Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 32 – 34 (ilah-ilah rekaan)

Ayat 32: Tasliah (pujukan) pada Nabi.

وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِن قَبلِكَ فَأَملَيتُ لِلَّذينَ كَفَروا ثُمَّ أَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And already were [other] messengers ridiculed before you, and I extended the time of those who disbelieved; then I seized them, and how [terrible] was My penalty.

(MALAY)

Dan sesungguhnya telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelum kamu, maka Aku beri tangguh kepada orang-orang kafir itu kemudian Aku binasakan mereka. Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!

 

وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِن قَبلِكَ

Dan sesungguhnya telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelum kamu,

Ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad dan para pendakwah. Allah nak beritahu, kalau sekarang baginda kena diolok-olokkan, dulu pun ada Nabi yang telah dihina. Maknanya, bukan Nabi Muhammad seorang sahaja yang kena begitu.

Allah beri tasliah ini kerana Nabi dipersendakan oleh Musyrikin Mekah. Dan apabila baginda diolok-olokkan, baginda telah sedih hati oleh kerana kata-kata mereka itu yang amat menyakitkan hati. Memang teruk sekali apa yang telah dikatakan kepada Nabi Muhammad, dan kalau orang lain, sudah lama berhenti dari sampaikan wahyu.

Bagaimana ini menjadi pujukan pula? Ia memujuk kita kerana kalau kita tahu ada orang lain kena dugaan macam itu juga, maka kita pun rasa lega sikit. Tidaklah kita rasa kita sahaja yang kena. Contohnya kalau kita pergi kenduri dan sakit perut kerana makan makanan rosak, tentu kita marah. Tapi kalau kita tahu ada orang lain yang kena sakit perut juga, psikologi kita berubah dan kita akan rasa kurang sakit.

 

فَأَملَيتُ لِلَّذينَ كَفَروا ثُمَّ أَخَذتُهُم

maka Aku beri tangguh kepada orang-orang kafir itu kemudian Aku binasakan mereka.

Mereka yang memperolok-olokkan Nabi itu tidak terus kena azab. Mereka itu Allah sengaja panjangkan umur mereka, biar mereka buat apa yang mereka hendak buat. Allah tangguhkan azab untuk mereka dan Allah tidak terus beri azab, tidak terus matikan mereka.

Allah biarkan sahaja mereka mengumpul dosa mereka banyak-banyak – semakin panjang umur, semakin banyak dosa yang mereka buat. Dan kemudian bila sudah mati, baru Allah kenakan azab seksa kepada mereka. Sampai masa, mereka akan dikenakan dengan azab yang amat teruk sekali.

 

فَكَيفَ كانَ عِقابِ

Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!

Dan alangkah teruknya azab itu. Tidak dapat dibayangkan.

Ini juga tasliah kepada Nabi dan para pendakwah. Kalau kita tahu golongan penentang itu akan dapat balasan atas perbuatan mereka, maka kita pun rasa tenang sedikit. Tidaklah kita marah sangat kerana kita tahu yang Allah adil dan akan beri balasan yang setimpal kepada mereka.


 

Ayat 33: Ayat tanbih yang ke sepuluh.

أَفَمَن هُوَ قائِمٌ عَلىٰ كُلِّ نَفسٍ بِما كَسَبَت ۗ وَجَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ قُل سَمّوهُم ۚ أَم تُنَبِّئونَهُ بِما لا يَعلَمُ فِي الأَرضِ أَم بِظاهِرٍ مِنَ القَولِ ۗ بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم وَصُدّوا عَنِ السَّبيلِ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is He who is a maintainer of every soul, [knowing] what it has earned, [like any other]? But to Allāh they have attributed partners. Say, “Name them. Or do you inform Him of that¹ which He knows not upon the earth or of what is apparent [i.e., alleged] of speech?”² Rather, their [own] plan has been made attractive to those who disbelieve, and they have been averted from the way. And whomever Allāh leaves astray – there will be for him no guide.

  • i.e., other “deities.”
  • i.e., your attributing of divinity to other than Allāh.

(MALAY)

Maka apakah Tuhan yang menjaga setiap diri terhadap apa yang diperbuatnya (sama dengan yang tidak demikian sifatnya)? Mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah. Katakanlah: “Sebutkanlah nama-nama mereka itu”. Apakah kamu hendak memberitakan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya di bumi, atau kamu mengatakan (tentang hal itu) sekadar perkataan pada lahirnya sahaja? Sebenarnya orang-orang kafir itu dijadikan (oleh syaitan) memandang baik tipu daya mereka dan dihalanginya dari jalan (yang benar). Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tak ada seorang pun yang akan memberinya petunjuk.

 

أَفَمَن هُوَ قائِمٌ عَلىٰ كُلِّ نَفسٍ بِما كَسَبَت

Maka apakah Dia yang menjaga setiap diri terhadap apa yang diperbuatnya

Allah mengingatkan Musyrikin Mekah yang Dia sentiasa memerlukan perilaku dan amalan mereka. Allah catat semua yang mereka lakukan dan semua itu akan dibalas nanti. Tidakkah mereka takut? Adakah mereka sangka Allah akan biarkan sahaja apa yang mereka lakukan itu?

Kalau kita baca, kita boleh lihat bahawa ayat ini bukan ayat yang penuh. Allah beri persoalan kepada mereka: adakah sama Allah seperti sembahan-sembahan dan ilah-ilah mereka yang tidak ada sifat seperti itu? Tentu tidak sama. Hanya Allah sahaja yang tahu segala perkara yang kita semua lakukan. Ini banyak sekali disebut dalam Qur’an, contohnya:

{وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ إِلا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ}

Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah­lah yang memberi rezeki-nya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz). (Hud: 6)

Maka apakah Tuhan yang memiliki sifat tersebut sama dengan berhala-berhala dan ilah-ilah yang mereka sembah, padahal berhala-berhala itu tidak dapat mendengar, tidak dapat melihat, tidak berakal, dan tidak memiliki manfaat buat dirinya sendiri, tidak pula buat para penyembahnya; dan tidak dapat melenyapkan mudarat dari dirinya, tidak pula dari diri para pengabdinya? Begitu juga dengan ilah-ilah, roh-roh yang sembah dan minta tolong itu (Nabi, wali dan malaikat), adakah mereka ada sifat sama macam Allah? Tentu tidak.

Dan ini juga adalah ayat syikayah. Allah nak tanya mereka sepatah: adakah mereka tak mahu beriman kepada Dzat yang tahu segala apa yang mereka lakukan? Beranikah mereka tidak mahu beriman kepada Allah yang berkuasa penuh terhadap segala jiwa?

 

وَجَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ

Mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah. 

Tapi mereka yang engkar, masih tetap juga buat syirik terhadap Allah. Mereka masih lagi seru sekutu lain dalam sembahan dan dalam doa mereka. Ini adalah satu perkara yang amat pelik. Kenapakah lagi mereka nak minta kepada selain Allah?

 

قُل سَمّوهُم

Katakanlah: “Sebutkanlah nama-nama mereka itu”.

Allah suruh Nabi Muhammad beritahu mereka: beritahu nama-nama ilah mereka. Beritahulah nama mereka, berserta sifat yang mereka ada-adakan itu. Ceritakanlah dari mana mereka, apa sejarah mereka, macam mana boleh jadi tuhan, jadi sembahan, jadi wasilah untuk menyampaikan doa.

Memang kalau kita lihat sembahan-sembahan manusia, mereka reka macam-macam sifat kepada ilah-ilah itu; yang ini boleh beri anak, yang ini tunjuk jalan di muka bumi supaya tak sesat, yang ini boleh beri rezeki, yang ini boleh beri anak dan lain-lain lagi. Semua itu adalah rekaan semata-mata.

Allah cabar mereka untuk ceritakan tentang ilah-ilah yang mereka reka itu. Kerana semua kisah itu tidak ada dalilnya. Memang akan gagap kalau kena cerita balik.

 

أَم تُنَبِّئونَهُ بِما لا يَعلَمُ فِي الأَرضِ

Apakah kamu hendak memberitahu kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya di bumi,

Allah perli mereka: adakah mereka nak beritahu benda yang tidak ada dalam dunia ini? Kamu benar yakin ada tuhan lain lagikah yang beritahu maklumat-maklumat ini? Adakah kamu nak ajar Allah taala? Adakah kamu nak ajar benda yang Dia tidak tahu? Entah-entah ada benda yang Allah tak tahu? Entah-entah Allah tak tahu ada tuhan lain selain Dia? Berani kamu nak kata begitu dengan Allah?

Terjemah kedua: adakah kamu nak beritahu kepada Allah, sesuatu yang kamu seru sedangkan yang kamu seru itu tidak tahu pun? Sebagai contoh, mereka minta pertolongan kepada wali yang telah mati untuk sampaikan hajat mereka kepada Allah. Sedangkan wali-wali itu sendiri tidak dengar dan tidak tahu pun permintaan mereka yang meminta itu (kerana wali-wali itu sudah mati). Memang mereka tidak tahu pun apa yang berlaku di muka bumi.

 

أَم بِظاهِرٍ مِنَ القَولِ

atau kamu mengatakan sekadar perkataan pada lahirnya saja.

Adakah dakwaan mereka itu benar atau itu hanya kata-kata mereka sahaja? Rekaan mereka sahaja? Memang rekaan mereka itu tidak ada hakikat pun. Mana ada ilah yang lain melainkan itu lafaz zahir mereka sahaja. Mereka dapat itu pun dari tok nenek mereka dan tok nenek mereka itu dapat dari bisikan syaitan sahaja.

Sama macam ajaran-ajaran sesat di negara kita ini pun. Semua benda yang tidak ada dalil, cuma pakai kata-kata manusia sahaja.

{إِنْ هِيَ إِلا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنزلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الأنْفُسُ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مِنْ رَبِّهِمُ الْهُدَى}

Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kalian dan bapa-bapa kalian ada-adakannya; Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka, dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka. (An-Najm: 23)

 

بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم

Sebenarnya dicantikkan bagi orang-orang kafir itu tipu daya mereka

Tapi walaupun tidak ada dalil, tapi mereka masih juga buat amalan dan pemujaan yang sesat itu. Ini adalah kerana kesalahan mereka telah ‘dicantikkan’ kepada mereka. Iaitu diperlihatkan indah pada pandangan mereka. Sedangkan itu adalah khayalan mereka sahaja. Ini adalah kerana syaitan telah mengelabui mata mereka.

Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُمْ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ}

Dan Kami tetapkan bagi mereka teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus. (Fussilat: 25), hingga akhir ayat.

 

وَصُدّوا عَنِ السَّبيلِ

dan dihalanginya dari jalan

Dan kerana itu mereka nampak amalan mereka indah dan baik, maka mereka telah dijauhkan dari jalan Allah. Mereka terhalang dari jalan yang benar, kerana mereka nampak amalan syirik dan kufur mereka itu benar.

Bukan sahaja Musyrikin Mekah ada masalah itu, tapi di kalangan masyarakat Muslim kita ada juga masalah ini. Ramai yang mengamalkan amalan syirik dan bidaah kerana mereka jahil wahyu. Mereka rasa dan sangka yang perbuatan mereka itu benar dan molek – kerana telah diamalkan turun temurun; ada dalam kitab itu dan ini; diajar oleh ‘ustaz’, ‘tok guru’; amalan itu menjadi; dan macam-macam lagi alasan mereka. Mereka telah ditipu oleh syaitan tapi mereka tidak sedar.

 

وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tak ada seorang pun yang akan memberi petunjuk.

Dan kerana mereka telah tutup pintu hati mereka kepada kebenaran, maka Allah telah buat keputusan untuk menutup terus hati mereka dari terima hidayah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati). Dan sesiapa yang Allah sesatkan, tidak akan ada yang boleh jadi penunjuk untuk mereka.

Mereka akan terus sahaja dalam kesesatan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh beri hidayah kepada mereka lagi. Macam mana dakwah dan ajar pun, mereka tidak akan terima. Dan ini amat menakutkan sekali kalau terjadi kepada diri kita, keluarga kita atau sesiapa sahaja yang kita kenal.


 

Ayat 34: Takhwif duniawi dan ukhrawi

لَهُم عَذابٌ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ ۖ وَما لَهُم مِنَ اللهِ مِن واقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For them will be punishment in the life of [this] world, and the punishment of the Hereafter is more severe. And they will not have from Allāh any protector.

(MALAY)

Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah.

 

لَهُم عَذابٌ فِي الحَياةِ الدُّنيا

Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia

Di dunia lagi mereka akan kena azab seperti musibah-musibah yang sesekali dikenakan kepada mereka. Antaranya Musyrkin Mekah itu akan dikalahkan dalam perang. Yakni melalui tangan orang-orang mukmin, ada yang dibunuh, ada pula yang ditawan.

 

وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ

dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras

Musibah yang kena di dunia itu memang sudah teruk tapi seksaan di akhirat lagi teruk. أَشَقُّ bermaksud azab yang tidak sanggup ditanggung kerana teruk sangat. Memang mereka tidak akan sanggup nak tanggung azab itu.

Sebenarnya azab yang dikenakan itu, kalau makhluk dunia kena, sepatutnya sudah mati, tapi Allah tidak matikan mereka yang dikenakan azab dalam neraka itu. Maknanya, mereka dikenakan dengan azab yang teruk dan patut sudah mati, tapi tak mati-mati. Alangkah teruknya! Kerana kalau mati, sekali sahaja kena azab, maka Allah tidak mati-matikan mereka. Ini kerana tubuh badan ahli neraka telah dinaiktaraf: mereka rasa sakit azab itu, tapi mereka tidak mati.

 

وَما لَهُم مِنَ اللهِ مِن واقٍ

dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari Allah.

Iaitu tidak ada pelindung dari azab Allah. Di akhirat kelak, tidak akan sesiapa yang boleh membantu menyelamatkan mereka. Kalau di dunia, mereka mungkin ada banyak kawan, banyak pengikut yang boleh bantu dan selamatkan mereka, tapi tidak akan ada di akhirat kelak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s