Tafsir Surah A’raf Ayat 205 (Zikir kepada Allah ‎ﷻ)

TAKJUB KEPADA ALLAH

A’raf Ayat 205: Selepas diingatkan tentang kepentingan Al-Qur’an dan tadabbur tadi, sekarang kita lihat apakan kesannya jika kita memahami Al-Qur’an. Iaitu zikir kita akan  menjadi lebih berkualiti.

وَاذكُر رَّبَّكَ في نَفسِكَ تَضَرُّعًا وَخيفَةً وَدونَ الجَهرِ مِنَ القَولِ بِالغُدُوِّ وَالآصالِ وَلا تَكُن مِّنَ الغٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember your Lord within yourself in humility and in fear without being apparent in speech – in the mornings and the evenings. And do not be among the heedless.

MALAY

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahNya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

 

وَاذكُر رَّبَّكَ في نَفسِكَ

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu,

Di sini Allah ‎ﷻ berfirman: وَاذكُر رَّبَّكَ bukannya وَاذكُر اللهَ kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan sifat Rabb. Rabb adalah sifat Tuhan yang mencipta dan menjadikan kita, kemudian Dia mengurus dan mentarbiyah kita. Jasa-Nya amat banyak sekali. Maka Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita kepada jasa-Nya kerana manusia memang sepatutnya suka mengenang jasa, bukan?

Ini adalah ‘zikir tauhid’. Semasa kita menyebut nama Allah ‎ﷻ, hendaklah ingat Allah ‎ﷻ dengan ingatan tauhid. Kerana itu Allah ‎ﷻ berfirman di sini في نَفسِكَ (dalam hatimu). Waktu itu kita mentauhidkan Allah ‎ﷻ, bukan sebut nama Allah ‎ﷻ dengan mulut sahaja. Oleh itu, kenalah faham apa yang kita sebut dengan mulut kita. Ramai yang berzikir, tetapi hati mereka tidak khusyuk dengan lafaz zikir itu. Mereka tidak menghadirkan hati semasa berzikir dan ada ulama kata mereka tidak dapat pahala zikir kalau begitu. Mereka tidak faham pun apa yang mereka sebut-sebutkan itu.

Akan tetapi bukanlah bermaksud sebut dalam hati sahaja sampai tidak keluar di mulut. Zikir itu sepatutnya disebut di mulut juga. Sebab itu diajar kita untuk ingat Allah ‎ﷻ dan sebut di mulut sekali seperti ayat Ali Imran:191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Di dalam ayat ini kita boleh lihat ada dua elemen di sini iaitu zikir يَذْكُرُونَ dan fikir وَيَتَفَكَّرُونَ. Ia bukan setakat sebut-sebut sahaja ya. Sampaikan ada ulama’ yang mengatakan tidak dapat pahala kalau sebut tanpa sedar. Maka zikir terbaik adalah ingat di minda dan hati dan sebut di mulut juga seperti di dalam ayat Ali Imran ini. Dari sini juga kita boleh lihat tingkatan zikir.

1. Yang paling afdhal adalah kita sudah ingat kepada Allah ‎ﷻ dan kemudian baru kita sebut mengagungkan dan memuji Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana sebutan yang terpacul dari mulut kita adalah kerana kefahaman kita tentang Allah ‎ﷻ. Ini seperti ayat Ali Imran:191 ini.

2. Tingkatan bawah sikit adalah kita sebut dulu zikir seperti الحمد لله، الله أكبرر dan sebagainya, dan ia diikuti dengan hati kita yang membesarkan Allah ‎ﷻ dan bersyukur kepadanya. Maknanya mulut dahulu dan baru diikuti dengan hati dan minda.

3. Tingkatan paling bawah adalah sebut sahaja tetapi hati tidak ikut serta. Ini zikir yang paling rendah akan tetapi sekurang-kurangnya mulutnya berzikir dan waktu berzikir tidaklah buat benda buruk, bukan?

Terdapat banyak kelebihan berzikir yang disebut oleh Rasulullah ﷺ, antaranya:

Daripada Abdullah bin Busr رضي الله عنه, beliau berkata:

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ قَدْ كَثُرَتْ عَلَيْنَا، فَبَابٌ نَتَمَسَّكُ بِهِ جَامِعٌ؟ قَالَ: لَا يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Telah datang seorang lelaki kepada Nabi ﷺ dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam itu terasa banyak bagiku, maka (ajarilah aku) satu bab (ilmu) yang aku akan berpegang teguh dengannya?. Rasulullah ﷺ menjawab: Hendaknya lisanmu terus menerus berzikir kepada Allah ‘عَزَّ وَجَلَّ.”

Riwayat Ahmad (4/188) (190) dengan lafaz sebegini, Ibn Majah (3793), al-Tirmizi (3375), Ibn Hibban (814). Al-Tirmizi mengatakan hasan gharib. Kesemuanya dikeluarkan dari riwayat Amr bin Qais al-Kindi daripada Abdullah bin Busr.

Di dalam hadith yang lain, hadith sahih daripada Abi Darda’ رضي الله عنه, beliau berkata, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟ قَالُوا: بَلَى، قَالَ: ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى

“Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu dengan amalan yang terbaik, lebih suci di sisi raja kamu, akan mengangkat darjat kamu, dan lebih baik daripada kamu menginfaqkan emas dan perak, lebih baik bagi kamu jika kamu berhadapan dengan musuh kamu lalu kamu memenggal lehernya atau mereka memenggal leher kamu? Mereka (sahabat) menjawab: “Ya.” Rasulullah ﷺ bersabda: “Berzikir kepada Allah تَعَالَى.”

(Riwayat al-Tirmidzi (3299) dan Ahmad (20713))

 

تَضَرُّعًا وَخيفَةً

dengan merendah diri serta dengan perasaan takut

Sekarang disebut apakah sifat-sifat zikir kita yang sepatutnya. Bukannya caca marba sahaja. Waktu kita sebut nama Allah ‎ﷻ, hendaklah kita rendah diri. Merendah diri itu maksudnya, sebutlah secara senyap-senyap. Jangan nyaringkan suara sebagaimana yang dilakukan oleh puak Tarekat itu. Mereka meraung-raung nama Allah ‎ﷻ. Kononnya mereka kata, mereka jauh daripada Allah ‎ﷻ, maka kena kuatkan suara. Ini berlawanan dengan ayat Al-Qur’an dan berlawanan dengan hadith yang sahih.

Kita kena sedar diri kita hina dina terutama di hadapan Allah ‎ﷻ. Inilah tawaddu’ namanya. Kita kena sedar yang kita semua memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ. Amat pelik sekali kalau kita menyebut nama Allah ‎ﷻ tetapi dalam keadaan bangga. Ini seperti seseorang yang pergi jumpa orang kaya minta tolong pinjam duit tetapi berlagak dengan orang kaya itu. Agaknya orang kaya itu akan beri bantuan atau tidak?

Hadhirkan rasa takut dalam diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Memang banyak ayat menganjurkan kita takut kepada Allah ‎ﷻ seperti Anfal:2

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka

Kenapa kita takut dan takut yang bagaimana? Iaitu takut kita belum lagi menyempurnakan tanggungjawab yang Allah ‎ﷻ telah letakkan ke atas kita. Takut kalau-kalau kita ada melakukan perkara yang menyebabkan murka-Nya. Takut kerana dosa kita yang banyak. Takut mengadap Allah ‎ﷻ di akhirat kelak.

 

وَدونَ الجَهرِ مِنَ القَولِ

dan dengan tidak pula menyaringkan suara, 

Dijelaskan lagi, zikir itu mestilah dengan suara yang perlahan. Waktu itu, kita dengan Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan kita hendak menunjuk-nunjuk zikir kita itu.

Di dalam kitab Sahihain daripada Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه disebutkan bahawa orang-orang mengeraskan suaranya dalam berdoa ketika mereka sedang melakukan suatu perjalanan. Maka Nabi ﷺ bersabda kepada mereka:

أَنَّ أَبَا مُوسَى الْأَشْعَرِيَّ قَالَ كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَلَمَّا دَنَوْا مِنْ الْمَدِينَةِ كَبَّرَ النَّاسُ وَرَفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّ الَّذِي تَدْعُونَهُ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ أَعْنَاقِ رِكَابِكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا مُوسَى أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ فَقُلْتُ وَمَا هُوَ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Bahawa [Abu Musa Asy’ari] berkata; aku pernah bersama Rasulullah ﷺ dalam suatu perjalanan, kemudian tatkala mereka mendekati Madinah orang-orang bertakbir, dan mengeraskan suara mereka. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Wahai para manusia, sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Dzat Yang tuli, dan tidak pula Yang tidak hadir. Sesungguhnya Dzat yang kalian seru ada di antara kalian dan leher haiwan kenderaan kalian.” Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Wahai Abu Musa, mahukah aku tunjukkan kepada harta terpendam di antara harta-harta terpendam Syurga?” Maka aku katakan; apakah itu? Baginda berkata: “LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLAA BILLAAH” (Tidak ada daya dan kekuatan kecuali kerana Allah).

(Sahih Bukhari (1305))

Ini dikuatlah lagi dengan ayat Baqarah:186 apabila Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia sebenarnya dekat sahaja dengan kita.

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);

 

Carilah pertengahan antara nyaring dan senyap seperti firman-Nya:

{وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلا}

Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam salatmu, janganlah pula merendahkannya, dan carilah jalan tengah di antara keduanya itu.(Al-Isra: 110)

 

بِالغُدُوِّ وَالآصالِ

pada waktu pagi dan petang

Zikir itu hendaklah dilakukan pada waktu pagi dan petang. Maknanya setiap masa, sentiasa. Kerana itu Allah ‎ﷻ suruh kita berzikir dengan banyak seperti disebut di dalam Ahzab:41-42

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اذكُرُوا اللهَ ذِكرًا كَثيرًا

Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.

وَسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلًا

Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

Kenapa kita kena zikir dengan banyak? Kerana kita dapat terlalu banyak nikmat, bukan? Maka kita balas bersyukur dengan Allah ‎ﷻ dengan sentiasa ingat kepada=Nya. Jangan kita ingat Allah ‎ﷻ semasa salat dan selepas salat sahaja. Kena biasakan diri untuk ingat Allah ‎ﷻ dalam setiap masa dan setiap perkara.

Hendaklah kita jadi orang Mukmin yang ingat kepada Allah ‎ﷻ dan jangan jadi seperti golongan Munafik yang ingat Allah ‎ﷻ sedikit sahaja seperti disebut dalam Nisa’:142

إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللهَ وَهُوَ خٰدِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Lihat di dalam ayat Nisa’ ini Allah ‎ﷻ beritahu kita yang mereka itu وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا. Bukannya mereka tidak ingat langsung tetapi hanya sedikit sahaja. Maka ini amat menakutkan kita kerana entah-entah kita pun begitu juga!

Namun berapa banyak kita perlu berzikir? Berapa ribu, berapa juta? Bilangan tidak ditetapkan melainkan ada yang bilangan khusus yang disebut oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadis yang sahih. Contohnya hadith riwayat Ibnu Umar رضي الله عنهما berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

«يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ، فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ، مَرَّةٍ»

Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah ‎ﷻ. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.

(Sahih Muslim no. 2702)

Atau zikir selepas salat seperti yang diajar oleh Rasulullah ﷺ yang bersabda,

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Barang siapa yang bertasbih sebanyak 33x, bertahmid sebanyak 33x, dan bertakbir sebanyak 33x setelah melaksanakan shalat fardhu sehingga berjumlah 99, kemudian menggenapkannya untuk yang keseratus dengan ucapan laa ilaha illallahu wahdahu laa syarikalahu lahul mulku walalhul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai-in qodiir, maka kesalahannya akan diampuni meskipun sebanyak buih di lautan.”

(Sahih Muslim no. 597)

Juga ada hadith-hadith lain. Kalau tidak ada, maka baca sahaja zikir-zikir itu sebanyak mungkin. Akan tetapi yang lebih penting kita kena tahu apakah maksud ‘zikir’ yang utama. Tahukah anda? Iaitu taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Inilah maksud zikir yang paling utama kerana kalau banyak berzikir tetapi tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, tidak ada gunanya juga.

Manakala yang terbaik adalah mempelbagaikan zikir-zikir sepanjang hari dengan zikir-zikir yang masnoon (yang sunnah) kerana Rasulullah ﷺ mengajar banyak zikir-zikir yang kita boleh amalkan sepanjang aktiviti kita setiap hari. Bangun pagi ada zikir, masuk tandas, pakai baju, buka baju, keluar rumah, masuk rumah, naik kenderaan, kalau ada masalah, kalau kawan beri makan, kalau naik tangga, bila turun tangga, hendak makan, hendak jimak, sampailah hendak tidur nanti. Inilah pentingnya kita tahu zikir-zikir itu yang sudah banyak dibukukan dan kena hafal (kerana selagi tidak hafal, tentulah tidak diamalkan). Antaranya adalah Kitab Hisnul Muslim.

Kenapa selalu disebut pagi dan petang? Kita telah sebutkan ia adalah isyarat kepada sepanjang masa. Akan tetapi pagi dan petang adalah waktu yang penting kerana waktu itulah amal kita akan diangkat kepada Allah ‎ﷻ. Malaikat yang menjaga kita akan tukar syif pada waktu ini dan mereka akan bertemu Allah ‎ﷻ menceritakan tentang kita. Ini disebut dalam dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ وَصَلَاةِ الْفَجْرِ ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ

Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Malaikat malam dan Malaikat siang bergantian dalam menjaga kalian. Mereka berkumpul pada salat Asar dan salat Fajar. Kemudian malaikat yang menjaga kalian di waktu malam naik, Allah ‎ﷻ lalu bertanya kepada mereka – dan Allah ‎ﷻ lebih tahu dengan keadaan mereka-: “Bagaimana keadaan para hamba-Ku saat kalian tinggalkan?” Mereka menjawab, “Kami meninggalkan mereka dalam keadaan salat dan kami mendatangi mereka juga dalam keadaan salat.”

(Sahih Bukhari (373))

Maka tidak mahukah kita para malaikat itu memberitahu kepada Allah ‎ﷻ yang kita sedang beribadat seperti salat dan zikir waktu mereka bersama dengan kita?

Jelas di sini kita sudah tahu zikir ini ada banyak kelebihan. Rasanya tidak ada yang akan sangkal perkara ini. Cuma persoalannya, kenapa kita susah untuk berzikir? Hati hendak zikir, tetapi sentiasa sahaja lalai, bukan? Antaranya kerana dosa yang kita lakukan sampai telah menjadi titik-titik hitam yang akhirnya menutup hati kita. Ini seperti disebut dalam senuah hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }

Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun naka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (QS Al Muthafifin; 14).

(Sunan Ibn Majah (4234)). Status: Hasan

Sekiranya hati kita bersih daripada dosa, maka akan senang kita buat ibadah termasuk berzikir. Akan tetapi jika hati kotor dan hitam, pasti akan susah seperti disebut dalam Zumar: 22

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

 

وَلا تَكُن مِّنَ الغٰفِلينَ

dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

Kita jangan jadi golongan lalai daripada zikir tauhid ini. Kena berpegang dengan tauhid, dan jangan tinggalkan. Jangan sampai lupa kepada Allah ‎ﷻ. Ia amat membahayakan bagi kita!

Ayat ini mengingatkan sekali lagi supaya jangan lalai – jangan lupa hukum Allah ‎ﷻ. Awal surah ini menceritakan bagaimana Nabi Adam عليه السلام lalai dan terlupa dengan hukum dan larangan Allah ‎ﷻ, maka kita kena ambil perhatian dan pengajaran.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Ogos 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment