Tafsir Surah Baqarah Ayat 225 – 228 (Hukum Ila’ dan Cerai)

Ayat 225: Sambungan tentang hukum bersumpah.

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah does not impose blame upon you for what is unintentional in your oaths, but He imposes blame upon you for what your hearts have earned. And Allah is Forgiving and Forbearing.

 

MALAY

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

 

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan

 

Ada orang yang tersasul dalam bersumpah. Kalau seseorang itu tersasul dalam bersumpah dengan tidak ada niat, tidak ada apa-apa. Maknanya, di akhirat nanti tidak ada hukuman ke atas orang itu.

Bangsa kita mungkin jarang kita dengar. Tetapi kalau bangsa Arab, mereka memang senang sahaja melafazkan sumpah. Sebagai contoh, mereka ada yang berkata: “Wallahi, kalau aku jumpa dia, aku akan bunuh dia”, “wallahi, laparnya aku, kalau aku dapat makanan nanti, aku nak makan lima pinggan terus!”

Semua sumpah itu adalah menggunakan nama Allah ‎ﷻ, tetapi bukanlah dia sebenarnya bermaksud berbuat seperti yang dikatakannya itu. Ia cuma kata-kata kosong sahaja. Allah ‎ﷻ tahu isi hati manusia.

 

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم

tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang disengajakan oleh hati kamu

Tetapi, kalau seseorang itu bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ dengan niat dan kemudian dia melanggar sumpah itu, dia berdosa dan akan dihukum kerana dosanya itu. Kalau dia tidak langgar sampai dia mati, tidak mengapa. Yang menjadi kesalahan adalah kalau dia melanggar sumpah itu.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah ‎ﷻ Maha Pengampun kesalahan hamba-Nya yang tidak berniat dalam sumpah mereka.

Allah ‎ﷻ juga adalah seorang yang penyabar, tidak cepat dalam bertindak menghukum. Allah ‎ﷻ tidak terus menghukum. Sifat حَليمٌ itu adalah seperti kasih seorang ibu kepada anak. Walaupun dia marah tetapi masih sayang. Sabar dia dengan kerenah anak dia. Walaupun ibu itu marah kepada perangai anaknya tetapi dalam masa yang sama dia masih nampak anaknya itu comel lagi.

Begitulah sedikit penerangan tentang maksud sifat ini dan tentunya sifat Allah ‎ﷻ itu berkali-kali ganda lagi yang kita tidak tahu.


 

Ayat 226: Setelah menyebut tentang sumpah dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ sekarang menyebut tentang salah satu kebiasaan orang Arab dalam bersumpah.

لِّلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِّسائِهِم تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ ۖ فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

For those who swear not to have sexual relations with their wives is a waiting time of four months, but if they return [to normal relations] – then indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY

Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

لِّلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِّسائِهِم

Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka,

Iaitu mereka biasa bersumpah atas nama Allah ‎ﷻ untuk tidak menyetubuhi isterinya. Sumpah ini dinamakan Sumpah ila’. Lelaki Arab pada waktu itu melakukan begitu apabila mereka marah terhadap isteri mereka. Isteri itu secara efektif terpisah daripadanya (tetapi tidak diceraikan)

Mereka pula ada banyak isteri maka tidak ada masalah kepada mereka kalau mereka menahan diri daripada bersetubuh dengan isterinya yang satu itu, kerana mereka ada isteri kedua, ketiga dan seterusnya. Tetapi isteri-isteri mereka yang merana kerana dibiarkan begitu sahaja dan mereka tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain kerana mereka masih lagi berstatus isteri kepada suaminya.

Mereka seolah-olah seperti ‘tergantung tanpa tali’ sampai mati. Ini adalah perbuatan zalim kepada wanita maka Allah ‎ﷻ menurunkan ayat ini untuk memperbetulkan kezaliman ini.

 

تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ

diberikan tempoh empat bulan.

Masalah dengan sumpah ila’ ini adalah tidak ada cara untuk membatalkannya di dalam fahaman dan undang-undang Arab Jahiliyyah. Apabila tidak ada, maka ia menjadi satu kezaliman kepada kaum isteri. Maka Islam tidak membatalkan perbuatan sumpah itu tetapi yang diubah adalah sistem tersebut.

Agama Islam meletakkan had masa. Masa yang ditetapkan di dalam Islam adalah empat bulan. Jadi sudah ada had yang ditetapkan, tidaklah sampai bila-bila.

Maknanya, seorang isteri itu tahulah yang ada masa maksima yang dia perlu tunggu dan tidak lebih daripada itu. Jikalau dia bersetubuh dengan isterinya sebelum empat bulan, maka dia dikira sudah membatalkan sumpahnya itu dan dia kena bayar dam kerana telah membatalkan sumpah.

Oleh itu, si suami boleh ila’ isterinya hanya beberapa lama sahaja, tetapi tidak boleh lebih daripada empat bulan. Itu adalah had maksima. Suami itu akan berkata: “Aku ila’ engkau selama sebulan”, atau “Aku ila’ engkau selama empat bulan”, dan sebagainya. Apabila dia telah bersumpah dan menetapkan  masa, dia kena tunggu masa itu sampai habis.

Jikalau telah cukup empat bulan dan dia tidak melakukan apa-apa, isterinya boleh pergi mengadu hal ini ke mahkamah dan qadhi boleh mengeluarkan keputusan untuk menceraikan mereka. Ia akan menjadi talaq bain (talaq yang tidak boleh dirujuk).

Dalam Mazhab Syafi’iy, perempuan itu kena mengadu ke mahkamah, tetapi dalam Mazhab Hanafi, pasangan itu telah bercerai secara automatik apabila telah cukup empat bulan.

Cerai Bain tidak boleh rujuk dan kalau hendak bersama kembali, pasangan itu dikehendaki menikah semula, bayar mahr semula dan sebagainya. Maka wanita itu ada pilihan sama ada hendak bersama kembali dengan bekas suaminya atau tidak.

 

فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Suami boleh rujuk semula dengan menyetubuhi isterinya itu. Allah‎ ﷻ akan mengampunkan kesalahan mereka sebelum itu dan kalau Allah sudah ampunkan, Dia tidak akan mengazab hamba-Nya itu.


 

Ayat 227:

وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And if they decide on divorce – then indeed, Allah is Hearing and Knowing.

 

MALAY

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

 

وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak

Ini kalau suami itu berazam juga untuk bercerai. Apabila sudah melepasi tempoh empat bulan pun tetapi masih lagi marah dan tidak dapat hendak berbaik kembali. Dalam keadaan ini, kena biarkan wanita itu bebas supaya dia boleh berkahwin lain. Jangan lagi gantung mereka tanpa tali. Berlapang dadalah dan biarlah dia menjalani kehidupannya yang baru.

Ayat ini menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa selepas empat bulan, perhubungan suami isteri itu tidak terus terputus. Keputusan kena dilakukan sama ada untuk bercerai atau tidak.

 

فَإِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Allah ‎ﷻ mendengar apa isi hati kita. Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang kita mahu dan apa yang kita lakukan

Oleh itu, berkenaan perkara ila’ ini ada empat jenis keadaan:

      1. ila’ tanpa masa yang ditetapkan
      2. ila’ empat bulan telah dilafazkan oleh suami
      3. ila’ lebih daripada empat bulan telah dilafazkan
      4. ila’ kurang daripada empat bulan telah dilafazkan

Kalau si suami mendatangi isteri (menjimak) sebelum masa yang ditetapkan, maka secara automatik, ila’ itu terputus. Tetapi suami itu kenalah bayar kaffarah sumpah kerana dia telah melanggar sumpahnya. Situasi ke 3 itu tidak dibenarkan kerana lebih daripada empat bulan.

Dalam situasi lain, tidaklah terus cerai kalau berpisah empat bulan. Kalau suami dan isteri terpisah lebih daripada empat bulan, itu tidaklah termasuk dalam ila’ lagi. Ini kerana mungkin mereka terpisah buat sementara waktu kerana tinggal berjauhan disebabkan tuntutan kerja dan sebagainya.

Ataupun ada suami isteri yang tidak berjimak lebih daripada empat bulan kerana keadaan kesihatan salah seorang daripada mereka. Ini tidak termasuk ila’. Kita sebutkan kerana ada fahaman salah dalam kalangan masyarakat, kalau tidak berhubungan lebih daripada empat bulan, terus terbatal perkahwinan itu. Ini tidak benar.


 

Ayat 228: Apabila sudah disebut tentang cerai, maka ada apa yang dinamakan iddah – tempoh tunggu setelah bercerai. Hikmah diadakan iddah ini adalah kerana takut-takut ada benih suami pertama di dalam perut isteri yang diceraikan itu.

Kalau tidak ada iddah, seorang wanita ada berkemungkinan terus berkahwin dengan lelaki lain selepas bercerai dengan suaminya yang pertama. Padahal dia mungkin sudah bersetubuh dengan suami pertama dan sudah ada benih dalam perutnya. Dia pun kahwin dengan lelaki yang baru dan bersetubuh pula dan kemudian mengandung. Suami kedua sangka itu anaknya padahal itu adalah anak suami pertama.

Kalau ini terjadi, terdapat masalah seperti salah meletakkan nasab anak itu (letak bin nama bapa yang salah), salah kepada pemberian harta pusaka dan sebagainya, salah dalam perwalian perkahwinan dan sebagainya dan juga seorang lelaki kena tanggung anak orang lain pula (anak suami pertama).

Jadi, bagi mengelakkan perkara ini, Islam mewajibkan untuk menunggu selama tempoh iddah untuk wanita itu, kemudian baru boleh berkahwin lain supaya dapat memastikan tidak ada benih suami yang telah bercerai itu.

وَالمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُروءٍ ۚ وَلا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكتُمنَ ما خَلَقَ اللهُ في أَرحامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤمِنَّ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ وَبُعولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ في ذٰلِكَ إِن أَرادوا إِصلٰحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ ۚ وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Divorced women remain in waiting for three periods, and it is not lawful for them to conceal what Allah has created in their wombs if they believe in Allah and the Last Day. And their husbands have more right to take them back in this [period] if they want reconciliation. And due to the wives is similar to what is expected of them, according to what is reasonable. But the men have a degree over them [in responsibility and authority]. And Allah is Exalted in Might and Wise.

 

MALAY

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

وَالمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُروءٍ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripads berkahwin) selama tiga kali suci

Kalimah yang digunakan adalah: Tiga kali quru’. Perkataan قُروءٍ ini ada makna yang bertentangan. Ia boleh bermakna ‘suci’ dan juga boleh bermakna ‘haid’ (tidak suci). Oleh itu, Imam Syafi’iy رحمه الله berkata ia bermaksud ‘tiga kali suci’ tetapi Imam Abu Hanifah رحمه الله betkata ia bermaksud ‘tiga kali haid’.

Syeikh Abu Umar ibnu Abdul Barr رحمه الله mengatakan, tidak ada perselisihan pendapat di kalangan ulama’ bahasa dan ahli fiqah, bahawa yang dimaksud dengan quru’ ialah haid dan suci; dan sesungguhnya mereka hanya berselisih pendapat tentang makna yang dimaksudkan daripada ayat ini, iaitu terdiri atas dua pendapat.

Ini adalah salah satu ayat yang ulama’ khilaf tentangnya dan ini adalah khilaf yang diterima kerana ada sandaran hukum tentangnya kerana kalimah itu boleh diterjemahkan kepada dua perkataan (suci atau haid), maka ada ulama’ yang memilih salah satu daripadanya.

Oleh itu, Imam Syafi’iy رحمه الله memilih kalimah قُروءٍ itu sebagai ‘bersih’, maka kalau seorang isteri itu dilafazkan talaq semasa dia dalam suci, maka itu sudah dikira sebagai قُروءٍ yang pertama. Kemudian dia akan haid dan kemudian dia suci yang kedua. Kemudian dia akan haid lagi dan suci yang ketiga. Maka apabila dia haid lagi, maka dia telah habis iddahnya. Maknanya, secara efektif, masa yang digunakan dalam Mazhab Syafi’iy lebih pendek.

 

وَلا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكتُمنَ ما خَلَقَ اللهُ في أَرحامِهِنَّ

Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka,

Isteri yang telah ditalaq itu tidak dibenarkan menyembunyikan jika sudah ada benih dalam perut mereka kerana mereka sahaja yang tahu. Mungkin ada isteri yang marah atau benci sangat kepada suaminya sampai dia tidak beritahu yang dia mengandung anak suaminya itu. Mungkin dia hendak memendekkan masa iddahnya, atau dia hendak memanjangkan masa iddahnya, maka dia boleh melakukannya dengan tidak memberitahu kandungan yang di dalam perutnya itu.

Ini kerana iddah wanita yang mengandung dikira sebaik sahaja dia bersalin. Jadi kalau dia hendak memanjangkan masa iddahnya, dia boleh kata dia mengandung, maka kena tunggu sampai bersalin; kalau dia hendak memendekkan masa iddahnya, dia tidak beritahu yang dia mengandung. Kalau dia kata dia mengandung, sudah tidak kira tiga قُروءٍ, kena tunggu sampai bersalin pula dan dia mungkin tidak mahu.

Ayat ini adalah ayat amaran dan ancaman kepada sang isteri itu kerana mengandung atau tidak, dia sahaja yang tahu. Maka Allah ‎ﷻ memberi peringatan kepada mereka supaya berterus terang, jangan simpan apa yang ada dalam perut itu.

 

إِن كُنَّ يُؤمِنَّ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Menyembunyikan ada anak dalam dalam kandungan itu adalah haram dan seorang isteri tidak boleh melakukannya. Dia mesti memberitahu suaminya itu bahawa dia telah mengandung. Itu kalau mereka hendak jaga agama mereka. Kalau mereka beriman, mereka tidak akan menyembunyikan kebenaran.

 

وَبُعولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ في ذٰلِكَ

Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka

Suami mereka lebih berhak untuk rujuk mereka dalam kes talaq yang boleh rujuk. Bukan wanita yang ada hak itu. Seorang isteri kena terima rujuk suaminya itu, sama ada dia suka atau tidak.

 

إِن أَرادوا إِصلٰحًا

jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.

Selagi tidak habis tiga furu’ lagi, suami itu boleh rujuk sampai dua kali. Kalau sudah cerai kali ketiga, baru tidak boleh rujuk lagi. Kalau tidak suka pun, isteri itu kena tunggu dua kali rujuk itu.

 

وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya

Hak yang seimbang sama seperti yang perlu ditunaikan kepada suami. Ada hak yang Allah ‎ﷻ suruh suami jaga dan ada yang disuruh isteri jaga. Begitu juga seorang isteri itu ada hak sebagai seorang manusia juga seperti dia boleh ada harta, boleh ada masa untuk dirinya, dia boleh membuat keputusan sendiri dan sebagainya.

Islam tidak merendahkan kedudukan wanita. Tidak seperti agama-agama lain yang merendahkan kedudukan wanita mereka, sampaikan wanita itu seolah-olah manusia kelas kedua dalam agama mereka. Kalau zaman dahulu, seorang wanita dalam agama lain tidak ada hak untuk bersuara, tidak ada hak untuk belajar, mempunyai harta dan sebagainya.

Jadi, adalah amat menyedihkan apabila ada tohmahan daripada golongan kafir dan Muslim sendiri yang mengatakan Islam merendahkan martabat wanita. Sedangkan Islam amat menjaga hak-hak wanita.

‘Makruf’ maksudnya buat baik walau hati tidak semestinya rasa senang untuk melakukannya. Namun begitu seorang yang mukmin akan tetap melakukannya kerana mereka sedar yang itu adalah tanggungjawab. Oleh itu, katakanlah hubungan sudah tidak baik, tetapi hak dan tanggungjawab tetap perlu dijalankan.

 

Perbincangan Balaghah: Hazfu wal zikru: Secara dasarnya,

Kalimah ل digunakan untuk hak, dan
Kalimah على digunakan untuk kewajipan/tanggungjawab;

Oleh itu, ayat ini tidak lengkap dan ada hazaf, kerana tidak disebut dengan lengkap tanggungjawab (على) siapa dan kepada (ل) siapa.

Ayat yang lengkap adalah:

وَلَهُنَّ (عليهم) مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ (لهم) بِالْمَعْرُوفِ

Untuk para isteri ada hak yang perlu dipenuhi oleh para suami,
sama seperti yang perlu dipenuhi oleh para isteri kepada suami.

Maknanya: isteri ada tanggungjawab dan suami pun ada tanggungjawab. Tanggungjawab isteri tentulah kepada suami dan tanggungjawab isteri tentulah kepada suami.

Tanggungjawab tidak sama antara suami dan isteri kerana lelaki dan perempuan berlainan sifat. Tanggungjawab suami selalunya di luar dan isteri di rumah. Tetapi bilangan sama dan setara – sama-sama ada tanggungjawab. Katakanlah lelaki ada sepuluh tanggungjawab, maka si isteri pun ada sepuluh tanggungjawab juga.

Begitu juga, isteri ada hak, sepertimana suami juga ada hak.

Manakala terdapat hadith Nabi ﷺ yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadith daripada Mu’awiyah al Qusyairi رضي الله عنه   telah bertanya kepada Nabi ﷺ:

يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang daripada kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab, “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Riwayat Abu Daud no 2142 dan Ibn Majah no 1850)

Dalam ayat ini kita boleh lihat bagaimana hak isteri itu disebut dahulu sebelum disebut hak suami.  Ini kerana seorang lelaki itu senang untuk mendapatkan haknya daripada wanita tetapi wanita susah untuk mendapatkan haknya daripada lelaki. Maka Allah ‎ﷻ sebut dahulu hak isteri itu.

 

وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ

dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan

Cuma ada sedikit kelebihan ke atas lelaki – dalam hal akad nikah, rujuk, cerai dan nafkah, ada kuasa hak pada suami dan tidak ada pada isteri. Selain daripada perkara-perkara itu, isteri pun ada hak dan mereka boleh melaporkan ketidakpuasan hati mereka kepada mahkamah. Perkara ini disebut dalam ayat Nisa:34.

الرِّجالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّساءِ بِما فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلى بَعْضٍ وَبِما أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوالِهِمْ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.

Janganlah potongan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk mengatakan bahawa suami atau lelaki itu lebih tinggi darjat mereka daripada wanita. Ayat ini perlu dibaca dalam konteks ayat ini di mana seorang suami itu mempunyai kelebihan dalam hal nikah, cerai dan rujuk sahaja.

Kalau semua belajar Al-Qur’an dan agama, semua akan tahu hak masing-masing. Tetapi masalahnya, ramai yang belajar tentang hukum nikah cerai semasa kursus kahwin sahaja. Itu pun dua hari sahaja dan banyak perkara lawak sahaja yang diajarkan.

Oleh kerana itu, banyak masalah dalam masyarakat terjadi kerana jahil agama dan hukum. Sedangkan hukum Islam telah menjaga semua keperluan manusia dan adil. Manusia sahaja yang tidak tahu dan kerana itu ramai yang ambil kesempatan.

Ayat ini adalah ayat yang amat penting kerana ia menekankan hak wanita. Kita kena sedar yang sebelum Islam, pada zaman Jahiliyyah, kedudukan wanita itu seperti harta benda sahaja yang boleh dipindah milik dan dipusakai. Mereka tidak ada hak apa-apa pun dan mereka boleh dijual beli oleh lelaki yang memiliki mereka! Mereka bukan sahaja tidak layak untuk memiliki harta, malah mereka juga dikira sebagai harta benda.

Lelaki iaitu suami mereka memiliki isteri mereka itu sepenuhnya. Isteri itu kena ikut segala arahan suaminya tanpa soal (asalkan tidak melanggar hukum dan syarak). Kerana itulah ada yang sampai membunuh anak perempuan mereka kerana anak perempuan itu dikira seolah-olah bagaikan tidak ada nilai! Bahkan dalam agama lain, ada yang dibakar sekali dengan mayat suami mereka apabila suami mereka meninggal dunia.

Islam datang dengan mengajar umatnya untuk menghormati wanita. Mereka layak untuk memiliki harta. Mereka juga tidak boleh dipaksa untuk mengahwini sesiapa pun tanpa persetujuan daripadanya. Apabila suami mereka meninggal dunia, mereka layak untuk mendapat bahagian daripada harta suaminya itu.

Mereka juga dibenarkan untuk menguruskan kehidupannya sendiri, tidak boleh dipaksa untuk mengahwini sesiapa pun. Kalau suaminya tidak memberi nafkahnya, atau menzaliminya, wanita itu boleh mengadu ke qadhi dan perkahwinan itu boleh ditamatkan.

Namun jangan lupa bahawa lelaki itu masih ada satu tingkatan di atas wanita. Mereka itu dikawal dan dijaga oleh wali mereka (sama ada bapa atau suami mereka) untuk kebaikan mereka juga. Mereka tidaklah bebas untuk melakukan apa sahaja. Kebebasan itu mestilah dalam lingkungan agama kerana kalau mereka dibiarkan tanpa kawalan, akan menyebabkan kerosakan dalam masyarakat juga.

 

وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Walaupun suami itu mempunyai kelebihan atas wanita dalam hal nikah, rujuk dan cerai tetapi mereka hendaklah ingat bahawa Allah ‎ﷻ lebih berkuasa lagi untuk menentukan segala perkara. Jangan para lelaki menyalahgunakan kuasa pula.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 21 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan