Tafsir Surah Furqan Ayat 56 – 60 (Tiada upah dalam mengajar)

Ayat 56: Ini adalah jawapan kepada golongan Musyrikin yang meminta azab ataupun meminta mukjizat kepada Rasulullah. Tak perlu layan mereka sangat. Kerana tugas baginda adalah beri peringatan dan beri ancaman, bukan untuk melayan permintaan mereka.

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا مُبَشِّرًا وَنَذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have not sent you, [O Muḥammad], except as a bringer of good tidings and a warner.

(MELAYU)

Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan.

 

Kalau ayat sebelum ini Allah memberitahu bahawa orang kafir itu sentiasa akan membelakangi Allah, maka mungkin Rasulullah terfikir: buat apa lagi baginda hendak berdakwah?

Maka Allah memberitahu kepada baginda dan juga para pendakwah di dalam ayat ini yang tugas baginda dan para pendakwah hanyalah untuk sampaikan saja berita gembira dan peringatan. Dan selepas itu serahkan sahaja kepada Allah. Kalau kita sudah berdakwah tetapi manusia tidak mahu dengar, jangan kisahkan kerana itu bukan kerja kita. Kerana kita dapat nak buka hati manusia, hanya Allah sahaja yang buat begitu.

Beri khabar gembira kepada mereka yang mahu beriman. Dan kena mulakan dengan beri khabar gembira dahulu. Dalam dakwah kena mula dengan lembut, jangan terus beri ancaman.

Kepada mereka yang tidak mahu beriman, berikan mereka dengan peringatan ancaman dari Allah kepada mereka. Ini apabila kita lihat mereka degil tidak mahu dengar nasihat yang diberikan. Maka kena bagi mereka takut sikit dengan ancaman.


 

Ayat 57: Tugas Rasul dan pendakwah adalah sampaikan, bukan cari kekayaan dengan jalan mengajar.

قُل ما أَسئلُكُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ إِلّا مَن شاءَ أَن يَتَّخِذَ إِلىٰ رَبِّهِ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “I do not ask of you for it any payment – only that whoever wills might take to his Lord a way.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya.

 

قُل ما أَسئلُكُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ

Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu,

Kalimah ما dalam ayat ini menolak tuduhan Musyrikin Mekah yang kata Rasulullah nak upah dan harta dengan mengaku sebagai Rasul. Maka Allah suruh Nabi tolak hujah mereka itu.

Mana mungkin mereka boleh tuduh baginda mahukan harta kerana baginda tidak pernah minta apa-apa upah pun dari mereka. Maka tuduhan mereka itu hanyalah tuduhan kosong sahaja.

Upah itu bukan sahaja di dalam bentuk kebendaan tetapi juga kerana hendak masyhur (terkenal). Kerana ada golongan yang sudah kaya raya dan tidak memerlukan duit orang lain tetapi yang mereka mahukan adalah pengaruh. Mereka nak jadi orang terkenal dan dipandang mulia. Kalau ada apa-apa hal, supaya dicari orang untuk dapatkan khidmat nasihat. Ini pun bahaya juga.

Maka ini mengajar kita yang kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar. Amat banyak ayat-ayat tentang perkara ini. Kita kena ikhlas dalam mengajar dan jangan letakkan harga yuran yang pelajar kena beri. Jangan kita cari pendapatan dengan mengajar agama dan Al-Qur’an kepada manusia. Kalau kita letakkan harga yuran, bagaimana orang miskin hendak belajar?

 

إِلّا مَن شاءَ أَن يَتَّخِذَ إِلىٰ رَبِّهِ سَبيلًا

melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya.

Yang baginda harap adalah mereka kembali kepada Allah. Baginda nak mereka selamat sahaja dari neraka dengan meninggalkan amalan syirik. Kerana baginda amat sayang kepada mereka.


 

Ayat 58: Ayat tasliah

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ وَسَبِّح بِحَمدِهِ ۚ وَكَفىٰ بِهِ بِذُنوبِ عِبادِهِ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And rely upon the Ever-Living who does not die, and exalt [Allāh] with His praise. And sufficient is He to be, with the sins of His servants, Acquainted –

(MELAYU)

Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa-dosa hamba-hamba-Nya.

 

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ

Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati,

Dalam dakwah, tentu ada halangan. Tentu ada penentang yang tidak suka dengan apa yang kita sampaikan. Begitu jugalah dengan Nabi Muhammad yang ditentang dan dituduh dengan macam-macam tohmahan. Maka Allah suruh baginda bertawakal (serah diri) sahaja kepada Allah.

Allah menyuruh Nabi untuk tidak berharap kepada manusia yang akan mati dan hanya berharap kepada Allah yang tetap kekal hidup. Serahkan pengharapan kepada Allah sahaja. Kerana selain dari Allah semua akan mati sahaja. Buat apa nak berharap kepada seseorang yang akan mati, sedangkan ada Allah yang sentiasa hidup dan tidak akan mati-mati?

 

وَسَبِّح بِحَمدِهِ

dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. 

Dan jikalau kamu ditimpa dengan kesusahan apa pun, maka pujilah Allah di atas nikmat iman dan nikmat wahyu yang telah diberikannya kepada kamu ini. Maknanya, hati kena tawakal kepada Allah dan mulut kena sebut Tasbih.

Maka kalau ditentang oleh manusia dalam dakwah kita, jangan ambil hati sangat. Jangan terkesan sangat dan layan perasaan dengan penolakan mereka. Sebaliknya sibukkan diri dengan amal ibadat. Kalimah ‘tasbih’ dalam ayat ini boleh bermaksud melakukan amal ibadat.

 

وَكَفىٰ بِهِ بِذُنوبِ عِبادِهِ خَبيرًا

Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa-dosa hamba-hamba-Nya.

Cukuplah kita tahu yang Allah tahu segala perbuatan manusia termasuk dosa-dosa yang mereka lakukan. Dosa orang lain tak payah nak kiralah, bagi Allah sahaja kira. Maka kalau orang menolak kita, maka tidak perlu nak sibuk sangat, serah kepada Allah sahaja. Allah tahu bagaimana nak kira hal mereka.

Sibukkan diri kita dengan memperbanyakkan pahala dan tak payah sibuk tentang mengira dosa orang lain kerana Allah yang akan mengira dosa-dosa mereka itu. Tugas kita hanya sampaikan dakwah sahaja.


 

Ayat 59: Kenapa kena tawakal kepada Allah? Siapakah Allah itu dan apakah sifatNya?

الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ ۚ الرَّحمٰنُ فَاسأَل بِهِ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He who created the heavens and the earth and what is between them in six days and then established Himself above the Throne¹ – the Most Merciful, so ask about Him one well informed [i.e., the Prophet (ṣ)].

  • See footnote to 2:19.

(MELAYU)

Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.

 

الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما في سِتَّةِ أَيّامٍ

Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa,

Kita kena serah diri bertawakal kepada Allah kerana Dia yang Maha Berkuasa. Allah itu yang maha berkuasa dan Dialah yang telah mencipta alam ini dalam enam masa. Kita tidak tahu berapa lama Allah ambil masa itu kerana ia termasuk perkara ghaib. Maka sekarang Allah beritahu yang Dia telah menjadikan alam ini dalam enam masa.

 

ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ

kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy,

Selepas Allah cipta langit, bumi dan alam ini, Allah istiwa di ArashNya. Kita tidak tahu apakah maksud istiwa itu dengan sebenarnya. Bahasa Melayu kita pun tidak dapat menterjemahkan perkataan ini. Maka yang selalu digunakan adalah ‘bersemayam’, walaupun itu bukanlah kalimah yang tepat.

Istiwa tidak perlu untuk kita bincangkan dengan panjang lebar kerana akal kita tidak akan mampu untuk memahaminya. Ada benda-benda lain lagi yang perlu untuk diperbincangkan untuk menambah iman kita dan tentang perkara istiwa ini tidak perlu untuk kita fikirkan.

Malangnya ramai yang pendek akal dan berbincang panjang tentang perkara ini dan menyesatkan mereka yang tidak sefahaman dengan mereka. Ini adalah perkara yang amat jelek sekali.

 

الرَّحمٰنُ

Yang Maha Pemurah,

Allah menggunakan nama sifatnya ar-Rahman di dalam ayat ini untuk memberi isyarat kepada kita yang walaupun Allah memerintah di Arasy tetapi Allah tidak memerintah dengan zalim tetapi dengan sifat Rahman iaitu Maha Pengasih.

Allah memberitahu yang Dia bersifat Rahman di dalam ayat ini membawa maksud Allah yang menguruskan segala-galanya dengan sifat rahmah (kasih sayang). Segala keperluan kita diberiNya walaupun ada yang melakukan syirik.

 

فَاسأَل بِهِ خَبيرًا

maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui tentang Dia.

Maka kalau nak kenal Allah, maka tanyalah tentang Allah SWT kepada orang yang tahu berkenaanNya.

Mujahid telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui tentang Dia. (Al-Furqan: 59)  Yakni apa pun yang diberitakan kepadamu oleh kalimat Tuhanmu, maka hal itu seperti apa yang diberitakannya kepadamu. Hal yang sama telah dikatakan oleh Ibnu Juraij.

Maknanya, kena rujuk wahyu untuk kenal Allah. Kerana Allah yang memperkenalkan DiriNya kepada kita dalam wahyu. Sama ada dalam Al-Qur’an atau dalam hadith. Kerana Nabi Muhammad paling kenal Allah dan beritahu kepada kita tentangNya.

Maka bukannya dengan belajar kenal Allah dengan menggunakan akal dan juga bukannya dengan banyak berzikir dengan ilmu khayalan seperti yang banyak dilakukan oleh golongan Sufi Tarekat. Mereka itu golongan yang amat jahil dan mereka-reka pemahaman tentang Allah.


 

Ayat 60: Allah beritahu yang salah satu NamaNya adalah ar-Rahman. Tapi lihatlah apa kata Musyrikin Mekah apabila disebut kepada mereka.

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اسجُدوا لِلرَّحمٰنِ قالوا وَمَا الرَّحمٰنُ أَنَسجُدُ لِما تَأمُرُنا وَزادَهُم نُفورًا ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Prostrate to the Most Merciful,” they say, “And what is the Most Merciful? Should we prostrate to that which you order us?” And it increases them in aversion.

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Sujudlah kamu sekalian kepada yang Maha Penyayang”, mereka menjawab: “Siapakah yang Maha Penyayang itu? Apakah kami akan sujud kepada Tuhan Yang kamu perintahkan kami(bersujud kepada-Nya)?”, dan (perintah sujud itu) menambah mereka jauh (dari iman).

 

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اسجُدوا لِلرَّحمٰنِ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Sujudlah kamu sekalian kepada yang Maha Penyayang”, 

Kalau Raja naik tahta, maka rakyat akan disuruh untuk memberi tunduk hormat kepada raja itu. Dan tadi Allah telah sebut yang Dia istiwa di Arash. Itu seperti Raja yang sedang naik tahta. Maka Allah adalah Raja segala Raja maka bagaimanakah cara kita untuk menunjukkan rasa hormat dan takjub kita kepada Allah jika tidak dengan cara sujud?

Maka Rasulullah suruh Arab Mekah itu beriman kepada Allah dan sujud kepadaNya sahaja. Dan Allah suruh Nabi gunakan NamaNya Ar-Rahmaan.

 

قالوا وَمَا الرَّحمٰنُ

mereka menjawab: “Siapakah yang Maha Penyayang itu?

Apabila Musyrikin Mekah disuruh sujud kepada Tuhan ar-Rahman, mereka mengejek dengan mengatakan siapakah ‘Rahman’ itu? Mereka kenal nama Allah dan mereka kononnya nak kata yang mereka tak kenal ar-Rahman yang baginda sebut-sebut itu. Ini menunjukkan kedegilan mereka.

Mereka mengingkari penamaan Allah dengan sebutan ‘Yang Maha Pemurah’, sebagaimana yang telah mereka lakukan pada hari Perjanjian Hudaibiyah, ketika Nabi Saw. bersabda kepada juru tulisnya, “Tulislah ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.” Maka mereka menjawab, “Kami tidak mengenal Yang Maha Pemurah, dan tidak (pula) Yang Maha Penyayang, tetapi tulislah perjanjian itu sebagaimana yang biasa kamu lakukan, iaitu ‘Dengan menyebut nama­Mu, ya Allah’.” Kerana itulah maka Allah menurunkan firman-Nya:

{قُلِ ادْعُوا اللهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى}

Katakanlah, “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai asma-ul husna (nama-nama yang terbaik). (Al-Isra: 110)

Ini juga menunjukkan yang Musyrikin Mekah itu tidak ada ilmu tentang Allah kerana mereka tahu nama ‘Allah’ tetapi mereka tidak tahu nama sifat Allah seperti sifat Rahman ini sedangkan ini adalah nama kedua bagi Allah. Ia bukanlah entiti yang lain tetapi merujuk kepada Allah lah juga.

 

أَنَسجُدُ لِما تَأمُرُنا

Apakah kami akan sujud kepada Tuhan Yang kamu perintahkan kami(bersujud kepada-Nya)?”

Mereka menolak untuk sujud kepada Tuhan Rahman kerana yang menyuruh mereka lakukan perkara itu adalah Nabi Muhammad dan mereka benci kepada baginda.

Dan mereka tidak mahu nampak seperti mereka ikut arahan baginda walaupun perkara itu baik. Sebagai contoh jika kita ada adik beradik yang kita sedang marah dan mereka suruh kita melakukan sesuatu perkara kita tidak akan melakukannya kerana jika kita melakukannya, walaupun ianya memang benda yang kita suka, ia akan nampak seolah-olah kita ikut cakap mereka.

Maka kita akan tolak arahan itu walaupun ia adalah benda baik dan kalau dalam keadaan lain, kita akan buat pun. Begitulah degilnya mereka.

 

وَزادَهُم نُفورًا

dan (perintah sujud itu) menambah mereka jauh (dari iman).

Mereka jadi ganas selepas itu. Kalimah نفور digunakan batallion yang pergi untuk berperang. Allah memberitahu bahawa kata-kata mereka itu menyebabkan mereka menjadi sangat agresif seperti tentera yang hendak menyerang puak musuh. Kerana mereka tolak, perangai mereka jadi lagi buruk.

Atau ia bermaksud ajakan Rasulullah itu bukan mendekatkan mereka kepada Allah tetapi menyebabkan mereka menjadi semakin liar.

Nota: Ini adalah Ayat Sajdah. Disunatkan untuk sujud tilawah selepas baca ayat ini. Musyrikin Mekah tidak mahu sujud, maka kita tunjukkan iman kita dengan sujud kepada Allah.

Habis Ruku’ 5 dari 6 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Furqan Ayat 50 – 55 (Jihad dengan Qur’an)

Ayat 50:

وَلَقَد صَرَّفنٰهُ بَينَهُم لِيَذَّكَّروا فَأَبىٰ أَكثَرُ النّاسِ إِلّا كُفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly distributed it among them that they might be reminded,¹ but most of the people refuse except disbelief.

  • Of Allāh’s ability to bring the dead to life.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mempergilirkan hujan itu diantara manusia supaya mereka mengambil pelajaran (daripadanya); maka kebanyakan manusia itu tidak mahu kecuali mengingkari.

 

وَلَقَد صَرَّفنٰهُ بَينَهُم لِيَذَّكَّروا

Dan sesungguhnya Kami telah mempergilirkan hujan itu diantara manusia supaya mereka mengambil pelajaran (dari padanya);

Allah ubah angin itu sekejap ke sana dan sekejap ke sini untuk menyampaikan air hujan ke banyak tempat. Dan ini memberi isyarat bagaimana Al-Qur’an itu memperjelaskan perkara agama dengan berbagai-bagai cara. Allah hurai dengan berbagai-bagai cara supaya manusia boleh tahu dan yakin.

Mulanya dengan tahu kemudian barulah jadi yakin. Sebab keyakinan itu bukan terus dapat tapi kena tambah sedikit demi sedikit. Maka kerana itulah kita kena mula belajar tafsir Al-Qur’an dan selalu baca supaya kita dapat keyakinan.

Kerana cara Allah begitu, maka kita boleh lihat bagaimana ada ayat yang diulang-ulang menceritakan perkara yang sama supaya manusia boleh mengambil peringatan dan pengajaran daripada Al-Qur’an itu. Allah ajar dalam berbagai cara kerana ada orang faham dengan cara begini dan ada orang yang hanya boleh faham dengan cara begitu.

Dan Allah sentiasa ulang kerana apabila selalu disebut, manusia senang nak ingat. Kerana itu kalau di sekolah, akan diulang-ulang pelajaran yang sama supaya anak murid boleh faham.

 

فَأَبىٰ أَكثَرُ النّاسِ إِلّا كُفورًا

maka kebanyakan manusia itu tidak mahu kecuali mengingkari.

Tetapi ada manusia yang keras hati mereka untuk tetap berada di dalam kekufuran. Mereka inilah jenis manusia yang degil, tidak mahu buka hati dan fikiran mereka. Akhirnya mereka jadi kufur.


 

Ayat 51: Ayat tasliah.

وَلَو شِئنا لَبَعَثنا في كُلِّ قَريَةٍ نَّذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We had willed, We could have sent into every city a warner.¹

  • However, Allāh willed that Prophet Muḥammad (ṣ) be sent as the final messenger for all peoples of the earth until the Day of Resurrection.

(MELAYU)

Dan andaikata Kami menghendaki, benar-benarlah Kami utus pada tiap-tiap negeri seorang yang memberi peringatan (rasul).

 

Allah beritahu yang kalau Dia kehendaki, Dia boleh berikan seorang Rasul untuk setiap kampung. Akan tetapi Allah tidak jadikan begitu kerana Allah menghantar Rasul itu di ibu negara atau ibu kota sahaja. Kerana orang-orang yang tinggal di pedalaman akan mengikut apa yang dilakukan oleh orang-orang yang di bandar.

Tidak perlu setiap pekan dan kampung ada Rasul masing-masing. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

{وَلِتُنْذِرَ أُمَّ الْقُرَى وَمَنْ حَوْلَهَا}

dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah) dan orang-orang yang di luar lingkungannya. (Al-An’am: 92)

Begitulah kawasan pedalaman – kerana itulah kalau fesyen dan cara hidup di pekan, lama kelamaan ia akan sampai ke kampung dan Felda juga. Kerana pemasaran banyak dilakukan di bandar sahaja kerana pemasar tahu yang lama kelamaan kalau benda baru itu melekat di bandar, ia akan sampai ke kampung dan pedalaman juga.

Jadi Allah tidak bangkitkan banyak Rasul dan juga pendakwah. Kerana itu kadang-kadang kita rasa macam kita seorang sahaja nak bawa tafsir Al-Qur’an dan ajaran Al-Qur’an ini. Tak ramai yang suka untuk belajar dan tak ramai yang mengajar. Maka kalau kita rasa begitu, maka bayangkan Rasulullah pada mulanya, baginda rasa seorang diri sahaja dalam dunia ini.

Memang waktu itu tidak ada Nabi lain untuk baginda bawa berbincang atau bertolongan. Tapi baginda telah berusaha dengan gigih dan akhirnya berjaya mendapat para sahabat yang membantu baginda. Tapi pada mulanya, baginda memang rasa keseorangan, dan baginda rasa kalau ada Nabi lain, senang sikit tugas baginda.

Maka kerana itu Allah jawab dalam ayat ini sebagai tasliah. Allah naikkan baginda seorang sahaja sebagai satu kedudukan tertinggi. Baginda menjadi Rasul akhir zaman untuk sampaikan ajaran tauhid ini kerana tidak ada Nabi atau Rasul yang lain. Maka sampai bila-bila ajaran bagindalah yang akan dipakai oleh manusia sampai ke kiamat kelak.

Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi kepada baginda. Dan dalam hadis  di dalam kitab Sahihain disebutkan:

“وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً”

Dahulu nabi diutus khusus hanya kepada kaumnya saja, sedangkan aku diutus untuk seluruh umat manusia.


 

Ayat 52:

فَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَجٰهِدهُم بِهِ جِهادًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So do not obey the disbelievers, and strive against them with it [i.e., the Qur’ān] a great striving.

(MELAYU)

Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Qur’an dengan jihad yang besar.

 

فَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ

Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir,

Jangan terpengaruh dengan cara hidup orang-orang kafir. Memang cara hidup mereka nampak gembira dan menyenangkan kerana tidak perlu fikir banyak, hidup untuk bersukaria sahaja. Tapi Allah nak beritahu yang cara hidup dan pegangan mereka itu salah. Maka jangan terpengaruh dengan cara hidup mereka.

 

وَجٰهِدهُم بِهِ جِهادًا كَبيرًا

dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Qur’an dengan jihad yang besar.

Dan jangan biarkan mereka dalam keadaan begitu. Kita kena jalankan tugas dakwah kita. Kita kena berusaha ‘berjihad’ dengan mereka tapi dengan menggunakan Al-Qur’an.

Inilah yang dimaksudkan dengan جِهادًا كَبيرًا ‘jihad besar’ dan ia bukan melibatkan peperangan dan pedang, tetapi jihad ini adalah jihad untuk menyampaikan Al-Qur’an kepada manusia. Inilah jihad yang lebih besar.

‘Jihad’ maksudnya berlawan dengan musuh kita dengan menggunakan apa sahaja yang kita ada. Dan senjata apa yang kita ada di tangan kita kalau bukan Al-Qur’an? Jadi usaha yang dimaksudkan adalah berusaha untuk menyampaikan Al-Qur’an ini kepada sebanyak mungkin manusia dan berusaha untuk menjawab soalan-soalan mereka dan tohmahan-tohmahan yang dikeluarkan oleh mereka yang menentang.

Kalimat جِهادًا كَبيرًا juga bermaksud jihad dengan ‘jiwa yang besar’. Iaitu kena kuatkan semangat dan diri kita untuk berjihad menyampaikan ajaran Al-Qur’an ini.

Maka bukanlah apabila disebut ‘jihad’ sahaja, sudah fikir kena perangi dan bunuh orang kafir. Ini adalah fahaman yang salah. Kerana salah faham beginilah ada orang gila dan ulama gila yang suruh letupkan bom di tengah-tengah bandar dan tempat manusia. Ini memang karut sekali – belum beri dakwah dan terus bom?

Maka janganlah kita sokong perkara bodoh seperti itu. Kerana jihad bukan dengan pedang dan senjata sahaja, tapi jihad yang lebih penting adalah dengan ilmu. Dan lebih tepat lagi, dengan ilmu Al-Qur’an. Jihad perang itu sebenarnya hendak memberi ruang untuk kita sampaikan ajaran Al-Qur’an sebenarnya. Dan inilah maksud ayat ini. Tambahan pula ayat ini adalah Ayat Makkiyyah jadi bukan jihad qital yang dimaksudkan.

Maka kena sebar Al-Qur’an dengan apa cara yang kita boleh. Sekarang zaman teknologi dan pembelajaran boleh dilakukan dengan berbagai-bagai cara. Dengan guna media pun sudah boleh sampaikan maklumat kepada ramai orang dari rumah sahaja. Sekarang sudah mula ustaz-ustaz yang menggunakan WhatsApp dan Telegram untuk berdakwah. Maka kita hendaklah ambil peluang menggunakan teknologi selagi boleh.

Maka kita pun boleh gunakan aplikasi apa yang ada. Asalkan mesej kita sampai kepada seramai orang yang mungkin. Dan salah satunya dengan menggunakan penulisan seperti blog, FB dan di media lain kerana dengan cara itu senang untuk disampaikan kepada manusia. Awak yang membaca ini pun boleh berdakwah, cuma sampaikan apa yang awak baca di sini. Tak susah, kan?


 

Ayat 53: Dalil Aqli.

۞ وَهُوَ الَّذي مَرَجَ البَحرَينِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ وَجَعَلَ بَينَهُما بَرزَخًا وَحِجرًا مَّحجورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who has released [simultaneously] the two seas [i.e., bodies of water], one fresh and sweet and one salty and bitter, and He placed between them a barrier and prohibiting partition.

(MELAYU)

Dan Dialah yang membiarkan dua laut yang mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.

 

وَهُوَ الَّذي مَرَجَ البَحرَينِ

Dan Dialah yang membiarkan dua laut yang mengalir (berdampingan);

Allah membiarkan dua laut yang berbeza sifatnya mengalir dan akhir bertemu. Semasa mengalir itu keduanya mengalir bersebelahan tapi tidak bertemu pada mulanya.

Satu lagi tafsir, bukan mengalir bersebelahan, tapi kedua-dua jenis air itu mengalir berlainan. Ada air jenis sungai dan ada air jenis laut.

 

هٰذا عَذبٌ فُراتٌ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ

yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit;

Satu air sifatnya عَذبٌ segar dan sedap – jenis sedap yang kalau kita tak dahaga pun nak minum juga. Dan kalimah فُراتٌ bermaksud ‘banyak’. Ini boleh dimaksudkan air sungai.

Dan satu lagi air mengandungi air yang tidak sedap dan rasa pahit. Ini boleh dimaksudkan air laut kerana air laut masin dan tidak boleh diminum.

Tapi memang ada kelebihan kenapa air laut itu masin kerana di dalam laut itu banyak benda mati dan kena ada garam untuk menghilangkan bau busuk bangkai-bangkai itu. Dan Allah jadikan laut bergelora supaya bangkai-bangkai itu tidak mendap sahaja di dasar laut.

Begitulah hebatnya laut itu. Kerana itu kita boleh makan hasil dari laut. Seperti sabda baginda:

“هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الْحِلُّ مَيْتَتُهُ”.

Laut itu bersih airnya lagi halal bangkainya.

Jadi di dunia ini ada air jenis tawar dan ada air jenis masin. Dan kedua-dua air itu berlanggaran sesama sendiri.

Atau, air itu mengalir bersendirian, tapi adakah mereka akan bercampur?

 

وَجَعَلَ بَينَهُما بَرزَخًا وَحِجرًا مَّحجورًا

dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.

Dua jenis air itu walaupun berlanggaran atau kedua-duanya mengalir tetapi tidak bercantum kerana ada lapisan di antara keduanya. Allah adakan penghalang yang menghalang dari keduanya bercantum. Kerana kalau laut dan sungai itu memang ada batasan tanah, gunung antara keduanya.

Keadaan ini juga disebut di dalam surah Rahman.

{مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ * بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لَا يَبْغِيَانِ * فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ}

Dia membiarkan dua lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu, antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Rahman: 19-21)

Kenapa Allah ceritakan tentang air pula? Kerana Allah hendak memberi isyarat bahawa antara haq dan batil tidak akan bercantum dan kerana itu kita kena berhati-hati di dalam kita berurusan dengan manusia kerana ada jenis orang kafir yang pandai bermuka-muka dan kononnya mereka hendakkan kebaikan untuk kita tetapi sebenarnya tidak.

Pemisah antara kita dan mereka adalah Al-Qur’an itu sendiri dan di awal surah ini Allah memberitahu bahawa Dia telah menurunkan ‘Furqan’ iaitu pun beza antara yang haq dan yang bathil.

Mungkin ada juga yang menggunakan ayat ini untuk menunjukkan hebatnya Al-Qur’an kerana menceritakan tentang kejadian alam yang tentunya Nabi Muhammad sendiri tidak mengalaminya.

Maknanya, baginda boleh memberitahu tentang perkara ini kerana ia adalah mukjizat yang diturunkan dari Allah. Walaupun perkara ini mungkin benar, tetapi kita bukanlah tengok perkara ini sangat kerana kita hendak mengambil pengajaran dari ayat ini dan bagaimana kita boleh mengamalkannya di dalam kehidupan kita seharian.


 

Ayat 54: Tadi disebut tentang air, dan sekarang disebut air lain pula.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ مِنَ الماءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهرًا ۗ وَكانَ رَبُّكَ قَديرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who has created from water [i.e., semen] a human being and made him [a relative by] lineage and marriage. And ever is your Lord competent [concerning creation].

(MELAYU)

Dan Dia (pula) yang menciptakan manusia dari air lalu Dia jadikan manusia itu (punya) keturunan dan mushaharah dan adalah Tuhanmu Maha Kuasa.

 

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ مِنَ الماءِ بَشَرًا

Dan Dia (pula) yang menciptakan manusia dari air

Dan manusia dijadikan dari air juga, tapi jenis air yang lain iaitu air mani. Dari sperma yang ada dalam air itu kita ini dijadikan.

Atau ia juga boleh bermaksud kejadian kita ini 90% daripada tubuh kita adalah terdiri dari air. Komposisi ini sama sahaja dengan dunia ini kerana dunia ini 90% adalah air.

 

فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهرًا

lalu Dia jadikan manusia itu (punya) keturunan dan mushaharah

Jadi dengan air itu Allah jadikan talian nasab sesama kita. Dan juga darinya boleh ada talian mertua dari perkahwinan. Ada beza antara keduanya kerana nasab adalah percampuran keluarga berdasarkan daripada darah, dan mushaharah ada percampuran keluarga kerana perkahwinan.

 

وَكانَ رَبُّكَ قَديرًا

dan adalah Tuhanmu Maha Kuasa.

Allah sentiasa mampu untuk melakukan apa sahaja. Allah boleh menjadikan apa sahaja dari alam ini. Di dunia ini manusia terjadi disebabkan oleh persetubuhan tetapi di akhirat kelak Allah boleh jadikan bidadari dan pelayan di syurga tanpa persetubuhan dan kehamilan pun. Allah boleh jadikan dengan QudratNya.


 

Ayat 55: Dari ayat ini sehingga ke ayat 62 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengajak kita terus tawakal, tasbih dan sujud untuk menegakkan dan menyebarkan agama tauhid.

وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ ما لا يَنفَعُهُم وَلا يَضُرُّهُم ۗ وَكانَ الكافِرُ عَلىٰ رَبِّهِ ظَهيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they worship rather than Allāh that which does not benefit them or harm them, and the disbeliever is ever, against his Lord, an assistant [to Satan].

(MELAYU)

Dan mereka menyembah selain Allah apa yang tidak memberi manfaat kepada mereka dan tidak (pula) memberi mudharat kepada mereka. Adalah orang-orang kafir itu penolong (syaitan untuk berbuat durhaka) terhadap Tuhannya.

 

وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ

Dan mereka menyembah selain Allah

Tapi setelah diberitahu kekuasaan dan kehebatan Allah itu, masih ada lagi manusia yang tetap nak menyembah selain dari Allah. Ini adalah mereka yang jenis kafir degil. Sudah tahu kebenaran, tapi mereka masih tidak mahu beriman.

 

ما لا يَنفَعُهُم وَلا يَضُرُّهُم

apa yang tidak memberi manfaat kepada mereka dan tidak (pula) memberi mudharat kepada mereka. 

Apa yang mereka sembah itu tidak boleh beri manfaat pun. Kalau ada manfaat, masuk akal juga kalau disembah, bukan? Tapi tidak ada langsung manfaat dari penyembahan itu.

Dan kalau tidak disembah pun, ilah-ilah itu tidak dapat beri mudharat pun. Maka apalah yang mereka takut sampai mereka rasa mereka kena sembah? Kalau ada manfaat dan mudharat, bolehlah buat kira kenapa nak disembah, bukan? Tapi manfaat tak boleh diberi, mudharat pun tidak ada.

 

وَكانَ الكافِرُ عَلىٰ رَبِّهِ ظَهيرًا

Adalah orang-orang kafir itu penolong (syaitan untuk berbuat durhaka) terhadap Tuhannya.

Kalimah ظهر bermaksud ‘belakang’. Maknanya orang-orang kafir itu apabila berkenaan dengan Allah, mereka telah membelakangkan diri. Mereka tidak mahu terima, maka mereka membelakangkan diri mereka.

Juga boleh bermaksud, mereka bertolong-tolongan dalam menentang Allah. Ini kerana kalimah ظَهيرًا itu juga boleh diterjamahkan sebagai ‘tulang belakang’ dan selalu digunakan untuk mereka yang bertolongan. Dan maksudnya mereka membantu sesama mereka dalam kesesatan dan menentang Islam. Dan juga tolong menolong syaitan dalam usaha mereka hendak menjatuhkan agama Tauhid.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Furqan Ayat 44 – 49 (Perumpamaan bayang)

Ayat 44:

أَم تَحسَبُ أَنَّ أَكثَرَهُم يَسمَعونَ أَو يَعقِلونَ ۚ إِن هُم إِلّا كَالأَنعٰمِ ۖ بَل هُم أَضَلُّ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you think that most of them hear or reason? They are not except like livestock.¹ Rather, they are [even] more astray in [their] way.

  • i.e., cattle or sheep, that follow without question wherever they are led.

(MELAYU)

atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).

 

أَم تَحسَبُ أَنَّ أَكثَرَهُم يَسمَعونَ أَو يَعقِلونَ

atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami?

Adakah kamu sangka yang orang yang degil itu dengar apa yang kamu katakan dan faham apa yang kamu sampaikan? Adakah kamu sangka yang mereka akan ikut apa yang kamu dakwah mereka?

 

إِن هُم إِلّا كَالأَنعٰمِ

Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak,

Mereka tidak mendengar dan tidak mengikut dakwah kita, kerana mereka itu seperti binatang ternak sahaja yang tidak memahami apa-apa kalau kita bercakap kepada mereka.

Ini adalah penghinaan dari Allah kepada mereka yang jauh dari ajaran wahyu. Allah samakan mereka dengan binatang. Macam binatang kalau kita laung kepadanya, dia dengar tapi dia tidak faham, bukan?

Ini adalah kerana mereka itu hanya mengikut kehendak hati dan nafsu mereka dan tidak menggunakan akal mereka lagi. Kerana walaupun mereka dengar apa yang kita cakap, tetapi mereka tidak masuk ke dalam otak dan hati mereka kerana ianya telah penuh dengan hawa nafsu iaitu kehendak mereka.

 

بَل هُم أَضَلُّ سَبيلًا

bahkan mereka lebih sesat jalannya 

Kemudian Allah kata mereka itu lebih teruk dari binatang kerana binatang ternak itu bila kita panggil, mahu juga mereka melihat kepada kita. Dan jikalau kita paksa mereka, binatang itu ikut juga untuk masuk ke kandang dan sebagainya.

Tetapi manusia yang degil dan ikut nafsu sahaja, memang tidak ada harapan. Bukan sahaja mereka tidak mengikut kita, malah mereka menentang dan mengutuk kita pun ada. Kerana itu Allah kata mereka itu lagi teruk dari binatang.

Habis Ruku’ 4 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 45: Dari ayat ini sehingga ke ayat 54 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi Dalil Afaqi dan Anfusi untuk jihad dakwah. Allah menjelaskan beberapa ciptaanNya seperti bayang-bayang dan cahaya matahari, angin, hujan, malam dan siang, air laut yang berlainan tidak bercampur kerana adanya batas barzakh. Juga penciptaan manusia daripada air mani.

Ayat 45 ini adalah ayat dalil aqli. Allah cerita tentang bayang-bayang.

أَلَم تَرَ إِلىٰ رَبِّكَ كَيفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَو شاءَ لَجَعَلَهُ ساكِنًا ثُمَّ جَعَلنَا الشَّمسَ عَلَيهِ دَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered your Lord – how He extends the shadow, and if He willed, He could have made it stationary? Then We made the sun for it an indication.¹

  • i.e., showing the existence of a shadow or making it apparent by contrast.

(MELAYU)

Apakah kamu tidak memperhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang dan kalau Dia menghendaki nescaya Dia menjadikan tetap bayang-bayang itu, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk atas bayang-bayang itu,

 

أَلَم تَرَ إِلىٰ رَبِّكَ كَيفَ مَدَّ الظِّلَّ

Apakah kamu tidak memperhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang

Bayang adalah gelap dan ia mengingatkan kita kepada kegelapan malam. Dan apabila bayang itu semakin memanjang ia memberi isyarat bahawa semakin mendekati malam. Kerana matahari akan semakin rendah dan apabila kedudukannya semakin rendah, bayang-bayang akan menjadi semakin panjang, bukan?

 

وَلَو شاءَ لَجَعَلَهُ ساكِنًا

dan kalau Dia menghendaki nescaya Dia menjadikan tetap bayang-bayang itu, 

Allah berkuasa ke atas bayang-bayang itu. Maksudnya Allah boleh terus kekalkan malam sahaja yang ada tanpa ada siang.

Seperti kita tahu, cahaya Al-Qur’an menerangi kegelapan hati manusia. Tetapi ada orang yang masih tetap mahu berada di dalam kegelapan. Allah beritahu yang jikalau Allah hendak, Dia boleh saja membiarkan manusia di dalam kegelapan dengan tidak memberikan wahyu Al-Qur’an langsung. Mereka sampai bila-bila pun tidak akan faham dengan wahyu Allah itu.

 

ثُمَّ جَعَلنَا الشَّمسَ عَلَيهِ دَليلًا

kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk atas bayang-bayang itu,

Kemudian Allah datangkan cahaya matahari sebagai dalil adanya malam. Kerana jikalau tidak ada cerah maka manusia tidak tahu bezanya malam.

Ini memberi isyarat yang Islam itu seperti terang cahaya siang, dan malam itu adalah ibarat kepada kegelapan kufur. Kalau orang yang tidak pernah mengalami siang mesti dia sangka yang kehidupan malam itulah yang normal.

Kalau tidak ada wahyu Al-Qur’an kepada manusia, tentulah manusia tidak tahu yang fahaman dan amalan mereka itu salah. Maka Allah berikan ajaran wahyu ini kepada manusia supaya manusia tahu mana benar dan mana yang tidak. Tapi kita kena belajarlah, jangan baca sahaja tanpa faham apa yang dibaca.


 

Ayat 46:

ثُمَّ قَبَضنٰهُ إِلَينا قَبضًا يَسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We hold it in hand for a brief grasp.¹

  • i.e., when the sun is overhead at noon.

(MELAYU)

kemudian Kami menarik bayang-bayang itu kepada Kami dengan tarikan yang perlahan-lahan.

 

Kemudian Allah menarik bayang itu kepadaNya dan itu adalah mudah sahaja bagi Allah. Ini kerana Allah yang menguasai alam ini. Bayang-bayang pun kena ikut arahan Allah.

Ini memberi isyarat bahawa pertarungan antara hak dan batil (terang dan gelap) sentiasa akan berlaku. Terpulang kepada Allah sama ada membiarkan manusia itu terus berada dalam kegelapan syirik atau menariknya ke arah tauhid. Tapi kita kena ingat, kepada mereka yang mahukan kebenaran, Allah akan menariknya ke arah kebenaran.


 

Ayat 47: Selepas cakap tentang gelap dan terang, Allah sebut tentang siang dan malam pula.

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِباسًا وَالنَّومَ سُباتًا وَجَعَلَ النَّهارَ نُشورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who has made the night for you as clothing¹ and sleep [a means for] rest and has made the day a resurrection.²

  • Covering and concealing you in its darkness.
  • For renewal of life and activity.

(MELAYU)

Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirehat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.

 

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِباسًا

Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, 

Allah yang menjadikan malam itu dan ianya adalah seumpama pakaian atau selimut yang besar yang menutupi kita semua. Kalau dalam selimut, orang lain tak nampak kita, maka begitulah dengan malam. Maka kerana itu ramai yang boleh buat perkara-perkara tak elok di malam hari kerana orang tak nampak.

 

وَالنَّومَ سُباتًا

dan tidur untuk istirehat, 

Dan kerana malam gelap, maka kita boleh tidur. Tidur menjadi waktu istirehat dan memberi kembali tenaga kepada kita. Ini kerana apabila gelap, otak kita akan mengeluarkan melatonin yang akan menyebabkan kita mudah tidur.

Kalimah سُباتًا juga bermaksud ‘ketenangan’. Kita akan lebih tenang di malam hari kerana kita penat dari gerak geri sepanjang hari dan ini akan memberi rehat kepada otak kita.

Bila malam, nak aktif pun susah kerana persekitaran tidak berapa nampak, maka manusia selalunya akan duduk dengan tenang dalam kebeningan malam. Apabila tidur, otak pun boleh rehat. Maka ini memberi isyarat yang kita digalakkan untuk berehat dan tidur di rumah sahaja pada malam hari. Tidak perlu berpeleseran merata-rata dan melepak di kedai mamak bersembang tidak tentu pasal.

 

وَجَعَلَ النَّهارَ نُشورًا

dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.

Dan Allah jadikan siang untuk kita bangun daripada tidur kita. Bila ada cahaya, susah kita nak tidur. Apabila tubuh kita terkena cahaya matahari, maka pengeluaran melatonin akan diberhentikan dan kita akan susah tidur dan terjaga.

Maka kita akan bangun dan waktu inilah senang untuk kita berusaha bekerja mencari rezeki. Ini adalah kerana suasana terang benderang dan mudah untuk buat kerja dan untuk ke mana-mana mencari rezeki.

Allah nak beritahu, malam dan siang itu, Dia yang jadikan. Bukannya siang dan malam itu terjadi sendiri. Ianya terjadi kerana qudrat Allah taala.


 

Ayat 48: Allah sambung menceritakan QudratNya lagi.

وَهُوَ الَّذي أَرسَلَ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً طَهورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who sends the winds as good tidings before His mercy [i.e., rainfall], and We send down from the sky pure water

(MELAYU)

Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih,

 

وَهُوَ الَّذي أَرسَلَ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ

Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); 

Allah menghantar angin sebelum menurunkan hujan sebagai tanda yang hujan akan datang. Kerana dengan angin yang bertiup sahaja, manusia sudah boleh agak bahawa hujan yang ditunggu sebagai rahmat itu akan datang tidak lama lagi.

Tanda-tanda sebegini boleh diketahui oleh mereka yang tahu melihat tanda. Apabila sudah ada angin bertiup itu sahaja, manusia sudah suka. Ini kerana manusia memerlukan air hujan untuk mengairi tanaman dan sumber air untuk minuman.

 

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً طَهورًا

dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih,

Dan kemudian Allah menurunkan air hujan dari langit itu yang bukan sahaja suci tetapi ia juga menyucikan. Dengan air itu boleh membersihkan diri dan juga untuk ambil wuduk dan mandi junub.

Ayat ini walaupun menyebut tentang air tapi ia memberi isyarat kepada kedatangan Rasulullah. Para ahli kitab yang tahu ilmu wahyu telah dapat merasa kedatangan dan kebangkitan Rasulullah sebagai Rasul akhir zaman dari tanda-tanda yang telah disebut-sebut dalam kitab mereka. Dan kerana itu ramai antara mereka yang telah menunggu-nunggu kedatangan baginda di Madinah. Mereka sanggup berpindah ke Madinah, tempat yang tandus itu, semata-mata untuk menunggu kedatangan Nabi Akhir Zaman.

Dan air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu yang membersihkan akidah manusia sebagaimana juga air hujan itu membersihkan bumi. Sebagaimana air hujan itu memberi kesegaran kepada fizikal manusia, maka begitu juga wahyu Al-Qur’an memberi kesegaran kepada iman dan minda kita.


 

Ayat 49:

لِنُحيِيَ بِهِ بَلدَةً مَّيتًا وَنُسقِيَهُ مِمّا خَلَقنا أَنعٰمًا وَأَناسِيَّ كَثيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That We may bring to life thereby a dead land and give it as drink to those We created of numerous livestock and men.

(MELAYU)

agar Kami menghidupkan dengan air itu negeri (tanah) yang mati, dan agar Kami memberi minum dengan air itu sebahagian besar dari makhluk Kami, binatang-binatang ternak dan manusia yang banyak.

 

لِنُحيِيَ بِهِ بَلدَةً مَّيتًا

agar Kami menghidupkan dengan air itu negeri (tanah) yang mati,

Dengan air hujan itu Allah menghidupkan tanah yang mati dan ini memberi isyarat menghidupkan hati manusia yang mati kerana telah lama berada di dalam aqidah syirik.

Ramailah manusia yang sudah kenal ajaran tauhid setelah wahyu diturunkan. Akan tetapi malangnya walaupun Al-Qur’an telah lama turun tapi masih ramai lagi yang tidak tahu ajaran tauhid.

Ini adalah kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Hanya apabila sudah belajar tafsir Al-Qur’an baru tahu dan ramai yang meninggalkan ajaran syirik yang telah diamalkan zaman berzaman.

Alhamdulillah ajaran tafsir Al-Qur’an sudah mula di negara ini walaupun ianya cuba disekat-sekat. Semoga ianya akan terus berkembang. Kalau kita perhatikan, semakin ramai yang mahu belajar tafsir dan cuba mendalaminya. Kelas pengajian pun semakin banyak.

 

وَنُسقِيَهُ مِمّا خَلَقنا أَنعٰمًا وَأَناسِيَّ كَثيرًا

dan agar Kami memberi minum dengan air itu sebahagian besar dari makhluk Kami, binatang-binatang ternak dan manusia yang banyak.

Dengan air itu dapat memberi sumber kehidupan kepada binatang dan juga manusia. Dan begitu juga apabila wahyu itu turun ia memberi kebaikan kepada banyak makhluk.

Maka teruskanlah belajar tafsir Al-Qur’an ini kerana ia dapat menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Furqan Ayat 39 – 43 (Nafsu sebagai ilah)

Ayat 39:

وَكُلًّا ضَرَبنا لَهُ الأَمثٰلَ ۖ وَكُلًّا تَبَّرنا تَتبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for each We presented examples [as warnings], and each We destroyed with [total] destruction.

(MELAYU)

Dan Kami jadikan bagi masing-masing mereka perumpamaan dan masing-masing mereka itu benar-benar telah Kami binasakan dengan sehancur-hancurnya.

 

وَكُلًّا ضَرَبنا لَهُ الأَمثٰلَ

Dan Kami jadikan bagi masing-masing mereka perumpamaan

Masing-masing mereka yang degil itu telah diberikan dengan pengajaran dengan cara wahyu dan diberikan berbagai contoh dan penjelasan untuk membawa mereka ke jalan kebenaran. Maknanya sebelum mereka dihancurkan dengan azab, mereka telah mendapat penjelasan dan ditawarkan hidayah kepada mereka.

Semua kisah-kisah itu telah diberikan kepada Rasulullah sebagai contoh bandingan untuk menguatkan hati baginda. Nabi Muhammad bukan yang pertama kena tolak oleh kaumnya sendiri.

 

وَكُلًّا تَبَّرنا تَتبيرًا

dan masing-masing mereka itu benar-benar telah Kami binasakan dengan sehancur-hancurnya.

Dan semua yang tolak ajaran wahyu telah kena hancur dan dihancurkan dengan sehancur-hancurnya. Umat dahulu yang menentang dihancurkan sampai tidak tinggal baka mereka. Apabila Allah buat keputusan untuk menghancurkan sesuatu kaum itu, Allah akan hancurkan sampai tidak tinggal baka mereka lagi. Kemudian Allah akan bangkitkan kaum yang lain mengganti mereka.


 

Ayat 40: Dalil Naqli. Allah ingatkan tentang kaum yang telah dimusnahkan. Ini adalah salah satu contoh dari mereka.

وَلَقَد أَتَوا عَلَى القَريَةِ الَّتي أُمطِرَت مَطَرَ السَّوءِ ۚ أَفَلَم يَكونوا يَرَونَها ۚ بَل كانوا لا يَرجونَ نُشورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they have already come upon the town which was showered with a rain of evil [i.e., stones]. So have they not seen it? But they are not expecting resurrection.¹

  • So they do not benefit from lessons of the past.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya mereka (kaum musyrik Mekah) telah melalui sebuah negeri (Sadum) yang (dulu) dihujani dengan hujan yang sejelek-jeleknya (hujan batu). Maka apakah mereka tidak menyaksikan runtuhan itu; bahkan mereka itu tidak mengharapkan akan kebangkitan.

 

وَلَقَد أَتَوا عَلَى القَريَةِ الَّتي أُمطِرَت مَطَرَ السَّوءِ

Dan sesungguhnya mereka (kaum musyrik Mekah) telah melalui sebuah negeri (Sadum) yang (dulu) dihujani dengan hujan yang sejelek-jeleknya (hujan batu). 

Yang dimaksudkan adalah kaum Nabi Luth dan mereka itu dulu tinggal di tempat yang bernama Sodom/Sadum. Penduduk Mekah pun tahu tentang kisah mereka ini kerana mereka pernah pergi dan melalui ke kawasan Laut Mati. Jadi mereka pun tahu kisah mereka dan apakah yang dikenakan kepada mereka.

Mereka memang tahu kerana tempat peninggalan kaum Nabi Luth itu masih boleh dilihat. Seperti disebut dalam ayat yang lain:

وَإِنَّها لَبِسَبيلٍ مُقيمٍ

Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (dilalui manusia). Hijr:76

Kaum Nabi Luth yang tinggal di Sodom itu telah dikenakan dengan hujan yang sangat buruk iaitu hujan batu. Perkampungan mereka telah diangkat ke langit, dihujani dengan batu dan kemudian diterbalikkan dan dihumban kembali ke bumi.

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan. Ini dalam bentuk hujan yang positif.

Dan kadangkala Allah menggunakan kalimah مطر bagi hujan yang negatif. Iaitu sesuatu yang tidak baik seperti dalam ayat ini.

 

أَفَلَم يَكونوا يَرَونَها

Maka apakah mereka tidak menyaksikan runtuhan itu;

Tidakkah mereka pernah lihat runtuhan itu? Tentu sekali mereka sudah lihat tapi mereka tidak belajar dari kisah mereka itu. Macam pengkaji sekarang pun. Ramai yang melihat peninggalan kaum-kaum itu sebagai kesan sejarah sahaja dan tidak memberi kesan kepada mereka.

Ini seperti orang yang melihat kemalangan tetapi tidak mengambil pengajaran daripada kejadian itu. Sepatutnya kalau kita sudah lihat kemalangan, kita kenalah beringat dan memandu dengan berhati-hati selepas itu. Malangnya ramai yang tengok sahaja tidak ambil pengajaran. Maka mereka tidak mengubah sikap mereka dalam memandu di jalan raya.

 

بَل كانوا لا يَرجونَ نُشورًا

bahkan mereka itu tidak mengharapkan akan kebangkitan.

Mereka lalu dan lihat sahaja.  Dan mereka tidak kisah dan tidak ambil pengajaran kerana tidak percaya kepada kebangkitan semula. Mereka tengok sahaja tetapi tidak memberi kesan kepada hati mereka kerana kisah-kisah dan peninggalan itu hanya memberi nasihat kepada mereka yang hatinya rapat dengan akhirat.


 

Ayat 41: Allah ceritakan apakah pandangan mereka terhadap Rasulullah.

وَإِذا رَأَوكَ إِن يَتَّخِذونَكَ إِلّا هُزُوًا أَهٰذَا الَّذي بَعَثَ اللهُ رَسولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they see you, [O Muḥammad], they take you not except in ridicule, [saying], “Is this the one whom Allāh has sent as a messenger?

(MELAYU)

Dan apabila mereka melihat kamu (Muhammad), mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan (dengan mengatakan): “Inikah orangnya yang diutus Allah sebagai Rasul?.

 

وَإِذا رَأَوكَ إِن يَتَّخِذونَكَ إِلّا هُزُوًا

Dan apabila mereka melihat kamu (Muhammad), mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan

Golongan Musyrikin Mekah yang kufur itu melihat Nabi Muhammad sebagai bahan lawak sahaja. Mereka jadikan Rasulullah itu sebagai bahan persendaan sesama mereka sahaja.

Ini sebenarnya biasa sahaja kerana memang umat terdahulu pun memperolok-olokkan Rasul mereka juga. Seperti disebut dalam ayat lain:

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِنْ قَبْلِكَ

Dan sungguh telah diperolok-olokkan beberapa orang rasul sebelum engkau. (Al-An’am 10, Ar-Ra’d: 32 dan Al-Anbiya: 41),

أَهٰذَا الَّذي بَعَثَ اللهُ رَسولًا

(dengan mengatakan): “Inikah orangnya yang di utus Allah sebagai Rasul?.

Antara kata-kata senda ejek mereka kepada Nabi adalah mereka tunjuk kepada Nabi dan kata: “adakah ini orang yang dipilih sebagai Rasul oleh Allah?” Ini kerana mereka lihat baginda sama sahaja macam manusia yang lain. Mereka anggap Nabi Muhammad itu tidak ada kedudukan: miskin dan anak yatim sahaja tanpa ada pengaruh dalam masyarakat.

Jadi mereka tidak dapat terima baginda telah diangkat menjadi Nabi lagi Rasul. Ini kerana mereka membuat nilaian manusia berdasarkan kepada kedudukan keduniaan sahaja. Mereka tidak lihat nilai-nilai kebaikan yang ada pada baginda yang melayakkan baginda diangkat menjadi Rasul.

Ini seperti juga apabila kadangkala satu kumpulan ejek kumpulan lain yang lebih lemah pada pandangan mereka: “mereka ini yang hendak lawan kita? Hahahaha”


 

Ayat 42: Apa lagi kata mereka terhadap baginda?

إِن كادَ لَيُضِلُّنا عَن آلِهَتِنا لَولا أَن صَبَرنا عَلَيها ۚ وَسَوفَ يَعلَمونَ حينَ يَرَونَ العَذابَ مَن أَضَلُّ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He almost would have misled us from our gods had we not been steadfast in [worship of] them.” But they are going to know, when they see the punishment, who is farthest astray in [his] way.

(MELAYU)

Sesungguhnya hampirlah dia menyesatkan kita dari sembahan-sembahan kita, seandainya kita tidak sabar(menyembah)nya” dan mereka kelak akan mengetahui di saat mereka melihat azab, siapa yang paling sesat jalannya.

 

إِن كادَ لَيُضِلُّنا عَن آلِهَتِنا لَولا أَن صَبَرنا عَلَيها

Sesungguhnya hampirlah dia menyesatkan kita dari sembahan-sembahan kita, seandainya kita tidak sabar(menyembah)nya”

Mereka kata baginda hampir buat mereka tinggalkan ilah-ilah sembahan mereka. Mereka kata pengaruh Nabi Muhammad itu kuat juga sampaikan hampir-hampir agama sesat mereka tergugat.

Lihatlah bagaimana mereka menggunakan kalimah ‘ilah’ dan bukannya mereka menggunakan kalimah ‘berhala’. Kerana memang apa yang mereka sembah itu bukanlah berhala itu tetapi siapakah yang di sebalik berhala itu. Iaitu roh-roh Nabi, wali dan malaikat.

Tapi mereka kata mereka berjaya menahannya kerana mereka tetap sabar dalam agama mereka. Maknanya mereka nak kata yang Nabi Muhammad itulah yang sesat. Mereka kata Nabi Muhammad telah cuba menyesatkan mereka tapi nasib baik mereka kuat semangat mempertahankan fahaman mereka.

Begitulah kalau zaman sekarang, golongan bidaah mengatakan ajaran Sunnah inilah yang sesat dan mereka cuba sedaya upaya untuk mempertahankan ‘ajaran lama’ mereka itu. Berbagai-bagai usaha mereka lakukan. Antaranya dengan memburukkan ajaran sunnah ini dan ulama-ulamanya, seperti Ibn Taimiyyah. Kerana mereka rasa yang mereka kena pertahankan amalan yang telah lama dilakukan oleh tok nenek.

Sampai sekarang ramai agama lain nak burukkan Islam dan Nabi Muhammad. Berbagai kempen dan usaha dilakukan untuk menjatuhkan Islam. Padahal tiada kempen pun untuk menentang Buddha atau Hindu untuk kata mereka sesat, kan? Seolah-olah mereka tak kacau pun agama lain dan semua tumpukan perhatian kepada agama Islam.

Inilah dugaan kita kerana memang ramai yang benci Islam. Ini kerana mereka didorong oleh syaitan. Kita kena terima yang kita ini memang golongan minoriti dan ramai yang berterusan kritik Islam. Tapi jangan kita putus semangat kerana kalau ramai yang kritik, itu menunjukkan bahawa kita memang pihak yang benar.

Begitu juga dengan ajaran sunnah ini. Ramai sangat yang membencinya kerana kita menegur dan kritik ajaran yang tiada dalil. Sama macam Nabi Muhammad yang kritik amalan masyarakat Arab Jahiliyah. Memang ini kerja yang kita kena lakukan dan ia adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Kalau tidak ditegur amalan salah masyarakat kita, maka akan berterusanlah mereka di dalam kesesatan.

 

وَسَوفَ يَعلَمونَ حينَ يَرَونَ العَذابَ مَن أَضَلُّ سَبيلًا

dan mereka kelak akan mengetahui di saat mereka melihat azab, siapa yang paling sesat jalannya.

Nanti mereka sendiri akan tahu siapa yang sesat. Iaitu apabila mereka melihat sendiri azab neraka itu dengan mata mereka. Sekarang di dunia mereka kata kita yang sesat, tapi nanti mereka akan lihat sendiri dengan mata mereka siapakah yang sesat.

Waktu itulah mereka akan menyesal tetapi ianya tidak akan memberi kesan kepada mereka. Waktu itu mereka baru akan beriman tetapi sudah terlambat.


 

Ayat 43: Allah beritahu yang Musyrikin Mekah itu bukan tidak kenal Allah dan juga tahu Allah itu Tuhan, tetapi mereka menolak ajaran tauhid kerana mereka cenderung mengikut hawa nafsu mereka. Jadi ini adalah punca sebenar kenapa mereka menolak ajakan tauhid dari Rasulullah.

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكونُ عَلَيهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you seen the one who takes as his god his own desire? Then would you be responsible for him?

(MELAYU)

Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?,

 

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ

Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya?

Allah mengatakan yang Musyrikin Mekah itu menjadikan nafsunya sebagai ilah/tuhan. Apakah maksudnya ‘menjadikan nafsu sebagai ilah’? Untuk memahaminya kita kena faham apakah maksud ilah.

Ilah adalah sesuatu yang ditaati dan diterima sebagai autoriti. Bukan sahaja bermakna yang disembah dan dibuat ibadat kepadaNya. Maka kita kena luaskan fahaman kita tentang ilah. Ilah itu bukan sahaja berhala seperti yang disangkai oleh kebanyakan dari kita.

Bukankah selalu kita lihat orang yang ikut kehendak hawa nafsunya yang berlawanan dengan kehendak Allah? Waktu itu, siapakah ilahnya? Waktu itu nafsu dia yang menjadi ilah, yang ada autoriti ke atasnya.

Ini juga adalah ayat yang penting sebagai dalil, bahawa penyembahan itu bukannya bermaksud ‘sujud’, zikir, tawaf sahaja. Kerana kita tidak ada pun sujud kepada nafsu kita, zikir kepada nafsu kita, bukan? Kerana menyempitkan fahaman inilah yang menyebabkan ramai yang tidak faham apabila kita tegur mereka yang beribadat di kubur. Mereka yang melakukan amalan syirik itu kata, mereka tak sembah pun kubur-kubur itu.

Sebagai contoh: kita selalu katakan yang golongan Habib dari Yaman itu adalah golongan quburiyyun. Ini kerana mereka sembah kubur mereka. Tapi yang jahil akan kata: “mana ada Habib-habib itu sujud kepada kubur wali mereka?” Mereka kata begitu kerana jahil maksud ilah dan maksud ‘sembah’.

Mereka yang menolak ajaran wahyu itu kerana mereka terdorong untuk mengikut hawa nafsu. Dan kehendak nafsu itu ada berbagai-bagai sama ada berkehendak kepada kaum yang berlawanan jenis, atau mahu kepada harta, atau mahu kepada kedudukan dan sebagainya. Begitulah iblis termakan dengan kehendak nafsunya yang sombong sampaikan sanggup untuk menolak arahan dan suruhan dari Allah.

Maknanya nafsu itu lebih teruk lagi daripada syaitan kerana Iblis berubah menjadi seorang yang taat kepada seorang yang penderhaka kerana ikut kehendak nafsu dia. Nafsu dialah yang menyebabkan dia jadi kufur, bukan?

Dan kerana itu apa yang syaitan lakukan kepada manusia hanyalah bisikan sahaja. Mereka tidak boleh lakukan lebih dari itu. Bisikan itu pula dituukan kepada nafsu kita. Maka kalau tidak dapat kawal nafsu, maka akan termakanlah dengan bisikan syaitan itu. Makanya perbuatan yang sesat dan dosa yang dilakukan manusia itu adalah kerana ikutan hawa nafsunya.

Nafsu ini merosakkan manusia dalam tiga cara:

  1. Hijab Nafsu yang berkehendak kepada barang-barang keduniaan seperti makanan, wang, wanita dan harta.
  2. Hijab Nafsu yang mahukan masyarakat berkata baik kepadanya dan kerana itu mereka tidak berani berlawanan dengan amalan masyarakat kerana mereka takut dituduh sebagai sesat, Wahabi dan sebagainya. Beginilah yang terjadi kepada Abu Talib yang tidak sanggup menerima ajaran Nabi Muhammad kerana dia malu dikatakan sebagai seorang yang membelot agama tok nenek. Beginilah juga ramai yang takut beramal dengan amalan sunnah kerana takut digelar ‘wahabi’.
  3. Hijab Nafsu yang silap faham tentang tuhan yang menyebabkan mereka mengadakan wasilah untuk menyampaikan doa kepada Tuhan. Mereka telah melakukan syirik dalam doa kerana jahil tentang wahyu Al-Qur’an.

Semoga kita dapat memikirkan perkara ini dengan mendalam dan sedar bahayanya nafsu itu. Nafsu itu bukan semuanya salah kerana ada kehendak nafsu yang sesuai seperti kehendak kepada makanan dan lawan jenis. Ianya tidak salah cuma kenalah dilakukan dalam cara yang dibenarkan oleh syarak. Maknanya akal kena kawal nafsu itu, bukannya nafsu kawal akal.

 

أَفَأَنتَ تَكونُ عَلَيهِ وَكيلًا

Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?,

Allah tanya kepada Nabi Muhammad dan juga kita: “Adakah kamu hendak mengurus orang seperti itu sedangkan dia itu telah jauh daripada kebenaran? Adakah kamu boleh mengubah mereka?”

Tujuan hidup mereka adalah memuaskan nafsu mereka dan kehendak mereka yang berbagai-bagai dan kerana itu mereka tidak kisahkan lagi apa kehendak Allah. Dan kalau begitu keadaan mereka,  bagaimana lagi kita boleh memberi nasihat kepada orang yang seperti itu? Allah memberitahu bahawa kita tidak dapat mengubah hati orang yang telah mengalami masalah tentang nafsu.

Begitu pentingnya dan bahayanya nafsu ini kalau termakan dengan kehendaknya, maka Rasulullah telah mengajar kita beberapa doa untuk menyelamatkan diri kita daripada cengkaman nafsu ini. Doa-doa ini boleh dicari dalam kitab-kitab yang sahih.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Oktober 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Furqan Ayat 33 – 38 (Allah jawap misalan penentang)

Ayat 33:

وَلا يَأتونَكَ بِمَثَلٍ إِلّا جِئنٰكَ بِالحَقِّ وَأَحسَنَ تَفسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they do not come to you with an example [i.e., argument] except that We bring you the truth and the best explanation.

(MELAYU)

Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa) sesuatu misalan, melainkan Kami datangkan kepadamu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya.

 

وَلا يَأتونَكَ بِمَثَلٍ إِلّا جِئنٰكَ بِالحَقِّ

Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa) sesuatu misalan, melainkan Kami datangkan kepadamu suatu yang benar

Penentang Rasulullah dan wahyu Qur’an itu memberikan berbagai-bagai hujah untuk menjatuhkan Al-Qur’an. Ini termasuk sebelum ini telah disebut bagaimana mereka kritik Al-Qur’an dengan kata, kenapa ianya tidak diturunkan sekaligus?

Dan di dalam ayat-ayat lain ada disebut berbagai-bagai hujah lagi yang dikeluarkan oleh para penentang. Ada juga hujah-hujah itu yang agak hebat sampai ramai yang boleh tertipu. Iaitu mereka yang jahil tentang wahyu akan senang tertipu.

Dan setiap kali para penentang itu mengeluarkan hujah mereka, maka Allah akan memberi jawapan dan hujah yang benar dan kuat untuk membantu baginda menjawab mereka. Allah tak biarkan baginda begitu sahaja tanpa bantuan dariNya. Allah akan matikan hujah mereka yang amat lemah itu. Allah tak beri peluang manusia berfikir yang tidak patut tentang Al-Qur’an.

Hujah-hujah jawapan itu banyak disentuh di dalam Al-Qur’an ini. Maka kena belajar satu persatu ayat-ayat Al-Qur’an untuk mendapat jawapannya.

 

وَأَحسَنَ تَفسيرًا

dan yang paling baik penjelasannya.

Dan di dalam Al-Qur’an itu Allah memberikan tafsir dan penjelasan kepada sesuatu perkara itu dengan cara yang amat baik. Maknanya Allah akan memberikan tafsir kepada sesuatu perkara itu dengan sejelas-jelasnya.

Kerana itu mereka yang belajar tafsir dengan cara yang benar tidak melakukan amalan-amalan yang pelik-pelik seperti yang banyak diamalkan oleh masyarakat sekarang.

Golongan pelik-pelik itu bukannya tidak baca Al-Qur’an. Dan adakalanya mereka pun belajar tafsir juga. Tapi kalau tafsir itu bukan dengan cara pentafsiran salafussoleh, maka hasilnya akan jadi pelik.

Kerana itu kita boleh lihat bagaimana pengamal bidaah keluarkan juga dalil ayat Al-Qur’an, tapi kita lihat pemahaman mereka amat jauh dari apa yang difahami oleh golongan salafussoleh. Ini adalah kerana mereka tafsir ikut kehendak hawa nafsu mereka untuk membenarkan akidah mereka yang salah.


 

Ayat 34: Ayat Takhwif Ukhrawi. Apa akan jadi kepada golongan penentang?

الَّذينَ يُحشَرونَ عَلىٰ وُجوهِهِم إِلىٰ جَهَنَّمَ أُولٰئِكَ شَرٌّ مَّكانًا وَأَضَلُّ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones who are gathered on their faces to Hell – those are the worst in position and farthest astray in [their] way.

(MELAYU)

Orang-orang yang dihimpunkan ke neraka Jahannam dengan diseret atas muka-muka mereka, mereka itulah orang yang paling buruk tempatnya dan paling sesat jalannya.

 

الَّذينَ يُحشَرونَ عَلىٰ وُجوهِهِم إِلىٰ جَهَنَّمَ

Orang-orang yang dihimpunkan ke neraka Jahannam dengan diseret atas muka-muka mereka,

Balasan kepada mereka yang menentang itu amat buruk – di akhirat kelak mereka akan diseret atas muka mereka menuju ke  neraka. Alangkah hinanya dan alangkah sakitnya! Entah berapa jauh mereka kena seret muka mereka atas tanah!

Dan apabila mereka dihumban ke dalam neraka mereka akan dijatuhkan tersembam muka mereka dahulu. Maksudnya mereka akan dibaling dengan muka dahulu. Maka mereka akan jatuh atas muka mereka!

 

أُولٰئِكَ شَرٌّ مَّكانًا

mereka itulah orang yang paling buruk tempatnya

Mereka akan berada di tempat yang paling teruk. Kedudukan mereka adalah kedudukan yang paling buruk dan paling teruk. Mereka akan tinggal di neraka dan telah disebut sebelum ini yang tempat itu sempit dan mereka akan dirantai bersama-sama penghuni neraka yang lain.

 

وَأَضَلُّ سَبيلًا

dan paling sesat jalannya.

Mereka cuba untuk melarikan diri daripada neraka tetapi mereka tidak akan jumpa jalan. Itu memberi isyarat bahawa mereka itu sesat. Mereka tidak akan jumpa jalan keluar dari neraka walaupun mereka mencuba untuk melarikan diri. Setiap kali mereka cuba untuk melarikan diri, mereka tetap akan dibawa ke neraka dan akan tetap duduk dalam neraka itu.

Oleh kerana mereka sesat semasa mereka di dunia, maka mereka diberikan dengan balasan yang teruk di akhirat kelak.

Habis Ruku’ 3 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 35: Dari ayat ini sehingga ke ayat 44 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengajar kita untuk mengambil iktibar daripada kisah-kisah umat yang binasa kerana mendustakan Nabi mereka.

Ayat 35 ini adalah Dalil Naqli. Sekarang Allah masuk kisah Nabi Musa sebagai pengajaran. Memang banyak kisah baginda dalam Al-Qur’an dan ini adalah salah satu darinya.

وَلَقَد آتَينا موسَى الكِتٰبَ وَجَعَلنا مَعَهُ أَخاهُ هٰرونَ وَزيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given Moses the Scripture and appointed with him his brother Aaron as an assistant.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa dan Kami telah menjadikan Harun saudaranya, menyertai dia sebagai wazir (pembantu).

 

وَلَقَد آتَينا موسَى الكِتٰبَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa

Nabi Muhammad telah diberikan dengan kitab Al-Qur’an dan Allah memberitahu sebelum baginda, Nabi Musa juga telah diberikan dengan kitab wahyu juga iaitu Kitab Taurat.

 

وَجَعَلنا مَعَهُ أَخاهُ هٰرونَ وَزيرًا

dan Kami telah menjadikan Harun saudaranya, sebagai wazir (pembantu).

Nabi Musa bukan sahaja diberikan dengan Kitab Taurat tetapi baginda juga dibantu dengan abangnya Nabi Harun untuk membantu baginda di dalam dakwah. Dalam Surah Taha telah diberitahu yang Nabi Musa minta supaya Nabi Harun diangkat menjadi Nabi bersamanya untuk membantunya berdakwah kepada Firaun, bangsa Qibti dan Bani Israel.


 

Ayat 36: Allah sebut apakah arahan yang diberikan kepada mereka berdua. Ayat ini juga mengandungi Takhwif Duniawi.

فَقُلنَا اذهَبا إِلَى القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا فَدَمَّرنٰهُم تَدميرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We said, “Go both of you to the people who have denied Our signs.” Then We destroyed them with [complete] destruction.

(MELAYU)

Kemudian Kami berfirman kepada keduanya: “Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami”. Maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya.

 

فَقُلنَا اذهَبا إِلَى القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Kemudian Kami berfirman kepada keduanya: “Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami”.

Nabi Musa dan Nabi Harun juga telah disuruh untuk berdakwah kepada kaum yang menolak wahyu. Seperti juga Musyrikin Mekah yang menolak wahyu, pada zaman Nabi Musa juga telah ada bangsa yang menolak wahyu Allah.

Dalam banyak ayat-ayat lain telah diberitahu bahawa Nabi Musa itu diutuskan kepada Firaun tetapi kali ini diberitahu bahawa baginda juga dihantar juga kepada bangsa Qibti. Kisah ini telah panjang disebut dalam surah-surah yang lain.

 

فَدَمَّرنٰهُم تَدميرًا

Maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya.

Dan kerana mereka tetap menolak dakwah dan tauhid, maka mereka telah dimusnahkan dengan semusnah-musnahnya. Kalimah تَدميرًا adalah dalam bentuk maf’ul mutlaq. Ia adalah sebagai penekanan.

Surah ini unik kalau dibandingkan dengan ayat-ayat dalam surah lain kerana Allah tidak bercerita panjang tentang para rasul sebaliknya memberikan kisah-kisah yang ringkas dan pendek sahaja. Lihat bagaimana Allah buka cerita tentang Nabi Musa dan kemudian terus beritahu bagaimana mereka dihancurkan.

Ini adalah kerana Allah hendak memberi isyarat bahawa kehancuran penentang wahyu itu adalah cepat. Allah hendak memberitahu kepada Musyrikin Mekah yang sedang membaca ayat ini bahawa masa yang mereka ada untuk menerima dakwah ini tidak lama. Kalau tetap menentang juga, maka mereka akan kena azab.

Maka jangan sia-siakan masa yang ada, kena cepat beriman. Macam kita jugalah sekarang, bila lagi nak beriman dengan Jalan Sunnah? Kenapa masih lagi takut-takut untuk menerima Jalan Sunnah yang berlandaskan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith yang sahih?


 

Ayat 37: Sekarang masuk kisah Nabi Nuh pula.

وَقَومَ نوحٍ لَمّّا كَذَّبُوا الرُّسُلَ أَغرَقنٰهُم وَجَعَلنٰهُم لِلنّاسِ ءآيَةً ۖ وَأَعتَدنا لِلظّٰلِمينَ عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the people of Noah – when they denied the messengers,¹ We drowned them, and We made them for mankind a sign. And We have prepared for the wrongdoers a painful punishment.

  • Their denial of Noah was as if they had denied all those who brought the same message from Allāh.

(MELAYU)

Dan (telah Kami binasakan) kaum Nuh tatkala mereka mendustakan rasul-rasul. Kami tenggelamkan mereka dan Kami jadikan (cerita) mereka itu pelajaran bagi manusia. Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang zalim azab yang pedih;

 

وَقَومَ نوحٍ لَمّّا كَذَّبُوا الرُّسُلَ أَغرَقنٰهُم

Dan (telah Kami binasakan) kaum Nuh tatkala mereka mendustakan rasul-rasul. Kami tenggelamkan mereka

Lihat bagaimana Allah terus sebut tentang  kehancuran kaum Nabi Nuh pula (sama seperti kehancuran umat Nabi Musa sebelum ini). Kisah ringkasnya disebut dalam ayat ini, mereka telah dilemaskan. Maka untuk tahu kisah bagaimana dakwah Nabi Nuh dan cara penolakan kaumnya, kena baca surah surah-surah yang lain.

Kaum Nabi Nuh sebenarnya mendustakan Nabi Nuh sahaja tetapi Allah berfirman yang mereka mendustakan ‘rasul-rasul’. Ini adalah kerana jikalau mereka mendustakan satu Rasul sahaja, mereka dikira mendustakan SEMUA Rasul. Ini adalah kerana setiap rasul membawa ajaran yang sama, iaitu ajaran tauhid.

 

وَجَعَلنٰهُم لِلنّاسِ ءآيَةً

dan Kami jadikan (cerita) mereka itu pelajaran bagi manusia.

Allah jadikan kejadian mereka dilemaskan itu sebagai tanda peringatan kepada manusia yang lain. Kena ambil perhatian dan ubah perangai sampai jangan jadi macam mereka.

Yakni pelajaran yang dijadikan sebagai peringatan bagi mereka, seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{إِنَّا لَمَّا طَغَى الْمَاءُ حَمَلْنَاكُمْ فِي الْجَارِيَةِ * لِنَجْعَلَهَا لَكُمْ تَذْكِرَةً وَتَعِيَهَا أُذُنٌ وَاعِيَةٌ}

Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung), Kami bawa (nenek moyang) kalian ke dalam bahtera, agar Kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kalian dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar. (Al-Haqqah: 11-12)

 

وَأَعتَدنا لِلظّٰلِمينَ عَذابًا أَليمًا

Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang zalim azab yang pedih;

Bukan kaum Nabi Nuh sahaja yang dikenakan dengan azab tapi kaum-kaum zalim yang lain. Jadi kalau umat Nabi Muhammad pun menolak ajaran tauhid, maka mereka pun boleh dikenakan dengan azab. Kerana Allah sudah sediakan azab tersebut, tunggu mereka buat salah sahaja.


 

Ayat 38: Masuk kisah kaum lain pula.

وَعادًا وَثَمودَ وَأَصحٰبَ الرَّسِّ وَقُرونًا بَينَ ذٰلِكَ كَثيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We destroyed] ‘Aad and Thamūd and the companions of the well¹ and many generations between them.

  • Said to be a people who denied Prophet Shu‘ayb or possibly those mentioned in Sūrah Yā Seen, 36:1329.

(MELAYU)

dan (Kami binasakan) kaum ‘Aad dan Tsamud dan penduduk Rass dan banyak (lagi) generasi-generasi di antara kaum-kaum tersebut.

 

وَعادًا وَثَمودَ وَأَصحٰبَ الرَّسِّ

dan kaum ‘Aad dan Tsamud dan penduduk Rass

Dan Allah binasakan juga Kaum Aad, Tsamud dan Kaum Rass. Kalimah الرَّسِّ bermaksud ‘telaga’. Ini mungkin bermaksud kaum itu telah menangkap rasul mereka dan mengurungnya di dalam telaga sampaikan mereka diberi gelaran itu. Dikatakan mereka ini adalah kaum Nabi Syu’aib di Madyan.

 

وَقُرونًا بَينَ ذٰلِكَ كَثيرًا

dan banyak (lagi) generasi-generasi di antara kaum-kaum tersebut.

Dan banyak lagi generasi-generasi lain di antara mereka itu. Allah hanya sebutkan beberapa kaum sahaja dalam Al-Qur’an. Tapi ketahuilah yang banyak lagi yang telah dikenakan dengan azab. Ini kerana Al-Qur’an bukan buku sejarah yang menceritakan semua bangsa yang telah dihapuskan.

Allah hanya menceritakan kisah-kisah yang penting sahaja sebagai peringatan bagi kita. Maka jangan rasa selamat kerana Allah boleh kenakan azab kepada sesiapa sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir