Tafsir Surah Baqarah Ayat 67 – 68 (Kisah Lembu)

KISAH LEMBU

Baqarah Ayat 67: Ini sifat buruk ketiga Yahudi zaman dahulu. Kalau sebelum ini tentang sifat mereka yang banyak helah dalam mengelak mengamalkan hukum Allah, sekarang sifat yang lain pula. Sifat itu adalah banyak bertanya serta mempersoalkan tentang hal berkaitan agama.

Ini adalah cerita berkenaan dengan Surah Baqarah ini sendiri, iaitu tentang lembu betina. Agama-agama yang salah dahulu yang telah sesat ada yang memuja lembu. Seperti juga sekarang, penganut Hindu memuja lembu juga. Antaranya juga adalah Musyrikin Mekah yang kononnya mengamalkan agama dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, mereka juga ada amalan yang salah berkenaan dengan lembu ini. Kita akan belajar di dalam Surah al-An’am nanti. Mereka itu percaya Nabi Ibrahim عليه السلام adalah rasul dan ada syariat yang masih lagi mereka pakai seperti solat, wudhu’, nikah kahwin dan sebagainya, namun mereka mengamalkan juga amalan yang salah.

Musyrikin Mekah banyak telah menukar agama asal Nabi Ibrahim عليه السلام itu. Antaranya, mereka sudah tidak percaya adanya Hari Kebangkitan. Musyirikin Mekah juga telah memuja tok wali. Mereka juga memuja malaikat-malaikat yang mereka anggap sebagai anak perempuan Allah ‎ﷻ. Mereka sangka, kerana Allah ‎ﷻ sayangkan anak perempuan-Nya, maka dengan memuja malaikat-malaikat, tentulah mereka akan disayangi Allah ‎ﷻ juga. Mereka mengharapkan tok-tok wali dan malaikat-malaikat itu akan dapat menolong mereka nanti.

Orang Kristian pula meminta tolong dengan ‘anak lelaki’ Allah ‎ﷻ iaitu Nabi Isa عليه السلام. Padahal Allah ‎ﷻ tidak mempunyai anak. Mereka sendiri yang memberikan pangkat itu kepada Nabi Isa عليه السلام. Ada juga ajaran yang sesat seperti agama Hindu sekarang yang memuja malaikat-malaikat yang mereka katakan sebagai dewa-dewa mereka.

Dan antara kesesatan yang mereka lakukan adalah memuja lembu. Ada juga agama-agama lain seperti di Afrika, Cyprus dan sebagainya yang memuja lembu. Lembu juga adalah pujaan golongan Yahudi pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ telah memerintahkan mereka untuk sembelih lembu sebagai tanda menolak kepercayaan mereka yang sesat itu. Mereka puja lembu kerana mereka sangka lembu ada keramat dan sebagainya. Mereka anggap begitu kerana banyak kegunaan lembu seperti menghasilkan susu, kulit dan sebagainya. Oleh itu, mereka puja lembu itu. Maka untuk menghilangkan anggapan salah mereka terhadap lembu, mereka kena sembelih lembu itu.

Ayat ini adalah untuk menceritakan perintah Allah ‎ﷻ kepada mereka untuk sembelih seekor lembu betina supaya mereka tidak lagi puja lembu. Kerana kalau mereka sanggup sembelih, tidaklah mereka pandang lembu itu sebagai keramat lagi.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ

Sahih International

And [recall] when Moses said to his people, “Indeed, Allah commands you to slaughter a cow.” They said, “Do you take us in ridicule?” He said, “I seek refuge in Allah from being among the ignorant.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

 

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya;

Ini adalah arahan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام untuk memberi arahan kepada kaum Yahudi. Bukanlah Nabi Musa عليه السلام beri arahan itu dari kehendaknya sendiri.

 

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya sembelih seekor lembu betina;

Sekaranglah baru kita berjumpa dengan kalimah ‘lembu betina’ di dalam surah ini sedangkan ini sudah ayat yang agak jauh dari permulaan. Ada pendapat yang mengatakan بَقَرَةً adalah lembu betina; tapi ada juga pendapat yang mengatakan ia bukanlah tentang jantan atau betina tapi بَقَرَةً adalah sejenis lembu. Dan kisah lembu ini pun beberapa ayat sahaja yang disebut di sini. Akan tetapi surah ini dinamakan surah ‘lembu’ kerana kisah ini adalah kisah yang penting menceritakan tentang sifat buruk mereka dan akidah mereka yang rosak dek kerana lembu. Mereka buat syirik dengan lembu kerana kita telah bertemu kisah mereka menyembah patung anak lembu, bukan? Nanti kita kita akan berjumpa dengan surah Ali Imran pula. Ini adalah kerana surah itu adalah tentang Nasara (Kristian) dan masalah mereka adalah akidah berkenaan keluarga Imran itu.

Kata إِنَّ – yang bermaksud: ‘Sesungguhnya, tidak syak lagi’ – digunakan dalam ayat ini sebagai penegasan. Untuk menunjukkan bahawa arahan itu dari Allah ‎ﷻ. Bukan arahan itu datang dari Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام hanya menyampaikan sahaja arahan itu. Maka kalau mereka melawan, maka mereka sebenarnya engkar dengan Allah! Begitulah umat Nabi Musa عليه السلام pada zaman itu. Mereka kononnya berkata yang mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi mereka tolak Nabi Musa عليه السلام. Mereka rasa Nabi Musa عليه السلام ada beri arahan dari dirinya sendiri yang bukan dari Allah ‎ﷻ.

Macam juga zaman sekarang – ada golongan yang kononnya percaya kepada Al-Qur’an tetapi tidak percayakan hadis. Mereka hendak mengasingkan antara Allah ‎ﷻ dan Rasul. Padahal Rasul menyampaikan arahan dari ajaran dari Allah ‎ﷻ. Ini adalah fahaman yang sesat dan sebab sesat itulah yang menyebabkan ada Bani Israil yang meminta supaya mereka sendiri jumpa dengan Allah ‎ﷻ. Mereka hendak Allah ‎ﷻ sendiri cakap dengan mereka. Hasilnya, mereka telah dimatikan serta merta. Kisah ini kita telah belajar dalam ayat-ayat sebelum ini.

Jadi apabila Nabi Musa menegaskan bahawa arahan itu dari Allah, maka ini mengajar kita dalam memberi arahan kepada orang di bawah kita seperti anak-anak kita. Apabila kita berikan arahan itu, letakkan autoritinya pada Allah. Katakanlah kita suruh mereka solat, ingatkan yang bukan kita yang suruh, tapi Allah yang suruh. Kerana kita tidak ada apa-apa autoriti maka kita kena kembalikan kepada Allah.

Allah ‎ﷻ memerintahkan mereka untuk menyembelih lembu kerana dalam hati mereka masih ada sifat mendewakan lembu atau penghormatan yang berlebihan kepada lembu. Ini ada kena mengena dengan kes mereka sembah patung anak lembu sebelum ini seperti yang telah disebut di dalam ayat 51 sebelum ini. Patung itu dibentuk oleh seorang lelaki yang bernama Musa Samuri kerana dia hendak menjadi orang yang tersohor di kalangan kaumnya. Kisah ini boleh dibaca dalam tafsir Surah Taha.

Dia suruh golongan bani Israil mengumpulkan emas-emas yang ada di tangan mereka dan dia leburkan dan bentukkan. Dia pandai sihir sehingga boleh menyebabkan patung itu berbunyi. Atau pun dia pandai menggubah patung sampaikan apabila angin melanggar patung itu, ia mengeluarkan bunyi. Tetapi umat Bani Israil yang melihatnya telah teruja dan percaya kepada Samiri dan mula memuja patung itu kerana Samiri telah menghasut mereka dengan mengatakan yang ia adalah tuhan mereka.

Ini semua terjadi kerana Allah ‎ﷻ hendak menguji mereka. Walaupun masalah ini telah diperbetulkan, patung itu pun telah dihancurkan, namun kisah patung anak lembu itu masih berlegar lagi di kalangan mereka. Mereka bercakap-cakap sesama mereka mengenainya, dan lama kelamaan timbullah pendapat yang mengatakan ada keramat pada lembu. Telah masuk dalam hati mereka kisah lembu keramat. Ini terjadi di kalangan mereka yang tidak belajar agama. Mereka sampai puja lembu pula. Oleh itu, mereka disuruh sembelih lembu itu supaya mereka tidak lagi puja lembu atau pun ada perasaan lain macam terhadap lembu. Ini adalah untuk menidakkan pemahaman mereka yang melihat lembu itu ada keramat dan sebagainya.

Macam kita sekarang, ada manusia yang menganggap ada keramat pada kain kuning, pulut kuning, keris keramat dan sebagainya. Kalau kita suruh mereka bakar benda-benda itu yang mereka anggap keramat, mereka akan marah. Kalau kita suruh mereka buang dan bakar kain kuning, keris keramat dan cincin keramat itu, mereka akan menentang dan berat untuk melakukannya, sama seperti Bani Israil di dalam ayat ini nanti yang kita akan belajar mengenainya.

Apabila Allah suruh sembelih lembu, itu adalah arahan yang mudah sahaja. Arahan Allah sebenarnya mudah sahaja, bukannya susah. Yang menyusahkannya adalah manusia sahaja. Lihatlah amalan-amalan bid’ah rekaan manusia, itu semua menyusahkan sahaja. Allah tak suruh buat pun, tapi mereka yang jahil sahaja memandai-mandai buat dan menyusahkan diri. Antaranya apabila ada kematian manusia jahil ini akan buat kenduri arwah, Majlis Tahlil dan sebagainya. Begitulah Rasulullah telah beritahu tentang hal ini,

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
“Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”.
[Riwayat al-Bukhari (39)]

Antara golongan yang menyusahkan diri sendiri adalah mereka yang ada penyakit was-was. Mereka ini memberatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Seperti basuh rumah kerana takut ada najis, ambil wuduk dan mandi junub berkali-kali kerana takut tidak sempurna, mengulang-ngulang solat dan sebagainya. Mereka yang memberatkan diri dan sepertimana Rasulullah telah beritahu, mereka akan menewaskan diri mereka sendiri, iaitu mereka sendiri yang akan jadi penat.

 

قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا

Mereka berkata: adakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?;

Pada mereka, suruhan itu adalah ejekan kepada mereka. Macam kalau kita suruh masyarakat kita bakar kain kuning yang membalut keris keramat mereka. Atau kita suruh mereka bakar cincin yang mereka anggap keramat. Mereka akan berasa berat kerana sayang kepada keris dan cincin-cincin itu. Dan arahan untuk membakar barangan keramat itu adalah satu ejekan kepada mereka iaitu arahan untuk menghancurkan benda yang kita sayang. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil di zaman Nabi Musa عليه السلام apabila baginda memberi arahan sebegitu kepada mereka. Mereka merasakan Nabi Musa عليه السلام main-main dan mengejek mereka.

Tentulah Nabi Musa عليه السلام tidak berjenaka dalam hal ini. Tidak boleh seorang ahli agama berjenaka dalam hal agama. Ia adalah satu kesalahan bagi para Nabi untuk melakukan perkara demikian. Tapi begitulah kurang ajarnya Bani Israil terhadap Nabi mereka sendiri. Dan ini adalah ujian kepada Nabi Musa menghadapi puak yang paling degil dan teruk sampaikan Nabi Muhammad pernah memuji baginda,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ حُنَيْنٍ آثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا فِي الْقِسْمَةِ فَأَعْطَى الْأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ وَأَعْطَى عُيَيْنَةَ مِثْلَ ذَلِكَ وَأَعْطَى أُنَاسًا مِنْ أَشْرَافِ الْعَرَبِ وَآثَرَهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْقِسْمَةِ فَقَالَ رَجُلٌ وَاللَّهِ إِنَّ هَذِهِ لَقِسْمَةٌ مَا عُدِلَ فِيهَا وَمَا أُرِيدَ فِيهَا وَجْهُ اللَّهِ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالَ قَالَ فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ حَتَّى كَانَ كَالصِّرْفِ ثُمَّ قَالَ فَمَنْ يَعْدِلُ إِنْ لَمْ يَعْدِلْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ قَالَ قُلْتُ لَا جَرَمَ لَا أَرْفَعُ إِلَيْهِ بَعْدَهَا حَدِيثًا
Dari [Abdullah (Ibn Mas’ud)] dia berkata; Pada perang Hunain, Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ lebih berpihak kepada sebahagian orang dalam pembahagiannya (harta ghanimah). Baginda memberikan Al Aqra’ bin Habis sebanyak seratus ekor unta, dan memberikan Uyainah juga sebanyak itu. Lalu baginda membagikan kepada para pembesar Arab dan melebihkan bahagian mereka. Maka berkatalah seorang laki-laki, “Demi Allah, ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.” Maka aku (Ibn Mas’ud) pun berkata, “Demi Allah, aku benar-benar akan menyampaikannya kepada Rasulullah SAW.” Kemudian aku segera mendatangi baginda dan mengabarkan apa yang telah dikatakan orang itu, maka berubahlah raut wajah baginda hingga seperti cat merah. Setelah itu, baginda bersabda: “Kalau begitu, lantas siapa lagi yang akan berlaku adil, jika Allah dan Rasul-Nya (dikatakan) tidak berlaku adil?” Kemudian baginda bersabda lagi: “Semoga Allah merahmati Musa, sungguh, dia telah disakiti lebih dari ini lalu dia bersabar.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata; “Tidak ada dosa, jika setelahnya aku tidak lagi memberitakan sesuatu (yang membuatnya) marah.”
Sahih Bukhari (1759)

Ada yang mengatakan bahawa kisah ini terjadi ketika terjadi pembunuhan di kalangan mereka. Seorang lelaki telah membunuh bapa saudaranya kerana mahukan harta. Kalau tunggu bapa saudaranya itu mati sendiri, lambat untuk dia dapat harta. Selepas bunuh, dia telah meletakkan mayat bapa saudaranya itu di kampung sebelah. Dan menuduh mereka pula yang membunuh bapa saudaranya. Kemudian, mereka berbantah-bantah tentang siapakah yang telah membunuh lelaki itu. Sampaikan mereka telah hampir hendak berperang antara puak-puak yang bertelagah itu. Apabila mereka membawakan masalah itu kepada Nabi Musa عليه السلام, baginda telah menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ untuk mereka menyembelih seekor lembu betina.

Oleh kerana mereka tidak nampak apa kaitan antara mencari pembunuh itu dengan menyembelih lembu, maka mereka telah menuduh Nabi Musa عليه السلام bermain-main dengan mereka. Kami ini hendak cari pembunuh, sekarang kamu suruh kami sembelih lembu pula? Ini adalah kisah yang masyhur, tetapi ia ada masalah untuk dipakai kerana ia adalah kisah Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh terus digunakan dalam tafsir kerana mungkin ada masalah. Ini nanti kita akan bincangkan setelah sampai pada ayatnya tidak lama lagi. Allah ceritakan kisah ini tidak di dalam bentuk susunan kronologi.

Kalimah هُزُوًا adalah di dalam bentuk isim. Jadi maknanya mereka tidak mengatakan Nabi Musa mengejek mereka tapi menjadi mereka sebagai bahan ejekan. Ia tidak sama. Kerana kalau mereka kata Nabi Musa mengejek mereka, ejekan itu sekali sahaja. Tapi kalau dijadikan sebagai bahan ejekan, maka mereka boleh diejek berkali-kali dan di dalam jangkamasa yang lama.

 

قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ

Nabi Musa berkata: Aku berlindung dengan Allah, dari menjadi seorang dari golongan yang jahil;

Dalam apa-apa hal, kena kembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Tentu sekali Nabi Musa عليه السلام tidak berjenaka atau main-main dalam hal ini dan baginda kembalikan kepada Allah ‎ﷻ untuk minta dijauhkan dari kejahilan. Maknanya baginda tidak sudi menjadi orang jahil yang berolok-olok dalam hal agama. Sepatutnya kaum baginda tahu yang baginda bukanlah berolok-olok. Hanya orang jahil yang mempermainkan orang lain. Itu adalah perbuatan tidak beradab dan perbuatan yang amat bodoh, tidak layak bagi seorang Nabi lagi Rasul.

Di sini kita boleh belajar yang Nabi Musa berlindung dari kejahilan. Iaitu jahil seperti kaum Yahudi yang memuja lembu itu. Jahil yang dimaksudkan adalah ‘Jahil Syariat’. Maknanya kita kena jauhkan diri kita dari kejahilan. Jahil atau bodoh agama itu tidak bagus. Kalau kita jahil, jangan rasa selesa duduk dalam kejahilan. Orang jahil tidak selamat. Jadi jangan kita berdoa jadi orang jahil pula. Bagaimana? Kalau selalu kata: “aku ni jahil, maafkan aku jahil, apa nak buat aku jahil…” Itu adalah doa kerana otak kita selalu mendengar apa yang kita kata. Kalau kita kata kita ini jahil, maka otak kita akan terus menerus mengekalkan kita dalam kejahilan. Kalau kita tidak tahu kerana kita baru belajar, maka cukuplah kata, “maaf saya tidak tahu, tolonglah ajar ya.” Tidakkah itu lebih bagus? 

Mengagungkan lembu adalah satu kejahilan. Begitulah kalau orang yang tidak menggunakan akal. Macam orang Hindu sekarang, sampaikan lembu itu mereka tidak sembelih sampai lembu itu kena tunggu mati sendiri. Sampaikan lembu itu ada surat beranak sendiri macam manusia. Jadi tidak boleh senang-senang hendak sembelih lembu di sana. Sampaikan banyak sangat lembu liar yang dibiarkan berkeliaran dalam bandar. Sesiapa yang khianat kepada lembu itu akan dimarahi dan boleh sampai berperang. Kadang-kadang mereka kena juga halau lembu yang menyusahkan manusia (seperti menghalang laluan keretapi). Tetapi orang yang hendak tangkap lembu kena mengadakan upacara berlindung dengan dewa untuk membawa lembu itu. Sebelum menangkap lembu itu, mereka kena puja lembu itu terlebih dahulu.

Orang Islam di India yang hendak makan daging lembu kena bela lembu itu secara senyap-senyap di tempat jauh dari orang Hindu dan kena sembelih lembu itu sorok-sorok. Kalau tidak, akan menjadi masalah dengan orang Hindu nanti sebab mereka akan kata kita bunuh ‘tuhan’ mereka. Memang ada golongan Hindu yang ekstremis yang telah membunuh Muslim yang dituduh menyembelih lembu.

Ini masalah yang berat sungguh, sampaikan di Malaysia pun pernah menjadi isu sebab orang kita sembelih lembu korban di kawasan sekolah yang ada pelajar Hindu. Susah juga kita hendak jaga sensitiviti antara agama. Sedangkan penyembelihan lembu ada dalam agama kita dan agama rasmi negara kita pula memang Islam. Dan memang lembu itu adalah makanan kita pun. Jadi memang tidak ada masalah kalau hendak sembelih lembu. Kita bukannya tidak hormati agama mereka, malah mereka boleh mengamalkan agama mereka pun. Tapi tidakkah mereka mahu menghormati agama kita pula?


 

Baqarah Ayat 68: Untuk menyembelih lembu adalah mudah sahaja sebenarnya, tetapi mereka banyak bertanya sampaikan perkara yang senang jadi susah.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما هِيَ ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لّا فارِضٌ وَلا بِكرٌ عَوانٌ بَينَ ذٰلِكَ ۖ فَافعَلوا ما تُؤمَرونَ

Sahih International

They said, “Call upon your Lord to make clear to us what it is.” [Moses] said, “[ Allah ] says, ‘It is a cow which is neither old nor virgin, but median between that,’ so do what you are commanded.”

Malay

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”.

 

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata kepada Nabi Musa: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”;

Lihatlah bagaimana mereka kata ‘Tuhan kamu’, bukan ‘Tuhan kami’. Begitulah kurang ajarnya mereka dengan Nabi dan Allah ‎ﷻ. Dari sini sahaja kita sudah nampak perangai buruk mereka.

Apabila digunakan kalimah قَالُوا di sini, ia memberi isyarat yang mereka terus bertanya setelah diberikan arahan itu. Sepatutnya mereka terus buat, tapi mereka terus tanya. Tidaklah mereka berfikir dahulu sebelum bertanya. Satu adab yang baik adalah berfikir dahulu sebelum bercakap dan bertanya dan mereka ini tidak begitu. Some people stop to think, but some people stop thinking.

 

 يُبَيِّنْ لَّنَا مَا هِيَ

“Supaya Dia menjelaskan bagi kami apakah hakikat lembu betina itu?”;

Mereka hendak tahu lembu itu jenis apa dan sebagainya. Mereka tanya itu dalam nada mengada-ngada. Sebenarnya mereka tiada niat untuk buat pun. Maka kerana mereka telah bertanya, Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menjelaskan apakah sifat lembu betina itu. Ada yang mengatakan Nabi Musa عليه السلام kena mendaki Bukit Thur dan bercakap sendiri dengan Allah ‎ﷻ. Setiap kali pertanyaan timbul, Nabi Musa عليه السلام kena buat begitu. Dan apabila Nabi Musa عليه السلام berdoa meminta penjelasan, Allah ‎ﷻ telah menjelaskan apakah jenis lembu itu. Allah ‎ﷻ susahkan mereka dengan memberikan syarat kerana mereka yang gatal sangat bertanya.

Adakah salah bertanya? Dari satu segi memang tidak salah malah memang kita digalakkan untuk bertanya. Allah berfirman di dalam Nahl:43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

Umum erti ayat Nahl:43 ini menyuruhkan orang yang tidak tahu bertanya kepada yang lebih tahu, kerana ilmu pengetahuan itu adalah umum sifatnya, berfaedah buat mencari kebenaran. Dengan ayat ini kita mendapat pengertian bahawasanya kita boleh menuntut ilmu kepada ahlinya, di mana saja dan siapa saja; sebab yang kita cari ialah kebenaran. Tidaklah semestinya berkenaan ilmu agama sahaja kerana ia boleh bersifat umum. Dalam hal yang mengenai ilmu-ilmu Agama Islam, nescaya kita patut bertanya kepada ahl zikr dalam hal Islam, dan dalam ilmu-ilmu yang lain, iaitu dalam hal-hal yang lebih umum, kita tanya pula kepada ahl zikr nya sendiri; tandanya kita berfahaman luas dan berlapang dada.

Ayat ini juga mengajar kita untuk belajar dan adakalanya dengan bertanya. Jikalau kita tidak faham, hendaklah kita bertanya kepada orang yang berilmu. Jangan segan untuk bertanya kerana itu akan menyebabkan kita terus menjadi jahil. Lihatlah sabda Nabi ﷺ dalam hal ini,

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Akan tetapi kita kena tahu yang belajar bukanlah dengan cara bertanya dan bertanya, akan tetapi kena belajar sebenarnya. Apabila kita belajar dan ada yang tidak faham, barulah bertanya. Bukannya asyik bertanya akan perkara yang melintas di hadapan kita. Itu bukan cara mendapat ilmu yang sebenar. Kerana katakanlah ada 100 perkara dalam tajuk itu, kalau kita bertanya satu perkara, kita tahu satu perkara sahaja; sedangkan ada 99 perkara lagi kita tidak tahu. Jadi ilmu kita tidak lengkap. And half a knowlege is very dangerous. Jadi belajarlah sesuatu topik itu sampai habis, barulah bertanya mana yang tidak faham. Kerana hendak bertanya pun memerlukan ilmu juga.

Soalan yang datang dari orang yang jahil juga selalunya mengarut kerana datang dari akal yang dangkal. Soalan itu seperti bagaimana kalau solat di bulan, bolehkah makan ikan duyung dan sebagainya. Ini termasuk soalan-soalan iftiradi (kemungkinan terjadi) sahaja yang tidak perlu ditanya pun kerana menyesakkan fikiran sahaja.

Jadi kita perhatikan ramai yang suka sangat bertanya dan bertanya, belajarnya tidak. Dan dari pertanyaan mereka itu kita dapat tangkap yang mereka ini memang orang tidak belajar kerana soalan amatlah dasar. Sepatutnya dia belajar dahulu baru bertanya. Kerana sesuatu tajuk itu agak besar dan kalau tidak ada pemahaman dasar, boleh jadi salah faham.

Bertanya dan bertanya pun amatlah menjengkelkan. Kerana itulah para sahabat tahu yang mereka tidak sepatutnya asyik bertanya kepada Nabi. Sampaikan mereka suka kalau ada orang Badwi dari padang pasir datang bertemu Nabi. Kerana mereka tahu yang tentu puak-puak dari padang pasir itu akan bertanya soalan-soalan yang menarik. Kerana mereka itu jahil, tidak beradab dan tidak bertamadun. Maka ini mengajar kita, perangai suka bertanya dan bertanya ini adalah perangai orang padang pasir yang jauh dari majlis ilmu dan kerana itu mereka jahil.

Dan yang lebih teruk adalah soalan dari golongan Bani Israil kepada Nabi Musa ini. Mereka bertanya bukannya hendak tahu dan hendak buat, tapi mencari-cari alasan untuk tidak buat. Soalan mereka tidak patut ditanya dan akhirnya menyusahkan mereka sahaja. Dari senang sahaja amalkan arahan Allah, terus jadi susah.

 

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا فَارِضٌ

Musa berkata: “Sesungguhnya Dia (Allah) berkata bahawasanya lembu betina itu tidak tua sangat”;

Lembu yang tua adalah dalam lingkungan 15 tahun umurnya. Maknanya, kena cari lembu yang belum sampai umur 15 tahun, bukan yang sudah menapaus. Nabi Musa عليه السلام ‎menekankan sekali lagi dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ sendiri yang menjelaskan sifat lembu itu, bukan dari baginda. Lihatlah perkataan إِنَّهُ يَقُولُ.

 

 وَلَا بِكْرٌ

“dan tidak muda sangat”;

Lembu yang muda adalah dalam lingkungan antara 2 – 6 tahun. Bukanlah lembu yang belum pernah melahirkan anak. Maka kena cari lembu yang sudah pernah melahirkan satu atau dua anak.

 

عَوَانٌ بَيْنَ ذَٰلِكَ

“Pertengahan antara tua dan muda”;

Jadi, umur lembu itu adalah dalam lingkungan 7 tahun. Sekarang sudah ada kriteria umur pula yang mereka kena cari. Kalau mereka tidak bertanya, mereka boleh pilih mana-mana lembu betina sahaja.

Ada pengajaran tentang konsep ‘pertengahan’ dalam ayat ini. Al-Husain Ibnu al-Fadh dikenal dengan kepandaiannya mengangkat banyak amtsal Arab dan ‘ajam dari Al-Qur’an, suatu ketika beliau ditanya: apakah kamu menemukan dalam Al-Qur’an ayat-ayat yang terkandung di dalamnya pepatah ini: ( خير الأمور أوسطها ) “Sebaik-baik perkara itu adalah pertengahannya”.

Dia berkata: ya, saya menemukannya di di 4 tempat!

1- { لَا فَارِضٌ وَلَا بِكْرٌ عَوَانٌ بَيْنَ ذَٰلِكَ ۖ فَافْعَلُوا مَا تُؤْمَرُونَ } “yang tidak tua dan tidak muda; pertengahan antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu”.

2- { وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا } “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian” [ al-Furqan : 67 ].

3- { وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ } “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal” [ al-Isra’ : 29 ].

4- { وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا } “dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam salatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu” [ al-Isra’ : 110 ].

 

فَافْعَلُوا مَا تُؤْمَرُونَ

Musa berkata: “Buat sahajalah apa yang telah diperintahkan kepada kamu”;

Maknanya, jangan tanya lagi. Buatlah dengan segera. Asalnya Allah ‎ﷻ memerintahkan sembelih lembu betina sahaja, sekarang sudah ditetapkan umur pula kerana mereka yang telah bertanya. Kalau tidak, boleh ambil sahaja mana-mana lembu betina. Maknanya, cukuplah, jangan tanya lagi, buat sahaja.

Perkataan فَافْعَلُوا bermaksud satu perbuatan yang tidak perlu fikir banyak. Jenis perbuatan yang bukan susah hendak buat. Sekarang ini, masih senang lagi – cuma cari lembu betina yang umurnya pertengahan. Kalau tadi, cuma sembelih lembu betina sahaja – senang. Tapi sekarang, sudah kena cari yang pertengahan umurnya – masih dikira senang lagi.

Sepatutnya mereka terus buat pada waktu ini. Tetapi mereka masih lagi hendak bertanya. Inilah yang dikatakan perangai buruk bangsa Yahudi dahulu. Dalam ayat seterusnya akan diterangkan apakah lagi soalan mereka.

Pengajaran dari ayat ini adalah apabila sudah ada suruhan dari Allah, buat sahaja. Jangan berdolak dalih dan bertanya itu ini. Jangan kata hendak faham dahulu apakah sebabnya suruhan itu. Ada juga yang bila disuruh dia hendak tahu kenapa arahan sebegitu. Ini tidak patut kita bertanya dengan Allah. Kerana akal kita mungkin tidak dapat hendak memahami tujuan sesuatu perkara itu dan apakah hikmahnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 65 – 66 (Ditukar menjadi kera)

HUKUMAN KEPADA BANI ISRAIL YANG MELANGGAR HUKUM SABBATH

Baqarah Ayat 65: Keburukan kedua golongan Yahudi itu adalah helah mereka dalam syariat. Mereka mencari jalan dan peluang bagaimana untuk tidak taat kepada syariat. Maka mereka telah diberikan azab. Ini untuk mengingatkan golongan Yahudi yang mereka itu selamat lagi kerana Allah tahan sahaja azab dari kena mereka. Allah ingatkan dahulu ada di kalangan tok nenek mereka yang telah dikenakan azab. Jadi bertaubatlah segera sebelum mereka dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ

Sahih International

And you had already known about those who transgressed among you concerning the sabbath, and We said to them, “Be apes, despised.”

Malay

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

 

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ

Dan sesungguhnya kamu tahu orang-orang yang melampaui batas dari antara kamu;

Allah ‎ﷻ mengingatkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh tok nenek mereka dahulu. Memang mereka tahu sejarah apa yang terjadi zaman dahulu jadi Allah ‎ﷻ hanya mengingatkan mereka sahaja. Mereka memang belajar sejarah bangsa mereka dengan bersungguh-sungguh kerana mereka berbangga dengan tok nenek mereka. Maka Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan sahaja mereka tentang apakah yang terjadi kepada mereka yang melanggar perjanjian.

Apabila digunakan kalimah مِنْكُمْ (dari antara kamu), ini bermakna sebahagian sahaja yang melakukannya. Ini mengajar kita supaya menjadi adil, jangan kita pukul rata semua mereka buat.

 

فِي السَّبْتِ

pada hari Sabtu;

Ini adalah cerita tentang Yahudi selepas zaman Nabi Musa عليه السلام. Ia dikatakan berlaku di zaman Nabi Daud عليه السلام. Ia tentang satu golongan nelayan yang telah menangkap ikan pada hari Sabtu. Kisah ini ada disebut juga dalam A’raf:163.

وَاسأَلهُم عَنِ القَريَةِ الَّتي كانَت حاضِرَةَ البَحرِ إِذ يَعدونَ فِي السَّبتِ إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا وَيَومَ لا يَسبِتونَ ۙ لا تَأتيهِم ۚ كَذٰلِكَ نَبلوهُم بِما كانوا يَفسُقونَ
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

Mereka telah diperintahkan oleh Tuhan untuk tidak berbuat apa-apa kerja pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari untuk mereka beribadat. Larangan itu sampai memasak pun tidak boleh. Kerana itu adalah hari besar mereka dan mereka kena tumpukan perhatian kepada ibadah sahaja. Alhamdulillah kita tidak dikenakan syariat seperti itu. Walaupun hari besar kita adalah hari Jumaat, tetapi kita masih lagi boleh membuat kerja. Cuma kena pergi solat Jumaat selama dua jam sahaja.

Shabbat (Bahasa Ibrani: שבת, shabbāt, “rehat/ketidakaktifan” merupakan hari rehat mingguan dalam agama Yahudi, melambangkan Hari ke-Tujuh (7) dalam Buku Kejadian, selepas penciptaan alam yang selama enam hari. Shabbat diamalkan dari waktu senja hingga kemunculan tiga bintang pada langit malam Sabtu. Dalam amalan agama Yahudi seperti Yahudi Messianik, Sabat atau Shabbat secara amnya adalah hari yang dikhususkan untuk amalan-amalan keagamaan sahaja.

Perkataan shabbat dalam Bahasa Ibrani berasal dari kata kerja shabat, dalam bahasa yang sama, yang secara harafiah bererti “berhenti”, atau shev yang bererti “duduk”. Meskipun shabbat selalunya diterjemahkan sebagai “istirehat”, terjemahan yang lebih harfiah ialah “berhenti”, dengan implikasi “berhenti daripada melakukan pekerjaan”. Jadi Sabat merupakan hari untuk berhenti bekerja, dengan implikasinya beristirehat.

Sebenarnya hari ibadah mereka juga adalah hari Jumaat juga tapi mereka yang minta ubah ke hari Sabtu:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ الْجُمُعَةَ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَنَا فَاخْتَلَفَ النَّاسُ فِيهَا وَهَدَانَا اللَّهُ لَهَا فَالنَّاسُ لَنَا فِيهَا تَبَعٌ فَالْيَوْمُ لَنَا وَلِلْيَهُودِ غَدًا وَلِلنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ لِلْيَهُودِ يَوْمُ السَّبْتِ وَلِلنَّصَارَى يَوْمُ الْأَحَدِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ حَدَّثَنَا هَمَّامٌ حَدَّثَنَا قَتَادَةُ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ مَوْلَى أُمِّ بُرْثُنٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَذَكَرَ مِثْلَهُ وَلَمْ يَذْكُرْ الْيَوْمُ لَنَا
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘azza wajalla mewajibkan hari Jumaat atas orang-orang sebelum kita lalu mereka berselisih di dalamnya, kemudian Allah memberikan hidayah kepada kita pada hari itu, pada hari itu manusia akan mengikuti kita, hari ini adalah milik kita, Yahudi esok dan Nasrani setelahnya, Yahudi hari Sabtu dan Nasrani hari Ahad.
(Hadis Sahih Riwayat Ahmad, 10232)

Jadi, mereka memang tidak boleh membuat kerja pada hari Sabtu langsung. Tetapi ikan-ikan telah timbul dengan banyak di lautan pada hari Sabtu. Mereka nampak ikan-ikan itu sampai tidak sabar kerana mereka nampak itu peluang untuk mendapat duit yang banyak.

Jadi, mereka telah membuat jerat pada hari Jumaat supaya ikan-ikan masuk dalam jerat pada hari Sabtu. Dan mereka angkat ikan-ikan itu pada hari Ahad. Mereka menggunakan alasan bahawa mereka tidak bekerja pada hari Sabtu itu. Apabila mereka buat begitu, sebenarnya mereka hendak membuat helah dan menipu Allah ‎ﷻ. Asal idea ini timbul adalah dari salah seorang mereka. Dia hendak makan ikan, tapi dia pun tahu tidak boleh menangkap ikan hari Sabtu. Hari lain pula ikan tak keluar. Jadi dia tangkap seekor ikan hari Jumaat dan dia ikat ikan itu dan biarkan di dalam air (kiranya tak tangkap ke luarlah). Dia tengok hari Ahad, ikan itu masih hidup terikat lagi. Maka idea ini telah digunapakai pula oleh para nelayan.

Sama juga macam kita yang cuba hendak menipu Allah ‎ﷻ. Contohnya, kita tidak boleh pergi ke kenduri kahwin yang ada persandingan. Kerana ia adalah perbuatan syirik – menyerupai amalan penganut Hindu menyembah dewa mereka. Namun ada juga yang pergi ke majlis sebegitu dengan mengatakan mereka tidak tengok majlis sanding itu, mereka hanya makan sahaja. Ataupun mereka datang sebelum atau selepas majlis itu. Itu pun boleh dikira menipu Allah ‎ﷻ juga.

Sama juga alasan bagi mereka yang berkata: “Kami tak pergi Majlis Tahlil… kami pergi makan sahaja.” Sama sahaja dengan alasan yang diberikan oleh golongan Yahudi terdahulu.

 

فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ

Maka Kami titah kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina dina;

Ini adalah titah dalam bentuk azab kepada mereka. Ini adalah kerana kedegilan mereka dan sangkaan mereka yang mereka boleh membuat helah dengan Allah ‎ﷻ. Oleh kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditukar menjadi kera (atau beruk, saya pun tak tahu apa bezanya) selama tiga hari. Dan kerana itu disebut خٰسِئينَ iaitu yang jenis hina punya. Sebab kera ada sahaja yang manusia sayang dan bela naik sekali dengan motosikal dan sebagainya. Tapi kalau sudah tua tidak boleh diguna lagi, memang kena ikut tepi tiang rumah sahaja. Kalau ada orang lalu, akan dikacaunya kalau tidak diberi makanan. Maka kera yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah jenis خٰسِئينَ punya.

Antara kera yang terhina adalah yang sampai kerabat kereta dan rumah manusia mencari makanan. Akan tetapi asalnya salah manusia juga. Ramai manusia suka beri makanan kepada kera/monyet/beruk sampaikan haiwan itu semua sudah ketagih dengan makanan manusia. Padahal mereka ada makanan mereka sendiri. Bila sudah ketagih, maka dituntutnya makanan dari manusia. Mereka jadi ganas dan tidak beradab lagi. Sebagaimana ia buruk bagi haiwan, ia juga buruk bagi manusia. Sebab itu kalau kita marah kepada orang, kita kata kepadanya: perangai macam beruk!

Dan memang mereka menjadi kera betul, bukan perangai mereka sahaja macam kera (seperti sesetengah pendapat). Selepas tiga hari, mereka mati. Tetapi, ada pula yang mengambil dari cerita ini untuk mengatakan yang manusia dijadikan dari kera pula. Ini tidak masuk akal kerana semua mereka yang menjadi kera itu telah mati selepas tiga hari. Badan mereka sahaja yang bertukar menjadi kera, tetapi akal mereka masih akal manusia.

Maka kisah itu tidak boleh dipakai kerana ia adalah kisah israiliyat. Sedangkan ada hadis Nabi ﷺ memberitahu yang mana-mana manusia yang ditukar menjadi makhluk lain, mereka hanya hidup selama tiga hari sahaja. Jadi mereka itu tidak ada baka sebenarnya. Allah ‎ﷻ jadikan sebegini supaya ia menjadi pengajaran kepada Yahudi yang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَتْ أُمُّ حَبِيبَةَ زَوْجُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ أَمْتِعْنِي بِزَوْجِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبِأَبِي أَبِي سُفْيَانَ وَبِأَخِي مُعَاوِيَةَ قَالَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ سَأَلْتِ اللَّهَ لِآجَالٍ مَضْرُوبَةٍ وَأَيَّامٍ مَعْدُودَةٍ وَأَرْزَاقٍ مَقْسُومَةٍ لَنْ يُعَجِّلَ شَيْئًا قَبْلَ حِلِّهِ أَوْ يُؤَخِّرَ شَيْئًا عَنْ حِلِّهِ وَلَوْ كُنْتِ سَأَلْتِ اللَّهَ أَنْ يُعِيذَكِ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ أَوْ عَذَابٍ فِي الْقَبْرِ كَانَ خَيْرًا وَأَفْضَلَ قَالَ وَذُكِرَتْ عِنْدَهُ الْقِرَدَةُ قَالَ مِسْعَرٌ وَأُرَاهُ قَالَ وَالْخَنَازِيرُ مِنْ مَسْخٍ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ لِمَسْخٍ نَسْلًا وَلَا عَقِبًا وَقَدْ كَانَتْ الْقِرَدَةُ وَالْخَنَازِيرُ قَبْلَ ذَلِكَ
Dari [‘Abdullah] dia berkata; “Ummu Habibah -isteri Rasulullah- pernah berdoa sebagai berikut; ‘Ya Allah, berikanlah aku kenikmatan (panjangkanlah usiaku) bersama suamiku, Rasulullah SAW, ayahku, Abu Sufyan, dan saudaraku, Mu’awiyah.’ Abdullah berkata; Mendengar doa itu, maka Rasulullah SAW berkata kepada isterinya, Ummu Habibah: ‘Sesungguhnya kamu memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala: ajal, kematian, dan rezeki yang telah ditentukan, di mana Allah tidak akan mengajukan ataupun memundurkan sebelum waktunya. Apabila kamu memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar Dia menyelamatkanmu dari seksa neraka dan seksa kubur, maka hal itu lebih baik bagimu dan lebih utama.’ Abdullah bin Mas’ud berkata; lalu ditanyakan kepada Rasulullah tentang kera. Mis’ar berkata; aku kira dia berkata; Apakah babi itu berasal dari manusia yang telah berubah rupa? ‘ Rasulullah SAW menjawab: ‘Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak akan menghancurkan atau menyeksa suatu kaum, kemudian menjadikan keturunan bagi mereka. Sesungguhnya keturunan babi dan kera itu sudah ada sebelumnya.’
Sahih Muslim (4814)

Ada dari kalangan mereka waktu itu yang membuat kesalahan ini dan ada yang tengok sahaja. Ada juga yang menegur perbuatan mereka itu. Kerana selalu tegur, golongan yang melihat sahaja pun marah kepada golongan yang menegur itu. Ini seperti yang disentuh dalam Surah al-A’raf. Yang pasti, mereka yang membuat salah itu telah menjadi kera. Tetapi khilaf di kalangan ulama’, sama ada mereka yang tengok tidak menegur itu bertukar menjadi kera juga ataupun tidak. Yang pasti, mereka yang menegur itu selamat dari ditukar menjadi kera.

Menurut riwayat dari Ibnu Ishak, Ibnu Jarir dan lbnu Abbas, semua mereka itu dikutuk sehingga berubah rupa menjadi monyet. Tetapi setelah mereka menjadi monyet itu, mereka tidak mampu makan dan tidak mampu minum, sehingga tidak sampai tiga hari sesudah perubahan rupa itu, mereka pun mati semua.

Satu riwayat pula dari Ibnul Mundzir, katanya dari Ibnu Abbas juga, bahawa segala monyet dan segala babi yang ada sekarang ini adalah dari keturunan mereka. Tetapi pada riwayat Ibnul Mundzir yang diterimanya dari al-Hasan, keturunan mereka itu terputus. Sebab itu menurut pendapat al-Hasan ini, kera dan babi yang ada sekarang tidaklah dari keturunan mereka.

Menurut Qatadah, penduduk di situ terbahagi kepada dua kerana perbuatan melanggar arahan Allah itu. Kerana ada yang menegur dan yang ditegur tidak mengendahkan. Maka yang menegur dari kalangan orang alim dan warak telah meninggalkan penduduk asal dan pergi berhijrah ke tempat lain. Satu hari mereka perasan tidak ada bunyi lagi dari penduduk asal jadi mereka datang melawat dan mereka dapati mereka telah ditukar menjadi kera. Yang muda menjadi kera sedangkan yang tua menjadi babi. Mereka masih lagi dapat mengenali ahli keluarga mereka walaupun telah ditukar. Maka mereka telah memeluk ahli keluarga mereka dan menangisi mereka itu. Tiga hari selepas itu mereka pun mati.

Perpecahan kepada kumpulan ini sebenarnya terpecah kepada tiga kumpulan seperti disebut di dalam A’raf:174

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

Jadi tiga kumpulan itu adalah:

1. Yang melakukan kesalahan
2. Yang menegur
3. Yang menegur pula golongan yang menegur.

Maka yang selamat adalah mereka yang menegur seperti disebut di dalam ayat selepasnya. Ini mengajar kita bahawa kesalahan manusia hendaklah ditegur. Banyaknya terjadi kemungkaran adalah kerana orang ramai tidak menegur, yang ada ilmu tidak menegur, yang baik tidak menegur. Sampaikan yang melakukan kesalahan itu senang sahaja hati mereka buat kesalahan kerana tidak ada yang menegur. Maka untuk selamat kita kenalah menegur. Kalau teruk selain dari melakukan kesilapan adalah yang menghalang pula pihak yang cuba menegur. Sudahlah mereka tidak tegur, mereka halang pula golongan yang sanggup menegur itu! Yang selamat hanyalah yang menegur kesalahan manusia seperti disebut di dalam A’raf:164 ini,

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ أَنجَينَا الَّذينَ يَنهَونَ عَنِ السّوءِ وَأَخَذنَا الَّذينَ ظَلَموا بِعَذابٍ بَئيسٍ بِما كانوا يَفسُقونَ

Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

Bagaimana pula dengan orang yang tidak menangkap ikan hari Sabtu itu tapi tidak menegur? Sudahlah mereka tidak menegur, mereka halang pula orang yang menegur itu. Allah sebut mereka dilaknat seperti yang disebut dalam Maidah:78-79

لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.

كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.

Tapi ayat ini tentang mereka yang buat helah untuk mengelak dari taat kepada hukum Allah. Hukuman kepada mereka adalah ditukar menjadi kera/beruk (dan ada pendapat kata sebahagian ditukar menjadi babi). Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan mereka berperangai seperti kera dan bukanlah ditukar sampai menjadi kera. Mereka dikatakan menjadi kera kerana isyarat kepada kera yang sejenis binatang yang tidak kisah tentang halal haram, seperti mereka juga. Ini seperti disebut di dalam riwayat yang lain dari Ibnul Mundzir yang juga disertai riwayat dari Ibnul Abi Hatim, yang mereka terima dari Mujahid: “Yang disumpah Tuhan sehingga menjadi kera dan monyet itu ialah hati mereka, bukan badan mereka.”

Akan tetapi kita lebih selesa dengan pendapat yang mengatakan mereka benar-benar menjadi kera. Kerana memang Allah boleh buat. Kalau ada yang kata mungkin mereka berperangai seperti kera sahaja, janganlah ditolak kemungkinan mereka itu betul-betul bertukar menjadi kerana fizikal.


 

Baqarah Ayat 66:

فَجَعَلنٰها نَكٰلًا لِّما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ

Sahih International

And We made it a deterrent punishment for those who were present and those who succeeded [them] and a lesson for those who fear Allah .

Malay

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

 

فَجَعَلْنٰهَا نَكٰلًا

Maka Kami jadikan seksaan kepada mereka itu sebagai satu peringatan

Kalimah نكل bermaksud sesuatu yang melarikan, menjauhkan. Maka penukaran kepada kera itu menjadi satu teladan supaya manusia selepas itu akan menjauhkan diri dari melakukan kesalahan yang sama. Supaya kita takut untuk berbuat dosa yang sama.

 

لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهَا

bagi orang yang ada pada masa itu;

Golongan pertama yang mendapat pengajaran adalah mereka yang mengenali golongan yang ditukar itu. Mereka yang melakukan kesalahan dan telah ditukar kepada kera itu tinggal berdekatan dengan laut – kerana kesalahan mereka itu menangkap ikan. Bermakna, kerja mereka adalah sebagai nelayan. Jadi, manusia selalunya akan lalu berdekatan dengan laluan air, maka ramailah yang boleh melihat takdir Allah ‎ﷻ kepada mereka itu. Maka mereka boleh terus mengambil pengajaran dari kejadian itu kerana memang di depan mata mereka.

Ini menguatkan lagi pendapat yang mengatakan memang mereka telah ditukar menjadi kera secara fizikal kerana orang yang berdekatan mereka boleh nampak kejadian itu.

 

وَمَا خَلْفَهَا

dan orang-orang yang akan datang kemudian

Bukan mereka yang hidup sezaman dengan mereka yang ditukar sahaja yang boleh mengambil pengajaran, tetapi orang-orang yang selepas itu juga. Kita termasuk dalam ayat ini kerana kita sekarang sedang  membaca kisah mereka sebagai teladan bagi kita. Maka jangan cuba nak cari helah dengan hukum Allah ﷻ.

 

وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

dan sebagai satu nasihat yang amat berguna kepada-orang orang yang bertaqwa.

Kisah dan ajaran dari Al-Qur’an diberikan kepada semua. Akan tetapi bukan semua akan mengambil manfaat darinya. Ayat-ayat itu mungkin sampai kepada mereka, tapi mereka tidak ambil endah pun. Hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan mengambil pengajaran kerana itulah ada lam takhsis pada kalimah لِلْمُتَّقِينَ di atas. Begitulah kalau kita bertaqwa, kita juga akan mengambil pengajaran ini sebagai nasihat yang penting untuk kita. Pengajaran penting bagi kita di sini adalah janganlah kita menggunakan helah dalam agama. Ia adalah satu perbuatan yang amat buruk sekali.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 63 – 64 (Diangkat Gunung Thur)

PERJANJIAN ALLAH ﷻ DENGAN BANI ISRAIL

Baqarah Ayat 63: Ini jenis kedua golongan Yahudi. Mereka itu datuk nenek kepada Yahudi yang hidup zaman Nabi di Madinah. Sekarang cucu cicit merekalah yang duduk di Madinah. Mereka itu ada perangai buruk yang Allah nak ceritakan kepada semua. Allah nak ceritakan pertamanya kepada orang Arab Madinah. Kerana merekalah yang mula-mula terima Al-Qur’an dan mereka yang berdepan dengan golongan Yahudi itu. Kalau Yahudi di Madinah waktu itu, mereka tentu takkan menceritakan kesilapan tok nenek mereka.

Oleh kerana Arab Madinah tak tahu kisah ini, mereka sangka yang golongan Yahudi itu adalah golongan suci yang tidak boleh dipersalahkan. Mereka nampak Yahudi itu macam puak-puak wali sahaja. Maka Allah bongkar kisah mereka. Sesudah mereka dengar kisah ini, fikirkanlah bagaimana hubungan mereka dengan golongan Yahudi itu. Kalaulah tok nenek mereka berperangai macam itu, ada kemungkinan cucu cicit mereka pun ada perangai macam itu juga. Maka, hendaklah diketahui yang golongan Yahudi itu tidaklah baik sangat.

Kita akan baca tiga keburukan mereka.

1. Tawalli ‘anil Ahkam. Berpaling dari beramal dengan hukum

2. Banyak soal tentang hukum Tuhan. Benda senang tapi mereka susahkan.

3. Suka buat helah dalam beramal dalam hukum Tuhan. Ini kisah mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka tidak boleh menangkap ikan pada hari ibadat, iaitu hari Sabtu. Tapi hari Sabtu itulah Allah beri ujian dengan ikan keluar dengan banyak. Maka, mereka buat helah dengan tahan pukat pada hari Jumaat dan angkat pada hari Ahad. Mereka kata mereka hanya tangkap ikan hari Ahad sahaja.

Begitulah masyarakat kita sekarang pun buat helah juga. Sebagai contoh, riba itu haram. Tapi dengan helah yang dilakukan, riba yang haram boleh jadi halal juga. Cuma nama sudah jadi lain (dipanggil ‘bunga’ seolah-oleh riba itu boleh diwangikan seperti bunga). Maka helah sebegitu adalah sifat Yahudi. Dan begitu juga ada golongan agama dalam Islam yang buat helah dalam hal syariat. Mereka pusing dalil-dalil syariat sampaikan yang haram boleh jadi halal. Mereka pun ikut sifat Yahudi.

Sebagai contoh, Majlis Tahlil adalah bidaah kerana Nabi tidak pernah buat dan banyak kesalahan di dalam majlis itu. Tapi ada tok guru yang bagi hujah ‘murtabak’. Dia kata tepung boleh makan, telur boleh makan, air boleh makan, bawang boleh makan. Maka kalau digaulkan semua sekali jadi murtabak, selalu sahaja dimakan.

Jadi dia beri hujah karut: dalam Majlis Tahlil ada bacaan ayat Al-Qur’an, ada zikir, ada doa. Semua benda ini boleh diamalkan. Cuma kalau digaulkan sekali dalam satu majlis, apa salahnya? Inilah hujah seperti yang digunakan oleh Yahudi, menggunakan helah dalam agama.

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Sahih International

And [recall] when We took your covenant, [O Children of Israel, to abide by the Torah] and We raised over you the mount, [saying], “Take what We have given you with determination and remember what is in it that perhaps you may become righteous.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُم

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah perangai pertama golongan Yahudi iaitu berpaling dari syariat. Perkataan مِيثَاقَ dalam ayat ini sebenarnya ada juga dalam Taurat. Allah gunakan lafaz yang sama supaya mereka tidak ada alasan untuk mengatakan yang ianya adalah perkara yang berlainan.

Lafaz عهد juga ada lafaz yang sama dalam Taurat dan Al-Qur’an. Ianya untuk mengingatkan mereka yang mereka telah berjanji akan berpegang dengan syariat dalam Taurat.

Oleh itu, ini adalah perjanjian dengan tok nenek mereka di zaman Nabi Musa. Iaitu setelah Nabi Musa turun membawa Kitab Taurat yang mereka kena pegang dan amalkan. Perjanjian itu adalah antara tok nenek Bani Israil yang dahulu, tapi kenapa Allah mengingatkan Bani Israil zaman Nabi Muhammad pula? Ini adalah kerana mereka adalah satu bangsa. Mereka pun tahu tentang perjanjian itu. Kerana mereka memang berbangga dengan sejarah mereka. Oleh itu, mereka ambil tahu apa yang terjadi dalam sejarah mereka. Maka mereka memang tahu apa yang telah berlaku.

Kata مِيثَاقَ bermaksud perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Iaitu mereka diarahkan untuk berpegang dengan Kitab Taurat. Peringatan kepada Bani Israil itu adalah juga peringatan kepada kita juga. Kerana kita juga kena berpegang dengan ajaran di dalam Al-Qur’an. Jangan kita sangka yang perjanjian itu adalah untuk bangsa Yahudi sahaja. Apabila Allah letakkan dalam Al-Qur’an, bermakna ianya juga untuk perhatian kita juga.

 

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

Dan Kami angkat bukit Thur atas kepala kamu;

Tapi mereka telah engkar tidak mahu ikut kerana nafsu mereka memandang berat hukum-hukuman yang ada di dalam Kitab Taurat itu. Kejadian ini berlaku ketika mereka pada mulanya memohon untuk melihat Allah di dunia ini dengan mata kepala, lalu Allah memperdengarkan kepada mereka halilintar yang “mematikan” mereka, dan setelah mereka “dihidupkan kembali” mereka menolak mengamalkan kandungan kitab suci kerana menilainya berat untuk dilaksanakan.

Kerana itu Allah telah mengangkat Bukit Thur atas mereka. Allah nak hempap mereka kalau mereka tidak mahu beramal dengan Taurat. Dulu mereka pernah beri alasan tidak ada kitab. Sekarang bila sudah ada, mereka tidak mahu beramal pula. Sampai Allah angkat Bukit Thur atas mereka untuk beri ancaman kepada mereka.

Tentu sekali mereka yakin kerana mereka nampak dengan mata kepala mereka sendiri. Waktu itu baru mereka mahu mendengar arahan, sedangkan sebelum itu apabila disuruh untuk taat kepada Taurat, mereka tidak mahu mendengarnya.

Abu Bakar ibnu Abdullah رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ mengatakan, telah menceritakan kepadanya Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ, bahawa tatkala mereka (Bani Israel) melihat gunung itu terangkat di atas kepala mereka, maka masing-masing mereka menyungkur bersujud pada pelipis sebelah kiri mereka, sedangkan  mata kanan mereka melihat ke arah bukit itu kerana takut akan menimpa diri mereka. Maka demikian pula di masa sekarang, tidak ada seorang Yahudi pun di muka bumi ini melainkan bila sujud pasti pada pelipis kirinya. Mereka menduga bahawa cara sujud inilah yang menyebabkan terhapusnya seksaan.

Allahu a’lam tentang hal ini kerana saya tidak pernah melihatnya lagi.

Mungkin ada timbul persoalan di sini. Bukankah tidak ada paksaan di dalam agama seperti disebut di dalam Baqarah:256?

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam ugama

Jadi tidakkah ini dikira sebagai memaksa pula? Kita kena faham betul-betul supaya tidak salah sangka. Yang tidak ada paksaan itu adalah untuk masuk ke dalam agama Islam. Apabila telah masuk, maka seorang Muslim hendaklah memenuhi segala keperluan di dalam agama. Contohnya begini: seorang guru besar tidak boleh memaksa pelajar luar sekolahnya dari membersihkan sekolah itu. Tapi guru besar layak untuk mengarahkan pelajarnya sendiri untuk membersihkan sekolah, bukan? Jadi Bani Israil itu telah menerima Nabi Musa sebagai Nabi mereka maka mereka kenalah ikut arahan dari baginda yang membawa arahan Allah.

Benarkah Allah angkat Thur ke atas mereka? Ada yang kata memang terangkat bukit Thur atas kepada mereka terawang-awang. Kejadian ini ada juga disebut di dalam A’raf:171,

۞ وَإِذ نَتَقنَا الجَبَلَ فَوقَهُم كَأَنَّهُ ظُلَّةٌ وَظَنّوا أَنَّهُ واقِعٌ بِهِم خُذوا ما ءآتَينٰكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
Dan ingatlah ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): “Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

Di dalam ayat lain juga ada disebut kisah Bukit Thur ini diangkat seperti di dalam Baqarah: 93

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah

Cuma kalimah yang digunakan adalah رفع (angkat) dan di dalam Surah A’raf digunakan kalimah نتق yang juga bermaksud angkat tetapi beza angkat di sini setelah dipecahkan.

Al-Qasim ibnu Abu Ayyub رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ telah meriwayatkan daripada Sa’id ibnu-Jubair, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa setelah (Bani Israil selamat daripada Fir’aun), dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membawa mereka menuju ke Jerussalem, dan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil lauh-lauh Kitab Taurat yang telah dilemparkannya itu sesudah marahnya reda. Kemudian Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memerintahkan mereka berbagai macam pekerjaan sesuai dengan wahyu Allah yang harus dia sampaikan kepada mereka, dan ternyata pekerjaan-pekerjaan itu berat bagi mereka, lalu mereka menolak, tidak mahu menerimanya, hingga Allah mengangkat bukit dan mengangkatnya ke atas kepala mereka. Bukit tersebut diangkat oleh para malaikat ke atas kepala mereka. Demikianlah menurut riwayat Imam Nasai’iy رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ secara panjang lebar.

Ayat ini mengajar kita yang kadangkala kita mesti menggunakan kekerasan untuk memaksa manusia melakukan kebaikan dan untuk taat kepada syariat. Ini kerana jika kita berlembut sangat, manusia menjadi lemah dan mengambil sikap sambil lewa sahaja untuk perkara yang berkenaan syariat. Ini berlaku kerana kebanyakan manusia akan mudah sahaja mengikut hawa nafsu yang suka meninggalkan ketaatan. Kalau ada ancaman barulah mereka akan buat. Sebagaimana anak kita jugalah, dari muda lagi hendaklah dipaksa mengerjakan salat kerana mereka tentunya malas dan berat untuk mengerjakannya, bukan? Adakah kita benci kepadanya? Tentu tidak, melainkan ia adalah untuk kebaikan mereka.

Ada juga yang berpendapat yang gunung itu hanya bergegar dan jatuh sahaja, tidaklah diangkat ke atas sebagai ancaman untuk menghempap mereka. Yang mana benar, tidak penting kerana bukan ini yang hendak ditekankan, tapi pengajaran di dalam kisah ini. Apabila bumi bergegar dengan kuat, tentulah kita akan pegang sesuatu. Apa yang kita hendak pegang?

 

خُذُوا مَا ءَاتَينَـٰكُم بِقُوَّةٍ

Allah berkata: Peganglah sungguh-sungguh apa yang Kami telah beri kepada kamu;

Mereka diarahkan untuk beramal sungguh-sungguh dengan kitab Taurat itu dan jangan main-main. Mereka telah terima Nabi Musa itu tapi mereka tidak menerimanya dengan serius. Kerana itulah Allah telah angkat Bukit Thursina atas mereka untuk menakutkan kepada mereka. Ia sebagai penekanan kepada mereka untuk menerima Nabi Musa dan syariat bersungguh-sungguh.

Allah jadikan satu perkara yang hebat dan besar untuk menyedarkan mereka. Kerana kalau sesuatu yang besar berlaku, tentulah manusia memberi perhatian. Dan kerana puak Yahudi itu memang degil, maka Allah kena gunakan kekerasan.

 

وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ

dan ingatlah apa yang ada dalam Taurat itu;

Sekarang Allah beri formula bagaimana cara hendak ‘memegang’ Taurat itu. Arahan untuk ‘ingat’ di sini bermaksud: belajarlah. Dan kena sentiasa muzakarah sesama mereka. Jangan culas belajar ilmu yang ada dalam kitab Taurat. Maknanya bukan setakat baca sahaja kitab itu tapi hendaklah diambil pelajaran darinya dan diamalkan. Inilah pengajaran penting yang kita dapat ambil dari ayat ini.

Kalimah ذكر bukan sahaja ‘ingat’ sahaja, tapi ia bermaksud juga ‘mengingatkan’. Oleh itu bukan sahaja kena belajar wahyu, tapi lepas belajar, kena mengajar dan sampaikan kepada orang lain. Dan kena amalkan yang telah dipelajari itu. Begitulah kerana makna ‘zikr’ bukan hanya ingat, tapi kena juga ingatkan kepada orang lain juga. Kerana itu ada hadis yang kita perlu perhatikan,

Daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. [Riwayat al-Bukhari (5027)]

Maka, kita pun kena belajar dan mengajar tafsir Al-Qur’an juga atau menyampaikan peringatan kepada orang lain. Jadi kita bukan hanya mengajar ‘baca’ Al-Quran, tapi mengajar tafsir Al-Qur’an. Sekarang orang Melayu rata-rata menjaga bacaan Al-Qur’an mereka, sampai ada yang masuk kelas Tajwid untuk orang dewasa. Tapi mereka masih tidak masuk kelas belajar tafsir Al-Qur’an untuk memahami apakah yang Allah sampaikan dalam Al-Qur’an. Ini amat pelik: belajar baca tapi tak belajar bagaimana nak faham apa yang dibaca. Jangan jadi seperti Bani Israil seperti yang disebut di dalam hadis,

عَنْ زِيَادِ بْنِ لَبِيدٍ قَالَ ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا فَقَالَ وَذَاكَ عِنْدَ أَوَانِ ذَهَابِ الْعِلْمِ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَذْهَبُ الْعِلْمُ وَنَحْنُ نَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَنُقْرِئُهُ أَبْنَاءَنَا وَيُقْرِئُهُ أَبْنَاؤُنَا أَبْنَاءَهُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ لَبِيدٍ إِنْ كُنْتُ لَأَرَاكَ مِنْ أَفْقَهِ رَجُلٍ بِالْمَدِينَةِ أَوَلَيْسَ هَذِهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ لَا يَنْتَفِعُونَ مِمَّا فِيهِمَا بِشَيْءٍ
Dari [Ziyad bin Labid] dia berkata, Nabi SAW menyebutkan sesuatu, baginda katakan: “Itulah masa hilangnya ilmu.” Labid berkata, “Kami lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah ilmu akan hilang, sementara kami selalu membaca Al-Qur’an dan membacakannya kepada anak-anak kami, dan anak-anak kami juga membacakannya untuk anak-anak mereka. Kemudian anak-anak mereka hingga datangnya hari kiamat?” Baginda menjawab: “Celaka kamu wahai Ibnu Abu Labid! Aku melihatmu termasuk orang yang paling faqih di Madinah ini. Bukankah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani juga membaca Taurat dan Injil, namun mereka tidak memetik manfaat sedikit pun dari apa yang termaktub dalam keduanya?”
Jami’ Tirmizi (16828) Disahihkan oleh Albani.

Begitulah sekarang terjadi lagi kepada umat Islam. Mereka hanya baca sahaja tanpa faham apa-apa pun yang mereka baca. Kerana itulah kita sekarang banyak mendengar ajaran pelik-pelik keluar dari orang kita. Ini kerana mereka jauh dari wahyu. Ada yang hanya tampal sahaja ayat-ayat Al-Qur’an di dinding rumah dan di kenderaan. Agaknya supaya nampaklah mereka itu Muslim dan sayang Al-Qur’an, tapi tidak sebenarnya. Maka harap ini menjadi pemangkin kepada anda untuk mula mempelajari tafsir Al-Qur’an. Ambillah motivasi dari hadis di bawah ini.

Dari Abu Musa Al Asy’ariy, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

الْمُؤْمِنُ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالأُتْرُجَّةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَالْمُؤْمِنُ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالتَّمْرَةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالرَّيْحَانَةِ ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْحَنْظَلَةِ ، طَعْمُهَا مُرٌّ – أَوْ خَبِيثٌ – وَرِيحُهَا مُرٌّ
“Permisalan orang yang membaca Al Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah utrujah, rasa dan baunya enak. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak beraroma. Orang munafik yang membaca Al Qur’an adalah bagaikan royhanah, baunya menyenangkan namun rasanya pahit. Dan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an bagaikan hanzholah, rasa dan baunya pahit dan tidak enak.”
(Sahih Bukhari no. 5059)

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu akan bertakwa;

Apabila Allah kata ‘mudah-mudahan’, ianya bermaksud: pasti. Kalau mereka berpegang dengan Taurat, mereka akan selamat. Maknanya juga, kalau kita pegang Al-Qur’an dengan belajar dan mengajar, kita akan pasti mendapat takwa. Ini kerana apabila kita mengajar, kita akan selalu diingatkan dengan ajaran dalam Al-Qur’an itu, maka mudah-mudahan akan membawa orang yang mengajar itu kepada ketaqwaan.


 

Baqarah Ayat 64:

ثُمَّ تَوَلَّيتُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ ۖ فَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ لَكُنتُم مِّنَ ٱلخَـٰسِرِينَ

Sahih International

Then you turned away after that. And if not for the favor of Allah upon you and His mercy, you would have been among the losers.

Malay

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.

 

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kemudian kamu berpaling juga selepas perjanjian itu;

Kerana sudah diangkat Bukit Thur atas mereka, maka mereka bersetuju untuk beramal dengan kitab Taurat kerana ketakutan melihat apa yang Allah ‎ﷻ buat itu. Dan kerana mereka telah setuju, Allah ‎ﷻ tidak hempap mereka dengannya. Tetapi selepas itu mereka tetap berpaling dari mengamalkannya. Ini adalah kerana mereka ikut taat itu bukannya ikhlas tapi kerana takut sahaja. Begitulah jikalau amalan kita tidak ikhlas, kita susah untuk istiqamah.

Jadi adakah kita jangan paksa anak-anak kita atau diri kita sendiri? Ya pada mulanya kadang-kadang kita kena paksa diri untuk melakukan sesuatu. Keikhlasan itu bukannya terus boleh dapat. Tapi ia hendaklah dibina. Jangan kononnya tunggu ikhlas baru hendak buat, kerana entah tak datang terus ikhlas itu. Maknanya kita kena buat, tapi didik dan pupuk hati kita supaya ikhlas.

Golongan Bani Israil itu sampai ke sudah tidak ikhlas, maka kerana itu mereka meninggalkan ketaatan kepada wahyu. Maka ini mengajar kita untuk mengikhklaskan hati kita di dalam melakukan ibadat dan ketaatan kepada Allah. Akan tetapi kalimah ثُمَّ yang digunakan di sini memberi isyarat yang ia berlaku setelah sekian lama. Maknanya, setelah diancam oleh Allah, umat pada masa itu tekun mempelajari dan mengamalkan kitab Taurat. Akan tetapi lama kelamaan mereka telah meninggalkannya.

Akhirnya kedua-dua golongan dari Bani Israil berpaling dari perjanjian itu: yang sezaman dengan Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Kita kena ingat, walaupun perjanjian itu tidak diambil dengan mereka yang hidup di zaman Nabi Muhammad ﷺ, tetapi mereka tahu tentang perjanjian itu. Dan mereka tertakluk juga dengan perjanjian itu.

Dan jangan lupa yang mereka sebenarnya kenal Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Mereka tahu Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul yang sebenarnya. Namun mereka masih lagi berpaling, bukan kerana apa tetapi hanya kerana degil sahaja.

 

فَلَوْلَا فَضْلُ اللهِ عَلَيْكُمْ

Kalau tidaklah kerana kurnian Allah ke atas kamu;

Kurnia yang dimaksudkan adalah melambatkan dijatuhkan azab. Apabila berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ dan derhaka kepada Allah ‎ﷻ, namun Allah ‎ﷻ tidak matikan terus, tidak terus berikan azab kepada mereka. Allah ‎ﷻ biarkan sahaja dahulu. Itu adalah kurnia sebab masih memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat.

Bukanlah bermaksud yang Allah ‎ﷻ tidak terus berikan azab itu kerana Allah ‎ﷻ redha. Namun ada juga dari masyarakat kita yang berkata, Tuhan berkenan dengan perbuatan salah yang mereka buat itu, sebab itu tidak diberikan azab. Mereka menggunakan alasan – kalau Allah ‎ﷻ tidak suka, tentu Allah ‎ﷻ sudah berikan azab kepada mereka. Padahal, sebenarnya Allah ‎ﷻ tidak berikan azab terus kerana Allah ‎ﷻ masih memberi peluang kepada mereka untuk berfikir dan bertaubat.

Allah ‎ﷻ ada juga berikan azab sedikit-sedikit kepada mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak berikan azab yang sampai menghapuskan terus keturunan mereka seperti yang terjadi kepada Kaum Aad dan Tsamud.

Perkataan فَضْلُ bermaksud sesuatu pemberian yang lebih dari yang sepatutnya. Sebagai contoh, jikalau seseorang minta satu benda, tetapi kita berikannya tiga benda. Memang Allah ‎ﷻ banyak memberi kurniaan yang berlebihan kepada kita.

Kurniaan Allah ‎ﷻ kepada Yahudi adalah mereka telah diampunkan dosa-dosa mereka dan mereka juga telah diberikan Rasul dan Nabi yang banyak. Jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada mereka, kalau tidak kerana kurniaan-Nya kepada mereka, maka mereka akan terus menjadi orang yang sesat. Maka mereka kenalah ikut Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَرَحْمَتُهُ

dan rahmat dariNya,

Rahmat itu maksudnya dikekalkan kitab Taurat dengan mereka. Allah ‎ﷻ tidak tarik nikmat Kitab itu dari mereka walaupun mereka telah tidak beramal dengannya. Macam kita sekarang, walaupun ramai tidak tahu apakah yang Al-Qur’an sampaikan dan tidak beramal dengannya, tidaklah Allah ‎ﷻ tarik Al-Qur’an ini dari kita lagi.

Ada pendapat yang mengatakan mereka itu tidak terus dikenakan dengan azab di dunia kerana kehadiran Rasulullah di sisi mereka. Dalil yang diberikan adalah tentang baginda menjadi rahmat kepada alam.

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ
Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: “Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: “Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam).”
(Hadith riwayat Ad-Darimy, No: 15, Syeikh Syu’aib al-Arnautd berkata: “Sanad hadith ini adalah sahih tetapi ianya mursal (ada riwayat lain yang menyokongnya).

 

لَكُنْتُمْ مِّنَ ٱلخَـٰسِرِينَ

nescaya kamu pasti akan jadi dari golongan yang paling rugi

Kalau tidak kerana rahmat Allah ‎ﷻ ke atas mereka, tentulah mereka akan rugi apabila mereka mati nanti; selagi tidak mati, maka tidak rugi lagi. Tunggulah azab di neraka kelak.

Maka di sini kita kena perhatikan tentang Bani Israil yang rugi ini. Adakah mereka sahaja yang boleh rugi? Bagaimana pula dengan kita? Takut kita pun termasuk juga dalam dalam kalangan orang yang rugi. Mungkin kita perasan kita telah selamat, tetapi adakah itu benar? Cuba lihat ayat-ayat di dalam Surah Asr:

إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

Di sini Allah ﷻ beritahu manusia itu automatik sudah rugi. Belum apa-apa pun sudah rugi. Melainkan jikalau melakukan 4 perkara. Sudahkah kita melakukannya?

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran.

Kalau kita belum lagi melakukan 4 perkara ini, bagaimana kita rasa kita selamat dan tidak rugi di akhirat? Jadi jangan perasan Bani Israil sahaja boleh rugi, kita pun boleh rugi juga!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 62 (Semua ada peluang masuk syurga)

BALASAN KEPADA ORANG YANG BERIMAN

Baqarah Ayat 62: Sebelum ini Allah telah beri ayat-ayat pujukan kepada mereka. Telah disebut lapan jasa dan dua jenis hukuman yang diberikan, semoga dengan itu dapat mengingatkan mereka dan membawa mereka kepada jalan agama Islam yang sebenar. Telah disebut segala kesalahan mereka yang banyak, sampaikan mungkin mereka terasa kalaulah mereka bertaubat pun, taubat mereka tidak akan diterima. Maka sekarang Allah memberitahu yang mereka masih lagi ada peluang.

Ayat ini adalah penutup kepada bahagian ayat-ayat itu. Allah memberitahu dalam ayat ini yang Allah tidak memilih bangsa. Bagi Allah sama sahaja semua bangsa kerana semuanya adalah makhlukNya. Asalkan sanggup beriman dan melakukan amal soleh (amalan ikut Sunnah), mereka akan diberikan ganjaran pahala di sisiNya. Mereka tidak akan takut dan dukacita.

Ada empat golongan yang disebut dalam ayat ini:

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

Indeed, those who believed and those who were Jews or Christians or Sabeans [before Prophet Muhammad] – those [among them] who believed in Allah and the Last Day and did righteousness – will have their reward with their Lord, and no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang yang beriman;

Iaitu yang beriman seperti para sahabat Nabi. Mereka memeluk agama Islam, beriman kepada Allah dan juga Rasulullah. Dan iman itu hendaklah iman yang sempurna. Oleh itu yang dimaksudkan di sini adalah umat Islam, umat Nabi Muhammad.

‘Iman sempurna’ maksudnya tidak ada syirik. Ia bukan setakat beriman sahaja. Ramai yang beriman, mereka telah percaya kepada Allah, Rasul dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama, mereka percaya juga kepada perkara-perkara yang tidak patut. Sebagai contoh, percaya Allah berkongsi pemerintahan dengan makhluk, Allah ada anak, Allah perlukan wasilah dalam doa dan macam-macam lagi fahaman rekaan dalam agama. Maka kena belajar manakah yang tauhid dan manakah yang syirik.

 

وَالَّذِينَ هَادُوا

Dan orang-orang Yahudi:

Ini adalah golongan kedua iaitu mereka yang ikut ajaran Yahudi. Mereka ini adalah pengikut Nabi Musa kerana baginda adalah Rasul mereka yang utama walaupun ada Rasul dan Nabi lain.

Kalimah هَادُوا dari kata dasar: ه و د yang bermaksud menjadi Yahudi, terpimpin, pulang mengambil tanggungjawab, taubat, merangkak. Ia merujuk kepada golongan Yahudi tapi tidak disebut di sini dengan kalimah itu. Ini kerana Al-Qur’an menggunakan istilah ‘Yahudi’ di dalam bentuk kecaman dan di dalam ayat ini ia bukan berbentuk kecaman jadi digunakan istilah هَادُوا. Kalimah هَادُوا juga mempunyai maksud kembali atau taubat kerana sejarah mereka itu taubat dari menyembah anak patung lembu.

Jadi kena faham bahawa istilah ‘Yahudi’ adalah nisbah kepada agama, dan nisbah bagi bangsa mereka adalah ‘Bani Israil’ (sepertimana Islam adalah agama kita dan bangsa kita adalah Melayu). Pegangan Yahudi sepatutnya adalah apa yang disampaikan dalam Kitab Taurat. Akan tetapi kita pun tahu yang mereka telah lama meninggalkan ajaran asal agama mereka. Kerana itulah kita kena belajar tentang Bani Israil dan Yahudi ini supaya kita dapat mengelak dari jadi seperti mereka.

Ada beberapa pendapat tentang asal (etimologi) istilah ‘Yahudi’ ini. Ada yang mengatakan istilah ‘Yahudi’ berasal daripada kata هاد – يهود yang bermakna ‘kembali’ atau  ‘bertaubat’ berdasarkan  doa Nabi Musa di dalam A’raf:156

وَاكتُب لَنا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ إِنّا هُدنا إِلَيكَ

“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”.

Menurut Abu Amr al-Ula, istilah Yahudi berasal daripada perkataan تَهَوُّد ‘tahawwud’, yang bermaksud ‘bergerak’, merujuk kepada gerakan badan orang Yahudi ketika membaca Taurat. Ini anda boleh perhatikan kepada kanak-kanak yang di sekolah tahfiz yang bergoyang-goyang tubuh mereka ketika menghafal. Oleh kerana perbuatan itu adalah amalan Yahudi, maka ada pendapat yang mengatakan tidak molek melakukan gerakan badan sebegitu. Kalau ianya secara tidak sengaja mungkin dimaafkan, tetapi jangan sengaja melakukannya.

Pendapat lain menyatakan nama Yahudi dipercayai diambil daripada Yahudza, iaitu salah seorang anak Nabi Yaakub a.s.. Suku Yahudza menjadi terkenal kerana kebanyakan nabi dari keturunan Nabi Yaakub berasal daripada suku ini. Malah, kerajaan agung Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. juga didakwa datang daripada suku Yahudza. Suku ini dalam sejarah bani Israil menyumbang kepada penggunaan nama Yahudi untuk merujuk kepada seluruh bangsa.

Yahudi turut dikenali sebagai “Jew” atau “Jewish”. Istilah ini dipercayai berasal daripada nama Joshua (جوشع) atau Yusha’ (يوشع) dalam bahasa Arab. Perubahan linguistik telah menukar huruf ‘jim’ (ج) kepada ‘ya’ (ي) dalam penterjemahan. Yusha’ bin Nun adalah murid Nabi Musa yang memimpin bani Israil selepas kewafatan baginda, menjadi asas kepada istilah Jewish ini. Ada juga yang mengatakan istilah Jew ini adalah dari nama Judah (iaitu Yahudza juga), anak keempat Nabi Yaakob.

Jadi ayat ini memberitahu yang orang Yahudi boleh masuk syurga. Akan tetapi mereka hendaklah masuk Islam kerana agama Yahudi tidak diiktiraf.

 

وَٱلنَّصَـٰرَىٰ

dan Nasara:

Golongan ketiga adalah mereka yang yang berfahaman Nasara (sekarang dipanggil Kristian), iaitu umat yang mengikut Nabi Isa (nasara maksudnya membantu iaitu membantu Nabi Isa). Kitab mereka adalah Injil.

Kalimah ٱلنَّصَـٰرَىٰ dari kata dasar ن ص ر yang bermaksud bantu, pertahankan. Ini kerana ini golongan yang membantu Nabi Isa. Ada juga pendapat yang mengatakan mereka dibangsakan kepada desa tempat Nabi Isa Al-Masih dilahirkan, iaitu desa Nazaret (dalam bahasa lbrani) atau Nashirah (dalam bahasa Arab). Menurut riwayat lbnu Jarir, Qatadah berpendapat bahawa Nasrani itu memang diambil dari nama desa Nashirah. Ibnu Abbas pun mentafsirkan demikian.

Sama juga seperti sebelum ini, ini bukanlah Nasrani yang sekarang, tapi sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Kerana tidak boleh ada agama selain agama yang dibawa oleh baginda selepas baginda diangkat menjadi Rasul.

 

وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ

dan Sabean;

Ini adalah golongan keempat. Ini mungkin kita jarang dengar, bukan? Ash Shabi’ah adalah salah satu agama samawiyah (agama dari langit). Kalimah ٱلصَّـٰبِـِٔينَ dari kata dasar: ص ب أ yang bermaksud menukar agama, mengetuai pasukan perang, bintang yang naik, sentuh, harap. Kalau menurut asal erti maknanya, ialah orang yang keluar dari agamanya yang asal, dan masuk ke dalam agama lain, sama juga dengan erti asalnya ialah murtad. Sebab itulah ketika Nabi Muhammad mencela-cela agama nenek-moyangnya yang menyembah berhala, lalu menegakkan faham Tauhid, pada orang Quraisy Nabi Muhammad s.a.w. itu dituduh telah shobi’ dari agama nenek-moyangnya.

Dalam ayat ini, Allah menyebut agama ini bersama agama-agama yang lain. Mereka ini tidak dapat dipastikan dengan tepat siapakah mereka. Asalnya mereka adalah pengikut ajaran Nabi Ibrahim tapi lama kelamaan selepas itu mereka telah sesat dan telah menyembah benda lain seperti bulan bintang dan lain-lain lagi.

Shabi`un atau Shabi`ah merupakan satu kelompok keagamaan yang sudah ada sejak dulu dan hingga kini masih ada. Kelompok ini hidup di sebelah utara Iraq, yakni Harran. Sebahagian mereka ada yang pindah ke Baghdad dan daerah lainnya pada masa Abbasiyah I. Di antara mereka ada juga yang memeluk Islam.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka ini keluar dari agama Yahudi dan Nasrani dan kemudian telah menyembah malaikat dan bintang-bintang. Dikatakan mereka itu tetap di atas fitrah. Kerana tidak ada agama lain bagi mereka pada waktu itu.

Ada juga yang memahaminya terambil dari kata سبأ saba’ iaitu satu daerah di Yaman di mana pernah berkuasa ratu Balqis dan penduduknya menyembah matahari dan bintang. Ada lagi yang berpendapat bahawa kata ini adalah kata lama dari Bahasa Arab yang digunakan oleh penduduk Mesopotamia di Iraq.

Dikatakan kaum Shabi`un ini memberi perhatian besar terhadap ilmu alam. Mereka menukilkan banyak ilmu pengetahuan dari peninggalan Yunani dan Suryani ke dalam bahasa Arab. Sekarang ini, jumlah mereka tinggal sedikit di Kota Harran, Iraq. Akidah mereka ini, diliputi oleh sesuatu yang sangat dirahsiakan sebab mereka khawatir akidah itu akan bergeser dan berubah seiring dengan berjalannya waktu.

Dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah ketika membantah ahlul mantiq beliau berkata: “Ash Shabi’ah itu ada bermacam-macam aliran, diantara mereka ada yang gemar mengubah-ubah dan mengganti ajaran agama”.

Agama Ash Shabi’ah menyakini kenabian Nabi Yahya ‘alaihissalam. Namun diantara penganut Ash Shabi’ah ada firqah yang gemar mengubah-ubah dan mengganti ajaran agama. Mereka juga musyrik dalam aqidahnya. Mereka mengagungkan bintang-bintang. Di antara mereka ada yang juga yang menyembah para Malaikat, mereka berdoa kepada bintang-bintang dan benda-benda yang ada di langit. Mereka juga mengagungkan arah Kutub Utara.

Agama ini tidaklah valid lagi. Semua yang disebut ini adalah sebelum kebangkitan Nabi Muhammad. Allah hendak beritahu yang mereka kalau mahu bertaubat dan beriman dengan Nabi Muhammad, mereka masih ada peluang asalkan mereka bersedia masuk ke dalam lingkungan umat Islam.

 

مَنْ آمَنَ بِاللهِ

Sesiapa lagi yang beriman kepada Allah;

Bagi Allah, semua golongan itu sama sahaja. Bukan penting dari kumpulan mana pun datangnya mereka. Walaupun bukan dari golongan yang empat ini pun, kalau mereka beriman dan beramal soleh, mereka akan dapat pahala. Yang penting adalah beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Dan iman itu hendaklah seperti yang Allah kehendaki. Bukan boleh nilai dan reka sendiri. Kerana kalau kita tanya orang Kristian dan Yahudi, mereka pun akan kata yang mereka juga beriman dengan Allah. Atau ada yang kata mereka pun beriman dengan ‘Tuhan yang satu’. Tapi iman itu tidak dikira kerana kriteria iman itu mestilah seperti yang Allah kehendaki.

Kita beri contoh untuk mudah faham. Bayangkan keadaan di satu syarikat. Seorang pekerja perasan dialah pekerja terbaik dan dia aset syarikat itu. Tapi dalam masa yang sama, pemilik syarikat tidak fikir begitu pun. Jadi kriteria siapa yang dipakai? Tentulah kriteria pemilik syarikat itu yang penting, bukan? Orang perasan sendiri tidak dipakai penilaian dia. Kalau pemilik itu rasa pekerja itu tidak bagus, dia boleh sahaja berhentikan pekerja itu walaupun pekerja itu sudah kata dialah pekerja terbaik.

Orang-orang selain dari Muslim juga ada kata mereka percaya kepada Allah juga. Tapi adakah kepercayaan mereka itu diterima? Tidak, kerana pemahaman mereka tentang Allah tidak sama seperti yang Allah hendak. Contohnya, ada yang percaya Tuhan ada anak. Maka itu adalah faham yang salah. Oleh itu, walaupun mereka kata mereka percaya dengan Allah, tapi kerana fahaman mereka salah, fahaman mereka itu tidak diterima. Yang diterima hanyalah kalau iman mereka benar tentang Allah.

Kerapkali menjadi kemusykilan bagi orang yang membaca ayat ini, kerana disebut yang pertama sekali ialah orang-orang yang telah beriman. Kemudiannya baru disusuli dengan Yahudi, Nasrani dan Shabi’in. Setelah itu disebutkan bahawa semuanya akan diberi ganjaran oleh Tuhan, apabila mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, lalu beramal yang salih. Mengapa orang yang beriman disyaratkan beriman lagi?

Kerana orang Islam pun kenalah juga mengamalkan Islam. Kalau sekadar nama sahaja, tak laku begitu. Kalau setakat nama sahaja, samalah dengan Yahudi, Nasrani dan lain-lain itu. Islam bukan sekadar nama. Berapa ramai yang namanya indah seperti Ahmad, Muhammad, Nur Islam dan sebagainya, tapi tidak ada roh Islam di dalam dirinya.

Selain itu, sesetengah ahli tafsir mengatakan, bahawa yang dimaksudkan di awal hanyalah iman pengakuan sahaja. Misalnya mereka telah mengucapkan Dua Kalimat Syahadat, mereka telah mengaku dengan mulut, bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Utusan Allah. Tetapi pengakuan itu baru pengakuan sahaja, belum diikuti oleh amalan, belum mengerjakan Rukun Islam yang lima perkara. Maka iman mereka itu masih sama sahaja dengan iman Yahudi, Nasrani dan Shabi’in. Apatah lagi jenis orang Islam turunan. Maka Islam yang semacam itu masih sama sahaja dengan Yahudi, Nasrani dan Shabi’in. Barulah keempatnya itu berkumpul menjadi satu, apabila semuanya memperbaharui iman kembali kepada Allah dan Hari Akhirat, serta mengikutinya dengan perbuatan dan pelaksanaan.

 

وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

dan beriman kepada hari akhirat;

Ada juga orang-orang kafir percaya kepada hari akhirat. Tapi kepercayaan mereka lain dengan apa yang Islam faham. Lain dengan apa yang Allah kehendaki. Maka kepercayaan mereka tentang hari akhirat pun tidak boleh diterima. Kerana kena beriman dengan akhirat seperti yang Allah kehendaki seperti yang disampaikan oleh RasulNya. Bukannya buat andaian sendiri.

Dua iman ini adalah sebagai wakil kepada semua jenis iman. Memang ada lagi iman-iman yang lain tapi disebut dua sahaja yang utama sebagai mewakili iman yang lain. Kerana kalau disebut semua sekali di sini tentulah amat panjang jadinya. Jadi jangan pakai baca ayat ini sahaja tanpa membaca ayat-ayat yang lain dan hadis yang menyebut akidah yang lain.

 

وَعَمِلَ صَـٰلِحًا

dan berbuat amal soleh;

Dan satu syarat lagi, kena buat amal soleh. Iaitu amalan yang ikut kepada syariat masing-masing. Kalau umat Nabi Musa, maknanya kena beramal dengan Taurat sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Kalau zaman Nabi Isa, kena ikut cara Nabi Isa beramal. Kalau zaman sekarang, kenalah ikut cara Nabi Muhammad. Tidak kira asalnya dia agama apapun. Apabila Nabi Muhammad telah diangkat menjadi Rasul, semua syariat lain terbatal.

Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh? Amal soleh adalah amalan yang diajar oleh Allah dan Rasul. Bukan amalan reka sendiri. Bukan amalan bid’ah – walaupun ‘bid’ah hasanah’ seperti dakwaan sesetengah golongan kita. Kepercayaan mereka tentang amal soleh adalah salah sama sekali kerana mereka tidak belajar. Atau mereka belajar dengan guru yang tidak berpegang dengan ajaran Sunnah.

Dan amalan soleh atau amalan kebaikan ini hendaklah dipelajari. Ia tidaklah boleh difikirkan sendiri. Memang ada perkara kebaikan boleh difikirkan oleh akal sahaja, seperti bercakap baik dengan orang, beratur di pejabat pos dan lain-lain. Tapi bagaimana dengan hal lebih kompleks seperti riba? Ini memerlukan pemberitahuan dari wahyu.

Dan perkara ini disampaikan oleh para Rasul. Jadi kalau ditolak para Rasul itu, bagaimana? Kalau dibiarkan kepada manusia untuk memikirkan sendiri, memang akan kelam kabut kerana baik dan buruk itu subjektif kepada manusia (ada kata ini baik dan ada pula yang kata ia tidak baik).

Jadi ada tiga kriteria yang disebutkan dalam ayat ini:

1. Beriman kepada Allah

2. Beriman kepada Hari Akhirat

3. Beramal dari amalan yang soleh.

Susunan agama adalah begini: kalau kita percaya kepada Allah, maka kita akan percaya kepada Hari Akhirat. Kalau kita percaya kepada Hari Akhirat, maka kita akan senang untuk beramal soleh. Maka, kalau kita tidak beramal soleh, bermakna kita sebenarnya tidak percaya kepada Hari Akhirat. Dan kalau kita tidak percaya kepada Hari Akhirat, bermakna kita tidak percaya kepada Allah.

Kalau kita percaya adanya Tuhan, tentulah kita akan percaya bahawa Tuhan itu adalah sempurna. Tentulah Tuhan itu Maha Adil. Lihatlah dunia kita sekarang, adakah ianya adil? Tentu tidak. Contohnya, banyak manusia yang telah berbuat kerosakan tapi mereka terselamat di dunia dari terkena hukum. Adakah ini adil? Tentu tidak.

Jadi kalau kita percaya bahawa Tuhan itu adil, maka kita akan percaya bahawa makhluk di dunia ini akan diadili di suatu masa nanti selepas kematian mereka – Hari Akhirat. Semua makhluk akan dibalas bertepatan dengan perbuatan mereka di dunia. Maka ini adalah dalil adanya akhirat nanti di mana keadilan sebenarnya akan ditegakkan.

Kalau kita sudah percaya tentang adanya Hari Akhirat, tentunya kita hendak selamat di sana, bukan? Maka tentulah kita akan beramal dengan amalan yang soleh.

Walaupun ayat ini tidak menyebut beriman kepada Rasul, tapi mereka yang tak percaya kepada ayat-ayat Allah bermakna mereka tidak percaya kepada Rasul. Kerana para Rasul lah yang membawa ayat-ayat dari Allah. Bagaimana mungkin kita boleh percaya kepada ayat-ayat Allah tanpa terlebih dahulu percaya kepada Nabi? Memang syarat masuk syurga adalah beriman dengan baginda seperti disebut di dalam hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ

Dari [Abu Hurairah] dari Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, bahawa baginda bersabda: “Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidaklah seseorang dari umat ini baik Yahudi dan Nasrani mendengar tentangku, kemudian dia meninggal dan tidak beriman dengan agama yang aku diutus dengannya, kecuali dia pasti termasuk penghuni neraka.”

Sahih Muslim (218)

Ada juga yang menggunakan ayat ini dengan mengatakan bahawa mereka yang telah melakukan tiga perkara itu – beriman dengan Allah, Hari Akhirat dan beramal soleh – akan masuk syurga. Mereka kata dalam ayat ini tidak disebut pun kena beriman dengan Rasul.

Ini juga adalah pendapat yang salah. Kerana banyak lagi yang kita kena buat, bukan tiga perkara ini sahaja. Jangan baca ayat ini sahaja, tapi kenalah baca dan pegang keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an. Kalau kita lihat ayat-ayat sebelum ini pun, Allah sudah banyak tempelak Bani Israil yang menolak para Nabi mereka. Dan dari mula surah ini pun sudah banyak diajak Bani Israil itu beriman dengan Nabi Muhammad, bukan?

Allah telah sebut di dalam ayat yang lain, bagaimana Allah telah menempelak mereka yang memegang sebahagian dari Kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita sebenarnya kena memegang keseluruhan dari Kitab Al-Qur’an ini. Tidak boleh ambil sedikit-sedikit sahaja. Tidak boleh beramal dengan sebahagian sahaja. Jadi jangan ambil satu-satu ayat dan terus buat kesimpulan yang sesat.

Kita kena amalkan semuanya sekali. Jadi, jangan baca ayat ini sahaja dan buat konklusi sendiri. Jangan petik ayat ini sahaja dan jadikan sebagai pegangan pula dan tidak lihat ayat-ayat yang lain. Ini adalah kekeliruan yang banyak terjadi. Ramai yang baca satu-satu ayat tapi terus buat konklusi yang salah. Kerana ada yang kata berdasarkan ayat ini, maka orang Yahudi, Nasara dan Sabean pun boleh masuk syurga. Ini adalah konklusi yang salah kerana tidak melihat ayat-ayat yang lain. Sebab itu agama ini untuk difahami kena dibaca dengan ayat-ayat yang lain juga – kena baca semua sekali ayat Al-Qur’an 30 juzuk, baru dapat pemahaman yang penuh.

Pendapat semacam ini nyaris menjadikan semua agama sama, padahal agama-agama itu pada hakikatnya berbeza-beza dalam akidah serta ibadah yang diajarkannya. Bagaimana mungkin Yahudi dan Nasrani dipersamakan, padahal keduanya saling mempersalahkan. Bahawa syurga dan neraka adalah hak prerogatif Allah memang harus diakui. Dia boleh masukkan sesiasapa yang Dia kehendaki. Tetapi hak tersebut tidak menjadikan semua penganut agama sama dihadapan-Nya. Bahawa hidup rukun dan damai antara pemeluk agama adalah sesuatu yang mutlak dan merupakan tuntunan agama, tetapi cara untuk mencapai hal itu bukan dengan mengorbankan ajaran agama. Caranya adalah hidup damai dan menyerahkan kepada-Nya semata untuk memutuskan di hari Kemudian kelak, agama siapa yang direstui-Nya dan agama siapa pula yang keliru, kemudian menyerahkan pula kepada-Nya sebagai penentuan akhir, siapa yang dianugerahi kedamaian dan syurga dan siapa pula yang akan takut dan bersedih.

 

فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ

maka bagi mereka pahala dari sisi Tuhan mereka

Allah tidak memandang kepada keturunan dan bangsa. Kalau mereka melakukan kebaikan, Allah akan balas dengan pahala dan kebaikan. Kalau mereka beramal dengan amalan agama mereka yang benar (pada zaman mereka sebelum datang Nabi Muhammad), maka mereka ada peluang dapat pahala. Allah menggunakan kalimah أجر yang bermaksud ‘upah’ dari segi bahasa kerana Allah tahu manusia suka upah. Kerana itu manusia sanggup kerja berjam-jam dan berhari-hari kerana hendak mengharapkan upah. Nah sekarang Allah menawarkan upah dariNya sendiri. Tidakkah anda mahu?

Kalau kita mencari kerja dan kekal bekerja di sesuatu tempat, tentulah kita akan periksa apakah upah/gaji yang diberikan, bukan? Dan gaji yang banyak dan berterusan tentunya datang dari majikan yang kaya dan stabil kedudukan mereka. Sekarang Allah ingatkan yang upah yang akan diberikan itu عِنْدَ رَبِّهِمْ dari sisi Allah. Tidak ada majikan yang lebih hebat dari Allah. Tapi malangnya ramai dari kita berkira apabila buat kerja dengan Allah. Kita lebih pentingkan kerja dan upah dari manusia sahaja. Malang seribu kali malang.

Mereka semua yang disebut di atas boleh mendapat balasan dari Allah walaupun dahulunya mereka telah melakukan banyak sekali dosa. Ini kerana dosa-dosa yang terdahulu terhapus apabila mengucap Dua Kalimah Syahadah dan masuk Islam dengan ikhlas. Ini seperti disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَسْلَمَ العَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلاَمُهُ، يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا، وَكَانَ بَعْدَ ذَلِكَ القِصَاصُ: الحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ، وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللَّهُ عَنْهَا

“Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus daripadanya semua keburukan yang pernah dia lakukan. Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; iaitu satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya.”

Riwayat al-Bukhari (41)

 

وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan bagi mereka tidak ada rasa takut atas mereka

Bagi mereka yang ikut petunjuk dari Allah, tidak ada ketakutan untuk mereka itu, sama ada di dunia atau di akhirat. Allah sebut ‘takut’ dahulu (sebelum sedih), kerana itulah yang paling banyak bermain di fikiran manusia kalau nak dibandingkan dengan kesedihan.

Takut adalah berkenaan perkara yang ‘akan datang’ dan kesedihan adalah tentang perkara yang ‘telah lalu’. Kita selalunya takut tentang apakah yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal, perkara itu belum terjadi lagi. Sedih pula berlaku apabila kehilangan perkara yang kita sayang.

Apabila dikatakan لَا خَوْفٌ (tiada ketakutan), itu tidak bermakna semua ketakutan akan dihilangkan. Kalau semua perasaan takut dihilangkan, perkataan ‘لَا خَوْفَ’ yang sepatutnya digunakan. Sebagai manusia, perasaan takut kadang kala berguna. Kerana takut sakitlah, kita makan ubat. Kerana takutlah, kita berhati-hati semasa kita memandu di jalanraya kerana kita takut kemalangan. Dan macam-macam lagi ketakutan yang penting dalam kehidupan kita. Para Nabi pun ada rasa takut juga, kerana ia adalah perasaan biasa sahaja bagi manusia seperti disebut di dalam Taha:67

فَأَوجَسَ في نَفسِهِ خيفَةً موسىٰ

Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.

Dan di hari akhirat nanti, kita juga akan ada perasaan takut apabila berhadapan dengan Allah nanti di Mahsyar. Kerana kita tidak pasti apakah kita akan selamat atau tidak. Ini kerana kita takut untuk masuk ke dalam neraka. Tapi takut kita tidak sama dengan takut orang yang tidak beriman. Kerana kita tahu bahawa Allah akan melindungi kita.

Ada beza kalau kita kata: ‘takut kepada sesuatu’ dan ‘tidak ada ketakutan padanya’ – seperti yang digunakan dalam ayat ini. Untuk lebih memahami maknanya, bayangkan anak kita yang masih bayi, bermain dengan seekor ular. Bayi itu tidak takut kepada ular itu kerana dia tidak faham apa yang ular itu boleh buat kepadanya.

Tapi kita ‘takut’ apa yang akan terjadi kepada bayi itu. Kita takut untuknya kerana kita sayang kepadanya. Dalam ayat ini, apabila Allah berkata ‘Tidak ada ketakutan atas mereka’, ia bermakna tidak ada apa yang perlu ditakutkan tentang orang itu. Kerana dia telah memegang hidayah yang Allah telah berikan kepadanya, maka dia adalah antara orang-orang yang selamat. Kita tidak perlu risau tentang mereka.

 

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidak ada dukacita;

Mereka tidak akan berasa dukacita tinggalkan dunia kerana mereka sedang menuju kepada tempat lebih baik dari dunia. Memang manusia selalunya bersedih untuk meninggalkan dunia. Tetapi mengenangkan yang dia akan pergi ke syurga, mereka akan rasa senang hati nak tinggalkan dunia ini.

Mereka juga tidak akan bersedih walaupun kalau suami mereka masuk neraka, isteri mereka masuk neraka, atau adik beradik, ibubapa mereka. Ini adalah kerana Syurga adalah tempat menikmati nikmat dari Allah. Allah akan lupakan tentang orang yang kita sayang yang tidak dapat masuk syurga.

Kerana kalau kita teringat tentang ahli keluarga kita yang tidak masuk syurga, tentulah tidak sempurna nikmat itu, kerana ada kesedihan dalam hati. Maka, Allah akan lupakan mereka dari dalam fikiran kita supaya kita boleh menikmati kesenangan di syurga.

Bukanlah ayat ini hendak mengatakan yang orang Yahudi dan Nasrani akan masuk syurga. Ia mengatakan bahawa walaupun mereka dulunya adalah bukan beragama Islam, tapi apabila mereka masuk Islam dan melakukan amal soleh, mereka juga akan masuk syurga. Tapi mereka hendaklah masuk Islam dahulu.

Jangan salah faham dengan ayat ini. Sebab ada yang salah faham sampai ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani juga boleh masuk syurga. Itu salah faham dengan ayat Al-Qur’an kerana tidak belajar dan baca faham sendiri sahaja. Itulah bahayanya kalau faham Al-Qur’an dan Hadis tidak sama dengan faham sahabat dan salafus soleh.

Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa mereka yang berada sebelum zaman Nabi Muhammad pun akan masuk syurga juga kalau mereka memenuhi kriteria-kriteria itu. Iaitu mereka yang beragama Yahudi, Nasrani dan Sabean sebelum kedatangan Nabi Muhammad juga akan masuk syurga jikalau mereka beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan beramal soleh.

Dan jika mereka menjalankan tuntutan agama mereka. Kerana sebelum kedatangan Nabi Muhammad, syariat mereka adalah mengikut Nabi-nabi mereka.

Bukanlah pemahaman kita macam faham Kristian sekarang. Kristian kata Nabi Isa mati untuk menghapuskan dosa mereka. Mereka kata sesiapa yang menerima Nabi Isa sebagai ‘Anak Tuhan’ akan dibersihkan mereka dari dosa mereka.

Tapi apabila ditanya kepada mereka, bagaimana dengan orang-orang yang lahir sebelum Nabi Isa lahir? Kasihanlah mereka sebab mereka tak sempat nak bertemu dengan Nabi Isa. Mereka kenal Nabi Isa pun tidak, macam mana mereka nak mengaku baginda anak Tuhan?

Orang-orang Kristian bungkam tidak dapat jawab soalan ini. Memang kalau reka akidah baru, takkan dapat mempertahankannya. Maka mereka rekalah akidah baru pula: semua manusia sebelum Nabi Isa akan dihidupkan dan akan ditanya tentang Nabi Isa. Kalau mengaku Nabi Isa sebagai anak tuhan, barulah masuk syurga.

Dalam ayat ini, Allah hendak mengatakan orang yang baik sebelum Nabi Muhammad datang pun ada peluang untuk masuk syurga juga asalkan mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi mereka. Bukanlah hanya orang yang datang selepas Nabi Muhammad sahaja yang akan masuk syurga. Kita tidak akan ada masalah nak jawab macam orang Kristian yang tidak dapat jawab soalan mudah itu.

Jadi, ayat ini adalah penutup kepada bahagian pertama tentang orang-orang Yahudi. Allah hendak beritahu: segala sifat buruk yang mereka lakukan dulu, Allah marah bukan kerana keturunan mereka. Kalau mereka beriman dan beramal soleh, mereka juga akan mendapat kebaikan yang dijanjikan Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 61 (Tidak syukuri nikmat)

HUKUMAN KEPADA KEINGKARAN

Baqarah Ayat 61: Ini adalah ayat yang menceritakan hukuman kedua yang diberikan kepada golongan Yahudi dahulu. Ayat ini merujuk kepada anak-anak mereka yang menyembah patung anak sapi. Jadi ini adalah golongan yang baru datang setelah golongan yang lama dan sekarang mereka sudah dewasa. Sudah berkahwin dan beranak semasa mereka sesat di padang pasir Tih. Di sini Allah ‎ﷻ menekankan sikap mereka yang meremehkan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka, sehingga menyebabkan keadaan mereka berubah daripada nikmat kepada niqmat (benda dan seksa).

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نَّصبِرَ عَلىٰ طَعامٍ وٰحِدٍ فَادعُ لَنا رَبَّكَ يُخرِج لَنا مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها ۖ قالَ أَتَستَبدِلونَ الَّذي هُوَ أَدنىٰ بِالَّذي هُوَ خَيرٌ ۚ اهبِطوا مِصرًا فَإِنَّ لَكُم مّا سَأَلتُم ۗ وَضُرِبَت عَلَيهِمُ الذِّلَّةُ وَالمَسكَنَةُ وَباءوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ ۗ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانوا يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ الحَقِّ ۗ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَكانوا يَعتَدونَ

Sahih International

And [recall] when you said, “O Moses, we can never endure one [kind of] food. So call upon your Lord to bring forth for us from the earth its green herbs and its cucumbers and its garlic and its lentils and its onions.” [Moses] said, “Would you exchange what is better for what is less? Go into [any] settlement and indeed, you will have what you have asked.” And they were covered with humiliation and poverty and returned with anger from Allah [upon them]. That was because they [repeatedly] disbelieved in the signs of Allah and killed the prophets without right. That was because they disobeyed and were [habitually] transgressing.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

 

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نَّصبِرَ عَلىٰ طَعامٍ وٰحِدٍ

Dan ingatlah ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar dengan satu jenis makanan sahaja”;

Mereka kata mereka sudah bosan dengan makanan dari langit. Mereka sudah tidak suka asyik makan Manna dan Salwa sahaja sudah sekian lama. Mereka tidak puas hati dengan takdir Allah ‎ﷻ. Mereka teringin hendak makan makanan yang lain. Ini menunjukkan kekecilan jiwa dan kemanjaan mereka. Mereka telah diberi jaminan makanan yang baik (Manna dan Salwa). Dengan demikian mereka tidak perlu bersusah payah lagi untuk mendapatkan makanan lain pada tanah kering dan tidak subur dan tidak dapat ditanam apa-apa itu. Akan tetapi mereka tidak tahan. Masih mereka lupa sebab apa mereka dipindahkan dari Mesir. Manakah perjuangan menuju tempat bahagia yang tidak ditebus dengan kesusahan? Begitulah sifat manusia yang tidak tahu diuntung. Bayangkan, Allah ‎ﷻ beri makanan dari langit, tanpa mereka perlu bersusah payah cari. Hanya perlu ambil sahaja.

Bagi kita ada pengajaran yang penting iaitu jangan mencerca makanan. Kita sudah diajar tentang hal ini oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa beliau berkata:

ما عابَ رَسولُ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ طَعامًا قَطُّ، كانَ إذا اشْتَهى شيئًا أَكَلَهُ، وإنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ
Rasulullah ﷺ tidak pernah mencela  makanan. Jika baginda berkeinginan untuk memakannya, baginda akan memakannya; dan jika baginda tidak suka, baginda akan meninggalkannya.
(Riwayat Bukhari No. 5409 dan  Muslim No. 2064)

Sepatutnya janganlah mereka cakap begitu kerana ia tidak sesuai sangat bagi mereka. Sudahlah mereka itu sedang dihukum dan diberi makanan pula, makanan dari langit pula. Mereka pun bukanlah dapat satu jenis makanan sahaja, malah dua jenis (Manna dan Salwa). Namun ini mungkin kita boleh kata makanan yang sama berulang-ulang.

Cara mereka panggil Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun sudah kurang ajar. Mereka panggil pakai nama sahaja. Sedangkan mereka sepatutnya panggil dengan panggilan: Rasulullah, Nabi Allah dan seumpamanya. Itulah ujian bagi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terpaksa melayan kerenah puak yang paling degil dan biul sampaikan Rasulullah ﷺ pernah memuji Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ حُنَيْنٍ آثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا فِي الْقِسْمَةِ فَأَعْطَى الْأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ وَأَعْطَى عُيَيْنَةَ مِثْلَ ذَلِكَ وَأَعْطَى أُنَاسًا مِنْ أَشْرَافِ الْعَرَبِ وَآثَرَهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْقِسْمَةِ فَقَالَ رَجُلٌ وَاللَّهِ إِنَّ هَذِهِ لَقِسْمَةٌ مَا عُدِلَ فِيهَا وَمَا أُرِيدَ فِيهَا وَجْهُ اللَّهِ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالَ قَالَ فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ حَتَّى كَانَ كَالصِّرْفِ ثُمَّ قَالَ فَمَنْ يَعْدِلُ إِنْ لَمْ يَعْدِلْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ قَالَ قُلْتُ لَا جَرَمَ لَا أَرْفَعُ إِلَيْهِ بَعْدَهَا حَدِيثًا

Daripada Abdullah (Ibn Mas’ud) رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Pada perang Hunain, Rasulullah ﷺ lebih berpihak kepada sebahagian orang dalam pembahagiannya (harta ghanimah). Baginda memberikan Al Aqra’ bin Habis sebanyak seratus ekor unta, dan memberikan Uyainah juga sebanyak itu. Lalu baginda membagikan kepada para pembesar Arab dan melebihkan bahagian mereka. Maka berkatalah seorang laki-laki, “Demi Allah, ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.” Maka aku (Ibn Mas’ud) pun berkata, “Demi Allah, aku benar-benar akan menyampaikannya kepada Rasulullah ﷺ.” Kemudian aku segera mendatangi baginda dan mengabarkan apa yang telah dikatakan orang itu, maka berubahlah raut wajah baginda hingga seperti cat merah. Setelah itu, baginda bersabda: “Kalau begitu, lantas siapa lagi yang akan berlaku adil, jika Allah dan Rasul-Nya (dikatakan) tidak berlaku adil?” Kemudian baginda bersabda lagi: “Semoga Allah merahmati Musa, sungguh, dia telah disakiti lebih daripada ini lalu dia bersabar.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata; “Tidak ada dosa, jika setelahnya aku tidak lagi memberitakan sesuatu (yang membuatnya) marah.”

(Sahih Bukhari No. 1759)

 

فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ

“Maka tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan engkau”;

Lihatlah bagaimana mereka kata: ‘kepada Tuhan engkau’. Mereka tidak pun berkata: “Tuhan kita”. Seolah-olah Allah ‎ﷻ itu bukan Tuhan mereka pula. Begitulah nilai iman mereka ini amat lemah dan tidak meletakkan Allah ‎ﷻ pada tempat-Nya.

Mereka minta Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mendoakan untuk mereka kerana mereka tahu, kalau mereka yang doa, mereka tidak akan dapat. Kerana mereka sedar mereka banyak dosa kepada Allah ﷻ. Begitulah sifat suka meminta orang lain doakan kehendak sendiri yang sudah mengakar dari dulu lagi. Sepatutnya merekalah minta sendiri tetapi mahu juga meminta orang lain yang doakan. Doa kita yang mengalami masalah itu lebih baik disampaikan sendiri kerana orang lain tidak dapat merasai dan berharap seperti kita yang mengalami masalah itu sendiri.

Di sini kita boleh peliknya golongan Yahudi itu. Mereka menentang arahan Allah ﷻ, degil dengan dakwah daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi di dalam masa yang sama, mereka minta juga kepada Allah ﷻ dan minta tolong baginda doakan. Ini amat memalukan, bukan? Kalau kita buat salah dengan seseorang, adakah kita tidak segan minta tolong orang itu? Sebaliknya golongan Bani Israil itu tahu yang mereka tidak ada tempat lain lagi untuk meminta melainkan kepada Allah ﷻ.

 

يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ

“Supaya Dia mengeluarkan untuk kami daripada tumbuhan-tumbuhan bumi”;

Mereka sekarang mahu makan makanan daripada tanah pula. Sudah dapat makanan dari langit (Manna dan Salwa) mahu makanan dari tanah pula. Padahal makanan daripada tanah itu bukannya senang; kena cari benih, kena gembur tanah, tanam benih, sirami dan jaga, kemudian kena tunggu lama baru boleh makan. Hendak makan pula kena petik dan kena masak. Sedangkan mereka sudah ada Manna dan Salwa yang tinggal kutip dan makan sahaja. Makanan itu pula tentunya sedap.

Inilah masalahnya jikalau memikirkan tekak dan perut sahaja. Selepas makan sahaja terus fikir lepas ini hendak makan apa pula? Kerana orang sebegini hanya memikirkan tentang makan sahaja. Sedangkan kehidupan bukanlah tentang makan; kita makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan. Kita makan untuk kelangsungan hidup dan cukup sekadar untuk beri kekuatan untuk beribadah sahaja. Sekali sekala makan sedap tidaklah mengapa, tetapi janganlah mementingkan makan sahaja. Golongan kafir yang fikir makan sahaja seperti disebut di dalam Muhammad:12

وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعٰمُ وَالنّارُ مَثوًى لَّهُم

Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

Maka ini mengajar kita tentang makanan ini bukanlah tujuan hidup. Memang kita perlu makan dan dengannya kita boleh melakukan ibadat dan dengannya kita boleh bersyukur kepada Allah ﷻ. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah:172

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ڪُلُواْ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقنَـٰكُم وَٱشكُرُواْ لِلَّهِ إِن ڪُنتُم إِيَّاهُ تَعبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Maknanya dengan makanan juga kita boleh menjalankan perintah Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang suruh kita makan untuk melakukan ibadat. Walaupun kita makan yang menjadi keperluan hidup kita, ia juga boleh menjadi sumber pahala dengan melakukan syukur kepada Allah ﷻ.

Yang penting kita jadikan apa sahaja yang berlaku kepada kita ini sebagai tempat untuk kita mendapatkan pahala. Perhatikan bagaimana para sahabat yang berjuang dengan Nabi ﷺ juga pernah susah tiada air dan makanan tetapi tidaklah Allah ﷻ turunkan Manna dan Salwa kepada mereka. Ini kerana pemberian daripada Allah seperti Manna dan Salwa itu bukanlah tanda Allah ﷻ sayang kepada Bani Israil itu; begitu juga dengan Allah ﷻ tidak beri makanan dari langit kepada para sahabat bukanlah bermakna mereka tidak istimewa. Akan tetapi Allah ﷻ tidak beri kerana sabar dengan ujian dalam perjuangan adalah sumber pahala yang amat banyak.

 

مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها

daripada sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”

Makanan ini seperti bahan hendak buat Roti Nan pula. Sebenarnya, mereka tidak pernah lihat dan rasa pun benda-benda itu kerana mereka hanya hidup di padang pasir sahaja dari sejak mereka lahir. Mereka pun membesar di padang pasir tidak pernah bercucuk tanam dan pergi ke pasar mana-mana pun. Jadi mana mereka tahu tentang makanan-makanan itu? Mereka mendengar cerita-cerita tentang makanan-makanan itu daripada tok nenek mereka yang pernah memakan benda-benda itu. Maka, daripada cerita-cerita yang mereka dengar itu, mereka teringin untuk makan segala makanan-makanan itu.

Atau mungkin memang mereka adalah orang-orang yang pernah tinggal di Mesir dulu. Iaitu semasa mereka ditindas oleh Firaun. Mereka rindukan kehidupan mereka semasa di Mesir. Walaupun mereka dulu ditindas, tiada kuasa dan diperah oleh Firaun, tetapi mereka dapat rasa makanan sebegitu. Apabila mereka meminta makanan yang mereka biasa makan semasa di Mesir, itu menunjukkan mereka rindu kepada kehidupan yang dulu. Ini orang kira tembolok dia sahaja.

Mereka hendak hidup senang-senang sahaja tanpa ada perjuangan, tanpa susah, tetapi keinginan kepada kemerdekaan hidup. Bayangkan orang yang pernah tinggal di penjara dan dia kata dia rindu makanan penjara, dia bukan rindu makanan penjara sebenarnya tetapi dia rindu kehidupan semasa di penjara. Kerana bila duduk penjara, tidak payah fikir lagi kerana semua telah disediakan.

Maka begitulah juga dengan golongan Bani Israil itu. Melalui ayat ini kita dapat menilai yang mereka ini tidak menghargai segala pemberian yang Allah ﷻ berikan kepada mereka iaitu Manna dan Salwa itu. Mereka lebih inginkan kehidupan semasa mereka ditindas oleh Firaun dulu. Mereka tidak menghargai bagaimana Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka dan memerdekakan mereka dari cengkaman Firaun. Apakah mereka hadapi semasa mereka di Mesir dulu?

1. Mereka dimalukan. Kehidupan sebagai hamba abdi memang amat memalukan. Apabila mereka terpaksa menghambakan diri kepada selain Allah ﷻ adalah kehidupan tidak bermakna. Mereka tidak memiliki harta kepunyaan sendiri dan mereka tidak boleh berbuat apa-apa kehendak mereka tanpa kebenaran tuannya. Mereka juga terpaksa melakukan apa sahaja yang disuruh oleh tuannya tanpa boleh menolak.

2. Kelemahan. Mereka tidak ada kuasa langsung. Mereka tidak dapat membuat keputusan langsung tentang diri mereka dan negara mereka sendiri. Nilai diri mereka amat rendah dan orang biasa tidak akan boleh terima perkara ini.

3. Penindasan. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka atau keluarga mereka daripada ditindas. Keluarga Firaun telah banyak membunuh, merogol dan memalukan Bani Israil.

Walaupun dengan semua kelemahan-kelemahan itu, mereka masih lagi mahukan kehidupan sebegitu. Begitulah teruknya minda dan hati nurani mereka yang telah hancur kerana sudah lama berada di alam perhambaan. Kerana pada mereka, kehidupan seperti itu lebih mudah. Macam orang yang sudah biasa duduk dalam penjara, pada dia itulah kehidupan yang mudah. Kerana itu ramai sahaja yang keluar penjara dan mereka akan berusaha untuk masuk semula ke dalam penjara.

 

قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Musa berkata: “Apakah kamu nak ganti benda yang rendah dengan sesuatu yang lebih baik?”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menempelak kaumnya dalam ayat ini. Allah ﷻ telah beri mereka makanan dari langit tetapi mereka mahu ganti dengan makanan yang lain. Memang mereka jenis manusia yang tidak tahu diuntung. Padahal mereka bukan pernah makan pun makanan-makanan yang mereka minta itu.

Di sini tidak disebut pun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada berdoa seperti yang mereka minta itu. Boleh jadi baginda tidak sampaikan permintaan mereka itu kepada Allah ‎ﷻ kerana itu adalah permintaan yang mengarut. Sebaliknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menegur dan mengutuk mereka. Juga boleh dikatakan baginda bertanya dalam nada kehairanan. Tentulah makanan Manna dan Salwa itu lebih tinggi dan lebih baik lagi kerana ia datang daripada Allah ﷻ. Kalaupun ia tidak sedap, tetapi ia masih lagi lebih tinggi kerana ia adalah makanan dari langit. Ia adalah makanan lambang kemerdekaan.

 

اهْبِطُوا مِصْرًا

Musa berkata: “Pergilah kamu ke bandar”;

Perkataan اهْبِطُوا yang digunakan bermaksud ‘turun dari tempat tinggi ke tempat rendah’. Perkataan yang sama digunakan oleh Allah ﷻ apabila memberi arahan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk turun ke dunia (Ayat 36). Bermakna, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak beritahu mereka bahawa mereka sebenarnya minta turun daripada kedudukan yang tinggi ke kedudukan yang rendah.

Perkataan مِصْرًا dalam ayat ini bukanlah bermakna ‘Negeri Mesir’ tetapi bermaksud kota lain. Kalau Negeri Mesir, perkataan yang digunakan adalah ‘Misra’, bukan ‘misran’ seperti dalam ayat ini (dengan tanwin). Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan yang hampir sama dengan ‘Mesir’ sebagai cara untuk perli mereka. Baginda hendak kata bahawa apa yang mereka cari itu seperti apa yang mereka dapat dulu di Negeri Mesir.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka pergilah cari di pekan-pekan dan beli di pasar-pasar yang ada di sana. Sebab makanan yang mereka minta itu makanan biasa sahaja yang boleh didapati di mana-mana. Sedangkan yang mereka telah dapat daripada Allah ‎ﷻ itu adalah makanan spesial. Namun mereka sedang sesat, jadi ini adalah perli sahaja. Atau, ada juga pendapat yang mengatakan memang baginda suruh mereka cari makanan itu di pekan-pekan yang mereka mampu.

Memang mereka boleh dapat apa yang mereka minta itu tetapi itu adalah kehidupan kehambaan semasa mereka di Mesir dulu. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti berkata kepada mereka: “Pergilah kamu kepada negara Mesir yang lain pula”. Pergilah kamu kembali kepada kehidupan penuh kehambaan kembali. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ perli mereka: Kamu nak duduk dalam kehambaan lagikah?

Penggunaan perkataan di dalam Al-Qur’an memang mengandungi makna yang tinggi. Padahal kalau digunakan maksud ‘pekan’, ‘bandar’, ‘tempat tinggal’, ada lagi kalimah lain yang boleh digunakan seperti baladan, qaryatan atau ardan. Namun Allah ‎ﷻ gunakan kalimah misran yang berbunyi lebih kurang sama dengan Mesir.

Ataupun maksud baginda: ‘Kalau nak juga, kamu pergilah ke negeri lain’. Negeri yang dimaksudkan adalah Palestin. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata yang baginda tidak akan doa kepada Allah ‎ﷻ apa yang mereka minta itu. Cuma Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ arahkan sahaja mereka untuk pergi ke Palestin mengikut wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Kalau mereka buat seperti yang diarahkan, maka mereka akan dapat makanan-makanan yang mereka minta itu. Namun kena usaha untuk takluk negeri Palestin itu dahulu.

Ada juga tafsir lain yang mengatakan yang ‘misran’ yang dimaksudkan adalah negeri lain, bukan bermaksud Palestin. Maknanya mungkin ada tempat yang memang bernama Misran.

 

فَإِنَّ لَكُمْ مَّا سَأَلْتُمْ

“Di situ, kamu akan dapat apa yang kamu minta itu”;

Kerana mereka hendakkan makanan-makanan itulah yang menyebabkan mereka masuk juga ke dalam kota itu. Mereka kena usaha berperang dengan puak yang ada dalam BaitulMaqdis itu dahulu.

Antara pengajaran yang kita boleh dapat daripada ayat ini adalah membandingkan pemberian Allah ‎ﷻ dengan kemewahan dunia. Apa yang Allah ‎ﷻ telah beri itu adalah baik dan jangan mendambakan perkara yang kita tidak dapat. Belajarlah meredhai apa yang kita ada.

 

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ

Dan ditimpa ke atas mereka suatu kehinaan;

Oleh kerana mereka tolak apa yang Tuhan beri dan mahukan benda yang lain, maka Allah ‎ﷻ timpakan ke atas mereka kehinaan. Begitulah hukuman daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang tidak puas hati dengan takdir Allah ‎ﷻ. Kehinaan ialah hina akhlak dan hina jiwa, tidak ada cita-cita tinggi. Jatuh harga diri, padam kehormatan diri, jatuh moral. Itulah yang dikenal dengan jiwa budak (hamba abdi).  Inilah hukuman seterusnya yang dimaksudkan. Kehinaan yang mereka terima adalah manusia tidak pandang mulia kepada bangsa Yahudi dari dulu sampai sekarang. Iaitu mereka menjadi bangsa yang tidak dihargai dan dihormati.

Inilah pada pandangan kaca mata manusia kepada mereka pada zaman sekarang pun. Sentiasa mereka terpaksa menumpang tempat orang lain. Satu dunia kutuk mereka tetapi mereka buat biasa sahaja. Walaupun mereka adalah satu bangsa yang amat cerdik, namun mereka dipandang hina oleh seluruh penduduk dunia. Penduduk dunia tidak percaya kepada mereka dan benci kepada mereka.

Yahudi zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu minta makanan-makanan yang mereka pernah dapat dulu di Mesir. Akan tetapi dulu mereka duduk dalam kehinaan semasa di Mesir dulu kerana mereka jadi hamba kepada bangsa Qibti. Namun dek kerana permintaan mereka yang tidak patut itu, mereka boleh dapat kehinaan lain pula.

 

وَالْمَسْكَنَةُ

dan kemiskinan;

Mereka hilang semangat (maskanah) untuk menghayati agama. Boleh juga bermaksud kemiskinan atau kelemahan. Mereka terpaksa minta pertolongan orang lain walaupun mereka kaya. Contohnya sekarang, mereka kena minta tolong kepada Amerika dan British walaupun mereka kaya dan cerdik. Kalau bukan kerana pertolongan daripada negara Barat itu, mereka pun tidak akan ada kuasa langsung.

Kalau semasa di bawah zaman Khilafah Islamiah, mereka terhina dengan kena membayar jizyah untuk duduk di negara Islam.

Kehinaan dan kelemahan adalah apa yang mereka lalui semasa di Mesir di bawah penindasan Firaun dulu. Maka kerana mereka telah degil, maka Allah ‎ﷻ kembalikan mereka ke dalam lembah kehinaan semula. Ini adalah kerana permintaan mereka yang tidak patut. Allah ‎ﷻ sudah keluarkan mereka daripada kesusahan dulu semasa di Mesir, maka Allah ‎ﷻ kenakan balik kesusahan kepada mereka.

 

وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللهِ

Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah.

Mereka akan kembali ke akhirat nanti dengan kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ. Apakah yang lebih teruk daripada kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ? Dulu mereka ditindas oleh Firaun dan Allah ‎ﷻ telah selamatkan mereka. Akan tetapi sekarang mereka lebih teruk – mendapat kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ pula yang pasti lebih teruk. Kerana itulah mereka ini adalah golongan yang dimurkai seperti tafsir bagi potongan ayat Fatihah:7

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai;

Rasulullah pernah menafsirkan maksud الْمَغْضُوبِ di dalam Fatihah itu merujuk kepada Yahudi dan mereka yang seumpamanya. Mereka bukan sahaja dimurkai oleh Allah ‎ﷻ sahaja tetapi juga dibenci oleh bangsa-bangsa yang lain. Dalam sejarah dunia, sepanjang zaman mereka telah ditindas oleh kerajaan Byzantines, Ethiopia, Assyrians, Rome dan banyak lagi. Allah ‎ﷻ menerangkan kenapakah mereka sampai jadi begitu dalam bahagian ayat ini seterusnya:

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللهِ

Yang demikian itu adalah kerana mereka dulu kufur dengan ayat-ayat Allah; 

Lafaz ‘ayat’ dalam ayat ini boleh juga digunakan untuk membawa maksud mukjizat-mukjizat yang mereka telah banyak lihat. Walaupun mereka telah banyak melihat keajaiban mukjizat, tetapi mereka masih lagi tidak mahu beriman.

 

وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Dan kerana mereka membunuh para-para Nabi tanpa alasan yang benar;

Jikalau nabi-nabi itu ada membuat kesalahan seperti membunuh orang, barulah patut kalau hendak bunuh mereka. Akan tetapi tentulah tidak ada para Nabi berbuat begitu. Antara Nabi yang mereka telah bunuh adalah Nabi Syuaib, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya عَلَيْهِمُ السَّلَامُ. Mereka juga cuba membunuh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi Allah ‎ﷻ menyelamatkan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengangkat baginda ke langit.

Bayangkan Yahudi sanggup membunuh Nabi-nabi mereka sendiri. Dosa membunuh nabi adalah sebesar-besar dosa. Begitu juga jikalau membunuh para penyeru tauhid. Dikatakan bangsa Yahudi telah membunuh beribu nabi mereka. Kalau bunuh orang biasa pun sudah dosa besar, apatah lagi kalau bunuh Nabi?

Kita perlu melihat apakah perbuatan Bani Israil itu kerana takut kalau kita pun mengikut juga perbuatan mereka. Kita hendaklah belajar daripada kesilapan mereka. Nabi ﷺ pernah kata bahawa ada antara orang Islam yang akan mengikut jejak langkah mereka. Walaupun kita sudah tidak boleh membunuh Nabi lagi kerana Nabi sudah tidak ada, tetapi ada kerajaan yang membunuh ulama-ulama mereka yang tidak sebulu dengan pemerintahan mereka. Kalau tidak bunuh pun ulama-ulama itu, ramaim ulama-ulama yang mendapat layanan buruk daripada kerajaan Islam. Termasuk juga ada ulama-ulama dan pendakwah yang dipenjarakan.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, Bani Israil adalah orang Islam yang sesat. Begitulah kita sekarang. Ramai antara kita tidak tahu tentang agama kerana jahil dengan agama. Mereka sudah jadi seperti Yahudi sebenarnya tanpa mereka sedari. Kenapa mereka jadi begitu? Allah ‎ﷻ terangkan seterusnya:

 

ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Yang demikian itu adalah kerana mereka derhaka dan melampaui batas

Mereka jadi begitu kerana degil tidak mahu ikut nasihat. Mereka tidak mahu menerima hidayah dan petunjuk yang diberikan kepada mereka. Mereka mahu buat ikut nafsu mereka sendiri. Mereka melanggar batas-batas yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada mereka. Semua yang mereka lakukan itu berasal daripada sifat mereka yang menderhakai – tidak buat apa yang disuruh.

Mereka selalu buat perkara yang dilarang. Yang disuruh mereka tidak buat, yang dilarang pula yang mereka buat. Lama kelamaan, Nabi mereka sendiri pun mereka sanggup bunuh. Lama kelamaan, ayat Allah pun mereka sanggup putar belit.

Ulama’ tafsir membezakan antara عَصَوْا dan يَعْتَدُونَ. Kalau عَصَوْا ia merujuk kepada tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, dan kalau يَعْتَدُونَ bermaksud mereka melampau dengan manusia iaitu dengan melakukan kezaliman kepada manusia. Ada juga pendapat yang mengatakan عَصَوْا bermaksud mereka tidak melakukan perkara yang wajib mereka lakukan dan يَعْتَدُونَ pula bermaksud mereka buat perkara yang dilarang.

Inilah perangai Yahudi sebenar yang Allah ‎ﷻ sampaikan kepada bangsa Arab yang mulanya sangka mereka itu hebat, tetapi rupanya mereka itu amat teruk. Allah ‎ﷻ mahu puak Arab Madinah berhenti daripada menjadikan Yahudi itu sebagai tempat rujukan.

Sekian Ruku’ 7 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 15 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah