Tafsir Surah al-Hijr Ayat 29 – 38 (Jangan sombong)

Hijr Ayat 29: Setelah dibentuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada tanah liat itu, kemudian menjadi tembikar, lalu Allah ﷻ meniupkan roh.

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when I have proportioned him and breathed into him of My [created] soul,¹ then fall down to him in prostration.”

  • The element of life and soul which Allāh created for that body, not His own spirit or part of Himself (as some mistakenly believe).

(MELAYU)

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

 

فَإِذا سَوَّيتُهُ

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya,

Maksudnya setelah Allah ﷻ menjadikan bentuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu di dalam bentuk yang terindah. Namun ia cuma di dalam bentuk fizikal sahaja, keras kaku tidak boleh buat apa-apa lagi.

 

وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي

dan setelah Aku meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, 

Setelah dijadikan bentuk, Allah ﷻ telah tiupkan roh ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana kalau tidak ada roh, tidaklah jadi manusia (jadi tembikar sahaja).

Perkataan روحي (RohKu) menjadi perbincangan yang hebat juga dalam kalangan manusia, terutama golomgan ahli sufi dan tarekat yang jahil dengan wahyu dan suka mencari perkara yang tidak perlu difikirkan. Mereka kata roh itu Roh Allah ﷻ (Allah ﷻ tiupkan sebahagian daripada Roh-Nya). Ini adalah salah sama sekali kerana itu sudah mengatakan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah sebahagian daripada Allah ﷻ pula.

Sebenarnya Allah ﷻ cuma mengatakan yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dimasukkan dengan roh ciptaan-Nya. Begini, kalau saya kata: “Itu beg saya”, adakah itu bermaksud beg itu sebahagian daripada saya? Tentu tidak, bukan? Maksud saya adalah beg itu adalah kepunyaan saya. Maka roh yang Allah ﷻ tiupkan ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah roh ciptaan Allah ﷻ dan ia adalah kepunyaan Allah ﷻ.

Jelas sekali, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditiupkan dengan roh ciptaan Allah ﷻ dan kita semua pun ditiupkan dengan roh daripada Allah ﷻ juga. Maka tidak ada kelebihan keterlaluan pada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitu juga dengan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kejadian mereka itu adalah kejadian yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Bukanlah apabila Allah ﷻ kata Dia tiupkan roh ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka ada kelebihan ketuhanan pula. Oleh itu, tidak boleh kita sembah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Apakah pula roh itu? Ini menjadi satu misteri dan perbincangan yang panjang lebar dalam kalangan manusia termasuk ulama’ Islam juga. Kita tidak akan tahu dan cukuplah kita berpegang dengan ayat Isra’: 85 yang memberitahu kita yang kita tidak akan tahu sepenuhnya apakah roh itu.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ الرّوحِ ۖ قُلِ الرّوحُ مِن أَمرِ رَبّي وَما أوتيتُم مِنَ العِلمِ إِلّا قَليلًا
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

 

فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ

maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Kalimah فَقَعوا adalah kata arahan (fi’il amar). Ia daripada kalimah و ق ع yang bermaksud ‘jatuh’. Allah ﷻ suruh para malaikat jatuh tunduk untuk sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum baginda dijadikan lagi. Maknanya, arahan untuk sujud telah diberikan sebelum baginda dijadikan lagi. Oleh itu, Iblis sudah tahu tentang arahan ini kerana Allah ﷻ sudah beritahu awal-awal lagi.

Namun kita pun sudah tahu yang Iblis sombong kerana sangka dia lebih mulia daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dia dijadikan daripada api dan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan daripada tanah. Dia guna logik akal sahaja (api naik tinggi dan tanah itu di bawah – maka api lebih mulia daripada tanah kalau begitu). Perkara ini ada disebut dalam ayat lain:

أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ
Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.
(A’raf: 12)

Namun Allah ﷻ telah beritahu yang Dia akan tiupkan roh ke dalam jasad Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Maka kemuliaan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan kerana tanah tetapi kerana roh itu. Apabila Iblis sombong untuk sujud, dia tidak ada alasan lagi kerana memang telah diberitahu dari awal lagi yang mereka memang kena sujud. Sujud itu adalah kerana mentaati perintah Allah ﷻ, bukannya sujud ibadah atau ikut perintah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Bukanlah tujuan sujud untuk menjadikan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai sembahan pula. Maka ibadah adalah kepada Allah ﷻ, bukannya kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Maka sesatlah golongan yang kata kononnya Iblis itu mempunyai ketinggian tauhid yang hebat sampai tidak mahu sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dia mahu sujud kepada Allah ﷻ sahaja. Inilah contoh orang yang keliru, tidak faham wahyu dan buat reka fahaman baru.

Para ulama’ khilaf tentang sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Ada yang kata ia bukanlah sujud seperti kita sujud dalam solat itu tetapi hanya sebagai tunduk hormat sahaja. Ini kerana mereka susah hendak terima ada makhluk sujud kepada makhluk selain Allah ﷻ. Akan tetapi pendapat ini telah mengubah maksud kalimah ‘sujud’ itu yang kita pun tahu bagaimana rupa sujud itu.

Sebenarnya tidak salah pun kita katakan yang para malaikat itu benar-benar sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana itu adalah arahan daripada Allah ﷻ sendiri. Yang melarang sujud kepada makhluk pun Allah ﷻ juga, maka kalau Dia suruh sujud kepada makhluk, itu pun arahan daripada Dia. Apabila Allah ﷻ telah beri arahan kepada kita maka kita tidak ada ruang untuk kita menggunakan logik akal kita untuk taat ataupun tidak. Semua arahan Allah ﷻ hendaklah ditaati walaupun akal kita mungkin rasa dia tidak patut.

Apabila ia arahan daripada Allah ﷻ, maka ia sudah menjadi ibadat yang wajib ditaati. Sebagai contoh, Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membunuh seorang anak kecil, bukan? Itu kalau dalam keadaan biasa, memang merupakan satu dosa yang besar, tetapi ia adalah daripada Allah ﷻ. Ini disebut dalam Kahf: 74

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا لَقِيا غُلٰمًا فَقَتَلَهُ قالَ أَقَتَلتَ نَفسًا زَكِيَّةً بِغَيرِ نَفسٍ لَّقَد جِئتَ شَيئًا نُّكرًا
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

Satu lagi contoh adalah kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sudah bersedia menyembelih anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini pun tentunya tidak masuk akal kalau difikirkan. Akan tetapi kerana ia adalah wahyu arahan daripada Allah ﷻ, maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan juga Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) telah redha untuk melakukannya seperti disebut dalam Saffat: 102 – 103

فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

فَلَمّا أَسلَما وَتَلَّهُ لِلجَبينِ
Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya).

Maka para malaikat itulah yang benar kerana taat kepada perintah Allah ﷻ. Mereka pun adalah makhluk yang tidak ada pilihan untuk mengingkari arahan Allah ﷻ. Sedangkan iblis pula seperti manusia ada pilihan untuk memilih jalan sendiri. Maka para malaikat terus menepati arahan Allah ﷻ. Yang dilarang adalah sujud kepada makhluk lain tanpa arahan daripada Allah ﷻ. Sampaikan sujud kepada Nabi Muhammad ﷺ pun tidak boleh. Ada hadith tentang perkara ini,

لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا
Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.”
(Riwayat Ahmad (12614))
Syeikh Syu’aib al-Arnauth menilai hadith ini sahih li ghairihi

Syarah: hadith ini timbul kerana ada sahabat yang hendak sujud kepada Nabi ﷺ maka baginda jelaskan yang itu dilarang. Kalaulah sujud kepada manusia itu boleh, maka isteri lebih patut sujud kepada suaminya. Akan tetapi itu pun tidak boleh. Jangan pula jadikan ini sebagai dalil untuk isteri sujud kepada suami pula.


 

KEDEGILAN iblis

Hijr Ayat 30: Setelah diberikan arahan kepada malaikat, mereka terus sujud.

فَسَجَدَ المَلٓئِكَةُ كُلُّهُم أَجمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the angels prostrated – all of them entirely,

(MELAYU)

Maka bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama,

 

Malaikat semua sekali sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana arahan daripada Allah ﷻ. Apabila ada huruf ف pada kalimah فَسَجَدَ itu, ia bermaksud mereka terus sujud, tanpa lengah. Mereka tidaklah kena fikir dulu, berbincang sesama mereka dan sebagainya. Itu semua tidak terjadi, kerana mereka terus sujud. Mereka ikut arahan Allah ﷻ.

Walaupun ada dikatakan tidak boleh sujud kepada makhluk, tetapi kita kena ingat yang arahan ini adalah arahan daripada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ sendiri yang suruh, maka kita tidak ada pilihan untuk memikirkan sama ada boleh atau tidak untuk tidak melakukannya. Kerana tidak boleh sujud kepada makhluk lain pun adalah arahan daripada Allah ﷻ, bukan?

Kalimah كُلُّهُم sudah menunjukkan semua malaikat sujud tetapi Allah ﷻ tambah dengan kalimah أَجمَعونَ pula sebagai penekanan dalam bentuk balaghah (sangat). Maknanya tidak ada langsung malaikat yang tidak sujud. Disebut ‘semua sekali’ untuk menjelaskan yang iblis bukan malaikat. Kerana malaikat semua sekali sujud tetapi iblis tidak sujud – menunjukkan iblis bukanlah malaikat.


 

Hijr Ayat 31: Siapa yang tidak sujud?

إِلّآ إِبليسَ أَبىٰ أَن يَكونَ مَعَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except Iblees;¹ he refused to be with those who prostrated.

  • Who was of the jinn. See 18:50.

(MELAYU)

kecuali iblis. Ia enggan ikut bersama-sama (malaikat) yang sujud itu.

 

إِلّآ إِبليسَ

kecuali iblis.

Kita pun telah tahu bahawa iblis tidak sujud. Ini kita dapat tahu melalui ayat-ayat dalam surah lain, antaranya Baqarah: 34

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.

 

أَبىٰ أَن يَكونَ مَعَ السّٰجِدينَ

Ia enggan ikut bersama-sama yang sujud.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa semua sekali malaikat telah sujud. Sekarang disebut bahawa iblis tidak sujud. Ini sebagai dalil tambahan yang Iblis itu bukan jenis malaikat tetapi jenis jin. Ini telah diberitahu dengan jelas dalam Kahf: 50.


 

Hijr Ayat 32: Allah ﷻ menceritakan kisah bagaimana iblis enggan taat kepada Allah ﷻ apabila Allah ﷻ suruh semua sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

قالَ يٰٓإِبليسُ ما لَكَ أَلّا تَكونَ مَعَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “O Iblees, what is [the matter] with you that you are not with those who prostrate?”

(MELAYU)

Allah berfirman: “Hai iblis, apa sebabnya kamu tidak (ikut sujud) bersama-sama mereka yang sujud itu?”

 

Allah ﷻ tanya kepada iblis kenapa dia tidak sujud? Semua yang lain sujud, tetapi kamu pula tidak sujud? Kenapakah ini? Bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang dalam hati iblis itu, tetapi Allah ﷻ hendak mengajar kita.

Ada juga yang cuba berhujah yang arahan sujud itu hanya kepada para malaikat sahaja sedangkan iblis bukan malaikat. Maka tidak salahlah apabila dia tidak sujud. Benarkah begitu? Tidak adakah arahan kepadanya untuk sujud juga? Sebenarnya ada kerana Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam A’raf: 12

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ
Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?”

Dari sini jelas yang arahan untuk sujud juga telah diberikan kepada iblis. Dia juga ada dalam kalangan para malaikat yang diberikan arahan itu, maka dia memang sepatutnya kena sujud.


 

Hijr Ayat 33: Inilah hujah Iblis kenapa dia tidak mahu sujud.

قالَ لَم أَكُن لِّأَسجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقتَهُ مِن صَلصٰلٍ مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Never would I prostrate to a human whom You created out of clay from an altered black mud.”

(MELAYU)

Berkata Iblis: “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk”

 

قالَ لَم أَكُن لِّأَسجُدَ لِبَشَرٍ

Berkata Iblis: “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia

Bila iblis menggunakan kalimat لَم أَكُن yang berbentuk ‘past tense’, ini maksudnya dari awal lagi iblis memang tidak mahu sujud. Seperti yang kita telah tahu, Allah ﷻ awal-awal lagi telah beritahu yang Dia akan menjadikan manusia dan nanti mereka kena sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Waktu itu lagi iblis sudah buat keputusan untuk tidak sujud.

Maknanya, memang dia sudah kufur dari awal lagi. Cuma kekufurannya itu menjadi nyata hanya apabila dia tidak sujud bersama para malaikat. Sebenarnya Allah ﷻ telah tahu pun apa yang di dalam hatinya.

 

خَلَقتَهُ مِن صَلصٰلٍ مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

yang Engkau telah ciptakannya dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk”

Sekarang iblis menghina kejadian Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula kerana dia rasa dia lebih mulia kerana pada dia, kejadian Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah hina sedangkan kejadian dia adalah mulia. Itu adalah sangkaan akal dia sahaja. Itu pun guna logik akal dia sahaja: [api di atas dan tanah di bawah, maka api lagi mulia daripada tanah]. Ringkasnya antara lain sebab kenapa iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

1. Dia rasa dia lebih baik kejadiannya kerana dia terjadi daripada api, sedang manusia terjadi daripada tanah berbau. Sudahlah tanah, berbau pula.

2. Dia rasa dia lebih layak kerana dia dijadikan lebih dahulu, sedangkan manusia dijadikan kemudian.

3. Iblis itu adalah makhluk yang sangat taat pada mulanya. Berjuta-juta tahun dia telah beribadat kepada Allah ﷻ. Tidak ada lagi sejengkal langit pun yang tidak dijadikannya tempat sujud kepada Tuhan. Tiba-tiba di saat penting dia disuruh bersujud kepada orang yang lebih hina pada pandangannya daripada dirinya sendiri.

Maka, janganlah kita terpakai hujah iblis ini. Janganlah kita hina dan muliakan orang lain kerana ras, kulit dan sebagainya. Kemuliaan makhluk bukan kerana itu. Kemuliaan makhluk adalah atas iman dan ilmu. Maka jangan sangka bangsa kita lebih baik daripada bangsa lain, jangan sangka kita yang duduk di sesuatu kampung itu lebih baik daripada pendatang. Jangan juga sangka yang kita yang sudah lama hidup dan sudah lama beribadat ini lebih baik daripada anak muda yang baru berjinak-jinak dengan agama. Entah dia yang baru belajar lebih faham agama daripada kita.


 

Hijr Ayat 34: Hukuman yang dikenakan kepada iblis.

قالَ فَاخرُج مِنها فَإِنَّكَ رَجيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Then depart from it,¹ for indeed, you are expelled.

  • Your position in the heavens.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Keluarlah dari syurga, sesungguhnya kamu direjam,

 

قالَ فَاخرُج مِنها

Allah berfirman: “Keluarlah dari syurga,

Allah ﷻ menghalau iblis dari syurga. Atau dari langit kerana dhomir ها boleh merujuk kepada syurga atau langit kerana kedua-duanya dalam bentuk muannas (feminine). Ulama’ khilaf adakah iblis ada dapat masuk ke dalam syurga.

Dia sudah tidak layak untuk duduk di syurga lagi. Dulu dia dinaikkan ke langit kerana dia kuat beribadat. Namun setakat banyak melakukan ibadat tetapi tidak taat, kemudian sombong pula, maka dia tidak layak lagi duduk bersama para malaikat. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam A’raf: 13

قالَ فَاهبِط مِنها فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ
Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

Akan tetapi kenapa pula iblis ada di dalam syurga itu? Memang iblis sudah pernah masuk syurga? Bukankah sesiapa yang sudah masuk syurga tidak akan dikeluarkan? Maka ulama’ khilaf syurga apakah yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hawwa dan iblis itu berada. Ada pendapat yang mengatakan memang iblis pernah duduk di syurga bersama Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa. Ada juga pendapat yang mengatakan iblis hanya datang sebentar untuk bercakap dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.

Namun kemudian timbul persoalan: syurga yang mana? Adakah itu syurga yang akan dimasuki oleh orang yang beriman (ahli syurga)? Kalau ia syurga yang sama, kenapa ada larangan pula (tidak boleh makan satu pokok)? Atau ia syurga yang lain? Ini juga ulama’ khilaf. Ada yang mengatakan ia syurga yang sama. Larangan yang diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa itu hanya sebagai ujian sahaja. Ada pula yang berpendapat ia syurga yang lain. Kerana syurga yang sebenarnya orang jahat (seperti iblis) tidak boleh memasukinya. Allahu a’lam.

 

فَإِنَّكَ رَجيمٌ

sesungguhnya kamu direjam,

Kalimah رَجيمٌ daripada katadasar ر ج م yang bermaksud ‘batu’. Maka رَجيمٌ bermaksud direjam dengan batu atau seseorang yang dihalau (kerana dihalau dengan batu). Oleh itu, ini bermaksud iblis itu dihalau dari syurga.

Pengajaran penting bagi kita adalah jangan sombong. Sombong lah punca utama iblis dilaknat sebegitu. Kerana itulah orang yang ada sifat sombong walau sedikit pun tidak akan ada peluang untuk masuk ke dalam syurga seperti sabda Nabi Muhammad ﷺ:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
(Sahih Muslim (51))

Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu jenis sombong seperti Kaum Tsamud ini. Mereka berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Oleh sebab itu, apabila Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Satu lagi jenis sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya.

Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulupun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong.


 

Hijr Ayat 35: Apa lagi?

وَإِنَّ عَلَيكَ اللَّعنَةَ إِلىٰ يَومِ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, upon you is the curse until the Day of Recompense.”

(MELAYU)

dan sesungguhnya kutukan itu tetap menimpamu sampai hari pembalasan”.

 

Iblis tidak putus-putus akan berterusan dilaknat. Laknat maksudnya tiada harapan untuk kembali. Kerana laknat itu bermaksud telah ditolak, dihalau. Iaitu dijauhkan daripada rahmat Allah ﷻ. Maknanya, iblis tidak akan ada peluang untuk masuk syurga.


 

RAYUAN iblis

Hijr Ayat 36: Setelah mendapat segala hukuman itu, maka berdoalah pula iblis itu. Ada permintaannya kepada Allah ﷻ.

قالَ رَبِّ فَأَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, then reprieve me until the Day they are resurrected.”

(MELAYU)

Berkata iblis: “Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan,

 

Seteruk-teruk iblis itu pun, dia tahu untuk meminta doa mestilah terus kepada Allah ﷻ. Lihatlah bagaimana dia masih lagi panggil Allah ﷻ itu sebagai Rabbnya. Maknanya, yang melakukan tawasul (perantaraan) dalam doa itu lebih teruk daripada iblis! Bayangkan iblis pun tahu untuk terus doa kepada Allah ﷻ!

Iblis telah meminta supaya ditangguhkan. Maknanya tangguh daripada dimatikan, sampailah Hari Kebangkitan. Dia minta dipanjangkan umurnya kerana dia mahu menggoda anak Adam supaya masuk ke dalam neraka bersamanya. Hal ini merupakan dorongan kedengkian hatinya terhadap Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak cucunya. Ini juga telah disebut dalam A’raf: 14

قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
Iblis berkata: “Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

Tahukah anda bahawa doa iblis ini banyak diulang-ulang oleh orang kita? Itulah doa minta panjang umur. Biasa bukan dengar doa minta dipanjangkan umur ini? Maka kalau kita berdoa begitu, maknanya kita mengikut sunnah iblis sebenarnya. Oleh itu ini bukanlah doa yang baik. Sebaliknya kita sepatutnya minta dimatikan dalam keadaan baik iaitu di dalam iman. Antaranya doa sebegini:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة
“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Atau, boleh amalkan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Yusuf: 101

تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

Apakah gunanya umur yang panjang kalau umur yang panjang itu hanya menambah dosa sahaja? Apakah gunanya jikalau umur yang panjang namun ia tidak dapat membantu kita? Begitulah juga kehendak orang Yahudi seperti disebut dalam Baqarah: 96

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya daripada azab (yang disediakan oleh Allah).


 

Hijr Ayat 37: Allah ﷻ terima permintaan iblis itu

قالَ فَإِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “So indeed, you are of those reprieved

(MELAYU)

Allah berfirman: “(Kalau begitu) maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh,

 

Allah ﷻ makbulkan dengan tidak mematikan iblis itu. Apabila digunakan kalimat مِنَ المُنظَرينَ (daripada golongan yang diberi tangguh), ini bermakna ada lagi yang diberi tangguh, tidak dimatikan. Cuma kita tidak tahulah siapa lagi. Tentang Allah ﷻ makbulkan doa iblis ini ada juga disebut dalam A’raf: 15

قالَ إِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ
Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh”.

Di sini kita dapat lihat yang Allah ﷻ memperkenankan permintaannya sebagai istidraj dan membiarkan dia terjerumus lebih sesat lagi. Maka sekiranya seseorang diberikan dengan segala nikmat di dunia ini, atau Allah ﷻ makbulkan doanya, bukanlah bermaksud Allah ﷻ sayang kepadanya kerana iblis pun Allah ﷻ makbulkan doa.


 

Hijr Ayat 38: Namun begitu iblis tidak dimatikan sehingga Hari Kiamat. Tidaklah sampai ke Hari Kebangkitan. Maknanya, apabila tiupan sangkakala pertama sahaja, dia pun akan mati termasuk sekali dengan makhluk-makhluk lain.

إِلىٰ يَومِ الوَقتِ المَعلومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until the Day of the time well-known.”

(MELAYU)

sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan,

 

Kalimah يَومِ الوَقتِ المَعلومِ (Hari yang waktunya telah diketahui). Maknanya, kejadian Hari Kiamat itu semua sudah tahu. Ini adalah kerana ada maklumat yang kita sudah tahu kerana telah pernah disampaikan kepada kita.

Kita semua tahu yang ia akan terjadi, cuma bilalah waktu tepat ia akan terjadi, hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Tidak ada sesiapa lagi pun yang tahu, termasuklah para malaikat yang rapat dengan Allah ﷻ pun tidak tahu waktunya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment