Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (1) (Kisah untuk Ulul Albab)

KISAH PARA RASUL DI DALAM AL-QUR’AN

Yusuf Ayat 111: Ini adalah ayat terakhir Surah Yusuf ini. Allah ‎ﷻ telah mulakan kisah ini dari awal surah ini dan sekarang hendak menutup dengan memberi khulasah (ringkasan) terhadap kisah yang panjang itu. Sebelum ini telah disebut tentang penolakan umat terhadap para Rasul mereka dan azab yang telah dikenakan kepada mereka. Sekarang Allah menyuruh kita mengambil pengajaran dari semua yang telah disampaikan.

لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصدِيقَ ٱلَّذِى بَينَ يَدَيهِ وَتَفصِيلَ ڪُلِّ شَىءٍ وَهُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There was certainly in their stories a lesson for those of understanding. Never was it [i.e., the Qur’ān] a narration invented, but a confirmation of what was before it and a detailed explanation of all things and guidance and mercy for a people who believe.

(MALAY)

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.

 

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ

Sesungguhnya pada kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.

Ayat ini sebagai pelengkap kepada Ayat 3 di awal surah ini,

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang terbaik

Mungkin ada yang bertanya, terbaik bagaimana? Filem-filem di dalam Netflix lagi menarik perhatian kepada kebanyakan manusia. Jadi di mana terbaiknya? Jadi sekarang Allah jelaskan dan buktikan yang kisah inilah kisah yang terbaik. Kerana itu Allah gunakan dua taukid (penegasan) di dalam kalimah لَقَد iaitu huruf ل dan قد. Maknanya Allah hendak kata ini bukan kisah main-main. Ia menolak dengan tegas hujah mereka yang mengatakan kisah ini bukan kisah yang terbaik. Atau bagi mereka yang rasa kisah ini tidak ada apa-apa yang menarik. Jadi apakah faktor-faktor yang menjadikan kisah Nabi Yusuf ini yang terbaik? Yang pertama, ia adalah عِبرَةٌ.

Perhatikan isim كان (muzakkar) yang digunakan di sini sedangkan ia merujuk kepada عِبرَةٌ (muannath). Kenapa tidak digunakan isim كانت? Kerana kalau كانت yang digunakan, ia hanya merujuk kepada عِبرَةٌ sahaja. Sedangkan apabila كان digunakan, ia merangkumi banyak perkara lagi. Contohnya ia merangkumi elemen seperti petunjuk, peringatan, ancaman, mukjizat, bukti dan lain-lain lagi, bukan عِبرَةٌ sahaja.

Penggunaan kalimah في (di dalam) juga penting kerana tidak digunakan kalimah من (dari). Kalimah في lebih kuat dari kalimah من. Ia memberi isyarat yang pengajaran hebat dari kisah-kisah ini terdapat jauh di dalam kisah itu, jadi kena masuk dalam kisah itu, perhatikan, kaji dan tadabbur supaya kita dapat mengambil manfaatnya. Ia bukan sesuatu yang sekali baca sahaja sudah dapat tapi memerlukan usaha untuk menggalinya. Kalau kalimah من sahaja digunakan, ia tidak memberi isyarat sebegini.

 

Siapakah ‘mereka’ di dalam قَصَصِهِم? 

Allah menyebut di sini tentang قَصَصِهِم (kisah mereka) akan tetapi siapakah ‘mereka’ itu? Ia tidak disebut. Ia boleh menjadi beberapa kemungkinan.

1. Kisah-kisah di dalam Surah Yusuf dan kita telah belajar tentang banyak kisah yang berkaitan dengan Nabi Yusuf dan pelakon-pelakon yang lainnya.

2. Kalau kita lihat ke ayat yang sebelum ini (Ayat 110), ada disebut tentang para Rasul (حَتَّىٰٓ إِذَا ٱستَيـَٔسَ ٱلرُّسُلُ) “Sehingga apabila para Rasul hampir putus asa”. Jadi mungkin yang dimaksudkan adalah kisah-kisah para Rasul yang menceritakan dakwah mereka, penentangan yang mereka hadapi, apa kesudahan mereka dan seterusnya. Sebagaimana firman Allah di dalam Hud:120

وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ ۚ وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.

3. Di dalam Ayat 110 juga Allah telah menyentuh tentang golongan penjenayah (فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ‌ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأسُنَا عَنِ ٱلقومِ ٱلمُجرِمِينَ) “Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang penjenayah”. Maka mungkin ‘mereka’ yang dimaksudkan adalah golongan kafir yang banyak dosa dan menentang para Rasul mereka. Kita banyak membaca apakah dosa mereka, cara penentangan mereka, salah faham mereka dan pengakhiran mereka menerima azab dari Allah akhirnya.

Kita tidak perlu menetapkan salah satu kerana semua kisah-kisah ini penting belaka dan menjadi pengajaran kepada kita. Walaupun tidak disebut secara spesifik siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan, kita boleh sahaja masukkan semua yang disebut di atas sebagai ‘mereka’ yang kita boleh pengajaran dari kisah-kisah mereka.

 

Penjelasan kalimah قَصَصِ

Jadi kita tahu yang kisah-kisah itu banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Kita belajar kisah-kisah Para Rasul dahulu, kisah penghancuran kaum yang menentang mereka, termasuklah kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan keluarga baginda ini, dan apa-apa kisah sahaja yang ada dalam Al-Qur’an ini. Ada banyak kisah tapi Allah gunakan kalimah قَصَصِ di dalam bentuk mufrad (singular). Kerana kalau kalimah yang biasa, ia adalah قِصَّة dan jamaknya adalah قِصَص. Perhatikan perbezaan pada harakat huruf ق itu. Kenapa begitu? Bukankah ada banyak kisah?

1. Beberapa mufassir menjelaskan bahawa lafaz قَصَصِهِم dalam ayat ini datang dalam bentuk mufrad (قَصَص) walaupun merujuk kepada banyak cerita, kerana kalimah قَصَص secara bahasa ialah dalam bentuk masdar yang boleh menggambarkan himpunan kisah secara keseluruhan. Kisah Nabi Yusuf sendiri mengandungi banyak bahagian, maka masdar dipakai untuk merangkum kesemuanya. Jadi satu kisah besar ini terdiri daripada banyak episod (dipisahkan dari keluarga, dijual, jadi hamba, digoda, dipenjara, berkuasa), sehingga masdar قَصَص dipakai untuk mencakup keseluruhan episod-episod itu semua.

Dalam bahasa Arab, Maṣdar (مَصْدَر) secara mudahnya bermaksud: Kata Terbitan atau Kata Nama Terbitan. Untuk faham dengan senang, kita bandingkan antara Perbuatan (Fi’il) dan Nama (Isim):

Kata Kerja (Fi’il): Menunjukkan perbuatan + Masa.

Contoh: Makan (tengah makan/sudah makan).

Masdar: Menunjukkan perbuatan SAHAJA (tiada unsur masa).

Contoh: Penyusuan, Pembacaan, Makan (sebagai subjek, contoh: “Makan itu perlu”).

2. Dengan menggunakan bentuk mufrad, seolah-olah Allah hendak menunjukkan keseluruhan kisah-kisah itu. Ia hendaklah dipandang sebagai satu sahaja walaupun ia banyak bahagian padanya. Macam ada banyak sungai, tapi semuanya menuju kepada satu tempat sahaja, laut. Maka semua kisah itu tujuannya satu sahaja. Macam kisah para Rasul itu sebenarnya adalah satu kisah sahaja; iaitu kisah yang panjang bermula dari Nabi Adam sehingga kepada Nabi Muhammad.

Pada kita, semua Nabi dan Rasul itu membawa perkara yang sama iaitu Tauhid kepada Allah. Syariat berubah-ubah mengikut zaman dan ini tidak menjadi masalah. Tapi di dalam agama Yahudi dan Kristian, ada masalah. Kerana bagi Yahudi, mereka hanya pakai undang-undang Taurat Zaman Nabi Musa sahaja. Jadi soalan cepu emas: sebelum Nabi Musa seperti Nabi Ibrahim, mereka pakai undang-undang apa? Dan Kristian pula kata Nabi Isa sebagai Penyelamat. Jadi yang sebelum Nabi Isa itu bagaimana mereka hendak selamat sedangkan mereka tidak kenal pun Nabi Isa. Jadi dua-dua agama ini kena bersilatlah untuk membenarkan hujah mereka itu. Dalam Islam tidak ada masalah ini kerana para Rasul boleh sahaja guna undang-undang syariat mereka tanpa perlu kenal Nabi Muhammad dan ikut syariat Nabi Muhammad.

Para Nabi dan Rasul itu berbeza, tapi kisah mereka sama sahaja. Kerana itu Allah sampaikan kisah-kisah mereka kepada Nabi Muhammad dan kita untuk beritahu yang apa sahaja yang baginda lalui, ia perkara yang sama sahaja dari dahulu lagi.

3. Kalimah قَصَص di dalam bentuk masdar juga membawa maksud cara penceritaan. Kisah Nabi Yusuf ini telah diceritakan turun temurun oleh mereka yang mengetahuinya. Setiap orang ada cara bagaimana dia menceritakan kepada orang lain. Kita yang sudah tahu ini juga, apabila kita menceritakan kepada orang lain, ada cara kita. Sekarang kita telah belajar bagaimana cara Allah sendiri menceritakannya kepada manusia. Dan tentulah cara Allah yang terbaik. Kalau manusia yang cerita, tentu ada perkara yang dia tekankan yang dia suka seperti keturunan Nabi Yusuf, nama tempat dan sebagainya. Tapi cara Allah lain. Bukan hanya cerita sahaja yang penting, tapi cara penceritaan juga penting. Ada perkara yang perlu ditekankan dan ia ada terdapat di dalam cara penceritaan Allah. Kerana itulah Allah beritahu kepada kita di awal surah ini yang kisah Nabi Yusuf ini adalah kisah yang terbaik,

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik

 

Penjelasan kalimah عِبرَةً

Kalimah عِبرَةً adalah daripada kata dasar ع ب ر yang bermaksud menyeberangi; mentafsir; nyatakan dengan jelas; melalui; pertimbangkan; renungkan; mengambil kira; dapatkan pengalaman; amaran; hormat; contoh; pengajaran; ambil pengajaran. Kalau seseorang menyeberangi sungai, dikatakan (عَبَرَ النَّهْرَ) bermaksud: “Dia telah menyeberangi sungai.” Dan tangisan juga adalah عَبْرَة. Ini kerana pakar bahasa Arab menjelaskan bahawa air mata dipanggil عَبْرَة kerana air mata “menyeberang” atau melintas keluar dari kelopak mata ke pipi. Ia adalah sesuatu yang “meluap” dan berpindah dari dalam (hati/perasaan) ke luar (wajah). Kisah Nabi Yusuf ini juga meluap dan berpindah dari minda ke dalam hati. Ia bukan hanya perbincangan akademik, tapi ia sesuatu yang mengubah jiwa kita.

Oleh itu ‘Ibrah’ adalah sesuatu yang boleh menyebabkan kita menangis kerana ia pelajaran yang sangat kuat. Ia adalah sesuatu yang menusuk ke dalam kalbu dan mendekatkan kita kepada Allah. Ia sesuatu yang kita lihat secara zahir akan tetapi ia boleh menyampaikan kita kepada sesuatu yang tidak zahir. Sebagai contoh, kita melihat langit yang zahir tetapi ia mengingatkan kita kepada kebesaran Allah ﷻ yang tidak zahir. Bayangkan kita melihat asap dan dengan asap itu, kita boleh tahu yang tentu ada api. Maka dengan kisah-kisah di dalam Surah Yusuf ini mengajar kita untuk menggunakan akal. Supaya kita tidak hanya melihat dunia di hadapan kita sahaja, tapi memandang dan memahami tentang akhirat.

Kita telah lihat kisah Nabi Ya’qub yang kehilangan anak kesayangannya. Memang baginda di dalam kesedihan sangat, akan tetapi baginda tahu yang Allah ada perancangan. Jadi baginda terus memandang ke hadapan, terus berharap dan menunggu bilakah janji Allah akan tiba. Bagi kita yang sedang mengalami kesusahan hidup ini, ia memberi harapan kepada kita. Mungkin Allah sudah siapkan pengakhiran yang baik untuk kita dan ujian ini sementara sahaja. Dan kalau pun di dunia ini kita tidak rasa pun kebaikan itu, kita tetap ada akhirat yang menunggu kita dengan segala nikmatnya.

Bila kita menangis? Apabila hati kita tersentuh sangat kerana kesedihan yang sangat atau kegembiraan yang tinggi. Sebagaimana anak yang menangis kerana ditinggalkan ibunya dan menangis lagi apabila berjumpa ibunya kembali. Maka dengan Allah begitu juga. Kita menangis apabila mengenangkan selama ini kita tidak hiraukan ayat-ayat Allah. Sudah tua barulah berjumpa pengajaran yang tinggi di dalam susunan ayat-ayat Allah ini. Dan apabila kita memahaminya, kita sekali lagi menangis kerana terkesan dan bersyukur kegembiraan kerana Allah beri peluang kepada kita untuk memahaminya. Dan apabila kita diingatkan dengan banyaknya nikmat yang Allah telah taburkan ke atas kita, kita sekali lagi menangis, bukan? Di dalam kisah Nabi Yusuf ini juga sepatutnya ada tempat-tempat yang kita menangis teresak-esak…. kerana apa? Kerana di dalam kisah baginda itu ada kisah kita. Mungkin bukan semua, tapi ada sedikit sebanyak sama pengalaman dan ujian yang kita alami. Kita membaca kisah baginda macam kita membaca kisah kita.

Jadi kisah-kisah di dalam Al-Qur’an itu semuanya itu عِبرَةٌ (sesuatu yang mengesankan sampai boleh menyebabkan menangis). Kita telah bincangkan bagaimana kalimah قَصَص di dalam bentuk mufrad walaupun ada banyak kisah. Sekarang kita bincangkan kalimah عِبرَةً yang juga di dalam bentuk mufrad. Kalau jamak, عِبَر. Secara literal ia bermaksud kisah yang Allah sampaikan ada satu pengajaran. Satu pengajaran? Bukankah ada terlalu banyak pengajaran di dalam kisah-kisah dan ayat-ayat Al-Qur’an ini? Yang kalau kita gali, tidak habis-habis. Satu ayat pun boleh dikeluarkan berpuluh pengajaran darinya, tapi sekarang Allah kata satu pengajaran? Begitulah Allah meringkaskan pengajaran di dalam penggunaan kalimah عِبرَةٌ. Di dalam Surah Luqman, kita belajar tentang seorang lelaki yang mulia, Luqman al-Hakim. Beliau telah diberikan dengan banyak nikmat agama, tapi Allah ringkaskan segala nikmat itu dengan satu nikmat sahaja, syukur, seperti disebut di dalam Luqman:12

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ
Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah

Dan ada banyak pengajaran dari kisah Luqman itu di mana dia mengajar anaknya banyak perkara. Tapi ia segala nasihat itu dirangkumkan di dalam satu perkara yang paling besar: syirik. Ini disebut di dalam ayat seterusnya,

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Ia mengajar kita segala kebaikan itu membawa kepada bersyukur kepada Allah dan segala keburukan itu akhirnya satu sahaja, syirik. Begitulah ringkasan keseluruhan Al-Qur’an ini kita boleh ringkasnya kepada dua kalimah sahaja: Allah Tuhan, kita hamba. Semuanya kembali kepada Allah sebagaimana juga عِبرَةٌ terbesar yang kita boleh ambil adalah Allah, taat kepada Allah, jangan buat syirik dengan Allah.

Allah menegaskan ada pengajaran di dalam kisah-kisah di dalam surah ini dengan menggunakan kalimah penegasan لَقَد dan كانَ. Ini kerana ada orang yang tidak nampak pengajaran yang ada. Ada orang yang tidak ambil hirau dan tidak ambil kisah. Sekarang bayangkan kalau saya kata saya ada sejongkong emas di dalam rumah. Ada orang yang akan mencarinya, dan ada orang yang tidak percaya. Sama ada orang cari atau tidak, jongkong emas itu tetap ada. Begitulah bagi mereka yang tidak percaya, Allah tegaskan yang pengajaran memang ada. Sebagaimana juga kalau orang tidak hirau tentang sejongkong emas itu, tidaklah bermakna emas itu tidak ada. Ia hanya akan didapati oleh orang yang mahu mengambilnya, mencarinya.

Dari segi penggunaan bahasa, ada satu lagi tempat di mana kata dasar yang sama bagi ibrah digunakan iaitu di dalam Ayat 43, iaitu kalimah تَعبُرُونَ.

وَقَالَ ٱلمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبعَ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأڪُلُهُنَّ سَبعٌ عِجَافٌ وَسَبعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يَابِسَٰتٍ ۖ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلمَلَأُ أَفتُونِى فِى رُءيَـٰىَ إِن كُنتُم لِلرُّءيَا تَعبُرُونَ
Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering”. Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’bir mimpi”.

Mereka waktu itu bergantung kepada tukang tilik untuk menafsirkan perkara yang mereka lihat di dalam mimpi supaya tukang tilik untuk itu menjelaskan apakah maksudnya di dunia nyata. Kita telah katakan ibrah digunakan untuk melihat perkara yang zahir dari yang tidak zahir (lihat asap bermakna ada api). Maka tukang tilik menzahirkan maksud mimpi yang tidak zahir itu. Walaupun mereka zaman itu paling maju dan boleh bina macam-macam, tapi kepercayaan karut tetap ada. Dan bukan sahaja mereka, zaman sekarang pun tetap ada juga, di dalam kebanyakan agama. Malangnya orang Islam pun percaya perkara tahyul ini. Ada yang pergi jumpa bomoh dan pawang dan tanya itu ini. Ada yang masih lagi baca horoskop.

Allah ubah kepercayaan itu di dalam ayat ini. Allah gunakan ibrah dengan penggunaan wahyu. Kamu tidak perlu lagi percaya kepada tukang tilik, bomoh, pawang, ustaz mengarut. Yang kamu perlukan adalah wahyu yang membimbing hidup kita.

Satu lagi penggunaan ibrah dan kisah adalah ‘ikut jejak langkah’. Ini seperti digunakan di dalam Qasas:11 apabila ibu Nabi Musa suruh kakak Nabi Musa ikut jejak baginda setelah dihanyutkan di dalam sungai,

وَقَالَتْ لِأُخْتِهِ قُصِّيهِ
Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara perempuan Musa (kakaknya): ‘Ikutilah jejaknya’

Maka di dalam surah ini ia mengajar kita untuk ikut jejak langkah para Rasul. Kisah-kisah mereka menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya mendidik kita untuk menjalani kehidupan kita. Kerana pengalaman mereka juga adalah pengalaman kita juga, bukan? Dan ditambah dengan istilah ibrah yang bermaksud menyeberang, ia membawa kita menyeberang ke arah kebaikan, ke arah Allah.

Di dalam Ayat 7 Allah telah berfirman tentang kisah-kisah di dalam Surah ini,

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

Ayat 7 ini menarik kerana ada beberapa persamaan dengan Ayat 111. Ia seolah-olah ada pengulangan antara permulaan surah dan penghujung surah ini.

1. Dua-dua menggunakan taukid لَقَد.
2. Dua-dua menggunakan kalimah فِى.
3. Fokus kepada adanya penerima, satu لِلسَّآٮِٕلِينَ dan satu lagi لِأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ۗ.
4. Dua-dua menyebut ada pengajaran, satu menggunakan istilah ءَايَـٰتٌ dan satu lagi menggunakan istilah عِبرَةٌ.

Jadi telah digunakan istilah ءَايَـٰتٌ (tanda-tanda) dan sekarang Allah sebut pula عِبرَةٌ. Apakah beza antara dua istilah ini?

Tanda adalah penunjuk arah, bukan? Kalau kita sedang memandu, kita memerlukan penunjuk arah untuk menjadi panduan bagi perjalanan kita. Dan عِبرَةٌ pula adalah perbuatan menyeberangi. Jadi setelah kita tahu arah tujuan, hendaklah kita menyeberanginya menuju ke arah tujuan itu. Begitulah cantiknya kaitan antara dua istilah yang Allah gunakan. Di permulaan perjalanan, kita memerlukan arah tujuan, kemudian perjalanan kita akan menyusul. Begitulah di permulaan surah ini, Allah gunakan istilah  ءَايَـٰتٌ kerana ia di permulaan surah, dan sekarang digunakan istilah عِبرَةٌ kerana sepatutnya perjalanan kita sudah menyeberangi dan sampai ke penghujungnya.

Di dalam Ayat 7 Allah kata kisah ini bagi لِّلسَّآٮِٕلِينَ bagi orang-orang yang bertanya. Dan sekarang di dalam Ayat 111 ini diberitahu yang kisah-kisah ini bagi أُولِي الأَلبابِ. Siapakah yang selalu bertanya? Ia adalah orang yang mahukan jawapan, orang yang mahu belajar, orang yang mahu mendapat kebenaran dari Allah. Tapi kalau setakat bertanya sahaja, tapi sumbat telinga pada semua yang dia dengar, maka itu tidak bagus. Jadi kena ada keinginan bertanya dan kena ada sifat الأَلبابِ yang kita akan terangkan nanti.

Begitulah hebatnya maksud عِبرَةٌ yang Allah gunakan. Akan tetapi perhatikan kalimah عِبرَةٌ di dalam bentuk nakirah (umum) berserta tanwin. Jadi apabila ia digunakan di dalam bentuk ini, ia memberi beberapa isyarat:

1. Memberi isyarat banyak. Ia bukan mengandungi satu sahaja pengajaran tetapi berbagai-bagai mutiara yang kita boleh gali.
2. Kehebatan. Apabila ada tanwin, ia menguatkan sesuatu kalimah itu. Ini kerana kisah-kisah ini hebat-hebat belaka.
3. Tidak spesifik. Apabila ia di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia tidak terhad dan spesifik. Kisah ini boleh memberi pengajaran yang berlainan bagi individu yang berbeza. Ada orang boleh ambil pengajaran ini dan orang lain pengajaran itu pula.
4. Bentuk umum itu juga menyebabkan kita tertanya-tanya dan mencari apakah pengajaran yang kita boleh ambil darinya.

Tapi perhatikan susunan ayat ini: فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ dan bukannya عِبرَةٌ فِى قَصَصِهِم. Allah beritahu قَصَصِ sebelum sebut عِبرَةٌ. Ini untuk pembaca fokus kepada kisah itu dan mencari apakah pengajarannya. Kalau disebut pengajarannya dahulu, jadi keliru pula kerana hendak dicari di mana pengajaran itu? Jadi Allah suruh fokus kepada kisah dan carilah pengajaran-pengajaran itu di dalam kisah itu.

Di hujung ayat ini, setelah memberitahu kisah-kisah itu semua, Allah menegaskan yang semua itu bukan semata-mata kisah, tapi ada pengajaran. Bandingkan kalau kita tengok filem, belum tentu ada pengajaran yang kita boleh dapat dari filem itu. Kita yang banyak tengok filem ini bukan hendak cari pengajaran pun, kerana selalunya memang tidak ada, bukan? Kita buang masa tengok filem kerana hendak checkout dari dunia realiti sebentar.

 

Siapakah أُولِي الأَلبابِ? 

Kisah ini disampaikan kepada semua orang, tetapi siapa yang akan menghargainya? Kalimah عِبرَةٌ itu luas, tapi kalimah أُولِي الأَلبابِ terhad. Maknanya, pengajaran dari عِبرَةٌ itu sangat banyak, tidak terhad, akan tetapi yang boleh mengambilnya adalah orang yang terhad sahaja. Malangnya bukan semua orang akan menghargainya, kecuali أُولِي الأَلبابِ. Orang yang ada sifat ini sahaja yang akan membaca kisah-kisah ini dengan minda dan hati yang terbuka, dan akan menjadikannya sebagai terapi dan penasihat di dalam kehidupan. Kalau tidak ada sifat ini, seseorang yang membaca kisah dari Surah Yusuf ini cuma akan fikir: “aku dah tahu dah kisah ni dari kecik lagi, takde benda baru pun!”

Kita telah belajar perjalanan hidup Nabi Yusuf, contoh أُولِي الأَلبابِ yang tertinggi. Tapi apakah maksud أُولِي الأَلبابِ? Sekarang kita akan huraikan kalimah ini kerana ia sangat penting dan selalu disebut. Sampai sekarang pun ada sekolah yang dinamakan Ulul Albab, bukan?

Kalimah الأَلبابِ adalah bentuk jamak kepada لُبّ, yang bermaksud isi, teras, atau sari pati (Kernel/Core). Orang Arab menggunakan perkataan لُبّ untuk merujuk kepada isi buah, bahagian dalam kacang/badam. Iaitu merujuk kepada bahagian dalam yang boleh dimakan selepas kulitnya dikupas. Atau Teras kayu: Bahagian tengah batang pokok yang paling keras dan kukuh.

Kalimah أُولِي الأَلبابِ selalu diterjemahkan kepada ‘orang-orang yang mempunyai akal’ tapi ia bukanlah akal sahaja (kerana semua orang ada akal) tapi akal yang sihat. Akal yang sihat memang mencari-cari kebenaran. Mereka yang sebeginilah yang akan baca kisah dalam surah ini (dan Al-Qur’an secara umum) dan mereka akan dapat mengambil pengajaran darinya. Al-Qur’an sebagai kalam Allah yang kaya dengan bahasa dan pengajaran, menggunakan berbagai istilah bagi akal. Selain dari ‘aql’ yang paling banyak digunakan, ada istilah lain seperti أُولِي النُّهىٰ yang digunakan di dalam Taha:54

كُلوا وَارعَوا أَنعامَكُم ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِأُولِي النُّهىٰ
Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.

Kalimat أُولِي النُّهىٰ berasal daripada نهى (melarang/berhenti). Ia merujuk kepada akal yang sudah mencapai tahap kematangan moral. Ia bukan sekadar faham logik, tetapi akal yang cukup kuat untuk melarang tuannya daripada mengikut hawa nafsu atau melakukan kejahatan. Orang yang ada akal, dia akan dapat menghalang nafsunya dari melakukan sesuatu yang bodoh. Jadi fungsi akal yang ditekankan di sini adalah fungsi melarang.

Kemudian ada pula istilah ذي حِجرٍ seperti digunakan di dalam Fajr:5

هَل في ذٰلِكَ قَسَمٌ لِّّذي حِجرٍ
Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal.

Ia berasal daripada حجر (batu/tembok). Ia menyentuh tentang akal sebagai sesuatu yang kukuh. Ia merujuk kepada intelektual yang teguh dan tidak mudah goyah dan ditukar dengan sewenangnya. Orang yang ada حِجرٍ tidak akan mudah tertipu dengan hujah yang batil. Jadi di sini fungsi akal sebagai sesuatu yang teguh.

Al-Qur’an juga sering menyandarkan perbuatan berfikir kepada hati, seperti dalam Hajj:46

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها
maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami

Kalimah قُلوبٌ berasal daripada قلب (berbolak-balik). قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها merujuk kepada akal yang berpaksikan wahyu dan perasaan. Dalam Islam, akal yang sejati tidak terpisah daripada hati. Ia adalah pusat kesedaran di mana ilmu bertukar menjadi keimanan. Jadi apabila digunakan istilah قُلوبٌ ia merujuk kepada fungsi akal yang merasa dan memahami.

Jadi ada berbagai istilah yang Allah gunakan untuk merujuk kepada akal, masing-masing dengan fungsi yang Allah hendak tekankan. Maka begitu juga dengan أُولِي النُّهىٰ ini. Tapi sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa dari الأَلبابِ menjadi akal? Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan ‘Aql (akal biasa) dalam istilah ini, sebaliknya menggunakan Al-Albāb kerana:

  • Penembusan Kulit: Sebagaimana kita perlu mengupas kulit buah untuk mendapatkan isinya (lubb), seorang Ulul Albab adalah orang yang mampu “mengupas” lapisan luaran sesuatu peristiwa (zahir) untuk sampai kepada hakikat dan hikmahnya (batin).
  • Kualiti vs Kuantiti: Semua orang ada otak/akal (zahir), tetapi tidak semua orang sampai kepada tahap “isi” (hakikat). Ulul Albab adalah golongan yang akalnya tidak terhenti pada permukaan sahaja.
  • Kaitan dengan ‘Ibrah: Ini sangat berkait dengan perbincangan kita tentang ‘Ibrah (menyeberang). Ulul Albab menggunakan akal mereka untuk “menyeberang” dari kulit ke isi.

Jadi, kena ada sifat itu dalam diri manusia, baru boleh dapat hidayah daripada wahyu dan kisah-kisah di dalam Al-Qur’an. Kalau tidak ada sifat itu, seseorang itu mungkin tidak akan dapat menghargai apa yang dia sendiri baca. Selalu kita hairan kenapa ada orang yang baca Al-Qur’an, mengkaji Al-Qur’an tetapi mereka masih juga tidak beriman. Ini seperti golongan Orientalis dan juga profesor-profesor yang mengajar tentang Islam di universiti-universiti Barat, bukan? Ini adalah kerana dalam hati mereka sendiri tidak ada perasaan mahu kepada kebenaran. Untuk kebenaran masuk ke dalam hati, tidak cukup dengan hujah yang kuat dari Al-Qur’an sahaja, tetapi kena ada percikan keinginan kepada kebenaran di dalam hati manusia itu.

Kalimah الأَلبابِ dari kata dasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; suci; tahan karat; saripati; seorang yang diberi kelebihan pertimbangan yang wajar. Jadi لُبّ merujuk kepada bahagian tengah seperti bahagian tengah buah. Kalau buah, bahagian tengah itulah yang dimakan, kulitnya dibuang. Bahagian tengah itu jugalah yang paling manis. Ia juga boleh merujuk kepada bahagian teras pokok, iaitu bahagian yang paling kuat. Ia juga adalah saripati, iaitu yang utama. Sebagai contoh, ada orang berucap sejam, tapi saripati dia apa? Apa yang penting yang dia hendak sampaikan?

Bahagian dalam itu juga selalunya yang paling lembut, bukan? Kerana ia lembut, maka ia perlu dipelihara dengan kulit, contohnya. Sebagaimana hati/jantung kita lembut dan dipertahankan oleh tulang rusuk. Jadi ia juga bermaksud kelembutan. Jadi di dalam bahasa Arab Klasik, orang yang ada لُبّ itu adalah orang yang lembut, yang manis, yang baik dengan semua orang.

Dari maksud teras ini, ia juga membawa maksud suci, kerana bahagian dalam buah itu yang suci, bukan? Kita kupas kulit pisang untuk dapatkan bahagian yang suci di dalamnya. Jadi kerana itulah antara terjemahan bagi الأَلبابِ adalah akal yang suci. Akal yang tidak dikotori dengan perkara-perkara buruk dan jijik. Akal yang suci tidak diganggu oleh emosi buruk seperti marah, berat sebelah dan bias. Ia juga adalah akal yang tidak dicemari dengan maklumat yang salah. Fikiran mereka tidak dipengaruhi oleh kecenderungan politik, bangsa atau kasta. Ia tidak sama dengan intelek. Intelek boleh sahaja wujud bagi semua orang, tapi tidak semestinya ia suci. Yang kita maksudkan dengan الأَلبابِ adalah intelek yang suci dari semua perkara yang tidak patut.

Intelek atau kemahiran berfikir, semua orang ada; beza tinggi atau tidak sahaja. Tapi intelek yang suci? Bukan semua ada. Tapi asalnya kita semua makhluk yang dilahirkan di atas fitrah, maka fikiran kita pun semestinya suci sejak lahir, sebelum ianya dicemari dengan kekotoran fikiran yang rosak. Jadi semua fikiran kita sebenarnya الأَلبابِ asalnya, sehinggalah ia dirosakkan. Rasulullah bersabda,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak yang dilahirkan itu dilahirkan di atas Fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, atau seorang Nasrani, atau seorang Majusi.”

Sahih Bukhari (1358); Sahih Muslim (2658)

Kita selalu dengar tentang tazkiyatun nafs (pembersihan hati). Contohnya hati yang ada sifat pemarah, maka seseorang itu kena berusaha untuk mengawal kemarahannya itu kerana marah bukanlah emosi yang baik. Antaranya kena banyakkan ingat kepada Allah untuk melembutkan hati. Tetapi bukan hati sahaja yang perlu disucikan, tetapi fikiran juga. Ada bukan kita jumpa orang yang nampak baik sangat, lembut sahaja perkataannya, tetapi di dalam masa yang sama dia berpandangan boleh minta tolong kepada ahli kubur, kepada malaikat dan sebagainya. Jadi hatinya sudah bagus, tapi apa yang ada masalah sekarang? Akidahnya yang di dalam ruang lingkup minda, fikiran, ada masalah. Fikiran dia tidak suci kerana telah dicemari dengan akidah yang rosak. Jadi dia yang sebegini bukanlah أُولِي الأَلبابِ kerana seorang yang ada sifat ini mesti suci hatinya dan inteleknya.

Orang yang hatinya suci semestinya mendapatkan sumber rohani dari tempat yang suci juga, iaitu nas Al-Qur’an dan hadis. Sebagaimana orang yang menjaga tubuhnya dari penyakit, dia akan makan makanan yang suci, maka orang yang hati suci pun mesti mengisi hati dan rohaninya dengan benda yang suci juga. Dia juga mengisi mindanya dengan perkara yang baik-baik. Benda yang mengarut dia tidak akan baca dan lihat. Kalau ambil ilmu agama pun, dia akan pilih dengan siapa dia akan ambil. Kerana bukan semua ustaz, sama.

Kita telah belajar kisah yang Allah berikan kepada kita, antaranya kisah Nabi Yusuf ini. Kisah dan penceritaan adalah sesuatu yang manusia amat suka. Dari budak sampai ke tua suka dengar cerita. Sekarang ia dipersembahkan di dalam berbagai bentuk, seperti novel, buku, video dan berita pun dijadikan sebagai bentuk cerita. Jadi untuk menarik minat manusia, di dalam Al-Qur’an juga ada dimasukkan kisah. Jadi ada banyak kisah, tapi adakah semua kisah di luar sana kita hendak tengok? Itulah maksudnya kita kena pilih sumber yang bagus dan baik. Ada banyak media sosial sekarang seperti Facebook, Instagram, Thread dan entah apa lagi. Itu adalah tempat dan di dalamnya ada banyak bahan. Adakah semua kita hendak layan? Kalau kita layan semua, maka malangnya bagi kita kerana bukan semua itu baik. Kalau zaman dahulu ada penapisan dari kerajaan seperti penapisan filem, tapi sekarang sudah susah untuk ditapis lagi. Maka kita sendirilah yang kena tapis. Ini kerana kita hendak menjaga kesucian hati kita.

Kesannya lebih-lebih lagi teruk kepada anak-anak kita. Kita sangka kartun tidak ada apa-apa, bukan? Tapi ada banyak perkara buruk mereka belajar dari kartun; contohnya belajar menipu, belajar kenakan kawan, belajar jadi pemarah kerana bila marah baru selamat, dan sebagainya. Bukan anak sahaja boleh terpengaruh, tapi orang dewasa pun boleh. Kita selalu lihat rancangan lawak dengan bahasa yang tidak baik, menjadi ikutan di kalangan orang dewasa, bukan?

Jadi itulah sahaja yang disembangkan apabila duduk bersama, kisah itu dan ini yang mereka lihat di dalam rancangan TV. Dan bukan itu sahaja, perkara seperti politik juga boleh mengisi minda manusia. Setiap hari ada sahaja benda pelik yang dilakukan oleh ahli politik dan orang yang tidak ada jawatan apa-apa pun, sibuklah hendak komen. Sekali sekala tidak mengapalah, tapi kalau hari-hari dan setiap masa, buat apa? Bila hendak bersembang tentang agama, tentang Al-Qur’an?

Dan kesannya apabila kita memenuhi otak kita dengan benda-benda yang tidak penting, kisah dari Allah pula yang tidak memberi kesan kepada kita. Kisah Nabi Yusuf contohnya, sepatutnya menyentuh hati kita tapi kerana kita bukan أُولِي الأَلبابِ kerana semua benda kita masukkan dalam minda kita, ia tidak memberi kesan langsung. Kerana Allah kata لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal yang suci).

Maka kita sucikan balik hati dan minda kita dengan Al-Qur’an. Kita kena kembali menekuni ayat-ayat Allah supaya kita kembali suci. Ia seperti spiritual detox yang kita kena lakukan. Allah berfirman di dalam Baqarah:151

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ
Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan menyucikan kamu

Dalam detox, kita kena hindarkan diri dari bahan yang kotok dan isi dengan bahan yang baik. Minda kita ini sentiasa berjalan fikir itu dan ini, dan kalau kita tidak kawal bahan untuk dia fikirkan, syaitan akan ambil peluang membisikkan was-was tentang perkara yang buruk. Supaya otak kita jangan menunggu-nunggu bila episod baru kegemaran kita akan keluar, tapi kita tertunggu-tunggu bila kelas seterusnya, bila kita akan masuk ke ayat baru yang kita akan belajar untuk tadabbur.

Sebelum ini kita telah kaitkan ayat ini dengan Ayat 7, apabila disebutkan yang kisah ini adalah bagi orang yang mahu bertanya, mencari jawapan, mencari kebenaran. Tapi selepas bertanya dan mendapat jawapan, seseorang itu hendaklah memastikan jawapan yang dia dapat adalah bersih dan berkualiti. Ini supaya fikiran dia tidak dicemari dengan kekotoran dan maklumat yang salah. Jadi ini mengajar kita yang kita dalam hendak menjaga kesucian minda dan hati kita, hendaklah bertanya kepada orang yang tahu.

Istilah أُولِي الأَلبابِ ini disebut sebanyak 16 kali dalam Al-Qur’an. Antara ciri utama mereka menurut Ali Imran:190-191:

إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٠) ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (١٩١)
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. (191)

  • Zikir: Sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan (berdiri, duduk, baring).
  • Fikir: Memerhati penciptaan langit dan bumi secara mendalam.
  • Kesimpulan: Mereka sampai kepada satu keyakinan: “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia.”

Ulul-Albab yang pertama tentulah para sahabat. Mereka amat suka mendengar kisah ini. Ada menyebutkan dari Ibnul ‘Atha, beliau berkata:

“Tidaklah seseorang yang sedang berduka mendengarkan Surah Yusuf, melainkan ia akan merasa tenang/lapang dadanya.”

Sebab itulah, ketika para sahabat berada dalam keadaan tertekan di Mekah (khususnya pada Tahun Kesedihan), mereka sangat suka mendengar surah ini kerana ia membuktikan bahawa kesabaran yang panjang akan berakhir dengan kemuliaan yang tinggi, persis seperti yang dialami Nabi Yusuf AS.

Malah terdapat juga atsar (perkataan tabiin) yang menggambarkan betapa cintanya umat terdahulu terhadap surah ini. Khalid bin Ma’dan, seorang ulama tabiin yang terkemuka, pernah berkata:

“Ahli syurga di dalam syurga tetap membaca (atau mendengarkan) Surah Yusuf dan Surah Maryam kerana keindahan dan kelembutan kisahnya.” Walaupun ini adalah ungkapan tentang keadaan di syurga, ia menunjukkan kedudukan surah ini sebagai “hiburan spiritual” yang paling tinggi di mata para salafus soleh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment