وَلٰكِن تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ
akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya
Ia bukan rekaan, tetapi ia adalah kebenaran. Buktinya, ia adalah sama dengan apa yang ada di tangan Bani Israil zaman itu. Kalimat بَينَ يَدَيهِ secara literal: di antara dua tangannya. Jadi ia bermaksud yang di hadapan mereka, kitab yang ada di tangan mereka. Orang yang bertanya tentang kedatangan Bani Israil ke Mesir itu, mereka pun ada kitab dan soalan mereka dijawab dengan kisah ini, yang membenarkan apa yang mereka tahu. Jadi, mereka boleh rujuk sendiri dan pastikan bahawa ini bukanlah cerita rekaan.
Apabila Nabi Muhammad hijrah ke Madinah, maka baginda akan bersemuka dengan puak Yahudi di sana. Akan ada ayat-ayat yang lebih terperinci tentang sejarah Bani Israil. Akan tetapi semasa Nabi Muhammad di Mekah lagi, mereka di sana telah mendengar tentang kisah-kisah mereka disampaikan oleh Allah. Ayat Al-Qur’an sebenarnya 2/3 dari keseluruhannya telah diturunkan di Mekah. Dan orang Yahudi telah dengar kisah tok nenek mereka disebut ketika itu. Macam kisah Nabi Yusuf, Nabi Ya’qub, Bunyamin dan abang-abang mereka itu adalah leluhur mereka. Ada 12 adik beradik semua sekali, bukan? Dari 12 adik beradik itulah mereka dibahagikan kepada 12 puak. Nama mereka Bani Israil dan Nabi Ya’qub itulah Israil! Maka sekarang Allah beritahu kembali kisah para Nabi itu yang memang telah ada dalam sejarah hidup mereka. Jadi Allah membenarkan (تَصديقَ) apa yang ada di tangan mereka.
Tapi ada satu terjemahan تَصديقَ yang menarik. Ia bermaksud mengeluarkan yang benar dari sejarah itu. Di dalam kisah Nabi Yusuf dalam sejarah mereka, ada yang benar dan ada yang tidak benar (penipuan). Maka Allah keluarkan mana yang benar dan tidak sentuh kisah yang tidak benar itu. Makanya Allah sekarang melakukan pemurnian/pemutihan kepada kisah yang ada pada mereka.
وَتَفصيلَ كُلِّ شَيءٍ
dan penjelasan segala sesuatu,
Dalam Al-Qur’an ini bukan sahaja ada kisah-kisah, pemurnian sejarah yang lama dahulu, akan tetapi ia ada penjelasan bagi ‘semua perkara’ (كُلِّ شَيءٍ). Maknanya Al-Qur’an bukan sahaja memandang kepada masa lampau, tapi ia juga menjelaskan tentang kehidupan yang di hadapan kita sekarang. Ia menjadi panduan bagi kehidupan kita. Ia tidak hanya terhad kepada perbincangan perkara yang telah berlaku zaman dahulu.
Tapi apakah yang dimaksudkan dengan ‘semua perkara’? Kalau kita baca satu persatu, tidaklah Al-Qur’an menceritakan semua perkara tentang dunia, bukan? Contohnya, tidaklah Al-Qur’an menceritakan tentang sains sepenuhnya, tentang sejarah semuanya. Tidaklah Al-Qur’an sentuh tentang mikrobiologi, sosiologi, virus dan lain-lain bidang. Ia tidak ajar tentang matematik dan geometri. Ajar tentang buat roti canai pun tidak ada. Bukanlah Al-Qur’an ini buku akademik yang menceritakan semua, bukan?
Jadi apa maksudnya? Maksudnya Al-Qur’an menceritakan semua yang manusia perlukan untuk memastikan yang Al-Qur’an ini adalah wahyu. Semua perkara yang penting tentang agama telah disentuh dalam Al-Qur’an. Benda yang paling penting ada dalam Al-Qur’an. Perkara yang kita perlukan untuk menjalani kehidupan kita di dunia dengan baik, ada di dalam Al-Qur’an ini.
Kita bayangkan satu suasana, di mana anda datang dan bertanya tentang cara ambil wuduk. Saya pun jelaskan satu persatu sampai anda faham dan kemudian saya tanya: “sudahkah saya jelaskan semuanya?” Anda pun jawab: “ya ustaz, ustaz dan jelaskan semuanya.” Semuanya? Saya ada cerita tentang alam, tentang ekonomikah? Tidak, bukan? Tapi saya sudah jelaskan semuanya tentang soalan awak, bukan? Adakah maklumat itu penting bagi awak? Adakah awak perlukan maklumat itu ketika itu? Ya, bukan? Bukankah saya telah jawab soalan awak? Pergi balik ke awal surah ini di dalam Ayat 7.
لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.
Bukankah ada persoalan di situ? Soalan dikemukakan untuk mendapatkan penjelasan. Di akhir Surah, penjelasan telah diberikan untuk segala-galanya yang ditanya dan diperlukan, yang bermaksud semua yang telah diminta. Setiap isu yang anda ada dalam hidup, setiap kebimbangan yang anda ada, setiap tempat di mana anda memerlukan bimbingan, setiap kali anda terjebak dan tidak tahu apa yang betul untuk dilakukan, setiap kali anda putus dan mencari harapan, setiap kali anda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi ketakutan anda, bagaimana untuk menangani keputusasaan anda, setiap kali anda terluka oleh seseorang dan tidak tahu bagaimana menanganinya. Adakah Allah membantu orang yang terluka oleh orang lain? Ya, lihat kisah Nabi Ya’qub. Bukankah baginda terluka oleh anak-anaknya? Bagaimana anda hendak uruskan pengkhianatan? Bagaimana awak uruskan fitnah? Semua ini bukankah telah diceritakan dan dijelaskan?
Bagaimana anda menguruskan semua ini? Bagaimana anda menangani apabila orang melakukan perkara-perkara buruk kepada anda? Bagaimana anda boleh mencari kekuatan dalam? Dan Allah telah menjawab kepada semua soalan ini, mengenai perjuangan anda, rasa ingin tahu anda. Jadi maksudnya bukanlah pertanyaan tentang astronomi, bukan mengenai aerodinamik, bukan mengenai itu semua. Yang anda perlukan adalah tentang apa yang berlaku di dunia dan kesannya kepada anda, di dalam kompas moral anda, kompas rohani anda, perjuangan anda, ujian anda, naik dan turun anda di dalam kehidupan. Semua persoalan tentang kehidupan anda, yang anda perlukan, ada di dalam surah ini. Kerana Al-Qur’an bukannya buku sejarah, buku perubatan dan buku sains, tapi ia buku kehidupan. Ya Al-Qur’an ada sentuh semua perkara sedikit, tapi yang lebih penting ia adalah tentang kehidupan.
Sekarang kita hendak pecah dan kupaskan kalimah تَفصيلَ. Terjemahan ringkasnya adalah: penjelasan. Ia dari kata dasar ف ص ل yang bermaksud mengasingkan; membezakan; had; bahagian; berlepas; buat keputusan; ditetapkan; bahagikan kepada bahagian; menjelaskan secara terperinci; memberi penjelasan; hakim; menceritakan sesuatu perkara secara terperinci; cerai susu; keluarga; kerabat; menjelaskan. Dari ini kita ada kalimah seperti مفصل yang bermaksud engsel, yang menghubungkan antara dua pintu. مفصل juga adalah bahagian yang memegang antara dua tulang dalam tubuh kita. Kalau daging dipotong dan dibahagikan ikut bahagian masing-masing, ia dipanggil فَصَّلَ.
Jadi kalimah ini ada kena mengena dengan pemisahan, akan tetapi menyambungkan juga. Macam antara dua tulang itu, ia memisahkan antara satu tulang dengan tulang yang lain, tapi bukankah tulang itu berkaitan juga? Ia bukan terpisah satu duduk sana satu duduk sini. Perhatikan di dalam Fussilat:3
كِتٰبٌ فُصِّلَت ءآيٰتُهُ
Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu
Untuk menjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an, Allah telah pisahkan setiap ayat satu persatu. Tetapi adakah setiap ayat itu tidak berkaitan? Tentu ia berkaitan antara satu ayat ke ayat yang lain. Kerana itu di dalam ilmu tafsir, kita kena lihat kepada ayat sebelum dan ayat selepasnya untuk memahami konteks sesuatu ayat itu.
Satu lagi kalimah yang menarik untuk kita bincangkan dan lebih memahami konsep ini adalah kalimah فِصالًا di dalam Baqarah:233
فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما
kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu
Kalimah فِصالًا adalah putus susu dengan anak. Ibu itu tidak lagi menyusukan anaknya itu; tapi adakah putus terus hubungan ibu itu dengan anak? Jadi konsep pisah tapi bersambung, tetap ada. Dan kalau kita perhatikan, kata dasar ini juga ada digunakan di dalam Ayat 94,
وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلعِيرُ
Tatkala kafilah itu telah ke luar (dari negeri Mesir)
Maknanya, abang-abang Nabi Yusuf itu bertolak meninggalkan Mesir, bukan? Akan tetapi adakah mereka terus terputus hubungan dengan Mesir? Tidak. Mereka bawa barang-barang dari Mesir dan nanti mereka akan kembali ke sana kerana Nabi Yusuf telah suruh mereka bawa keluarga mereka ke Mesir, bukan?
Di dalam Ayat 111, ia digunakan di dalam bentuk penjelasan. Kerana apabila kita hendak menjelaskan sesuatu, kita kena pisahkan setiap topik supaya dapat dibezakan antara satu sama lain. Kerana itu kalau kita belajar biologi contohnya, kita akan pisahkan antara tubuh, bahagian tangan, bahagian kaki dan sebagainya. Akan tetapi adakah setiap bahagian itu betul-betul terpisah dari badan? Tidak, bukan? Cuma untuk jelaskan, kena dipisahkan satu persatu supaya nampak perbezaan dan ini memberi pemahaman kepada pelajar. Begitulah apabila kita mengajar, kita akan pisahkan konsep untuk senang difahami oleh pelajar. Kalau kita gaulkan semua sekali, tentu akan ada kekeliruan.
Maka di dalam kisah Nabi Yusuf ini, konsep yang banyak telah dipisahkan di dalam kisah-kisah di dalam setiap ayat. Ini supaya kita mudah faham dan kita terapkan di dalam kehidupan kita.
Konsep pisah dan bersambung juga terpakai antara kita dengan Nabi Yusuf. Kita terpisah dengan baginda dari segi masa yang ribuan tahun dan kedudukan geografi yang jauh. Akan tetapi setelah kita menekuni kisah baginda, bukankah kita terasa ada kaitan antara baginda dan kita? Apa yang baginda lalui, kadang-kadang kita juga lalui. Allah telah jadikan kisah baginda ini ada sahaja kaitannya dengan kita. Tentulah tidak semua, tapi pasti ada.
Dan begitulah Al-Qur’an ini memandu kita di dalam kehidupan kita dengan memberikan berbagai-bagai konsep tentang kehidupan. Supaya kita dapat mengaplikasi di dalam setiap sudut kehidupan kita yang berliku-liku. Allah telah terangkan segalanya di dalam Al-Qur’an. Kerana inilah yang kita perlukan, bukan? Iaitu panduan hidup di dunia untuk membawa kita ke akhirat.
وَهُدًى
dan petunjuk
Al-Qur’an ini mengandungi petunjuk untuk kita hadapi kehidupan kita di dunia ini. Dan kita selalu sebut tentang Al-Qur’an menjadi petunjuk bagi kita; tapi adakah kita memahaminya?
Pertamanya kita lihat penggunaan kalimah هُدًى di sini. Kalimah هُدًى adalah dalam bentuk isim masdar (kata terbitan). Allah tidak menggunakan kalimah يَهْدِي (memberi petunjuk) tetapi Allah terus kata هُدًى (petunjuk). Ini ada menyentuh balaghah sedikit. Kalau يَهْدِي yang digunakan, ia menunjukkan perbuatan yang terikat dengan masa. Ia bermaksud “sedang atau akan memberi petunjuk”. Sedangkan apabila digunakan هُدًى yang di dalam bentuk Isim Masdar, ia menunjukkan sifat jati diri atau hakikat sesuatu.
Dalam kaedah bahasa Arab, menggunakan Masdar untuk menyifatkan sesuatu dipanggil sebagai bentuk Mubalaghah (hyperbole). Sebagai contoh: Jika anda kata “Zaid itu adil (Aadil)”, itu sifat biasa. Tetapi jika anda kata “Zaid itu adalah Keadilan (Adlun)”, ia bermaksud seluruh diri Zaid itu melambangkan keadilan. Begitu juga dengan Al-Quran. Allah tidak hanya kata Al-Quran itu “memberi petunjuk” (Haadin), tetapi Al-Quran itu adalah “Hudan” (Ibu bagi segala petunjuk). Segala hidayah terpancar daripadanya.
Apabila Allah menyifatkan Al-Qur’an sebagai هُدًى, ia bermaksud Al-Qur’an itu adalah “Petunjuk” itu sendiri. Ia bukan sekadar “alat” yang memberi petunjuk kadang-kala, tetapi zatnya, hurufnya, dan maknanya adalah sumber hidayah yang mutlak dan tidak berubah oleh masa. Bagaimana kita boleh memahami perkara ini?
Baik, kita pun tahu di dalam dunia ini adalah banyak bidang seperti perubatan, perundangan, psikologi, ekonomi, politik, sosial, dan banyak lagi. Dan setiap bidang ini ada pakarnya, bukan? Ada sumber rujukannya seperti buku, contohnya. Dan selain dari bidang-bidang ini, kalau kita pergi ke kedai buku, ada section agama atau spiritual, bukan? Dan antara rujukannya adalah kitab Al-Qur’an. Al-Qur’an diletakkan di situ kerana nak masuk section perubatan tidak boleh, section perundangan pun tidak boleh, bukan? Tapi siapakah Penulis Al-Qur’an sebenarnya? Allah adalah Penulisnya. Ada manusia dan buku tentang perubatan, tapi Allah lah penyembuh. Ada yang pakar dalam psikologi tapi Allah yang buat otak dan minda dan emosi kita ini, bukan? Jadi segala ilmu-ilmu yang ada dalam dunia ini, Allah lebih pakar dari yang paling pakar, bukan?
Allah memberikan jenis petunjuk yang telah diterangi. Ia menerangi semua bidang yang lain. Sebagai contoh, ia menerangi pemikiran kita mengenai politik. Ia menerangi pemikiran kita mengenai penjagaan diri mahupun kesihatan mental. Al-Qur’an memberi bimbingan rohani yang benar-benar membantu kita mendapatkan arah yang betul dalam mana-mana bidang. Ia memberikan pandangan yang memastikan bahawa bidang tersebut ada tujuan dan arah yang baik. Kerana semua penyelidikan dan kajian manusia ialah pedang bermata dua. Anda boleh belajar fizik dan mencipta perkara yang luar biasa seperti kereta tetapi di dalam masa yang sama, anda boleh boleh juga mencipta bom nuklear, bukan? Jadi sains itu buta. Ia tidak mempunyai arah dari mula lagi. Jadi supaya ia mempunyai arah yang selamat, maka kena ada panduan dari Al-Qur’an.
Kitalah yang kena memandu sains itu. Wahyu akan mengajar bagaimana menggunakan sains dalam cara yang benar-benar memberi manfaat kepada manusia. Tanpa panduan wahyu, sains boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Psikologi juga boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza, terapi boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Kerana ia tidak mempunyai cahaya yang perlu dipatuhi. Dan bahaya kerana ia tidak ada panduan dan ia boleh menjadi sesuatu yang buruk, gelap. Jadi ia memerlukan cahaya, dan cahaya itu ialah cahaya Firman Allah, iaitu petunjuk. Jadi agama bukanlah kena cerita tentang sains, psikologi, perubatan dan sebagainya, tapi cukup sebagai pemandu dan pemberi cahaya sahaja.
Ramai yang sudah mula hendak menggunakan Al-Qur’an sebagai sumber panduan hidup, ramai yang sudah mula menyertai kelas tafsir Al-Qur’an dan memulakan halaqah pengajian dan tadabbur. Alhamdulillah, manusia semakin kenal Al-Qur’an dan sudah ada usaha untuk membumikan Al-Qur’an kepada masyarakat Islam di Malaysia ini. Sebelum kita mula untuk menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan hidup, ada beberapa syarat yang kita boleh perhatikan. Ini adalah petikan dari tulisan Amin Ahsan Islahi. Ini bukanlah proses cara belajar tapi persediaan hati sebenarnya.
Kemurnian Niat
Keikhlasan niat adalah yang paling utama daripada semua syarat yang lain. Ini bermakna seseorang harus membaca Al-Qur’an hanya untuk mendapatkan bimbingan daripadanya dan bukan untuk apa-apa maksud yang lain. Jika seseorang mempunyai tujuan lain dalam fikiran, dia bukan sahaja akan dilucutkan daripada keberkatan Al-Qur’an, tetapi dia juga boleh dijauhkan dari Al-Qur’an, malah lebih jauh dari sebelum ini. Jika seseorang itu mengkaji Al-Qur’an untuk menjadi seorang ahli tafsir supaya dia boleh mendapat kemasyhuran dan kepentingan keduniaan, dia mungkin mencapai sasaran ini, tetapi dia tidak akan sampai kepada kefahaman sebenar Al-Qur’an. Begitu juga, jika seseorang mengkaji Al-Qur’an untuk mempertahankan hujah yang dia telah pegang sebelum itu lagi, dia mungkin berjaya mendapatkan hujah itu setelah diputarbelitkan, dia mungkin menang hujah, tetapi harga yang dia kena bayar adalah dia tidak akan dapat memahami Al-Qur’an.
Allah telah menghadiahkan Al-Qur’an sebagai kitab bimbingan dan telah memupuk keinginan untuk mendapatkan bimbingan dalam setiap jiwa. Oleh itu jika seseorang mengkaji Al-Qur’an daripada keinginan untuk mendapatkan bimbingan, dia akan meraih hasil mengikut usaha yang dikeluarkan dan tentunya dengan bantuan Allah. Tetapi jika dia berhasrat kerana motif lain, pada dasarnya, dia juga akan mendapat apa yang dia cari. Ini kerana Allah telah berfirman di dalam Baqarah:26
يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا
Dia menyesatkan ramai orang, dan Dia memberi hidayah kepada ramai orang
Dan selepas menerangkan prinsip ini, Allah sambung di dalam ayat yang sama:
وَمَا يُضِلُّ بِهِۦۤ إِلَّا ٱلفَـٰسِقِينَ
Tetapi Dia menyesatkan, kecuali orang-orang yang ingkar.
Ini bermakna Allah hanya menyesatkan mereka yang menyimpang daripada jalan yang betul. Jika seseorang menyembah berhala sedangkan dia berada di dalam Ka’bah, maka dia tidak layak untuk mengenali rahsia Tauhid. Jika seseorang berminat untuk mengumpul duri walaupun ada bunga, maka dia tidak layak diberkati dengan wangian bunga. Jika seseorang, kerana sifat buruknya, menganggap ubat sebagai penyakit, maka dia tidak layak mendapat nikmat kesihatan; sebaliknya dia berhak untuk menjadi lebih sakit lagi. Allah berfirman di dalam Baqarah:16
أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.
وَرَحمَةً لِقَومٍ يُؤمِنونَ
dan rahmat bagi kaum yang beriman.
Ia mengandungi banyak rahmat dari Allah ﷻ. Jadi kalau kita mahu rahmat dari Allah ﷻ, maka kena rujuk Al-Qur’an. Untuk mengambil manfaat darinya, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an.
Maka sekarang lengkaplah segala topik dari Surah Yusuf ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.
Kemaskini: 14 Mac 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an

