TEGAS DENGAN ORANG KAFIR
Tawbah Ayat 123: Ini adalah pengulangan Maksud/Dakwa Surah iaitu tentang Perang. Sekarang Sekarang Allah ﷻ mengajar strategi peperangan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قٰتِلُوا الَّذينَ يَلونَكُم مِّنَ الكُفّارِ وَليَجِدوا فيكُم غِلظَةً ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, fight those adjacent to you of the disbelievers and let them find in you harshness. And know that Allāh is with the righteous.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kamu itu, dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu, dan ketahuilah, bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertakwa.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Jika mengaku beriman, maka kena beri perhatian.
قٰتِلُوا الَّذينَ يَلونَكُم مِّنَ الكُفّارِ
perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kamu itu,
Orang-orang mukmin diberi arahan, hendaklah memerangi orang-orang kafir yang berdekatan. Maksudnya, jangan langkah, jangan langkau kawasan, kena perangi yang dekat dahulu. Mana yang dekat dengan kita, perangi dan jatuhkan mereka dahulu. Kerana itulah Rasulullah ﷺ mulai memerangi kaum musyrik di Jazirah Arab terlebih dahulu. Kalau terus serang yang jauh, maka kos peperangan lebih tinggi. Lebih bahaya jikalau kita tinggalkan tempat tinggal kita dalam waktu yang lama, kerana ada kemungkinan orang lain akan serang pula tempat kita. Inilah strategi peperangan yang Allah ﷻ ajar.
Setelah selesai dengan golongan Mekah, Allah ﷻ berikan kemenangan kepada Rasul-Nya atas kota Mekah, Madinah, Taif, Yaman, Yamamah, Hajar, Khaibar, dan Hadramaut serta lain-lainnya dari daerah-daerah yang terdapat di dalam Jazirah Arab. Sementara itu orang-orang dari seluruh kabilah Arab Badwi mulai memeluk agama Allah (Islam). Kemudian Rasulullah ﷺ mulai memerangi golongan Ahli Kitab di Tabuk itu.
Untuk itu baginda membuat persiapan untuk berperang melawan Kerajaan Rom yang merupakan daerah yang paling dekat dengan Jazirah Arab; dan mereka adalah orang-orang yang lebih utama untuk mendapat dakwah Islam, mengenangkan mereka adalah Ahli Kitab. Ini telah dilakukan oleh Nabi ﷺ sampai di Tabuk. Kemudian baginda kembali pulang kerana melihat keadaan kaum Muslim yang dalam kesusahan, keadaan negara yang sedang kemarau dan kehidupan yang sempit. Hal ini terjadi pada tahun sembilan Hijriah.
Namun kena faham yang ini adalah ayat di masa perang. Peringatan tentang memerangi kafir telah diumumkan telah diumumkan ketika Haji Akbar sebelum itu. Setelah diumumkan golongan kafir tidak lagi boleh menunaikan ibadah sesat mereka. Kemudian barulah turun arahan memerangi orang-orang kafir di sekitar Jazirah Arab pula. Walau bagaimanapun sekarang bukan lagi zaman peperangan (buat masa ini). Sekarang kita ada perjanjian dengan penduduk-penduduk kafir di sekitar kita malah di seluruh dunia.
Diingatkan juga untuk memerangi mereka terdapat beberapa syarat antaranya:
Mereka yang menyerang kita dahulu, atau
Mereka halang kita daripada berdakwah di negara mereka, atau
Mereka menindas penduduk Muslim di negara mereka.
Maka kerana itu tidaklah boleh terus menyerang mereka. Kalau betul hendak serang orang kafir, hendaklahlah kita batalkan perjanjian damai antara mereka dahulu.
Selain itu negara kita perlu ada khalifah. Sekarang, khalifah Muslim (yang memerintah satu dunia) pun tidak ada. Maka kena bangkitkan pemerintahan berkhalifah dahulu dan untuk bangkitkan, masyarakat Muslim kita mestilah kenal dan memahami dan mengamalkan agama dulu. Untuk ada masyarakat kenal agama, kenalah ada banyak pengajian yang berterusan.
Tentunya kena mulakan dengan pengajian tafsir Al-Qur’an dahulu kerana inilah ilmu yang utama yang mesti dipelajari sebelum belajar ilmu-ilmu lain. Ia adalah ‘Ilmu Asas’. Namun sekarang, tafsir Al-Qur’an pun tidak begitu masyhur dalam kalangan kita. Memang tidak ada harapan lagi untuk berperang kerana kalau umat Islam lemah iman, maka tentulah tidak kuat untuk berperang. Bagaimana hendak kuat iman kalau rujukan utama pun ramai tidak tahu?
Maka apa yang perlu dilakukan adalah jihad lisan dahulu. Iaitu menyampaikan dakwah kepada masyarakat sekitar kita. Kena sampaikan Islam dan berikan pemahaman Islam yang benar kepada orang kafir. Namun sebelum itu kena sampaikan kepada keluarga terdekat dahulu. Iaitu sama dengan ayat ini, mulakan dengan orang yang dekat dengan kita. Ini telah disebut dalam Shu’araa’: 214
وَأَنذِر عَشيرَتَكَ الأَقرَبينَ
Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat,
Tidaklah patut kalau kita terus berdakwah kepada orang lain sedangkan ahli keluarga kita tidak menerima dakwah lagi. Kerana itulah Rasulullah ﷺ telah memulakan dakwah baginda kepada ahli keluarga baginda. Malangnya, ramai yang terus berdakwah orang lain tetapi ahli keluarga belum didakwah lagi.
Kemudian dakwah dibesarkan lagi untuk meliputi kawasan yang luas. Kerana itulah Rasulullah ﷺ kemudian berdakwah di sekitar Mekah seperti diarahkan oleh Allah ﷻ dalam An’am: 92
وَهٰذا كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ مُبارَكٌ مُّصَدِّقُ الَّذي بَينَ يَدَيهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ القُرىٰ وَمَن حَولَها
Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya;
Begitu juga dengan masyarakat Muslim kita. Mereka pun masih banyak yang memerlukan ilmu agama kerana ramai masih lagi tidak faham agama. Maka nampaknya kita kena jihad lisan dulu kepada umat Islam kerana kebanyakkanya pun tidak tahu agama lagi, terutama tentang wahyu Al-Qur’an.
وَليَجِدوا فيكُم غِلظَةً
dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu,
Waktu perang itu, biarkan puak kafir itu merasakan kekerasan yang ada dengan kita. Biar mereka nampak orang Islam keras, bukan lembut dan boleh diambil mudah. Waktu itu, berikan peluang kepada mereka supaya mereka membuat keputusan sama ada masuk Islam atau lari jauh dari tempat mereka. Ini penting kerana kalau berlembut dalam waktu perang, tentu tidak jadi. Biarkan mereka takut dengan kita. Ini kesinambungan daripada Ayat 73 surah ini,
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ وَاغلُظ عَلَيهِم
Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka.
Cuma di dalam ayat 73 itu dikhitab kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja dan ayat 123 ini kepada golongan Mukminin. Ini adalah kerana selepas Perang Tabuk tidak ada lagi perang bagi Nabi ﷺ kerana baginda wafat tidak lama selepas itu.
Sesungguhnya orang mukmin yang kamil (lengkap) ialah orang yang lemah lembut terhadap saudaranya yang mukmin dan keras terhadap musuhnya yang kafir seperti yang telah disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya:
فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir. (Al-Maidah: 54)
Namun dalam keadaan aman sekarang, kenalah kita menunjukkan sikap yang baik dengan orang kafir kerana kita hendak berdakwah kepada mereka. Jangan buat perangai yang tidak senonoh sampai memburukkan nama Islam di mata dunia. Kalau golongan yang bom sana dan bom sini, itu bukannya hendak dakwah tetapi memalukan nama Islam sahaja.
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ
dan ketahuilah, bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertakwa.
Kita kena yakin yang Allah ﷻ bersama golongan bertaqwa. Maka jangan takut untuk berperang dengan golongan kuffar, kerana kita pasti dibantu oleh Allah ﷻ dan akan diberi kemenangan oleh Allah ﷻ. Mungkin selepas Rasulullah ﷺ tidak ada, para sahabat menjadi takut untuk berperang kerana takut Allah ﷻ tidak bantu lagi kerana Rasulullah ﷺ tidak ada. Maka Allah ﷻ tekankan yang selagi mereka bertaqwa, Allah ﷻ akan bantu.
Walaupun ayat ini tidak dapat diamalkan sekarang, namun hendaklah juga diajar kepada semua umat Islam dari sekarang supaya semua boleh faham tentang keperluan adanya jihad. Memang keadaan aman damai sekarang di negara, tidak ada peperangan fizikal, tetapi kita tidak tahu keadaan di masa hadapan. Ada negara-negara yang berada dalam keadaan perang pun sekarang.
Maka, ayat-ayat ini terpakai untuk mereka. Negara-negara yang ada peperangan itu pun, mereka pun tidak sangka yang negara mereka akan ada peperangan sebegitu sekali, namun takdir Allah ﷻ tidak ada sesiapa yang boleh jangka. Maka kita jangan sangka kita terus selamat sahaja tidak diserang oleh sesiapa. Peperangan boleh datang kepada kita bila-bila masa sahaja.
Namun di sini Allah ﷻ letak syarat yang mereka mesti bertaqwa. Kalau tidak ada taqwa (taat kepada hukum) maka Allah ﷻ pun tidak akan membantu pasukan tentera Muslim itu. Lihatlah di Perang Uhud, umat Islam telah kalah kerana ada yang tidak taat kepada arahan Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ sebut di dalam Ali Imran:165
أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم أَنّىٰ هٰذا ۖ قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم
(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”.
Ini juga menjawab persoalan kenapa Allah ﷻ tidak membantu umat Islam sekarang? Kerana kita tidak cukup syarat, iaitu tidak bertaqwa! Bagaimanakah umat Islam sekarang boleh dianggap bertaqwa sedangkan kita semua kebanyakannya jauh daripada wahyu Ilahi! Terlalu banyak ajaran di dalam Al-Qur’an tidak diterapkan.
SIKAP GOLONGAN MUNAFIK KEPADA WAHYU
Tawbah Ayat 124: Allah ﷻ sambung semula tentang golongan Munafik. Iaitu tentang sikap mereka terhadap Al-Qur’an dan sikap orang beriman dengan Al-Qur’an pula.
وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ فَمِنهُم مَّن يَقولُ أَيُّكُم زادَتهُ هٰذِهِ إيمٰنًا ۚ فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا فَزادَتهُم إيمٰنًا وَهُم يَستَبشِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whenever a sūrah is revealed, there are among them [i.e., the hypocrites] those who say, “Which of you has this increased in faith?” As for those who believed, it has increased them in faith, while they are rejoicing.
(MALAY)
Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, dan mereka merasa gembira.
وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ فَمِنهُم مَّن يَقولُ أَيُّكُم زادَتهُ هٰذِهِ إيمٰنًا
Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?”
I’rab: kalimah ما di dalam ayat ini adalah ma za’idah (tambahan sahaja).
Ini adalah kata-kata kutukan daripada golongan munafik. Apabila diturunkan surah yang baru, ada antara orang-orang munafik itu berkata: “Siapa antara kamu yang dengan sebab ayat ini turun, bertambah imannya?” Mereka mahu mengatakan ayat-ayat Al-Qur’an itu tidak menambah iman pun. Mereka kata biasa sahaja Al-Qur’an itu. Mereka mengejek golongan mukminin yang terkesan dengan bacaan yang nampak biasa sahaja. Mereka memang suka mengejek orang sepertimana mereka mengejek golongan yang infak sedik it dan infak banyak seperti disebut dalam ayat 79 sebelum ini:
الَّذينَ يَلمِزونَ المُطَّوِّعينَ مِنَ المُؤمِنينَ فِي الصَّدَقٰتِ وَالَّذينَ لا يَجِدونَ إِلّا جُهدَهُم
(Orang-orang munafik itu) ialah orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar usaha mereka sahaja
Kata-kata mereka itu sedang mempersendakan ayat-ayat Al-Qur’an yang diturunkan. Mereka telah tertutup hati mereka sampai ayat-ayat itu langsung tidak memberi kesan kepada mereka. Padahal, sebenarnya setiap surah, setiap ayat sepatutnya menambah keimanan kepada orang yang telah ada iman dalam hati mereka. Mereka yang beriman dan mahu mencari kebenaran, tidak akan jemu untuk mempelajarinya. Mereka akan baca berulang-ulang sehingga hujung nyawa.
Begitulah, kalau kita baca ayat-ayat Al-Qur’an dan langsung tidak terkesan kepada hati kita, kita kena tanya diri sendiri: “Adakah aku ini munafik? Kenapa aku tak rasa apa ni?” Maka kita kena ada majlis ilmu sesama kita untuk meningkat iman kita. Ini kerana iman kita meningkat dengan ilmu dan berkongsi ilmu. Begitulah yang dilakukan oleh para sahabat. Imam Bukhari رحمه الله menukilkan kata-kata Muadz bin Jabal رضي الله عنه kepada Aswad bin Hilal رضي الله عنه seperti disebut di dalam Bab 1 Kitab Iman:
“اجْلِسْ بِنَا نُؤْمِنُ سَاعَةً، يَعْنِي: نَذْكُرُ اللَّهَ
“Duduklah bersama kami untuk beriman sejenak. Iaitu: kita mengingati Allah.”
Akan tetapi orang Munafik memang tidak suka membaca dan mentadabbur Al-Qur’an. Sebab itu ada yang kata kalau hendak tahu siapa yang munafik, caranya adalah baca dan terangkan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Kalau mereka tidak selesa dan nampak panas sahaja, itu adalah tanda-tanda mereka itu munafik. Tanda sahaja ya, bukannya pasti.
Kenapa golongan ini tidak suka kepada Al-Qur’an? Allah ﷻ sebut tentang mereka ini di dalam Kahf: 57
وَمَن أَظلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِئآيٰتِ رَبِّهِ فَأَعرَضَ عَنها وَنَسِيَ ما قَدَّمَت يَداهُ ۚ إِنّا جَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي ءآذانِهِم وَقرًا ۖ وَإِن تَدعُهُم إِلَى الهُدىٰ فَلَن يَهتَدوا إِذًا أَبَدًا
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
Lihatlah mereka ini berpaling apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Ini adalah kerana mereka itu banyak membuat dosa sampaikan dosa-dosa itu telah menjadi titik hitam di dalam hati mereka yang menutupi hati mereka daripada memahami ayat-ayat Al-Qur’an itu! Mereka ini tidak suka apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka dan diterangkan maksudnya kerana mereka rimas dan panas hati apabila banyak teguran yang terkena batang hidung mereka.
Mereka ini tidak berterima kasih menerima teguran itu kerana mereka itu jahil lagi bodoh! Bayangkan kalau kita pergi jumpa doktor dan bila doktor kata mereka ada penyakit, mereka marah pula doktor itu! Ini manusia jenis apa ya?
Tentulah Al-Qur’an ada teguran yang terkena setempek pada hidung kita kerana kita ini bukannya malaikat. Tentu ada kesalahan yang kita lakukan. Maka baguslah teguran itu kita dapat tahu supaya kita dapat perbetulkan diri kita. Jangan marah pula kepada Allah ﷻ kerana tegur kesalahan kita. Bayangkan Nabi Muhammad ﷺ pun ditegur di dalam Al-Qur’an, apatah lagi kita? Hebat sangatkah kita sampai tidak boleh ditegur langsung?
فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا فَزادَتهُم إيمٰنًا
Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya,
Orang Munafik yang bertanya, siapa yang mendapat iman dengan turunnya wahyu itu (kerana mengejek). Rasulullah ﷺ tidak jawab tetapi Allah ﷻ yang jawab: adapun orang yang sudah beriman sebelum ini, maka surah dan ayat yang baru mereka dengar akan menambah iman mereka. Mereka memang sudah beriman, dan ayat baru itu akan menambah iman mereka lebih dari kelmarin. Maknanya dapat iman yang baru. Ini berita yang amat menggembirakan kerana Allah ﷻ iktiraf golongan yang beriman.
Memang orang beriman berlainan dengan orang munafik yang tidak berasa apa-apa. Ini menunjukkan iman mereka sememangnya tidak ada dari mula. Bandingkan dengan sifat golongan Mukmin seperti disebut di dalam Anfal: 2
إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءآيٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.
Ayat Anfal ini menakutkan kerana Allah ﷻ kata orang yang ada 3 kriteria inilah sahaja yang dikira sebagai beriman (kerana ada harf إِنَّمَا). Maka kalau dengar nama Allah ﷻ dan dengar Al-Qur’an tidak ada kesan kepada diri kita, maka maknanya kita bukanlah mukmin!
Malangnya golongan Muslim sekarang kebanyakannya meninggalkan Al-Qur’an sebenarnya. Saya bukan maksudkan tentang membaca (mengeja sebenarnya), menghafal dan belajar tajwid. Ini ramai yang buat. Namun bukan itu yang sepatutnya kita lebih utamakan. Yang kita kena utamakan adalah pemahaman kepada ajaran di dalam Al-Qur’an itu. Ini yang umat Nabi Muhammad ﷺ tinggalkan sampaikan di akhirat nanti Rasulullah ﷺ akan mengadu tentang mereka yang meninggalkannya! Lihat Furqan: 30
وَقالَ الرَّسولُ يٰرَبِّ إِنَّ قَومِي اتَّخَذوا هٰذَا القُرآنَ مَهجورًا
Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.
Bukanlah kita kata jangan belajar tajwid, jangan baca, jangan hafal tetapi yang lebih utama adalah memahami Al-Qur’an. Belajar tajwid dan membaca dan juga menghafal itu memang sangat elok dilakukan iaitu SEMASA MUDA! Kalau sudah tua dan minda pun sudah menipis, tidak perlulah sibuk hendak belajar baca lagi sebab sudah terlambat. Lebih baik utamakan memahami Al-Qur’an daripada terkedek-kedek belajar tajwid dan tergagap-gagap baca Al-Qur’an. Maknanya kalau tidak kena cara, belajar tajwid dan menghafal juga boleh menjadi penghalang kepada manusia memahami Al-Qur’an kerana sibuk dengan perkara yang kurang penting.
Kemudian orang kita sibuk hendak khatam Al-Qur’an (selalunya dilakukan di bulan Ramadhan sebab bulan lain mereka tidak tahu mushaf Al-Qur’an mereka duduk di mana). Masalahnya bila dikejar baca untuk khatam maka dibaca dengan laju sampaikan tidak faham apa yang dibaca. Kalau baca sambil faham, baguslah untuk khatam. Namun kalau faham pun tidak, lebih baik baca sedikit dan belajar maknanya sedikit. Bukannya semata-mata untuk kejar khatam. Maknanya hendak khatam juga menjadi penghalang kepada belajar memahami Al-Qur’an jikalau kita terlalu sibuk dengannya.
وَهُم يَستَبشِرونَ
dan mereka merasa gembira.
Mereka sangat gembira dengan pertambahan dalaman mereka. Mereka dapat rasa iman mereka bertambah dan mereka semakin seronok. Ada ilmu baru yang mereka dapat tahu dan belajar. Ini pengalaman orang yang baru belajar tafsir, lagi lama lagi suka belajar tafsir kerana semakin banyak yang mereka faham. Ada permasalahan dalam diri mereka yang diperjelaskan. Maka mereka akan hendak belajar dan belajar lagi. Mereka akan menghabiskan tafsir 30 juzuk dan kemudian mereka akan ulang dan ulang lagi untuk memahami dengan lebih mendalam.
Mereka gembira dengan Al-Qur’an itu dan mereka selalu membaca dan mengkajinya. Namun malangnya, ramai dalam kalangan orang kita yang buat tidak kisah sahaja dengan Al-Qur’an ini. Ini kerana iman mereka sendiri memang lemah dari mula. Maka kalau ayat-ayat Al-Qur’an ini tidak memberi kesan kepada hati kita, maka kena selidik apakah masalah dengan diri kita. Bandingkan dengan para sahabat yang selalu membaca Al-Qur’an yang panjang di dalam solat mereka kerana mentadabburi Al-Qur’an semasa solat. Begitulah juga yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ,
مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا
“Rasulullah ﷺ tidak solat melebihi 11 rakaat sama ada pada Ramadhan atau selain daripadanya (Ramadhan). Baginda ﷺ bersolat 4 rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Baginda ﷺ. Kemudian, Baginda ﷺ solat lagi 4 rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Baginda ﷺ. Setelah itu, Baginda ﷺ solat 3 rakaat”.
(Riwayat al-Bukhari (1147) (2013) (3569) dan Muslim (738))
Bagaimana pula dengan kita? Hendak baca satu muka surat Al-Qur’an sehari pun payah, bukan? Kerana kita tidak ada rasa gembira dengan Al-Qur’an. Ia tidak memberi kesan kepada kita. Kita lebih senang tengok media sosial sahaja dan perkara-perkara yang lain daripada mendengar kalamullah.
Sedangkan Al-Qur’an ini bukanlah bacaan yang biasher-biasher. Kalau kita faham dan tadabbur, maka ia akan memberi kesan kepada kita. Kejap takut, kejap tenang seperti disebut dalam Zumar: 23
اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.
Maka ini mengajar kita untuk membina hubungan yang baik dengan Al-Qur’an. Jadikan Al-Qur’an bacaan kita setiap hari. Sentiasa paksa diri kita baca sehinggalah ia menjadi manis bagi kita dan menjadi halwa telinga kita. Al-Qur’an lah hiburan buat orang beriman. Selalu orang sibuk bertanyakan hukum muzik. Ini soalan yang menimbulkan polemik kerana yang bertanya mungkin hendak kita katakan yang muzik tidak mengapa (atau sekurang-kurangnya kata boleh kalau nasyid atau tidak melalaikan). Namun itu bukan jawapan yang tepat dan selamat kerana jawapan yang tepat adalah muzik itu haram!
Ia diharamkan oleh imam mazhab yang empat. Namun orang awam susah hendak terima kerana mereka sudah terbiasa sangat dengan lagu dan muzik seolah-olah telah menjadi darah daging. Budaya kita di Malaysia amat dekat dengan muzik sejak zaman berzaman, sehingga di islamik kan muzik agar menjadi ‘halal’. Maka kita kata apa hukum pun tentang muzik, mereka akan terpana-pana dan hendak cari juga jawapan daripada orang yang kata boleh (memang ada pun pendapat yang kata boleh). Akan tetapi sebenarnya kenapa mereka perlukan sangat muzik dan lagu itu? Mereka mahukan menenangkan diri, hendak healing, chill. Kita tanya balik, dengan zikrullah dan dengan Al-Qur’an tidak bolehkah?
Maka jadikan Al-Qur’an sebagai halwa telinga kita. Rasulullah ﷺ pun suka mendengar Al-Qur’an dibaca oleh orang lain seperti disebut di dalam hadith,
.وفي رواية الحاكم -وقال الذهبي: صحيح- عَنْ أَبِي بُرْدَةَ بْنِ أَبِي مُوسَى، قَالَ: “مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِأَبِي مُوسَى ذَاتَ لَيْلَةٍ وَمَعَهُ عَائِشَةُ، وَأَبُو مُوسَى يَقْرَأُ فَقَامَا فَاسْتَمَعَا لِقِرَاءَتِهِ، ثُمَّ مَضِيَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَبُو مُوسَى، وَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: «مَرَرْتُ بِكَ يَا أَبَا مُوسَى الْبَارِحَةَ، وَأَنْتَ تَقْرَأُ فَاسْتَمَعْنَا لِقِرَاءَتِكَ». فَقَالَ أَبُو مُوسَى: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، لَوْ عَلِمْتُ بِمَكَانِكَ لَحَبَّرْتُ لَكَ تَحْبِيرًا
Daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy’ari رضي الله عنه, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersama A’isyah رضي الله عنها lalu dekat dengan Abi Musa رضي الله عنه pada suatu malam dan ketika itu Abi Musa رضي الله عنه sedang membaca al-Qur’an lalu mereka berdua berdiri dan mendengar bacaannya. Bila selesai mereka pun berlalu. Pada keesokan paginya Abu Musa رضي الله عنه bertemu dengan Nabi ﷺ dan baginda berkata: “Aku lalu dekat dengan kamu Abu Musa malam tadi ketika kamu membaca al-Qur’an lalu kami berhenti untuk mendengarnya.” Lalu Abu Musa رضي الله عنه berkata: “Wahai Nabi Allah, kalaulah aku mengetahui kamu ada, sungguh aku akan lebih memerdukannya untukmu.”
(Riwayat Hakim | Sahih)
Rasulullah ﷺ sendiri suka mendengar bacaan sahabatnya khasnya dalam kalangan sahabat yang sedap bacaannya.
روى البخاري عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعودٍ رضي الله عنه، قَالَ: “قَالَ لِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: «اقْرَأْ عَلَيَّ». قُلْتُ: آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ؟ قَالَ: «فَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِي». فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ سُورَةَ النِّسَاءِ، حَتَّى بَلَغْتُ: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا} [النساء:41] قَالَ: «أَمْسِكْ». فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ”،
Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Bacakanlah al-Quran padaku.” Aku pun berkata: “Aku membacakannya untuk kamu, padahal kepada kamulah ia diturunkan?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang lain.” Akhirnya aku pun membacakan surah an-Nisaa’ dan ketika sampai pada ayat: “Dan bagaimanakah sekiranya Kami mendatangkan manusia daripada seluruh umat dengan seorang saksi, lalu kami mendatangkanmu sebagai saksi atas mereka.” (An-Nisaa’: 41) Maka baginda pun bersabda padaku: “Cukuplah.” Lalu aku pun melihat kedua mata baginda menitiskan air mata.
(Sahih Bukhari No. 3424)
Iman bertambah dan berkurang
Ayat yang mulia ini merupakan dalil yang paling besar yang menunjukkan bahawa iman itu dapat bertambah dan dapat berkurang, seperti yang dikatakan oleh kebanyakan ulama Salaf dan ulama Khalaf dalam kalangan para imam ulama’. Bahkan bukan hanya seorang dua yang meriwayatkan pendapat ini sebagai suatu kesepakatan. Hal ini diterangkan pada permulaan Syarah Imam Bukhari rahimahallah (Bab Iman).
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan


