Nahl Ayat 60: Berhimpun segala keburukan pada manusia yang tidak mempercayai akhirat.
لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ مَثَلُ السَّوءِ ۖ وَِللهِ المَثَلُ الأَعلىٰ ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
For those who do not believe in the Hereafter is the description [i.e., an attribute] of evil;¹ and for Allāh is the highest attribute. And He is Exalted in Might, the Wise.
- Such as that described in the previous two verses.
(MELAYU)
Orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, mempunyai sifat yang buruk; dan Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ مَثَلُ السَّوءِ
Orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, mempunyai contoh sifat yang buruk;
Mereka yang tidak beriman dengan hari Kiamat itu akan ada sifat buruk pada mereka. Musyrikin Mekah itu adalah contoh manusia yang paling teruk seperti yang telah disebut tentang mereka. Telah disebut contoh-contoh sifat dan fahaman buruk mereka seperti mengambil ilah selain Allah ﷻ, tidak bersyukur kepada Allah ﷻ, berdoa hanya apabila ada kesusahan.
Akan tetapi dalam ayat ini Allah ﷻ tidak khususkan kepada Musyrikin Mekah sahaja sebaliknya Allah ﷻ sebut الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ (orang yang tidak beriman dengan hari akhirat). Maka ia boleh jadi kepada sesiapa sahaja, termasuklah kita.
Apabila tidak ada iman, maka banyak perkara salah yang mereka lakukan. Ini kerana mereka tidak takut buat dosa kerana pada mereka, apabila mati nanti mereka tidak akan dikenakan apa-apa. Pada mereka, bila mati nanti habis begitu sahaja. Maka ini mengajar kita bahawa untuk ada akhlak yang baik, kena ada iman; dan tanda iman tiada adalah apabila akhlak seseorang itu buruk.
Untuk menjadi manusia yang baik, kena ada iman kepada Hari Akhirat. Ini kerana orang yang yakin adanya Kiamat, Hari Pembalasan, Syurga dan Neraka, akan takut untuk berbuat dosa dan berlaku zalim kepada orang lain. Mereka akan berhati-hati dalam tindakan mereka. Kerana itulah Musyrikin Mekah tidak mahu percaya adanya Hari Akhirat kerana mereka tidak mahu dipertanggungjawabkan dengan perbuatan mereka semasa di dunia. Mereka hendak ikut nafsu mereka sahaja dan buat apa sahaja yang mereka hendak. Apabila tidak ada Hari Kiamat, maka senanglah mereka untuk rasa senang hati melakukan apa-apa sahaja.
Oleh itu kena ada keyakinan dan takut akan Hari Akhirat. Di dalam Insan: 6-10 disebut sifat-sifat ahli syurga, dan bagaimana mereka buat persediaan untuk menghadapinya.
عَينًا يَشرَبُ بِها عِبادُ اللَّهِ يُفَجِّرونَها تَفجيرًا
(iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya.
يوفونَ بِالنَّذرِ وَيَخافونَ يَومًا كانَ شَرُّهُ مُستَطيرًا
Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.
وَيُطعِمونَ الطَّعامَ عَلىٰ حُبِّهِ مِسكينًا وَيَتيمًا وَأَسيرًا
Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.
إِنَّما نُطعِمُكُم لِوَجهِ اللَّهِ لا نُريدُ مِنكُم جَزاءً وَلا شُكورًا
Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.
إِنّا نَخافُ مِن رَّبِّنا يَومًا عَبوسًا قَمطَريرًا
Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan.
وَِللهِ المَثَلُ الأَعلىٰ
dan Allah mempunyai contoh sifat yang Maha Tinggi;
Apabila Allah ﷻ memberi contoh untuk diri-Nya, Allah ﷻ berikan contoh yang baik. Iaitu Allah ﷻ beri contoh perhubungan-Nya dengan kita. Bukan-Nya Allah ﷻ beri contoh tentang diri-Nya. Kerana Allah ﷻ tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa pun.
Contohnya, Allah ﷻ bandingkan kasih sayang ibu dengan anaknya dengan Kasih-Nya. Supaya kita dapat bayangkan sikit-sikit sifat Allah ﷻ. Namun itu pun sebagai contoh sahaja kerana sifat Allah ﷻ itu lebih tinggi.
Tafsir kedua: bila Allah ﷻ beri contoh perbandingan, ia adalah contoh yang terbaik untuk mengajar kita. Allah ﷻ selalu gunakan analogi dalam Al-Qur’an untuk mengajar kita kerana kita senang faham apabila analogi digunakan.
وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah itu Maha Perkasa untuk hukum manusia yang ingkar. Kalau Allah ﷻ beri hukuman atau beri azab kepada manusia, tidak ada sesiapa yang boleh halang.
Walaupun begitu, Allah ﷻ Maha Bijaksana dengan menghantar dulu para Rasul dan penyebar tauhid untuk sampaikan ajaran-Nya. Allah ﷻ tidak terus hukum manusia kalau mereka buat salah. Allah ﷻ beri peluang kepada mereka untuk ubah diri mereka ke arah kebaikan. Kalau Allah ﷻ bunuh terus manusia kerana dosa yang mereka lakukan, sudah tentulah pupus segala spesies manusia di muka bumi ini.
Sekian Ruku’ 7 daripada 16 ruku’ surah ini.
Nahl Ayat 61: Mulai ayat ini sehingga ke ayat 65 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 5). Ia berkenaan bantahan kepada orang yang tidak percaya kepada Hari Akhirat.
Takhwif duniawi. Kita memang banyak berdosa. Allah ﷻ boleh sahaja terus beri azab kepada kita, bukan? Namun adakah Allah ﷻ buat begitu kepada kita?
وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِظُلمِهِم مّا تَرَكَ عَلَيها مِن دآبَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم لا يَستَئخِرونَ ساعَةً ۖ وَلا يَستَقدِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if Allāh were to impose blame on the people for their wrongdoing, He would not have left upon it [i.e., the earth] any creature, but He defers them for a specified term. And when their term has come, they will not remain behind an hour, nor will they precede [it].
(MELAYU)
Jikalau Allah menghukum manusia kerana kezaliman mereka, nescaya tidak akan ditinggalkan-Nya di muka bumi sesuatu pun dari makhluk yang melata, tetapi Allah menangguhkan mereka sampai kepada waktu yang ditentukan. Maka apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya.
وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِظُلمِهِم
Jikalau Allah menghukum manusia kerana kezaliman mereka,
Allah ﷻ memberitahu kita yang jikalau Allah ﷻ membalas terus dosa manusia, dengan sekaligus dan serta merta kerana kezaliman mereka, boleh sahaja. Allah ﷻ azab pun kerana kezaliman dan kekufuran mereka, bukannya kerana suka-suka.
مّا تَرَكَ عَلَيها مِن دآبَّةٍ
nescaya tidak akan ditinggalkan-Nya di muka bumi sesuatu pun dari makhluk yang melata,
Akan tetapi kalau Allah ﷻ terus hukum manusia setiap kali mereka melakukan kesalahan dan dosa, maka tentulah tidak ada makhluk lagi yang akan hidup di atas muka bumi ini. Terus pupus segala-galanya kerana kita semua ini pernah melakukan berdosa, bukan? Kalau dosa sahaja terus dikenakan azab, maka siapa lagi yang akan tinggal? Ini juga seperti disebut dalam Fatir: 45
وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِما كَسَبوا ما تَرَكَ عَلىٰ ظَهرِها مِن دابَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى
Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu;
Kalimah دآبَّةٍ selalunya digunakan untuk haiwan (walaupun manusia pun termasuk دآبَّةٍ juga). Namun kenapa pula binatang pun tidak ada lagi kalau manusia yang berdosa dan dihapuskan? Apa pula salah mereka? Kerana binatang itu dicipta untuk kegunaan manusia. Maka kalau manusia tidak ada, binatang pun tidak ada lah juga.
وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى
tetapi Allah menangguhkan mereka sampai kepada waktu yang ditentukan.
Dalam kebijaksanaan Allah ﷻ, Dia memberi masa tangguh untuk kita. Diberi masa kepada manusia sehingga masa yang ditentukan. Maknanya Allah ﷻ beri peluang untuk kita bertaubat. Namun begitu sehingga satu tempoh tertentu sahaja, bukan sepanjang masa. Sampai masa, mereka akan mati juga akhirnya.
Kenapa Allah ﷻ beri tangguh? Kerana ada orang yang mulanya tidak beriman, tetapi akhirnya kalau mereka buka hati mereka, mereka akan nampak kebenaran Islam itu; ada orang yang mulanya menentang Islam, tetapi akhirnya masuk Islam – lihatlah bagaimana Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Khalid al Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu asalnya memerangi Islam namun akhirnya menjadi Muslim yang baik dan berkhidmat menyebarkan agama Islam sehingga ke dunia luar.
فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم لا يَستَئخِرونَ ساعَةً
Maka apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun
Namun begitu apabila sudah sampai masa yang Allah ﷻ telah tetapkan itu, tidak boleh ditangguhkan walau sesaat pun. Ia boleh jadi bermaksud Kiamat Besar atau Kiamat Kecil (kematian seseorang).
Ini mengingatkan kita yang kita semua sudah ada ajal yang Allah ﷻ telah tetapkan. Selagi tidak sampai, selagi itu boleh bertaubat lagi. Namun bila sudah sampai, tidak boleh mahu tangguh sekejap, minta peluang mahu bertaubat. Memang tidak akan ada peluang lagi.
وَلا يَستَقدِمونَ
dan tidak (pula) mendahulukannya.
Masa itu juga tidak boleh diawalkan juga. Ini kerana keputusan itu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ dan tidak ada sesiapa yang boleh mempercepatkan atau melewatkannya. Sebagai contoh, kalau Nabi ﷺ hendak cepatkan supaya dikenakan azab terus kepada penentang baginda, itu pun tidak boleh dilakukan.
Nahl Ayat 62: Pengulangan zajrun (teguran). Kembali kepada perbincangan anak perempuan. Juga mengandungi takhwif ukhrawi (ancaman azab di akhirat).
وَيَجعَلونَ ِللهِ ما يَكرَهونَ وَتَصِفُ أَلسِنَتُهُمُ الكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ الحُسنىٰ ۖ لا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ النّارَ وَأَنَّهُم مُّفرَطونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they attribute to Allāh that which they dislike [i.e., daughters], and their tongues assert the lie that they will have the best [from Him]. Assuredly, they will have the Fire, and they will be [therein] neglected.¹
- Another meaning is “…and they will be made to precede [all others thereto].”
(MELAYU)
Dan mereka menetapkan bagi Allah apa yang mereka sendiri membencinya, dan lidah mereka mengucapkan kedustaan, iaitu bahawa sesungguhnya merekalah yang akan mendapat kebaikan. Tiadalah diragukan bahawa nerakalah bagi mereka, dan sesungguhnya mereka akan diabaikan.
وَيَجعَلونَ ِللهِ ما يَكرَهونَ
Dan mereka menetapkan bagi Allah apa yang mereka sendiri membencinya,
Mereka kaitkan Allah ﷻ dengan apa yang mereka sendiri benci. Mereka benci jikalau mereka dapat anak perempuan, tetapi dalam masa yang sama, mereka kata Allah ﷻ ambil anak perempuan. Kalau kita memberikan sesuatu yang kita sendiri tidak suka, tentulah ini tidak beradab dan kurang ajar, bukan? Ini seperti Allah ﷻ telah ajar kita tentang memberi sedekah kepada orang di dalam Baqarah: 267
وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ
Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya.
Satu lagi, mereka mengadakan sekutu bagi Allah ﷻ. Padahal, jikalau mereka ada sekutu dalam harta benda mereka pun mereka tidak suka, bukan? Kalau isteri kita menduakan kita pun kita akan mengamuk, bukan? Akan tetapi Musyrikin Mekah itu menduakan Allah ﷻ! Amat teruk sekali apa yang mereka lakukan itu.
وَتَصِفُ أَلسِنَتُهُمُ الكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ الحُسنىٰ
dan lidah mereka mengucapkan kedustaan, iaitu bahawa sesungguhnya merekalah yang akan mendapat kebaikan.
Kalimah وَتَصِفُ daripada katadasar و ص ف yang bermaksud ‘menjelaskan’, ‘mengatakan sesuatu’. Allah ﷻ berkata lidah mereka mengatakan pendustaan. Sebagai contoh, mereka berkata para malaikat itu adalah anak perempuan Allah ﷻ dan kerana itu mereka itu adalah wakil Allah ﷻ. Mereka juga berkata yang mereka akan dapat kebaikan dengan menyeru malaikat itu kerana mereka itu anak Allah ﷻ. Mereka berkata dengan menyeru malaikat, boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi dan mendapat balasan baik.
Mereka juga mengatakan yang mereka akan mendapat kebaikan di akhirat kelak (kalau ada akhirat). Mereka berkata begitu kerana mereka sedang mendapat kebaikan di dunia – mereka sangkakan, jikalau mereka dapat kebaikan di dunia, tentulah mereka akan dapat kebaikan di akhirat juga, kerana mereka ‘insan terpilih’. Allah ﷻ tolak fahaman mereka ini. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:
وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ رَحْمَةً مِنَّا مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ هَذَا لِي وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُجِعْتُ إِلَى رَبِّي إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَى فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِمَا عَمِلُوا وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ
Dan jika Kami merasakan kepadanya suatu rahmat daripada Kami sesudah dia ditimpa kesusahan, pastilah dia berkata, “Ini adalah hakku, dan aku tidak yakin bahawa hari kiamat itu akan datang. Dan jika aku dikembalikan kepada Tuhanku, maka sesungguhnya aku akan memperoleh kebaikan pada sisi-Nya.” Maka Kami benar-benar akan memberitakan kepada orang-orang kafir apa yang telah mereka kerjakan dan akan Kami rasakan kepada mereka azab yang keras.
(Fussilat: 50)
Juga disebut dalam ayat yang lain, bagaimana fahaman salah ini banyak terjadi dalam kalangan manusia:
وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَذِهِ أَبَدًا وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَى رَبِّي لأجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا
Dan dia memasuki kebunnya, sedangkan dia zalim terhadap dirinya sendiri; dia berkata, “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu”
(Kahf: 35-36)
Begitulah, ramai dalam kalangan manusia menyangka yang mereka akan selamat. Ini kerana mereka lihat bahawa mereka mendapat kebaikan di dunia, maka mereka sangka tentu mereka akan selamat di akhirat kelak. Kerana mereka sangka, kalau Allah ﷻ sayangkan mereka semasa di dunia, tentulah di akhirat pun Allah ﷻ akan sayang. Ini adalah fahaman yang bahaya kerana tidak ada sesiapa boleh pasti yang mereka akan selamat. Kalau Allah ﷻ beri kesenangan semasa hidup di dunia, itu bukanlah tanda Allah ﷻ sayangkan orang itu. Kerana kalau itu yang dijadikan kayu ukur, tentulah para Nabi itu kaya raya kesemuanya.
Sepatutnya kita kena ada rasa takut (khauf) yang kita tidak selamat. Perasaan ini penting supaya kita tetap berusaha bersungguh-sungguh dalam amal sementara kita hidup. Kerana kalau sudah ada sangkaan yang diri akan selamat, seseorang itu tidak lagi berusaha untuk memperbaiki diri.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ beri contoh satu jenis tawasul (perantaraan) kepada malaikat. Selain daripada tawasul jenis ini, ada lagi tawasul yang dilakukan kepada Nabi dan wali. Ramai manusia yang menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara dalam doa mereka dan ini adalah amalan syirik. Walaupun ayat ini tentang amalan Musyrikin Mekah, tetapi sebenarnya, orang Islam yang jahil dengan Al-Qur’an juga melakukan perkara ini.
لا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ النّارَ
Tiadalah diragukan bahawa nerakalah bagi mereka,
Ini adalah takhwif ukhrawi. Allah ﷻ menolak fahaman salah mereka yang mengatakan mereka akan selamat dan dimasukkan ke dalam syurga. Allah ﷻ berkata mereka sudah pasti akan dimasukkan ke neraka kerana fahaman syirik mereka itu. Memang manusia ramai yang perasan akan dimasukkan ke dalam syurga seperti firman Allah ﷻ tentang golongan Yahudi dan disebut di dalam Baqarah: 111
وَقَالُوْا لَنْ يَّدْخُلَ الْجَنَّةَ اِلَّا مَنْ كَانَ هُوْدًا اَوْ نَصٰرٰى ۗ تِلْكَ اَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوْا بُرْهَانَكُمْ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Begitu juga golongan Muslim pun perasan masuk syurga. Padahal mereka tidak beramal dengan ajaran wahyu, berlaku zalim kepada makhluk, tetapi hanya kerana mereka dilahirkan di dalam keluarga Muslim dan nama mereka pun ala-ala nama Islam, mereka sangka mereka pasti masuk syurga. Ini juga adalah golongan ‘syok sendiri’ sahaja. Tiada sesiapa yang boleh yakin dia akan masuk syurga.
Begitulah yang terjadi kepada golongan musyrikin itu. Mereka perasan kerana kedudukan mereka sebagai penjaga Ka’bah, tentu mereka disayangi oleh Allah ﷻ. Namun sesekali tidak. Oleh kerana mereka melakukan syirik terhadap Allah ﷻ, maka mereka pasti akan masuk ke dalam api neraka. Ini tidak syak lagi. Begitulah jikalau Musyrikin Mekah yang melakukan syirik itu masuk neraka, maka sekiranya orang Islam yang buat perkara yang sama akan masuk neraka juga. Kerana tidak ada pengecualian dalam perkara ini.
وَأَنَّهُم مُّفرَطونَ
dan sesungguhnya mereka akan diabaikan.
Mereka akan ditinggalkan. Kalimah مُفرَطونَ daripada katadasar ف ر ط yang bermaksud mendahului; pengabaian; lalai; berlebihan; meninggalkan; bertindak tergesa-gesa atau tidak adil; gagal atau mengabaikan; melebihi had; ketidakadilan; mengatasi orang lain; tinggalkan; untuk dihantar lebih awal dan melimpah dalam kehidupan.
Maka satu maksud مُفرَطونَ adalah mereka akan diabaikan. Iaitu mereka akan dilupakan oleh Allah ﷻ. Iaitu dilupakan daripada diberi rahmat (tidak dilupakan daripada diberi azab – azab tetap dikenakan juga). Dulu mereka tinggalkan anak perempuan mereka, sekarang mereka akan dikenakan dengan balasan itu di mana mereka ditinggalkan dalam neraka selama-lamanya.
Daripada Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ, disebutkan pula sehubungan dengan makna firman-Nya, “Mufarratun” adalah mereka akan disegerakan masuk ke neraka sebelum orang lain lagi, kerana ia berasal daripada al-fart yang ertinya paling dahulu sampai. Maka ini adalah tafsir kedua bagi kalimah مُفرَطونَ.
Maksud yang ketiga bagi مُفرَطونَ adalah orang-orang yang melampau. Memang Musyrikin Mekah dan kebanyakan manusia melampau dengan menyembah selain Allah ﷻ, mensyirikkan-Nya, membunuh anak-anak, berlaku zalim dan sebagainya. Maka memang layak mereka dimasukkan ke dalam neraka dengan segera.
Di antara pendapat-pendapat yang disebutkan di atas tidak ada pertentangan, kerana pada hakikatnya mereka akan disegerakan masuk ke neraka pada hari kiamat nanti, lalu mereka akan dilupakan di dalam neraka, iaitu tinggal di dalam neraka selama-lamanya (kekal). Allah ﷻ akan lupakan mereka yang duduk dalam neraka itu, akan biarkan sahaja mereka di sana tanpa ada peluang untuk keluar. Menakutkan, bukan? Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana pelampauan yang mereka telah lakukan. Semoga Allah ﷻ lindungi kita dan keturunan kita semua daripada termasuk golongan ini. Aameen.
Nahl Ayat 63: Zajrun dan takhwif ukhrawi.
تَاللهِ لَقَد أَرسَلنا إِلىٰ أُمَمٍ مِّن قَبلِكَ فَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم فَهُوَ وَلِيُّهُمُ اليَومَ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
By Allāh, We did certainly send [messengers] to nations before you, but Satan made their deeds attractive to them. And he is their [i.e., the disbelievers] ally today [as well], and they will have a painful punishment.
(MELAYU)
Demi Allah, sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami kepada umat-umat sebelum kamu, tetapi syaitan menjadikan umat-umat itu memandang baik perbuatan mereka (yang buruk), maka syaitan menjadi pemimpin mereka di hari itu dan bagi mereka azab yang sangat pedih.
تَاللهِ
Demi Allah,
Allah ﷻ bersumpah dengan Nama-Nya lagi. Ini menunjukkan kepentingan perkara yang hendak disampaikan. Lihat sekali lagi huruf ت digunakan dalam sumpah ini menunjukkan kekuatan sumpah ini.
لَقَد أَرسَلنا إِلىٰ أُمَمٍ مِّن قَبلِكَ
sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul Kami) kepada umat-umat sebelum kamu,
Memang telah banyak dihantar Rasul-rasul kepada kaum-kaum dulu. Setiap kaum ada Rasul mereka. Tujuan Rasul itu adalah untuk membetulkan kesalahan amalan dan fahaman kaum mereka. Begitulah mereka juga telah didustakan oleh kaum-kaum mereka. Maka janganlah Nabi Muhammad ﷺ berasa terkilan kalau baginda pun ditolak oleh kaum baginda. Ini adalah sunnatullah.
فَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم
tetapi syaitan menjadikan umat-umat itu memandang baik perbuatan mereka (yang buruk),
Allah ﷻ beritahu kenapa kaum Rasul itu menolak dakwah Rasul mereka. Ini adalah kerana mereka telah dibisikkan dan disesatkan oleh syaitan. Amalan yang mereka lakukan termasuk perkara syirik itu adalah buruk, tetapi syaitan telah mengaburi mata mereka sehinggakan mereka nampak elok sahaja amalan buruk mereka itu.
Begitulah syaitan telah berjaya mengaburi mata ramai manusia. Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis. Ia dinamakan tazyeen (mencantikkan yang buruk). Orang Islam yang terkeliru juga nampak elok amalan tawasul yang mereka lakukan. Ramai menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara dalam doa mereka. Ini adalah kerana mereka jahil dengan wahyu Al-Qur’an.
Begitulah asalnya bagaimana umat Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyembah berhala. Asalnya mereka buat patung untuk memperingati ulama’ mereka yang telah pergi. Apabila melihat patung itu teringat kepada mereka dan ada keinginan untuk mencontohi mereka. Namun setelah sekian lama, umat kemudian sangka ia adalah sesuatu yang perlu disembah. Ini adalah cara syaitan menipu mereka. Perbuatan yang salah, tetapi mereka mempunyai alasan kononnya ia baik, niat mereka baik.
Begitulah tertipunya manusia dengan syaitan. Oleh kerana itulah ramai yang memandang amalan bid’ah yang mereka lakukan baik sedangkan ia buruk. Mereka sahaja yang pandang baik kerana mereka itu jahil. Malah siap bagi nama Bid’ah Hasanah bagi amalan buruk mereka itu.
Apakah punca boleh tertipu dengan syaitan yang menghiaskan amalan buruk itu? Allah ﷻ berfirman di dalam An’am: 43
وَلٰكِن قَسَت قُلوبُهُم وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ ما كانوا يَعمَلونَ
Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
Di sini kita boleh lihat bahawa punca syaitan berjaya mencantikkan amalan buruk kepada manusia adalah kerana hati mereka keras. Keras untuk menerima kebenaran, keras untuk menerima wahyu, tidak terkesan hati apabila membaca Al-Qur’an, tidak boleh menerima nasihat daripada para pendakwah. Apabila hati keras, maka syaitan lah yang akan berjaya menyesatkan mereka. Cubalah anda periksa diri anda sendiri, pernahkah anda menangis ketika membaca Al-Qur’an? Kalau tidak, maka ada tanda yang hati anda keras.
فَهُوَ وَلِيُّهُمُ اليَومَ
maka syaitan menjadi pemimpin mereka di hari itu
Maka balasan bagi mereka adalah syaitan akan menjadi pemimpin mereka di hari Akhirat itu. Oleh kerana mereka ikut bisikan syaitan, maka syaitan adalah kawan mereka di dunia. Sepatutnya mereka belajar wahyu yang melarang amalan-amalan syirik, tetapi mereka tidak endahkan apa yang disampaikan oleh wahyu. Apabila tidak endahkan ajaran wahyu, maka syaitan akan mengambil peluang untuk menipu mereka.
Mereka bukanlah jadikan syaitan yang berwajah buruk itu sebagai wali. Kalau buruk, mereka pun tidak mahu. Akan tetapi yang mereka jadikan sebagai wali itu adalah apa yang mereka nampak baik seperti tok-tok guru mereka, yang mengajar ajaran salah kepada mereka. Mereka ini sebenarnya dipandu oleh syaitan.
Syaitan memang akan sentiasa sahaja ambil peluang untuk menipu manusia. Namun jikalau manusia itu mahir dengan Al-Qur’an, maka mereka ada kayu pengukur untuk menahan mereka daripada terikut dengan bisikan syaitan berkenaan syirik itu. Malang sekali bagi mereka yang tidak endahkan wahyu, maka senang sahaja syaitan menipu mereka.
Kesannya di akhirat nanti pun syaitan akan menjadi wali mereka. Waktu itu baru mereka sedar yang selama ini mereka ikut syaitan semasa di dunia. Di akhirat nanti mereka akan ditempatkan sama di tempat syaitan diazab. Maka terasa rugilah mereka pada waktu itu. Akibat di dunia mereka jadikan syaitan sebagai wali, dan di akhirat nanti pun begitu juga mereka akan bersama dengan wali mereka itu.
Namun begitu kalimah wali itu boleh bermaksud kawan rapat, boleh juga bermaksud pemimpin. Adakah syaitan berkuasa di akhirat kelak? Tentu tidak sama sekali. Ini adalah kata-kata perli daripada Allah ﷻ sahaja. Hakikatnya memang iblis tidak berkuasa dan malah dia akan mengaku pun seperti disebut di dalam Ibrahim: 22
وَقالَ الشَّيطٰنُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم ۖ وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِّن سُلطٰنٍ إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي ۖ فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم ۖ ما أَناْ بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ ۖ إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ ۗ إِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.
Iblis dan syaitan adalah musuh kita dan sepatutnya kita kena tahu bahawa mereka itu musuh. Maka ini termasuklah kena tahu cara mereka menipu kita. Di dalam ayat ini disebut salah satu senjata mereka iaitu tazyeen. Malah ada banyak lagi taktik mereka. Ini kerana untuk berperang dengan musuh, kita kena tahu taktik mereka, barulah ada harapan untuk menang dalam peperangan (mujahadah) dengan syaitan. Kalau tidak, memang kita ini menjadi lauk mereka sahaja. Ini kerana mereka tetap akan berusaha untuk memasukkan kita ke dalam neraka bersama-sama mereka seperti disebut di dalam Fatir: 6
إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala
Berdoalah kepada Allah ﷻ supaya kita diselamatkan daripada pujukan syaitan kerana iblis telah berjanji untuk menyesatkan semua manusia dan mereka yang selamat hanyalah yang dibersihkan oleh Allah ﷻ seperti disebut di dalam Hijr: 39-40
قالَ رَبِّ بِما أَغوَيتَني لَأُزَيِّنَنَّ لَهُم فِي الأَرضِ وَلَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ
iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,
إِلّا عِبادَكَ مِنهُمُ المُخلَصينَ
kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka”.
Ada enam peringkat godaan iblis dan syaitan yang telah disebut oleh Imam Ibnu Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ secara umum dan ringkas iaitu:
Pertama: Berusaha mengkafirkan manusia dan menyuruh manusia melakukan perbuatan yang syirik kepada Allah ﷻ.
Kedua: Peringkat bid’ah (ciptaan baru ibadah) yang mana mereka berusaha untuk menjadikan manusia lebih suka mencipta perkara bid’ah dan beramal dengannya lebih daripada melakukan amalan sunnah. Jika bisikan ini gagal maka Iblis akan beralih kepada peringkat yang ketiga.
Ketiga: Iblis mendorong manusia melakukan maksiat dan membuat dosa besar serta mengingkari perintah Allah ﷻ. Jikalau gagal, dia akan pergi ke peringkat yang keempat.
Keempat: Peringkat melakukan dosa-dosa kecil. Iblis akan berusaha untuk mendorong manusia melakukannya serta menjadikan manusia itu memandang kecil akan dosa-dosa ini. Jikalau manusia berjaya mengelaknya, dia akan pergi ke tahap kelima.
Kelima: Iblis akan berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus (tidak berdosa jika dilakukan) sehinggakan mereka lalai dan menghabiskan waktu dengan perkara tersebut.
Keenam: Iblis berusaha menyibukkan manusia dengan amal ibadah yang kurang utama lalu tertinggallah dan terlupalah yang paling utama seperti melakukan puasa sunat dan lupa untuk qada puasa Ramadan.
وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
dan bagi mereka azab yang sangat pedih.
Oleh itu, nasib mereka akan mendapat azab di akhirat kelak. Manusia dapat azab, syaitan itu sekali dapat azab.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 12 Januari 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
