Tafsir Surah Ibrahim Ayat 44 – 47 (Peringatan tentang Akhirat)

Ibrahim Ayat 44: Allah ‎ﷻ menceritakan lagi keadaan di akhirat kelak, tentang mereka yang menyesal.

وَأَنذِرِ النّاسَ يَومَ يَأتيهِمُ العَذابُ فَيَقولُ الَّذينَ ظَلَموا رَبَّنا أَخِّرنا إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ نُّجِب دَعوَتَكَ وَنَتَّبِعِ الرُّسُلَ ۗ أَوَلَم تَكونوا أَقسَمتُم مِّن قَبلُ ما لَكُم مِّن زَوالٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And, [O Muḥammad], warn the people of a Day when the punishment will come to them and those who did wrong will say, “Our Lord, delay us for a short term; we will answer Your call and follow the messengers.” [But it will be said], “Had you not sworn, before, that for you there would be no cessation?¹

  • Of the blessings which Allāh had bestowed upon you during life on earth.

(MELAYU)

Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim: “Ya Tuhan kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul”. (Kepada mereka dikatakan): “Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?

 

وَأَنذِرِ النّاسَ يَومَ يَأتيهِمُ العَذابُ

Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari datang azab kepada mereka, 

Ini adalah pengulangan dakwah Tauhid. Allah ﷻ suruh Rasul berilah peringatan kepada manusia sebelum mereka mati. Bayangkanlah keadaan yang akan terjadi di akhirat kelak dan ambillah pengajaran. Janganlah jadi seperti mereka yang dalam ayat ini nanti. Jangan sampai satu masa yang mereka akan menyesal kerana bila sampai waktu itu, mereka akan menyesal dan tidak ada peluang lagi.

Inzar atau peringatan itu semestinya ada unsur menakutkan untuk menggerakkan manusia mengikutinya. Ini adalah seperti kita suruh anak kita solat atau buat sesuatu, tetapi tidak ada unsur yang menakutkannya jika dia meninggalkan solat itu. Maka begitulah juga dengan manusia. Kena ada ancaman disertakan dengan peringatan dan kerana itulah banyak ayat-ayat Al-Qur’an mengingatkan tentang balasannya jikalau manusia tidak ikut.

Maka di sini ada arahan kepada Rasulullah ﷺ dan umat Islam secara keseluruhannya untuk memberi peringatan kepada umat manusia tentang bahayanya hari kiamat itu jikalau mereka tidak mengambil pengajaran. Berita tentang hari akhirat itu tentulah kita hanya boleh ketahui daripada Al-Qur’an, maka dengan ini kita sepatutnya mengingatkan manusia dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Akan tetapi malangnya para pendakwah ramainya tidak menggunakan ayat Al-Qur’an sebagai sumber dakwah mereka tetapi menggunakan berbagai-bagai cara yang lain pula.

Yang paling penting untuk kita ingatkan manusia adalah berita-berita tentang akhirat kerana kita akan kekal di sana dan akan menerima balasan yang akan berterusan sampai bila-bila. Malangnya manusia hanya kisah tentang kehidupan kehidupan mereka sahaja dan sibuk dengan makanan, pakaian dan kehidupan mereka tanpa mereka memikirkan nasib mereka di akhirat kelak. Maka terpulang kepada kita sama ada kita hendak menjadi pemberi peringatan atau kita pun ikut mereka yang lalai daripada mengingati akhirat.

 

فَيَقولُ الَّذينَ ظَلَموا رَبَّنا أَخِّرنا إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ

berkatalah orang-orang yang zalim: “Ya Tuhan kami, beri tangguhlah kami walaupun dalam waktu yang sedikit,

Orang-orang yang zalim (zalim yang paling besar adalah syirik kepada Allah ﷻ) meminta supaya mereka diberi masa tangguh. Tangguhlah daripada azab mereka dengan beri sedikit masa kepada mereka untuk perbaiki diri. Bukan lama pun, tetapi قَريبٍ (pendek) sahaja, sekejap pun cukuplah.

Kenapa mereka inginkan masa penangguhan itu? Kerana mereka mahu kembali ke dunia. Banyak ayat-ayat sebegini disebut dalam Al-Qur’an di mana ramai ahli neraka minta untuk kembali ke dunia. Sebagai contoh, ini sama dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ
(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, “Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia).”
(Al-Mu’minun: 99)

 

نُّجِب دَعوَتَكَ

nescaya kami akan menjawab seruan Engkau

kerana mereka mahu menukar perlakuan mereka semasa di dunia dulu. Dulu masa mereka hidup, mereka buat tidak endah pun pasal agama, tidak taat kepada Allah ﷻ dan Rasul. Sekarang mereka kata, kalau mereka diberi peluang ke dunia semula, mereka akan jawab seruan Allah ﷻ itu.

Begitu juga disebut janji mereka yang disebut dalam firman Allah ﷻ di dalam An’am: 27:

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يٰلَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ
Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami daripada golongan yang beriman”.

Di dalam ayat lain disebut mereka hendak bersedekah seperti disebut di dalam Munafiqoon: 10

وَأَنفِقوا مِن مّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ أَحَدَكُمُ المَوتُ فَيَقولَ رَبِّ لَولا أَخَّرتَني إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصّٰلِحينَ
Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?”

 

وَنَتَّبِعِ الرُّسُلَ

dan akan mengikuti rasul-rasul”.

Seandainya dapat kembali ke dunia, mereka kata mereka akan ikut cara rasul Allah ﷻ. Mahu amal ikut amal Rasul. Tidak buat bid’ah lagi dalam amal ibadat mereka. Maka ini mengajar kepada kita bahawa yang paling utama di dalam hidup beragama ini adalah dengan mengikut ajaran rasul. Malangnya kebanyakan daripada umat Islam tidak tahu apakah pegangan agama Rasul maka mereka reka berbagai bagai fahaman yang tidak ada kena mengena dengan para rasul.

Di dalam ayat ini sebut rasul-rasul padahal setiap kita hanya ada satu rasul sahaja, bukan? Maka ini mengajar kepada kita bahawa semua rasul itu membawa ajaran yang sama dan jikalau kita menolak seorang rasul sahaja maka kita sebenarnya menolak kesemua rasul. Jangan jadi seperti golongan Yahudi dan juga Kristian yang hanya menerima rasul-rasul mereka sahaja tetapi tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ sedangkan baginda juga adalah seorang rasul. Lihatlah firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 136 tentang iman yang sebenar tentang para Rasul,

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّنهُم
kami tidak membeza-bezakan antara seseorang daripada mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya);

Jelas di sini disebut dua perkara utama sebagai manusia: Ikut seruan Tauhid dan ikut Sunnah Nabi. Akan tetapi dua perkara ini mestilah dilakukan ketika hidup lah. Kalau sudah mati, kena hadap sahaja kerana peluang sudah tidak ada.

 

 

أَوَلَم تَكونوا أَقسَمتُم مِّن قَبلُ ما لَكُم مِّن زَوالٍ

“Bukankah kamu telah bersumpah dahulu sebelum ini (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?

Seperti yang telah diberitahu, permintaan mereka itu disebut bukan dalam ayat ini sahaja, tetapi dalam banyak ayat-ayat lain. Memang permintaan mereka itu tidak dilayan. Kamu mahu pulang ke mana lagi? Bukanlah alam dunia sudah hancur? Maka itu adalah permintaan yang sia-sia.

Maka soalan ini adalah cara Allah ﷻ sakitkan hati mereka (azab emosi) dengan perli mereka: “Bukankah kau dulu kata kau tidak akan binasa? Dulu kamu kata tidak ada azab di akhirat, bukan? Dulu kamu kata kamu akan selamat, bukan?”. Aduh, pedih sekali kata-kata ini.

Kalimah زَوالٍ daripada katadasar ز و ل yang bermaksud berhenti; jatuh; binasa; lulus; penurunan; keluarkan; bersara; merosot. Mereka sangka mereka tidak akan binasa dan apabila mati, mereka akan terus kekal mati dan tidak ada kebangkitan semula. Sumpah mereka itu terdapat di dalam firman-Nya:

وَأَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ لَا يَبْعَثُ اللَّهُ مَنْ يَمُوتُ
Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpahnya yang sungguh-sungguh, bahawa Allah tidak akan membangkitkan orang yang mati.
(An-Nahl: 38)


 

Ibrahim Ayat 45: Bagaimana lagi mereka tidak mahu beriman, sedangkan mereka sudah tahu apa yang terjadi kepada mereka yang ingkar? Tidakkah mereka belajar daripada pengalaman kaum terdahulu?

وَسَكَنتُم في مَسٰكِنِ الَّذينَ ظَلَموا أَنفُسَهُم وَتَبَيَّنَ لَكُم كَيفَ فَعَلنا بِهِم وَضَرَبنا لَكُمُ الأَمثالَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you lived among the dwellings of those who wronged themselves, and it had become clear to you how We dealt with them. And We presented for you [many] examples.”

(MELAYU)

dan kamu telah berdiam di tempat-tempat kediaman orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri, dan telah nyata bagimu bagaimana Kami telah berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan”.

 

وَسَكَنتُم في مَسٰكِنِ الَّذينَ ظَلَموا أَنفُسَهُم

dan kamu telah berdiam di tempat-tempat kediaman orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri,

Allah ﷻ mengingatkan kembali yang mereka tinggal berdekatan golongan terdahulu sebelum mereka yang menzalimi diri mereka sendiri. Mereka tinggal di kawasan yang ada kesan azab Allah ﷻ. Azab itu Allah ﷻ berikan kepada mereka yang telah menolak agama. Contohnya Musyrikin Mekah itu tahu tentang Kaum Aad dan Tsamud kerana mereka pernah melalui kawasan penempatan mereka. Mereka patut tahu bahawa mereka yang menolak untuk taat kepada Allah ﷻ telah dikenakan azab. Allah ﷻ telah ingatkan perkara ini berkali-kali seperti di dalam Sajdah: 26

أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ ۖ أَفَلا يَسمَعونَ
Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

 

وَتَبَيَّنَ لَكُم كَيفَ فَعَلنا بِهِم

dan telah nyata bagimu bagaimana Kami telah berbuat terhadap mereka

Kisah apa yang terjadi kepada kaum yang lepas telah masyhur dan telah sampai kepada mereka. Mereka sepatutnya sudah tahu bagaimana Allah ﷻ perbuat kepada mereka. Mereka itu telah dikenakan dengan azab kerana telah melakukan syirik dan kerana menentang para Rasul mereka. Namun golongan Musyrikin itu tidak juga mahu mengambil pengajaran itu. Mereka lalu kosong sahaja, tidak memikirkan: “Kenapalah mereka ini jadi begini?”. Ini saling tidak ubah seperti orang kita juga, baca Al-Qur’an tetapi tidak mengambil pengajaran pun.

 

وَضَرَبنا لَكُمُ الأَمثالَ

dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan”.

Allah ﷻ telah telah berikan berbagai contoh perbandingan untuk mereka faham. Contoh-contoh itu ada di luar dan di dalam Al-Qur’an. Sudah banyak kali diterangkan kepada mereka. Mereka tidak boleh kata yang mereka tidak faham lagi. Kalau tidak faham juga, itu kerana mereka sengaja buat tidak faham.


 

Ibrahim Ayat 46:

وَقَد مَكَروا مَكرَهُم وَعِندَ اللهِ مَكرُهُم وَإِن كانَ مَكرُهُم لِتَزولَ مِنهُ الجِبالُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they had planned their plan, but with Allāh is [recorded] their plan, even if their plan had been [sufficient] to do away with the mountains.¹

  • An alternative meaning is “…and their plan was not [sufficient] to do away with the mountains,” i.e., it had no effect against Allāh’s will.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya mereka telah membuat rancangan yang besar padahal di sisi Allah-lah (balasan) rancangan mereka itu. Dan sesungguhnya rancangan mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya.

 

وَقَد مَكَروا مَكرَهُم

Dan sesungguhnya mereka telah membuat rancangan mereka

Allah ﷻ mengingatkan mereka yang dulu mereka sudah membuat rancangan untuk menghalang kebenaran. Termasuk dalam rancangan mereka adalah hendak membunuh Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka tidak ada cara lagi untuk menolak hujah-hujah baginda.

Apabila ada kalimah مكر dalam sesuatu surah, ia memberi isyarat yang ini adalah surah yang diturunkan pada peringkat keempat Mekah. Iaitu di hujung-hujung masa Nabi Muhammad ﷺ di Mekah. Ini adalah peringkat terakhir sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

Makar yang mereka hendak lakukan itu juga boleh bermaksud rancangan untuk terus melakukan kesyirikan seperti disebut di dalam Nuh: 22-23

وَمَكَروا مَكرًا كُبّارًا
“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

وَقالوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُم وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُواعًا وَلا يَغوثَ وَيَعوقَ وَنَسرًا
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.

 

وَعِندَ اللهِ مَكرُهُم

padahal di sisi Allah-lah (balasan) rancangan mereka itu.

Akan tetapi Allah ﷻ memiliki rancangan mereka itu. Maksud عِندَ اللهِ adalah di sisi ilmu Allah ﷻ. Maksudnya Allah ﷻ tahu apa yang mereka rancangkan itu walaupun mereka buat dalam rahsia. Allah ﷻ berkuasa penuh untuk menggagalkan rancangan mereka kerana kalau tanpa izin Allah ﷻ, ia tidak akan terjadi.

Ini sepatutnya memberikan ketenangan hati kepada para sahabat dan umat Islam. Sebagai perumpamaannya bayangkan jikalau ada ramai orang hendak memukul dan membunuh kita akan tetapi ketua polis negara berkata, “Jangan risau kerana kami tahu semua perancangan mereka.” Itu baru jaminan daripada seorang ketua polis negara tetapi bagaimana jika jikalau Allah ﷻ sendiri yang mengatakan Dia tahu rancangan musuh Islam itu? Kalau kita yakin dengan Allah ﷻ maka tentu kita tidak akan ada rasa takut. Ingatlah firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 54

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

 

وَإِن كانَ مَكرُهُم لِتَزولَ مِنهُ الجِبالُ

Dan sesungguhnya rancangan mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya.

Sekali lagi digunakan kalimah yang diambil daripada katadasar ز و ل yang bermaksud ‘musnah’. Rancangan mereka itu dikatakan sampai boleh melenyapkan gunung kerana rancangan mereka itu amat dahsyat. Iaitu mereka rancang mahu membunuh Nabi.

Kalimah إِن dalam ayat ini digunakan dalam dua cara di sini: boleh jadi bermaksud ‘walau’ atau ‘tidak’. Maka ini adalah penggunaan bahasa Arab yang ada beberapa wajah.

Kalau digunakan maksud ‘walau’, ayat ini menjadi maksud begini – mereka tidak akan berjaya ‘walaupun’ rancangan mereka itu hebat sampai dapat memusnahkan gunung. Mereka tidak akan berjaya menghapuskan syariat Allah ﷻ kerana keputusan terjadi atau tidak rancangan mereka itu, terpulang kepada Allah ﷻ. Juga ia bermaksud kuatnya iman Rasulullah ﷺ dan para sahabat sampaikan mereka tidak akan mampu menggugatnya.

Sementara itu jikalau digunakan maksud ‘tidak’ (seperti kalimah ما), ia membawa maksud yang rancangan mereka itu lemah, tidak boleh hancurkan gunung pun kerana rancangan manusia itu lemah, mahu hancurkan gunung pun tidak boleh, bagaimana pula mereka hendak menentang kehendak Allah ﷻ?

Pendapat yang lain sehubungan dengan tafsir ayat ini ialah apa yang diriwayatkan oleh Ali ibnu Abu Talhah, daripada Ibnu Abbas, bahawa firman Allah ﷻ: Dan sesungguhnya makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (Ibrahim: 46) Yang dimaksudkan dengan ‘makar’ itu ialah kemusyrikan mereka, seperti pengertian yang terkandung di dalam firman-Nya dalam ayat lainnya, iaitu:

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا
Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, – (Maryam: 90)


 

BALASAN KEPADA YANG ZALIM

Ibrahim Ayat 47: Ayat takhwif ukhrawi.

فَلا تَحسَبَنَّ اللهَ مُخلِفَ وَعدِهِ رُسُلَهُ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So never think that Allāh will fail in His promise to His messengers. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Owner of Retribution.

(MELAYU)

Kerana itu janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan.

 

فَلا تَحسَبَنَّ اللهَ مُخلِفَ وَعدِهِ رُسُلَهُ

Maka janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya;

Kalimah مُخلِفَ daripada katadasar خ ل ف yang ada banyak makna (belakang dan khalifah juga daripada kalimah ini). Namun خلف dalam ayat ini bermaksud ‘mungkir janji’. Oleh itu, ayat ini bermaksud Allah ﷻ tidak memungkiri janji-Nya, tidak akan hampakan janji-Nya kepada para Rasul untuk membantu mereka.

Maksudnya, Allah ﷻ pasti akan membantu mereka dalam kehidupan di dunia dan pada hari semua saksi di tegakkan (iaitu di Mahsyar). Jangan sekali-kali kamu sangka begitu. Jangan ada sangkaan begitu. Kalau ada, sila buang segera daripada minda.

Namun kena tahu yang Allah ﷻ hanya akan membantu orang Islam jikalau mereka sendiri membantu agama Allah ﷻ seperti disebut dalam Muhammad: 7

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنْ تَنْصُرُوا اللّٰهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ اَقْدَامَكُمْ
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

Maka jangan kita perasan Allah ﷻ pasti akan bantu kita hanya semata-mata kita umat Islam. Umat Islam kenalah menjalankan tugas menegakkan agama Allah ﷻ ini. Kalau kita ada melakukannya, barulah Allah ﷻ akan bantu.

 

إِنَّ اللهَ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan.

Allah ﷻ maha berkuasa. Dia boleh melakukan apa sahaja. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang Allah ﷻ untuk memberikan balasan yang setimpal kepada mereka yang menentang agama.

Allah ﷻ bersifat ذُو انتِقامٍ (boleh membalas dendam). Lihat bagaimana Allah ﷻ kata Dia ذُو انتِقامٍ. Allah ﷻ tidak kata Dia المنتقيم (membalas dendam). Ini berbeza kerana kalau al-muntaqim, Allah ﷻ pasti akan balas dendam. Akan tetapi Allah ﷻ tidak begitu kerana ada yang Allah ﷻ maafkan. Namun Allah ﷻ beritahu yang Dia ada kuasa untuk balas dendam, maka berhati-hatilah. Dia mungkin balas dendam dan mungkin tidak kalau Dia maafkan.

Namun begitu, kepada mereka yang telah membuat rancangan jahat terhadap Nabi, mereka pasti akan diberikan balasan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment