Tafsir Surah Sad Ayat 33 – 42 (Kisah Nabi Ayyub)

Ayat 33:

رُدّوها عَلَيَّ ۖ فَطَفِقَ مَسحًا بِالسّوقِ وَالأَعناقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He said], “Return them to me,” and set about striking¹ [their] legs and necks.

  • With his sword as expiation. Some commentaries have also suggested the meaning of “stroking” with the hand.

(MELAYU)

“Bawalah kuda-kuda itu kembali kepadaku”. Lalu dia mengusap kaki dan leher kuda itu.

 

رُدّوها عَلَيَّ

“Bawalah kuda-kuda itu kembali kepadaku”.

Nabi Sulaiman suruh dibawa balik kuda-kuda itu kepada baginda selepas kuda-kuda itu berlari jauh. Oleh kerana kuda-kuda itu kuda yang hebat, cepat sahaja mereka hilang dari pandangan mata apabila berlari. Maka Nabi Sulaiman suruh dibawakan kembali kuda-kuda itu kepada baginda.

Ada juga tafsiran yang agak karut yang mengatakan bahawa dhomir ها dalam ayat ini merujuk kepada ‘matahari’. Nabi Sulaimana suruh malaikat bawa balik matahari kerana baginda telah terlambat solat supaya baginda dapat solat dalam waktu Asar juga.

 

فَطَفِقَ مَسحًا بِالسّوقِ وَالأَعناقِ

Lalu dia mengusap kaki dan leher kuda itu.

Kalimah طَفِقَ bermaksud tepuk dengan lembut atau gosok sebagai tanda sayang. Ayat sebelum ini telah menyebut Nabi Sulaiman telah menyesal kerana terleka dengan kuda-kuda itu. Maka kerana begitu baginda dikatakan telah memotong kaki dan leher kuda-kuda itu. Ini adalah salah satu terjemahan yang ada.

Benarkah begitu? Kita telah bentang sebelum ini bahawa berkemungkinan bukan itu yang terjadi. Baginda sayang kepada kuda-kuda itu kerana kuda-kuda itu digunakan untuk menjalankan kehendak Allah.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi Sulaiman mengusap-usap leher dan kaki kuda itu. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir. Ibnu Jarir mengatakan, tidaklah mungkin Nabi Sulaiman a.s. menyeksa haiwan dengan menyembelihnya, yang bererti dia telah memusnahkan sebahagian dari hartanya tanpa penyebab. Hanya kerana alasan harta tersebut menyebabkan dia lalai dari solatnya kerana keasyikan memandangnya, sedangkan kuda itu tidak mempunyai dosa.

Malangnya ada terjemahan yang mengambil dari sumber Isra’iliyyat yang mengatakan Nabi Sulaiman telah potong kaki dan leher kuda-kuda itu kerana kesal dengan sebab kuda-kuda itulah yang menyebabkan baginda terlewat Solat Asar. Kerana marah dan geram, maka dilepaskan kemarahannya kepada kuda-kuda itu. Sudah mati dipotong, maka kuda-kuda itu dikatakan diberikan sebagai makanan sedekah kepada rakyat. Tapi kalau nak bagi makan pun, kenapa bagi makan dengan kuda-kuda hebat tu pula?

Tapi adakah ini tafsiran yang baik? Bayangkan anda pergi ke Langkawi tengok pertunjukan kapal terbang dan anda terleka sampai tertinggal solat Asar. Adakah anda menyesal dan marahkan kapal terbang jet pejuang itu sehinggakan anda buat keputusan untuk hancurkan jet-jet pejuang itu? Adakah itu tindakan yang bijak? Bukankah jet-jet pejuang itu hak kerajaan?

Maka takkan patut seorang Nabi membunuh harta kerajaan pula iaitu kuda-kuda perang itu. Dikatakan ada 14 ekor kuda-kuda itu. Ada sampai kata 20 ribu ekor pun ada. Adakah patut buat begitu? Sedangkan kalimah مَسح bermaksud melalukan air dengan lembut maka tentu bukan bermaksud sesuatu yang keras seperti menyembelih.

Maka kerana itu kita lebih selesa untuk memilih pendapat yang mengatakan baginda mengusap kaki dan leher kuda-kuda itu.


 

Ayat 34: Sekarang kita akan belajar satu ujian yang dikenakan oleh Allah kepada Nabi Sulaiman. Maka ini adalah ujian Allah kerana Nabi Sulaiman lalai seperti yang telah disebutkan di awal kisah ini tadi. Untuk ingatkan kepada hamba supaya jangan kasih kepada sesuatu sampai lupa ingat kepada Allah.

Tapi kalau kita ambil pendapat yang tidaklah Nabi Sulaiman terlupa Allah, maka ini adalah ujian biasa dari Allah kepada hambaNya.

وَلَقَد فَتَنّا سُلَيمٰنَ وَأَلقَينا عَلىٰ كُرسِيِّهِ جَسَدًا ثُمَّ أَنابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly tried Solomon and placed on his throne a body;¹ then he returned.²

  • Said to be a devil or a lifeless body (one without capability), but Allāh alone knows.
  • To sovereignty and to Allāh in repentance.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman dan Kami jadikan (dia) tergeletak di atas kerusinya sebagai tubuh (yang lemah kerana sakit), kemudian dia bertaubat.

 

وَلَقَد فَتَنّا سُلَيمٰنَ

Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman

Allah hendak memberitahu bahawa para Nabi pun kena ujian, maka mereka tidak layak untuk dijadikan sebagai ilah dan dijadikan tempat pengharapan. Mereka juga manusia biasa yang tidak lepas dari ujian Allah.

 

وَأَلقَينا عَلىٰ كُرسِيِّهِ جَسَدًا

dan Kami jadikan (dia) tergeletak di atas kerusinya sebagai tubuh (yang lemah kerana sakit),

Maksudnya Nabi Sulaiman masih hidup lagi tapi tidak dapat bergerak. Baginda hanya lembik sahaja terduduk atas tahta baginda. Perkara ini pun sampai ada beberapa kisah yang berlainan.

1. Satu kisah mengatakan ini berkenaan keinginan Nabi Sulaiman untuk mendatangi semua isteri baginda sebanyak 90 orang pada satu malam. Dengan harapan supaya benih baginda malam itu akan dapat melahirkan pejuang agama. Niat baginda baik tapi tidak lahir satu pun anak-anak baginda dari para isteri baginda, kecuali satu sahaja dan itu pun tidak sempurna kerana cacat.

Ini adalah kerana baginda tidak sebut in Sha Allah (jikalau Allah kehendaki). Kerana baginda lupa nak kata begitulah yang menyebabkan Allah murka dan Allah tidak nyatakan kehendak Nabi Sulaiman itu. Tidak ada anak yang menjadi dan yang lahir itu pun cacat dan bayi cacat itulah yang diletakkan di atas tahta sebagai pengajaran.

Ini kisah dari riwayat Isra’iliyyat dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber. Walaupun hadis berkenaan perkara ini ada dalam Sahih Bukhari pun (tentang baginda hendak mendatangi semua isteri baginda), tapi tidaklah boleh dijadikan sebagai kaitan dengan kisah ini kerana tidak disebut dalam hadis itu pun yang jasad anak cacat itu diletakkan di atas tahta baginda.

2. Kisah kedua pula mengatakan yang Nabi Sulaiman ada seorang adik. Adiknya itu tidak setuju dengan baginda dan telah melawan kerajaan Nabi Sulaiman dan akhirnya dia kalah. Apabila dia kalah, jasadnya diletakkan di atas tahta baginda.

2. Kisah ketiga mengatakan yang Nabi Sulaiman ada anak yang dijaga rapi untuk selamat dari gangguan jin. Ini kerana jin tidak mahu Nabi Sulaiman ada keturunan yang boleh menguasai mereka lagi seperti yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman. Maka kerana itu golongan jin sentiasa mencari peluang untuk membunuh anak Nabi Sulaiman.

Maka baginda telah suruh seorang jin yang baik untuk menjaga anaknya itu tapi tidak di bumi tapi di awan. Ataupun, dikatakan Nabi Sulaiman sendiri sorok anaknya itu di awan kerana baginda boleh kawal angin. Tapi walaupun baginda telah berusaha segala upaya untuk menjaga anaknya itu, tapi akhirnya anak itu mati juga. Dan apabila mati, jasad anaknya itu diletakkan di atas tahta baginda. Allah buat begitu kerana kesalahan baginda tidak berharap kepada Allah tapi berharap kepada awan pula.

Kisah ini pun lemah juga. Kerana waktu itu baginda tidak menguasai angin lagi. Selepas ayat ini barulah baginda diberi kekuasaan menguasai angin.

3. Satu lagi kisah yang juga mengarut adalah bagaimana ‘tubuh’ yang dimaksudkan adalah syaitan. Cerita ringkasnya (tak perlu nak panjangkan cerita mengarut) Syaitan telah menyebabkan Nabi Sulaiman kehilangan cincinnya dan menyebabkan baginda kehilangan segala kekuasaannya kerana kuasa baginda ada pada cincin itu.

Waktu baginda merempat itu, syaitan itu telah menyerupai baginda dan duduk memerintah di atas tahta Nabi Sulaiman di mana tidak ada sesiapa pun tahu yang itu bukanlah Nabi Sulaiman.

Maka baginda jatuh miskin dan merempat sampailah baginda terjumpa cincin itu di dalam perut seekor ikan. Maka dapatlah kembali kerajaan dan kuasa baginda. Kisah ini amat mengarut kerana seolah-olah ada pula cincin hikmat pada Nabi Sulaiman. Kalau penjual cincin sukalah agaknya menyampaikan kisah ini.

4. Satu lagi pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Nabi Sulaiman sendiri di mana Allah takdirkan baginda tidak dapat bergerak dan melepek di atas takhta baginda sahaja.

Nabi Sulaiman waktu itu sangat berkuasa dengan banyak mukjizat dan ada banyak tentera tetapi Allah beri pengajaran kepada baginda dengan menjadikan baginda tidak berkuasa apa-apa kepada tubuh baginda sendiri. Dengan segala apa yang baginda ada, baginda tidak dapat nak mengembalikan kesihatan baginda. Baginda tetap tertakluk kepada kehendak Allah juga.

5. Satu lagi tafsir berkenaan ayat ini, tubuh itu merujuk kepada anak Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman teringin anaknya nanti yang akan mewarisi kerajaan baginda supaya legasi baginda berterusan dengan anaknya.

Tapi keinginan baginda itu tidak kesampaian kerana baginda sendiri melihat anaknya tidak layak untuk memerintah selepas baginda. Jadi meletakkan sahaja ‘jasad’ di tahta tapi bukan orang yang layak adalah satu kesalahan. Kerana keinginan baginda inilah yang baginda telah memohon ampun kepada Allah taala. Kerana baginda telah rasa bersalah kerana ada keinginan nafsu berkehendak anaknya yang mewarisi kerajaan baginda.

Dan kemudian baginda minta supaya kerajaan baginda yang hebat itu habis dengan baginda sahaja dan tidak diberikan kepada orang lain.

Memang selepas kematian baginda, anaknya itu dilantik sebagai raja walaupun Nabi Sulaiman sendiri tidak mewasiatkan anaknya itu yang akan memerintah selepas baginda. Walaupun anaknya naik menjadi raja, tapi kerana kelemahannya, kerajaan Bani Israil telah diserang dan akhirnya pecah belah.

Maknanya ayat ini mengajar kepada kita bahawa Nabi Sulaiman juga menerima ujian dari Allah, sepertimana Allah juga menguji hamba-hambaNya yang lain. Maka ia mengajar kita yang tidak patut jikalau ada manusia yang hendak mengambil berkat daripada baginda dan berdoa kepada baginda atau mengagung-agungkan baginda kerana baginda hanyalah hamba yang lemah sahaja.

 

ثُمَّ أَنابَ

kemudian dia bertaubat.

Kemudian Allah mengembalikan kesihatan baginda setelah sekian lama.

Maka ini mengajar kita tidak boleh bertawakal kepada Nabi Sulaiman seperti yang diamalkan oleh sesetengah pengamal perubatan Islam yang kononnya berdoa menggunakan nama Nabi Sulaiman seolah-olah baginda ada kelebihan; sedangkan baginda pun ada sakit juga dan berdoa hanya kepada Allah.

Walaupun jin-jin menjadi kuli kepada baginda, tidaklah baginda minta tolong kepada mereka untuk menyembuhkan baginda.

Maka oleh kerana jahil dengan wahyu, ramai dari orang kita yang menggunakan nama Nabi Sulaiman untuk kononnya menguasai jin padahal kelebihan itu hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman sahaja dan yang tertipu dengan amalan ini adalah kerana mereka diajar oleh jin sendiri. Ini adalah kerana amalan yang salah, maka jin dapat membisikkan ajaran dan amalan-amalan yang tidak benar.


 

Ayat 35: Ini setelah Nabi Sulaiman dipulihkan dari sakit baginda.

قالَ رَبِّ اغفِر لي وَهَب لي مُلكًا لّا يَنبَغي لِأَحَدٍ مِّن بَعدي ۖ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, forgive me and grant me a kingdom such as will not belong to anyone after me. Indeed, You are the Bestower.”

(MELAYU)

Dia berkata: “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi”.

 

قالَ رَبِّ اغفِر لي

Dia berkata: “Ya Tuhanku, ampunilah aku

Nabi Sulaiman telah sedar kesilapan yang baginda lakukan dan kerana itu baginda memohon ampun kepada Allah dan kemudian baginda minta diberikan dengan ujian yang lebih besar kerana baginda mahu membuktikan dirinya.

Ujian yang lebih besar? Ujian apakah itu?

 

وَهَب لي مُلكًا لّا يَنبَغي لِأَحَدٍ مِّن بَعدي

dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku,

Baginda hendak membuktikan bahawa kerajaan baginda tidak akan menyebabkan baginda terlalai lagi yang kerana itu baginda meminta kerajaan yang lebih besar. Kerana baginda nak buktikan yang kalau pun kerajaan baginda lagi besar pun, ia tidak akan menyebabkan baginda terlalai dari tanggungjawab baginda.

Baginda minta kerajaan yang sangat besar dan kerajaan seperti itu tidak patut diberikan kepada orang lain kerana mereka tidak akan mampu untuk menghadapinya. Antaranya baginda mempunyai tentera yang ramai dari kalangan manusia dan juga jin.

Maka baginda adalah satu-satunya manusia yang dapat menguasai jin. Baginda minta kelebihan ini diberikan kepada baginda tapi tidak diberikan kepada sesiapa selepas baginda. Nabi Muhammad menghormati doa Nabi Sulaiman ini sampaikan baginda pun tidak menangkap jin yang mengganggu baginda dalam solat seperti yang disebut dalam satu hadis:

قَالَ الْبُخَارِيُّ عِنْدَ تَفْسِيرِ هَذِهِ الْآيَةِ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا رَوْحٌ وَمُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زِيَادٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ تَفَلَّت عَلَيَّ الْبَارِحَةَ -أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا-لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ وَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصبحوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ: {رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لأحَدٍ مِنْ بَعْدِي}قَالَ رَوْحٌ: فَرَدَّهُ خَاسِئًا

Imam Bukhari sehubungan dengan tafsir ayat ini mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Rauh dan Muhammad ibnu Ja’far, dari Syu’bah, dari Muhammad ibnu Ziad, dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Sesungguhnya pernah ada Ifrit dari jin yang menampakkan dirinya kepadaku tadi malam —atau ungkapan yang semisal— untuk memutuskan solat yang sedang kukerjakan. Maka Allah Swt. memberikan kekuasaan kepadaku terhadapnya, dan aku berniat akan mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga pagi hari, lalu kalian semua dapat melihatnya. Tetapi aku teringat akan ucapan saudaraku Sulaiman a.s. yang telah mengatakan, “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang jua pun sesudahku.” ( Shad: 35).

Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad pun tidak mengawal jin itu. Baginda lepaskan sahaja jin itu dan tidak jadi mengikatnya ke tiang. Tapi ada bomoh dan ‘ustaz’ (yang sebenarnya bomoh juga) yang kononnya boleh arah jin, kawal jin, tangkap jin dalam botol, bunuh jin, penjara jin, masukkan jin dalam bas dan letak di hutan dan macam-macam lagi perkara karut yang mereka ceritakan. Adakah mereka lebih hebat dari Nabi Muhammad dan Nabi Sulaiman?

 

إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi”.

Baginda tahu yang Allah boleh sahaja berikan berapa besar kerajaan pun kerana Allah memang Maha Pemberi.


 

Ayat 36: Maka Allah berikan kelebihan-kelebihan yang hebat kepada Nabi Sulaiman.

فَسَخَّرنا لَهُ الرّيحَ تَجري بِأَمرِهِ رُخاءً حَيثُ أَصابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We subjected to him the wind blowing by his command, gently, wherever he directed,

(MELAYU)

Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana saja yang dikehendakinya,

 

فَسَخَّرنا لَهُ الرّيحَ

Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin

Angin dari perkataan الرّيحَ yang digunakan bermaksud jenis angin yang kuat yang selalunya memusnahkan tempat dan digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menghancurkan umat-umat yang terdahulu. Ini seperti angin yang memusnahkan kaum Tsamud. Akan tetapi angin yang kuat itu Allah berikan berada di bawah kawalan Nabi Sulaiman.

Kelebihan ini tidak ada pada manusia yang lain dan kerana itu sampai sekarang kita takut dengan angin yang terlalu kuat kerana boleh merosakkan tanaman dan juga harta benda kita.

Hebat sungguh sampai baginda boleh kawal angin. Tiada sesiapa lagi yang boleh kawal angin sampai sekarang. Begitu juga sampai kiamat tidak ada sesiapa yang boleh mengawal jin kerana ini adalah mukjizat yang hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman sahaja. Jadi kalau ada yang kata mereka boleh kawal jin, maka itu adalah mereka yang tertipu. Mereka sahaja perasan mereka boleh kawal jin, bunuh jin dan sebagainya, tapi itu adalah penipuan jin sahaja.

Kalau ada juga yang kata mereka kawal jin, sebenarnya terbalik kerana sebenarnya jin yang kawal mereka kerana jin itu tidak datang kepada semua orang melainkan kepada orang-orang yang memujanya, yang takut kepadanya, yang beramal dengan amalan yang salah.

 

تَجري بِأَمرِهِ

bergerak mengikut arahannya

Kemajuan teknologi kita semakin bertambah dan kita boleh tahu kedatangan angin, dari arah mana, berapa lama akan bertiup; akan tetapi sehebat mana pun teknologi kita, kita tetap tidak boleh mengawal angin itu. Tapi Nabi Sulaiman diberikan kekuasaan untuk mengawal angin.

 

رُخاءً حَيثُ أَصابَ

yang berhembus dengan baik menurut ke mana saja yang dikehendakinya,

Kalimah رُخاءً dari katadasar ر خ و yang bermaksud lembut, berlepas. Angin itu laju di bahagian bawah dan kerana itu boleh bawa baginda ke mana-mana destinasi dengan cepat. Ia laju di bahagian bawah tapi lembut sahaja bahagian atas. Ini penting supaya Nabi Sulaiman tidak berasa sakit semasa duduk di atas angin itu.

Nabi Sulaiman diberi kelebihan dapat menjinakkan angin itu dan ini ada kaitan dengan kuda yang disebut sebelum ini dimana ada juga kuda yang ganas tapi boleh juga dijinakkan oleh Nabi Sulaiman. Maknanya Nabi Sulaiman diberi kelebihan untuk menjinakkan kuda dan juga angin. Baginda boleh arahkan angin itu ke mana sahaja yang baginda kehendaki.

Kalimah أَصابَ dari katadasar ص و ب yang bermaksud menuang, tepat kepada sasaran, kehendak. Kalimah musibah juga diambil dari katadasar ini kerana ia adalah tepat kena kepada orang yang Allah kehendaki.


 

Ayat 37: Bukan angin sahaja yang Nabi Sulaiman boleh kawal.

وَالشَّيٰطينَ كُلَّ بَنّاءٍ وَغَوّاصٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [also] the devils [of jinn] – every builder and diver

(MELAYU)

dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan semuanya ahli bangunan dan penyelam,

 

وَالشَّيٰطينَ

dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan

Syaitan adalah jin yang jahat iaitu jin yang kafir. Akan tetapi jin yang jahat itu pun salah satu kelebihan yang diberikan kepada Nabi Sulaiman dimana baginda boleh mengawal mereka.

Allahlah yang menundukkan mereka kepada Nabi Sulaiman kerana kalau ikut kehendak mereka sendiri, tentu tidak mahu taat kepada Nabi Sulaiman. Selalunya syaitan adalah musuh kepada para Nabi dan juga musuh kepada manusia tetapi Nabi Sulaiman dapat mengawal mereka dan mereka kena taat kepada Baginda.

Kalau mereka tidak tunduk dan taat kepada Nabi Sulaiman, maka mereka akan dibakar terus oleh Allah. Maka jin syaitan itu tidak ada pilihan lain melainkan taat sahaja kepada perintah Nabi Sulaiman.

 

كُلَّ بَنّاءٍ وَغَوّاصٍ

semuanya ahli bangunan dan penyelam,

Baginda boleh mengarahkan mereka untuk membuat binaan apa-apa bangunan yang bagi baginda mahu. Jadi para syaitan itu jadi kontraktor kepada baginda.

Dan baginda boleh mengarahkan mereka untuk menjadi para penyelam kepada baginda di mana mereka dapat mengeluarkan mutiara ataupun menangkap ikan ataupun apa-apa sahaja sumber dari laut yang baginda kehendaki.

Masa inilah manusia kenal jin dan belajar sihir dengan mereka. Inilah sahaja masa dimana ada interaksi antara manusia dan jin. Kerana waktu itu jin bersama dengan manusia adalah tentera kepada Nabi Sulaiman. Maka sekarang tidak ada lagi percampuran sebegitu. Maka kalau ada yang kata boleh bercakap dengan jin, berkawan dengan jin, gunakan jin sebagai khadam, maka ini adalah salah.

Jin juga bukan makhluk fizikal. Maka mereka tidak dapat nak angkat barang, curi barang dan bina apa-apa sahaja. Kecuali pada zaman Nabi Sulaiman ini sahaja. Zaman sekarang tidak ada lagi kelebihan ini.


 

Ayat 38:

وَءآخَرينَ مُقَرَّنينَ فِي الأَصفادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And others bound together in shackles.

(MELAYU)

dan syaitan yang lain yang terikat dalam belenggu.

 

Dan selain dari jin syaitan yang diberi tugasan oleh Nabi Sulaiman, yang lainnya diikat oleh baginda. Mereka diikat mungkin kerana mereka jahat sangat dan tidak mahu taat maka mereka kena dirantai.

Dan mereka juga dijadikan sebagai askar simpanan atau pekerja tambahan bagi baginda jika perlu ada tambahan pekerja. Waktu itu bolehlah baginda lepaskan untuk bekerja. Memang hina jadinya syaitan di tangan Nabi Sulaiman.


 

Ayat 39:

هٰذا عَطاؤُنا فَامنُن أَو أَمسِك بِغَيرِ حِسابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We said], “This is Our gift, so grant or withhold without account.”

(MELAYU)

Inilah anugerah Kami; maka berikanlah (kepada orang lain) atau tahanlah (untuk dirimu sendiri) dengan tiada pertanggungan jawab.

 

هٰذا عَطاؤُنا

Inilah anugerah Kami;

Kalimah عطاء bermaksud pemberian. Allah berfirman kepada Nabi Sulaiman mengingatkan baginda betapa besarnya kurnia yang telah diberikan kepada baginda. Hanya baginda sahaja yang dapat kelebihan ini.

 

فَامنُن أَو أَمسِك بِغَيرِ حِسابٍ

maka berikanlah (kepada orang lain) atau tahanlah (untuk dirimu sendiri) dengan tiada pertanggungan jawab.

Segala kelebihan yang diberikan kepada baginda itu hendaklah digunakan untuk kebaikan manusia dan rakyat baginda.

Atau baginda boleh simpan sahaja jin jin syaitan itu dengan tidak digunakan.

Allah berikan keputusan bagi Nabi Sulaiman sama ada untuk menggunakan syaitan itu ataupun untuk disimpan semuanya dalam keputusan Nabi Sulaiman. Dan ini menunjukkan yang Allah percaya kepada Nabi Sulaiman sampaikan baginda boleh buat keputusannya sendiri. Maknanya keputusan baginda tidak akan dihisab kerana ianya semua di atas tangan baginda.

Dan memang kelebihan-kelebihan yang diberikan kepada baginda ini digunakan untuk kebaikan oleh baginda. Bandingkan dengan manusia sekarang yang ada kelebihan teknologi untuk melakukan berbagai-bagai benda, tetapi kebanyakan manusia tidak menggunakannya untuk kebaikan melainkan digunakan untuk kehancuran.


 

Ayat 40:

وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ وَحُسنَ مَئآبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, for him is nearness to Us and a good place of return.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik.

 

وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ

Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat pada sisi Kami

Ini adalah pernyataan kedudukan Nabi Sulaiman yang tinggi dan rapat di sisi Allah.

 

وَحُسنَ مَئآبٍ

dan tempat kembali yang baik.

Dan nanti baginda apabila wafat akan dimasukkan terus ke dalam syurga.

Habis Ruku’ 3 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 41: Sekarang kita masuk ke dalam kisah Nabi yang ketiga. Ayat 41 – 44 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia adalah kisah Nabi Ayyub. Ia mengajar Tauhid Uluhiyyah yang ditunjukkan Nabi Ayyub. Baginda adalah seorang yang punya kesabaran tinggi.

وَاذكُر عَبدَنا أَيّوبَ إِذ نادىٰ رَبَّهُ أَنّي مَسَّنِيَ الشَّيطٰنُ بِنُصبٍ وَعَذابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember Our servant Job, when he called to his Lord, “Indeed, Satan has touched me with hardship and torment.”

(MELAYU)

Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhan-nya: “Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan siksaan”.

 

وَاذكُر عَبدَنا أَيّوبَ

Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub

Sekarang Allah membawa kisah Nabi Ayyub pula iaitu seorang Nabi yang terkenal kerana baginda telah diberikan dengan ujian penyakit.

 

إِذ نادىٰ رَبَّهُ

ketika dia menyeru Tuhan-nya: 

Apabila baginda sakit, maka baginda berserah kepada Allah dan memohon pertolongan dari Allah. Beginilah yang sepatutnya kita lakukan: mengadu kepada Allah. Bukannya mengadu kepada bomoh/dukun ataupun uskun (ustaz dukun).

 

أَنّي مَسَّنِيَ الشَّيطٰنُ بِنُصبٍ وَعَذابٍ

“Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan siksaan”.

Ayat ini memerlukan tafsir yang benar dan jikalau tidak, akan menyebabkan salah faham kerana seperti yang kita tahu kesakitan itu datang daripada Allah tetapi dalam ayat ini seolah-olah syaitan yang menyebabkan Nabi Ayyub sakit. Adakah begitu? Tentu tidak.

Apabila salah belajar atau salah baca, maka ramailah yang menggunakan ayat ini untuk dijadikan sebagai dalil yang penyakit dan sakit tubuh badan disebabkan oleh jin syaitan pula. Maka ramailah yang berubat dengan bomoh dan ustaz (bomoh yang bertopengkan ustaz) kononnya untuk mengeluarkan jin dari tubuh mereka yang telah menyebabkan penyakit mereka itu.

Kerana mereka kata, kalau sakit itu disebabkan oleh syaitan, maka kena keluarkan syaitan dari tubuh manusia. Maka banyaklah amalan-amalan karut yang diajar oleh perawat-perawat itu. Maka kerana jauh dari wahyu, maka manusia telah terkeliru. Semoga kita dapat jelaskan balik supaya lebih ramai akan faham tentang perkara ini.

Dalil Nabi Ayyub tidak pernah kata jin syaitan yang menyebabkan sakit baginda juga ada dalam Anbiya’:83

وَأَيّوبَ إِذ نادىٰ رَبَّهُ أَنّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ

dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”.

Dalam ayat Surah Anbiya’ ini, Nabi Ayyub tidak kata syaitan yang menyebabkan baginda sakit.

Dikatakan bahawa Nabi Ayyub telah jatuh sakit teruk selama 18 tahun sampai ditinggalkan oleh keluarga dan kawan baginda. Tapi sakit itu bukanlah sampai baginda cacat. Cuma baginda tidak boleh bergerak sahaja. Dan tidaklah sampai tubuh baginda berulat seperti yang selalu kita dengar kisahnya.

Jadi kenapa Nabi Ayyub meminta pertolongan kepada Allah tentang syaitan kalau bukan syaitan yang menyebabkan baginda sakit? Maksud ayat ini adalah apabila seseorang itu sakit, maka syaitan akan datang dan membisikkan macam-macam perkara kepadanya termasuk membisikkan kepada mereka untuk mencari ubat-ubat dan amalan-amalan yang salah.

Sampaikan ada yang tertipu sampaikan mereka pakai tangkal dan sebagainya semata-mata untuk sihat semula. Ini tidak mustahil terjadi kerana apabila orang yang sakit, waktu itu mereka sanggup untuk mencuba macam-macam. Waktu itu sudah tidak fikir sangat halal dan haram, karut atau tidak.

Jadi waktu sakit itulah kesempatan diambil oleh syaitan untuk menipu manusia. Termasuk yang diganggu adalah Nabi Ayyub. Tapi syaitan tentu tidak berjaya untuk menjerumuskan Nabi Ayyub, tapi syaitan cuba menghasut isteri Nabi Ayub untuk menggunakan bermacam-macam cara yang menggunakan sihir ataupun cara yang salah untuk menyembuhkan penyakit baginda.

Tentunya isteri Nabi Ayyub mahu untuk mencuba perkara-perkara itu kerana dia sendiri sudah lama menjaga Nabi Ayub. Apabila ada yang mencadang buat itu dan ini, tentulah dia sanggup dan bersedia untuk mencubanya. Macam orang kita jugalah – apabila sakit dan disuruh buat apa-apa yang karut, mereka akan guna alasan: “ini usaha sahaja, apa salahnya…”

Atau memang baginda memohon pertolongan kepada Allah untuk beri kekuatan kepada baginda untuk menolak bisikan syaitan kepada baginda. Kerana kalau baginda termakan bisikan itu, baginda sendiri akan bersangka buruk dengan Allah. Contohnya, nanti dia akan terfikir, kenapakah Allah tak tolong baginda. Itu adalah bisikan dari syaitan supaya putus asa dengan Allah dan rasa buruk sangka dengan Allah.

Jadi lihatlah begitu hebatnya doa Nabi Ayub di dalam ayat ini dimana baginda tidak mengadu tentang kesakitan yang baginda alami kerana itu diberi oleh Allah. Tetapi yang baginda mohon pertolongan adalah supaya dihalau syaitan daripadanya kerana syaitan itu sedang mengganggu dia dan isterinya dengan menghasut untuk mengamalkan benda-benda yang tidak patut dalam agama. Atau menghasut supaya salah sangka dengan Allah dan putus asa dengan Allah.

Jadi kita diajar untuk berdoa dalam ayat ini kalau kita sakit. Inilah ruqyah sebenarnya kerana ruqyah itu adalah doa. Tapi ruqyah adalah doa permohan untuk sembuh.

Tapi kita kena ingat yang doa tidak semestinya menyebabkan kita segera sembuh. Ada manusia yang Allah uji dengan penyakit yang agak teruk dan lama supaya mereka terus dekat denganNya. Kerana kalau sudah terus sembuh, manusia itu akan terus lupa Allah. Selama dia di dalam kesusahan dan kesakitan, hatinya selalu berharap dan dekat dengan Allah. Bila sudah sembuh sahaja, takut dia terus lupa Allah seperti yang kita selalu lihat.


 

Ayat 42: Allah beri kesihatan kepada baginda dengan memberikan cara penyembuhan.

اركُض بِرِجلِكَ ۖ هٰذا مُغتَسَلٌ بارِدٌ وَشَرابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[So he was told], “Strike [the ground] with your foot; this is a [spring for a] cool bath and drink.”

(MELAYU)

(Allah berfirman): “Hantamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum”.

 

اركُض بِرِجلِكَ

(Allah berfirman): “Hentakkanlah kakimu;

Allah menyuruh Nabi Ayyub untuk berdiri dan menghentak tanah dengan kaki baginda. Kalimah ركظ bermaksud menghentak dengan kaki.

 

هٰذا مُغتَسَلٌ بارِدٌ

inilah air yang sejuk untuk mandi 

Apabila baginda hentakkan kaki baginda ke tanah, maka ada air keluar daripada tanah itu dan Allah beritahu gunakan air itu untuk dimandikan kerana air itu akan memberi kesihatan kepada baginda dengan izin Allah. Ini adalah kerana baginda waktu itu di dalam kepanasan. Juga kerana penyakit baginda itu adalah penyakit kulit dimana keadaan baginda sudah amat teruk. Atau, baginda lumpuh tidak dapat bergerak.

 

وَشَرابٌ

dan untuk minum”.

Bukan sahaja gunakan air itu untuk mandi tapi juga air itu hendaklah diminum. Maknanya ubat bagi sakit baginda itu tidak jauh pun, cuma Allah sahaja hendak beritahu.

Maka kita boleh gunakan dalil ini untuk kita ubat sendiri diri kita dengan menggunakan air. Kita sendiri baca bismillah pada air itu dan gunakan untuk mandi dan minum. Ini adalah kerana bukan air itu atau bismillah itu yang menyembuhkan, tapi Allah yang menyembuhkan. Allah cuma jadikan air itu sebagai asbab sahaja. Maka serahkan doa kita kepada Allah. Tak perlu nak pergi jumpa bomoh atau ustaz (yang sebenarnya bomoh).

Allah suruh baginda minum air itu kerana kesan penyakit kulit itu telah masuk ke dalam badan baginda ataupun mungkin penyakit itu asalnya daripada dalam badan, maka baginda juga perlu minum air itu yang akan menyembuhkan baginda dari dalam dengan izin Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 27 – 32 (Nabi Sulaiman dan kuda)

Ayat 27: Ayat dalil aqli. Allah suruh kita memikirkan kenapa Allah jadikan langit dan bumi ini.

وَما خَلَقنَا السَّماءَ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما بٰطِلًا ۚ ذٰلِكَ ظَنُّ الَّذينَ كَفَروا ۚ فَوَيلٌ لِّلَّذينَ كَفَروا مِنَ النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not create the heaven and the earth and that between them aimlessly. That is the assumption of those who disbelieve, so woe to those who disbelieve from the Fire.

(MELAYU)

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka.

 

وَما خَلَقنَا السَّماءَ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما بٰطِلًا

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bathil.

Batil adalah lawan kepada Haq (kebenaran). Dalam ertikata lain, tidaklah Allah jadikan langit dan bumi ini sia-sia, main-main tanpa tujuan. Penciptaan alam ini ada tujuan.

Maka kalau alam lain seperti matahari dan bulan ada tujuan, takkan kita manusia dijadikan tanpa tujuan? Kerana kita manusia lebih mulia dan hebat dari matahari dan bulan, maka takkan tidak ada tujuan hidup kita?

Maka kalau kita jalani kehidupan kita tanpa arah, tanpa panduan, tanpa mengetahui ke mana kita tujui, maka ini adalah amat salah sekali. Jadi, ingatlah yang tujuan kita hidup adalah untuk menghambakan diri kepada Allah. Kita sedang menuju kepada akhirat sama ada kita tahu atau tidak, suka atau tidak. Semuanya akan mati nanti.

Dan semasa kita di dalam perjalanan kita ini, panduan kita adalah Al-Qur’an yang kita sedang pelajari dan baca ini. Maka hendaklah kita mempelajari makna-makna dalam Al-Qur’an ini kerana kalau tidak faham, bagaimanakah kita nak jadikan ia sebagai panduan? Kerana nak jadikan sesuatu sebagai panduan, kenalah faham dulu panduan itu.

 

ذٰلِكَ ظَنُّ الَّذينَ كَفَروا

Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir,

Maka Allah tidaklah jadikan dunia dan langit ini sia-sia sahaja. Tapi ada juga manusia yang jahil yang sangka begitu. Allah beritahu yang mereka yang ada sangkaan bahawa dunia ini adalah sia-sia sahaja adalah sangkaan orang kafir sahaja.

Kerana itu dalam agama lain mengatakan bahawa tuhan bosan tidak ada apa nak buat, maka mereka jadikan alam ini sebagai permainan sahaja. Ini fahaman yang amat teruk sekali.

Mereka tidak tahu dan tidak mahu menerima bahawa tujuan hidup di dunia ini adalah untuk menguji dan mengumpul pahala untuk dipersembahkan di akhirat kelak dan kerana itu mereka tidak beramal dengan amalan yang sebenar. Mereka main-main sahaja di dunia sekarang. Mereka berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dunia sahaja kerana mereka sangka mereka hanya hidup di dunia sahaja.

Mereka tidak bersedia untuk akhirat kerana mereka tidak nampak adanya akhirat. Mereka nak bergembira sebanyak mungkin semasa mereka hidup di dunia ini.

 

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ كَفَروا مِنَ النّارِ

maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka.

Maka, kena salah faham dan salah pilihan orang kafir itu, mereka akan dibalas dengan dimasukkan ke dalam neraka. Kerana mereka menolak apa yang disampaikan oleh Allah melalui para NabiNya, maka tempat balasan bagi mereka adalah di neraka sahaja.


 

Ayat 28: Ayat zajrun. Adakah sama orang kafir dan orang beriman?

أَم نَجعَلُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ كَالمُفسِدينَ فِي الأَرضِ أَم نَجعَلُ المُتَّقينَ كَالفُجّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or should We treat those who believe and do righteous deeds like corrupters in the land? Or should We treat those who fear Allāh like the wicked?

(MELAYU)

Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Patutkah (pula) Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?

 

أَم نَجعَلُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ كَالمُفسِدينَ فِي الأَرضِ

Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? 

Nampak ringkas sahaja ayat ini. Tapi ia mengandungi maklumat yang amat mendalam.

Orang yang tahu bahawa dunia ini tidak dijadikan sia-sia malah ia adalah tempat ujian bagi kita semua, maka dia akan buat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka tahu tahu tujuan mereka dihidupkan di dunia ini.

Tapi malangnya ramai manusia yang tidak ada tujuan dalam hidup. Mereka hidup di dunia ini seolah-olah mereka tidak akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Mereka sangka Allah sengaja jadikan dunia ini dan ia akan hancur begitu sahaja dengan mereka sekali.

Oleh kerana pemahaman yang berbeza tentang kehidupan di dunia, maka amalan manusia juga tidak sama. Mereka yang pandai dan bijak akan beriman dan akan beramal dengan amalan yang soleh (amalan yang baik).

Tetapi orang yang tidak berharap dan yakin mereka menuju kepada akhirat, mereka tidak beriman dan mereka akan melakukan kerosakan di muka bumi ini. Sama ada ‘kerosakan’ itu dalam bentuk fizikal atau dalam bentuk keagamaan.

Maka Allah berikan soalan retorik: Takkan balasan kepada mereka yang berbuat kerosakan itu akan sama dengan orang mukmin yang taat dengan hukum halal dan haram?

Maka kalaulah tidak ada akhirat dan tidak ada pembalasan, maka sia-sialah sahaja kalau ada orang yang buat baik. Kerana mereka sudah buat baik, tapi sama sahaja balasan kepada mereka. Dan maka senanglah orang yang jahat atas dunia ini, bukan? Mereka sudah buat zalim tapi selamat sahaja. Jadi kalau begitu, tidak adillah Allah kalau begitu.

 

أَم نَجعَلُ المُتَّقينَ كَالفُجّارِ

Patutkah (pula) Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?

Orang yang bertaqwa adalah orang yang berhati-hati dalam menjalani kehidupannya di dunia ini. Dia sedar yang Allah sedang memerhatikan segala perbuatannya dan perbuatannya itu akan dinilai nanti. Maka dalam setiap perkara yang hendak dilakukan, dia akan menilai: “Allah suka aku buat perkara ini atau tidak? Hal ini haram atau halal?”

Sedangkan Faajir adalah orang yang tak tahan diri mereka langsung. Mereka ini terbalik dengan golongan muttaqeen. al-Fajir akan buat apa yang dia hendak buat tanpa memikirkan halal atau haram, sama ada dia akan masuk neraka atau masuk syurga dengan kesan perbuatannya itu. Dia akan ikut hawa nafsu dia sahaja.

Kenapa dia berani buat kesalahan sebegitu rupa? Kerana dia tidak yakin yang dia akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kalau tidak percaya kepada janji akhirat, maka semua manusia akan sama sahaja, buat apa yang mereka suka sahaja.

Tapi kerana takutkan hukuman di akhirat, ramai manusia tidak buat perkara yang haram kerana takut hukuman di akhirat. Maka ancaman di akhirat itu adalah kebaikan kerana ia menahan manusia dari melakukan kerosakan.


 

Ayat 29: Allah memberitahu yang orang yang baik akan ikut ajaran wahyu. Mereka akan sentiasa memikirkan tentang Al-Qur’an.

كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّروا ءآيٰتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[This is] a blessed Book which We have revealed to you, [O Muḥammad], that they might reflect upon its verses and that those of understanding would be reminded.

(MELAYU)

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

 

كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ مُبٰرَكٌ

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah 

Allah memberitahu kehebatan Al-Qur’an. Ia membawa banyak barakah di dalamnya untuk kita semua. ‘Barakah’ adalah sesuatu yang bawa kebaikan yang bertambah-tambah dan melimpah ruah.

Satu lagi sifat barakah adalah ia mengeluarkan kebaikan dari sesuatu yang ada potensi. Potensi itu sudah ada tapi cuma nak dibawa keluar sahaja. Sebagai contoh, pada biji benih ada potensi tapi perlukan air untuk menumbuhkan tanaman. Kerana itulah air adalah sesuatu yang ada barakah.

Al-Qur’an ini boleh buat begitu juga kepada pembacanya. Tapi bukan simpan di almari sahaja, dan bukan dibaca sekali sekala tanpa difahami.

 

لِّيَدَّبَّروا ءآيٰتِهِ

supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya

Bagaimana nak naikkan potensi manusia dengan Al-Qur’an? Iaitu dengan tadabbur Al-Quran. Kalimah ‘tadabbur’ adalah dari katadasar د ب ر yang bermaksud ‘belakang’. Apabila kita memeriksa sesuatu dengan mendalam, kita akan pergi sampai ke belakang. Macam kalau kita nak periksa rumah kalau kita nak beli rumah itu, kita akan lihat sampai ke belakang, bukan?

Maka maksud ‘tadabbur’ adalah berfikir dan menekuni tafsir ayat-ayat Al-Qur’an dengan cara mendalam. Kita baca ayat Al-Qur’an dengan tekun dan cuba untuk memahaminya lebih lagi dari sebelumnya.

Tapi, kenalah tahu yang tadabbur ini datang lepas belajar tafsir. Bukan boleh tadabbur sendiri tanpa belajar. Kena dapatkan ilmu asas tentang tafsir Al-Qur’an dengan belajar dengan guru yang sudah belajar. Maka kena belajar secara talaqqi dengan guru-guru. Maka tidak boleh belajar sendiri, malah amat bahaya kalau belajar sendiri kerana boleh salah faham.

Selepas tadabbur, apa pula? Hendaklah amalkan ilmu yang telah tahu.

 

وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ

dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

Mereka yang rapat dengan Al-Qur’an dan telah belajar dan telah tadabbur Al-Qur’an akan ambil pengajaran dari Al-Qur’an itu. Kerana ia mengandungi banyak ajaran untuk persediaan dunia dan akhirat. Tapi bukan semua boleh ambil pengajaran dari Al-Qur’an melainkan orang yang cerdik sahaja. Iaitu orang yang sedar tugas dia di dunia ini dan sedar ke mana arah tujuannya iaitu akhirat.

Dan yang paling cerdik sekali adalah mereka yang faham tentang Tauhid dan untuk faham tentang Tauhid kena belajar tafsir Al-Qur’an kerana kitab-kitab yang lain tidak banyak menceritakan tentang syirik melainkan Al-Qur’an. Malangnya ramai yang tidak faham tentang perkara ini dan mereka ambil pelajaran Tauhid dari sumber yang salah seperti mempelajari Sifat 20.

Yang boleh terima adalah mereka yang ulul albab sahaja. Bukan semua yang boleh terima walaupun telah disampaikan kepada mereka. Iaitu orang-orang yang berakal, al-albab adalah bentuk jamak dari lub yang ertinya akal. Jadi, orang yang tak mahu terima ajaran Al-Qur’an, maknanya mereka itu tidak ada akal. Otak mungkin ada, tapi akal tidak ada.


 

Ayat 30: Ayat dalil naqli kedua. Ayat 30 – 40 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia adalah kisah anak Nabi Dawud iaitu Nabi Sulaiman. Mereka berdua sentiasa taat.

Allah sebut tentang mereka berdua dalam surah ini kerana mereka ini selalu dipuja oleh manusia yang jahil wahyu dan kerana telah ada pengajaran dari guru-guru yang sesat. Sampaikan ada yang mahu Ilmu Keramat akan memuja kepada Nabi Sulaiman.

Malangnya di dalam masyarakat kita yang jauh daripada pengetahuan agama ini telah timbul kisah-kisah yang tidak benar tentang Nabi Sulaiman kerana kisah-kisah itu bukannya datang daripada sumber yang sahih dan mengandungi kisah-kisah yang karut. Maka kita kena bersihkan kisah-kisah itu.

وَوَهَبنا لِداوودَ سُلَيمٰنَ ۚ نِعمَ العَبدُ ۖ إِنَّهُ أَوّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to David We gave Solomon. An excellent servant, indeed he was one repeatedly turning back [to Allāh].

(MELAYU)

Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya),

 

وَوَهَبنا لِداوودَ سُلَيمٰنَ

Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman,

Semua anak adalah ‘hadiah’ kepada ibubapanya. Dan Nabi Sulaiman ini hadiah utama bagi Nabi Daud a.s. kerana anaknya ini bukan anak biasa tapi ada kelebihan.

Nabi Sulaiman mewarisi dari Nabi Daud, yakni dalam hal kenabian, kerana sesungguhnya pada waktu itu Nabi Daud mempunyai anak yang banyak selain Nabi Sulaiman. Sesungguhnya saat itu Nabi Daud mempunyai seratus orang isteri yang semuanya dari wanita merdeka. Tapi tidaklah semuanya jadi Nabi. Hanya Nabi Sulaiman sahaja yang mewarisi kenabian Nabi Daud.

 

نِعمَ العَبدُ

dia adalah sebaik-baik hamba. 

Nabi Sulaiman adalah seorang hamba yang sebaik-baiknya kerana taat di dalam agama walaupun baginda mempunyai kekayaan dan kekuasaan. Bayangkan baginda mempunyai kerajaan meliputi hampir satu dunia tetapi baginda tetap kuat beramal ibadat dan ini bermakna baginda sibuk di dalam dunia dan sibuk juga di dalam ibadat kepada Allah.

 

إِنَّهُ أَوّابٌ

Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya),

Nabi Sulaiman sangat banyak mengingati Allah dan sentiasa melakukan banyak ibadat. Baginda selalu kembali kepada Allah dan merujuk kepada Allah. Macam ayahnya selalu kembali kepada Allah.

Maka selepas ini Allah akan senaraikan kelebihan baginda.


 

Ayat 31: Nabi Sulaiman telah diuji juga oleh Allah. Maka baginda juga tertakluk kepada kehendak Allah. Maka tidaklah layak baginda dipuja dan dijadikan sebagai ilah oleh manusia yang ada fahaman syirik, kerana baginda pun kena uji juga.

إِذ عُرِضَ عَلَيهِ بِالعَشِيِّ الصّٰفِنٰتُ الجِيادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Mention] when there were exhibited before him in the afternoon the poised [standing] racehorses.

(MELAYU)

(ingatlah) ketika dipertunjukkan kepadanya kuda-kuda yang tenang di waktu berhenti dan cepat waktu berlari pada waktu petang

 

Salah satu di dalam pentadbiran Nabi Sulaiman adalah untuk memastikan tenteranya bersedia untuk berperang menegakkan agama. Dan waktu itu kekuatan tentera dilihat daripada kekuatan kudanya kerana mereka memerlukan kuda untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat di dalam peperangan.

Pada waktu itu masih tetap ada kerajaan-kerajaan yang kecil yang belum masuk Islam dan kerana itu Nabi Sulaiman menjalankan tugas jihad mengarahkan tentera baginda untuk pergi ke tempat-tempat itu untuk  sebar agama.

Dibawakan kepadanya بِالعَشِيِّ iaitu waktu antara Zuhur dan Maghrib. Waktu itu baginda sedang memeriksa perbarisan tentera kerajaan baginda.

Kalimah الصّافِناتُ dari kalimah ص ف ن yang bermaksud berdiri atas tiga kaki bagi kuda. Jadi ini adalah jenis kuda yang hebat kerana dapat berdiri di atas tiga kakinya dan melipat kakinya yang keempat. Ia menunjukkan persediaan untuk berperang. Kuda yang boleh buat begini adalah kuda jenis baka baik dan telah dilatih. Maknanya, ia adalah kuda yang kuat berlari. Ia adalah jenis kuda yang hebat yang patuh kepada tuan. Bersedia untuk menjalankan tugas yang diarahkan oleh tuannya.

Kalimah الجِيادُ dari kalimah ج و د yang bermaksud ‘baik’. Kerana itu kita pakai kalimah jayyid untuk mengatakan sesuatu itu baik. boleh diterjemahkan sebagai kuda elit. Iaitu kuda yang hebat kerana kuat dan telah dilatih.

Maknanya baginda ada tentera yang hebat kerana ada tentera yang hebat. Selalunya kuda jenis ini digunakan sebagai pertunjukan kerana ia boleh melakukan perkara yang kuda lain tidak boleh buat. Kalau pertunjukan, ada satu dua kuda sahaja yang boleh buat begitu, tapi baginda ada banyak. Jadi memang hebat kerajaan dan tentera baginda.

Jadi kalimat الصّٰفِنٰتُ الجِيادُ merujuk kepada kuda yang apabila dalam keadaan tenang, ia amat disiplin dan apabila digunakan dalam peperangan, ia akan bertindak cergas.

Jadi baginda dipertunjukkan dengan barisan kuda itu dan baginda amat suka dan baginda memeriksa kuda itu sampai baginda terlupa dan terluput untuk Solat Asar. Baginda suka dengan kuda-kuda itu kerana baginda juga seorang mujahideen, maka tentera baginda kena ada kuda dan kerana itu baginda suka.


 

Ayat 32:

فَقالَ إِنّي أَحبَبتُ حُبَّ الخَيرِ عَن ذِكرِ رَبّي حَتّىٰ تَوارَت بِالحِجابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he said, “Indeed, I gave preference to the love of good [things] over the remembrance of my Lord until it [i.e., the sun] disappeared into the curtain [of darkness].”

(MELAYU)

maka dia berkata: “Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda-kuda itu hilang dari pandangan”.

 

فَقالَ إِنّي أَحبَبتُ حُبَّ الخَيرِ عَن ذِكرِ رَبّي

maka dia berkata: “Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku

‘Barang yang baik’ yang dimaksudkan adalah kuda yang hebat-hebat itu yang sudah bersedia untuk berperang. Ini kerana orang dulu-dulu memang suka sangat dengan kuda-kuda. Kerana ia digunakan untuk untuk musafir dan untuk berperang.

Maka kerana ia digunakan untuk peperangan menegakkan agama, maka kalimah yang digunakan adalah الخَيرِ iaitu ‘kebaikan’.

Maka, dari ayat ini ada yang menafsirkan bahawa Nabi Sulaiman seronok sangat melihat dan memeriksa kuda-kuda itu sampaikan baginda terlalai dari mengerjakan solat. Ini adalah kerana kerana harf عَن digunakan dalam bentuk meninggalkan sesuatu. Dan ‘ingat Tuhan’ diterjemahkan sebagai ‘solat’.

Tidaklah salah kalau baginda suka kepada kuda-kuda itu tapi bila dibandingkan dengan ingat kepada Allah, itu sudah tidak baik. Sepatutnya kalau suka kepada kuda pun, tidaklah sampai terlalai mengerjakan kewajipan dalam agama.

Maka baginda amat menyesal di atas kejadian itu. Ulama Salaf dan ulama tafsir yang bukan hanya seorang telah menceritakan bahawa Nabi Sulaiman disibukkan oleh penampilan kuda-kuda itu hingga terlewatkan darinya Solat Asar.

Tetapi yang pasti Nabi Sulaiman tidak meninggalkannya dengan sengaja, melainkan lupa, seperti kesibukan yang pernah dialami oleh Nabi Saw. pada hari penggalian parit (semasa Perang Khandak) hingga Solat Asar terlewatkan olehnya dan baru mengerjakannya sesudah mentari tenggelam.

Tapi, satu pendapat yang lain, tidaklah ada kisah yang pasti yang mengatakan Nabi Sulaiman telah tertinggal Solat Asar itu. Iaitu Nabi Sulaiman hanya melebihkan kuda dari ingat kepada Allah. Iaitu baginda telah melebihkan dunia dari akhirat. Tapi ini pun tidak patut kerana takkanlah seorang Nabi melebihkan keduniaan dari akhirat. Adakah ini نِعمَ العَبدُ (sebaik-baik hamba)? Maka kerana itu ada lagi pendapat-pendapat yang lain tentang perkara ini.

Ada juga yang menerjemahkan huruf عَن itu dengan maksud ‘kerana’ atau ‘dengan sebab’. Nabi Sulaiman sayang sangat kepada kuda-kuda itu kerana ingat kepada Tuhan. Kerana Allah yang suruh baginda menyiapkan kelengkapan senjata itu. Kerana itulah baginda lakukan perkara itu, kerana taat kepada kehendak Allah. Inilah tafsir yang amat sesuai dengan kedudukan Nabi Sulaiman. Ini juga adalah tafsir yang cermat.

 

حَتّىٰ تَوارَت بِالحِجابِ

sampai ia hilang dari pandangan”.

Tidak disebutkan dengan jelas dalam ayat ini apakah yang hilang dari pandangan. Satu pendapat mengatakan yang dimaksudkan hilang dari pandangan itu ataupun menyorok adalah ‘matahari’. Walaupun tidak disebut kalimah ‘matahari’ tapi ulama mengatakan ianya adalah mafhum (yang difahami) kepada ‘matahari’ kerana qarinah (hubungan, gabungan, pertalian dengan perkara lain). Maka ia bermakna, Nabi Sulaiman sibuk sangat periksa kuda-kuda itu sampai matahari telah tenggelam sampai terluput Solat Asar.

Ataupun, juga yang mengatakan ia dinisbahkan kepada ‘kuda-kuda’ itu yang berlari sampai hilang dari pandangan mata. Ini adalah kerana telah disebut sebelum ini yang kuda-kuda itu adalah jenis kuda yang laju. Sekejap sahaja berlari terus hilang dari pandangan. Ini pendapat yang lebih kemas kerana sebelum ini memang disebut tentang kuda. Dan kalau kita kata ia dinisbahkan kepada ‘matahari’ tidak berapa kuat kerana sebelum ini tidak disebut pun matahari.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maulana Asri

Tafsir Surah Sad Ayat 24 – 26 (Kesilapan dalam menghukum)

Ayat 24: Sambungan kisah Nabi Daud yang ditanya hukum tentang dua orang yang berbalah tentang kambing.

قالَ لَقَد ظَلَمَكَ بِسُؤالِ نَعجَتِكَ إِلىٰ نِعاجِهِ ۖ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ الخُلَطاءِ لَيَبغي بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَقَليلٌ مّا هُم ۗ وَظَنَّ داوودُ أَنَّما فَتَنّٰهُ فَاستَغفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ راكِعًا وَأَنابَ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[David] said, “He has certainly wronged you in demanding your ewe [in addition] to his ewes. And indeed, many associates oppress one another, except for those who believe and do righteous deeds – and few are they.” And David became certain that We had tried him, and he asked forgiveness of his Lord¹ and fell down bowing [in prostration] and turned in repentance [to Allāh].

  • For his errors, such as fear and suspicion of the two men at the outset, any mistake in judgement he might have made, concealed feelings of partiality, etc.

(MELAYU)

Daud berkata: “Sesungguhnya dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambahkan kepada kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh; dan amat sedikitlah mereka ini”. Dan Daud mengetahui bahawa Kami mengujinya; maka dia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat.

 

قالَ لَقَد ظَلَمَكَ بِسُؤالِ نَعجَتِكَ إِلىٰ نِعاجِهِ

Daud berkata: “Sesungguhnya dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambahkan kepada kambingnya. 

Seperti yang kita telah tahu, ramai yang telah masuk ke dalam perkarangan peribadi Nabi Daud (banyak tafsiran yang mengatakan hanya dua orang sahaja). Oleh kerana ramai yang berkerumun kepada baginda, maka baginda sudah risau dan fikiran baginda tidak tenang sedangkan hakim kena tenang dalam membuat keputusan.

Walaupun mereka telah berkata jangan takut, tapi mungkin baginda masih lagi ada perasaan takut dalam hati baginda. Maka baginda buat keputusan dengan cepat supaya mereka keluar segera dan tinggalkan baginda.

Oleh kerana hendak membuat keputusan dengan cepat, maka Nabi Daud hanya mendengar hujah dari satu pihak sahaja iaitu pihak yang miskin (yang ada satu kambing sahaja) tetapi baginda tidak tanya kepada pihak yang satu lagi. Dan ini tidak sesuai dan menjadi satu kesalahan di dalam mahkamah kerana mahkamah kena dengar hujah kedua-dua belah pihak.

Jadi ini telah menyalahi syariat kerana baginda telah buat keputusan tergopoh-gopoh dan beginilah kita selalunya dengan manusia yang mengadu kepada kita, bukan? Bayangkan, jikalau ada orang yang lemah mengadu kepada kita dengan sesuatu perkara, selalunya kita akan rasa dia yang telah dizalimi. Kadangkala kita tidak tanya pun kepada pihak yang kedua.

Maka ingatlah yang untuk berlaku adil dalam sesuatu hal pun, sebelum buat keputusan, kenalah kita dengar apakah hujah dan cerita dari pihak yang satu lagi.

 

وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ الخُلَطاءِ لَيَبغي بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ

Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain,

Kalimah الخُلَطاءِ adalah manusia yang bercampur sesama sendiri dan sentiasa berusaha bersama dan berada bersama-sama seperti dalam keluarga. Maka Nabi Daud menggunakan hujah yang biasa terjadi – apabila sudah berkumpul ramai-ramai, ada sahaja yang mengambil kesempatan ke atas orang lain dan melakukan kezaliman kepada orang lain.

 

إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh; 

Dan kerana sifat kezaliman setengah manusia ke atas setengah manusia yang lain, maka kerana itu biasa terjadi salah faham antara mereka. Ini biasa terjadi kepada manusia kecuali yang benar-benar beriman. Iaitu mereka yang dapat jaga tingkah laku mereka dan dapat jaga hati mereka dari ikut nafsu.

 

وَقَليلٌ مّا هُم

dan amat sedikitlah mereka ini”. 

Tapi tentunya orang yang beriman dan beramal soleh dalam dunia ini tak ramai. Begitulah kita pun tahu yang majoriti dari manusia bukanlah yang baik. Yang baik itu tidak ramai dan jarang kita dengar. Yang ramainya adalah mereka yang mengambil kesempatan ke atas orang lain. Sebab itu kita terpesona dengan orang yang baik sangat, sebab jarang dapat tengok.

 

وَظَنَّ داوودُ أَنَّما فَتَنّٰهُ

Dan Daud mengetahui bahawa Kami mengujinya;

Jadi Nabi Daud sudah jatuhkan hukuman, orang yang banyak kambing itulah yang bersalah. Masalahnya baginda tidak dengar hujah dari pihak kedua itu pun dan baginda telah memberi keputusan dengan tergesa-gesa dan ini adalah satu kesalahan.

Setelah baginda buat keputusan itu, maka para malaikat itu melihat sesama sendiri sambil tersenyum dan selepas itu mereka terbang menghilangkan diri dan pada ketika itulah Nabi Daud sedar bahawa mereka itu sebenarnya adalah malaikat. Tahulah baginda yang mereka itu dihantar oleh Allah untuk menguji baginda tentang keputusan yang baginda lakukan.

Maka baginda tahu yang baginda telah gagal dalam ujian itu. Baginda telah membuat keputusan dengan cepat dan tergesa-gesa kerana baginda tidak selesa dengan mereka dan mahu mereka segera keluar. Tapi baginda tahu yang itu bukanlah alasan.

Ada banyak tafsir tentang ayat ini dan banyak sumber datangnya dari sumber Isra’iliyyat. Nabi Daud juga adalah Nabi mereka juga jadi mereka ada kisah tentang baginda. Tapi seperti yang kita tahu, Ahli Kitab ini telah banyak mengubah kitab wahyu mereka dan mereka juga ada menokok tambah dan reka maklumat dalam kisah para Nabi. Ada kisah yang sangat teruk tentang Nabi Daud dalam hal ini, yang memang tidak patut disebut-sebut.

Akan tetapi kita ceritakan di sini kerana ia ada dalam kitab tafsir juga. Maka kita kena tolak kisah-kisah sebegini. Kerana kalau kita tidak sebut, mungkin ada yang sangka: “kalau dah ada dalam kitab tafsir, tentu ia benar…”. Ini adalah fahaman yang salah. Tidak semua dalam kitab tafsir itu benar. Kita kena banyak membaca dan menilai untuk mengenal pasti mana yang benar dan mana yang tidak. Memang pembelajaran memerlukan usaha dan masa. Dan kena bersedia untuk mengubah pendapat kalau ada maklumat yang lebih sahih.

Dalam riwayat Isra’iliyyat, dikatakan Nabi Daud sudah ada 99 isteri tetapi pada suatu hari, baginda ternampak seorang wanita cantik sedang mandi baginda telah terpikat dan hendak mengahwini wanita itu. Akan tetapi masalahnya wanita itu adalah isteri orang. Maka kerana nakkan juga wanita itu, maka Nabi Daud telah menugaskan suami wanita itu di barisan hadapan yang akan menyebabkan dia akan mati (atau Nabi Daud memang mengarahkan seseorang untuk membunuh suami itu).

Dan akhirnya Nabi Daud berjaya mengahwini wanita itu. Dan kerana itulah Allah menguji baginda dengan kejadian dalam ayat ini sebagai teguran kepada baginda kerana telah melakukan kesalahan mengahwini wanita itu dengan cara yang salah. Sudah ada banyak isteri, tapi masih lagi nak isteri orang lain.

Lihatlah bagaimana teruknya kisah ini kerana ia menggambarkan Nabi Daud sebagai seorang kaki perempuan dan sanggup menyebabkan kematian seorang lelaki hanya supaya dia dapat mengahwini isteri lelaki itu. Tambahan pula wanita yang dimaksudkan itu adalah ibu kepada Nabi Sulaiman pula. Dan sebelum mereka bernikah, mereka telah melakukan zina! Jadi ahli kitab sebenarnya telah mengutuk dan menghina dua orang Nabi dalam masa yang sama!

Oleh kerana itulah kisah ini tidak patut diterima dan tidak layak dinisbahkan kepada seorang Nabi. Maka kalau anda terdengar kita ini, maka hendaklah kita menolaknya. Malangnya kisah ini memang jelas ada dalam Kitab Old Testament mereka dan ada juga termasuk dalam kitab tafsir kita. Jadi amat perlu diberitahu kepada umum tentang perkara ini.

Ada lagi tafsir lain berkenaan perkara ini. Ia masih lagi tentang wanita itu tapi agak lembut dari yang pertama. Tafsiran ini mengatakan, seorang Nabi memang maksum tapi tidaklah mereka bebas dari melakukan kesilapan. Macam Nabi Yunus pun pernah buat silap dengan meninggalkan kaumnya sebelum diarahkan oleh Allah. Ini kerana para Nabi pun kena bisikan syaitan juga tapi Allah beri kekuatan kepada para Nabi untuk melawan dan tidak ikut bisikan itu. Mereka dipelihara dari melakukan dosa.

Jadi, mungkin Nabi Daud sudah terlihat kepada wanita itu dan sudah ada lintasan dalam diri baginda tentang wanita itu dan kerana itu Allah hantar para malaikat sebagai teguran kepada baginda (dengan buat olok-olok kisah kambing itu). Maka kononnya baginda bersalah kerana baginda telah meminta isteri itu dari suaminya. Maka barulah baginda sedar yang itu adalah ujian dari Allah untuk menghalang baginda dari meneruskan niat baginda itu.

Allah bawakan kisah ini sebagai isyarat – bukan kambing yang dimaksudkan, tapi wanita. Walaupun permintaan untuk berkahwin dengan isteri orang lain dibenarkan pada waktu itu, tetapi kedudukan baginda akan menyebabkan keterpaksaan bagi orang biasa. Maka Allah tegur keinginan baginda itu. Kerana baginda sudah ada banyak isteri tapi masih lagi teringin kepada isteri yang lain.

Kisah ini juga tidak benar dan hendaklah ditolak.

Di awal kisah ini, Nabi Muhammad disuruh untuk bersabar dengan kata-kata penentang baginda. Dan kemudian Allah terus berikan kisah Nabi Daud kepada baginda. Dan salah satu sebabnya adalah untuk memujuk baginda kerana dalam kisah ini, terdapat sesuatu yang boleh meredakan kerunsingan hati baginda.

Iaitu Allah nak beritahu yang baginda dituduh ahli sihir dan penipu sahaja, sedangkan Nabi Daud kena tuduh lebih teruk lagi – baginda dituduh telah berzina dengan isteri orang! Jadi tuduhan yang dikenakan kepada baginda itu tidaklah berat mana, maka bersabarlah sahaja.

Dan Musyrikin Mekah diingatkan dengan kisah Nabi Daud ini. Kalau seorang Nabi dan hamba yang disayangi pun ditegur oleh Allah kerana kesilapan kecil sahaja, maka bagaimana kalau mereka pula yang menentang Rasulullah dan menolak kebenaran? Adakah mereka sangka mereka akan selamat?

 

فَاستَغفَرَ رَبَّهُ

maka dia meminta ampun kepada Tuhannya

Maka baginda minta ampun di atas kesilapan baginda di dalam menangani penghakiman itu. Baginda terus meminta ampun kepada Allah.

 

وَخَرَّ راكِعًا وَأَنابَ

lalu menyungkur sujud dan bertaubat.

Dan baginda terus jatuh atas lutut baginda dan terus melakukan sujud kepada Allah kerana meminta ampun. Walaupun literal kalimah yang digunakan adalah راكِعًا (ruku’) tapi ulama bersetuju mengatakan yang dimaksudkan adalah ‘sujud’ dalam ayat ini.

Ayat ini adalah Ayat Sajdah maka hendaklah kita sujud selepas kita membaca ayat ini sama ada di dalam solat ataupun di luar solat. Cuma ayat ini ada khilaf di kalangan ulama sama ada ianya sunat atau pun tidak. Kerana ia bukanlah arahan dari Allah untuk melakukan sujud tapi ianya hanya menceritakan perbuatan Nabi Daud yang melakukan sujud.

Jadi ada ulama yang mengatakan ianya tidak sunat. Molek sahaja untuk kita sujud kerana ada hadis tentang perkara ini:

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ صَالِحٍ حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي هِلَالٍ عَنْ عِيَاضِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي سَرْحٍ عن أبي سعيد الخدري رضياللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ “ص” فَلَمَّا بَلَغَ السَّجْدَةَ نَزَلَ فَسَجَدَ وَسَجَدَ النَّاسُ مَعَهُ، فَلَمَّا كَانَ يَوْمٌ آخَرُ قَرَأَهَا فَلَمَّا بَلَغَ السَّجْدَةَ تَشَزّن النَّاسُ لِلسُّجُودِ، فَقَالَ: “إِنَّمَا هِيَ تَوْبَةُ نَبِيٍّ وَلَكِنِّي رَأَيْتُكُمْ تَشَزّنْتُم”. فَنَزَلَ وَسَجَدَ وَسَجَدُوا.
Imam Abu Daud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Saleh, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris, dari Sa’id ibnu Abu Hilal dari Iyad ibnu Abdullah ibnu Sa’d ibnu Abu Sarh, dari Abu Sa’id r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. membaca surat Shad di atas mimbarnya. Ketika bacaan baginda sampai pada ayat sajdah, baginda turun dari mimbarnya dan sujud. Maka orang-orang pun ikut sujud bersamanya. Pada hari yang lain, baginda Saw. membacanya. Dan ketika sampai pada ayat sajdah, orang-orang bersiap-siap untuk melakukan sujud. Maka Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya sujud ini merupakan ungkapan taubat seorang nabi, tetapi aku melihat kalian bersiap-siap melakukannya. Maka baginda Saw. turun (dari mimbarnya) dan sujud. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud secara munfarid, dan sanadnya dengan syarat ada di dalam kitab sahih.

 

Ayat 25:

فَغَفَرنا لَهُ ذٰلِكَ ۖ وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ وَحُسنَ مَئابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We forgave him that; and indeed, for him is nearness to Us and a good place of return.

(MELAYU)

Maka Kami ampuni baginya kesalahannya itu. Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik.

 

فَغَفَرنا لَهُ ذٰلِكَ

Maka Kami ampuni baginya kesalahannya itu.

Allah ampunkan kesilapan yang Nabi Daud telah lakukan. Kesilapan baginda itu pun kerana baginda tergesa-gesa dalam membuat keputusan. Jadi ia bukanlah satu kesalahan yang besar. Memang para Nabi tidak melakukan dosa, cuma kesilapan strategik sahaja.

Jadi kita kena sedar yang apa yang Nabi Daud buat ni adalah kesilapan sahaja, kerana kejadian ini berlaku kerana suasana bukan di dalam suasana mahkamah dan baginda telah tersilap kerana emosi baginda terganggu. Selalunya apabila keputusan dibuat di luar mahkamah, manusia akan buat keputusan dengan tergesa-gesa.

Tambahan pula, apabila satu pihak memberitahu kisahnya, pihak yang satu lagi pun tidak berkata apa-apa. Ini tentu sudah menjadi satu pengakuan bahawa apa yang disampaikan oleh pihak yang satu lagi itu benar. Kerana kalau tidak benar, tentu dia sudah membantah. Jadi tidaklah salah besar apabila Nabi Daud membuat keputusan berdasarkan apa yang baginda telah dengar itu.

Dan lagi satu keadaan mereka datang kepada baginda pada waktu yang tidak sesuai maka baginda telah tergopoh-gapah di dalam membuat keputusan kerana baginda mahu mereka keluar dengan segera.

 

وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ

Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan dekat pada sisi Kami 

Baginda mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Dan untuk mendapat kedudukan dengan Allah adalah dengan iman. Walaupun dalam ayat sebelum ini menyebut tentang kesilapan yang baginda lakukan, tapi tidaklah kesilapan itu merendahkan kedudukan baginda. kedudukan baginda tetap tinggi di sini Allah.

Surah sebelum ini disebut harta dan anak tidak mendekatkan diri dengan Allah. Dan sekarang kita tahu yang untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah dengan iman.

 

وَحُسنَ مَئابٍ

dan tempat kembali yang baik.

Baginda telah mendapat tempat kembali yang baik iaitu baginda dimasukkan ke dalam syurga.

Nabi Daud telah dipuja oleh kaum baginda selepas kematian baginda kerana mereka melihat baginda mempunyai banyak kelebihan; dan ini adalah perbuatan yang syirik dan Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa tidak layak baginda dipuja dan diseru kerana baginda pun manusia dan ada buat kesilapan.


 

Ayat 26:

يٰداوودُ إِنّا جَعَلنٰكَ خَليفَةً فِي الأَرضِ فَاحكُم بَينَ النّاسِ بِالحَقِّ وَلا تَتَّبِعِ الهَوىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبيلِ اللهِ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَضِلّونَ عَن سَبيلِ اللهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ بِما نَسوا يَومَ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We said], “O David, indeed We have made you a successor upon the earth, so judge between the people in truth and do not follow [your own] desire, as it will lead you astray from the way of Allāh.” Indeed, those who go astray from the way of Allāh will have a severe punishment for having forgotten the Day of Account.

(MELAYU)

Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.

 

يٰداوودُ إِنّا جَعَلنٰكَ خَليفَةً فِي الأَرضِ

Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi,

Ini adalah ayat peringatan kepada Nabi Daud. Ia juga adalah peringatan penting kepada mereka yang telah diberi dengan tanggungjawab di bumi. Apabila kita ada kedudukan untuk menghakimi manusia, maka kena jaga hukum Allah. Kita kena jaga syariat dalam segenap hal kehidupan, tapi yang terutama sekali kalau ada jawatan. Kerana apabila kita ada kedudukan, maka kesan perbuatan kita itu lebih besar.

 

فَاحكُم بَينَ النّاسِ بِالحَقِّ

maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil

Maka kita hendaklah ikut jalan Allah yang adil. Dan kita telah belajar yang dalam kita membuat keputusan, kita kena dengar dua-dua belah pihak. Jangan kita dengar satu pihak sahaja dan kita terus buat keputusan.

Dan lagi satu, makna adil itu adalah dengan mengikut wahyu.

 

وَلا تَتَّبِعِ الهَوىٰ

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu,

Jangan ikut nafsu kerana ada manusia yang berhukum dengan ikut nafsu mereka sahaja. Kalau ikut nafsu, maka keputusan yang dilakukan itu tentulah keputusan yang salah.

 

فَيُضِلَّكَ عَن سَبيلِ اللهِ

kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. 

Ikut nafsu adalah ikut perasaan. Dan ia telah terjadi kepada Nabi Daud dalam ujian kepada baginda itu. Allah ingatkan baginda supaya jangan lupa melakukan perkara yang benar. Bukanlah baginda tidak tahu yang baginda kena dengar kedua-dua belah pihak, tapi baginda terlupa. Maka kejadian yang menimpa baginda itu menjadi pengajaran pula kepada kita.

 

إِنَّ الَّذينَ يَضِلّونَ عَن سَبيلِ اللهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat,

Orang yang sesat dari jalan yang benar, tidak buat keputusan ikut hukum dan ikut nafsu sahaja, mereka akan dikenakan dengan azab seksa.

 

بِما نَسوا يَومَ الحِسابِ

kerana mereka melupakan hari perhitungan.

Maksud ‘lupa’ adalah ‘tidak hiraukan’. Bukannya benar-benar terlupa tapi mereka tidak endahkan sahaja kerana mereka telah ikut nafsu mereka.

Habis Ruku’ 2 dari 5 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 17 – 23 (Kisah Nabi Daud dan malaikat yang menguji)

Ayat 17: Apabila Nabi Muhammad menyampaikan ajaran tauhid, baginda ditentang dengan hebat sekali. Maka tentunya baginda amat bersedih kerana ditolak oleh kaum baginda sendiri. Tambahan pula tuduhan yang amat tidak patut dikenakan kepada baginda.

Maka ayat ini adalah Ayat Tasliah (pujukan) di mana Allah memujuk hati baginda dan para sahabat yang menjalankan dakwah.

Ayat 17 – 29 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi kisah Nabi Dawud. Nabi Dawud adalah seorang Raja, mempunyai kekuatan tetapi sentiasa bersikap rujuk kembali kepada Tuhan.

اصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاذكُر عَبدَنا داوودَ ذَا الأَيدِ ۖ إِنَّهُ أَوّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Be patient over what they say and remember Our servant, David, the possessor of strength; indeed, he was one who repeatedly turned back [to Allāh].

(MELAYU)

Bersabarlah atas segala apa yang mereka katakan; dan ingatlah hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan).

 

اصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ

Bersabarlah atas segala apa yang mereka katakan;

Sabar sahajalah menerima dugaan dalam dakwah. Memang akan ada sahaja penentang wahyu yang akan menggunakan berbagai-bagai cara untuk menghalang dakwah tauhid. Kena bersabar kerana itu adalah ujian dalam dakwah dan menegakkan kebenaran.

Kata-kata Musyrikin Mekah itu merujuk kepada tohmahan mereka yang mengatakan Nabi adalah seorang ahli sihir dan penipu besar. Dan juga ejekan mereka yang mengatakan Nabi Muhammad tidak layak untuk menjadi Nabi dan menerima wahyu. Dan macam-macam lagi kata-kata mereka yang menyedihkan hati baginda. Allah pujuk Nabi supaya bersabarlah dengan kata-kata mereka itu.

Bukan Nabi dan sahabat sahaja yang terpaksa melalui ujian ini. Kita pun kena tengok juga ayat ini kerana apabila kita nak dakwah kepada manusia, akan ada sahaja yang menentang. Tapi ingatlah yang kalau kita dapat bersabar, maka pahala buat kita. Paling kurang kita kena tuduh ‘Wahabi’. Sabarlah dengan kata-kata mereka yang jahil itu.

 

وَاذكُر عَبدَنا داوودَ

dan ingatlah hamba Kami Daud

Jangan fikirkan tentang mereka yang menentang itu. Dan untuk mengalih pandangan kepada perkara yang menyesakkan otak, Allah ajak tengok kisah Nabi Daud.

Allah suruh Nabi Muhammad kenangkan kisah Nabi Daud itu kerana:

  1. Kisah Nabi Daud itu dapat menjadi pengajaran kepada Arab Mekah waktu itu. Jadi makna وَاذكُر dalam ayat ini adalah: berilah peringatan kepada mereka.
  2. Allah suruh Nabi ingat kisah Nabi Daud ini kerana dengan kisahnya dapat membantu baginda menjadi sabar. Bukan baginda sahaja, tapi kita juga yang menjalankan kerja dakwah.

Allah tukar kepada subjek yang baru. Kerana kalau kita fikirkan perkara lain yang lebih menarik, kita akan lupa perkara yang menyedihkan kita, bukan? Jadi ini adalah alih pandangan.

 

ذَا الأَيدِ

yang mempunyai kekuatan;

Allah mula menceritakan tentang Nabi Daud. Nabi Daud ada banyak kekuatan. Pertamanya baginda sendiri memang kuat dan ini kita tahu semasa baginda bertarung dengan Jalut di usia muda baginda.

Baginda juga ada ramai pembantu dan kekuatan kerana baginda adalah raja yang memerintah. Baginda juga menggunakan kekuatan tentera baginda untuk menakluk negara jiran yang mengamalkan syirik dan memasukkan mereka ke dalam agama Islam.

Dan baginda juga mempunyai kekuatan dalaman kerana baginda adalah seorang Nabi. Baginda tidak terkesan dengan kekuasaan baginda dan baginda seorang hamba yang taat kepada Allah. Kerana itu Mujahid mengatakan bahawa al-aid ertinya kekuatan dalam ketaatan. Kerana ramai yang kuat, tapi mereka tidak taat.

Dan akhir sekali yang kita tahu, baginda mempunyai kekuatan ibadah. Baginda adalah seorang yang amat kuat beribadat. Baginda berpuasa selang sehari (kerana itu puasa jenis ini dinamakan Puasa Nabi Daud) dan baginda mendirikan solat tahajud sepertiga malam setiap hati. Kerana itu Qatadah mengatakan bahawa Nabi Daud a.s., dianugerahi kekuatan dalam mengerjakan ibadah dan memberinya pengetahuan tentang Islam. Jadi pengetahuan agama baginda pun kuat juga.

Hal ini telah disebutkan di dalam kitab Sahihain melalui salah satu hadisnya dari Rasulullah Saw. yang menyebutkan bahawa beliau Saw. telah bersabda:

“أَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللهِ صَلَاةُ دَاوُدَ وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللهِ صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَكَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَلَا يَفِرُّ إِذَا لَاقَى”

Solat yang paling disukai Allah ialah solatnya Daud, dan puasa yang paling disukai Allah adalah puasanya Daud. Dia tidur sampai tengah malam, lalu bangun sepertiganya (mengerjakan solat), dan tidur seperenamnya. Dan dia puasa sehari dan buka sehari, dia tidak pernah lari bila bersua dengan musuh (dalam peperangan) dan dia adalah seorang yang amat taat kepada Allah.

 

إِنَّهُ أَوّابٌ

sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan).

Allah memuji baginda dengan memberitahu sifat baginda yang selalu bertaubat dan kembali kepada Allah. Kerana maksud ‘awwab’ adalah ‘selalu kembali’.

Atau ia bermaksud baginda sangat taat dalam mengingati Allah dalam semua keadaan. Baginda banyak ingat kepada Allah dan sentiasa ingat kepada akhirat.

Inilah sifat para Nabi yang kita kena ikut. Kerana kita semua sedang menuju kepada akhirat maka kenalah buat persediaan. Dan kalau sentiasa ingat kepada akhirat maka akan menahan dan menghalang diri kita dari melakukan dosa dengan sengaja.

Maka kalau manusia dapat sifat ini, maka ia sangat istimewa. Dan untuk dapat sifat ini, kena belajar tafsir dan selalu baca Al-Qur’an kerana akhirat banyak diperkatakan dalam Al-Qur’an. Bila selalu baca, maka kita selalu diperingatkan dengan akhirat. Setiap muka surat Al-Qur’an itu akan ada sahaja peringatan kepada akhirat.


 

Ayat 18: Sekarang diberitahu lagi tentang kelebihan yang diberikan kepada Nabi Daud.

Diberitahu kepada Rasulullah supaya baginda pun ingat balik kepada pemberian Allah kepada baginda juga. Bila kita ingat sudah banyak nikmat kita dapat, maka hilanglah sedikit kesedihan dan keresahan dalam jiwa.

إِنّا سَخَّرنَا الجِبالَ مَعَهُ يُسَبِّحنَ بِالعَشِيِّ وَالإِشراقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We subjected the mountains [to praise] with him, exalting [Allāh] in the [late] afternoon and [after] sunrise.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi,

 

إِنّا سَخَّرنَا الجِبالَ مَعَهُ

Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung

Gunung ganang selalu dijadikan sebagai contoh dalam Al-Qur’an kerana masyarakat Arab juga terpesona dengan gunung ganang. Kerana mereka lihat gunung itu amat gagah dan kukuh. Kita pun suka juga dan kerana itu tempat seperti Gunung Kinabalu amat terkenal dan manusia suka datang.

Allah yang menjadikan gunung ganang dan Allah berkuasa untuk menundukkannya. Apakah yang dimaksudkan?

 

يُسَبِّحنَ بِالعَشِيِّ وَالإِشراقِ

untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi,

Allah menjadikan gunung bertasbih dan berzikir bersama dengan Nabi Daud. Nabi Daud banyak bertasbih dan gunung ganang juga ikut bertasbih bersama dengan baginda. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

{يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ}

Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah ber­ulang-ulang bersama Daud. (Saba: 10)

Demikian burung-burung ikut bertasbih bersama Nabi Daud bila baginda bertasbih, dan menjawab tasbih yang diucapkannya bila burung-burung itu sedang terbang di atasnya. Lalu apabila mendengar Nabi Daud sedang membaca kitab Zabur, maka burung-burung itu berhenti di angkasa, tidak mahu pergi, bahkan diam dan ikut bertasbih bersamanya. Gunung-gunung yang tinggi-tinggi pun membalas tasbihnya dan mengikuti tasbih yang diucapkannya.

Tapi tentu manusia tidak dapat faham tasbih mereka. Ini adalah kerana makhluk yang berbeza akan bertasbih dalam bahasa mereka yang kita tidak faham.

Nabi Daud bertasbih antara waktu Zuhur dan Asar. Jadi ini boleh dikatakan yang inilah waktu solat bagi Nabi Daud as. Syariat para Nabi tidak sama. Syariat Nabi Muhammad sahaja yang pasti kena solat lima waktu tapi para Nabi lain tidak sama syariat dan cara ibadah. Dan baginda juga bertasbih waktu Isyra’ iaitu waktu selepas Subuh.


 

Ayat 19:

وَالطَّيرَ مَحشورَةً ۖ كُلٌّ لَّهُ أَوّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the birds were assembled, all with him repeating [praises].

(MELAYU)

dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masingnya amat taat kepada Allah.

 

وَالطَّيرَ مَحشورَةً

dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul.

Bukan gunung ganang sahaja bertasbih bersama Nabi Daud tapi burung juga. Berbagai jenis burung datang ramai-ramai berkumpul kepada baginda.

 

كُلٌّ لَّهُ أَوّابٌ

Masing-masingnya amat taat kepada Allah.

Semuanya kembali datang untuk bertasbih bersama baginda. Semua taat kepada Allah.

Juga kalimah ‘awwab’ bermaksud mereka mengulangi apa yang disebut dan dizikirkan oleh Nabi Daud as. Mereka bertasbih bersama-sama dengan Nabi Daud.


 

Ayat 20:

وَشَدَدنا مُلكَهُ وَءآتَينٰهُ الحِكمَةَ وَفَصلَ الخِطابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We strengthened his kingdom and gave him wisdom and discernment in speech.

(MELAYU)

Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan.

 

وَشَدَدنا مُلكَهُ

Dan Kami kuatkan kerajaannya

Allah beri keteguhan kerajaan kepada Nabi Daud. Baginda adalah salah seorang dari tiga Nabi yang ada kuasa pemerintahan selain dari Nabi Muhammad SAW dan Nabi Sulaiman as.

 

وَءآتَينٰهُ الحِكمَةَ

dan Kami berikan kepadanya hikmah

‘Hikmah’ adalah apabila berhimpun ilmu dan amal. Kerana kalau setakat ada ilmu sahaja tanpa amal, itu bukan hikmah. Kerana ramai orang ada ilmu tapi mereka tidak amalkan apa yang mereka tahu. Begitu juga kalau banyak amal tanpa ilmu, ini juga bukan hikmah.

Maka kita kena amalkan apa yang kita sudah tahu. Kadang-kadang kita sudah tahu apa yang kita perlu lakukan dalam agama tapi kita tak mampu nak lakukan lagi. Ini adalah kerana Allah tidak beri lagi taufik iaitu kekuatan untuk mengamalkan apa yang sudah tahu.

Maka kita bukan sahaja kena minta hidayah, tapi kita kena minta taufik juga. Kerana kekuatan itu bukan dari kita, tapi dari Allah. Cuma kita kena ada keinginan dan usaha dari kita pada mulanya. Jangan berharap dan berdoa sahaja tanpa ada usaha.

Maka Allah beritahu yang Nabi Daud ada ‘hikmah’. Maksudnya baginda bukan sahaja ada ilmu tapi baginda juga mengamalkan apa yang baginda tahu.

 

وَفَصلَ الخِطابِ

dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan.

Nabi Daud juga pandai buat keputusan. Kalimah فصل dari katadasar ف ص ل yang bermaksud memisahkan antara dua perkara dan ini memberi penjelasan. Maka keputusan pun dapat dibuat dengan tepat kalau dapat penjelasan dengan baik. Ini penting kerana baginda adalah seorang raja dan baginda selalu kena mengadili masalah rakyat baginda. Maknanya baginda juga adalah seorang hakim.

Dan Allah beritahu apabila baginda buat keputusan, tidak ada yang komen atau kritik keputusan baginda. Maknanya semua setuju kerana keputusan baginda itu adil.

Atau ia juga bermaksud baginda diberi dengan kefasihan dalam menyampaikan wahyu. Umat baginda faham dengan apa yang disampaikan oleh baginda. Ini adalah kerana خطاب adalah dari katadasar خ ط ب yang bermaksud menyampaikan seperti khatib menyampaikan khutbah Hari Jumaat.


 

Ayat 21: Sekarang masuk kepada satu kisah kejadian yang melibatkan Nabi Daud.

۞ وَهَل أَتٰكَ نَبَأُ الخَصمِ إِذ تَسَوَّرُوا المِحرابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has there come to you the news of the adversaries, when they climbed over the wall of [his] prayer chamber –

(MELAYU)

Dan adakah sampai kepadamu berita orang-orang yang bertelagah ketika mereka memanjat pagar?

 

وَهَل أَتٰكَ نَبَأُ الخَصمِ

Dan adakah sampai kepadamu berita orang-orang yang bertelagah

Seperti yang kita tahu, Nabi Daud a.s. adalah seorang raja dan baginda tinggal di istana. Ada satu kisah menarik bagaimana ada sekumpulan ‘manusia’ yang hendak berjumpa dengan Nabi Daud kerana mereka memerlukan penghakiman dari baginda.

Waktu itu Nabi Daud di tempat peribadi baginda bersendirian kerana baginda sedang beribadat. Itu adalah tempat peribadi baginda yang dijadikan sebagai tempat ibadat baginda. Kerana itu ia dinamakan محراب yang diambil dari katadasar ح ر ب yang bermaksud perang, kerana waktu itu sedang berperang dengan nafsu untuk melakukan ibadah.

Kalimah الخَصمِ dalam bentuk jamak maka dari ini kita tahu yang datang panjat dan mencari Nabi Daud itu ramai dan bukan dua orang sahaja. Bayangkan, tentu Nabi Daud pun terkejut juga walaupun baginda bukanlah seorang yang penakut kerana baginda juga seorang pejuang. Tapi kalau sudah ramai, tentu ada masalah juga kalau baginda nak lawan.

Tambahan pula mereka itu datang ke tempat ibadat baginda. Baginda tidak sangka akan ada orang yang dapat masuk ke situ kerana tentulah tempat itu dijaga rapi oleh pengawal. Tentu baginda kehairanan sangat bagaimana mereka boleh lepas masuk?

Kebiasaan bagi baginda adalah untuk membahagikan masa antara ibadat dan juga urusan kerajaan; dimana dari pagi sampai ke waktu Zuhur, baginda akan bersama rakyat dan selepas itu baginda akan tidur sebentar dan kemudian baginda akan sambung waktu seterusnya dengan beribadat kepada Allah.

 

إِذ تَسَوَّرُوا المِحرابَ

ketika mereka memanjat pagar?

Mereka sampai panjat pagar istana untuk berjumpa dengan baginda. Kalimah تَسَوَّرُوا dari katadasar س و ر yang bermaksud melompat, mengalahkan, dinding, bahagian yang tinggi. Maka ia bermaksud mereka telah melompat dinding/pagar istana untuk sampai kepada Nabi Daud.

Mereka telah panjat pagar yang paling tinggi yang tak mungkin boleh dipanjat oleh manusia biasa. Sebenarnya mereka itu bukanlah manusia tapi para malaikat.

Dalam kisah ini, Allah telah menghantar beberapa malaikat untuk menguji Nabi Daud dalam mentadbir kerajaan. Malaikat itu datang dengan menyerupai fizikal manusia dan mereka telah memanjat pagar. Mereka tidak datang kepada Nabi Daud dengan cara yang biasa (minta izin) kerana waktu itu adalah waktu ibadat Nabi Daud dan jikalau mereka meminta kebenaran untuk berjumpa baginda pun, tidak akan dibenarkan oleh pengawal istana. Baginda sudah pesan yang waktu itu baginda tidak mahu diganggu.


 

Ayat 22:

إِذ دَخَلوا عَلىٰ داوودَ فَفَزِعَ مِنهُم ۖ قالوا لا تَخَف ۖ خَصمانِ بَغىٰ بَعضُنا عَلىٰ بَعضٍ فَاحكُم بَينَنا بِالحَقِّ وَلا تُشطِط وَاهدِنا إِلىٰ سَواءِ الصِّرٰطِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they entered upon David and he was alarmed by them? They said, “Fear not. [We are] two adversaries, one of whom has wronged the other, so judge between us with truth and do not exceed [it] and guide us to the sound path.

(MELAYU)

Ketika mereka masuk (menemui) Daud lalu dia terkejut kerana kedatangan) mereka. Mereka berkata: “Janganlah kamu merasa takut; (kami) adalah dua orang yang bertelagah yang salah seorang dari kami berbuat zalim kepada yang lain; maka berilah keputusan antara kami dengan adil dan janganlah kamu menyimpang dari kebenaran dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus.

 

إِذ دَخَلوا عَلىٰ داوودَ فَفَزِعَ مِنهُم

Ketika mereka masuk (menemui) Daud lalu dia terkejut kerana kedatangan mereka.

Kalimah فزع bermaksud terkejut sampai akal terganggu, tak boleh fikir dengan jelas lagi. Nabi Daud amat terkejut dengan kedatangan ‘manusia’ yang tiba-tiba sahaja sudah ada di dalam ruang peribadi baginda.

Ini kerana baginda tidak tahu yang mereka itu adalah para malaikat. Ini adalah dalil lagi bahawa para Nabi tidak tahu perkara ghaib; dan kerana itu Nabi Daud takut kepada mereka; sepertimana Nabi Ibrahim juga takut kepada malaikat yang datang kepada baginda semasa memberitahu baginda akan mendapat anak. Ini semua kerana para Nabi memang tidak ada ilmu ghaib melainkan yang diberitahu oleh Allah. Maka kerana itu Nabi Daud takut dengan kedatangan mereka.

Dan baginda takut kerana mereka itu berjaya panjat pagar yang tinggi di istana dan cara mereka datang kepada baginda itu dengan cara begitu dan ini adalah tanda-tanda orang yang tidak berniat baik. Baginda tentu takut yang mereka hendak mencederakan baginda atau pun membunuh baginda. Maka tidak salahlah kalau Nabi Daud takut dengan kedatangan manusia/malaikat itu.

 

قالوا لا تَخَف

Mereka berkata: “Janganlah kamu merasa takut; 

Para malaikat itu nampak yang Nabi Daud takut dan mereka cepat-cepat beritahu kepada baginda supaya jangan takut. Mereka beritahu yang kedatangan mereka itu bukannya untuk membunuh baginda.

 

خَصمانِ بَغىٰ بَعضُنا عَلىٰ بَعضٍ

(kami) adalah dua orang yang menyalahi yang salah seorang dari kami berbuat zalim kepada yang lain; 

Salah seorang dari kumpulan malaikat itu bercakap bagi pihak semua orang. Dia mengatakan yang mereka itu adalah dua kumpulan yang telah bertengkar dan salah seorang daripada mereka telah menzalimi seorang yang lain.

Ini adalah kerana kalimah بغى dari katadasar ب غ ي yang bermaksud mengejar sesuatu, mengambil sesuatu dengan cara salah dan kejam, melebihi batas.

 

فَاحكُم بَينَنا بِالحَقِّ

maka berilah keputusan antara kami dengan adil 

Dia juga beritahu yang sebenarnya kedatangan mereka adalah kerana nak dapatkan keputusan yang segera dari baginda dan kerana itu mereka telah sanggup memanjat pagar yang tinggi. Dan yang paling penting, mereka hendak kes mereka itu diadili dengan cara benar dan adil.

 

وَلا تُشطِط

dan janganlah kamu menyimpang dari kebenaran

Mereka minta baginda jangan buat keputusan yang lari dari syariat. Kalimah تُشطِط dari katadasar ش ط ط yang bermaksud jauh, menyalahi seseorang, melayan dengan tidak adil, melebihi batasan. Mereka hendak keputusan mereka itu diadili dengan keputusan yang adil. Dan keputusan yang adil tentunya penghakiman yang ikut syariat.

 

وَاهدِنا إِلىٰ سَواءِ الصِّرٰطِ

dan tunjukilah kami ke jalan yang benar.

Dan mereka berharap supaya baginda dapat membawa mereka kepada jalan yang lurus yang ikut syariat.


 

Ayat 23:

إِنَّ هٰذا أَخي لَهُ تِسعٌ وَتِسعونَ نَعجَةً وَلِيَ نَعجَةٌ وٰحِدَةٌ فَقالَ أَكفِلنيها وَعَزَّني فِي الخِطابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed this, my brother, has ninety-nine ewes, and I have one ewe; so he said, ‘Entrust her to me,’ and he overpowered me in speech.”

(MELAYU)

Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor saja. Maka dia berkata: “Serahkanlah kambingmu itu kepadaku dan dia mengalahkan aku dalam perdebatan”.

 

إِنَّ هٰذا أَخي

Sesungguhnya saudaraku ini

Walaupun mereka itu nampak ramai tapi mereka itu dari dua kumpulan sebenarnya. Tidaklah semua bercakap kerana setiap kumpulan ada wakil. Dia memperkenalkan yang lawannya itu adalah saudaranya sendiri. Maknanya perkelahian itu adalah dengan saudara sendiri.

Atau, mungkin bukan saudara kandung kerana ia boleh jadi saudara seagama atau saudara dalam kabilah.

 

لَهُ تِسعٌ وَتِسعونَ نَعجَةً وَلِيَ نَعجَةٌ وٰحِدَةٌ

mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor saja.

Sekarang kita semakin tahu fakta kisah ini. Yang berkata itu ‘kononnya’ yang miskin kerana dia ada seekor kambing sahaja sedangkan saudaranya itu ada 99 ekor kambing.

 

فَقالَ أَكفِلنيها

Maka dia berkata: “Serahkanlah kambingmu itu kepadaku

Abangnya yang ada banyak kambing itu meminta seekor kambing adiknya itu. Walaupun dia sudah ada 99 ekor kambing tapi dia minta supaya diberi kambing adiknya yang satu itu supaya dia yang jaga. Kalimah أكفل bermaksud menjaga, membesarkan, bertanggungjawab.

 

وَعَزَّني فِي الخِطابِ

dan dia mengalahkan aku dalam perdebatan”.

Abangnya itu berhujah dalam meminta kambing adiknya itu. Kerana jikalau ada seekor sahaja kambing tidak akan pergi ke mana kerana kambing-kambing itu tidak dapat membiak kerana tidak ada pasangan. Dan kerana itu dia hendak mencukupkan kambingnya supaya cukup jadi 100 ekor.

Kemudian abangnya itu telah berkata dengan kasar. Maknanya abangnya itu telah membuli adiknya itu dan kerana itu masing-masing telah memanggil penyokong masing-masing. Kerana itu mereka ramai yang datang berjumpa dengan Nabi Daud pada malam itu.

Dia telah mengalahkan adiknya di dalam perdebatan itu kerana hujah dia kuat juga. Dan kerana dia kaya dan mungkin berpengaruh, maka susah untuk seorang yang miskin dan lemah menolak begitu sahaja. Setakat ini, abang yang ada 99 ekor kambing itu belum lagi ambil kambing yang seekor itu, tapi setakat minta sahaja. Tapi susah untuk menolaknya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 9 – 16 (Siapa engkau?)

Sad Ayat 9: Allah yang pilih siapa jadi Nabi. Ini adalah haq Allah dan manusia tak payah soalkan.

أَم عِندَهُم خَزائِنُ رَحمَةِ رَبِّكَ العَزيزِ الوَهّابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they have the depositories of the mercy of your Lord, the Exalted in Might, the Bestower?

(MELAYU)

Atau apakah mereka itu mempunyai perbendaharaan rahmat Tuhanmu Yang Maha Perkasa lagi Maha Pemberi?

 

أَم عِندَهُم خَزائِنُ رَحمَةِ رَبِّكَ

Atau apakah mereka itu mempunyai perbendaharaan rahmat Tuhanmu

Sebelum ini telah disebut yang Musyrikin Mekah kata tak munasabah bagi wahyu kepada Nabi Muhammad. Maka Allah tempelak mereka dalam ayat ini. Apakah mereka yang jaga khazanah Allah sampai Allah kena dapat kelulusan mereka? Adakah mereka yang ada haq menentukan siapa dapat rezeki, siapa dapat pemberian dari Allah? Siapa mereka untuk kata begitu?

 

العَزيزِ الوَهّابِ

Yang Maha Perkasa lagi Maha Pemberi?

Allah Maha Berkuasa untuk memilih siapa yang layak untuk dapat apa-apa sahaja. Segala perbuatan Allah tidak boleh dipersoalkan. Kerana Dialah al-Aziz yang tidak tidak dapat dikalahkan. Jadi kena tahulah kedudukan kita sebagai hamba Allah.

Allah al-Wahhab iaitu yang Maha Pemberi nikmat yang hendak diberikanNya. Dan amat banyak sekali pemberian Allah kepada makhluk. Antaranya Allah beri nikmat kerasulan kepada Nabi Muhammad.


 

Sad Ayat 10:

أَم لَهُم مُّلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما ۖ فَليَرتَقوا فِي الأَسبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or is theirs the dominion of the heavens and the earth and what is between them? Then let them ascend through [any] ways of access.¹

  • To oversee the affairs of their dominion.

(MELAYU)

Atau apakah bagi mereka kerajaan langit dan bumi dan yang ada di antara keduanya? (Jika ada), maka hendaklah mereka menaiki tangga-tangga (ke langit).

 

أَم لَهُم مُّلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما

Atau apakah kepunyaan mereka kerajaan langit dan bumi dan yang ada di antara keduanya?

Allah perli mereka lagi: Atau mereka miliki kerajaan langit dan bumi? Kerana kalau mereka ada kerajaan langit dan bumi, bolehlah nak mempersoalkan keputusan yang Allah lakukan. Kalau tidak ada, jangan memandai nak mempersoalkan. Kerana kerajaan langit dan bumi milik Allah taala sahaja.

Kita sebagai manusia yang menetap atas alam ini kena taat kepada Allah. Kerana kita pun duduk di dalam alam Dia. Kalau tidak setuju dengan keputusan Allah, maka boleh cari alam lain yang Allah tidak buat.

 

فَليَرتَقوا فِي الأَسبٰبِ

(Jika ada), maka hendaklah mereka menaiki tangga-tangga (ke langit).

Kalau mereka ada kerajaan langit dan bumi, maka naiklah ke langit kalau mereka mampu. Naiklah ke langit dan bawa turun sendiri wahyu. Maksudnya, mereka sendirilah yang jadi tuhan dan pilih sendiri siapa yang mereka nak beri wahyu. Ini memang kata-kata yang amat sinis dari Allah.

Hal ini selalu disentuh di dalam ayat-ayat yang lain, antaranya Zukhruf:31-32.


 

Sad Ayat 11:

جُندٌ مّا هُنالِكَ مَهزومٌ مِّنَ الأَحزابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They are but] soldiers [who will be] defeated there among the companies [of disbelievers].

(MELAYU)

Suatu tentera yang besar yang berada di sana dari golongan-golongan yang bersyarikat, pasti akan dikalahkan.

 

Allah beri ancaman. Mereka itu adalah satu kumpulan macam kumpulan-kumpulan yang Allah sudah pernah musnahkan dahulu. Kalimah مَهزومٌ dari katadasar ه ز م yang bermaksud diperangi, kalah.

Amat mudah sahaja Allah musnahkan kumpulan-kumpulan itu dahulu. Yang dimusnahkan dahulu itu adalah tentera yang lebih besar dari Arab Mekah itu. Arab Mekah itu kecil sahaja dan mereka itu hanya duduk di Mekah dan tidak ada apa-apa pun kalau dibandingkan dengan golongan terdahulu.

Mereka itu sangka mereka kuat kerana mereka ramai. Tapi Allah nak kata yang mereka itu kecil sahaja walau pun mereka bergabung. Bila-bila masa pun Allah boleh musnahkan mereka. Ada tentera yang lebih besar dan hebat dari mereka pun Allah sudah pernah musnahkan.

Kalimah هُنالِكَ bermaksud ‘di sini’ dan ia berkemungkinan besar merujuk kepada Mekah itu sendiri. Di mana mereka yang menentang Nabi Muhammad akan dikalahkan di Mekah sendiri apabila Nabi Muhammad dan para sahabat akan memasukinya nanti dan menakluk Mekah itu.


 

Sad Ayat 12: Allah bagi contoh apa yang terjadi dahulu sebagai Takhwif duniawi.

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَعادٌ وَفِرعَونُ ذُو الأَوتادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The people of Noah denied before them, and [the tribe of] ‘Aad and Pharaoh, the owner of stakes,¹

  • By which he tortured people.

(MELAYU)

Telah mendustakan (rasul-rasul pula) sebelum mereka itu kaum Nuh, ‘Aad, Fir’aun yang mempunyai pasak yang banyak,

 

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَعادٌ

Telah mendustakan (rasul-rasul pula) sebelum mereka itu kaum Nuh, ‘Aad,

Allah nak beritahu yang bukan Musyrikin Mekah ini sahaja yang pertama mendustakan Rasul mereka. Sebelum itu zaman berzaman telah ada kaum yang mendustakan Rasul mereka dan lihatlah apa yang terjadi kepada mereka.

Musyrikin Mekah tahu apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh dan juga Kaum Aad. Kerana kisah ini masyhur, maka Allah ingatkan mereka balik. Adakah kamu mahu jadi seperti mereka yang telah dimusnahkan itu kerana tidak taat kepada Rasul mereka?

 

وَفِرعَونُ ذُو الأَوتادِ

Fir’aun yang mempunyai pasak yang banyak,

Mereka juga mungkin tahu tentang Firaun kerana kisah ini juga masyhur. Allah memberitahu kehebatan kerajaan Firaun dalam ayat ini. Kerana itu digunakan kalimah الأَوتادِ yang ditafsirkan sebagai pasak khemah, iaitu khemah tentera.

1. Ramai mufassir mengatakan ini adalah isyarat untuk menunjukkan tentera dia ramai sampai memerlukan khemah yang banyak apabila mereka berhenti dalam misi mereka. Tentera dia ramai pun tapi tidak dapat menyelamatkan dia dari dimatikan oleh Allah dalam laut. Maka apa yang Musyrikin Mekah itu ada untuk menyelamatkan mereka?

2. Atau, ada juga yang menafsirkan pasak itu sebagai menceritakan cara Firaun menyeksa manusia. Iaitu dia seksa mereka dengan tambat mereka dengan pasak ke tanah atau tiang. Ini adalah cara yang amat kejam dan seperti yang kita tentu sudah tahu, Firaun amat kejam. Memang cara dia seksa amat menggerunkan dan di luar kebiasaan manusia.

3. Atau, ia bermaksud kerajaan Mesir zaman Firaun yang teguh seperti teguhnya khemah apabila dipasak. Tapi teguh macam mana pun, tidak dapat nak melawan kehendak Allah.

4. Atau, satu pendapat lagi mengatakan ia mungkin merujuk kepada Piramid di Mesir yang seumpama sesuatu yang dipasak ke dalam bumi kerana teguhnya ia. Jadi ada banyak pendapat yang diberikan oleh para mufassir. Semua ini menarik untuk kita fikir-fikirkan.

5. Satu lagi pendapat adalah ia merujuk kepada obelisk (tugu) yang tinggi. Ia dikenali sebagai Kuil Karnak. Ini kerana kerajaan Firaun lah yang menaikkan obelisk ini. Kuil itu telah ada sebelum kerajaan Firaun, tapi pada zaman Firaun telah ditambah. Dan kerana itulah الأَوتادِ itu dikaitkan dengan mereka. Ini adalah mukjizat sejarah Al-Qur’an yang menjadi bukti bahawa ia adalah Kalamullah. Ini adalah maklumat baru setelah kajian tentang sejarah Mesir diperhebatkan.


 

Sad Ayat 13: Allah sambung dengan sebut kaum-kaum yang lain.

وَثَمودُ وَقَومُ لوطٍ وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ ۚ أُولٰئِكَ الأَحزابُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [the tribe of] Thamūd and the people of Lot and the companions of the thicket [i.e., people of Madyan]. Those are the companies.¹

  • That were defeated, among whom will be the disbelievers of Quraysh and others.

(MELAYU)

dan Tsamud, kaum Luth dan penduduk Aikah. Mereka itulah golongan-golongan yang bersekutu (menentang rasul-rasul).

 

وَثَمودُ وَقَومُ لوطٍ

dan Tsamud, kaum Luth

Kaum Tsamud juga dikenali oleh Musyrikin Mekah kerana mereka melalui kawasan bekas penempatan kaum Tsamud dalam musafir mereka. Maka Allah ingatkan mereka. Dan Allah ingatkan juga tentang Kaum Luth kerana Arab Mekah juga ada melalui bekas penempatan mereka iaitu di Laut Mati, Jordan.

 

وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ

dan penduduk Aikah.

Penduduk Aikah yang dimaksudkan adalah Madyan, iaitu kaum Nabi Syuaib a.s. Mereka juga telah dimusnahkan kerana penolakan mereka terhadap Rasul mereka. Wahai Musyrikin Mekah, kamu nak jadi seperti mereka jugakah?

 

أُولٰئِكَ الأَحزابُ

Mereka itulah golongan-golongan yang bersekutu. 

Iaitu mereka bersekutu dan bersatu menentang Rasul mereka. Itulah kumpulan yang Allah sudah musnahkan itu ramai-ramai bersekongkol untuk menentang Rasul mereka. Mereka bukannya buat kerja sendirian berhad tapi dalam berkumpulan.

Ini adalah kerana kumpulan jahat selalunya rasa bersemangat apabila mereka ramai. Semangat memang lain macam apabila ramai. Tapi Allah beritahu yang walaupun mereka sangka mereka sudah ramai, tapi senang sahaja Allah musnahkan mereka. Maka Allah beri peringatan kepada Musyrikin Mekah dan mana-mana kumpulan yang hendak menentang ajaran tauhid.


 

Sad Ayat 14:

إِن كُلٌّ إِلّا كَذَّبَ الرُّسُلَ فَحَقَّ عِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Each of them denied the messengers, so My penalty was justified.

(MELAYU)

Semua mereka itu tidak lain hanyalah mendustakan rasul-rasul, maka pastilah (bagi mereka) azab-Ku.

 

إِن كُلٌّ إِلّا كَذَّبَ الرُّسُلَ

Semua mereka itu tidak lain hanyalah mendustakan rasul-rasul,

Allah beritahu kenapa mereka itu semua dimusnahkan. Ia adalah kerana mereka mengatakan Rasul mereka berdusta dan tidak mahu menerima ajaran Rasul mereka.

 

فَحَقَّ عِقابِ

maka pastilah (bagi mereka) azab-Ku.

Maka balasan kepada mereka adalah kehancuran total. Apabila Allah buat keputusan untuk beri azab, maka tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya. Maka Allah beri peringatan kepada Musyrikin Mekah waktu itu kerana mereka masih lagi ada peluang untuk menyelamatkan diri mereka. Janganlah jadi seperti kaum-kaum terdahulu.

Habis Ruku’ 1 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Sad Ayat 15:

وَما يَنظُرُ هٰؤُلاءِ إِلّا صَيحَةً وٰحِدَةً مّا لَها مِن فَواقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And these [disbelievers] await not but one blast [of the Horn]; for it there will be no delay.¹

  • Or “respite.” More literally, “a period between two milkings of a she-camel,” which also alludes to the meanings of “return” or “repetition.”

(MELAYU)

Tidaklah yang mereka tunggu melainkan hanya satu teriakan saja yang tidak ada baginya waktu tangguh.

 

وَما يَنظُرُ هٰؤُلاءِ إِلّا صَيحَةً وٰحِدَةً

Tidaklah yang mereka tunggu melainkan hanya satu teriakan sahaja

Mereka itu degil sangat dan tidak mahu nak buka minda mereka kepada kebenaran. Yang mereka tunggu hanyalah sangkakala kedua sahaja iaitu apabila dibangkitkan dari mati mereka. Waktu itulah mereka baru nak terima kebenaran.

 

مّا لَها مِن فَواقٍ

yang tidak ada baginya saat berselang.

Waktu itu sudah terlambat. Kerana tidak ada tangguh lagi bagi mereka. Apabila mereka dikenakan dengan azab nanti, tidak ada rehat untuk mereka.


 

Sad Ayat 16: Ayat syikayah. Allah menceritakan kedegilan mereka dan kata-kata mereka yang menunjukkan kedegilan mereka itu dan betapa kurang ajarnya mereka.

وَقالوا رَبَّنا عَجِّل لَّنا قِطَّنا قَبلَ يَومِ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “Our Lord, hasten for us our share [of the punishment] before the Day of Account.”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami cepatkanlah untuk kami azab yang diperuntukkan bagi kami sebelum hari berhisab”.

 

وَقالوا رَبَّنا عَجِّل لَّنا قِطَّنا

Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami cepatkanlah untuk kami azab yang diperuntukkan bagi kami

Mereka mengejek Rasulullah. Nabi telah beritahu yang mereka akan kena azab kalau mereka menentang kebenaran. Mereka ejek dengan minta dicepatkan azab itu kalau memang benar ada. Mereka berani kata begitu kerana mereka tidak percaya mereka akan kena azab.

Kalimah قِطَّنا dari katadasar ق ط ط yang bermaksud potong. Apabila dipotong, ada bahagian, bukan? Maka mereka nak kata bagilah kepada mereka segera ‘bahagian’ dari azab yang patut dikenakan kepada mereka itu. Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka.

 

قَبلَ يَومِ الحِسابِ

sebelum hari berhisab”.

Mereka angkuh sungguh. Mereka kata tak payah tunggu hari Kiamatlah… beri sekarang sahaja bahagian azab mereka.

Qatadah menambahkan, bahawa ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya.

{اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ}

Ya Allah, jika betul (Al-Qur’an) ini yang benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah azab yang pedih. (Al-Anfal: 32)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 Jun 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi