Tafsir Surah A’raf Ayat 197 – 200 (Adab dengan orang jahil)

A’raf Ayat 197: Pengulangan semula ayat berkenaan sia-sia meminta dan berharap kepada selain Allah ﷻ.

وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ لا يَستَطيعونَ نَصرَكُم وَلا أَنفُسَهُم يَنصُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those you call upon besides Him are unable to help you, nor can they help themselves.”

MALAY

Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.

 

 

وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ لا يَستَطيعونَ نَصرَكُم

Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, 

Ketahuilah, roh-roh yang kamu seru itu, sama ada Nabi, wali, malaikat atau jin, mereka tidak mampu pun menolong kamu pun. Sia-sia sahaja kalau kamu meletakkan pengharapan kepada mereka. Semuanya adalah ma’bud bathil sahaja, buang masa sahaja.

 

 

وَلا أَنفُسَهُم يَنصُرونَ

bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.

Bagaimana mungkin mereka boleh menolong kamu, sedangkan diri mereka sendiri pun mereka tidak boleh bantu. Banyak kali Allah ﷻ mengulang-ulang tentang perkara akidah ini kerana Al-Qur’an sedang bercakap kepada kaum yang degil (Musyrikin Mekah) yang tidak mahu mendengar kebenaran. Maka mereka kena diberitahu berkali-kali supaya masuk sikit ke dalam benak mereka itu.

Begitulah juga kepada orang kita pun, ramai yang masih tidak faham-faham tentang kesalahan syirik ini kerana mereka tidak mahir tentang tauhid. Terlalu banyak amalan mereka yang jelas-jelas syirik dan ada yang mungkin termasuk dalam syirik. Apabila kita ingatkan mereka, banyak betul hujah mereka untuk membenarkan juga amalan mereka itu. Mereka sanggup menggadaikan kedudukan mereka di akhirat kelak.


 

A’raf Ayat 198:

وَإِن تَدعوهُم إِلَى الهُدىٰ لا يَسمَعوا ۖ وَتَرىٰهُم يَنظُرونَ إِلَيكَ وَهُم لا يُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you invite them to guidance, they do not hear; and you see them looking at you while they do not see.

MALAY

Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.

 

 

وَإِن تَدعوهُم إِلَى الهُدىٰ لا يَسمَعوا

Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya;

Sekiranya manusia seru kepada sembahan-sembahan selain Allah ﷻ itu, minta kepada hidayat, mereka yang diseru itu tidak dapat mendengar pun. Maka ia adalah perbuatan sia-sia sahaja.

 

 

وَتَرىٰهُم يَنظُرونَ إِلَيكَ وَهُم لا يُبصِرونَ

dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.

Sekiranya patung itu ada diukir mata padanya, nampak seperti mereka melihat kita, namun pastinya patung itu tidak melihat pun kepada kita. Itu bukannya mata betul pun dan Musyrikin Mekah sendiri tahu akan perkara ini.

Allah ﷻ mahu membatalkan fahaman syirik yang berlaku dalam kalangan masyarakat Mekah yang menyeru selain Allah ﷻ untuk menyelesaikan masalah mereka. Allah ﷻ mahu beritahu yang perbuatan mereka itu sia-sia sahaja, kerana mereka tidak mendengar dan tidak melihat pun.

Begitulah juga kepada masyarakat kita yang masih tidak faham hal syirik ini dan kerana itu mereka menyeru Nabi, wali dan malaikat. Mereka yang diseru selain Allah ﷻ itu tidak mendengar pun seruan sekalian manusia itu. Maka sia-sia sahaja seruan itu.

Antara akidah sesat orang Muslim yang mengaku Muslim adalah seperti Brelvi yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ Hadhir dan Nadhir (Hadir dan Melihat). Kerana itu mereka puja Rasulullah ﷺ dengan berbagai-bagai amalan sesat. Sedangkan Rasulullah ﷺ sudah wafat dan sekarang di alam barzakh dan tidak dapat melihat kita. Urusan kita dan baginda hanya Selawat sahaja. Maka janganlah kita reka fahaman-fahaman baru antara kita dan baginda. Tidak perlu untuk sedekah Fatihah kepada baginda. Namun fahaman Brelvi dan tariqat sesat mengatakan kalau kita Selawat, Nabi datang pula ke majlis kita. Malah mereka yakin Nabi ﷺ boleh membantu mereka, seolah-olah baginda khadam mereka pula.


 

RAHMAT DAN TOLERANSI

A’raf Ayat 199: Apakah tindakan kita kepada mereka yang degil ini? Tindakan kita hendaklah dengan akhlak yang mulia.

خُذِ العَفوَ وَأمُر بِالعُرفِ وَأَعرِض عَنِ الجٰهِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take what is given freely,¹ enjoin what is good, and turn away from the ignorant.

  • From the dispositions of men or from their wealth. In other words, be easy in dealing with them and avoid causing them difficulty.

MALAY

Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

 

 

خُذِ العَفوَ

Jadilah engkau pemaaf,

Berpeganglah dengan kemaafan. Seandainya mereka masih degil juga tidak mahu berpegang kepada tauhid, setelah banyak kali kita ingatkan mereka, maka biarkanlah sahaja mereka. Ini kerana tidak ada paksaan dalam agama. Kita hanya boleh sampaikan sahaja.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ memerintahkan Nabi ﷺ agar bersifat pemaaf dan berlapang dada dalam menghadapi orang-orang musyrik selama sepuluh tahun (surah ini diturunkan di hujung-hujung masa baginda di Mekah sebelum hijrah). Kemudian Nabi ﷺ diperintahkan untuk bersikap kasar terhadap mereka (apabila arahan berperang nanti setelah Muslim kuat di Madinah nanti). Pendapat inilah yang dipilih oleh Ibnu Jarir. Ini dikuatkan dengan sebuah hadith,

 

عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ الزُّبَيْرِ فِي قَوْلِهِ { خُذْ الْعَفْوَ } قَالَ أُمِرَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَأْخُذَ الْعَفْوَ مِنْ أَخْلَاقِ النَّاسِ

Daripada Hisyam bin Urwah daripada Bapanya daripada Abdullah -maksudnya Abdullah bin Az Zubair- tentang firman Allah: ‘(dan berikanlah maaf) ‘ – Al A’raf: 177-, dia berkata, “Nabi diperintahkan untuk selalu memberi maaf kepada manusia dengan berbagai macam akhlaknya.”

(Sahih Bukhari (4155))

 

Akhlak ini telah terbukti sebagaimana ketika baginda menakluk Mekah, baginda memaafkan hampir keseluruhan penduduk Mekah yang tidak beriman dahulu dan telah menentang baginda. Kecuali beberapa daripada mereka yang tidak dimaafkan.

Ini adalah sunnah – kita belajar bagaimana Nabi Muhammad ﷺ begitu pemaaf dan lembut dalam dakwah baginda. Memang Allah ﷻ layak untuk murka kepada mereka yang mengamalkan syirik, tetapi kita kena ada berperasaan lemah lembut terhadap manusia. Ini kerana kita sedang berdakwah dan sikap yang lembut penting dalam dakwah. Manusia bukan mendengar apa yang kita cakap sahaja tetapi mereka juga melihat dan menilai sikap kita terhadap mereka. Kalau kita nampak bengis, mereka sudah mempunyai alasan untuk menolak dakwah kita pula.

Sekalipun hal ini merupakan perintah kepada Nabi-Nya, sesungguhnya hal ini juga merupakan pelajaran bagi makhluk-Nya untuk bersikap sabar dalam menghadapi gangguan orang-orang yang berbuat aniaya kepada mereka dan memusuhi mereka. Sebagaimana kita apabila berhadapan dengan puak yang ada fahaman dan amalan syirik bid’ah ini, pening kepala juga melayan kerenah mereka. Maka ambillah sikap ini, maafkanlah mereka. Walaupun mereka bersikap kasar terhadap kita.

Begitulah yang terjadi kepada Saidina Umar al-Khattab رضي الله عنه seperti disebut di dalam Sahih Bukhari apabila beliau diingatkan dengan ayat ini:

أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَدِمَ عُيَيْنَةُ بْنُ حِصْنِ بْنِ حُذَيْفَةَ فَنَزَلَ عَلَى ابْنِ أَخِيهِ الْحُرِّ بْنِ قَيْسٍ وَكَانَ مِنْ النَّفَرِ الَّذِينَ يُدْنِيهِمْ عُمَرُ وَكَانَ الْقُرَّاءُ أَصْحَابَ مَجَالِسِ عُمَرَ وَمُشَاوَرَتِهِ كُهُولًا كَانُوا أَوْ شُبَّانًا فَقَالَ عُيَيْنَةُ لِابْنِ أَخِيهِ يَا ابْنَ أَخِي هَلْ لَكَ وَجْهٌ عِنْدَ هَذَا الْأَمِيرِ فَاسْتَأْذِنْ لِي عَلَيْهِ قَالَ سَأَسْتَأْذِنُ لَكَ عَلَيْهِ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فَاسْتَأْذَنَ الْحُرُّ لِعُيَيْنَةَ فَأَذِنَ لَهُ عُمَرُ فَلَمَّا دَخَلَ عَلَيْهِ قَالَ هِيْ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ فَوَاللَّهِ مَا تُعْطِينَا الْجَزْلَ وَلَا تَحْكُمُ بَيْنَنَا بِالْعَدْلِ فَغَضِبَ عُمَرُ حَتَّى هَمَّ أَنْ يُوقِعَ بِهِ فَقَالَ لَهُ الْحُرُّ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَالَ لِنَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { خُذْ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنْ الْجَاهِلِينَ } وَإِنَّ هَذَا مِنْ الْجَاهِلِينَ وَاللَّهِ مَا جَاوَزَهَا عُمَرُ حِينَ تَلَاهَا عَلَيْهِ وَكَانَ وَقَّافًا عِنْدَ كِتَابِ اللَّهِ

Daripada Ibnu ‘Abbas رضی اللہ عنھما berkata; Uyainah bin Hishan bin Hudzafah datang, lalu singgah di rumah anak saudaranya iaitu Al Hurr bin Qais. Beliau adalah salah seorang yang dekat dengan Umar رضي الله عنه, salah seorang Qari di Majlis Umar dan dewan syuranya. Baik ketika dia masih muda mahupun sudah tua. Uyainah berkata kepada anak saudaranya; Wahai anak saudaraku, apakah kamu ada hubungan dengan Amirul Mukminin, izinkanlah aku menemuinya. Al Hurr berkata; Aku akan memintakan izin untukmu. Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما berkata; Maka Al Hurr meminta izin untuk Uyainah agar dapat menemui Umar رضي الله عنه, Umar رضي الله عنه pun mengizinkannya. Tatkala beliau masuk, beliau berkata; Wahai Ibnul Khatthab, demi Allah, anda tidak memenuhi hak kami, dan tidak bersikap adil kepada kami. Maka Umar رضي الله عنه pun marah, hampir saja beliau akan memukulnya. Lalu Al Hurr berkata kepadanya; Wahai Amirul Mukminin, Sesungguhnya Allah تَعَالَى berfirman kepada Nabi: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. Dan ini adalah orang-orang yang bodoh. Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما berkata; maka demi Allah, Umar رضي الله عنه pun tidak menyakitinya ketika ayat itu dibacakan kepadanya. Beliau berhenti ketika mendengar Kitabullah.

(Sahih Bukhari (4276))

 

Akan tetapi pengertiannya bukan bererti berpaling terus daripada orang-orang yang tidak mengerti perkara yang hak lagi wajib. Ini termasuk hak Allah ﷻ, tidak pula bersikap toleransi terhadap orang-orang yang ingkar kepada Allah ﷻ, tidak mengetahui keesaan-Nya, maka hal tersebut harus diperangi oleh kaum Muslim. Kita tetap harus terus berdakwah kepada mereka. Cuma kenalah pandai menilai bilakah masa berlembut dan bilakah pula kita kena berkeras. Ini memang payah hendak ditentukan maka mereka yang sedang berada dalam suasana itu yang perlu menilainya sendiri.

Oleh kerana kalimah عَفوَ mempunyai banyak maksud, maka ada lagi tafsiran lain bagi ayat ini. Salah satunya adalah ‘mudahkan’ iaitu jangan menekan sangat. Maksudnya Rasulullah ﷺ jangan memaksa para sahabat dan umat Islam melakukan sesuatu yang mereka tidak boleh capai. Ada orang boleh buat lebih, ada orang tahapnya rendah sahaja. Maka begitulah kita dengan kawan, keluarga atau anak-anak kita. Jangan paksa mereka.

 

 

وَأمُر بِالعُرفِ

dan suruhlah dengan perkara yang baik,

Teruslah berdakwah dengan memberitahu perkara yang betul tentang syariat kepada mereka. Kena jalankan amar makruf nahi mungkar berterusan. Tegur tetap kena tegur walaupun ramai tidak suka dengan teguran.

Perkara ‘makruf’ bermaksud perkara yang memang telah diketahui sebagai baik dan perkara itu disokong oleh syariat. Maka ia sudah jelas sebenarnya sampai sepatutnya tidak perlu dijelaskan sangat kerana manusia memang sudah tahu mana baik dan mana buruk sebenarnya. Cuma perlu diingatkan sahaja kerana manusia mudah lupa.

 

 

وَأَعرِض عَنِ الجٰهِلينَ

serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil

Jangan peduli terhadap sambutan dan balasan daripada orang yang jahil. Mereka yang menentang, pasti akan berkata dengan perkataan yang bodoh, kerana mereka tiada ilmu. Mereka yang tidak suka dengan dakwah kita, akan ada sahaja yang memaki, mencarut dan ada yang menuduh dengan pelbagai tuduhan.

Jangan dilayan kata-kata mereka, kerana kalau dilayan, lagilah mereka akan naik minyak kerana mereka sudah dapat ‘tangkap’ kita. Apabila kita tidak layan persoalan bodoh mereka, tentu mereka sendiri yang akan berasa ‘kepanasan’. Kalau kita sibuk melayan kebodohan mereka, kita sendiri terjerumus dalam kebodohan dan ini hanya membuang masa kita. Adalah lebih baik, kita layan mereka yang mahu mendengar dan ikhlas untuk mengetahui.

Oleh itu, tinggalkan sahaja mereka yang jahil itu tetapi dengan cara yang baik seperti disebut dalam Furqan:63

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.

Maknanya tidaklah kita membalas makian mereka, tetapi tinggalkan mereka dengan kata-kata yang baik, siap beri salam lagi kepada mereka.

Ayat ini mengajar kita menjaga muru’ah (maruah) kita sebagai penuntut ilmu. Jangan kita melakukan perkara yang menyebabkan nama kita buruk.

Pernah ditanyakan kepada Abu Muhammad Sufyan bin ‘Uyainah, “Engkau selalu ber-istinbath daripada Al-Qur’an untuk seluruh perkara, maka ayat mana yang menyebutkan perkara muru’ah di situ?” Maka beliau menjawab, “Iaitu dalam firman Allah, ‘berilah maaf. Perintahkan yang makruf. Dan berpalinglah daripada orang-orang jahil’ (A’raf ayat 199) maka di situ ada perkara muru’ah, adab yang baik serta akhlak yang mulia.”

Juga telah diriwayatkan,

وَقَالَ جَعْفَر الصَّادِق: لَيْسَ فِي الْقُرْآن آيَة أجمع لمكارم الْأَخْلَاق مِنْهَا

Dan telah berkata Ja’far as-Siddiq: tidaklah di dalam mana-mana ayat di dalam Al-Qur’an yang paling lengkap tentang kesempurnaan akhlaq selain daripadanya.

Jelas sekali ayat ini merangkumi akhlak kita terhadap semua manusia. Secara umumnya manusia terbahagi kepada dua, yang baik dan yang buruk. Kedua-dua kumpulan ini disentuh di dalam ayat ini. Allah ﷻ ajar kita untuk berakhlak baik kepada kedua-duanya:

1. Bagi golongan yang baik, maka kita jangan beratkan mereka. Jangan suruh mereka buat perkara yang mereka tidak mampu dan jangan kita periksa sangat apa yang mereka lakukan. Terima sahaja amalan mereka seadanya.

2. Kepada yang melakukan keburukan, ajaklah mereka dengan baik ke arah kebaikan dan perbuatan yang makruf. Ajarlah mereka dan jika mereka enggan dan mula membalas dengan kata-kata nista, maka jangan layan mereka dan berpisahlah daripada mereka. Jangan balas kata-kata buruk mereka dengan kata-kata buruk pula. Jangan dilawan api dengan api. Semoga dengan sikap kita yang lembut dan tentang ini menyebabkan mereka mendapat diberi hidayah oleh Allah ﷻ dan mengubah sikap mereka dan amalan mereka.


 

BISIKAN JAHAT

A’raf Ayat 200: Bagaimana sikap kita sekiranya ajakan amar makruf nahi mungkar kita dibalas dengan kata-kata buruk dan penolakan daripada manusia?

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطانِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللَّهِ ۚ إِنَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if an evil suggestion comes to you from Satan, then seek refuge in Allāh. Indeed, He is Hearing and Knowing.

MALAY

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

 

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطانِ نَزغٌ

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada Syaitan,

Kalimah نَزْغُن bermaksud apa-apa yang boleh menyebabkan kita menjadi marah. Dalam kita berdakwah kepada manusia, ada keadaan berlaku perkara yang mengganggu jiwa yang datang daripada bisikan syaitan. Kita sibuk berdakwah, namun ada juga yang mengganggu, mencaci kita, mengutuk kita, menghina kita dan sengaja bertanya soalan yang bodoh, sampai menyebabkan kita menjadi marah, benci dan sebagainya. Kita hendak ajak dia ke arah kebaikan, tetapi dia balas dengan kata-kata nista pula. Ini memang biasa sahaja terjadi kalau sudah mula berdakwah.

Memang panas hati kita kalau dibalas begitu. Namun ingatlah jangan kita ‘sembur’ mereka pula dengan mengeluarkan kata-kata nista. Ini kerana sekiranya marah tidak dikawal, entah apa yang kita akan ucapkan dari mulut kita dan riak wajah kita. Itu semua adalah kerana bisikan dan hasutan daripada syaitan yang mengapi-apikan perasaan kita (“Takkan kamu nak biar dia cakap macam itu????). Syaitan mahu orang benci dengan kita disebabkan oleh sikap panas baran kita. Syaitan sememangnya pandai menggunakan emosi marah.

Sehubungan dengan pengertian ini disebutkan di dalam firman-Nya:

{وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزغُ بَيْنَهُمْ}

Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. [Al-Isra: 53]

Apabila ini berlaku, Allah ﷻ ajar apa yang seharus kita lakukan.

 

 

فَاستَعِذ بِاللَّهِ

maka mintalah perlindungan kepada Allah,

Jika terdapat godaan daripada syaitan supaya kita marah kepada orang yang menolak kebenaran, maka cepat-cepatlah berlindung dengan Allah ﷻ daripada marah yang datang daripada syaitan itu. Ucaplah:

 

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانِ وَهَامَّةٍ وَمِن كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan setiap syaitan, setiap binatang, dan dari setiap mata jahat,”

 

dan lafaz-lafaz yang sewaktu dengannya. Tidak semestinya dengan lafaz di atas.

Telah disebutkan sebuah hadith tentang dua orang lelaki yang saling mencaci di hadapan Rasulullah ﷺ. Kemudian salah seorangnya marah, sehingga hidungnya mekar kerana emosinya. Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ قَالَ اسْتَبَّ رَجُلَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ أَحَدُهُمَا يَغْضَبُ وَيَحْمَرُّ وَجْهُهُ فَنَظَرَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ ذَا عَنْهُ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ فَقَامَ إِلَى الرَّجُلِ رَجُلٌ مِمَّنْ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَتَدْرِي مَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آنِفًا قَالَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ ذَا عَنْهُ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ أَمَجْنُونًا تَرَانِي

Daripada Sulaiman bin Shurad dia berkata; “Pada suatu hari ada dua orang laki-laki yang saling mencaci maki di sisi Rasulullah ﷺ. Kemudian salah seorang di antara keduanya marah dan merah mukanya. Lalu Rasulullah ﷺ melihatnya dan berkata: ‘Sungguh aku mengetahui satu kalimat yang seandainya diucapkan, maka marahnya akan hilang. Audzu billahi minasy-syaithaainir rajiim (Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk).’ Setelah itu, orang yang marah itu didekati oleh seseorang yang telah mendengar ucapan Rasulullah ﷺ dan ia berkata kepadanya; ‘Mengertikah kamu apa yang telah diucapkan Rasulullah ﷺ tadi? Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah bersabda: ‘Sungguh aku mengetahui satu kalimat yang seandainya diucapkan, maka nafsu amarahnya akan hilang. Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk.’ Orang laki-laki yang marah tersebut berkata; ‘Apakah kamu menganggap aku sudah gila?

(Sahih Muslim (4726))

Kita kena tahan kemarahan kita yang mula timbul kerana ada marah yang tidak patut. Kita tidak boleh marah tidak tentu pasal hanya kerana orang yang tidak boleh atau mahu menerima kebenaran. Kita haruslah ingat yang bukanlah tugas kita untuk memberi hidayah kepada mereka, untuk menjaga mereka. Tugas kita hanya menyampaikan sahaja.

Jika kita marah, ia tidak elok dalam rangka dakwah kerana orang akan lari daripada kita. Lainlah kalau mereka itu di bawah jagaan kita, maka kita bolehlah marah mereka. Contohnya, anak isteri kita. Akan tetapi sekiranya orang yang ingkar itu bukan bawah jagaan kita, kita tidak rugi pun jika mereka tidak ikut kita. Kita masih mendapat pahala kerana kita sudah dakwah kepada dia.

Kita kenalah pandai menilai keadaan kerana ada keadaan yang membolehkan kita marah. Ini kerana jika tidak marah, tidak ada perasaan langsung, itu bagaikan lembu dan keldai pula. Sebagai contoh kalau anak-anak kita tidak taat kepada Allah ﷻ, maka kita kenalah marah mereka dan tidak boleh dibiarkan sahaja.

Di dalam ayat ini kita diingatkan untuk meminta perlindungan (daripada syaitan) kepada Allah (فَاستَعِذ بِاللَّهِ). Malah dalam banyak ayat Allah ﷻ ajar Rasulullah ﷺ untuk meminta perlindungan kepada-Nya seperti di dalam Nas:1

قُل أَعوذُ بِرَبِّ النّاسِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.

Maka hendaklah kita meminta kepada-Nya dan meletakkan diri kita di bawah lindungan-Nya. Kerana apa? Kerana kita makhluk yang lemah malah dalam setiap perkara, bukan hanya perlindungan. Kalau Nabi ﷺ pun minta terus kepada Allah ﷻ, maka kita pun kenalah minta terus kepada Allah ﷻ. Janganlah pula minta kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Ramai juga orang kita yang melakukan perkara ini dan ia adalah syirik kerana meminta kepada selain Allah ﷻ. Ini adalah kerana kejahilan wahyu Al-Qur’an sampaikan banyak yang berani meminta kepada sana dan sini (selain Allah ﷻ).

Baru-baru ini timbul isu viral tentang seorang wanita yang agak popular di media sosial meminta pertolongan kepada malaikat. Ramai yang sedar dan menolak, namun ramai juga yang menyokong permintaan itu. Berbagai hujah diberikan. Cuma hujah kita, kalau ada elemen syirik, maka tinggalkan sahajalah. Jangan gadaikan kedudukan di akhirat kelak dengan perkara sebegini. Minta sahaja kepada Allah ﷻ dan sekiranya Allah ﷻ arahkan malaikat untuk bantu, itu urusan Allah ﷻ (kerana Allah ﷻ tidak perlu pun malaikat untuk bantu kita).

Kenapa kena minta tolong kepada Allah ﷻ apabila berkenaan syaitan? Kerana dengan syaitan bukan boleh bawa berbincang. Sedangkan Rasulullah ﷺ pun disuruh berlindung dengan Allah ﷻ, maka apatah lagi kita? Buang masa sahaja berurusan dengan syaitan supaya jangan ganggu kita, minta dia rehat sekejap, gertak dan sebagainya. Ini berbeza dengan manusia yang kita sepatutnya bawa berbincang dengan mereka seperti firman Allah ﷻ di dalam Fussilat: 34

 

ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَدٰوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ

Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

 

Dengan manusia kita gunakan percakapan, hujah yang baik dan ramah mesra kerana kita hendak beli jiwa mereka, terutama sekali di dalam dakwah. Jika ada perkelahian dan kita menanganinya dengan baik, maka yang mulanya bermusuh pun boleh jadi rapat. Konsep dan cara yang sama tidak boleh langsung digunakan dengan jin syaitan.

Ini adalah kerana syaitan telah berikrar menjadi musuh yang nyata dan tidak ada penghujungnya kepada manusia. Tidak kurang daripada 5 kali ayat إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ (kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu) disebut di dalam Al-Qur’an. Antaranya Baqarah: 168, Baqarah: 208, An’am: 142, Yaasen: 60, Zukhruf: 63. Ada penekanan eksklusif apabila kalimah لَكُم ditaqdimkan (didahulukan) di dalam ayat itu. Ia bermaksud mereka itu tidak ada kerja lain tetapi jadi musuh kita sahaja sepanjang masa.

Juga Allah ﷻ sebut pengajaran yang sama di dalam Mukminoon: 96-98

ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ السَّيِّئَةَ ۚ نَحنُ أَعلَمُ بِما يَصِفونَ

Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.

وَقُل رَّبِّ أَعوذُ بِكَ مِن هَمَزٰتِ الشَّيٰطينِ

Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau daripada bisikan-bisikan syaitan.

وَأَعوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحضُرونِ

Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, daripada kedatangan mereka kepadaku”.

Dapat dilihat di sini di dalam ayat daripada Surah Mukminoon ini ada doa yang kita boleh amalkan. Iaitu kita baca رَّبِّ أَعوذُ بِكَ مِن هَمَزٰتِ الشَّيٰطينِ. وَأَعوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحضُرونِ. Perumpamaannya begini: kalau ada sekawan anjing menyalak-nyalak kita, kita tidak dapat hendak menyuruh mereka senyap dan tinggalkan kita. Cara paling baik adalah dengan memanggil tuannya dan tuannya sendiri memanggil anjingnya balik. Maka siapakah tuan kepada syaitan-syaitan ini? Itulah Allah ﷻ, kerana Allah ﷻ yang menjadikan mereka dan Allah ﷻ boleh mengawal mereka.

Bukannya mengamalkan doa-doa dan zikir khusus untuk menghalang syaitan. Atau bawa tangkal, cincin dan sebagainya. Malah bukanlah dengan ditampal ayat-ayat Al-Qur’an di dinding rumah dan pejabat. Atau bawa buku Yaasin dalam kereta atau paling karut, bawa kitab Sahih Bukhari pula di dalam kereta. Ini tidak ada dalil dan sebenarnya adalah perbuatan yang bid’ah.

Cuba jawab persoalan ini: Ketika zaman Nabi dan sahabat dulu, apakah ayat yang mereka gantung di rumah mereka? Tidak ada, bukan? Akan tetapi syaitan takut sahaja kepada Rasulullah ﷺ dan sahabat seperti Sayyidina Umar رضي الله عنه. Sebaliknya kita sekarang merata-rata ada ditampal ayat Al-Qur’an namun jin syaitan sedikit pun tidak hairan kerana kita hanya setakat tampal sahaja ayat-ayat itu tetapi tidak faham dan tidak amalkan pun apa yang ada di dalam ayat itu.

 

 

إِنَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Mintalah perlindungan dengan Allah ﷻ daripada syaitan kerana Allah ﷻ tahu apa yang terjadi setelah kita sampaikan wahyu. Allah ﷻ dengar permintaan kita itu. Tidak ada senjata yang lebih hebat daripada berlindung dengan Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga mendengar apa yang dikatakan oleh penentangan kebenaran. Namun kena juga ingat, Allah ﷻ tahu jika kita membalas kata-kata mereka dengan kemarahan.

Maka ayat ini mengajar kita untuk berdoa kepada Allah ﷻ untuk meminta perlindungan. Dalam apa-apa doa pun, pra-syarat yang utama adalah taat kepada Allah ﷻ. Malu kita kalau kita meminta kepada Allah ﷻ, tetapi arahan-Nya kita tidak ikut.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Julai 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment