Tafsir Surah A’raf Ayat 191 – 196 (Selain Allah ﷻ tiada kuasa)

ILAH-ILAH JADIAN YANG LEMAH

A’raf Ayat 191: Selepas ini Allah ﷻ banyak beri hujah tentang bodohnya perbuatan syirik.

أَيُشرِكونَ ما لا يَخلُقُ شَيئًا وَهُم يُخلَقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they associate with Him those who create nothing and they are [themselves] created?

MALAY

Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?

 

Kalimah أَيُشرِكونَ adalah di dalam bentuk istifham (soalan) akan tetapi ayat ini bukan ayat pertanyaan kerana ia adalah istifham majazi (bentuk soalan) sahaja (bukan istifham mutlaq). Maka ia adalah kalimah ta’jub. Soalan yang berbunyi kehairanan kenapa mereka sanggup menyekutukan Allah ﷻ, sedangkan yang disembah (ma’bud) itu tidak boleh mencipta apa-apa pun (walaupun nyamuk), malah mereka sendiri pun dicipta. Ini seperti juga di dalam firman Allah ﷻ dalam ayat lainnya:

{يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ وَإِنْ يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَا يَسْتَنْقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ * مَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ}

Hai manusia, telah dibuatkan perumpamaan, maka dengarkanlah oleh kalian perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kalian seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari[ada  lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah Mereka tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa. (Al-Hajj: 73-74)

Oleh hal yang demikian, sembahlah Allah ﷻ sahaja kerana Dia sahaja yang boleh mencipta. Ini seperti disebut dalam Baqarah: 21

يٰأَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Jangan sangka ayat ini diberikan kepada orang kafir sahaja kerana terdapat ramai orang Islam yang tidak faham konsep syirik yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari. Ini adalah kerana mereka jahil dengan ajaran wahyu. Ayat ini tidak sebut pun secara spesifik perbuatan syirik yang dilakukan, maka ia boleh merangkumi segala amalan syirik yang dilakukan oleh manusia. Ketika zaman Nabi ﷺ dahulu Musyrikin Mekah menyembah berhala.

Namun sekarang sudah ada banyak perkara lain yang disembah. Begitu teruk sekali sehingga orang India sembah tikus pun ada! Antara kesyirikan yang banyak dilakukan adalah dengan berdoa menggunakan tawasul kepada wali, Nabi dan malaikat. Ini banyak sekali dilakukan oleh masyarakat kita tanpa mereka sedari yang mereka sedang melakukan syirik. Memang kita tidak sembah patung atau berhala atau pokok, tetapi masih ada lagi amalan syirik yang dilakukan tanpa sedar. Antaranya ada yang  minta tolong kepada orang mati dalam kubur.


 

A’raf Ayat 192: Kenapa sia-sia minta tolong kepada ma’bud bathil?

وَلا يَستَطيعونَ لَهُم نَصرًا وَلا أَنفُسَهُم يَنصُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they [i.e., the false deities] are unable to [give] them help, nor can they help themselves.

MALAY

Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.

 

Kenapakah ada manusia yang sanggup menyekutukan Allah ﷻ, sedangkan selain daripada Allah ﷻ tidak ada kuasa langsung untuk membantu dan yang disembah itu pun tidak dapat membantu diri mereka sendiri? Kita dalam melakukan sesuatu, sepatutnya adalah tujuan dan faedah yang kita boleh dapat, bukan? Namun kalau selain Allah ﷻ, apakah faedah yang boleh bawakan kepada kita?

Maka itu adalah hujah yang amat kuat sekali bagi orang yang menggunakan akal. Berhala dan sembahan selain Allah ﷻ itu bukannya boleh membantu apa-apa pun. Malah diri mereka sendiri pun mereka tidak boleh bantu dan selamatkan! Kita pun selalu dengar kisah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah merosakkan berhala-berhala kaumnya dan meletakkan kapak itu pada berhala yang besar. Lihatlah mereka tiada upaya untuk berbuat apa-apa walaupun mereka dihancurkan.

Hal yang sama pernah dilakukan oleh Mu’az ibnu Amr ibnul Jamuh dan Mu’az ibnu Jabal رضی اللہ عنھما (dua Mu’az) ketika keduanya masih muda dan telah masuk Islam, iaitu apabila Rasulullah ﷺ telah tiba di Madinah. Keduanya merosakkan berhala-berhala orang-orang musyrik di malam hari, iaitu dengan memecahkannya dan menjadikannya sebagai kayu bakar buat para janda, agar kaumnya mahu mengambil pelajaran daripada hal tersebut dan menyalahkan diri mereka sendiri.

Disebutkan bahawa seorang lelaki bernama Amr ibnul Jamuh رضي الله عنه, seorang pemimpin dalam kalangan kaumnya, mempunyai sebuah berhala yang menjadi sembahannya, beliau selalu memberikan berhalanya itu wangian. Tersebut pula bahawa keduanya (Mu’az ibnu Amr ibnul Jamuh dan Mu’az ibnu Jabal رضی اللہ عنھما) selalu datang kepadanya di malam hari, lalu membalikkan berhala itu dengan kepala di bawah dan melumurinya dengan kotoran haiwan. Ketika Amr ibnul Jamuh رضي الله عنه melihat apa yang dilakukan terhadap berhalanya itu, maka beliau memandikannya dan memberinya lagi wangian, lalu meletakkan sebilah pedang di sisi berhala itu seraya berkata kepadanya, “Belalah dirimu!”

Mu’az ibnu Amr Ibnu Jamal dan Mu’az ibnu Jabal رضی اللہ عنھما kembali melakukan hal itu terhadap berhala tersebut dan Amr Ibnul Jamuh رضي الله عنه pun kembali melakukan hal yang sama (yakni membersihkan dan memberinya wewangian). Kemudian pada akhirnya keduanya mengambil berhala itu dan mengikatnya bersama bangkai seekor anjing, lalu menggantungkannya dengan seutas tali di atas sebuah sumur yang ada di tempat itu. Ketika Amr ibnul Jamuh رضي الله عنه datang dan melihat hal tersebut, beliau mula berfikir dan sampailah pada suatu kesimpulan bahawa agama yang dipeluknya itu adalah batil. Lalu beliau membacakan sebuah syair:

تَالله لَوْ كُنتَ إِلَها مُسْتَدن … لَمْ تَكُ والكَلْبُ جَمِيعًا فِي قَرنْ

Demi Allah, seandainya kamu adalah tuhan yang disembah, nescayalah kamu dan anjing tidak dapat dikumpulkan bersama-sama.

Akhirnya Amr ibnul Jamuh memeluk Islam dan mengamalkan Islam dengan baik, dan kemudiannya beliau gugur syahid dalam perang Uhud; semoga Allah ﷻ melimpahkan redha-Nya kepadanya dan memberinya pahala yang memuaskannya, serta menjadikan syurga Firdaus sebagai tempat tinggalnya.

Oleh itu, sekiranya Allah ﷻ sahaja yang ada kuasa dan sembahan lain tidak ada kuasa, kenapa ramai dalam kalangan kita, termasuk orang Islam sendiri yang meminta tolong kepada selain daripada Allah ﷻ? Sebagai contoh, puak Habib yang datang dari Yaman itu, dengan jelas sekali meminta tolong kepada Nabi Muhammad ﷺ, kepada ahli kubur (yang mereka dakwa sebagai wali) dan sebagainya. Sedangkan ahli kubur itu tidak ada kuasa pun untuk membantu kerana mereka sendiri pun sudah mati?

Malangnya ramai orang kita ikut mereka. Sedarlah wahai umat Islam sekalian, jangan tertipu dengan ajaran-ajaran yang sesat, sama ada diajar dari dalam negara atau yang dibawa masuk dari luar. Jangan tertipu dengan perawakan baik yang ditonjolkan oleh manusia sedangkan ajaran yang dibawa adalah sesat!

Sebenarnya yang menyembah selain Allah ﷻ ini adakah mereka sembah saja-saja atau mereka berharap sesuatu? Tentulah berharap sesuatu, bukan? Allah ﷻ sebut di dalam Yaasin: 74-75

وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ آلِهَةً لَّعَلَّهُم يُنصَرونَ

Dan mereka menyembah beberapa ilah yang lain daripada Allah, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (daripada makhluk-makhluk itu).

Namun adakah yang disembah itu boleh membantu? Disebut di dalam ayat seterusnya,

لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم وَهُم لَهُم جُندٌ مُّحضَرونَ

Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

Jelas sekali sudah banyak kali Allah ﷻ sebut sia-sianya kerja orang yang menyembah selain Allah ﷻ itu. Mereka berharaplah kepada berhala, Nabi dan wali itu untuk membantu, namun hampa sahaja. Bagaimana mereka hendak membantu sedangkan mereka tidak ada apa-apa? Allah ﷻ sebut dalam Fatir: 13-14

ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۚ وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ ما يَملِكونَ مِن قِطميرٍ

Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nya-lah kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit tamar.

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyrikanmu


 

A’raf Ayat 193:

وَإِن تَدعوهُم إِلَى الهُدىٰ لا يَتَّبِعوكُم ۚ سَواءٌ عَلَيكُم أَدَعَوتُموهُم أَم أَنتُم صٰمِتونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you [believers] invite them to guidance, they will not follow you. It is all the same for you whether you invite them or you are silent.

MALAY

Dan jika kamu (hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu untuk memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut (menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.

 

 

وَإِن تَدعوهُم إِلَى الهُدىٰ لا يَتَّبِعوكُم

Dan jika kamu menyeru mereka untuk memperoleh petunjuk, mereka tidak dapat menurut kamu; 

Ada dua tafsiran tentang ayat ini.

1. Yang pertama, ‘mereka’ yang dimaksudkan adalah nisbah kepada ma’bud bathil itu seperti patung berhala, atau mana-mana sembahan selain Allah ﷻ. Sekiranya kamu (yang menyembah) meminta petunjuk daripada patung-patung atau sembahan itu, mereka tidak dapat memberikannya kepada kamu. Ini adalah kerana mereka sendiri tidak dapat mendengar apa yang diminta kepada mereka. Hendak bercakap pun tidak boleh.

2. Tafsir yang kedua, ‘mereka’ yang dimaksudkan adalah orang-orang sesat yang telah menyembah dan menyeru selain Allah ﷻ. Jika kamu ajak mereka untuk meninggalkan kesyirikan yang mereka sedang lakukan, mereka tidak akan ikut.

Ini kerana mereka telah tenggelam dalam kesyirikan yang dalam. Mereka percaya sungguh dengan apa yang mereka lakukan itu adalah baik, maka apa sahaja yang kita kata, mereka tidak mahu terima. Mereka rasa mereka yang betul, mereka lebih pandai, mereka sudah dapat ‘ilmu rahsia’ yang tidak diberikan kepada orang lain. Lagi pun amalan mereka itu telah turun temurun diamalkan oleh tok nenek moyang mereka menyebabkan susah untuk mereka tinggalkan.

 

 

سَواءٌ عَلَيكُم أَدَعَوتُموهُم أَم أَنتُم صٰمِتونَ

sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.

1. Oleh itu, sama sahaja kalau kamu seru berhala atau sembahan lain, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka memang tidak ada kuasa. Atau,

2. Sama sahaja kalau kamu ajak atau kamu tidak ajak manusia yang sesat itu kepada kebenaran, mereka yang sudah mengamalkan syirik itu tidak akan ikut kita. Ini adalah kerana mereka telah ditutup hati mereka daripada menerima hidayah lagi. Ini dinamakan Khotmul Qalbi (penutupan hati).

Namun begitu, kita harus ingat untuk tidak berhenti menjalankan dakwah kepada mereka kerana kita tidak tahu adakah mereka itu jenis yang telah ditutup hati mereka oleh Allah ﷻ atau tidak. Yang tahu perkara tersebut hanyalah Allah ﷻ, maka jangan kita buat andaian. Ingatlah kembali kepada tiga golongan dalam kisah Yahudi yang menangkap ikan pada hari Sabtu beberapa ayat yang lalu. Bukankah kita disuruh memberi nasihat juga kepada mereka, walaupun ada golongan yang rasa buang masa sahaja beri nasihat kepada mereka?

Kita kena beri nasihat kerana Allah ﷻ beri ganjaran kerja dakwah kepada kita bukan atas kejayaan kita mengubah orang itu. Kalau kita telah berdakwah, sama ada orang yang didakwah itu terima atau tidak, kita sudah dapat pahala sebenarnya.

Walaupun orang itu tidak berubah, pasti akan ada perubahan pada diri kita. Sebagaimana Nabi Musa عليه السلام diperintahkan untuk berdakwah kepada Firaun walaupun Allah ﷻ tahu yang Firaun tidak akan berubah. Ini kerana berdakwah kepada Firaun adalah latihan kepada Nabi Musa عليه السلام dan menguatkan iman baginda. Begitu juga, apabila kita berdakwah, iman kita akan bertambah dan kita lebih faham agama kerana Allah ﷻ akan campakkan pemahaman ke dalam diri kita.


 

A’raf Ayat 194: Satu lagi hujah kenapa sia-sia perbuatan mereka yang menyembah itu

إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ عِبادٌ أَمثالُكُم ۖ فَادعوهُم فَليَستَجيبوا لَكُم إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those you [polytheists] call upon besides Allāh are servants [i.e., creations] like you. So call upon them and let them respond to you, if you should be truthful.

MALAY

Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) serulah mereka supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

 

 

إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ عِبادٌ أَمثالُكُم

Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. 

Allah ﷻ beri hujah lagi: berhala, roh-roh Nabi, wali dan malaikat yang kamu seru, buat ibadat kepada mereka itu, mereka pun merupakan hamba Allah ﷻ, makhluk seperti kamu juga. Maksudnya masing-masing lemah, tidak ada kuasa sendiri melainkan yang diberikan oleh Allah ﷻ. Jikalau hendak puja dan sembah pun sekurang-kurangnya kenalah lebih hebat daripada kita, bukan? Maka buang masa sahaja kamu seru mereka dan Allah ﷻ marah jika seru dan puja buat ibadat kepada mereka kerana Allah ﷻ mahu kita seru dan sembah Dia sahaja.

Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah kataganti kedua iaitu Allah ﷻ bercakap terus kepada mereka yang melakukan syirik itu. Selalunya Allah ﷻ tidak buat begini. Ini menunjukkan kepentingan ayat ini.

 

 

فَادعوهُم فَليَستَجيبوا لَكُم إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

Allah ﷻ perli mereka dan kalau kamu masih berdegil, tidak mahu juga terima ajaran Tauhid ini, maka sekarang kamu serulah mereka, mintalah kepada mereka jika kamu rasa kamu benar dan kamu tetap yakin mereka boleh selesaikan masalah dan sempurnakan hajat kamu.

Aduh, ini merupakan cabaran dan perli daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ sudah perli sebegini, masih lagikah hendak buat? Masih lagikah mahu bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat? Masih lagikah mahu hadiah/sedekah Fatihah kepada mereka? Masih lagikah mahu beri salam kepada mereka? Masih lagilah ingin seru mereka?

Inilah kesesatan manusia. Malah dalam kalangan orang kita, ada pula yang sanggup letak gambar Sheikh di dinding rumah, letak dalam dompet dan sebagainya dengan iktikad akan memberi keselamatan atau menambah rezeki mereka. Inilah amalan yang amat karut dan khurafat dalam kalangan orang kita.


 

A’raf Ayat 195: Dalil ma’bud bathil itu tidak tahu ilmu ghaib pun.

أَلَهُم أَرجُلٌ يَمشونَ بِها ۖ أَم لَهُم أَيدٍ يَبطِشونَ بِها ۖ أَم لَهُم أَعيُنٌ يُبصِرونَ بِها ۖ أَم لَهُم آذانٌ يَسمَعونَ بِها ۗ قُلِ ادعوا شُرَكاءَكُم ثُمَّ كيدونِ فَلا تُنظِرونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they have feet by which they walk? Or do they have hands by which they strike? Or do they have eyes by which they see? Or do they have ears by which they hear? Say, [O Muḥammad], “Call your ‘partners’ and then conspire against me and give me no respite.

MALAY

Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya, atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya, atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): “Panggillah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi.

 

 

أَلَهُم أَرجُلٌ يَمشونَ بِها

Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, 

Allah ﷻ perli sembahan berhala yang dipuja oleh Musyrikin Mekah itu: yang mereka puja itu ada kaki kah? Atau yang disembah tetapi sudah mati seperti Nabi dan wali itu, adakah mereka boleh berjalan pergi ke mana-mana? Tentu tidak kerana mereka sudah di alam barzakh.

 

 

أَم لَهُم أَيدٍ يَبطِشونَ بِها

atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang dengannya,

Atau, adakah berhala-berhala itu ada tangan yang boleh bergerak untuk melakukan sesuatu? Hendak seksa orang kah, hendak garu kepala kah, adakah? Nabi, wali dan malaikat itu bolehkah mereka membantu kamu dengan tangan mereka? Tidak.

 

 

أَم لَهُم أَعيُنٌ يُبصِرونَ بِها

atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya, 

Atau adakah berhala itu ada mata untuk melihat apa yang manusia lakukan? Ketika mereka sembah berhala, adakah berhala itu tahu yang ia sedang disembah atau tidak?

Nota: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an:

Kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

 

أَم لَهُم آذانٌ يَسمَعونَ بِها

atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya?

Atau adakah berhala itu mempunyai telinga untuk mendengar pujaan mereka terhadapnya? Tentu tidak ada semua itu kerana segala tangan dan kaki, mata dan telinga pada berhala, semua itu adalah ukiran sahaja, tiada fungsi pun.

Manakala bagaimana pula dengan ilah mereka yang lain seperti Nabi dan wali? Pun tidak melihat dan mendengar kerana mereka telah mati. Orang yang sudah mati, tidak mendengar – sebab itu kalau kita jerit di telinga mayat, mayat itu tidak dapat mendengar pun.

Kalau ada dalil yang kata mereka boleh mendengar, boleh tolong bawakan dalil itu jika ada. Sekiranya dalil setakat samar-samar sahaja, setakat mimpi sahaja, itu tidak boleh diterima. Ini kerana kalau perkara sepenting ini, mesti ada dalil yang sahih dan sarih daripada Nabi ﷺ.

Maka beginilah hujah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام apabila baginda berdakwah kepada bapa dan kaumnya seperti disebut dalam Maryam: 42

إِذ قالَ لِأَبيهِ يٰۤـاَبَتِ لِمَ تَعبُدُ ما لا يَسمَعُ وَلا يُبصِرُ وَلا يُغني عَنكَ شَيئًا

Ketika dia berkata kepada bapanya:” Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikit pun?

 

 

قُلِ ادعوا شُرَكاءَكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Panggillah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah,

Sekarang Nabi Muhammad ﷺ diajar oleh Allah ﷻ untuk mencabar Musyrikin Mekah itu. Seandainya mereka merasakan sembahan-sembahan ma’bud bathil mereka itu boleh mendengar dan melihat, maka panggillah sembahan ilah kamu itu. Panggillah seberapa ramai pun.

 

 

ثُمَّ كيدونِ فَلا تُنظِرونِ

kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi.

Bukan dipanggil sahaja, tetapi mereka mintalah kepada patung dan roh yang mereka seru itu, dan buatlah rancangan dengan mereka untuk membunuh Nabi Muhammad ﷺ. Hendak tangkapkah atau bunuhkah, terpulang kepada merekalah. Tidak perlu beri tempoh kepada baginda untuk lari atau selamatkan diri, boleh terus jalankan perancangan mereka.

Kenapakah baginda begitu berani mencabar mereka? Kerana memang tidak ada pun sembahan selain Allah ﷻ itu. Sekiranya jin atau syaitan syaitan hendak mengganggu dan menyakiti baginda, baginda tahu yang Allah ﷻ beri perlindungan kepada baginda seperti disebut dalam Maidah: 67

يَـٰٓأَيُّہَا الرَّسولُ بَلِّغ ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّم تَفعَل فَما بَلَّغتَ رِسالَتَهُ ۚ وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya. Dan Allah akan memelihara kamu daripada (gangguan) manusia.

Itu jika mereka rasa memang boleh buat. Namun jikalau kamu rasa berhala kamu itu tidak boleh buat apa, kenapa kamu sembah?


 

ALLAH ADALAH WALI YANG SEBENAR

A’raf Ayat 196: Yang sepatutnya bagaimana? Allah ﷻ suruh kita bergantung harap dengan Dia sahaja, jangan berharap kepada selain dari-Nya.

إِنَّ وَلِيِّيَ اللَّهُ الَّذي نَزَّلَ الكِتٰبَ ۖ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, my protector is Allāh, who has sent down the Book; and He is an ally to the righteous.

MALAY

“Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”

 

 

إِنَّ وَلِيِّيَ اللَّهُ الَّذي نَزَّلَ الكِتٰبَ

“Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), 

Wali kita yang sebenar adalah Allah ﷻ. Maka dalam setiap perkara, kita hendaklah meletakkan pengharapan kepada Allah ﷻ, terutama sekali dalam perkara luar asbab (perkara yang hanya Allah ﷻ boleh lakukan. Sebagai contoh: penyembuhan penyakit).

Untuk perkara luar asbab (tolong angkat barang), maka bolehlah untuk kita meminta tolong kepada makhluk lain, cuma kita tidak boleh juga bergantung harap sepenuhnya dengan makhluk kerana makhluk tidak boleh melakukan apa-apa tanpa izin daripada Allah ﷻ. Sebagaimana seorang doktor hanya setakat boleh memberi rawatan, konsultasi dan ubat sahaja tetapi kesembuhan tetap juga daripada Allah ﷻ. Tidak salah jumpa doktor dan makan ubat kerana itu termasuk usaha kita. Namun tetap kena yakin yang Allah ﷻ yang menyembuhkan, bukan doktor itu.

Ini adalah sambungan kata-kata yang Allah ﷻ suruh Rasulullah ﷺ sebut: Allah ﷻlah yang melindungiku dan memberikan kecukupan kepadaku, Dialah yang menolongku, hanya kepada-Nya aku bertawakal, dan hanya kepada-Nya aku berlindung, Dia adalah Pelindungku di dunia dan akhirat. Dia adalah Pelindung semua orang yang saleh sesudahku.

Dalam banyak-banyak sifat Allah ﷻ, di sini Allah ﷻ sebut sifat-Nya yang telah menurunkan Al-Qur’an. Kenapa? Ia mengajar kita bahawa untuk mendapat perlindungan daripada Allah ﷻ adalah dengan mempelajari dan mengamalkan Al-Qur’an. Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an dan telah memperjelaskan segala perkara tentang agama yang kita perlu faham. Maka hendaklah kita mempelajari tafsir Al-Qur’an untuk memahami Al-Qur’an. Jangan pula ikut kata-kata tok guru yang entah dari mana ambilan agama mereka. Sampai kata boleh selak tirai untuk tanya tentang hadith kepada Rasulullah ﷺ, ajaran karut apakah ini?

 

 

وَهُوَ يَتَوَلَّى الصّٰلِحينَ

dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”

Allah ﷻ bukan sahaja menjaga Nabi Muhammad ﷺ sahaja, tetapi Dia juga menjaga orang soleh yang lain. Allah ﷻ telah sebut di dalam Baqarah:257

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Maka jika kita mahukan pertolongan daripada Allah ﷻ maka hendaklah kita menjadi insan yang Soleh. Kita kenalah berharap kepada Allah ﷻ sahaja sebagaimana Nabi Yusuf عليه السلام seperti yang disebut dalam Yusuf: 101

رَبِّ قَد آتَيتَني مِنَ المُلكِ وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ ۚ فاطِرَ السَّماواتِ وَالأَرضِ أَنتَ وَلِيّي فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,

Selain itu hendaklah memperbanyakkan amal soleh seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ

Daripada  Abu Hurairah menuturkan, Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya, dan hamba-Ku tidak mampu mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan, jika hamba-Ku terus menerus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunnah, maka Aku mencintai dia, jika Aku sudah mencintainya, maka Aku-lah pendengarannya yang dia jadikan untuk mendengar, dan pandangannya yang dia jadikan untuk memandang, dan tangannya yang dia jadikan untuk memukul, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia meminta-Ku, pasti Ku-beri, dan jika meminta perlindungan kepada-Ku, pasti Ku-lindungi. Dan Aku tidak ragu untuk melakukan sesuatu yang Aku menjadi pelakunya sendiri sebagaimana keragu-raguan-Ku untuk mencabut nyawa seorang mukmin yang dia (khuatir) terhadap kematian itu, dan Aku sendiri khuatir dia merasakan kepedihan sakitnya.”

(Sahih Bukhari (6021))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Julai 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment