Yaasin Ayat 67:
وَلَو نَشآءُ لَمَسَخنٰهُم عَلىٰ مَكانَتِهِم فَمَا استَطٰعوا مُضِيًّا وَلا يَرجِعونَ
And if We willed, We could have deformed them, [paralyzing them] in their places so they would not be able to proceed, nor could they return.
(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa mengubah keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.
وَلَوْ نَشَآءُ لَمَسَخْنٰهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ
Kalau Kami kehendaki, Kami boleh tukar rupa mereka di atas tempat mereka berada;
Kalimah لَمَسَخنٰهُم daripada katadasar م س خ yang bermaksud mengubah rupa jadi lain daripada asalnya, melumpuhkan, menghancurkan. Allah ﷻ boleh mengubah keadaan mereka jadi kera atau babi, sebagai contoh, kerana kesalahan besar yang telah lakukan. Allah ﷻ boleh lakukan, tetapi Allah ﷻ tidak buat kerana masih lagi beri peluang kepada mereka. Allah ﷻ boleh sahaja jadikan mereka kera, babi, batu atau apa sahaja kerana ia telah pernah berlaku. Ada dua kali Allah ﷻ menceritakan bagaimana Allah ﷻ merubah kejadian manusia dalam Al-Qur’an, satu pada zaman Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kaumnya menjadi kera kerana disumpah, iaitu orang-orang yang memukat ikan pada hari Sabtu. Patutnya tidak boleh bekerja menangkap ikan pada hari tu. Kerana syariat orang Yahudi waktu itu mereka tidak boleh bekerja pada hari Sabtu. Namun mereka telah buat helah untuk bagi boleh juga. Mereka tidak tahan nafsu untuk menangkap ikan, sebab ikan-ikan banyak pada hari Sabtu pula. Mereka tahan pukat pada hari Jumaat dan mereka angkat pukat itu pada hari Ahad. Allah ﷻ ubah kejadian mereka menjadi kera kerana mereka hendak menipu Tuhan. Kononnya, mereka mahu berhujah yang mereka tidak bekerja hari Sabtu itu. Mereka sangka mereka pandai, sampai mereka mahu tipu Tuhan. Lihatlah firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 65
وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.
Memang perubahan wajah ini Allah ﷻ telah ancam kepada manusia seperti yang diberikan kepada golongan Yahudi di dalam Nisa’: 47
يٰأَيُّهَا الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ ءآمِنوا بِما نَزَّلنا مُصَدِّقًا لِّما مَعَكُم مِّن قَبلِ أَن نَّطمِسَ وُجوهًا فَنَرُدَّها عَلىٰ أَدبارِها أَو نَلعَنَهُم كَما لَعَنّا أَصحٰبَ السَّبتِ ۚ وَكانَ أَمرُ اللهِ مَفعولًا
Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Qur’an), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata – tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (daripada kaum mereka – Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.
Kisah ini lebih panjang disebut di dalam A’raf: 163-166
وَسۡـَٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِى ڪَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِى ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعً۬ا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَۙ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ ڪَذَٲلِكَ نَبۡلُوهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ (١٦٣) وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةٌ۬ مِّنۡہُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًاۙ ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُہُمۡ عَذَابً۬ا شَدِيدً۬اۖ قَالُواْ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ (١٦٤) فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦۤ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡہَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۭ بَـِٔيسِۭ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ (١٦٥) فَلَمَّا عَتَوۡاْ عَن مَّا نُہُواْ عَنۡهُ قُلۡنَا لَهُمۡ كُونُواْ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ (١٦٦)
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik. (163) Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertaqwa. (164) Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). (165) Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina. (166)
Satu lagi pada zaman Yahudi, ada yang ditukar menjadi babi seperti firman Allah ﷻ dalam Maidah: 60. Dalam dua-dua kejadian ini, mereka yang ditukar itu mati dalam masa tiga hari selepas ditukar. Sesiapa yang melawat mereka selepas ditukar akan melihat memang mereka menjadi babi dan menjadi kera.
قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ اللَّهِ ۚ مَن لَّعَنَهُ اللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ الطَّاغُوتَ ۚ أُولَٰئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya daripada yang demikian itu di sisi Allah? Iaitu orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya, dan dijadikan sebahagian daripada mereka kera dan babi, serta orang-orang yang menyembah Taghut. Mereka itulah seburuk-buruk tempat kedudukan dan sesat dari jalan yang lurus.”
Tuhan boleh buat begitu tetapi Allah ﷻ cakap dalam ayat ini: “Kalau Kami mahu”. Bermakna, Allah ﷻ tidak semestinya buat walaupun Allah ﷻ boleh buat.
Satu lagi perbincangan tentang kalimah لَمَسَخنٰهُم adalah mengambil maksud melumpuhkan, menjadikan kaku. Ini kerana مَسَخ juga boleh bermaksud tukar menjadi batu. Ini seperti apa yang terjadi di Pompeii pada tahun 79 AD. Gunung berapi di sana telah meletup dengan tiba-tiba dan asap berdebu telah menyeliputi penduduk Pompeii dan menjadikan mereka kaku keras tiba-tiba dan boleh dilihat sampai sekarang. Adakah di dalam ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang kejadian seperti Pompeii itu? Allahu a’lam.
فَمَا اسْتَطٰعُوا مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ
Maka tidak mampu mereka ke depan dan tidak mampu kembali ke belakang;
Apabila Allah ﷻ sudah tukar fizikal mereka,
1. mereka tidak boleh menjadi manusia semula. Mereka akan mati sahaja selepas itu (selepas tiga hari). Kalimah مُضِيًّا daripada م ض ي yang bermaksud berlalu pergi (macam fi’il madhi). Tidak boleh kembali ke keadaan asal. Atau,
2. Maknanya tidak boleh bergerak ke hadapan dan ke belakang. Sudah tidak boleh bergerak secara normal kerana selepas ditukar menjadi makhluk lain, mereka pun kepala jadi bengong, bukan macam dahulu lagi.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi ancaman kepada mereka untuk mengambil perhatian. Allah ﷻ beritahu bahawa Dia boleh buat semua itu, kalau mereka masih lagi berdegil dan menentang Nabi. Namun Allah ﷻ tidak terus buat kerana Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada mereka.
Maka lihatlah rahmat Allah ﷻ memberitahu kita tentang perkara ini. Kalau kita pun menolak dakwah mereka yang membawa ajaran Islam yang benar, Allah ﷻ pun boleh jadikan kita seperti itu juga.
Sekian Ruku’ 4 daripada 5 ruku’ surah ini
Yaasin Ayat 68: Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ sebut Dia boleh ubah rupa manusia itu menjadi benda yang lain. Namun sebenarnya kalau Allah ﷻ tidak ubah pun serta merta pun, memang manusia dari hari ke hari sudah berubah pun keadaan fizikal dia.
وَمَن نُّعَمِّرهُ نُنَكِّسهُ فِي الخَلقِ ۖ أَفَلا يَعقِلونَ
And he to whom We grant long life We reverse in creation; so will they not understand?
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
وَمَنْ نُّعَمِّرْهُ
Dan sekiranya Kami melanjutkan usia seseorang itu,
Ada orang yang Allah ﷻ telah beri usia yang panjang. Ini adalah dalam takdir Allah ﷻ kerana bukan semua manusia boleh jadi tua. Disebut di dalam Fatir: 11
وَمَا يُعَمَّرُ مِن مُّعَمَّرٍ وَلَا يُنقَصُ مِنْ عُمُرِهِ إِلَّا فِي كِتَابٍ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
“Dan tidak dipanjangkan umur seseorang yang panjang umurnya, dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuz). Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.”
Yang penting bukanlah umur panjang atau tidak sebenarnya. Ramai bukan yang doa minta panjang umur. Namun adakah panjang umur itu sendiri bagus? Belum tentu lagi. Kalau panjang umur tetapi banyak mengumpul dosa, buat apa? Kalau panjang umur tetapi menyusahkan orang, pun tidak bagus. Yang terlebih penting adalah mati dalam iman seperti doa Nabi Yusuf di dalam Yusuf: 101
تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ
“Wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.”
Kerana kalau umur panjang tetapi tidak digunakan sebaiknya, guna untuk mendalami agama dan untuk banyakkan ibadah, tidak ada gunanya. Allah ﷻ menegur tentang umur panjang yang tidak digunakan dengan baik di dalam Fatir: 37
أَوَلَم نُعَمِّركُم مّا يَتَذَكَّرُ فيهِ مَن تَذَكَّرَ
Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir
Namun sekiranya umur panjang itu diisi dengan amal ibadah yang sesuai dengan ajaran wahyu, maka ia baik bagi orang itu sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
“خَيْرُكُمْ مَنْ طَالَ عُمْرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ، وَشَرُّكُمْ مَنْ طَالَ عُمْرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ.”
“Sebaik-baik kalian adalah orang yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Dan seburuk-buruk kalian adalah orang yang panjang umurnya dan buruk amal perbuatannya.”
(Hadith riwayat Imam At-Tirmidzi, dan beliau berkata: Hadith ini Hasan Sahih)
نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ
nescaya Kami akan kembalikan dia kepada kejadian asal;
Perkataan نَكِّسْ bermaksud mengembalikan sesuatu kepada keadaan asal. Ia daripada kata dasar ن ك س yang bermaksud kecewa; terbalikkan; mengembalikan (reverse); songsang; membuat sesuatu dengan cara yang salah; menundukkan (kepala) dengan cuai atau malu; untuk menjadikan lemah.
Begitulah apabila usia sudah panjang sangat, seseorang itu boleh kembali menjadi seperti kanak-kanak. Mungkin kena pakai lampin, orang lain kena suap makan kepadanya, sudah tidak berapa ingat dan sebagainya. Mungkin juga sudah tidak boleh bercakap dan kena dimandikan seperti budak kecil, bukan? Kalau bayi kecil tentulah orang suka untuk jaga dan basuh berak dia, tetapi kalau sudah tua? Kalau budak kecil orang masih suka melayan soalan yang banyak kali daripada budak itu, tetapi kalau sudah tua dan nyanyuk, tidak ramai yang akan sanggup melayan. Kerana itu ada doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ untuk memohon perlindungan daripada nyanyuk dan beberapa kelemahan lain:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ، وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ، وَالْهَرَمِ، وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, umur yang sangat tua (nyanyuk), dan kebakhilan. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, serta daripada fitnah kehidupan dan kematian.”
(Sahih Bukhari No. 6367 dan Sahih Muslim No. 2706)
Namun begitulah perjalanan hidup manusia. Semua makhluk di dalam takluk Allah ﷻ. Allah ﷻ berikan kehidupan dan kesihatan, Allah ﷻ boleh tarik balik dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang. Tidak ada sesiapa yang boleh menahan masa dan kekal muda sampai bila-bila walaupun manusia cuba sangat untuk kekal muda. Akan tetapi rahmah-Nya Allah ﷻ, Dia tidak tarik usia itu dengan serta merta tetapi ditarik sedikit demi sedikit, supaya kita boleh buat persediaan. Allah ﷻ telah ingatkan di dalam Rum: 54
اللهُ الَّذي خَلَقَكُم مِّن ضَعفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعدِ ضَعفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعدِ قُوَّةٍ ضَعفًا وَشَيبَةً ۚ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۖ وَهُوَ العَليمُ القَديرُ
Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.
Di sini Allah ﷻ hendak mengingatkan manusia bahawa dunia ini bukanlah tempat tinggal yang kekal dan tubuh kita ini tidak kekal kuat dan sihat. Yang kekal adalah hanya alam akhirat. Dalam ayat 39 Allah ﷻ sudah beri perumpamaan tentang perjalanan hidup manusia:
وَالقَمَرَ قَدَّرنٰهُ مَنازِلَ حَتّىٰ عادَ كَالعُرجونِ القَديمِ
Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.
Sepertimana bulan kembali menjadi bulan sabit di hujung bulan, maka begitulah manusia – dia akan kembali jadi seperti budak-budak kembali ke hujung usianya kalau dia sempat jadi tua. Juga disebut dalam Nahl: 70
وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا
dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (lanjut dan nyanyuk) supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya.
Oleh kerana ayat selepas ini akan disebut tentang syair, kita berikan satu syair klasik tentang usia,
ومن سيب الدنيا طويلا تقلب….. على عينيه حتى يرى صدقها كذبا
dan bagi orang yang hidup lama di dunia, ia akan terbalik di hadapan matanya sehingga apa yang dilihatnya benar, semakin nampak sebagai bohong.
Ada yang membuat perbandingan kanak-kanak kecil dan orang tua. Kanak-kanak mereka selalunya memandang ke atas kerana mereka hendak lihat orang yang lebih tinggi daripada mereka dan mereka hendak didukung. Ia adalah isyarat yang mereka memandang ke masa hadapan mereka kerana mereka akan jadi tinggi nanti; tetapi orang tua selalunya memandang ke bawah sahaja, tubuh pun sudah membongkok. Mereka juga memandang ke masa hadapan mereka, iaitu ke arah tanah, tempat yang mereka sedang tuju.
Mereka yang menolak Islam, mereka buat begitu kerana mereka berbangga dengan apa yang mereka ada. Mereka ada kekayaan dan mereka ada kesihatan dan kekuatan tubuh badan mereka. Kadang-kadang apabila seseorang itu ada kelebihan, fikiran mereka telah dikelabui oleh syaitan. Mereka rasa mereka tidak memerlukan sesiapa. Namun Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka ada itu tidak lama. Apabila mereka sudah semakin tua, mereka tidak dapat mengelak daripada menjadi lemah, dari segi jasad mereka dan juga fikiran mereka.
Kaitan dengan dua ayat sebelum ini: Allah ﷻ kata Allah ﷻ boleh ubah kejadian manusia terus pada waktu itu juga, tetapi Allah ﷻ tidak buat. Apa yang Allah ﷻ buat adalah mengubah keadaan manusia itu sedikit demi sedikit. Ini memang terjadi sekarang ini pun. Setiap hari kita akan lihat bagaimana seseorang yang dulunya gagah dan kuat, tetapi akhirnya apabila sudah tua, mereka menjadi lemah. Kalau dahulunya mereka boleh bercakap dengan kuat dan berbangga dengan apa yang mereka ada, apabila sudah tua, mereka akan menjadi lemah dan banyak senyap sahaja.
أَفَلَا يَعْقِلُونَ
Mengapa mereka tidak mahu memikirkan?
Iaitu memikirkan bahawa Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa sahaja, kepada sesiapa sahaja, bila-bila masa sahaja. Apabila sedar perkara ini maka hendaklah taat dan sembah Dia sahaja. Gunalah akal sedikit. Jangan sia-siakan kehidupan semasa muda dan masih sihat kerana kalau kita abaikan, maka di usia tua nanti akan menyesal. Ini kerana apabila badan sudah lemah, hendak beribadah pun susah, hendak baca Al-Qur’an pun mata sudah tidak nampak, hendak belajar pun otak sudah lemau. Semasa usia muda inilah kita kumpulkan pahala sebanyak-banyaknya, belajar seboleh-bolehnya. Allah ﷻ berfirman di dalam Asr: 1-3
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢)
Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2)
Kita pun tentu sudah biasa dengar hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ.”
“Manfaatkanlah lima perkara sebelum datang lima perkara: Masa mudamu sebelum masa tuamu, Kesihatanmu sebelum sakitmu, Kekayaanmu sebelum kemiskinanmu, Masa lapangmu sebelum sibukmu, Hidupmu sebelum matimu.”
(Diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (No. 7846) dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (No. 10255). Dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)
Lagi satu hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ.”
“Dua nikmat yang ramai manusia rugi (iaitu tidak memanfaatkan) padanya: Kesihatan dan masa lapang.”
(Sahih Al-Bukhari No. 6412)
Amat ramai yang buang masa sahaja semasa hidupnya. Sibuk dengan kerjaya dan anak isteri sampai lupa segala persediaan untuk ke akhirat. Apabila sudah pencen baru hendak beribadah, baru hendak belajar tetapi sudah terlambat kerana banyak yang sudah tidak boleh dilakukan kerana kekangan kesihatan dan minda yang sudah lemah. Maka ayat ini amatlah penting untuk kita renung-renungkan.
Ayat ini juga sebagai dalil kehidupan selepas kematian. Seperti kita telah belajar sebelum ini, Musyrikin Mekah tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka akan dihidupkan kembali selepas mereka mati. Namun Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa Allah ﷻ boleh buat apa sahaja. Allah ﷻ telah mengubah keadaan manusia pun. Kalau Allah ﷻ boleh mengubah manusia daripada kuat kepada lemah, Allah ﷻ juga boleh mengubah manusia daripada keadaan mati kepada keadaan hidup kembali.
Daripada sejarah Islam, kita dapat tahu bagaimana Allah ﷻ telah lakukan kepada Abu Lahab. Dia seorang yang amat sombong. Dia mempunyai rupa paras yang molek. Sebab itulah namanya pun Abu Lahab (bermuka merah). Namun akhirnya dia telah dimalukan. Akhir hidupnya dia telah dikunci dalam bilik kerana badannya menjadi reput dan busuk sampaikan keluarganya tidak tahan. Apabila dia mati, keluarganya terpaksa mengupah orang lain untuk membuang jasadnya di padang pasir. Tidak ditanam pun – hanya dibiarkan untuk dimakan oleh binatang sahaja. Semua itu adalah peringatan kepada kita semua.
Mari kita lihat Struktur Cincin bagi ayat 48 – 68 ini. Ia bercakap tentang hidayah dari langit.
Kaitan antara bahagian:
[M]/[M’] – Bahagian ini [M] bermula dengan mengulang kata-kata ejekan daripada orang kafir: “bilakah janji ini?” Ini kerana mereka tidak percaya kepada hari Kiamat. Ejekan mereka itu dijawab di dalam [M’] di mana Allah suruh mereka tengok sendiri tubuh mereka. Bukankah semakin lanjut usia mereka, semakin mereka jadi budak-budak semula? Maknanya mereka sekarang menuju ke masa tua dan kubur mereka.
[N]/[N’] – Kedua-dua bahagian ini memang nampak berkait kerana mengandungi kalimah yang sama: وَلَا يَرۡجِعُونَ untuk menerangkan keadaan mereka yang tidak ada harapan lagi pada ketika itu kerana tidak boleh kembali lagi dan mereka tidak ada harapan lagi apabila Kiamat telah bermula. Satu lagi persamaan adalah penggunaan kalimah-kalimah yang merujuk kepada penglihatan terdapat di dalam kedua-dua bahagian ini iaitu: يَنظُرُونَ, أَعۡيُنِہِمۡ dan يُبۡصِرُونَ yang semuanya ada kaitan dengan penglihatan.
[O]/[O’] – Kedua-dua [O] dan [O’] menyebut tentang keadaan di hari Kiamat. Bahagian [O] berakhir dengan ayat وَلَا تُجۡزَوۡنَ إِلَّا مَا ڪُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ dan [O’] berakhir dengan tangan dan kaki menjadi saksi بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ. Kedua-dua menyebut mereka hanya dibalas dengan perbuatan mereka dengan menggunakan kalimat yang hampir sama.
[P] – Di tengah-tengah antara berita menakutkan tentang Hari Akhirat diletakkan ayat-ayat tentang penerangan indah di Syurga.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



One thought on “Tafsir Surah Yaasin Ayat 67 – 68 (Kembali jadi budak-budak)”