Hud Ayat 113: Bagaimanakah kita boleh menjaga istiqamah kita? Sekarang Allah ﷻ beri caranya.
وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا فَتَمَسَّكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ ثُمَّ لا تُنصَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And do not incline toward those who do wrong, lest you be touched by the Fire, and you would not have other than Allāh any protectors; then you would not be helped.
(MALAY)
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.
وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim
Kalimah تَركَنوا daripada katadasar ر ك ن yang bermaksud untuk bersandar; sokongan; amanah; tiang; batu asas; perkara yang dengannya seseorang itu diperkuatkan; kebanggaan dengan kuasa dan keperkasaan. Kalimah ‘rukun’ diambil daripada katadasar ini.
Di dalam ayat ini, تَركَنوا bermaksud condong, sayang, redha kepada orang tertentu. Mereka condong kerana mereka bersetuju dengan orang itu. Ini kerana kalau sekali sudah condong yang mengarah kepada dekat, lama-kelamaan akan payahlah menjauhkan diri daripadanya.
Di sini Allah ﷻ melarang condong kepada golongan yang zalim kerana kezaliman adalah suatu sikap yang bertentangan dengan perikemanusiaan. Kezaliman bererti aniaya. Aniaya adalah bermain api. Aniaya adalah menimbulkan benci dan dendam di hati orang yang teraniaya. Oleh itu jangan berhubung baik dengan mereka lebih daripada yang sepatutnya. Semasa ayat ini diturunkan, ia melarang pihak Muslim daripada bergantung kepada para pemuka Quraish yang musyrik itu. Tafsiran lain:
1. Ali ibnu Abu Talhah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan makna تَركَنوا, bahawa makna yang dimaksudkan ialah janganlah kalian bersikap diplomasi dengan mereka.
2. Al-Aufi رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa makna yang dimaksudkan ialah cenderung kepada kemusyrikan.
3. Abul Aliyah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, makna yang dimaksudkan ialah janganlah kamu rela terhadap perbuatan mereka.
4. Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa makna yang dimaksudkan ialah janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang aniaya. Pendapat ini cukup baik, yang maksudnya ialah janganlah kalian meminta pertolongan kepada orang-orang yang melakukan aniaya, kerana seakan-akan kalian rela kepada amal perbuatan mereka.
Antara contoh condong kepada orang zalim adalah kalau berbaik dengan golongan Yahudi seperti disebut dalam Maidah: 51
۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ ۘ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَإِنَّهُ مِنهُم ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat; sebahagian mereka adalah teman rapat bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Di dalam An’am: 68 kita diajar supaya jangan duduk pun dengan orang yang zalim. Ini kerana mereka akan selesa dengan kita, mereka tidak rasa bersalah, malahan boleh menyebabkan kita pun terikut-ikut dengan mereka.
وَإِذا رَأَيتَ الَّذينَ يَخوضونَ في ءآيٰتِنا فَأَعرِض عَنهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ وَإِمّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيطٰنُ فَلا تَقعُد بَعدَ الذِّكرىٰ مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ
Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).
Kita jangan berbaik dengan golongan fasiq, golongan bid’ah dan golongan yang condong kepada syirik. Juga dengan orang yang melakukan dosa. Contohnya kalau kita jual makanan, jangan jual kepada orang yang tidak berpuasa kerana seolah-olah kita redha dia tidak puasa di bulan Ramadan. Jangan buat pakaian artis yang mereka akan pakai untuk berbuat dosa menyanyi atau berlakon. Jangan sokong pemimpin yang zalim dengan mengundi mereka. Kadang kita tidak rasa bersalah kalau berbaik dengan pemimpin sebegitu sedangkan mereka telah tidak menepati janji, ambil duit rakyat, tidak beri duit rakyat dan sebagainya.
Mereka itu orang yang zalim, maka kita kena ‘bantu’ mereka. Bagaimana pula kita bantu mereka? Rasulullah ﷺ telah bersabda tentang hal ini.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim (aniaya) dan yang dizalimi”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, jelas kami faham menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana kami harus menolong orang yang berbuat zalim?” Baginda bersabda: “Pegang tangannya (agar tidak berbuat zalim) “.
(Sahih Bukhari (2264))
Maknanya jikalau kita berkawan dengan mereka atau bersama dengan mereka, hendaklah kita menjalankan tugas kita iaitu menahan mereka daripada melakukan kezaliman, ataupun sekurang-kurangnya kita menegur mereka supaya mereka berhenti daripada melakukan kezaliman itu lagi. Jangan kita duduk senyap sahaja.
فَتَمَسَّكُمُ النّارُ
yang menyebabkan kamu disentuh api neraka,
Sekiranya berhubungan baik dengan mereka, boleh menyebabkan kamu masuk neraka. Ini adalah kerana berkemungkinan kita terikut-ikut dengan cara mereka dan amalan mereka yang syirik. Maka di sini condong kepada orang zalim pun sudah boleh masuk neraka, apatah lagi kalau melakukan kezaliman!
وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ
dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang pelindung pun selain daripada Allah,
Sekiranya kamu masuk neraka, kamu tidak akan mendapat sebarang pertolongan lagi untuk menahan daripada azab Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat membantu, namun Allah ﷻ tidak akan bantu lagi.
ثُمَّ لا تُنصَرونَ
kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.
Sekiranya kamu sudah dikenakanazab itu, kamu tidak ada penolong lagi yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab itu.
Ada disebut pelindung dan penolong;
Pelindung: tahan daripada memasuki neraka.
Penolong: mengeluarkan setelah masuk neraka.
Dua-dua tidak akan diberikan kepada mereka.
Hud Ayat 114: Ini adalah ayat jenis Umur Muslihah (tentang ibadah) untuk perbaiki diri kita. Dalam dakwah, kita pun kenalah buat perubahan baik dalam diri kita. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah, bukan? Untuk istiqamah dalam kehidupan kita mestilah mengekalkan Tauhid, lalu hendaklah dimulakan dengan menjaga solat. Di samping meneguhkan pendirian dengan istiqamah dan tidak mahu condong kepada orang yang zalim, dan tidak mahu melanggar batas, perlulah selalu iman dan taqwa itu dipupuk melalui solat.
وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيلِ ۚ إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّٰكِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And establish prayer at the two ends of the day and at the approach of the night. Indeed, good deeds do away with misdeeds. That is a reminder for those who remember.
(MALAY)
Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.
وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ النَّهارِ
Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang
Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang pelindung dan penolong. Kalau sudah ditakdirkan kita dimasukkan ke dalam neraka, tidak akan ada pelindung dan pembantu lagi. Lalu bagaimanakah caranya lagi untuk mendapatkan pelindung dan pembantu? Itulah kena beribadah dan ibadah yang paling utama adalah solat. Maka Allah ﷻ menyebut tentang solat dalam ayat ini. Dengan solatlah kita dapat bergantung dan berharap kepada perlindungan dan pertolongan Allah ﷻ.
Kalau dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِمِ dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kena membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, jaga aurat dan banyak lagi. Maka untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka kena dipelajari ilmu fiqh solat supaya menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.
Kalimah طَرَفَيِ daripada katadasar ط ر ف yang bermaksud menyerang hujung barisan musuh, memilih sesuatu, hujung, tepi; sisi, bersebelahan, bahagian luar, sempadan, kedekatan, pinggir. Dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut tentang waktu-waktu solat. Sebenarnya solat lima waktu telah disebut dalam Al-Qur’an tetapi tidaklah disebut waktu Subuh, Zohor dan sebagainya. Yang pertama disebut adalah di ‘dua tepi siang’ – Yang dimaksudkan adalah Waktu Subuh, Zohor dan Asar kerana ketiga-tiga di antara dua tepi siang (awal siang dan hujung siang). Subuh adalah permulaan siang, Zohor adalah pertengahan dan Asar adalah waktu di hujung siang.
Ayat ini penting difahami kerana ada juga orang-orang yang jahil mengatakan Al-Qur’an tidak sebut pun tentang solat lima waktu. Maka ada yang kata solat hanya dua kali sahaja, kerana ayat sebegini hanya sebut dua kali (siang sekali dan malam sekali). Ini adalah pemahaman orang yang amat jahil, tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan tidak belajar Hadith. Sedangkan Al-Qur’an ada menyebut tentang waktu-waktu solat. Ayat lain yang berkenaan adalah Isra’: 78
أَقِمِ الصَّلاةَ لِدُلوكِ الشَّمسِ إِلىٰ غَسَقِ اللَّيلِ وَقُرآنَ الفَجرِ
Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh.
وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيلِ
dan pada bahagian permulaan daripada malam.
Kemudian disebut tentang solat pada waktu malam pula. Kalimah زُلَفًا daripada katadasar ز ل ف yang bermaksud untuk mendekatkan diri; pendahuluan; pendekatan; waktu awal; bahagian pertama malam. ‘Permulaan malam’ yang dimaksudkan adalah Waktu Maghrib dan Isyak. Waktu Maghrib adalah di awal-awal permulaan malam dan kemudian Isyak pun datang tidak lama selepas itu.
Jelas di sini cukup lima waktu solat disebut dalam ayat ini. Ini kena faham kerana ada yang menuduh solat lima waktu tidak disebut dalam Al-Qur’an pun. Memang tidak disebut dengan jelas dalam Al-Qur’an tetapi ia tetap ada dalam bentuk isyarat. Jika tidak ada pun, kita tetap ada Hadith-hadith sahih yang menyebut tentang waktu-waktu itu dengan jelas.
Solat adalah amalan yang paling penting untuk menjaga kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45
إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.
Bagaimana kita sanggup untuk melakukan dosa jikalau kita sentiasa menjaga solat kita? Kita akan sedar yang nanti kita akan mengadap Allah ﷻ tidak lama lagi? Kerana itulah solat sampai lima waktu kerana ia merangkumi tahap-tahap seharian kita, sampaikan tidak ada masa untuk berbuat dosa.
Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam hadith,
عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata, saya mendengar Jabir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Riwayat Muslim No. 116)
Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tidak berguna puasa yang dilakukan di bulan Ramadan. Ramai sahaja orang kita yang berpuasa di bulan Ramadan walaupun mereka tidak solat. Namun mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak melakukan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan puasa-puasa sekali mereka tinggalkan!
Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43
ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”
قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.
Sekarang Allah ﷻ memberitahu yang amalan kebaikan boleh menghapuskan dosa. Ini adalah nasihat daripada Allah ﷻ yang kita kena ingat. Sebelum ini telah disebut tentang solat kerana ia adalah amalan kebaikan yang paling utama. Namun bukanlah itu sahaja, kerana ada lagi ibadat-ibadat yang lain seperti puasa, sedekah dan lain-lain lagi. Semua ibadah-ibadah itu dapat menghapuskan dosa. Cumanya disebut solat di sini kerana ia adalah ibadah yang paling utama.
Di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan melalui Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Rasulullah ﷺ, disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ قَالُوا لَا يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا قَالَ فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ], bahawa dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Bagaimana pendapat kalian seandainya ada sungai di depan pintu rumah salah seorang daripada kalian, lalu dia mandi lima kali setiap hari? Apakah kalian menganggap masih akan ada kotoran (daki) yang tersisa padanya?” Para sahabat menjawab, “Tidak akan ada yang tersisa sedikit pun kotoran padanya.” Lalu baginda bersabda: “Seperti itu pula dengan solat lima waktu, dengannya Allah akan menghapus semua kesalahan.”
(Sahih Bukhari (497))
Kita sebagai manusia memang akan sentiasa sahaja melakukan dosa dan kadang-kadang dosa itu pun kita tidak perasan yang kita buat kerana kita tidak berhati-hati. Oleh kerana kita tidak tahu tentang dosa yang kita telah lakukan, maka kita pun tidak minta ampun kepada Allah ﷻ.
Allah ﷻ beri jalan kepada kita dengan memberitahu bahawa segala amal ibadat dan perbuatan baik yang kita lakukan akan menghilangkan dosa-dosa kecil itu. Sebagai contoh, dengan mengambil wudhu’ akan menggugurkan dosa-dosa yang kecil-kecil. Maka kenalah kita memperbanyakkan amal ibadat kita.
عَنْ حُمْرَانَ بْنِ أَبَانَ قَالَ رَأَيْتُ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ تَوَضَّأَ فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ ثَلَاثًا فَغَسَلَهُمَا ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا ثُمَّ غَسَلَ يَدَيْهِ الْيُمْنَى إِلَى الْمِرْفَقِ ثَلَاثًا ثُمَّ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ ثُمَّ غَسَلَ قَدَمَهُ الْيُمْنَى ثَلَاثًا ثُمَّ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي ثُمَّ قَالَ مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ نَفْسَهُ فِيهِمَا بِشَيْءٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Daripada [Humran bin Abban رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “Aku melihat [Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berwudhu’; dia menuangkan air ke dua tangannya tiga kali, lalu membasuhnya, kemudian berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh tangan kanannya sampai siku sebanyak tiga kali, kemudian tangan kirinya, lalu mengusap kepalanya. Setelah itu membasuh kaki kanannya tiga kali dan kaki kirinya tiga kali. Ketika selesai, beliau berkata, ‘Aku melihat Rasulullah ﷺ berwudhu’ seperti wudhu’ku tadi. Rasulullah ﷺ bersabda, “Barangsiapa berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian solat dua rakaat -tanpa berbicara terhadap dirinya di antara keduanya- Allah mengampuni dosa-dosanya yang lalu.”
(Sahih Bukhari (83))
Di dalam hadith yang lain:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي عَالَجْتُ امْرَأَةً فِي أَقْصَى الْمَدِينَةِ وَإِنِّي أَصَبْتُ مِنْهَا مَا دُونَ أَنْ أَمَسَّهَا فَأَنَا هَذَا فَاقْضِ فِيَّ مَا شِئْتَ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ لَقَدْ سَتَرَكَ اللَّهُ لَوْ سَتَرْتَ نَفْسَكَ قَالَ فَلَمْ يَرُدَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا فَقَامَ الرَّجُلُ فَانْطَلَقَ فَأَتْبَعَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا دَعَاهُ وَتَلَا عَلَيْهِ هَذِهِ الْآيَةَ { أَقِمْ الصَّلَاةَ طَرَفَيْ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنْ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ } فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ يَا نَبِيَّ اللَّهِ هَذَا لَهُ خَاصَّةً قَالَ بَلْ لِلنَّاسِ كَافَّةً
Daripada Abdullah, dia berkata; “Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ lalu dia berkata; ‘Ya Rasulullah! Aku telah berdosa, kerana aku bermesraan dengan seorang perempuan di pinggir kota Madinah. Aku telah berbuat dosa dengannya selain bersetubuh. Maka hukumlah aku dengan hukuman apa saja yang engkau kehendaki. Maka Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepadanya; ‘Seandainya engkau menutup rahsia dirimu, nescaya Allah telah menutupi kesalahanmu itu.’ Kata Abdullah; ‘Nabi ﷺ tidak membantah sedikit pun ucapan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tersebut.’ Maka berdirilah laki-laki itu kemudian pergi. Lalu Nabi ﷺ menyuruh seseorang menyusul dan memanggilnya kembali. Kemudian baginda bacakan kepadanya ayat ini: ‘Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya segala perbuatan yang baik menghapuskan (dosa) segala perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.’ (Hud: 114). Maka bertanyalah seseorang daripada suatu kaum yang hadir; ‘Ya Nabiyullah! Apakah ayat itu ditujukan khusus baginya? ‘ Jawab Nabi ﷺ: ‘Bahkan untuk seluruh umat manusia.’
(Sahih Muslim (4964))
Nota: Saya risau jika hadith ini disalahertikan pula oleh mereka yang membacanya. Jangan pula jadikan ini sebagai dalil boleh berbuat maksiat, kemudian solat sahaja. Kita kena tahu bahawa yang berjumpa Nabi ﷺ itu adalah sahabat dan beliau amat menyesal di atas perbuatannya, maka penyesalan beliau amat ikhlas.
Kedua, mereka solat berjemaah dengan Nabi Muhammad ﷺ dan itu ada kelebihan yang kita sendiri tidak ada. Solat pula di Masjid Nabawi. Maknanya, untuk dosa yang kita lakukan, belum tentu ia akan dihapuskan dengan solat sahaja. Maka, jangan kita lakukan dosa yang besar kerana takut amalan ibadat kita tidak dapat membersihkannya. Allahu a’lam.
Di dalam hadith yang lain juga ada disebut,
عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا أَصَابَ مِنْ امْرَأَةٍ قُبْلَةً فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَأُنْزِلَتْ عَلَيْهِ { وَأَقِمْ الصَّلَاةَ طَرَفَيْ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنْ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ } قَالَ الرَّجُلُ أَلِيَ هَذِهِ قَالَ لِمَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ أُمَّتِي
Daripada [Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawasanya seorang lelaki pernah mencium seorang wanita, lalu dia menemui Nabi ﷺ dan mengabarkannya kepada Nabi ﷺ. Maka turunlah ayat: “Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Hud:114). Abdullah berkata laki-laki itu bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah ayat ini hanya khusus untukku?” Baginda menjawab: “Ayat tersebut adalah untuk orang-orang yang melakukannya daripada ummatku.”
(Sahih Bukhari (4319))
Jangan kita main-main dengan kelebihan yang Allah berikan ini. Jangan kita sengaja buat dosa dan kemudian kita terus buat amal kebaikan seperti solat kononnya supaya dosa maksiat yang kita buat tadi itu akan diampun. Maksudnya orang ini sengaja melakukan dosa dan mengambil peluang dengan cara yang salah akan kelebihan yang Allah ﷻ berikan di dalam ayat ini. Bagi mereka sebegini, dosa tidak akan diampunkan kerana main-main dengan dosa dan pahala. Kalau kita lihat di dalam hadith yang di atas itu pun, lelaki yang melakukan kesalahan maksiat dengan wanita itu pun bukannya sengaja dia lakukan akan tetapi dia terlanjur, dan akhirnya dia menyesal sangat.
Dosa-dosa yang dihapuskan adalah dosa-dosa kecil sahaja. Kalau dosa besar, kenalah minta ampun dengan bersungguh-sungguh. Akan tetapi bukan ini sahaja syarat untuk dosa diampunkan. Ada satu lagi syarat seperti disebut dalam Nisa’: 31
إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا
Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).
Oleh itu untuk mendapat pengampunan daripada Allah ﷻ di dalam dosa-dosa kecil, hendaklah kita menjaga diri kita daripada melakukan dosa-dosa besar. Apabila kita tidak melakukan dosa-dosa besar dan kita melakukan amal ibadah, maka dosa-dosa kecil itu akan terhapus secara automatik tanpa kita meminta ampun pun. Apa yang kita sampaikan ini dikuatkan dengan beberapa hadith,
عَنْ أَبِي الْوَلِيدِ قَالَ عَبْدٌ حَدَّثَنِي أَبُو الْوَلِيدِ حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ سَعِيدِ بْنِ الْعَاصِ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عُثْمَانَ فَدَعَا بِطَهُورٍ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلَاةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنْ الذُّنُوبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ
Daripada [Abu al-Walid], [Abd] berkata, telah menceritakan kepadaku [Abu al-Walid] telah menceritakan kepada kami [Ishaq bin Sa’id bin Amru bin Sa’id bin al-Ash] telah menceritakan kepadaku [bapaku] daripada [bapanya] dia berkata, “Kami berada di sisi [Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ], lalu dia meminta air wudhu; seraya berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seorang muslim didatangi solat fardhu, lalu dia memperbaguskan wudhu’nya dan khusyu’nya dan solatnya, melainkan itu menjadi penebus dosa-dosanya terdahulu, selama dia tidak melakukan dosa besar. Dan itu (berlaku) pada seluruh zaman’.”
(Sahih Muslim (335))
Di dalam hadith yang lain,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّلَاةُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Solat lima waktu dan solat Jumaat ke Jumaat berikutnya adalah penghapus untuk dosa antara keduanya selama tidak melakukan dosa besar.”
(Sahih Muslim (342))
Bukan solat sahaja boleh menghapuskan dosa, tetapi amalan baik yang lain kerana ada hadith yang sebut amalan sahaja tanpa mengkhususkan solat,
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Daripada [Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepadaku: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
(Jami’ Tirmidzi (1910))
Status: Hasan Sahih
ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّٰكِرينَ
Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.
Kalimah ذٰلِكَ merujuk kepada nasihat-nasihat yang telah diberikan sebelum ini. Ada juga pendapat yang mengatakan ذٰلِكَ ini merujuk kepada Al-Qur’an kerana ia mengandungi banyak pengajaran termasuk suruhan dan larangan. Itulah peringatan yang baik bagi orang yang mahu mengambil peringatan iaitu mereka yang mahu mencari kebenaran dan memperbaiki keadaan dirinya. Mereka tidak sombong untuk menerima kebenaran. Mereka akan berusaha untuk mencari apakah perkara baik lagi yang mereka perlu lakukan.
Tidaklah mereka berasa selamat sahaja seperti kebanyakan orang dalam kalangan masyarakat kita. Mereka itu ramai yang tidak berilmu agama, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa pun kerana mereka berasa sudah selamat (kerana sangka mereka sudah Muslim). Alangkah ruginya.
Allah ﷻ sebut peringatan ini untuk orang yang ingat. Ini menarik kerana solat itu tujuannya adalah untuk zikir (ingat) kepada Allah ﷻ seperti disebut dalam Taha:14
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Ini kerana solat itu sebenarnya adalah latihan kepada kita untuk ingat kepada Allah ﷻ. Apabila kita solat, sepatutnya kita mesti sedar yang kita sedang mengadap Allah ﷻ dan sedang bercakap-cakap (bermunajat) dengan Allah ﷻ. Ini memang payah untuk dilakukan dan memerlukan usaha untuk menarik kembali minda kita jikalau ia menerawang ke perkara-perkara yang lain (seperti biasa kita alami). Lama kelamaan, apabila kita sudah dapat mencapai tahap khusyuk di dalam solat, maka kita boleh membawanya keluar solat pula supaya kita sentiasa ingat Allah ﷻ walau di mana kita berada, walau apa sahaja yang kita lakukan. Ketahuilah bahawa ia semua bermula dengan latihan di dalam solat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 September 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA



