Tafsir Surah Ibrahim Ayat 25 – 28 (Kalimah yang buruk)

Ibrahim Ayat 25: Dalam ayat sebelum ini telah diberi perumpamaan Kalimat yang baik seperti pokok yang baik. Kalau pokok itu baik, tentu buahnya banyak.

تُؤتي أُكُلَها كُلَّ حينٍ بِإِذنِ رَبِّها ۗ وَيَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It produces its fruit all the time, by permission of its Lord. And Allāh presents examples for the people that perhaps they will be reminded.

(MELAYU)

pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

 

تُؤتي أُكُلَها كُلَّ حينٍ بِإِذنِ رَبِّها

pohon itu diberikan rasanya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya.

Pokok yang baik itu berbuah setiap masa daripada hasil yang baik. Ini memberi isyarat kepada amalan baik seseorang yang baik itu akan keluar dengan banyak daripadanya. Amalan itu akan menjadi baik, berfaedah dan banyak. Ini adalah kerana amalan yang baik menjadikan banyak amalan yang baik lagi. Bila kita mula membuat amalan baik, ia akan menjadi pemangkin kepada amalan baik yang lebih baik – maknanya, kena mulakan buat amal dulu. Jangan terus fikirkan buat amalan yang banyak, tetapi mulalah buat sikit-sikit dan istiqamah dalam amalan yang sedikit itu. Kemudian tambah sedikit demi sedikit.

Menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan كُلَّ حينٍ ialah setiap pagi dan petang. Menurut pendapat lain, setiap bulan, sedangkan pendapat lainnya mengatakan setiap dua bulan. Pendapat lain menyebutkan setiap enam bulan, ada yang mengatakan setiap tujuh bulan, ada pula yang mengatakan setiap tahun.

Makna lahiriah konteks ayat menunjukkan bahawa perumpamaan orang mukmin sama dengan pohon yang selalu mengeluarkan buahnya setiap waktu, baik di musim panas mahu pun di musim dingin, siang dan malam hari. Begitu pula keadaan seorang mukmin, amal solehnya terus-menerus diangkat (ke langit) baginya, baik di tengah malam mahu pun di siang hari, setiap waktu.

Apabila dalaman kita baik, amalan luaran turut menjadi baik dan apa yang dibuat adalah baik belaka. Sampaikan kalau tidur pun boleh dapat pahala kerana buat dengan cara sunnah. Dalam tidur pun akan mendapat pahala kerana kita niat untuk rehat demi menguatkan badan untuk buat amalan kebaikan. Oleh itu, semua perbuatan mereka akan menghasilkan pahala sahaja. Itulah seperti pokok yang tidak bermusim – sentiasa keluarkan buah sahaja tidak kira waktu.

Semua itu pun dengan izin Tuhan juga. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang pimpin kita ke arah kebaikan, kita pun tidak mungkin mampu menjadi baik. Samalah seperti pokok yang mengeluarkan buah yang banyak itu pun kerana izin Allah ﷻ juga. Maka kalau kita dapat beramal dengan amalan yang baik-baik, itu pun kena bersyukur kepada Allah ﷻ kerana Dia yang benarkan dan pimpin kita.

 

وَيَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

Allah ﷻ gunakan contoh pokok untuk beri kita faham. Kerana kita semua dapat melihat pokok, maka bila kita lihat pokok, mudah untuk faham. Perumpamaan pokok itu memang tepat, kerana pokok ambil masa untuk menjadi besar – bukannya ditanam terus tumbuh tinggi, bukan?

Begitu juga kita, bukan terus menjadi baik. Proses pembaikan diri kita pun ambil masa juga, bukannya belajar, terus jadi baik. Begitulah juga para sahabat dahulu, mereka pun melalui proses pembaikan, bukan terus jadi baik. Nabi ﷺ pun ambil masa juga untuk beri petunjuk kepada mereka.

Namun jangan lupa, apabila sudah besar pun pokok itu, masih lagi pokok itu memerlukan air dan baja juga lagi. Begitulah juga dengan kita. Sebagaimana pokok sentiasa memerlukan air, maka kita pun sentiasa perlukan wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Walaupun sudah belajar tafsir Al-Qur’an, masih tetap kena tadabbur juga ayat-ayat Al-Qur’an itu selalu.


 

Ibrahim Ayat 26: Sekarang tentang kalimat yang buruk pula.

وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبيثَةٍ اجتُثَّت مِن فَوقِ الأَرضِ ما لَها مِن قَرارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the example of a bad word is like a bad tree, uprooted from the surface of the earth, not having any stability.

(MELAYU)

Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.

 

وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبيثَةٍ

Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk,

Sekarang tentang kalimah yang buruk pula – ini termasuk kalimah syirik, kata-kata ke arah akidah rosak, atau kata-kata yang tidak elok, kata-kata yang dosa, dan benda-benda lain yang tidak baik. Itulah kata-kata yang Allah ﷻ tidak suka dan merosakkan kita.

Allah ‎ ﷻ beri perumpamaan: kata-kata itu adalah seperti pokok yang buruk. Sebagai contoh, kita boleh bayangkan pokok berduri. Ada riwayat yang mengatakan ia adalah pokok Hanzal atau Colocynth.

Nota: potongan ayat ini dan sambung dengan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.

 

اجتُثَّت مِن فَوقِ الأَرضِ

yang tercabut dari permukaan bumi;

Ia adalah jenis pokok yang tidak ada akar yang kuat. Jenis pokok yang duduk atas tanah dan hanya tumbuh di permukaan bumi. Kalau pokok jenis begitu, memang tidak ada kekuatan. Apabila ditiup angin kuat sahaja sudah boleh tercabut macam pokok kacang cambah. Kalimah اجتُثَّت daripada katadasar ج ث ث yang bermaksud memotong; mencabut; tarik keluar; koyak. Ini adalah perumpamaan kepada akidah dan pegangan fahaman kafir, ia tidak mempunyai dasar yang kukuh dan oleh itu ia senang dipatahkan.

Keduanya, apabila ia rendah, dekat dengan tanah, maka ia senang untuk dicemari dengan kotoran tanah. Untuk pokok seperti kurma, ia tinggi maka ia selamat daripada gangguan dan kekotoran. Begitulah akidah orang kafir yang senang berubah-ubah kerana mendapat gangguan daripada kekotoran alam. Senang mengambil amalan dan akhlak yang buruk dari dunia luar. Lihatlah bagaimana homoseksual senang menyelinap masuk ke dalam agama Kristian contohnya, sampaikan ada paderi dalam kalangan gay dan perkahwinan sesama jenis dibenarkan di dalam agama itu. Mereka ini ikut sahaja kehendak nafsu manusia.

Ketiganya, buah hasil daripada pokok sebegini tidak ada nilai. Maka kerana itulah hasil daripada fahaman dan akidah yang sesat tidak ada nilai. Mereka menjadi orang yang tidak ada akhlak, mengganggu orang lain dan berlaku zalim kepada manusia.

 

ما لَها مِن قَرارٍ

tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.

Ia adalah pokok yang tidak tegap, tidak stabil. Tidak ada yang dapat menegakkannya. Senang dicabut malah dibuang orang kerana ia tanaman yang tidak ada manfaat. Ini isyarat kepada Musyrikin Mekah, mereka itu tidak ada apa-apa pun, tunggu masa untuk dibuang sahaja. Allah ‎ﷻ juga perli mereka dengan mengatakan mereka itu tidak ada apa, dan amat senang sahaja untuk dibuang. Yakni tidak ada landasan dan tidak ada keteguhan baginya.

Demikian pula halnya orang-orang kafir, mereka tidak mempunyai pokok, tidak pula cabang, tiada suatu amal pun daripadanya yang dinaikkan (diterima), dan tiada sesuatu pun yang diterima daripadanya.


 

KALIMAH YANG KUKUH

Ibrahim Ayat 27: Ini pula tentang kelebihan yang diberikan kepada orang yang beriman.

يُثَبِّتُ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا بِالقَولِ الثّابِتِ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللهُ الظّٰلِمينَ ۚ وَيَفعَلُ اللهُ ما يَشاءُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh keeps firm those who believe, with the firm word,¹ in worldly life and in the Hereafter.² And Allāh sends astray the wrongdoers. And Allāh does what He wills.

  • The testimony that there is no deity except Allāh and that Muḥammad () is the messenger of Allāh.
  • When questioned in their graves by the angels after death.

(MELAYU)

Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah buat apa yang Dia kehendaki.

 

يُثَبِّتُ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا بِالقَولِ الثّابِتِ

Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu

Kepada mereka yang beriman dengan kalimah Tauhid itu, Allah ‎ﷻ akan beri keteguhan hati kepada mereka. Ini dinamakan Robtul Qalbi (ikatan hati) di mana hati mereka tidak goyah lagi dan tetap atas iman, walau apa pun yang terjadi. Syaratnya adalah mereka bukan sahaja menyebut, tetapi memahami dan mengamalkannya. Keteguhan inilah yang kita dambakan seperti yang disebut di dalam hadith,

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، أَخْبَرَنِي عَلْقَمَةُ بْنُ مَرْثَد قَالَ: سَمِعْتُ سَعْدَ بْنَ عُبَيْدَةَ، عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “اَلْمُسْلِمُ إِذَا سُئِلَ فِي الْقَبْرِ، شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ}
Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abul Walid, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, telah menceritakan kepadaku Alqamah ibnu Marsad; dia pernah mendengar Sa’d ibnu Ubaidah menceritakan hadith daripada Al-Barra ibnu Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Orang Muslim apabila ditanya di dalam kuburnya, dia mengemukakan persaksian bahawa tidak ada Tuhan selain Allah‎ ﷻ, dan bahawa Muhammad ﷺ adalah utusan Allah‎ ﷻ. Yang demikian itu adalah firman-Nya, “Allah ‎meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat” (Ibrahim: 27).
(Sahih Bukhari (4699))

Beginilah yang dialami seperti Bilal bin Rabah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tetap teguh imannya walaupun diseksa dengan dihempap batu di atas dadanya di tengah panas terik; begitulah juga tetap teguhnya hati Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda sedang menyembunyikan diri bersama Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ di dalam Gua Thur. Baginda telah menenangkan Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang ketakutan waktu itu seperti disebut dalam Tawbah: 40

إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا
di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”.

 

فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ

dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; 

Mereka yang beriman itu akan ditetapkan di dunia dan akhirat. Allah ‎ﷻ akan teguhkan mereka di dunia dan akhirat. Di dunia lagi mereka sudah diberikan ketetapan hati di atas iman yang tidak boleh digoyah. Mereka hidup dengan tenang sahaja di dunia ini kerana mereka redha dengan ketentuan daripada Allah ﷻ.

Bukan sahaja di dunia tetapi lebih penting lagi di akhirat. Keteguhan di akhirat lebih penting dari dunia kerana akhirat itu lebih lama. Malangnya ramai antara kita lebih mementingkan dunia daripada akhirat kerana tidak nampak kepentingan akhirat. Lalu bagaimana ketetapan itu diberikan semasa di akhirat?

Ia bermula bermula daripada mereka hampir hendak mati lagi. Mudah sahaja mereka mengucapkan kalimah Tauhid kerana itu memang telah sebati dengan diri mereka. Mereka tidak takut menghadapi kematian kerana mereka yakin yang mereka telah melakukan yang terbaik semasa mereka hidup di dunia ini. Sebab maut itu dipandangnya hanya perpindahan daripada hidup yang sempit ini kepada hidup yang lebih lapang, iaitu hidup untuk bertemu dengan Tuhan. Tuhan yang telah diakuinya dengan segenap jiwa raganya dan pengorbanannya.

Kemudian apabila mereka ditanya di dalam kubur oleh dua malaikat, mereka akan dapat jawab kerana mereka telah beriman dan beramal soleh semasa di dunia lagi. Sedangkan keadaan itu pastinya amat menakutkan kepada manusia, bukan? Rasulullah ﷺ telah membayangkan keadaan di dalam kubur itu nanti seperti disebut di dalam banyak hadith, antaranya,

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جَنَازَةِ رَجُلٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فَانْتَهَيْنَا إِلَى الْقَبْرِ وَلَمَّا يُلْحَدْ فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَلَسْنَا حَوْلَهُ كَأَنَّمَا عَلَى رُءُوسِنَا الطَّيْرُ وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فِي الْأَرْضِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ هَاهُنَا وَقَالَ وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ يَا هَذَا مَنْ رَبُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَنْ نَبِيُّكَ قَالَ هَنَّادٌ قَالَ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ رَبِّيَ اللَّهُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ دِينِيَ الْإِسْلَامُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ قَالَ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولَانِ وَمَا يُدْرِيكَ فَيَقُولُ قَرَأْتُ كِتَابَ اللَّهِ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ فَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ { يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا } الْآيَةُ ثُمَّ اتَّفَقَا قَالَ فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ قَدْ صَدَقَ عَبْدِي فَأَفْرِشُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى الْجَنَّةِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا قَالَ وَيُفْتَحُ لَهُ فِيهَا مَدَّ بَصَرِهِ قَالَ وَإِنَّ الْكَافِرَ فَذَكَرَ مَوْتَهُ قَالَ وَتُعَادُ رُوحُهُ فِي جَسَدِهِ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ كَذَبَ فَأَفْرِشُوهُ مِنْ النَّارِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ النَّارِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى النَّارِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ حَرِّهَا وَسَمُومِهَا قَالَ وَيُضَيَّقُ عَلَيْهِ قَبْرُهُ حَتَّى تَخْتَلِفَ فِيهِ أَضْلَاعُهُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ قَالَ ثُمَّ يُقَيَّضُ لَهُ أَعْمَى أَبْكَمُ مَعَهُ مِرْزَبَّةٌ مِنْ حَدِيدٍ لَوْ ضُرِبَ بِهَا جَبَلٌ لَصَارَ تُرَابًا قَالَ فَيَضْرِبُهُ بِهَا ضَرْبَةً يَسْمَعُهَا مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ فَيَصِيرُ تُرَابًا قَالَ ثُمَّ تُعَادُ فِيهِ
Daripada Al Bara bin Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, “Kami bersama Rasulullah ﷺ keluar untuk melihat jenazah seorang lelaki Ansar, kami pun tiba di perkuburan. Ketika lubang lahad telah dibuat, Rasulullah ﷺ duduk, lalu kami ikut duduk di sisinya. Kami diam, seakan-akan di atas kepala kami ada burung. Saat itu baginda memegang sebatang kayu yang ditancapkan ke dalam tanah, baginda lalu mengangkat kepalanya dan bersabda:
“Mintalah perlindungan kepada Allah daripada seksa kubur.” Baginda ucapkan kalimat itu hingga dua atau tiga kali. Demikianlah tambahan dalam hadith Jarir.
Baginda menyambung: “Sungguh, mayat itu akan dapat mendengar bunyi tapak selipar mereka ketika berpaling pulang; iaitu ketika ditanyakan kepadanya, ‘Wahai orang yang ditanya ini,
Siapa Rabbmu?
Apa agamamu?
 Dan siapa Nabimu?’
-Hannad menyebutkan; Baginda bersabda: – “lalu ada dua malaikat mendatanginya kemudian mendudukkannya. Malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” Dia menjawab, “Rabbku adalah Allah.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Apa agamamu?” Dia menjawab, “Agamaku adalah Islam.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki ini yang diutus kepada kamu semua?” Dia menjawab, “Dia adalah Rasulullah ﷺ.” malaikat itu bertanya lagi,
“Apa (cara yang kamu lakukan sehingga) kamu ketahui (cara untuk menjawab soalan tadi)?” Dia menjawab,
“Aku membaca Kitabullah, aku beriman (mempelajari) dengannya dan membenarkannya (menyebarkannya).”
Dalam hadith Jarir menambahkan, “Maka inilah makna firman Allah:
“Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman…” hingga akhir ayat Ibrahim: 27

Kemudian kedua perawi sepakat pada lafaz, “Baginda bersabda: “Kemudian ada suara dari langit yang menyeru, “Benarlah apa yang dikatakan oleh hamba-Ku, hamparkanlah permadani untuknya di syurga, bukakan untuknya pintu-pintu syurga dan berikan kepadanya pakaian syurga.” baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya wewangian syurga, lalu kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.”
Baginda melanjutkan:
“Jika yang meninggal adalah orang kafir, maka rohnya akan dikembalikan kepada jasadnya. Saat itu datanglah dua malaikat seraya mendudukkannya. Kedua malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” Dia menjawab, “Hah, hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya,
“Apa agamamu?” Dia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki yang diutus kepada kalian ini? ‘ ia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.”
Setelah itu terdengar suara dari langit: “Dia telah berdusta. Berilah dia hamparan permaidani dari neraka, berikan pakaian dari neraka, dan bukakanlah pintu-pintu neraka untuknya.” Baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya panas dan baunya neraka. Lalu kuburnya disempitkan hingga tulangnya saling berhimpitan.”
Dalam hadith Jarir ditambahkan,
“Baginda bersabda: “Lalu dia dibelenggu dalam keadaan buta dan bisu. Dan baginya disediakan sebuah pemukul daripada besi, sekiranya pemukul itu dipukulkan pada sebuah gunung nescaya akan menjadi debu.” Baginda melanjutkan:
“Lelaki kafir itu kemudian dipukul dengan pemukul tersebut hingga suaranya dapat didengar oleh semua makhluk; dari hujung timur hingga ujung barat -kecuali jin dan manusia- hingga menjadi debu.” Baginda meneruskan ceritanya: “Setelah itu, rohnya dikembalikan lagi.”
(H.R. Abu Daud Kitab as Sunnah fil Mas-alati fil Qabri wa ‘Azabil Qabri)

Jadi ini adalah antara dalil adanya nikmat alam kubur iaitu mereka akan diberikan dengan keteguran menjawab soalan di dalam kubur. Kalau dapat jawab dengan mantap, maka apa yang datang selepas itu adalah nikmat belaka. Begitulah keadaan orang yang mempelajari agamanya dengan benar dan balasannya Allah ‎ﷻ beri keteguhan hati kepada mereka. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita dan beri keteguhan kepada kita nanti dari alam kubur dan tentunya sehingga Mahsyar dan juga masuk ke dalam Syurga. Aameen.

Kerana itulah antara doa yang baik kita minta apabila berada pada jenazah yang baru dikuburkan adalah mendoakan semoga simati diberikan ketetapan hati seperti yang disebut di dalam satu hadith,

عن عثمان بن عفان قال
كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا فرغ من دفن الميت وقف عليه فقال استغفروا لأخيكم وسلوا له بالتثبيت فإنه الآن يسأل
Daripada Uthman bin ‘Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata; Nabi ﷺ apabila setelah selesai menguburkan mayit baginda bersabda, “Mintakanlah keampunan untuk saudara kalian, dan mohonkanlah keteguhan untuknya, kerana sesungguhnya sekarang dia sedang ditanya.”
(Sunan Abu Dawud (2804) dengan sanad yang sahih)

Maka, kita boleh berdoa begini,

اللهم ثَبِّتهُ عِندَ السُّؤَال
Ya Allah berilah ketetapan kepadanya ketika disoal

 

وَيُضِلُّ اللهُ الظّٰلِمينَ

dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim

Sedangkan orang yang zalim akan disesatkan oleh Allah ‎ﷻ. Bukan Allah ‎ ﷻ yang hendak mereka sesat dari awal lagi (jangan kita silap faham pula). Akan tetapi Allah ‎ ﷻ membuat keputusan untuk sesatkan mereka setelah mereka sendiri menutup pintu hati mereka dan mereka tetap menentang pendakwah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi.

Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik. Bid’ah itu adalah sesuatu yang amat luas. Antara perkara bid’ah yang dilakukan dalam agama boleh termasuk dalam perkara berdosa, ada yang berdosa besar, malah ada juga yang termasuk dalam perkara syirik pun. Maka, ia ada banyak peringkat. Sekiranya bid’ah yang mereka buat itu dalam hal akidah, maka boleh menjadi syirik; jikalau dalam hal amalan, maka ia berdosa.

Kezaliman yang paling besar, ialah kezaliman syirik. Ini seperti disebut dalam Luqman: 13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Secara umumnya, zalim itu ada tiga jenis:

1. Zalim Akbar iaitu Syirik seperti ayat Luqman: 13 di atas.

2. Zalim kepada orang lain dengan tidak memberi haq mereka, atau menindas mereka dan sebagainya.

3. Zalim kepada diri sendiri dengan tidak mengikut arahan agama seperti disebut dalam Fatir: 32

فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ
lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri

Jangan kita buat mana-mana kezaliman pun kerana ia akan menyusahkan kita di akhirat kelak terutama sekali Zalim Akbar itu.

Di dalam ayat ini kita diberitahu yang Allah ﷻ sesatkan mereka yang zalim. Namun kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk tutup hati mereka daripada terima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, mak bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi dia memilih untuk beriman dan membersihkan hatinya daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Maka di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

وَيَفعَلُ اللهُ ما يَشاءُ

dan Allah buat apa yang Dia kehendaki.

Apabila Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk menyesatkan sesiapa, tidak ada sesiapa lagi yang boleh beri hidayah kepada orang itu. Ini adalah keputusan Allah ‎ ﷻ dan tidak ada yang boleh mempersoalkan-Nya. Mana yang Dia hendak masukkan ke dalam neraka, Dia boleh masukkan; mana yang Dia hendak masukkan ke dalam syurga, Dia akan masukkan.

Meskipun Allah ﷻ berbuat apa yang Dia kehendaki, namun sekali-kali tidaklah keluar daripada landasan adil dan patut, sekali-kali tidak Dia melakukan kehendak-Nya dengan aniaya, cuma insan jualah yang selalu zalim (aniaya) akan dirinya sendiri. Kita kena yakin yang Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan melakukan kezaliman.

 


 

BALASAN KEPADA ORANG YANG KUFUR NIKMAT

Ibrahim Ayat 28: Ini adalah Peristiwa Kelima di dalam surah ini dan ia memperkatakan tentang Akhirat. Ayat ini sehingga ke ayat 34 adalah Perenggan Makro ke 6. Ia adalah berkenaan ancaman azab jika tidak bersyukur. Diberitahu di sini yang kaum yang menukar atau membalas nikmat Allah‎ ﷻ dengan kekufuran akan dimasukkan ke tempat yang buruk iaitu Neraka Jahannam.

۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ بَدَّلوا نِعمَتَ اللهِ كُفرًا وَأَحَلّوا قَومَهُم دارَ البَوَارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered those who exchanged the favor of Allāh for disbelief¹ and settled their people [in] the home of ruin?

  • They met Allāh’s blessing with denial instead of gratitude.

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?,

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ بَدَّلوا نِعمَتَ اللهِ كُفرًا

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran

Ini tentang orang Quraish Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ.

ابْنَ عَبَّاسٍ، ‏{‏أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَةَ اللَّهِ كُفْرًا‏}‏ قَالَ هُمْ كُفَّارُ أَهْلِ مَكَّةَ‏.‏
Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata sehubungan dengan makna firman Allah ‎ﷻ: Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah ‎dengan kekafiran. (Ibrahim: 28). Bahawa mereka adalah orang-orang kafir penduduk kota Mekah.
(Sahih Bukhari (4700))

Ini adalah kerana merekalah yang telah menukar nikmat keimanan dengan kekufuran. Seperti yang kita tahu, Musyrikin Mekah telah mendapat banyak nikmat, tetapi mereka tukar nikmat itu yang telah menjadi sebab kepada kekufuran mereka. Mereka berasa selesa kerana dapat duduk senang di kawasan yang tidak senang sepatutnya (padang pasir, tiada air dan tumbuh-tumbuhan), tetapi tempat itu menjadi senang dan mewah kerana ada Ka’bah di situ. Nikmat yang diberikan itu pun adalah kerana doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang akan disebut dalam ayat 35 nanti.

Oleh kerana itu, mereka tinggal dengan aman di situ, makanan senang datang, pergi mana-mana pun orang hormat tidak berani kacau (kerana orang Arab lain hormat dan takut kepada mereka kerana mereka penjaga Ka’bah dan berhala di Mekah). Begitulah Allah ‎ﷻ telah pelihara mereka. Sepatutnya mereka jadikan itu sebagai sebab untuk mereka beriman kepada agama tauhid. Namun apabila Nabi Muhammad ﷺ dibangkitkan menjadi Rasul mereka, mereka tolak baginda mentah-mentah.

Akan tetapi jangan kita hadkan kepada Musyrikin Mekah sahaja kerana kita kena bandingkan kesalahan mereka dengan kita. Sekiranya kita pun sama sahaja fahaman, akidah dan amalan seperti mereka, maka kita pun samalah sahaja dengan mereka dan akan mendapat nasib yang sama dengan mereka. Contoh-contoh kaum yang Allah ﷻ berikan di dalam Al-Qur’an seperti golongan Yahudi, Kristian, Musyrikin Mekah dan lain-lain itu adalah sebagai contoh bandingan bagi kita untuk mengambil pelajaran dari mereka.

Nikmat yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini boleh terdiri daripada dua jenis, iaitu nikmat keduniaan seperti harta, pakaian, kesihatan dan sebagainya dan juga boleh jadi nikmat rohani seperti wahyu Al-Qur’an, Rasulullah, hidayah dan sebagainya. Kerana semua nikmat itu adalah daripada Allah ﷻ dan apabila Allah ﷻ beri nikmat maka kita mestilah menggunakan segala nikmat itu ke arah kebaikan. Sekiranya kita tidak ambil peluang, maka kita yang bersalah dan rugi serugi-ruginya. Allah ﷻ sebut nikmat dibangkitkan Rasulullah ﷺ dalam kalangan umat Mekah itu di dalam Ali Imran: 164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Nikmat Al-Qur’an yang diberikan kepada mereka juga disebut dalam Baqarah: 231

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ
Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya.

Akan tetapi manusia menolak dua nikmat yang amat besar ini bermula dengan Musyrikin Mekah itu. Sampai sekarang ramai yang tidak mengendahkan dua nikmat yang Allah ﷻ berikan ini. Ramai yang tidak ikut pun Sunnah Rasulullah ﷺ sebaliknya mereka reka amalan-amalan baru. Tentang Al-Qur’an pula, majoriti umat Islam tidak mengendahkannya. Amalan Sunnah ditukar dengan amalan bid’ah, Al-Qur’an ditukar dengan ajaran daripada kata-kata manusia. Maknanya masyarakat kita pun telah menukar nikmat Allah ﷻ dengan perkara yang lain.

Begitu juga kalau kita baca Al-Qur’an tetapi langsung tidak faham apa yang dibaca. Bacaan Al-Qur’an sekadar bacaan sahajalah, tanpa diambil pengajaran daripadanya. Segala larangan dan ancaman Allah ﷻ dilanggar begitu sahaja tanpa rasa bersalah. Ramai juga menghafalnya, namun setakat hafal sahajalah, bagaikan si burung kakak tua. Lebih teruk lagi disalahgunakan menjadi ayat pengasih, azimat, pendinding dan dijadikan sebagai perhiasan ditampal di dinding, dalam kenderaan pun ada. Diajar dan disebarkan pula oleh para ustaz dan ustazah jadian serta selebriti dan pempengaruh di dalam Tiktok. Khatam berkali-kali sekadar adat. Malah dibanggakan pula sehingga diadakan Majlis Khatam Perdana di seluruh peringkat, dari peringkat sekolah anak-anak sehingga lah ke peringkat datuk nenek yang sudah pencen. Sayang sekali apabila ayat-ayat Allah ﷻ ini dialun begitu indah serta dilagukan mendayu-dayu namun maknanya tidak pula difahami apatah lagi untuk sampai ke jiwa dan hati yang mendengarnya. Begitulah situasi umat Islam kita yang cukup parah pada hari ini dalam menukar nikmat Allah ﷻ yang satu ini.

وَأَحَلّوا قَومَهُم دارَ البَوَارِ

dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?,

Oleh kerana itu, mereka telah membawa kemusnahan ke atas diri mereka sendiri. Mereka sendiri yang menghalalkan diri mereka ke dalam lembah kebinasaan. Kalimah أَحَلّو daripada katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; mengubah kedudukan; membenarkan. Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Maka sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

Kalimah البَوَارِ pula daripada katadasar ب و ر yang bermaksud binasa, menjadi pupus, musnah, menjadi buruk/rosak, merosakkan, dalam keadaan binasa/memudaratkan/kekurangan, tidak berkesan, jumud/kusam, tidak dicari/diingini. Maknanya mereka menurunkan atau menjatuhkan musibah kerosakan kepada kaum mereka. Itulah azab yang diberikan kepada mereka. Walaupun surah ini diturunkan di Mekah ketika Islam lemah lagi kedudukannya, tetapi ia sudah membayangkan kehancuran Musyrikin Mekah dan kemenangan umat Islam bermula Perang Badr dan berakhir dengan kemenangan Pembukaan Kota Mekah nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Januari 2025

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment