Tafsir Surah al-Maidah Ayat 8 – 13 (Adil walau kepada musuh)

Maidah Ayat 8:

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, be persistently standing firm for Allāh, witnesses in justice, and do not let the hatred of a people prevent you from being just. Be just; that is nearer to righteousness. And fear Allāh; indeed, Allāh is Acquainted with what you do.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah,

Jadilah golongan penegak agama Allah ‎ﷻ dan penjaga syariat Allah ‎ﷻ. Lafaz قَوَّامِينَ adalah dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan) maknanya kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh. Usaha untuk mengamalkan apa yang Allah‎ ﷻ suruh kita buat.

Ayat ini juga menyuruh kita berusaha untuk menegakkan keadilan. Maksudnya kena jaga hak dengan Allah ‎ﷻ dan hak dengan hamba. Maka, kena jaga keadilan. Jangan tindas manusia dan jangan zalimi mereka.

Ini adalah suruhan sejagat, orang bukan Islam pun faham tentang keadilan ini. Namun kita orang Islam melakukannya kerana Allah ‎ﷻ yang suruh kita dan kerana kita taat dengan suruhan Allah ‎ﷻ. Manusia bukan Islam pun jaga keadilan tetapi kita buat kerana Allah ‎ﷻ.

 

شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ

menjadi saksi dengan adil.

Salah satu perkara penting yang kita kena lakukan adalah bersaksi dengan benar. Jangan jadi saksi palsu, jangan menipu dalam persaksian. Ini amat penting sekali kerana kalau kita tidak bersaksi dengan benar, keadilan tidak dapat ditegakkan. Berapa ramai yang manusia yang melanggar perkara ini.

Dengan melanggarnya, ada orang bersalah terlepas begitu sahaja dan lebih malang lagi, ada orang yang tidak bersalah yang dipenjarakan atau dihukum bunuh. Bukan hanya dalam mahkamah sahaja kita kena bersaksi benar, tetapi dalam kehidupan seharian kita pun.

Arahan berlaku adil ini juga telah disebut di dalam Surah An-Nisa’ (Ayat 135) sebelum ini. Cuma ada sedikit perubahan daripada susunan ayat. Kenapa begitu? Ada dua sebab utama yang menahan manusia daripada berlaku adil. Pertama kerana mereka mementingkan diri sendiri dan keluarga; dan keduanya kerana kebencian kepada pihak yang lain. Ayat daripada Surah An-Nisa’ itu menyentuh sebab yang pertama dan ayat daripada Surah Maidah ini tentang sebab yang kedua.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memerintahkan kita untuk menjadi saksi yang baik. Ini penting kerana saksi diperlukan untuk menegakkan keadilan. Hakim hendaklah mendapatkan maklumat yang benar daripada saksi. Malangnya, ramai yang lari daripada menjadi saksi. Kerana itulah keadilan susah hendak ditegakkan. Ini pun tidak boleh disalahkan sangat kepada orang yang menyaksikan kejadian sesuatu perkara.

Ini kerana sistem kehakiman di negara kita menyusahkan saksi. Mereka disoal jawab dengan teruk, kena datang berkali-kali ke mahkamah dan lain-lain lagi. Ini telah menyebabkan ramai yang menyembunyikan diri dan buat tidak tahu sahaja. Sedangkan di dalam sistem kehakiman Islam, para saksi sepatutnya tidak disusahkan.

Persaksian di dalam kehidupan kita bukan di mahkamah sahaja. Di mana-mana pun ada saksi. Di tempat kita, mungkin ada kawan kita yang dituduh; di kampung kita pun begitu juga; kita kadang kala ditanya tentang seseorang, maka waktu itu pun kena jadi saksi benar; dan pelbagai keadaan lagi. Semua ini memerlukan keikhlasan dan ketakutan kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kita bermudah-mudah dalam perkara ini kerana kita sedang diperhatikan oleh Allah ‎ﷻ (adakah menjadi saksi baik atau tidak).

 

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.

Jangan kerana benci sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak adil. Jangan kerana kamu tidak suka dengan seseorang, kamu tidak berlaku adil kepada mereka. Ada orang yang berlaku adil kepada orang yang mereka ada hubungan baik tetapi dengan mereka yang bermusuhan, mereka tinggalkan keadilan langsung. Ini adalah amat buruk sekali.

Kita kena pandai ketepikan perasaan kita supaya kita berlaku adil. Ini memang susah hendak dilakukan dan memerlukan tahap iman yang tinggi. Ini kerana kita sedar kalau kita tidak berlaku adil, kita kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Tidak berbaloi kalau kita tidak berlaku adil.

 

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ

Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.

Dalam Al-Qur’an, banyak disebut tentang suruhan supaya kita bertaqwa. Dan sekarang, kita dapat tahu bahawa salah satu syarat untuk taqwa adalah berlaku adil – sama ada kepada orang kita suka atau tidak.

 

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Sekali lagi disebut tentang taqwa. Satu perkara yang dapat mendorong kita untuk taqwa adalah dengan mengingati bahawa Allah ‎ﷻ tahu segalanya tentang kita dan apa yang kita lakukan. Perkara yang di dalam lubuk hati kita pun Allah‎ ﷻ amat tahu.

Kalau dilihat kepada susunan ayat ini kita boleh lihat ia disusun sebegini: إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ. Kadangkala disusun dengan disebut kalimah تَعْمَلُونَ dahulu. Susunan sebegini pun ada mempunyai maksud tertentu. Kalau disebut lafaz خَبِيرٌ dulu, ayat itu tentang perbuatan hati. Kalimah خَبِيرٌ bermaksud tahu secara mendalam. Maka memang Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada di dalam hati kita secara mendalam.


 

Maidah Ayat 9: Ini adalah Ayat Tabshir (berita gembira).

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has promised those who believe and do righteous deeds [that] for them there is forgiveness and great reward.

(MALAY)

Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan yang beramal saleh, (bahawa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.

 

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman

Ini adalah janji Allah ‎ﷻ kepada orang yang beriman. Iman itu mestilah iman yang sempurna – iaitu iman yang tidak ada syirik di dalamnya. Itulah iman yang sempurna. Untuk mengetahuinya, kenalah dipelajari keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an dan tafsirnya untuk memahami apakah yang dimaksudkan ‘tauhid’ dan apakah yang dimaksudkan ‘syirik’.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan yang beramal saleh, 

Kita bukan kena beriman sahaja, tetapi kenalah beramal dengan amalan yang soleh. Jangan mulut sahaja kata beriman, tetapi goyang kaki tanpa melakukan amal kebaikan (amal soleh).

Amalan yang soleh pula adalah amalan yang sunnah, iaitu amalan yang ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Bukannya amalan yang bid’ah (amalan rekaan yang baru tanpa contoh dalam nas), walaupun dinamakan ‘Bidaah Hasanah’ oleh mereka yang tidak faham apakah bid’ah.

Kalau nama yang baik dan ‘mesra’ diberikan kepada amalan yang salah, ia tetap salah. Ini adalah seperti riba yang diberi nama ‘interest’ (kepentingan), ia adalah tetap riba yang haram walaupun namanya telah ditukar. Walaupun ia telah diberi gelaran ‘bunga’, tidaklah ia menjadi harum, tetapi masih tetap busuk dan buruk.

 

لَهُم مَّغْفِرَةٌ

untuk mereka ampunan

Untuk mereka yang beriman dan beramal soleh, Allah ‎ﷻ menjanjikan keampunan yang besar untuk mereka. Keampunan Allah ‎ﷻ amat diharapkan oleh kita kerana kita manusia yang banyak dosa. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita terlebih dahulu dan kita pastinya tidak mahu langsung masuk neraka, bukan?

 

وَأَجْرٌ عَظِيمٌ

dan pahala yang besar.

Pahala yang besar juga adalah harapan kita. Ini kerana di akhirat kelak, wang ringgit tidak ada nilai. Yang ada nilai adalah pahala kita. Dengan pahala dapat meningkatkan kedudukan kita di akhirat kelak.


 

Maidah Ayat 10: Ini ayat Takhwif Ukhrawi (ayat menakutkan tentang azab).

وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِئآيَٰتِنَا أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieve and deny Our signs – those are the companions of Hellfire.

(MALAY)

Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu adalah penghuni neraka.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

Dan adapun orang-orang yang kafir

Ini adalah mereka yang kufur kerana degil. Setelah dibawakan dalil bukti kepada mereka, mereka menolaknya kerana mereka degil tidak mahu menerima kebenaran yang telah disampaikan.

 

وَكَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

dan mereka telah mendustakan ayat-ayat Kami,

Mereka tidak mahu menerima ajaran daripada wahyu. Kepada pendakwah yang membawakan ajaran wahyu kepada mereka, mereka kata: “Kamu dusta”.

Begitulah yang banyak terjadi. Apabila diberikan tafsir Al-Qur’an kepada masyarakat dan mereka tidak mahu terima, mereka kata tafsiran kita adalah salah. Mereka tidak dapat terima kerana tidak sama dengan apa yang mereka amalkan selama hari ini.

 

أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ

mereka itu adalah penghuni neraka.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana penolakan mereka itu. Apabila dikatakan mereka itu ‘sahabat neraka’, maksudnya mereka itu adalah ‘pemegang geran’ dalam neraka. Mereka akan kekal di dalamnya kerana mereka ada geran tanah, maka itu memang tempat tinggal mereka untuk selama-lamanya.

Ini berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang hanya masuk neraka sekejap sahaja. Orang mukmin ada yang masuk neraka sekejap tetapi akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka bukanlah ‘sahabat neraka’.


 

Maidah Ayat 11:

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ وَاتَّقُوا اللهَ وَعَلَى اللهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, remember the favor of Allāh upon you when a people determined to extend their hands [in aggression] against you, but He withheld their hands from you; and fear Allāh. And upon Allāh let the believers rely.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah (yang diberikan-Nya) kepadamu, di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu (untuk berbuat jahat), maka Allah menahan tangan mereka dari kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakkal.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah kepadamu, 

Tentunya ada nikmat daripada Allah ‎ﷻ yang tidak terkira banyaknya. Namun dalam ayat ini adalah nikmat yang khusus yang hendak diingatkan kepada orang mukmin, iaitu nikmat bantuan keselamatan kepada mereka.

 

إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ

di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu

Ketika ada kaum yang sangat hendak menyerang kamu. Tujuan mereka adalah untuk memusnahkan kamu. Ini adalah ketika Musyrikin Mekah yang bertujuan hendak memusnahkan kaum Muslimin.

 

فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ

maka Allah menahan tangan mereka dari kamu.

Namun Allah ‎ﷻ telah menahan tangan mereka daripada membunuh kamu. Allah ‎ﷻ menahan hati mereka untuk terus melakukan kejahatan terhadap kamu. Banyaklah contoh yang boleh diberikan. Salah satu daripadanya adalah Peperangan Khandak di mana Musyrikin Mekah telah datang untuk menyerang umat Islam di Madinah. Mereka tidak dapat masuk ke dalam Kota Madinah.

Mereka bercadang hendak menyerang kaum Muslimin secara habis-habisan. Ramai puak yang bersekongkol dengan mereka pada waktu itu untuk terus menghapuskan Islam, tetapi selepas kekalahan itu, mereka sudah tidak mahu bekerjasama dengan Musyrikin Mekah. Selepas kejadian itulah terjadinya Perjanjian Hudaibiyah.

Dalam sirah juga ada disebut beberapa kali telah ada perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad ﷺ tetapi Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan baginda.

 

وَاتَّقُوا اللهَ

Dan bertaqwalah kepada Allah,

Maka kerana nikmat Allah ‎ﷻ menyelamatkan kamu itu maka bertaqwalah kepada Allah . Jagalah hukum dan taat kepada perintah-Nya.

 

وَعَلَى اللهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakal.

Allah ‎ﷻ suruh orang mukmin bertawakal kepada Dia. Mereka akan berserah diri kepada Dia dan berharap kepada Dia sahaja. Memang akan ada pihak musuh yang hendak merosakkan kita dan usaha dakwah kita. Kita memang tidak ada daya upaya untuk menghalang mereka, maka orang mukmin akan serahkan sahaja urusan mereka kepada Allah ‎ﷻ.

Kita boleh berusaha setakat yang kita boleh lakukan, tetapi selebihnya terpulang kepada Allah ‎ﷻ. Kalau apa-apa pun yang terjadi, kita terima itu adalah ketentuan daripada Allah ‎ﷻ. Kita sebagai makhluk-Nya yang lemah, tertakluk kepada kehendak Allah ‎ﷻ sahaja.

Sekian Ruku’ 2 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 12: Allah ‎ﷻ memberikan contoh mereka yang mungkir janji iaitu Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Mereka dahulu pun sudah dapat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ, tetapi mereka telah memungkiri janji mereka. Allah ‎ﷻ memulakan dengan golongan pertama: Yahudi.

وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثٰقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَوٰةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَوٰةَ وَءآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh had already taken a covenant from the Children of Israel, and We delegated from among them twelve leaders. And Allāh said, “I am with you. If you establish prayer and give zakāh and believe in My messengers and support them and loan Allāh a goodly loan,¹ I will surely remove from you your misdeeds and admit you to gardens beneath which rivers flow. But whoever of you disbelieves after that has certainly strayed from the soundness of the way.”

  • By spending in the cause of Allāh, seeking His reward.

(MALAY)

Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israil dan telah Kami angkat diantara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir air di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

 

وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (daripada) Bani Israel

Allah ‎ﷻ memberikan contoh apakah yang telah dilakukan oleh Bani Israel. Mereka telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ juga. Perjanjian itu adalah untuk mentaati hukum yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada mereka.

 

وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا

dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin

Allah ‎ﷻ telah melantik 12 ketua agama dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka itu ramai dan terbahagi kepada 12 puak kerana anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام pun adalah 12 orang. Puak yang 12 itu adalah daripada keturunan anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام.

Yang dimaksudkan dengan naqib ialah pemimpin atas kabilahnya ma­sing-masing untuk mengajak mereka berbaiat (berjanji setia) untuk tunduk dan taat kepada Allah ‎ﷻ, rasul, dan kitab-Nya.

Demikian pula halnya ketika Rasulullah ﷺ membaiat orang-orang Ansar di malam Al-Aqabah. Jumlah mereka adalah dua belas orang pemimpin: Tiga orang daripada kabilah Aus; mereka adalah Usaid ibnul Hudair, Sa’d ibnu Khaisamah, dan Rifa’ah ibnu Abdul Munzir, yang menurut suatu pendapat digantikan oleh Abul Haisam ibnut Taihan رضي الله عنهم. Sembilan orang dalam kalangan kabilah Khazraj pula adalah; Abu Umamah As’ad ibnu Zurarah, Sa’d ibnur Rabi’, Abdullah ibnu Rawwahah, Rafi’ ibnu Malik ibnul Ajian, Al-Barra ibnu Ma’rur, Ubadah ibnus Samit, Sa’d ibnu Ubadah, Abdullah ibnu Amr ibnu Haram, dan Al-Munzir ibnu Umar ibnu Hunaisy رضي الله عنهم.

Jumlah mereka disebut oleh Ka’b ibnu Malik dalam syair yang dibuatnya. Makna yang dimaksudkan ialah bahawa mereka adalah juru penerang atas kabilahnya masing-masing pada malam itu yang menyampaikan perintah Nabi ﷺ kepada mereka mengenai hal ter­sebut. Merekalah yang menangani perjanjian dan baiat kaumnya ke­pada Nabi ﷺ untuk bersedia tunduk dan taat kepada baginda.

Ada hadith yang dise­butkan di dalam kitab Sahihain melalui riwayat Jabir ibnu Samurah رضي الله عنه yang menceritakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah ﷺ ber­sabda:

“لَا يَزَالُ أَمْرُ النَّاسِ مَاضِيًا مَا وَلِيَهُمُ اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا”

Urusan manusia masih tetap lancar selagi mereka diperintah oleh dua belas orang lelaki.

Kemudian Nabi ﷺ mengucapkan suatu kalimat yang tidak dapat kudengar dengan baik, lalu aku menanyakan (kepada orang lain) ten­tang apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ. Maka ia menjawab bahawa Nabi ﷺ bersabda:

“كُلُّهُمْ مِنْ قُرَيْشٍ”

Mereka semuanya dari kabilah Quraisy.

Demikianlah menurut lafaz yang ada pada Imam Muslim. Makna hadith ini mengandungi berita gembira yang menyatakan bahawa kelak akan ada dua belas orang khalifah yang soleh yang menegakkan perkara hak dan bersikap adil dalam kalangan manusia. Hal ini tidak memastikan berturutnya mereka, yakni masa-masa pemerintahan mereka.

Bahkan terdapat empat orang daripada mereka yang berturutan masa pemerintahannya, seperti empat orang Khalifah Rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali رضي الله عنهمDi antara mereka ialah Umar ibnu Abdul Aziz, tanpa diragukan lagi menurut para imam, dan sebahagian khalifah dalam kalangan Bani Ab­bas. Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum mereka semuanya memerintah, sebagai suatu kepastian.

Menurut lahiriahnya salah seorang daripada mereka adalah Imam Mahdi yang diberitakan melalui banyak hadith yang menyebutkan be­rita gembira akan kedatangannya. Disebutkan bahawa nama imam ini sama dengan nama Nabi ﷺ dan nama ayah Nabi ﷺ, lalu beliau akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kearifan, seperti halnya bumi dipenuhi oleh kezaliman dan kemungkaran sebelumnya.

Akan tetapi, Imam Mahdi ini bukanlah imam yang ditunggu-tunggu kedatangannya — menurut dugaan orang-orang Rafidah, dia akan muncul dari lubang-lubang kota Samara— kerana sesungguh­nya hal tersebut tidak ada kenyataannya dan tidak ada sama sekali nas yang sahih. Bahkan hal tersebut hanyalah merupakan igauan akal-akal yang ren­dah dan ilusi daripada akal yang lemah.

Oleh itu, bukanlah yang dimaksudkan dengan dua belas orang itu adalah para imam yang jumlahnya dua belas orang menurut keyakinan orang-orang Rafidah (satu mazhab daripa Syi’ah). Mereka mengatakan demikian kerana kebodohan dan kekurangan akal mereka.

Di dalam kitab Taurat disebutkan berita gembira mengenai ke­datangan Ismail  عليه السلام dan bagaimana Allah ‎ﷻ akan melahirkan daripada tulang sulbinya dua belas orang pembesar (pemimpin). Mereka adalah para khalifah yang jumlahnya dua belas orang yang disebutkan di dalam hadith Ibnu Mas’ud dan Jabir ibnu Samurah.

Sebahagian orang Yahudi yang telah masuk Islam yang kurang akalnya dan terpengaruh oleh sebahagian golongan Syi’ah menduga bahawa mereka adalah para imam yang dua belas orang itu (yang dalam kalangan Syi’ah lazim disebut “Isna “Asy-ariyah”), sehingga akibat­nya banyak dalam kalangan mereka yang masuk Syi’ah kerana kebo­dohan dan kedunguan mereka, juga kerana lemahnya ilmu mereka serta ilmu orang-orang yang mengajar mereka akan hal tersebut tentang sunnah-sunnah yang telah terbukti bersumber daripada Nabi ﷺ.

Kembali kepada potongan ayat ini. Kenapa dilantik naqib dalam kalangan mereka? Ini adalah kerana Islam iktiraf kumpulan-kumpulan masyarakat. Mereka lebih mengenali dan memahami apa yang dilalui dalam kalangan mereka, apakah harapan mereka dan sebagainya. Maka dilantik pemimpin dalam kalangan juga yang lebih mengenali hati budi mereka.

Masyarakat mereka juga tentu lebih mengenali ketua dalam kalangan mereka. Begitulah kalau dilantik wakil rakyat untuk bertanding, selalunya diambil dalam kalangan penduduk tempatan. Jarang diambil daripada golongan orang luar, bukan?

 

وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ

dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu, 

Allah ‎ﷻ berjanji yang Dia akan sentiasa bersama mereka dengan syarat-syarat yang akan diberitahu nanti: syarat-syarat itu adalah kesimpulan perjanjian hamba dengan Allah ‎ﷻ iaitu pemeliharaan-Nya, perlindungan-Nya, dan pertolongan-Nya selalu menyertai mereka.

Ia juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan apa sahaja yang mereka lakukan. Kalau mereka melanggar bai’ah mereka, maka mereka akan dipertanggungjawabkan nanti.

 

لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ

jika kamu mendirikan salat 

Pertama disebut salat. Ini adalah contoh dari segi amalan perbuatan badan.

Ini juga bermakna yang syariat Salat juga ada dikenakan kepada Bani Israel (malah bagi setiap umat dan Nabi mereka).

 

وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ

dan menunaikan zakat 

Dan hendaklah ditunaikan Zakat. Ini adalah contoh amalan dari segi harta iaitu mengeluarkan harta. Ia juga adalah mengeratkan hubungan sesama manusia, sedangkan salat adalah hubungan antara manusia dengan Allah ‎ﷻ.

Malangnya bab zakat ini kurang dijaga oleh masyarakat kita kerana kejahilan tentang kewajipannya dan bagaimana memenuhinya. Maka masyarakat haruslah lebih cakna tentang perkara ini dan belajar tentang apakah yang perlu dizakatkan daripada pendapatan mereka.

 

وَآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ

serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka

Ini pula adalah dari segi Akidah. Hendaklah beriman dengan sekalian rasul, tidak boleh tolak satu pun. Termasuk yang perlu mereka beriman adalah rasul-rasul yang akan datang kemudian. Bani Israel ada masalah untuk beriman dengan Nabi Isa عليه السلام dan juga Nabi Muhammad ﷺ dan kerana itu mereka ada masalah dengan Allah ‎ﷻ.

Bukan sahaja beriman dengan mereka, tetapi kenalah bantu mereka ketika bertemu musuh. Bantu kerana hormat kepada mereka.

 

وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا

dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik

Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang pinjaman. Ini berkenaan dengan harta lagi selepas disebut tentang zakat sebelum ini. Pinjaman yang dimaksudkan adalah infaq harta selain zakat. Inilah derma, dan pemberian kepada orang yang memerlukan. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an tentang infaq harta ini.

Qardun Hasan adalah pinjaman yang ikhlas yang tidak mengharapkan balasan keduniaan. Maka pinjaman kepada Allah ‎ﷻ adalah infaq yang ikhlas yang mengharapkan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja di akhirat kelak.

Sebelum ini telah disebut tentang zakat, maka Qardun Hasan bukanlah zakat (yang wajib) akan tetapi ia bermaksud sedekah dan infaq yang selain zakat iaitu infaq sunat. Maka ini mengajar kita yang kita bukan sahaja kena bayar zakat sahaja. Zakat itu memang sudah wajib, tetapi ada lagi infaq selainnya.

Jadi kalau zakat itu fardhu ain, Qardun Hasan ini adalah fardhu kifayah yang perlu diperhatikan oleh umat Islam. Sebagai contoh, mendirikan masjid dan tempat pengajian untuk mengajar umat tentang agama.

 

لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu.

Natijahnya Allah ‎ﷻ akan menutup kesalahan dengan memberikan keampunan-Nya.

 

وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Dan sesungguhnya kamu akan Ku-masukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai.

Jika menjaga hukum, Allah ‎ﷻ akan masukkan ke dalam syurga, dengan segala nikmat di dalamnya.

 

فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

Sekiranya mungkir janji, kufur dengan segala arahan dalam ayat ini, maka itu bermaksud mereka telah sesat dari jalan yang benar. Kesannya mereka akan menjalani kehidupan yang salah di dunia ini dan di akhirat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.


 

Maidah Ayat 13: Oleh kerana mereka memungkiri janji, maka Allah ‎ﷻ timpakan 5 perkara ke atas mereka.

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثٰقَهُمْ لَعَنّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قٰسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So for their breaking of the covenant We cursed them and made their hearts hardened. They distort words from their [proper] places [i.e., usages] and have forgotten a portion of that of which they were reminded.¹ And you will still observe deceit among them, except a few of them. But pardon them and overlook [their misdeeds]. Indeed, Allāh loves the doers of good.

  • In the Torah concerning the coming of Prophet Muḥammad ().

(MALAY)

(Tetapi) kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

 

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ

Kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka, 

1. Maka Allah ‎ﷻ laknat mereka. Jika Allah ‎ﷻ telah melaknat, maka tidak ada peluang untuk mendapat rahmat iaitu Allah ‎ﷻ menjauhkan mereka daripada perkara yang hak dan mengusir mereka dari jalan hidayah. Maka umat Islam sekarang kena berhati-hati supaya jangan jadi seperti mereka.

 

وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. 

2. Hati mereka keras seperti batu untuk menerima kebenaran dan keras hati untuk menerima nasihat. Apabila nasihat disampaikan kepada mereka, ia tidak memberi bekas. Ya Allah, janganlah Kau jadikan kami seperti mereka! Aameen.

Perkara ini adalah sama seperti karat pada hati yang Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Mutaffifin:14

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.

Ada satu hadith tentang hal ini di mana Rasulullah ﷺ telah mentafsir ayat ini. Kita boleh lihat hadith daripada Abi Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.

Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

(Riwayat al-Nasa’iy (11594))

Apabila sudah hitam hatinya, maka dia sudah tidak kisah lagi dengan perbuatannya. Dia sudah tidak kisah halal atau haram, baik atau buruk. Semua ikut nafsu dia sahaja; apa yang dia hendak buat, dia buat sahaja tanpa banyak fikir lagi, 

Dia sentiasa membuat dosa yang sama umpama daya inersia (kekal dalam keadaan yang sama) kerana dia sudah lali dengan perbuatan dosa. Dia sudah tidak dapat ‘brek’ lagi daripada perbuatan dosanya itu. Dia bagaikan sudah ketagih dengan dosanya sendiri; dosa tersebut menjadi tabiat yang kekal sebati dalam jiwanya.

 

يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ

Mereka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya,

3. Iaitu mereka mengubah matan (teks) Kitab Taurat. Atau, mereka ubah makna daripada yang sepatutnya (beri penafsiran yang lain, jauh daripada yang kebenaran). Ini terjadi apabila sudah lali dengan perbuatan dosa. Sampai mereka sanggup membuat dosa yang amat tinggi sekali iaitu mengubah kalam Allah ‎ﷻ sendiri.

Mengubah kalam Allah ‎ﷻ adalah perbuatan yang buruk. Begitu jugalah seperti kebanyakan perbuatan guru-guru kita yang salah dalam mengajar. Mereka menggunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi mereka telah mengubah maknanya sampai keliru orang awam yang tidak faham bahasa Arab dan yang tidak belajar tafsir.

Kerana itulah ramai yang melakukan ibadah yang salah dan fahaman yang syirik dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Ini kerana ramai yang tidak tahu tentang Al-Qur’an dan mereka diberikan maklumat yang salah tentangnya.

 

وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ

dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan dengannya,

4. Mereka lupa sebahagian besar hukum yang mereka perlu taati. Sedangkan ayat-ayat itu tentang perkara yang mereka selalu diingatkan untuk menegakkannya. Ini juga kesan daripada kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan.

Maka kerana mereka lupa, mereka tidak beramal dengannya. Memang banyak daripada Taurat yang mereka tidak amalkan. Mereka amalkan mana yang mereka mahu sahaja. Jika ada yang mereka rasa susah untuk amal dan tegakkan, mereka buat tidak kisah sahaja.

 

وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ

dan kamu senantiasa akan mengetahui pengkhiatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka

5. Berlaku khianat dalam kalangan mereka dan mereka juga akan melakukan khianat kepada muslimin. Hati mereka tidak tenteram kalau melihat umat Islam berjaya. Mereka akan cuba untuk menjatuhkan umat Islam. Perkara ini telah banyak dibincangkan dalam Surah Baqarah sebelum ini.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang kebanyakan daripada mereka akan melakukan khianat dan sedikit sahaja yang masuk Islam. Akan tetapi kerana ia perkara yang di dalam hati, maka kita tidak tahu. Kalimah تَطَّلِعُ dari katadasar ط ل ع yang bermaksud naik; belajar; datang ke arah sesiapa sahaja; bermula; memanjat; capaian; bercambah; notis; lihat; mencari; meneliti; mendedahkan; menerangkan; muncul; memaklumkan; berlaku; pertimbangkan; tahu; buah apabila ia mula-mula muncul; buah-buahan; senja terbit (matahari); tempat terbit (matahari); menembusi; lekapkan; menyebabkan faham. Ia diambil dari kalimah أطلَعَ yang bermaksud memaklumkan tentang realiti sesuatu.

 

فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ

maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, 

Kita disuruh memaafkan mereka dan jangan pedulikan mereka. Jangan hukum lagi apa yang mereka buat dahulu. Dakwah sahaja kepada mereka dahulu. Ada benda lain yang lebih penting lagi daripada menghukum mereka. Biarlah sahaja Allah ‎ﷻ yang menghukum.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat:

قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلا بِالْيَوْمِ الآخِر

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian. (At-Taubah: 29), hingga akhir ayat.

 

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Allah ‎ﷻ sukakan hamba yang memiliki hati yang baik. Yang juga cuba memperbaiki diri mereka dari masa ke semasa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

 

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 6 – 7 (Ayat Wudhu’)

Ayat 6: Ayat Umur Muslihah. Ini adalah ayat tentang Hukum Wuduk.

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَوٰةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ مَا يُرِيدُ اللهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you rise to [perform] prayer, wash your faces and your forearms to the elbows and wipe over your heads and wash your feet to the ankles. And if you are in a state of janābah,1 then purify yourselves. But if you are ill or on a journey or one of you comes from the place of relieving himself or you have contacted women2and do not find water, then seek clean earth and wipe over your faces and hands with it. Allāh does not intend to make difficulty for you, but He intends to purify you and complete His favor upon you that you may be grateful.

  • See footnote to 4:43.
  • i.e., had sexual intercourse.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (tandas) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.

seterusnya

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَوٰةِ

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan salat,

Lafaz قُمْتُمْ dari segi nahu adalah dalam bentuk fi’il ma’dhi (past tense) – jadi dari segi bahasa ia bermaksud apabila kamu ‘sudah’ mendirikan salat, tetapi di sini tidak mungkin pula maksudnya begini; tidak mungkin sudah salat baru hendak ambil wudhu’ pula, bukan?

Oleh itu, maksud yang sebenarnya adalah: apabila kamu ingin mendirikan salat, bukannya setelah berdiri untuk salat. Ini bukanlah fi’il madhi biasa tetapi fi’il madhi syuruk, iaitu apabila sudah hampir hendak melakukan salat.

Bukanlah kita kena mengambil wudhu’ untuk setiap kali salat. Kalau waktu itu kita tidak dalam keadaan berhadas, tidaklah wajib kita ambil wudhu’, hukumnya adalah hanya sunat sahaja (memperbaharui wudhu’).

seterusnya

فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ

maka basuhlah muka-mukamu

Anggota wudhu’ yang pertama yang perlu dibasuh adalah wajah kita. Penerangan terperinci tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘wajah’ itu bolehlah dirujuk kepada perbincangan fiqh.

Walaupun disebut muka dahulu, tetapi dalam hadith, kita tahu hukumnya sunat untuk membaca basmalah dan basuh tangan, kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dahulu. Dalam kitab Sahihain daripada Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengata­kan bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِه، فَلَا يُدخل يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ قَبْلَ أَنْ يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا، فَإِنَّ أحدَكم لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ”

Apabila seseorang di antara kalian bangun daripada tidur, janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bekas (air) sebelum membasuhnya sebanyak tiga kali. Kerana sesungguhnya seseorang di antara kalian tidak mengetahui di manakah tangannya berada semalam.

seterusnya

وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ

dan tangan-tanganmu sampai ke siku, 

Daripada ayat ini, kita tahu bahawa muka dan tangan hendaklah ‘dibasuh’, maknanya dengan menggunakan air dan ada had yang dikenakan kepada tangan, di mana kena dibasuh, dikenakan dengan air sampai ke siku. Maka kenalah tangan kita meraut air sehingga melebihi siku.

Kalau kita perhatikan cara orang kita mengambil wuduk, kita boleh perasan bagaimana mereka tidak berapa menjaga bahagian siku pada tangan. Kita boleh lihat ramai yang air wudhu’ mereka tidak sampai ke siku. Ini amat menyedihkan, kerana kalau ada masalah dengan wudhu’, maka mereka akan ada masalah dengan salat mereka.

seterusnya

وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ

dan sapulah kepalamu

Kalau muka dan tangan dibasuh, pada kepala hanya ‘disapu’ sahaja, iaitu tangan hanya dibasahkan sahaja. Ini pun ramai dalam kalangan kita yang melakukan kesilapan kerana kebanyakannya mengambil air dengan banyak untuk ‘basuh’ kepala mereka, sedangkan mereka kena sapu sahaja.

Satu lagi masalah dengan orang kita, mereka hanya kenakan sedikit sahaja rambut mereka dengan air, sedangkan yang lebih tepat, seluruh kepala mesti disapu dengan tangan. Begitulah yang telah dilakukan oleh Nabi ﷺ.

Perbincangan tentang wudhu’ boleh dipelajari daripada hadith di sini. Masyarakat kita kena perlu belajar lagi tentang hadih-hadith berkaitan wudhu’ dan janganlah hanya cukup dengan apa yang mereka belajar di sekolah rendah dahulu.

seterusnya

وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki,

Terdapat perbincangan yang agak panjang juga tentang kaki. Secara ringkasnya, kaki itu kenalah di’basuh’, bukan disapu sahaja. Walaupun dari segi susunan, ada yang terkeliru kerana ia terletak selepas disuruh ‘sapu’ kepala, dan terus disambung dengan lafaz ‘dan kaki hingga ke mata kaki’. Jadi, ada yang kata, maksud ayat itu adalah sapu kepala dan sapu kaki. Namun, tidak begitu.

Daripada lafaz yang digunakan dalam ayat ini, digunakan lafaz arjulakum – oleh itu, ia kembali kepada muka dan tangan – kalau muka dan tangan dibasuh, maka kaki pun mestilah dibasuh juga. Kalau digunakan lafaz arjulikum, maka barulah ia sama dengan kepala yang disapu sahaja.

Memang ada dua jenis bacaan dalam ayat ini – ada qiraat yang baca arjulakum dan ada qiraat yang baca arjulikum. Namun yang banyak digunakan adalah arjulakum – maknanya kena basuh kaki itu. Bagi penganut Syiah, mereka akan baca arjulikum dan kerana itu mereka hanya sapu sahaja kaki mereka, tidak basuh. Malah, mereka diharamkan daripada membasuh kaki mereka ketika wudhu’. Jadi banyak kesalahan yang mereka lakukan.

Begitu pun, kita tidaklah tolak terus bacaan arjulikum itu – kerana itu juga adalah qiraat yang sah. Cuma digunakan dalam keadaan tertentu sahaja. Dalam bab wudhu’, ada perbincangan tentang sapu ‘khuf’, di mana kita hanya sapu sahaja pada khuf dan tidak buka pun kasut khuf itu.

Mungkin ramai masyarakat Malaysia yang tidak tahu kerana mereka tidak belajar, tetapi kalau mereka tahu, ini akan memudahkan hidup mereka. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan ini, namun bolehlah kita tambah maklumat kita tentang ibadah ini dengan lebih lanjut lagi.

Secara ringkasnya, hendaklah dibasuh kaki itu dalam wudhu’. Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ marah apabila baginda nampak sahabat tidak membasuh kaki mereka dengan baik.

وَفِي الصَّحِيحَيْنِ، مِنْ رِوَايَةِ أَبِي عَوَانة، عَنْ أَبِي بِشْر، عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَك، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: تَخَلَّف عَنَّا رسول الله صلى الله عليه وسلم في سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا، فأدرَكَنا وَقَدْ أرْهَقَتْنَا الصلاةُ، صلاةُ الْعَصْرِ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ، فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا، فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ: “أسبِغوا الْوُضُوءَ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ”.

Di dalam kitab Sahihain melalui riwayat Abu Uwwanah, daripada Abu Bisyr, daripada Yusuf ibnu Mahik, daripada Abdullah ibnu Amr, disebutkan bahwa Rasulullah ﷺ dalam suatu perjalanan bersama kami berhen­ti, lalu baginda menyusul kami dan masuklah waktu salat Asar, yang saat itu kami dalam keadaan lelah. Maka kami lakukan wudhu’ dan kami mengusap pada kedua kaki kami. Lalu Rasulullah ﷺ berseru dengan sekuat suaranya: Sempurnakanlah wudhu’, celakalah bagi tumit yang tidak dibasuh kerana akan dibakar oleh neraka.

Dan di dalam hadith yang lain:

وَقَدْ رَوَى مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ، مِنْ طَرِيقِ أَبِي الزُّبَيْرِ، عَنْ جَابِرٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ؛ أَنَّ رَجُلًا تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ”.

Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab sahihnya melalui ja­lur Abuz Zubair, daripada Jabir, daripada Umar ibnul Khattab, bahawa seorang lelaki melakukan wudhu’, dan meninggalkan bahagian sebesar kuku tanpa terbasuh pada telapak kakinya. Nabi ﷺ melihatnya, maka Nabi ﷺ bersabda: Kembalilah dan lakukanlah wudhu’mu dengan baik.

seterusnya

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

dan jika kamu junub maka mandilah,

Jika berjunub maka, hendaklah dicuci dengan lebih lagi iaitu kena mandi. Junub adalah apabila kita berhadas besar seperti keluar mani, berjimak, keluar haid dan juga nifas. Tentang Mandi Junub juga telah banyak disentuh dalam hadith yang hendaklah dipelajari.

seterusnya

وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan 

Wudhu’ dilakukan dengan air. Namun dalam keadaan tertentu, ada masanya kita tidak dapat menggunakan air. Kadang-kadang kita sakit yang tidak boleh dikenakan air – mungkin ada luka di mana-mana anggota wudhu’ atau di tubuh badan sehinggakan tidak boleh mandi junub.

Ataupun kita dalam perjalanan yang jauh dan tidak ada air waktu itu. Atau air ada, tetapi sedikit dan cuma cukup untuk digunakan sebagai air minuman sahaja. Dalam kes ini diberi kelonggaran (rukhsah) kepada kita.

seterusnya

أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ

atau kembali dari tempat buang air

Buang air kecil atau besar adalah salah satu perkara yang menyebabkan kita berhadas. Lafaz الْغَائِطِ bermaksud tanah rendah yang digunakan sebagai tempat buang air. Kalau zaman Nabi ﷺ, mereka tidak ada tandas. Mereka akan buang air di tempat yang jauh di padang pasir, selalunya di tempat yang rendah dari tempat biasa.

Jadi, الْغَائِطِ itu bermaksud tempat buang air dan zaman sekarang bermaksud ‘tandas’. Ini adalah salah satu daripada keindahan bahasa Al-Qur’an – tidaklah digunakan lafaz ‘buang air’, atau ‘kencing’ atau ‘berak’ tetapi bahasa isyarat sahaja yang digunakan. Memang tidak disebut semua itu, hanya disebut ‘kembali’ dari tempat itu sahaja, namun kita yang ada akal ini, fahamlah yang bukan balik sebab sengaja lawat tempat itu, tetapi sudah selesai ‘kerja membuang dan melabur’ di sana.

seterusnya

أَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاءَ

atau menyentuh perempuan, 

Ada perbincangan yang agak panjang juga tentang potongan ayat ini. Persoalan yang dibincangkan dari zaman berzaman adalah sama ada ‘sentuh’ perempuan membatalkan wudhu’ atau tidak. Jadi, ada perbezaan pendapat antara mazhab yang besar tentang perkara ini.

Mazhab Syafi’iy, contohnya, berpendapat bahawa kalau sentuh sahaja antara lelaki dan wanita, terus membatalkan wudhu’. Sedangkan pendapat mazhab lain seperti Maliki, sentuh sahaja tidaklah membatalkan wudhu’ kerana lafaz لَامَسْتُمُ (bukan لَمَستُم) dalam ayat ini bukanlah bermaksud ‘kamu sentuh’ tetapi ia bermaksud ‘bersentuh-sentuhan’ yang bermaksud persetubuhan (jimak) – ini kerana ada beza dari segi wazan antara لَامَسْتُمُ dan لَمَستُم. Jadi, kalau setakat sentuh biasa sahaja, bukan ada nafsu waktu itu, tidaklah membatalkan.

Saya lebih setuju dengan pendapat yang mengatakan lafaz laamasa dalam ayat ini bermaksud jimak dan bukanlah sentuh biasa kerana kalau sentuh biasa sahaja, lafaz lamasa yang digunakan. Ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith bagaimana Nabi Muhammad ﷺ sendiri ada bersentuh dengan para isteri baginda (sebelum salat dan semasa salat) dan tidaklah baginda mengambil wudhu’ semula selepas itu.

Begitu pun, tidaklah kita mengatakan mereka yang berpendapat ayat ini bermaksud ‘sentuh’ sebagai salah pula. Ini terpulang kepada penelitian dan pilihan mana pendapat ulama’ yang kita hendak pilih. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan – menghormati pendapat ulama’ – semuanya ada dalil, cuma pemahaman dalil yang berlainan. Inilah baru dikatakan ‘khilaf’ ulama’ iaitu ada dalil. Bukannya khilaf ulama’ dalam perkara yang tidak ada dalil.

Sebagai contoh, ada yang kata, Majlis Tahlil itu adalah khilaf ulama’ juga. Itu bukanlah khilaf yang patut dilayan, kerana tidak ada langsung dalil Nabi ﷺ pernah buat buat Majlis Tahlil pun. Buang masa sahaja melayan khilaf seperti itu. Kalau khilaf yang ada dalil barulah kita layan.

Malangnya, ramai juga ustaz yang tidak faham tentang perkara ini dan mereka pun kata ada khilaf ulama’ dalam perkara ini. Ini amat menyedihkan sekali. Kalau orang awam yang kata begitu, kita fahamlah kerana orang awam memang jahil.

seterusnya

فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); 

Ini adalah hukum tayammum: apabila tidak boleh guna air kerana sakit, atau tidak ada air dalam musafir, dan kita sudah buang air dan berjunub tidak ada air, maka Islam membenarkan kita tayammum, maksudnya angkat hadas menggunakan tanah yang bersih.

Imam Bu­khari رحمه الله dalam bab ini telah meriwayatkan sebuah hadith khusus mengenai ayat yang mulia ini.

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سُلَيْمَانَ، حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْقَاسِمِ حَدَّثَهُ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ: سَقَطَتْ قِلَادَةٌ لِي بِالْبَيْدَاءِ، وَنَحْنُ دَاخِلُونَ الْمَدِينَةَ، فَأَنَاخَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَزَلَ، فثَنَى رَأْسَهُ فِي حِجْري رَاقِدًا، أَقْبَلَ أَبُو بَكْرٍ فلَكَزَني لَكْزَةً شَدِيدَةً، وَقَالَ: حَبَسْت النَّاسَ فِي قِلَادَةٍ، فَبى الموتُ لِمَكَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ أَوْجَعَنِي، ثُمَّ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَيْقَظَ وَحَضَرَتِ الصُّبْحُ، فَالْتَمَسَ الْمَاءَ فَلَمْ يوجَد، فَنَزَلَتْ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ} هَذِهِ الْآيَةُ، فَقَالَ أسَيْد بْنُ الحُضَير لَقَدْ بَارَكَ اللَّهُ لِلنَّاسِ فِيكُمْ يَا آلَ أَبِي بَكْرٍ، ما أنتم إلا بركة لهم.

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris bahawa Abdur Rahman ibnul Qasim pernah menceritakan kepadanya, daripada ayahnya, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan, “Kalungku terjatuh di padang pa­sir, saat itu kami telah berada di lingkungan kota Madinah. Maka Ra­sulullah ﷺ memberhentikan unta kenderaannya dan turun. Lalu baginda merebahkan kepalanya di pangkuanku dan tidur. Kemudian da­tanglah Abu Bakar رضي الله عنه dan memukulku dengan pukulan yang keras sera­ya berkata, ‘Kamulah yang menyebabkan orang-orang tertahan kerana kalung itu.’ Maka aku berharap untuk mati saat itu kerana pukulannya terasa sangat menyakitkan, tetapi aku ingat kepada Rasulullah ﷺ yang sedang tidur di pangkuanku. Tidak lama kemudian Nabi ﷺ bangun, dan waktu Subuh masuk. Lalu baginda mencari air, tetapi tidak didapati. Maka turunlah firman-Nya: ‘Hai orang-orang yang beriman, apabila kalian hendak menger­jakan salat, maka basuhlah muka kalian’ (Al-Maidah: 6), hingga akhir ayat.” Maka Usaid ibnul Hudair berkata, “Sesungguhnya Allah telah mem­berkati manusia melalui kalian, hai keluarga Abu Bakar. Kalian tiada lain merupakan berkah bagi mereka.”

seterusnya

فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. 

Ini adalah cara yang amat mudah sekali menunjukkan bagaimana mudahnya Islam ini yang boleh dipraktikkan di mana-mana sahaja kerana amat mudah untuk kita cari tanah. Cuma gunakan tanah itu untuk sapu muka dan tangan sahaja – mudah bukan? Kalau difikirkan secara logik, apabila kita menggunakan air, dapatlah membersihkan bahagian tubuh kita.

Namun bagaimana pula dengan menggunakan tanah boleh membersihkan tubuh kita? Ini bukanlah perbincangan yang sepatutnya diadakan kerana tujuan kita tayammum bukanlah untuk membersihkan tubuh, tetapi sebagai melakukan satu ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ sudah suruh kita buat begitu, maka begitulah sahaja yang kita lakukan.

Tentang tayammum ini juga ramai yang tidak tahu dan mungkin ada yang tidak pernah amalkan pun kerana jarang diajar kepada masyarakat kita. Ini juga banyak terdapat dalam hadith Nabi yang menjelaskan.

seterusnya

مَا يُرِيدُ اللهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ

Allah tidak hendak menyulitkan kamu, 

Ini adalah hikmah kenapa Allah ‎ﷻ mengajar kita tentang wudhu’ dan tentang tayammum. Segala hukum yang diberi itu bukanlah kerana Allah ‎ﷻ ingin menyusahkan kita dalam proses untuk beribadat kepada-Nya. Cuma kita kena ikut cara yang telah ditetapkan kerana Dia adalah Allah ‎ﷻ dan kita adalah hamba-Nya.

Tentu ada kelebihan di dalam hukum wudhu’ yang diberikan, cuma kita kena belajar dengan lebih lagi. Hukum Allah ‎ﷻ tidak sia-sia tetapi ada kebaikan di dalamnya. Jadi jangan kita rasa sulit untuk memenuhi kehendak Allah‎ﷻ ini.

seterusnya

وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ

tetapi Dia hendak membersihkan kamu

Salah satu hikmah yang disampaikan dalam ayat ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita bagaimana menjadi orang yang bersih luar dan dalam. Perkara ini tidak diajar dalam agama lain. Islamlah agama yang mengajar tentang kebersihan.

Cuma sekarang sahaja kita lihat agama lain juga menjaga kebersihan, tetapi sebenarnya itu terjadi kerana manusia telah maju. Sedangkan dalam agama mereka tidak ada ajaran untuk menjaga kebersihan pun.

seterusnya

وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ

dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, 

Dan kerana Allah ‎ﷻ hendak melengkapkan nikmat beribadat kepada kita semua kerana melakukan ibadat itu adalah nikmat sebenarnya, terutama sekali ibadat yang paling penting, iaitu salat. Dan untuk mengerjakan salat, kita kena bersih kerana kita hendak mengadap Allah ‎ﷻ dan sebab itulah diberikan syarat wudhu’ kepada kita.

seterusnya

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

supaya kamu bersyukur.

Akhirnya supaya kita bersyukur kerana boleh mengerjakan ibadat dalam semua keadaan. Walaupun tidak ada air, masih boleh mengerjakan ibadat lagi. Kita semua hendak ke akhirat dan untuk mendapat tempat yang baik di akhirat kita mestilah melakukan ibadah kepada Allah ‎ﷻ.

Namun bagaimana kalau Allah ‎ﷻ hanya menetapkan cuma boleh berwudhu’ sahaja, tidak boleh tayammum? Tentu susah untuk kita dalam keadaan tertentu, tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan nikmat kepada kita dengan membenarkan kita menggunakan tayammum supaya kita dapat termasuk dalam orang yang salat dan adalah peluang kita untuk masuk syurga.


Maidah Ayat 7:

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاتَّقُوا اللَهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember the favor of Allāh upon you and His covenant with which He bound you when you said, “We hear and we obey”; and fear Allāh. Indeed, Allāh is Knowing of that within the breasts.

(MALAY)

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati(mu).

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu semua

Nikmat yang dimaksudkan adalah nikmat agama Islam. Nikmat yang paling besar adalah Allah ‎ﷻ memberikan taufiq-Nya kepada kita untuk masuk Islam. Alangkah beruntungnya kita Allah ‎ﷻ telah memilih kita untuk berada di dalam agama ini.

وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ

dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu,

Dan ingatlah perjanjian untuk taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berkata perjanjian itu adalah مِيثَاقَهُ – maksudnya ‘perjanjian-Nya’ menunjukkan betapa beratnya perjanjian itu. Setelah manusia baligh, maka Allah ‎ﷻ menuntut kita untuk memenuhi perjanjian itu. Sebelum baligh, boleh lagi kalau tidak ikut dan taat hukum Allah ‎ﷻ. Namun apabila mencapai usia baligh, maka tidak ada alasan lagi. Amat menyedihkan bila terdapat golongan dewasa yang berperangai seperti belum baligh lagi?

Ini merupakan peringatan terha­dap anak Adam kerana Allah ‎ﷻ telah mengambil janji daripada mereka ke­tika mereka dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ daripada tulang sulbinya dan mengam­bil kesaksian daripada diri mereka melalui firman-Nya:

{أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا}

“Bukankah Aku ini Tuhan kalian?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Al-A’raf: 172)

إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا

ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”.

Ketika kamu kata: kami dengar dan taat. Kita pun selalu baca dan mengaku untuk ikut Dia. Jadi kena ingatlah perjanjian kita ini, jangan buat-buat lupa pula.

Manusia selalu sebut yang mereka dengar dan taat tetapi ada masalah dengan janji dan pengakuan ini. Mereka sangka mereka taat, tetapi selalunya manusia tidak ‘dengar’ pun lagi apa yang mereka perlu taati. Mereka kononnya kata mereka taat dengan agama Islam tetapi mereka tidak belajar pun lagi ilmu agama. Lalu bagaimana mereka boleh mengaku mereka sudah taat?

Ini adalah teguran kepada mereka yang tidak mengendahkan langsung pelajaran agama. Mereka hidup sibuk dengan hal dunia namun hal syariat mereka tidak pentingkan. Mereka sangka mereka sudah Islam sepenuhnya tetapi belum tentu lagi. Agama Islam ini memang mudah untuk diamalkan namun kenalah luangkan sedikit masa untuk mempelajarinya. Untuk taat, kena mulakan dengan tahu apakah yang perlu ditaati.

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati

Hendaklah kita bertaqwa iaitu dengan menjaga hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Hendaklah kita takut dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu apa yang dalam hati kita. Dia tahu niat kita dan tahu apakah kemahuan kita. Dia tahu sama ada kita mahu taat kepada-Nya atau tidak, ikhlas atau tidak dalam amalan dan ibadah kita. Oleh itu, kenalah jaga hati kita supaya ikhlas kepada Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 April 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 5 (Boleh makan sembelihan Ahli Kitab dan boleh nikahi wanita Ahli Kitab)

Maidah Ayat 5:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الْمُؤْمِنٰتِ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَن يَكْفُرْ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This day [all] good foods have been made lawful, and the food of those who were given the Scripture is lawful for you and your food is lawful for them. And [lawful in marriage are] chaste women from among the believers and chaste women from among those who were given the Scripture before you, when you have given them their due compensation,¹ desiring chastity, not unlawful sexual intercourse or taking [secret] lovers. And whoever denies the faith – his work has become worthless, and he, in the Hereafter, will be among the losers.

  • The specified bridal gift (mahr).

(MALAY)

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.

 

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik.

Segala yang baik adalah halal untuk dimakan. Segala yang Allah ‎ﷻ halalkan adalah baik-baik belaka. Sedangkan yang buruk telah diharamkan bagi kita seperti yang disebut dalam A’raf:145. Kita ini manusia yang mulia, maka makan pun kenalah yang baik-baik. Bukan seperti binatang yang makan asal ada sahaja. Kita pun memang terkesan dengan banyak benda.

Kalau benda luaran pun boleh memberi kesan kepada fikiran kita, apatah lagi kalau benda yang masuk ke dalam perut kita. Maka kena fikirkan apa yang masuk ke dalam perut kita dan menjadi darah daging kita.

Ia juga memberi kesan kepada ibadah kita. Ini disebut dalam Mukminoon:51.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا

Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Untuk mengerjakan amal soleh, makanan yang dimakan mestilah daripada makanan yang halal. Makanan yang baik dan halal akan memudahkan kita mengerjakan amal yang soleh.

Maka kita telah belajar apakah makanan yang boleh dimakan dan tidak. Ayat-ayat ini memansukhkan segala yang haram dalam kitab-kitab dahulu (antaranya kalau ada di dalam Kitab Taurat). Sekarang diberikan hukum pemakanan yang baru. Sekarang kita sepatutnya sudah tahu dengan jelas apakah yang boleh dimakan dan apakah yang tidak.

‘Hari’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hari ayat ini diturunkan iaitu di Arafah semasa Haji Nabi Muhammad ﷺ (pada Tahun 10 Hijrah), iaitu hari ketika ayat-ayat hukum telah lengkap.

Jadi makanan yang dimakan oleh orang yang baik-baik adalah makanan yang baik juga. Jadi hukum pemakanan ini diluaskan lagi oleh ulama’ kerana tidaklah semua makanan disebut secara khusus. Jadi apakah yang ‘baik’ itu dibincangkan lagi. Ini kerana binatang yang ‘tidak baik’ itu boleh dilihat daripada sifatnya. Kalau binatang yang membunuh dengan taring, binatang yang kotor, yang menjijikkan, itu sudah termasuk jenis yang tidak baik.

Kerana itulah kita tidak makan harimau, anjing, kelawar, tikus dan lain-lain. Memanglah tidak disebut yang binatang itu tidak boleh dimakan dengan jelas dalam syarak, tetapi jika kita menggunakan akal sihat pun, tiada selera hendak makan binatang sebegitu. Orang yang kurang waras sahaja yang sanggup makan.

 

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ

Makanan orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, 

‘Makanan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukan makanan biasa tetapi makanan sembelihan (binatang yang disembelih). Tidaklah termasuk kerepek, kekacang, maggi dan lain-lain pula. Itu semua boleh sahaja makan asalkan tidak ada benda haram di dalamnya.

Oleh itu, hukum dalam ayat ini, sembelihan ahli kitab adalah halal. Namun apakah syarat-syarat yang berkenaan? Siapakah Ahli Kitab yang dimaksudkan? Apakah kriteria-kriteria mereka? Ada yang kata mestilah Ahli Kitab yang mengikut ajaran kitab mereka yang sebenar, bukannya yang telah diubah-ubah (seperti yang ada sekarang). Ada yang kata mesti yang berketurunan Bani Israil. Ada yang kata yang dimaksudkan adalah ahli kitab sebelum Nabi Muhammad dibangkitkan, kalau yang selepas itu tidak dikira.

Namun ada juga yang melonggarkan hukum ini dengan mengatakan asalkan sembelihan Ahli Kitab sahaja, maka boleh dimakan. Oleh itu, kalau kita tahu orang itu adalah Kristian atau Yahudi, kita sudah boleh makan hasil sembelihan mereka dan ini disokong oleh nas-nas yang ada kerana ‘Ahli Kitab’  yang dipanggil Ahli Kitab pada zaman Nabi ﷺ pun sudah menggunakan kitab mereka yang telah diubah. Mereka juga telah ubah kandungan kitab mereka, dan mereka sebenarnya adalah orang kafir tapi Allah dan Rasulullah tetap memanggil mereka dengan gelaran ‘Ahli Kitab’.

Jadi kriteria yang utama adalah mereka itu percaya dengan kitab mereka iaitu Taurat dan Injil; iaitu mereka percaya yang ia adalah kitab wahyu. Mereka ini tidak sama dengan Musyrikin Mekah dan lain-lain agama kerana mereka langsung tidak percaya dengan kitab wahyu dan Nabi-nabi di dalam agama.

Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun ada makan daging sembelihan Ahli Kitab:

Ada dalil sebuah hadith yang disebutkan di dalam kitab sahih, bahawa penduduk Khaibar mengirim­kan seekor kambing panggang kepada Rasulullah , sedangkan mereka telah meletak racun pada kakinya kerana mereka tahu yang Nabi menyukai kaki kambing, maka Nabi memakan sebahagian daripadanya sekali suap. Tetapi kaki kambing itu memberitahu kepada Nabi bahawa ia telah diracuni. Maka Nabi memuntahkannya kembali. Tetapi kesannya tetap ada pada urat nadi jantung baginda. Pada saat itu yang ikut makan bersama baginda adalah Bisyr ibnul Barra ibnu Ma’rur, tetapi dia tidak dapat ditolong dan meninggal dunia. Maka wanita Yahudi yang meletakkan racun itu dibunuh. Dia bernama Zainab.

Kisah di atas menunjukkan yang Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat ada memakan binatang sembelihan Ahli Kitab. Sedangkan waktu itu mereka pun telah mengubah kitab Taurat mereka, bukan?

Satu sebab yang dibenarkan makan sembelihan mereka adalah kerana cara penyembelihan mereka pun sama dengan cara penyembelihan kita. Ini masih lagi ada di dalam kitab mereka sekarang pun.

Daripada nukilan beberapa ayat-ayat al-Qur’an yang membahagikan sesuatu umat itu kepada beberapa golongan, nyata kepada kita bahawa orang-orang Ahli Kitab mempunyai tempat yang tersendiri di sisi ajaran Islam. Mereka bukanlah orang-orang yang beriman tetapi mereka juga bukan orang-orang yang musyrik. Mereka adalah orang-orang yang telah diberi kedudukan yang berbeza dari kaum lain dan dengan kedudukan inilah Islam menghalalkan sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka serta mengizinkan persahabatan dengan mereka berbanding dengan kaum-kaum lain.

Keistimewaan ini dikhaskan oleh Islam terhadap mereka kerana kaum Yahudi dan Nasrani ini kedua-duanya berpegang kepada agama yang amat hampir kepada agama Islam. Mereka percaya kepada Tuhan, percaya kepada Malaikat, rasul-rasul dan juga mempunyai kitab-kitab suci yang diturunkan. Dengan itu Islam menghalalkan sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka dan membolehkan perhubungan sosial yang baik dengan mereka agar dengan itu kita dapat menarik mereka ke arah agama Islam ini. Apabila kita dan mereka dapat hidup dalam suasana iklim yang lebih erat dan rapat, dapatlah kita memperlihatkan mereka akan kebenaran, kemuliaan, kesyumulan dan keindahan Islam dan sekaligus dapat membuka hati mereka ke arah Islam.

Hikmah kedua dihalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab ialah kerana Allah sedia mengetahui bahawa mereka, kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum yang dominan di muka bumi ini bersama-sama dengan umat Islam. Salah satu dari dua kaum ini, antara Yahudi atau Nasrani atau kedua-duanya pasti akan wujud di mana-mana bahagian muka bumi ini sehingga ke akhir zaman. Dengan membolehkan umat Islam memakan hasil sembelihan mereka, umat Islam akan dapat memperolehi makanan di mana sahaja mereka berada. Ini amat benar jikalau kita perhatikan suasana masa kini di mana umat Islam wujud merata-rata di seluruh dunia, ada sebagai majoriti dan ada sebagai minoriti.

Umat Islam yang hadir sebagai majoriti tidak menghadapi masalah pemakanan kerana mudah bagi mereka berusaha-sama menyediakan sumber makanan yang halal bagi diri dan kumpulan mereka. Akan tetapi bagi umat Islam yang wujud sebagai kelompok minoriti di negara-negara non-muslim, seperti di Argentina, Peru, Greenland dan sebagainya, adalah sukar bagi mereka menyediakan makanan halal secara usaha sesama sendiri melainkan dengan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab yang wujud di lokasi mereka.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahli fiqh sama ada kebolehan hukum-hukum tertentu yang khusus di dalam al-Qur’an itu, seperti halalnya sembelihan mereka dan halalnya pernikahan dengan wanita mereka, adakah ia ditujukan kepada seluruh kaum Ahli Kitab sepanjang zaman ataupun terhad kepada beberapa syarat. Perbezaan ini menyimpul kepada tiga ikatan pendapat iaitu:

1.      Kebolehan hukum adalah mutlak bagi semua kaum Ahli Kitab, dahulu, sekarang atau yang akan datang, sama ada mereka berpegang kepada kitab asal mahupun kepada kitab yang telah diubah suai.

2.      Kebolehan hukum hanya bagi kaum Ahli Kitab yang hidup di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan zuriat mereka sahaja. Pemeluk-pemeluk baru dari kalangan agama Yahudi dan Nasrani tidak termasuk dalam golongan ini.

3.      Kebolehan hukum tidak lagi boleh diterima kerana kebanyakan kaum Yahudi dan Nasrani masa kini tidak lagi memegang kepada kitab mereka yang asal melainkan ianya telah diubahsuai atau ditukar.

Tambahan lagi di dalam al-Qur’an juga tidak dijumpai mana-mana ayat yang meletakkan syarat-syarat tambahan atau had-had tertentu mengenai hukum kebolehan sembelihan Ahli Kitab.

Selain itu juga tidak didapati dalam Sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apa-apa keterangan yang memberikan syarat-syarat serta hukum-hukum tambahan dalam hal ini. Sebaliknya apa yang jelas dipesan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ialah segala hukum-hukum agama Islam ini yang sedia disyari’atkan adalah lengkap lagi sempurna dan apa-apa kekosongandi antaranya adalah satu kebolehan yang merupakan anugerah dari Allah kepada hamba-hambaNya.

Di dalam hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis Nabi SAW:

مَا أَحَلَّ اللهُ في كتابِهِ فَهُو حَلاَلٌ وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ وَمَا سَكَتَ عَنهُ فَهُوَ عَفْوٌ فَاقْبَلُوا مِنَ اللهِ عَافِيَتُهُ فَإِنَّ اللهَ لَم يَكُن لِيَنْسَى شَيئًا وَتَلاَ )وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا(

“Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tidak lupa barang sedikit pun. Kemudian Rasulullah SAW membaca daripada firman Allah SWT: Dan tiadalah Tuhanmu itu akan lupa.” (Surah Maryam: 64).

Riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya begitu juga dikeluarkan oleh al-Bazzar.

Menerusi sebuah riwayat daripada Salman al-Farisi RA, katanya: “Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hukum minyak sapi, keju dan keldai liar, lalu Baginda SAW menjawab:

الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللهُ في كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا لَكُمْ

“Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya. Dan mana-mana yang didiamkan-Nya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.”

Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah

Rumusan yang dapat ditarik dari hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan pertama ini adalah – sembelihan kaum Ahli Kitab, iaitu kaum Yahudi dan Nasrani adalah halal bagi umat Islam tanpa apa-apa syarat atau had kerana Allah telah menurunkan hukum kebolehan ini tanpa meletakkan apa-apa syarat tambahan. Kebolehan ini juga berkuat-kuasa tidak kira sama ada kaum-kaum tersebut masih berpegang kepada ajaran kitab mereka yang asli ataupun yang telah diubahsuai. 

Pendapat kedua menyatakan bahawa kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab hanyalah terhad kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan-keturunan mereka sahaja. Ini adalah kerana ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab adalah ia dalam bentuk Kata yang telah berlalu atau Past tense menunjukkan bahawa ia ditujukan kepada umat Yahudi dan Nasrani yang hidup sebelum turunnya ayat tersebut dan bukan ditujukan kepada umat-umat yang akan datang. Oleh itu keberlakuan hukum ini tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan Nasrani yang baru memeluk agama itu dan ia juga tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan Nasrani yang tidak dapat dikesan nasab keturunan mereka sehingga ke zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam.

Pendapat ini dianggap lemah kerana tafsiran yang sedemikian itu tidak pernah didengar dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mahupun para sahabat radiallahu-anhum padahal merekalah orang yang paling mengenali al-Qur’an dan paling mengetahui tujuan ayat-ayatnya. Selain itu sememangnya diketahui bahawa kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum wujud sebelum wujudnya Islam dan mereka telah diturunkan kitab Taurat dan Injil sebelum turunnya kitab al-Qur’an. Justeru adalah memadai al-Qur’an mengalamatkan mereka dalam bentuk bahasa yang telah berlalu atau past tense.

Setelah menganalisa pendapat golongan kedua ini, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili menolaknya dengan hujah beliau: Pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kukuh tentang syarat yang mereka katakan itu padahal para sahabat radiallahu-anhum telah memakan sembelihan ahli kitab dan mengahwini wanita mereka tanpa menyelidik sama ada memenuhi syarat ini atau tidak. (iaitu menyelidik nasab keturunan mereka).

Pendapat Ketiga menyatakan bahawa hukum kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi berhubung-laku di masa kini kerana kedua-dua kaum tersebut, Yahudi dan Nasrani telah banyak melakukan perubahan serta ubah-suai akan kitab mereka itu sehingga ianya tidak lagi tulen sepertimana yang wujud di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Selain itu sebahagian besar orang-orang Yahudi dan Nasrani juga kini telah tidak lagi mentaati ajaran kitab mereka sama ada yang tulen mahupun yang diubahsuai tetapi banyak pula mengikuti hukum-hukum baru yang direkacipta mereka selari dengan peredaran zaman. Dengan hujah-hujah di atas, golongan ini berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi halal bagi umat Islam masa kini dan bagi yang akan datang.

Pendapat di atas sekali imbas sememangnya menampakkan banyak kebenaran dan tiada lubang kelonggaran. Tetapi sebelum diterima pendapat ini sebulat-bulat ia perlu dianalisa serta dikaji terlebih dahulu secara ilmiah yang mendalam, sesuai dengan prinsip-prinsip usul tafsir al-Qur’anul Karim.

Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang diturunkan ayatnya berperingkat-peringkat, setiap penurunan ayat ditentukan kadar dan masanya oleh Allah sesuai dengan tahap pencernaan ilmu oleh masyarakat ketika itu dan kondisi sosial mereka yang dinamis dari satu masa ke masa yang lain. Setiap ayat turun membawa keterangan serta ilmu pengetahuan yang baru, melengkapkan lagi apa yang sudah diturunkan, mengganti dengan yang lebih baik dari apa yang sudah sememangnya baik serta mengkhususkan lagi apa yang sebelum ini adalah umum.

Ayat yang menghalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab bagi umat Islam, adalah antara ayat yang terakhir diturunkan sebelum lengkapnya al-Qur’an ini dan sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Ayat ini dijangkakan turun kira-kira 81 hari atau lebih sedikit sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan ia adalah serangkap dengan ayat yang menerangkan tentang kesempurnaan Islam, iaitu firman Allah di dalam ayat 3 sebelum ini,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, 

Di samping itu surah al-Maidah juga adalah surah terakhir yang diturunkan antara kesemua 114 surah-surah yang terkandung di dalam al-Qur’an.

Kenapa ini penting? Kerana hakikat turunnya ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab sebagai salah satu dari ayat-ayat terakhir dalam al-Qur’anul Karim memberikan titik pengkajian yang amat besar lagi berat dalam analisa hukum berkaitan. Ini adalah kerana ayat ini turun setelah turunnya beberapa ayat-ayat yang sedia mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab yang telah mengubah-suai, menukar serta mencampur-aduk ajaran agama mereka seperti disebut di dalam Baqarah:75

أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم وَقَد كانَ فَريقٌ مِّنهُم يَسمَعونَ كَلٰمَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفونَهُ مِن بَعدِ ما عَقَلوهُ وَهُم يَعلَمونَ

(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?

Jikalau sejak dari dulu lagi al-Qur’an telah menghalalkan sembelihan Ahli Kitab  untuk umat Islam seluruhnya sekalipun dalam suasana ketika itu kaum-kaum Ahli Kitab telahpun melakukan berbagai-bagai kesalahan, apakah pula bezanya dengan umat-umat Ahli Kitab masa kini ? Sudah tentu tidak ada bezanya. Mereka tetap juga sama sebagaimana generasi mereka yang lalu. Maka dengan itu juga tidak ada sebarang perbezaan bagi keberlakuan hukum-hukum al-Qur’an terhadap mereka, sama ada masa kini atau masa yang akan datang.

Justeru itu pendapat ketiga ini yang mengatakan bahawa keberlakuan hukum-hukum Islam terhadap kaum Ahli Kitab tidak lagi sah masa kini atas alasan mereka telah pun menyeleweng dari ajaran yang asal tidak dapat diterima. Pendapat ini tidak mempunyai alasan mahupun dalil sokongan yang kukuh melainkan ianya adalah satu sikap yang terlalu berhati-hati sehingga berlawanan pula dengan ketentuan ilmiah agama Islam ini.

 

Jenis Sembelihan Ahli Kitab yang Dibolehkan.

Perkara kedua yang menjadi subjek perbahasan para ahli fiqh ialah hukum-hukum yang berkisar pada kaedah sembelihan itu sendiri. Ianya terbahagi kepada 4 sub-topik perbahasan, iaitu:

    1. Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.
    2. Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
    3. Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
    4. Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan mereka.
    5. Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.

Pertama: Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.

Dipersetujui oleh majoriti para fuqaha bahawa daging-daging yang telah diharamkan dalam Islam tidak boleh dimakan oleh umat Islam sekalipun ia disembelih oleh kaum Ahli Kitab. Oleh itu umat Islam tidak boleh memakan daging babi yang disembelih oleh umat Nasrani. Menjadi titik perbezaan di sini ialah Islam membolehkan sembelihan kaum Ahli Kitab tetapi tidak membolehkan semua jenis daging-daging yang mereka sembelihkan. Justeru itu sembelihan kaum Ahli Kitab hanya dihalalkan oleh Islam apabila yang disembelih itu adalah haiwan-haiwan yang halal menurut syari’at Islam.

Kedua: Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.

Menyebut nama Allah ketika menyembelih atas salah satu dari syarat sembelihan mengikut syari’at Islam, sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa’ala di dalam An’am:121

وَلَا تَأڪُلُواْ مِمَّا لَم يُذكَرِ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ

Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya.

Walau bagaimanapun menyebut nama Allah ketika menyembelih tidak menjadi syarat bagi menghalalkan sembelihan yang dilakukan oleh kaum Ahli Kitab. Ini adalah kerana ayat yang menghalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala selepas turunnya ayat-ayat yang memerintahkan agar sesuatu sembelihan itu perlu dibacakan Basmalah.

Hakikat ini memperlihatkan pengkhususan dan pengecualian kepada sembelihan kaum Ahli Kitab daripada sembelihan kaum Muslimin, di mana ia menunjukkan bahawa sembelihan mereka (Ahli Kitab) terkecuali dari perintah bacaan Basmalah. Lebih dari itu apabila Allah Subhanahu waTa’ala menghalalkan sembelihan Ahli Kitab, sudah tentu diketahuiNya bahawa mereka tidak akan menyebut Bismillah ar-Rahman ar-Rahim atau Bismillahi Allahu Akbar ketika menyembelih kerana sudah sememangnya mereka itu bukan orang Islam tetapi adalah orang Yahudi dan Nasrani. Sekalipun jikalau ada kaum Ahli Kitab yang menyebut Basmalah ketika menyembelih, itu hanyalah sebutan di mulut dan bukan kerana sesuatu yang timbul dari sebab keimanan di hati.

Persoalan menyebut nama Allah ketika menyembelih juga terjawab dengan hadith sahih berikut ini:

عن عائشة رضي الله عنها أن قوما قالوا يا رسول الله إن قوما يأتوننا باللحم لا ندري أذكروا اسم الله عليه أم لا فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم سموا الله عليه وكلوه

Dari Aisyah radhiyallahu anha, sesungguhnya ada sebuah kaum berkata, “ya Rasullah ada sebuah kaum memberi kami daging tapi kita tak tahu apakah mereka menyebut nama Allah (saat menyembelihnya) atau tidak,” Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab, “Bacalah bismillah lalu makanlah.”

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa sesuatu sembelihan yang tidak disebut nama Allah atasnya, ataupun tidak diketahui sama ada disebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya, ia tetap boleh dimakan dengan menyebut nama Allah oleh orang yang akan memakannya itu sendiri. Walaubagaimana pun hadith di atas terhad kebolehannya kepada sembelihan umat Islam dan kaum Ahli Kitab sahaja kerana sedia diketahui melalui banyak dalil-dalil lain yang berkaitan bahawa sembelihan kaum-kaum lain pada asalnya tetap tidak halal bagi kita umat Islam tanpa mengira sama ada mereka atau kita ada menyebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak.

Ketiga: Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.

Persoalan seterusnya yang perlu dianalisa hukumnya ialah apabila kaum Ahli Kitab melakukan sembelihan tanpa menyebut nama Allah ke atasnya tetapi menyebut pula nama-nama tuhan mereka seperti Jesus son of God, al-Masih atau al-Uzair dan sebagainya. Termasuk dalam kategori ini adalah menyembelih dengan tujuan korban bagi tuhan-tuhan mereka atau wali-wali mereka (saints) atau sebagai nazar atau sebagai memperoleh berkat, pahala dan sebagainya.

Maka dalam kes ini kita tidak boleh menerima sembelihan mereka kerana Allah Azza waJalla telah pun berfirman di dalam Maidah:3:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah.

Ayat ini adalah sekumpulan dan diperkira turun bersama-sama dengan ayat yang menghalalkan sembelihan ahli kitab. Oleh itu hukum menyembelih kerana sesuatu selain Allah adalah haram dimakan dan ia tetap berhubung-laku sama ada bagi sembelihan umat Islam ataupun umat Ahli Kitab. Ini adalah kerana menyembelih bagi tujuan sesuatu selain Allah atau dengan nama selain Allah adalah sesuatu yang mengandungi unsur-unsur syirik di dalamnya dan syari’at Islam sememangnya tidak memberikan kelonggaran dalam hal-hal yang ada mengandungi unsur-unsur syirik, sekalipun hanya bayang-bayangnya.

Walaubagaimana pun sesuatu sembelihan yang dilakukan oleh kaum Ahli Kitab yang tidak kita ketahui apakah nama yang mereka sebut ke atasnya adalah halal untuk kita makan kerana kita, mengikut kaedah usul fiqh, sememangnya tidak diwajibkan untuk menyelidik sesuatu yang tidak mungkin dapat diketahui hakikat asal-usulnya. Dalam hal ini para fuqaha amat cenderung kepada hujah dua orang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal, iaitu az-Zuhri dan Ali bin Abi Talib radiallahu-anhuma yang berkata: Tidak ada salahnya memakan haiwan sembelihan kaum Nasrani Arab. Akan tetapi jikalau kamu mendengar orang yang menyembelih haiwan itu menyebut suatu nama selain dari nama Allah maka janganlah kamu makan, dan jikalau kamu tidak mendengar nama apakah mereka sebut (maka makanlah) kerana Allah sememangnya telah menghalalkan memakan hasil sembelihan mereka dalam suasana Allah sedia mengetahui kekafiran mereka.

Prof. Dr. Yusuf Qardhawi juga telah menulis: Yang tidak kita ketahui tidak kita tanyakan dan kita tidak perlu bertanya mengenai sesuatu yang bukan urusan kita. Hanya sahaja apabila kita ketahui bahawa makanan tersebut berasal dari orang Ahli Kitab maka pada saat kita hendak memakannya kita sebut sahaja nama Allah.

Keempat: Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan mereka.

Adakalanya sesuatu sembelihan itu dilakukan oleh kaum Ahli Kitab adalah bersempena dengan hari-hari perayaan mereka, seperti Hari Natal, Thanksgiving Day, Hari Ulangtahun Gereja, Perlantikan Paderi atau Rahib, Majlis Perkahwinan di Gereja dan sebagainya. Maka dalam hal ini majoriti para fuqaha dari Mazhab Maliki, Shafie dan Hanbali meletakkan hukum makruh bagi kita untuk turut serta memakan makanan yang disembelih sempena perayaan-perayaan mereka.

Makruh juga untuk kita turut serta dalam majlis makan yang mereka anjurkan ketika itu. Kemakruhan dalam dua suasana ini adalah kerana kita umat Islam tidak mahu turut serta atau bersubahat dalam majlis-majlis keagamaan mereka. Kehadiran atau penerimaan kita terhadap makanan atau sembelihan mereka dalam majlis-majlis keagamaan tersebut seolah-olah menampakkan sokongan kita terhadap agama mereka padahal kita dilarang dari berbuat demikian.

Akan tetapi apabila seseorang muslim itu menerima atau membeli daging hasil sembelihan Ahli Kitab padahal dia tidak mengetahui bahawa daging tersebut disembelih sempena sesuatu majlis perayaan mereka, maka daging itu tetap halal kerana sesuatu yang tidak diketahui tidak akan dijadikan sumber patukan hukum baginya.

Walaubagaimana pun sebahagian ahli fiqh berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena perayaan-perayaan mereka adalah dihalalkan tanpa apa-apa syarat hukuman. Pendapat ini didasarkan kepada pendapat seorang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal, iaitu Abu Darda radiallahu-anhu. Diriwayatkan bahawa:

Telah bertanya seorang lelaki kepada Abu Darda sama ada bolehkah dia memakan daging seekor kambing yang telah diberikan kepadanya, yang telah disembelih sempena hari perayaan Gereja St. George. Abu Darda menjawab: Ya Allah! Maafkanlah! Bukankah mereka itu kaum Ahli Kitab, di mana makanan mereka adalah halal bagi kami dan makanan kami halal bagi mereka? Abu Darda kemudian menyuruh lelaki tersebut untuk memakan daging kambing tersebut.

Sebenarnya pendapat para fuqaha di atas tidaklah bertentangan dengan pendapat Abu Darda. Para fuqaha lebih memberikan perhatian kepada pertimbangan keseluruhan ruh agama manakala Abu Darda hanyalah memberikan pendapat beliau antara dua hukum, iaitu halal atau haram. Justeru sembelihan Ahli Kitab sempena perayaan mereka pada dasarnya adalah tetap halal untuk kita makan, hanya sahaja ia adalah makruh dari sudut keutamaannya demi menjaga maruah agama.

Kelima: Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.

Terdapat beberapa pengusaha pusat penyembelihan kaum Ahli Kitab masa kini yang menyembelih binatang-binatang mereka dengan menggunakan kaedah kejutan elektrik, iaitu selepas binatang itu dibaringkan terlebih dahulu dengan ubat tidur. Perubahan teknologi sembelihan ini membawa ahli fiqh kita kepada topik perbincangan yang baru, iaitu adakah sembelihan kaum Ahli Kitab boleh kita terima dengan cara kejutan elektrik atau adakah kita hanya boleh menerima sembelihan yang dilakukan mengikut syari’at asal mereka, iaitu memotong di leher binatang dengan pisau tajam ?

Dalam menganalisa persoalan ini penulis mengutip penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi yang telah berkata: Apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan sebagai halal oleh kaum Ahli Kitab adalah juga halal bagi kita sekalipun kaedah sembelihan mereka berlainan dengan kaedah sembelihan kita. Dan apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan haram oleh mereka maka kita juga menerima keharamannya (iaitu dengan tidak memakannya). Apabila mereka kaum Ahli Kitab melakukan penyembelihan, mereka menyembelih dengan tujuan agar sembelihan mereka itu adalah halal dijadikan sebagai makanan mengikut syarat-syarat agama mereka. Ini adalah merupakan hujah pendapat sebahagian dari para fuqaha Mazhab Maliki.

Dari keterangan ini, maka dapat kita yakini bahawa daging-daging yang diimport dari negara-negara Ahli Kitab seperti ayam dan lembu adalah halal untuk kita makan sekalipun ada kemungkinan bahawa ia telah disembelih dengan menggunakan kejutan elektrik atau apa-apa yang seumpama. Asalkan sahaja mereka kaum Ahli Kitab berpendapat bahawa kaedah ini adalah halal menurut syari’at agama mereka maka ia juga adalah halal untuk kita. Inilah sebenarnya maksud tujuan surah al-Maidah yang telah menghalalkan sembelihan mereka.

Penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi di atas bermaksud bahawa kita telah pun dihalalkan untuk memakan sembelihan kaum Ahli Kitab apabila mereka menyembelih binatang-binatang mereka menurut ketentuan syari’at mereka. Apa sahaja yang dipandang halal oleh mereka dari sudut kaedah sembelihan, maka ia juga adalah halal bagi mereka. Ini adalah kerana kita dihalalkan untuk menerima sembelihan mereka tanpa dibebani dengan syarat penyelidikan ke atas cara-cara sembelihan mereka.

Tambahan lagi apabila Islam mensyari’atkan kebolehan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab, telah sedia diketahui bahawa kaum Ahli Kitab ini melakukan berbagai-bagai perubahan dalam syari’at-syari’at agama mereka. Maka tidaklah menjadi satu keasingan jikalau mereka masa kini juga melakukan perubahan-perubahan yang seumpama dan akan terus melakukannya pada masa-masa akan datang. Justeru  perubahan kaedah sembelihan adalah sesuatu yang sudah sedia dijangkakan sejak dari awal lagi dan ia tidak menjadi penghalang pada masa lalu, maka dengan itu ia juga tidak sepatutnya menjadi faktor penghalang pada masa kini.

Walaubagaimana pun kebanyakan pusat-pusat penyembelihan kaum Ahli Kitab masa kini masih menggunakan teknik sembelihan dengan pisau tajam di leher binatang tersebut. Teknik ini masih menjadi pilihan mereka kerana daging yang disembelih sebegini lebih baik mutu dan kualitinya daripada daging yang ‘dikejut’ dengan sambaran elektrik. Lebih dari itu sembelihan dengan kaedah potongan di leher juga menjadi pengesyoran pakar-pakar kesihatan kerana darah yang memancut-mancut keluar dari leher binatang yang disembelih itu dipersetujui sebagai bermanfaat dari sudut kesihatan manusia.

 

وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.

Dan binatang sembelihan kita pun halal untuk mereka. Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang kita boleh makan elok-elok dengan mereka walaupun agama tidak sama.

Ini bukanlah hukum untuk mereka, kerana mereka bukan kisah pun dengan hukum agama Islam, bukan? Namun ini adalah hukum kepada kita – kita boleh berkongsi makanan kita dengan mereka, tidak ada halangan. Maka tidaklah berdosa kalau kita berkongsi makanan dengan mereka.

seterusnya

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الْمُؤْمِنٰتِ

(Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman

Dan ini adalah satu hukum yang menjadi persoalan juga dalam kalangan orang kita, iaitu boleh menikahi wanita daripada golongan Ahli Kitab. Seeloknya kita menikah dengan wanita-wanita Muslim yang baik budi pekerti dan agama mereka. Akan tetapi hukum ini masih lagi terpakai kerana ayat ini tidaklah dimansukhkan.

seterusnya

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ

dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu,

Perempuan mereka yang menjaga maruah daripada ahli kitab pun halal untuk kamu kahwini mereka. Walaupun ada yang kata ayat ini tidak digunapakai lagi, namun Allah ‎ﷻ sudah halalkan.

Tidaklah kita menggalakkan pula. Memang mungkin ada masalah kalau kahwin dengan mereka. Kena nilai sendiri apakah ia baik untuk kita. Sebagaimana makan makanan yang halal juga, ada yang tidak sesuai untuk kita kerana tidak sesuai dengan kesihatan kita.

Kalau berkahwin dengan mereka kenalah mereka hidup dalam suasana Islam. Kalau kita tidak dapat kawal mereka, maka tidaklah sesuai untuk berkahwin dengan mereka. Lelaki yang sepatutnya menjadi ketua dalam keluarga. Jangan kita pula terikut-ikut dengan fahaman mereka.

Oleh kerana itu, hanya lelaki Muslim sahaja yang boleh berkahwin dengan wanita ahli kitab. Wanita Muslim tidak boleh berkahwin dengan lelaki ahli kitab – kerana wanita selalunya terikut dengan agama suaminya.

Dan kita kena ingat yang Ahli Kitab itu mestilah yang berasal daripada bangsa Bani Israel. Maka boleh nikahi mereka yang berbangsa seperti orang Eropah itu. Bukannya orang Cina atau India yang beragama Kristian pula kerana Ahli Kitab itu hanya dalam kalangan Bangsa Bani Israel sahaja.

seterusnya

إِذَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

bila kamu telah membayar mas kawin mereka

Sama ada perempuan itu Muslim atau daripada ahli kitab, mereka itu halal bagi kita apabila telah diberi mahar kepada mereka.

seterusnya

مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

dengan maksud menikahinya dengan jaga maruah, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik.

Perkahwinan itu mestilah untuk menjaga maruah. Bukan untuk penzinaan atau menjadikan perempuan itu sebagai perempuan simpanan. Islam menjaga baik maruah wanita dan tidak menjadikan mereka sebagai perempuan murahan yang digunakan sebagai kegunaan seks sahaja, sebagai memuaskan hawa nafsu sahaja.

Apabila mereka dikahwini, mereka mempunyai hak juga yang mesti dipenuhi. Kalau mereka itu dijadikan sebagai perempuan simpanan, sebagai tempat penzinaan sahaja, tentulah mereka tidak ada hak seperti yang sepatutnya.

seterusnya

وَمَن يَكْفُرْ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ

Barangsiapa yang kufur untuk beriman, maka hapuslah amalannya

Kufur dalam ayat ini bermaksud melakukan syirik amali. Jika berbuat syirik amali ini, gugur segala amalan baik yang pernah mereka lakukan. Tidak kisahlah kalau mereka ada membuat amalan kebaikan dahulu, tetapi kalau mereka membuat syirik amali sahaja, segala pahala amal kebaikan mereka itu akan musnah dan hilang begitu sahaja.

Ayat ini tentang hukum halal dan haram. Kalau tidak menjaga halal dan haram, maka kufurlah orang itu, tidak ada bezanya dengan orang yang tidak mengaku Islam pun. Berapa ramai yang meringankan sahaja perkara ini. Mereka ikut suka kehendak hati mereka berbuat apa sahaja tanpa menghiraukan hukum Allah ‎ﷻ.

seterusnya

وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.

Mereka rugi kerana mereka ada peluang untuk menjalani kehidupan yang baik di dunia dengan syarat taat kepada hukum Allah ‎ﷻ, tetapi mereka telah melepaskan peluang itu begitu sahaja.

 

Sekian Ruku’ 1 dari 16 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Januari 2024

Ringkasan Surah Maidah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Kapten Hafiz Firdaus

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 3 – 4 (Senarai perkara yang haram dimakan)

Maidah Ayat 3: Kita lihat lagi ayat-ayat hukum dalam Surah Maidah ini.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلٰمِ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Prohibited to you are dead animals, blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allāh, and [those animals] killed by strangling or by a violent blow or by a head-long fall or by the goring of horns, and those from which a wild animal has eaten, except what you [are able to] slaughter [before its death], and those which are sacrificed on stone altars, and [prohibited is] that you seek decision through divining arrows. That is grave disobedience. This day those who disbelieve have despaired of [defeating] your religion; so fear them not, but fear Me. This day I have perfected for you your religion and completed My favor upon you and have approved for you Islām as religion. But whoever is forced by severe hunger with no inclination to sin – then indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

MALAY

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang makanan yang halal yang tidak boleh diharamkan. Dalam ayat ini pula adalah perkara-perkara haram yang tidak boleh dihalalkan. Kalau buat juga, itu juga termasuk dalam perkara syirik amali. Sekarang kita belajar makanan-makanan yang haram dimakan.

Yang pertama disebut adalah bangkai iaitu binatang yang mati sendiri tanpa melalui proses penyembelihan atau proses pemburuan (kerana kalau diburu, ada kemungkinan kita tidak sempat sembelih dan binatang itu sudah mati apabila kita sampai kepadanya, atau dibawa kepada kita oleh binatang buruan kita).

Semua bangkai binatang adalah haram dimakan kecuali dua sahaja: iaitu bangkai belalang dan ikan. Ini kerana ada hadith yang menyentuh berkenaan perkara ini:

Daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهما, Rasulullah ﷺ bersabda:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ الْحُوتُ وَالْجَرَادُ

Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: ikan dan belalang.

(Sunan Ibn Majah (3218))

Dari segi saintifik, binatang yang mati dengan sendiri (bangkai) tidak elok dimakan kerana ia tidak disembelih dan kerana itu darahnya masih mendap dalam tubuhnya. Oleh kerana itu kekotoran dan bahan yang tidak elok di dalam darah itu akan masuk ke dalam badan kita kalau memakannya.

 

وَا  لدَّمُ

dan darah

Darah juga haram dimakan. Dalam ayat yang lain, disebut sebagai tambahan maklumat, darah yang haram itu adalah ‘darah yang mengalir’ (Rujuk An’am:145). Jadi, hati dan limpa walaupun berdarah, boleh dimakan.

Dan kalau ada sedikit darah yang melekat pada daging, itu tidak mengapa. Tidaklah perlu dibasuh daging itu sampai langsung tidak ada darah. Boleh rujuk pada ayat Baqarah:173

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Kasir ibnu Syihab Al-Mizhaji, telah menceritakan kepada kami Mu­hammad ibnu Sa’id ibnu Sabiq, telah menceritakan kepada kami Amr (yakni Ibnu Qais), daripada Sammak, daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas, baha­wa dia pernah ditanya mengenai limpa. Maka dia menjawab, “Makanlah limpa itu oleh kalian.” Mereka berkata, ‘Tetapi limpa itu adalah da­rah?” Maka Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, “Sesungguhnya yang diharamkan atas kalian itu hanyalah darah yang mengalir.”

Di dalam riwayat yang lain:

قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ الشَّافِعِيُّ: حَدَّثَنَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “أحِلَّ لَنَا مَيْتَتَانِ ودمان، فأما الميتتان فالحوت والجراد، وأما الدمان فَالْكَبِدُ وَالطُّحَالُ”.

Abu Abdullah Muhammad ibnu Idris Asy-Syafii mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam, daripada ayahnya, daripada Ibnu Umar secara marfu’ bahawa Ra­sulullah ﷺ telah bersabda: Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Adapun dua jenis bangkai iaitu ikan dan belalang, dan dua jenis darah iaitu hati dan limpa.

 

وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

dan daging babi,

Daging babi seperti yang kita sedia maklum adalah haram, dan ini termasuk bulu, kulit dan tulangnya. Disebut daging sahaja dalam ayat ini kerana daging yang paling banyak daripada bahagian tubuh babi itu tetapi ia mewakili semua anggota tubuh babi itu. Jadi tidak bolehlah kalau hendak dimakan sup tulang babi pula.

 

وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ

dan yang disembelih atas nama selain Allah,

Iaitu binatang yang disembelih bukan kerana Allah ‎ﷻ. Kalau pada zaman Jahiliah, ada binatang yang asalnya halal dimakan tetapi disembelih atas nama berhala dan selain Allah ‎ﷻ.

Amat meyedihkan sekali, pada zaman sekarang pun ada juga perkara ini berlaku dalam kalangan orang Islam kita. Ini kerana ada yang jahil agama yang sembelih binatang mereka dengan tujuan untuk menjamu jin dan hantu. Ini juga adalah haram dimakan kerana tujuan mereka sembelih binatang itu adalah untuk membesarkan selain Allah ‎ﷻ. Daging sembelihan itu haram dimakan walaupun baca Basmalah semasa disembelih dan sembelih dengan cara Islam.

 

وَالْمُنْخَنِقَةُ

dan yang tercekik,

Binatang yang mati tercekik juga haram dimakan. Sama ada dicekik secara sengaja atau tidak sengaja. Katakanlah kita tambat lembu kita dan mungkin ia hendak melarikan diri kerana ketakutan dan oleh kerana lehernya terikat, maka, lembu itu mati terjerut.

 

وَالْمَوْقُوذَةُ

dan yang terpukul,

Iaitu binatang yang dipukul sampai mati, iaitu dipukul dengan benda berat tetapi tidak tajam. Orang Arab Jahiliah biasa memukul sahaja binatang ternakan mereka sampai mati untuk dimakan.

 

وَالْمُتَرَدِّيَةُ

dan yang jatuh,

Ada binatang yang naik tempat yang tinggi dan kemudian terjatuh dari tempat tinggi itu dan mati. Ini pun haram dimakan kerana ia adalah bangkai.

 

وَالنَّطِيحَةُ

dan yang ditanduk, 

Ada binatang yang berkelahi sesama sendiri dan binatang yang lain menanduknya sampai mati. Atau yang dilanggar dengan kenderaan yang laju.

 

وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ

dan yang diterkam binatang buas,

Ada binatang yang dibaham binatang buas lain. Bintang buas seperti harimau dan anjing liar telah tangkap dan makan sedikit. Ini juga haram dimakan walaupun binatang buas itu menerkam bahagian sembelihan (tengkuk) binatang ternak itu.

 

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

kecuali yang sempat kamu menyembelihnya,

Kecuali kalau kita sempat sembelih sebelum binatang itu mati. Sama ada binatang itu telah tercekik, dipukul, ditanduk atau diterkam oleh binatang buas, tetapi sebelum sempat ia mati, kita sempat sembelih dan binatang itu mati dengan sembelihan kita. Jadi tentulah tidak termasuk 4 jenis yang disebut di awal ayat ini.

Mungkin kita nampak ada binatang yang hampir mati, tetapi sebelum mati kita terus menyembelihnya. Atau ada binatang buas yang sudah jatuhkan binatang yang boleh dimakan, dan mereka sedang memamah binatang itu, dan kita halau dan sembelih dengan segera semasa binatang itu hidup lagi.

Waktu itu haiwan yang dimaksudkan itu masih menggerak-gerakkan telinganya, atau menendang-nendang dengan kakinya atau matanya masih terkedip-kedip lagi, menandakan ia masih hidup. Maka cepat-cepatlah kita sembelih dan sembelihan itu boleh dimakan.

 

وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

dan yang disembelih untuk berhala.

Ada binatang yang disembelih di patung berhala. Ini pun tidak boleh dimakan. Ataupun disembelih dekat dengan berhala, pun haram juga untuk dimakan walaupun semasa menyembelihnya disebut nama Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat bahawa masyarakat Arab kenal Allah ‎ﷻ dan anggap Allah ‎ﷻ itu Tuhan juga.

 

وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلٰمِ

Dan mengundi nasib dengan anak panah,

Kita juga diharamkan daripada mencari untung nasib dengan benda. Dahulu di masa Jahiliah orang-orang Arab sering melakukannya. Azlam merupakan tiga buah anak panah, pada salah satunya bertuliskan kata ‘lakukanlah’, pada yang kedua bertuliskan ‘jangan kamu lakukan’, sedangkan pada yang ketiganya tidak terdapat tulisan apa pun.

Menurut sebahagian orang, pada yang pertama bertuliskan ‘Tuhanku memerintahkan kepadaku’, pada yang kedua ber­tuliskan ‘Tuhanku melarangku’, dan pada yang ketiganya kosong, ti­dak ada tulisan. Kemudian mereka akan kocok anak-anak panah itu.

Jika telah dikocok, lalu keluarlah panah yang bertuliskan kata perintah, maka orang yang bersangkutan mengerjakannya; atau jika yang keluar kata larangan, maka dia meninggalkannya. Jika yang ke­luar adalah anak panah yang kosong, maka dia mengulanginya lagi.

Zaman sekarang, mungkin tidak menggunakan anak panah, tetapi ada juga yang membuat keputusan dengan menggunakan duit syiling atau dadu. Itu pun boleh termasuk dalam pengharaman ini juga.

وَرَوَى ابْنُ مَرْدُويه مِنْ طَرِيقِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ رَقَبةَ، عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ عُمَيْر، عَنْ رَجاء بْنِ حَيْوَة، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَنْ يَلِج الدَّرَجَاتِ مَنْ تَكَهَّن أَوِ اسْتَقْسَمَ أَوْ رَجَعَ مِنْ سَفَرٍ طَائِرًا”.

Ibnu Murdawaih meriwayatkan melalui jalur Ibrahim ibnu Yazid, daripada Ruqabah, daripada Abdul Malik ibnu Umair, daripada Raja ibnu Haiwah, daripada Abu Darda yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ telah ber­sabda: Tidak akan masuk syurga orang yang melakukan tenung atau mengundi nasib atau kembali daripada berpergian kerana tatayyur.

Allah ‎ﷻ melarang melakukan perkara itu kerana melakukan perbuatan tersebut akan mengakibatkan kefasikan, kesesatan, kebodohan, dan kemusyrikan. Allah ‎ﷻ telah memerin­tahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, apabila mereka me­rasa ragu dalam urusan mereka, hendaknya mereka melakukan isti­kharah kepada-Nya, iaitu dengan menyembah-Nya, kemudian memo­hon petunjuk daripada-Nya tentang perkara yang hendak mereka lakukan.

Kenapa hal ini disebut tentang makanan sembelihan pula? Ini kerana pada zaman jahiliyah, mereka menggunakan hal ini untuk membahagikan binatang sembelihan di berhala. Asalnya mereka berkongsi binatang tetapi kemudian apabila sudah disembelih, mereka menggunakan anak panah pula untuk menentukan daging itu milik siapa. Jadi ada yang kehilangan bahagiannya terus.

 

ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ

itu adalah kefasikan. 

Yang telah disebut adalah jenis fasik sehingga mengakibatkan mereka boleh keluar agama, maknanya sampai menjadi kufur. Ini kerana ia termasuk dalam Syirik Amali. Malangnya ramai membuatnya kerana jahil agama.

Inilah bahayanya jahil kerana boleh masuk neraka sebab mereka hanya mengikut sahaja amalan yang salah. Syaitan akan membisikkan amalan-amalan yang salah kepada mereka dan mereka tidak menolaknya kerana mereka kosong tiada ilmu. Terutama sekali jika mereka jauh daripada ilmu Al-Qur’an dan hadith. Maka mereka terima semua yang diberitahu kepada mereka tanpa usul periksa.

 

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ

Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu,

Apabila turun surah-surah akhir ini termasuk Surah Maidah, maka orang-orang kafir telah berputus asa untuk menyesatkan umat Islam kerana kalau kita berpegang dengan Al-Qur’an, mereka tidak akan boleh mengalahkan kita. Ayat ini diturunkan di hari Arafah pada tahun Nabi Muhammad ‎ﷺ mengerjakan Haji. Ini bermakna, tanah Arab telah jatuh ke tangan Muslim.

Mereka tidak akan dapat memusnahkan Islam dan mereka tidak dapat mengembalikan agama mereka lagi atau mengembalikan orang Islam kepada agama lama mereka. Kerana itulah mereka akan menghalang orang Islam daripada memahami Al-Qur’an. Mereka melakukannya dengan cara melekakan umat Islam daripada mempelajari agama sehinggakan umat Islam sendiri hanya muslim dari segi nama sahaja, namun jauh daripada ilmu agama.

 

فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ

sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. 

Maka tidak perlu bimbanglah dengan orang kafir itu dan apa yang mereka rancang untuk lakukan. Kita tidak perlu takut kerana kita yakin yang Allah ‎ﷻ akan menolong kita atas mereka. Yang perlu kita lakukan adalah takut kepada Allah ‎ﷻ dan dengan takut itu, kita menjaga hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Jika dahulu umat Islam takut-takut kalau diserang pihak kufar, namun sekarang mereka boleh menumpukan perhatian kepada ibadah dan mengembangkan agama Islam.

 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, 

Ini ayat yang amat penting untuk kita faham. Allah ‎ﷻ telah sempurnakan agama itu maksudnya agama telah sempurna dari segi hukum. Segala hukum yang sepatutnya turun, telah diturunkan.

Bukanlah bermakna segala ayat Al-Qur’an telah turun kerana ayat akhir turun adalah dalam Surah Baqarah. Namun segala ayat hukum untuk kita amalkan telah diturunkan dengan turunnya ayat ini dan selepas ini tidak ada lagi ayat hukum yang akan diturunkan. Hanya ada ayat-ayat yang tidak berkenaan hukum sahaja diturunkan. Dan 80 hari selepas ayat ini diturunkan, Nabi Muhammad ﷺ pun wafat.

Ayat ini sebagai dalil yang kukuh kepada puak Sunnah sebagai hujah untuk mengatakan yang agama ini telah lengkap dan tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang bid’ah. Malangnya, ramai yang tidak faham ayat ini. Ramai yang menokok tambah hal dalam agama, seolah-olah agama belum lengkap lagi.

Sebagai contoh, kalau ada yang mati, akan dibuat Majlis Tahlil. Ini tidak dibuat pada zaman Nabi ﷺ (zaman agama telah lengkap). Apakah tidak ada orang mati pada zaman itu? Tentu ada, tapi tidaklah dilakukan amalan-amalan bid’ah seperti Majlis Tahlil itu.

 

وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي

dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, 

Maksudnya, kita tidak perlu nikmat daripada sesiapa lagi sebab Allah ‎ﷻ sudah berikan Al-Qur’an kepada kita.

Itmam – selesai sesuatu dan tidak perlu bantuan dari luar lagi. Contohnya kita telah siapkan rumah.

Ikmal – selesai projek ataupun apa yang kita hendak lakukan dan usaha kita itu telah keluarkan hasil. Islam sudah nampak berjaya.

Maka nikmat yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kejayaan umat Islam dan kejatuhan musuh mereka yang syirik. Umat Islam sudah tidak perlu takut lagi dan boleh meneruskan usaha untuk mendakwah agama Islam ke seluruh dunia.

 

وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا

dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. 

Hanya Islam sahaja agama yang diiktiraf untuk kita amalkan. Tidak ada deen lain lagi. Deen – cara berurusan dengan apa sahaja. Semua perkara tentang agama telah Allah ‎ﷻ ajar dan telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Terdapat hadith yang menarik tentang ayat ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ عَوْن، حَدَّثَنَا أَبُو العُمَيْس، عَنْ قَيْسِ بْنِ مُسْلِمٍ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ مِنَ الْيَهُودِ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ آيَةً فِي كِتَابِكُمْ، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ الْيَهُودِ نَزَلَتْ لَاتَّخَذْنَا ذَلِكَ الْيَوْمَ عِيدًا. قَالَ: وَأَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ قَوْلُهُ: {الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي} فَقَالَ عُمَرُ: وَاللَّهِ إني لَأَعْلَمُ الْيَوْمَ الَّذِي نَزَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَالسَّاعَةَ الَّتِي نَزَلَتْ فِيهَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، نَزَلَتْ عَشية عَرَفَة فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ja’far ib­nu Aun, telah menceritakan kepada kami Abul Umais, daripada Qais ibnu Muslim, daripada Tariq ibnu Syihab yang menceritakan bahawa ada se­orang lelaki Yahudi datang kepada Khalifah Umar ibnul Khattab, lalu berkata, “Hai Amirul Mu’minin, sesungguhnya kamu biasa membaca suatu ayat dalam Kitab kamu, seandainya hal itu diturunkan kepada kami golongan orang-orang Yahudi, nescaya kami akan menjadikan hari itu sebagai hari raya.” Khalifah Umar رضي الله عنه bertanya, “Ayat apakah itu?” Orang Yahudi tersebut membacakan firman-Nya: Pada hari ini telah Kusempurnakan bagi kalian agama kalian, dan telah Kucukupkan kepada kalian nikmat-Ku. (Al-Maidah: 3) Maka Khalifah Umar رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar mengetahui hari ayat ini diturunkan kepada Rasulullah ﷺ dan saat penurunannya kepada Rasulullah ﷺ iaitu pada petang hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat.”
Imam Bukhari meriwayatkannya daripada Al-Hasan ibnus Sabbali, daripada Ja’far ibnu Aun dengan lafaz yang sama. Imam Muslim, Imam Turmuzi, dan Imam Nasai meriwayatkannya melalui pelbagai jalur daripada Qais ibnu Muslim dengan lafaz yang sama.

Dan sememangnya semasa penurunan itu adalah dua hari raya: Hari Jumaat sebagai hari raya mingguan dan juga Hari Raya Aidil Adha. Ini juga mengajar kita satu konsep perayaan dalam agama Islam. Kita tidak raikan kerana kejadian yang besar-besar seperti kelahiran atau kematian sesiapa, penaklukan negara atau kemerdekaan dan sebagainya.

Perayaan di dalam agama adalah kerana ibadah sahaja dan telah ditentukan oleh Islam semenjak dari zaman Rasulullah ﷺ lagi. Maka perayaan yang direka-reka oleh umat Islam tidak patut dilakukan seperti meraikan kelahiran Nabi Muhammad ﷺ, kematian ulama’ atau wali, kematian Sayyidina Hussein dan sebagainya. Perayaan kita tidaklah seperti Yahudi dan Nasrani yang mengingati hari-hari tertentu yang mereka rasa hari besar mereka.

 

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ

Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, 

Allah ‎ﷻ mengajar dan suruh kita makan makanan yang halal kerana mengandungi kesan baik apabila kita makan makanan halal. Dan terdapat kesan buruk kalau kita makan makanan yang haram. Bukannya Allah ‎ﷻ hendak menyusahkan kita dengan mengurangkan jenis makanan untuk kita.

Walaupun Allah ‎ﷻ telah melarang, tetapi Islam adalah agama yang praktikal. Jika dalam keadaan terdesak, lain pula hukum yang digunakan. Dalam keadaan darurat, makanan tidak ada, dan dalam keadaan lapar, maka makanan yang asalnya haram dimakan, dibenarkan kita makan. Namun hendaklah lapar itu bukan lapar biasa sahaja, tetapi kena jenis lapar yang amat yang kalau tidak makan, boleh mati. Dan waktu itu tidak ada sumber makanan yang lain.

Mestilah juga dalam kita tidak ada condong hendak memakan benda haram. Bukannya kita sengaja cari peluang hendak merasa makan khinzir, tetapi kita terpaksa makan sebab lapar sangat dan takut mati kalau tidak makan.

 

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dalam keadaan seperti di atas, maka tidaklah berdosa kalau kita makan. Malah kita kena makan kerana kita wajib menjaga nyawa kita. Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita yang terpaksa makan itu kerana Allah ‎ﷻ maha pengampun dan Allah ‎ﷻ sayangkan kita dan Allah ‎ﷻ mahu kita meneruskan hidup kita, walaupun terpaksa makan makanan yang haram.


 

Maidah Ayat 4: 

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask you, [O Muḥammad], what has been made lawful for them. Say, “Lawful for you are [all] good foods and [game caught by] what you have trained of hunting animals¹ which you train as Allāh has taught you. So eat of what they catch for you, and mention the name of Allāh upon it, and fear Allāh.” Indeed, Allāh is swift in account.

  • Such as dogs, falcons, etc.

MALAY

Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”. Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.

 

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ

Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”. 

Setelah disebutkan perkara yang haram, sekarang ditanya pula manakah yang halal untuk mereka?

 

قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ

Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik

Ini adalah jawapan secara umum. Semua yang baik itu dihalalkan untuk kita memakannya. Maknanya, apa yang Allah ‎ﷻ haramkan adalah tidak baik bagi kita sebenarnya. Begitulah hukum yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Banyak dalam dunia ini yang syariat tidak haramkan. Lebih banyak yang halal daripada yang haram. Kalau tidak ada dalil pengharaman, maka boleh sahaja makan kerana kembali kepada hukum asal: harus.

Kalau ada sesuatu perkara yang kita tidak pasti boleh dimakan atau tidak, Imam Syafi’iy رحمه الله berkata kena dilihat sama ada orang Arab Quraish makan ataupun tidak. Ini kerana Al-Qur’an turun kepada mereka dan seeloknya kita ikut selera mereka. Mereka itu dijadikan kayu ukur. Kalau sesuatu itu jijik bagi mereka, maka jijik jugalah sepatutnya untuk kita.

 

وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ

dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatih nya untuk berburu;

Juga dihalalkan untuk memakan binatang yang ditangkap oleh binatang buruan kita. Ini orang Melayu rasanya tidak mengamalkannya jadi ia agak asing bagi kita. Selalunya binatang buruan yang digunakan adalah anjing. Anjing itu akan menangkap binatang yang hendak dimakan.

Kesimpulannya ialah jawarih ertinya haiwan-haiwan pemangsa, seperti anjing, burung helang, dan lain sebagainya yang serupa. Haiwan itu yang tangkapkan makanan bagi kita dan kita boleh makan makanan yang ditangkap itu, walaupun bila sampai kepada kita, binatang buruan itu sudah pun mati.

 

تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللهُ

kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu.

Boleh makan binatang yang ditangkap oleh binatang yang diajar memburu seperti anjing. Bukanlah anjing biasa, tetapi anjing yang telah dilatih. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa Dia lah yang mengajar kita cara bagaimana melatih binatang itu. Kerana itu semasa ditangkap haiwan buruan itu, selalunya haiwan yang hendak dimakan itu cuma dicederakan tetapi belum mati lagi. Ini kerana anjing itu menangkap haiwan buruan itu untuk kita, bukan untuk dia.

Maka jika anjing bawakan binatang yang telah ditangkap itu dan anjing itu tidak makan daripada binatang itu. Kalau gunakan helang pula, tanda helang itu telah dilatih adalah ia akan ikut arahan. Kalau kita panggil dia, dia akan datang walaupun sedang mengejar buruan. Ini penting kerana kalau sudah dilatih, bermakna binatang pemburu itu memburu untuk kita, bukan untuk diri dia sendiri.

 

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maka makanlah daripada apa yang ditangkapnya untukmu, 

Maka binatang yang ditangkap oleh binatang buruan kita itu boleh dimakan. Walaupun kadang-kadang bila ia sampai kepada kita, binatang yang diburu itu telah mati pun.

Binatang yang kita gunakan sebagai binatang pemburuan ini dikenali sebagai Mukallibeen. Terdapat beberapa syarat:

    1. Kita kena ajar binatang itu bagaimana memburu. Oleh itu, bukan mereka pandai sendiri.
    2. Kita yang lepaskan binatang itu pergi. Oleh itu, dia pergi dengan arahan dan boleh berhenti kalau kita suruh. Maknanya binatang yang mendengar kata.
    3. Dan dia tidak makan sedikit pun daripada binatang  yang dia tangkap, kerana dia memang tangkap untuk kita. Mereka pegang sahaja dengan gigi mereka. Orang Arab banyak menggunakan anjing sebagai binatang pemburu. Selain daripada anjing, ada juga yang menggunakan burung helang (falcon). Maka tidak ada masalah kalau menggunakan anjing. Allah ‎ﷻ yang menjadikan anjing untuk kegunaan kita.

Maka jangan benci kepada anjing. Malangnya masyarakat kita salah faham tentang hukum sehinggakan budak-budak dan orang tua yang berperangai seperti budak dan akalnya seperti budak, bencikan anjing. Sampaikan ada yang baling anjing dengan batu kerana benci sahaja. Dan makin dahsyat ada yang sehingga sanggup membunuh pun.

 

وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

dan sebutlah nama Allah atas binatang itu

Ini ada satu lagi syaratnya: semasa kita melepaskan mukallibeen itu, kita baca bismillah. Jadi, mulut mukallibeen itu sebagai ganti kepada pisau. Oleh itu, ia bagaikan seolah-olah kita sembelih binatang itu (dengan gigi binatang mukallibeen itu). Kerana itulah kalau binatang itu sampai kepada kita sudah mati, kita boleh makan, kerana seumpama ia telah disembelih.

Disebut di dalam kitab Sahihain daripada Addi ibnu Hatim yang telah menceritakan:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُرْسِلُ الْكِلَابَ المعلَّمة وَأَذْكُرُ اسْمَ اللَّهِ. فَقَالَ: “إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ المعلَّم وَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ، فَكُلْ مَا أَمْسَكَ عَلَيْكَ“. قُلْتُ: وَإِنْ قَتَلْنَ؟ قَالَ: “وَإِنْ قَتَلْنَ مَا لَمْ يُشْرِكْهَا كَلْبٌ لَيْسَ مِنْهَا، فَإِنَّكَ إِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى غَيْرِهِ“. قُلْتُ لَهُ: فَإِنِّي أَرْمِي بالمِعْرَاض الصَّيْدَ فَأُصِيبُ؟ فَقَالَ: “إِذَا رَمَيْتَ بِالْمِعْرَاضِ فَخَزق فَكُلْهُ، وَإِنْ أَصَابَهُ بعَرْض فَإِنَّهُ وَقِيذٌ، فَلَا تَأْكُلْهُ

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melepaskan anjing pemburu yang telah dilatih dan aku menyebutkan asma Allah.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Apabila kamu melepaskan anjing terlatihmu dan kamu sebut asma Allah, maka makanlah selagi anjingmu itu menangkap haiwan buruan untukmu.” Aku ber­tanya, “Sekalipun haiwan buruan itu telah dibunuhnya?” Rasu­lullah ﷺ bersabda, “Sekalipun telah dibunuhnya selagi tidak ditemani oleh anjing lain yang bukan daripada anjing-anjingmu, kerana sesungguhnya kamu hanya membaca tasmiyah untuk an­jingmu, bukan membacanya untuk anjing lain.” Aku bertanya ke­padanya, “Sesungguhnya aku melempar haiwan buruan dengan tombak dan mengenainya.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Jika kamu melemparnya dengan tombak dan tombak itu menembus tubuhnya, maka makanlah. Tetapi jika yang mengenainya ialah bahagian sampingnya (tengahnya), sesungguhnya haiwan buruan itu mati kerana terpukul, jangan kamu makan.”

Menurut lafaz lain yang juga daripada keduanya (Imam Bukhari dan Imam Muslim) disebutkan seperti berikut:

إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ فَاذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ، فَإِنْ أَمْسَكَ عَلَيْكَ فَأَدْرَكْتَهُ حَيًّا فَاذْبَحْهُ، وَإِنْ أَدْرَكْتَهُ قَدْ قُتِلَ وَلَمْ يَأْكُلْ مِنْهُ فَكُلْهُ، فَإِنَّ أخْذ الْكَلْبِ ذَكَاتُهُ”

Jika kamu melepaskan anjing pemburumu, bacalah asma Allah; dan jika ia menangkap haiwan buruannya untukmu, lalu kamu jumpai masih hidup, sembelihlah haiwan buruan itu. Jika kamu menjumpainya telah mati dan anjingmu tidak memakannya, ma­kanlah, kerana sesungguhnya terkaman anjingmu itu merupakan sembelihannya.

Menurut riwayat lain yang ada pada Imam Bukhari dan Imam Mus­lim disebutkan seperti berikut:

“فَإِنْ أَكَلَ فَلَا تَأْكُلْ، فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَكُونَ أَمْسَكَ عَلَى نَفْسِهِ.”

Dan jika anjingmu itu memakannya, maka janganlah kamu ma­kan, kerana sesungguhnya aku merasa khuatir bila anjingmu itu menangkapnya untuk dirinya sendiri.

Sebahagian ulama’ mengatakan yang dimaksudkan daripada ayat ini ialah perintah membaca bismillah sewaktu hendak makan. Seperti yang disebutkan di dalam hadith Sahihain, 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّم رَبِيبه عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ فَقَالَ: “سَمّ اللَّهَ، وكُل بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ”

bahawa Rasulullah ﷺ mengajari anak tirinya, iaitu Umar ibnu Abu Salamah. Untuk itu baginda ﷺ bersabda: Sebutlah asma Allah, dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah (makanan) yang dekat denganmu.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهُمْ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَاحَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِكُفْرٍبلُحْمانٍ لَا نَدْرِي أَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا؟ فَقَالَ: “سَمّوا اللَّهَ أَنْتُمْ وكلوا.”

Daripada Siti Aisyah رضي الله عنها bahawa mereka pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ada suatu kaum yang baru masuk Islam datang kepada kami dengan membawa dua jenis daging, tanpa kami ketahui apakah mereka menyebut nama Allah (ketika menyembelihnya) atau tidak.” Rasulullah ﷺ bersab­da: Sebutlah nama Allah oleh kalian sendiri, lalu makanlah.

Maksud hadith ini adalah tidaklah perlu kita hendak periksa dengan terperinci sangat. Kalau yang sembelih itu orang Islam, maka kita bersangka baiklah yang dia sudah sembelih cara Islam. Tidaklah kita perlu sampai dilihat cara dia sembelih pula.

 

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.

Yang penting, kita kena bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Taqwa maksudnya taat atas apa sahaja hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan untuk kita. Maka kita kena belajar dahulu hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada kita.

Takutlah kepada Allah ‎ﷻ kerana kalau kita tidak taat, Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab kepada kita dan azab Allah ‎ﷻ itu amat cepat. Maka jangan lupa kewajipan kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, jangan sibuk memburu sampai lupa untuk salat pula.

Apabila Allah sebut hisabNya amat cepat, ia mempunyai tiga makna,

1. Hisab Allah sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan lengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’:1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ

Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

2. Hisab sebelum mati. Allah boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Dan kalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah terus beli balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, maka kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah beri kepala kita terlanggar dinding.

3. Apabila Allah buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk minta Allah percepatkan hisab. Dan apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah lakukan audit yang sebegini?

Pernah Saidina Ali ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhlukNya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2021

Ringkasan Surah Maidah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 1 – 2 (Penuhi perjanjian)

Pengenalan:

Kaitan dengan Surah Baqarah: Dalam Surah Baqarah telah disebut tentang akidah syirik dalam bentuk iktikadi (dalam hati) dan amali (perbuatan). Dalam Surah Maidah ini banyak disebut tentang syirik dari segi amali sedangkan sebelum ini, Surah Ali Imran hanya sebut syirik iktikadi sahaja.

Surah Baqarah banyak menyebut tentang golongan Yahudi

Surah Ali Imran banyak menyebut tentang golongan Nasara.

Surah Nisa menyebut tentang golongan Munafik.

Dalam Surah Maidah ini pula, menggabungkan ketiga-tiga kumpulan itu: Yahudi, Nasara dan Munafiqun.

Empat golongan sesat tafsir Quran

Surah Maidah ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian :

1-66 adalah bahagian pertama. Ia adalah tentang syirik amali. Disebut tentang syirik amali dahulu kemudian baru disebut syirik iktikadi.

67-120 adalah bahagian kedua. Disebut tentang syirik iktikadi dahulu sebelum syirik amali.

Dalam surah ini juga disebut tentang pemutusan hubungan dengan Yahudi dan Nasara. Ini adalah kerana kalau tidak memutuskan hubungan baik dengan mereka, kita akan dikira sebagai sebahagian daripada mereka.

Surah ini juga mengandungi teguran kepada Yahudi dan Nasara kerana mereka hendak menyesatkan manusia sedangkan mereka itu adalah pemegang kitab wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Sepatutnya mereka yang mengajar manusia ke arah kebaikan tetapi mereka menjadi sebaliknya pula. Jadi surah ini mengingatkan kita supaya jangan kita jadi seperti mereka. Ini kerana ada juga dalaam kalangan umat Islam yang berperangai seperti mereka.

Surah ini ada mengandungi ayat-ayat Umur Muslihah dan kebanyakannya tentang Salat.

Juga mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah tentang bagaimana hendak berurusan dengan pencuri.

Ia turut mengandungi ayat-ayat tentang amar makruf nahi mungkar.

Surah ini diturunkan lewat periode di Madaniah iaitu selepas Perjanjian Hudaibiyah, sebahagiannya semasa Penaklukan Mekah dan sebahagian lagi semasa baginda di dalam perjalanan mengerjakan Haji. Pada periode itu umat Islam sudah kuat. Ini bermakna waktu itu hukum-hakam hampir dilengkapkan kerana daulah Islamiah (negara Islam) sudah berdiri dan memerlukan hukum hakam yang lengkap untuk mengurusnya.

Oleh kerana diturunkan di hujung periode kenabian baginda, maka hukum hakam di dalamnya adalah kekal (ayat-ayat muhkam). Ini kerana pasti tidak akan ada pemansuhan kepada ayat-ayat di dalamnya kerana jangkamasa hayat Nabi sudah tidak lama lagi. Kerana kalau ada pemansuhan, ia memansuhkan hukum hakam yang di awal kenabian baginda.


 

Ayat 1: Tentang syirik amali.

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fulfill [all] contracts.¹ Lawful for you are the animals of grazing livestock except for that which is recited to you [in this Qur’ān] – hunting not being permitted while you are in the state of iḥrām.² Indeed, Allāh ordains what He intends.

  • ¹ Which includes promises, covenants, oaths, etc.
  • ² The state of ritual consecration for ḥajj or ‘umrah.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Ini adalah ajaran yang amat penting dalam Islam – sempurnakan perjanjian kita. Ia dimulakan dengan disebut ‘wahai orang-orang beriman’ maka ia adalah hukum yang perlu dipegang bagi orang yang mahu beriman. Yang paling utama adalah sempurnakan janji dengan Allah ‎ﷻ untuk taat kepada-Nya. Kalau perjanjian ini tidak diutamakan, tidak bermakna lagi segala perkara lain.

Oleh kerana ada disebut tentang al-uqud di dalam ayat ini, maka nama lain bagi Surah Maidah adalah Suratul Uquud.

Perjanjian yang perlu disempurnakan bukan dalam hal agama sahaja tetapi termasuk segala bentuk perjanjian. Itu termasuklah antara pasangan suami isteri, dalam dan luar negara, perjanjian yang melibatkan urusan kerja dan sebagainya. Semua sekali mesti dipenuhi dan ini adalah kewajipan kita.

Ada perjanjian yang bertulis dan ada yang tidak bertulis dengan perjanjian yang tidak bertulis tetapi telah dipersetujui bersama. Sebagai contoh, terdapat kontrak sosial untuk memberikan layanan yang baik kepada manusia yang lain. Banyak sekali yang termasuk dalam perkara ini. Memang tidak ada bertulis, tidak berjanji sambil berjabat tangan tetapi ada perkara yang diharapkan daripada orang lain.

Begitu juga, dalam negara Malaysia kita ini, sudah ada kontrak sosial antara orang Melayu dan bangsa-bangsa yang lain untuk hidup dengan harmoni. Memang asal keturunan mereka dari negara India dan China namun itu sudah lama dahulu. Keturunan mereka sekarang ini adalah penduduk negara ini dan sama-sama tinggal di sini. Mereka tidak ada keinginan untuk pulang ke negara asal datuk nenek mereka lagi. Maka, janganlah ada yang hendak menghalau mereka kembali pula kalau ada yang tidak kena, jika terdapat isu-isu perkauman yang timbul.

Ada ulamak bahagikan uqood ini kepada tiga jenis secara umumnya:

1. Perjanjian dengan Allah ﷻ.

2. Perjanjian dengan diri sendiri untuk menunaikan kewajipan. Contohnya menunaikan nazar.

3. Perjanjian sesama manusia. Tapi mestilah yang halal mengikut syarak. Kerana kalau perjanjian yang haram, ia dari awal lagi telah tertolak.

 

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ

Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak

Selepas sebut tentang ‘perjanjian’ sebelum ini, maka sekarang disebut tentang binantang ternak. Apakah kaitannya? Perjanjian sebelum ini disebut umum sahaja dan sekarang ada pengkhususan. Iaitu perjanjian kita dengan Allah ﷻ untuk ikut hukumNya termasuk hukum sembelihan. Iaitu kita boleh makan binatang ternak selepas disembelih mengikut cara yang dikehendakiNya. Selepas disembelih begitu, maka ia halal dimakan oleh kita.

Ini adalah perkara halal yang tidak boleh diharamkan, iaitu binatang ternak dan binatang-binatang lain yang boleh dimakan. Yang dimaksudkan dengan an’am ialah binatang ternak yang pada umumnya jinak, seperti unta, lembu, dan kambing. Juga binatang yang pada umumnya liar, seperti kijang, banteng, dan kuda belang.

Kalau haramkan juga, itu adalah perbuatan syirik amali. Hukum mengharamkan adalah milik mutlak Allah ‎ﷻ, jangan ada yang memandai-mandai mengharamkan sesuatu yang Allah‎ ﷻ telah halalkan. Ia telah menolak hadiah yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita (kufur nikmat) dengan cara terbuka. Dan kalau haramkan juga, itu sudah mengambil alih tugas Allah ‎ﷻ, sedangkan mengadakan hukum adalah hak Dia sahaja.

Kalau buat juga, itulah yang termasuk dalam ruang syirik, kerana menduakan Allah‎ ﷻ dari segi membuat hukum. Untuk beri penerangan yang lebih jelas, Allah ‎ﷻ berikan contoh satu perbuatan seperti dalam ayat ini.

Semua binatang ternak halal belaka untuk dimakan. بَهِيمَةُ adalah binatang yang berkaki empat yang dibela atau diburu yang makan makanan tumbuhan. Oleh itu jangan pantang daripada memakannya. Jangan kata binatang ini tidak boleh makan atas sebab-sebab tertentu yang tidak ada dalam syarak. Ini banyak dilakukan oleh Musyrikin Mekah tetapi malangnya ada juga dilakukan oleh masyarakat Melayu kita. Ini banyak dijelaskan dalam Surah al-An’am.

Jadi ringkasnya perjanjian dengan Allah ﷻ bab binatang ternak ini adalah:

– Bila makan kena syaratnya

– Jangan pakai makan sahaja binatang yang ada

– Jangan diharamkan mana yang halal

 

إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

kecuali apa yang telah dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.

Sebelum ini telah disebut hukum pemakanan binatang. Sekarang disebut pengecualiannya pula.

Pertama tidak boleh kerana memang telah diharamkan dan dijelaskan dalam Al-Qur’an juga, iaitu ada binatang yang diharamkan dengan jelas seperti khinzir dan juga bangkai. Surah Maidah ini adalah Surah Madaniah, jadi ada ayat-ayat tentang pengharaman makanan yang telah dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum Surah Maidah diturunkan. Juga akan dijelaskan lagi ayat-ayat seterusnya daripada surah Maidah ini.

Ini mengajar kita, kalau ada pengharaman tentang makanan, ia mestilah ada dalil daripada wahyu, sama ada daripada ayat-ayat Al-Qur’an ataupun hadith Nabi ﷺ yang sahih.

 

غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

tidak dihalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram

Binatang ternak halal dimakan akan tetapi ini satu lagi pengeculian. Ia diharamkan berburu kepada mereka yang berihram semasa mereka mengerjakan Haji. Binatang ternak memang halal dimakan dan diburu, cuma waktu itu sahaja yang tidak boleh – mereka yang dalam ihram.

Oleh itu, kalau ternampak binatang yang diburu semasa dalam perjalanan mengerjakan haji, maka tidak dibolehkan untuk berburu. Ini pun perjanjian yang perlu dipenuhi antara kita dengan Allah ‎ﷻ kerana pada waktu itu tidak ada orang lain nampak. Walaupun orang lain tidak nampak kita pergi berburu, tetapi kita kena yakin yang Allah‎ ﷻ nampak apa yang kita lakukan.

Kita mungkin susah hendak faham ayat ini, kerana kita kalau pergi mengerjakan Umrah atau Haji, makanan sudah tersedia banyak. Namun pada zaman itu, makanan mereka adalah daripada hasil berburu.

 

إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

Terpulang sahaja kepada Allah ‎ﷻ hendak buat bagaimana dan membuat apa sahaja hukum sebab Dia Tuhan dan Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Tidak perlu tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh buat begini dan begitu.

Memang segala apa hukum yang telah ditetapkan itu ada hikmahnya namun kadangkala tidak perlu ditanya dan kita tidak perlu tahu. Yang penting, kita tahu kedudukan kita dan kita sedar kedudukan Allah ‎ﷻ.

Begitu pun, kalau kita cuba untuk mencari hikmah pengharaman sesuatu, maka boleh juga, namun tidaklah kita yakin yang perkara itu adalah benar kerana itu adalah usaha kita sahaja yang tidak semestinya benar. Oleh itu, kalau kita tidak jumpa pun sebab sesuatu perkara itu diharamkan, ia adalah tetap haram sama ada kita faham ataupun tidak.

Allah ﷻ dengan segala kebijaksanaanNya telah mencipta alam ini dan apa yang patut padanya. Maka kerana itu kita boleh makan binatang ternak itu. Tidaklah ada ketidakadilan padanya seperti yang diwar-warkan oleh golongan animal rights. Memang makhluk rendah dicipta untuk kegunaan makhluk atas. Tanah digunakan oleh tanaman – tanaman digunakan oleh binatang – binatang pula dimakan oleh kita. Tidak ada lagi makhluk atas kita, maka kerana itu kita manusia bukan makanan makhluk lain.


 

Ayat 2: Sekarang disebut dua jenis perkara lagi yang kita perlu penuhi sebagai penjanjian dengan Allah ﷻ (janji untuk taat). Satu tentang syiar-syiar Allah ﷻ dan satu lagi tentang keadilan kepada semua.

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلٰئِدَ وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوٰنًا وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not violate the rites of Allāh or [the sanctity of] the sacred month or [neglect the marking of] the sacrificial animals and garlanding [them] or [violate the safety of] those coming to the Sacred House seeking bounty from their Lord and [His] approval. But when you come out of iḥrām, then [you may] hunt. And do not let the hatred of a people for having obstructed you from al-Masjid al-Ḥarām lead you to transgress. And cooperate in righteousness and piety, but do not cooperate in sin and aggression. And fear Allāh; indeed, Allāh is severe in penalty.

MALAY

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah,

Syiar bermaksud ‘lambang’ dalam bahasa kita. Allah ‎ﷻ berpesan supaya kita jangan langgar lambang-lambang agama Allah ‎ﷻ, seperti Tanah Haram, Bulan Haram. Janganlah kita dengan beraninya tidak menghormati lambang-lambang itu. Tidak halal bagi kita merosakkannya.

Lambang-lambang itu mesti dihormati kerana ia mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, jangan lakukan perkara yang tidak sepatutnya pada syiar-syiar Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, tidak boleh berbunuhan di kawasan Tanah Haram. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan, yang dimaksudkan dengan syiar-syiar Allah‎ ﷻ ialah manasik Haji. Dan menurut Mujahid, Safa dan Marwah, serta hadyu dan budna juga termasuk syiar-syiar Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan syiar Allah juga menjadi perbahasan. Salah satunya adalah benda dan satu lagi adalah perbuatan manusia yang menjadi tanda yang orang itu adalah seorang Muslim seperti solat, azan, Haji, khitan, berjanggut dan lain-lain lagi. Tanda-tanda sebagai Muslim ini juga perlu dijaga, jangan dilanggar. Ini juga termasuk perjanjian. Jadi jangan buat separuh dan tinggalkan separuh.

 

وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ

dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, 

Selepas disebut syiar Allah secara umum (termasuk ibadah) maka sekarang disebut khusus satu ibadah iaitu ibadah Haji. Ada undang-undang terbabit yang khusus tentang ibadah Haji. Sebagai contoh, ada empat bulan haram yang diharamkan berperang dalam bulan itu.

Waktu itu adalah waktu untuk bertenang dan melakukan ibadah di Kaabah (mengerjakan Haji). Kalau asyik berperang sahaja, tentu susah orang nak pergi buat Haji, bukan? Maka, sudah zaman berzaman telah ditetapkan empat bulan itu tidak boleh berperang, tidak halal untuk berperang. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang Islam tentang perkara ini.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan daripada Abu Bakrah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda dalam Haji Wada’:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُم، ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدة، وَذُو الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَر الَّذِي بَيْنَ جُمادى وَشَعْبَانَ”.

Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana keadaannya di hari Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi; satu tahun adalah dua belas bulan; empat bulan di antaranya adalah Bulan Haram:tiga berturut-turut, iaitu Zul Kae’dah, Zul Hijjah, dan Muharram serta Raeab Mudar jatuh di antara bulan Jumada dan bulan Sya’ban.

Ada juga pendapat yang mengatakan hukum larangan tentang bulan-bulan Haram ini telah dimansukhkan. Allahu a’lam. Ini memerlukan perbincangan yang lebih panjang.

 

وَلَا الْهَدْيَ

dan (jangan mengganggu) binatang-binatang had-ya, 

Ia bermaksud binatang yang akan disembelih semasa Haji. Binatang-binatang itu telah ditanda oleh mereka yang telah berniat untuk menjadikannya binatang korban nanti. Mungkin belum dibawa ke Mekah lagi, namun sudah ditanda.

 

وَلَا الْقَلٰئِدَ

dan binatang-binatang qalaa-id,

Dan jangan diganggu binatang-binatang yang telah dipakaikan kalung untuk korban. Itu adalah tanda yang binatang itu akan disembelihkan. Binatang itu telah ditanda untuk disembelih kerana Allah ‎ﷻ.

Antara perkara yang boleh melanggar ayat ini adalah apabila binatang-binatang itu ditahan dari sampai ke Kaabah, dicuri. Juga boleh dikira melanggarnya dengan ditunggangi dan diperah susunya.

 

وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًا

dan (jangan mengganggu) orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keridhaan dari Tuhannya

Satu lagi larangan berkenaan ibadah Haji. Sebelum ini disebut tentang larangan ganggu binatang sembelihan yang dibawa untuk Haji. Sekarang disebut orang yang hendak ke sana.

Maka Allah ﷻ larang halang orang-orang yang mengunjungi Baitullah dengan tujuan yang aman. Mereka itu datang ke Baitullah kerana hendak mencari kurnia dan redha Allah ‎ﷻ. Jangan halang mereka dari ke Kaabah dan jangan sakiti mereka.

Waktu itu Mekah telah dikuasai oleh Muslim. Nanti akan ada pelbagai ragam manusia yang akan datang. Allah ‎ﷻ mengingatkan supaya jangan dihalang mereka daripada mengunjungi Baitullah. Tambahan pula sebelum itu telah lama peperangan antara mereka. Jadi tentu ada sakit hati dengan orang yang pernah sakiti mereka. Allah ﷻ larang dari balas dendam begitu.

Secara umumnya tidak boleh halang orang dari mengerjakan Haji dan Umrah. Oleh kerana itu, penjaga Tanah Haram tidak boleh menyekat Visa Haji tanpa sebab yang munasabah kerana kita tidak boleh menghalang orang hendak beribadah di Masjidil Haram.

Namun, larangan halangan ini adalah untuk mereka yang hendak melakukan ibadah Islam. Pada zaman Jahiliyah dahulu, orang-orang musyrik juga melakukan ibadah di Kaabah tetapi sekarang, tentu tidak ada, hanya ada orang Islam sahaja yang dibenarkan masuk untuk melakukan ibadah. Kalau untuk tujuan berbuat selain daripada itu, orang kafir tidak dibenarkan masuk ke Tanah Haram. Allah ‎ﷻ telah berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا}

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. (At-Taubah: 28)

 

وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا

dan apabila kamu telah keluar dari Ihram, maka bolehlah berburu.

Bila sudah keluar daripada Ihram, maka boleh berburu. Selalunya ayat berbunyi sebegini adalah ayat suruhan tetapi dalam ayat ini ia bermaksud memberi hukum ‘harus’, bukan ‘suruh’ sebab sebelum ini telah ada ayat larangan. Maka boleh berburu binatang selepas tahallul.

Kalau silap faham, mungkin ada yang keliru. Nanti ada yang kata sunnah kena ada aktiviti berburu pula – bukan begitu maksudnya. Kita zaman sekarang tidak perlu berburu lagi untuk makan sebab senang sahaja hendak mendapatkan makanan di Mekah.

 

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum yang telah menghalangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat melampau batas

Jangan pula kerana benci kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu menghalang mereka daripada pergi ke Masjidil Haram. Jangan juga kamu balas dendam kepada mereka kerana mereka dahulu pernah menghalang kamu daripada datang ke Masjidil Haram. Ini tentang kisah Perjanjian Hudaybiyah yang disentuh dalam Surah Fath.

Sekarang memang kamu sudah ada kuasa tetapi jangan disala gunakan kuasa itu. Dahulu mungkin kamu ada berperang dengan mereka dan kamu masih ada rasa marah kepada mereka, namun jangan itu dijadikan penyebab untuk menghalang mereka. Sekarang mereka sudah memeluk Islam maka dibenarkan untuk mereka datang ke Mekah.

Allah‎ ﷻ mengingatkan kepada orang Islam kerana selalunya mereka yang menang yang selalu menyalahgunakan kuasa. Dulu memang mereka zalim. Tapi Allah ﷻ larang balas dengan dengan melakukan kezaliman pula. Satu kezaliman tidaklah membenarkan balas dengan kezaliman pula. Islam ajar buat keadilan, bukannya kezaliman.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan menganiaya orang lain kerana benci kepada mereka. Termasuk juga tidak boleh halang orang dari tempat umum, seperti masjid, terutama sekali Masjidil Haram. Sekali pun penjenayah, tapi mereka juga ada hak dan Islam memang agama yang menjaga hak manusia walaupun mereka telah pernah zalim, walaupun mereka itu penjenayah. Hebat agama Islam ini.

Dalam ayat ini banyak larangan. Dalam ayat seterusnya nanti, Allah ‎ﷻ mengajar yang sepatutnya dilakukan.

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, 

Kita haruslah bekerjasama untuk kebaikan, menegakkan agama Islam kerana agama Islam ini hendaklah disebarkan ke serata dunia. Jangan berperang sesama sendiri sampai kerja dakwah tidak dapat dijalankan. Dalam kehidupan kita, memang kita berharap kepada orang lain. Bukannya kita boleh buat semua benda sendiri. Sudah mati pun kena ada orang tolong kuburkan kita, bukan?

Kita perlukan pertolongan bukan sahaja di dunia tapi apabila kita sudah mati nanti. Ini kerana kita memerlukan juga doa dari orang yang hidup, syafaat dari orang lain jika ada, dan berterusannya pemberian pahala dari orang yang hidup (bukan sedekah pahala tapi kalau meneruskan ilmu yang kita ajar, contohnya). Ini kerana sedekah pahala tidak ada dalam syarak (seperti majlis Tahlil).

Begitu juga kita sekarang, hendaklah saling tolong-menolong dan bekerjasama dalam menjalankan tugas kita sebagai hamba Allah ‎ﷻ di mukabumi ini. Tolong menolonglah untuk melakukan kebaikan. Terdapat banyak jenis kebaikan. Asalkan benda baik, maka hendaklah kita ringankan tangan untuk membantu sesama sendiri.

Bukan dalam hal agama sahaja, tapi dalam hal keduniaan pun kita memerlukan bantuan dari orang lain. Maka janganlah sombong dalam dunia. Sebaiknya kita juga tolong orang lain supaya mereka pun tolong kita juga. Memang begitulah sistem yang Allah ﷻ jadikan dalam dunia ini. Semua memerlukan masing-masing. Yang kaya tetap memerlukan orang yang miskin untuk berkhidmat dengan mereka. Yang berniaga memerlukan orang yang membeli dan yang membeli memerlukan orang yang berjualan.

Allah ﷻ yang jadikan keinginan kepada manusia untuk bekerja dan berkhidmat. Bukan ada paksaan pun dari sesiapa bagi mereka memberi servis kepada orang lain. Kerana kalau dipaksa-paksa, manusia memang tidak suka. Jadi Allah ﷻ telah timbulkan dalam hati kita keinginan kepada sesuatu pekerjaan. Ada yang suka bekerja berniaga, ada yang suka berkhidmat, ada yang suka bercucuk tanam dan sebagainya. Cuba kita fikirkan perkara ini semasa kita membeli barang, duduk di hotel, naik grab apabila hendak ke mana-mana.

 

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ

dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. 

Jangan pula bekerjasama dengan orang lain untuk melakukan keburukan. Ini amat buruk sekali. Ini adalah ayat yang boleh digunakan untuk umum. Apa sahaja perkara keburukan, jangan kita ikut campur dan ikut serta. Kenalah kita pastikan sama ada sesuatu pekerjaan itu untuk kebaikan atau untuk keburukan. Kalau untuk kebaikan, kita ikut tolong, tetapi kalau untuk keburukan, jangan kita ikut serta.

Lihat ayat ini, tidak sebut tolong orang Muslim, tapi bertolongan dalam perkara baik. Bukannya asal Muslim sahaja kita kena tolong. Yang penting bertolongan dalam perkara baik. Kalau Muslim buat perkara baik, ya kita tolong.

Tapi kalau ada yang hendak berbuat keburukan, kita bukan sahaja tidak menyertainya, tetapi kita juga hendaklah menghalang dia daripada melakukannya, sebagaimana disebut dalam satu riwayat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيْم، حَدَّثَنَا عَبِيدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ جَدِّهِ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا”. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا نَصَرْتُه مَظْلُومًا، فَكَيْفَ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ ظَالِمًا؟ قَالَ: “تَحْجِزُهُ تَمْنَعُهُفَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Abu Bakar ibnu Anas, daripada datuknya (iaitu Anas ibnu Malik) yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Tolonglah saudaramu, baik dalam keadaan berbuat aniaya atau dianiaya. Lalu ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, orang ini dapat kutolong jika dia dianiaya. Tetapi bagaimanakah menolongnya jika dia berbuat aniaya?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: Kamu cegah dan kamu halangi dia daripada perbuatan ani­aya, itulah cara menolongnya.

Kita tolong orang zalim dengan menghalang dia dari terus melakukan kezaliman. Kerana kita akan menyelamatkan dia dari dikenakan dengan hukuman di akhirat kelak dari kezalimannya itu.

Kalau kita tolong orang buat baik, kita sama-sama dapat pahala, tidak dikurangkan pahala orang yang kita tolong itu. Kalau kita tolong orang buat jahat, kita pun dapat dosa sama dengan orang itu, tidak dikurangkan dosa dia. Kerana takut dapat dosa beginilah yang menyebabkan ramai dari kalangan ulama’ zaman dahulu tidak mahu terlibat dengan pemerintah yang zalim. Kerana membantu pemerintah  yang zalim akan dalam saham dosa.

Inilah cara Allah ﷻ mendidik manusia dan menjaga keharmonian negara. Pemerintah tidak dapat hendak menghalang manusia dari melakukan kesalahan, tidak kira berapa banyak polis pun digunakan. Tapi dengan didikan agama, manusia akan takut sendiri dengan Allah ﷻ yang ghaib. Mereka yang beriman akan takut hendak buat dosa. Tidak perlu pun dipantau oleh pihak berkuasa.

 

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

Yang penting, kita kena hidup di dunia ini dengan mengerjakan taqwa dengan menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Kenalah kita taat kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻtelah memberikan ancaman-Nya kepada kita – kalau tidak dijaga hukum, maka akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat nanti.

Maka kerajaan yang bijak sepatutnya menggalakkan masyarakat belajar wahyu dan takut Allah ﷻ kerana mudah nanti kerja mereka. Tapi malangnya ini tidak dilakukan sekarang. Mereka tidak menggunakan cara yang diajar oleh Allah ﷻ ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an