Tafsir Surah al-An’am Ayat 9 – 12 (Kalau Rasul itu malaikat)

Ayat 9: Ini pula adalah kesamaran ketiga Musyrikin Mekah. Mereka kata, kenapa Nabi Muhammad itu bukan seorang malaikat? Kenapa tidak diturunkan malaikat sebagai Rasul?

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ

Sahih International

And if We had made him an angel, We would have made him [appear as] a man, and We would have covered them with that in which they cover themselves.

Malay

Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).

 

وَلَوْ جَعَلْنٰهُ مَلَكًا

Dan kalau Kami jadikan (Rasul) itu malaikat,

Nabi tak pernah kata baginda adalah malaikat. Tapi mereka mengejek Nabi dengan mengatakan: “Adakah kamu nak kata kamu malaikat?” Itu mereka dah pusing cerita.

Tapi, Allah katakan dalam ayat ini, kalaulah Allah nak turunkan malaikat sebagai Rasul, Allah tak turunkan malaikat itu dalam bentuk malaikat pun.

 

لَّجَعَلْنٰهُ رَجُلًا

tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki,

Kalau Allah nak turunkan malaikat kepada manusia, Allah tentu akan jadikan malaikat itu dalam bentuk lelaki manusia juga. Manusia akan nampak malaikat itu macam manusia biasa juga. Kerana kalau turunkan malaikat sahaja, tentu manusia tidak boleh nampak, sedangkan malaikat di kiri kanannya setiap hari pun manusia tak nampak. Maka Allah kena jadikan malaikat itu sebagai bentuk manusia yang lelaki.

Dalam ayat sebelum ini, mereka tanya kenapa tidak diturunkan malaikat, maka Allah jawap dalam ayat ini. Allah tentu akan turunkan malaikat itu dalam bentuk manusia kerana manusia tidak boleh melihat malaikat dalam bentuk asalnya. Itulah sebabnya, selalunya Jibrail akan menemui Nabi dalam rupa manusia.

Dan pernah Jibrail menghadiri majlis Nabi bersama sahabat untuk mengajar mereka tentang Iman, Islam dan Ihsan dan hadis itu adalah hadis terkenal yang dikenali sebagai ‘Hadis Jibril”. Dalam Surah Maryam juga, ada disebut bagaimana Jibril juga datang menemui Maryam dalam rupa seorang lelaki. Apabila malaikat datang kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Luth, mereka pun datang dalam rupa manusia. Sampaikan kaum Nabi Luth tergoda dengan kekacakan malaikat-malaikat itu.

Kalau malaikat itu datang dalam rupa asalnya, tentulah mereka akan bertempiaran lari. Maka, itulah kebiasaan malaikat mempamerkan diri mereka kepada manusia. Hanya dua kali sahaja Nabi Muhammad nampak Jibrail dalam rupanya yang asal.

 

وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِم

dan tentulah Kami menyebabkan mereka keliru

Perkataan لَلَبَسْنَا (Kami mengelirukan) diambil dari perkataan asal ل ب س yang bermaksud ‘mengelirukan’. Juga bermaksud ‘bercampur baur’ dan bila sesuatu itu bercampur baur, ia akan menyebabkan kekeliruan. Juga digunakan untuk maksud ‘menutupi’ seperti ‘pakaian’.

Ini bermaksud, kalaulah malaikat itu dihantar dalam rupa manusia, masalah mereka yang tidak mahu beriman itu tidak selesai pun. Mereka akan terus keliru. Kerana mereka akan terus keliru samada itu adalah Rasul atau tidak. Nabi yang mereka kenal dari kecil dulu pun mereka tak terima, tambahan pula kalau yang datang kepada mereka itu adalah orang yang mereka tak kenal, lagi lah mereka tak mahu terima. Entah datang dari mana pula, mereka kata.

Kalau Rasul itu datang dalam bentuk malaikat, tentu mereka kata kenapa pula dijadikan malaikat sebagai Rasul, sebab mereka itu jenis manusia. Malaikat tak makan, tak minum, tidak ada nafsu, mereka akan kata mana sama mereka dan malaikat itu. Mereka akan kata mereka tak boleh buat sama macam malaikat itu. Oleh itu, malaikat tidak boleh dijadikan contoh kerana tidak sama kehidupan mereka dan kehidupan manusia.

Allah hantar Nabi dalam bentuk manusia pun ada manusia boleh keliru lagi. Lihatlah apa puak tarekat kata tentang Nabi: Mereka kata baginda bukan manusia, tapi ‘Nur’ – cahaya. Kalaulah kita terima Nabi sebagai bukan manusia macam kita, maka tentulah apa yang Nabi buat itu tak sama dengan kita, kita tak boleh ikut Nabi sebab Nabi itu manusia jenis lain.

Orang yang tak mahu buat kebaikan akan kata: “Bolehlah Nabi buat apa yang dia buat itu, sebab dia bukan manusia macam kita – dia manusia jenis lain…”. Lihatlah betapa fahaman sesat mereka itu boleh mengelirukan manusia. Yang cakap sebegitu memang dah keliru maka mereka akan mengelirukan manusia lain jadinya nanti.

 

مَّا يَلْبِسُونَ

sebagaimana mereka di dalam kekeliruan.

Dari ayat ini kita tahu betapa mereka itu memang tidak mahu beriman. Ada sahaja alasan yang mereka berikan. Kalau orang itu mahu melakukan sesuatu, sekali cakap sahaja dia akan ikut. Tapi kalau memang hati tak mahu, macam-macam alasan mereka akan beri untuk tidak buat.

Keduanya, kita dapat tahu bahawa musyrikin Mekah itu macam-macam benda mereka minta kepada Nabi, kononnya kalau diberikan apa yang mereka minta itu, mereka akan  beriman. Kalau kita pun buat macam itu, samalah kita macam mereka. Contohnya, kalau ada nak bukti bahawa kalau dengan ajaran sunnah ini, kehidupan mereka berubah kepada kebaikan baru mereka nak beriman, maka orang yang berfikir macam itu adalah sama sahaja dengan Musyrikin Mekah.

Ingatlah bahawa kita belajar sifat-sifat Musyrikin Mekah itu supaya kita boleh tolak sifat-sifat itu. Kita kena perhatikan samada ada atau tidak sifat mereka itu dengan kita. Kalau ada, maka kita adalah Musyrikin juga, bezanya mereka Musyrikin Mekah, kita Musyrikin Malaysia!

Ketiga, lihatlah bagaimana Allah menjawap hujah-hujah mereka dengan jawapan yang logik. Maka, ini mengajar kita apabila berhujah dengan manusia yang degil, kita gunakan hujah yang logik juga. Ini tidak salah. Kerana kalau beri mereka hujah ayat-ayat Qur’an dan Hadis Nabi, mereka pun tak terima Qur’an dan Hadis itu.

Sebagai contoh, kalau ada yang kata Nabi Muhammad hidup lagi, boleh mendengar permintaan kita, maka kita boleh juga gunakan logik untuk mematahkan pandangan sesat mereka. Pertama, kenapa manusia dimasukkan dalam kubur? Tentulah kerana seseorang itu dah mati. Maka bukankah Nabi Muhammad sudah dimasukkan dalam kubur? Dan kalau Nabi Muhammad itu tugasnya tak habis lagi, kenapa baginda tidak bersama dengan kita sekarang? Itu adalah hujah-hujah yang logik.

Keempat, kita dapat tahu dari ayat ini bahawa setiap rasul yang diutuskan kepada manusia adalah manusia. Ini adalah satu rahmah yang besar dari Allah. Kerana apa sahaja yang Nabi buat, kita boleh ikut. Tidaklah kita kata kita tak boleh buat seperti mereka sebab  Nabi lain dengan kita. Oleh itu, ianya adalah satu rahmah dari Allah. Allah memberi pengajaran kepada kita dengan diberikanNya contoh dari kalangan kita sendiri.

Kelima, kalau kita fikirkan, kalaulah Allah memenuhi permintaan musyrikin Mekah itu, tidakkah ianya lebih mudah? Tidakkah mereka semua akan beriman?

Jawapan pertama: kalau orang tak mahu beriman, tunjuk apa pun mereka tidak akan beriman. Macam juga Bani Israil telah ditunjukkan dengan berbagai-bagai keajaiban dan mukjizat, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman. Mereka kata itu semua adalah sihir yang dilakukan oleh Nabi Musa.

Jawapan kedua kenapa Allah tidak turut permintaan mereka: tidaklah layak dengan kedudukan Allah untuk melayan permintaan makhluk yang sebegitu. Takkan Allah nak kena bagi apa sahaja yang mereka minta pula kan? Ingatlah bahawa bukan Allah tak mampu nak beri. Boleh sahaja Allah beri dengan senang. Tapi kalau diberikan kepada mereka yang memang degil, tidaklah patut dengan kedudukan Allah yang Maha Tinggi.

Ketiga, bukankah Qur’an itu sudah satu mukjizat? Mukjizat Qur’an itu lebih hebat lagi dari mukjizat-mukjizat yang boleh dilihat dengan mata. Kerana mukjizat yang boleh dilihat dengan mata itu hanya boleh dilihat semasa itu sahaja. Tapi Qur’an ini boleh dibaca zaman berzaman, tidak lapuk dek hujan. Sesiapa sahaja ada access kepada Qur’an. Di mana-mana sahaja boleh tengok.

Keempat, kalau ditunjukkan mukjizat seperti yang mereka minta itu, tapi selepas itu mereka masih berdegil tidak beriman, Allah akan berikan azab yang berat kepada mereka. Antaranya, mereka boleh dihapuskan terus dari mukabumi ini. Dan umat Islam ini adalah umat yang terakhir. Kalau diturunkan azab kepada kita sekarang sampai hancur semuanya, maka akan kiamatlah jadinya.

Kelima, Allah dah tahu yang mereka minta itu bukan kerana hendak menguatkan iman mereka, atau untuk memberi ketenangan kepada mereka dalam agama, bukan. Tapi mereka minta itu adalah untuk memperolok-olokkan Nabi Muhammad sahaja. Maka, sebab itulah Allah tak layan.


 

Ayat 10: Ayat ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad.

وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبلِكَ فَحاقَ بِالَّذينَ سَخِروا مِنهُم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

And already were messengers ridiculed before you, but those who mocked them were enveloped by that which they used to ridicule.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

 

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu,

اسْتُهْزِئَ adalah perbuatan mengejek-ngejek dengan mengatakan itu adalah satu kebodohan. Iaitu mereka mengatakan perbuatan orang lain adalah perbuatan yang bodoh. Tujuannya adalah untuk memalukan orang itu.

Nabi-nabi dan Rasul-rasul dulu pun dah kena dah macam apa yang dikenakan kepada Nabi Muhammad. Iaitu mereka mengatakan apa yang Nabi bawa itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Tentunya ianya amat menyakitkan hati. Dan kita kena ingat yang Nabi Muhammad juga adalah seorang manusia. Baginda terkesan juga dengan apa yang dicaci kepada baginda.

Jadi, Nabi Muhammad diajar supaya jangan buat kesah sangat dengan kata-kata mereka itu. Nabi diberitahu dalam ayat ini bahawa bukan baginda sahaja yang kena macam itu, tapi Rasul-rasul lain sebelum baginda pun pernah kena begitu. Apabila kita diberitahu yang orang pun dah kena macam apa yang kita kena, maka sedikit sebanyak akan mengurangkan sedikit keresahan kita itu.

Orang yang membawa mesej tauhid memang akan diejek. Nabi-Nabi dulu diejek termasuklah Nabi Muhammad. Para pendakwah dulu juga diejek. Maka bersedialah untuk diejek kerana itu adalah sunnatullah dari dulu sampai sekarang. Jangan hairan sangat. Kalau kita kena, itu adalah perkara biasa sahaja. Kalau kita dapat terima hakikat ini, maka kuranglah sedikit luka pada hati kita.

Nabi diingatkan supaya jangan layan permintaan mengarut mereka itu seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini – mereka minta diturunkan Qur’an siap bertulis dan mereka minta diturunkan malaikat kepada mereka. Jangan layan. Kerana mungkin Nabi ada terfikir, kalaulah diberikan apa yang mereka minta itu, mungkin mereka akan beriman.

Nabi Muhammad memang hendak sangat-sangat supaya mereka beriman. Kerana Nabi berasa amat bertanggungjawab kepada mereka. Kalau boleh, baginda nak semua bangsa Arab beriman dengan baginda. Tapi, Allah nak beritahu kepada baginda yang mereka tidak akan beriman pun walaupun diberikan apa yang mereka minta itu.

 

فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم

lalu diselubungi dari kalangan mereka yang mengejek-ejek itu,

Perkataan حَاقَ bermaksud sesuatu yang ‘turun dan menyelubungi.’ Mereka akan diberikan azab yang akan menyelubungi mereka. Apabila azab itu dari ‘atas’, kita tidak boleh lari ke atas. Apabila ‘diselubungi’, bermakna, tidak boleh lari ke tepi. Jadi, maksud yang hendak dibawa di dalam ayat ini, mereka tidak ada tempat nak lari dah.

 

مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

Apa yang akan menyelubungi mereka? – apa yang mereka ejek dulu. Dulu mereka ejek hukuman-hukuman yang dikatakan mereka akan dapat. Mereka kata: kalau betul, bawalah turun apa azab yang nak dikenakan kepada mereka itu. Sekarang dikatakan, mereka pasti akan dapat apa yang mereka ejek dulu. Ini isyarat kepada para malaikat yang akan menghancurkan mereka di Peperangan Badr nanti. Dimana mereka akan mengalami kekalahan yang tidak disangka-sangka.

Mereka juga akan terima azab di Hari Akhirat nanti. Mereka akan terima azab ini kerana dulu mereka tidak mahu terima dakwah tauhid, bukan tak mahu terima sahaja, mereka ejek-ejek lagi. Apabila dikatakan kepada mereka, kalau mereka sembah berhala dan buat syirik, Allah akan beri azab kepada mereka, mereka akan kata: “bawa turunlah azab itu kalau kau benar!”

Maka dapatlah kita tahu dari ayat ini bahawa mereka yang mengejek-ejek itu akan diazab nanti. Maka berilah ‘khabar gembira’ ini kepada mereka.

Dan dari ayat ini, ianya memujuk kita. Kalau kita sebagai pendakwah kena ejek dan kita rasa lemah, rasa sesak, ingatlah bahawa ada lagi orang lain yang kena lagi teruk dari kita.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita hukum mengejek Rasulullah. Ianya adalah dosa besar. Maka kalau ada yang buat kartun yang menghina Nabi, maka tahulah kita bahawa mereka itu telah melakukan dosa yang amat besar sekali.

Kita ingat orang kafir sahaja yang mengejek Nabi. Tapi ada juga orang Islam yang tanpa sedar telah mengejek Nabi juga. Iaitu apabila mereka merendah-rendahkan Sunnah Nabi. Sebagai contoh, mereka ejek orang yang makan dengan tangan kanan. Atau minum dengan pegang gelas dengan tangan kanan yang telah pegang makanan – mereka kata kita pengotor.

Atau mengejek mereka yang simpan janggut – mereka kata: itu geng tabligh manalah tu… dan sebagainya. Itu semua adalah Sunnah Nabi dan kalau kita ejek, maka ingatlah bahawa kita sebenarnya telah mengejek Nabi. Dan mengejek Nabi adalah dosa besar.


 

Ayat 11: Takhwif Duniawi.

قُل سيروا فِي الأَرضِ ثُمَّ انظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

Sahih International

Say, “Travel through the land; then observe how was the end of the deniers.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

 

قُلْ

Katakanlah (wahai Muhammad):

Banyak ayat dalam surah ini dimulakan dengan قُلْ. Kita akan lihat selepas ini berkali-kali lagi akan diulang.

 

سِيرُوا فِي الْأَرْضِ

“Mengembaralah kamu di muka bumi,

Perkataan سِيرُ bermaksud ‘mengembara’. Tapi mengembara itu ada dua jenis: samada dengan fizikal kita atau mengembara dengan minda kita. Sebagai contoh, kita belajar tentang Mesir dan tentang Firaun dengan hanya membaca mengenainya. Macam zaman sekarang, teknologi semakin canggih sampaikan kita dapat tahu banyak perkara tanpa kita perlu pergi ke sesuatu tempat pun.

 

ثُمَّ انظُرُوا

kemudian perhatikanlah

Ambillah pelajaran dari apa yang terjadi kepada orang-orang dulu. Tujuan kita mengembara adalah untuk mengambil pengajaran. Sebab itulah apabila Nabi dan para sahabat melalui kawasan tempat telah dimusnahkan kaum dahulu, Nabi tak benarkan mereka masuk kecuali dengan menangis untuk mengambil pengajaran dari apa yang terjadi kepada kaum terdahulu. Kerana dengan cara itu, barulah kita dapat mengambil kesan pengajaran. Bukannya kita nak jalan-jalan makan angin tapi kerana hendak mengambil pelajaran.

 

كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan.”

Lihatlah bagaimana keseluruhan tamadun boleh dihancurkan oleh Allah kerana mereka mendustakan wahyu. Ada pembelajaran yang kita boleh dapat. Supaya kita jadi takut dan berhati-hati dengan perbuatan kita. Kerana kalau kita macam mereka, boleh sahaja Allah nak hancurkan kita dan gantikan dengan umat yang lain.


 

Ayat 12: Dalil iktirafi. Ini adalah arahan Allah kepada Nabi Muhammad untuk menyampaikan soalan kepada musyrikin Mekah.

قُل لِّمَن مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ قُل ِللهِ ۚ كَتَبَ عَلىٰ نَفسِهِ الرَّحمَةَ ۚ لَيَجمَعَنَّكُم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ لا رَيبَ فيهِ ۚ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم فَهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Say, “To whom belongs whatever is in the heavens and earth?” Say, “To Allah .” He has decreed upon Himself mercy. He will surely assemble you for the Day of Resurrection, about which there is no doubt. Those who will lose themselves [that Day] do not believe.

Malay

Bertanyalah (wahai muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah. Ia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya”. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dangan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

 

قُل

Bertanyalah (wahai muhammad):

Ini adalah suruhan Allah kepada Nabi untuk bertanya kepada Musyrikin Mekah.

 

لِّمَن مَّا فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

“Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?

Kepunyaan siapakah alam ini? Alam yang begini luas, begitu indah, milik siapa?

 

قُل ِللهِ

“Katakanlah:” (Semuanya itu) adalah milik Allah.

Mereka tak jawap soalan itu, jadi Allah suruh Nabi yang jawap. Dalam ayat-ayat yang lain, telah ditanyakan kepada mereka, siapakah yang ‘mencipta’ langit dan bumi. Mereka jawap: Allah. Tapi, apabila ditanya ‘milik’ siapakah langit dan bumi ini, mereka tak mahu jawap.

Kerana tak sama kalau mereka terima Allah yang jadikan langit dan bumi dan lain kalau ianya milik Allah. Mereka tidak ada masalah untuk menerima hakikat yang Allah lah yang menjadikan alam ini. Itu adalah sebahagian dari Tauhid Rububiyyah. Tapi mereka ada masalah untuk mengaku yang alam ini milik Allah.

Macam kereta kita, memang bukan kita yang buat kereta itu, tapi kita tak kisah kerana walaupun bukan kita yang buat kereta itu, tapi ianya sekarang milik kita. Tapi, kalau kita mengaku langit dan bumi ini milik Allah, maka kita kena terima bahawa kita bergantung kepadaNya, kita kena ikut arahan dan perintah Allah. Orang Musyrikin Mekah tak boleh terima kenyataan itu.

Maka ayat ini mengingatkan kita bahawa segala yang ada dalam alam ini adalah hak milik Allah belaka. Dialah Khaliq dan Dialah juga Maalik. Jadi, kenalah kita taat kepada arahanNya, kenalah kita hanya menyembahNya sahaja, kenalah kita hanya meminta doa kepadaNya sahaja.

 

كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

Dia (Allah) telah menetapkan atas diriNya rahmat.

Iaitu rahmatNya melebihi azabNya. RahmatNya mendahului azabNya. Rahmat Allah akan sentiasa lebih dari azabNya. Lihatlah bagaimana Allah tidak menghancurkan mereka terus semasa mereka melakukan kesyirikan, kerana mungkin mereka akan berpatah balik dan bertaubat. Kalau Allah terus hancurkan mereka, tentu mereka tidak ada peluang lagi dah.

Allah telah menulis Rahmah untuk DiriNya sepertimana yang terdapat dalam Sahih Bukhari:

6999 – حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي غَالِبٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا مُعْتَمِرٌ سَمِعْتُ أَبِي يَقُولُ حَدَّثَنَا قَتَادَةُ أَنَّ أَبَا رَافِعٍ حَدَّثَهُ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللهَ كَتَبَ كِتَابًا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ الْخَلْقَ إِنَّ رَحْمَتِي سَبَقَتْ غَضَبِي فَهُوَ مَكْتُوبٌ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ

6999. Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Abu Ghalib telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ismail telah menceritakan kepada kami Mu’tamir aku mendengar ayahku berkata, telah menceritakan kepada kami Qatadah bahawa Abu Rafi’ menceritakan kepadanya, ia mendengar Abu Hurairah radliyallahu’anhu berkata, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah menetapkan satu ketetapan sebelum mencipta makhluk ini ‘rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku, dan itu tercatat di sisi- Nya di atas ‘arsy.”

Allah boleh mewajibkan apa sahaja untuk DiriNya. Ikut Dia apa yang Dia nak buat. Itulah sifat Rahmaan Allah. Allah meletakkan sifat RahmanNya lebih besar dalam setiap keputusanNya.

Dalam hadis yang lain, Nabi memberitahu kita yang Allah ada seratus rahmah. Satu rahmah diturunkan ke dunia dan satu rahmah itulah dikongsi oleh semua makhluk. Maka dari situlah seorang emak sayang kepada anaknya, kawan menyayangi kawan yang lain, ibu binatang pun sayang anaknya. Bayangkan satu rahmah sahaja dibahagikan kepada SEMUA makhluk di bumi, dan Allah simpan lagi 99 itu. Tak terbayang kita sifat rahmah Allah itu. Ini terdapat dalam hadis:

إِنَّ اللهَ خَلَقَ الرَّحْمَةَ يَوْمَ خَلَقَهَا مِائَةَ رَحْمَةٍ فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً وَأَرْسَلَ فِي خَلْقِهِ كُلِّهِمْ رَحْمَةً وَاحِدَةً فَلَوْ يَعْلَمُ الْكَافِرُ بِكُلِّ الَّذِي عِنْدَ اللهِ مِنْ الرَّحْمَةِ لَمْ يَيْأَسْ مِنْ الْجَنَّةِ وَلَوْ يَعْلَمُ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي عِنْدَ اللهِ مِنْ الْعَذَابِ لَمْ يَيأَسْ مِنْ النَّارِ.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan rahmat. Pada hari penciptaannya, Allah Swt menciptakan 100 rahmat, kemudian Dia menahan disisi-Nya 99 rahmat, dan melepaskan untuk seluruh ciptaanNya satu rahmat. Jadi, jika orang kafir mengetahui seluruh rahmat yang ada pada sisi Allah SWT, maka dia tidak akan putus asa dari (mendapatkan) syurga, dan jika seorang yang beriman mengetahui seluruh bentuk azab yang ada pada sisi Allah SWT, maka dia tidak akan merasa aman dari neraka.

Mungkin ada yang terfikir dan bertanya: kalau Allah bersifat ar-Rahman, kenapa ada kesusahan dan ketidakadilan dalam dunia? Kenapa ada seksaan di neraka nanti? Kenapa Allah nak balas manusia dengan keburukan kalau mereka ada buat salah? Ini adalah satu persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran manusia.

Jawapan: kepada orang yang beriman, apa-apa sahaja kesusahan yang dialaminya, baik kesusahan pada tubuh badannya, batinnya, kekurangan makan dan minum dan apa-apa sahaja kesusahan, ketahuilah bahawa itu adalah rahmat untuknya. Bagaimana pula begini? Nabi bersabda:

عن أبي هريرة – رضي الله عنه – قال: قال رسول الله – صلى الله عليه وسلم -: ((من يُرد الله به خيرًا، يُصب منه))؛ رواه البخاري.

Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, Allah akan memberikan musibah kepadanya.

Kenapa pula begini? Kerana apabila seorang yang beriman ditimpa musibah dan dia sabar, dia akan mendapat pahala, kebaikan juga akan diberikan kepadanya dan musibah itu akan meninggikan darjatnya. Seseorang itu akan mendapat semua itu, asalkan dia bersabar.

Ia juga akan menjadikan dirinya dalam keadaan tawadduk. Dia akan sentiasa sedar yang dia masih memerlukan Allah dalam segenap hal dan perkara. Jadi, pertaliannya dengan Allah tidak akan putus. Selalunya kalau seseorang itu sentiasa mendapat kebaikan, ada kemungkinan dia akan lupa untuk berharap kepada Allah.

Maka, orang beriman yang ditimpa musibah akan berpaling kepada Allah dan memohon kepada Allah. Dia akan semakin rapat dengan Allah. Jadi, dengan kita tahu begini, kita akan mengubah pandangan kita dalam melihat musibah dan kesusahan yang kita alami. Baru kita nampak, dalam musibah itu, ada rahmat Allah rupanya.

Bagaimana pula dengan orang yang tidak beriman? Apabila seorang yang tidak beriman ditimpa musibah, ini memberi peluang kepadanya untuk bertaubat dan kembali kepada Allah. Kalau dia mahu membuka hatinya kepada iman, dia akan memikirkan kepada siapakah lagi yang dia boleh meminta pertolongan kalau bukan dengan Allah? Maka, kalau dia faham begitu, dia akan beriman. Maka, ternampaklah rahmat dalam kesusahan yang dialaminya itu.

Kalau pun seseorang itu tidak ditimpa musibah pun, memang Allah telah banyak memberi rahmat kepadanya. Kita sahaja yang tak perasan selalunya. Seperti makan minum dan segala keperluannya telah diberikan kepadanya. Walaupun dia tidak beriman kepada Allah dan tidak pernah bersyukur kepada Allah. Lihatlah, bagaimana dengan orang yang kafir pun Allah bersifat Rahman kepada mereka.

Kalau mereka dibalas dengan azab di akhirat nanti, itu adalah kerana kesalahan yang mereka telah lakukan. Kerana mereka tidak mahu beriman dan itu adalah salah mereka. Setelah mereka diberikan dengan segala dalil dan hujjah, mereka masih lagi tidak mahu beriman dan meninggalkan kesyirikan yang mereka lakukan.

Hari Kiamat juga adalah satu rahmat dari Allah. Iaitu Allah membalas segala amal kebaikan yang manusia lakukan semasa di dunia. Bayangkan kalau kita buat kerja tapi tak dapat upah. Allah Maha Pemurah sampaikan kalau kita niat baru nak buat kebaikan pun Allah dah tuliskan pahala perbuatan itu untuk kita.

Dengan rahmat Allah jugalah Dia telah mengingatkan kita dengan hari kiamat. Supaya kita beringat. Sebab itu banyak sekali ayat Qur’an yang menyebut tentang Neraka. Itu adalah rahmat yang besar. Bayangkan kalau seseorang anak tak tahu api itu bahaya. Maka dia nak pegang api itu. Tapi emaknya akan larang dan jerit kepadanya kerana ibunya sayangkan dia. Bukanlah ibu itu jerit sebab marah tapi sebab dia sayang.

 

لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ

Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat

Lihatlah bagaimana sebaik sahaja Allah sebut tentang rahmatNya, Allah terus sebut tentang Hari Kiamat. Kenapa Allah nak ingatkan kita dengan satu hari yang dikaitkan dengan pembalasan yang buruk? Bukankah ini berlawanan dengan sifat ar-Rahman? Tidak sama sekali. Seperti yang kita telah sebut di atas, peringatan Allah ini juga adalah satu rahmat.

Hari itu dinamakan Hari الْقِيَامَةِ yang diambil dari katadasar ق و م yang bermaksud ‘berdiri’ kerana pada hari itu, keseluruhan makhluk Allah akan bangkit berdiri menunggu perbicaraan. Keduanya, pada hari itu, keadilan akan ‘ditegakkan’. Keadilan yang sebenar tidak ada dalam dunia sekarang. Ada orang yang buat salah, terlepas begitu sahaja. Ada orang yang bunuh ramai orang, tapi kalau pun dia ditangkap, dia hanya boleh dibunuh sekali sahaja.

Banyak lagi kalau nak disebut ketidakadilan dalam dunia sekarang. Begitu ramai yang ditindas dan dizalimi. Tapi tidak di akhirat nanti. Allah akan memberi keadilan dengan sepenuhnya. Ketiganya, saksi-saksi akan ‘dibangkitkan’ pada hari itu dan memberi pernyataan mereka. Tidak dapat lagi kita nak lari, nak tipu. Kalau dalam mahkamah dunia, boleh lagi nak tipu kalau mereka pandai. Tapi tidak di mahkamah Allah nanti.

Dengan sifat Rahman lah Allah menjadikan Hari Kiamat. Kerana mereka yang telah melakukan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan mereka yang telah melakukan kezaliman akan dibalas. Macam kita juga, kalau ada orang yang zalim, sifat kita adalah hendak melihat mereka diadili dengan seadilnya.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

yang tidak ada sebarang syak padanya”.

Hari Kiamat itu tidak syak lagi, pasti berlaku. Kita tahu dengan pasti tentang kedatangan hari Kiamat ini dari segi syarak dan dari akal. Dari segi syarak, terlalu banyak ayat Qur’an dan hadis Nabi yang menyebut tentangnya.

Dari segi akal, kita tahu yang semua yang ada dalam alam ini akan musnah akhirnya. Kita semua akan mati, tidak ada yang dapat hidup selama-lamanya. Begitu juga dengan dunia ini. Oleh itu, mereka yang tidak beriman pun tahu bahawa alam ni akan hancur. Para saintis pun selalu memberikan senario dimana dunia akan hancur akhirnya seperti juga bintang-bintang yang mereka kaji itu. Tidak ada yang akan kekal.

Dan secara logik, takkan orang yang baik dalam dunia dan orang yang jahat mendapat nasib yang sama. Dalam hati kita, kita tahu bahawa ada keadilan akhirnya. Mereka yang jahat tentu akan dibalas dan mereka yang baik tentu mendapat kebaikan. Takkan kedua-duanya sama. Dan kita pun tahu keadilan itu tidak ada dalam dunia. Kena tunggu akhirat nanti baru akan ada keadilan.

 

الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

Orang-orang yang merugikan diri sendiri,

Bagaimanakah mereka telah merugikan diri mereka sendiri? Allah telah memberikan kita fitrah, iaitu roh yang sempurna, tapi mereka telah tidak menggunakannya untuk kebaikan. Oleh itu, mereka telah merugikan diri mereka sendiri. Macam kalau kita berniaga – ada modal yang banyak tapi rugi dalam perniagaan sampai habis modal itu.

 

فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

maka mereka tidak beriman.

Mereka yang tidak beriman adalah mereka yang sebenar-benar rugi. Mereka akan menyesal yang amat sangat pada hari Kiamat nanti. Tapi penyesalan mereka tidak berguna.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s