Isra’ Ayat 23: Kandungan ayat ini terdapat juga di dalam Taurat, iaitu yang selalu dikenali sebagai ‘The Ten Commandment’.
Sekarang bermulanya ayat amalan tiga serangkai. Kalau kita ditimpa musibah, maka kita kena buat amal-amalan ini yang akan membuatkan Allah ﷻ belas kasihan kembali kepada kita. Ini kerana azab musibah dikenakan kepada kita berpunca daripada maksiat yang kita lakukan, maka kita kena kembali pujuk Allah ﷻ.
Bermula ayat ini sehingga ke ayat 39 adalah Perenggan Makro ke 3. Perenggan ini mengajar Prinsip Asas Negara Islam. Prinsip itu adalah: Jaga Tauhid, berbakti kepada Ibu bapa, menjaga hubungan kerabat, membantu orang miskin dan yang memerlukan, jujur dalam berurus niaga, jangan boros, jangan kedekut, jangan bunuh anak-anak, jangan bunuh orang, jangan dekati zina, jangan sombong dan mesti sempurnakan janji.
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلوَٲلِدَينِ إِحسَـٰنًاۚ إِمَّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ ٱلڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَو كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنہَرهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَولاً ڪَرِيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And your Lord has decreed that you not worship except Him, and to parents, good treatment. Whether one or both of them reach old age [while] with you, say not to them [so much as], “uff,”¹ and do not repel them but speak to them a noble word.
- An expression of disapproval or irritation.
(MELAYU)
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
وَقَضىٰ رَبُّكَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia
Di dalam ayat sebelum ini pun sudah melarang menjadilah ilah selain Allah (لّا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ) dan sekarang disambung lagi penekanan larangan untuk menyembah selain Allah ﷻ. Inilah akidah, inilah Tauhid, dan inilah yang paling penting sekali di dalam ajaran agama Islam. Kerana itu diulang-ulang banyak kali.
Kalimah قَضىٰ dalam ayat ini bermaksud ‘penetapan’, ‘pemutusan’, ‘perintah’, iaitu perintah daripada Allah ﷻ. Di dalam Al-Qur’an kalimah قَضىٰ datang dengan dua makna dan ada contohnya di dalam Surah Isra’ juga:
1. Qada’ Kawni – lihat Isra’: 4
وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ فِي الكِتابِ لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا
Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.
Qada’ Kawni adalah ketetapan daripada kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ berkehendak menjadikan Bani Israil melakukan kerosakan di bumi dua kali. Ia merujuk kepada kejadian alam.
2. Qada’ Syar’i – iaitu merujuk kepada ketetapan daripada Allah ﷻ berkenaan apa yang kita kena buat sebagai hamba. Ini seperti disebut dalam ayat yang kita sedang pelajari ini. Apa yang menjadi Qada’ Syar’i adalah perintah dan setiap perintah hukumnya wajib. Tidak menyembah selain Allah ﷻ itulah makna Tauhid.
Yang pertama disebut di sini, amalkan tauhid dan tinggalkan syirik kerana ketahuilah yang musibah yang menimpa kita adalah kerana kesalahan yang kita lakukan, terutama sekali amalan syirik. Bila kita buat syirik maka Allah ﷻ beri peringatan kita dengan beri musibah kepada kita. Maka kita kena kembali kepada Allah ﷻ dan duduk di dalam landasan akidah yang benar kembali.
Ini adalah arahan yang penting daripada Allah ﷻ kepada manusia: jangan hambakan diri kepada selain daripada Allah ﷻ. Kalau buat juga, itu adalah kesalahan yang amat besar dan akan menyebabkan kekal dalam neraka.
Masalahnya dengan kebanyakan manusia, mereka sembah Allah ﷻ, berdoa kepada Allah ﷻ, akan tetapi di dalam masa yang sama, mereka ada juga sembah dan berdoa kepada selain Allah ﷻ. Ini adalah syirik dan iman mereka yang sebegitu adalah tidak sempurna. Allah ﷻ ingatkan hal ini di dalam An’am: 82
الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
وَبِالوٰلِدَينِ إِحسٰنًا
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu
Hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Allah ﷻ sedang mengajar kita untuk berbuat baik kepada yang berjasa dengan kita. Pertamanya, Allah ﷻ yang telah menjadikan kita, dan kemudian ibubapa kita yang menjadi asbab kita lahir ke dunia.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ sebut tentang ibu bapa sebaik sahaja Allah ﷻ sebut tentang tauhid kepada-Nya dan ini memberitahu kepada kita bahawa perkara ini amatlah penting. Maka, jangan kita main-main tentang perkara ini. Lagi satu contoh adalah di dalam Luqman: 14
أَنِ اشكُر لي وَلِوٰلِدَيكَ
Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu
Lihat juga An’am: 151
۞ قُلْ تَعَالَوْا اَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ اَلَّا تُشْرِكُوْا بِهٖ شَيْـًٔا وَّبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسَانًاۚ
Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa;
Sekali lagi di dalam Nisa’: 36
وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,
Kalimah yang digunakan dalam ayat-ayat ini adalah والد yang bermaksud ibu bapa yang melahirkan kita (biological parents). Ini berbeza dengan kalimah ٌأب yang kadangkala digunakan untuk juga ‘bapa’. Kalau digunakan أب, ia bermaksud bapa yang telah menjaga kita dengan baik dan sayang kepada kita.
Kalimah إِحسٰنًا bukan sahaja bermaksud baik, tetapi lebih baik. Ini kerana Al-Qur’an menggunakan kata إِحسٰنًا untuk dua hal. Pertama, memberi nikmat kepada pihak lain, dan kedua, perbuatan baik, kerana itu kata “ihsan” lebih luas dari sekadar memberi nikmat atau nafkah. Maknanya bahkan lebih tinggi dan lebih dalam daripada kandungan makna ‘adil’, kerana adil itu adalah memperlakukan orang lain sama dengan perlakuannya kepada kita, sedangkan “ihsan”, memperlakukannya lebih baik daripada perlakuannya terhadap kita. Adil adalah mengambil semua hak kita dan atau memberi semua hak orang lain, sedangkan ihsan adalah memberi lebih banyak daripada yang harus kita beri dan mengambil lebih sedikit daripada yang seharusnya kita ambil.
Maknanya kita kena buat lebih lagi dengan ibubapa kita. Apa maksudnya dalam praktikal kita? Kita kena letak mereka di tempat yang tinggi dan berbakti kepada mereka. Akan tetapi apakah caranya? Tentulah ada banyak perkara yang kita boleh lakukan, namun bagi saya satu kayu ukur yang kita kena ingat adalah melakukan sesuatu yang kita tahu menggembirakan mereka. Apa-apa sahaja kita lakukan adalah untuk bagi diri mereka bahagia dan redha. Itu mungkin bermakna bercakap baik dengan mereka, selalu balik kampung, selalu telefon, selalu masakkan untuk mereka dan macam-macam lagi cara untuk menambat hati mereka. Terlalu banyak untuk kita sebutkan satu persatu, tetapi bila kita sudah tahu kayu ukur dia, senang (bahagiakan mereka).
Namun itu adalah kerana kita balas jasa mereka, bukan? Apa maksud lebih lagi (إِحسٰنًا)? Maknanya kalau mereka tidak berjasa pun dengan kita, kita kena berbuat baik dengan mereka (bayangkan kalau jasa mereka banyak). Bayangkan kalau mereka itu tidaklah berapa baik dengan kita, abaikan kita, tinggalkan kita entah di mana, tidak tunjukkan kasih sayang, kejam dan dera kita, begitu pun kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Jasa mereka amat besar kerana melahirkan kita yang kita tidak mungkin boleh balas (tidak termasuk jasa-jasa yang lain). Ada ibubapa bukanlah baik sangat, tidaklah menjaga sangat anak-anaknya, tetapi kerana Allah ﷻ menggunakan kalimah إِحسٰنًا, ia bermaksud kita tidak boleh hiraukan hal itu. Kita tetap kena berbuat baik dengan mereka.
Kenapa ada perbincangan tentang perkara ini? Kerana kita disuruh berbuat baik kepada ibubapa kita, sama ada mereka baik atau pun tidak. Kerana ada juga ibubapa yang tidak baik, bukan? Itu tidak kisah kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah والد dalam bentuk yang umum. Kalau mereka tidak baik, tidak jaga kita dengan baik pun, kita tetap kena berbuat baik kepada mereka.
Maka tidak bolehlah digunakan alasan untuk tidak berbuat baik kepada ibu bapa kalau mereka tidak berbaik dengan kita. Mungkin ada anak yang diabaikan oleh ibubapa mereka, malah ada yang lebih teruk, ditindas oleh ibubapa sendiri. Yang mereka tidak berbuat baik dan menjaga anak mereka dengan baik itu adalah masalah mereka dan mereka kena jawab nanti di akhirat; tapi seorang anak tetap kena menghormati mereka dan tetap kena berbuat baik kepada mereka. Alasan mereka ibubapa yang jahat, bukanlah alasan untuk tidak berbuat baik dengan mereka.
Allah ﷻ kata kita kena berbuat ihsan dengan ibu bapa kita dan ini bermaksud berbuat sehabis baik dengan mereka. Maka boleh dikatakan bahawa ini adalah arahan yang paling susah di dalam kumpulan ayat-ayat ini kerana kadang-kadang kita rasa susah untuk benar-benar buat baik dengan ibubapa kita sendiri. Kerana kadang-kadang mereka mahukan perkara yang berlainan daripada kehendak kita, bukan?
Maka berilah tindakan yang baik kepada ibubapa kita kerana sebelum kita kenal Allah ﷻ dan sebelum kita kenal agama, ibubapa kitalah yang kita kenal dahulu. Merekalah yang telah berjasa melahirkan kita dan membesarkan kita, melayan kerenah kita semasa kita kecil dulu.
Kalau emak dan ayah yang kita nampak di hadapan mata kita pun kita tidak boleh berlaku baik, maka bagaimana kita boleh berharap untuk berlaku baik kepada Allah ﷻ yang tidak ada di depan mata kita dan kita tidak dapat melihat-Nya?
Cuma dari segi keutamaan, seorang anak mestilah berbuat baik kepada ibunya dahulu, selepas itu barulah bapanya. Ini seperti disebut di dalam satu hadith, Rasulullah ﷺ bersabda:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.
Riwayat Muslim (2548)
Memang dari segi kedudukan, ibu lebih utama. Sebab itu sampai kita besar sekarang pun kalau ada apa-apa, kita sebut ‘alamak’! Kita tak sebut alapak, bukan?
Dari segi bahasa pula, kenapa Allah ﷻ gunakan harf ب pada بِالوٰلِدَينِ dan bukan harf ل (untuk) atau إلى (kepada) yang penggunaan pada mata kita, lebih kurang sama sahaja. Menurut pakar-pakar bahasa, kata ل ada mengandungi makna jarak/jauh, sedangkan Allah ﷻ tidak menghendaki adanya jarak, walau sedikit dalam hubungan antara anak dan orang tuanya. Anak selalu harus mendekat dan merasa dekat kepada ibu bapanya, bahkan kalau boleh, dia hendaknya melekat kepadanya, dan kerana itu digunakan harf ب yang mengandungi erti إلصاق , yakni kelekatan. Ini kerana huruf ب di dalam بِسَبَبٍ adalah dalam bentuk Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Maka ke mana pun kita pergi, kita bawa nama ibubapa kita. Ke mana pun kita pergi, kita kena ingat kepada mereka. Malah apabila mereka tidak ada pun, kita kena tetap ingat kepada mereka dan mendoakan mereka.
Disebabkan kelekatan itulah, maka bakti yang dipersembahkan oleh anak kepada orang tuanya, pada hakikatnya bukan untuk ibu bapa, tetapi untuk diri sang anak itu sendiri. Itu pula sebabnya tidak dipilih kata penghubung ل atau إلى yang mengandungi makna ‘peruntukan’ dan ‘kepada’. Sebelum ini kita sudah pernah bincangkan bahawa segala perbuatan baik kita adalah untuk kita, bukan untuk orang lain, bukan? Maka ada pengulangan kefahaman itu di sini.
Syeikh Muhammad Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ mempunyai pandangan lain. Menurutnya kata ihsan bila menggunakan harf ب, maka yang dimaksudkan adalah penghormatan dan pengagungan yang berkaitan dengan peribadi seperti dalam firman-Nya mengabadikan ucapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Yusuf: 100
وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ
Dia (Allah) telah berbuat baik kepadaku ketika Dia membebaskan aku dari penjara,
Maka penggunaan harf ب apabila berkenaan penghormatan kedudukan, sedangkan bila yang dimaksudkan adalah dengan memberi manfaat material, maka yang digunakan adalah ل, dan dengan demikian ayat kita sedangkan syarahkan ini lebih menekankan kebaktian pada penghormatan dan pengagungan peribadi kepada kedua orang tua.
إِمّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ الكِبَرَ أَحَدُهُما أَو كِلاهُما
Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,
Memang kita tidak nafikan bahawa apabila ibubapa itu telah tua, memang susah untuk berurusan dengan mereka, tetapi Allah ﷻ beritahu bahawa walaupun mereka begitu, kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Ini adalah ujian untuk kita. Ini kerana hukumnya wajib kita berbuat baik kepada ibu bapa. Lebih-lebih lagi kerana ketika di usia tualah mereka lebih memerlukan kita.
Terutama sekali di usia tua mereka, dan kitalah yang menjaga mereka. Sekarang giliran kita pula untuk menjaga mereka, bukan? Kadang-kadang apabila kita yang menjaga mereka, dan kita di atas mereka, Allah ﷻ ingatkan yang kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Malah kena lebih berhati-hati kerana sekarang kita yang di atas mereka. Malang sekali bagi mereka yang tidak mengambil peluang ini seperti disebut di dalam satu hadith,
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
“Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”
(Riwayat Muslim (2551))
Ayat ini adalah untuk keadaan di mana apabila mereka telah tua dan duduk bersama dengan kita. Ini disebut secara khusus, kerana tidak sama kalau mereka tua dan duduk jauh daripada kita. Apabila mereka sentiasa bersama dengan kita, tentu mereka akan berkata macam-macam perkara dan kadang-kadang tindakan-tindakan mereka adakalanya akan menyebabkan kita sakit hati, bukan?
Allah ﷻ sebut usia tua mereka kerana hendak mengingatkan kita bahawa apabila mereka tua, sebenarnya masa bersama kita adalah pendek sahaja. Berapa lama lagilah masa mereka sebelum meninggalkan kita. Maka apalah susah sangat untuk kita menjaga mereka? Sedangkan tempoh mereka menjaga kita lebih lama lagi.
Kadang-kadang seorang sahaja yang tinggal dan kadang-kadang kedua mereka duduk dengan kita. Tidak kira sama ada bapa atau ibu kita disebut, kerana sifat kedua-dua mereka tidak sama. Kadang-kadang seorang daripada mereka itu lebih mencabar lagi daripada seorang yang lain. Akan tetapi walau apa pun yang mereka kata dan walau apa yang mereka buat, kita kena tahan perasaan kita dan kita jangan kurang ajar terhadap mereka. Allah ﷻ sebut kedua-duanya atau salah seorang sahaja, supaya tidak ada alasan untuk tidak berbakti kepada mereka. Sebagai contoh, kadangkala salah seorang sahaja yang kita sayang, tetapi seorang lagi tidak berapa sangat, bukan? Apabila Allah ﷻ sebut kedua-dua atau salah seorang, maka ini menutup alasan apa pun untuk tidak berbakti.
Nasihat ini amat penting, terutama sekali kepada orang-orang yang telah berkahwin kerana mereka sudah ada keluarga sendiri dan sudah sibuk dengan kehidupan sendiri. Maka mereka kena berusaha lebih sedikit untuk meluangkan masa untuk ibu bapa.
Cara kita bercakap dengan mereka pun perlu amat dijaga supaya tidak mengguris perasaan mereka. Ini penting kerana semakin tua seseorang itu, semakin mudah terasa dan semakin mudah tersentuh dengan perkara yang kecil-kecil pun. Kadang-kadang kita tidak berniat pun, tetapi mereka sudah sentap. Semua ini akan menjadi ujian buat kita.
فَلا تَقُل لَّهُما أُفٍّ
maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah”
Kalimah أُفٍّ bermaksud asalnya sesuatu yang menggelikan dan kemudian bertukar membawa maksud ‘Ah bosannya!’. Kadang-kadang perkataan itu tidak perlu keluar atau bunyi tidak perlu keluar pun, tetapi ia ditunjukkan dalam bentuk memek muka dan perbuatan kita. Atau kita merengus dengan hembusan angin pun sudah cukup. Kita yang belajar ini janganlah keluarkan kalimah ataupun perbuatan-perbuatan yang boleh dikira sebagai أُفٍّ ini.
Inilah kalimah yang nampak pendek dan lembut sahaja, tetapi sebenarnya ia amat kasar. Kalau bahasa kita, mungkin tidak gunakan kalimah أُفٍّ, tetapi mungkin ‘uh’, ‘ah’ atau ‘eh’, ‘ish’. Kena bandingkan dengan lafaz negeri dan daerah masing-masing.
Atau kadangkala kita cakap perkataan yang benar, tetapi dengan ‘nada’ yang boleh mengguris hati mereka.
Atau kita tidak cakap tetapi membuat bunyi yang mereka faham kita tidak suka seperti mendengus. Contohnya selepas mereka berkata, kita menarik nafas yang panjang, memberi isyarat yang kita tidak suka dengan apa yang mereka katakan.
Atau, kita tidak cakap dan buat bunyi pun, tetapi dengan memek air muka kita dan perbuatan kita seperti menghentak-hendak barang, menghempas pintu, dan sebagainya. Maka ia adalah apa-apa sahaja tindakan kita yang menyebabkan mereka sakit hati, atau terasa hati. Ini adalah kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita, dan apabila orang yang kita telah tumpahkan jasa kurang ajar dengan kita, ia lebih menyakitkan hati.
Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan ayat ini. Kata beliau: “Ertinya ialah jika engkau lihat salah seorangnya atau keduanya telah berak atau kencing di mana semahunya saja, sebagaimana yang engkau lakukan di waktu engkau kecil, janganlah engkau mengeluarkan kata yang mengandungi keluhan sedikit pun.” Boleh?
Dosa derhaka kepada ibubapa sangatlah berat sampaikan Allah ﷻ akan terus beri hukuman kepada anak itu semasa hidup lagi. Ini seperti disebut di dalam hadith,
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”
(Riwayat Hakim (7263))
وَلا تَنهَرهُما
dan janganlah kamu membentak mereka
Kalimah تَنهَرهُما berasal daripada kalimah نهر yang bermaksud ‘sungai’. Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud marah kepada seseorang, kerana orang yang kena marah bertubi-tubi itu rasa seperti mereka dihambur dengan air sungai yang kuat.
Tambahan pula orang yang sedang memaki itu bercakap dengan kuat dan laju, sampai air liur mereka pun tersembur juga sehinggakan terkena kepada orang yang dimarahi itu. Ayat ini mengajar kita supaya jaga kata-kata kita supaya kita jangan sampai marah dan menghambur kata-kata buruk dan menyakitkan hati kepada ibu bapa kita.
Jangan sesekali tengking mereka. Sama ada sengaja atau tidak sengaja. Walaupun kita tidak sengaja, tetapi amat teruk sekali kalau sampai kita tertengking ibubapa kita. Marah macam mana pun, kita jangan sekali-kali tengking ibubapa kita. Kena kawal hati kita – jangan bagi syaitan masuk sampai boleh tengking ibubapa kita.
Di dalam ayat ini tidak disebut tentang memukul ibubapa dan ayat-ayat lain. Namun kita boleh faham begini: kalau tengking dan kata uff pun tidak boleh dengan mereka, apatah lagi kalau pukul mereka. Itu tentulah lebih teruk maka tidak perlu disebut.
وَقُل لَّهُما قَولًا كَريمًا
dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
Sebaliknya kita disuruh di dalam ayat ini untuk bercakap kepada ibu bapa kita dengan kata-kata yang baik. Iaitu kata-kata yang lembut dan hormat sungguh-sungguh kepada mereka. Maka gunakan perkataan yang mulia iaitu kata-kata yang tidak menyakiti hati. Juga terlebih baik adalah kata-kata yang memuliakan mereka kerana mereka layak untuk dimuliakan oleh anak-anak mereka.
Hadith-hadith yang menyebutkan tentang berbakti kepada kedua orang tua cukup banyak, antara lain ialah hadith yang diriwayatkan melalui berbagai jalur daripada Anas dan lain-lainnya yang mengatakan bahawa pada suatu hari Nabi Muhammad ﷺ naik ke atas mimbar, kemudian baginda mengucapkan kalimat Amin sebanyak tiga kali. Maka ketika ditanyakan, “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau aminkan?” Maka Nabi ﷺ jawab:
“أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ، فَقُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ: آمِينَ. ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ دَخَلَ عَلَيْهِ شَهْرُ رَمَضَانَ ثُمَّ خَرَجَ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ، قُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ آمِينَ. ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ، قُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ: آمِينَ”
Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang kepadaku, lalu mengatakan, “Hai Muhammad, terhinalah seorang lelaki yang namamu disebut di hadapannya, lalu dia tidak membaca ealawat untukmu. Ucapkanlah ‘Amin’.” Maka saya mengucapkan Amin lalu Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata lagi, “Terhinalah seorang lelaki yang memasuki bulan Ramadan, lalu dia keluar dari bulan Ramadan dalam keadaan masih belum beroleh ampunan baginya. Katakanlah, ‘Amin’.” Maka aku ucapkan Amin. Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melanjutkan perkataannya, “Terhinalah seorang lelaki yang menjumpai kedua orang tuanya atau salah seorangnya, lalu keduanya tidak dapat memasukkannya ke syurga. Katakanlah, ‘Amin’.” Maka aku ucapkan Amin.
(Kitab Al-Aadab AlMufrad (644))
Disahihkan oleh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ
Maka, ini adalah sebahagian daripada Amalan Tiga Serangkai.
-
- Jangan syirik
- Berbuat baik kepada ibubapa
Cuma perlu diingat bahawa ketaatan kepada ibubapa mestilah di dalam perkara yang ma’ruf (baik), tidak boleh dalam perkara yang maksiat seperti disebut di dalam hadith,
لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
“Tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah, hanyasanya ketaatan itu di dalam kebajikan.”
(Sahih Muslim (3424))
Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan dalam kalangan manusia. Salah satu caranya adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.
Maka Al-Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini. Kalau kita lihat kepada ayat-ayat yang lain:
1. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa: 5.
وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموٰلَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيٰمًا وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا
Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.
2. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam Nisa: 9.
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
Dan hendaklah takut orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).
Ia bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.
3. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam Nisa: 63.
أُولٰئِكَ الَّذينَ يَعلَمُ اللهُ ما في قُلوبِهِم فَأَعرِض عَنهُم وَعِظهُم وَقُل لَّهُم في أَنفُسِهِم قَولًا بَليغًا
Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.
Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.
4. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam ayat ini. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Ayat Isra’: 23 ini adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka ada buat salah, memang boleh tegur tetapi kena gunakan kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena jaga caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.
5. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’: 28.
وَاِمَّا تُعْرِضَنَّ عَنْهُمُ ابْتِغَاۤءَ رَحْمَةٍ مِّنْ رَّبِّكَ تَرْجُوْهَا فَقُلْ لَّهُمْ قَوْلًا مَّيْسُوْرًا
Dan jika kamu berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat daripada Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.
Maksudnya hendaklah menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’: 28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu.
Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu pada waktu itu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah terseksa.
6. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha: 44.
فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.
Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha: 44 ini arahan Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.
Rasulullah ﷺ dalam usia sekitar 60 tahun setelah menakluk Hunain dan Bani Sa’ad, telah ditemui oleh ibu yang menyusukannya, yang sudah sangat tua, iaitu Halimatus-Sa’diyah. Ketika wanita tua itu datang, baginda tanggalkan baju jubahnya, baginda suruh beliau duduk di atasnya, lalu baginda sandarkan kepalanya ke dada perempuan itu, dada yang pernah dihisapnya air susunya.
Sebagai tambahan, hadith-hadith di bawah ini adalah termasuk di bawah prinsip berbuat baik kepada kepada ibu dan bapa.
عن عبدالله إبن مسعود رضى الله عنه قال : سألت النبى صلى الله عليه وسلّم : أيّ الأعمال أحبّ إلى الله ؟ قال : الصلاة على وقتها. قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : برّ الوالدين . قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله
“Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Nabi ﷺ; Amalan manakah yang lebih Allah suka? Rasulullah ﷺ menjawab: Sembahyang pada waktunya. Aku berkata: Kemudian apa? Rasulullah ﷺ menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa. Aku berkata: Kemudian apa? Rasulullah ﷺ menjawab: Berjuang di jalan Allah”.
(Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i dan Ahmad)
Di dalam hadith yang lain,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُجَاهِدُ قَالَ لَكَ أَبَوَانِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ
Daripada Abdullah bin Amar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: “Seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ: “Aku hendak berjihad”. Nabi ﷺ bertanya kepadanya: “Adakah kamu mempunyai ibubapa?”. Beliau menjawab: “Ya”. Nabi ﷺ berkata: “Maka berjihadlah pada mereka berdua”.
(Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Syarah: jikalau jihad masih lagi di dalam lingkuan Fardhu Kifayah, maka waktu itu kewajipan berkhidmat kepada ibubapa lebih utama. Kecuali jikalau jihad menjadi Fardhu Ain (mendapat arahan dari Khalifah) maka jihad pada waktu itu menjadi lebih utama.
Begitu pentingnya berbuat baik dengan ibubapa, sampaikan kalau mereka itu seorang kafir pun, layak mereka dilayan dengan baik oleh anaknya. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,
عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَتْ قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُلْتُ وَهِيَ رَاغِبَةٌ أَفَأَصِلُ أُمِّي قَالَ نَعَمْ صِلِي أُمَّكِ
Daripada [Asma’ binti Abi Bakr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; Ibuku menemuiku saat itu dia masih musyrik pada zaman Rasulullah ﷺ lalu aku meminta pendapat kepada Rasulullah ﷺ. Aku katakan; “Ibuku sangat ingin (aku berbuat baik padanya), apakah aku harus menjalin hubungan dengan ibuku?” Baginda menjawab: “Ya, sambunglah silaturrahim dengan ibumu”.
(Sahih Bukhari (2427))
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 8 Disember 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)


