Ayat 229:
الطَّلٰقُ مَرَّتانِ ۖ فَإِمساكٌ بِمَعروفٍ أَو تَسريحٌ بِإِحسٰنٍ ۗ وَلا يَحِلُّ لَكُم أَن تَأخُذوا مِمّا ءآتَيتُموهُنَّ شَيئًا إِلّا أَن يَخافا أَلّا يُقيما حُدودَ اللهِ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا يُقيما حُدودَ اللَّهِ فَلا جُناحَ عَلَيهِما فيمَا افتَدَت بِهِ ۗ تِلكَ حُدودُ اللهِ فَلا تَعتَدوها ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Divorce is twice. Then, either keep [her] in an acceptable manner or release [her] with good treatment. And it is not lawful for you to take anything of what you have given them unless both fear that they will not be able to keep [within] the limits of Allah . But if you fear that they will not keep [within] the limits of Allah , then there is no blame upon either of them concerning that by which she ransoms herself. These are the limits of Allah , so do not transgress them. And whoever transgresses the limits of Allah – it is those who are the wrongdoers.
MALAY
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
الطَّلٰقُ مَرَّتانِ
Talak itu hanya dua kali.
Kalimah ‘talaq’ daripada segi bahasa adalah ‘merungkaikan ikatan tali’. Ini berlawanan dengan maksud ‘nikah’ yang bermaksud ‘mengikat tali’.
Talak yang boleh dirujuk kembali itu hanya dua kali. Selama dua kali itu, si isteri kena tunggu dan terima dengan redha kerana hak itu ada pada suami. Maknanya, kalau selepas bercerai, suami hendak rujuk, maka si isteri kena terima balik. Kemudian cerai kali kedua dan suami rujuk, kena terima juga. Kalau tidak suka pun, kenalah bersabar.
Ayat ini memansukhkan perbuatan masyarakat jahiliyyah sebelum Islam. Para suami telah mengambil kesempatan menceraikan isteri mereka dan kemudian sebelum habis iddah, mereka rujuk balik. Mereka melakukan perkara ini banyak kali kerana hendak menyeksa isteri mereka. Maka sekarang mereka tidak boleh lagi kerana sudah ada had.
Jadi Islam mengajar umatnya supaya jangan main-main dengan talaq lagi. Kalau sudah talaq dua kali, maka kenalah berhati-hati kerana kalau talaq kali ketiga, sudah tidak ada rujuk lagi. Kalau sudah dua kali cerai dan rujuk, maka sudah kena berhati-hatilah dengan kata-kata dan perbuatan kerana sudah tidak ada peluang untuk rujuk kalau sudah bercerai lagi.
Nota: Kita hendak menambah di sini bahawa perceraian bukanlah sesuatu yang hina. Duda dan juga janda tidak semestinya bersalah. Ia adalah perkara biasa dalam kehidupan manusia, maka janganlah kita menghina mereka yang menjadi duda atau menjadi janda. Orang yang bercerai bukanlah orang yang jahat, tidak pandai menjaga isteri atau suami. Stigma ini hendaklah dihilangkan daripada minda kita.
Kita kena sedar yang kadangkala perkahwinan itu tidak sesuai bagi pasangan itu. Kita pun tidak tahu di mana yang tidak kena, tetapi kita kenalah beri ruang kepada mereka untuk mengundurkan diri daripada perkahwinan yang tidak sesuai.
Janganlah mereka dipaksa kekal dalam perkahwinan yang tidak menggembirakan mereka. Biarlah mereka bercerai supaya mereka boleh buat pilihan yang lain pula. Malangnya ramai pasangan kekal dalam perkahwinan yang buruk kerana malu digelar janda atau duda.
فَإِمساكٌ بِمَعروفٍ
Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya
Selepas sudah rujuk sekali atau kali yang kedua, seorang suami kenalah pegang wanita itu sebagai isteri dengan cara baik. Kalau hendak tahan, kena tahan dengan cara baik. Kena sedar yang dia sudah dua kali cerai, dan sudah dua kali rujuk. Kenalah fikirkan apakah sebab cerai rujuk dan cerai rujuk itu.
Kalau ada masalah antara keduanya, kena cari jalan untuk selesaikan. Jangan sampai cerai kali yang ketiga kerana cerai kali yang ketiga tidak sama dengan cerai kali pertama dan kedua.
أَو تَسريحٌ بِإِحسٰنٍ
atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik
Atau boleh sahaja seorang suami melepaskan isterinya itu untuk kahwin lain dengan cara baik. Isteri itu tunggu habis iddah dan boleh kahwin lain kalau dia mahu.
Maksud dengan ‘cara baik’ itu adalah kena ikut syari’at. Kahwin dan cerai biasa sahaja berlaku kerana tidak semestinya sesuatu pasangan itu serasi apabila sudah berkahwin. Kadangkala sudah bernikah baru tahu perangai masing-masing. Yang penting kita ikut undang-undang Islam dan jangan derhaka dengan Allah ﷻ. Nikah kena ikut cara yang Islam sudah gariskan dan kalau cerai pun kena ikut cara Islam juga – jangan ikut perasaan.
Antara cara tidak baik adalah dengan mengeluarkan kata-kata nista kepada pasangan masing-masing. Ada yang hina menghina, kutuk mengutuk dan sakit menyakiti. Ini tidak baik dan sebaliknya, kenalah lepaskan isteri dengan cara baik.
Janganlah bercerai untuk memburukkan isteri itu. Begitu juga dengan bekas isteri, jangan jaja kisah suami serata kampung. Jangan aibkan kesalahan dan keburukan orang lain termasuk bekas pasangan kita kerana pasangan itu walaupun sudah bercerai, mereka masih lagi boleh berbaik, tambahan pula kalau mereka berkongsi anak yang sama. Maka jangan burukkan keadaan dan ‘potong jambatan’ antara keduanya.
Kena jaga mulut dan hati, kerana kalau sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak patut, kata-kata buruk dan nista, perkara itu boleh menyebabkan mereka bermasam muka sampai bila-bila. Malah lebih teruk lagi, kesannya boleh terpalit kepada anak-anak sekali.
Satu lagi cara yang baik adalah mengikut etika masyarakat. Perincian tidak perlu disebut kerana orang yang normal tahu mana yang baik dan mana yang tidak. Maka jangan dihalau isteri itu dari rumah, suruh dia balik sendiri ke rumah ibubapanya. Kemudian entah ibubapa dia pula tidak mahu terima dia. Jangan biarkan dia sehelai sepinggang terkontang kanting. Hal ini, orang bukan Islam pun tahu ia adalah perangai yang buruk.
Banyak kita dengar bagaimana para isteri telah dikenakan dengan masalah dan tidak dilayan dengan baik. Ini adalah kerana masyarakat yang bodoh yang melebihkan kedudukan suami daripada isteri. Islam memberi keadilan, tetapi masyarakat yang bodoh dan tidak ada perikemanusian. Maka masyarakat haruslah dididik untuk berlaku baik dengan orang lain.
وَلا يَحِلُّ لَكُم أَن تَأخُذوا مِمّا ءآتَيتُموهُنَّ شَيئًا
dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka
Seorang suami tidaklah boleh meminta balik apa-apa sahaja pemberian yang telah diberikan kepada isterinya itu termasuklah mahr yang telah diberikan semasa mereka bernikah. Janganlah sebab marah dan sebab sudah bercerai, maka, dia meminta balik apa yang telah diberikan. Dalam budaya Melayu pun perbuatan buruk ini dipanggil ‘buruk siku’.
إِلّا أَن يَخافا أَلّا يُقيما حُدودَ اللهِ
kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.
Ini pula tentang Talaq Khulu’ atau dipanggil ‘Tebus Talak’ dalam bahasa Melayu. Katakanlah seorang suami tidak mahu cerai, tetapi isteri yang hendak bercerai. Mungkin isteri itu sudah tidak sanggup hendak tinggal dengan suaminya itu. Tidak kisahlah apa-apa sebab pun.
Sepatutnya seorang isteri kena taat kepada suami, tetapi kalau sudah tidak suka sangat, takut dia akan melakukan sesuatu yang melanggar syarak. Maka dia ada ruang untuk minta supaya dirinya dilepaskan.
Maka kalau jadi kes begitu, seorang isteri itu kena bawa hal ini ke mahkamah. Mahkamah akan tanya sama ada isteri itu sanggup bayar balik pemberian yang telah diberikan suami itu dahulu kepada suami dia semula. Kalau dahulu suami itu memberinya kebun, adakah dia sanggup untuk memulangkan kebun itu?
Kalau kedua-duanya setuju, maka Cerai Khulu’ boleh dijalankan. Cuma tidak boleh meminta lebih daripada yang dikeluarkan sebagai mahr semasa berkahwin dahulu. Janganlah suami itu meminta lebih daripasa apa yang diberikannya. Sebagai contoh, masa hendak berkahwin, beri 80 ringgit sahaja, namun apabila hendak bercerai, diletakkan syarat kena bagi dua juta pula. Janganlah begitu.
فَإِن خِفتُم أَلّا يُقيما حُدودَ اللهِ
Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah,
Ini adalah apabila suami isteri bimbang kalau duduk sebagai suami isteri, mereka tidak dapat menjaga hukum Allah ﷻ, kerana apa yang penting, kena jaga hukum Allah ﷻ.
فَلا جُناحَ عَلَيهِما فيمَا افتَدَت بِهِ
maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya
Kalau mahkamah bimbang mereka tidak dapat menjaga hukum, mahkamah boleh membenarkan isteri memulangkan balik mahr yang telah diberikan bagi melepaskan isterinya itu. Tidak salah isteri untuk beri dan tidak salah untuk suami ambil balik.
تِلكَ حُدودُ اللهِ فَلا تَعتَدوها
Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya;
Allah ﷻ sudah ajar cara-cara bernikah dan cara-cara untuk bercerai. Maka kenalah ikut dan jangan langgar. Jangan pandai buat keputusan sendiri. Jangan pandai buat hukum sendiri. Jangan cari jalan untuk membolehkan perkara yang tidak boleh.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menggunakan kalimah ‘hudud’ dalam ayat ini. Hudud adalah undang-undang dan hukum yang Allah ﷻ tetapkan. Dalam perkara nikah cerai pun Allah ﷻ kelaskan ia sebagai hudud. Maka hudud bukanlah tentang ‘potong tangan’ sahaja seperti yang disebut oleh mereka yang jahil.
وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ
dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Allah ﷻ memberi amaran keras kepada mereka yang melanggar hukum yang telah digariskan-Nya. Hukum yang Allah ﷻ buat, kenalah ikut, jangan baca sahaja dan kenalah dipelajari hukum-hukum ini kerana ia ada di dalam Al-Qur’an. Takkan perkara dalam Al-Qur’an pun tidak tahu?
Ayat 230: Masih lagi pada perbincangan ayat-ayat Umur Munazimah. Masih lagi perbincangan bab fiqah tentang perceraian.
Perkara yang selalu di ulang-ulang di dalam Al-Qur’an adalah tentang tauhid dan syirik (akidah) namun tentang hukum fiqah, Allah ﷻ akan sebut sekali sahaja dan tidak diulang di tempat lain. Maknanya, bab hukum fiqah tidak diulang-ulang macam ayat tentang akidah. Kalau ada diulang tentang perkara yang sama di ayat lain, itu adalah kerana hendak memberi hukum yang lain. Maknanya cukup Allah ﷻ beritahu hukum fiqah sekali sahaja dan kita patut mengikuti dan taat kepadanya.
Namun bab akidah akan selalu diulang-ulang dalam Al-Qur’an dan kerana itu, kita kena bersabarlah kalau guru yang mengajar tafsir selalu menyebut tentangnya kerana memang Al-Qur’an pun mengulang perkara yang sama dengan berbagai-bagai cara. Allah ﷻ ulang berkali-kali itu supaya kita boleh boleh faham dan supaya pengajaran akidah itu masuk ke dalam hati kita. Tidak ada alasan hendak kata ‘tidak tahu’ kerana telah banyak kali diulang-ulang.
Perkara akidah amat penting kerana jikalau ia tidak mantap, maka segala amal ibadat yang kita lakukan tidak sah dan segala hukum yang kita ikut, tidak berguna (kerana masuk neraka juga akhirnya). Ini kerana syarat amalan diterima adalah seseorang itu mestilah seorang Muslim dan kalau akidah tidak kemas, dia belum dikira sebagai Muslim yang sejati lagi – Muslim pada nama sahaja.
Maka kita kena pastikan akidah kita kemas kerana akidah ini adalah seperti batu asas untuk satu-satu bangunan dan jikalau batu asas itu tidak mantap, maka bangunan yang dibina akan lemah dan roboh. Penat sahaja buat bangunan namun ia akan runtuh. Begitu juga, penat sahaja buat amal ibadat kalau ada salah faham akidah.
Oleh kerana hukum fiqah disebut secara ringkas dan padat di dalam Al-Qur’an, maka kita perlu merujuk kepada hadith dan kitab-kitab fiqah untuk melihat perbincangan ulama’ fiqah di atas sesuatu perkara fiqah itu. Tidak dibincangkan dengan panjang lebar dalam tafsir Al-Qur’an ini.
Ayat yang kita akan baca ini adalah tentang perempuan yang telah dicerai dan telah dirujuk dua kali dan sekarang telah dicerai untuk kali yang ketiga. Kalau sudah cerai sampai dua kali, maka kena berjaga-jaga kerana kalau masih juga mahu cerai kali ketiga, maka, pasangan itu mungkin tidak boleh berkahwin sampai bila-bila. Boleh lagi kahwin, tetapi sudah panjang cerita. Inilah yang akan dibincangkan dalam ayat ini.
فَإِن طَلَّقَها فَلا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعدُ حَتّىٰ تَنكِحَ زَوجًا غَيرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَها فَلا جُناحَ عَلَيهِما أَن يَتَراجَعا إِن ظَنّا أَن يُقيما حُدودَ اللهِ ۗ وَتِلكَ حُدودُ اللهِ يُبَيِّنُها لِقَومٍ يَعلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
And if he has divorced her [for the third time], then she is not lawful to him afterward until [after] she marries a husband other than him. And if the latter husband divorces her [or dies], there is no blame upon the woman and her former husband for returning to each other if they think that they can keep [within] the limits of Allah . These are the limits of Allah , which He makes clear to a people who know.
MALAY
Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.
فَإِن طَلَّقَها فَلا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعدُ
Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu,
Tidak halal bagi mereka untuk berkahwin semula selepas cerai kali yang ketiga. Rujuk tidak boleh, hendak kahwin selepas habis iddah pun tidak boleh.
Selalunya seorang suami akan menceraikan isterinya kali pertama, kemudian kali kedua dan paling banyak sekali, sampai ketiga kali. Tetapi ada juga orang yang bodoh sampai melafazkan cerai talak tiga terus walaupun mereka hanya bercerai kali yang pertama.
Atau ada yang lagi bodoh, sampai lafaz cerai talak seratus terus. Ini sebab marah sangat, dan sudah tidak menggunakan akal yang waras, sampai sebut benda yang bodoh dan kemudian menyesal pula.
Kalau ada yang buat macam ini juga, kena rujuk kepada mahkamah apakah keputusan yang mereka akan berikan. Ini kerana ada khilaf sama ada cerai kali pertama, tetapi lafaz ‘talak tiga’, jadi talak satu atau talak tiga terus. Yang menentukannya adalah mahkamah kawasan itu.
حَتّىٰ تَنكِحَ زَوجًا غَيرَهُ
sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain.
Mereka tidak boleh kahwin sampai bila-bila, sehinggalah isteri itu berkahwin dengan suami lain (dan kemudian bercerai pula), tetapi itu pun dengan syarat-syaratnya. Tidak boleh ikut suka kita sahaja.
Pertama, isteri itu kena kahwin dengan lelaki lain, dan mereka mestilah telah berjimak. Ini kerana kalimah تنكح di dalam ayat ini bermaksud bersetubuh. Ia bukan setakat akad nikah sahaja.
Kedua, suami kedua itu menceraikan wanita itu.
Ketiga, itu pun kalau bekas isteri itu hendak berkahwin dengan dia balik kerana kalau isteri itu tidak mahu kembali kepada suami asal, suami itu tidak boleh paksa, kerana ini bukan rujuk, tetapi pernikahan yang baru.
فَإِن طَلَّقَها فَلا جُناحَ عَلَيهِما أَن يَتَراجَعا
Setelah itu kalau dia diceraikan, maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali
Kalau suami kedua itu menceraikan wanita itu selepas ditiduri, bolehlah wanita itu berkahwin semula dengan suaminya yang pertama apabila sudah habis iddah. Suami yang kedua itu mestilah boleh dan sudah melakukan hubungan kelamin dengan wanita itu.
Pernah terjadi pada zaman Nabi ﷺ, seorang sahabiah telah berkahwin dengan suami yang lain dan apabila diceraikan oleh suami yang kedua itu, beliau hendak kembali kepada suami yang pertama. Apabila ditanya oleh Nabi ﷺ kenapa beliau hendak kembali kepada suami yang pertama, wanita itu beritahu bahawa suaminya yang kedua itu tidak boleh melakukan persetubuhan. Nabi ﷺ kata tidak boleh kalau begitu kerana untuk beliau kembali kepada suaminya yang pertama beliau mesti telah melakukan persetubuhan dengan suaminya yang kedua.
Kena ingat yang ini adalah perkahwinan yang baru, bukannya rujuk kembali. Jadi kena dapatkan persetujuan wanita itu. Kena melalui proses seperti pernikahan yang biasa.
Perkara yang biasa timbul dalam masyarakat kita adalah tentang ‘Cina Buta’ iaitu suami yang telah menceraikan isterinya tiga kali, menggunakan ‘pak sanggup’ atau dinamakan ‘Cina Buta’ untuk berkahwin dengan isterinya dan kemudian ada perjanjian untuk menceraikan isterinya itu. Ada bayaran yang dikenakan kepada Cina Buta ini dan selalunya, suami itu tidak membenarkan Cina Buta itu meniduri isterinya.
Ini dilakukan untuk membolehkan dia berkahwin semula dengan isterinya. Ini adalah satu perbuatan yang menghina hukum Allah ﷻ dan percubaan untuk menipu Allah ﷻ. Ini adalah perbuatan yang keji dan haram. Jangan kita terlibat dalam perkara ini.
إِن ظَنّا أَن يُقيما حُدودَ اللهِ
jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah
Ini kalau wanita itu telah diceraikan oleh suami kedua dan hendak menikah kembali dengan suaminya yang pertama dahulu. Mereka dibenarkan untuk bernikah semua kalau mereka rasa mereka ada harapan untuk menjaga hukum.
Maksudnya mereka hendak menjaga hukum Allah ﷻ. Maknanya, mereka meletakkan penjagaan hukum sebagai asas kepada perkahwinan. Kalau agak tidak boleh jaga hukum, maka tidak payahlah hendak berkahwin lagi.
وَتِلكَ حُدودُ اللهِ يُبَيِّنُها لِقَومٍ يَعلَمونَ
dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan mahu memahaminya.
Allah ﷻ memberitahu cara-cara perhubungan antara suami isteri ini kepada mereka yang hendak tahu. Sepatutnya kita sebagai seorang muslim dan beriman dengan Allah ﷻ, hendaklah merujuk kepada Al-Qur’an untuk mendapatkan cara-cara untuk menyelesaikan satu masalah yang dihadapi dalam kehidupan mereka. Jangan buat perkara dan cari jalan penyelesaian mengikut akal sendiri sahaja.
Ayat 231: Kita masih lagi dalam bab cerai. Kebiasaan masyarakat Arab Jahiliyah, mereka memang ada proses nikah dan cerai tetapi proses itu tidak ada had dan mereka boleh melakukannya berkali-kali sebelum Islam menghadkannya kepada tiga kali sahaja.
Mereka boleh buat begitu kerana mereka tidak ada kitab dan tidak ada pegangan agama yang benar, jadi mereka membuat ikut suka hati mereka sahaja.
Jadi lelaki Arab Jahiliyyah biasa menceraikan isteri mereka jikalau mereka marah dan semasa masih dalam iddah, mereka akan rujuk semula isteri mereka itu dan kemudian mereka ceraikan berkali-kali. Ini adalah satu kezaliman kepada isteri itu kerana mereka dipermainkan begitu.
Lelaki tidak berasa terbeban dengan perkara begitu kerana mereka boleh berkahwin ramai. Kalau mereka ceraikan seorang isteri, mereka ada isteri-isteri yang lain. Jadi Islam telah menjaga hak wanita dalam hal ini.
وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ ۚ وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِّتَعتَدوا ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ وَلا تَتَّخِذوا ءَايَـٰتِ اللَّهِ هُزُوًا ۚ وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And when you divorce women and they have [nearly] fulfilled their term, either retain them according to acceptable terms or release them according to acceptable terms, and do not keep them, intending harm, to transgress [against them]. And whoever does that has certainly wronged himself. And do not take the verses of Allah in jest. And remember the favor of Allah upon you and what has been revealed to you of the Book and wisdom by which He instructs you. And fear Allah and know that Allah is Knowing of all things.
MALAY
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya
Harus diterjemah ayat ini: ‘hampir sampai tamat tempoh iddah’ dan bukannya ‘telah sampai tempoh iddah’. Kalau baca lafaz asal (secara literal), ia hanya bermaksud apabila telah habis tempoh iddah. Tetapi kalau sudah habis tempoh iddah, sudah tidak boleh rujuk kembali, maka tidak sesuai dengan pemahaman hukum. Maka, kena baca: telah ‘hampir’ tempoh iddah.
فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ
maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik
Maka seorang suami boleh rujuk isteri mereka yang telah diceraikan dan tahan mereka sebagai isteri dengan cara yang makruf. Maksud ‘makruf’ itu, kenalah hidup sebagai suami isteri dengan cara yang biasa. Jangan membahayakan mereka dan berlaku zalim kepada mereka. Jangan seksa emosi mereka.
Kita sudah banyak berjumpa dengan perkataan ‘makruf’ dalam ayat-ayat sebelum ini, tetapi Allah ﷻ tidak sebut pun dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan maksud ‘makruf’ itu. Ini adalah kerana kita sebagai manusia yang ada akal fikiran ini sudah tahu apakah yang baik dan bagaimanakah cara untuk melayan orang dengan baik.
Tidak perlu jadi orang Islam pun tahu bagaimana berbaik-baik dengan orang lain. Tidak perlu ajar pun kita sudah tahu, jadi Allah ﷻ cuma perlu mengingatkan kita sahaja.
أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ
atau lepaskan mereka dengan cara yang baik.
Atau kamu biarkan sampai telah habis iddah dan sempurnalah proses cerai itu. Maksud dengan cara yang ma’ruf itu adalah jangan rujuk setelah kamu ceraikan sebanyak tiga kali. Jangan burukkan mereka, jangan letak syarat yang tidak sepatutnya, jangan berkelahi, jangan cakap tidak elok kepada mereka dan sebagainya.
Apabila isteri itu dilepaskan, maka bolehlah mereka berkahwin dengan lelaki lain. Jangan halang isteri itu daripada menikahi orang lain. Kalau ada anak, maka suami itu tetap kena tanggung anak itu, kerana anak itu adalah anak dia.
وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِّتَعتَدوا
Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melampau;
Jangan kamu ulangi perbuatan zaman jahiliyyah di mana seorang lelaki boleh cerai rujuk, cerai rujuk isteri itu berkali-kali sampai bila-bila dan menyusahkan wanita itu, sampai berlaku zalim kepada wanita. Ini di mana wanita itu tidak dilayan sebagai isteri, dan dia tidak boleh pula menikahi lelaki lain kerana dia masih lagi isteri kepada lelaki itu. Maka ini bagaikan gantung tidak bertali.
وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ
dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.
Dikatakan sebagai zalim kerana melanggar hukum Tuhan. Kamu berbuat zalim kepada orang lain, tetapi apabila kamu lakukan begitu, kamu menzalimi diri kamu sendiri sahaja kerana kerana perbuatan kamu itu, kamu akan mendapat murka Allah ﷻ dan akan dimasukkan ke dalam neraka.
وَلا تَتَّخِذوا ءَايَـٰتِ اللَّهِ هُزُوًا
dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan
Dikatakan main-main apabila tidak ikut hukum Tuhan. Apabila kena dengan nafsu kamu, kamu ikut; namun apabila tidak kena dengan nafsu dan rancangan kamu, kamu tolak begitu sahaja. Macam hukum Allah ﷻ itu tidak ada nilai langsung.
وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم
Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu,
Ingatlah nikmat Allah ﷻ yang telah ajar hukum berkeluarga yang adil. Apabila menggunakan hukum itu, keluarga menjadi aman dan hidup menjadi mudah dan terjaga. Apabila keluarga aman, maka masyarakat turut terkesan. Apabila masyarakat aman, negara turut aman, bukan?
وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ
(dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya.
Kenanglah nikmat Allah ﷻ memberikan wahyu kepada kamu dalam bentuk Al-Qur’an dan hadith Nabi. Lafaz الحِكمَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hadith dan sunnah daripada Nabi ﷺ. Dengan adanya dua sumber hukum itu, hidup kita akan terjaga dan masyarakat akan hidup dengan baik.
Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam tidak mengendahkan dua rumber rujukan nas yang dua ini. Mereka tidak belajar pun apakah yang Al-Qur’an dan Sunnah sampaikan. Mereka lebih suka merujuk ajaran-ajaran daripada kata-kata manusia biasa (yang tidak berlandaskan wahyu).
وَاتَّقُوا اللَّهَ
Dan bertaqwalah kepada Allah
Allah ﷻ mengingatkan kita untuk bertaqwa kepada-Nya. Surah Baqarah ini dimulai tentang taqwa dan banyak ayat-ayat di dalamnya yang mengajar kita untuk taqwa. Apakah taqwa itu?
‘Taqwa’ maksudnya menjaga hukum iaitu kita prihatin dengan hukum yang disampaikan oleh Allah ﷻ dan kita taat kepadanya. Namun kalau kita tidak tahu apakah hukum Allah ﷻ, bagaimana kita hendak taat kepada hukum itu? Bagaimana hendak tahu hukum Allah ﷻ kalau tidak belajar wahyu?
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Apa sahaja yang kita lakukan, Allah ﷻ sedang perhati. Kalau kita langgar hukum-Nya, Dia akan catit dan Dia akan balas kesalahan dosa itu dengan neraka. Maka jangan rasa kuat sangat hendak buli orang lain, kerana nanti akan mendapat balasannya di akhirat kelak. Orang yang tidak beriman sahaja yang berbuat zalim terhadap orang lain kerana mereka lupa tentang balasan di akhirat.
Habis Ruku’ 29 dari 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 November 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan