengan segera, bertaubatlah dengan segera, dan belajarlah agama dan tafsir Al-Qur’an ini dengan kadar segera. Jangan buang masa dengan orang-orang yang degil. Sebab kalau buang masa dengan mereka, kita pula yang akan tertinggal daripada melakukan ibadah dan mengamalkan agama.
Yunus Ayat 103: Kalau azab itu diturunkan, apakah yang akan terjadi kepada orang-orang beriman?
ثُمَّ نُنَجّي رُسُلَنا وَالَّذينَ ءآمَنوا ۚ كَذٰلِكَ حَقًّا عَلَينا نُنجِ المُؤمِنينَ
Then We will save our messengers and those who have believed. Thus, it is an obligation upon Us that We save the believers
Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman (yang menurutmu).
ثُمَّ نُنَجِّي رُسُلَنَا
Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami
Jikalau azab yang mereka tunggu itu benar-benar terjadi, maka Allah ﷻ akan menyelamatkan para Rasul dan penyebar tauhid. Orang-orang yang tidak beriman kepada Allah ﷻ dan mengamalkan syirik sahaja yang akan dikenakan dengan azab dan bala itu. Dalam banyak kisah-kisah tentang azab yang dikenakan kepada mana-mana kaum, kita juga diberitahu yang para malaikat telah datang kepada mereka untuk memberitahu masa untuk keluar dari tempat yang akan dikenakan azab itu.
وَالَّذِينَ ءآمَنُوا
dan orang-orang yang beriman.
Apabila bala diturunkan kepada sesuatu kaum, Allah ﷻ akan menyelamatkan Rasul dan juga orang-orang yang beriman bersama mereka. Maka, hendaklah kita beriman supaya kita pun terselamat juga. Ini mengajar kita yang hanya imanlah yang akan menyelamatkan kita.
Akan tetapi timbul persoalan: Bukankah ada Nabi dibunuh, dan orang yang beriman diseksa dan dibunuh? Bagaimana pula dikatakan mereka itu diselamatkan?
Kena faham yang Allah ﷻ selamatkan adalah iman mereka, bukannya tubuh mereka. Ada Nabi dibunuh, ada para sahabat dibunuh, Asiah isteri Firaun dibunuh, tukang sikat anaknya dibunuh, Ashabul Ukhdud pun dibunuh malah banyak lagi. Namun begitu dalam semua kes itu, iman mereka kekal selamat. Apakah yang lebih penting, tubuh atau iman? Tubuh digunakan di dunia sahaja tetapi iman itu sampai ke akhirat.
كَذٰلِكَ حَقًّا عَلَينا نُنجِ المُؤمِنينَ
Demikianlah, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman.
Allah ﷻ telah mewajibkan ke atas Diri-Nya untuk menyelamatkan orang-orang mukmin. Inilah yang dinamakan ‘kewajipan kurniaan’. Allah ﷻ tidak wajib sebenarnya tetapi Allah ﷻ sendiri yang mewajibkan ke atas Diri-Nya.
Maka di sini Allah ﷻ memberitahu yang Dia akan menolong mereka yang menolong agama Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak akan melupakan mereka. Ayat ini memberi harapan kepada kita, jikalau Allah ﷻ benar-benar menurunkan azab kepada masyarakat yang bersama dengan kita, iman kita akan selamat. Tubuh kita mungkin tidak selamat kerana azab itu turun secara menyeluruh, tetapi yang penting Allah ﷻ akan selamatkan iman kita.
Balaghah: hazf ya mahzoofah. Apabila dibuang huruf ya’ asli daripada kalimah. Ia membawa maksud berterusan.
Lihat kalimah نُنَجِّي yang pertama dalam ayat dan kalimah نُنجِ yang kedua. Kalimah نُنَجِّي ada ya’ iaitu yang asli (zikru) seperti asalnya. Ini adalah kalimah yang dalam penggunaan yang biasa. Namun pada kalimah نُنجِ, telah dihazfkan ya’nya. Apakah maksudnya?
Kekal ya’ dalam kalimah نُنَجِّي kerana ‘selamat’ ini semasa Allah ﷻ binasakan umat yang mendustakan utusan. Allah ﷻ selamatkan orang-orang mukminin termasuk Rasul mereka. Maka kisah itu setakat itu sahaja dan kejadian itu habis tidak berterusan.
Sedangkan dalam kalimah نُنجِ, dan huruf ya’ itu dihilangkan, ia adalah tentang sifat Allah ﷻ yang menyelamatkan orang beriman. Sifat itu kekal sampai bila-bila dan bukan di dunia sahaja tetapi sampai ke akhirat kelak. Sifat Allah ﷻ yang sentiasa menyelamatkan orang beriman akan kekal.
Habis Ruku’ 10 dari 11 surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 1 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
