Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 12 – 15 (Tentang guruh dan kilat)

Ra’d Ayat 12: Dalil aqli tanbih (peringatan yang perlu diberi perhatian) ke 3. Sekarang Allah ﷻ tarik balik perbincangan kepada kuasa Allah ﷻ.

هُوَ الَّذي يُريكُمُ البَرقَ خَوفًا وَطَمَعًا وَيُنشِئُ السَّحابَ الثِّقالَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who shows you lightening, [causing] fear and aspiration, and generates the heavy clouds.

(MALAY)

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung.

 

هُوَ الَّذي يُريكُمُ البَرقَ

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu

Allah ﷻlah yang menunjukkan kilat kepada kita. Kilat itu di bawah kuasa Allah ﷻ, bukan terjadi dengan sendiri. Memang hebat kilat itu. Secara purata, kilat membawa arus elektrik sebanyak 40 kiloampere (kA) (meskipun sesetengah halilintar kilat boleh mencapai lebih 120 kA) dan memindahkan cas sebanyak 5 coulomb dan 500 MJ. Seandainya manusia hendak membuat kilat, memang tidak mampu kerana tidak cukup kuasa elektrik kita. Jelas sekali kilat juga adalah tanda kehebatan Allah ﷻ dan sekali sekala Dia tunjukkan kilat kepada kita. Kenapa?

Kejadian kilat tanda kehebatan Allah ﷻ 

خَوفًا وَطَمَعًا

untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, 

Ada dua kesan manusia terhadap kilat itu: suka ada, takut pun ada. Memang dalam kilat itu ada unsur menakutkan kerana ada kemungkinan disambar oleh kilat. Banyak juga orang yang mati kerana disambar kilat. Rumah pun banyak terbakar dek kerana kilat. Dengar bunyi guruh pun sudah takut, bukan? Kerana itu ada doa-doa yang diajar apabila kedengaran petir.

Daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَمِعَ الرَّعْدَ وَالصَّوَاعِقَ قَالَ: اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِصَعْقِكَ ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ
“Apabila Rasulullah ﷺ mendengar guruh atau kilat, baginda akan berkata: “Ya Allah! Janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahan-Mu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu serta ampunilah kami sebelum daripada itu.”
(Riwayat Tirmidzi (3450))
Imam Tirmidzi menilai hadith ini sebagai gharib dan tidak diketahui akan hadith ini melainkan melalui jalur ini sahaja

Abdullah bin Zubair meninggalkan percakapan apabila mendengar petir dan terus berkata:

سُبْحَانَ الَّذِي {يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ} ثُمَّ يَقُولُ: إِنَّ هَذَا لَوَعِيدٌ شَدِيدٌ لِأَهْلِ الْأَرْضِ
“Maha suci Allah yang Dialah juga yang disucikan oleh guruh dan para malaikat dengan bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya.” Kemudian beliau berkata lagi: “Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi.”
(Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (1801))
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad (724)

Oleh itu doa-doa ini boleh dibaca kerana mengandungi maksud yang baik, mengingatkan kita kepada Allah ﷻ yang menjadikan kilat itu dan boleh mengenakan kita dengan kilat itu kalau Dia kehendaki. Jika dilihat hadith di atas (riwayat Imam Malik), ia mengambil daripada kalimah ayat Al-Qur’an yang kita akan pelajari selepas ini.

Maka tujuan Allah ﷻ adakan petir ini adalah untuk menakutkan kita. Kita kena fikir, kalau dengan kilat petir pun kita takut, bagaimana dengan Allah ﷻ? Tidakkah kita patut lebih takut lagi dengan-Nya?

Di dalamnya juga ada harapan kerana kalau sedang kemarau, apabila nampak kilat sahaja, tentu suka kerana itu guruh dan kilat adalah tanda akan turunnya hujan tidak lama lagi. Ini terutama sekali kepada para petani dan peladang; juga kepada orang ramai apabila musim kemarau atau apabila telah lama tidak hujan.

Apabila kita melihat خَوفًا وَطَمَعًا, ia mengingatkan kita kepada dua konsep yang penting iaitu خوف (khauf) dan رجع (raja’) – takut dan harap. Konsep ini disebut dalam Isra’: 57

أُولَئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَى رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا
“Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka, siapakah di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.”

Sebagai seorang Muslim mesti mempunyai dua perasaan ini dan ia kenalah seimbang. Kalau takut yang terlebih, maka kita akan susah hidup di dunia ini kerana asyik takut sahaja, hendak makan pun tidak lalu nanti; kalau berlebihan dalam berharap pun bahaya juga, kerana akan senang dan selesa sahaja membuat dosa kerana berharap dengan rahmat Allah ﷻ untuk mengampunkan. Maka kena ada kesimbangan. Sebab itu selalu disebut sifat ini bersama-sama seperti Allah ﷻ berfirman di dalam Anbiya’: 90,

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.”

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa takut (khauf), maka akan terjerumus dalam akidah khawarij yang putus asa daripada rahmat Allah ﷻ padahal Allah ﷻ Maha Pengasih.

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa raja’ (berharap), maka akan terjerumus dalam akidah murji’ah yang menghilangkan rasa takut kepada Allah ﷻ, hanya menonjolkan ampunan dan rasa harap padahal Allah ﷻ juga “syadidul iqab” iaitu keras azabnya.

Kerana itulah dua hal ini dimisalkan seperti sayap burung, tidak boleh ada yang lebih berat atau rosak sebelah. Syaikh Abdul Aziz bin Baz رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

والعبد يسير إلى الله بين الرجاء والخوف كالجناحين للطائر، يخاف الله ويرجوه
“Seorang hamba harus beribadah kepada Allah di antara raja’ dan khauf sebagaimana dua sayap burung.”

Satu lagi ayat yang menyentuh perkara ini adalah Sajdah: 16

تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.

Mereka ini melakukan solat malam, tetapi apa yang mereka takutkan? Takut Allah ﷻ tidak terima doa mereka. Takut Allah ﷻ tidak terima ibadat mereka. Takut atas segala dosa yang telah dilakukan. Takut kepada hukuman Allah ﷻ. Takut kepada kemarahan Allah ﷻ. Macam-macam takut yang ada dalam diri manusia. Takut yang sebeginilah yang perlu ada dalam diri manusia.

Namun dalam masa yang sama, mereka amat berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Akan tetapi harapan mereka itu bukanlah kosong sahaja, sebaliknya mereka ikut pengharapan mereka itu dengan melakukan ibadat yang banyak kepada Allah ﷻ. Barulah patut untuk berharap kalau sudah berusaha, bukannya sekadar goyang kaki sahaja!

 

وَيُنشِئُ السَّحابَ الثِّقالَ

dan Dia mengadakan awan yang berat.

Dia mengadakan ‘awan yang berat’. Maksudnya awan yang mendung, sebagai tanda hujan kerana awan berat sahaja yang ada air di dalamnya. Memang sifat awan yang berat, apabila ia berlanggar sesama sendiri, ia akan mengeluarkan kilat.


 

Ra’d Ayat 13: Ayat tadi sebut kilat, sekarang guruh pula.

وَيُسَبِّحُ الرَّعدُ بِحَمدِهِ وَالمَلٰئِكَةُ مِن خيفَتِهِ وَيُرسِلُ الصَّوٰعِقَ فَيُصيبُ بِها مَن يَشاءُ وَهُم يُجٰدِلونَ فِي اللهِ وَهُوَ شَديدُ المِحالِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the thunder exalts [Allāh] with praise of Him – and the angels [as well] from fear of Him – and He sends thunderbolts and strikes therewith whom He wills while they dispute about Allāh; and He is severe in assault.

(MALAY)

Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.

 

وَيُسَبِّحُ الرَّعدُ بِحَمدِهِ وَالمَلٰئِكَةُ مِن خيفَتِهِ

Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, 

Kalimah الرَّعدُ dalam ayat ini ada dua terjemahan:

1. Ia mungkin bermaksud ‘petir’. Kalau ayat ini bermaksud ‘petir’, maka kita dapat tahu melalui ayat ini yang langit itu bertasbih juga. Caranya adalah dengan bunyi guruh itu. Kita mungkin dengar sebagai guruh sahaja, namun sebenarnya ia adalah cara langit bertasbih rupanya. Oleh itu, bila kita dengar guruh, kita pun kena bertasbih juga. Allah ﷻ sebut di dalam Isra’: 44 yang kita memang tidak tahu,

تُسَبِّحُ لَهُ السَّماواتُ السَّبعُ وَالأَرضُ وَمَن فيهِنَّ ۚ وَإِن مِن شَيءٍ إِلّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِ وَلٰكِن لا تَفقَهونَ تَسبيحَهُم
Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.

Kenapa langit bertasbih? Kerana takut kepada Allah ﷻ. Maka kalau langit yang besar itu pun takut, apatah lagi kita, sepatutnya kena lebih takut.

2. Ada juga yang menafsirkan maksud الرَّعدُ sebagai suara para malaikat yang membawa hujan. Maksudnya para malaikat itu bertasbih dengan memuji Allah ﷻ dan kerana takut kepada Allah ﷻ. Bunyi guruh memang kuat dan menakutkan. Namun sekarang Allah ﷻ beritahu yang malaikat pun bertasbih juga kerana mereka takut dengan Allah ﷻ. Mereka takut kerana mereka kenal Allah ﷻ. Jikalau kita pun tidak takut dengan Allah ﷻ, maka kita tidak kenal Allah ﷻlah maknanya.

Kalau kalimah الرَّعدُ bukan bermaksud malaikat pun, di sini pun sudah ada kalimah المَلٰئِكَةُ yang menyebut mereka. Memang para malaikat takut kepada Allah ﷻ, mengajar kita yang kita pun sepatutnya kena takut dengan Allah ﷻ. Kena takut dengan ancaman-Nya, maka kena tinggalkan larangan-Nya dan kena taat apa sahaja yang Dia suruh kita lakukan. Jadikan para malaikat itu sebagai contoh kita.

 

وَيُرسِلُ الصَّوٰعِقَ فَيُصيبُ بِها مَن يَشاءُ

dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki,

Kadang-kadang Allah ﷻ melepaskan halilintar. Dia menimpakan halilintar kepada sesiapa yang Dia kehendaki kerana dengan halilintar itu boleh bunuh manusia dan bunuh jin. Kita pun pernah dengar kisah bagaimana ada manusia yang mati kerana terkena halilintar. Di dalam surah-surah sebelum ini pun telah disebut kaum-kaum ingkar yang telah dimusnahkan dengan halilintar.

Adakah tidak patut kita takut dengan halilintar? Halilintar banyak terjadi di akhir zaman, seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah ﷺ.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ؛ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “تَكْثُرُ الصَّوَاعِقُ عِنْدَ اقْتِرَابِ السَّاعَةِ ، حَتَّى يَأْتِيَ الرَّجُلُ الْقَوْمَ فَيَقُولُ: مَنْ صُعِقَ تِلْكُمُ الْغَدَاةَ ؟ فَيَقُولُونَ صعِق فُلَانٌ وَفُلَانٌ وَفُلَانٌ”.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda: Halilintar akan banyak bila hari kiamat telah dekat, sehingga seorang lelaki datang kepada suatu kaum, lalu dia mengatakan, “Siapakah yang telah disambar petir di antara kalian kelmarin?” Maka mereka menjawab, “Si Fulan, si Fulan, dan si Fulan.”
(Musnad Ahmad (11620) dengan sanad yang sahih)

Maknanya banyak sangat yang disambar halilintar sampaikan ia telah menjadi sesuatu perkara yang biasa sahaja. Alhamdulillah ia belum terjadi lagi sekarang. Pelik sangat kalau kita dengar orang kena panah petir sebab bukannya selalu ia terjadi.

 

وَهُم يُجٰدِلونَ فِي اللهِ

dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, 

Allah ﷻ telah memberikan ayat-ayat untuk menakutkan manusia tetapi mereka masih hendak mempersoalkan tentang Allah ﷻ? Adakah mereka tidak sedar apa yang mereka buat itu? Wahai orang Mekah, kamu tidak takutkah? Wahai manusia, kamu tidak takutkah? Kamu masih lagi mahu beramal dengan amalan syirik? Kamu masih lagi mempertikaikan keesaan Allah ﷻ?

Bagaimana dengan umat Islam sendiri, tidak mahukah belajar mana tauhid dan mana syirik? Masih lagi kamu berbantahan tentang perkara syirik? Masih lagi kamu hendak mengamalkan amalan-amalan syirik dan kamu berikan hujah-hujah batil bagi membenarkan amalan kamu itu? Kamu tidak takutkah?

 

وَهُوَ شَديدُ المِحالِ

dan Dialah Tuhan Yang Maha keras daya kuasa.

Kalimah المِحالِ daripada katadasar م ح ل yang bermaksud bekerja dengan mahir, mempunyai seni atau pengurusan. Dari sinilah juga kalimah hawqala (لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله) yang kita selalu sebut itu.

Kalimah المِحالِ mempunyai tiga elemen: strategi, pembalasan dan hukuman. Allah ﷻ amat berkuasa dan Dia boleh gunakan kekuatan-Nya untuk mengazab makhluk-Nya. Kalimah المِحالِ juga bermaksud بطش (hentaman) daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh gunakan kekasaran kepada sesiapa pun. Di sini Allah ﷻ hendak menyebut ironinya, manusia berdebat tentang Allah ﷻ, sedangkan Allah ﷻ berkuasa penuh untuk mengenakan azab kepada mereka.

Allah ﷻ boleh kenakan musibah kepada sesiapa sahaja sampai boleh memusnahkan mereka. Maka janganlah buat ikut suka hati sahaja. Janganlah buat syirik dan buat dosa berleluasa atas dunia ini. Jangan lagilah hendak berbantah tentang hal tauhid ini, terima sahajalah.


 

Ra’d Ayat 14:

لَهُ دَعوَةُ الحَقِّ ۖ وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ لا يَستَجيبونَ لَهُم بِشَيءٍ إِلّا كَبٰسِطِ كَفَّيهِ إِلَى الماءِ لِيَبلُغَ فاهُ وَما هُوَ بِبٰلِغِهِ ۚ وَما دُعاءُ الكٰفِرينَ إِلّا في ضَلٰلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Him [alone] is the supplication of truth. And those they call upon besides Him do not respond to them with a thing, except as one who stretches his hands toward water [from afar, calling it] to reach his mouth, but it will not reach it [thus].¹ And the supplication of the disbelievers is not but in error [i.e., futility].

  • The analogy indicates that false deities will never respond to them at all.

(MALAY)

Hanya bagi Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan roh-roh yang mereka seru selain Allah tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka, melainkan seperti orang yang membukakan kedua telapak tangannya ke dalam air supaya sampai air ke mulutnya, padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya. Dan doa orang-orang kafir itu, hanyalah sia-sia belaka.

 

لَهُ دَعوَةُ الحَقِّ

Hanya bagi Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar.

Apabila kalimah لَهُ ditaqdimkan (didahulukan) maka ia membawa maksud eksklusif. Maknanya ia hanya milik Allah ﷻ sahaja. Ada beberapa tafsir bagi kalimah دَعوَةُ الحَقِّ ini:

1. Dia sahaja yang memiliki tempat doa. Maksudnya, Allah ﷻ sahaja yang layak menerima doa hamba. Ini adalah kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh selesaikan masalah makhluk dan memenuhi kehendak makhluk. Tidak ada entiti yang lain yang boleh makbulkan doa.

Maka, jangan doa kepada selain Allah ﷻ. Perkara ini banyak ditekankan dalam Surah-surah Hawawim yang bermula Surah Ghafir. Maka boleh rujuk perbincangan yang panjang tentang doa dalam surah-surah itu.

2. Maknanya yang kedua juga tentang doa: semua makhluk sebenarnya meminta kepada Allah ﷻ. Ini tidak kira apa agama mereka, walaupun mereka tujukan doa mereka kepada sesiapa pun. Walaupun mereka minta kepada tuhan dan ilah-ilah mereka yang berbagai-bagai, tetapi doa mereka tidak pergi ke mana, semua doa pergi kepada Allah ﷻ juga.

Ini adalah kerana Allah ﷻ sahaja yang dengar doa mereka. Sedangkan semua tuhan dan ilah yang mereka sangka dengar doa mereka, tidak boleh buat apa. Malah ilah yang lain itu tidak ada pun untuk mendengar pun doa makhluk. Ilah-ilah itu tidak mampu mendengar, tidak mampu hendak tolong pun. Mereka yang berdoa kepada selain Allah ﷻ itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Oleh kerana mereka ada keperluan dalam hidup mereka, maka Allah ﷻlah sahaja yang memberikan keperluan hidup mereka itu. Maka walaupun mereka minta kepada Jesus, Buddha, Krishna, Saidina Ali, Hussein, Wali Songo dan sebagainya, Allah ﷻlah sebenarnya yang memakbulkan doa mereka itu.

3. Satu lagi tafsir: dakwah kepada-Nya sahaja yang benar. Oleh itu, dalam dakwah kita kepada manusia, kita kena ajak kepada mengenal Allah ﷻ dan taat kepada Allah ﷻ; bukannya mengajak sokong individu itu dan ini atau kepada parti-parti tertentu, agenda-agenda tertentu dan sebagainya. Dakwah kena ajak kepada Allah ﷻ.

Malang sekali ramai bukannya ajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada perkara yang lain. Bila ajak kepada perkara yang lain, maka setiap kumpulan akan rasa merekalah yang hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Oleh itu mesej dakwah kita kenalah jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk hendak melabel dan mengesampingkan (pigeonhole) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “Dia kumpulan mana?”, “Apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah ajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl: 125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

4. Ada juga pendapat yang mengatakan دَعوَةُ الحَقِّ ini maksudnya kalimah Tauhid لا اله إلّا الله. Inilah kalimah yang kita kena ajak manusia kepadanya. Akan tetapi sebelum itu, kita sendiri kenalah faham maksud kalimah ini dan ia bermula dengan pemahaman tentang apakah yang dimaksudkan dengan ilah itu. Oleh kerana tidak faham maksud ilah lah yang menyebabkan ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedar.

 

وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ

Dan roh-roh yang mereka seru selainNya

Iaitu Nabi, wali atau malaikat yang dipuja oleh manusia kerana mereka sangka roh-roh itu dapat memakbulkan doa mereka. Inilah salah faham masyarakat. Mereka rasa ada selain Allah ﷻ yang mereka boleh seru dan minta pertolongan. Maka Allah ﷻ berhujah betapa bodohnya amalan mereka itu.

 

لا يَستَجيبونَ لَهُم بِشَيءٍ

yang tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka,

Mereka yang dipanggil dan diseru selain Allah ﷻ tidak akan melayan pun. Sedikit pun mereka tidak layan. Sama ada jin, malaikat Nabi atau wali. Ini kerana mereka tidak boleh menerima doa dan tidak boleh menyelesaikan masalah dan sempurnakan hajat sesiapa pun kerana mereka telah lama mati atau tidak ditugaskan untuk menjawab doa kita.

Oleh itu, memang buang masa sahaja seruan mereka yang syirik itu. Sudahlah apa yang mereka lakukan itu termasuk syirik, ia sia-sia sahaja. Maah bukan sia-sia sahaja kerana ia akan menyebabkan bala kepada mereka kerana mereka akan diseksa di akhirat nanti atas perbuatan mereka itu. Sia-sia sahaja perbuatan mereka seperti disebut dalam Fatir: 14

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم ۚ وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ
Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.

 

إِلّا كَبٰسِطِ كَفَّيهِ إِلَى الماءِ لِيَبلُغَ فاهُ

melainkan seperti orang yang membukakan kedua telapak tangannya ke air supaya sampai air ke mulutnya, 

Allah ﷻ beri perumpamaan tentang perbuatan sia-sia mereka itu: mereka itu seperti berada di padang pasir, memerlukan air sangat dan mereka nampak fatamorgana. Bila mereka nampak, mereka sangkakan itu adalah air dan mereka mengharap dapat minum daripada air itu. Memang sia-sia.

Fenomena fatamorgana di padang pasir

Atau, mereka memang di hadapan air seperti tasik, sungai dan sebagainya. Mereka pun hulurkanlah tangan mereka dan berharap air itu akan sampai ke mulut mereka (meh air, meh naik masuk mulut aku). Sudah pasti ia tidak akan sampai. Allah ﷻ memberi perumpamaan bahawa perbuatan mereka itu adalah buang masa sahaja.

Inilah masalah dengan tawasul yang dilakukan oleh manusia termasuk orang Islam. Ramai yang marah apabila kita sebut tentang tawasul ini kerana mereka sudah lama melakukannya. Ramai yang beramal tanpa ilmu wahyu, melainkan yang diajar oleh tok guru dan tok nenek yang bukannya berlandaskan wahyu. Untuk faham kesia-siaan perkara ini, seseorang itu mesti belajar tafsir dengan benar.

 

وَما هُوَ بِبٰلِغِهِ

padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya.

Ini bagaikan orang yang menghulurkan tangan sambil membuka jari-jarinya lalu menghulurkan tangan ke dalam air untuk bagi air sampai ke mulut. Tentulah tidak sampai. Mereka memang ada usaha tetapi usaha mereka itu tidak kena dan tidak akan berjaya. Begitulah Allah ﷻ beri manusia faham tentang kesalahan dalam doa. Sia-sia sahaja kalau minta kepada selain Allah ﷻ.

Kalau kita kaitkan dengan amalan syirik masyarakat kita, ini seperti golongan yang mengangkat tangan di kubur-kubur kononnya untuk mendapatkan bantuan orang mati itu untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Ini adalah sia-sia juga kerana doa itu tidak sampai.

 

وَما دُعاءُ الكٰفِرينَ إِلّا في ضَلٰلٍ

Dan doa orang-orang engkar itu, hanyalah sia-sia belaka.

Oleh itu, doa orang kafir dan doa orang Islam tetapi melakukan syirik dalam doa itu adalah sia-sia belaka. Amatlah kasihan sekali. Entah berapa ramai yang kita melihat kafir berdoa tetapi mereka tidak tahu yang doa mereka itu sia-sia sahaja. Allah ﷻ telah berfirman dalam Yaasin: 74-75

وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ آلِهَةً لَّعَلَّهُم يُنصَرونَ
Dan mereka menyembah beberapa ilah yang lain daripada Allah, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (daripada makhluk-makhluk itu).

لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم وَهُم لَهُم جُندٌ مُّحضَرونَ
Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

Contohnya Kristian akan berdoa kepada Jesus kononnya untuk mendapatkan bantuan God the Father. Manakala golongan Hindu berdoa kepada dewa-dewa mereka untuk sampaikan doa kepada Tuhan. Atau golongan Buddha pula berdoa kepada Gautama Buddha. Ini semua adalah doa yang sia-sia belaka.

Begitu jugalah dengan orang Islam yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak belajar tentang tauhid dan tentang syirik, tidak belajar tentang doa, maka mereka semua melakukan perkara yang salah. Mereka pun pergilah ke kubur wali kononnya (siapa yang lantik sebagai wali entahlah) dan bercakaplah dengan orang yang sudah mati (dan sudah pasti tidak boleh mendengar) dan meminta macam-macam. Mereka telah ditipu oleh guru-guru yang juga tidak tahu tentang perkara ini.

Apabila kita tegur dengan mengatakan perbuatan mereka itu syirik dalam berdoa, kerana Allah ﷻ melarang tawasul yang sebegitu, mereka amat marah sangat. Begitulah kalau bercakap dengan orang yang jahil.


 

Ra’d Ayat 15: Dalil aqli tanbih (peringatan) ke 4.

وَلِلهِ يَسجُدُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ طَوعًا وَكَرهًا وَظِلٰلُهُم بِالغُدُوِّ وَالآصالِ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh prostrates whoever is within the heavens and the earth, willingly or by compulsion, and their shadows [as well] in the mornings and the afternoons.

(MALAY)

Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari.

 

وَلِلهِ يَسجُدُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi,

Semua makhluk yang di langit dan di bumi sujud kepada Allah ﷻ sahaja. Maksudnya mereka taat kepada perintah Allah ﷻ. Sama ada makhluk itu tinggi atau rendah, mereka tetap sujud kepada Allah ﷻ. Maka kenapa kita tidak sujud dan taat kepada Allah ﷻ?

Semua sujud, ertinya semua mesti mengikut perintah dan peraturan, tidak dapat melepaskan diri daripada ketundukan itu, yang insaf tunduklah dia dengan taat, dan yang ingkar dia pun mesti tunduk juga, walaupun dia enggan. Matahari, bulan dan alam cakerawala, tunduk kepada peraturan yang telah ditentukan, mahu atau tidak mahu. Kayu-kayu di hutan bermula daripada biji yang kecil, sampai bertunas, berdaun-daun, berpucuk, berdahan, dan beranting dan kelak kemudiannya akan tumbang.

 

طَوعًا وَكَرهًا

baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa

Mereka sujud dan taat sama ada dalam keadaan rela atau tidak. Sukarela itu adalah apabila mereka mengikut syariat – kerana kita memang kena taat pun. Jikalau kita ikut, kita akan mendapat syurga. Manusia wajib sujud tunduk kepada peraturan Tuhan. Lahir ke dunia, meningkat besar, dewasa, tua dan mati. Walaupun dihadapi maut itu dengan taat, atau dihadapi dengan enggan, namun peraturan mati mesti ditempuh. Masing-masing alam di semua langit dan bumi bersujud menurut caraya masing- masing.

Secara paksa pula adalah secara takwini – iaitu mengikut kejadian alam. Sebagai contoh, walaupun kita tidak ikut syariat, tetapi jantung kita tetap taat kepada Allah ﷻ. Sehingga perjalanan matahari dan bulan, adalah menurut garis yang tertentu, tidak boleh melebihi dan mengurangi.

Sebagai seorang Muslim, kita kena taat kepada Allah ﷻ dalam apa keadaan sekali pun. Sebagai contoh, kita kena juga berpuasa walaupun dalam musim panas kerana itu adalah taat dalam takwini. Walaupun susah, namun kena ikut juga arahan Allah ﷻ. Memang susah, tetapi kalau hati kita hendak taat, semua itu menjadi mudah sahaja.

 

وَظِلٰلُهُم

dan bayang-bayangnya

Apabila matahari terbit dari timur, bayang-bayang insan itu condonglah ke barat, dan apabila matahari telah menuju barat, bayang-bayang insan pun condonglah ke timur. Ertinya, hari berjalan terus, kadang-kadang bayang-bayang lebih panjang daripada badan, kadang-kadang lebih pendek, dan edaran matahari yang menimbulkan bayang-bayang menjadi perhitungan bagi insan bahawa akan datang masanya, bayang-bayang itu tidak ada lagi, sebab yang empunya bayang-bayang telah disembunyikan di balik bumi. Begitulah terus-menerus. Sehingga manusia dapat berfikir, kalau segala sesuatu tunduk bersujud kepada Tuhan, sampaikan bayang-bayang kita sendiri, bilakah masanya lagi kita akan sujud dengan kesedaran?

Maka ini adalah penegasan bahawa semua makhluk taat kepada Allah ﷻ, termasuk bayang-bayang pun sujud kepada Allah ﷻ juga. Oleh itu, setiap kali kita nampak bayang-bayang, itu adalah peringatan kepada kita yang mereka sedang sujud kepada Allah ﷻ – mereka sedang taat kepada Allah ﷻ. Ini seperti disebut dalam Nahl: 48

أَوَلَم يَرَوا إِلىٰ ما خَلَقَ اللهُ مِن شَيءٍ يَتَفَيَّأُ ظِلالُهُ عَنِ اليَمينِ وَالشَّمائِلِ سُجَّدًا ِللهِ وَهُم داخِرونَ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah yang bayangannya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka merendahkan diri?

Jikalau bayang-bayang kita merendahkan diri dan taat kepada Allah ﷻ, maka kenapa kita tidak juga? Bukannya bayang-bayang itu terjadi sendiri tetapi ia terjadi kerana ia mengikut hukum yang Allah ﷻ telah adakan untuknya. Oleh itu, apabila ada bayang, itu adalah tanda qudrat Allah ﷻ.

 

بِالغُدُوِّ وَالآصالِ

di waktu pagi dan petang hari.

Semua makhluk taat kepada Allah ﷻ, pagi dan petang. Tidak kira masa. Setiap masa.

Ini adalah Ayat Sajdah dan kita disunatkan untuk sujud kepada Allah ﷻ apabila sampai kepada ayat ini. Kita boleh lakukan di mana sahaja – sama ada dalam solat atau tidak, sama ada dalam hadas atau tidak, tutup aurat atau tidak, mengadap kiblat atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 12 – 15 (Tentang guruh dan kilat)”

  1. salam tuan

    tawassul dan ishtighwasa berbezakan. Tawassul kpd Nabi masa hidup atau org soleh yg hidup dibenarkan. Selain itu tidak boleh kan?

    Like

    1. Tawassul maknanya menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai perantara di dalam doa.

      Istighasah bermaksud berdoa terus kepada seseorang.

      Tawassul yang boleh adalah
      1. Dengan nama-nama Allah
      2. Iman dan amal soleh
      3. Dengan orang Soleh yang masih hidup.

      Selain dari 3 ini, ada masalah besar.

      Like

Leave a reply to Badarusham joned Cancel reply