Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 30 – 31 (Permintaan Mukjizat Musyrikin Mekah)

Ra’d Ayat 30: Bermula ayat ini sehingga ke hujung surah ini (ayat 43) adalah Perenggan Makro ke 3. Ia menceritakan kesudahan kepada mereka yang beriman. Pertamanya Allah ﷻ beri semangat kepada Rasulullah ﷺ.

كَذٰلِكَ أَرسَلنٰكَ في أُمَّةٍ قَد خَلَت مِن قَبلِها أُمَمٌ لِّتَتلُوَ عَلَيهِمُ الَّذي أَوحَينا إِلَيكَ وَهُم يَكفُرونَ بِالرَّحمٰنِ ۚ قُل هُوَ رَبّي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ مَتابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thus have We sent you to a community before which [other] communities have passed on so you might recite to them that which We revealed to you, while they disbelieve in the Most Merciful. Say, “He is my Lord; there is no deity except Him. Upon Him I rely, and to Him is my return.”

(MALAY)

Demikianlah, Kami telah mengutus kamu pada suatu umat yang sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumnya, supaya kamu membacakan kepada mereka (Al Qur’an) yang Kami wahyukan kepadamu, padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. Katakanlah: “Dialah Tuhanku tidak ada Tuhan selain Dia; hanya kepada-Nya aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku pulang”.

 

كَذٰلِكَ أَرسَلنٰكَ في أُمَّةٍ

Demikianlah, Kami telah mengutus kamu pada suatu umat

Kalimah كَذٰلِكَ dalam ayat ini boleh diterjemahkan begini: “bagi kesempurnaan itulah”. Untuk mencapai kesempurnaan agama ini, Allah ﷻ telah memilih Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul untuk umat akhir zaman. Kita sekarang inilah umat Nabi Muhammad ﷺ yang juga umat akhir zaman. Tidak ada lagi umat selepas kita.

 

قَد خَلَت مِن قَبلِها أُمَمٌ

sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumnya, 

Sudah ada banyak umat sebelum Nabi Muhammad ﷺ dan umat baginda. Memang kita umat yang terakhir dan tentunya entah berapa banyak umat sebelum kita yang telah berlalu zaman berzaman. Oleh itu, kita kena belajar daripada apa yang telah dilakukan oleh umat-umat terdahulu.

Ramai daripada mereka itu dulu yang telah kufur. Walaupun mereka sudah mendapat rahmat daripada Allah ﷻ, namun mereka masih tidak beriman juga. Maka Allah ﷻ mengambil semula rahmat daripada mereka. Maknanya, rahmat boleh diberi dan boleh ditarik balik.

 

لِّتَتلُوَ عَلَيهِمُ الَّذي أَوحَينا إِلَيكَ

supaya kamu membacakan kepada mereka (Al Qur’an) yang Kami wahyukan kepadamu, 

Rasulullah ﷺ telah dibekalkan dengan Al-Qur’an ini. Tujuan Nabi Muhammad ﷺ diutuskan kepada umat ini adalah untuk menyampaikan wahyu Al-Qur’an kepada mereka. Lihatlah Allah ﷻ sebut Al-Qur’an dan berkali-kali disebut tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia adalah sumber ilmu utama yang kita ada. Namun malangnya ramai yang buat tidak tahu sahaja tentang ilmu pengajian tafsir Al-Qur’an. Maka ramai yang setakat baca sahaja Al-Qur’an ini, tetapi tidak memahaminya.

 

وَهُم يَكفُرونَ بِالرَّحمٰنِ

padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. 

Golongan musyrik itu bukan tidak kenal Allah ﷻ, tetapi bila disebut nama ar-Rahman, mereka buat-buat tidak tahu. Mereka kata: “Beritahu kami siapakah ar-Rahman itu? Sebab kami tak kenal.” Allah ﷻ menggunakan nama-Nya ar-Rahman untuk mengingatkan semua manusia bahawa Dialah yang telah memberikan segala macam nikmat kepada makhluk. Mereka kenal nama Allah ﷻ, sekarang diberitahu yang Dialah juga ar-Rahman.

Musyrikin Mekah menolak penyebutan Allah ﷻ dengan sifat Rahman dan Rahim-Nya. Dalam perjanjian Hudaibiyah mereka menolak menulis kalimat Bismillahir Rahmanir Rahim, dan mereka mengatakan, “Kami tidak mengenal Rahman dan Rahim” Demikianlah yang dikatakan oleh Qatadah, sedangkan hadith mengenainya berada di dalam kitab Sahih Bukhari. Padahal Allah ﷻ telah berfirman di dalam Kitab-Nya:

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى
Katakanlah, “Serulah Allah, atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kalian seru, Dia mempunyai al-asma-ul husna (nama-nama yang terbaik).
(Al-Isra: 110)

 

قُل هُوَ رَبّي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Katakanlah: “Dialah Tuhanku tidak ada Tuhan selain Dia; 

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ beritahu umat yang selain Allah ﷻ, tidak ada ilah lain, tidak ada tempat harapan lain lagi. Ini adalah ayat tauhid yang mengingatkan kita bahawa tidak boleh memuja selain Dia. Maka jangan berputus asa dalam dakwah. Apabila ada penolakan, jangan hiraukan mereka, teruskan kerja!

Kesimpulannya di dalam ayat ini tergabung tiga rukun Tauhid iaitu Tauhid Rububiyyah (رَبّي), Uluhiyyah (لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ) dan Asma wa Sifat (الرَّحمٰنِ).

 

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ

hanya kepada-Nya aku bertawakal 

Beritahu kepada umat baginda yang hanya kepada Allah ﷻ sahaja baginda menyerah diri dan bertawakal. Maka umat baginda pun kena juga ikut baginda tawakal hanya kepada Allah ﷻ sahaja.

Ini mengingatkan kita supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau kita benar-benar beriman. Tidak ada cara lain. Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam satu hadis,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan orang-orang pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Dari [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh darinya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431))
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Bukan itu sahaja, kita haruslah faham apa maksud tawakal. Bukan setakat menyerah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Akan tetapi kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ. Kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan kesannya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ‎ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

 

وَإِلَيهِ مَتابِ

dan hanya kepada-Nya aku pulang”.

Kepada-Nya tempat baginda akan kembali. Segala ibadah diserahkan kepada Allah ﷻ. Segala permintaan diserahkan kepada Allah ﷻ. Akhirnya kita semua akan kembali bertemu Allah ﷻ dan kita akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan kita.


 

Ra’d Ayat 31: Ayat zajrun dan syikayah. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa wahyu Al-Qur’an ini hebat. Namun Musyrikin Mekah telah meminta perkara yang tidak patut kepada Rasulullah ﷺ.

وَلَو أَنَّ قُرآنًا سُيِّرَت بِهِ الجِبالُ أَو قُطِّعَت بِهِ الأَرضُ أَو كُلِّمَ بِهِ المَوتىٰ ۗ بَل لِّلِهِ الأَمرُ جَميعًا ۗ أَفَلَم يَاْيئَسِ الَّذينَ ءآمَنوا أَن لَّو يَشاءُ اللهُ لَهَدَى النّاسَ جَميعًا ۗ وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا تُصيبُهُم بِما صَنَعوا قارِعَةٌ أَو تَحُلُّ قَريبًا مِّن دارِهِم حَتّىٰ يَأتِيَ وَعدُ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if there was any qur’ān [i.e., recitation] by which the mountains would be removed or the earth would be broken apart or the dead would be made to speak,¹ [it would be this Qur’ān], but to Allāh belongs the affair entirely. Then have those who believed not accepted that had Allāh willed, He would have guided the people, all of them? And those who disbelieve do not cease to be struck, for what they have done, by calamity – or it will descend near their home – until there comes the promise of Allāh. Indeed, Allāh does not fail in [His] promise.

  • As suggested by the disbelievers.

(MALAY)

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digerakkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah Al Qur’an itulah dia). Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahawa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya. Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, sehingga datanglah janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.

 

وَلَو أَنَّ قُرآنًا سُيِّرَت بِهِ الجِبالُ

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digerakkan

Kalaulah ada bacaan yang dengannya gunung boleh bergerak. Kalimah قُرآنًا adalah dalam bentuk nakirah (umum) maka ia bukan sahaja merujuk kepada Al-Qur’an, tetapi juga merujuk kepada kitab-kitab sebelum ini. Ini kerana kalimah قُرآنًا daripada katadasar ق ر ا yang bermaksud membaca; membaca sesuatu yang tertulis; membacakan; mengisytiharkan; menyampaikan; panggilan; berlatih; menghantar; menyampaikan; untuk mengumpul bersama; mengatur; haidh. Oleh itu kalimah قُرآنًا bemaksud sesuatu yang dibaca dan juga bermaksud mengumpulkan. Kesemua kitab-kitab dahulu (bukan Al-Qur’an sahaja) juga dibaca dan terkumpul di dalamnya hukum hakam.

Ayat ini adalah jawapan kepada permintaan kurang ajar Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka mencabar baginda keluarkan mukjizat yang boleh menyebabkan gunung ganang dan bukit bukau di Mekah itu diratakan supaya mereka bercucuk tanam. Kerana mereka kata tanah di Mekah itu sedikit, banyaknya bukit bukau dan gunung ganang. Maka kalau benar baginda seorang Nabi, maka ubahlah kedudukan gunung ganang itu.

Mereka ulang ayat Al-Qur’an yang mengatakan gunung ganang bertasbih bersama Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka takkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak boleh kawal gunung ganang itu? Ini seperti disebut dalam Sad: 18

إِنّا سَخَّرنَا الجِبالَ مَعَهُ يُسَبِّحنَ بِالعَشِيِّ وَالإِشراقِ
Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi,

Maka Allah ﷻ jawab permintaan mereka ini. Kalau ada mana-mana kitab yang dibaca boleh melakukannya, Al-Qur’an lah sahaja yang boleh melakukannya. Di sini Allah ﷻ beritahu bahawa memang benar kesan Al-Qur’an ini sebenarnya boleh mencabut gunung ganang kerana takutnya mereka dengan Allah ﷻ. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam Hashr: 21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ
Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Memang sudah terbukti hebatnya Al-Qur’an itu mengubah hidup manusia dan pola kerajaan di dunia. Bayangkan dengan pengajaran daripada Al-Qur’an ini, dua kerajaan besar pada waktu itu iaitu Rom dan Parsi telah tunduk kepada umat Islam. Asalnya mereka itu duduk di padang pasir dan tidak dipandang pun oleh dua tamadun dunia itu.

 

أَو قُطِّعَت بِهِ الأَرضُ

atau bumi jadi terbelah dengan bacaan Al-Qur’an itu

Permintaan kurang ajar yang kedua daripada golongan Musyrikin Mekah itu adalah supaya baginda memudahkan perjalanan mereka ke Syam dan Yaman. Kerana mereka kata baginda sendiri pernah beritahu yang Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh menguasai angin dan memperjalankan baginda dengan laju. Ini seperti disebut dalam Saba’: 12

وَلِسُلَيمٰنَ الرّيحَ غُدُوُّها شَهرٌ وَرَواحُها شَهرٌ
Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman, yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanannya di waktu petang sama dengan perjalanan sebulan

Mereka minta baginda membelah bumi agar dapat mendekatkan perjalanan mereka. Ini sepertimana ada sesetengah orang yang beramal sesat kononnya sampai boleh ‘belah bumi’ dan boleh bergerak dengan cepat ke tempat lain. Maka Allah ﷻ jawab boleh sahaja kalau Allah ﷻ hendak lakukan dengan Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an itu telah terbelahnya bumi yang asalnya dikuasai oleh golongan kafir tetapi telah terbelah menjadi bahagian negara yang Muslim dan ada sebahagian yang kafir.

 

أَو كُلِّمَ بِهِ المَوتىٰ

atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara,

Cabaran ketiga daripada Musyrikin Mekah adalah supaya Nabi Muhammad ﷺ menghidupkan orang mati sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Ali Imran: 79. Musyrikin Mekah mencabar Nabi Muhammad ﷺ supaya baginda menghidupkan tok nenek mereka yang sudah mati. Mereka suruh baginda hidupkan tok nenek mereka seperti Qusay supaya mereka boleh cakap sendiri yang memang Nabi Muhammad ﷺ seorang Rasul.

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah;

Begitulah permintaan-permintaan Musyrikin Mekah yang kurang ajar dan mengarut itu. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang dinaqalkan oleh Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ dan HAMKA رَحِمَهُ اللَّهُ,

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أبو زرعة ، حدثنا منجاب بن الحارث ، أنبأنا بشر بن عمارة ، حدثنا عمر بن حسان ، عن عطية العوفي قال : قلت له : ( ولو أن قرآنا سيرت به الجبال ) الآية ، قالوا لمحمد ، صلى الله عليه وسلم : لو سيرت لنا جبال مكة حتى تتسع فنحرث فيها ، أو قطعت لنا الأرض كما كان سليمان يقطع لقومه بالريح ، أو أحييت لنا الموتى كما كان عيسى يحيي الموتى لقومه فأنزل الله هذه الآية . قال : قلت : هل تروون هذا الحديث عن أحد من أصحاب النبي ، صلى الله عليه وسلم ؟ قال : نعم ، عن أبي سعيد ، عن النبي ، صلى الله عليه وسلم .
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Minjab ibnul Haris, telah menceritakan kepada kami Bisyr ibnu Imarah, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Hissan, daripada Atiyyah Al-Aufi. Umar ibnu Hissan mengatakan bahawa dia menanyakan kepada Atiyyah tentang makna ayat berikut: Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan. (Ar-Ra’d: 31), hingga akhir ayat. Atiyyah menjawab bahawa mereka (orang-orang musyrik Mekah) berkata kepada Nabi Muhammad ﷺ, “Mengapa engkau tidak menyingkirkan gunung-gunung Mekah ini daripada kami sehingga tanahnya menjadi luas, maka kami akan bercucuk tanam padanya; atau engkau belahkan bumi bagi kami, sebagaimana Sulaiman membelah angin buat kaumnya; atau engkau hidupkan bagi kami orang-orang yang telah mati, sebagaimana Isa menghidupkan orang-orang mati bagi kaumnya?” Maka Allah menurunkan ayat ini. Umar ibnu Hissan bertanya, “Apakah engkau pernah melihat hadith ini daripada salah seorang sahabat Nabi ﷺ?” Atiyyah menjawab, “Ya, daripada Abu Sa’id, daripada Nabi ﷺ”

Akan tetapi Allah ﷻ matikan sahaja ayat ini di sini tanpa menjawab lengkap atau memberi penjelasan. Maka kena ada taqdir (penambahan maklumat). Muqaddarnya adalah: kalau ada bacaan yang boleh menyebabkan gunung ganang bergerak, bumi terbelah dan orang mati boleh bercakap, Al-Qur’anlah yang boleh melakukannya kerana hebatnya Al-Qur’an ini.

Hebatnya Al-Qur’an kalau dipelajari, difahami dan diamalkan oleh manusia. Sekarang tidak nampak kehebatan Al-Qur’an kerana manusia tidak mengendahkannya termasuklah umat Islam sendiri. Lihatlah orang kita, hanya tahu baca sahaja Al-Qur’an dan kemudian disimpan di rak-rak buku. Maka kerana itulah kita umat Islam sekarang lemah selemah-lemahnya dan diperkotak-katikkan sahaja oleh musuh Islam. Salah siapa? Salah kita juga, bukan? Ada kitab begini punya hebat, disimpan-simpan sahaja dan baca di bulan Ramadan sahaja. Kemudian bila orang kafir tekan kita, marah sana sini, menyalak di FB sahaja.

Telah terbukti dengan Al-Qur’an ini telah dapat menghidupkan hati yang mati. Manusia yang bergelumang sekian lama menyembah berhala, batu, pokok dan kubur telah menjadi murni hati mereka daripada segala kesyirikan itu. Mereka telah kembali kepada Tauhid. Sampai sekarang Al-Qur’an membuka hati manusia yang mahu kepada kebenaran dan mahu mengenal Allah ﷻ.

Atau, satu lagi muqaddarnya adalah: mereka tetap tidak akan beriman. Ini seperti disebut dalam An’am: 111

۞ وَلَوْ اَنَّنَا نَزَّلْنَآ اِلَيْهِمُ الْمَلٰۤىِٕكَةَ وَكَلَّمَهُمُ الْمَوْتٰى وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَيْءٍ قُبُلًا مَّا كَانُوْا لِيُؤْمِنُوْٓا اِلَّآ اَنْ يَّشَاۤءَ اللّٰهُ وَلٰكِنَّ اَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُوْنَ
Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

Musyrikin Mekah itu memang degil. Permintaan mereka ini menunjukkan mereka menolak mukjizat yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ kepada mereka. Malah telah pernah ditunjukkan mukjizat-mukjizat yang lebih hebat pun. Sebagai contoh, terbelahnya bulan itu lebih hebat daripada menggerakkan gunung ganang; Isra’ Mi’raj Rasulullah ﷺ itu lebih hebat daripada penguasaan angin oleh Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; batu yang bercakap-cakap dengan Rasulullah ﷺ lebih hebat daripada bercakapnya orang yang telah mati kerana batu tidak boleh bercakap.

Akan tetapi golongan penentang itu hanya sekadar mencari helah sahaja untuk mengutuk Rasulullah ﷺ. Apabila baginda tidak beri apa yang mereka mahu itu, mereka bolehlah kata baginda bukannya Rasulullah sebab Allah ﷻ tidak tunaikan apa yang baginda minta. Di dalam ayat lain disebut lagi hujah-hujah penolakan mereka seperti di dalam Furqan: 8

أَو يُلقىٰ إِلَيهِ كَنزٌ أَو تَكونُ لَهُ جَنَّةٌ يَأكُلُ مِنها ۚ وَقالَ الظّٰلِمونَ إِن تَتَّبِعونَ إِلّا رَجُلًا مَّسحورًا
atau (mengapa tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan, atau (mengapa tidak) ada kebun baginya, yang dia dapat makan daripada (hasil)nya?” Dan orang-orang yang zalim itu berkata: “Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir”.

 

بَل لِّلِهِ الأَمرُ جَميعًا

Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. 

Ini adalah jawapan kepada potongan ayat sebelum ini. Walaupun Al-Qur’an itu hebat, dan boleh buat tiga perkara yang mereka minta di atas tadi, Allah ﷻ tidak melakukannya kerana Allah ﷻ tahu yang mereka tetap juga tidak mahu beriman. Allah ﷻ bukannya tidak boleh buat apa yang mereka minta itu, malah lebih lagi. Namun Allah ﷻ hendak beritahu, kalaulah kesan itu mereka boleh lihat sendiri: gunung ganang bergerak, bumi terbelah dan orang mati boleh bercakap, mereka tetap tidak akan beriman. Ini adalah kerana mereka amat degil. Kalau apa yang mereka minta itu diberikan, mereka tetap tidak akan beriman. Allah ﷻ tahu apa yang di dalam hati mereka.

Ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukan urusan kedudukan iman mereka. Apa yang dikehendaki-Nya pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak akan terjadi. Seandainya Allah ﷻ mahukan mereka beriman, pasti mereka akan beriman. Begitu juga seandainya Allah ﷻ mahu terus sesatkan mereka, mereka akan tetap sesat kerana iman dalam hati adalah urusan Allah ﷻ. Barangsiapa yang disesatkan oleh Allah ﷻ, maka tiada seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya; barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah ﷻ, maka tiada seorang pun yang dapat menyesatkannya.

 

أَفَلَم يَاْيئَسِ الَّذينَ ءآمَنوا أَن لَّو يَشاءُ اللهُ لَهَدَى النّاسَ جَميعًا

Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu berputus asa, bahawa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya.

Adakah orang beriman sudah putus asa? Kalimah يَاْيئَسِ daripada katadasar ي ا س yang bermaksud putus asa; putus harapan; tahu; berkenalan; sedar; melepasi usia kesuburan; mandul (wanita); putus haid. Di dalam ayat ini ia mengambil maksud putus asa atau putus harapan. Ini adalah kerana para sahabat waktu itu sudah berputus asa dengan penolakan Musyrikin Mekah. Mereka berharap Allah ﷻ tunaikanlah permintaan golongan Mekah itu supaya mereka ramai-ramai masuk Islam.

Namun Allah ﷻ tegur golongan mukminin itu. Apa tidakkah orang beriman itu tahu bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah ﷻ? Allah ﷻ yang beri hidayah atau kesesatan. Sekiranya Allah ﷻ mahu, Allah ﷻ boleh sahaja jadikan semua manusia dan jin beriman. Akan tetapi Allah ﷻ tidak kehendaki begitu. Allah ﷻ beri peluang kepada manusia untuk memilih iman atau kufur kerana Allah ﷻ mahu menguji manusia itu.

Allah ﷻ sebut begini kerana para sahabat waktu itu berharap tiga permintaan/cabaran daripada Musyrikin Mekah itu boleh diberikan supaya golongan itu beriman. Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini, semua urusan itu terpulang kepada Allah ﷻ. Jangan mereka sangka yang kalau diberikan segala yang mereka minta itu, Musyrikin Mekah akan beriman. Oleh itu, orang yang beriman hendaklah jangan berputus asa dalam dakwah. Teruskan berdakwah walaupun orang kafir itu tidak beriman. Jangan putus asa.

Allah ﷻ tidak perlu pun tunjuk mukjizat untuk menjadikan Musyrikin Mekah itu beriman. Allah ﷻ boleh sahaja terus menjadikan mereka beriman. Namun Allah ﷻ tidak mahu mereka beriman dengan cara begitu. Mereka mesti ada kehendak sendiri untuk beriman kerana kalau iman kerana terpaksa, itu bukanlah iman yang sebenar.

Allah ﷻ beritahu kepada golongan mukmin supaya jangan layan sangat permintaan golongan Musyrikin Mekah itu. Mereka hanya memandangkan keduniaan sahaja. Lihatlah mereka minta diratakan tanah Mekah dan dipendekkan perjalanan mereka kerana hendakkan hal dunia sahaja, mahu tingkatkan ekonomi mereka sahaja. Lalu kenapakah harus dilayan permintaan yang sebegitu? Kalau benar mereka hendak beriman, buka hati mereka kepada kebenaran, sudah lama mereka beriman sebenarnya.

Maka begitulah juga senario kita hari ini. Jangan gunakan ayat-ayat Al-Qur’an ini untuk azimat dan dapatkan itu dan ini. Ini adalah penyalahgunaan Al-Qur’an! Ramai orang kita sibuk sangat bab ini. Ayat ini untuk dapat apa, ayat itu untuk apa pula. Cerita mahukan magik dan sakti sahaja mereka itu. Itu sahaja yang mereka belajar dan tahu. Mahu jadi kebal, mahu terbang, mahu berubat, inginkan orang suka, tunduk, hormat, itu sahaja fungsi Al-Qur’an ini bagi mereka. Untuk ambil pengajaran daripada Al-Qur’an, jauh sekali! Inilah kejahilan masyarakat kita sebenarnya, semoga mereka jadi pandailah sedikit selepas ini. Inilah perjuangan kita untuk menyedarkan masyarakat.

Mereka tidak tahu bahawa itu adalah sihir. Ya, sihir tetapi menggunakan Al-Qur’an! Tetap juga sihir. Sebab itu ada ajaran sesat yang kata ayat-ayat Al-Qur’an ini ada khadam. Mana ilmu sesat mereka dapat, entahlah. Ada juga yang gunakan Al-Qur’an untuk panggil rijaalul ghaib (lelaki ghaib). Ada juga menggunakan nombor seperti 786 untuk merujuk kepada basmalah. Ini semua diajar oleh syaitan dan pasti bukan daripada Allah ﷻ dan Rasululllah.

 

وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا تُصيبُهُم بِما صَنَعوا قارِعَةٌ

Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri 

Orang kafir akan terus dikenakan dengan musibah kerana perbuatan mereka sendiri. Kalimah القارِعَةُ daripada katadasar ق ر ع yang bermaksud apabila dua benda berlanggaran sesama sendiri dengan kuat dan menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan. Kalau bunyi itu tidak kuat dan tidak mengejut, ia bukanlah القارِعَةُ.

Oleh itu, kalau dua kereta berlanggar dalam kemalangan, ia juga boleh dipanggil القارِعَةُ kerana ia mengeluarkan bunyi yang kuat dan mengejutkan mereka yang mendengar dan melihatnya. Begitu juga, ayat قرع على الباب bermaksud mengetuk pintu di malam hari, kerana kalau ada orang ketuk pintu rumah kita pada malam hari, tentu akan menyebabkan kita terkejut, bukan?

القارِعَةُ adalah musibah atau bala bencana yang mengetuk dan mengejutkan puak Musyrikin Mekah itu. Ini kerana mereka telah menolak untuk beriman, maka Allah ﷻ kenakan musibah kepada mereka. Walaupun apa yang mereka buat untuk menghalang musibah itu, apa yang akan dikenakan kepada mereka akan tetap dikenakan juga. Sebagai contoh, mereka terus diserang oleh puak lain, ditawan, dikenakan dengan musim kemarau dan lain-lain lagi musibah.

Kenapa Allah ﷻ kenakan mereka dengan musibah sebegitu? Kerana hendak merendahkan ego mereka. Orang yang hidup senang lenang, ego mereka tinggi sebenarnya, susah hendak mendengar nasihat orang lain. Lalu Allah ﷻ sekali sekala akan kenakan musibah seperti kemarau itu untuk merendahkan ego mereka dan senang untuk menerima dakwah Rasulullah ﷺ.

 

أَو تَحُلُّ قَريبًا مِّن دارِهِم

atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, 

Atau benda itu akan dilepaskan (dihalalkan) tidak lama lagi dekat dengan kediaman mereka. Maksudnya benda buruk akan terjadi kepada mereka, antaranya kekalahan dalam Perang Badr.

Kalimah يَحِلُّ daripada katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; mengubah kedudukan; membenarkan. Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

Maknanya musibah yang dikenakan bukanlah kepada mereka terus, tetapi kepada kawasan berdekatan. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberi peringatan kepada mereka. Kalau nampak penduduk di kampung sebelah kena teruk, sepatutnya mereka kena berfikirlah, takkan masih mahu tunggu bala datang ke tempat mereka?

 

حَتّىٰ يَأتِيَ وَعدُ اللهِ

sehingga datanglah janji Allah.

Janji Allah ﷻ pasti akan datang. Iaitu janji untuk membinasakan mereka sekali gus. Ulama’ tafsir ada mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Penaklukan Kota Mekah. Maknanya mereka akan dikenakan dengan musibah demi musibah seperti kekalahan perang sehinggalah akhirnya Mekah itu akan dimenangi oleh umat Islam.

Ada juga pendapat yang mengatakan وَعدُ اللهِ yang dimaksudkan adalah Hari Akhirat di mana Allah ﷻ telah berjanji akan memberi balasan kepada golongan yang buat kemungkaran dan kebaikan, sesuai dengan apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia.

 

إِنَّ اللهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.

Ini pasti berlaku kerana Allah ﷻ tidak akan mungkir janji-Nya.

فَلا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ
Kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi mempunyai pembalasan seksa.
(Ibrahim: 47)

Maka ia adalah berita baik kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat pada ketika itu. Iaitu mereka akan mendapat kemenangan akhirnya (Penaklukan Mekah) dan juga di akhirat kelak. Maka jangan berputus asa, teruslah beriman dan berdakwah. Bayangkan iman umat Islam ketika itu. Ketika ayat ini diturunkan, mereka lemah, sedikit dan ditindas dengan teruk sekali. Akan tetapi Allah ﷻ telah beri janji kepada mereka dan mereka percaya dan berpegang kepadanya. Soalannya, adakah kita percaya? Kalau percaya, kenapa tidak belajar dan memahami Al-Qur’an ini supaya kita pun boleh menjadi hebat?

Habis Ruku’ 4 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 30 – 31 (Permintaan Mukjizat Musyrikin Mekah)”

  1. Assalamu ‘alaikum, Jika boleh, kami berniat menyalin konten dari tafsir sunah ini pada aplikasi android. Aplikasi tersebut akan kami distribusikan secara cuma-cuma di Play Store.
    Akan kami sertakan pula tautan ke tafsir sunah agar pengguna app dapat memeriksa konten aslinya.

    Like

    1. Terima kasih atas minta anda. Tapi telah ada pihak yang telah memulakan proses utk memasukkan tulisan blog ini ke dalam aplikasi Android (dan iPhone, katanya). Jadi tidak patut kalau ada dua aplikasi yang sama. Tapi kalau mahu dipublikasi dengan cara lain, silakan.

      Like

Leave a reply to tafsirsunnah Cancel reply