Kahf Ayat 46: Dua perkara yang melalaikan manusia adalah harta dan anak-anak. Maka Allah ﷻ sentuh tentang perkara ini di mana Allah ﷻ menjelaskan kedudukan yang sebenarnya tentang dunia.
المالُ وَالبَنونَ زينَةُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَالبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوابًا وَخَيرٌ أَمَلًا
Sahih International
Wealth and children are [but] adornment of the worldly life. But the enduring good deeds are better to your Lord for reward and better for [one’s] hope.
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
الْمَالُ وَالْبَنُونَ
Adapun harta dan anak pinak
Kalimah الْبَنُونَ bukan sahaja merujuk kepada ‘anak pinak’ sahaja tetapi boleh juga bermaksud orang-orang bawahan kita. Itu termasuk tentera, pekerja-pekerja, kumpulan-kumpulan dan anak-anak buah kita. Dua perkara inilah dalam dunia yang selalu melalai lekakan manusia daripada mengingati Allah ﷻ dan membuat persediaan untuk akhirat.
Orang kafir yang paling senang tertipu dengan kehidupan dunia seperti disebut di dalam Baqarah: 212
زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ ءَامَنُواْ ۘ وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ ۗ وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).
زِينَةُ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
adalah perhiasan hidup di dunia;
Harta dan anak pinak hanyalah untuk sementara sahaja. Ia memang menarik perhatian kita dan kerana itu Allah ﷻ mengatakan ia adalah ‘perhiasan’. Tidak salah untuk ada perhiasan di dunia ini, akan tetapi kena ingat yang ia hanya di dunia sahaja. Maka janganlah kita tumpukan sangat perhatian kita kepada dua perkara ini sahaja kerana ini akan menyebabkan persediaan kita untuk akhirat tergendala. Allah ﷻ telah memberi peringatan di dalam Taghabun: 15
إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.
Mengadap Allah ﷻ adalah lebih baik bagi manusia daripada menyibukkan diri dengan perhiasan dunia dan sibuk mencari kekayaan untuk mereka. Bukanlah kita menolak harta dan anak pinak itu, tetapi hendaklah berpada-pada.
Ada juga orang Islam yang salah faham tentang perkara ini sampai mereka buang terus segala harta mereka. Ada yang kerana menjalankan kerja dakwah, mereka tinggalkan anak isteri mereka tanpa bekalan nafkah. Mereka kata: “Allah ﷻ akan cukupkan”.
Itu adalah salah faham yang amat teruk sekali. Bagaimana mereka boleh berdakwah dan ajar orang lain tetapi mereka biarkan anak isteri tanpa pedoman? Sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka? Seorang ketua keluarga mestilah memastikan anak isteri mendapat pendidikan agama.
Maka salah faham sebegini akan menyebabkan masalah dalam keluarga kerana anak isteri kita tetap memerlukan masa kita. Kita jangan abaikan keluarga kononnya kerana hendak memberikan diri kita sepenuhnya kepada agama. Bukankah agama mengajar berbuat baik terutama sekali kepada ahli keluarga?
وَالبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ
dan yang kekal abadi ialah kebaikan amal soleh yang dilakukan ia adalah lebih baik di sisi Tuhan kamu
Yang lebih penting daripada harta dan anak pinak adalah amal soleh kita. Harta dan anak pinak tidak kekal.
Ada perincian tentang makna ayat ini. Ada yang mengatakan amal soleh yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah solat lima waktu. Ada yang mengatakan berdasarkan hadith Nabi bahawa ia adalah: takbir, tahlil, tasbih, alhamdulillah serta zikir la hawla wala quwwata illaa billah. Selain daripada itu, ia termasuk juga dengan puasa, solat, haji, sedekah dan lain-lain lagi amalan yang baik-baik. Maka kita boleh katakan ia merujuk kepada semua amal soleh.
Maka kalau begitu, kita boleh katakan segala amalan itu termasuk dalam ibadat yang perlu dilakukan. Yang penting, kita kena pastikan yang amalan itu adalah amalan soleh. Amalan soleh itu adalah amalan yang ada contoh daripada Nabi ﷺ dan bukannya amalan bidaah.
ثَوَابًا
sebagai balasan
Amal kebaikan yang telah dilakukan itulah yang boleh diharap untuk menjadi pahala bagi kita di akhirat kelak. Harta dan anak pinak belum tentu lagi dapat menyelamatkan kita. Malah dalam ayat Al-Qur’an yang lain, Allah ﷻ ada menyebut yang Allah ﷻ jadikan harta dan anak pinak itu sebagai ujian bagi orang-orang yang tidak beriman.
Amal yang soleh sahaja yang akan mendapat pahala daripada Allah ﷻ. Untuk amal yang bidaah, itu tidak mendatangkan pahala malah akan mendatang dosa sahaja. Maka kena berhati-hati dengan amal ibadat yang kita buat.
وَخَيرٌ أَمَلًا
dan cita-cita yang lebih baik untuk diharapkan;
Kalimah أَمَلًا daripada katadasar أ م ل yang bermaksud harapan dan sesuatu yang kita harapkan. Kita tidak dapat berharap dengan bantuan sesiapa pun melainkan dengan balasan kepada amal ibadah kita semasa di dunia. Oleh itu sekiranya tidak berbuat apa-apa amalan, tidaklah boleh mengharap apa-apa.
Begitulah kebanyakan manusia mengharap kepada anak-anak mereka dan harta mereka. Mereka sangka anak-anak mereka akan buat Majlis Tahlil dan sedekah atas nama mereka. Akan tetapi Allah ﷻ cakap itu adalah harapan yang sia-sia. Belum tentu lagi anak-anak dan harta boleh membantu kita. Melainkan harta kita diinfakkan pada jalan Allah ﷻ dan anak-anak itu dididik dengan agama dan mereka menjalankan kerja-kerja agama. Barulah mereka menjadi ‘saham’ buat kita. Namun itu adalah harapan yang agak jauh. Sebaiknya kita berharap dengan amalan kita sendiri sahaja.
Lebih-lebih lagi jangan berharap dengan dunia. Kenapa kita tidak patut mengharap kepada dunia? Kerana dunia akan hancur semuanya seperti yang akan disebutkan dalam ayat seterusnya ini. Dunia ini akan tinggalkan kita dalam sekelip mata sahaja. Dunia tidak akan menjaga kita pun.
HARI PENGHAKIMAN
Kahf Ayat 47: Takhwif Ukhrawi (Penakutan dengan azab akhirat). Setelah Allah ﷻ menceritakan tentang apa yang kekal, sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang kejadian Hari Kiamat nanti.
وَيَومَ نُسَيِّرُ الجِبالَ وَتَرَى الأَرضَ بارِزَةً وَحَشَرنٰهُم فَلَم نُغادِر مِنهُم أَحَدًا
Sahih International
And [warn of] the Day when We will remove the mountains and you will see the earth prominent, and We will gather them and not leave behind from them anyone.
Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorang pun dari mereka.
وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ
Dan pada hari Kami memperjalankan gunung-ganang;
Kata سَيِّرُ bermaksud ‘berjalan dengan santai sahaja’. Macam tidak ada apa-apa kesusahan pada perjalanan itu. Itulah yang akan terjadi kepada gunung ganang nanti. Kita lihat sekarang gunung ganang itu kukuh dan tegap, namun pada hari Kiamat nanti, ia akan bergerak. Ia akan bergerak kerana hancur ditiup oleh angin. Kalau gunung ganang pun sudah bergerak, ini bermakna keseluruhan bumi akan bergegar dan hancur juga kerana gunung ganang itu sendiri adalah pasak bagi bumi.
Kejadian ini juga disebut di dalam Qari’ah: 5
وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ المَنفوشِ
dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.
وَتَرَى الْأَرْضَ بَارِزَةً
Dan kamu dapat lihat tanah itu akan menjadi rata;
Kelak nanti tidak akan ada lagi atas muka bumi. Oleh kerana gunung sudah hancur, maka segalanya menjadi rata sekarang. Kalimah بَارِزَةً daripada katadasar ب ر ز yang antara lain bermaksud jelas nyata dan juga bermaksud tanah rata tanpa pokok. Apabila bumi dihancurkan, maka segala yang ada atas bumi akan diratakan. Maka tanah lapang akan jelas nyata.
Sekarang kita lihat ada banyak benda atas bumi. Ini kerana keadaan tenang sahaja. Namun bayangkanlah, kalaulah bumi ini bergegar seminit sekali pada skala richter 3 sahaja, tidak lama kemudian, seluruh tanah akan menjadi rata dan segala tanah akan masuk ke dalam laut.
Itu baru pada skala 3 richter sahaja. Bayangkan gegaran semasa Hari Kiamat nanti lagi kuat dan pasti tidak lama sahaja akan hancur bumi ini. Tidak dapat dibayangkan kekuatan gegaran pada hari kiamat nanti.
Tafsir kedua: Perkataan بَارِزَةً bermaksud ‘bersemuka’. Bermakna, bumi akan menampakkan apa yang disembunyikan di dalamnya selama ini. Bumi akan memuntahkan apa yang ada dalam perutnya. Termasuklah segala kubur akan dibongkarkan dan akan dikeluarkan penghuni kubur itu.
وَحَشَرْنٰهُمْ
dan Kami akan kumpulkan mereka itu;
Semua makhluk akan dikumpulkan di Mahsyar nanti. Selalunya perkataan حشر ini digunakan untuk mengumpulkan binatang. Kerana selalunya kalau hendak mengumpulkan manusia digunakan perkataan جمع ‘jama’a’. Ini bermakna, Allah ﷻ akan mengumpulkan semua makhluk dan akan dibawa ke Mahsyar macam binatang. Seperti penggembala lembu akan menghalau lembu-lembu peliharaan mereka untuk pulang ke kandang.
Bukan manusia sahaja akan dikumpulkan, malah semua makhluk seperti disebut di dalam An’am: 38
وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ وَلا طٰئِرٍ يَطيرُ بِجَناحَيهِ إِلّا أُمَمٌ أَمثالُكُم ۚ مّا فَرَّطنا فِي الكِتٰبِ مِن شَيءٍ ۚ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّهِم يُحشَرونَ
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
Malah, para malaikat pun akan duduk di dalam saf seperti disebut di dalam Naba’: 38
يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا ۖ لا يَتَكَلَّمونَ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَقالَ صَوابًا
(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta dia berkata benar.
Kenapa kena berbaris? Kerana sedang mengadap Allah ﷻ, Raja segala raja. Kalau zaman sekarang kalau raja atau ketua kerajaan datang melawat sesuatu negara atau tempat, akan diadakan perbarisan sebagai penghormatan. Maka tentulah dengan Allah ﷻ terlebih lagi perbarisan untuk menghormati Allah ﷻ.
فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا
Maka tidak akan tertinggal walau seorang pun dari mereka;
Kalimah نُغَادِرْ daripada kalimah غ د ر yang antara lain bermaksud tidak setia, mengabaikan. Maksud dalam ayat ini adalah Allah ﷻ tidak akan tinggalkan sesiapa pun. Tidak ada sesiapa yang akan diabaikan dan tidak dikumpulkan sekali. Tidak akan ada seorang pun yang akan tertinggal.
Kalau kita berjalan ramai-ramai dalam rombongan, mungkin ada juga yang tertinggal jika mahu dikumpul kumpulan kita sebab ramai sangat orang dan ketua rombongan pun tidak terjaga. Atau kalau ramai-ramai mahu memasuki stadium bola, ada juga seorang dua yang boleh menyelit masuk tanpa bayaran sebab manusia ramai sangat waktu itu. Keadaan di akhirat nanti tidak akan jadi seperti itu. Tidak ada sesiapa yang boleh melarikan diri. Allah ﷻ tidak akan tinggalkan sesiapa. Tidak ada sesiapa yang terselamat.
Kalau di dunia, mungkin kita mahu menghukum orang yang ramai, mungkin dalam ramai-ramai itu ada yang kita kasihan dan kita tidak jadi menghukum dia, kita hukum orang lain sahaja. Tidak begitu nanti di Mahsyar. Semua akan diadili dan akan menerima apakah yang mereka layak dapat (baik atau buruk).
Kahf Ayat 48:
وَعُرِضوا عَلىٰ رَبِّكَ صَفًّا لَّقَد جِئتُمونا كَما خَلَقنٰكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ بَل زَعَمتُم أَلَّن نَّجعَلَ لَكُم مَّوعِدًا
Sahih International
And they will be presented before your Lord in rows, [and He will say], “You have certainly come to Us just as We created you the first time. But you claimed that We would never make for you an appointment.”
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)”.
وَعُرِضُوا عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّا
Dan mereka akan dihadapkan kepada Tuhan kamu berbaris-baris;
Semua makhluk akan dihadapkan ke hadapan Allah ﷻ dalam keadaan bersaf-saf. Setiap umat akan berbaris dalam kumpulan mereka mengikut kepada Rasul mereka.
Semua sekali dalam keadaan duduk berlutut kerana takut keadaan yang sedang dialami waktu itu. Keadaan itu diceritakan sedikit-sedikit di dalam beberapa surah yang lain. Nanti apabila kita telah belajar semua ayat, kita akan mendapat satu gambaran keadaan di Mahsyar nanti. Akhirnya kita akan tahu yang keadaan itu adalah suatu suasana yang amat menakutkan.
لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ
Sesungguhnya kamu datang kepada Kami sepertimana Kami ciptakan kamu awal-awal dulu;
Semua akan datang dalam keadaan asal iaitu dalam keadaan bertelanjang bulat, tanpa alas kaki dan tanpa khitan. Semua akan datang seorang diri kerana tidak ada keluarga bersama kita yang akan menemani kita. Tidak juga guru-guru dan kawan-kawan kita semasa di dunia dulu.
Semua menunggu dalam keadaan ketakutan, hanya berbisik-bisik antara satu sama lain. Hanya kedengaran bunyi tapak kaki malaikat sahaja pada waktu itu. Semua sekali menunggu keputusan Allah ﷻ dalam keadaan takut kerana risau apakah nasib mereka. Semua sekali risau tentang apakah nasib yang akan mereka hadapi nanti.
Juga bermaksud dalam ayat yang lain, semasa kita dalam keadaan roh, kita dahulu telah dikumpulkan di hadapan Allah ﷻ. Maka, dalam ayat ini, ini adalah pengumpulan kali kedua. Sebagaimana dulu pernah dikumpulkan seperti yang disebut dalam A’raf: 172, begitulah yang manusia akan dikumpulkan sekali lagi di Mahsyar.
وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيٰمَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غٰفِلينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّنْ نَّجْعَلَ لَكُمْ مَّوْعِدًا
Bahkan kamu dulu menyangka bahawa tidaklah Kami jadikan bagi kamu satu perjanjian perjumpaan;
Kalimah بَلْ di sini berfungsi sebagai kata peralihan daripada sesuatu yang rendah kepada sesuatu yang lebih tinggi. Dalam konteks ayat ini, ia adalah peralihan daripada kecaman yang ringan kepada kecaman yang lebih besar. Di sini Allah ﷻ perli mereka yang tidak percaya kepada perjumpaan di Mahsyar itu. Iaitu perjanjian untuk kembali semula untuk dihadapkan di hadapan Allah ﷻ; mereka sangka mereka tidak akan dipertemukan dengan Allah ﷻ dan kerana itu mereka tidak membuat persediaan untuk menghadapi hari yang pasti datang itu.
Itu adalah sangkaan yang salah sekali. Maka ayat ini adalah tempelak kepada mereka, kerana mereka tidak percaya adanya hari Kiamat itu. Mereka akan menyesal pada hari itu kerana mereka tidak percaya akan adanya hari pengumpulan itu dan kerana itu mereka tidak buat persediaan. Sekarang hari itu sudah ada di depan mereka dan Allah ﷻ perli mereka: “Dulu kamu tidak percaya, bukan? Nah sekarang ia sudah ada di depan mata kamu.”
Kahf Ayat 49:
وَوُضِعَ الكِتٰبُ فَتَرَى المُجرِمينَ مُشفِقينَ مِمّا فيهِ وَيَقولونَ يٰوَيلَتَنا مالِ هٰذَا الكِتٰبِ لا يُغادِرُ صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً إِلّا أَحصٰها ۚ وَوَجَدوا ما عَمِلوا حاضِرًا ۗ وَلا يَظلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Sahih International
And the record [of deeds] will be placed [open], and you will see the criminals fearful of that within it, and they will say, “Oh, woe to us! What is this book that leaves nothing small or great except that it has enumerated it?” And they will find what they did present [before them]. And your Lord does injustice to no one.
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seorang pun.
وَوُضِعَ الْكِتٰبُ
dan kitab amalan akan dibentangkan kepada mereka
Kitab Amalan manusia semasa hidup di dunia akan ditunjukkan kepada mereka. Perkataan وُضِعَ bermaksud ‘meletakkan ke bawah’. Seperti kitab amalan itu akan dijatuhkan di hadapan mereka. Kepada orang mukmin akan diberi dari sebelah kanan dan bagi orang yang celaka akan diberi dari sebelah kiri.
Dalam surah yang lain disebut yang mereka akan kena baca sendiri kitab amalan itu yang menceritakan dengan terperinci apa yang mereka lakukan dulu semasa di dunia. Ini seperti disebut di dalam Isra’: 13-14
وَكُلَّ إِنسٰنٍ أَلزَمنٰهُ طٰٓئِرَهُ في عُنُقِهِ ۖ وَنُخرِجُ لَهُ يَومَ القِيٰمَةِ كِتٰبًا يَلقٰهُ مَنشورًا
Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.
اقرَأ كِتٰبَكَ كَفىٰ بِنَفسِكَ اليَومَ عَلَيكَ حَسيبًا
“Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.
فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ
Maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu dalam ketakutan dengan apa yang di dalamnya
Perkataan shafaq bermaksud di antara cerah dan gelap, iaitu waktu senja. Inilah ketika siang hendak bertukar kepada malam. Ia juga digunakan untuk menggambarkan perasaan ‘cinta dan takut’. Mungkin kerana waktu ini biasanya orang akan takut kerana akan gelap sebentar lagi.
Apabila buku amalan itu dibentangkan, mereka akan mempunyai perasaan yang di antara dua sifat itu. Mereka dalam mengharap kalau-kalau ada yang baik dalam kitab amalan itu tapi dalam masa yang sama, mereka amat takut. Namun akhirnya, seperti juga malam akan menang pada waktu senja itu, mereka juga tidak berapa lama kemudian akan tahu bahawa mereka bernasib malang.
وَيَقُولُونَ يٰوَيْلَتَنَا
Dan mereka berkata: alangkah celakanya kami
Bila mereka buka sendiri Kitab Amalan mereka itu, maka amatlah terkejutnya mereka. Waktu itu mereka sudah tahu nasib mereka bagaimana kerana apa yang tertulis di dalam kitab itu adalah kebenaran belaka. Maka mereka sudah rasa mereka akan jadi celaka.
Kalimah يٰوَيْلَتَنَا yang asalnya يا وَيْلَتَنَا diambil daripada kalimah الوَيلَةٌ iaitu kebinasaan, kehancuran dan penyesalan. Pengucapnya seakan-akan membayangkan الوَيلَةٌ itu sebagai satu sosok dan dipanggilnya untuk hadir, kerana tidak ada lagi yang dapat hadir meringankan bencana kecuali kebinasaan dan kehancuran itu. Atau, ia menunjukkan seolah-olah الوَيلَةٌ itu sendiri lebih ringan daripada seksa yang menanti mereka. Ini sama seperti dengan seseorang yang menderita dan mengharap datangnya kematian, kerana bagi mereka kematian itu lebih ringan daripada memikul penderitaan itu.
مَالِ هَٰذَا الْكِتٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصٰهَا
Apakah kitab ini, tidak ditinggalkan yang kecil dan besar melainkan dihitung semuanya;
Kitab Amalan itu akan tercatat semua sekali perbuatan mereka, sama ada kecil ataupun besar. Mereka akan kata: ‘Kenapa dengan buku ini? Semua nak kira kah?’
Perumpamaan begini: Katakanlah kita hantar anak kita ke sekolah dan hujung tahun guru akan memberikan laporan tentang anak kita semasa di sekolah. Kalau dia menceritakan tentang pencapaian akademik, perangainya secara umum di sekolah, itu biasalah. Namun kalau laporan itu sebut bagaimana semasa sampai di sekolah anak itu susun kasut dia, kemudian pergi ke tandas, kemudian makan apa di sekolah setiap hari, tentu kita pun hairan, bukan? Laporan apakah ini sampai perkara sekecil itu pun mahu diceritakan?
Begitulah kehairanan nanti bagi mereka yang banyak membuat dosa. Mereka sangka perbuatan mereka semasa di dunia itu kecil sahaja dan tidak patut ditulis pun, tetapi semua sekali akan ada. Dalam ayat yang lain disebut bagaimana kesalahan kerlingan mata (lihat perkara yang kita tidak patut lihat) pun akan ditulis.
وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا
Dan mereka dapati apa yang mereka lakukan hadir di depan mereka;
Mereka akan lihat semua apa yang mereka lakukan ada tertulis dalam kitab itu. Tidak boleh dibantah lagi, kerana rekod sudah ada.
Maka ketahuilah yang akan ditulis semua sekali perbuatan manusia. Dalam hadith ada diceritakan yang kitab amalan itu digulung seperti skrol. Bila dibuka, terhampar sejauh mata memandang. Itu baru perbuatan mereka untuk sehari sahaja semasa di dunia. Kemudian bayangkan kita kena baca sendiri amalan kita itu. Selagi Tuhan tidak tanya, tidak ada masalah. Jika ditanya sahaja, “Kenapa buat begitu”, itulah petanda isyarat ke neraka sebenarnya.
Maka bila kita teringat ayat ini, kita ingin membuat dosa sedikit pun tidak berani sebenarnya kerana kita takut apa sahaja dosa kecil atau besar yang kita lakukan akan ditanya nanti.
وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan tidaklah Tuhan kamu menzalimi satu orang pun;
Allah ﷻ senaraikan semua sekali perbuatan kita kerana Allah ﷻ Maha Adil. Allah ﷻ tidak akan zalim dengan menghukum perbuatan yang manusia tidak buat. Tidak akan jadi begitu.
Mana-mana amalan baik manusia akan dibalas juga. Sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dan boleh jadi lebih lagi. Maka tentu tidak boleh dikatakan Allah ﷻ zalim, bukan?
Begitu juga dengan dosa, Allah ﷻ hanya senaraikan dosa yang kita buat sahaja. Tidaklah dosa orang pula kita kena tanggung, bukan? Kalau di dunia, kadangkala kesalahan orang pula kita kena tanggung. Namun mahkamah Allah ﷻ maha adil dan itu tidak akan berlaku.
Maka, tamatlah sekarang kisah manusia dalam ayat ini kerana kisah mereka akan tamat di akhirat. Dalam ayat seterusnya, Allah ﷻ kembali mengisahkan tentang kejadian manusia pada mula-mula dulu iaitu kejadian Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Allahu a’lam. Habis Ruku’ 6 daripada 12 ruku’ surah ini. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 11 Jun 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
