Tafsir Surah Fussilat Ayat 44 – 46 (Qur’an sebagai syifa’)

Ayat 44: Ada Jumlah Muqaddar dalam ayat ini: Musyrikin Mekah kata kepada Nabi, kalau Al-Qur’an itu betul, mestilah ia turun dalam bahasa lain. Kerana Nabi Muhammad ﷺ itu memang orang Arab, jadi kalau bawa kitab yang dari bahasa Arab juga, tidak ada apa yang menarik – biasa sahaja nampaknya kepada mereka.

Lagi satu mereka kata, kalau dalam bahasa Arab, entah-entah Nabi Muhammad ﷺ buat sendiri ayat-ayat Al-Qur’an itu. Sepatutnya bawalah kitab dalam bahasa lain. Barulah mereka yakin yang bukan Nabi Muhammad yang reka sendiri.

Itulah hujah-hujah bodoh mereka. Itu sebenarnya adalah alasan sahaja dari mereka untuk tidak ikut. Macam kalau ada orang yang kutuk kalau kita mengajar dalam bahasa Melayu. Mereka kata ajar dalam bahasa Inggeris barulah ada standard sikit. Atau apa-apa sahaja komen dari mereka (diri sendiri tidak mengajar, tapi pandai komen orang yang mengajar sahaja).

Oleh kerana soalan mereka itu ada sedikit bernas, maka Allah jawab apa yang dikatakan mereka:

وَلَو جَعَلنٰهُ قُرآنًا أَعجَمِيًّا لَّقالوا لَولا فُصِّلَت ءآيٰتُهُ ۖ ءاْعجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ ۗ قُل هُوَ لِلَّذينَ ءآمَنوا هُدًى وَشِفاءٌ ۖ وَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ في ءآذانِهِم وَقرٌ وَهُوَ عَلَيهِم عَمًى ۚ أُولٰئِكَ يُنادَونَ مِن مَّكانٍ بَعيدٍ

Sahih International

And if We had made it a non-Arabic Qur’an, they would have said, “Why are its verses not explained in detail [in our language]? Is it a foreign [recitation] and an Arab [messenger]?” Say, “It is, for those who believe, a guidance and cure.” And those who do not believe – in their ears is deafness, and it is upon them blindness. Those are being called from a distant place.

Malay

Dan kalaulah Al-Qur’an itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: “Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Qur’an itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Qur’an itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Qur’an, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)”.

 

وَلَوْ جَعَلْنٰهُ قُرْءآنًا أَعْجَمِيًّا

Kalau sekiranya Kami jadikan Al-Qur’an ini dalam bahasa bukan Arab,

Kalimah أَعْجَمِيًّا bermaksud ‘bahasa yang selain dari bahasa Arab’. Orang bukan Arab pula dipanggil ajami. Dari segi bahasa asal, ia bermaksud ‘seseorang yang cakap gagap’. Ia juga bermaksud ‘seseorang yang bodoh – tak tahu bercakap’.

Kepada orang Arab, sesiapa yang tidak tahu bercakap bahasa Arab, mereka itu orang yang bodoh – tidak tahu bercakap. Ini adalah kerana mereka bangga sungguh dengan keindahan bahasa Arab mereka. Waktu itu mereka bangsa yang pandai dalam bahasa, pandai buat puisi. Sampaikan, kalau kita suruh mereka buat puisi, mereka terus boleh buat waktu itu juga, tak perlu fikir panjang.

 

لَّقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ ءآيٰتُهُ

nescaya mereka akan kata: “kenapa ayat ini tidak dijelaskan sejelas-jelasnya?”; 

Kalaulah Allah ikut kata mereka, turunkan Al-Qur’an dalam bahasa selain dari bahasa Arab, mereka akan kata lain pula. Mereka akan kata: “kenapa tak turunkan dalam bahasa Arab pula. Kenapa diturunkan dalam bahasa yang kami tak faham?”

Maknanya, semuanya salah pada mata mereka. Serba tak kena kepada mereka kerana mereka memang tak suka. Itu semua adalah alasan mereka sahaja. Apabila manusia itu tidak suka, tidak mahu terima, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan. Kadang-kadang alasan yang kita tak pernah dengar pun ada. Kadang-kadang alasan yang kita tak sangka pun mereka boleh terfikir dalam kepala otak mereka.

Kalimah فُصِّلَتْ iaitu nama surah ini bermaksud ‘diterangkan sejelas-jelasnya’. Tujuan Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab adalah supaya mereka mudah faham kerana dalam bahasa mereka. Oleh itu, ini juga mengajar kita supaya dalam kita berdakwah, hendaklah kita menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh orang yang kita dakwah.

Sebagai contoh, kalau kita berdakwah kepada bangsa Melayu, kita pakailah bahasa Melayu; kalau kepada bangsa Cina, kita pakailah bahasa Cina. Bukan itu sahaja, kita hendaklah menggunakan lenggok bahasa yang mereka mudah faham. Kalau mereka orang kampung, kita gunakan bahasa kampung juga. Jangan kita gunakan bahasa Universiti pula dengan mereka. Yang penting, maklumat sampai kepada mereka.

 

ءاْعجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ

Patutkah Al-Qur’an dalam bahasa A’jam sedangkan Nabi itu orang Arab?

Patutkah Al-Qur’an itu diberikan dalam bahasa selain Arab kepada seorang Nabi yang berbangsa Arab dan bercakap Arab? Dan umat pertama baginda pula adalah bangsa Arab? Tentulah tidak patut.

Itulah sebabnya Al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas. Dan memang bahasa Arab itu adalah bahasa yang hebat. Sesuatu makna boleh disampaikan dalam perkataan yang sedikit. Ini tidak ada dalam bahasa selain dari bahasa Arab. Kalau kita tahu sedikit tentang bahasa Arab, kita akan faham apakah yang dimaksudkan dengan keindahan dan kehebatan bahasa Arab itu. Ianya tidak sama dengan bahasa lain.

Maka, elok sangatlah kalau kita dapat meluangkan masa untuk mendalami sedikit bahasa Arab itu supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Allah kepada kita.

Nota Tajwid: Di atas huruf alif, ada satu simbol bulat hitam (tiada lubang). Kena rujuk kepada mushaf Al-Qur’an kerana tidak dapat ditunjukkan di sini. Dan kita hanya boleh jumpa simbol ini di tempat ini sahaja.

  • Asal perkataan ini ialah a-a’-ja-miy.
  • Hamzah pertama bermaksud ‘adakah’.
  • Hamzah (alif) kedua pula ialah sebahagian daripada perkataan Arab: A’jamiy – yang bermaksud ‘orang bukan Arab’.

Cara bacaannya ialah dengan meringankan bacaan hamzah (alif) kedua. Seolah-olah digabung dengan hamzah pertama. Bukannya dibaca kedua-dua hamzah itu sama jelas seperti a+a’jamiyy, tetapi lebih kepada Aaa’jamiyyuw wa ‘arabiyy. Seolah-olah hamzah dibaca dua harakat sebelum dimatikan dengan ‘ain. Kena dengar qari baca baru boleh nampak betul.

 

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah: bahawasanya Al-Qur’an itu untuk orang yang beriman sempurna.

Al-Qur’an itu diturunkan untuk seluruh manusia, tetapi yang boleh terima adalah mereka yang beriman sempurna sahaja. Iaitu mereka yang nak cari jalan kebenaran. Mungkin mereka tidak beriman lagi, tapi mereka ada keinginan untuk tahu kebenaran. Kalau kita ada iman, Al-Qur’an itu akan menjadi petunjuk kepada hidayah.

Tapi kalau tidak beriman, kita tidak ambil peduli pun. Atau kita ubah-ubah makna ayat Al-Qur’an itu. Kita pandai-pandai sendiri kata ayat Al-Qur’an ini bermakna ini, makna itu, padahal bukan belajar pun, cuma memandai-mandai sahaja. Itu adalah jenis orang yang hendak mencari-cari dalil untuk membenarkan perbuatan mereka. Rujuk golongan mulhid yang disebut dalam ayat 40 sebelum ini.

Ada juga yang menggunakan Al-Qur’an untuk membenarkan kehendak hati mereka. Mereka ada fahaman yang bukan datang dari agama, tapi mereka gunakan Al-Qur’an supaya seolah-olah nampak amalan mereka itu benar. Dalil yang sah tidak ada, tapi mereka akan korek sampaikan kalau yang ada kena sikit-sikit pun, mereka nak pakai juga. Kalau tak jumpa juga, mereka akan pakai hadis yang dhaif atau maudhu’. Kalau tidak ada, mereka akan reka guna akal mereka.

Akan ada sahaja orang-orang yang tidak tahu Al-Qur’an, tapi menggunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an sebagai hujah mereka. Sebagai contoh, mereka akan menggunakan ayat Al-Qur’an untuk mengatakan memang dalam Al-Qur’an ada suruhan supaya zikir dilakukan beramai-ramai.

Mereka sudah ada iktikad yang zikir beramai-ramai itu molek, maka mereka koreklah ayat-ayat yang agak-agak kena dengan pemahaman salah mereka itu. Memang mereka ada jumpa, tapi itu sebenarnya salah kerana mereka tidak faham apakah maksud dan bahasa Arab.

 

هُدًى

sumber petunjuk.

Orang yang ada iman dalam hati mereka akan menjadikan Al-Qur’an itu sebagai sumber petunjuk.

Memang banyak sumber petunjuk terdapat dalam Al-Qur’an, asalkan kita mahu mempelajarinya. Ianya akan menjadi petunjuk kepada kita untuk kehidupan dunia dan akhirat. Al-Qur’an mengajar cara bagaimana menjalani kehidupan di dunia supaya kita akan selamat di akhirat.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa kita orang Melayu tapi Al-Qur’an dalam bahasa Arab? Jawapannya adalah kerana Al-Qur’an ini bahasanya mudah. Kalau diterjemah pun sudah boleh difahami dengan mudah. Allah pilih bahasa Arab kerana ianya adalah bahasa terkaya dan terbaik.

Ianya terbaik sampai boleh dilagukan kerana memang ianya adalah bahasa yang sedap didengari. Ini kelebihan bahasa Arab yang tidak ada dalam bahasa lain. Jadi, Allah pilih satu bahasa sahaja kerana takkan nak turun Al-Qur’an dalam 200 bahasa pula?

 

وَشِفَاءٌ

dan penawar; 

Dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an akan dapat mengubati penyakit syirik yang ada dalam hati manusia. Ya, syirik adalah satu penyakit. Dengan kita belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan faham tentang masalah syirik dan apakah yang dimaksudkan syirik itu. Ayat-ayat Al-Qur’an membuka pintu ilmu dan memberitahu kepada kita manakah fahaman-fahaman yang syirik yang dilakukan oleh manusia.

Ianya juga akan mengajar kita tentang Allah dan fahaman-fahaman yang betul. Penyakit syirik dapat disembuhkan dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Orang yang masih melakukan syirik walaupun mereka mengaku beragama Islam adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ada juga jenis penyakit yang dalam bentuk hati seperti riak, ujub, takabbur, angkuh, cemburu buta, busuk hati dan lain-lain lagi. Sesiapa yang belajar tafsir Al-Qur’an, penyakit hatinya akan terubat. Bukannya dengan mengamalkan selawat syifa’ yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita.

Selawat ini tidak dapat diamalkan kerana dalam selawat itu dikatakan bahawa Nabi akan menyembuhkan penyakit hati. Bolehkah begitu? Adakah Nabi mempunyai kelebihan itu? Tentulah tidak, kerana Nabi pun manusia. Hanya Allah sahaja yang boleh mengubati penyakit hati kita.Maka kalau amalkan selawat itu adalah syirik kerana meminta berkat kepada Nabi.

Mereka yang mengamalkan Selawat Syifa’ ini berharap semoga mereka mendapat keberkatan dari Nabi. Ini adalah satu fahaman yang salah kerana Nabi tidak boleh beri berkat kepada kita. Memang Nabi ada berkat, tapi Nabi tidak boleh beri berkat kepada kita.

Sebagai contoh, kalau bapa kita dapat pangkat dato’ dari dua negeri, adakah boleh dia beri satu dato’ kepada kita? Tentulah tidak boleh kerana pangkat dato’ itu diberikan kepada bapa kita sahaja.

Begitulah juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun Nabi ada keberkatan, tapi Nabi tidak boleh beri keberkatan itu kepada umatnya. Ini adalah masalah salah faham dengan ‘tabarruk’. Tabarruk memang ada dalam Islam, tapi bukanlah seperti faham masyarakat kita. Dan masalah ‘syirik dalam berkat’ ini memang ada masalah dalam masyarakat kita dan banyak disentuh dalam Al-Qur’an.

Lafaz selawat-selawat yang direka itu tidak ada dalam hadis mana-mana pun. Yang mencipta selawat itu adalah manusia, bukan lafaz dari Nabi. Sedangkan Nabi sendiri sudah ajar kepada umatnya lafaz-lafaz selawat yang betul. Tidak perlu kita hendak mencipta dan amalkan selawat yang selain darinya.

Yang betulnya, untuk menghilangkan penyakit hati adalah dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau dulu ada amalkan selawat itu, bertaubatlah kepada Allah. Jangan degil pula. Janganlah kerana ramai orang amalkan, ramai yang berkesan apabila mengamalkannya, kita sangka ianya adalah benar. Jangan kerana ada yang kata ia ‘berkesan’, maka ada yang rasa ia benar pula.

Selain daripada Selawat Syifa’, satu lagi selawat yang ada unsur Syirik adalah Selawat Tafrijiyyah. Dalam selawat Tafrijiyyah, mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ boleh menyelesaikan dan merungkaikan segala masalah. Ini pun syirik juga.

Mungkin mereka yang membaca dan mengamalkan bacaan selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu tidak tahu bahasa Arab agaknya. Mereka cuma mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain. Mereka sendiri tidak belajar agama dengan benar. Kalau ada orang yang nampak alim sahaja, mereka terus terima tanpa usul periksa.

Selain dari itu, kita selalu lihat dalam selawat, ada yang menambah kalimah panggilan ‘Sayyidina’ – yang bermakna ‘Penghulu kami’ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tidak ada dalam hadis sahih mana-mana yang kata sahabat Nabi pernah panggil Nabi Muhammad ﷺ dengan panggilan ‘Sayyidina’.

Maka, kalau kita pakai gelaran itu kepada Nabi, adalah tidak tepat. Baginda adalah penghulu segala rasul, bukan seorang penghulu kepada kita. Sedangkan Nabi pernah melarang umatnya memanggil baginda dengan gelaran ‘sayyid’.

Abdullah bin al-Syikhir radhiallahu ‘anh berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.” Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!” Rasulullah menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Bahaya kalau kita mengamalkan selawat kalau kita salah faham maksudnya. Kerana lafaz-lafaz selawat telah diajar oleh Nabi dan telah disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Pakailah lafaz-lafaz yang telah diajar Nabi. Itulah yang terbaik kerana ianya diajar sendiri oleh Nabi. Adakah kurang ajaran dari Nabi sampai kita kena pakai ajaran dari orang lain?

Yang sebetulnya, ramai yang melakukan pujian yang berlebihan terhadap Nabi, sedangkan Nabi sudah menegur kita untuk berhati-hati dalam perkara ini:

Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami! Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Saya Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Satu lagi perkara yang hendak disentuh di sini, bilakah selawat itu dibaca? Sebenarnya, bila-bila masa sahaja kita boleh selawat. Tanpa perlu kerana ada apa-apa sebab. Tapi, orang kita selalunya mengamalkan selawat dalam waktu-waktu tertentu. Ia sudah menjadi seperti satu amalan khas pula.

Antaranya, selalu kita diajar apabila nak makan ubat, kena selawat tiga kali. Datang dari manakah amalan itu? Kita tanya kerana kita tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tak pernah ajar. Ditakuti ada dalam hati kita satu qasad yang mengatakan, Nabi ada terlibat dalam memberi kesembuhan kepada kita. Kalau ada qasad yang sebegitu, itu sudah masuk ke lembah kesyirikan – kerana yang menyembuhkan kita adalah Allah.

Kalau kita kata ada makhluk lain yang boleh menyebabkan kita sembuh, itu adalah satu kesyirikan. Maka baca bismillah sahaja semasa makan ubat sambil mengharap Allah akan sembuhkan kita. Kerana yang menyembuhkan penyakit kita adalah Allah.

Begitu juga, tak payah kita nak baca selawat dalam keadaan-keadaan tertentu pula. Sebagai contoh, ada yang amalkan baca selawat semasa basuh sayur, basuh baju, semasa bersalam atau sebagainya. Ditakuti kita sampai kepada tahap ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ pula. Kita tidak boleh puja sesuatu makhluk bersama dengan Allah, walaupun ianya adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Selawat itu memang dianjurkan bila-bila masa sahaja, tapi apabila ianya dikhususkan untuk sesuatu perbuatan, ianya sudah termasuk dalam perbuatan bidaah dan menambah dalam hal agama. Jangan salah faham sampai kata kita halang orang baca selawat pula. Kita ajak orang baca selawat kerana nak selawat kepada Nabi, kerana hendak mendoakan baginda, bukan kerana nak sesuatu kelebihan.

Satu lagi, ulama juga mengambil dalil dari ayat ini bahawa ayat-ayat Al-Qur’an juga boleh digunakan sebagai ruqyah sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit fizikal manusia.

Tapi kena berhati-hati dalam perkara ini jangan sampai kita tersalah langkah. Sebagai contoh, kita ambil perumpamaan satu pistol. Pistol itu adalah satu alat yang merbahaya dan boleh jadi bermanfaat. Kalau seseorang pandai menggunanya, maka ianya boleh jadi sesuatu yang bermanfaat. Ia boleh digunakan untuk menjaga keselamatan, bunuh musuh dan sebagainya. Tapi kalau seseorang tidak pandai menggunakannya, ianya boleh mengambil nyawa orang yang tidak bersalah.

Begitu juga dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Ianya adalah sesuatu yang mempunyai mukjizat. Tapi kalau orang yang tidak tahu menggunakannya, tapi dia mengamalkannya juga, dia mungkin boleh tersalah guna. Ianya juga boleh menyebabkan dia jatuh berdosa kalau dia tidak faham apa yang dia lakukan.

Sebagai contoh, kalau dia gunakan ayat Al-Qur’an dan orang yang diruqyah itu sembuh, mungkin dia terfikir dalam hatinya bahawa ayat Al-Qur’an itulah yang menyembuhkan orang itu. Maka, itu adalah satu fahaman yang salah dan syirik. Kerana yang menyembuhkan itu adalah Allah.

Dan juga kita lihat banyak manusia yang menjalankan kerja-kerja penyembuhan ini, menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai ‘tangkal’. Mereka akan baca dan tiup kepada pesakit dengan niat untuk menyembuhkan penyakit itu. Mereka sebenarnya tak faham pun apa yang mereka baca itu. Ini sudah jadi macam kisah filem Harry Porter yang menggunakan bacaan ayat-ayat tertentu untuk buat sihir sahaja. Ingatlah bahawa ayat Al-Qur’an itu dijadikan sebagai pedoman untuk kita, bukan sebagai ‘azimat’ untuk kita.

Bagaimana dengan hadis-hadis yang menunjukkan sahabat menggunakan Fatihah sebagai ruqyah? Kalau sudah ada dalil yang sahih yang mengatakan Fatihah itu sebagai ruqyah, maka ianya boleh diterima kerana Nabi sendiri telah mengiyakannya. Tapi tidaklah kita boleh kata ayat-ayat yang lain pun begitu juga.

Cara yang selamat adalah: kita baca ayat Al-Qur’an sebagai satu amalan ibadat. Kemudian kita baca doa. Kerana doa lebih makbul selepas kita melakukan satu-satu ibadat. Maka, baca Al-Qur’an sebagai ibadat dan selepas itu kita doa semoga Allah sembuhkan orang yang sakit itu. Ini lebih selamat dari kita melakukan perkara yang tidak pasti.

Oleh itu, kita tidak bersetuju dengan sesetengah individu yang mengeluarkan senarai ayat-ayat tertentu boleh menyembuhkan penyakit ini dan itu. Atau sesuatu ayat digunakan untuk tujuan mendapatkan sesuatu. Kita telah sentuh isu itu di tempat lain. Allahu a’lam.

 

وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

dan orang-orang yang tidak beriman,

Sebelum ini telah disebut tentang orang-orang yang beriman dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat dengan belajar tafsir Al-Qur’an dan mengamalkannya. Mereka akan mendapat banyak kebaikan dan dapat menyembuhkan segala jenis penyakit.

Sekarang dikatakan pula tentang orang-orang yang tidak beriman dengan akidah tauhid. Mereka juga tidak mahu menerima ajaran Al-Qur’an. Mereka tidak mahu pun belajar tafsir untuk mengetahui apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Mereka langsung tidak mendapat manfaat dari pembacaan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Walaupun mungkin mereka sendiri selalu membaca Al-Qur’an – tapi jikalau mereka tidak faham, mereka tidak akan tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah.

 

فِي ءآذَانِهِمْ وَقْرٌ

dalam telinga mereka ada sumbatan. 

Mereka tidak dapat mendengar penjelasan yang banyak sekali ada dalam Al-Qur’an itu. Mereka mungkin baca sendiri ayat-ayat Al-Qur’an itu hari-hari, tapi mereka tidak faham apakah yang mereka baca kerana mereka tidak belajar.

Oleh itu, mereka ada buat kesilapan yang mereka sendiri tidak sangka mereka sedang lakukan. Kalau diberikan nasihat kepada mereka, mereka pun tidak dapat mendengar. Kerana mereka seperti pekak. Ada telinga, tapi tidak digunakan. Macam kita bercakap dengan orang, tapi kita boleh lihat pada mukanya, dia tidak faham apa yang kita katakan. Macam dia tidak dengar apa kita kata.

Itulah perumpamaan yang Allah berikan, seperti mereka ada ‘sumbatan’ dalam telinga mereka yang menghalang mereka dari mendengar. Ini bukan sumbatan fizikal dan kalau korek telinga mereka, tak boleh nak keluarkan sumbatan itu. Ini adalah perumpamaan tentang mereka yang kurang ilmu kerana dalam hati mereka, mereka memang tidak mahu terima kebenaran. Maka mereka tutup telinga mereka dari mendengar kebenaran.

 

وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى

dan mereka buta terhadap Al-Qur’an itu.

Mereka tak faham langsung apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tidak nampak kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah dalam kalamNya itu. Seolah-olah mereka itu buta. Dan sememangnya mereka buta, tapi ‘buta hati’.

Walaupun berkali-kali mereka diberitahu tentang maksud sesuatu ayat Al-Qur’an itu tapi kalau hati menolak, mereka tidak nampak. Allah sudah tarik kebolehan mereka untuk menerima hidayah kerana mereka sudah sampai kepada tahap kufur peringkat keempat.

 

أُولَٰئِكَ  يُنَادَوْنَ مِنْ مَّكَانٍ بَعِيدٍ

Orang-orang yang bersifat seperti ini seperti seorang yang diseru dari tempat yang jauh sekali.

Allah beri perumpamaan seperti kita panggil orang yang jauh. Dia dengar, tapi tak dengar dengan jelas dan tidak tahu apakah yang disebut. Dia pun mungkin tak perasan yang kita sedang panggil dia. Dia dengar sayup-sayup sahaja suara kita.

Sudahlah telinga mereka ada sumbatan, tak nampak dengan jelas pula. Maka, kalau kita panggil orang yang macam itu, mereka tak tahu kita panggil mereka. Walaupun mereka di hadapan kita, mereka tidak mendengar dan melihat. Mereka tidak dapat faham.

Ini adalah bahasa kiasan dalam bahasa Arab. Kalau seseorang itu faham apa yang dikatakan, orang Arab akan kata: أنت تسمع من قريب kamu mendengar dari tempat yang dekat; dan kalau orang itu tidak faham, mereka akan kata: أنت تنادى من بعيد engkau mendengar dari tempat yang jauh.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa mereka itu telah jauh tersasar dari agama. Jauh sangat sampai susah untuk kembali. Orang yang seperti ini, bukan tidak boleh kembali, tapi kena usaha lebih sikit dengan mereka. Kena berusaha bersungguh-sungguh dan berkali-kali kena dakwah kepada mereka, baru mereka boleh terima – itu pun kalau Allah izinkan.

Kata-kata yang lebih kurang sama telah Allah sebutkan dalam Baqarah:171.

Habis Ruku’ ke 5 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 45: Ini adalah satu lagi kesamaran yang asalnya datang dari Yahudi dan mungkin mereka telah ajar kepada Musyrikin Mekah. Mereka kata tak sama cara Al-Qur’an diturunkan dengan cara Taurat yang turun lengkap.

Mereka kata, kalau betul Al-Qur’an itu kitab dari Tuhan, mestilah turun terus lengkap macam Taurat itu. Mereka kata, entah-entah Nabi Muhammad keluarkan sikit-sikit itu sebab Nabi Muhammad yang buat sikit-sikit Al-Qur’an itu ikut kemampuan dia.

Allah jawab juga hujah dan tohmahan ini sebab bernas juga. Allah tempelak mereka dengan mengatakan, walaupun dulu Taurat diturunkan sekaligus pun mereka tidak pakai juga, kemudian mereka tolak dan ubah teks asal Taurat itu, maka jangan salahkan kitab, tapi salahkan diri sendiri.

Kalau sudah degil, mereka tidak akan terima juga walaupun turun sedikit demi sedikit atau turun secara lengkap. Memang akan ada yang beriman dan akan ada yang tolak wahyu. Al-Qur’an pun begitu juga, pasti ada yang tolak kerana memang akan ada jenis yang tidak mahu beriman.

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ فَاختُلِفَ فيهِ ۗ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

Sahih International

And We had already given Moses the Scripture, but it came under disagreement. And if not for a word that preceded from your Lord, it would have been concluded between them. And indeed they are, concerning the Qur’an, in disquieting doubt.

Malay

Dan (janganlah engkau merasa kecewa wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu, kerana) demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka (kaummu) masih menaruh syak yang meragukan tentang (kebenaran Al-Qur’an) itu.

 

وَلَقَدْ ءآتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Dan sesungguhnya Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa kitab, 

Iaitu Kitab Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa عليهم السلام. Ia telah diturunkan kepada Nabi Musa lengkap bertulis. Ini kita dapat tahu apabila kita baca ayat-ayat yang lain. Ia tidak sama dengan pemberian Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ yang diberi sedikit demi sedikit sepanjang 23 tahun.

 

فَاخْتُلِفَ فِيهِ

Mereka pun berselisih tentangnya;

Bani Israil yang telah diberikan dengan Taurat itu pun tidak beriman dengan Taurat itu. Bukan dengan Al-Qur’an sahaja manusia berselisih, Taurat dulu pun pun manusia yang menerima juga sudah berselisih juga.

Perkara yang sama terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ sepertimana yang terjadi kepada Nabi Musa عليهم السلام dan Nabi-nabi lain pun. Akan ada sahaja yang menentang kebenaran. Tidaklah perlu hairan dengan perkara ini kerana ia biasa sahaja. Penolakan manusia dengan wahyu Allah itu bukanlah kerana ianya diturunkan sedikit demi sedikit atau sekali gus. Itu semua alasan sahaja untuk menolak sahaja.

Ayat ini sekali lagi hendak memujuk Nabi dan para sahabat yang menjalankan dakwah. Mereka diberitahu, bukan sekarang sahaja mereka kena bantah, umat-umat yang dahulu pun telah membantah Rasul dan Nabi mereka.

Ia juga adalah pujukan kepada kita yang menjalankan kerja dakwah menyampaikan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Memang kita pun selalu dibantah apabila bawa tafsir Al-Qur’an ini dibacakan dan disampaikan kepada manusia. Tapi ini perkara biasa sahaja. Bersabarlah. Kalau kita tahu ia memang terjadi dari dulu, tidaklah kita kisah sangat, bukan? 

 

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَّبِّكَ

Kalau tidaklah kerana suatu kalimah yang telah terdahulu daripada Tuhan kamu; 

Ini ada satu soalan lagi. Mereka yang menentang wahyu itu berhujah: azab tak datang pun kepada mereka walaupun mereka dikatakan menolak wahyu itu. Sedangkan berkali-kali Nabi Muhammad ﷺ mengatakan bahawa kalau tolak, Allah boleh kenakan azab di dunia lagi. Mereka pun berkata: “mana dia azab yang kau janjikan itu?”

Allah jawab dalam ayat ini: kalau bukan kerana Allah telah tetapkan mereka akan kena azab pada waktu tertentu, tentu mereka akan kena azab terus waktu itu juga. Sebenarnya mereka tak terus kena azab kerana Allah sudah tentukan bila masa mereka akan kena azab. Jangan sangka mereka tidak kena langsung sebab tak kena kena lagi.

Apakah ‘kalimah’ itu? Itulah janji Allah kepada DiriNya untuk melewat-lewatkan azab. Iaitu Allah akan menangguhkan azab sampai kita mati, baru Dia azab kita. Allah beri peluang kepada manusia yang engkar untuk bertaubat.

 

لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentu Allah akan beri keputusan kepada mereka.

Kalau Allah tak beri tangguh, tentu mereka sudah kena azab lama dulu lagi. Semasa dalam dunia, Allah boleh beri kita buat apa yang kita nak buat. Allah tak terus turunkan azab kalau kita buat syirik, kalau kita buat dosa. Walaupun Allah mampu untuk beri azab sekarang pun, tapi Allah biarkan sahaja orang kafir duduk dalam kesesatan. Allah biarkan sahaja dulu orang yang melakukan dosa.

Tapi tunggulah nanti di akhirat kelak. Kadang-kadang orang yang buat syirik dan buat dosa, mereka sangka mereka tak salah. Mereka sangka, kalau mereka buat salah, tentulah Allah sudah beri azab kepada mereka. Jatuh sakitkah, kena panah petirkah dan sebagainya. Tapi Allah tak buat begitu, kerana Allah sudah janji kepada DiriNya yang Dia akan lewatkan azab itu.

Oleh kerana mereka tak kena azab semasa di dunia, mereka sangka mereka dalam kebenaran. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Oleh itu, kita fahamlah kenapa ramai sangat yang buat syirik tapi tak takut apa. Kerana mereka sangka mereka tak kena apa-apa bala, mereka sangka Allah redha dengan perbuatan mereka.

Pemahaman kedua, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa di akhirat kelak, Allah akan buat penghakiman antara yang salah dan yang benar. Ini adalah kerana kalimah قضى juga bermaksud ‘keputusan’. 

Dalam dunia, mereka kata kita yang salah. Mereka beri hujah macam-macam asalkan mereka tidak perlu terima ajaran Al-Qur’an itu. Mereka beri hujah akal, hujah tok guru mereka dan macam-macam lagi hujah batil dari mereka. Kadang-kadang mereka lagi pandai berhujah dari kita.

Mereka pun selalunya lagi banyak pengikut yang mengiringi mereka. Pendapat mereka adalah pendapat popular, kerana memang ramai yang pegang fahaman macam mereka juga. Yang betul-betul beriman bukannya ramai.

Oleh itu kita kena ingat, Islam ini bukanlah agama demokrasi – kalau dalam demokrasi, tentu yang ramai akan menang. Tapi Islam tidaklah begitu. Kalau seluruh dunia umat buat perkara salah, tidaklah perkara salah itu jadi benar. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

Jadi, dari luarannya, mereka nampak macam mereka berada di pihak yang benar. Tapi, siapakah yang benar sebenar-benarnya? Allah akan beritahu kelak di akhirat. Tapi, waktu itu sudah terlambat kalau baru tahu merekalah yang bersalah. Kalau waktu itu baru mereka nampak mereka di pihak yang salah, mereka tidak ada peluang untuk kembali ke dunia untuk memperbetulkan keadaan lagi. Mereka kena terima hukuman yang akan diberikan kepada mereka.

 

وَإِنَّهُمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ

Sesungguhnya mereka duduk dalam syak wasangka tentangnya 

Iaitu mereka syak wasangka dengan ajakan kepada mengesakan Allah sahaja. Mereka tolak untuk ibadat hanya kepada Allah. Bila kita hujah, mereka rasa macam boleh faham, tapi mereka ragu-ragu. Antaranya sebab ada pendapat yang kata boleh.

Maka itu adalah bahaya. Tidak boleh ragu-ragu dengan wahyu. Kalau ragu-ragu, kena dapatkan maklumat yang benar. Jangan terus berada dalam keraguan. Kena cari kelas tafsir Al-Qur’an supaya keputusan yang tepat dapat diperolehi. Memang kadangkala kita diberitahu perkara yang kita tak pernah dengar, jadi kita ragu. Maka kalau ragu, jangan tolak lagi tapi carilah orang lain yang boleh jelaskan kepada kita.

Tafsir kedua: Mereka tanya-tanya tentang azab yang tak turun itu pun, mereka sebenarnya dalam ragu-ragu sebenarnya. Dalam hati mereka takut juga kalau-kalau mereka betul-betul akan dikenakan dengan azab.

Kerana mereka sudah selalu dengar kisah kaum terdahulu yang telah kena azab dan mereka pun ada rasa yang mereka pun akan kena azab juga. Mereka sebenarnya tidak pernah yakin yang mereka tidak akan kena azab itu. Di mulut sahaja mereka berlagak, tapi dalam hati mereka, mereka takut juga. 

 

مُرِيبٍ

menjadikan orang lain pun syak juga.

Sudahlah mereka tak percaya kepada tauhid, mereka pun buat orang lain syak dan tak percaya juga. Mereka akan beri hujah mereka yang batil, sampaikan orang yang tidak ada ilmu pun akan percaya kepada mereka juga. Kadangkala mereka pandai berhujah menggunakan logik. Dan memang ramai dalam negara ini dan masyarakat kita yang tidak berilmu.

Dan ini juga satu masalah yang kita kena berhati-hati. Kerana ada orang yang pandai berkata-kata dan dengan kata-kata mereka itu dapat mempengaruhi orang lain. Sampaikan Rasulullah pernah bersabda bahawa ada ucapan yang seperti ‘sihir’.

5325 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
أَنَّهُ قَدِمَ رَجُلَانِ مِنْ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ الْبَيَانِ لَسِحْرًا أَوْ إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ

5325. Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari Abdullah bin Umar radliallahu ‘anhuma bahawa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berucap maka orang ramai kagum dengan ucapannya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya dalam ucapan itu ada yang betul-betul memukau (seperti sihir), atau sesungguhnya sebahagian dari ucapan itu adalah sihir.” Sahih Bukhari.

Jadi ramailah orang yang sudah tertipu dengan percakapan orang lain yang pandai berkata-kata dan berhujah. Perkara agama ini hanya ikut-ikutan sahaja kepada mereka. Mereka akan terima sahaja apa yang disampaikan kepada mereka kerana yang menyampaikannya orang besar, nampak alim, nampak banyak pengikut, pandai bercakap dan sebagainya.

Dan oleh kerana ramai ‘agamawan’ di negara ini yang berpegang bahawa bidaah itu boleh dibuat, maka ramailah dari masyarakat yang setuju dengan mereka. Sampai mereka pun syak tentang agama.


 

Ayat 46:

مَّن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

Sahih International

Whoever does righteousness – it is for his [own] soul; and whoever does evil [does so] against it. And your Lord is not ever unjust to [His] servants.

Malay

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

 

مَّنْ عَمِلَ صٰلِحًا

Sesiapa yang buat amal soleh

Ingatlah bahawa amal soleh adalah amal ibadat yang diajar oleh Nabi. Iaitu ada contoh bagaimana Nabi sendiri ada ajar amalan tersebut. Bukan amal ibadat yang direka oleh manusia.

Amal yang direka oleh manusia dinamakan ‘bidaah’. Itu bukan amal soleh, tapi amal bidaah. Amal bidaah tidak diterima, tidak mendapat pahala, malah memberi dosa. Antara yang kita boleh sebut adalah solat Hajat, Majlis Tahlil, Maulidur Rasul, Talqin, Kenduri Arwah dan sebagainya lagi. Banyak sangat amalan bidaah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang.

 

فَلِنَفْسِهِ

ianya untuk dirinya sahaja.

Segala faedah dari amal ibadat itu adalah untuk pembuatnya, bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan ibadah kita. Maka kalau kita buat ibadat atau tidak, Allah tetap dengan kemuliaanNya. Maka jangan kita sangka Allah memerlukan ibadah kita. Ibadah itu Allah suruh kita buat, untuk kebaikan kita sebenarnya.

Sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, dia akan mendapat pahala. Tapi kalau amalan itu tidak soleh dan ianya amalan bidaah, tidak dapat pahala langsung dari Allah. Bukan sahaja tidak dapat pahala, tapi dia akan dapat dosa pula dari perbuatannya itu.

Ayat ini juga hendak memberitahu, sesiapa yang buat amal ibadat, dia sahaja yang akan dapat pahala itu. Bukan orang lain. Kena buat sendiri amal itu, baru dapat. Tak boleh buat ibadat untuk dikirimkan pahala kepada orang lain. Maknanya, tidak betul perbuatan ‘tahlil arwah’.

Majlis Tahlil yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang adalah majlis dimana ramai-ramai akan akan baca Al-Qur’an, baca zikir dan mereka niatkan supaya pahala dari amalan mereka dalam majlis itu ‘dihadiahkan’ kepada si-mati.

Tapi, kita boleh lihat dalam ayat ini, bahawa sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, pahalanya kepada dirinya sahaja. Tidak ada konsep ‘sedekah pahala’ kepada orang lain. Kalau seseorang itu sudah mati, dia tidak boleh buat amal ibadat lagi, maka dia tidak dapat pahala lagi. Ada pengecualian yang telah disebut oleh Nabi – seperti sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak kepada ibubapanya. Itu sahaja.

Untuk lebih mudah faham, katakanlah esok kita ada peperiksaan. Takkan kita kata kepada kawan kita: “tidak mengapa, malam ini aku akan baca buku, esok kau boleh jawab soalan.” Kalau kita hendak faham dan senang nak jawab soalan peperiksaan, kita kena baca sendirilah buku itu, bukan kawan kita yang bacakan.

Paling menyedihkan, manusia ramai yang kononnya ‘pandai agama’, menjadikan perbuatan sedekah pahala ini sebagai sumber pendapatan pula. Mereka akan beri borang dan edarkan kepada masyarakat terutama bulan Ramadhan. Mereka akan tawarkan khidmat untuk baca Al-Qur’an yang akan disedekahkan kepada si-mati bagi pihak kita. Kita cuma perlu bayar wang sahaja kepada mereka. Paling kurang yang saya tengok sekarang, RM10 untuk satu kepala. Modalnya, cuma air liur dan masa sahaja. Itulah orang yang menjual agama bagi harga yang sedikit.

Kalaulah agama begitu mudah, maka orang-orang kaya, tidak perlu buat amal ibadat semasa mereka hidup. Selepas mereka mati, mereka wasiatkan sahaja kepada anak-anak mereka untuk upah orang untuk baca Al-Qur’an untuk diri mereka.

Adakah agama begitu? Kalau agama sebegitu, maka kasihanlah kepada mereka yang miskin, tentunya tempat mereka di neraka kerana mereka tidak ada wang untuk upah orang sedekah pahala kepada mereka. Teruk sekali mereka meletakkan agama Islam ini kepada mata masyarakat – hanya orang kaya sahaja yang boleh lepas, yang miskin, pandai-pandailah buat sendiri.

Begitu juga mereka yang setiap kali dengar ada orang yang baru mati, mereka akan kata: “al-Fatihah”. Kerana mereka nak sedekah pahala kepada orang mati itu. Entah dari mana mereka dapat ajaran itu, kita pun tidak pasti. Tapi ianya tidak pernah diajar oleh Nabi, tidak pernah diajar dan dibuat oleh para sahabat.

Maka berhentilah dari buat amalan-amalan yang bukan dari Nabi. Nanti akan ada sahaja benda-benda pelik yang manusia akan reka dan sandarkan kepada agama, lalu apa akan jadi kepada agama kita ini?

 

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

dan sesiapa buat dosa, untuk dirinya sahaja;

Kalau sesiapa yang buat dosa, dia sendirilah yang tanggung. Bukanlah kita buat dosa, orang lain yang tanggung. Maka kalau anak perempuan tidak pakai tudung, tidaklah ayahnya yang menanggung dosa.

Tapi, ada pengecualian juga dalam hal ini. Kita akan tanggung dosa orang lain, jikalau kita yang ajar dia buat dosa itu. Sebagai contoh, kita ajar dia main judi. Setiap kali dia berjudi, orang itu akan dapat dosa berjudi, dan orang yang ajar dia berjudi itu pun akan dapat dosa juga. Maka, walaupun dia sudah mati, tapi dosanya akan bertambah-tambah selagi orang yang diajarnya itu masih lagi melakukan dosa itu.

Bagaimana pula kalau kita ajar seseorang untuk buat amalan bidaah? Orang yang buat amalan bidaah itu akan dapat dosa, dan kita yang ajar dia pun akan dapat dosa juga. Bayangkan kalau orang itu ajar pula orang lain? Tentu beranak pinak dosa orang yang mula-mula mengajar itu.

Begitu juga, kalau kita sudah ajar anak kita untuk buat baik, contohnya suruh dia pakai tudung, tapi dia tak pakai juga, kita tak tanggung dosa dia. Kerana kita sudah suruh dia pakai tudung. Dia sahaja yang akan tanggung dosa itu. Lainlah kalau kita yang suruh dia buka tudung, itu memang kita yang akan tanggung bersama dengan dia.

 

وَمَا رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

Dan tidaklah Tuhan kamu itu ingin menzalimi hamba-hambaNya.

Apa sahaja hukuman yang Allah berikan kepada seseorang hamba, orang itu memang patut terima. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Kalau orang itu tidak layak terima azab itu, tapi Allah azab juga, tentulah Allah zalim kalau begitu.

Allah juga tidak menghukum seseorang melainkan setelah diberikan dakwah kepada mereka. Telah sampai kepada mereka rasul, Nabi atau pendakwah yang mengajarkan kepada mereka apa yang baik dan apa yang buruk.

Jadi, dari sini, kita dapat tahu yang jika ada manusia yang duduk di pedalaman dunia ini yang tidak pernah sampai dakwah kepada mereka, Allah tidak mengazab mereka.

Maka, jangan salahkan Allah. Allah telah berikan ajaran kepada manusia. Manusia sahaja yang tak mahu ikut. Allah azab pun bukan kerana Allah itu zalim. Sikit pun Allah tidak ada zalim. Walaupun azab itu bunyi berat sungguh.

Sebab Allah sudah bagi segala dalil dan nak ubah pun senang sahaja sebenarnya, bukan Allah suruh buat kerja susah. Kalau kita belajar agama ini dengan saksama, kita akan lihat bahawa agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak payah. Tidaklah agama ini suruh buat benda yang tidak patut-patut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Fussilat Ayat 39 – 43 (Mengubah tafsir Qur’an)

Ayat 39: Ini adalah bahagian kedua daripada surah Fussilat ini. Ini adalah Dalil Aqli kepada Qudrat Allah .

وَمِن ءآيٰتِهِ أَنَّكَ تَرَى الأَرضَ خٰشِعَةً فَإِذا أَنزَلنا عَلَيهَا الماءَ اهتَزَّت وَرَبَت ۚ إِنَّ الَّذي أَحياها لَمُحيِي المَوتىٰ ۚ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

And of His signs is that you see the earth stilled, but when We send down upon it rain, it quivers and grows. Indeed, He who has given it life is the Giver of Life to the dead. Indeed, He is over all things competent.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati; sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan di antara dalil bukti lain,

Ada lagi tanda-tanda dalam alam yang boleh menunjukkan kepada kita tentang kewujudan dan kemuliaan Allah. Allah beri satu persatu bukti kepada kita. Supaya kita tidak ada alasan lagi untuk keliru.

Kita kenalah lihat tanda-tanda itu dan menggunakan mata hati kita untuk melihat kebesaran Allah Taala.

أَنَّكَ تَرَى الْأَرْضَ خٰشِعَةً

Kamu boleh tengok bumi yang khusyuk (gersang);

Iaitu bumi yang kering kontang kerana kemarau. Senyap tidak buat apa-apa, tidak jadi apa-apa. Macam orang yang ‘khusyuk’, duduk diam, lemah dan tunduk sahaja di hadapan Allah dalam solat.

فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ

Maka apabila Kami turunkan air ke atasnya

Pernah anda melihat bagaimana keadaan tumbuh-tumbuhan dalam musim kemarau? Semuanya layu dan lesu. Nampak pudar sahaja. Tapi lihatlah apabila Allah turunkan air hujan ke tanah yang gersang itu. Perubahan yang ketara akan berlaku.

اهْتَزَّتْ

bergerak-gerak tumbuh;

Bumi yang gersang itu tumbuh apabila Allah berikan air hujan kepada tanah itu. Kadang-kadang tidak banyak pun hujan yang turun. Kalau turun sepuluh minit pun sudah cukup. Kita boleh lihat bezanya dengan keadaan sebelum itu.

Allah kata bumi itu atau tanaman itu ‘bergerak-gerak’. Memang tidak nampak dengan mata kasar kita, tapi kita yang selalu melihat rancangan TV, boleh bayangkan bagaimana tanaman itu sebenarnya bergerak sikit-sikit.

وَرَبَتْ

dan subur

Apabila sudah ada air, tanaman itu pun bergerak, mula menyerap air dari tanah dan bergerak subur. Mula tumbuh daun, bunga dan buahnya.

إِنَّ الَّذِي أَحْيَاهَا

Sesungguhnya Dzat yang menghidupkan bumi (yang kering) itu

Allah menunjukkan bagaimana Dia boleh menghidupkan sesuatu yang mati. Dia beri contoh bumi yang ‘mati’ boleh dihidupkan. Mudah sahaja bagi Allah iaitu dengan turunkan air. Tentulah Dia boleh lakukan kerana Dia juga yang mula-mula menjadikan tanaman itu dulu.

لَمُحْيِي الْمَوْتَىٰ

tentulah boleh hidupkan yang sudah mati.

Dengan satu jenis air sahaja, semua jenis tumbuhan boleh hidup. Allah menunjukkan contoh bagaimana Dia boleh menghidupkan tanah yang mati. Kalau Allah boleh menghidupkan tanah itu, tidakkah Allah juga boleh menghidupkan kamu kembali selepas kamu mati? Jadi kenapa kamu hairan sangat kalau kamu akan hidup sesudah mati nanti?

Orang Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang mereka akan hidup setelah mati nanti, dan kerana itu mereka menentang ajaran tauhid dari Nabi Muhammad ﷺ.

إِنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah Taala ke atas segala sesuatu Maha Berkuasa sungguh

Ini adalah adalah Jumlah Ta’liliyah – Allah boleh buat apa sahaja yang Dia hendak kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dalam ayat ini, Allah memberitahu bagaimana Dia yang hidupkan tanah yang mati dengan air.

Sebenarnya, Allah tidak perlukan pun air itu. Itu hanya sebagai asbab sahaja. Allah boleh hidupkan dengan sendiri pun boleh. Allah boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak. Bukan tentang tumbuhan sahaja tapi dalam segala hal. Termasuk memasukkan mereka ke dalam neraka atau syurga.


Ayat 40: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang melakukan ilhad. Ilhad bermaksud takwil ayat Al-Qur’an dengan makna yang salah. Sebagai contoh, ada yang kata ayat Al-Qur’an ada ‘khadam’, maka mereka reka amalan-amalan untuk panggil khadam-khadam itu. Itu adalah bohong kerana tidak ada dalil langsung tentangnya.

Mereka adalah contoh orang yang menggunakan akal sahaja untuk sampai kepada sesuatu kefahaman. Ramai yang jenis tak mengaji yang percaya kepada benda-benda sebegini. Ada lagi yang takwil Al-Qur’an ikut nafsu mereka sampai ada jadi syirik.

Ada yang kerana tidak belajar dengan betul, mereka salah faham tentang sesuatu ayat. Sebagai contoh, tentang ayat ‘wasilah’. Memang ada ayat wasilah dalam Al-Qur’an dan dalam kitab-kitab tafsir kata, wasilah itu adalah dalam bentuk ibadat, bukannya tawasul kepada Nabi, wali atau malaikat.

Tetapi ada pula guru yang sesat yang mengatakan wasilah itu adalah ‘wali’. Maka ramailah yang jahil yang menggunakan wali yang sudah mati sebagai wasilah mereka dalam ibadat dan dalam doa. Ini amat menyimpang dari makna asal. Ini adalah natijah dari tidak belajar tafsir Al-Qur’an secara menyeluruh tapi tebuk ayat-ayat tertentu sahaja.

Yang lagi teruk adalah mereka yang tahu kebenaran, tapi mereka mengubah pemahaman ayat-ayat Allah. Mereka ambil ayat-ayat Allah, tapi mereka pusingkan maknanya untuk menyokong kehendak nafsu mereka. Mereka ambil hukum dari ayat Allah, tapi mereka ubah ikut kefahaman mereka.

Bahasa ilhad kerana ia termasuk mengubah hukum Allah. Contohnya, pengharaman daging babi. Ada yang kata dulu tidak boleh makan babi kerana daging itu kotor, ada ulat yang tidak boleh dibunuh, tapi sekarang mereka kata sudah boleh makan pula sebab kita sudah tahu bagaimana nak membersihkannya, mengeluarkan ulat itu, maka babi sudah boleh dimakan.

Kalau ada yang buat begini, mereka jatuh kufur. Kerana mengubah hukum Allah yang jelas-jelas telah mengharamkan memakan daging babi. Bila yang mereka ubah itu adalah perkara yang jelas semua umat Islam terima (daruriyyat ud Din), maka mereka sudah jatuh kufur. Kita pun boleh kata mereka kufur.

Memang terdapat perbezaan pendapat antara ulama tentang sesuatu ayat. Ada orang yang menggunakan perbezaan pendapat ini untuk memilih pendapat yang salah. Ini adalah salah tapi tidaklah kita boleh kata mereka kufur

Dalam masa yang sama terdapat ijtihad apabila tiada hukum yang tepat dalam Al-Qur’an dan sunnah. Oleh itu, ada ulama yang mencari jalan penyelesaian dengan menggunakan jalan ijtihad. Ini dibenarkan.

إِنَّ الَّذينَ يُلحِدونَ في ءآيٰتِنا لا يَخفَونَ عَلَينا ۗ أَفَمَن يُلقىٰ فِي النّارِ خَيرٌ أَم مَّن يَأتي ءآمِنًا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ اعمَلوا ما شِئتُم ۖ إِنَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sahih International

Indeed, those who inject deviation into Our verses are not concealed from Us. So, is he who is cast into the Fire better or he who comes secure on the Day of Resurrection? Do whatever you will; indeed, He is Seeing of what you do.

Malay

Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari (pengetahuan) Kami. (Kalau sudah demikian), maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)”.

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي ءآيٰتِنَا

Sesungguhnya orang yang menyelewengkan ayat-ayat Kami

Perkataan يُلْحِدُونَ berasal dari kata ‘lahad’ seperti liang lahad kubur. Penggali kubur selepas mereka menggali kubur dengan elok, ikut saiz dan ikut bentuk, dan kemudian mereka buat satu ruang lain dalam lubang itu yang dinamakan ‘liang lahad’ dalam bahasa kita. Kiranya lahad itu bengkok dalam erti kata tidak lurus dalam kubur itu.

Jadi, ‘mulhid’ adalah orang yang menyeleweng. Jadi, maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah mereka yang menyelewengkan ayat-ayat Allah. Maksud ‘menyelewengkan’ ayat-ayat Allah adalah dengan memberi tafsiran yang salah dari yang sepatutnya. Antaranya seleweng ayat tentang tauhid.

Ayat-ayat Al-Qur’an mengajar dan mengajak kepada tauhid, tapi ada yang takwil membawa maksud lain. Allah beritahu tidak boleh tawasul, tapi ada ustaz yang mengajar boleh buat tawasul pula. Ini sudah seleweng maksud ayat Al-Qur’an.

Mereka selewengkan sampaikan ayat tentang tauhid mereka jadikan ayat mengajak buat syirik pula. Tafsir itu pula tidak ada dalam kitab-kitab tafsir muktabar. Mereka sahaja yang pandai reka sendiri. Atau mereka ambil pendapat yang salah dan sesat.

لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا

Tidaklah tersembunyi dari Kami 

Allah beri ancaman kepada golongan mulhid. Mereka tidak tersembunyi dosa yang mereka lakukan, tidak akan tersembunyi sedikit pun dari Allah. Sama ada kecil atau besar, semuanya Allah nampak dan Allah ambil kira.

Jangan kita sangka Allah nampak dosa yang besar-besar sahaja, yang kecil pun Allah nampak. Apabila Allah tahu tentang segala sesuatu, ini bermaksud Allah akan hukum mereka nanti sebagai balasan dari perbuatan mereka itu.

أَفَمَنْ يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ

Apakah satu orang yang dicampak ke dalam neraka lebih baik,

Sekarang Allah buat perbandingan antara orang yang benar dan yang mulhid. Mereka yang mulhid akan dicampakkan ke dalam neraka. Kerana dosa mereka itu amat besar sekali.

Adakah kamu rasa mereka itu telah mendapat kebaikan? Mereka dicampakkan ke dalam neraka kerana mereka itu adalah ‘zindiq’. Apakah maksud ‘zindiq’? Maksud zindiq adalah murtad tapi mereka mendakwa diri mereka Muslim. Mereka sangka mereka masih lagi Muslim tapi sebenarnya telah terkeluar dari Islam tanpa mereka sedari.

Maksudnya, mereka tidak mengatakan mereka hendak keluar Islam pun. Mereka sangka mereka itu Muslim tapi sebenarnya mereka sudah terkeluar dari Islam tanpa mereka sedari. Inilah yang amat-amat kita takuti.

أَمْ مَّنْ يَأْتِي ءآمِنًا يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

atau seorang yang datang kepada Allah dengan tenteram pada hari kiamat?;

Allah suruh bandingkan dengan orang yang benar ikut pemahaman Al-Qur’an yang benar. Mereka akan selamat. Iaitu mereka yang tenang aman kerana mereka tahu mereka tidak melakukan kesalahan semasa di dunia. Mana yang lebih baik? Tentulah yang beriman.

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ

Buatlah apa yang kamu nak buat.

Inilah kata-kata Allah kepada mereka yang degil. “Buatlah apa yang kamu hendak buat, selagi kamu masih hidup.”

Ini bukanlah nak beri kebenaran kepada mereka untuk berbuat sesuka hati mereka. Ini juga bukan suruhan. Ini dinamakan khitab tahdidi – ugutan. Kalau tak mahu dengar juga, maka Allah ugut mereka. Maksudnya ini adalah suruhan dengan ugutan. Sebenarnya bukan maksud ‘suruh’ pun.

Sebagai contoh, seorang ayah suruh anaknya buat kerja rumah. Tapi anak itu buat benda lain. Ayah dia kata: “buatlah apa yang kamu hendak buat.” Bukanlah ayah dia suruh dia buat apa yang dia nak buat sesuka hati dia, tapi ayah dia nak cakap bahawa dia akan kena hukum sekejap lagi. Kalau buat juga, memang akan kena rotan jawabnya.

إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Melihat terhadap apa yang kamu lakukan. 

Tidak ada had kepada Allah untuk melihat. Allah melihat segalanya. Kita juga boleh melihat, tapi penglihatan kita terhad. Kalau kita dapat merasai Allah melihat setiap perbuatan kita, maka kita tentunya akan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.

Allah bukan nak beritahu yang Dia melihat sahaja. Tapi Dia hendak memberitahu yang Dia akan hukum nanti di atas kesalahan mereka.


Ayat 41: Dalam ayat sebelum ini telah disebut mereka yang melakukan ilhad akan dibalas dengan balasan yang buruk. Sekarang diberikan penjelasan yang lebih lagi tentangnya. Siapakah yang buat ilhad itu?

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِالذِّكرِ لَمّا جاءَهُم ۖ وَإِنَّهُ لَكِتٰبٌ عَزيزٌ

Sahih International

Indeed, those who disbelieve in the message after it has come to them. And indeed, it is a mighty Book.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Qur’an ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Qur’an itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ

Sesungguhnya orang-orang yang engkar kufur dengan Al-Qur’an

Ayat ini nampak macam tersebut tergantung tetapi ianya adalah adalah sambungan dari ayat sebelum ini. Allah nak beritahu: Mereka juga tidak tersembunyi dari pengetahuan Allah Taala.

Lafaz الذِّكْرِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘Al-Qur’an’. Kenapakah Al-Qur’an digelar sebagai الذِّكْرِ – peringatan? Kerana Al-Qur’an mengingatkan manusia tentang perkara yang sebenarnya mereka sudah tahu. Bukanlah benda baru yang diingatkan kepada mereka.

Kita sebenarnya telah tahu tentang Allah, tentang tugas kita dalam dunia ini sebelum kita dilahirkan ke dunia ini – Al-Qur’an cuma mengingatkan sahaja. Ianya telah ada dalam fitrah kita.

‘Engkar’ di sini bukan maknanya orang kafir yang kufur dengan Allah, tapi engkar dengan Al-Qur’an. Kadang-kadang orang Islam pun ada yang engkar dengan ayat-ayat Al-Qur’an juga. Itu adalah kerana mereka degil tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak teringin nak tahu tentang ayat-ayat Allah.

Mereka tidak terasa hendak tahu apakah yang Allah hendak dari mereka. Maka, mereka itu juga dikira ‘engkar’ juga. Masalahnya, apabila mereka tidak belajar dan tidak tahu, mereka akan buat perkara yang salah.

Syaitan akan sesatkan mereka kerana apabila mereka tidak tahu tentang Al-Qur’an dan apakah makna ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu, mereka tidak tahu pun apa yang syaitan beritahu itu adalah salah. Maka mereka ikut ajaran dari syaitan tanpa usul periksa. Syaitan memang pandai menipu manusia.

لَمَّا جَاءَهُمْ

tatkala datang kepada mereka

Mereka tidak engkar dengan ayat-ayat Al-Qur’an apabila ayat-ayat itu mereka baca, atau dibacakan kepada mereka. Tapi apabila dibacakan dan diberitahu pula apakah maksudnya, barulah mereka tolak.

Orang-orang Islam memang sayang kepada Al-Qur’an dan selalu baca Al-Qur’an. Tapi yang selalu terjadi, mereka tolak ‘maksud’ dari ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ini adalah kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ayat ini seperti tergantung. Tidak disebutkan apa yang akan terjadi kepada mereka. Ini adalah kerana balasan kepada mereka itu adalah amat berat sekali, sampai tak boleh nak sebut pun. Bagaimana mungkin mereka tidak diberikan dengan azab yang pedih, sedangkan peringatan telah berkali-kali diberikan kepada mereka. Cuma jenis azab itu tidak dapat dibayangkan, maka Allah tidak beritahu kepada kita.

Oleh itu, Allah tidak perlu cakap pun apakah yang akan dikenakan kepada mereka. Kita tahu yang mereka akan dikenakan azab dan mereka akan tahu apabila mereka mendapat azab itu. Dan tentunya azab itu amat teruk dan pedih sekali.

Kemudian Allah teruskan dengan menyebut sifat-sifat Al-Qur’an itu.

وَإِنَّهُ لَكِتٰبٌ عَزِيزٌ

Sesungguhnya Al-Qur’an itu suatu kitab yang tidak ada tandingannya.

Al-Qur’an tidak dapat dikalahkan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat membawakan semisal Al-Qur’an itu. Allah telah beri cabaran demi cabaran untuk manusia mendatangkan ayat-ayat yang sama dengan Al-Qur’an tapi tidak dapat dibawa oleh manusia yang hendak menentang Al-Qur’an.

Kalau mereka kata ianya bukan dari Tuhan tapi dari karangan dan tulisan tangan manusia, tentunya mereka pun boleh buat ayat-ayat Al-Qur’an yang seperti itu juga, bukan?

Tapi, walaupun Allah telah berikan cabaran itu sudah lebih dari seribu tahun, musuh-musuh Islam masih tidak dapat lagi membuat surah mahu pun ayat yang menyerupai kehebatan Al-Qur’an. Memang ramai yang mencuba, tapi tidak sama langsung.

Kitab Al-Qur’an ini tidak dapat dikalahkan. Ianya akan tetap begitu. Kalau ada yang nak tukar ayat-ayat Al-Al-Qur’an, mereka tidak akan berjaya. Dari dulu sampai sekarang, sama sahaja ayat-ayat itu. Di mana-mana pun sama sahaja. Di Malaysia, di China, sama sahaja. Padahal, ianya dicetak di berbagai-bagai tempat. Bukan ada satu tempat sahaja yang mencetaknya.

Entah berapa ramai yang cuba hendak mengubah ayat Al-Qur’an tapi tidak berjaya. Mereka tidak berjaya kerana kalau ada satu sahaja kesalahan dalam mana-mana ayat Al-Qur’an, ianya akan dapat dikesan oleh mereka yang menghafal ayat-ayatAl- Qur’an.

Al-Qur’an tidak perlu dilindungi kerana Al-Qur’anlah yang memberi perlindungan kepada kita. Kerana Allah sendiri telah berjanji untuk melindungi Al-Qur’an.

Oleh kerana begini hebatnya Al-Qur’an ini, kalau ada yang tidak mahu beriman dan mempelajarinya, itu adalah kerana degil sahaja.


Ayat 42: Pihak kafir sentiasa sahaja mencari kesalahan dalam Al-Qur’an. Begitu juga dengan Musyrikin Mekah. 

Apabila pihak musyrik kata: tentulah dalam Al-Qur’an itu ada benda-benda yang tersilap, maka Tuhan jawab tuduhan mereka itu:

لّا يَأتيهِ البٰطِلُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَلا مِن خَلفِهِ ۖ تَنزيلٌ مِّن حَكيمٍ حَميدٍ

Sahih International

Falsehood cannot approach it from before it or from behind it; [it is] a revelation from a [Lord who is] Wise and Praiseworthy.

Malay

Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

لَّا يَأْتِيهِ الْبٰطِلُ

Tidak datang kepada Al-Qur’an itu sebarang kata-kata tidak benar

Ini kerana Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah, Tuhan semesta alam. Semua ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu adalah yang haq belaka, yang benar-benar belaka. Tidak ada ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu yang salah, yang tidak sesuai dengan jiwa yang murni.

Al-Qur’an itu juga terpelihara dari dimasukkan anasir-anasir atau ayat-ayat yang bukan wahyu. Batil yang dimaksudkan dalam ayat ini bermaksud syaitan dari kalangan jin atau manusia yang cuba hendak memberi fahaman salah tentang ayat-ayat Al-Qur’an.

Orang-orang kafir yang mengkaji Al-Qur’an telah cuba mencari apakah kesilapan yang ada dalam Al-Qur’an. Mereka tak jumpa walau satu pun. Sampaikan orang kafir yang mulanya mencari kesilapan dalam Al-Qur’an, ada yang akhirnya masuk Islam setelah menyedari kehebatan Al-Qur’an.

Antara bukti yang Al-Qur’an itu adalah dari Allah adalah: Al-Qur’an memperkatakan tentang maklumat-maklumat sains yang takkan dapat difahami oleh manusia dahulukala. Semakin manusia maju dalam dunia sains, semakin jelas bahawa apa-apa perkara yang diperkatakan dalam Al-Qur’an yang melibatkan elemen sains, semuanya betul belaka. Kalau ianya dari manusia, ia tidak akan jadi begitu.

 

مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ

dari hadapan dan tidak dari belakang pun.

Al-Qur’an itu akan terjaga dari dulu sampai sekarang. Dari semasa Al-Qur’an itu diturunkan dan sampai bila-bila. Tidak akan ada perubahan. Dari mana-mana arah pun.

Al-Qur’an tidak boleh dikalahkan, walaupun ada orang yang cuba hendak merosakkannya datang dari berbagai arah – dari hadapan atau dari belakang. Orang Islam tidak perlu mempertahankan Al-Qur’an kerana Al-Qur’an itulah yang mempertahankan kita.

Pemahaman pertama ayat ini yang kita boleh ambil adalah: syaitan tidak dapat mengganggu Al-Qur’an dengan mengubah ayat-ayatnya – sama ada dari hadapan atau dari belakang. Dari arah mana pun mereka datang. Apakah maksudnya? Semasa ayat Al-Qur’an ini diturunkan, jin syaitan tidak dapat mengganggu (intercept) penurunan Al-Qur’an itu kerana ianya dibawa Jibrail, sehebat-hebat malaikat.

Maka, jin syaitan tidak dapat nak dekati pun rombongan menurunkan Al-Qur’an itu. Jadi, mereka tentu tidak dapat nak merosakkan atau memasukkan apa-apa dalam Al-Qur’an itu. Jadi, Al-Qur’an itu tulen, segalanya dari Allah. Tidak ada selit kalimah dari syaitan.

Ini menolak pemahaman orang kafir yang mengatakan ada ayat-ayat Al-Qur’an itu dimasukkan oleh syaitan ke dalam diri Nabi Muhammad ﷺ seperti buku ‘Satanic Verses’ yang ditulis oleh Salman Rushdie.

Pemahaman kedua: ‘di hadapan’ bermaksud sesuatu yang kita nampak kerana mata kita berada di hadapan. Bermaksud, manusia tidak boleh menukar Al-Qur’an itu secara terang-terangan.

Di ‘belakang’ bermaksud, mengubah Al-Qur’an secara senyap-senyap. Oleh itu, Al-Qur’an tidak dapat diubah dengan cara senyap pun dan juga dengan cara terang-terangan pun tidak boleh. Cara nyata tidak boleh dan cara sembunyi pun tidak boleh.

 

تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ

Diturunkan daripada yang Maha Bijaksana

Takkan Al-Qur’an itu tersilap kerana yang menurunkannya adalah Allah. Kerana Allah Maha Bijaksana, Dia pastikan semua ayat Al-Qur’an itu tidak tersilap. Dan maklumat yang disampaikan di dalamnya adalah tepat sekali, tidak ada kesalahan dan kesilapan langsung.

Dan disampaikan dengan cara yang terbaik, kerana Allah Maha Bijaksana. Tentulah Allah tahu bagaimana menyusun Al-Qur’an dan memberi pengajaran kepada hambaNya.

حَمِيدٍ

Maha Terpuji.

Dan Allah sentiasa terpuji kerana Dia memiliki sifat-sifat yang amat mulia. Sama ada ada makhluk puji Allah atau tidak, Allah tetap terpuji.

Jadi, secara ringkasnya, ada empat sifat Al-Qur’an yang telah disebutkan dalam dua ayat ini:

  1. عَزِيزٌ – tiada tandingan
  2. لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ – tiada perkara bathil di dalamnya
  3. مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ – terpelihara dulu, kini dan selamanya
  4. تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ – ianya dari Allah yang Maha Bijaksana

Allah tekankan dalam ayat ini, bahawa Al-Qur’an itu datang bukan dari orang lain, tapi dari Allah sendiri. Kalau ianya dari Allah, bagaimana kita boleh mengubahnya?

Tambahan pula Allah telah berfirman bahawa Allah akan menjaganya. Kalau Allah sudah kata begitu, memang tidak ada harapan untuk menukarnya lagi.

Tidak dinafikan ada kesilapan ulama-ulama di dalam kitab-kitab tafsir-tafsir yang sebelum ini. Mereka bukan sengaja tapi tersilap pentafsiran. Ini tidak mustahil kerana mereka itu manusia dan manusia memang akan buat kesilapan. Dan mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mentafsirkan ayat-ayat itu mengikut kefahaman dan ilmu yang mereka ada pada waktu itu. Tetapi sebagai manusia, tentulah ada salah dan silap.

Maka Tuhan akan hantar orang lain pula untuk memperbetulkan ulama yang tersilap itu. Maka, janganlah hairan kalau ada pentafsiran ulama-ulama dahulu yang tidak dipakai. Bukannya kita tolak semua, tapi tidaklah juga kita menerima semua sekali. Ini adalah kerana ada ulama-ulama yang buat kerja untuk meneliti kitab-kitab yang ada.

Antara tafsir yang masyhur adalah Tafsir Jalalain. Ianya adalah antara kitab tafsir termasyhur dalam dunia sekarang. Ada beberapa kesilapan di dalamnya dan orang-orang kemudian darinya telah memperbetulkan kesilapan itu.

Maknanya, manusia tidak akan terlepas dari tersilap. Yang tak silapnya adalah Al-Qur’an sahaja. Kalau ada tersilap baris sahaja, akan ada orang yang akan perasan dan menegurnya.

Ada juga lagi tafsir-tafsir yang ada salah dalam tafsiran mereka. Begitu juga dengan Tafsir Hamka pun ada silapnya. Ini biasa sahaja, dan kerana itu kita kena meneruskan pengajian kita. Kena banyak mengkaji dan membandingkan antara tafsir-tafsir yang ada. Begitu jugalah dengan usaha tafsir yang kita sedang lakukan ini.

Kita mencuba sedaya upaya untuk memasukkan perkara yang benar, tapi kalau ada tersalah, semoga Allah tunjukkan supaya kita boleh betulkan. Maka jangan berhenti belajar dan menambah ilmu.

Banyak kesilapan dalam pentafsiran itu adalah berkenaan dengan cerita israiliyat. Iaitu kisah-kisah yang diambil dari Bani Israil. Ianya banyak termasuk dalam teks tulisan pengajaran agama Islam kerana selepas ramai orang Yahudi masuk Islam, mereka telah menceritakan pemahaman mereka tentang sesuatu kejadian pada zaman yang lampau. Selalunya berkenaan dengan kisah-kisah para Nabi.

Contohnya, sebenarnya Nabi Yusuf tidak pernah kahwin dengan Zulaikha (tidak ada dalil tentang perkara ini). Kenalah kita ingat bahawa Zulaikhalah yang telah mengkhianati Nabi Yusuf a.s. Maka takkan baginda boleh jatuh cinta pula dengan Zulaikha? Tentulah tidak patut kalau baginda berkahwin dengan Zulaikha yang telah mengkhianatinya. Tidak ada dalil yang menyatakan bahawa Nabi Yusuf telah kahwin dengan Zulaikha. Kalau ada, maka seseorang itu kena bawa dalil. Kalau tidak ada yang sahih, maka senyapkan sahaja.

Dan cerita salah tentang Nabi Nuh pun ada. Sewaktu terjadi banjir besar itu bumi telah ditenggelami oleh laut. Gunung paling tinggi masa itu pun ditenggelami oleh air. Gelombang air waktu itu seperti gunung besarnya.

Tapi ada pula cerita pasal seorang perempuan yang tidak kena banjir. Apabila Nabi Nuh tanya dia selepas itu kenapa dia tak kena banjir, perempuan itu kata, dia pun tidak tahu ada banjir. Padahal, banjir itu terjadi seluruh dunia. Itulah yang karutnya.

Begitu juga kisah karut tentang Nabi Sulaiman. Ada pula kisah karut tentang bagaimana baginda hilang kerajaan kerana hilang cincin baginda. Dikatakan Ifrit telah mengambil cincin itu dan Nabi Sulaiman pula jatuh dari kerajaan dan jadi nelayan. Ifrit itu pula duduk di tahta dan menyamar jadi Nabi Sulaiman kerana dia dapat pakai cincin baginda. Dan kemudian cincin itu hilang.

Kemudian baginda kena kahwin dengan seorang perempuan huduh iaitu anak ketua kapal. Semasa memukat, dikatakan baginda terjumpa cincin kerajaan baginda yang telah dicuri itu dalam perut ikan. Apabila pakai cincin itu kembali, Nabi Sulaiman telah mendapat balik kuasanya dan telah memerintah balik.

Itulah cerita-cerita karut. Tapi malangnya, ini semua diajar di suratkhabar dan tv dan sebagainya. Ada ustaz-ustaz yang ajar perkara ini di masjid dan surau. Memang ianya ada dalam kitab-kitab tafsir lama, tapi tidaklah bermakna ianya terus betul.

Tapi itu adalah pentafsiran yang salah, bukannya Al-Qur’an itu sendiri. Maknanya, yang hendak diberitahu adalah, tidak ada dalam Al-Qur’an benda-benda bathil. Yang bathil itu adalah cerita dari manusia. Macam kepercayaan kepada cincin Nabi Sulaiman dan lain-lain itu.

Kalau percaya cerita itu, maknanya Nabi Sulaiman pun ada buat syirik juga kerana bergantung kepada cincin pula. Nauuzubilla! Dan ada pula cerita dia ada buku sihir pula. Sampai ada dikatakan ilmu sihir pun dia ada amalkan. Syaitan nak mengatakan bahawa Nabi Sulaiman pun pakai sihir juga.

Satu lagi cerita pasal Balqis selak kain semasa di istana Nabi Sulaiman dan Nabi Sulaiman dikatakan nampak betis Balqis. Tapi dalam Al-Qur’an dikatakan bahawa Balqis baru hendak menyelak tapi tak selak lagi.

Jadi nak kena diperbetulkan tafsir Al-Qur’an yang orang kita selalu belajar ini. Kalau tidak diperbetulkan, maka ianya sampai boleh menyebabkan kita terjatuh ke lembah kesyirikan.


Ayat 43: Ayat ini mengandungi syikayah (rungutan) tentang umat dan juga tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad.

Ayat-ayat sebelum ini adalah muqaddimah kepada ayat syikayah ini. Walaupun Al-Qur’an itu hebat dan mulia, tapi ada juga yang menentang dan tidak menerimanya.

Macam-macam mereka kata dan tuduhan yang tidak elok tentang Al-Qur’an yang mereka sebarkan. Begitulah yang terjadi kalau sudah tidak suka. Sudahlah tidak belajar, nak mengutuk pula mereka yang mengajar. Maka Allah pujuk Nabi Muhammad dalam ayat ini.

مّا يُقالُ لَكَ إِلّا ما قَد قيلَ لِلرُّسُلِ مِن قَبلِكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ وَذو عِقابٍ أَليمٍ

Sahih International

Nothing is said to you, [O Muhammad], except what was already said to the messengers before you. Indeed, your Lord is a possessor of forgiveness and a possessor of painful penalty.

Malay

Apa yang dikatakan kepadamu tidak lain seperti yang pernah dikatakan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu. Sesungguhnya Tuhanmu berkuasa penuh melimpahkan keampunanNya dan berkuasa penuh menimpakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

مَّا يُقَالُ لَكَ

Tidaklah apa yang dikatakan kepada kamu 

Iaitu kata-kata yang menyakitkan hati Nabi Muhammad ﷺ daripada para penentang baginda. Nabi Muhammad ﷺ pun terkesan dengan kata-kata orang kafir musyrikin itu kepadanya. Sudahlah mereka tak terima, kemudian mereka tolak, kemudian mereka reka macam-macam tohmahan kepada baginda dan tentang ayat-ayat Al-Qur’an pula.

Macam kita juga ada yang mengalami perkara ini. Iaitu apabila kita mengajak orang lain kepada Islam, kepada tauhid dan kepada kebaikan, mereka tak mahu terima. Tidak terima itu satu hal. Tapi ada yang bukan sahaja tak mahu terima, mereka kata macam-macam kepada kita. Mereka kata: “Macamlah kamu pandai sangat”, “baru belajar sikit dah ingat pandai”, “baru belajar satu guru dah kata macam-macam, belajar lagi lah baru kau tahu!”, dan macam-macam lagi.

Mereka juga ada yang beri nama yang macam-macam kepada kita, antaranya panggil kita Wahhabi, anak Pak Wahab, Kaum Muda dan macam-macam lagi. Ada yang kata kita pula sesat. Sepertimana Nabi juga pernah dikatakan sesat juga oleh musyrikin Mekah.

Tentang Al-Qur’an, mereka kata tafsir yang kita beritahu kepada mereka itu tidak benar, kita reka sendiri, guru kita sesat dan macam-macam lagi. Sedangkan mereka sendiri tidak belajar, tapi mereka kata kita yang belajar pula yang salah. Ini memang pelik sekali, tapi itulah yang terjadi. Pelik sebab yang tak belajar pula kata kita salah. Kita tanya balik mana yang benar, dia tidak boleh beritahu pula.

Sebagaimana kata-kata itu menyakitkan hati kita, ia juga menyakitkan hati baginda. Kita manusia, Nabi pun manusia juga, ada perasaan. Kita mengharap orang terima dakwah kita, dan kita pun mengajak mereka dengan ikhlas kerana kita mahukan kebaikan untuk mereka. Kita ajak kepada agama kerana kita kasihan kepada mereka, kita tak mahu mereka buat salah dan masuk neraka.

Tapi mereka menolak kita, mengejek kita, mengata yang buruk-buruk kepada kita, perli kita, bagi nama buruk kepada kita, pulau kita dan sebagainya, tentulah kita terasa hati bukan? Allah nak beritahu bahawa Allah tahu apa yang dikatakan itu.

إِلَّا مَا قَدْ قِيلَ لِلرُّسُلِ مِنْ قَبْلِكَ

melainkan telah dikatakan seperti ini kepada rasul-rasul sebelum kamu.

Bukanlah apa yang Nabi hadapi dalam melakukan dakwah ini benda yang baru. Allah beritahu, nabi-nabi dulu pun kena macam itu juga. Oleh itu, ada tasliah (pujukan) dalam ayat ini. Jangan sedih, jangan risau sangat kerana ini adalah sunnatullah – sudah ditetapkan oleh Allah dari dulu lagi bahawa pasti akan ada penentang.

Manusia sama sahaja, dari dulu, sekarang dan sampai bila-bila, akan ada sahaja yang tidak mahu terima ajaran dari wahyu itu macam mana baik pun cara kita sampaikan kepada mereka. Dan akan ada yang menentang.

Bayangkan, Nabi Muhammad ﷺ yang paling baik itu pun, mereka tidak terima, apatah lagi kita? Jadi, kalau kita pun ditolak, dituduh dan dikasari, jadi jangan terkesan sangat – ingatlah yang Nabi Muhammad ﷺ pun pernah kena tolak.

Maknanya, siapa yang mengajar tauhid ini, untuk memperbetulkan akidah manusia, orang akan kata yang tidak baik kepadanya dan itulah yang telah kena kepada nabi-nabi terdahulu. Akan dikatakan perkara yang sama kepada kita juga. Ada yang kata kita mengajar sihir, sesat dan sebagainya.

Maka, bersabarlah dengan kata-kata mereka. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memperkatakan perkara ini. Diulang-ulang kata-kata yang lebih kurang sama dalam berbagai-bagai surah kerana ianya sentiasa terjadi.

Allah nak pujuk hati pendakwah tauhid. Kalau kita tahu yang orang lain pun kena perkara yang sama, maka adalah terubat sedikit rasa sakit di hati. Kalau kita demam dan kita pun dengar ada orang lain pun demam juga, sedikit sebanyak ada kurang sikit kan demam kita?

إِنَّ رَبَّكَ  لَذُو مَغْفِرَةٍ

Sesungguhnya Tuhanmu itu, mempunyai keampunan yang besar

Inilah natijah kalau sabar dengan apa yang dikatakan kepada kita. Iaitu Allah akan tutup segala dosa kita. Dan inilah yang kita amat harapkan.

Allah gunakan kata ‘rabb’, tidak digunakan perkataan ‘Allah’ dalam ayat ini kerana Allah hendak menekankan bahawa Dialah yang telah menjadikan, menjaga dan memelihara semua makhluk dan Allahlah juga yang akan menjaga dan memelihara baginda dan mereka yang menyebarkan tauhid.

Ini kerana maksud ‘rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’ seperti yang selalu diterjemah itu, tapi ianya lebih lagi. Ia bermaksud ‘Tuhan yang mencipta, menjadikan, memelihara dan menjaga’, malah lebih lagi.

Allah nak ingatkan kepada kita tentang sifatNya yang telah banyak membantu kita selama ini. Dan Allah akan terus membantu kita dalam perjalanan hidup kita. Tidak pernah Allah tinggalkan kita.

Perkataan مَغْفِرَةٍ bermaksud ‘keampunan yang besar’ – dimana Allah akan mengampunkan semua sekali dosa-dosa kita dan pengampunan ini akan diberikan kepada mereka yang bersabar; kepada Nabi yang sabar dalam melakukan tugas baginda; kepada para sahabat yang terus tetap dalam Islam bersama baginda walaupun mereka menerima tentangan dan seksaan dari orang kafir; dan kepada kita yang sabar berdakwah mengajak manusia kepada tauhid.

Kita perlu bersabar dengan apa yang dikatakan kepada kita yang telah berdakwah kepada manusia. Kerana dalam dakwah ini, banyak orang yang tidak suka. Mereka kata kita macam-macam – wahhabilah, puak sesatlah dan sebagainya.

Apa yang kita boleh buat? Kita hanya boleh bersabar. Jangan kita lawan kata-kata mereka dengan kata-kata yang buruk pula. Sebaliknya telah disebut sebelum ini yang kita kena balas dengan balasan yang baik supaya mereka dapat menerima dakwah kita.

وَذُو عِقَابٍ أَلِيمٍ

dan mempunyai balasan yang amat pedih 

Jangan sangka Allah sentiasa berlembut sahaja. Kepada mereka yang kufur pula, akan diberikan balasan yang pedih.

Tuhan yang sama, tapi bertindak berbeza kepada orang yang berbeza. Kepada yang baik dan menerima ajaran dari Al-Qur’an, Allah akan balas dengan kebaikan. Kepada yang jahat, tolak tauhid, tolak sunnah, tolak pendakwah, Allah akan balas dengan balasan yang buruk.

Allah akan balas dengan yang setimpal dengan perbuatan mereka dan tidak lebih dari itu. Allah tidak zalim. Allah akan beri apa yang layak kepada seseorang itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Fussilat Ayat 34 – 38 (Dakwah dengan hikmah)

Ayat 34: Sambungan tentang bagaimana melakukan dakwah. Kadang-kadang kita akan bertemu dengan orang yang negatif, yang tak mahu terima dakwah yang disampaikan.

Apakah yang kita boleh buat kalau berjumpa dengan orang yang sebegitu? Adakah kita jadi negatif macam dia juga? Atau adakah kita akan tinggalkan sahaja mereka yang sebegitu? Dalam surah ini, Allah mengajar kita tentang jalan dakwah yang tinggi. Mari kita lihat.

وَلا تَستَوِي الحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَدٰوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ

Sahih International

And not equal are the good deed and the bad. Repel [evil] by that [deed] which is better; and thereupon the one whom between you and him is enmity [will become] as though he was a devoted friend.

Malay

Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

 

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ  وَلَا السَّيِّئَةُ

Tidak sama amalan kebaikan dengan amalan yang buruk

Tidak sama antara ajaran tauhid dan ajaran syirik. Ianya tidak akan jadi sama sampai bila-bila. Allah tekankan dengan mengulang perkataan لَا dua kali dalam ayat ini.

Sepatutnya kalau disebut وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ  وَالسَّيِّئَةُ pun sudah bawa maksud yang sama. Tapi bila ditambah dengan kalimah لَا sekali lagi, maka ia memberikan penekanan dan kekuatan lagi.

Maka, tidak sama amalan bidaah dan amalan yang datang dari hadis yang sahih. Amalan yang diajar dari Nabi akan mendapat pahala, tapi amalan bidaah adalah hampa sahaja. Termasuklah amalan yang masyarakat kita panggil ‘Bidaah Hasanah‘ itu. Mereka tidak faham apakah maksud bidaah Hasanah, maka mereka menggunakan tiket ‘bidaah hasanah’ itu untuk melakukan segala perkara yang tidak ada asas dalam agama.

Kalau dibiarkan berleluasa, kita pun tidak tahu apakah yang akan terjadi dengan agama kita ini. Masyarakat begitu mengambil mudah tentang bidaah itu kerana mereka tidak faham. Mereka tidak faham kerana guru-guru dan ustaz-ustaz yang mengajar kepada umum pun tidak faham.

Mereka sangka kebaikan dalam agama itu pakai agak-agak sahaja. Apabila mereka ‘agak’ ianya baik, mereka sangka tentunya ia juga baik dalam agama. Tidak begitu caranya.

Maka, seperti telah disebut sebelum ini, kita disuruh berdakwah kepada orang lain. Sampaikan ada ulama yang mengatakan ianya adalah arahan yang wajib. Kalau ditinggalkan, sudah menjadi satu dosa.

Apabila berdakwah, tentulah akan bertemu dengan orang yang tidak sama pendapat dengan kita. Kita bawa dalil Al-Qur’an dan Hadis yang sahih, mereka bawa pendapat guru mereka, anggapan akal fikiran mereka, kitab itu kata boleh, kitab ini kata begitu dan lain-lain lagi dalil-dalil mereka.

Mereka lupa bahawa tidak akan sama antara dalil yang sah yang datang dari Al-Qur’an dan Hadis sahih kalau dibandingkan dengan dalil-dalil lain – tidak akan sama. Al-Qur’an adalah kalam Allah dan Hadis adalah kalam Nabi tapi ianya juga dari Allah juga. Mana nak sama dengan pendapat guru mereka? Mana nak sama dengan kitab karangan manusia? Takkan sama sampai bila-bila.

Selain dari itu, tidak sama perbuatan baik dan perbuatan buruk. Perbuatan buruk mendorong manusia untuk terus melakukan keburukan dan perbuatan yang baik akan mendorong manusia untuk melakukan kebaikan lagi.

Ianya seperti satu dorongan atau ‘inertia’. Bila sudah mula buat amalan yang baik, kita akan lebih mudah untuk lakukan amalan baik yang lain. Maka untuk kita banyak buat amalan yang baik, sebenarnya kita kena mulakan sahaja. Bila kita mulakan, Allah akan beri taufik lagi kepada kita untuk buat amalan baik yang lain.

Juga tidak sama sifat lembut dan sifat kasar. Seorang pendakwah kena ada sifat lembut dalam hati mereka dan kata-kata mereka dan meninggalkan sifat kasar yang mungkin ada.

Kalau kita kasar, selalu kutuk dan salahkan orang lain, maka walaupun apa yang kita bawakan itu benar, tapi orang yang didakwah rasa malas nak dengar dakwah kita kerana perangai kita. Semoga para asatizah Sunnah kita tidaklah kasar dengan orang lain.

 

ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Tolaklah keburukan mereka dengan yang lebih baik.

Apabila ada perbezaan pendapat, di situ kadang-kadang ada pertelingkahan. Bagaimana seorang pendakwah hendak menghadapi situasi begini? Itulah yang dikatakan kena dakwah dengan ‘hikmah’.

Dan hikmah itu kenalah ikut cara Nabi. Jadi kena cari cara macam mana. Dan untuk tahu, kena tahu cara hidup Nabi dan bagaimana baginda berdakwah. Kita kena usaha dakwah dengan hikmah – seolah-olah perumpamaan ular mati, tongkat tak patah.

Maksudnya, dengan cara dakwah kita itu, syirik hilang dan hubungan kita dengan orang yang didakwah itu tidak rosak. Bila ziarah dia nanti lain kali boleh pergi balik kerana hubungan kita dengan dia tidak rosak. Kita kena guna hemah, sampai orang yang kita dakwah itu masih mahu jumpa kita di kemudian hari. Jadi kena pandai pakai perkataan yang sesuai. Jangan kita hina dia sampai dia sudah tidak mahu jumpa kita lagi.

Jangan juga kita perli dia dalam dakwah kita. Jadi kena sabar banyak-banyak supaya jangan keluar kata-kata yang boleh menyakitkan hati. Kalau yang didakwah itu kata kita gila pun, kita katalah ‘terima kasih’. Banyakkan senyuman. Buat latihan senyuman selalu.

Inilah hikmah dan tidak dinafikan yang ianya memang payah. Kerana selalunya kita tak tahan juga. Kadang-kadang kita terkasar juga dalam membalas kata-kata nista orang yang didakwah dan itu tidak ‘ahsan’.

Sebab kita nak datang dakwah lagi kepada dia, tapi kalau dia sudah tutup pintu, sudah habis peluang kita nak dakwah lagi. Dalam kata lain, kita nak ajak dia datang belajar. Kerana dia lawan wahyu itu adalah kerana dia jahil sahaja.

Kena pandai tukarkan keburukan itu kepada kebaikan. Buat sesuatu yang baik. Katakan kepada mereka dengan kata-kata yang baik. Memang mereka mungkin akan marah kita, caci kita, beri nama macam-macam kepada kita, kata kita sesat, gelar kita ‘wahabi’, ‘Kaum Muda’ dan sebagainya. Tapi jangan kita balas macam itu juga dengan mereka. Bercakap baiklah dengan mereka, jangan balas dengan kata-kata yang buruk juga. Mungkin mereka sendiri terkejut dengan balasan baik yang kita berikan.

Selalunya, apabila orang cakap kasar dengan kita, mereka sangka kita akan berkasar balik dengan mereka. Mereka tak hairan kalau kita cakap kasar balik dengan mereka. Mereka pun sudah tunggu kita kasar balik supaya mereka boleh tambah lagi hamburan kepada kita. Tapi, kalau mereka berkasar dengan kita, tapi kita balas dengan baik, tentu mereka hairan.

Mereka berkasar lagi, kita terus bercakap dengan baik dengan mereka. Siap cakap dengan senyuman lagi. Lama-lama, mereka pun sudah tak tahu nak cakap macam mana lagi. Hati yang mula keras, in sha Allah akan dilembutkan. Barulah mereka mula nak dengar apa kita kata.

 

فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدٰوَةٌ

Maka apabila satu orang antara kamu dan dia sebelum ini satu musuh yang ketat; 

Apabila mereka ditolak dengan cara yang baik, in sha Allah akan membuka hati mereka. Mereka tengok kita ini benar-benar ikhlas hendakkan kebaikan untuk mereka.

Perkataan فَإِذَا menunjukkan sesuatu yang terjadi tiba-tiba. Yang mulanya nak berlawan, tiba-tiba jadi kawan pula. Kalau dulu bermusuh betul dengan kita, sudah mula datang perasaan lain, perasaan yang lembut terhadap kita, perasaan hormat kepada kita. Dan yang paling penting, mereka lembut terhadap Sunnah dan mahu belajar agama dengan lebih mendalam.

Begitu juga kalau orang lain berbuat jahat kepada kita, bertindak kasar kepada kita, sebaiknya kita melayan dan membalas dengan kebaikan, dengan lembut, dengan senyuman. Teruskan beri dalil-dalil yang sahih. Itu akan menyebabkan mereka sendiri akan terkesan dan mereka akan nampak kesalahan mereka. Dan akhirnya mereka akan menjadi kawan kita yang rapat.

 

 كَأَنَّهُ وَلِيٌّ

seolah-olah mereka itu kawan 

Dulu mereka macam musuh kita yang ketat (kerana bawa ajaran yang mereka tidak biasa), tapi sekarang, apabila kita balas kata-kata mereka dengan baik, mereka akan lembut hati dan jadi kawan kita. Kalau dulu dia sanggup tengok kita mati, tapi sekarang dia sanggup mati kerana kita.

Lihatlah bagaimana Abu Sufyan yang bertahun-tahun berperang menentang Nabi, akhirnya masuk Islam kerana sikap mulia Nabi kepada beliau. Begitu juga, lihatlah bagaimana kisah Fathul Makkah (Pembukaan Mekah). Waktu itu Nabi masuk ke Kota Mekah dengan segala kekuatan yang Allah telah berikan kepada orang Islam. Nabi boleh sahaja membalas segala kejahatan yang telah diberikan kepada baginda selama baginda berdakwah kepada mereka dahulu. Tapi Nabi telah membebaskan mereka. Percuma sahaja Nabi bebaskan mereka, tanpa ada apa-apa tebusan.

Hasilnya, mereka semuanya masuk Islam dengan rela dan menjadi pembela Nabi dan Islam kemudiannya. Tanda mereka ikhlas masuk Islam adalah mereka tidak murtad walaupun Nabi Muhammad wafat. Merekalah yang menjadi sahabat Nabi yang dikenang sampai sekarang. Dan jasa mereka yang banyak dalam mengembangkan Islam.

 

حَمِيمٌ

yang rapat dengan kita

Perkataan حَمِيمٌ asalnya bermakna ‘mendidih’. Digunakan dalam ayat ini untuk menunjukkan mereka itu akan menjadi kawan yang amat-amat rapat dengan kita, bersemangat untuk kita (macam air yang mendidih).

Mereka pula yang akan membantu kita dengan kuat sekali. Mereka sanggup susah kerana kita. Mereka akan mempertahankan kita. Padahal dulu mereka musuh kita, tidak mahu terima dakwah kita. Tapi sekarang mereka tolong kita berdakwah pula.

Begitulah yang terjadi kepada Nabi Muhammad. Ada para sahabat baginda dulunya menentang baginda tapi dengan dakwah baginda yang melayan mereka dengan baik, akhirnya mereka masuk Islam dan mereka menjadi sahabat yang kuat mempertahankan baginda dan Islam. Banyak sahabat yang sebegitu, seperti Ikrimah anak Abu Jahal, Khalid al Walid dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana sifat Nabi.

Ini juga mengajar akhlak kepada kita. Apakah akhlak itu? Akhlak yang mulia adalah apabila ada orang yang berbuat buruk kepada kita, tapi kita balas dengan baik.

Ini juga mengajar psikologi kepada kita. Kalau ada orang yang menengking kita, dan kita balas tengking dia balik, ianya akan berpanjangan dan hanya bermasam muka sahaja. Semua akan rugi. Tapi kalau dia tengking kita, tapi kita cakap dengan baik dan lembut, ianya akan melembutkan hati mereka. Mereka terkejut dengan perbuatan kita kerana mereka tak sangka. Mereka sangka kita akan balas seperti mereka juga. Ianya akan memberi kesan yang positif.

Cara kita berdakwah kepada manusia adalah seperti mereka itu kawan rapat kita. Jadi kita kena sabar dan terus bercakap baik dengan mereka. Kerana kalau kawan kita, tentunya kita akan sabar dengan mereka kerana kita tidak mahu menjejaskan persahabatan antara kita dan mereka. Kalau mereka cakap kasar pun, kita boleh bersabar.

Satu lagi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: kita hendaklah ada harapan dalam hati kita supaya mereka menjadi kawan rapat kita nanti. Mungkin semasa kita mengajak mereka kepada Islam, mereka marah, mereka maki, mereka nak jauhkan diri dari kita dan cakap tidak baik dengan kita.

Mungkin kita pun ada terkesan dengan percakapan mereka dan kita pun rasa nak berhenti dari berdakwah dan melarikan diri jauh dari mereka. Tapi itu adalah perbuatan yang salah. Kita kena ada niat nak jadikan mereka sebagai kawan kita. Jangan terus fikir mereka itu musuh kita. Tapi kena sematkan niat nak berkawan baik dengan mereka.

Maka kita kena terus sabar berdakwah dengan mereka, kerana dalam hati kita, kita menyimpan harapan supaya nanti mereka akan terima dakwah kita dan menjadi kawan yang rapat dengan kita.


 

Ayat 35: Bagaimana boleh mencapai sifat di atas?

وَما يُلَقّٰها إِلَّا الَّذينَ صَبَروا وَما يُلَقّٰها إِلّا ذو حَظٍّ عَظيمٍ

Sahih International

But none is granted it except those who are patient, and none is granted it except one having a great portion [of good].

Malay

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

وَما يُلَقّٰها إِلَّا الَّذينَ صَبَروا

Dan tidak diberikan dengannya melainkan orang-orang yang sabar sungguh

Maksudnya, tidak akan dapat mencapai tahap orang berdakwah seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini melainkan orang yang sabar sungguh. Iaitu kalau orang-orang bercakap kasar dengan kita, menolak kita, mencemuh kita dan sebagainya lagi yang menyakitkan hati, tapi masih bersabar untuk bercakap baik dengan mereka, masih berlembut dengan mereka.

Sifat dan tindak balas seperti itu adalah amat susah sekali dicapai. Kerana kita semua ini selalunya ada panas baran belaka. Kalau ada yang cakap kasar dengan kita, tentunya tindakan yang selalunya terjadi, kita akan bercakap kasar balik dengan mereka.

Tapi, ada yang boleh capai kedudukan itu. Iaitu orang-orang yang dapat bersabar. Sabar itu maksudnya boleh menahan perasaan. Memang akan ada perasaan marah, geram dan sebagainya, tapi kita tidak ambil tindakan.

Sabar ini penting kerana usaha dakwah memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan senang orang hendak terima ajakan kita. Ada orang yang belum sampai lagi hidayah kepada mereka. Kita dulu pun macam itu juga. Jadi, kenalah sabar dengan mereka.

Tapi kita kena ingat yang kita tidak boleh minta sabar, kecuali kalau kita di medan perang. Ini kerana kalau kita minta ‘sabar’, maka Allah akan beri dugaan untuk menzahirkan sabar kita. Maka ini seolah-olah minta masalah pula. Ini kita dapat fahami dari satu hadis Nabi:

رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

Nabi SAW mendengar seorang lelaki berdoa: ya Allah aku memohon kepadaMu sabar. Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah. Riwayat tirmidzi.

رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

Nabi SAW mendengar seorang lelaki berdoa: ya Allah aku memohon kepadaMu sabar.

Baginda bersabda: kamu meminta bala.

Maka mintalah afiah.

Riwayat tirmidzi.

“Barangsiapa yang tidak mau memberi ampun  kepada orang, maka ia tidak akan di beri ampun “ (HR Ahmad dari Jabir bin Abdullah Ra)

Jadi tak boleh minta, tapi sabar itu akan diberi.  Bila ada masalah, bila ada dugaan, maka waktu itu bolehlah kalau nak minta sabar. Tapi kalau keadaan baik, jangan kita minta Allah berikan sabar kepada kita. Jangan minta: “Ya Allah, jadikanlah aku seorang yang penyabar.”

Cuma kita boleh minta supaya kita tidak marah. Bila tidak ada marah, boleh ada sabar. Nanti kita akan berjumpa taktik yang Allah sendiri akan ajar bagaimana untuk mendapat sabar dan tidak marah ini. Sabar, kejap lagi kita akan sampai. Nak belajar pun kena sabar. Nak faham pun kena sabar juga.

 

وَمَا يُلَقّٰهَا  إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Dan tidak juga boleh bertemu dengannya, melainkan orang yang dapat tuah yang sungguh besar.

Orang yang mendapat tuah besar yang sebenarnya adalah mereka yang sabar dalam dakwah dan terus melakukan dakwah.

Ingatlah bahawa kedudukan seorang pendakwah ini telah diberikan oleh Allah. Ini pun sudah bertuah sebenarnya. Allah telah berikan hidayah kepada kita dan berikan satu tugas yang amat besar kepada kita – mengajak orang mengamalkan agama Islam yang benar.

Allah telah pilih kita dan tidak orang lain. Berapa ramai orang yang masih dalam kegelapan dan kesesatan? Mereka tak kisah pun hal agama, tak mementingkan langsung hal Islam. Tapi kita telah diberi satu kefahaman yang tinggi. Allah telah bawa hati kita ke arah memahami agama Islam. Itu adalah satu pemberian yang besar dan itu adalah satu tuah sebenarnya.

Dan berapa ramai yang sudah belajar agama, sudah faham tapi masih senyap membisu? Mereka seolah-olah rasa cukuplah mereka sahaja yang selamat, orang lain biarlah mereka. Jadi mereka tengok sahaja kesalahan yang dilakukan oleh manusia tanpa menegur mereka. Maka mereka tidak menjadi pendakwah. Tak ajak orang lain belajar pun.

Maka mendapat fahaman agama adalah tuah. Dan mendapat kesabaran yang tinggi juga adalah tuah dari Allah, pemberian dari Allah. Bukan semua orang boleh dapat jaga diri supaya terus sabar.


 

Ayat 36: Amat susah untuk mendapat tahap kesabaran yang tinggi. Tapi Allah ajar bagaimana cara untuk mendapatkannya. Seperti yang diberitahu sebelum ini, kita tidak boleh minta diberi sabar.

Tapi kita boleh minta supaya jangan marah. Kerana marah itu merosakkan sabar. Ada satu hadis seorang sahabat minta nasihat dari Nabi dan baginda nasihat jangan marah. Dia tanya apa lagi dan Nabi jawab ‘jangan marah’ lagi. Sampai tiga kali.

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْصِنِيْ، قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). فَرَدَّدَ مِرَارًا ؛ قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu bahawa ada seorang laki-laki berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam: “Berilah aku wasiat”. Baginda jawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Engkau jangan marah!” [HR al-Bukhâri].

Bukanlah kita katakan tidak boleh marah langsung kerana ada perkara yang kita kena marah. Kalau orang di bawah kita buat benda salah, maka kenalah marah, jangan diam sahaja.

Macam pernah Nabi Muhammad marah kepada isteri-isteri baginda yang mahukan keduniaan. Baginda tunjukkan kemarahan dengan tidak tegur mereka selama sebulan.

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطٰنِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Sahih International

And if there comes to you from Satan an evil suggestion, then seek refuge in Allah . Indeed, He is the Hearing, the Knowing.

Malay

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطٰنِ

Dan sekiranya ada bisikan kepada engkau dari syaitan.

Apabila seorang pendakwah dikhianati, dicaci, dimaki, diejek dan dikeji, syaitan akan ambil peluang untuk bangkitkan kemarahan dalam dirinya. Syaitan akan bisikkan untuk menghasut dia untuk melakukan sesuatu yang tidak elok. Syaitan akan kata: “takkan kamu nak biarkan dia cakap macam itu….” dan sebagainya.

 

نَزْغٌ

bisikan kejahatan

Ketahuilah bahawa perasaan marah yang timbul dalam hati kita itu adalah datang dari syaitan. Mereka memang mahu menghancurkan usaha dakwah kita. Maka syaitan akan membisikkan perkara-perkara buruk. Maka, kalau terjadi macam itu, apa yang kita kena buat?

 

فَاسْتَعِذْ بِاللهِ

Hendaklah minta berlindung kepada Allah.

Ucapkan A’uzubillah dengan lidah. Dan ambil wudu’ kalau boleh waktu itu. Mintalah berlindung kepada Allah dari bisikan syaitan. Ucapan a’uzubillah itu adalah sunat, tapi wajib berdoa dengan hati minta kepada Allah supaya redakan diri kita dari perasaan marah.

Sebutlah lebih kurang begini: “Ya Allah, selamatkanlah hati aku dari kemarahan yang aku tak patut marah”. In sya Allah akan reda kemarahan kita itu.

Sebab marah itu dari syaitan yang dijadikan dari api. Api boleh dimatikan dengan air. Jangan pula lawan api dengan api, tapi lawanlah api itu dengan air. Oleh itu, kemarahan yang disebabkan oleh syaitan boleh diredakan dengan wudu’.

Kita telah belajar sebelum ini kalau dengan manusia, mereka dapat ditundukkan dengan berbuat baik dengan mereka. Tapi kalau dengan syaitan dari bangsa jin, kita kena memohon perlindungan kepada Allah kerana Allah sahaja yang dapat menundukkan mereka. Kerana kita tidak boleh berlawan dengan syaitan dalam bentuk jin, macam kita nak berlawan dengan manusia kerana jin itu makhluk jenis lain.

Kita tak nampak mereka, jadi nak lawan macam mana? Sebab itu Allah ajar kita untuk minta berlindung denganNya. Kita kena berharap kepada Allah dan serahkan diri kita kepada Allah. Kalau Allah tak tolong kita, kita pun tidak akan berjaya dalam usaha dakwah ini. Oleh itu, kalau kita berjaya, jangan kita rasa kita berjaya kerana usaha kita sahaja.

Tapi ingatlah bahawa ada pertolongan Allah dalam kejayaan kita itu. Sepandai mana pun kita, kita masih memerlukan pertolongan Allah. Maka sebab itu sebelum memulakan dakwah kepada sesiapa, minta pertolongan kepada Allah. Kerana hujah dan dalil yang akan kita bawakan adalah dari Allah, bukannya dari kita. Doalah kepada Allah untuk bantu kita dalam dakwah kita.

 

إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ

Sesungguhnya Dia Maha mendengar

Allah Maha Mendengar rintihan orang yang dikhianati tadi. Allah juga sentiasa mendengar kata-kata orang yang menentang kita itu – Allah akan tulis dan akan dibentangkan nanti kepada mereka untuk dibalas – jadi jangan ambil kisah sangat, kerana dia akan dibalas atas kata-katanya itu.

Allah sentiasa mendengar usaha dakwah kita. Tidaklah percuma usaha dakwah kita itu. Kalau pun orang yang kita dakwahkan itu tidak menerima dakwah kita dan tidak mahu beriman, pahala kita dakwah itu sudah siap tertulis. Kita akan dibalas di akhirat kelak atas usaha kita.

Pahala bukanlah dibalas atas kejayaan memasukkan orang ke dalam Islam atau iman, tapi pahala diberikan atas usaha kita. Kerana kita tidak upaya mengubah hati orang untuk menerima Islam kerana hidayah hanya ada pada Allah sahaja. Kita cuma disuruh berdakwah sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, yang penting kita telah jalankan tanggungjawab kita untuk menyampaikan.

Dan Allah sentiasa mendengar doa kita untuk berlindung denganNya.

 

الْعَلِيمُ

Maha Mengetahui

Bila kita tahu Allah pun dengar dan lihat juga apa yang terjadi kepada kita, maka terhiburlah hati kita. Kita rasa Allah ada bersama dengan kita. Dan kita akan semangat untuk terus berdakwah.

Ingatlah yang Allah juga tahu niat kita kalau kita nak balas balik kepada orang yang khianat kepada kita. Oleh itu, janganlah kita balas perbuatan buruk mereka itu dengan perbuatan buruk juga. Jangan kita merendahkan martabat kita serendah martabat mereka.

Mereka itu orang yang jahil, masih tak tahu lagi. Kita pun dulu jahil juga, bukan? Kitalah yang kena beralah kerana kita orang yang tahu. Mungkin belum masa untuk mereka terima lagi. Kita lebih dari dia kerana kita yang dapat tahu dulu dari mereka, itu sahaja.


 

Ayat 37: Ayat 37 – 48 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi dalil tauhid Tauhid dan Hari Akhirat. Allah mampu mewujudkan sesuatu daripada yang tiada kepada ada, maka lebih mudah lagi untuk membangkitkan mereka yang mati.

Ayat 37 ini adalah Dalil Aqli Afaqi. Selepas Allah mengajar kita cara-cara berdakwah, sekarang Allah memberikan ayat mengajak kepada tauhid. Kerana ingat, dakwah utama kita adalah kepada tauhid. Kalau kita dakwah manusia, tapi bukan mengajak kepada tauhid, maka itu adalah dakwah yang tidak tepat. Maka selepas sebut tentang dakwah, Allah ingatkan balik tentang tauhid.

وَمِن ءآيٰتِهِ اللَّيلُ وَالنَّهارُ وَالشَّمسُ وَالقَمَرُ ۚ لا تَسجُدوا لِلشَّمسِ وَلا لِلقَمَرِ وَاسجُدوا ِلِلهِ الَّذي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُم إِيّاهُ تَعبُدونَ

Sahih International

And of His signs are the night and day and the sun and moon. Do not prostrate to the sun or to the moon, but prostrate to Allah , who created them, if it should be Him that you worship.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.

 

وَمِنْ ءآيٰتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

Dan diantara dalil-dalil bukti Allah adalah malam dan siang.

Allahlah sahaja yang menjadikan malam dan siang hari untuk dijadikan sebagai dalil. Malam dengan keadaannya yang gelap gelita dan siang yang terang benderang dan keduanya silih berganti tanpa lelah. Apabila siang, manusia bekerja; apabila malam, manusia berehat.

Allah gunakan satu fenomena alam yang terjadi setiap hari sebagai hujah. Allah nak beritahu kepada kita, malam dan siang itu tidak terjadi dengan sendiri, tapi Allah yang jadikan. Ia terjadi dengan qudratNya.

Mungkin kerana ianya biasa terjadi setiap hari, kita sudah tidak nampak bahawa ianya adalah sesuatu yang dijadikan oleh Allah setiap hari. Tapi akan datang satu masa, di mana siang akan jadi panjang kerana Allah tidak benarkan siang bertukar menjadi malam seperti biasa. Ini adalah kerana Allah boleh ubah siang dan malam itu kerana Dia yang buat.

Ini diriwayatkan dari Abu Dzarr Radhiyallahu anhu, bahawasanya pada suatu hari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:

أَتَدْرُونَ أَيْنَ تَذْهَبُ هَذِهِ الشَّمْسُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِنَّ هَذِهِ تَجْرِي حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا تَحْتَ الْعَرْشِ، فَتَخِرُّ سَاجِدَةً، فَلاَ تَزَالُ كَذَلِكَ، حَتَّى يُقَالُ لَهَا: ارْتَفِعِي، ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ، فَتْرجِعُ فَتَصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَطْلَعِهَا، ثُمَّ تَجِيءُ حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا تَحْتَ الْعَرْشِ، فَتَخِرُّ سَـاجِدَةً، فَلاَ تَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّـى يُقَالُ لَهَا: اِرْتَفِعِيْ، اِرْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ، فَتَرْجِعُ، فَتَصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَطْلَعِهَا، ثُمَّ تَجْرِيْ لاَ يَسْتَنْكِرُ النَّاسُ مِنْهَا شَيْئًا، حَتَّـى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا ذَلِكَ تَحْتَ الْعَرْشِِ، فَيُقَالُ لَهَا: اِرْتَفِعِيْ، أَصْبَحِيْ طَالِعَةً مِنْ مَغْرِبِكِ فَتَصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَغْرِبِهَا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ : أَتَدْرُونَ مَتَى ذَاكُمْ؟ ذَاكَ حِيْنَ لاَ يَنْفَعُ نَفْسًا إِيْمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيْمَانِهَا خيْرًا.

“Tahukah kalian ke mana perginya matahari (saat itu)?” Para Sahabat menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Beliau bersabda, “Sesungguhnya matahari ini berjalan hingga sampai ke tempat menetapnya di bawah ‘Arsy, lalu dia tersungkur sujud, dan senantiasa demikian hingga dikatakan kepadanya, ‘Bangunlah! Kembalilah ke tempatmu pertama kali datang.’ Kemudian dia kembali datang di waktu pagi dan terbit dari tempat terbitnya, kemudian dia berjalan hingga sampai ke tempat menetapnya di bawah ‘Arsy, lalu dia tersungkur sujud, dan sentiasa demikian hingga dikatakan kepadanya, ‘Bangunlah! Kembalilah ke tempatmu pertama kali datang.’ Kemudian dia kembali datang waktu pagi dan terbit dari tempat terbitnya, kemudian dia berjalan lagi sementara manusia tidak mengingkarinya sedikit pun hingga dia kembali ke tempat menetapnya di bawah ‘Arsy, hingga dikatakan kepadanya, ‘Bangunlah! Terbitlah dari tempatmu terbenam.’ Kemudian dia kembali datang di waktu pagi dan terbit dari tempat terbenamnya.’” Selanjutnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Apakah kalian tahu bilakah itu terjadi? Hal itu terjadi ketika tidak bermanfaat lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.” Shahiih Muslim, kitab al-Fitan

Perkataan مِنْ yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan ianya hanya ‘sebahagian’ sahaja dari tanda-tandaNya. Ada berjuta tanda-tanda kewujudan Allah, yang disebut dalam ayat ini hanya sebahagian sahaja.

 

وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ

Dan matahari dan bulan

Allahlah yang mencipta matahari dengan cahaya dan sinarnya, bulan dengan cahaya dan keindahannya, ketentuan berputarnya dalam orbit masing-masing dan susunan putaran dan kitaran yang tidak berlanggar antara satu sama lain.

Malam, siang, matahari dan bulan bergerak mengikut arahan Allah. Dengan pergerakan matahari dan bulan yang konsisten, kita dapat menggunakannya untuk mengagak waktu dalam dunia ini.

Tapi yang menggerakkannya setiap hari adalah Allah, mereka tidak bergerak sendiri. Setiap hari matahari akan sujud kepada Allah dan tanya apakah yang perlu dilakukan pada hari itu. Nanti akan sampai satu masa dimana matahari diarahkan oleh Allah untuk keluar dari arah barat pula, berlainan dari hari-hari yang biasa.

Semua yang disebut tadi adalah ciptaan Allah yang amat hebat. Allah mengingatkan kita bahawa Dia yang menciptakan semua itu. Kalau kita lihat ciptaanNya sudah hebat, apatah lagi Allah, tentulah lagi hebat.

Oleh kerana Dia yang buat semua itu, maka seterusnya:

 

لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ

Jangan kamu sujud kepada matahari dan bulan

Kerana Allah yang mencipta keduanya, maka hanya kepada Allah sahaja yang kita sembah. Bukan kepada keduanya kerana keduanya itu adalah ciptaanNya sahaja.

Nabi Ibrahim a.s. yang mengajak kepada tauhid pernah menggunakan dakwah sebegini dan diceritakan dalam surah yang lain. Dia mengingatkan kaumnya bahawa matahari dan bulan hanyalah ciptaan sahaja. Bukannya tuhan yang sepatutnya disembah. Hebat macam mana pun, tapi bila sampai masa, ia tenggelam juga. Oleh itu janganlah syirik kepada Allah.

Ini disebut di sini kerana kadang-kadang manusia terkesan dengan sesuatu kelebihan yang ada pada makhluk, sampai mereka menyembah makhluk itu. Mereka tidak dapat membezakan antara Khaliq dan makhluk.

Khaliq adalah ‘pencipta’, iaitu Allah dan makhluk adalah semua yang diciptaNya. Oleh kerana jahil dan terkesan dengan matahari dan bulan, maka ada manusia yang menyembah matahari dan bulan.

Janganlah kita jadi macam orang Hindu. Apabila ada benda yang pelik sikit, mereka akan puja benda itu. Nampak busut besar, mereka sembah; lembu ada bagi susu, mereka juga sembah; dan macam-macam lagi. Ini adalah agama yang amat-amat bodoh sekali.

Tapi ada juga orang Islam yang bodoh macam mereka. Apabila mereka lihat ada sesuatu kelebihan kepada seseorang atau sesuatu, mereka akan puja benda itu. Sebagai contoh, ada juga suatu masa dahulu di Trengganu, sekumpulan manusia yang menjadikan Ayah Pin sebagai tuhan mereka. Ini adalah kerana Ayah Pin itu ada kelebihan-kelebihan ajaib. Mereka tengok dia boleh buat itu dan ini, mereka sudah terpesong jauh. Padahal, Ayah Pin itu juga adalah makhluk juga.

Dan begitu juga terjadi kepada guru-guru yang lain. Ada pesilat yang mengagungkan guru silat mereka kerana guru mereka itu ada kelebihan – bukan sahaja pandai silat, tapi pandai bercakap. Maka mereka ikut sahaja apa amalan yang diajar oleh guru mereka itu walaupun itu adalah amalan sesat.

Sekali lagi Allah berikan penekanan dalam ayat ini dengan menggunakan penggunaan kata لَا antara matahari dan bulan. Allah boleh sahaja berfirman: لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ dan ia membawa maksud yang sama juga, tapi Allah nak beri penekanan.

Maka kita sujud kepada siapa?

 

وَاسْجُدُوا ِللهِ  الَّذِي خَلَقَهُنَّ

Tapi sujudlah kepada Allah yang mencipta mereka

Kita hendaklah hanya sujud kepada Allah sahaja. Hanya beribadat kepada Allah sahaja. Tidak layak untuk untuk kita sujud kepada selain dari Allah. Kerana matahari dan bulan yang hebat itu adalah kerana Allah yang jadikan.

Tapi mungkin ada yang bertanya: bagaimana dengan perbuatan adik beradik Nabi Yusuf a.s yang sujud kepada Nabi Yusuf seperti yang diceritakan dalam Surah Yusuf?

Jawapannya adalah: Mereka sujud kepada Nabi Yusuf kerana menghormati baginda. Dan dalam syariat sebelum Nabi Muhammad, dibenarkan untuk sujud hormat kepada orang lain. Tapi sudah tidak boleh dalam syariat Nabi Muhammad.

Begitu juga, kita pun tahu bagaimana Allah telah memerintahkan semua malaikat termasuk Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam. Ramai yang keliru, sampai ada yang kata begitu tingginya tauhid Iblis sampai tak mahu nak sujud kepada selain Allah. Itu adalah kata-kata orang yang tidak berilmu. Bagaimana nak jawab perkara ini?

Kita tanya balik, siapakah yang suruh sujud kepada Nabi Adam itu? Bukankah yang mengeluarkan arahan itu adalah Allah? Kalau Allah sudah suruh buat, apakah ada ruang lagi untuk mana-mana makhluk untuk mengingkarinya?

Yang disebut sebelum ini adalah matahari dan bulan. Tapi, Allah gunakan perkataan خَلَقَهُنَّ (dalam bentuk jamak) yang menunjukkan bukan dirujuk kepada matahari dan bulan sahaja, tapi semua benda. Kerana kalau hanya merujuk kepada matahari dan bulan sahaja, perkataan yang digunakan adalah خَلَقَهُمَا.

Oleh itu, maksud ayat ini adalah: ‘Jangan puja selain dari Allah’ tidak kira apa pun. Bukan ‘jangan puja matahari dan bulan’ sahaja. Kalau baca begitu, nanti ada yang kata: yang tak boleh puja matahari dan bulan sahaja, lain bolehlah agaknya… itu adalah fahaman yang amat jahil.

Jangan puja makhluk yang dicipta Allah tapi pujalah Allah Yang Mencipta. Oleh itu jangan puja Nabi sebab Allah yang buat Nabi. Jangan puja kepada wali kerana wali bukan ilah, jangan puja kepada malaikat kerana malaikat bukan ilah. Jangan puja apa-apa sahaja.

Kenapa digunakan contoh ibadah ‘sujud’ dalam ayat ini? Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang tauhid dalam doa. Jadi, sujud adalah muqaddimah kepada doa.

Ianya adalah salah satu tempat yang molek untuk dijadikan tempat berdoa. Nabi mengajar kita untuk memperbanyakkan doa dalam sujud kerana waktu itulah kita paling hampir dengan Allah. Kita hanya boleh sujud kepada Allah sahaja. Jadi, kalau kita hanya boleh sujud kepada Allah sahaja, maka doa pun hanyalah kepada Allah sahaja.

 

إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Kalau betullah kamu hanya menghambakan diri kepada Allah sahaja. 

Orang jahiliah kata mereka bukanlah menyembah berhala-berhala itu, tapi mereka menggunakan berhala-berhala itu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Inilah alasan yang mereka gunakan seperti yang disebut dalam Zumar:3.

Begitulah juga yang dijadikan alasan oleh orang Islam yang sesat yang menyembah kubur-kubur para wali. Mereka kata mereka bukan sembah kubur-kubur itu tapi mereka menggunakan wali-wali itu untuk mendekatkan diri mereka dengan Allah.

Maka, puak tarekat yang lawat kubur pun sama sahaja macam orang-orang jahiliah dulu sebenarnya. Janganlah terlibat dengan pergerakan-pergerakan sesat seperti itu. Dan sekarang kita banyak lihat bagaimana golongan Habib sudah mula ke arah itu. Golongan yang sebegini dinamakan Quburiyyun. Kita boleh kenal  mereka ada masalah dengan akidah mereka apabila mereka rapat dengan kubur.

Allah tegur mereka dalam ayat ini. Kalau betul mereka menghambakan diri hanya kepada Allah, maka hanya sujud kepada Allah lah sahaja. Hanya buat ibadat kepada Allahlah sahaja. Dan kerana doa itu juga termasuk perkara ibadat, maka doa hanya kepada Allahlah sahaja.


 

Ayat 38: Ini adalah salah satu dari Ayat Sajdah. Salah satu dari nama surah ini adalah ‘Hamim Sajdah’, kerana ada ayat sajdah di dalamnya. Dalam ayat sebelum ini Allah telah sebut tentang sujud dan sekarang tema itu diteruskan lagi. Selepas kita baca ayat ini, disunatkan kita untuk Sujud Sajdah.

Ayat ini adalah idkhal ilahi (pencelahan Tuhan). Ini apabila ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan. Tadi kita disuruh untuk buat ibadah kepadaNya. Tapi Allah mencelah kerana hendak memberitahu kita yang Dia tidak memerlukan pun ibadah dari kita pun. Tapi Dia mahu kita melakukannya.

فَإِنِ استَكبَروا فَالَّذينَ عِندَ رَبِّكَ يُسَبِّحونَ لَهُ بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ وَهُم لا يَسئمونَ ۩

Sahih International

But if they are arrogant – then those who are near your Lord exalt Him by night and by day, and they do not become weary.

Malay

Oleh itu, kalau mereka tetap engkar (daripada mematuhi perintah Allah), maka malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka merasa jemu.

 

فَإِنِ اسْتَكْبَرُوا

Dan sekiranya mereka itu sombong

Iaitu sombong untuk puja Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja, sujud kepada Allah sahaja. Memang manusia itu jenis tidak tahu diuntung. Ramai yang degil tidak mahu taat kepada Allah dan sembah hanya kepada Allah.

Kita tidak punya apa-apa pun tapi masih nak menyombong lagi dengan tidak beribadat kepada Allah. Kita ini kerdil sahaja tapi selalu sangka kita ini besar. Maka Allah bandingkan kita dengan makhluk lain yang lebih hebat dari kita untuk perli kita.

 

فَالَّذِينَ عِنْدَ رَبِّكَ

Maka yang di sisi Tuhan kamu

Ada jumlah muqaddar dalam ayat فَالَّذِينَ ini – iaitu “katakanlah” iaitu Allah suruh Nabi Muhammad beritahu kepada mereka yang sombong itu. Yang dimaksudkan di sisi Tuhan itu adalah ‘para malaikat’. Kalau kamu tidak mahu beribadat kepada Allah, Allah tidak perlu ibadah kamu pun kerana memang telah ada makhluk lain yang beribadat kepadaNya sentiasa. Dan mereka itu lebih hebat dari kamu.

Allah bandingkan kita yang kerdil ini dengan malaikat yang amat hebat itu. Mereka itu amat besar, tapi mereka masih lagi beribadat kepada Allah, tanpa soal, tanpa lelah.

Ada juga yang berkata yang dimaksudkan ‘di sisi Tuhan’ itu bukan sahaja malaikat, tapi hamba-hambaNya yang rapat denganNya di dunia ini. Allah suruh Nabi beritahu bahawa ada malaikat-malaikat (atau makhluk yang rapat dengan Allah) yang sentiasa bertasbih kepada Allah.

Allah tidak memerlukan kita sujud kepadaNya. Kalau semua makhluk tidak sembah Allah, tidak terkurang sedikit pun kemuliaan Allah. Dan Allah boleh sahaja menjadikan semua makhluk ciptaanNya menyembahNya sahaja, langsung tidak melawan sebagaimana Dia telah menjadikan para malaikat itu semuanya taat kepadaNya. Bukan Allah tidak mampu, cuma Allah tak mahu begitu. Siapakah kita untuk mempersoalkan keputusan Allah?

 

يُسَبِّحُونَ لَهُ  بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Mereka sentiasa menyucikanNya malam dan siang

Para malaikat itu sentiasa bertasbih kepada Allah. Tasbih maksudnya menidakkan Allah dari fahaman-fahaman salah makhluk tentangNya. Kita katakan dalam tasbih kita bahawa Allah tidak begitu. Sebagai contoh, ada manusia kata Allah ada anak; maka dalam tasbih kita sebenarnya menidakkan sifat Allah begitu.

Apabila dikatakan mereka bertasbih kepada Allah siang dan malam, itu maksudnya mereka sentiasa melakukannya, tidak kira waktu. Ada malaikat yang dijadikan Allah untuk beribadat sahaja.

Sebagai contoh, ada malaikat yang Allah jadikan untuk qiyam sahaja, ada yang rukuk sahaja, ada yang sujud sahaja dan macam-macam lagi. Ada malaikat yang ada tugas-tugas khusus yang diberikan kepadanya dan mereka menjalankan tugas itu dengan taat dan mereka hanya lakukan satu tugas itu sahaja.

Semua malaikat taat kepada Allah. Kalau Allah suruh beribadat, mereka beribadat. Kalau Allah suruh mereka berkhidmat, mereka akan menjalankan tugas mereka.

 

وَهُمْ لَا يَسْئمُونَ

dan mereka tidak jemu

Mereka tidak jemu pun dalam memuji Tuhan. Mereka tidak jemu dan tidak ada perasaan malas. Kerana Allah tidak jadikan mereka ada nafsu dan kerana itu mereka tidak ada perasaan jemu. Mereka sentiasa beribadat kepada Allah. Manusia sahaja yang ada rasa jemu dan malas kerana kita ada nafsu.

Kalau Allah mahu, Allah boleh sahaja buat manusia yang hanya beribadat, memuja dan sujud kepadaNya sahaja. Tapi Allah tidak jadikan begitu. Oleh itu, kita kena sedar yang Allah tidak perlukan kita sujud dan beribadat kepadaNya – Allah suruh kita beribadat adalah untuk kebaikan kita sendiri.

Mari kita sujud setelah membaca ayat ini. Sujud Sajdah ini senang sahaja dilakukan, tidak perlu wuduk, malah pendapat yang rajih, tidak perlu tutup aurat dan tidak perlu ke arah kiblat pun (tapi kalau semua itu ada, lebih baik lagi). Terus sahaja sujud. Memang ada doa yang khusus, tapi kalau tidak tahu pun tidak mengapa.

Nota: ada pendapat yang mengatakan ayat ini adalah Ayat Sajdah dan ada juga mengatakan ianya pada ayat 37 sebelumnya. 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Fussilat Ayat 30 – 33 (Allah ajar cara berdakwah)

Ayat 30: Ayat 30 – 36 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi jaminan pertolongan dan pahala bagi mereka yang tabligh ajaran tauhid.

Ayat 30 ini adalah Ayat Tabshir. Ayat ini dan tujuh ayat seterusnya adalah penjelasan tentang mereka yang mempunyai iman yang tinggi. Dengan melakukan dakwah, kita boleh sampai ke tahap ini.

ya_muqallibul
Doa untuk tetap hati dan pendirian atas agama Allah

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ استَقٰموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلٰئِكَةُ أَلّا تَخافوا وَلا تَحزَنوا وَأَبشِروا بِالجَنَّةِ الَّتي كُنتُم توعَدونَ

Sahih International

Indeed, those who have said, “Our Lord is Allah ” and then remained on a right course – the angels will descend upon them, [saying], “Do not fear and do not grieve but receive good tidings of Paradise, which you were promised.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

 

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا

Sesungguhnya orang-orang yang berkata

Iaitu yang berkata dengan lidah dan juga hati. Sebab kalau berkata dengan lidah sahaja, itu adalah munafik. Lidah dia kena berkata sepertimana hati dia yakin.

Untuk berkata ini pun kadang-kadang memang sukar, kalau kita berada dalam kalangan orang yang tidak sama fikrah (fikiran) mereka dengan kita. Tapi, Allah telah memuji mereka yang berani berkata dalam ayat ini.

 

رَبُّنَا اللهُ

Tuhan, Pencipta, Pemelihara kami adalah Allah

‘Rabb’ adalah satu perkataan yang komprehensif. Bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Secara ringkasnya, rabb bermaksud yang ‘mencipta, memelihara dan menjaga’. Selepas Allah jadikan makhluk, Allah tidak biarkan begitu sahaja makhluk itu.

Kita juga mengaku bahawa Allah itu ‘tuan’ kita dan kita adalah hamba kepadaNya. Kita akan taat kepadaNya sahaja. Sepertimana seorang hamba akan taat kepada tuan dia, begitulah kita dengan Allah.

 

ثُمَّ اسْتَقٰمُوا

Kemudian dia tetap dengan kepercayaan itu

Mengucap syahadah mudah sahaja, tapi untuk tetap mengamalkannya, untuk tetap berdiri di atasnya, adalah susah. Ada sahaja yang menghalang. Mungkin keluarga kita, masyarakat kita, malah macam-macam lagi yang menghalang kita dari tetap atas iman.

Saidina Umar mengatakan maksud istiqamah ini adalah taat kepada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dan tidak cari alasan untuk mengelak. Maksudnya janganlah cakap sahaja beriman tapi tidak menjalankan kewajipan dalam agama. Ada manusia yang sentiasa cari alasan nak elak dari taat.

Ini adalah kerana syaitan tidak akan biarkan begitu sahaja. Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia dan membisikkan perkara tidak baik kepada manusia supaya manusia tertewas. Maka, kena ada usaha yang gigih untuk terus berpegang dengannya.

Lafaz اسْتَقَامُوا dari perkataan ‘qiyam’, iaitu bermaksud ‘berdiri’. Ini adalah isyarat seorang yang telah bangun berdiri selepas lama tidur. Dan untuk tetap berdiri walau apa pun yang terjadi. Kita tetap akan kata Allah itu adalah Tuhan kita dan tidak ada ilah-ilah yang lain.

‘Tetap’ (istiqamah) itu bukan sahaja untuk amalkan, tapi kena sebarkan. Dan memang akan kena ujian dalam dakwah. Tapi walau apa ujian yang sampai, kena tetap terus menyampaikan kepada manusia. Maka kena jalankan dakwah sampai mati, bukan sekejap-sekejap sahaja. Jangan cuba dakwah tapi bila kena tolak, kemudian berhenti pula. Kena teruskan berdakwah sampai bila-bila.

Walau apa pun yang terjadi, kita akan hanya sembah Allah sahaja, beribadat kepada Allah sahaja, seru kepada Allah sahaja, tidak akan melakukan perkara syirik walaupun masyarakat sekeliling kita tidak suka, tidak setuju, pandang cemuh pendirian kita.

Sebagai contoh, kita tidak akan berdoa kepada selain dari Allah. Kita akan hanya terus berdoa kepada Allah sahaja, tanpa melalui perantaraan (tawasul). Walaupun masyarakat sekeliling kita bertawasul dengan berbagai-bagai sembahan mereka.

Sebagai contoh, setiap hari akan ada orang yang melakukan Majlis Tahlil. Kita tidak akan pergi kerana ini adalah majlis tawasul. Apa kaitan Majlis Tahlil itu dengan tawasul?

Semasa memulakan majlis tahlil itu, tekong tahlil akan memulakan bacaan dengan membaca ‘ila hadratin nabiy, muhammadil mustafa, rasulullahi sollalahu alaihi wassalam, wa ala aalihi, wa ashaabihi…. dan seterusnya’. Itulah bacaan tawasul – iaitu menggunakan Nabi, keluarga baginda, para sahabat dan sebagainya sebagai perantara untuk menyampaikan doa kita supaya pahala amalan pada majlis tahlil itu diberikan kepada si-mati.

Amalan tawasul yang bermula dengan lafaz ‘ila hadratin‘ itu juga berleluasa dalam majlis-majlis lain, bukan setakat Majlis Tahlil sahaja. Antaranya, sebelum memulakan zikir-zikir tertentu, ramai yang memulakan zikir mereka dengan bacaan ila hadratin itu. Ramai terus amalkan sahaja kerana dari kecil sudah biasa dengar imam dan ustaz sebut ila hadratin itu.

Kita kena istiqamah dalam menolak amalan-amalan tawasul ini dan amalan-amalan syirik yang lain. Bukanlah senang untuk tidak menghadirkan diri di majlis-majlis Tahlil ini. Kerana boleh dikatakan semua orang buat. Sikit-sikit Majlis Tahlil. Kalau nak dapat tauliah jadi imam pun kena boleh jadi tekong Majlis Tahlil. Patutlah susah ustaz sunnah nak dapat tauliah.

Dan orang ramai sudah sangka ini adalah satu ibadat dalam agama. Kita yang tidak pergi ini pula yang dianggap sebagai ‘pelik’.

Dan masalahnya lagi, yang menghadirinya adalah orang-orang yang dianggap orang sebagai ‘orang agama’ dalam masyarakat – tok imam, tok bilal, qariah masjid, tok lebai dan sebagainya. Padahal ianya bukanlah satu anjuran dalam agama Islam. Tidak ada langsung contoh amalan ini dilakukan oleh Nabi dan para sahabat.

Oleh kerana ianya telah dianggap sebagai satu majlis agama Islam, maka kita yang tak pergi ini pula yang dianggap ‘pelik’. Mereka kata kita tidak bermasyarakat, memutuskan silaturrahim dan sebagainya.

Tapi, kita hendaklah istiqamah. Tetap teguh tidak menghadiri majlis-majlis bidaah dan syirik sebegini. Biarlah apa orang kata, biarlah apa yang mereka akan ejek kita. Semoga lama kelamaan masyarakat akan faham. Semoga lama kelamaan mereka akan tertanya-tanya kenapa kita tidak menghadiri majlis sebegini. Semoga mereka mencari sebabnya dan mereka bertemu punca kenapa kita tidak mahu menghadiri majlis sebegini.

Dan supaya mereka pun tidak menganjurkan Majlis Tahlil dan kalau mereka tak anjur pun, mereka pun tidak menghadirinya. Lama kelamaan, demand untuk Majlis Tahlil pun tidak ada atau berkurangan. Dan semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang jadi pemangkin untuk menghapuskan satu majlis bidaah yang mungkar.

Tapi, mereka yang belum lagi mencapai tahap istiqamah ini, mereka akan pergi juga ke majlis ini. Sama ada mereka tahu ianya salah atau tidak, kita tidak pasti. Ini kerana mereka kalah dengan pandangan dan kata-kata manusia. Iman mereka masih lemah lagi.

Ada kemungkinan, ada yang tidak setuju dengan majlis sebegini, tapi kerana takut dikata orang, takut dipandang serong oleh orang, takut kena tuduh sebagai orang yang tidak bermasyarakat, sebagai pemecah belah masyarakat, mereka pergi akhirnya. Itu belum istiqamah lagi maknanya.

Perkataan yang kita mungkin biasa sudah dengar adalah istiqamah – berpegang teguh. Anjuran istiqamah ini pun ada disebut dalam hadis Nabi:

عَنْ أَبِي عَمْرو، وَقِيْلَ : أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانُ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِي فِي اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ . قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- Abu ‘Amrah, Suufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiallahuanhu dia berkata, saya berkata: Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorang pun selainmu. Beliau bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah. (Riwayat Muslim).

Apakah ganjaran kepada mereka yang istiqamah ini? Apakah yang Allah janjikan?

 

تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ

Maka akan turun para malaikat ke atasnya;

Iaitu para malaikat akan menyambutnya semasa dia mati. Allah nak beri semangat dan sebagai tasliah kepada orang mukmin yang menjalankan tugas sebagai seorang Muslim sejati.

Ianya adalah satu anugerah besar yang Allah beri kepada orang beriman. Dikatakan seramai 500 malaikat akan sambut roh itu semasa masuk kubur. Kepada orang beriman, Allah akan berikan bantuan kepada mereka. Semasa dia hendak mati, Allah akan beri dia nampak beratus-ratus malaikat kepadanya.

Apa yang mereka akan kata? Mereka akan memberikan kita berita-berita gembira dan yang akan menenangkan kita. Semoga kita mendapat anugerah ini apabila kita mati nanti.

Dari penggunaan perkataan تَتَنَزَّلُ  itu pun ada sebabnya juga. Dalam perkataan ini, ada dua ‘ta’. Dalam bahasa Arab, apabila ada penambahan huruf, ianya menambah makna. Jadi perkataan تَتَنَزَّلُ  bukan hanya ‘turun’ sahaja. Ianya bermaksud banyak kali turun. Kerana ramainya penurunan malaikat kepada orang yang mati kerana ramai orang yang mati dalam dunia setiap hari.

Ada juga yang mengatakan bahawa ini juga bermaksud semasa kita hidup, malaikat akan diturunkan kepada kita untuk memberi bantuan semangat kepada kita. Kalau dalam ayat 29 surah ini dan ayat-ayat lain, ada diceritakan bagaimana ada manusia yang tidak beriman sempurna akan ditemani oleh jin dan manusia yang jahat semasa mereka di dunia.

Syaitan-syaitan dari golongan jin dan manusia akan membisikkan keburukan kepada mereka – suruh mereka buat perkara yang jahat dan bidaah. Tapi, kepada mereka yang beriman dan istiqamah, mereka akan ditemani oleh malaikat. Malaikat itu akan membisikkan perkara yang baik-baik sahaja kepada kita dan memberi semangat kepada kita. Allahu a’lam.

Pendapat ini disokong oleh hadis-hadis Nabi, antaranya:

Dari Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi syaitan ada bisikan kepada anak Adam dan bagi Malaikat ada pula bisikan. Adapun bisikan syaitan ialah menjanjikan yang buruk-buruk dan mendustakan kebenaran. Dan adapun bisikan malaikat ialah menjanjikan yang benar dan menerima kebenaran dengan jujur. Kalau pernah terdapat demikian, ketahuilah bahawa itu adalah dari Allah, maka pujilah Allah. Dan barangsiapa yang mendapat selain itu, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah daripada syaitan.” Riwayat Tirmidhi dan an-Nasa’i.

Oleh itu ada beberapa pendapat tentang ayat ini:

1. Ibn Abbas kata malaikat akan turun semasa orang beriman itu mati.

2. Qatadah berpendapat ianya semasa orang mukmin itu dibangkitkan dari kuburnya semasa Kebangkitan Semula.

3. Waki’ ibn Jarrah mengatakan ia akan terjadi dalam tiga waktu: semasa mati, semasa di dalam kubur dan semasa dibangkitkan kembali.

4. Abu Hayyan mengatakan para malaikat itu sentiasa sahaja turun kepada para mukmin semasa hidupnya dan kesannya adalah kebaikan kepada orang mukmin itu. Tapi dia sahaja tidak perasan kedatangan para malaikat itu dan hanya nampak dan dengar percakapan mereka di tiga situasi di atas (semasa mati, dalam kubur dan semasa dibangkitkan).

أَلَّا تَخَافُوا

Kamu jangan takut;

Inilah kata-kata malaikat itu. “Jangan kamu takut tentang apa yang akan kamu hadapi di hadapan nanti. Jangan takut untuk hadapi akhirat yang telah bermula untuk kamu.”

Memang kita akan takut dan kerana itulah malaikat itu akan beri pujukan dan ketenangan. Kerana ianya telah diuruskan dengan baik untuk kita. Jangan takut sama ada kamu akan masuk neraka, kerana kamu akan diselamatkan; Ini penting kerana macam kita pergi ke tempat yang baru, kita akan rasa kekok. Dan sekarang pula adalah negeri akhirat, tentulah lagi menakutkan, maka kalau ada yang sambut kita, jadi kawan sebagai teman kita, itu adalah nikmat yang amat besar.

Malaikat-malaikat itu akan berkata, “jangan takut jangan bimbang, tuan duduk tepi, biar kami tolong jawab kepada malaikat Munkar Nakir”. Inilah yang diberikan kepada orang beriman. Tak payah baca talqin, tak payah masak pulut kuning dan sebagainya.

Nak ajar dalam talqin apa lagi? Kerana malaikat sama malaikat yang akan jawabkan bagi pihak kita. Mereka yang buat baca talqin itu sebab mereka nak duit, sebab boleh dapat upah dengan bacakan talqin tu. Sebab itulah mereka ajar masyarakat kita kena buat talqin. Padahal, talqin itu tidak ada dalam agama Islam.

 

وَلَا تَحْزَنُوا

dan jangan kamu bersedih

Jangan bimbang dan sedih akan apa yang akan kamu tinggalkan di rumah dan di dunia. Jangan ingat lagi pasal kereta dan apa semua harta yang ditinggalkan. Jangan risaukan tentang keluarga kamu – semuanya akan diuruskan.

Lagi pun, harta benda dan keluarga itu tidak ada ertinya sama sekali kalau dibandingkan dengan nikmat yang menunggu di alam akhirat nanti. Oleh itu, jangan takut menghadapi alam kubur ini dan jangan bimbang apa yang kamu akan tinggalkan di dunia.

 

وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ

Dan terimalah khabar gembira 

Iaitu mereka dijanjikan dengan syurga. Adakah balasan yang lebih baik dari balasan syurga? Bukankah itu yang kita harapkan sangat-sangat? Setiap hari kita minta syurga dan sekarang, malaikat janji yang kita akan masuk ke syurga.

Masa di syurga adalah tempat untuk bergembira. Hidup untuk memenuhi keinginan nafsu sahaja. Tidak ada lagi tanggungjawab ibadat yang perlu dipenuhi. Maka inilah yang kita kena kejar sentiasa.

 

الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

yang dijanjikan kepada kamu dulu. 

Dulu semasa di dunia, telah dijanjikan kepada kita semua, kalau buat baik, beriman, tidak buat syirik, maka kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Berkali-kali perkara ini telah disebut, berkali-kali telah diingatkan kepada kita. Maka, pada hari ini, janji itu akan ditepati.


Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Di mana ada hazaf (pembuangan) huruf dalam lafaz ayat Al-Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Dalam ayat Fussilat ini, kalimah yang digunakan adalah تَتَنَزَّلُ sedangkan kita boleh bandingkan dengan kalimah تَنَزَّلُ dalam Qadr:4

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Kedua-dua ayat ini tentang turunnya malaikat berjumpa hamba yang layak. Tapi di dalam Qadr:4, lafaz yang digunakan adalah تَنَزَّلُ sahaja sedangkan di Fussilat:30 ini, kalimah تَتَنَزَّلُ digunakan. Dan memang lafaz تَتَنَزَّلُ adalah yang sebenarnya dari segi bahasa. Jadi dalam Qadr:4 ini ada hazaf satu huruf ت. Kenapa?

Kerana peristiwa itu kurang dari segi kekerapan. Kerana Lailatul Qadr berlaku sekali sahaja setahun. Sedangkan kejadian pada Fussilat:30 berlaku kepada orang yang istiqamah dalam agama dan telah sampai ajal mereka. Dari segi kuantiti itu lebih banyak terjadi dari Lailatul Qadr. Kerana sentiasa sahaja ada yang mati setiap hari, bukan?


Ayat 31: Ini adalah tentang orang yang baik dan rapat dengan tauhid dan Al-Qur’an. Jika kita begitu, Allah akan takdirkan malaikat suka dengan kita dan duduk rapat dengan kita.

Yang jauh dari Allah dan tidak taat, malaikat tak suka duduk dekat dan syaitan yang akan rapat. Biar malaikat tiada, maka jin syaitan akan ambil peluang untuk rapat dengan kita. Maka manusia kena ikhtiar buat perkara yang malaikat suka. Contohnya, kena selalu duduk di Masjid.

نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ

Sahih International

We [angels] were your allies in worldly life and [are so] in the Hereafter. And you will have therein whatever your souls desire, and you will have therein whatever you request [or wish]

Malay

“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

 

نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Kamilah yang menjaga kamu dulu semasa kamu hidup di dunia.

Ini adalah kata-kata para malaikat yang menyambut ahli syurga itu.

Lafaz أَوْلِيَاؤُكُمْ datang dari kata asal ‘wali’. Wali adalah mereka yang kita boleh harapkan, yang kita boleh percaya, yang mahu membantu kita, yang rapat dengan kita. Merekalah yang menjadi teman dan sahabat setia kepada orang mukmin semasa di dunia dulu.

Ayat ini menguatkan lagi pendapat yang mengatakan bahawa malaikat-malaikat juga berdamping dengan manusia semasa hidup di dunia lagi, bukan hanya semasa hendak mati dan selepas mati. Mereka itulah yang gerak kita bangun dari tidur sambil bisikkan kepada kita supaya bangun solat.

Mereka jugalah yang beri kita mimpi-mimpi yang baik. Juga beri ilham yang baik-baik. Mereka itu juga memberikan sokongan kepada kita sampai kita rasa yakin dan teguh dalam menghadapi segala kemungkinan apa jua pun.

Dalam masa yang sama, syaitan pun boleh buat begitu juga. Maka, ada bisikan baik dan dan ada bisikan jahat. Hari-hari malaikat dan syaitan akan membisikkan kepada kita. Keduanya berusaha untuk membisikkan kepada kita dan ambil perhatian kita. Dan mana yang kita dengar itu bergantung kepada diri kita dan amalan kita.

Kalau amalan kita baik, maka malaikatlah yang akan berdamping dengan kita. Begitu juga, kalau amalan kita adalah amalan bidaah dan syirik, yang akan berdamping dengan kita adalah syaitan.

Malaikat-malaikat itulah juga yang menghalau syaitan-syaitan itu dari kacau kita. Kalau malaikat yang berdamping dengan kita, tidaklah berani syaitan nak datang dekat.

Maka, kenalah buat amalan yang menyebabkan malaikat datang dekat. Itulah amalan-amalan tauhid dan sunnah. Jangan buat amalan bidaah, kerana syaitan suka amalan yang bidaah. Bila kita buat amalan bidaah, syaitan akan duduk dekat sekali dengan kita.

Orang kita selalu takut dengan jin, bukan? Maka, kalau malaikat sentiasa bersama kita, nak takut apa lagi? Tentu jin akan takut untuk kacau kita dan ganggu kita.

 

وَفِي الْآخِرَةِ

dan di akhirat 

Di akhirat kelak pun mereka akan jadi penjaga ahli tauhid dan ahli syurga itu. Kita memerlukan bantuan dan teman dari kalangan malaikat di dunia dan juga di akhirat. Itulah teman yang baik. Waktu itu, selain dari malaikat sudah tinggalkan kita.

Ada penekanan dalam ayat ini kerana Allah ulang perkataan فِي dalam ayat ini, walaupun dari segi bahasa Arab, tidak perlu. Allah boleh sebut: نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَالآخِرَةِ dan ia membawa makna yang sama. Kalau tiada pun kita sudah faham bahawa malaikat-malaikat itu akan jadi wali kita di dunia dan akhirat.

Tapi, kalau Allah ulang perkataan فِي itu, maka, ianya adalah kerana nak tekankan kepentingan dunia dan kepentingan akhirat.

Malaikatlah pendamping manusia yang beriman itu yang menemani mereka semasa mereka bersendirian dalam kubur, ketika tiupan sangkakala, memberikan khabar keamanan pada hari kebangkitan dan perhimpunan serta akan membawa mereka melintasi Titian Sirat dan menyampaikan mereka ke dalam Syurga.

Semoga kita semua diberikan bantuan yang amat diperlukan ini nanti, in sha Allah. Tapi, untuk mendapatkannya, kenalah amalan ajaran tauhid yang benar. Kena ambil ajaran tauhid dari Al-Qur’an, bukannya dari pengajaran Sifat 20.

 

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ

Dan bagi kamu dalam syurga itu, apa sahaja keinginan syahwat dirimu.

Benda yang kita sudah tahu ada dalam syurga dan kita nampak ada dalam syurga, memang akan diberikan kepada kita. Itulah nikmat-nikmat yang tersedia ada dalam syurga yang tidak terkira banyaknya. Semuanya telah tersedia ada dalam syurga.

Ini adalah nikmat-nikmat yang berhubungan dengan jasmani. Umpamanya mahligai-mahligai dan istana, piala emas dan perak, layanan dari bidadari, tempat berteduh yang subur, taman-taman yang indah dan sebagainya.

Ada yang telah diberitahu kepada kita melalui ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi. Tapi banyak lagi yang tidak diberitahu kepada kita kerana akal fikiran kita tidak dapat memahaminya. Sampai di syurga baru tahu ada benda-benda itu. Itu pun kita akan dapat juga.

Perkataan تَشْتَهِي berasal dari perkataan ‘syahwat’, iaitu keinginan nafsu kita. Semasa kita di dunia, macam-macam keindahan dunia yang menarik minta dan nafsu kita, syahwat kita pun mahu, tapi kita yang beriman tahu bahawa ianya salah, maka kita tinggalkan, kita tak layan keinginan nafsu kita itu.

Bukan kita tak mahu, tapi kita tahu ianya salah. Seperti keinginan kita kepada lelaki atau perempuan, berehat, makan dengan banyak, wang dan kemewahan dan sebagainya. Itu adalah normal.

Maknanya, keinginan kita memang ada sebenarnya. Tapi kita sahaja yang tahan kerana kita tahu ianya salah. Oleh kerana itu kita tahan nafsu kita semasa di dunia, kerana kita tidak mahu sampai melakukan perkara yang dilarang. Oleh kerana kita tahan nafsu kita di dunia, Allah akan puaskan nafsu kita nanti di akhirat nanti.

Apa sahaja yang kita hendak, Allah akan berikan kepada kita. Kerana kita telah tahan nafsu itu semasa di dunia kerana kita taat kepada Allah. Jadi Allah akan beri macam-macam di syurga nanti. Cakap sahaja hendak apa. Dan kalau tak cakap pun, kita akan dapat. Dalam hati teringin apa sahaja, akan diberikan.

Sebagai contoh, kita nampak burung sedang terbang, terdetik di hati kita untuk makan burung panggang, burung itu akan dipanggang untuk kita.

 

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

dan bagi kamu di dalamnya, apa sahaja yang kamu minta.

Iaitu benda-benda yang kita tak tahu pun yang ianya ada. Apabila dimasukkan ke dalam syurga, akan ditunjukkan kepada ahli syurga benda-benda yang dia tak tahu wujud pun dulu.

Ini pun ada dalam syurga, malah banyak lagi, kerana pengetahuan kita tentang alam ini amatlah sedikit – banyak lagi yang kita tidak tahu dari yang kita tahu. Selagi kita nampak dalam pandangan kita itu, semuanya adalah untuk kita. Semuanya berkhidmat untuk kita.

Semasa kita di dunia, berbagai-bagai perkara kita doa kepada Allah. Tapi ada yang Allah tidak berikan semasa di dunia. Segala apa yang kita doakan semasa di dunia itu, akan diberikan di akhirat kalau Allah tidak berikan semasa kita di dunia dulu.

Sampaikan, ada riwayat yang mengatakan, apabila di akhirat nanti, ahli syurga akan lihat pemberian Allah sebagai ganti atas doa mereka yang tidak dimakbulkan semasa mereka di dunia.

Bukan Allah tidak dengar doa itu, cuma Allah tak beri semasa di dunia. Allah akan ganti dengan yang lain di syurga dan ganti itu terlebih baik dari apa yang mereka minta, sampaikan mereka berkata: “alangkah baiknya kalau doa kita semasa di dunia dulu tidak ada satu pun dimakbulkan, supaya kita akan mendapat gantinya di akhirat ini.” Kerana ganti yang di akhirat lebih baik lagi dari apa yang mereka doakan.

Begitulah nikmat kehidupan dalam syurga. Kita tidak dapat bayangkan. Apa yang kita tahu adalah maklumat-maklumat yang diberikan kepada kita dalam nas-nas Al-Qur’an dan hadis yang sahih.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa nikmat yang diberikan dalam potongan ayat ini adalah nikmat bersifat rohaniah. Dibandingkan dengan potongan ayat yang sebelumnya yang bersifat jasmaniah.

Oleh itu, nikmat yang akan diberikan kepada ahli syurga ada yang berbentuk jasmaniah dan ada yang berbentuk rohaniah.

Kemuncak nikmat yang bersifat rohaniah itu, pertamanya: mendapat keredhaan Allah. Itu adalah satu nikmat yang amat besar sekali. Dan yang lebih tinggi lagi dari tu adalah: diberi kesempatan menghadap Allah dan mengadap WajahNya dan ini adalah kemuncak kebahagiaan dalam syurga.

Kita amat berharap untuk dapat masuk syurga. Ada juga yang rasa mereka akan dapat masuk syurga kerana mereka sangka mereka sebagai orang Islam akan dapat syafaat dari Nabi. Mari kita periksa kefahaman kita tentang syafaat ini. Kerana banyak orang salah faham tentang maksud syafaat ini.

Apabila kita di Mahsyar nanti, Nabi boleh bagi syafaat dengan ‘batas-batasnya’. Nabi akan diberikan izin untuk memberi syafaat kepada manusia selepas Nabi sujud selama ’empat puluh’. Tak tahu ’empat puluh’ apa – empat puluh harikah, empat puluh bulankah atau empat puluh tahun.

Yang dimaksudkan dengan ‘batas’ itu adalah, Nabi hanya boleh beri syafaat kepada mereka yang baginda boleh beri syafaat sahaja. Iaitu mereka yang tidak amalkan syirik. Kalau ada fahaman syirik, memang tidak ada harapan untuk dapat syafaat Nabi.

Selepas beberapa lama, Nabi sujud untuk syafaat kedua. Dikeluarkan mereka yang dalam neraka. Iaitu mereka yang kena duduk dalam neraka sebab ada dosa-dosa yang mereka telah lakukan. Seperti tinggal solat dan sebagainya. Maknanya kalau tidak ada syafaat Nabi, tidak tahu berapa lama baru mereka akan dapat keluar dari neraka. Kerana tentulah banyak dosa-dosa kita.

Bayangkan pula dengan mereka yang curi, pernah melakukan zina dan sebagainya? Termasuk juga mereka yang tak pergi Haji kalau sudah layak pergi haji, dan banyak lagi dosa-dosa yang kita lakukan.

Maka, mereka yang beriman, tapi pernah melakukan dosa, amat memerlukan syafaat dari Nabi. Apabila dikeluarkan sebahagian dari neraka, ada lagi tak keluar. Nabi sujud lagi, dapat syafaat ketiga. Dikeluarkan dari neraka itu, orang-orang yang beriman yang nilai ibadat mereka lebih kecil dari zarah.

Semua akan dapat syafaat jikalau tidak buat syirik kepada Allah. Kerana kalau ada buat syirik (dan tak bertaubat), tidak akan keluar sampai bila-bila. Jadi, kalau ada buat syirik, tidak ada harapan. Persoalannya, adakah semua orang Islam sudah tahu apakah syirik itu?

Kerana kita lihat ramai yang buat syirik tanpa mereka perasan kerana mereka tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Dan nak tahu syirik dan tauhid itu kena belajar tafsir. Tapi berapa ramai sahaja yang sudah belajar tafsir Al-Qur’an? 

Tapi, amat banyak yang salah faham tentang syafaat ini. Ramai yang minta syafaat dari Nabi sekarang. Ketahuilah bahawa kalau minta syafaat sekarang, tidak boleh. Yang minta syafaat dengan Nabi, itu adalah amalan yang salah. Sebab Nabi hanya akan dapat beri syafaat itu semasa di akhirat kelak.

Kita telah sebutkan bahawa Nabi akan dibenarkan untuk beri syafaat selepas baginda sujud dan memuji Allah selama ’empat puluh’. Bukannya Nabi akan dengar permintaan kita sekarang kerana Nabi telah wafat.

Kerana itu kalau nak minta sekarang pun, Nabi tak dapat nak bantu kerana baginda sudah wafat pun. Bagaimana kita hendak minta sesuatu kepada orang yang telah mati? Bagaimana kita tahu yang Nabi dengar permintaan kita itu? Adakah ada dalil yang mengatakan Nabi dengar permintaan kita kepadanya?

Tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan Nabi suruh kita minta syafaat kepadanya sekarang. Dan tidak ada dalil yang mengatakan Nabi apabila telah mati, dapat dengar permintaan kita. Yang kata Nabi boleh dengar itu, hanyalah ‘agak-agak’ mereka sahaja. Janganlah kita faham agama ini dengan ‘agak-agak’ sahaja – kerana ada yang kata: “Takkan Allah tak beri Nabi dengar permintaan kita, bukankah dia itu Nabi yang amat mulia?”.

Itu adalah kata-kata hujah yang bukan dari nas yang sahih – maka ianya langsung tidak boleh dipegang sebagai hujah.

Jadi kita kenalah bertaubat dari apa kesalahan yang kita sudah buat. Sama ada dosa kecil, dosa besar, atau dosa syirik pun. Kerana kita mungkin pernah buat dosa syirik dahulu kerana kita tidak tahu. Supaya kita dapat syafaat dari Nabi Muhammad nanti.

Dan kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dari guru yang benar. Kerana selepas belajar tafsir, baru tahu bahawa ada perbuatan yang kita buat dulu, sebenarnya perbuatan syirik yang kita tak sedar. Maka, perbuatan dahulu yang salah itu kita minta ampun kepada Allah kerana kita tak tahu.

Bagaimana pula kalau kita tahu yang kita pernah buat syirik? Kita hanya perlu minta ampun kepada Allah dengan ikhlas sahaja. Itulah syariat yang telah diajar kepada kita. Lain dengan umat lain yang dahulu dari kita.

Macam kalau umat Nabi Musa dulu, untuk bertaubat, kawan kena bunuh kawan sendiri, kena bunuh dirilah kiranya, baru diterima taubat itu. Sedangkan kita hanya kena taubat dengan hati sahaja.

Itulah salah satu dari rahmat Allah kepada kita. Bayangkan kalau kena bunuh diri baru diterima taubat syirik itu, entah berapa kerat sahaja orang kita yang tinggal?


 

Ayat 32:

نُزُلًا مِّن غَفورٍ رَّحيمٍ

Sahih International

As accommodation from a [Lord who is] Forgiving and Merciful.”

Malay

“(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”

 

نُزُلًا

Sebagai satu hidangan tetamu;

Hidangan adalah satu cara menghormati tetamu yang datang. Dari dulu sampai sekarang, beginilah yang kita akan buat. Kalau orang datang rumah kita, makanan pun sudah bukan makanan biasa yang kita makan hari-hari, tapi kita akan hidangkan makanan yang istimewa, bukan?

Begitulah Allah beritahu yang layanan Allah bukanlah layanan biasa, tetapi layanan melayan tetamu. Semakin besar dan tinggi kedudukan tetamu itu, semakin hebat hidangan yang akan diberikan kepadanya.

Bergantung juga kepada mereka yang menyambut itu. Tidak sama kalau kita pergi ke rumah orang miskin dan orang kaya. Orang miskin akan layan juga kita, tapi terhadlah apa yang mereka boleh beri kepada kita. Kalau tuan rumah itu adalah orang kaya, maka jamuannya tentu lebih hebat lagi. Kalau ke istana Raja, tentulah lagi hebat, bukan?

Bagaimana pula kalau kita tetamu Allah? Dan kita pula adalah mereka yang beriman dan tetap istiqamah dalam memegang syariat yang telah ditetapkanNya? Bagaimana agaknya jamuan yang akan kita dapat itu? Tidak terbayang dalam akal fikiran kita yang cetek ini.

Apakah maksud نُزُلًا? Ianya adalah ‘pembuka selera’. Kerana perkataan itu bermaksud dari segi bahasa adalah ‘tetamu yang baru turun.’ Apabila sudah sampai, sudah duduk sekejap, itu bermaksud dia sudah jadi ‘tetamu’, bukan lagi نُزُلًا. Lalu apa yang kita berikan kepada tetamu kita yang baru sampai?

Kita akan berikan minuman ringan dan makanan ringan dahulu. Bagi air sirapkah, bagi kacang dulukah – iaitu makanan yang ringan-ringan sahaja dulu, sebab dia baru sampai, belum masuk bilik tetamu lagi, belum mandi dan bersiap lagi. Lepas semua sudah siap sedia, barulah akan bagi makan nasi ayamkah, briyani kambingkah dan sebagainya – maksudnya makanan utama.

Oleh itu, apa yang telah disebutkan sebelum ini hanya sebagai ‘pembuka selera’ sahaja. Sesuatu yang diberikan sebelum ‘main course’ diberikan. Sesuatu yang hebat tapi masih sebagai ‘pembuka selera’ sahaja. Apa yang Allah akan berikan selepas itu adalah lebih baik lagi, sampai tidak boleh disebut kerana akal manusia yang lemah tidak akan dapat faham.

 

مِّنْ غَفُورٍ

daripada Dzat yang maha mengampun,

Allah menyebut sifatNya dalam ayat ini. Allah telah memberi ampun kepada ahli syurga supaya mereka dapat masuk syurga. Memang kita sebagai manusia, tentunya banyak kesilapan dan dosa yang kita telah lakukan. Tapi kerana Allah ampunkan, maka dapatlah kita masuk ke dalam syurga.

Maka, kita mungkin tertanya-tanya adakah kita layak masuk syurga Allah yang hebat itu? Maka dalam ayat ini Allah memberitahu kepada kita bahawa Dia adalah Maha mengampun. Segala dosa yang kita lakukan itu Allah boleh ampunkan, kalau Allah mahu. Maka, hendaklah kita selalu minta ampun dan bertaubat kepada Allah.

 

رَّحِيمٍ

Yang amat belas kasihan.

Allah tak sanggup melihat makhlukNya yang beriman itu kena azab di neraka. Ketahuilah bahawa Allah amat sayangkan makhlukNya yang beriman dan mengamalkan tauhid. Seperti seorang emak sayangkan anak dia, malah Allah lebih sayang lagi sebanyak 70 kali ganda.

Bayangkan seorang emak itu tak sanggup nak tengok anak dia masuk penjara walaupun dia tahu anaknya itu seorang yang jahat. Maka, takkan Allah sanggup nak masukkan makhlukNya yang Dia sayang itu ke dalam neraka. Kerana Dia sayang kepada makhlukNya lah yang Dia letak sifatNya yang maha pengampun. Supaya tak masuk dalam neraka dan sebaliknya

Dia akan masukkan ke dalam syurga dan diberikan segala nikmat dalam syurga itu. Tapi, nikmat di syurga itu hanyalah kepada mereka yang beriman.

Habis Ruku’ ke 4 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 33: Ayat ini ditujukan kepada mereka yang berdakwah kepada orang lain. Iaitu orang yang minat kepada Al-Qur’an. Mereka inilah juga yang sanggup berkata: “Tuhan kami adalah Allah”.

Mereka bukan setakat cakap sahaja tapi mereka buat kerja dengan mengajak manusia ke arah Allah dan wahyu. Ini berlawanan dengan ayat syikayah (rungutan Allah) sebelum ini tentang mereka yang menghalang orang lain dari mendengar ayat-ayat Al-Qur’an.

Begitulah mereka yang anti Al-Qur’an akan halang orang lain dari belajar tafsir Al-Qur’an. Kebalikan dari menghalang orang mendengar Al-Qur’an, adalah mengajak mereka kepada Al-Qur’an itu sendiri.

Ini adalah satu ayat yang penting dalam surah ini. Ianya adalah salah satu fokus dalam Surah Fussilat – Iaitu melakukan dakwah. Tema penting dalam surah ini adalah tentang dakwah selain daripada berkenaan tauhid dalam doa.

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِّمَّن دَعا إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صٰلِحًا وَقالَ إِنَّني مِنَ المُسلِمينَ

Sahih International

And who is better in speech than one who invites to Allah and does righteousness and says, “Indeed, I am of the Muslims.”

Malay

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا

Dan siapa yang lebih baik kata-katanya.

Maknanya, tidak ada lagi yang lebih baik seruannya. Ada dua elemen di sini:
1. Tiada yang lebih baik dari seruan itu
2. Tiada siapa yang lebih baik dari orang yang menyeru itu.

Ayat ini dalam bentuk pertanyaan. Tapi ianya adalah pertanyaan yang berbentuk retorik. Iaitu nak mengatakan bahawa tidak ada lagi yang lebih baik. Macam orang kata: “siapa lagi yang lebih kuat?” – bunyi macam tanya, tapi sebenarnya dia nak kata dialah yang paling kuat.

Yang dimaksudkan ‘kata-kata yang terbaik’ itu adalah kata-kata seruan dakwah. Ini adalah satu tugas dan amalan yang mulia. Iaitu mengajak orang kepada agama. Bukan senang kerja ini. Tak ramai yang hendak memikirkan hal agama ini. Selalunya ramai buat tak kisah sahaja.

Tambahan pula kalau yang kita dakwah itu adalah orang yang degil – seperti yang disebut dalam ayat 5 surah ini. Mereka kata hati mereka tertutup dari dakwah itu, dalam telinga mereka ada sumbatan dari dakwah itu dan ada dinding antara mereka dan agama. Selalunya mereka tidak cakap, tapi itulah yang dalam hati mereka sebenarnya.

Maka, kerja dakwah itu adalah kerja yang amat sukar. Kalau ianya sukar, maka ianya adalah satu perkara yang memerlukan orang yang ada kualiti yang tinggi. Maka, kerana itulah Allah kata tidak ada lagi seruan yang lebih mulia dari seruan dakwah itu. Dan tidak ada siapa lagi yang lebih dari mereka yang mengerjakan dakwah itu. Maka inilah sifat orang mukmin. Dia bukan sahaja beriman tapi dia ajak orang lain ke arah iman.

Usaha dakwah adalah usaha dan kerja para Rasul. Kalau kita pun menjalankan kerja dakwah, kita pun menjalankan usaha yang dijalankan oleh rasul-rasul. Kita meneruskan usaha mereka kerana sekarang tidak akan diturunkan Nabi lagi dalam dunia ini. Yang ada hanyalah penyampai-penyampai dakwah seperti kita. Semoga Allah meletakkan kita dalam golongan mereka.

 

مِّمَّنْ دَعَا إِلَى اللهِ

daripada yang seru kepada Allah.

Dakwah yang utama adalah mengajak manusia kembali kepada Allah iaitu kembali kepada tauhid. Maknanya, mereka bukan hanya menyelamatkan diri sendiri sahaja, tapi ajak juga orang lain. Mereka ajak manusia kenal Allah dan mentauhidkan Allah.

Kalau disambungkan dengan potongan ayat sebelum ini, ayat penuhnya adalah: Tidak ada seruan yang lebih baik dari seruan dakwah. Dan juga bermaksud, tidak ada orang yang lebih baik dari orang yang berdakwah.

Langkah pertama adalah memperbetulkan diri kita. Itu telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini – antaranya ayat ke 6 dimana Allah suruh kita beriman dan istiqamah dalam iman itu.

Oleh itu, langkah pertama dakwah adalah membetulkan diri kita dulu. Macam mana kita nak ajak orang lain kalau diri kita sendiri pun tidak betul? Macam kalau kita naik kapal terbang, kalau ada kekurangan oksigen, kita kena pakai oksigen itu dulu sebelum beri kepada orang-orang bawah jagaan kita, bukan? Jadi kena mulakan dengan diri kita dahulu.

Selepas kita membetulkan diri kita, maka kita ajak orang lain pula. Memang tidak boleh duduk diam setelah belajar tafsir. Kena jalankan kerja dengan sampaikan kepada orang lain pula. Macam juga Rasulullah setelah mendapat wahyu, baginda sampaikan kepada umat.

Tapi memang kena ingat bahawa mereka yang sampaikan wahyu kepada manusia akan kena berlawan dengan mereka yang anti ajaran Al-Qur’an macam Nabi juga yang telah dilawan dengan puak baginda sendiri.

Lihatlah ayat ini, ianya menekankan kepada kita bahawa tujuan dakwah itu adalah ‘menyeru kepada Allah’. Maka, itulah dakwah yang pertama-tama kali. Itulah dakwah yang paling mulia. Iaitu mengajak kepada tauhid. Mengajak manusia kepada ibadat hanya kepada Allah, dan menyeru hanya Allah sahaja dalam doa.

Bukannya kita terus tegur tentang amalan orang lain. Bukan terus cerita pasal bidaah, tidak. Kerana mereka akan susah hendak terima kalau kita terus tegur tentang ibadat. Bagaimana mereka hendak terima sedangkan mereka pun belum rapat lagi dengan Allah? Mereka pun belum faham tentang Allah?

Oleh itu yang mula sekali adalah memperkenalkan kepada mereka siapakah Allah itu dengan sifat-sifatNya. Kemudian kita beritahu mereka bahawa hanya ibadat kepada Allah sahaja.

Kemudian ajar doa hanya kepada Allah sahaja dan tinggalkan amalan tawasul yang banyak dilakukan oleh manusia. Apabila mereka sudah terima, barulah senang untuk mengajar kepada membetulkan amal ibadat.

Nota: ada juga yang mentafsirkan ayat ini merujuk kepada para muazzin yang melaungkan azan. Kerana mereka yang menyeru manusia untuk melakukan solat. Ini juga boleh dimasukkan juga sebagai tafsiran kedua. Allahu a’lam.

 

وَعَمِلَ صٰلِحًا

dan dia sendiri buat amal-amal soleh.

Bukan sahaja dia beriman dan mengajak orang lain beriman, tapi dia juga melakukan amal yang soleh. Bukan hanya pandai cakap sahaja, tapi pendakwah juga kena buat juga amalan yang soleh.

Amalan yang soleh adalah amalan yang diajar oleh Nabi. Iaitu yang ada sandaran dari amalan Nabi. Bukan amalan rekaan dari manusia dan ulama-ulama, ustaz-ustaz. Iaitu, bukanlah amalan yang bidaah. Amalan bidaah adalah amalan yang melawan amalan sunnah, sebab itu ianya adalah amalan yang buruk.

Maka pendakwah kena mengajak orang dengan dia sendiri melakukan amalan soleh. Kerana dia menunjukkan contoh teladan yang baik kepada manusia lain. Oleh kerana itu, amal yang soleh juga adalah satu cara dakwah. Iaitu dakwah dengan cara perbuatan.

Dakwah itu ada dua cara penyampaian: dengan mulut dan dengan perbuatan. Dengan mulut adalah kita seru orang dan kita beri dalil hujah kepada mereka. Dengan perbuatan adalah kita buat amalan yang soleh, ibadat yang diajar Nabi dan lain-lain amalan. Amalan sedekah, tolong orang dan sebagainya itu pun adalah amal yang soleh juga kerana ianya juga telah dianjurkan dalam Islam.

Apabila orang melihat kita buat perkara-perkara ini, mereka akan nampak kesungguhan kita. Mereka tidaklah kata kita ini hanya pandai cakap sahaja – cakap tak serupa bikin – tapi kita juga amalkan apa yang kita cakapkan.

Bukankah dalam ayat sebelum ini telah disebutkan tentang istiqamah? Kenapa diulang lagi berbuat amalan soleh lagi dalam ayat ini? Ini kerana dulu disebut berbuat amal ibadat yang soleh untuk memperbaiki diri sendiri. Dalam ayat ini, diingatkan manusia yang berdakwah supaya jangan lupa diri sendiri dalam melakukan dakwah.

Dalam kita dakwah orang lain itu, jangan lupa diri kita pun kena berbuat amal ibadat. Jangan kita sangka, apabila kita sudah berdakwah, kita sudah selamat dan tak payah buat amal ibadat lagi. Kerja dakwah kena jalan, amal ibadat kena jalan juga dalam masa yang sama.

Kadang-kadang orang berdakwah, kelemahan mereka adalah mereka sudah kurang solat, sudah kurang zikir sebab mereka sangka ianya sudah diganti dengan kerja dakwah itu. Jangan kita jadi begitu. Sebaliknya, kita kena menambahkan amal-amal soleh kita lagi.

Dalam kita buat kerja dakwah, mengajak orang lain kepada Allah, kita memerlukan ‘kekuatan dalaman’. Kekuatan dalaman itu datang dari mana? Ianya dari Allah dan Allah akan beri kepada mereka yang melakukan banyak ibadat kepadaNya.

Ingatlah bagaimana Nabi pun disuruh oleh Allah untuk melakukan solat malam walaupun pada siangnya baginda telah berhempas pulas berdakwah kepada bangsa Quraish dan bangsa Arab. Tapi, malamnya Allah suruh Nabi kerjakan solat malam pula. Ini adalah kerana solat itu memberi kekuatan kepada Nabi sebenarnya. Begitu juga kita – amalan amal ibadat yang kita buat itu sebenarnya memberikan kekuatan kepada kita.

Memang kita memerlukan kekuatan itu. Kerana bukan nak senang nak hadapi orang yang kebanyakannya akan menentang. Oleh itu, dalam kita melakukan dakwah, kita kena tambah amal ibadat kita.

Dalam ayat ini, digunakan perkataan dalam bentuk biasa, iaitu صَالِحًاSelalunya, dalam Al-Qur’an disebutkan perkataan amal soleh dalam bentuk الصَّالِحَاتِ. Perkataan الصَّالِحَاتِ bermaksud amal-amal khusus, seperti solat, zakat dan sebagainya – iaitu amalan yang memang dah wajib kena buat – kalau tak dakwah pun, memang kena buat juga kerana itu adalah fardhu ain.

Tapi perkataan صَالِحًا bermaksud amal-amal yang umum, iaitu seperti solat tahajjud, sedekah, baca Al-Qur’an, tambah ilmu dan sebagainya. Itu semua bukanlah amalan yang fardhu, tapi ianya adalah amalan sunat yang banyak mengandungi kelebihan di dalamnya.

Ini adalah kerana mereka yang berdakwah, memerlukan tambahan dari amalan yang biasa. Mereka kena buat lebih lagi dari yang wajib. Kena buat lebih dari orang biasa, dari orang awam. Takkan nak sama dengan orang biasa pula, bukan?

 

وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Dan dia telah berkata: sesungguhnya aku ini terdiri dari seorang yang serah diri sepenuhnya kepada Tuhan.

Mereka ini adalah golongan anti-syirik. Kalau zaman Nabi, mereka itu berlawanan dengan Musyrikin Mekah. Mereka dulu berlawanan dengan fahaman dan amalan musyrikin Mekah. Kerana mereka kata begitu, mereka telah ditentang dan disakiti.

Kalau zaman sekarang, kalau beritahu belajar tauhid, maka akan dilawan oleh pihak yang amalkan syirik dan bidaah. Macam zaman Nabi, bahaya kalau sahabat sebut mereka belajar dengan Nabi Muhammad. Begitulah dugaan kepada mereka yang berpegang kepada Sunnah.

Ini adalah satu deklarasi kebanggaan. Perkataan إِنَّنِي itu ada penekanan (tahkik) – kerana selalunya digunakan إِنَّي sahaja. Perkataan ini adalah dari seorang yang bangga menjadi seorang Muslim. Mungkin kita rasa biasa sahaja jadi Muslim, bukan? Tapi bayangkan deklarasi ini dikatakan pada zaman Nabi Muhammad, iaitu waktu orang Islam ditindas dan dipandang serong. Bukan senang untuk mereka berkata begitu. Ianya memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi.

Dalam segala hal, kita berserah diri kepada Allah. Itulah maksud ‘muslim’ dari segi bahasa – serahkan sepenuhnya kepada Allah. Dan taat sepenuhnya kepada Allah. Kita ikut apa yang Allah suruh kita buat dan tinggalkan apa yang Allah larang. Jangan memandai-mandai buat perkara baru dalam agama. Yang memandai dalam perkara agama itu adalah perkara yang bidaah.

Dan deklarasi diri sebagai seorang Muslim adalah satu deklarasi yang merendahkan diri dari orang yang memperkatakannya. Kerana dia mengaku yang dia hanya seorang manusia biasa, yang sama sahaja kedudukannya dengan orang lain. Semua orang adalah dalam status yang sama – seorang Muslim.

Dalam dia mengajak orang lain kepada agama, bukanlah dia mengatakan yang dia lebih tinggi kedudukannya dari orang lain. Kita hanya menjalankan suruhan Allah sahaja untuk menyampaikan agama.

Bukanlah dia dari golongan Habib yang kerana kononnya mereka keturunan Nabi, mereka lebih lagi dari orang lain, bukan. Bukanlah kerana mereka dulu keturunan Tok Kenali atau mana-mana ulama, sudah semestinya mereka sudah pandai dan sudah selamat, bukan. Itu semua tidak menjanjikan apa-apa, sebenarnya kalau amalan yang dilakukan adalah berlainan dengan ajaran tauhid dan sunnah.

Dalam ayat ini, seorang pendakwah itu mesti mengatakan bahawa mereka sama sahaja kedudukan mereka dengan orang lain. Tidak ada yang lebih dari orang lain dalam agama ini.

Ini memang bahaya kerana kalau kita sudah mula berdakwah, telah mula mengajar orang lain, ada kelas pengajian, manusia akan melayan kita lain macam. Mereka sangka doa kita sudah mujarab, mereka akan minta kita beri ayat-ayat nak baca dan amalkan (sebagai azimat), mereka akan minta kita sembuhkan mereka, mereka akan tanya macam-macam hal dan kita akan jawab begitu begini dan sebagainya.

Kalau kita tidak berhati-hati, kita mungkin akan ada rasa tinggi diri. Kalau itu terjadi, itu adalah satu perkara yang malang sekali.

Kita juga jangan tinggikan sangat kedudukan guru-guru kita. Jangan kita layan mereka lain macam sampai mereka pun rasa mereka tinggi dari kita. Atau kita harapkan mereka boleh buat sesuatu yang lebih dari seorang manusia.

Atau kita sangka mereka tahu semua perkara – sampaikan kalau ada benda yang mereka tak tahu, kita rasa hairan dan kita rasa mereka ada kurang pula. Memanglah mereka pasti ada kekurangan, kerana mereka pun manusia macam kita juga. Mereka pun ada kehidupan biasa juga.

Mereka pun ada buat silap. Bukan semua hal agama mereka tahu – ada juga benda yang mereka tak tahu. Tidak ada manusia yang tahu semuanya. Ilmu itu amat luas, ada yang guru kita tahu dan ada yang guru kita tidak tahu. Itulah sebabnya kita kena berguru dengan ramai orang.

Dan janganlah pula ada guru yang macam tak suka kalau anak murid dia belajar dengan orang lain. Kalau ada yang macam itu, maknanya ada masalah pada guru itu. Guru macam itu kita kena berhati-hati, jangan lama dengan guru itu takut kita pula yang ada masalah nanti.

Kita sebutkan di sini kerana kadang-kadang kita tengok bagaimana pelajar-pelajar agama layan guru-guru mereka terutama guru tarekat, kita pun kesian tengok mereka. Terlalu berlebihan sangat. Macam jadi hamba dengan guru mereka. Apa sahaja yang guru mereka kata, itulah agama pada mereka.

Sampaikan kalau ada guru lain beri pendapat yang lain sikit, mereka tak terima – mereka hanya ikut pendapat guru mereka sahaja. Itu sudah bahaya – kerana hal agama hendaklah disokong dengan dalil dari nas yang sahih. Bukan boleh ikut pendapat guru sahaja.

Kadang-kadang guru itu tak jumpa dalil, maka dia hanya dapat beri pendapat dia sahaja. Bukan dalil tidak ada, tapi dia yang tak jumpa. Seperti kita telah sebut tadi, bukan semua guru tahu semua perkara.

Ini juga mengingatkan kita tujuan dakwah kita. Kita mengajak manusia kepada Islam. Bukan kepada satu-satu organisasi, satu-satu persatuan, satu-satu ideologi, bukan. Dalam Islam, tidak ada kumpulan-kumpulan. Yang ada, hanya satu – menjadi Muslim.

Tidaklah ada kumpulan ‘ahli sunnah wal jamaah’, Aswaja, Jemaah Tabligh, kumpulan Salaf, kumpulan Arqam, Hizbut Tahrir, kumpulan itu dan ini. Maka kerana itu kalau orang tanya kita dari kumpulan mana pun, kita cakap kita tidak dari mana-mana kumpulan, kita cuma jawab kita ini adalah Muslim.

Dan kita juga tidak boleh mengajak belajar kepada satu guru sahaja. Itu adalah amat merugikan. Biarlah belajar dengan banyak guru supaya ilmu dan otak kita berkembang. Janganlah taksub dengan satu guru sahaja. Itu amat bodoh sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Fussilat Ayat 25 – 29 (Allah hadiah qarin kepada manusia)

Fussilat Ayat 25: Ini ayat yang terpenting dalam surah ini. Inilah MAKSUD surah ini. Atau dipanggil DAKWA surah.

۞ وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم مّا بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَحَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

Sahih International

And We appointed for them companions who made attractive to them what was before them and what was behind them [of sin], and the word has come into effect upon them among nations which had passed on before them of jinn and men. Indeed, they [all] were losers.

Malay

Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara lepas yang di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

 

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ

Kami ‘hadiahkan’ kepada mereka teman-teman rapat.

Oleh kerana mereka telah ada fahaman yang syirik, maka mereka telah dihadiahkan oleh Allah dengan qurana’. Qurana’ adalah jamak kepada ‘qarin’.

Perkataan ‘qarin’ bermaksud yang ‘lekat bersama’. Iaitu akan ada makhluk yang akan lekat bersama kita dari kalangan jin syaitan. Setiap manusia ada seekor ‘qarin’. Termasuk juga Nabi Muhammad ﷺ ada juga qarin, cuma qarin baginda telah diislamkan.

Syaitan-syaitan itu kenal kita, tahu apakah kegemaran kita, perangai kita dan sebagainya. Ini kerana mereka duduk rapat dengan kita, bersama dengan kita sepanjang masa. Oleh itu, mereka tahu apakah yang boleh menjatuhkan kita. Mereka akan menyuruh kita melakukan dosa dan mereka tahu bagaimana hendak memujuk kita.

Ataupun maksud yang boleh digunakan juga adalah: seorang yang biasa buat dosa, mereka akan selesa berada dengan mereka yang buat dosa yang sama dengan mereka juga. Oleh itu, ‘teman-teman rapat’ itu juga boleh jadi dari kalangan manusia. Iaitu yang menempek sahaja dengan mereka.

Contohnya mereka yang menempek dengan pemimpin. Mereka akan memuji-muji perbuatan pemimpin itu. Ataupun kawan-kawan yang mengajak kepada melakukan keburukan. Mereka itu bukanlah kawan yang baik tapi kawan yang menjatuhkan kita.

 

فَزَيَّنُوا لَهُمْ

Mereka (Quranaa’ itu) akan menghiasi bagi mereka

‘Teman-teman rapat’ dari jin atau dari manusia itu akan membisikkan kepada kawannya itu, supaya dia memandang indah perbuatan kufur dan jahat mereka. Mereka rasa molek dengan apa yang mereka buat itu. Walaupun perkara yang dibuat itu adalah perkara salah tapi ada kawan yang kata tidak mengapa, boleh buat. Oleh kerana itu mereka tak rasa salah pun masa buat salah itu.

Ini termasuklah dengan amalan-amalan bidaah. Contohnya, banyak sekali wirid-wirid dari tarekat yang salah. Kerana ia adalah wirid rekaan dan bukan datang dari dalil yang sahih. Atau ajaran dari guru-guru yang tidak mengamalkan sunnah. Tapi mereka sangka betul dan nampak cantik perbuatan mereka itu.

Yang bagi nampak cantik itu adalah syaitan. Syaitan akan buat bagi nampak molek sahaja perbuatan mereka itu. Oleh kerana itu mereka takkan tinggalkan perbuatan salah mereka itu kerana mereka rasa ianya molek.

Sebagai contoh, kalau kita tanya kepada orang yang mengamalkan tarekat, mereka amat sayang dengan amalan bidaah dan syirik mereka. Mereka akan kata, semasa mereka mengamalkan wirid mereka itu, mereka rasa amat tenang sekali.

Ada yang kata, perasaan itu macam perasaan ‘jatuh cinta’. Ada yang kata, mereka tak dapat nak ceritakan kesedapan yang mereka dapat dari amalan mereka itu. Oleh itu, mereka sayang nak tinggalkan amalan salah itu.

Ingatlah bahawa keindahan dan kesedapan yang mereka dapat itu adalah kerana ianya telah ‘dicantikkan’ oleh syaitan. Apabila sesuatu amalan itu salah, syaitan tak kacau. Sebab itu orang wirid tarekat boleh buat sampai beribu-ribu kali dan boleh buat berjam-jam. Buat apa syaitan nak kacau, sebab memang amalan itu sudah salah? Memang syaitan lagi suka kalau pelaku bidaah itu terus buat bidaah, bukan? Maka akan dikipasnya supaya buat lagi dan lagi.

Tapi, kalau kita buat perkara yang sunnah, yang benar dalam landasan Islam, akan ada rasa berat sahaja. Nak mula buat pun sudah malas, dan kalau sudah buat, sekejap sahaja sudah rasa mengantuk. Sebab syaitan akan bertumpu-tumpu nak kacau kita. Sebagai contoh, kita akan rasa berat nak baca Al-Qur’an, rasa malas nak solat sunat dan solat malam. Kerana mereka tak suka kita buat amalan yang benar.

Ayat ini juga bermaksud, ada juak-juak pemimpin yang menempek dengan pemimpin itu yang akan memuji sahaja apakah keputusan pemimpin itu. Mereka puji tak tentu pasal. Semua yang dibuat pemimpin itu cantik sahaja mereka kata.

Atau ada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia yang memuji-muji amalan salah yang mereka telah buat itu. Mereka beri sokongan dan pujian kepada pengamal amalan salah itu. Mereka kata hebat sekali amalan yang telah dilakukan oleh kawannya itu.

 

مَّا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ

apa yang di depan dan belakang mereka.

‘Depan’ bermaksud ‘masa hadapan’. Syaitan akan bisikkan kepada kita, kalau buat begini, akan dapat ini, dapat itu. Kalau buat ini dan itu, akan naik ‘maqam’ dan sebagainya. Mereka menjanjikan pahala-pahala dan kelebihan-kelebihan yang tidak ada dalil.

Atau, ia juga bermaksud perkara yang mereka sedang lakukan. Mereka akan puji amalan salah yang sedang dilakukan. Syaitan akan bisik: “bagus, bagus…. teruskan… teruskan…. ini bagus ni…..

Dan ‘belakang’ pula, bermaksud syaitan cantikkan kepada kita apa yang telah terjadi dahulu kepada kita. Dia akan kata kita dulu tak buat salah banyak pun kalau dibandingkan dengan orang lain. Maka jangan takut masuk neraka dan jangan menyesal.

Ini kerana kalau kita menyesal dengan perbuatan kita dahulu, kita tak berani nak buat salah lagi. Oleh itu, dia akan bisikkan kepada kita yang kita tak banyak dosa pun, masih okay lagi. Padahal, sudah banyak salah yang kita buat.

Atau, dia akan kata, sudah banyak amalan yang kita sudah buat. Maka, tentu sudah banyak pahala sudah kita dapat, maqam pun sudah tinggi melangit. Maka kita pun suka dan berbangga dengan amalan-amalan itu. Ini memberi semangat untuk meneruskan amalan salah seperti zikir-zikir seperti yang diamalkan oleh golongan tarekat itu. 

Dalam bab doa, syaitan akan bisikkan kepada pengamal doa dengan cara yang salah itu. Mereka akan bisikkan bagaimana cara-cara doa yang amalkan dengan cara tawasul itu telah ‘menjadi’. Mereka akan buat kisah bagaimana ramai yang mengamalkan tawasul telah dapat apa yang kehendaki. Jadi takkan salah, bukan? Syaitan kata, kalau cara doa minta kepada Nabi, wali dan malaikat itu salah, takkan Allah berikan juga apa yang mereka minta dulu?

 

وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ

Dan ditetapkan kepada mereka ‘perkataan’ (keputusan azab).

Allah nak beritahu yang kalau cara itu salah, ia tetap salah, walaupun dapat apa yang dihajati. Sesuatu perkara itu terjadi, bukan ‘tanda yang ianya benar.

Jadi, kalau cara doa mereka itu salah, kenapa Allah beri juga apa yang mereka minta? Itu adalah sebagai ujian buat mereka. Mereka yang gagal dengan ujian itu akan terus melakukannya. Allah sengaja berikan amalan salah mereka itu menjadi, kerana Allah nak uji mereka: adakah mereka belajar atau tidak? Adakah mereka buat keputusan yang betul atau tidak? Adakah mereka tengok dalil atau mereka tengok kejayaan sahaja? 

Maka, kerana kesalahan yang mereka lakukan itu, mereka tetap akan mendapat azab yang telah dijanjikan oleh Allah.

 

فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ

bersama umat-umat yang telah lalu

Mereka akan dikenakan dengan azab sama seperti mereka yang berperangai sama macam mereka. Macam kaum Aad dan kaum Tsamud yang telah disebut di awal surah ini.

Begitu juga kita akan dapat balasan sama macam apa yang akan terjadi kepada tok nenek kita dahulu juga kalau kita amalkan amalan salah yang sama macam mereka.

Maka amat bahaya sekarang kerana kebanyakan dari kita banyak ikut amalan tok nenek sahaja. Benda yang sudah lama mereka amalkan, kita sangkakan ianya betul belaka walaupun kalau diperiksa dengan amalan Nabi dan sahabat, mereka tidak buat begitu.

 

مِنَ الْجِنِّ

dari golongan jin.

Mereka akan duduk di neraka dengan syaitan dari kalangan jin yang mengajar dan menyesatkan manusia. Jin banyak yang menyesatkan manusia. Mereka akan membisikkan ajaran-ajaran salah kepada manusia supaya manusia puja mereka. Sebab itu orang yang mengamalkan wirid-wirid sebegini senang diganggu hantu.

Kerana itulah kita boleh lihat sekolah-sekolah agama, pelajarnya senang kena histeria. Kerana mereka diajar dengan perkara-perkara dan amalan-amalan yang salah. Maka sukalah jin nak kacau mereka. Bila dikacau, mereka amalkan lagi amalan pendinding yang salah. Jadi mereka semakin masuk ke dalam lembah kesesatan.

 

وَالْإِنْسِ

dan dari golongan manusia. 

Dan mereka akan duduk bersama dengan manusia-manusia yang mengamalkan amalan salah. Kerana ramai yang amalkan amalan yang salah, maka mereka semua akan dikumpulkan di neraka nanti. Nanti di sana boleh bersuai kenal.

Termasuk dalam golongan manusia adalah guru yang mengajar ilmu salah. Kita jangan sangka yang menjauhkan kita dari jalan Allah itu hanya syaitan dari golongan jin sahaja. Syaitan itu ada juga dari kalangan manusia. Bagaimana pula jadi begitu?

Ini kerana kalau jin itu menjauhkan kita dari jalan Allah, ia adalah syaitan. Dan kalau yang menjauhkan kita dari jalan Allah itu adalah manusia, dia juga syaitan. Iaitu syaitan dari golongan manusia.

Kalimah الْإِنسِ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan الْإِنسِ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia. Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam A’raf:172, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,

Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

 

إِنَّهُمْ كَانُوا خٰسِرِينَ

Sesungguhnya mereka rugi sebenar-benar rugi.

Mereka akan rugi di dunia dan di akhirat nanti mereka akan dapat azab yang lebih pedih. Amat rugi sekali kerana mereka tidak mengambil peluang menjalani kehidupan yang baik semasa di dunia. Amat rugi sekali kerana mereka tidak mendengar kata-kata dari pendakwah yang mengajak mereka kepada jalan tauhid dan mengamalkan amalan sunnah.

Amat rugi sekali kerana mereka mengamalkan amalan bidaah dengan susah payah tapi tidaklah ianya diterima dan diberi pahala, malah akan menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.

Amalan bidaah amat bahaya. Kerana mereka yang mengamalkan bidaah itu sebenarnya menolak sunnah. Mereka sahaja tidak sedar yang mereka sedang menolak sunnah Nabi dan para sahabat. Dan menolak sunnah adalah kesalahan yang amat berat sekali. Dan kalau yang mereka tolak itu adalah wahyu, itu adalah kufur.

Sebab itu jangan main-main dengan amalan bidaah ini. Kita hendaklah meninggalkan terus amalan bidaah. Jangan buat sikit pun kerana kalau dimulakan dengan sikit, lama-lama ia akan jadi besar dan susah untuk ditinggalkan. Untuk tahu manakah amalan bidaah dan sunnah, ini perlu didapati dengan belajar.

Masalahnya, kerana salah belajar, ramai dari kalangan kita tidak tahu apakah maksud ‘bidaah’ itu. Berbagai-bagai sangkaan yang salah dalam kalangan masyarakat tentang maksud bidaah. Antara yang selalu disebut-sebut adalah ‘Bidaah Hasanah’.

Banyak salah faham tentang bidaah hasanah ini sampaikan manusia tidak takut hendak beramal dengan amalan bidaah kerana ada guru dan ustaz yang kata tidak mengapa, kerana amalan itu adalah ‘Bidaah Hasanah’. ‘Hasanah’ maksudnya ‘baik’. Tapi siapa kita yang boleh menentukan satu-satu amalan itu baik? Adakah kita Nabi?

Habis Ruku’ ke 3 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Fussilat Ayat 26: Ini adalah Ayat Syikayah iaitu rungutan Allah tentang orang-orang musyrikin. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Al-Qur’an, mereka akan berkata:

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ

Sahih International

And those who disbelieve say, “Do not listen to this Qur’an and speak noisily during [the recitation of] it that perhaps you will overcome.”

Malay

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

 

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan berkata orang-orang kafir itu,

Iaitu orang-orang kafir Quraish waktu itu. Mereka yang berkata begitu adalah jenis yang teruk sangat sampai tak mahu terima langsung dan sampai menentang.

Kalau zaman sekarang, mereka itu adalah orang-orang yang kafir degil. Mereka tidak mahu berpegang dengan ajaran dari Al-Qur’an, terutama sekali ajaran tentang tauhid. Maka mereka akan menentang habis-habisan golongan Sunnah yang hendak membawa ajaran Tauhid.

 

لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْءآنِ

kamu jangan dengar Al-Qur’an ini.

Sudahlah mereka tidak mahu beriman dan beramal dengan Al-Qur’an, mereka larang dan halang orang lain pula dari belajar maksud dari Al-Qur’an.

Ini jenis ketua masyarakat yang sudah nampak banyak dari masyarakat yang sudah masuk Islam sebab dengar Al-Qur’an. Maka, mereka telah melakukan segala macam usaha untuk menghalang manusia dari dengar Al-Qur’an.

Kalau zaman sekarang pun ada juga. Ada yang kata tak boleh belajar tafsir sebab ilmu tinggi sangat tidak ada ilmu asas. Mereka berhujah, kalau nak belajar tafsir kena ada 15 ‘Ilmu Alat’. Akhirnya menyebabkan ramai manusia yang rasa mereka tidak akan mampu memahami Al-Qur’an maka mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan mereka terus berada dalam kejahilan. Bila jahil, maka senang sahaja syaitan nak tipu mereka.

Mereka akan buat macam mana pun, asalkan orang lain tidak dengar ajaran Al-Qur’an itu. Kalau zaman dahulu, kalau ada yang membaca ayat Al-Qu’ran, mereka akan buat bunyi bising supaya bacaan Al-Qur’an itu tidak kedengaran.

Kenapa mereka kata jangan dengar ‘Al-Qur’an’ ini? Kenapa tak kata jangan dengar ‘Muhammad itu’? Ini adalah kerana dakwah Nabi memang menggunakan Al-Qur’an sahaja, iaitu baginda akan membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia dalam dakwah baginda.

Maka, apabila mereka nak halang dakwah Nabi, mereka akan kata, jangan dengan ‘Al-Quran’, kerana mereka tahu baginda menggunakan Al-Qur’an untuk berdakwah.

Begitulah dakwah yang disampaikan perlu menggunakan Al-Qur’an. Malangnya, ramai pendakwah sekarang tidak menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai methode dakwah mereka, tapi mereka menggunakan cara-cara lain seperti kisah lawak, cerita-cerita sejarah, lagu-lagu nasyid dan sebagainya, tapi ayat Al-Qur’an tidak dibacakan, ditafsirkan. Itu tidak mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi dalam berdakwah.

Ini bermakna, keberkatan yang sepatutnya kita dapat dalam menjalankan dakwah, tidak ada. Kita tidak dapat berkat ini kerana kita tidak ikut cara Nabi kita sendiri. Macam mereka rasa ayat-ayat Al-Qur’an itu tidak cukup mantap untuk digunakan sebagai dakwah. Atau mereka sendiri tidak tahu ayat-ayat Al-Qur’an? Adakah mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an?

 

وَالْغَوْا فِيهِ

dan kamu buatlah bising,

Salah satu cara untuk mereka halang orang dari dengar Al-Qur’an adalah mereka akan buat bising. Ada yang bersiul, ada yang bertepuk tangan dan sebagainya. Ibn Abbas berkata bahawa Abu Jahal sudah siap beri arahan kepada pengikutnya untuk buat bising bila Nabi membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia.

Mereka juga buat acara lain supaya orang tak pergi kepada mereka yang membaca Al-Qur’an. Mereka buat tempat untuk orang bercerita dan berpenglipur lara. Supaya orang ramai datang ke tempat penglipurlara itu dan tidak pergi ke tempat bacaan Al-Qur’an.

Beginilah yang mereka lakukan pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan buat tempat lain untuk menarik perhatian manusia dari pergi ke tempat Nabi mengajar Al-Qur’an.

Dan kalau mereka masuk pun dalam majlis Nabi, mereka disuruh untuk buat bising dalam majlis itu supaya manusia tidak dapat nak belajar Al-Qur’an.

Kalau zaman sekarang, ada orang yang akan buat kacau dalam majlis orang belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka akan halang orang untuk pergi ke kelas yang mengajar tafsir. Kalau belajar lain, tidak mengapa, asalkan jangan belajar tafsir Al-Qur’an.

Kalau ada yang hendak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka akan kehairanan – mereka akan tanya: “kenapa nak belajar tafsir?”. Kalau mereka datang belajar dalam kelas yang mengajar tafsir, mereka akan tanya soalan-soalan yang bodoh dan merepek untuk mengganggu pengajaran dalam kelas itu.

Ada yang melaporkan kepada pihak berkuasa dengan memberi tohmahan yang mereka yang mengajar tafsir itu mengajar ajaran yang sesat, sampaikan mereka yang mengajar tafsir, ada yang ditangkap.

Atau mereka akan membuat tohmahan kepada masyarakat, sampaikan masyarakat tidak mahu terima mereka yang mengajar tafsir, sampaikan mereka yang mengajar, tidak dijemput lagi untuk mengajar.

Kemudian kalau kita ajak mereka untuk belajar tafsir Al-Qur’an, mereka akan beri bermacam alasan – mereka nak belajar baca Al-Qur’an dululah, belajar bahasa Arab dululah, nak belajar fekah dululah, nak belajar itu dan ini dulu. Akhirnya mereka tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an. Mereka tangguh dan tangguh, sampai mereka mati tanpa belajar.

Musyrikin Mekah suruh masyarakat mereka الْغَوْا iaitu buat perkara yang lagha – perkara yang tidak ada faedah. Supaya manusia terganggu sampai tidak mendengar ayat Al-Qur’an dibacakan dan diajar kepada mereka.

Jadi, kalau kita cerita tentang perkara selain dari apa yang ada dalam Al-Qur’an, ditakuti kita termasuk dalam golongan Musyrikin Mekah. Mereka tak bagi masyarakat bercakap tentang Al-Qur’an. Mereka akan suruh bercakap tentang perkara-perkara lain. Mereka akan bawa tajuk-tajuk lain.

Kalau bercakap tentang ayat Al-Qur’an, mereka rasa tak selesa. Jadi, kalau kita pun ada masalah untuk bercakap-cakap tentang ayat-ayat Al-Qur’an, itu menunjukkan yang kita ada masalah yang besar. Kalau ada orang yang kita nak bercerita tentang ayat Al-Qur’an, mereka sudah nampak kebosanan, maka tahulah kita yang orang itu ada masalah. Maka kita kena tingkatkan usaha kita untuk berdakwah kepada mereka.

Atau kalau bercakap tentang ayat-ayat Al-Qur’an, mereka akan cuba mentafsirkan ayat itu dalam maksud yang lain. Mereka akan kata: “maksud ayat ini sebenarnya begini, begitu”. Sebagai contoh, mereka akan kata, ayat-ayat Al-Qur’an itu ada maksud lain.

Padahal, mereka tak belajar pun tafsir Al-Qur’an. Ada yang tafsir dengan pemahaman sendiri pun ada. Ada yang hanya google sahaja apa yang mereka hendak. Padahal, belum tentu apa yang ada dalam google dan internet itu benar.

Ada juga yang belajar benda-benda lain sebelum lihat terjemahan Al-Qur’an, maka apabila mereka lihat ayat-ayat Al-Qur’an, mereka terjemah ayat Al-Qur’an itu ikut pemahaman mereka yang sudah salah itu.

Sebagai contoh, ada yang kata Syurga dan neraka bukannya ada, tapi itu adalah kerana Allah hendak menakut-nakutkan manusia sahaja. Kerana mereka kata, orang-orang Arab waktu itu akal mereka lemah, jadi mereka kena ditakutkan dengan benda-benda yang tidak wujud. Mereka ditakutkan supaya mereka dengar kata dan akan buat perkara-perkara yang baik. Mereka kata ini seperti anak-anak kita, yang kita takutkan dengan hantu supaya mereka ikut cakap kita. Ma sha Allah… sampai begitu sekali dangkalnya akal mereka.

Itu adalah pemahaman yang jauh dari agama dan amat merbahaya. Tapi mereka kata begitu, kerana mereka telah baca tentang agama dari maklumat yang salah. Jadi, apabila mereka baca ayat-ayat Al-Qur’an, mereka samakan pemahaman mereka sebelum itu dengan ayat Al-Qur’an. Padahal, sepatutnya ayat Al-Qur’an menjadi fahaman yang utama.

Sebab itu para sahabat tidak akan membenarkan anak-anak mereka belajar benda lain sebelum mereka habis belajar tafsir Al-Qur’an, supaya segala fahaman dan pembelajaran mereka akan berdasarkan kepada fahaman Al-Qur’an dan bukan sebaliknya. Malangnya, pembelajaran tafsir Al-Qur’an masih asing kepada kebanyakan masyarakat kita sekarang.

Macam sekarang, dalam majlis-majlis ilmu agama, tidak ada disebutkan tentang Al-Qur’an pun. Seolah-olah Al-Qur’an itu tidak penting. Mereka akan berbincang dan bercakap macam-macam, tapi mana ayat Al-Qur’annya? Kalau ada pun, mereka akan panggil seorang Qari untuk memulakan majlis itu dengan membaca beberapa potong ayat-ayat Al-Qur’an, itu sahaja.

Ataupun mereka akan baca ayat Al-Qur’an tapi tidak dijelaskan apakah pemahaman yang boleh diambil dari ayat itu. Begitulah jauhnya manusia dari Al-Qur’an. Padahal Al-Qur’an itu dari Allah. Kalau dari Allah, tentulah ia penting, bukan?

Kenapakah mereka tidak ambil peduli dengan kata-kata dari Allah sendiri? Dan ada yang kata Al-Qur’an kena ditafsirkan kembali. Padahal mereka belum pun belajar apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu. Mereka sangka Al-Qur’an itu pula kena ikut faham mereka, bukan mereka yang kena ikut faham Al-Qur’an.

Kalau dalam masyarakat kita, yang menghalang pengajaran tafsir Al-Qur’an itu bukanlah orang yang tidak membaca Al-Qur’an. Ramai yang baca ayat-ayat Al-Qur’an, sebab mereka suka dan tenang apabila membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka tahu akan dapat pahala kalau baca ayat Al-Qur’an. Mereka pun sayang Al-Qur’an.

Tapi mereka setakat membaca sahaja, tapi tidak sampai untuk memahaminya. Menjadilah mereka seperti burung belatok sahaja, hanya boleh cakap, tapi tidak faham yang dicakap. Mereka itu tahu baca Al-Qur’an, tapi tidak tahu langsung makna dari Al-Qur’an itu. Maka mereka baca, tapi mereka buat perkara yang dilarang dalam Al-Qur’an itu.

Ayat ini juga menjadi hujah bahawa tidak boleh buat bising semasa Al-Qur’an dibaca. Ini adalah adab kita dengan Al-Qur’an. Bila Al-Qur’an dibaca, maka kena dengar dan tumpukan perhatian.

Maka kita menolak amalan masyarakat yang pasang audio bacaan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai suara latar sahaja. Ada yang pasang di kedai-kedai mereka dengan kuat tapi dalam masa yang sama, manusia hiruk pikuk dengan urusan jual beli dan tidak diendahkan langsung bacaan Al-Qur’an itu.

 

لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

mudah-mudahan kamu berjaya mengatasi.

Mereka sangka dengan mereka buat bunyi bising, dapat mengalahkan Al-Qur’an dari sampai kepada manusia. Amat salah sekali anggapan mereka. Mereka yang akan kalah akhirnya. Setakat mana mereka boleh halang orang dari dengar Al-Qur’an? Kalau mereka buka tempat penceritaan, orang pun lama-lama bosan dengar cerita yang sama. Al-Qur’an akan tetap menang.

Dari ini kita boleh faham bahawa mereka tahu bahawa ayat Al-Qur’an itu adalah benar, sampai mereka yang kena ‘mengatasi’ ayat Al-Qur’an itu. Dan mereka tahu bahawa ianya sesuatu yang hebat. Sampaikan mereka hanya boleh ‘berharap’ sahaja untuk mengatasinya. Lihatlah dalam ayat ini, mereka berkata ‘mudah-mudahan’ – mereka berharap sahaja.

Ini adalah kerana Al-Qur’an itu sendiri adalah mukjizat. Ianya dapat mengubah manusia serta merta. Ianya tidak sama dengan kitab-kitab yang lain. Kerana kalau mereka mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan, mereka difahamkan dengan apa yang mereka dengar, dan kalau mereka membuka hati mereka waktu itu, mereka boleh terus berubah kepada beriman dengan Al-Qur’an.

Yang berkata dalam ayat ini adalah ketua-ketua masyarakat Musyrikin Mekah. Kalau di Malaysia, yang menghalang tafsir Al-Qur’an dari diajar adalah orang-orang yang ada pangkat dalam agama juga. Mereka takut kalau masyarakat tahu apakah kandungan Al-Qur’an, mereka sudah tidak ada kelebihan lagi.

Kerana apa yang mereka bawa sebenarnya tidak sama dengan apa yang diajar dalam Al-Qur’an. Apabila masyarakat tidak tahu Al-Qur’an, mereka senang nak cakap apa-apa dan masyarakat senang sahaja percaya. Tapi tidak lagi kalau masyarakat sudah faham Al-Qur’an.


 

Fussilat Ayat 27: Takhwif Ukhrawi – ancaman Allah kepada mereka yang menentang Al-Qur’an dan agama.

فَلَنُذيقَنَّ الَّذينَ كَفَروا عَذابًا شَديدًا وَلَنَجزِيَنَّهُم أَسوَأَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

But We will surely cause those who disbelieve to taste a severe punishment, and We will surely recompense them for the worst of what they had been doing.

Malay

Maka, demi sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

 

فَلَنُذِيقَنَّ  الَّذِينَ كَفَرُوا عَذَابًا شَدِيدًا

Pasti, tidak syak lagi, Kami akan beri orang-orang yang engkar itu rasa azab yang keras;

Ada penekanan yang kuat dalam ayat ini. Maknanya, mereka PASTI akan dikenakan. Iaitu mereka yang menghalang Al-Qur’an dari diajar kepada manusia. Sudahlah mereka tidak mahu terima, tapi mereka halang pula lagi. Mereka berusaha untuk tentang dan palingkan orang lain dari Al-Qur’an dan kerana itu mereka akan dikenakan dengan azab yang amat teruk.

Mereka akan dikenakan dengan azab yang sangat keras, sangat pedih. Ada penekanan dengan perkataan شَدِيدًا ini. Oleh itu, ia bukan azab yang biasa. Di dunia lagi mereka akan merasa kesempitan fikiran. Mereka mencuba sedaya upaya hendak menghalang dakwah Islam, semakin dilawan, semakin Islam berkembang. Tapi hati mereka yang akan menjadi sempit dan tidak keruan.

 

وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَسْوَأَ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan pasti Kami akan balas kepada mereka berdasarkan kesalahan yang paling buruk dahulu.

Mula-mula Allah akan beri mereka ‘rasa’ sahaja, tapi selepas itu mereka akan betul-betul kena. Macam makan juga, mula-mula akan rasa dahulu. Selepas itu baru makan betul-betul. Ada peningkatan dari segi penggunaan bahasa yang digunakan dalam ayat ini.

Balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan buruk yang mereka amalkan. Dan kesalahan mereka itu banyak. Tapi mereka akan dibalas mengikut kadar kesalahan mereka yang paling buruk sekali. Dan dosa yang paling jahat sekali adalah dosa syirik.


 

Fussilat Ayat 28:

ذٰلِكَ جَزاءُ أَعداءِ اللهِ النّارُ ۖ لَهُم فيها دارُ الخُلدِ ۖ جَزاءً بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَجحَدونَ

Sahih International

That is the recompense of the enemies of Allah – the Fire. For them therein is the home of eternity as recompense for what they, of Our verses, were rejecting.

Malay

Demikianlah keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.

 

ذَٰلِكَ جَزَاءُ أَعْدَاءِ اللهِ النَّارُ

Itulah balasan bagi musuh-musuh Allah, iaitu api neraka

Kalimah جَزَاءُ adalah balasan yang mereka akan terima, tapi maksud perkataan itu ada elemen yang ianya akan berterusan diterima oleh mereka. Oleh itu, bukan sahaja mereka akan kena azab, tapi mereka akan terus menerima azab itu.

Bandingkan kalau dalam dunia, kalau seorang membunuh ramai orang, paling banyak dia boleh dibunuh balas adalah sekali sahaja kerana dia hanya ada satu nyawa sahaja. Tapi kalau di akhirat nanti, Allah bunuh dia berkali-kali (tapi tidaklah mereka akan mati).

Teruk sekali gelaran yang diberikan kepada mereka: musuh-musuh Allah. Kalau bermusuh dengan Allah, bolehkah mereka selamat lagi? Memang tidak ada harapan langsung.

 

لَهُمْ فِيهَا دَارُ الْخُلْدِ

khusus bagi mereka dalam neraka itu, negeri yang kekal abadi.

Apabila digunakan perkataan فِيهَا, itu bermaksud mereka akan tinggal tetap di dalamnya, mereka tidak akan dapat keluar. Kalau orang beriman, ada juga yang akan masuk dalam neraka kerana mereka ada dosa yang perlu dibersihkan. Tapi, akhirnya mereka akan keluar neraka dan masuk syurga. Mereka itu dikenali sebagai jahannamiyyun.

Tapi mereka yang disebut dalam ayat ini, mereka tidak ada peluang untuk keluar langsung. Mereka akan kekal abadi dalam neraka. Adakah ini berbaloi?

Kesalahan mereka buat semasa di dunia, bukannya sepanjang masa. Ada waktu tertentu sahaja yang mereka buat dosa. Kadangkala mereka mengalah juga. Tapi di akhirat akan diazab sentiasa, tiada cuti langsung. Ini adalah kerana kesalahan mereka itu adalah kesalahan yang amat berat: menghalang dari Al-Qu’ran.

 

جَزَاءً بِمَا كَانُوا بِئآيٰتِنَا يَجْحَدُونَ

Ini sebagai balasan terhadap apa yang mereka dulu tentang ayat-ayat Kami mereka membantah.

Apabila ada perkataan كَانُوا, itu bermaksud mereka berkali-kali membantah. Bukan sekali dua sahaja. Ini adalah kerana bukan sekali dua sahaja Nabi Muhammad ﷺ berdakwah kepada mereka dan membacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka – banyak kali. Tapi setiap kali, mereka akan bantah. Dan yang paling mereka bantah itu adalah ayat-ayat Tauhid. Itu yang mereka paling susah untuk terima.

Mereka jadi kufur kerana apabila ayat Al-Qur’an dibacakan, mereka faham tapi enggan terima. Mereka bantah di khalayak ramai, tapi dalam hati mereka, mereka tahu bahawa ianya adalah benar. Jadi, maksud يَجْحَدُونَ adalah ‘membantah dalam faham’. Oleh itu, mereka ini adalah jenis ‘kafir degil’, bukan ‘kafir jahil’.

Abu Jahal dan sahabat-sahabatnya sebenarnya selalu mendengar ayat Al-Qur’an dibacakan pada malam hari secara senyap-senyap. Kerana mereka tahu bahawa ianya benar dan mereka pun terhibur apabila mendengar bacaannya.

Mereka tahu dalam hati mereka bahawa ianya adalah benar, tapi kerana mereka sombong dan mereka takut kedudukan mereka akan tergugat dalam masyarakat Arab, mereka tidak terima dan mereka lawan Nabi Muhammad ﷺ.


 

Fussilat Ayat 29: Sebelum ini telah disebut tentang ketua-ketua masyarakat yang menentang dakwah dengan Al-Qur’an. Memang bahaya kalau ikut pemimpin sahaja tanpa usul periksa. Kerana kalau mereka salah, kita pun akan terpalit lagi.

Tapi dalam ayat ini, Allah mengingatkan kita bahawa ada golongan-golongan yang bukan dari kalangan pemimpin-pemimpin. Mereka itulah golongan yang biasa sahaja. Mereka itu mengikut sahaja kerana mereka kurang ilmu. Mereka kurang ilmu kerana malas belajar atau enggan belajar.

Maka, kita hendaklah beri perhatian kepada mereka. Kita kena dakwah kepada mereka dengan memberikan dakwah Al-Qur’an dengan sejelas-jelasnya kepada mereka. Kena ajak mereka datang belajar agama yang benar. Mungkin mereka akan dapat terima dakwah kita kalau Allah beri hidayah dan mereka akan tinggalkan kesesatan yang diajar oleh guru-guru mereka itu.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا رَبَّنا أَرِنَا اللَّذَينِ أَضَلّانا مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ نَجعَلهُما تَحتَ أَقدامِنا لِيَكونا مِنَ الأَسفَلينَ

Sahih International

And those who disbelieved will [then] say, “Our Lord, show us those who misled us of the jinn and men [so] we may put them under our feet that they will be among the lowest.”

Malay

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan”.

 

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan berkata orang-orang yang kafir engkar itu,

Mana-mana golongan yang seru tok wali, seru malaikat, seru Nabi, semua mereka dipanggil kafir belaka. Sedangkan mereka pakai serban, jubah dan janggut panjang. Ini kerana mereka melakukan amalan yang syirik.

Ini adalah jenis kafir yang lain dengan mereka yang sebelum ini menyuruh supaya buat bising apabila dibacakan ayat Al-Qur’an. Kafir dalam ayat ini adalah ‘kafir pengikut’. Mereka jadi pak turut sahaja dengan apa kata orang, tanpa mereka usul periksa lagi.

Memang ramai dalam dunia orang yang sebegini. Mereka akan kata: “ustaz ini kata macam ini”, “ustaz itu kata benda ni baik untuk dilakukan”, “ustaz itu kata ini adalah bidaah hasanah”, dan macam-macam lagi hujah kosong mereka. Allah telah berikan mereka akal, tapi mereka tak guna.

Mereka semasa di dunia hanya mengikut sahaja kata orang. Orang yang mengajak kepada kesesatan itu selalunya pandai dalam hujah mereka, ada kelebihan yang menyebabkan ramai orang ikut mereka. Dan kerana mengikut orang itu, mereka telah melakukan kekafiran. Mereka juga dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tidak boleh guna alasan: “Kami ikut sahaja…..”

Sebab walaupun mereka ikut orang, mereka pun buat salah juga. Oleh kerana itu mereka takkan terlepas dari azab Allah. Mereka takkan dilepaskan dengan mereka hanya berkata: “Tapi kami ikut si fulan dan si fulan”. Ini kerana mereka telah diberikan dengan pancaindera yang lengkap dengan otak yang sihat, dan diberikan dengan penyebar dakwah tauhid yang telah datang kepada mereka. Cuma mereka degil untuk terima dan tidak gunakan nikmat akal yang Allah telah berikan.

Maka mereka takkan lepas dari azab Allah. Tapi apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka tak puas hati. Lihatlah apa kata mereka kepada Allah:

 

رَبَّنَا أَرِنَا اللَّذَيْنِ أَضَلَّانَا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ

“Wahai Tuhan kami, tunjukkan kepada kami dua puak yang menyesatkan kami dari kalangan jin dan manusia

Yang berkata dalam ayat ini adalah anak-anak murid yang belajar dengan tok guru mereka yang mengajar ajaran yang salah. Mereka itu mengikut sahaja kata-kata pemimpin, guru mereka tanpa mereka buat kerja lebih sikit untuk memastikan mereka itu benar atau tidak.

Memang mereka malas nak fikir. Tapi, disebabkan mereka ikut ajaran salah guru dan pemimpin mereka, mereka sudah masuk dalam neraka.

Sekarang, mereka sudah masuk neraka, mereka sudah marah yang amat sangat. Mereka nak tengok siapa yang telah menyesatkan mereka itu. Iaitu dua puak dari puak jin dan puak manusia. “Kami nak tengok mereka. Tolong bawa mereka kepada kami.” Mereka nak dipanggilkan manakah syaitan-syaitan yang banyak-banyak tu, manakah yang telah menyesatkan mereka semasa di dunia dulu.

Dari golongan manusia pula adalah ketua-ketua mereka, Tok-Tok guru, ustaz-ustaz yang mengajar mereka ajaran-ajaran sesat, ajaran-ajaran salah, ajaran-ajaran bidaah semasa mereka di dunia. Mereka dulu percaya sangat kepada guru-guru mereka itu. Mereka ikut sahaja apa yang guru mereka kata dan ajar kerana mereka sangka, kalau sudah jadi ‘tok guru’ dan ‘ustaz’, tentulah mereka mengajar ajaran yang betul, bukan? Belum tentu.

Mereka tak buka minda dan iman mereka untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau mereka belajar tafsir Al-Qur’an, mereka akan nampak kesalahan yang telah diajar oleh guru mereka itu. Kalau mereka belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis yang sahih, mereka tidak akan mudah nak terima kata-kata guru mereka itu. Kerana dalil yang diberikan oleh guru-guru itu adalah amat lemah sekali.

 

نَجْعَلْهُمَا تَحْتَ أَقْدَامِنَا

“Supaya kami jadikan mereka (jin dan manusia itu) di bawah tapak kaki kami.

Sekarang mereka sudah menyesal. Sekarang mereka sudah nak balas dendam kepada guru-guru mereka itu dan jin syaitan yang mereka puja dulu semasa di dunia tanpa sedar. Mereka nak pijak-pijak syaitan dari manusia dan jin itu dengan tapak kaki mereka. Kerana guru-guru itulah dan jin syaitan itulah yang ajar kepada mereka fahaman dan ajaran yang salah dulu. Dan akibatnya mereka sekarang sudah masuk neraka.

Mereka yang ikut pun salah juga sebab ikut sahaja tanpa usul periksa – dua-dua memang salah. Maka jangan salahkan mereka yang mengajar sahaja, yang mengikut pun salah juga kerana mengikut. Yang mengajar amalan bidaah sekarang, senang sahaja mereka ajar kerana masyarakat kita hanya terima sahaja, tanpa usul periksa.

Kalaulah masyarakat kita pandai tanya dalil – “dari mana amalan ini, ustaz?” – tentulah guru-guru itu tidak berani nak ajar perkara bidaah. Kerana mereka akan pastikan bahawa mereka boleh jawap kalau anak murid tanya.

Masyarakat kita juga mudah sangat nak terima kisah-kisah mengarut dari ustaz ‘tukang cerita’ dalam Malaysia ini. Tidak pernah nak tanya: “betul ke kisah ini ustaz? Lain macam sahaja saya dengar, macam tak masuk akal sahaja…”. Maka tukang-tukang cerita karut itu sedap mulut sahaja nak sampaikan. Mereka pun rasa hebat sahaja bila sampaikan kisah-kisah karut itu. Tambahan pula masyarakat kita memang ternganga mulut kalau disebut kisah yang hebat-hebat.

Alhamdulillah, boleh dikatakan ada sedikit pembaharuan dari dulu. Kalau dulu, langsung tidak ada yang berani tanya. Sekarang, sudah ada yang mula tanya. Cuma sekarang, masih lagi yang ditanya pula kena marah kerana dikatakan kurang ajar. Yang marah-marah itu adalah mereka yang jahil, yang senang percaya, yang hormat tak tentu pasal.

 

لِيَكُونَا مِنَ الْأَسْفَلِينَ

“supaya mereka betul-betul terkebawah dalam kehinaan.”

Golongan pengikut itu nak pijak mereka yang menyesatkan mereka dahulu supaya mereka yang mengajar itu jadi lebih hina dari mereka. “Supaya mereka kena lebih teruk dari kami, lebih dimalukan dari kami. Kerana merekalah sebabnya kami jadi begini.”

Tidaklah berguna langsung permintaan mereka ini. Tidak akan diberikan kelulusan oleh Allah. Takkan Allah nak beri kejadian seperti ini berlaku di hadapanNya nanti? Sedangkan segala manusia lain, segala malaikat dan makhluk lain akan berdiri bersaf-saf di hadapan Allah waktu itu?

Ini cerita nak pukul mereka dalam neraka kerana nak balas dendam. Sebab masa itu baru zahir, siapakah tok guru dia yang sebenarnya. Baru mereka nampak kesalahan yang guru mereka ajar dan amalkan dulu.

Dulu semasa di dunia, mereka nampak hebat apa yang guru mereka buat. Mereka sangka guru mereka sudah alim sangat. Kalau guru mereka kena tegur dengan mereka yang ada ilmu, mereka akan pertahan guru-guru mereka, siap nak pukul pun ada.

Walaupun apa yang guru mereka buat itu tidak ada asas dalam agama, tapi mereka nampak molek sahaja perbuatan guru itu. Tapi, hakikatnya, dua-dua dalam neraka waktu itu. Nak panggil guru mereka itu, hanya nak balas dendam sahaja, bukan boleh keluarkan dia dari neraka pun.

Macam-macam contoh ajaran guru yang karut. Ada guru yang baca wirid pada batu kerikil dan dia kumpulkan batu kerikil itu. Setiap seribu kali baca wirid, dia simpan satu batu. Dia siap pesan kepada anak murid, bila dia mati, biar dia ditanam dengan batu-batu itu sebagai bukti amalan dia. Dia kata batu itulah nanti yang akan berzikir untuk dia nanti. Anak-anak murid sangka hebat benar guru mereka itu.

Mereka tak tahu bahawa itu adalah amalan yang salah, tidak ada asas dalam agama. Padahal semua makhluk seperti batu, burung dan lain-lain, memang berzikir, tapi berzikir kepada Allah – bukan untuk manusia. Yang ada, Malaikat ada yang berdoa untuk manusia dalam keadaan tertentu. Contohnya, di dalam Al-Qur’an diberitahu bahawa Malaikat akan mendoakan kepada orang yang beriman tidak amalkan syirik.

Jadi, memang malaikat ada yang tolong doakan untuk kita dengan syarat-syarat tertentu. Tapi kalau kata batu ada yang tolong doakan, itu tidak ada dalil. Ini adalah satu contoh sahaja. Banyak lagi contoh-contoh amalan karut lain yang ada dalam amalan masyarakat kita. Kita harap dengan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini, anda boleh bezakan mana yang betul dan mana yang salah.

Inilah dalil yang kukuh supaya kita jangan ikut orang sahaja. Selalu kita jumpa, apabila dibawakan ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi sebagai dalil, ada antara manusia yang akan berkata: “perkara ini dah lama dah ustaz-ustaz dulu bincangkan, kita ikut mereka sahaja”, “takkan ulama-ulama dulu salah”, “takkan tok nenek kita dulu nak masuk neraka semuanya” dan lain-lain lagi kata-kata mereka.

Allah ingatkan kepada kita supaya jangan jadi begini. Nanti kita akan menyesal kalau kita berfikiran begitu. Mereka itulah nanti yang akan cari balik tok guru mereka kerana marah nanti. Waktu itu, menyesal air mata darah pun tidak berguna.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 September 2023

Ringkasan Surah Fussilat


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Syeikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani