Tafsir Surah an-Nahl Ayat 9 – 13 (Jasa Allah ﷻ kepada kita)

Nahl Ayat 9: Setelah Allah ﷻ menyebut tentang haiwan-haiwan yang dijadikan sebagai kenderaan di dalam perjalanan, sekarang Allah ﷻ menyebut pula tentang agama. Ini dikira sebagai jumlah mu’taridah kerana bertukar daripada kisah tentang perkara luaran kepada perkara dalaman pula. Maksud jumlah mu’taridah adalah apabila Allah ﷻ selit sesuatu pemberitahuan yang bagaikan tidak kena dengan susunan ayat. Sebelum ini disebut tentang nikmat-nikmat, tiba-tiba disebut tentang jalan lurus pula. Kemudian selepas ini kembali sebut tentang nikmat yang Dia berikan kepada makhluk.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu yang ada manusia yang mendapat petunjuk dan ada tidak mendapat petunjuk. Mereka itu tidak diberi petunjuk kerana pilihan mereka sendiri. Allah ﷻ telah beri pilihan kepada manusia untuk memilih antara dua jalan ini. Maka jikalau mereka sendiri yang memilih jalan kesesatan, maka Allah ﷻ tidak memaksa mereka untuk beriman.

وَعَلَى اللهِ قَصدُ السَّبيلِ وَمِنها جائِرٌ ۚ وَلَو شاءَ لَهَدىٰكُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And upon Allāh¹ is the direction of the [right] way, and among them [i.e., the various paths] are those deviating. And if He willed, He could have guided you all.

  • Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) has taken it upon Himself to guide man to the right path. The meaning has also been interpreted as “To Allāh…”

(MELAYU)

Dan bagi Allah (menerangkan) jalan yang lurus, dan di antara jalan-jalan ada yang bengkok. Dan jikalau Dia menghendaki, tentulah Dia memimpin kamu semuanya (kepada jalan yang benar).

 

وَعَلَى اللهِ قَصدُ السَّبيلِ

Dan bagi Allah (menerangkan) jalan yang lurus,

Kalimah قَصدُ maksudnya ‘meluruskan’. Ia daripada katadasar ق ص د yang bermaksud berniat; bersikap sederhana; mengemudi jalan tengah; pergi terus; menuju; berkehendak; pembaikan; tujuan; bertindak secara sederhana; cara yang betul; jalan tengah; matlamat yang betul; jalan lurus dan betul; mudah atau sederhana; seseorang yang terus ke jalan yang betul dan sederhana, yang berada di antara dua ekstrem; berniat baik. Allah ﷻ yang menerangkan jalan yang lurus. Jalan yang paling lurus membawa kepada Allah ﷻ.

Yang dimaksudkan adalah jalan pertengahan di antara dua ekstrem. Inilah jalan yang benar dan lurus yang semua orang Islam patut berada di atasnya. Ia juga dinamakan sebagai wasatiyah (pertengahan) seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 143

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”

Sebelum ini disebut tentang kenderaan yang Allah ﷻ berikan kita untuk memudahkan kita di dalam musafir perjalanan di dunia. Sekarang Allah ﷻ ingatkan yang kehidupan kita di dunia ini hanya seperti musafir sahaja. Ada tujuan yang kita sedang menuju kepadanya iaitu kepada Allah ﷻ. Maka di sini Allah ﷻ beritahu yang Dialah yang membawa seseorang itu ke atas jalan yang lurus. Kepada mereka yang mahu menerima kebenaran, Allah ﷻ akan bawa orang itu di atas jalan lurus ini.

Kenderaan untuk fizikal di dunia Allah ﷻ telah sediakan seperti kuda, unta dan sebagainya, kenderaan untuk menuju kepada-Nya adalah wahyu Al-Qur’an dan hadith. Kalau kita berpegang kepadanya maka kita akan selamat untuk sampai kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ telah memudahkan kita untuk menerima hidayah Islam. Telah diberikan pancaindera kepada kita, juga telah diberikan akal minda otak, malah Allah ﷻ telah berikan fitrah kepada kita. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Rum: 30

فَأَقِم وَجهَكَ لِلدّينِ حَنيفًا ۚ فِطرَتَ اللّٰهِ الَّتي فَطَرَ النّاسَ عَلَيها
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.

Sebesar-besar nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada makhluk-Nya adalah iman. Akan tetapi seorang manusia itu perlulah berusaha untuk mendapatkannya kerana Allah ﷻ telah berikan segalanya yang diperlukan untuk mendapat hidayah itu.

 

وَمِنها جائِرٌ

dan di antaranya ada yang bengkok. 

Akan tetapi ada jalan yang lurus dan ada juga yang melencong sesat. Kalimah جائِرٌ daripada katadasar ج و ر yang bermaksud untuk berpaling ke tepi; sesat; bertindak salah; tinggal berdekatan; membaiki; melindungi; menyelamat; tinggal berdekatan bersama-sama; penyelewengan; menyimpang; menindas; menganiaya. Itulah jalan-jalan yang bengkok seperti jalan Yahudi, Nasara dan Musyrik. Itulah jalan-jalan yang bukan berlandaskan wahyu. Kalau tidak berhati-hati, memang akan terpesong dari jalan yang benar. Maka kita kena belajar agama dengan wahyu dan sentiasa kawal diri kita. Harus belajar mana jalan yang lurus dan mana jalan yang bengkok.

Amat malang sekali kalau manusia memilih jalan yang salah. Kalau kita perhatikan ayat-ayat yang kita telah belajar di dalam surah ini dan kemudiannya nanti, ia menyebut nikmat-nikmat yang Allah ﷻ telah berikan. Namun begitu tetap juga ramai manusia yang memilih untuk tidak menghargai Allah ﷻ. Mereka menyembah selain Allah ﷻ, berdoa kepada selain Allah ﷻ, tidak melakukan suruhan-Nya dan tidak meninggalkan larangan-Nya.

Allah ﷻ sebut tentang nikmat kenderaan yang digunakan oleh manusia. Mereka gunakan nikmat Allah ﷻ itu, tetapi malangnya ramai tidak gunakan ilmu wahyu yang juga diturunkan oleh Allah ﷻ.

 

وَلَو شاءَ لَهَدىٰكُم أَجمَعينَ

Dan jikalau Dia menghendaki, tentulah Dia memimpin kamu semuanya

Seandainya Allah ﷻ mahu, Dia boleh sahaja memberikan hidayah kepada semua manusia dan juga jin. Maksudnya, semua ikut jalan yang lurus, tidak sesat langsung. Namun Allah ﷻ tidak mengkehendaki begitu, sebaliknya Allah ﷻ memberi pilihan kepada manusia dan jin memilih sama ada untuk beriman atau tidak.

Semua itu Allah ﷻ lakukan atas kebijaksanaan-Nya. Allah ﷻ hendak beritahu, bukan Dia tidak mampu menjadikan makhluk yang semuanya beriman (Allah ﷻ telah jadikan semua malaikat itu beriman). Namun kenapa Allah ﷻ tidak pilih begitu, Allah ﷻ sahaja yang tahu kerana Dia (Allah ﷻ) yang Maha Bijaksana. Maka jangan kita pelik kalau ramai manusia tidak beriman dan tidak beramal dengan agama Allah ﷻ. Allah ﷻ ingatkan di dalam An’am: 35

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَمَعَهُم عَلَى الهُدىٰ ۚ فَلا تَكونَنَّ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang jahil.

Allah ﷻ boleh sahaja paksa semua makhluk taat dan ikut perintah-Nya, sepertimana lembu itu taat kepada Allah ﷻ. Namun bagi manusia dan jin, Allah ﷻ telah berikan akal, telah berikan wahyu, maka tidaklah layak dilayan seperti lembu pula? Maka manusia ada pilihan seperti disebut dalam Balad: 10

وَهَدَينَـٰهُ ٱلنَّجدَينِ
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

Kita yang kena pandai memilih jalan yang selamat seperti firman Allah ﷻ di dalam An’am: 153

وَاَنَّ هٰذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ ۚوَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهٖ ۗذٰلِكُمْ وَصّٰىكُمْ بِهٖ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sekian Ruku’ 1 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 10: Dalil aqli kedua. Kenapa kita mesti sembah dan seru kepada Allah ﷻ sahaja? Kenanglah jasa-Nya yang telah menurunkan air untuk kita.

هُوَ الَّذي أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً ۖ لَّكُم مِّنهُ شَرابٌ وَمِنهُ شَجَرٌ فيهِ تُسيمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sends down rain from the sky; from it is drink and from it is foliage in which you pasture [animals].

(MELAYU)

Dialah, Yang telah menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu menggembalakan ternakmu.

 

هُوَ الَّذي أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً

Dialah, Yang telah menurunkan air hujan dari langit, 

Air dari langit yang dimaksudkan adalah air hujan. Banyak sekali Allah ﷻ gunakan ayat-ayat tentang air hujan ini. Ini adalah kerana kita semua memerlukan air hujan ini untuk kelangsungan hidup kita. Kalau beberapa minggu sahaja tidak hujan, kita sudah gelisah, bukan? Jelas sekali air adalah satu nikmat yang amat besar daripada Allah ﷻ dan kita semua faham tentang nikmat ini.

Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Namun kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu tidak boleh. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit yang asalnya adalah dari bumi, bukan? Ia diambil daripada air laut yang kalau kita terus minum boleh mati kerana ia masin sangat. Memang patut pun air laut itu masin kerana ia adalah tempat kehidupan dan juga kematian banyak kehidupan. Kalaulah air itu tidak masih dan tidak bergelora, tentulah busuk kerana sangat banyak bangkai di dalamnya.

Allah ﷻ sejatkan air itu agar naik ke langit, lalu Allah ﷻ simpan di dalam awan dan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Perkara ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ. Tidak perlu buat mesin atau kilang untuk membersihkan air laut itu untuk digunakan kerana sistem Allah ﷻ itu lebih canggih lagi. Oleh sebab itu air yang kita minum adalah air tawar yang manis seperti disebut dalam Mursalat: 27

وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا
dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?

Allah ﷻ suruh kita fikirkan tentang nikmat yang amat hebat ini. Kita mungkin tidak perasan kerana kita dengan mudahnya memperolehi air setiap hari namun jika kita mahu duduk sejenak dan fikirkan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita ini seperti disebut dalam Waqiah: 68-70

أَفَرَأَيتُمُ الماءَ الَّذي تَشرَبونَ
Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?

ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?

لَو نَشاءُ جَعَلنٰهُ أُجاجًا فَلَولا تَشكُرونَ
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?

Kenapakah Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana kalau Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah dapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan? Semua kehidupan boleh mendapat air itu seperti manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Kita yang duduk di rumah pun boleh dapat air, tidak perlu order di Shopee pun.

 

لَّكُم مِّنهُ شَرابٌ

untuk kamu sebahagiannya menjadi minuman

Dengan air itu juga kita minum. Kerana itu kita memerlukan hujan untuk turun. Daripada air hujan itu kita tadah, atau daripada air hujan itu menjadi sungai dan tasik yang kita ambil airnya sebagai air minuman kita. Maka sangatlah pentingnya air hujan itu untuk kita. Air ini pula percuma, tidak perlu kita kena bayar bulan-bulan kepada Syarikat Syabas.

Namun cuba fikirkan selalu apakah kita kata kalau hujan turun? “Alaa… hujan pula, lecehlah….”. Begitulah kita manusia yang selalu kita tidak mengenang rezeki yang Allah ﷻ berikan untuk kita. Sedangkan Allah ﷻ jadikan air itu tawar untuk kita senang minum. Kita mungkin tidak pandang sangat pun nikmat yang amat besar ini kerana kita tidak ada masalah untuk mendapatkan air. Akan tetapi cuba bayangkan kalau air tidak ada? Memang merana pada waktu itu! Waktu itu barulah terasa yang kita ini sebenarnya tidak menguasai air itu dan berharap kepada Allah ﷻ semata-mata!

 

وَمِنهُ شَجَرٌ فيهِ تُسيمونَ

dan daripadanya tumbuhan yang kamu menggembalakan ternakmu.

Kalimah تُسيمونَ daripada katadasar س و م yang bermaksud pergi ke padang rumput untuk makan; menimpakan; mengenakan kesusahan atau hukuman; tanda. Di sini ia bermaksud membawa binatang ternak ke padang rumput untuk memberikan mereka makan.

Bukan sahaja kita memerlukan minuman daripada air hujan ini, tetapi tanam-tanaman kita juga turut memerlukan air untuk tumbuh subur. Dengan tanaman yang tumbuh itu juga ternakan dapat makan daripadanya. Kenapa hal ini penting? Kerana dengan tanaman dan ternakan itulah kita makan. Lembu makan rumput dan kita pula makan daging lembu.


 

Nahl Ayat 11:

يُنبِتُ لَكُم بِهِ الزَّرعَ وَالزَّيتونَ وَالنَّخيلَ وَالأَعنٰبَ وَمِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He causes to grow for you thereby the crops, olives, palm trees, grapevines, and from all the fruits. Indeed in that is a sign for a people who give thought.

(MELAYU)

Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.

 

يُنبِتُ لَكُم بِهِ الزَّرعَ وَالزَّيتونَ وَالنَّخيلَ وَالأَعنٰبَ وَمِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ

Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. 

Allah ﷻ tumbuhkan dengan air hujan itu: tanaman jenis padi, gandum, zaitun, kurma dan anggur. Ini adalah makanan-makanan dan buah-buahan lain. Sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang air hujan yang diperlukan untuk menumbuhkan tanaman. Sekarang disebut berbagai jenis tanaman. Semua itu Allah ﷻ jadikan dengan bantuan air yang satu jenis. Air yang tidak berwarna dan tidak ada rasa tetapi mengeluarkan berbagai jenis tanaman yang berlainan warna dan berlainan rasa. Hebat, bukan? Tentang air Allah ﷻ banyak sentuh di dalam Al-Qur’an seperti Fatir: 27

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجنا بِهِ ثَمَرٰتٍ مُّختَلِفًا أَلوٰنُها
Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya.

Kalimah النَّخيلَ adalah ‘pokok kurma’ kerana kalau buahnya adalah تمار. Namun untuk yang lain Allah ﷻ sebut buahnya seperti الزَّيتونَ dan الأَعنٰبَ. Ini adalah kerana ada kelebihan kurma dan pokoknya. Bukan buahnya sahaja boleh dimakan tetapi pelepah dan batangnya juga ada gunanya.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.

Semua ini adalah bukti qudrat Allah ﷻ. Akan tetapi kalimah yang digunakan adalah آيَةً di dalam bentuk mufrad (singular) kerana walaupun banyak nikmat disebut, namun yang hendak ditekankan adalah satu sahaja asalnya iaitu air. Hebatnya air itu satu jenis sahaja tetapi boleh keluarkan berbagai jenis tumbuhan dan kegunaan. Allah ﷻ sebut perkara ini kerana mahu kita fikir sedalam-dalamnya. Ini menunjukkan kepentingan menggunakan akal ini untuk memikirkan perkara yang penting-penting. Bukan fikir untuk makan sahaja.

Sudah banyak nikmat yang Allah ﷻ telah sebutkan di atas. Semua itu perkara biasa yang kita jumpa dan kita tahu. Namun kalau kita tidak fikirkan dalam-dalam, ia terus jadi ‘benda biasa’ sahaja, tidak ada makna apa-apa. Cuma apabila kita duduk memikirkan, barulah kita akan sedar bahawa semua ini adalah jasa Allah ﷻ kepada kita. Banyak ayat Al-Qur’an yang Allah ﷻ suruh kita berfikir melihat dalam-dalam akan segala nikmatnya yang nampak biasa sahaja. Ini seperti Allah ﷻ sebut di dalam Abasa: 24-31

فَليَنظُرِ الإِنسانُ إِلىٰ طَعامِهِ
maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

أَنّا صَبَبنَا الماءَ صَبًّا
Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit),

ثُمَّ شَقَقنَا الأَرضَ شَقًّا
kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya,

فَأَنبَتنا فيها حَبًّا
lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu,

وَعِنَبًا وَقَضبًا
anggur dan sayur-sayuran,

وَزَيتونًا وَنَخلًا
dan zaitun dan kurma,

وَحَدائِقَ غُلبًا
dan kebun-kebun (yang) lebat,

وَفاكِهَةً وَأَبًّا
dan buah-buahan serta rumput-rumputan,

مَتاعًا لَكُم وَلِأَنعامِكُم
untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.

Maka berfikir itu juga adalah satu ibadah kerana Allah ﷻ suruh dan Allah ﷻ suka kita berfikir. Jangan kita sangka solat dan puasa sahaja ibadah. Sekiranya kita memikirkan tentu kita akan sampai kepada satu fikiran: Kalau sudah berjasa begini, kenapa kita tidak sembah dan seru Dia sahaja? Kenapa mahu seru Nabi, wali dan malaikat? Adakah mereka itu yang memberi kita segala perkara ini? Tentu tidak, bukan?


 

Nahl Ayat 12: Allah ﷻ sambung mengingatkan lagi tentang jasa-Nya kepada kita. Kalau tidak jaga Tauhid kepada Allah ﷻ, memang tidak ada alasan.

وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ وَالنُّجومُ مُسَخَّرٰتٌ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He has subjected for you the night and day and the sun and moon, and the stars are subjected by His command. Indeed in that are signs for a people who reason.

(MELAYU)

Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya),

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ

Dan Dia menundukkan buat kamu malam dan siang, matahari dan bulan. 

Allah ﷻ menundukkan malam dan siang untuk digunakan oleh kita. Bukanlah malam dan siang itu kita boleh kawal, pula. Maksudnya Allah ﷻ yang kawal dan Dia jadikan ia mudah bagi kita. Dalam surah yang lain disebut bagaimana malam untuk kita berehat dan siang untuk kita bekerja. Waktu malam kita dapat berehat kerana keadaan gelap. Kalau cerah sepanjang hari, tentu susah untuk kita tidur, bukan? Sementara siang itu senang untuk kita bekerja kerana cerah. Kalau gelap berterusan, tentu susah kita hendak bekerja kerana tidak nampak apa-apa.

Allah ‎ ﷻ juga menundukkan matahari dan bulan untuk kita. Maksudnya kita boleh gunakan untuk kemudahan kita. Bukanlah bermakna matahari dan bulan di bawah kawalan kita pula, tetapi Allah ﷻ tundukkan matahari dan bulan untuk berkhidmat bagi manusia. Manusia menjadikan matahari dan bulan itu sebagai penanda waktu. Kalau kita gantung kalendar dan jam di dinding, Allah ‎ ﷻ gantung ‘kalendar’-Nya di langit. Kalendar bulanan adalah bulan dan jam menggunakan kedudukan matahari yang Allah ‎ ﷻ gantung di langit.

Dengan adanya matahari kita boleh menjemur pakaian kita, jemur makanan untuk dikeringkan, menjadi sumber cahaya agar kita senang untuk bergerak di siang hari, menumbuhkan tanam-tanaman dan tentunya banyak lagi. Sinaran suria adalah penting untuk mengekalkan kehidupan di Bumi. Selain menjadi sumber utama haba di planet ini, ia membekalkan tenaga untuk fotosintesis tumbuhan dan organisma kloroplas lain dan mempengaruhi irama sirkadian makhluk hidup. Malah sumber tenaga cahaya matahari juga dijadikan sebagai sumber tenaga elektrik yang memberikan pelbagai manfaat untuk kehidupan manusia.

Dengan adanya bulan selain daripada menjadi kalendar kita, ia menjadi lampu untuk kita bergerak di malam hari. Matahari adalah kehadiran pusat, sumber tenaga yang membolehkan kewujudan makhluk hidup di planet kita, tetapi Bulan juga memainkan peranan asas. Kehadirannya menstabilkan Bumi, yang jika ia tidak mempunyai satelit yang begitu besar, Bumi akan menari berpusing seperti gasing yang hampir terjatuh.

 

وَالنُّجومُ مُسَخَّرٰتٌ بِأَمرِهِ

Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. 

Sama seperti malam dan siang yang kita tidak boleh tunduk dan kawal, tetapi Allah ﷻ yang tundukkan dan kawal dan mudahkan bagi kita. Malam, siang dan bintang adalah kejadian alam yang kita semua boleh lihat. Dengan bintang, ia boleh dijadikan sebagai penunjuk arah dan sebagai hiasan untuk kita.

Bintang-bintang adalah objek besar di kosmos dan jumlahnya begitu besar sekali. Di galaksi Bimaksakti sahaja jumlahnya adalah antara 200 – 400 bilion. CNN.com bertarikh Julai 2003 melaporkan jumlah bintang di langit melebihi 70 sextilion (7 diikuti dengan 22 kosong). Jumlah ini bermaksud, sekiranya dihitung pasir-pasir di semua pantai dan gurun di dunia, jumlah bintang di langit adalah 10 kali ganda daripada jumlah itu.

Di dalam Al-Qur’an terdapat lebih kurang 13 tempat yang menceritakan mengenai bintang-bintang. Perkataan yang digunakan oleh Al-Qur’an adalah najmu (satu bintang) dan nujuum (banyak bintang). Antara faedah yang manusia peroleh daripada bintang-bintang adalah ia menjadi petunjuk jalan (sama ada arah Utara Selatan Timur dan Barat) terutamanya bagi para pengembara. Ini akan disebut di dalam ayat 16 nanti.

Selain itu kedudukan bintang juga banyak digunakan oleh para petani untuk menentukan waktu akan terjadi musim hujan dan musim kemarau. Lebih tepatnya lagi adalah bila para petani mengalami musim menuai.

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang binatang-binatang ternak dan tunggangan. Sekarang disebut pula tentang fenomena alam yang kita boleh dongak ke langit dan lihat sahaja – ini kalau kita tidak ada binatang-binatang untuk kita lihat seperti yang disebut dalam ayat – ayat sebelum ini. Semua orang boleh lihat bintang, bukan?

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu memahami(nya),

Allah ﷻ selalu menyuruh kita melihat kepada alam. Kerana dengan melihat kepada alam, kita akan terfikir: tidak akan alam yang begitu indah dan hebat ini tidak ada penciptanya? Tentu ada. Apabila sudah terima perkara ini, maka tugas seterusnya adalah untuk mencari siapakah Pencipta itu.

Bagi kita orang Islam yang sudah terima Allah ﷻ sebagai Pencipta itu, ia mengingatkan kita bahawa Allah ﷻ itu Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Tidak ada yang mustahil di sisi Allah ﷻ. Bagi orang yang belum Islam lagi, mereka kenalah mencari kebenaran dengan menilai agama-agama yang ada agar dapat menemui agama yang benar.

Ramai yang masuk Islam setelah jumpa kebenaran hasil daripada kajian mereka. Mereka lihat kepada semua agama dan membaca maklumat-maklumat yang mereka boleh dapat. Akhirnya setelah melihat semua agama, mereka buat keputusan bahawa agama yang benar hanyalah agama Islam sahaja.


 

Nahl Ayat 13: Apa lagi yang Allah ﷻ tundukkan untuk kita?

وَما ذَرَأَ لَكُم فِي الأَرضِ مُختَلِفًا أَلوٰنُهُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [He has subjected] whatever He multiplied for you on the earth of varying colors. Indeed in that is a sign for a people who remember.

(MELAYU)

dan Dia (menundukkan pula) apa yang Dia ciptakan untuk kamu di bumi ini dengan berlainan warnanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pelajaran.

 

وَما ذَرَأَ لَكُم فِي الأَرضِ مُختَلِفًا أَلوٰنُهُ

dan Dia (menundukkan pula) apa yang Dia ciptakan untuk kamu di bumi ini dengan berlain-lainan warnanya.

Kalimah ذَرَأَ bermaksud menjadikan dan biakkan. Ada bermacam-macam hidupan yang dijadikan dalam warna dan bentuk yang berbeza-beza. Tidak terkira banyaknya. Inilah alam flora. Malah bukan sahaja di dalam flora tetapi di dalam segenap kehidupan kalau kita perhatikan indahnya dunia ini dengan berbagai warna yang ada.

Aneka warna yang kita lihat di dalam alam ini. Mata menangkap warna, berlainan warna menentukan perbezaan benda. Begitulah semua telah dimudahkan buat kita. Kemudian kita melihat gabungan dan percampuran warna. Setiap pagi ketika matahari terbit dan setiap senja ketika matahari akan terbenam, berbagai warna yang kita lihat. Kita juga melihat aneka warna pada bunga dan tumbuh-tumbuhan.

Warna bunga-bunga dan tumbuh-tumbuhan sangatlah menakjubkan. Tidak ada kemampuan pada manusia untuk mencipta warna dengan begitu banyaknya di alam ini melainkan dicipta oleh Allah ﷻ untuk kita. Demikian juga tidaklah puas-puasnya mata kita memandang dan menyaksikan campuran warna pada ikan-ikan apabila ikan-ikan itu dikumpulkan dalam suatu akuarium. Bahkan lebih menarik perhatian lagi ialah warna daripada kupu-kupu atau rama-rama berbagai jenis yang amat menakjubkan.

Demikian pula warna daripada binatang-binatang, baik liar ataupun jinak; semuanya itu mendidik atau berpengaruh bagi jiwa kita sendiri. Misalnya warna merah yang panas menimbulkan gejala gelora di dalam jiwa. Warna hijau yang lembut itu membawa kedamaian dalam fikiran. Apabila kita belayar jauh di lautan lepas, dapat kita renungkan pertemuan warna lautan dengan warna langit; laut biru dan langit hijau, kadang-kadang dihiasi dengan awan.

Sampai-sampai kepada warna yang dipilih atau warna yang disukai oleh seseorang, semuanya itu adalah membayangkan sikap jiwa, kecerdasan atau sifat seseorang itu. Bangsa-bangsa pun menentukan corak warna melalui benderanya, dan semuanya mempunyai erti tersendiri. Ini telah berlaku sejak manusia mengenal peradaban.

.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَذَّكَّرونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang mahu mengambil peringatan.

Pemerhatian perkara ini menjadi tanda bagaimana qudrat Allah ﷻ untuk berikan segalanya kepada kita. Orang yang menggunakan akalnya tentu akan menjumpai kebenaran. Semua orang boleh nampak apa yang terjadi pada alam ini, tetapi yang mengambil pengajaran daripadanya hanyalah orang yang mahu sahaja.

Tepat sekalilah ayat ini memberitahu kita bahawa warna-warna yang banyak ini adalah salah satu tanda-tanda bahawa pencampur warna dalam alam ini adalah Allah ﷻ sendiri. Dia menunjukkan sitat jamal, sifat indah Tuhan. Maka tidaklah akan kenal kepada keindahan Tuhan itu, kalau dalam diri seseorang tidak ada dasar buat mencintai keindahan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Disember 2023

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment