Tafsir Surah Baqarah Ayat 284 (Jaga Hati)

KEKUASAAN ALLAH ‎ﷻ

Baqarah Ayat 284: Ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro Keempat surah ini yang menjadi Penutup surah ini. Ia memberi janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syari’at Nabi yang terakhir. Umat Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi bangsa yang memimpin dunia. Ayat 284 ini adalah Dalil Aqli mengajar kita untuk berfikir. 

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
To Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. Whether you show what is within yourselves or conceal it, Allah will bring you to account for it. Then He will forgive whom He wills and punish whom He wills, and Allah is over all things competent.

MALAY
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. 

Sebelum ini telah disebut yang Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang manusia kerjakan. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu bukan itu sahaja, malah segala jagad raya ini milik Allah ‎ﷻ belaka. Allah ‎ﷻ letak harf ل di awal ayat ini yang memberi isyarat eksklusif. Maknanya alam ini hanya milik Allah ‎ﷻ sahaja dan Allah ‎ﷻ tidak berkongsi dengan mana-mana makhluk.

Ayat ini adalah dalil aqli ke-empat kepada Dakwa Surah. Kita kena puja, taat dan ibadat hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana langit dan bumi ini milik Allah ‎ﷻ sahaja, tidak ada entiti lain yang memiliki alam ini. Allah ‎ﷻ memiliki langit dan bumi, dan bukankah kita juga duduk atas bumi? Maka kita pun milik Allah ‎ﷻ juga. Kalau kita milik Dia, Dia boleh berbuat apa-apa sahaja yang Dia kehendaki dengan kita.

Apabila alam ini milik Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang mengelolakannya dan Allah ‎ﷻ tidak berkongsi pengurusan alam ini dengan sesiapa. Fahaman ada makhluk yang berkongsi pengurusan alam ini adalah syirik fi tasarruf (شرك في التصرف). Ia selalunya dipegang oleh golong sufi tarekat. Contoh Syirik fi Tasarruf

    • Keyakinan bahawa wali fulan dapat menghentikan badai atau mendatangkan hujan atas kehendaknya sendiri.
    • Meminta kesembuhan daripada kuburan orang soleh, dengan keyakinan bahawa orang yang di kubur itu boleh menyembuhkan.
    • Keyakinan bahawa jin penjaga suatu tempat dapat menimpakan bahaya atau memberikan keberuntungan tanpa campur tangan Allah ‎ﷻ.
    • Memakai azimat atau benda pusaka dengan keyakinan bahawa azimat tersebut memiliki kekuatan untuk melindungi atau mendatangkan rezeki.

 

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu

Jika kamu zahirkan dengan perbuatan apa yang ada dalam hati kamu, sama ada dizahirkan dengan lidah ataupun anggota, Allah ‎ﷻ tahu.

 

أَو تُخفوهُ

atau kamu menyembunyikannya, 

Atau kamu sembunyikan niat yang ada dalam hati kamu, Allah‎ ﷻ tetap tahu. Bagaimana Dia boleh tahu? Kerana alam ini milik-Nya; Dia yang buat dan Dia yang uruskan. Maka tentulah Dia ada kemampuan untuk tahu segala-galanya termasuklah apa yang di dalam hati kita. Allah ‎ﷻ telah berfirman juga di dalam Mulk:13

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Di sini Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada kita yang segala lintasan hati kita Allah ‎ﷻ tahu dan memang banyak sekali lintasan hati kita: kadang melihat orang, kita benci atau dengki; kadang kita tengok orang buat kebaikan, kita pun hendak ikut juga. Jadi perasaan kita berbolak balik antara kebaikan dan keburukan. Allah ‎ﷻ sentiasa memerhati.

 

يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ

nescaya Allah akan menghitungnya

Kalau zahirkan atau sembunyikan, Allah ‎ﷻ tahu dan dalam dua-dua keadaan itu, Allah ‎ﷻ masih akan hisab amalan kita. Maknanya, Allah ‎ﷻ ambil kira juga apa yang di dalam hati kita. Jangan kita sangka ibadah itu hanya perbuatan fizikal seperti solat, zakat, puasa sahaja akan tetapi ibadah juga termasuk hal hati. Begitulah definisi Ibadah menurut Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ. Dalam pandangannya,

(المعْبَدَةُ اسْمٌ جَامِعٌ لِكُلِّ مَا يُحِبُّهُ اللَّهُ وَيَرْضَاهُ مِنَ الْأَقْوَالِ وَالْأَعْمَالِ الْبَاطِنَةِ وَالظَّاهِرَةِ)
“Ibadah adalah nama جامع (Jāmi’) bagi segala sesuatu yang dicintai dan diredhai Allah, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang lahir (terlihat) mahupun yang batin (tidak terlihat).”

Iman dan iktikad adalah lingkungan ibadah hati, bukan? Begitu juga kufur dan syirik. Kufur dan syirik itu ada bahagian perbuatannya dan ada bahagian batinnya. Ada orang kita tidak nampak pun dia ada perbuatan yang syirik, tetapi di dalam hatinya ada fahaman syirik yang dia tidak tunjukkan. Sebagai contoh, dia berpandangan ada makhluk yang ada kuasa sama seperti Allah ‎ﷻ. Namun dia tidak sembah sesiapa pun, dia simpan di dalam hatinya sahaja. Akan tetapi walaupun dia tidak sembah sesiapa, dia telah telah musyrik. Selain itu rendah diri, sabar, qana’ah, pemurah itu datangnya daripada hati juga. Surah ini juga telah banyak menyebut tentang ibadah-ibadah dan hukum hakam dan semua ini menjadi pahala dan sah apabila ia disertai dengan niat yang ikhlas, bukan? Bukankah niat itu di hati?

Ayat ini pada awal mulanya ialah peringatan kepada orang yang akan diminta menjadi saksi (di dalam ayat 283), supaya janganlah mereka menyembunyikan hal-hal yang diketahuinya berkenaan dengan perkara di antara dua orang mengikat janji yang tersebut dalam dua ayat sebelumnya tadi. Namun maksudnya juga mengandungi peringatan kepada kita sekalian manusia. Kita mempunyai rahsia-rahsia perasaan yang tersembunyi dan juga mempunyai sikap yang nyata. Bermacam-macam yang terasa dalam ingatan kita, yang baik dan yang buruk. Kadang-kadang kita merasa marah, benci, dendam, takabbur, sombong, dengki, inginkan kejatuhan orang lain. Kadang-kadang kerana semangat muda dan nafsu yang sedang bergelora tergiur hati seorang pemuda melihat seorang gadis cantik atau perempuan lain yang bukan isterinya. Kadang-kadang kelihatan orang lain sedang megah dengan kekayaannya, mempunyai rumah besar indah, kenderaan mahal dan mewah, maka timbul pula keinginan supaya mencapai yang demikian. Akan tetapi di lain waktu kelihatan pula orang baik-baik, budiman, orang yang berkorban untuk kepentingan bersama, lalu timbul pula kerinduan hati kecil hendak meniru hidup yang demikian. Maka ini adalah pertarungan dalam diri setiap manusia antara baik dan buruk.

Ayat ini memang sempat menimbulkan kekhuatiran dan ketakutan yang mendalam dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Alasan utama di balik ketakutan mereka adalah pemahaman awal bahawa ayat ini mengandungi isyarat yang mereka akan dihisab atas segala sesuatu yang terlintas di hati mereka, baik yang disengaja mahupun yang tidak disengaja, bahkan niat atau bisikan hati yang tidak pernah diwujudkan dalam perbuatan. Beberapa riwayat menceritakan reaksi para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ:

  • Rasa Berat dan Kesulitan: Para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ merasa sangat berat dengan ayat ini kerana mereka tahu betapa sulitnya mengendalikan bisikan hati dan fikiran. Mereka khuatir fikiran buruk atau godaan yang terlintas sesaat pun akan dihisab oleh Allah ‎ﷻ. Ini seolah-olah membebani mereka dengan sesuatu yang di luar kemampuan manusiawi.
  • Datang kepada Nabi ﷺ: Sejumlah sahabat, seperti Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, meriwayatkan bahawa ketika ayat ini turun, mereka merasa sangat ketakutan. Mereka datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Ya Rasulullah, kami dibebani dengan sesuatu yang tidak pernah dibebankan kepada umat-umat sebelum kami. Kami akan dihisab atas apa yang kami lakukan dengan tangan dan lisan kami, tetapi sekarang dengan apa yang ada di hati kami.”
  • Kekhuatiran akan Kegagalan: Mereka khuatir tidak akan mampu memenuhi tuntutan ini dan merasa bahawa mereka akan terus-menerus dalam dosa kerana fikiran-fikiran yang tidak mampu mereka hindari.

Akan tetapi ayat ini telah dimansukhkan seperti kata Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عَنْ مَرْوَانَ الْأَصْفَرِ عَنْ رَجُلٍ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَحْسِبُهُ ابْنَ عُمَرَ { إِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ } قَالَ نَسَخَتْهَا الْآيَةُ الَّتِي بَعْدَهَا
Daripada Marwan Al Ashfar daripada salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang aku kira Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengenai firman Allah; “Jika kalian menampakkan apa yang ada dalam diri kalian atau menyembunyikannya” (Al Baqarah: 284). Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; Ayat ini telah dinasakh oleh ayat sesudahnya.
(Sahih Bukhari No. 4182)

Bahagian yang menasakhkan daripada ayat 286 adalah: لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت (Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya). Maknanya, dia akan dibalas hanya di atas perbuatannya (dan perkataannya) dan bukanlah daripada lintasan hati. Dengan turunnya ayat 286, Rasulullah ﷺ menjelaskan bahawa ayat 284 tidak dimaksudkan untuk menghisab bisikan atau lintasan hati yang tidak disengaja atau yang tidak diikuti dengan perbuatan. Yang dihisab adalah niat atau tekad yang kuat (azam) untuk melakukan kebaikan atau keburukan, meskipun belum terwujud dalam perbuatan, serta apa yang diungkapkan secara lisan atau perbuatan. Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
“Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku apa yang dibisikkan oleh hati mereka, selama mereka tidak mengamalkannya atau mengucapkannya.”
(Sahih Bukhari No. 5269 dan Muslim No. 127

Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, dan Dia tidak membebani hamba-Nya di luar kemampuannya. Jadi, ketakutan para sahabat adalah refleksi daripada keimanan dan ketaqwaan mereka yang tinggi, serta pemahaman awal mereka yang mendalam terhadap setiap firman Allah ‎ﷻ. Namun, rahmat dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ selalu lebih luas, dan Dia memberikan kemudahan bagi hamba-hamba-Nya.

Maka hadith ini memberi ketenangan bagi umat Islam, bahawa Allah Maha Pengampun dan tidak akan memberatkan hamba-Nya dengan apa yang berada di luar kendalian mereka sepenuhnya, iaitu bisikan-bisikan hati yang tidak disengaja. Namun, jika bisikan hati itu berubah menjadi tekad yang kuat (azam) untuk berbuat kebaikan, maka itu sudah dicatat sebagai kebaikan, meskipun belum terlaksana. Sebaliknya, jika menjadi tekad kuat untuk berbuat kejahatan, namun kalau ditinggalkan kerana takut kepada Allah ‎ﷻ, maka dicatat sebagai kebaikan pula. Jika dilaksanakan, barulah dicatat sebagai keburukan. Ini menunjukkan keadilan dan kemurahan Allah ‎ﷻ.

Sesetengah ulama’ pula berpendapat ayat ini tidak dimansukhkan. Allah ‎ﷻ memang kata Dia akan hisab lintasan hati, namun tidaklah akan mengazab manusia. Hisab bukan semestinya akan mengazab. Allah ‎ﷻ boleh sahaja ampunkan dan potongan ayat selepas ini pun sebut Allah ‎ﷻ boleh sahaja ampunkan sesiapa yang Dia kehendaki. Ini seperti disebut di dalam hadith,

يُدْنَى الْمُؤْمِنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رَبِّهِ حَتَّى يَضَعَ عَلَيْهِ كَنَفَهُ فَيُقَرِّرُهُ بِذُنُوبِهِ فَيَقُولُ: أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ فَيَقُولُ: نَعَمْ أَيْ رَبِّ، حَتَّى إِذَا قَرَّرَهُ بِذُنُوبِهِ وَرَأَى فِي نَفْسِهِ أَنَّهُ هَلَكَ، قَالَ: سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ، فَيُعْطَى كِتَابَ حَسَنَاتِهِ، وَأَمَّا الْكَافِرُونَ وَالْمُنَافِقُونَ فَيَقُولُ الْأَشْهَادُ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ، أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ
“Seorang mukmin akan didatangkan dan didekatkan kepada Rabbnya pada hari kiamat. Lalu Allah menutupinya (daripada pandangan makhluk lain) dan menyuruhnya mengakui dosa-dosanya. Allah berkata: ‘Apakah kamu tahu dosa ini? Apakah kamu tahu dosa itu?’ Orang itu menjawab: ‘Ya, wahai Tuhanku.’ Hingga ketika dia merasa dirinya binasa (kerana dosa-dosa itu), Allah berkata: ‘Aku telah menutupinya atasmu di dunia, dan hari ini Aku mengampuninya untukmu.’ Lalu diberikan kepadanya catatan amal kebaikannya. Adapun orang-orang kafir dan munafik, maka para saksi berkata: ‘Mereka inilah yang berdusta terhadap Rabb mereka.’ Ketahuilah, laknat Allah atas orang-orang yang zalim.”
(Riwayat Bukhari No. 2441 dan Muslim No. 2768)

Membaca tentang hisab Allah ‎ﷻ ini sepatutnya mengingatkan yang kita pun kenalah hisab diri kita. Inilah praktis muhasabah diri yang patut kita buat selalu secara berkala. Praktik muhasabah menanamkan rasa tanggungjawab atas setiap tindakan. Ini membuat seseorang lebih sedar akan kesan daripada perbuatannya, baik di dunia mahupun di akhirat, dan mendorongnya untuk menjadi seorang yang lebih berhati-hati dan bijaksana. Ia boleh dilakukan sehari sekali, seminggu sekali dan sebagainya. Caranya dilakukan dengan merenung, menulis di jurnal, atau bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Atau sedang terawang-awang hendak tidur itu, fikirkanlah akan perbuatan kita hari itu. Pertanyaan yang boleh diajukan pada diri sendiri antara lain:

    • Apa amal baik yang aku lakukan hari ini, dan apakah niat aku tadi ikhlas?
    • Apa kesalahan atau dosa yang aku lakukan hari ini, baik lisan, hati, mahupun perbuatan?
    • Bagaimana interaksi aku dengan keluarga, tetangga, dan rakan kerja? Apakah aku berlaku adil dan baik?
    • Apakah aku sudah menunaikan kewajipan kepada Allah ‎ﷻ (solat, puasa, zakat, dll.)?

 

فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya

Allah ‎ﷻ mampu untuk mengampunkan segala dosa kita, kalau Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Nisa’:48 

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

Maka hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dipenuhi dan lengkap rukun-rukun taubat, maka pasti Allah akan ampunkan. Kalimah مَن di dalam مَن يَشاءُ ada juga merujuk bukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja, akan tetapi kepada orang yang berdosa itu. Maknanya kalau orang itu sedar dia telah melakukan kesalahan dan dengan rendah hati dan ikhlas dia bertaubat, maka Allah ‎ﷻ akan ampunkan. Maknanya pengampunan itu kembali kepada diri orang itu sendiri. Maka apabila kita telah melakukan kesalahan dan dosa, jangan menjauh daripada Allah ‎ﷻ, sebaliknya hendaklah kita dekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ lagi dan mengharap pengampunan daripada-Nya. Ini seperti disebut di dalam satu Hadith Qudsi,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, Allah ‎ﷻ berfirman:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
“Aku (Allah) berada sesuai persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya (dengan ilmu dan pertolongan-Ku) apabila dia mengingat-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam keramaian (bersama orang banyak), Aku akan mengingatinya dalam keramaian yang lebih baik dari mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
(Sahih Bukhari No. 7505 dan Muslim No. 2675)

Lafaz غفرُ daripada segi bahasa maksudnya menutup. Dari sini, kita dapat faham bahawa kalau ada perasaan tidak elok dalam diri kita, tetapi kita tidak jalankan, tidak ada azam untuk teruskan, Allah ‎ﷻ akan tutup sahaja dan tidak ada sesiapa yang tahu, hanya antara kita dan Allah ‎ﷻ sahaja.

Apa yang tersirat dalam hati, bermacam-macam dan bertingkat-tingkat. Ada yang dinamai هاجس hajis, iaitu sesuatu yang terlintas dalam fikiran secara spontan dan berakhir seketika, خاطر khathir, yakni yang terlintas sejenak kemudian terhenti; tingkat ketiga adalah apa yang dinamai حديث نفس hadits nafs, yakni bisikan-bisikan hati yang dari saat ke saat muncul dan bergejolak; همّ hamm, adalah kehendak melakukan sesuatu sambil memikirkan cara-cara pencapaiannya, dan عزم ‘azm, yakni kebulatan tekad setelah lengkapnya seluruh proses همّ dan dimulainya langkah awal bagi pelaksanaan. Semua yang sebelum عزم dimaafkan oleh Allah ‎ﷻ.

 

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya

Kalau Allah ‎ﷻ hendak seksa kita, kita tidak boleh buat apa untuk menghalangnya tetapi ingatlah yang Allah ‎ﷻ maha adil. Maka jangan pula kita sangka Allah ‎ﷻ beri ampun dan seksa sesuka sahaja. Allah ‎ﷻ ampun dan azab ikut prosedur. Misalnya datang suatu perasaan, baik ataupun buruk; itu belumlah apa-apa tetapi kita diberi akal untuk membuat pertimbangan. Maka kita pun, dengan adanya akal itu hendaklah mengadakan muhasabah diri pula adakah hendak diperturutkan lintasan hati itu dengan azam? Kalau perasaan jahat yang kita perturutkan, maka sudah menjadi kehendak Allah ‎ﷻlah jika kita mendapat seksa. Di dunia mendapat seksaan batin, di akhirat mendapat seksaan neraka. Akan tetapi sekiranya dapat kita memupuk perasaan yang baik, menjadi azam dan niat untuk melakukan kebaikan itu, maka sudah menjadi kehendak Tuhanlah kita mendapat pahala dan pengampunan daripada-Nya.

Maka kalau setakat lintasan hati sahaja, masih selamat; tetapi kalau sudah ada azam dan niat, maka kita tidak buat lagi pun, Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab seperti disebut kisah pemilik kebun di dalam Qalam:21-27

فَتَنَادَوۡاْ مُصۡبِحِينَ (٢١) أَنِ ٱغۡدُواْ عَلَىٰ حَرۡثِكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَـٰرِمِينَ (٢٢) فَٱنطَلَقُواْ وَهُمۡ يَتَخَـٰفَتُونَ (٢٣) أَن لَّا يَدۡخُلَنَّہَا ٱلۡيَوۡمَ عَلَيۡكُم مِّسۡكِينٌ (٢٤) وَغَدَوۡاْ عَلَىٰ حَرۡدٍ قَـٰدِرِينَ (٢٥) فَلَمَّا رَأَوۡهَا قَالُوٓاْ إِنَّا لَضَآلُّونَ (٢٦) بَلۡ نَحۡنُ مَحۡرُومُونَ (٢٧)
Kemudian pada pagi-pagi, mereka panggil memanggil antara satu dengan yang lain. (21)
(Setengahnya berkata): Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya. (22) Lalu berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya): (23) Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu. (24) Dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, dengan kepercayaan, (bahawa) mereka berkuasa menghampakan fakir miskin daripada hasil kebun itu. (25) Sebaik-baik sahaja mereka melihat kebunnya, mereka berkata: Sebenarnya kita sesat jalan, (ini bukanlah kebun kita). (26)
(Setelah mereka perhati dengan teliti, mereka berkata: Tidak! Kita tidak sesat), bahkan kita orang-orang yang dihampakan (daripada hasil kebun kita, dengan sebab ingatan buruk kita sendiri). (27)

Perhatikan para pemilik kebun yang adik beradik itu sudah berniat untuk tidak infak seperti yang biasa dilakukan oleh bapa mereka dahulu. Mereka belum sempat buat lagi, tetapi Allah ‎ﷻ telah menghancurkan kebun mereka itu sebagai balasan kepada niat jahat mereka itu. Maka kena jaga hati supaya jangan berniat untuk berbuat jahat. Perhatikan satu lagi hadith tentang manusia yang sudah ada niat, cuma tidak berjaya sahaja melakukannya. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ.قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ
“Apabila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka (saling menyerang), maka yang membunuh dan yang terbunuh (keduanya) di neraka.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, ini adalah si pembunuh, lalu bagaimana dengan si terbunuh?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya dia juga berkeinginan keras untuk membunuh saudaranya.”
(Sahih Bukhari No. 31 dan Muslim No. 2888)

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kenapa kita tidak boleh buat apa? Kerana Allah ‎ﷻ berkuasa atas segala sesuatu. Kena sedar yang kita ini hamba dan Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja kepada hamba-Nya. Kita kena terima dan redha sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 283 (Hukum Pajak)

HUKUM PAJAK

Baqarah Ayat 283: 

۞ وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ ۖ فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ ۗ وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ ۚ وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And if you are on a journey and cannot find a scribe, then a security deposit [should be] taken. And if one of you entrusts another, then let him who is entrusted discharge his trust [faithfully] and let him fear Allah , his Lord. And do not conceal testimony, for whoever conceals it – his heart is indeed sinful, and Allah is Knowing of what you do.

MALAY
Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

 

وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ

Dan jika kamu berada dalam musafir,

Dalam musafir pun kita menjalankan kehidupan biasa juga dan kadang-kadang kita berhutang juga atau memberi hutang yang bertempoh; juga kita berniaga, maka Islam juga menetapkan hukum dan panduan dalam situasi begini.

 

وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ

sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang 

Kalau dalam musafir mungkin payah sedikit sebab susah hendak mencari penulis dan saksi. Kena ingat yang zaman itu bukan semua boleh menulis. Maknanya, hukum asal masih berjalan, iaitu kena tulis juga surat perjanjian juga, dan kalau diri sendiri tidak boleh tulis, kena cari orang yang pandai menulis. Namun kalau susah hendak mencari penulis dan saksi, maka kena ada barang gadaian.

Kalimah رِهَـٰنٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘barang gadaian’. Ia daripada kata dasar: ر ه ن yang bermaksud ikrar, tanggungjawab, sambung, gadai, bayar deposit, beri tawanan. Kerana itulah pusat pajak gadai Islamik dinamakan Ar-Rahn. Namun adakah itu sesuatu yang baik? Kita sedang belajar tentang memajak atau menggadai barang yang hak kita untuk diberikan kepada peminjam. Akan tetapi tidaklah di zaman Nabi ﷺ dan sahabat dulu ada buat Ar-Rahn pula. Sampai jadi satu industri yang mengenakan upah pula kepada orang yang hendak menggadai itu. Ia sama seperti ayat hutang. Memang dibenarkan hutang dalam Islam akan tetapi tidaklah dibuat bank pula dahulu. Begitu juga ada sahabat meruqyah orang lain akan tetapi setelah berjaya tidaklah beliau mendirikan Darul Syifa’ pula. Jadi mungkin ada kritikan terhadap institusi-institusi ini yang mengambil kaedah-kaedah di dalam Islam tetapi kerana hendak mencari wang, mereka jadikan satu industri pula.

Kalimah مّقبُوضَةٌ‌ pula adalah dalam bentuk isim sifah (adjektif) dan ia bermaksud ‘di dalam tangan’, ‘dipegang‘. Ia daripada kata dasar: ق ب ض yang bermaksud ambil dengan tangan, dekat, pegang, tangkap, ambil jadi hak milik, burung yang menarik sayapnya rapat ke badan, cepat semasa terbang. Maksudnya barang itu barang yang boleh dipegang seperti barang kemas, jam, kereta dan sebagainya; bukanlah barang yang tidak ada seperti buah durian atas pokok yang belum jatuh pun lagi.

Barang itu adalah barang yang mempunyai harga, selalunya ia lebih berharga daripada jumlah hutang itu. Sebagai contoh, mungkin hutang hanya seribu tetapi kita beri cincin yang harganya dua ribu. Diberi cagaran ini supaya mudah orang untuk beri hutang kepada kita sebab dia pegang barang yang lebih mahal daripada yang diberi. Apabila orang memegang barang yang lebih mahal, tentulah yang berhutang itu akan lebih terdesak untuk membayar hutang itu kembali.

Nota: Ayat ini bukanlah menghadkan pegangan barang hanya kalau semasa dalam perjalanan sahaja. Kalau bukan dalam musafir pun, kita boleh minta orang yang hendak berhutang itu memberikan kita memegang barang gadaian kalau kita tidak percaya sangat kepada dia. Dalilnya Nabi Muhammad ﷺ sendiri pernah menggadai baju besinya sedangkan baginda berada di Madinah ketika itu.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: “Rasulullah ﷺ wafat dan baju besinya tergadai pada seorang Yahudi dengan (harga) tiga puluh sha’ gandum.”
(Sahih Bukhari: No. 2916; Sahih Muslim: No. 1603)

Cuma ayat ini menyebut tentang musafir kerana kalau dalam musafir, mungkin tidak jumpa penulis maka waktu itu yang senang dilakukan adalah beri barang gadaian dan tidak dinyatakan penggunaannya di luar musafir kerana tidak mahu menyusahkan umat. Takut nanti kalau kena beri barang gadaian setiap kali berhutang, mungkin akan menyusahkan orang untuk berhutang pula.

Perlu juga diingatkan, kita memegang barang atau harta orang yang berhutang itu hanyalah untuk memastikan dia membayar hutang dia. Orang yang memegang barang gadaian itu tidak ada hak untuk mengambil kesempatan daripada harta itu. Sebagai contoh, kalau orang yang berhutang itu mencagarkan bangunan miliknya, kita tidak boleh sewakan bangunan itu dan makan duit sewa itu tetapi kalau harta yang diberikan sebagai gadaian itu adalah binatang ternakan, boleh digunakan binatang itu untuk kenderaan dan diambil susunya, kerana semasa kita memegang binatang itu, kita kena beri makan kepada binatang itu.

 

فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا

Maka kalau sebahagian kamu percaya kepada sebahagian yang lain

Jika saling mempercayai sesama sendiri, bolehlah beri hutang tanpa barang gadaian. Akan tetapi jangan ambil peluang dengan kepercayaan orang pula.

 

فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ

maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya,  

Hendaklah orang yang berhutang itu sempurnakan amanah bayar hutang. Orang sudah beri kepercayaan dengan memberi hutang tanpa mengambil barang gadaian, janganlah ambil kesempatan pula. Sebelum tamat tempoh perjanjian, maka hendaklah dipulangkan hutang itu.

Atau ia juga bermaksud kedua-dua pihak memegang amanah. Kalau diberikan gadaian kepada pemberi hutang, pemberi hutang itu sedang memegang amanah orang, kenalah simpan barang itu, jangan dijual pula sebelum tiba masa yang dijanjikan oleh penghutang untuk bayar hutang itu. Yang berhutang pula, bayarlah hutang seperti yang dijanjikan (daripada segi jumlah dan tarikh pembayaran). Kalau sudah berjanji hendak bayar dalam masa tiga bulan, bayarlah dalam masa tiga bulan atau lebih awal.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. 

Semua amanah ini dapat dipenuhi jikalau ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ. Maka kena ada takut kepada Allah ‎ﷻ, takut kalau kita tidak memenuhi amanah dan janji itu, takut Allah ‎ﷻ akan murka kepada kita. Seandainya tidak ada perasaan taqwa ini, maka susah hendak tunaikan amanah. Perhatikan setelah disebut nama اللَّهَ kemudian ditambah sifat رَبَّ pula. Sepatutnya nama اللَّهَ sudah merangkumi semua sifat tetapi Allah ﷻ beri penekanan dengan sifat رَبَّ yang bermakna yang menguruskan semua urusan kehidupan kita. Maka kena ingat Allah ﷻ dan takut kepada Allah ﷻ. Apabila ada takut kepada Allah ﷻ, maka barulah kita tidak berani melanggar hukum Allah.

 

وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ

Dan janganlah kamu menyembunyikan persaksian

Ini pula khitab kepada saksi. Jangan apabila dipanggil persaksian mereka oleh qadi, dia sembunyikan penyaksian pula. Jangan dia mengaku tidak menjadi saksi, atau dia beri penyaksian yang tidak benar. Salah kalau dia buat begitu. Bila dipanggil, kena datang. Jangan jadi saksi palsu atau penipu pula.

 

وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ

dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. 

Kalau sembunyikan persaksian, berdosa hati dia. Maknanya, hati dia ada masalah. Orang sebegini layak dikenakan azab oleh Allah ﷻ nanti. Disebut hati di sini kerana mungkin ada yang sangka lidah yang berdosa sebab tidak menjadi saksi (dia buat senyap sahaja) tetapi sebenarnya ia bermula daripada hati yang rosak dan berdosa.

Maka di sini mengajar kita untuk menjaga hati kita. Kena bersihkan hati daripada sifat-sifat yang buruk. Sekiranya hati baik, maka baiklah hidup kita. Jikalau buruk hati itu maka buruklah keseluruhan diri kita seperti disebut di dalam hadith yang terkenal,

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ((إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ، وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
(Sahih Bukhari No. 52 dan Muslim No. 1599)

Begitulah hati ini adalah perkara yang amat kita kena jaga kesihatannya. Akan tetapi adakah kita jaga hati kita sebagaimana kita selalu menjaga fizikal kita dengan bersenam dan jaga makan? Ya fizikal juga kita kena jaga tetapi yang lebih kita kena jaga adalah kesihatan hati kita. Orang munafik pun ada masalah dengan hati mereka kerana mereka ada keraguan tentang agama. Apabila ada ragu-ragu, maka Allah ‎ﷻ akan tambah keraguan itu yang Allah ‎ﷻ kata ia adalah penyakit seperti disebut di dalam Baqarah:10. Allah ‎ﷻ sebut tentang hati di awal surah dan di hujung surah juga Allah ‎ﷻ sebut tentang hati, menunjukkan kepentingan menjaga hati.

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضًا‌
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; 

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Apa sahaja yang kita lakukan, kita pinjam, kita pegang barang gadaian orang, kita jadi saksi atau sembunyikan persaksian, Allah ‎ﷻ lihat dan Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita itu.

Sekian Ruku’ 39 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 282 (Penulisan Hutang) Part 2

فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,

Kalau cari punya cari, tidak dapat dua orang saksi lelaki, maka bolehlah mengambil seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi. Maknanya, kena ada lelaki juga (sekurang-kurangnya seorang) dan saksi itu hendaklah yang boleh dipercayai oleh kedua belah pihak. Kalimah تَرضَونَ bermaksud kedua-dua pihak itu redha dengan hal itu dan orang yang menjadi saksi kerana mereka kenal para saksi itu sebagai orang yang boleh dipercayai.

Ini adalah salah satu daripada ayat kontroversi. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai hujah bahawa ini menunjukkan yang Islam itu tidak adil terhadap wanita. Mereka kata ayat ini kata dua wanita baru sama dengan satu lelaki dan ini merendahkan martabat wanita. Ini adalah kata-kata mereka yang tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat yang ini adalah hukum daripada Allah ‎ﷻ, jadi kena taat. Kalau Allah ‎ﷻ sudah kata kena mengambil dua orang wanita sebagai ganti seorang lelaki, ikut sahaja kerana tentu ada kebaikan di dalamnya. Kalau kita cuba hendak jelaskan, ia diberikan sebegini rupa kerana keadaan sosiologi masa itu. Perempuan selalunya tidak keluar rumah dan tidak selalu menjalankan transaksi perniagaan atau hutang, jadi mereka mungkin tidak mahir dengan proses ini. Jadi, elok kalau ada dua orang. Ayat ini pun tentang urusan berhutang dan transaksi perniagaan sahaja, bukannya hendak mengatakan yang wanita itu lebih rendah kedudukan daripada lelaki pula. Kena baca dan faham ayat dengan konteks ayat itu.

Ada juga yang mengatakan ayat ini hanyalah sebagai irsyadi (panduan) sahaja – iaitu sebagai panduan sahaja. Pendapat ini mengatakan perlu dilihat keadaan semasa. Kalau zaman sekarang, sudah tidak sama dengan zaman dahulu. Mungkin ada perempuan yang lebih mahir daripada lelaki dalam hal transaksi perniagaan, maka tidaklah perlu digunakan hukum ini dengan ketat. Maka kalau kedua-dua saksi itu pun perempuan juga pun boleh. Allahu a’lam.

 

أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ

supaya jika yang seorang wanita itu lupa daripada saksi-saksi yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Kenapa seorang saksi lelaki kena digandingkan dengan dua orang perempuan? Kenapa tidak cukup dengan seorang wanita sahaja? Kalau sekali baca, nampak macam tidak adil pula dan boleh dikatakan sebagai merendahkan kaum wanita, bukan? Pertama, dijelaskan oleh Allah ﷻ yang kalau seorang saksi perempuan lupa, seorang lagi boleh ingatkan yang seorang lagi kerana manusia itu sifatnya pelupa terutama kalau wanita. Kajian psikologi wanita juga semakin maju. Kita semakin tahu perbezaan antara wanita dan lelaki. Kalau wanita, mereka ada banyak perkara dalam fikiran mereka dan kerana itu tidak dapat hendak fokus. Sekiranya menjadi saksi, banyak perkara lain yang tidak terlibat pun mereka akan sebut sekali.

Ada yang mengatakan memang ada kekurangan dari segi akal wanita berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

كَانَتِ امْرَأَةٌ تَمُرُّ بِالْحُسَيْنِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «يَا نِسَاءَ الْمُؤْمِنِينَ، أُصْدُقْنَ وَاسْتَغْفِرْنَ، فَإِنِّي رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ». فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: لِمَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ، وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، مَا رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِينٍ أَذْهَبَ لِلُبِّ الرَّجُلِ الْحَازِمِ مِنْ إِحْدَاكُنَّ». قَالَتْ: وَمَا نُقْصَانُ عَقْلِنَا وَدِينِنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «أَمَّا نُقْصَانُ الْعَقْلِ فَشَهَادَةُ امْرَأَتَيْنِ كَشَهَادَةِ رَجُلٍ، فَتِلْكَ نُقْصَانُ الْعَقْلِ، وَأَمَّا نُقْصَانُ الدِّينِ فَيَمْكُثُ الْأَيَّامَ لَا تُصَلِّي فِيهَا، وَتَفْطُرُ فِي رَمَضَانَ، فَتِلْكَ نُقْصَانُ الدِّينِ».
Daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ keluar pada hari Idul Adha atau Idul Fitri menuju musolla (tempat solat). Lalu baginda melewati kaum wanita dan bersabda: ‘Wahai kaum wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyaklah istighfar kerana sesungguhnya aku melihat kalian adalah penghuni neraka yang paling banyak.’ Maka seorang wanita yang cerdas di antara mereka bertanya: ‘Mengapa demikian wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Kalian banyak melaknat (mengutuk) dan banyak kufur terhadap suami. Aku tidak melihat orang yang kurang akal dan agamanya yang lebih mampu mengalahkan laki-laki yang berakal yang tegas (bijaksana) daripada salah seorang di antara kalian.’ Wanita itu bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, apa maksud kekurangan akal dan agama kami?’ Baginda menjawab: ‘Adapun kekurangan akal adalah persaksian dua orang wanita sama dengan persaksian seorang lelaki. Maka itulah kekurangan akal. Dan adapun kekurangan agama adalah kalian berhari-hari tidak solat dan tidak puasa (ketika haid dan nifas). Maka itulah kekurangan agama.’
(Riwayat Al-Bukhari No. 304 dan Muslim No. 79 dengan sedikit perbezaan lafaz, namun makna sama).

Penjelasan tentang Kekurangan Akal (نقصان العقل):

  • Bukanlah bermaksud wanita itu bodoh atau kurang cerdas secara umum. Rasulullah ﷺ sendiri menjelaskan bahawa maksud kekurangan akal di sini adalah dalam konteks hukum persaksian, di mana dua orang saksi wanita diperlukan untuk menyamai seorang saksi lelaki dalam beberapa kes muamalat (transaksi).

  • Hikmahnya: Para ulama menjelaskan bahawa ini bukan merendahkan kecerdasan wanita, tetapi mengakui sifat dasar manusia. Wanita cenderung lebih dominan emosinya, dan dalam urusan persaksian yang memerlukan ketelitian dan keteguhan ingatan di bawah tekanan, emosi dapat mempengaruhi. Oleh itu, syariat memberikan ketentuan dua wanita sebagai bentuk dukungan dan penguat satu sama lain, agar jika salah seorang lupa, yang lain dapat mengingatkan. Ini adalah bentuk perlindungan dan keadilan, bukan penghinaan. Ramai wanita yang sangat cerdas, bahkan melebihi lelaki dalam pelbagai bidang.

  • Ia juga melihat kepada keadaan wanita yang sepatutnya lebih utama berkhidmat di rumah, menjaga rumah dan mendidik anak-anak. Mereka kebanyakannya tidak biasa bermuamalat di luar, maka pengetahuan mereka tentang hal itu tentulah kurang. Kalau bab memasak tentulah mereka lebih hebat daripada suami mereka. Jadi Islam telah membezakan tanggungjawab antara lelaki dan wanita dan kerana itu ditunjukkan di dalam ayat dan hadith ini.

 

وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا

Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Janganlah enggan menjadi saksi apabila dipanggil. Ini kerana tujuan kita dipanggil menjadi saksi adalah untuk memudahkan urusan orang lain. Susahlah hendak menegakkan suruhan Allah ‎ﷻ kalau ada yang tidak mahu beri kerjasama. Bagaimana dengan dua orang yang telah ada transaksi antara mereka dan terjadi hal yang memerlukan persaksian? Kalau semua saksi buat keras tidak mahu menjadi saksi, maka tentulah kes itu tidak dapat diselesaikan. Maka tolonglah orang lain, kali ini mungkin kita tolong orang, nanti ada masa kita memerlukan pertolongan orang juga.

Adakah para saksi yang diminta itu langsung tidak boleh menolak kalau diminta? Mereka dibolehkan menolak jikalau pada pandangan mereka, ada lagi yang lebih layak daripada mereka menjadi saksi.

 

وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Jangan penulis jemu hendak menulis. Jangan juga dua pihak yang bermuamalah enggan atau jemu untuk menulis perjanjian. Kalimah تَسـَٔمُوٓاْ adalah dalam bentuk fi’il mudharimajzum dan ia bermaksud ‘jemu’. Ia daripada kata dasar: س ا م yang bermaksud berpaling kerana tidak suka, menyampah, tidak sabar berkenaannya, penat, lelah. Kadang-kadang mungkin penulis itu sudah banyak kali kena tolong orang untuk tulis, si penulis mungkin sudah rasa malas hendak tulis. Maka, Allah ‎ﷻ beri peringatan dalam ayat ini.

Tulis surat hutang itu tidak kira sama ada tulis itu untuk jumlah yang sedikit atau banyak kerana mungkin sedikit pada kita, tetapi banyak nilainya kepada orang lain atau nampak sedikit sahaja sekarang, namun di kemudian hari, entah jadi perkara yang besar. Kalau sudah ada hitam putih ditulis, ini lebih memudahkan urusan. Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ yang صَغيرًا  sebelum disebut yang كَبيرًا kerana yang kecillah yang selalu tidak dihiraukan oleh manusia.

 

ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا

Menulis itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih kukuh sebagai keterangan, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

Yang disebut tadi adalah cara paling adil di sisi Allah ‎ﷻ untuk menjaga hubungan sesama manusia dalam hal hutang piutang. Jangan ada perbalahan nanti kerana semuanya telah tertulis. Ia boleh memastikan penyaksian yang lebih tepat apabila dibawa saksi. Kalau ada perbalahan, tentunya qadi memerlukan saksi yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar dan kalau ada dalam bentuk bertulis, lagilah mudah untuk diadili.

Lebih dekat untuk tidak ada keraguan dalam kalangan kita supaya tidak ada keraguan dalam urusan hutang dan tidak ada perbalahan. Ini kerana Islam mahu umatnya hidup dalam harmoni. Bab duit ini, orang sanggup bertumbuk malah berbunuhan kalau tidak puas hati. Bagaimana hendak dakwah kepada orang lain kalau hubungan sesama kita sendiri tidak selesai dan tidak boleh menjadi contoh?

 

إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Molek sekali dan dianjurkan sangat untuk menulis transaksi hutang melainkan jikalau transaksi itu adalah pembelian tunai. Ini adalah keadaan apabila seseorang beri duit dan seorang beri barang, pembeli terus dapat barang itu dan penjual terus dapat wang itu. Dalam transaksi seperti ini, tidak tulis pun tidak mengapa kerana transaksi telah selesai, kedua-dua pihak telah dapat apa yang mereka kehendaki. Kalau zaman sekarang sudah sangat mudah kerana pembelian selalunya ada resit sebagai rujukan pembelian kita. Ini sangat bagus kerana sudah ada rekod pembelian dan jualan. Kita yang membeli pun boleh buat kira-kira transaksi bulanan kita dan yang menjual pun boleh ada rekod jualan mereka.

Namun perhatikan apabila ada kalimat فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ bukanlah bermaksud jangan tulis, tetapi ia bermaksud lebih baik tulis, namun tidak tulis pun tidak berdosa/salah. Menulis terlebih bagus kerana seandainya timbul isu nanti, ada rujukan tentang pembelian itu. Contohnya ada yang mempersoalkan barang itu, atau mempersoalkan jumlah yang telah dibayar. Tentulah kalau ada resit itu sangat mudah.

Kita telah sebutkan bahawa ada ulama’ berpendapat menulis hutang bukanlah wajib tetapi sunat dan mereka berdalilkan kepada ayat 283 nanti sebagai hujah itu. Akan tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan sebenarnya menulis hutang itu adalah wajib dan mereka berhujah dengan potongan ayat فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ ini. Mereka kata, kalau di sini tidak wajib tulis (kerana transaksi tunai), maka kalau transaksi hutang itu wajiblah. Maka ini adalah perbezaan pandangan di kalangan ulama’. Biasa sahaja ulama’ berbeza pandangan namun perhatikan, perbezaan pandangan mereka diberikan dengan dalil dan hujah. Mereka tidak berbalah pun tetapi menghormati pendapat ulama’ lain kerana masing-masing ada hujan dan dalil. Akan tetapi bagaimana dengan umat Islam sekarang? Punyalah bodoh, bila berbeza pendapat mereka tidak bawa dalil. Entah maksud dalil pun mereka tidak tahu agaknya. Kemudian berkeras mengatakan mereka benar sampaikan menghina golongan lain yang berbeza pendapat dengan mereka. Inilah beza antara orang berilmu dan orang tidak ada ilmu.

 

وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.

Kena ada saksi kalau pembelian itu jenis jangka panjang atau pembelian yang besar-besar seperti beli rumah, kereta dan sebagainya. Terutama kalau ia adalah pembelian yang bayar sekarang dan barang akan hantar lambat lagi. Ini kerana penjual sudah dapat duit dia, tetapi pembeli belum lagi. Kalau tidak ada saksi, entah dia akan hantar barang atau tidak. Kalau bagi barang-barang yang besar dan mahal, ia adalah untuk memastikan kualiti barang yang diperniagakan itu menepati kehendak pembeli.

Kalau zaman sekarang, sudah ada resit bayaran, maka boleh sahaja gunakan yang itu. Memang zaman sekarang sudah ada sistem untuk memastikan transaksi sebegini terjaga. Namun bayangkan, 1,400 tahun dahulu pun Islam sudah mengajar tentang perkara ini. Ini menunjukkan Islam adalah agama yang maju ke hadapan kerana ia adalah daripada Allah ‎ﷻ yang memahami kehendak dan keperluan manusia, walaupun manusia itu tidak tahu lagi.

 

وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ

Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

Jangan bahayakan penulis, jangan pula marah mereka dan jangan susahkan mereka. Maka kalau ada kes, janganlah lama pula perbicaraan kena dipanggil mereka kerana mereka juga ada kerja dan hal lain. Sebagai contoh kalau sesuatu kes itu berlanjutan berbulan-bulan, tentu menyusahkan mereka. Ia juga bermaksud kenalah beri upah kepada mereka kalau ia melibatkan kerja yang berat dan sukar. Maka tidak salah kalau kita menggunakan khidmat guaman dan mereka menentukan bayaran tertentu.

Jangan bahayakan saksi, jangan marah mereka apabila mereka beritahu kebenaran dan juga dianjurkan untuk beri upah kepada mereka. Maka kenalah ada persetujuan dan tawar menawar dengan dengan penulis dan saksi sebelum transaksi dijalankan. Kena bincangkan berapa bayaran yang sesuai untuk mereka.

 

وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم

Dan kalau kamu melakukannya (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang kembali kepada kamu.

Kalau tidak buat apa yang diarahkan oleh Allah ‎ﷻ, maka dia dikira telah melanggar arahan Allah ‎ﷻ. Contohnya, kalau menyusahkan penulis dan saksi seperti mengugut mereka, maka kena jawab dengan Allah ‎ﷻ nanti.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;

Asas yang paling penting adalah ada taqwa dalam hati kita kerana kalau ada taqwa, senanglah hendak menjalankan hukum-hukum dan arahan Allah ‎ﷻ. Semua hukum dan cara telah diberi, tetapi kalau tidak ada taqwa, ia tidak akan dapat dijalankan pun.

 

وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

dan (ingatlah), Allah mengajar kamu;

Allah ‎ﷻ ajar kita cara-cara Umur Munazimah (ayat-ayat Al-Qur’an yang menjelaskan hukum-hukum syariat dan aturan-aturan kehidupan) ini supaya kita boleh hidup dengan aman harmoni dalam masyarakat. Dengan mengamalkan hukum hakam yang Allah ‎ﷻ telah berikan di dalam ayat-ayat ini, kita akan belajar banyak perkara. Dengan menjalankan perintah atau anjuran ini, maka ia tidak menyebabkan kerugian mana-mana pihak. Malangnya, kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak tahu pun ada saranan dan cara berhubungan yang hebat sebegini dalam agama Islam.

 

وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah ‎ﷻ yang paling alim telah ajar cara ini kepada kita, ikut sahajalah. Begitu juga di sini diingatkan yang Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan. Allah ‎ﷻ juga tahu ada yang akan menipu dalam transaksi mereka sesama manusia. Maka mereka kena ingat bahawa Allah ‎ﷻ sudah pesan bahawa Dia Maha Tahu dan Dia akan membalas kesalahan mereka itu. Dalam dunia mereka mungkin selamat dan dapat untung, tetapi di akhirat mereka akan kerugian yang amat sangat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 282 (Penulisan Hutang) Part 1

MENULIS DAN MENGADAKAN SAKSI APABILA BERHUTANG

Baqarah Ayat 282: Ini adalah ayat terpanjang dalam Al-Qur’an. Ia diberi nama Ayat Mudaayanah (Ayat Hutang Piutang). Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ berikan penerangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Ini menunjukkan kehebatan agama Islam di mana tentang urusan dunia pun Allah ﷻ ajar juga. Namun kenapa panjang sangat? Sedangkan majoriti ayat Al-Qur’an tentang akidah dan Tauhid, kemudian tentang hukum hakam dan banyak juga kisah-kisah dimasukkan. Akan tetapi tiba-tiba, ayat terpanjang tentang harta pula? Ini kerana Allah ﷻ hendak mengajar kita bagaimana menangani kehidupan di dunia sebab muamalat juga amat penting supaya hak-hak manusia terjaga. Allah ﷻ juga memberi isyarat bahawa hutang piutang ini bukanlah perkara yang kita boleh ambil mudah. Di dalam ayat 280 telah disebut tentang pinjaman maka sekarang diberikan perincian hukum tentangnya.

Kita sudah baca lebih kurang  13 ayat (ayat 261 sampai 274) di mana kita telah dituntun mempergunakan harta untuk jalan yang baik, bersedekah dan membantu orang yang patut dibantu dan membangun amal untuk maslahat umum. Kemudian kita telah belajar  7 ayat (ayat 275 sampai 281) tentang bahaya riba. Semua ayat-ayat itu adalah tentang harta dan kita diajar mana yang baik dan mana yang tidak baik dalam urusan harta. Di antara pertengahan antara infak dan riba, adalah suruhan dan larangan dalam perniagaan, pinjam meminjam sesama manusia. Itu adalah perkara yang halal tetapi perlulah ditangani dengan baik.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ ۚ وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ ۚ وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا ۚ فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ ۚ وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم ۖ فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ ۚ وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا ۚ وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ ۚ ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا ۖ إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها ۗ وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم ۚ وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ ۚ وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, when you contract a debt for a specified term, write it down. And let a scribe write [it] between you in justice. Let no scribe refuse to write as Allah has taught him. So let him write and let the one who has the obligation dictate. And let him fear Allah , his Lord, and not leave anything out of it. But if the one who has the obligation is of limited understanding or weak or unable to dictate himself, then let his guardian dictate in justice. And bring to witness two witnesses from among your men. And if there are not two men [available], then a man and two women from those whom you accept as witnesses – so that if one of the women errs, then the other can remind her. And let not the witnesses refuse when they are called upon. And do not be [too] weary to write it, whether it is small or large, for its [specified] term. That is more just in the sight of Allah and stronger as evidence and more likely to prevent doubt between you, except when it is an immediate transaction which you conduct among yourselves. For [then] there is no blame upon you if you do not write it. And take witnesses when you conclude a contract. Let no scribe be harmed or any witness. For if you do so, indeed, it is [grave] disobedience in you. And fear Allah . And Allah teaches you. And Allah is Knowing of all things.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dalam kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Orang yang beriman, kena pandang penting perkara ini. Ia mungkin nampak tidak penting atau tidak biasa diamalkan oleh kita selama ini, tetapi orang beriman akan jaga perkara yang akan disebut sebentar lagi. Apabila Allah ﷻ mulakan dengan seruan kepada orang-orang beriman, maka ia memberi isyarat adalah sesuatu yang penting akan diajar selepas ini. Diseru mereka yang beriman supaya orang yang hendak beriman kena dengar dan perhati betul-betul.

 

إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis

Ini adalah ayat Umur Munazimah tentang hutang. Kalimah تَدَايَن adalah dalam bentuk fi’il madhi (wazan 6 تفاعل) dan ia bermaksud ‘pinjam meminjam’. Atau bayaran yang ditangguhkan; barang sudah diambil tetapi tidak dibayar dengan penuh. Ia di dalam wazan تفاعل kerana tidaklah orang bermuamalah seorang diri. Kalimah تَدَايَن daripada kata dasar د ي ن yang bermaksud pinjaman, menguasai, undang-undang, cara melakukan sesuatu, bayaran. Ayat ini mengajar kita untuk menulis maklumat hutang sesama kita. Walaupun ia adalah sunat, tetapi kalau tidak ditulis, boleh terjadi pecah belah dalam masyarakat dan itu yang hendak dielakkan oleh agama.

Selepas Allah ﷻ sebut تَدَايَن yang bermaksud berhutang, kemudian Allah ﷻ tambah kalimah بِدَينٍ lagi yang bermaksud hutang. Ini adalah sebagai penegasan kerana kalimah تَدَايَن boleh sahaja digunakan untuk merujuk kepada urusan perbincangan. Jadi dengan menambah kalimah بِدَينٍ ia sebagai menegaskan yang ini adalah hukum tentang urusan harta yang melibatkan hutang.

Kalimah إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى memberi tunjuk ajar bahawa tempoh hutang itu hendaklah ditetapkan dengan jelas bilakah ia akan dibayar. Jangan samar-sama seperti ‘bila aku ada duit nanti’, ‘bila bulan mengambang’ dan sebagainya.

Kalau tidak ditulis, takut lupa (atau ada yang buat-buat lupa) dan terjadilah perbalahan apabila masa telah berlalu; atau yang berhutang telah mati sebelum sempat hutang dibayar dan waris patut membayarnya, tetapi kalau tidak ada maklumat, tentu waris pun berat hati hendak bayar. Kalau ini terjadi, tentu akan ada perbalahan dan tidak puas hati sesama manusia, bukan? Maka kenalah dijalankan saranan daripada Allah ﷻ ini untuk kebaikan semua. Ini kerana harta bukan boleh buat main-main.

Daripada ayat ini kita dapat peringatan betapa pentingnya hutang itu dijaga. Jangan kita ambil ringan dan buat lupa pula hutang yang kita telah pinjam daripada orang yang sudah rela hati berikan kepada kita. Orang yang beri pinjaman itu tentunya berkehendak hartanya kembali. Allah ‎ﷻ bantu orang yang memang ada niat hendak membayar hutang itu. Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah ﷻ akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah ‎ﷻ akan membinasakan dirinya.
(Hadith Riwayat al-Bukhari No. 2387)

Di sebaliknya pula, kalau memang tidak ada niat hendak membayarnya, maka amat bahaya bagi orang itu. Rasulullah ﷺ juga bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا
Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. (Hadith riwayat Ibn Majah No. 1969)

Maka bab hutang bukanlah perkara kecil yang boleh diremehkan. Kalau seseorang mati syahid tetapi ada hutang yang tidak dilangsaikan, dia tidak dapat masuk syurga terus, kena tunggu orang yang dia hutang itu di Mahsyar supaya dapat diselesaikan di situ. Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.
(Hadith riwayat Tirmidzi No. 1079)

Nabi ﷺ sampai tidak solatkan jenazah orang yang mati tetapi ada hutang sehingga diselesaikan hutang itu sebab orang itu ada masalah dengan Tuhan. Oleh itu, tolonglah tulis hutang piutang sesama kita. Ini berdasarkan daripada Salamah bin Akwa` رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa beliau berkata:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ
“Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah ﷺ, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah ﷺ: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disalatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda ﷺ bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu barulah Baginda mensolatkan jenazah itu.”
(Hadith riwayat al-Bukhari No. 2286)

Penjelasan kenapa Nabi ﷺ sampai tidak mahu solatkan jenazah itu sehinggalah ada cara hutang itu dibayar. Pertamanya, bukanlah jenazah itu tidak disolatkan, cuma Nabi ﷺ sahaja tidak menyertai solat jenazah itu. Para ulama menjelaskan beberapa hikmah di balik tindakan Nabi ﷺ pada awalnya tidak menyolatkan jenazah yang berhutang:

    1. Peringatan Keras tentang Bahaya Hutang: Ini adalah cara Nabi ﷺ untuk memberikan peringatan yang sangat tegas kepada umatnya tentang seriusnya masalah hutang. Hutang adalah amanah yang wajib ditunaikan dan boleh menghalang seseorang dari syurga jika tidak dilunaskan. Dengan tidak menyolatkan jenazah, Nabi ﷺ ingin menanamkan rasa takut dan tanggungjawab yang besar terhadap hutang.

    2. Mendorong Pelunasan Hutang: Tindakan Nabi ﷺ ini juga bertujuan untuk mendorong ahli waris atau orang-orang terdekat si mati untuk segera melunasi hutang-hutang si mati. Ini juga mendidik masyarakat untuk memiliki tanggungjawab sosial dan membantu sesama.
    3. Hutang Berkaitan dengan Hak Adami (Hak Manusia): Hutang adalah hak manusia yang terzalimi. Berbeza dengan hak Allah (seperti solat atau puasa yang ditinggalkan), hak manusia tidak boleh gugur begitu saja tanpa dimaafkan atau dilunaskan. Keadilan terhadap hak-hak manusia adalah sangat penting dalam Islam.

 

وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ

dan hendaklah penulis di antara kamu menulisnya dengan adil

Kalau kamu tidak boleh tulis, biar ditulis oleh penulis yang adil iaitu orang yang boleh dipercayai. Jangan menipu di dalam penulisan kerana ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kalau zaman dahulu penulis boleh memasukkan perkara yang tidak ada dalam perjanjian kerana ramai yang tidak tahu menulis dan membaca. Maka Allah ‎ﷻ ingatkan di sini supaya yang menjadi penulis itu mestilah adil.

Diletakkan keperluan ini kerana zaman dahulu ramai tidak tahu membaca dan menulis, jadi kena pergi minta tolong kepada orang lain. Namun di zaman sekarang pula, walaupun semua orang boleh dikatakan pandai menulis, tetapi perjanjian seperti ini kita boleh juga menggunakan khidmat peguam. Jadi, sama sahaja, masih lagi memerlukan orang lain untuk tuliskan maklumat perjanjian hutang itu.

Yang penting hendaklah ditulis dengan terperinci perkara yang penting seperti nama, jumlah dan masa perjanjian itu dilakukan dan bilakah bayaran itu akan dibuat. Kemudian kedua-dua pihak meletakkan tandatangan di surat perjanjian itu supaya dapat dipastikan bahawa ia adalah sahih.

 

وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ

dan janganlah penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarnya.

Jangan penulis yang boleh menulis itu enggan untuk menulis. Jangan dia rasa buang masa dia sahaja hendak kena tulis. Mungkin kerana dia rasa jumlah harta itu kecil sahaja, buat apa hendak ditulis? Janganlah begitu, apabila diminta untuk jadi penulis, hendaklah dia dengan rela hati, memenuhi hajat orang. Mungkin pada penulis perkara itu kecil sahaja tetapi entah ia besar di mata orang lain. Mungkin kecil pada ketika itu tetapi menjadi besar di kemudian hari apabila terjadi apa-apa kes nanti. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah ajar mereka boleh menulis, maka gunakanlah kebolehan menulis itu. Allah‎ ﷻ sudah beri satu nikmat boleh menulis kepada mereka, kenalah gunakan untuk kebaikan.

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Allah ‎ﷻ telah berikan dia dengan kebolehan menulis dan membaca, maka berkhidmatlah membantu masyarakat yang memerlukan. Ini juga mengajar kita, kalau kita ada kelebihan apa-apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka kita kena gunakan untuk kebaikan umum. Bukan dalam hal menulis sahaja. Mungkin ada yang pandai mengajar, bertukang, mengubat dan sebagainya, mereka kena jalankan apa yang mereka boleh buat. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ beri kelebihan dan kepandaian kepada kita itu, maka gunakanlah untuk kebaikan.

Lagi satu maksud yang kita boleh ambil daripada potongan ayat ini, hendaklah penulis itu menulis menurut hukum Allah ‎ﷻ. Bukan pakai tulis sahaja tetapi hendaklah tahu hukum hakam agama dan jangan langgar hukum Allah. Sebagai contoh, tidak boleh ada riba dalam peminjaman itu atau kalau ada unsur-unsur gharar atau zalim dalam perjanjian itu, kenalah penulis itu tegur. Maka, yang menulis itu pun kenalah orang yang tahu hukum agama juga.

 

فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ

Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu menyebut

Kalimah يُملِلِ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘merencanakan’, ‘mengimlak’, ‘dictate’, ‘menyebut secara lisan’. Ia daripada kata dasar م ل ل yang bermaksud membacakan supaya orang lain menulis (dictate), memeluk agama, kepercayaan. Jadi maksud imla’ bermaksud baca supaya boleh ditulis. Oleh kerana zaman dahulu bukan semua boleh menulis, maka orang yang tidak tahu menulis kena minta seseorang yang lain menulis.

Yang kena tulis adalah orang yang berhutang, bukan yang beri hutang supaya dia tahu tanggungjawab dia. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah عَلَيهِ dan bukan له kerana kalau له ia merujuk kepada orang yang ada hak itu, iaitu yang beri pinjam. Kenapa pula yang berhutang pula yang kena tulis? Bukankah orang yang beri duit itu yang patut lebih prihatin tentang penulis hutang itu? Kalau dalam bahasa orang barat, ia digelar IOU. Yang berhutang apabila dia sendiri yang menulis atau minta tuliskan, dia akan tahu dan ingat tanggungjawab dia. Dia tidak boleh hendak mengubah kata-katanya selepas itu.

Saya teringat apabila saya mengamalkan ayat ini. Ketika arwah isteri saya lama di hospital, saya terbeban dengan bil hospital  yang banyak. Ibu saudara kepada isteri saya menawarkan untuk membayarnya (jumlahnya 16 ribu ringgit seingat saya). Saya pun terus menulis di atas kertas jumlah hutang itu dan bilakah tarikh anggaran saya akan jelaskan. Saya serahkan kepadanya dan dia membaca seketika. Kemudian dia terus meminta kertas dan pen. Untuk menjawab IOU saya itu, dia menulis, “Saya xxxx telah menghalalkan hutang yang berjumlah sekian dan sekian.” Begitulah baiknya hati ibu saudara arwah isteri saya itu.

Kena dituliskan sekali bila boleh bayar. Baru mudah untuk dikira dan agak bila pemberi pinjam boleh mendapatkan semula duitnya itu. Kenalah ditetapkan tarikh, bukannya waktu yang tidak tetap seperti, ‘bila musim buah durian tiba’ kerana musim durian itu tidak pasti bila ia akan tiba. Kalau tidak ditetapkan tarikh, nanti penerima hutang boleh ambil kesempatan pula. Sedangkan mungkin yang beri hutang itu boleh beri sekejap sahaja kerana dia pun hendak menggunakan duit juga nanti.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا

Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.

Takutlah kepada Allah ‎ ﷻ semasa dituliskan perjanjian itu. Ini adalah peringatan kepada yang berhutang termasuk penulis itu kerana penulis itu kena tulis dengan tepat, jangan tulis lebih atau kurang pula. Kalimah يَبخَس adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘mengurangkan’. Ia daripada kata dasar: ب خ س yang bermaksud mengurangkan, bertindak dengan kejam (tidak adil).

Maka jangan tulis kurang atau lebih walau sedikit pun kerana kalau tulis sedikit, dari segi jumlah, masa pembayaran, cara pembayaran dan lain-lain. Ia merupakan satu penganiayaan terhadap pemberi hutang dan kalau tulis lebih, penganiayaan kepada penerima hutang pula. Jadi yang berhutang dan yang menulis kena tulis dengan terperinci dan boleh difahami, jangan guna bahasa pusing-pusing pula.

 

فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ

jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia tidak mampu menyebut, maka hendaklah disebut oleh walinya dengan adil benar;

Kalau ada antara tiga sebab di atas, kenalah ditulis oleh walinya, atau walinya yang membacakan kepada penulis. Sebagai contoh, mungkin penerima hutang itu adalah seorang anak yatim, maka penjaganyalah yang kena mengambil tanggungjawab.

‘Safih’ adalah orang yang tidak pandai mengurus hartanya sendiri, mungkin kerana akalnya kurang. Dalam hal orang seperti ini, mahkamah boleh memegang hartanya dan hanya beri belanja bila perlu sahaja. Ini adalah untuk menjaga maslahah dia juga, kerana kalau dibiarkan, akan ada yang ambil kesempatan atau dia sendiri akan belanja sampai habis hartanya itu.

Dha’if pula adalah anak kecil yang belum mumayyiz atau orang tua yang telah lemah ingatannya.

Yang tidak mampu adalah seperti mereka yang bisu, gagap dan sebagainya.

 

وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم

dan hendaklah kamu ambil dua orang saksi lelaki dalam kalangan kamu.

Untuk memastikan bahawa perjanjian itu akan dipenuhi, hendaklah dipanggil dua saksi lelaki kerana kalau kes itu terpaksa dihadapkan ke hadapan qadi, ada saksi yang boleh dipanggil untuk menjelaskan perkara sebenar. Di mahkamah, dokumen bertulis sahaja tidak cukup, malah hendaklah dibawa sekali dengan dua orang saksi. Maka kenalah ada saksi semasa transaksi itu dijalankan dan mereka melihat dengan mata mereka sendiri. Malah bukan setakat hadir melihat sahaja tetapi kena faham apa yang sedang terjadi.

Syarat saksi itu mestilah orang Muslim kerana kalimah yang digunakan di sini adalah مِن رِّجالِكُم yang bermaksud dalam kalangan umat Islam. Walaupun tidak disebut saksi kena adil, tetapi kerana telah disebut penulis dan wali kena adil, maka saksi pun begitulah juga sepatutnya. Kerana itulah kalimah yang digunakan adalah شَهيدَينِ dan bukan شاهدين (mana-mana saksi). Bila digunakan kalimah شَهيدَينِ ia bermaksud saksi yang khusus yang sudah dikenali kejujuran mereka dan bukan tangkap muat sahaja siapa yang ada. Jadi kena tahu latar belakang orang juga, jangan diambil orang yang sudah dikenali sebagai fasik atau kaki penipu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 279 – 281 (Memudahkan Urusan Hutang)

Baqarah Ayat 279:

فَإِن لَّم تَفعَلوا فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ ۖ وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And if you do not, then be informed of a war [against you] from Allah and His Messenger. But if you repent, you may have your principal – [thus] you do no wrong, nor are you wronged.

MALAY
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

 

فَإِن لَّم تَفعَلوا

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan

Kalau sudah tahu hukum haram riba, tetapi masih degil juga…maka dengarlah sekarang ancaman berat daripada Allah ‎ﷻ! Begitu keras sekali ultimatum daripada Allah ﷻ ini. Perhatikanlah dan ingatlah baik-baik.

 

فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya,

Kalimah إذَنُواْ adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘ketahuilah’. Ia daripada kata dasar أ ذ ن yang bermaksud bagi telinga untuk mendengar, suka, beri kebenaran, membenarkan, dimaklumkan, menasihati, pemberitahuan, telinga, keinginan. Kalimah azan adalah daripada kata dasar ini juga. Maka di sini Allah ‎ﷻ isytihar perang kepada mereka yang mengamalkan riba. Ini adalah satu pernyataan yang amat berat. Tidak ada dosa lain yang disebut sebegini. Mana ada dosa lain yang Allah ﷻ sebut begini (selain dosa kufur dan syirik). Maka sekarang bayangkan kita di pihak yang menentang Allah ﷻ, adakah akan selamat? Ini sudah macam ‘rocket launcher’ digunakan untuk bunuh lalat! Kenapa ganas sangat sampai Allah ﷻ isytihar perang? Ini adalah kerana teruk sangat perbuatan riba ini. Namun perlu diketahui bahawa riba tidaklah diharamkan secara tiba-tiba tetapi bertahap. Ini kerana riba sudah lama diamalkan di dalam masyarakat Arab, malah bapa saudara Rasulullah ﷻ, Saidina Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga ada menjalankan pinjaman bentuk riba. Maka apabila ia sudah sebati dengan masyarakat, Allah ‎ﷻ tidak terus haramkan, sama seperti pengharaman arak. Tahap pengharaman riba:

    • Tahap 1: Menegaskan bahawa riba tidak mendatangkan berkah (Rum:39).
    • Tahap 2: Menyamakan riba dengan tindakan orang Yahudi yang mengambil riba padahal dilarang (Nisa’:161).
    • Tahap 3: Mengharamkan riba yang berlipat ganda (Ali Imran:130).
    • Tahap 4 (Puncak): Mengharamkan semua bentuk riba dan mengancam pelakunya dengan peperangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya (Baqarah:275-281).

 

وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.

Walaupun sudah diharamkan riba, tetapi masih boleh ambil modal yang telah kita pinjamkan kepada orang lain. Mungkin asalnya kita sudah bagi pinjaman riba sebanyak 100 ringgit di mana orang itu kena bayar 150 ringgit. Maka dibolehkan ambil 100 sahaja kerana itulah hutang pokok – hutang asal. Namun begitu, perhatikan ada syarat di sini: kena taubat dahulu.

Ringkasan Rukun Taubat:

  • Untuk dosa kepada Allah ‎ﷻ:
    1. Menyesal
    2. Meninggalkan dosa
    3. Bertekad tidak mengulangi
  • Untuk dosa kepada manusia ada penambahan:

4. Memulihkan hak orang yang dizalimi

 

لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

kamu tidak patut berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak patut dizalimi oleh sesiapa.

Memberi pinjaman dan kemudian orang yang meminjam kena bayar lebih banyak daripada yang diberi adalah zalim. Islam tidak membenarkan kita zalim kepada orang lain. Yang memberi pinjam tidak dizalimi dalam hukum ini kerana masih boleh ambil modal. Bukanlah terus melupakan hutang yang diberikan kepada peminjam walaupun niat asal semasa memberi pinjam itu adalah pinjaman riba.


 

SANTUN DI DALAM MENAGIH HUTANG

Baqarah Ayat 280: Allah ‎ﷻ telah mengharamkan riba, akan tetapi dibenarkan qardh (pinjaman). Di dalam ayat ini diajar bersantun di dalam memberi hutang kerana kita sesama Muslim bantu membantu.

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And if someone is in hardship, then [let there be] postponement until [a time of] ease. But if you give [from your right as] charity, then it is better for you, if you only knew.

MALAY
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

 

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,

Kalau kita tidak sedekah terus pun, sekurang-kurangnya kita beri pinjaman (tanpa riba). Ini pun dikira bantu juga kerana kalau kita beri sedekah, orang itu mungkin tidak berusaha untuk membalasnya dan dia menjadi malas. Mungkin pada sesetengah orang, beri pinjam lebih baik daripada beri sedekah.

Kalau setelah memberi pinjaman itu, ada masanya orang yang meminjam itu tidak boleh bayar dalam masa yang telah dia berjanji akan bayar. Sama ada diberi pinjam dengan persetujuan riba atau tidak, kadang-kadang yang meminjam tidak dapat menepati janji untuk membayar pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Dia sudah berusaha hendak bayar, cuma tidak boleh sahaja. Dia mungkin dengan sendirinya datang kepada yang meminjamkan itu dan meminta tangguh. Maknanya tidaklah dia sidai dengan panggilan tidak berangkat, Whatsapp bluetick sahaja. Ini memang selalu terjadi, bukan? Semasa meminjam, berjanji itu dan ini tetapi bila duit sudah dapat, buat senyap sahaja. Sudahlah orang yang beri pinjam itu kena kejar dia setiap hari pula. Ada pepatah mengatakan: “Money lent to a friend must be retrieved from an enemy”. Ini adalah perbuatan yang buruk seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ”
“Penundaan (pembayaran hutang) oleh orang kaya (mampu) adalah kezaliman.”
(Sahih Bukhari No. 2289 dan Sahih Muslim No. 1564)

Penjelasan: Hadith ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang mampu tetapi menunda pembayaran hutang tanpa alasan yang syar’i adalah zalim. Kezaliman di sini bisa berupa menahan hak orang lain, menyebabkan kerugian, atau bahkan mempermainkan kepercayaan. Pelaku kezaliman akan mendapat balasan di akhirat.

Adakah di dalam Islam jalan penyelesaian bagi kes sebegini yang banyak terjadi? Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ وَعُقُوبَتَهُ”
“Penundaan (pembayaran hutang) oleh orang yang mampu menghalalkan kehormatan dan hukumannya.”
(Sunan Abu Daud no. 3596, An-Nasa’i No. 4689, Ibnu Majah No. 2427. Hadith ini dihasankan oleh Imam An-Nawawi dan disahihkan oleh Al-Albani)

Penjelasan:

  • “Menghalalkan kehormatannya” (يُحِلُّ عِرْضَهُ): Ertinya, orang yang berhutang dan mampu tetapi menunda-nunda pembayaran, halal bagi orang yang menghutangi untuk menyingkap aibnya (misalnya, menceritakan keburukannya atau perilaku tidak bertanggungjawabnya kepada orang lain agar berhati-hati dengannya), atau mengadukannya kepada pihak berkuasa. Ini bukan ghibah (menggunjing) yang dilarang kerana ada hak yang terzalimi.
  • “Menghalalkan hukumannya” (وَعُقُوبَتَهُ): Ertinya, pemerintah atau pihak berkuasa berhak memberikan hukuman kepada orang tersebut, seperti dipaksa membayar, dicegah untuk keluar negara, atau bahkan dipenjara hingga dia membayar hutangnya. Ini menunjukkan keseriusan masalah hutang yang ditunda-tunda oleh orang yang mampu.

Kalau orang yang mahu bayar hutangnya, Allah ‎ﷻ akan buka jalan untuk dia bayar. Lainlah kalau dia tidak mahu bayar langsung. Kalau dia mati tidak sempat bayar, sedangkan dalam hatinya dia hendak bayar, akan ada orang yang akan bayarkan  bagi pihak dia. Maka jangan bimbang kita tidak dapat duit itu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ.”
“Barangsiapa mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat akan melunasinya, maka Allah akan melunaskan untuknya. Dan barangsiapa mengambilnya dengan niat untuk merosaknya (tidak mahu melunasi), maka Allah akan menghancurkannya.”
(Sahih Bukhari no. 2387)

Penjelasan: Hadith ini menunjukkan bahawa niat yang tulus sangatlah penting. Jika seseorang berhutang dengan niat yang jujur untuk melunasinya tetapi kemudian terhalang oleh ketidakmampuan, Allah ‎ﷻ akan membantunya melunasi hutang tersebut, baik itu dengan memberinya rezeki untuk melunasi, atau dengan meringankan beban hutangnya di akhirat, atau bahkan mengampuninya. Ini adalah janji yang sangat besar daripada Allah ‎ﷻ bagi para penghutang yang jujur.

 

فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ

maka berilah tempoh sehingga dia mudah (membayarnya)

Kita beri pinjaman adalah untuk bantu kawan dan saudara kita. Maka teruskan bantu dia. Tengoklah keadaan dia mampu bayar atau tidak. Jangan dia tidak mampu bayar, kita paksa pula. Jangan juga suruh dia jual barang yang dia perlukan macam kereta atau motosikal dia. Dianjurkan untuk kita beri masa hingga dia boleh bayar. Inilah yang dinamakan Qardul Hasan seperti disebut di dalam Hadid:11

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ
Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.

Ini adalah satu perbuatan yang amat mulia. Orang beriman sahaja yang boleh buat begini. Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan baik ini dan dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُنْجِيَهُ اللَّهُ مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَلْيُنَفِّسْ عَنْ مُعْسِرٍ أَوْ يَضَعْ عَنْهُ”
“Barangsiapa ingin Allah menyelamatkannya dari kesusahan hari Kiamat, hendaklah dia memberi kelonggaran kepada orang yang kesulitan (berhutang) atau membebaskan hutangnya.”
(Sahih Muslim No. 1563)

Di dalam hadith yang lain, setiap hari penangguhan itu akan dikira sebagai sedekah. Ini diriwayatkan daripada Buraidah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ صَدَقَةٌ قَبْلَ أَنْ يَحِلَّ الدَّيْنُ، فَإِذَا حَلَّ الدَّيْنُ فَأَنْظَرَهُ فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ مِثْلَيْهِ صَدَقَةٌ.”
“Barangsiapa memberi tempoh kepada orang yang kesulitan (untuk membayar hutang), maka baginya setiap hari (sebelum hutang itu sampai tempoh) pahala sedekah. Dan apabila hutang itu telah jatuh tempoh, lalu dia masih memberinya tempoh, maka baginya setiap hari pahala sedekah dua kali ganda daripada jumlah hutangnya itu.”
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Ya’la, Ibnu Majah, Ath-Thabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam As-Silsilah Ash-Shahihah No. 86)

Ayat ini menggunakan frasa “فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ” yang bermaksud “berilah tangguh sampai dia berkelapangan”. Kata kerja imperatif (perintah) dalam konteks ini menunjukkan kewajiban bagi pemberi hutang untuk memberikan penangguhan jika penghutang benar-benar berada dalam kesulitan.

 

وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم

dan jika kamu sedekahkan hutang itu, adalah lebih baik untuk kamu, 

Dengan kita beri pinjam, tanpa ambil riba, kita sudah mendapat pahala kerana kita telah membantu orang dan kalau boleh, beri sedekah sahaja dan itu akan memberi pahala yang lebih besar kepada mereka yang memberi pinjam. Kalau orang itu termasuk salah seorang asnaf (al-Gharimin) maka boleh sahaja terus diniatkan sedekah itu sebagai zakat kita. Ini adalah lebih tinggi lagi daripada tinggalkan riba, kerana kalau riba, masih boleh lagi ambil pinjaman pokok, bukan? Kalau ini dengan pokok-pokok sekali diberikan. Kerana itu Allah ‎ﷻ kata ia خَيرٌ (lebih baik).

Ini adalah pengorbanan yang lebih besar lagi. Bayangkan situasi di mana yang meminjam datang kepada peminjam untuk meminta tangguh dan yang beri pinjam kata: tidak mengapa, dia beri sedekah sahaja. Bayangkan apa perasaan yang berhutang itu? Tentulah lega selega-leganya. Masyarakat bagaimanakah yang akan ada perkara begini? Tentunya masyarakat yang faham Al-Qur’an dan yakin benar dengan rezeki daripada Allah ‎ﷻ. Dia yakin balasan daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang infak. Maknanya, orang yang yakin dengan Al-Qur’an sahaja akan sanggup buat begini. Ini kerana nasihat ini diberikan dalam Al-Qur’an. Kalau masyarakat yang jahil Al-Qur’an, bagaimana hendak tahu tentang hal ini?

Ayat ini menambahkan “وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ” yang bermaksud “dan menyedekahkan (sebahagian atau seluruh hutang) itu lebih baik bagimu”. Ini adalah anjuran (sunnah) untuk membebaskan hutang jika mampu, namun perintah untuk menangguhkan tetap wajib.

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

kalau kamu mengetahui 

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenarnya nilai pahala itu, kita tidak akan melepaskan peluang untuk sedekahkan sahaja nilai harta yang telah dipinjam itu. Biarlah tidak dapat pulangan di dunia, tetapi dapat pulangan berganda di akhirat kelak. Terdapat balasan yang dijanjikan kepada orang sebegini.

1. Mendapat naungan di Mahsyar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ عَنْهُ، أَظَلَّهُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ.”
“Barangsiapa memberi tenggang waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunasi hutang atau bahkan membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.”
(Sahih Muslim No. 3006)

2. Dimudahkan Urusannya di Dunia dan Akhirat

Memudahkan kesulitan orang lain adalah kunci untuk mendapatkan kemudahan daripada Allah ‎ﷻ. Membebaskan hutang adalah salah satu cara terbaik untuk melakukannya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ 
“Barangsiapa yang meringankan satu kesulitan seorang mukmin di dunia, nescaya Allah akan meringankan salah satu kesulitannya di hari Kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan orang yang kesulitan (berhutang), nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya.”
(Sahih Muslim No. 2699)

3. Diampuni Dosa-dosa dan Dimasukkan ke Syurga

Terdapat kisah-kisah dalam hadith yang menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ mengampuni dosa seseorang dan memasukkannya ke syurga kerana kebaikannya dalam urusan hutang.

Diriwayatkan daripada Hudzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

أُتِيَ اللَّهُ بِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِهِ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَقَالَ لَهُ: مَاذَا عَمِلْتَ فِي الدُّنْيَا؟ قَالَ: كُنْتُ أُعَامِلُ النَّاسَ، فَكُنْتُ أُنْظِرُ الْمُعْسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُوسِرِ، فَقَالَ اللَّهُ: أَنَا أَحَقُّ بِذَلِكَ مِنْكَ، ادْخُلِ الْجَنَّةَ 
“Didatangkan seorang hamba daripada hamba-hamba Allah yang telah diberi-Nya harta. Maka Allah bertanya kepadanya: ‘Apa yang telah engkau lakukan di dunia?’ Dia menjawab: ‘Aku bermuamalah dengan manusia (berjual beli dan berhutang piutang), dan aku memberi tenggang waktu kepada orang yang kesulitan, serta aku membebaskan (melonggarkan) bagi orang yang mampu.’ Maka Allah berfirman: ‘Aku lebih berhak berbuat demikian darimu. Masuklah ke dalam syurga!'”
(Sahih Bukhari No. 2077 dan Muslim No. 1560, dengan sedikit perbezaan redaksi)

 

Sekarang berakhirlah sudah rentetan ayat-ayat tentang infak di dalam Surah Baqarah ini. Untuk memudahkan pembaca, saya sertakan senarai ayat-ayat itu dan ringkasannya di bentuk Peta Minda. Sila klik gambar untuk melihatnya dengan lebih besar.


 

PERINGATAN KEPADA HARI PEMBALASAN

Baqarah Ayat 281: Jumhur ulama’ kata ayat ini adalah ayat terakhir turun di dalam Al-Qur’an. 9 hari setelah ayat ini diturunkan maka Nabi ﷺ pun wafat. Ada juga pendapat yang mengatakan 81 hari selepas itu. Ada pula yang mengatakan 30 hari selepas itu. Ada yang kata seminggu, ada pula yang kata 3 minggu. Malah ada yang kata beberapa saat sebelum baginda wafat.

Allah ‎ﷻ sekarang tutup ayat-ayat tentang riba ini dengan mengingatkan tentang akhirat. Orang yang boleh ikut hukum hakam termasuk larangan Allah ‎ﷻ adalah orang yang yakin tentang adanya Hari Pembalasan. Kalau tidak takut, semuanya akan dilanggar.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And fear a Day when you will be returned to Allah . Then every soul will be compensated for what it earned, and they will not be treated unjustly.

MALAY
Dan peliharalah diri kamu daripada huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ

Dan peliharalah diri kamu daripada huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. 

Allah ‎ﷻ sentiasa menyuruh kita ingat kepada Hari Akhirat yang pasti tiba. Allah ‎ﷻ akan menyebut banyak perkara tentang hukum dan sekali sekala, akan diselang seli dengan peringatan kepada Hari Akhirat kerana segala hukum itu akan dapat dipatuhi dengan rela jikalau kita ingat yang Hari Kiamat akan datang.

Kena bayangkan apa terjadi pada hari itu yang tidak ada pengakhirannya (sebab itu namanya Akhirat, sebab tidak ada hari lain selepas itu). Waktu itu harta yang kamu sibukkan sampai hendak tindas orang susah dengan mengambil riba itu tidak berguna langsung. Baju kamu pakai pun tiga lapis kain kafan itu sahaja. Itu pun nanti hancur hilang dimakan tanah.

Yang dapat menyelamatkan kita adalah amal soleh kita, jadi buatlah sebanyak-banyaknya semasa hidup. Termasuk yang terpenting adalah infak kepada yang memerlukan. Cubalah jangan berbuat dosa terutama sekali dosa-dosa besar seperti mengamalkan riba. Tidak berbaloi langsung kalau kena azab disebabkan oleh riba yang bukan boleh dibawa pun harta itu ke akhirat. Sudahlah tidak boleh bawa, kena azab sebab dia pula!

 

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, 

Apabila Hari Kiamat itu datang, segala perbuatan kita akan dibalas, sama ada baik atau jahat. Semuanya akan ditimbang-timbang dan ditimbang pula dengan amat terperinci sekali. Terperinci macam mana? Disebut di dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: ‘Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!’ Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

Allah ﷻ juga berfirman di dalam Zalzalah:7-8

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
“Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”

Kalimah ثُمَّ bermaksud kemudian akan tetapi apabila ثُمَّ digunakan, ia bermaksud ada sengkang waktu yang lama di antaranya. Kita pun tahu bahawa apabila akhirat bermula, tidaklah terus diberikan balasan. Ini kerana lama kita menunggu di Mahsyar nanti. Al-Qur’an menyebutkan tempoh yang sangat panjang ini adalah selama 50 ribu tahun! Dalilnya adalah Ma’arij:4

تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Allah pada satu hari yang kadarnya adalah lima puluh ribu tahun.”

Para ulama tafsir umumnya menafsirkan ayat ini merujuk kepada tempoh Hari Kiamat, termasuk masa menunggu di Padang Mahsyar sebelum hisab (perhitungan amal) dimulai. Bayangkan, satu hari di akhirat sama dengan 50,000 tahun di dunia! Ini adalah tempoh yang sangat lama dan penuh penderitaan bagi kebanyakan manusia.

Perhatikan di sini Allah ﷻ berfirman: مّا كَسَبَت. Manusia hanya akan dibalas di atas perbuatannya sahaja sama ada dosa atau pahala. Jadi pahala sedekah sebenarnya tidak ada. Allah ﷻ berfirman di dalam Najm:38-41

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ
“Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan bahawasanya tiadalah bagi seseorang melainkan apa yang telah diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat). Kemudian dia akan dibalas dengan balasan yang paling sempurna.”

Maka bagaimana dengan amalan sedekah Fatihah dan buat Tahlilan yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita? Itu adalah bid’ah dan berlawanan dengan maksud ayat-ayat Al-Qur’an. Ia hanya kerana tidak mahir dengan wahyu dan ada mentaliti subsidi yang tidak habis dengan kematian. Orang kita asyik berharap dengan pemberian orang sahaja sampaikan pahala pun diharapkan daripada orang lain. Daripada hidup berharap subsidi, sudah mati pun masih berharap subsidi lagi. Sepatutnya kita bergantung kepada amalan kita dan ini mengajar kita untuk bersungguh-sungguh beramal. Maknanya jangan buang masa dengan kehidupan kita. Kehidupan kita bukannya lahir, makan minum, kencing berak, kerja dan berkeluarga sahaja tetapi hendaklah diingat apakah bekalan yang kita hendak bawa ke akhirat nanti. Jangan diharap hantaran pahala daripada orang yang hidup kerana ia tidak ada.

Namun bukankah ada pahala yang terus mengalir setelah kita mati? Ini kena diperhatikan kembali dalilnya. Kalau kita perhatikan, ia adalah hasil usaha kita semasa di dunia. Termasuklah doa anak yang soleh kerana bukankah anak yang menjadi soleh itu kerana usaha kita mendidiknya? Hadith yang dimaksudkan adalah daripada riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)

Namun bukankah ada pendapat yang mengatakan ia sampai? Ya memang ada tetapi ia bukan pendapat Imam Syafie. Orang kita sibuk kata berpegang dengan Mazhab Syafie tetapi tiba-tiba apabila hendak membenarkan amalan bid’ah mereka, pandai pula pakai pendapat mazhab lain. Imam Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ اللَّهُ dan Mazhab Hanbali secara umumnya memegang pandangan bahawa segala bentuk amal ketaatan yang dilakukan oleh orang hidup, sama ada ibadah badaniyah (seperti solat, puasa, bacaan Al-Quran) atau ibadah maliyah (seperti sedekah), dan pahalanya dihadiahkan kepada si mati, maka pahala tersebut akan sampai kepadanya, insya-Allah.

Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ menggunakan kaedah qiyas tentang sedekah pahala sedekah maliyah (harta). Kalau sedekah pahala sampai, maka ada kemungkinan sedekah amaliah pun sampai juga. Antara hadith yang menjadi sandaran adalah hadith riwayat Aisyah:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: “نَعَمْ
“Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (mengejut), dan aku rasa sekiranya dia sempat berbicara dia akan bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala sekiranya aku bersedekah atas namanya?’ Nabi ﷺ menjawab: ‘Ya.'”
(Sahih Bukhari No. 2760. Sahih Muslim: No. 1004)

Akan tetapi bukanlah semua ulama’ bersetuju dengan pandangan ini. Ini kerana kalau diperhatikan, hadith tentang pahala sampai kepada si mati itu adalah amalan yang melibatkan harta sahaja, bukannya sedekah amalan badan. Sedangkan Al-Qur’an telah ada pada zaman itu. Kalaulah ia boleh disedekahkan pahalanya untuk membantu si mati, kenapa Nabi Muhammad ﷺ tidak mengajarnya? Bukankah itu lebih mudah kalau benar ia boleh membantu mereka yang telah mati?

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak dizalimi. 

Allah ‎ﷻ tidak akan menzalimi hamba-Nya di mana segala perbuatan baik kita akan dibalas dan tidak ada tertinggal pun. Balasan itu pula berkali ganda daripada amal perbuatan baik kita itu. Kita pun tidak dizalimi dengan hal dosa kerana kita hanya akan dibalas dengan perbuatan dosa kita sahaja. Kalau kita tidak buat, tidak akan diazab langsung. Kalau dalam dunia, ada orang yang dihukum kerana salah bicara di mahkamah sampaikan yang tidak buat kesalahan pun ada yang dihukum. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan tersalah buat keputusan.

Pahala akan digandakan berganda-ganda sedangkan dosa pula hanya dibalas sama nilai dengan perbuatan salah kita sahaja, tidak ditambah. Malah, Allah ‎ﷻ berhak untuk memaafkan terus segala kesalahan kita itu. Maka di mana lagi ruang untuk kita cuba kata Allah ﷻ zalim?

 

Ayat-ayat tentang Riba ini boleh dijadikan Komposisi Cincin. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Ia adalah salah satu daripada cincin kecil di dalam cincin besar Surah Baqarah ini.

Penjelasan:

[A7.4]/[A7.4′] – Di dalam Bahagian [A7.4] Allah ‎ﷻ menjelaskan kenapa pelaku Riba itu melakukan Riba (kerana mereka sangka ia adalah perniagaan). Allah ‎ﷻ mengancam mereka yang melakukan Riba itu dengan dibangkitkan nanti seperti orang yang disampuk syaitan. Di dalam [A7.4′] Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang kebangkitan di akhirat kelak.

[A7.5]/[A7.5′] – Di dalam Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang Riba dan Sedekah dan perbezaan di antaranya.

[A7.6]/[A7.6′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang menjaga iman. Ada perkara yang kena buat dan ada perkara yang mesti ditinggalkan. Di dalam [A7.6] menyebut perkara yang perlu dibuat iaitu Solat dan Sedekah dan di dalam Bahagian [A7.6′] Allah ‎ﷻ menyebut perkara yang mesti ditinggalkan iaitu Riba.

Sekian Ruku’ 38 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah