Tafsir Surah an-Nahl Ayat 4 – 8 (Jasa-jasa Allah ﷻ kepada kita)

Nahl Ayat 4: Sekarang Allah ﷻ beri pula Dalil Aqli Anfusi (diri kejadian makhluk). Selepas sebut tentang kehebatan dalam penciptaan alam yang tinggi, sekarang Allah ﷻ suruh kita lihat penciptaan diri kita pula. Allah ﷻ Maha Tinggi, bagaimana pula dengan makhluk terutama sekali manusia?

خَلَقَ الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created man from a sperm-drop; then at once1 he is a clear adversary.

  • As soon as he becomes strong and independent.

(MELAYU)

Dia telah menciptakan manusia dari mani, tiba-tiba dia menjadi pembantah yang nyata.

 

خَلَقَ الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ

Dia telah menciptakan manusia daripada saripati air mani,

Allah ﷻ memberitahu yang manusia itu dijadikan daripada sperma (sebenarnya bukan daripada ‘mani’ kerana yang terjadinya seorang bayi adalah sperma yang ada dalam mani itu). Daripada mani, bukan daripada emas dan perak, bukan daripada nur cahaya, bukan sang dewa yang turun dari kayangan, maka manusia itu patutlah tunduk kepada Tuhan. Di dalam ayat lain seperti Hajj: 5, Allah ﷻ memberitahu dengan terperinci kejadian manusia itu.

يا أَيُّهَا النّاسُ إِن كُنتُم في رَيبٍ مِّنَ البَعثِ فَإِنّا خَلَقنٰكُم مِّن تُرابٍ ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ ثُمَّ مِن عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُم ۚ وَنُقِرُّ فِي الأَرحامِ ما نَشاءُ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخرِجُكُم طِفلًا
Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian daripada segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi,

Allah ﷻ menceritakan tentang kejadian manusia daripada نُطفَةٍ ini kerana hendak mengingatkan manusia yang mereka dijadikan oleh-Nya daripada sesuatu yang hina. Bayangkan, kalaulah mani ini jatuh atas lantai rumah kita, tentu kita mesti bersihkan kerana ia hina, bukan? Ayam tidak patuk, itik pun tidak sudu sekiranya ia menitik ke tanah.

Allah ﷻ mengingatkan yang Dia yang menjadikan kita, daripada tidak ada kepada ada. Daripada orang tidak tahu langsung pasal kita, terus orang kenal. Maka melalui kejadian manusia ini pun sudah banyak nikmat dan kelebihan yang kita boleh lihat. Kerana itulah Allah ﷻ suruh kita lihat diri kita seperti firman-Nya di dalam Dzariyat: 21

وَفي أَنفُسِكُم ۚ أَفَلا تُبصِرونَ
dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

Maka setelah melihat hebatnya diri kita ini diciptakan, maka adakah lagi perasaan di dalam diri kita yang kita ini terjadi sendiri seperti yang dikatakan oleh golongan Atheis itu?

 

فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُّبينٌ

tiba-tiba dia menjadi pembantah yang nyata.

Walaupun manusia dijadikan daripada kejadian yang hina dan tidak bernilai, namun ramai yang berlagak rasa diri itu besar. Ramai yang degil untuk menerima kebenaran, degil untuk taat kepada Allah ﷻ kerana mereka sangka mereka lebih mulia dan lebih pandai. Mereka membantah akan kebenaran wahyu yang disampaikan kepada mereka. Ini memang tidak patut.

Kenanglah wahai manusia, kamu itu dijadikan daripada sesuatu yang tidak ada nilai; kemudian Allah ﷻ yang beri segala keperluan kamu. Maka apakah punca yang kamu meninggi diri tidak mahu menerima kebenaran yang Allah ﷻ sampaikan melalui para Rasul-Nya itu? Ini seperti firman Allah ﷻ:

أَوَلَمْ يَرَ الإنْسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِنْ نُطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ وَضَرَبَ لَنَا مَثَلا وَنَسِيَ خَلْقَهُ قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنْشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ
Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa Kami menciptakannya daripada setitik air (mani), maka tiba-tiba dia menjadi musuh yang nyata! Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami, dan dia lupa kepada kejadiannya; dia berkata, “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh?” Katakanlah, “dia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakan kali yang pertama. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.”
(Yaasin: 77-79)

Maka jangan kita berbangga sangat dengan kejadian kita ini. Memang kejadian kita ini hebat, tetapi kenanglah kehebatan Allah ﷻ yang menciptakan kita! Kita hebat kerana Allah ﷻ yang menjadikan kita hebat. Maka Allah ﷻ ingatkan kita asal kejadian kita seperti disebut dalam Tariq: 5-7.

فَليَنظُرِ الإِنسانُ مِمَّ خُلِقَ
Maka hendaklah manusia memperhatikan daripada apakah dia diciptakan?

خُلِقَ مِن ماءٍ دافِقٍ
Dia diciptakan daripada air yang dipancarkan,

يَخرُجُ مِن بَينِ الصُّلبِ وَالتَّرائِبِ
yang keluar daripada antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan.

Di dalam sebuah hadith Qudsi, Rasulullah ﷺ telah menyampaikan firman Allah ﷻ,

عَنْ بُسْرِ بْنِ جَحَّاشٍ الْقُرَشِيِّ قَالَ بَزَقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كَفِّهِ ثُمَّ وَضَعَ أُصْبُعَهُ السَّبَّابَةَ وَقَالَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنَّى تُعْجِزُنِي ابْنَ آدَمَ وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ مِثْلِ هَذِهِ فَإِذَا بَلَغَتْ نَفْسُكَ هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى حَلْقِهِ قُلْتَ أَتَصَدَّقُ وَأَنَّى أَوَانُ الصَّدَقَةِ
Daripada [Busr bin Jahasy Al Qurasyi], dia berkata; Rasulullah ﷺ meludah di telapak tangannya lalu dia menegakkan jari telunjuknya dan berkata; “Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman: ‘Bagaimana kau dapat memperdayaku wahai anak Adam! Padahal Aku telah menciptakanmu daripada sesuatu seperti ini. Apabila nyawamu telah sampai di sini -baginda memberi isyarat pada tenggorokkannya- engkau mengatakan; ‘Aku akan bersedekah! ” Lalu apakah masih ada waktu untuk bersedekah?.”
(Sunan Ibn Majah (2698))


 

Nahl Ayat 5: Allah ﷻ mengingatkan lagi dengan jasa-Nya. Ini adalah faedah dari segi jasmani/fizikal. Ini semua untuk mengingatkan kita supaya menyembah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ telah bawakan alam dunia langit dan bumi, kemudian tentang diri kita, dan sekarang Allah ﷻ suruh kita melihat nikmat binatang ternakan pula.

وَالأَنعٰمَ خَلَقَها ۗ لَكُم فيها دِفءٌ وَمَنٰفِعُ وَمِنها تَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the grazing livestock He has created for you; in them is warmth¹ and [numerous] benefits, and from them you eat.

  • i.e., in clothing, tents, furnishings, etc.

(MELAYU)

Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan.

 

وَالأَنعٰمَ خَلَقَها

Dan Dia telah menciptakan binatang ternak; 

Yang dimaksudkan adalah binatang seperti kerbau, lembu, kambing, biri-biri dan unta. semuanya dijadikan atau dijinakkan buat manusia. Itu pun Allah ﷻ yang jadikan, bukan makhluk yang cipta.

Apabila berfirman begini, maknanya Allah ﷻ berbangga dengan ciptaan binatang. Allah ﷻ yang menciptakan itu semua untuk kita kerana bumi ini adalah tempat untuk kita tinggal. Maka Allah ﷻ tidak membiarkan kita tanpa kemudahan untuk hidup. Salah satu kemudahan yang Allah ﷻ berikan adalah binatang ternak untuk kita gunakan sebagai kenderaan dan sebagai makanan.

Binatang-binatang itu kita boleh gunakan kerana Allah ﷻ benarkan kita guna. Allah ﷻ berfirman di dalam Yaasin: 71-72

أَوَلَم يَرَوا أَنّا خَلَقنا لَهُم مِّمّا عَمِلَت أَيدينا أَنعٰمًا فَهُم لَها مٰلِكونَ
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

وَذَلَّلنٰها لَهُم فَمِنها رَكوبُهُم وَمِنها يَأكُلونَ
Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.

Untuk kita gunakan binatang ternak itu, maka Allah ﷻ jinakkan binatang-binatang itu. Kalau tidak, susahlah kita hendak bela, tangkap, sembelih dan sebagainya. Unta yang sebegitu besar saiznya pun Allah ﷻ jinakkan untuk kita. Sebab itulah juga ada binatang buas kita tidak boleh jinakkan seperti harimau, singa dan sebagainya. Namun tidak mengapalah sebab itu semua bukannya makanan kita, jadi tidak perlu pun kita jinakkan mereka.

 

لَكُم فيها دِفءٌ

padanya ada kehangatan

Dengan binatang ternak itu, boleh digunakan bulu-bulu binatang itu untuk kita memanaskan tubuh. Iaitu dengan memakai baju yang dibuat daripada bulu biri-biri. Dengan baju itu, kita pakai untuk melindungi diri kita daripada kesejukan alam ini. Maka, bila kita pakai baju itu, kita teringatlah yang ini adalah salah satu daripada nikmat Allah ﷻ berikan kepada kita.

 

 

وَمَنٰفِعُ

dan berbagai-bagai manfaat,

Selain itu, banyak lagi manfaat lain. Allah ﷻ tidak sebut satu persatu kerana kita boleh fikirkan sendiri. Antaranya kita minum susu, kulitnya pula kita gunakan untuk buat khemah dan benda-benda lain. Dengannya juga kita dapat jadikan kenderaan. Malah, banyak lagi.

 

وَمِنها تَأكُلونَ

dan sebahagiannya kamu makan.

Ada juga binatang ternak itu yang kita makan juga. Ia adalah antara sumber makanan yang utama kepada kita. Bayangkan sekarang kalau kita tidak dapat makan daging, tentu susah hati kita, bukan?

Nikmat makanan daripada haiwan ternakan kurniaan Allah

 

Nahl Ayat 6: Ada lagi kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada binatang ternak ini. Bukan untuk keperluan hidup sahaja. Kalau ayat sebelum ini adalah faedah fizikal (dapat ambil manfaat daripada haiwan itu), sekarang adalah faedah rohani pula. Ada kesenangan apabila melihat binatang ternak itu.

وَلَكُم فيها جَمالٌ حينَ تُريحونَ وَحينَ تَسرَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for you in them is [the enjoyment of] beauty when you bring them in [for the evening] and when you send them out [to pasture].

(MELAYU)

Dan kamu memperoleh pandangan yang indah padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan.

 

وَلَكُم فيها جَمالٌ

Dan untuk kamu memperoleh pandangan yang indah padanya,

Binatang ternak ini adalah sesuatu yang kita suka lihat. Ayat ini mulanya diturunkan kepada bangsa Arab yang kebanyakan mereka menggembala binatang ternak. Kalau kita zaman sekarang pula, ada kesukaan kalau kita melihat binatang-binatang ternak ini makan di rumah, bermain sesama mereka. Ini kerana Allah ﷻ tanamkan rasa seronok itu ke dalam diri kita. Allah ﷻ jadikan binatang ternak itu sebagai ‘perhiasan’ bagi manusia.

Seronok bukan dapat melihat binatang ternakan berlari bebas sekaligus menimbulkan kegembiraan di dalam diri kita.

 

حينَ تُريحونَ

ketika kamu membawanya kembali ke kandang

Kalimah تُريحونَ daripada katadasar ر و ح yang bermaksud nafas kehidupan; angin; kekuatan; semangat; jiwa; inspirasi; wahyu; intipati; untuk pergi atau melakukan sesuatu pada waktu petang. Selalunya katadasar ini digunakan untuk roh akan tetapi di sini ia untuk perbuatan mengembalikan binatang ternak di petang hari sebelum masuk waktu Maghrib.

Di sini kita nampak Allah ﷻ sebut tentang mengembalikan mereka dahulu sebelum sebut mereka keluar di pagi hari ini. Ini kerana keindahan binatang ternak ini lebih nampak ketika mereka kembali ke kandang di petang hari. Waktu itu mereka telah kenyang dan bermain-main antara satu sama lain. Mereka dalam keadaan puas dan bergembira.

 

وَحينَ تَسرَحونَ

dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan.

Kalimah تَسرَحونَ daripada katadasar س ر ح yang bermaksud hantar; melepaskan; membebaskan; memandu ke padang rumput. Ini ketika pagi apabila binatang ternak itu dilepaskan dan berebutlah mereka keluar untuk mencari makan. Kita nampak keindahan pemandangan itu pada waktu itu. Boleh nampak mereka keluar setelah satu malam berehat di kandang.

Perkara ini kalau mahu faham, boleh pergi ke ladang dan lihat sendiri dengan mata yang Allah ﷻ anugerahkan kepada kita. Ada orang sanggup tinggalkan kerja korporat di dalam pejabat berhawa dingin kerana hendak bekerja di ladang. Ini kerana mereka nampak perkara ini.


 

Nahl Ayat 7: Sambung nikmat binatang ternak yang Allah ﷻ telah berikan. Ini kembali memperkatakan tentang faedah jasmani.

وَتَحمِلُ أَثقالَكُم إِلىٰ بَلَدٍ لَّم تَكونوا بٰلِغيهِ إِلّا بِشِقِّ الأَنفُسِ ۚ إِنَّ رَبَّكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they carry your loads to a land you could not have reached except with difficulty to yourselves. Indeed, your Lord is Kind and Merciful.

(MELAYU)

Dan ia memikul beban-bebanmu ke suatu negeri yang kamu tidak sanggup sampai kepadanya, melainkan dengan kesukaran-kesukaran (yang memayahkan) diri. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

 

وَتَحمِلُ أَثقالَكُم إِلىٰ بَلَدٍ

Dan ia memikul beban-bebanmu ke suatu negeri

Dengan binatang-binatang ternak peliharaan itu, manusia boleh membawa beban dari satu tempat ke suatu tempat yang lain sama ada jauh ataupun dekat. Dengan binatang tunggangan itu manusia boleh sampai ke negeri yang lain juga.

Antara yang digunakan adalah unta kerana unta itu tahan untuk berjalan jauh dan badannya kuat untuk memikul barang-barang dagangan dan barang-barang keperluan. Untuk di Tanah Arab, ia memang binatang yang sesuai untuk perjalanan di padang pasir.

Begitu hebatnya unta itu di padang pasir sampaikan disebut di dalam Ghasyiah: 17

أَفَلا يَنظُرونَ إِلَى الإِبِلِ كَيفَ خُلِقَت
Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan,

Mungkin kita kata bahawa dengan adanya alat perhubungan moden sekarang ini kepentingan unta sudah tidak ada, tetapi nampaknya belum. Contohnya walaupun telah ada kenderaan bermotor yang lain, namun ada tempat beca masih perlu, ada tempat masih menggunakan kuda kerana kawasan berbukit lebih mudah menggunakan kuda. Demikian juga dengan unta yang masih digunakan di kampung-kampung Badwi yang hanya dapat dilalui dengan menggunakan unta.

Kalau unta itu hanya digunakan di padang pasir tanah Arab, di negara kita tentulah digunakan binatang yang lain pula seperti kerbau, lembu, gajah pun ada. Malah di Afrika haiwan seperti zebra juga digunakan. Pendek kata binatang digunakan sebagai cara pengangkutan yang digunakan sejak zaman berzaman.

Zebra digunakan sebagai pengangkutan di Afrika Timur

 

لَّم تَكونوا بٰلِغيهِ إِلّا بِشِقِّ الأَنفُسِ

yang kamu tidak sanggup sampai kepadanya, melainkan dengan kesukaran-kesukaran

Manusia tidak akan boleh bawa sendiri barang-barang yang berat itu. Maka amat susah kalau tidak ada binatang. Allah ﷻ ingatkan kita, bayangkan kalau binatang itu Allah ﷻ tidak diberi, bagaimana? Boleh patah belakang kita kalau kita angkut sendiri.

Zaman sekarang ini barang-barang diangkat dengan kenderaan seperti kereta dan lori. Akan tetapi zaman dahulu secara keseluruhan digunakan binatang ternak; namun masih ada lagi di kawasan pedalaman yang menggunakan binatang untuk pengangkutan. Maka kita boleh fahami lagi ayat ini walaupun kita sendiri tidak menggunakan binatang untuk mengangkut barang.

Oleh itu haruslah ingat pemberian Allah ﷻ. Allah ﷻ memudahkan kita untuk mengangkut barang yang berat. Maka, kalau kita baca ayat ini, ia amat berkesan semasa kita mengemas barang untuk dibawa dalam perjalanan. Walaupun kita menaiki kereta atau bas, kereta dan bas itu juga pemberian daripada Allah ﷻ, bukan?

 

إِنَّ رَبَّكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Allah ﷻ beri segala kemudahan itu untuk kita kerana Allah ﷻ bersifat رَءوفٌ. Maksud رَءوفٌ adalah seseorang yang tahu apa yang kita lalui. Allah ﷻ tahu apa keperluan kita dan kesusahan kita, maka Allah ﷻ beri kemudahan untuk kita. Allah ﷻ beri kemudahan itu kerana Allah ﷻ juga bersifat رَحيمٌ – amat kasih kepada kita sebagai makhluk-Nya.


 

Nahl Ayat 8: Sekarang disebut faedah jasmani lagi.

وَالخَيلَ وَالبِغالَ وَالحَميرَ لِتَركَبوها وَزينَةً ۚ وَيَخلُقُ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [He created] the horses, mules and donkeys for you to ride and [as] adornment. And He creates that which you do not know.

(MELAYU)

dan (Dia telah menciptakan) kuda, baghal dan keldai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

 

وَالخَيلَ وَالبِغالَ وَالحَميرَ لِتَركَبوها وَزينَةً

dan kuda, baghal dan keldai, agar kamu menungganginya dan sebagai perhiasan.

Allah ﷻ senaraikan binatang-binatang yang digunakan untuk mengangkut barang pada zaman itu. Kuda, baghal dan keldai adalah binatang-binatang yang biasa digunakan untuk mengangkut barang selain daripada unta yang telah disebut sebelum ini. Baghal badan seperti kuda tetapi muka seperti keldai. Ini adalah kerana ada perkahwinan campur antara kuda dan keldai. Sebenarnya namanya adalah bighal tetapi orang Melayu memanggilnya baghal.

Binatang-binatang itu bukan sahaja boleh dinaiki dan digunakan untuk mengangkut barang, tetapi ia juga digunakan sebagai perhiasan kehidupan. Kalau kita ada banyak binatang-binatang ini, ia adalah sebagai satu simbol kesenangan kepada seseorang itu. Kalau zaman sekarang pula, orang yang ada banyak kenderaan itu maksudnya dia ada banyak harta, bukan? Oleh kerana itu kuda-kuda ada yang dihiaskan.

Ada yang berpendapat, oleh kerana Allah ﷻ meletakkan kuda dalam golongan baghal dan keldai (yang tidak boleh dimakan) di sini, maka ini sebagai isyarat yang kuda juga haram dagingnya untuk dimakan. Akan tetapi pendapat ini tidak dapat melawan hadith sahih yang berdasarkan daripada riwayat Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa:

أَكَلْنا زَمَنَ خَيْبَرَ الخَيْلَ، وَحُمُرَ الوَحْشِ، وَنَهانا النبيُّ ﷺ عَنِ الحِمارِ الأهْلِيِّ
“Pada waktu perang Khaibar kami pernah memakan (daging) kuda dan keldai liar dan Nabi ﷺ melarang kami daripada memakan (daging) keldai jinak (peliharaan).”
(Riwayat Muslim (1941))

Memang ada juga hadith riwayat daripada Khalid bin al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ أَكْلِ لُحُومِ الْخَيْلِ، وَالْبِغَالِ، وَالْحَمِيرِ، وَكُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ
“Rasulullah ﷺ telah melarang daripada memakan daging kuda, baghal, keldai dan setiap haiwan buas yang bertaring.”
(Riwayat al-Nasaie (4332))

Akan tetapi para ulama dalam kalangan imam-imam hadith dan selain mereka telah bersepakat bahawa hadith di atas adalah dhaif (lemah). Sebahagian mereka pula mengatakan ia telah dimansuhkan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/96). Akan tetapi bukan semua ulama’ bersetuju dengan pemakanan unta. Contohnya mazhab Hanafi menganggap ia adalah makruh (dibenci).

Daging kuda halal dimakan

 

Maka begitulah Allah ﷻ banyak menceritakan nikmat binatang yang kita boleh gunakan sebagai tunggangan, makanan dan sebagainya. Boleh lihat lagi di dalam Ghafir: 79-80

اللهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَنعٰمَ لِتَركَبوا مِنها وَمِنها تَأكُلونَ
Allah yang menjadikan binatang ternak bagi kamu; sebahagian di antaranya untuk kamu menunggangnya, dan sebahagian lagi untuk kamu makan.

وَلَكُم فيها مَنٰفِعُ وَلِتَبلُغوا عَلَيها حاجَةً في صُدورِكُم وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ
Dan kamu pula beroleh berbagai faedah pada binatang ternak itu, dan supaya kamu dapat memenuhi sesuatu hajat yang ada dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu; dan di atas binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal, kamu diangkut.

 

وَيَخلُقُ ما لا تَعلَمونَ

Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Bukan binatang-binatang yang telah disebut dalam Al-Qur’an sahaja yang ada. Malahan banyak lagi yang tidak disebut. Bukan itu sahaja yang ada, kerana ada makhluk lain yang kita sendiri tidak tahu. Ini kerana ada terlalu banyak makhluk Allah ﷻ di dalam alam ini.

Sebagai contoh, jika kita melihat alam laut, ada terdapat banyak spesis hidupan lautan yang kita tidak tahu bahawa ia wujud lagi. Kadangkala ada spesis yang dulu tidak ada dan tiba-tiba muncul. Allah ﷻ mahu memberitahu, begitu banyak makhluk yang kita tidak ketahui. Betapa begitu terhadnya ilmu kita ini berbanding dengan ilmu Allah ﷻ.

Pendapat yang menarik adalah ia berkenaan kenderaan. Sebelum ini telah disebut tentang binatang-binatang sebagai kenderaan dan sebagai pengangkut barang. Maka di sini Allah ﷻ hendak memberi isyarat ada lagi kemudahan pengangkutan lain yang manusia pada zaman itu belum tahu lagi seperti keretapi, kereta, motorsikal, kapalterbang dan lain-lain lagi. Semua itu pun Allah ﷻ juga yang berikan kepada kita. Ini kerana untuk mencipta alatan itu semua pun adalah merupakan ilham daripada Allah ﷻ, dan untuk membuatnya juga menggunakan bahan asas daripada Allah ﷻ juga seperti besi, getah dan sebagainya.

Namun itu semua adalah perkara di masa hadapan kerana itu apabila menyebut tentang binatang-binatang yang telah, digunakan kalimah خَلَقَ di dalam bentuk fi’il madhi (past tense) dan di sini digunakan pula kalimah يَخلُقُ di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present and continuous tense) kerana ia belum dicipta lagi.

Bukanlah Allah ﷻ tidak tahu apa yang akan dicipta di masa hadapan, tetapi Allah ﷻ tidaklah sebut apakah jenis kenderaan itu kerana kalau sebut pun tidak berguna kerana belum ada lagi. Buat kecoh sahaja nanti para sahabat bertanya-tanya apakah kapalselam, kapalterbang dan sebagainya.

Mulai ayat 6 hingga 8 ini menyebut tentang kesenangan dan hiasan yang Allah ﷻ berikan kepada kita dalam bentuk binatang. Maka kita boleh gunakan dan ia tidak salah. Tidak salah juga untuk berhias dengan rezeki dan pemberian Allah ﷻ. Janganlah faham zuhud sampai tidak menggunakan segala pemberian Allah ﷻ itu. Yang menjadi salah kalau kita lupa Allah ﷻ yang berikan segala kemudahan dan perhiasan itu. Yang menjadi salah adalah kalau kita memandang rendah orang yang tidak ada benda-benda itu. Kalau kita menggunakannya dan berterima kasih kepada Allah ﷻ dan kita ingat kepada Allah ﷻ semasa menggunakannya, ia tidaklah salah. Tidak salah untuk kita menzahirkan nikmat yang Allah ﷻ berikan seperti disebut di dalam Dhuha: 11

وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.

Memang kita sepatutnya kena bersyukur dengan nikmat kenderaan yang Allah ﷻ telah berikan. Terutama kita zaman sekarang yang menggunakan kenderaan yang lebih hebat daripada orang-orang terdahulu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Disember 2023

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment