Tafsir Surah Qasas Ayat 1 – 5 (Pecah dan perintah)

Pengenalan:

Rasanya semua kita sudah kenal sedikit sebanyak Bani Israel. Kita kena faham bahawa Bani Israel itu sudah kenal Allah ﷻ dan kebanyakan daripada mereka sudah dikira sebagai Muslim sebelum Nabi Musa عليه السلام datang pun. Mereka sudah kenal Allah ﷻ, cuma ada kesilapan dalam fahaman mereka. Macam orang kitalah juga, ada yang sudah lama bergelar Muslim tetapi fahaman agama mereka tidak kemas. Ini kerana mereka jauh daripada ilmu wahyu.

Jadi Nabi Musa عليه السلام berhadapan dengan Bani Israel yang sebegitu. Dalam masa yang sama, baginda kena dakwah juga kepada Bangsa Qibti yang diketuai oleh Fir’aun. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ juga mempunyai dua fasa di dalam kehidupan dakwah baginda (Mekah dan Madinah) maka begitu juga dengan Nabi Musa عليه السلام iaitu dibahagikan kepada dua fasa: sebelum menyeberangi Laut Merah dan selepas itu.

Jadi cara Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada kaum Bani Israel adalah seperti Al-Qur’an Madaniyyah dan cara baginda berdakwah bangsa Qibti dan Fir’aun itu seperti ayat-ayat Al-Qur’an Makkiyah. Dengan Bani Israel baginda bercakap kepada orang yang telah Muslim manakala kepada Fir’aun baginda bercakap kepada kaum yang belum masuk Islam lagi.

Nabi Musa عليه السلام menghadapi dua jenis manusia semasa baginda di Mesir iaitu kita boleh katakan satu puak Musyrikin dan satu lagi puak Munafik. Maka dengan kisah Nabi Musa عليه السلام ini banyak yang dapat dipelajari oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat kerana mereka juga menghadapi perkara yang sama.

Jadi di dalam surah ini mengandungi kedua-dua fasa itu di mana di bahagian awal surah ini disebut bagaimana baginda berurusan dengan puak Muslim dan ada dalam kalangan mereka yang munafik. Jadi Allah ﷻ menceritakan ayat-ayat ini untuk memberi isyarat kepada Rasulullah ﷺ tentang apa yang baginda akan lalui nanti di Madinah.

Surah ini adalah di dalam kumpulan surah yang menceritakan tentang ‘syirik di dalam berkat’. Surah Syua’ara’, Naml dan Qasas sebenarnya adalah tiga surah serangkai kerana mengandungi mesej yang lebih kurang sama. Sebelum ini telah disebut tentang ‘Tauhid dalam Berkat’. Setelah kita tahu bahawa berkat itu hanya milik Allah ﷻ, maka hendaklah kita berani untuk menyampaikannya kepada manusia.

Surah ini banyak mengandungi kisah Nabi Musa عليه السلام dan ada dua perkara penting yang hendak disampaikan: iaitu pertama, keberanian untuk menyampaikan tentang tauhid kepada manusia.

Perkara kedua adalah kesanggupan untuk menanggung segala kesusahan di dalam menyampaikan tentang tauhid. Di dalam menyampaikan akidah yang benar ini memang Allah ﷻ telah sediakan ujian dan dugaan kepada para penyampainya. Maka penyebar tauhid kena:

1. Berani
2. Sabar

Jadi kita akan belajar bagaimana Nabi Musa عليه السلام berani untuk menyampaikan akidah tauhid kepada manusia termasuk kepada Fir’aun sendiri (yang zalim dan ganas) dan kita akan belajar bagaimana baginda menghadapi kesusahan sejak daripada kecil lagi dan telah bersabar dengan kesusahan itu.

Oleh itu, surah ini juga mengandungi ayat-ayat yang memberi semangat dan tasliah kepada penyebar tauhid.

Surah ini diturunkan di Mekah pada Peringkat Ketiga (antara tahun 6 – 10 Kenabian).


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 9 perenggan makro. Dari ayat 1 sehingga ke ayat 6 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia adalah Mukaddimah kepada surah ini.

طسٓمٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Qaṣaṣ: The Narrative (or Story).

Ṭā, Seen, Meem.

(MELAYU)

Thaa Siin Miim

 

Ini adalah salah satu daripada Huruf Muqattaah dan kita telah jelaskan dalam tafsir ayat-ayat Muqattaah yang lain. Secara ringkasnya, kita tidak tahu maksudnya kerana Allah ﷻ tidak memberitahu maksudnya kepada kita.

Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah sampaikan apakah maksudnya kepada para sahabat maka kerana itu kita pilih untuk tidak tafsirkan maksudnya kerana memang kita tidak tahu. Memang banyak pendapat telah diberikan oleh ulama’, tetapi oleh kerana dalil sandarannya tidak kukuh, maka kita pilih untuk tidak menyampaikannya di sini.


 

Ayat 2:

تِلكَ ءآياتُ الكِتٰبِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are verses of the clear Book.

(MELAYU)

Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata (dari Allah).

 

Allah ﷻ memuji Al-Qur’an dengan mengatakan ia adalah kitab yang jelas nyata. Apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini adalah jelas kepada mereka yang belajar. Yang tidak jelas adalah kerana tidak belajar sahaja. Maka jangan kita lepaskan peluang belajar tafsir Al-Qur’an.

Apabila ayat awal surah ini bermula dengan kalimah المُبينِ (yang jelas nyata) maka ini memberi isyarat yang surah ini mengandungi Dalil Naqli. Maknanya akan ada banyak kisah-kisah yang akan menjadi pengajaran kepada kita semua.

Semua yang akan disampaikan itu menjadi tanda kepada kebenaran. Maka untuk mendapat kebenaran, kenalah belajar Al-Qur’an iaitu dengan belajar tafsir kerana tanpa belajar tafsir, kita tidak akan dapat mengetahui apakah yang hendak disampaikan.

Maka janganlah ‘baca’ sahaja Al-Qur’an itu tanpa memahami apakah yang hendak disampaikan di dalamnya. Cukup-cukuplah baca Al-Qur’an sahaja tanpa memahaminya. Bukan kita larang baca, tetapi bacalah dengan kefahaman. Kalau anda sudah belajar tafsir Al-Qur’an, maka pembacaan anda akan lebih mantap lagi. Anda akan lebih suka membaca Al-Qur’an kerana anda tahu apa yang anda baca.


 

Ayat 3:

نَتلو عَلَيكَ مِن نَّبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We recite to you from the news of Moses and Pharaoh in truth for a people who believe.

(MELAYU)

Kami membacakan kepadamu sebahagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan benar untuk orang-orang yang beriman.

 

نَتلو عَلَيكَ مِن نَّبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ

Kami membacakan kepadamu sebahagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan benar

Allah ﷻ memberitahu yang Dia mengajar kisah Nabi Musa عليه السلام dan Fir’aun ini kerana ada sesuatu yang penting hendak disampaikan. Ia bukan sahaja kisah yang benar tetapi ada pengajaran yang hendaklah diambil oleh Rasulullah ﷺ dan orang Islam.

Kisah-kisah yang akan disampaikan di dalam surah ini mengandungi kebenaran (haq) dan ia adalah kisah yang benar-benar telah berlaku.

Surah ini mengandungi pengajaran kepada mereka yang mahu beriman termasuklah kepada Bani Israel. Kalau mereka dengar kisah-kisah di dalam surah ini sudah cukup untuk menggerakkan mereka untuk beriman.

 

لِقَومٍ يُؤمِنونَ

untuk orang-orang yang beriman.

Bukan sahaja Bani Israel yang akan beriman setelah membaca surah ini tetapi ramai dalam kalangan orang Mekah yang akan beriman juga tetapi kadang-kadang mereka tidak sanggup untuk menjadi Muslim. Ini adalah kerana ada masalah dalam diri mereka.


 

Ayat 4:

إِنَّ فِرعَونَ عَلا فِي الأَرضِ وَجَعَلَ أَهلَها شِيَعًا يَستَضعِفُ طائِفَةً مِّنهُم يُذَبِّحُ أَبناءَهُم وَيَستَحيي نِساءَهُم ۚ إِنَّهُ كانَ مِنَ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Pharaoh exalted himself in the land and made its people into factions, oppressing a sector among them, slaughtering their [newborn] sons and keeping their females alive. Indeed, he was of the corrupters.

(MELAYU)

Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

إِنَّ فِرعَونَ عَلا فِي الأَرضِ

Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi

Dia mempunyai sifat meninggi diri dan sifat sombong di bumi Mesir itu kerana dia lama berkuasa dan kuasanya meluas di Mesir itu. Jadi dia ada perasaan yang dia boleh berbuat apa-apa sahaja sampaikan dia sendiri rasa yang dia itu ‘tuhan’.

 

وَجَعَلَ أَهلَها شِيَعًا

dan menjadikan penduduknya berpecah belah, 

Dia telah memecahkan rakyatnya kepada kumpulan dan puak-puak. شِيَعًا adalah kumpulan yang bersama kerana ideologi yang sama dan mereka membezakan kumpulan mereka dengan kumpulan-kumpulan yang lain.

Begitulah yang dilakukan oleh Fir’aun. Hasilnya rakyatnya tidak melihat diri mereka sebagai satu masyarakat yang besar tetapi berpecah. Fir’aun memastikan yang rakyatnya berpecah-pecah mengikut kelas tertentu dan kelas yang di atas tidak akan bercampur gaul dengan kelas yang bawah.

Ini penting dalam pemerintahan Fir’aun kerana jikalau rakyatnya bersatu, maka susah untuk dia memerintah mereka. Jadi apabila dia menggunakan konsep ‘pecah dan perintah’, maka rakyat tidak dapat bersatu untuk menentangnya. Jikalau ada banyak kumpulan, maka setiap kumpulan itu lemah tetapi jikalau kumpulan itu semuanya bersatu maka mereka akan menjadi kuat.

Begitulah juga yang terjadi kepada Bani Israel kerana mereka berpecah kepada 12 kumpulan dan kerana itu mereka jadi lemah sampai mereka boleh dikalahkan dengan mudah. Jadi walaupun golongan Bani Israel itu semuanya adalah golongan hamba, satu agama dan satu bangsa, tetapi mereka berpecah kepada kumpulan-kumpulan hinggakan mereka tidak bersatu dan tidak menjadi kuat.

Begitu juga yang terjadi kepada kaum muslimin yang dijajah dan dipecahkan kepada negara-negara tertentu sampailah sekarang umat Islam tidak dapat bersatu padu. Ada sahaja perbezaan yang ditekankan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Sampai bila hendak bersatu?

Padahal semua menyembah kepada Tuhan yang satu, berpegang kepada satu Nabi, tetapi yang dipandang hanya perbezaan sahaja. Malangnya, inilah sifat manusia yang susah untuk diubah. Sentiasa sahaja mencari perbezaan, bukannya melihat kepada persamaan.

Begitulah yang terjadi sekarang ini apabila umat Islam membeza-bezakan diri mereka antara satu sama lain daripada segi bangsa, fahaman, asal usul, fikrah, amalan turun temurun, mazhab dan sebagainya. Jadi apabila kita umat Islam sekarang berpecah, ia bukan hanya kerana percaturan musuh-musuh Islam tetapi kita sendiri yang bodoh dan tidak nampak perkara ini dan tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita semua disibukkan dengan mencari salah orang lain, mencari kelemahan orang lain, menjatuhkan orang lain, meninggikan puak sendiri, melebihkan diri sendiri. Hasilnya kita sendiri boleh lihat betapa lemahnya kita. Senang sahaja hendak bagi orang Melayu Muslim melompat kebodohan. Antaranya dengan menaikkan isu politik (yang memang sudah memecah belahkan manusia).

Orang selalu sibuk menceritakan betapa berpecah belahnya kita; namun tidak ramai yang memberikan solusinya, bukan? Solusinya kalau kita hendak bersatu, kita semua kena pegang Al-Qur’an yang satu. Biar semua faham Al-Qur’an ini maka senanglah untuk bersatu, bukan? Begitulah yang terjadi antara Aus dan Khazraj dahulu – asalnya berpecah (malah berperang beratus tahun) tetapi kerana beriman dan berpegang kepada Al-Qur’an, maka mereka dapat bersatu.

Malangnya, kita suka sangat hendak menyesatkan orang lain dan apabila bertemu dengan orang lain maka yang dicari adalah apakah perbezaan antara kita dan dia, dan bukannya mencari apakah persamaan antara kita dan dia. Maka senang sahaja musuh Islam mengalahkan kita.

Begitulah yang terjadi kepada Bani Israel, tidak perlu menunggu Firaun pecahkan mereka kerana mereka sendiri boleh tolong pecahkan umat mereka sendiri. Kalau kita tidak belajar daripada kisah Fir’aun dan Bani Israel ini, maka sampai bila-bilalah kita akan lemah sahaja dan diperkotak katikkan oleh musuh.

 

يَستَضعِفُ طائِفَةً مِّنهُم

dengan menindas segolongan dari mereka,

Fir’aun telah menjadikan sesetengah daripada puak-puak itu jadi lemah dan tidak dapat berdiri sendiri. Maka senanglah dia hendak buat apa-apa sahaja kepada mereka. Senanglah Fir’aun menindas sesiapa sahaja daripada Bani Israil itu.

 

يُذَبِّحُ أَبناءَهُم وَيَستَحيي نِساءَهُم

menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. 

Fir:aun menjadikan Bani Israel itu sangat lemah sampaikan apabila dibunuh anak-anak mereka pun, mereka tidak berbuat apa-apa. Bayangkan mereka tidak berani untuk berbuat apa-apa. Bayangkan anak-anak lelaki mereka dibunuh di depan mata mereka tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan mereka menangis sahaja. Maknanya lemah sangat mereka ini.

Dari bahasa yang digunakan bermaksud berkali-kali Fir’aun melakukan perkara itu (bukan sekali pada tahun Nabi Musa عليه السلام sahaja) dan dalam riwayat ada yang disebut Fir’aun membunuh anak lelaki ini selang setahun. Kenapa pula selang setahun, kenapa tidak dibunuh setiap tahun sahaja?

Para ulama’ tafsir menyebutkan bahawa setelah Fir’aun banyak membunuh bayi laki-laki kaum Bani Israel, maka pemimpin orang-orang Qibti (Mesir) merasa khuatir akan kebinasaan bangsa Bani Israel, yang akibatnya mereka sendirilah yang kena buat pekerjaan-pekerjaan berat yang selama itu ditangani oleh kaum Bani Israel.

Kerana itu, mereka berkata kepada Fir’aun, “Sesungguhnya jika keadaan ini terus berlangsung, pastilah orang dewasa laki-laki mereka mati, sedangkan yang tinggal hanyalah kaum wanita mereka sahaja, dan kaum wanita mereka tidak mungkin dapat menggantikan pekerjaan-pekerjaan berat yang ditangani oleh kaum lelaki mereka, dan akibatnya pekerjaan-pekerjaan berat itu sudah pasti akan ditangani seluruhnya oleh kami.”

Maka Fir’aun mengubah akta negara, dan telah memutuskan untuk membunuh anak-anak lelaki kaum Bani Israel selama satu tahun dan membiarkan mereka satu tahun (agar kaum lelaki Bani Israel tidak habis pupus dan mereka tetap ada bekalan hamba daripada Bani Israel).

Fir’aun bunuh bayi lelaki kerana takut kerajaan mereka dimusnahkan. Orang-orang Qibti (Egypt) menerima berita tersebut daripada kaum Bani Israel melalui apa yang mereka baca dan pelajari daripada perkataan Nabi Ibrahim عليه السلام iaitu di saat Nabi Ibrahim عليه السلام datang ke negeri Mesir, lalu terjadilah permasalahan antara baginda dan rajanya yang murka, kerana Raja Mesir itu menangkap Siti Sarah (isteri Ibrahim) untuk dijadikan sebagai gundiknya. Akan tetapi, Allah ﷻ memelihara Sarah daripada gangguan si raja yang zalim itu berkat kekuasaan dan pengaruh-Nya.

Kemudian Nabi Ibrahim عليه السلام menyampaikan berita gembira, bahawa kelak akan dilahirkan daripada keturunannya seorang pemuda yang menjadi penyebab kehancuran negeri Mesir di tangannya. Lalu orang-orang Qibti menceritakan hal tersebut kepada raja mereka, Fir’aun. Maka Fir’aun ambil daripada kisah itu dengan memberikan arahan kepada semua tentera bawahannya agar membunuh setiap bayi lelaki yang lahir dalam kalangan kaum Bani Israel.

Anak-anak perempuan pula tidak dibunuh dan ini bukanlah kerana kasihankan mereka tetapi kerana anak-anak perempuan itu boleh dijadikan sebagai hamba seks mereka. Kalau anak perempuan, tidaklah ada bahaya ada pemberontakan daripada mereka kerana orang perempuan biasanya memang tidak memberontak pun.

 

إِنَّهُ كانَ مِنَ المُفسِدينَ

Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.

Dan telah jelas Fir’aun itu membuat kerosakan di bumi Mesir tetapi Bani Israel yang ramai-ramai itu tidak berani hendak berbuat apa-apa pun. Kenapa? Kerana mereka telah dilemahkan. Kenapa mereka lemah? Kerana mereka sendiri berpecah.


 

Ayat 5:

وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We wanted to confer favor upon those who were oppressed in the land and make them leaders and make them inheritors

(MELAYU)

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),

 

وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu

Kisah Fir’aun sebelum ini adalah dalam masa lampau tetapi kalimah نُريدُ (Kami mahu) ini di dalam format “present tense”. Jadi kisah ini bukan hanya berlaku pada masa Fir’aun sahaja tetapi ia berterusan berlaku zaman berzaman termasuklah zaman sekarang. Jadi ayat ini bermaksud Allah ﷻ hendak memberi balasan yang baik kepada mereka yang dilemahkan semasa mereka hidup di dunia.

Ada dua makna yang kita boleh ambil daripada ayat ini:

Yang pertama, Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia boleh beri balasan itu di akhirat kelak di mana mereka itu lemah di dunia tetapi mereka akan mendapat balasan baik di syurga nanti.

Tetapi kedua, ia juga boleh memberi maksud yang Allah ﷻ boleh beri kekuatan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Mungkin asalnya mereka kaum yang lemah tetapi Allah ﷻ boleh sahaja beri kekuatan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Mungkin asalnya mereka adalah kaum yang lemah dan tertindas, tetapi Allah ﷻ boleh ubah keadaan mereka dengan jadikan mereka pula kaum yang memerintah.

Tetapi mereka kenalah beriman dahulu. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israel – selepas mereka beriman, mereka mendapat kekuatan dan menjadi pemimpin di dunia. Namun apabila mereka meninggalkan agama, mereka kembali lemah dan dijatuhkan daripada kedudukan mereka.

 

وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً

dan hendak menjadikan mereka pemimpin

Allah ﷻ mahu menjadikan mereka sebagai pemimpin. Apabila Bani Israel kembali beriman dan mengamalkan agama Islam dengan benar, maka mereka telah dijadikan pemimpin di dunia.

 

وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ

dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),

Allah ﷻ mahu mereka mewarisi dan perwarisan itu berlaku apabila diambil sesuatu daripada yang telah mati. Maka ini memberi isyarat yang Fir’aun akan meninggalkan harta bendanya kepada Bani Israil yang dihambakannya itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Julai 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 89 – 93 (Pergi tapi akan kembali)

Ayat 89: Ini adalah-undang undang di akhirat dan ayat ini mengandungi berita gembira.

مَن جاءَ بِالحَسَنَةِ فَلَهُ خَيرٌ مِّنها وَهُم مِن فَزَعٍ يَومَئِذٍ آمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever comes [at Judgement] with a good deed will have better than it, and they, from the terror of that Day, will be safe.

(MELAYU)

Barangsiapa yang membawa kebaikan, maka dia memperoleh (balasan) yang lebih baik dari padanya, sedang mereka itu adalah orang-orang yang aman tenteram daripada kejutan yang dahsyat pada hari itu.

 

مَن جاءَ بِالحَسَنَةِ فَلَهُ خَيرٌ مِّنها

Barangsiapa yang membawa kebaikan, maka dia memperoleh (balasan) yang lebih baik dari padanya

Sesiapa yang datang dengan bawa amal kebaikan akan dapat balasan yang baik dari Allah. Sekurang-kurangnya datang dengan bawa kalimah tauhid kerana mungkin ada yang tidak sempat beramal ibadat kerana dia masuk Islam sahaja dan terus mati.

Dan Allah gunakan ta marbootah  pada kalimah الحَسَنَةِ itu merujuk kepada setiap satu daripada amal kebaikan itu. Maknanya satu amal kebaikan pun akan tetap dibalas baik.

Dan ada ال juga kepada kalimah الحَسَنَةِ itu menunjukkan Allah kenal amal kebaikan itu setiap satunya dan Allah menghargainya. Maka jangan sangka satu amal kebaikan mana-mana pun tiada harga.

Allah beritahu yang apabila mereka datang walaupun bawa satu kebaikan amalan, Allah akan balas dengan balasan yang lebih baik daripada amalan itu. Maknanya Allah bukan bayar setimpal tetapi Allah akan balas dengan balasan yang berkali-kali ganda lebih baik.

 

وَهُم مِن فَزَعٍ يَومَئِذٍ آمِنونَ

sedang mereka itu adalah orang-orang yang aman tenteram daripada kejutan yang dahsyat pada hari itu.

Dan mereka itu akan aman daripada ketakutan yang amat sangat iaitu Hari Kiamat. Mereka tidak takut kerana mereka datang kepada Allah dengan akidah tauhid. Seperti disebut dalam ayat lain:

{أَفَمَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ خَيْرٌ أَمْ مَنْ يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ}

Maka apakah orang-orang yang dilemparkan ke dalam neraka lebih baik ataukah orang-orang yang datang dengan aman sentosa pada hari kiamat. (Fussilat: 40)

Dan mereka akan selamat kerana orang beriman tidak akan menghadapi Hari Kiamat itu. Kerana ianya amat dahsyat, Allah tidak kenakan kedahsyatan hari itu kepada orang beriman. Maka Allah akan matikan orang beriman dengan angin yang lembut. Supaya orang-orang kafir sahaja yang akan menghadapinya. Ayat ini sama seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَا يَحْزُنُهُمُ الْفَزَعُ الأكْبَرُ}

Mereka tidak disusahkan oleh kedahsyatan yang besar (pada hari kiamat). (Al-Anbiya: 103)


 

Ayat 90: Dan ini pula adalah terbalik dari ayat sebelum ini. Maka ini adalah berita menakutkan. Selepas Allah beri berita gembira, Allah beri berita menakutkan. Ini adalah imbangan.

وَمَن جاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَكُبَّت وُجوهُهُم فِي النّارِ هَل تُجزَونَ إِلّا ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever comes with an evil deed¹ – their faces will be overturned into the Fire, [and it will be said], “Are you recompensed except for what you used to do?”

  • Without having repented. It may refer generally to any sin or more specifically to association of another with Allāh.

(MELAYU)

Dan barang siapa yang membawa kejahatan, maka disungkurkanlah muka mereka ke dalam neraka. Tiadalah kamu dibalasi, melainkan (setimpal) dengan apa yang dahulu kamu kerjakan.

 

وَمَن جاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَكُبَّت وُجوهُهُم فِي النّارِ

Dan barang siapa yang membawa kejahatan, maka disungkurkanlah muka mereka ke dalam neraka.

Ini pula kepada mereka yang pulang ke akhirat dengan bawa amal perbuatan yang buruk. Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Anas ibnu Malik, Ata, Sa’id ibnu Jubair, Ikrimah, Mujahid, Ibrahim An-Nakha’i, Abu Wa’il, Abu Saleh, Muhammad ibnu Ka’b, Zaid ibnu Aslam, Az-Zuhri, As-Saddi, Ad-Dahhak, Al-Hasan, Qatadah, dan Ibnu Zaid, semuanya mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan barang siapa yang membawa kejahatan. (An-Naml: 90) bahawa yang dimaksudkan adalah ‘kemusyrikan’.

Kalimah فَكُبَّت itu bermaksud mereka akan dijatuhkan muka dahulu ke dalam neraka. Mereka akan jatuh atas muka mereka dahulu apabila sampai ke dasar neraka. Dan ini amat menakutkan sekali.

 

هَل تُجزَونَ إِلّا ما كُنتُم تَعمَلونَ

“Adakah kamu dibalasi, melainkan (setimpal) dengan apa yang dahulu kamu kerjakan?”

Dan akan dikatakan kepada mereka: “adakah ini balasan yang setimpal yang dikenakan kepada kamu?” Kata-kata ini adalah azab rohani kerana untuk menyakitkan hati mereka. Sudahlah tubuh disakitkan, malah hati juga disakitkan. Diingatkan kepada mereka yang mereka memang patut kena azab itu kerana amalan mereka semasa di dunia.


 

Ayat 91: Ayat Dalil Wahyi. Bermaksud arahan dari Allah kepada Nabi dan orang mukmin. Ini bermakna, kita yang sampaikan ajaran Tauhid kepada manusia adalah kerana arahan dari Allah. Maka orang yang disampaikan ajaran Tauhid itu janganlah marah.

إِنَّما أُمِرتُ أَن أَعبُدَ رَبَّ هٰذِهِ البَلدَةِ الَّذي حَرَّمَها وَلَهُ كُلُّ شَيءٍ ۖ وَأُمِرتُ أَن أَكونَ مِنَ المُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Say, O Muḥammad], “I have only been commanded to worship the Lord of this city,¹ who made it sacred and to whom [belongs] all things. And I am commanded to be of the Muslims [i.e., those who submit to Allāh]

  • Or region, meaning Makkah and its surroundings.

(MELAYU)

Aku hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan negeri ini (Mekah) Yang telah menjadikannya suci dan kepunyaan-Nya-lah segala sesuatu, dan aku diperintahkan supaya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.

 

إِنَّما أُمِرتُ أَن أَعبُدَ رَبَّ هٰذِهِ البَلدَةِ

Aku hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan negeri ini

Negeri yang dimaksudkan adalah Mekah. Allah memberi penghormatan kepada Mekah dalam ayat ini. Allah menisbahkan DiriNya sebagai ‘Tuhan Mekah’, padahal Dia adalah Tuhan sekalian alam, bukan Mekah sahaja, bukan? Ini seperti juga yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ. الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ}

Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah), Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Quraisy: 3-4)

Maka Nabi Muhammad disuruh memberitahu umat baginda yang baginda diarahkan oleh Allah untuk menghambakan diri dan beribadah hanya kepada Allah sahaja.

 

الَّذي حَرَّمَها

Yang telah menjadikannya suci 

‘Haram’ itu maksudnya diharamkan untuk dilakukan segala perbuatan syirik di dalamnya. Maka Mekah adalah Tanah Suci yang diharamkan dilakukan kesyirikan di dalamnya. Ianya juga dikenali sebagai ‘Tanah Haram’ bermaksud haram untuk melakukan perkara dosa di dalamnya.

Di mana-mana pun haram melakukan dosa tapi ada kedudukan istimewa pada Tanah Haram. Ada undang-undang khusus untuk Mekah. Rasulullah Saw. telah bersabda pada hari jatuhnya Kota Mekah:

“إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، لَا يُعضَد شَوْكُهُ، وَلَا يُنَفَّرُ صَيْدُهُ، وَلَا يَلْتَقِطُ لُقَطَتُه إِلَّا لِمَنْ عَرَّفَهَا، وَلَا يُخْتَلَى خَلَاهَا”

Sesungguhnya negeri ini telah disucikan oleh Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi. Maka negeri ini, (Mekah) adalah suci kerana disucikan oleh Allah sampai hari kiamat; duri-durinya tidak boleh dicabut, haiwan buruannya tidak boleh diburu, dan barang temuannya tidak boleh dipungut kecuali oleh orang yang hendak mengumumkannya, dan tetumbuhannya tidak boleh ditebangi. Hingga akhir hadis.

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan waktu itu telah diberi isyarat yang umat Islam kena berhijrah meninggalkan Mekah, tetapi dalam masa yang sama menyebut tentang haramnya Ka’bah itu untuk dilakukan sembahan kepada yang lain.

Maka ini memberi isyarat yang baginda dan umat Islam akan datang kembali untuk membersihkannya dari syirik. Sudah ada isyarat dalam ayat ini yang Mekah akan ditakluki oleh Muslim. Dan ini adalah berita baik kepada para sahabat yang sedang ditindas pada waktu itu.

 

وَلَهُ كُلُّ شَيءٍ

dan kepunyaan-Nya-lah segala sesuatu, 

Dan Allah memiliki segala benda dan memberi tempelak kepada Musyrikin Mekah yang rasa mereka menguasai Mekah dan Kaabah itu, tetapi sebenarnya mereka tidak berkuasa penuh. Allah ingatkan yang kuasa penuh ada padaNya. Maka jangan berlagak wahai Musyrikin Mekah.

 

وَأُمِرتُ أَن أَكونَ مِنَ المُسلِمينَ

dan aku diperintahkan supaya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.

Kelebihan menjadi Muslim banyak disebut di dalam surah ini. Memberi isyarat dan peringatan kepada pembaca Al-Qur’an yang mereka hendaklah menyerahkan diri kepada Allah dengan sepenuhnya.

Maka kena faham maksud ‘Muslim’ itu, iaitu menyerahkan sepenuh diri kepada Allah. Kena taat kepada suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Jadi kalau gelar diri ‘Muslim’ tapi tidak taat kepada perintahNya, maka tidak kena sebenarnya.


 

Ayat 92: Apa lagi arahan yang diberikan kepada Rasulullah dan umat Islam?

وَأَن أَتلُوَ القُرآنَ ۖ فَمَنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَقُل إِنَّما أَناْ مِنَ المُنذِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to recite the Qur’ān.” And whoever is guided is only guided for [the benefit of] himself; and whoever strays – say, “I am only [one] of the warners.”

(MELAYU)

Dan supaya aku membacakan Al Qur’an (kepada manusia). Maka barangsiapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya dia hanyalah mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya, dan barangsiapa yang sesat maka katakanlah: “Sesungguhnya aku (ini) tidak lain hanyalah salah seorang pemberi peringatan”.

 

وَأَن أَتلُوَ القُرآنَ

Dan supaya aku membacakan Al Qur’an (kepada manusia). 

Dan Nabi Muhammad disuruh untuk membacakan dan menyampaikan Al-Qur’an ini kepada manusia. Maka itulah yang Nabi Muhammad telah lakukan. Tidak ada satu pun ayat Al-Qur’an yang baginda tinggalkan dari disampaikan kepada umat.

Maka baginda telah menjalankan tugas baginda, bagaimana pula dengan kita? Kerana kita kena sambung tugas Rasulullah. Adakah kita telah mula membacakan ayat-ayatNya kepada manusia? Bagaimana nak buat kalau belum belajar tafsir Al-Qur’an lagi sampai habis?

Kerana maksud ‘bacakan’ bukanlah mendendangkan bacaan Al-Qur’an sahaja tapi menyampaikan ajarannya kepada manusia. Maka hendaklah kita mulakan dengan habiskan belajar tafsir Al-Qur’an ini. Kena simpan niat untuk habiskan dan setiap hari kena ada ayat yang kita belajar maksudnya.

Penting kena habiskan belajar kerana semua ayat-ayat Al-Qur’an kena dipelajari, barulah dapat pemahaman penuh. Kerana kalau tahu separuh-separuh sahaja, takut ada salah faham pula.

 

فَمَنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ

Maka barangsiapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya dia hanyalah mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya, 

Siapa yang menerima Al-Qur’an, memahami dan mengamalkannya, maka dia telah memberi kebaikan kepada dirinya sendiri. Iaitu terpimpin dengan Al-Qur’an itu.

Dia sahaja yang mendapat hidayah. Maknanya, dia tidak boleh nak beri hidayah itu kepada orang lain. Sama ada isteri atau anak pinaknya. Anak pinaknya kena belajar sendiri. Maka kalau anak ulama atau anak ustaz, belum tentu selamat lagi. Kena sama-sama belajar Al-Qur’an. Yang sudah belajar, maka kena ajar kepada anak isterinya.

Maka keturunan sesiapa pun tidak penting. Yang penting adalah iman. Maka jangan terpesona dengan golongan yang membanggakan diri dengan keturunan mereka yang terkait dengan Nabi seperti golongan Syiah dan Habib. Apa guna ada tali keturunan dengan baginda kalau ajaran yang dibawa bukan ajaran baginda?

 

وَمَن ضَلَّ فَقُل إِنَّما أَناْ مِنَ المُنذِرينَ

dan barangsiapa yang sesat maka katakanlah: “Sesungguhnya aku (ini) tidak lain hanyalah salah seorang pemberi peringatan”.

Tetapi kalau manusia masih juga menolak hidayah dan memilih kesesatan, maka beritahu kepada mereka yang tugas kamu hanya menyampaikan peringatan dan ancaman kepada mereka sahaja. Ini kerana Allah telah memberi isyarat yang Musyrikin Mekah itu telah buat rancangan untuk membunuh baginda dan baginda kena ingatkan kepada mereka yang tugas baginda hanyalah menyampaikan sahaja. Janganlah marah kalau baginda sampaikan ajaran Tauhid. Takkan sampai nak bunuh pula?

Allah kata tugas Nabi adalah memberi ancaman tetapi beri ancaman dengan apa kalau bukan dengan Al-Qur’an? Maka kerana itulah kita kena menyampaikan Al-Qur’an ini kepada manusia dengan mengajar mereka tafsir Al-Qur’an.

Kalau mereka tolak tidak mahu terima, maka kita bolehlah berhujah depan Allah yang kita sudah sampaikan. Tapi kalau kita tidak sampaikan lagi, bagaimana? Apa nak jawab waktu itu?


 

Ayat 93: Ini adalah penutup surah ini. Allah suruh beri pesanan terakhir.

وَقُلِ الحَمدُ ِللهِ سَيُريكُم ءآيٰتِهِ فَتَعرِفونَها ۚ وَما رَبُّكَ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “[All] praise is [due] to Allāh. He will show you His signs, and you will recognize them. And your Lord is not unaware of what you do.”

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah, Dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaran-Nya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Tuhanmu tiada lalai dari apa yang kamu kerjakan”.

 

وَقُلِ الحَمدُ ِللهِ

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah,

Sentiasalah puji Allah. Dalam keadaan apa pun. Apa-apa saja masalah yang dihadapi dalam menyampaikan Al-Qur’an kepada manusia, maka sebutlah alhamdulillah.

Juga bermaksud menghargai Allah sebagaimana yang sepatutnya. Kita kena puji Allah sahaja kerana segala pujian kembali kepada Allah. Ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah Fatihah.

 

سَيُريكُم ءآيٰتِهِ فَتَعرِفونَها

Dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaran-Nya, 

Memang akan ada manusia yang tidak mahu percaya dan beriman dengan ajaran Al-Qur’an. Maka Allah suruh Rasulullah berpesan yang apa-apa yang mereka tidak percaya itu mereka akan dapat melihatnya nanti. Dan apabila mereka melihatnya nanti meraka akan tahu yang ia adalah benar.

Tapi tidak tahu sama ada ia akan terjadi di dunia atau di akhirat. Yang pasti, mereka akhirnya akan nampak kebenaran di depan mata mereka. Waktu itu mungkin sudah terlambat untuk ubah sikap.

Ia juga bermaksud yang manusia akan melihat kebenaran Al-Qur’an ini di dalam alam ini. Ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الآفَاقِ وَفِي أَنْفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ}

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur’an itu adalah benar. (Fussilat: 53)

Maknanya, Allah bukan cakap kosong sahaja, tapi tanda-tanda dan dalil boleh dilihat di mana-mana. Asalkan manusia mahu membuka mata hati mereka.

 

وَما رَبُّكَ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Dan Tuhanmu tiada lalai dari apa yang kamu kerjakan”.

Allah tidaklah alpa dari apa sahaja yang manusia lakukan. Maksudnya, pasti Allah akan balas kerana Allah rekodkan kesemua perbuatan manusia itu. Jadi jangan sangka yang amalan dan penentangan manusia terhadap Islam itu Allah biarkan sahaja. Allah pasti akan balas dengan balasan setimpal. Jadi ini adalah ancaman dari Allah.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah an-Naml. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Qasas.

Kemaskini: 9 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 84 – 88 (Gunung bergerak)

Naml Ayat 84: Ini adalah sambungan pencerahan tentang keadaan di Mahsyar kelak. Keadaan ini akan dialami oleh mereka yang engkar.

حَتّىٰ إِذا جاءو قالَ أَكَذَّبتُم بِئايٰتي وَلَم تُحيطوا بِها عِلمًا أَمّاذا كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until, when they arrive [at the place of Judgement], He will say, “Did you deny My signs while you encompassed them not in knowledge, or what [was it that] you were doing?”

(MELAYU)

Hingga apabila mereka datang, Allah berfirman: “Apakah kamu telah mendustakan ayat-ayat-Ku, padahal ilmu kamu tidak meliputinya, atau apakah yang telah kamu kerjakan?”.

 

حَتّىٰ إِذا جاءو

Hingga apabila mereka datang,

Mereka akan taat berkawad, ditarik oleh para malaikat seperti binatang, sampailah mereka mengadap Allah dan akan ditanya kepada mereka.

 

قالَ أَكَذَّبتُم بِئايٰتي وَلَم تُحيطوا بِها عِلمًا

Allah berfirman: “Apakah kamu telah mendustakan ayat-ayat-Ku, padahal ilmu kamu tidak meliputinya, 

Ini adalah soalan dari Allah sendiri: Adakah kamu semua dulu mendusta ayat-ayatKu sedangkan kamu waktu itu tidak ada ilmu tentangnya dan tidak berusaha untuk mempelajarinya? Kamu tidak memikirkannya, tetapi kamu tetap tolak juga?

Sebab itu kita takut kalau-kalau ada di kalangan kita yang menolak ayat-ayat Al-Qur’an sebelum mereka mempelajarinya. Janganlah tolak terus, pelajarilah dulu. Tapi malangnya ramai yang tidak dengar dulu penjelasan, tapi terus nak tolak.

 

أَمّاذا كُنتُم تَعمَلونَ

atau apakah yang telah kamu kerjakan?”.

Maka apakah yang kamu telah lakukan dahulu kerana Aku ada rekod perbuatan kamu tetapi kamu, adakah dakwaan-dakwaan lain? Kamu ada alasan lainkah yang menjelaskan kamu tidak mahu ikut ayat-ayat Al-Qur’an?


 

Naml Ayat 85:

وَوَقَعَ القَولُ عَلَيهِم بِما ظَلَموا فَهُم لا يَنطِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the decree will befall them¹ for the wrong they did, and they will not [be able to] speak.

  • Allāh’s decree will come into effect upon them, and His promise will be fulfilled.

(MELAYU)

Dan jatuhlah perkataan (azab) atas mereka disebabkan kezaliman mereka, maka mereka tidak dapat berkata (apa-apa).

 

وَوَقَعَ القَولُ عَلَيهِم بِما ظَلَموا

Dan jatuhlah perkataan (azab) atas mereka disebabkan kezaliman mereka,

Mereka akan diberi keputusan hukuman sebagai balasan di atas kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Berlakulah taqdir ke atas mereka kerana kezaliman mereka. Ini seperti keputusan hakim kepada pesalah kerana pesalah itu sendiri, tidak ada alasan apa-apa lagi. Memang mereka layak dikenakan dengan azab itu.

 

فَهُم لا يَنطِقونَ

maka mereka tidak dapat berkata (apa-apa).

Bermaksud mereka langsung tidak boleh berbunyi pun. Kalau digunakan kalimah lafzu, sekurang-kurangnya dapat kata satu huruf. Kalau digunakan kalimah kalama, bermaksud sekurang-kurangnya dapat kata satu kalimah. Tetapi mereka hendak buat bunyi pun tidak dibenarkan. Jadi mereka tidak dapat mempertahankan diri mereka lagi. Mereka tidak dibenarkan untuk menipu lagi.

Yakni mereka didustakan (dibungkam) dan tidak dapat menjawab, sebab selama di dunia mereka adalah orang-orang yang berbuat aniaya terhadap diri mereka sendiri. Dulu mereka pandai sahaja menjawab kenapa mereka tolak ayat-ayat Allah. Nah sekarang mereka tidak diberi peluang untuk berbunyi pun, kerana buang masa sahaja.

Dan sekarang mereka telah sampai di hadapan Tuhan Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagi-Nya.


 

Naml Ayat 86: Dalil Aqli. Allah suruh kita lihat alam ini.

أَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنَا اللَّيلَ لِيَسكُنوا فيهِ وَالنَّهارَ مُبصِرًا ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not see that We made the night that they may rest therein and the day giving sight? Indeed in that are signs for a people who believe.

(MELAYU)

Apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan malam supaya mereka beristirehat padanya dan siang yang menerangi? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

 

أَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنَا اللَّيلَ لِيَسكُنوا فيهِ

Apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan malam supaya mereka beristirehat padanya

Dalam ayat sebelum ini, Allah telah buat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka. Sekarang Allah sebut kesalahan mereka kerana tidak berfikir semasa di dunia dulu. Mereka tidak melihat alam ini dengan mata hati dan kerana itu mereka tidak menerima kebenaran.

Allah sebut bagaimana dengan melihat alam ini sahaja, manusia sudah boleh dapat kefahaman tentang Tuhan. Allah gunakan contoh perkara yang berlaku setiap hari. Setiap akan datang malam dan mereka senang sahaja melihatnya, tak perlu cari jauh-jauh. Ianya dijadikan gelap kerana apabila gelap, senang untuk kita berehat. Keadaan pun tenang, maka badan kita dapat rehat dan mengembalikan tenaga setelah sepanjang hari bekerja dan melakukan aktiviti.

Kalimah لِتَسْكُنُوا dari katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Jadi kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental. Maknanya Allah telah menjadikan malam untuk kita berehat dan berasa aman terutama sekali di dalam rumah kita.

 

وَالنَّهارَ مُبصِرًا

dan siang yang menerangi?

Dan siang itu dijadikan oleh Allah dalam keadaan cerah supaya mereka boleh melihat, dapat bekerja di dalamnya. Kalau gelap, susah pula untuk melihat dan bila susah melihat, susah untuk buat kerja, bukan?

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Malam dan siang itu tidak terjadi sendiri tetapi dijadikan oleh Allah. Semua yang Allah jadikan dalam alam ini menjadi tanda kepada kewujudan Allah dan Qudrat Allah Taala. Takkan alam yang begini hebat terjadi sendiri?

Dalam surah sebelum ini dimulakan dengan ada tanda pada alam dan kemudian disebut kisah-kisah para Nabi tetapi surah ini terbalik dimana dimulai dengan kisah-kisah para Nabi dan sekarang kita sampai kepada ayat-ayat yang mengajar kita melihat tanda-tanda pada alam.


 

Naml Ayat 87: Takhwif Ukhrawi. Allah cerita tentang kejadian di Hari Kiamat nanti.

وَيَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوهُ دٰخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [warn of] the Day the Horn will be blown, and whoever is in the heavens and whoever is on the earth will be terrified except whom Allāh wills. And all will come to Him humbled.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkakala, maka terkejutlah segala yang di langit dan segala yang di bumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri.

 

وَيَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ

Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkakala,

Ini adalah Tiupan Sangkakala yang pertama. Iaitu apabila Allah buat keputusan bila alam ini akan hancur. Tiupan yang pertama, yaitu tiupan yang mematikan semua makhluk, dilakukan sangat lama.

Hal ini terjadi di saat usia dunia habis, iaitu pada hari kiamat terjadi yang hanya menimpa orang-orang yang jahat saja yang ada ketika itu (orang beriman telah dimatikan dengan cara selesa iaitu dengan tiupan angin lembut), maka terkejutlah (matilah) semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi.

 

فَفَزِعَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ

maka terkejutlah segala yang di langit dan segala yang di bumi, 

Kalimah فزع maksudnya ketakutan yang amat sangat sampai jadi kelam kabut tidak dapat berfikir dan tidak terkawal keadaannya. Kalau sudah segalanya hancur depan mata, takkan tidak kelam kabut? Waktu itu dapat tengok sahaja kerana tidak dapat nak buat apa-apa.

 

إِلّا مَن شاءَ اللهُ

kecuali siapa yang dikehendaki Allah.

Semua akan kelam kecuali sesiapa sahaja yang Allah kehendaki. Iaitu malaikat-malaikat yang besar-besar termasuk malaikat-malaikat yang memikul Arasy. Mereka sahaja yang tidak terkejut.

Kerana terkejut itu, semuanya akan mati tapi ada yang tidak mati. Termasuk yang tidak dimatikan adalah para syuhada’ yang hidup waktu itu menerima rezeki dari Allah di dalam syurga.

 

وَكُلٌّ أَتَوهُ دٰخِرينَ

Dan semua mereka datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri.

Semua makhluk lemah di hadapan Allah dan mereka merendahkan diri di hadapan Allah, tidak ada yang terkecuali. Kalau dulu semasa mereka di dunia mereka kuat sangat dan sombong sangat tetapi keadaan mereka akan jadi hina dina apabila sudah bermula akhirat kelak.


 

Naml Ayat 88:

وَتَرَى الجِبالَ تَحسَبُها جامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحابِ ۚ صُنعَ اللهِ الَّذي أَتقَنَ كُلَّ شَيءٍ ۚ إِنَّهُ خَبيرٌ بِما تَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you see the mountains, thinking them rigid, while they will pass as the passing of clouds. [It is] the work of Allāh, who perfected all things. Indeed, He is Acquainted with that which you do.

(MELAYU)

Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَتَرَى الجِبالَ تَحسَبُها جامِدَةً

Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, 

Kalimah جامِدَةً maksudnya tidak bergerak, duduk dengan tetap tidak berubah-ubah. Kalau kita lihat gunung ganang sekarang, kita akan terpegun dengannya kerana ia tetap kukuh pada tempatnya.

Dan orang Arab memang terpesona dengan gunung. Kerana itu Allah selalu menyebut tentang gunung. Kerana mereka selalu lihat dan kagum dengan gunung ganang.

 

وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحابِ

padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. 

Gunung yang kukuh dan tegap itu sekarang, tapi pada hari kiamat nanti manusia akan lihat gunung ganang yang kita tengok tetap itu akan bergerak laju seperti awan yang ditiup angin.

Ianya akan hancur dan jadi debu dan akan ditiup oleh angin dengan mudahnya. Sekarang memang angin tak dapat nak gerakkan gunung itu sikit pun, tapi nanti hari kiamat, ia akan ditiup oleh angin sampai ia menjadi debu berterbangan. Dalam ayat lain, Allah berfirman:

{وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنْسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا لَا تَرَى فِيهَا عِوَجًا وَلا أَمْتًا}

Dan mereka bertanya kepadamu tentang gunung-gunung, maka katakanlah, “Tuhanku akan menghancurkannya (di hari kiamat) sehancur-hancurnya, maka Dia akan menjadikan (bekas) gunung-gunung itu datar sama sekali, tidak ada sedikit pun kamu lihat padanya tempat yang rendah dan yang tinggi-tinggi. (Taha: 105­-107)

صُنعَ اللهِ الَّذي أَتقَنَ كُلَّ شَيءٍ

(Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu;

Arkitek alam ini adalah Allah di mana memang Dia telah cipta gunung ini untuk tetap dan kukuh semasa dunia dalam keadaan biasa dan pada kiamat nanti ia akan bergerak.

Itqan bermaksud melakukan sesuatu dengan sempurna; sebagai contoh kalau pasang kerusi meja pekerja akan pasang semua skru yang ada. Begitulah Allah telah mengemaskan segala makhluk yang Dia cipta dan ia menjadi kukuh dan teguh seperti kehendaknya.

Tetapi apabila tiba masanya ia akan bergerak seperti yang dikehendaki oleh Allah. Macam gunung ganang, memang Allah buat supaya tetap semasa alam biasa dan hancur masa Kiamat. Maka bukanlah ia ada rosak apa-apa pada hari Kiamat nanti, memang Allah berkehendak begitu semasa Allah menciptanya.

 

إِنَّهُ خَبيرٌ بِما تَفعَلونَ

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Oleh kerana Allah mempunyai Kuasa dan Qudrat sebegitu besar, maka tentulah Allah boleh tahu apa sahaja yang dilakukan oleh makhlukNya sama ada sengaja ataupun tidak sengaja.

Maka, apabila Allah buat keputusan untuk memasukkan hamba ke dalam syurga atau ke dalam neraka, ia adalah berdasarkan ilmu Allah yang sempurna. Allah tidak salah dalam buat keputusan. Bukan macam hakim di mahkamah – kadang-kadang mereka masukkan orang tidak bersalah ke dalam penjara dan orang yang bersalah dilepaskan sahaja kerana ilmu hakim tidak sempurna. Tapi Allah tidak akan begitu kerana Allah tahu segala-galanya.

Jadi, takutlah kita dengan ilmu Allah ini. Segala apa yang kita sedang lakukan semasa kita hidup, Allah pandang sahaja. Tak takutkah? Allah rekod sahaja dulu dan nanti di akhirat Allah akan bentangkan satu persatu. Waktu itu sudah terlambat kalau nak perbetulkan kesalahan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Naml


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 77 – 83 (Dabbatul Ardh)

Ayat 77:

وَإِنَّهُ لَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, it is guidance and mercy for the believers.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Al Qur’an itu benar-benar menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

 

Al-Qur’an ini benar-benar menjadi petunjuk dan rahmat kepada manusia yang mahu menjadi orang Mukminin, termasuklah kepada Bani Israil yang telah rosak agamanya. Mereka masih lagi boleh menjadi orang yang selamat di akhirat kalau mereka sanggup beriman dengan Al-Qur’an.

Al-Qur’an ini adalah kitab yang memberikan petunjuk bagaimana menjalani kehidupan kita di dunia sampai boleh membawa kita selamat ke akhirat.

Al-Qur’an ini mengandungi rahmat jikalau dibaca dan diamalkan. Dengan rahmat akan membawa kita ke syurga. Ini kerana kita tidak masuk syurga dengan amalan kita tapi dengan rahmat dari Allah.


 

Ayat 78:

إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم بِحُكمِهِ ۚ وَهُوَ العَزيزُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord will judge between them by His [wise] judgement. And He is the Exalted in Might, the Knowing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu akan menyelesaikan perkara antara mereka dengan keputusan-Nya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

 

إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم بِحُكمِهِ

Sesungguhnya Tuhanmu akan menyelesaikan perkara antara mereka dengan keputusan-Nya,

Allah akan memberi keputusan manakah yang benar dan manakah yang salah dengan kebijaksanaanNya.

Atau ia bermaksud penentuan mana yang benar dengan hukumNya. Allah adalah penentu kebenaran. Di akhirat kelak Allah akan beritahu mana yang benar dan mana yang tidak. Waktu itu akan jelas kepada manusia sama ada mereka benar atau tidak.

Tapi keputusan itu adalah keputusan dalam bentuk ‘amali’. Maksudnya kalau sudah salah pilihan semasa di dunia, terus dimasukkan ke neraka. Maka kalau waktu itu baru tahu yang tersilap, maka itu amatlah rugi kerana bukan boleh kembali ke dunia untuk betulkan balik.

Maka janganlah tunggu keputusan amali itu tapi kenalah tengok dan kaji keputusan ‘teori’ semasa di dunia ini. Kerana teori mana benar dan mana salah sudah ada dalam nas. Kajilah dengan saksama.

 

وَهُوَ العَزيزُ العَليمُ

dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Allah maha berkuasa untuk beri hukuman kepada makhlukNya. Tidak boleh dihalang atau dipersoalkan lagi apabila Allah dah buat keputusan.

Allah maha tahu siapa yang patut dimasukkan ke dalam neraka dan siapa yang patut dimasukkan ke dalam syurga. Ini adalah kerana Allah Maha Tahu apa yang makhlukNya lakukan semasa di dunia dahulu.


 

Ayat 79: Ayat tasliah (pujukan).

فَتَوَكَّل عَلَى اللهِ ۖ إِنَّكَ عَلَى الحَقِّ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So rely upon Allāh; indeed, you are upon the clear truth.

(MELAYU)

Sebab itu bertakwallah kepada Allah, sesungguhnya kamu berada di atas kebenaran yang nyata.

 

فَتَوَكَّل عَلَى اللهِ

Sebab itu bertakwallah kepada Allah,

Maka teruslah bertawakal kepada Allah. Serahkan segala urusan kita kepada Allah. Kerana Allah maha tahu apa yang terbaik untuk kita.

 

إِنَّكَ عَلَى الحَقِّ المُبينِ

sesungguhnya kamu berada di atas kebenaran yang nyata.

Allah pujuk Nabi supaya jangan takut kerana baginda berada di atas jalan yang benar dan jelas nyata.


 

Ayat 80: Akan tetapi mungkin timbul persoalan pada Rasulullah: jikalau baginda benar, kenapa susah untuk baginda membuat manusia dengar apa yang baginda sampaikan?

إِنَّكَ لا تُسمِعُ المَوتىٰ وَلا تُسمِعُ الصُّمَّ الدُّعاءَ إِذا وَلَّوا مُدبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, you will not make the dead hear, nor will you make the deaf hear the call when they have turned their backs retreating.

(MELAYU)

Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar dan (tidak pula) menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling membelakang.

 

إِنَّكَ لا تُسمِعُ المَوتىٰ

Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar

Allah memberitahu yang baginda hanya boleh sampaikan sahaja dan baginda tidak boleh memaksa manusia mendengar. Memang akan ada manusia yang tidak akan terima kebenaran. Ini adalah kerana hati mereka telah mati. Allah memberi perumpamaan mereka yang tidak mampu mendengar ajakan tauhid itu sebagai orang yang mati.

Mereka yang tidak mahu mengambil pengajaran daripada Qur’an itu seolah-olah orang yang mati. Kerana roh mereka tiada Al-Qur’an di dalamnya kerana mereka tidak mahu terima kebenaran wahyu. Mereka itu tunggu mati sebenar sahaja untuk menerima azab.

 

وَلا تُسمِعُ الصُّمَّ الدُّعاءَ إِذا وَلَّوا مُدبِرينَ

dan (tidak pula) menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling membelakang.

Ini kerana mereka tidak mampu lagi mendengar. Sama macam kita tidak boleh beri orang pekak dengar apa yang kita cakap, maka sama sahaja dengan orang yang telah ditutup pendengaran mereka dari kebenaran. Jadi kamu tidak boleh memperdengarkan kepada mereka panggilan dakwah.

Sudahlah mereka tidak mendengar, mereka pula membelakangi kamu maka tidak boleh nak beri isyarat pun lagi. Macam orang pekak, kalau dia mengadap kita, kita boleh lagi nak bagi isyarat, bukan? Tapi kalau dia membelakangi kita, nak sampaikan maklumat macam mana lagi?


 

Ayat 81:

وَما أَنتَ بِهادِي العُميِ عَن ضَلٰلَتِهِم ۖ إِن تُسمِعُ إِلّا مَن يُؤمِنُ بِآيٰتِنا فَهُم مُّسلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you cannot guide the blind away from their error. You will only make hear those who believe in Our verses so they are Muslims [i.e., submitting to Allāh].

(MELAYU)

Dan kamu sekali-kali tidak dapat memimpin (memalingkan) orang-orang buta dari kesesatan mereka. Kamu tidak dapat menjadikan (seorangpun) mendengar, kecuali orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, lalu mereka berserah diri.

 

وَما أَنتَ بِهادِي العُميِ عَن ضَلٰلَتِهِم

Dan kamu sekali-kali tidak dapat memimpin (memalingkan) orang-orang buta dari kesesatan mereka.

Dan kamu wahai Muhammad tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang buta. Iaitu mereka yang buta mata hati mereka. Mata fizikal mereka mungkin boleh nampak, tapi mata hati mereka yang ada masalah. Mereka telah tutup hati mereka sendiri dari terima kebenaran.

Kenapa baginda tidak boleh beri hidayah itu? Ini kita boleh faham dengan adanya huruf ب pada kalimah بِهادِي di dalam ayat ini. Huruf ب di dalam بِسَبَبٍ adalah jenis Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Allah menidakkan yang hidayah itu melekat pada Nabi. Ia bukanlah kepunyaan baginda untuk diberikan kepada sesiapa sahaja. Hanya Allah sahaja yang boleh beri hidayah. Baginda hanya boleh ajak sahaja.

 

إِن تُسمِعُ إِلّا مَن يُؤمِنُ بِآيٰتِنا

Kamu tidak dapat menjadikan (seorang pun) mendengar, kecuali orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami,

Maka bukanlah salah Nabi Muhammad kalau ramai kaum baginda yang tidak mahu terima kebenaran. Sama jugalah dengan kita yang cuba berdakwah kepada manusia. Ada yang mahu dengar dan ada yang pekakkan sahaja telinga mereka. Bukan salah kita kalau mereka begitu.

Kita hanya boleh memperdengarkan Al-Qur’an ini kepada mereka yang percaya kepada ayat-ayat Allah dan mereka yang ada keinginan dalam hati untuk menyerahkan diri mereka kepada Allah.

Ianya bermula dengan kehendak mereka kepada kebenaran. Asalnya mereka memang mahu tahu apakah kebenaran itu. Mereka mungkin tidak tahu lagi, tapi mereka bersedia untuk mendengar dan memikirkan. Kalau ada sifat ini, maka masih ada peluang untuk mereka beriman.

 

فَهُم مُّسلِمونَ

lalu mereka berserah diri.

Dan apabila mereka buka hati mereka kepada kebenaran, maka Allah akan tarik mereka kepada Islam dan mereka akan menyerahkan diri mereka sepenuhnya. Itulah maksud Muslim – mereka yang menyerah sepenuh diri mereka kepada Allah.


 

Ayat 82: 

۞ وَإِذا وَقَعَ القَولُ عَلَيهِم أَخرَجنا لَهُم دابَّةً مِّنَ الأَرضِ تُكَلِّمُهُم أَنَّ النّاسَ كانوا بِآيٰتِنا لا يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the word [i.e., decree] befalls them,¹ We will bring forth for them a creature from the earth speaking to them, [saying] that the people were, of Our verses, not certain [in faith].
  • At the approach of the Hour.

(MELAYU)

Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.

 

وَإِذا وَقَعَ القَولُ عَلَيهِم أَخرَجنا لَهُم دابَّةً مِّنَ الأَرضِ

Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi

Perkataan yang dimaksudkan adalah keputusan dari Allah, penentuan dari Allah. Iaitu keputusan terjadinya Hari Kiamat.

Apabila keputusan telah dibuat di masa hadapan nanti, maka Allah akan mengeluarkan satu binatang yang akan bercakap kepada manusia. Binatang ini dikenali sebagai ‘Dabbatul Ardh’. Kalimah دابَّةً bermaksud binatang yang melata di bumi. Maknanya ia berjalan di bumi.

 

تُكَلِّمُهُم أَنَّ النّاسَ

yang akan mengatakan kepada manusia,

Maklumat tentang Dabbatul ardh ini antara perkara yang termasuk dalam lingkungan ayat-ayat Mutashabihat. Kerana kita tidak tahu bagaimana rupanya dan bagaimanakah caranya ia akan bercakap kepada manusia dan bagaimanakah caranya ia akan menanda orang-orang yang beriman dan orang-orang yang kafir. Ia adalah salah satu daripada tanda-tanda utama hari kiamat. Apabila ia keluar, memang kiamat tidak lama lagi.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ فُرَات، عَنْ أَبِي الطُّفَيْلِ، عَنْ حُذَيفة بْنِ أَسِيدٍ الْغِفَارِيِّ قَالَ: أَشْرَفَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غُرْفَةٍ وَنَحْنُ نَتَذَاكَرُ أَمْرَ السَّاعَةَ فَقَالَ: لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَرَوا عَشْرَ آيَاتٍ: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدُّخَانُ، والدابة، وخروج يأجوج ومأجوج، وخروج عيسى بن مَرْيَمَ، وَالدَّجَّالُ، وَثَلَاثَةُ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قَعر عَدَنٍ تَسُوقُ -أَوْ: تَحْشُرُ -النَّاسَ، تَبِيتُ مَعَهُمْ حَيْثُ بَاتُوا، وَتَقِيلُ مَعَهُمْ حَيْثُ قَالُوا”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Furat, dari Abut Tufail, dari Huzaifah ibnu Usaid Al-Gifari yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. muncul dari kamarnya menemui kami ketika kami sedang memperbincangkan tentang hari kiamat, lalu baginda Saw. bersabda: Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum kalian melihat sepuluh tandanya, iaitu terbitnya matahari dari arah barat, munculnya asap (di langit), munculnya binatang (dari bumi), keluarnya Ya-juj dan Ma-juj, munculnya Isa ibnu Maryam as., munculnya Dajjal, dan tiga gerhana (yaitu gerhana di belahan barat, gerhana di belahan timur, dan gerhana di Jazirah Arabia) serta munculnya api dari pedalaman negeri ‘Adn yang menggiring atau menghimpunkan semua manusia; api itu ikut menginap di mana mereka menginap, dan ikut istirehat di siang hari di mana mereka istirehat di siang hari.

Dalam riwayat Sunan Tirmizi ada diberitahu yang binatang ini akan keluar di Mekah iaitu di Bukit Safa.

 

كانوا بِآيٰتِنا لا يوقِنونَ

bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.

Kebanyakan dari manusia tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Alangkah ruginya mereka nanti.

Binatang ini kelak akan muncul di akhir zaman ketika kebanyakan manusia telah rosak dan mereka meninggalkan perintah-perintah Allah serta mengubah agama yang hak. Allah mengeluarkan bagi mereka binatang melata dari bumi, yang menurut suatu pendapat menyebutkan dari Mekah, sedangkan pendapat yang lain menyatakan bukan dari Mekah, dan haiwan itu berbicara mengenai hal itu kepada manusia.

Ibnu Abbas, Al-Hasan, dan Qatadah telah meriwayatkan dari Ali r.a., bahawa binatang itu dapat berbicara dan berucap kepada mereka dengan sebenar-benarnya.

Ata Al-Khurrasani mengatakan bahawa binatang itu berbicara kepada manusia dengan mengatakan, “Sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.”

Ibnu Abbas dalam riwayat lain menyebutkan bahawa binatang itu melukai mereka. Dalam riwayat yang lainnya lagi dari Ibnu Abbas disebutkan pula bahawa binatang itu mengatakan, “Janganlah kamu me­lakukan anu dan anu,” Pendapat ini merupakan pendapat yang baik, tidak ada pertentangan di antaranya, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

Abu Daud At-Tayalisi mengatakan:

حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ أَوْسِ بْنِ خَالِدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “تَخْرُجُ دَابَّةُ الْأَرْضِ، وَمَعَهَا عَصَا مُوسَى وَخَاتَمُ سُلَيْمَانَ، عَلَيْهِمَا السَّلَامُ، فَتَخْطِمُ أَنْفَ الْكَافِرِ بِالْعَصَا، وتُجلي وجه المؤمن بِالْخَاتَمِ، حَتَّى يَجْتَمِعَ النَّاسُ عَلَى الْخُوَانِ يُعْرَفُ الْمُؤْمِنُ مِنَ الْكَافِرِ”.

telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Salamah, dari Ali ibnu Zaid, dari Uwais ibnu Khalid, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Kelak akan muncul haiwan melata bumi yang membawa tongkat Musa dan cincin Sulaiman a.s. lalu ia mencucuk hidung orang kafir dengan tongkat, dan mencerahkan wajah orang mukmin dengan cincinnya sehingga manusia berkumpul di suatu perjamuan, sedangkan orang mukmin dan orang kafir dapat dibezakan.


 

Ayat 83: Sekarang tentang keadaan di Mahsyar kelak.

وَيَومَ نَحشُرُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ فَوجًا مِّمَّن يُكَذِّبُ بِآيٰتِنا فَهُم يوزَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [warn of] the Day when We will gather from every nation a company of those who deny Our signs, and they will be [driven] in rows

(MELAYU)

Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan dari tiap-tiap umat segolongan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, lalu mereka dibagi-bagi (dalam kelompok-kelompok).

 

وَيَومَ نَحشُرُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ فَوجًا

Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan dari tiap-tiap umat segolongan 

Ini adalah keadaan selepas Hari Kiamat nanti, iaitu apabila manusia dibangkitkan. Allah akan bangkitkan manusia dalam kumpulan-kumpulan yang besar.

 

مِّمَّن يُكَذِّبُ بِآيٰتِنا فَهُم يوزَعونَ

orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, lalu mereka dibagi-bagi (dalam kelompok-kelompok)

Yang tidak percaya kepada ayat-ayat allah akan dibangkitkan mengikut kumpulan masing-masing yang sama dengan mereka. Ini seperti mana yang telah disebut batalion-batalion tentera Nabi Sulaiman di awal surah ini. Manusia pun akan ada kumpulan-kumpulan mereka nanti.

Waktu mereka di dunia mereka tidak taat kepada arahan Allah tetapi di akhirat nanti mereka akan berbaris ikut apa yang Allah suruh dan waktu itu mereka akan taat. Tiada ruang untuk melawan kehendak Allah waktu itu. Nak lawan macam mana pula, sedangkan para malaikat akan memaksa mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 69 – 76 (Jalanlah di dunia)

Ayat 69:

قُل سيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “Proceed [i.e., travel] through the land and observe how was the end of the criminals.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Berjalanlah kamu (di muka) bumi, lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.

 

قُل سيروا فِي الأَرضِ

Katakanlah: “Berjalanlah kamu (di muka) bumi,

Maka Allah suruh Nabi Muhammad memberitahu kepada mereka untuk berjalan di muka bumi. Kalau tak mahu juga nak terima hidayah tauhid, maka luangkanlah masa untuk berjalan dan tengok alam ini.

 

فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُجرِمينَ

lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.

Pergi tengok tempat itu bukan sebab nak jalan-jalan tapi untuk lihat kesan-kesan peninggalan kaum yang engkar dan bagaimana mereka telah dihancurkan oleh Allah Ta’ala kerana mereka tidak mahu mempercayai hari akhirat. Takkan nak jadi macam mereka?

Arahan melihat tempat azab diturunkan kepada umat terdahulu hanya kepada orang yang engkar. Bukanlah sunnah untuk pergi melawat tempat-tempat itu pula. Jangan kita pergi pula.


 

Ayat 70: Dari ayat ini sehingga ke hujung surah (ayat 93) adalah Perenggan Makro Kelapan. Ia sebagai pujukan kepada Nabi Muhammad supaya jangan sempit dada dengan kedegilan orang kafir. Allah akan membuat urusan dengan mereka kemudian. Maka Nabi (dan juga kita) hanya sampaikan saja ayat-ayat Allah.

وَلا تَحزَن عَلَيهِم وَلا تَكُن في ضَيقٍ مِّمّا يَمكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And grieve not over them or be in distress from what they conspire.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu berduka cita terhadap mereka, dan janganlah (dadamu) merasa sempit terhadap apa yang mereka tipudayakan”.

 

وَلا تَحزَن عَلَيهِم

Dan janganlah kamu berduka cita terhadap mereka,

Allah suruh Nabi Muhammad jangan bersedih sangat tentang mereka yang menolak itu dan jangan hiraukan sangat apa kata-kata mereka. Bukan tugas baginda untuk memikirkan tentang mereka yang telah lepas.

 

وَلا تَكُن في ضَيقٍ مِّمّا يَمكُرونَ

dan janganlah (dadamu) merasa sempit terhadap apa yang mereka tipudayakan”.

Dan Allah beritahu Nabi jangan sesak dada baginda kerana rancangan mereka yang jahat itu. Rancangan mereka itu telah diberi isyarat oleh Allah di dalam kisah rancangan sembilan golongan kaum Nabi Saleh yang merancang untuk membunuh baginda.

Baginda tidak perlu sesak kerana Allah berjanji akan menyelamatkan baginda.


 

Ayat 71: Ayat syikayah. Ini adalah kata-kata mereka yang tidak percaya dengan datangnya Hari Kiamat dan kebangkitan semula itu.

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “When is [the fulfillment of] this promise, if you should be truthful?”

(MELAYU)

Dan mereka (orang-orang kafir) berkata: “Bilakah datangnya azab itu, jika memang kamu orang-orang yang benar”.

 

Mereka dengan kurang ajarnya bertanya bilakah kehancuran mereka itu akan terjadi? Mereka kata begitu kerana tidak percaya.

Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad tidak akan terlepas dari azab yang dijanjikan kepada mereka. Tapi ada perbezaan antara azab yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah dan kaum engkar yang terdahulu kerana kehancuran mereka yang dulu itu serta merta dan bencana alam dikenakan kepada mereka. Ini seperti yang dikenakan kepada Aad dan Tsamud.

Tetapi Musyrikin Mekah tidak dikenakan dengan cara begitu. Dalam kes Musyrikin Mekah itu mereka diberikan hukuman dengan tangan Rasulullah dan para sahabat sendiri di mana mereka diperangi dalam Perang Badr, Uhud dan perang-perang lain. Dan oleh kerana itu kehancuran mereka tidak berlaku serta merta tetapi sedikit demi sedikit. Mula-mula sekali mereka dikalahkan di Badr. Akhir sekali Mekah telah dibuka oleh Islam.

Tapi yang ditanya oleh Musyrikin Mekah itu adalah ancaman azab seperti yang disebut-sebut di dalam Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tak percaya kerana itu mereka kata kalau ada, berilah sekarang. Tapi Allah tidak pilih begitu untuk kenakan mereka.


 

Ayat 72: Apabila mereka minta, maka Allah ajar kepada Rasulullah bagaimana nak jawab kepada mereka.

قُل عَسىٰ أَن يَكونَ رَدِفَ لَكُم بَعضُ الَّذي تَستَعجِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Perhaps it is close behind you [i.e., very near] – some of that for which you are impatient.

(MELAYU)

Katakanlah: “Mungkin telah hampir datang kepadamu sebahagian dari (azab) yang kamu minta (supaya) disegerakan itu.

 

Mungkin apa yang kamu tanya-tanya dan minta dipercepatkan itu dekat sahaja dengan kamu. رَدِفَ digunakan untuk orang yang membonceng kita di belakang seperti atas motor ataupun atas kuda. Maknanya memang betul-betul dekat sahaja di belakang.

Allah hendak memberitahu bahawa kehancuran yang mereka minta-minta itu memang sudah dekat sangat dan ini memberi isyarat kepada Perang Badar yang akan berlaku tidak lama lagi.

Allah boleh sahaja kenakan mereka dengan azab kehancuran seperti azab yang dikenakan kepada kaum-kaum terdahulu tapi kenapa Allah melewatkan azab? Kerana Allah beri masa tangguh kepada mereka untuk mengubah sikap mereka.


 

Ayat 73:

وَإِنَّ رَبَّكَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, your Lord is full of bounty for the people, but most of them do not show gratitude.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikan-Nya) kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukuri(nya).

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ

Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikan-Nya) kepada manusia,

Siapakah golongan manusia yang akan mendapat kurniaan yang besar daripada Allah itu? Mereka adalah para sahabat yang ditindas semasa mereka di Mekah dan waktu itu mereka lemah tetapi mereka akan menjadi kuat di Madinah. Dan mereka akan mengalahkan Musyrikin Mekah dan akhirnya akan membuka dan mengambil alih Mekah nanti.

Allah ada banyak kurnia nikmat kepada manusia. Allah boleh beri macam-macam. Yang penting manusia kenalah bersyukur kepada Allah. Allah tetap melimpahkan nikmat-nikmat-Nya kepada Musyrikin Mekah itu, sekalipun mereka berbuat aniaya terhadap diri mereka sendiri; dan selain dari itu mereka tidak bersyukur kepada-Nya atas nikmat-nikmat tersebut, terkecuali hanya sedikit orang dari kalangan mereka.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَشكُرونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukuri(nya).

Tapi kebanyakan manusia tidak bersyukur seperti Musyrikin Mekah yang telah diberikan dengan berbagai-bagai kelebihan kerana duduk di Mekah dan menjadi penjaga Kaabah tetapi mereka tidak menjalankan tugas mereka seperti yang sepatutnya.

Dan manusia lain pun banyak yang tidak bersyukur. Bersyukur itu ditunjukkan dengan melakukan ketaatan kepada Allah (bukan hanya sebut alhamdulillah sahaja). Oleh kerana ramai yang tidak taat, itu adalah tanda yang mereka tidak bersyukur.


 

Ayat 74:

وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَعلَمُ ما تُكِنُّ صُدورُهُم وَما يُعلِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, your Lord knows what their breasts conceal and what they declare.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka nyatakan.

 

Allah tahu apa yang mereka simpan jauh di dalam lubuk hati mereka. Akinna adalah peti yang tidak boleh dipecahkan. Sepertimana Allah kata yang Al-Qur’an itu adalah kitaabun maknoon. Ia bermaksud kitab yang terpelihara dan tidak dapat diganggu.

Allah gunakan kalimah ini dan bukannya kalimah ‘sorok’ (tukhfi) kerana mereka memang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyorok perasaan mereka terhadap Al-Qur’an. Kerana mereka tidak mahu perasaan terpesona mereka dan kepercayaan mereka kepada Al-Qur’an itu terbongkar maka mereka kena sorok lebih dalam lagi.

Allah beritahu yang Dia tahu apa yang mereka katakan di luar tidak sama seperti di dalam hati mereka kerana jauh di dalam lubuk hati mereka, mereka terpesona dengan Al-Qur’an tetapi di luaran mereka mengutuk Al-Qur’an itu.


 

Ayat 75:

وَما مِن غائِبَةٍ فِي السَّماءِ وَالأَرضِ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there is nothing concealed¹ within the heaven and the earth except that it is in a clear Register.²

  • Literally, “absent [from the senses].”
  • The Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth), which is with Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MELAYU)

Tiada sesuatu pun yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan (terdapat) dalam kitab yang nyata (Lauhul Mahfuzh).

 

Tidak ada perkara yang tersembunyi kepada Allah melainkan ianya ada di dalam ‘kitab’ dan Allah tahu perkara itu walaupun apa yang ada di dalam hati manusia yang manusia bersungguh-sungguh untuk sorok.

Kitaabin mubin bermaksud ‘ilmu Ilahi’. Semua yang terjadi dan akan terjadi telah ditulis dalam Kitab Lauh Mahfuz.


 

Ayat 76:

إِنَّ هٰذَا القُرءآنَ يَقُصُّ عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ أَكثَرَ الَّذي هُم فيهِ يَختَلِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this Qur’ān relates to the Children of Israel most of that over which they disagree.

(MELAYU)

Sesungguhnya Al Qur’an ini menjelaskan kepada Bani Israil sebahagian besar dari (perkara-perkara) yang mereka berselisih tentangnya.

 

إِنَّ هٰذَا القُرءآنَ يَقُصُّ عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ

Sesungguhnya Al Qur’an ini menjelaskan kepada Bani Israil

Al-Qur’an ini bukan sahaja membongkar banyak perkara kepada Musyrikin Mekah tetapi kepada Bani Israil juga. Ada banyak perkara yang telah disorok daripada umat Bani Israil oleh ahli-ahli agama mereka sampaikan perkara itu menjadi perbezaan pendapat antara mereka. Dan Al-Qur’an datang untuk memberitahu kedudukan perkara-perkara itu dengan sebenarnya.

 

أَكثَرَ الَّذي هُم فيهِ يَختَلِفونَ

sebahagian besar dari (perkara-perkara) yang mereka berselisih tentangnya.

Ada banyak fahaman mereka yang berlawanan dengan apa yang diajar di dalam Islam dan mereka mengatakan yang Islam mengeluarkan berita yang salah tetapi Allah akan membongkar kesalahan mereka itu. Dan ini akan disebut dengan panjang lebar di dalam surah yang seterusnya.

Antaranya seperti perselisihan mereka tentang Nabi Isa dan perselisihan mereka mengenai dirinya; orang-orang Yahudi membuat-buat berita bohong terhadapnya, sedangkan orang-orang Nasrani berlebih-lebihan dalam menilainya.

Maka datanglah Al-Qur’an dengan membawa pendapat yang pertengahan, hak, lagi adil, bahawa Nabi Isa adalah salah seorang dari hamba-hamba Allah, dan merupakan salah seorang dari Rasul dan Nabi-Nya yang mulia, seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya:

{ذَلِكَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ قَوْلَ الْحَقِّ الَّذِي فِيهِ يَمْتَرُونَ}

Itulah Isa putra Maryam, yang mengatakan perkataan yang benar, yang mereka berbantah-bantahan tentang kebenarannya (Maryam: 34)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir