JASA-JASA DARI ALLAH KEPADA MANUSIA
Ibrahim Ayat 32: Dalil aqli ketiga. Ia adalah dalil nikmat dunia yang kita boleh lihat dan fikirkan. Ia adalah nikmat am yang Allah ﷻ berikan kepada manusia termasuk penduduk Tanah Arab yang pertama kali menerima Al-Qur’an ini.
اللهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
It is Allāh who created the heavens and the earth and sent down rain from the sky and produced thereby some fruits as provision for you and subjected for you¹ the ships to sail through the sea by His command and subjected for you the rivers.
- i.e., made serviceable to you.
(MELAYU)
Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.
اللهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ
Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi
Kenapa kita kena sembah dan seru Allah ﷻ sahaja dalam doa? Kerana Allah ﷻ yang jadikan langit dan bumi ini. Roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak jadikan apa-apa pun. Semua yang ada dalam alam ini yang kita gunakan adalah daripada ciptaan Allah ﷻ. Allah ﷻ tetap berikan segala macam nikmat kepada manusia walaupun kebanyakan manusia ingkar kepada-Nya.
Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut dijadikan langit dahulu, sedangkan dari segi kronologi, bumilah yang dijadikan dahulu seperti disebut dalam Baqarah: 29
هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ فَسَوّٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna;
Maka kenapa Allah ﷻ sebut langit dahulu di dalam banyak ayat Al-Qur’an? Kerana langit menunjukkan kehebatan Allah ﷻ disebabkan langit lebih hebat, lebih besar, dijadikan tanpa tongkat, begitu sempurna sekali. Juga sebagai tanda kemuliaan kerana di situlah para malaikat berada, juga para Nabi yang telah wafat dan juga tempat turunnya wahyu.
وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ
dan Dia menurunkan air hujan dari langit,
Manusia, tumbuhan dan haiwan memerlukan air hujan untuk kehidupan kita. Seandainya tidak ada air hujan, memang tidak ada kehidupan. Allah ﷻ ingatkan yang Dialah menurunkan air hujan itu. Ini kita semua sudah tahu tetapi apakah kepentingannya?
Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Namun kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu sekali tidak mampu. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi asalnya adalah dari bumi, bukan? Dia sejatkan air itu agar naik ke langit, Allah ﷻ simpan di dalam awan dan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Perkara ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ.
Lalu kenapa Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana kalau Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah mendapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan?
فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم
kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu;
Dengan air hujan itulah, tumbuhan boleh hidup. Kita makan tumbuh-tumbuhan itu; binatang juga boleh makan tumbuh-tumbuhan itu; dan kita pula makan binatang-binatang itu. Jelas sekali air ini amat penting bagi kita dan kerana itu kalau beberapa hari sahaja tidak turun air kerana kemarau, kita sudah susah hati.
Betapa hebatnya Allah ﷻ, dengan air yang satu jenis itu, tumbuh berbagai-bagai jenis tumbuhan. Kita mencipta minyak untuk kereta pun terpaksa menggunakan banyak jenis minyak (minyak untuk kereta, lain; untuk brek, lain; untuk enjin lain pula). Namun Allah ﷻ beri satu jenis air sahaja tetapi keluarkan berbagai-bagai jenis tumbuhan.
Malah air itu satu warna sahaja, tetapi keluar daripadanya tumbuhan yang berbagai-bagai warna. Jangankan kata yang berlainan jenis, tumbuhan daripada pokok yang sama pun berlainan warnanya. Lihatlah epal pun ada banyak jenis warna dan rasa yang berlainan. Dalam satu pokok pun boleh berlainan warna seperti buah rambutan itu yang ada warna kuning, warna merah dan sebagainya. Sebiji buah pun boleh jadi berlainan warna ikut tahapnya – waktu muda berwarna hijau, sudah masak sedikit menjadi warna kuning, bila sudah masak betul menjadi warna merah pula. Kalau warna sama sahaja dari muda sampai masak, kita pun susah untuk tahu ia sudah masak atau tidak, bukan? Ma shaa Allah, Allah ﷻ memang hebat.
Buah-buahan itu adalah rezeki bagi kita. Maka rezeki itu bukanlah dari segi harta sahaja tetapi ia bermakna apa-apa sahaja yang memberi kepentingan kepada kita. Oleh itu kalimah الثَّمَرٰتِ bukan hanya buah-buahan sahaja tetapi termasuk segala rezeki kita seperti makanan, pakaian, rumah dan sebagainya. Akan tetapi kita selalu anggap rezeki itu sebagai harta dan duit sahaja, bukan? Sebab itu orang kita bersungguh sekali amalkan Solat Dhuha sebab sangka ia adalah amalan yang boleh menambahkan duit, beriya sekali menghafal Surah Waqiah pun kerana mereka percaya ia boleh menambah duit mereka. Sedangkan makanan itu rezeki, kesihatan itu juga rezeki, masa lapang untuk beribadah dan baca Al-Qur’an pun rezeki juga dan terlalu banyak lagi.
Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu kita yang rezeki itu Dia yang beri. Maka apa kita kena buat untuk mendapatkan rezeki? Tentulah dengan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukannya menjauhkan diri daripada-Nya! Contohnya lihat Ali Imran: 37 bagaimana Maryam diberi rezeki oleh Allah ﷻ kerana beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Allah ﷻ.
وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.
Oleh itu, kunci utama untuk mendapatkan rezeki daripada Allah ﷻ adalah dengan taqwa. Ini disokong dengan firman Allah ﷻ di dalam Talaq: 2-3; yang begitu popular sekali dengan jenama ‘Ayat 1000 dinar’ malah dijadikan sebagai poster dan perhiasan seringkali dibingkai indah dan digantung di dinding. Namun persoalannya: adakah mereka yang menggantungkan ayat ini di dinding premis mereka benar-benar mengamalkan apa yang dinyatakan dalam ayat ini?

Maka kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ untuk menambah rezeki kita, bukannya menjauhkan diri daripada Allah ﷻ. Belajarlah cara bagaimana untuk mencapai taqwa itu sepertimana Allah ﷻ kehendaki, bukan sekadar hanya menghafal dan membingkaikan ayat-ayat Allah ﷻ ini sekadar hiasan sahaja. Bukan itu caranya wahai manusia. Allah ﷻ sudah tentukan rezeki buat kita, maka jangan terlampau sibuk mengejar rezeki sampai keluarga dan ibadah terabai lalu persediaan untuk akhirat juga terabai. Lihatlah yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini رِزقًا لَّكُم yang bermakna rezeki itu sudah ditentukan buat kita. Pengajarannya jangan risau sangat bab rezeki kerana ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Selagi kita hidup, selagi itu rezeki akan mengalir buat kita. Bukanlah kita kata jangan bekerja pula, tetapi berpada-padalah. Jangan sibuk siang malam untuk dunia sampai lupa tentang akhirat.
Yakinlah yang Allah ﷻ tahu bagaimana memberi rezeki kepada kita. Ini akan kita yakin jikalau kita faham apa yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Dzariyaat: 58
إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ
Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.
وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ
dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya,
Kemudian Allah ﷻ beritahu jasa-Nya menundukkan bahtera untuk kita. Kalimah سَخَّرَ daripada katadasar س خ ر yang bermaksud mengejek; ketawakan; mempersendakan; ejekan; memandang rendah / memaksa bekerja tanpa bayaran; menjadikan sesuatu itu tunduk; memaksa beri perkhidmatan; abah-abah; meletakkan di bawah kawalan; menundukkan. Maksud ‘tunduk’ itu adalah kita boleh menggunakan bahtera itu untuk kegunaan kita. Allah ﷻ telah memudahkan untuk kita menggunakannya. Allah ﷻ yang memberikan ilham kepada kita bagaimana cara untuk membina kapal kemudian Allah ﷻ tundukkan kapal dan juga lautan untuk kita agar dapat menggunakannya untuk kemudahan kita. Dengan itu, mudahlah kita gunakan laluan laut untuk kita bermusafir dan berniaga.
Kalau kita meletakkan besi ke dalam air, tentu ia tenggelam bukan? Namun kenapakah apabila kapal besi yang amat besar, menanggung pula muatan bertan-tan itu tetapi boleh pula timbul? Kapal-kapal yang terapung menggunakan konsep daya keapungan (buoyancy force). Daya ini akan menolak kapal itu untuk kekal terapung di atas air. Konsep ini menggunakan prinsip fizik iaitu prinsip Archimedes yang ditemukan oleh Archimedes sendiri yang merupakan seorang ahli fizik yang terkenal. Apakah itu prinsip Archimedes? Prinsip ini menyatakan bahawa apabila sesuatu objek diletakkan ke dalam air atau bendalir, daya apungan yang menolak objek itu adalah sama dengan berat air atau bendalir yang disesarkan.
Namun itu hanyalah penjelasan dari sudut sains fizik. Dari sudut hakikatnya, hukum alam (fizik) ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukannya dan begitulah Allah ﷻ tundukkan air laut buat kita.
Mungkin kita tidak nampak kepentingan kapal ini kerana kita bukannya menaiki kapal hari-hari. Akan tetapi jasa kapal itu amatlah besar bagi kita kerana banyak keperluan kita dipenuhi dengan adanya pengangkutan kapal di laut. Bayangkan segala barang yang kita perlukan adalah dibawa dari negara yang jauh melalui jalan laut, sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Walaupun ada lagi cara pengangkutan lain, akan tetapi cara pengangkutan laut adalah cara yang paling ekonomik untuk penghantaran barangan sejak zaman berzaman.
Maka perhatikanlah nikmat kapal dan laut ini yang Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita seperti firman-Nya di dalam Luqman: 31
أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.
وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ
dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.
Lautan adalah jalan untuk pergi ke tempat-tempat yang jauh. Dalam negara kita juga ada laluan lain, iaitu laluan sungai. Kerana itulah Allah ﷻ sebut tentang sungai kerana ia telah digunakan sebagai cara pengangkutan di daratan. Kerana itulah tamadun, bandar dan komuniti zaman dahulu maju jikalau ia berdekatan dengan kawasan laluan sungai. Dengannya manusia dapat bergerak ke tempat-tempat yang lain untuk berniaga dan sebagainya. Sampai sekarang ia menjadi kaedah pengangkutan di kawasan pedalaman.
Hebatnya air sungai itu dari tempat yang tinggi turun ke tempat rendah dan sentiasa mengalir tanpa henti. Dengan air itu juga memberi sumber rezeki kepada kita untuk berniaga. Ia juga menjadi sumber makanan kerana ada yang menangkap ikan padanya. Kita juga dapat berehat di kawasan yang ada sungai kerana ia memang menyegarkan. Ia juga merupakan sumber bekalan air mentah. Ia juga berfungsi sebagai habitat penting flora dan fauna. Sekarang ia juga digunakan sebagai sumber tenaga kuasa elektrik serta boleh diperbaharui malah bertindak sebagai sistem saliran semula jadi.
Ibrahim Ayat 33: Ayat tentang ‘taskhir’ (penundukan) diteruskan.
وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمسَ وَالقَمَرَ دائِبَينِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And He subjected for you the sun and the moon, continuous [in orbit], and subjected for you the night and the day.
(MELAYU)
Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang.
وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمسَ وَالقَمَرَ
Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan
Allah ﷻ juga menundukkan matahari dan bulan untuk kita. Maksudnya kita boleh gunakan untuk kemudahan kita. Bukanlah bermaksud matahari dan bulan di bawah kawalan kita pula, tetapi Allah ﷻ tundukkan matahari dan bulan untuk berkhidmat bagi manusia. Manusia jadikan matahari dan bulan itu sebagai penanda waktu. Kalau kita gantung kalendar dan jam di dinding, Allah ﷻ gantung ‘kalendar’-Nya di langit. Kalendar bulanan adalah bulan dan jam menggunakan kedudukan matahari yang Allah ﷻ gantung di langit.
Dengan adanya matahari kita boleh menjemur pakaian kita, jemur makanan untuk dikeringkan, senang untuk kita bergerak di siang hari, menumbuhkan tanam-tanaman dan tentunya banyak lagi. Sinaran suria adalah penting untuk mengekalkan kehidupan di Bumi. Selain menjadi sumber utama haba di planet ini, ia membekalkan tenaga untuk fotosintesis tumbuhan dan organisma kloroplas lain dan mempengaruhi irama sirkadian makhluk hidup.
Dengan adanya bulan selain menjadi kalendar kita, ia juga menjadi lampu untuk kita bergerak di malam hari. Matahari adalah kehadiran pusat, sumber tenaga yang membolehkan kewujudan makhluk hidup di planet kita, tetapi Bulan juga memainkan peranan asas. Kehadirannya menstabilkan Bumi, yang jika ia tidak mempunyai satelit yang begitu besar, Bumi akan menari seperti gasing yang hampir jatuh.
دائِبَينِ
yang terus menerus beredar
Matahari dan bulan sentiasa bergerak mengikut orbit masing-masing. Kalimah دائِبَينِ daripada katadasar د ا ب yang bermaksud rajin; bersemangat; berusaha secara berterusan; menggesa; memandu; mengadakan laluan sendiri; bekerja keras secara berterusan; kebiasaan; adat; cara; kes; urusan; cara melakukan sesuatu; kerja. Matahari dan bulan tidak berhenti bergerak dan berputar walaupun sesaat, kerana Allah ﷻ tidak benarkan seperti di dalam firman-Nya:
لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan, dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.
(Yaasin: 40)
Namun bukanlah ia akan berterusan kerana nanti akan sampai satu masa kedua-duanya akan berlanggar satu sama lain.
Nota: Ini juga menjadi dalil yang bumi dan planet-planet tidaklah ‘pegun’ seperti yang diperkatakan oleh sesetengah orang.
Allah ﷻ menjadikan matahari dan bulan bergerak silih berganti supaya berlakunya siang dan malam buat kita. Kalau hanya ada malam sahaja susah, kalau siang sahaja pun susah kerana kita memerlukan siang dan malam silih berganti. Siang untuk bekerja dan malam untuk berehat.

Pergerakan matahari dan bulan ini sebagai satu lagi tanda kehebatan Allah ﷻ. Kedua-duanya adalah makhluk yang amat besar tetapi Allah ﷻ mampu mengawal pergerakannya tanpa lari sedikit pun daripada orbitnya. Ia telah berlangsung selama entah berapa ribu juta tahun kita pun tidak tahu. Pergerakannya sangat tepat sampaikan kita boleh menggunakannya sebagai kiraan masa dan juga sebagai panduan arah bagi pengembara di malam hari (kompas mungkin tiada atau rosak).
وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ
dan telah menundukkan bagimu malam dan siang.
Allah ﷻ tundukkan malam dan siang untuk kita juga. Malam adalah masa untuk berehat dan siang Allah ﷻ terangkan untuk memudahkan kita bekerja. Allah ﷻ yang menjadikan siang dan malam, bukan terjadi sendiri.

Apabila sesuatu direndahkan untuk kita gunakan, tentu kita lebih tinggi kedudukan daripadanya, bukan? Contohnya, kalau ada orang buat kerja-kerja ringan kita, itu adalah untuk memudahkan kita. Maknanya kita ada kerja yang lebih penting lagi, sampaikan kita susah untuk fikirkan benda-benda yang kecil. Ini sepertimana seorang ketua syarikat yang mempunyai pembantu peribadi untuk membuat kerja-kerja ringan kerana dia sendiri ada kerja yang lebih penting untuk dibuat.
Itu adalah perkara biasa dan itulah masanya kita memerlukan pembantu. Akan tetapi ia adalah salah seandainya semua perkara dilakukan untuk seseorang itu sedangkan dia sendiri tidak ada kerja penting untuk dilakukan.
Pengajaran daripada ayat ini, Allah ﷻ menjadikan alam ini di bawah kekuasaan kita dan kita boleh gunakan, kerana kita ada kerja yang lebih penting untuk kita lakukan: iaitu taat dan berkhidmat untuk Allah ﷻ sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu kenalah faham kepentingan Allah ﷻ berikan segala kemudahan untuk kita. Kita kena gunakan alam ini untuk memudahkan kita menjadi khalifah di bumi.
Ibrahim Ayat 34:
وَآتىٰكُم مِّن كُلِّ ما سَأَلتُموهُ ۚ وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها ۗ إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And He gave you from all you asked of Him.¹ And if you should count the favor [i.e., blessings] of Allāh, you could not enumerate them. Indeed, mankind is [generally] most unjust and ungrateful.²
- Something of what you asked and all of what you continually require, according to His wisdom.
- i.e., disbelieving and denying of Allāh’s favor.
(MELAYU)
Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).
وَآتىٰكُم مِّن كُلِّ ما سَأَلتُموهُ
Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya.
Allah ﷻ beritahu yang Dia beri apa sahaja yang kita minta. Akan tetapi adakah semua yang kita doa kepada-Nya setiap hari diberikan? Tentu tidak, bukan? Maknanya Allah ﷻ beri apa yang sesuai untuk diberikan kepada kita. Kadangkala kita minta sesuatu akan tetapi tidak diberikan kepada kita kerana ia tidak sesuai buat kita atau perkara itu belum sampai waktunya. Allah ﷻ lagi mengetahui apa yang kita perlu dan bilakah kita memerlukannya. Sebagai contoh kita minta dijadikan kaya raya, tetapi Allah ﷻ tidak beri kerana Allah ﷻ tahu yang kalau kita kaya raya, hanyut kita jadinya.
Kerana itu perlu diketahui bahawa setiap doa yang kita panjatkan, tidak semestinya dikabulkan mengikut keinginan kita. Boleh jadi, Allah ﷻ mengabulkannya dengan cara lain. Nabi ﷺ menjelaskan bahawa ada tiga bentuk pengabulan oleh Allah ﷻ terhadap doa para hambanya sebagaimana disebut dalam hadith berikut:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ
دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا
نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah ﷻ akan mengabulkannya dengan tiga cara;
(1). Allah akan mengabulkan doanya dengan segera,
(2). Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
(3). Allah akan memalingkan daripadanya keburukan seumpamanya.
Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ bersabda: “Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu.”
(HR Ahmad – Sahih)
Oleh kerana itu kita kena ingat yang kalau kita tidak dapat apa yang kita minta, mungkin Allah ﷻ beri yang lebih baik. Kita sahaja yang tidak tahu ia lebih baik tetapi Allah ﷻ yang Maha Tahu. Sebagai contoh, kita minta kaya tetapi Allah ﷻ beri keselamatan kepada kita, dan keselamatan itu lebih baik daripada kekayaan harta. Kita mungkin minta kesihatan, tetapi Allah ﷻ beri kita sakit kerana dengan sakit itu kita menjadi rapat dengan Allah ﷻ. Lihatlah juga bagaimana ibu Maryam berdoa supaya diberikan anak lelaki tetapi diberikan anak perempuan seperti disebut dalam Ali Imran: 36
فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ
Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan;
Allah ﷻ berikan anak perempuan kepada ibu Maryam dan kita pun tahu kedudukan Maryam yang mulia dan menjadi ibu pula kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka ini adalah contoh bagaimana Allah ﷻ beri yang lebih baik daripada apa yang kita minta.
Kalimah سَأَل boleh bermaksud ‘minta’, dan boleh juga bermaksud ‘perlukan’. Maknanya, perkara yang kita minta kepada Allah ﷻ ada dua peringkat. Ada permintaan kita yang kita sebut dan ada juga yang kita minta daripada perlakuan kita. Sebagai contoh kita hendak kenyang, maka kita makan. Waktu kita makan itu, tidaklah kita berdoa supaya kita kenyang, bukan? Namun perbuatan makan itu adalah usaha dan perbuatan kita untuk mengenyangkan perut kita. Begitu juga kalau kita bersenam untuk mengekalkan kesihatan kita. Tidaklah semasa kita bersenam itu kita berdoa supaya sihat, bukan? Namun itulah usaha kita untuk mengekalkan kesihatan kita. Antara perkara yang kita minta dan perkara yang kita hendak dan usahakan, yang kita hendak itulah yang lebih banyak Allah ﷻ telah berikan kepada kita.
Bukan semua keperluan kita diminta secara khusus. Ada orang yang minta sesuatu dan Allah ﷻ beri apa yang dia minta itu. Ada yang diperlukan (didambakan) oleh diri kita. Ini adalah kerana kehendak yang mendesak – seperti oksigen, air dan sebagainya. Ini kita tidak minta pun kepada Allah ﷻ supaya diberikan oksigen setiap hari, tetapi Allah ﷻ berikan kerana memang kita memerlukannya. Ini mengajar kita yang memang semua makhluk memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ pun – oleh itu semua permintaan dan pemenuhan desakan adalah daripada Allah ﷻ.
Ini penting untuk difahami, kerana kalau kita kata سَأَل itu hanya bermaksud ‘minta’ sahaja, nanti boleh dihujah: orang kafir tidak minta kepada Allah ﷻ pun – mereka minta kepada tuhan mereka. Namun sebenarnya walaupun mereka tidak minta, tetapi diri mereka sendiri ada menuntut daripada Allah ﷻ juga. Maknanya, mereka tetap memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ kerana mereka juga memerlukan keperluan hidup seperti oksigen, air dan sebagainya. Kalau bukan Allah ﷻ yang beri, siapa lagi yang beri?
وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya.
Allah ﷻ beritahu sekiranya mahu dihitung segala nikmat yang diberikan-Nya, kamu tidak akan terhitung. Kalaulah boleh kira pun, kita tidak boleh faham kepentingan sesuatu perkara itu. Sebagai contoh, salah satu nikmat yang kita boleh sedar, adalah nikmat boleh bercakap. Ini nampak macam biasa sahaja kerana ramai orang yang boleh bercakap. Namun itu pun ada banyak perkara yang terlibat yang kita tidak perasan pun. Kelebihan yang ada dalam kebolehan bercakap itu pun sudah hebat, bukan?
Selalunya kita terus cakap sahaja, tetapi kalau kita fikirkan, faham bahasa yang kita ucapkan itu pun sudah hebat. Kerana bukan senang sebenarnya untuk faham bahasa dan lenggok bahasa orang, bukan? Maka waktu bercakap itu, otak kita berpusing sentiasa, bukan? Dengan satu nikmat bercakap pun kita tidak dapat faham secara keseluruhannya kerana satu nikmat itu juga melibatkan nikmat-nikmat yang lain.
Maka Allah ﷻ beritahu terlampau banyak nikmat yang telah diberikan kepada kita, maka hendaklah kita menghargainya dengan bersyukur. Namun hendaklah belajar cara bersyukur dengan betul. Ini kita telah sentuh panjang lebar di dalam ayat Ibrahim: 7. Kalau kita bersyukur, maka kita akan selamat daripada azab seperti firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 147
ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kamu beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).
Maknanya yang dikenakan azab selama ini adalah kerana kita tidak bersyukur dengan sebenarnya. Namun begitulah hakikatnya ramai yang tidak bersyukur kepada Allah ﷻ.
إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ
Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari
Memang sudah terlalu banyak nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, cuma insan ini sifatnya لَظَلومٌ (sangat zalim) dan tidak menghargai nikmat (kufur nikmat). Kalimah ظَلومٌ itu adalah di dalam bentuk sighah mubalaghah (bersangatan) dan ditambah pula dengan huruf taukid (penekanan) ل itu. Maka mereka ini memang teruk betul. Mereka tidak fikirkan pun nikmat yang mereka sudah banyak mereka dapat. Mereka makan dan menggunakan segala nikmat yang Allah ﷻ berikan, tetapi mereka ingkar dengan arahan Allah ﷻ.
Kalimah كَفّارٌ itu bermaksud ‘kufur berkali-kali’, kerana ada syaddah di dalamnya. Ini juga di dalam bentuk sighah mubalaghah. Maknanya, bukan sekali atau sekali sekala sahaja mereka kufur, tapi banyak kali – selalu. Sentiasa sahaja kita tidak hargai nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita sepanjang masa. Namun mereka sentiasa melanggar arahan Allah ﷻ.
Jangan lupa yang kita semua ini akan ditanya tentang segala nikmat yang kita dapat semasa di dunia ini. Ini diingatkan di dalam Takathur: 8
ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan
Bukan hanya benda-benda besar sahaja akan ditanya, akan tetapi perkara-perkara kecil pun seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ لَيْلَةٍ فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَقَالَ مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ قَالَا الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا قُومُوا فَقَامُوا مَعَهُ فَأَتَى رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ قَالَتْ مَرْحَبًا وَأَهْلًا فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيْنَ فُلَانٌ قَالَتْ ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنْ الْمَاءِ إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي قَالَ فَانْطَلَقَ فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ فَقَالَ كُلُوا مِنْ هَذِهِ وَأَخَذَ الْمُدْيَةَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكَ وَالْحَلُوبَ فَذَبَحَ لَهُمْ فَأَكَلُوا مِنْ الشَّاةِ وَمِنْ ذَلِكَ الْعِذْقِ وَشَرِبُوا فَلَمَّا أَنْ شَبِعُوا وَرَوُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ الْجُوعُ ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
[Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah ﷺ pergi keluar rumah, tiba-tiba baginda bertemu dengan Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Lalu baginda bertanya: “Mengapa kalian keluar rumah malam-malam begini?” Mereka menjawab; ‘Kami lapar, ya Rasulullah! ‘ Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam Tangan-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti kalian. Marilah!” Mereka pergi mengikuti baginda ke rumah sahabat Anshar (Abu Haitsam bin At Taihan). Namun sayang dia tidak di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah ﷺ datang, dia mengucapkan; “Marhaban wa Ahlan (selamat datang).” Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Ke mana si Fulan (Abu Haitsam)?”‘ Isterinya menjawab; ‘Dia sedang mengambil air tawar untuk kami.’ Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah ﷺ berserta dua sahabat baginda, maka dia berkata; ‘Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia daripadaku hari ini, kerana kedatangan tetamu yang mulia.’ Lalu dia mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak, dan yang sudah masak betul. Katanya; ‘Silakan dimakan ini.’ Sambil dia mengambil pisau. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan disembelih yang lagi mempunyai susu.’ Maka dipotongnya seekor kambing, lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum. Setelah semuanya kenyang dan puas makan dan minum, Rasulullah ﷺ bersabda kepada Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam Tangan-Nya, kalian akan ditanya pada hari kiamat tentang nikmat yang kalian peroleh ini. Kalian keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini.’
(Sahih Muslim (3799))
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 16 Oktober 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

