Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 6 – 9 (Jangan gopoh minta mukjizat)

Ra’d Ayat 6: Ayat zajrun (teguran) dan takhwif duniawi. Kemusykilan yang kedua daripada orang kafir adalah tentang janji-janji azab yang telah diberikan oleh Rasulullah ﷺ kepada mereka jikalau mereka tidak taat kepada Allah ﷻ dan baginda. Mereka kata jikalau benar ada azab-azab itu, seperti yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu, maka kenapa azab-azab begitu tidak datang lagi kepada mereka?

وَيَستَعجِلونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبلَ الحَسَنَةِ وَقَد خَلَت مِن قَبلِهِمُ المَثُلٰتُ ۗ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ لِّلنّاسِ عَلىٰ ظُلمِهِم ۖ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They impatiently urge you to bring about evil before good,¹ while there has already occurred before them similar punishments [to what they demand]. And indeed, your Lord is full of forgiveness for the people despite their wrongdoing, and indeed, your Lord is severe in penalty.

  • They said, challenging the Prophet () in ridicule, “Bring on the punishment, if you are truthful,” rather than asking for mercy and forgiveness from Allāh.

(MALAY)

Mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) seksa, sebelum (mereka meminta) kebaikan, padahal telah terjadi bermacam-macam contoh seksa sebelum mereka. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim, dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras seksanya.

 

وَيَستَعجِلونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبلَ الحَسَنَةِ

Mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) seksa, sebelum (mereka meminta) kebaikan,

Amat pelik sekali apa yang mereka lakukan: mereka minta ditunjukkan azab untuk mereka. Iaitu mereka minta disegerakan azab (mereka kata kalau betul mereka akan dikenakan azab atas kesalahan mereka, bawalah ke mari, segerakanlah!). Itu sebelum mereka minta kebaikan iaitu hidayah. Sepatutnya mereka minta diberikan pemahaman iaitu hidayah. Minta bagi nampak kebenaran sampai mereka tidak boleh tolak lagi. Sepatutnya mereka minta kebaikan yang disegerakan, sebaliknya mereka minta keburukan yang disegerakan.

Maka dari sini kita boleh tahu yang mereka itu sebenarnya sudah gila! Akal mereka sebenarnya sudah rosak! Namun bagaimana dengan orang Muslim kita? Ada juga yang rosak akal sebenarnya. Sebagai contoh, kita semua tahu yang kalau buat dosa, akan diazab di akhirat kelak. Namun masih lagi buat dosa!

Kalimah استعجل tidak sama dengan سرع yang bermaksud bersegera. Ia daripada katadasar ع ج ل yang bermaksud menyegerakan; tergesa-gesa; lakukan dengan cepat; mempercepatkan; anak lembu. Kalimah استعجل digunakan apabila tergesa-gesa buat sesuatu yang sebelum waktunya. Kalau سرع (bersegera) untuk solat, maka itu adalah perkara yang sangat baik sebab hendak bersegera untuk beribadat. Manakala kalimah استعجل itu pula bermaksud solat sebelum masuk waktunya. Perumpamaan استعجل ini seumpama minta gaji sebelum hujung bulan. Belum masa lagi tetapi sudah meminta-minta.

Permintaan mereka itu adalah permintaan yang kurang ajar dan amat bodoh sekali. Sepatutnya mereka minta kebaikan sebaliknya mereka minta azab pula. Ini amat menghairankan sekali. Banyak sekali disebut tentang permintaan mereka ini di dalam ayat-ayat yang lain. Antaranya:

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ
Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari (kiamat) itu disegerakan datangnya dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan merasa yakin bahawa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). (Syura: 18)

Pelik sungguh mereka ini. Mereka kata begini: “Kalau aku salah, azablah aku!”. Kenapa pula sampai minta begitu? Tidakkah lebih elok mereka minta, “Ya Allah, kalau aku salah, betulkanlah aku….” Ternyata ini adalah kata-kata orang yang sombong dan degil. Yang rasa mereka sahaja yang betul. Banyak kali Allah ﷻ sebut tentang kebodohan mereka ini, antaranya di dalam Anfal: 32

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ
Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.

 

وَقَد خَلَت مِن قَبلِهِمُ المَثُلٰتُ

padahal telah terjadi bermacam-macam contoh seksa sebelum mereka. 

Bagaimana mereka sanggup minta begitu, sedangkan telah datang banyak contoh-contoh azab kepada umat terdahulu sebagai contoh untuk mereka. Kalimah المَثُلٰتُ adalah jamak bagi مثلة iaitu hukuman yang dikenakan kepada pesalah di khalayak ramai supaya menjadi contoh bagi mereka yang melihatnya. Dengan tujuan mereka tidak melakukannya kerana takut dikenakan dengan hukuman yang sama.

Begitulah apa yang terjadi kepada kaum-kaum sebelum Musyrikin Mekah itu. Mereka tahu apa yang terjadi kepada umat-umat terdahulu sebelum mereka seperti Aad dan Tsamud. Malah mereka pun biasa melalui kawasan kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu . Sepatutnya mereka lihat apa yang terjadi kepada mereka ingkar, ambillah pengajaran – janganlah buat seperti mereka itu. Apa mereka sangka mereka akan selamatkah? Siapa pula beri berjanji yang mereka pasti akan selamat?

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ لِّلنّاسِ عَلىٰ ظُلمِهِم

Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim,

Sepatutnya mereka minta ampun daripada kesalahan mereka kerana Allah ﷻ Maha Pemaaf. Allah ﷻ tidak tutup pintu keampunan lagi – maka kenapa mereka mahu meminta azab dengan cepat? Walaupun teruk sekali penolakan mereka itu, namun Allah ﷻ masih sanggup mengampunkan mereka. Walaupun mereka terlalu banyak membuat salah dan kezaliman, maka ambillah peluang itu. Janganlah pula minta disegerakan azab.

Kita ini tentulah ada banyak dosa, tetapi Allah ﷻ sentiasa memaafkan kesalahan dan dosa kita. Seandainya Allah ﷻ terus membalas dengan azab di atas segala dosa-dosa kita, maka tentulah kita semua ini sudah lama pupus di atas muka bumi ini.

Jika diperhatikan, Allah ﷻ bukan kata Dia boleh mengampunkan dosa orang beriman kerana setakat mengampunkan dosa orang beriman sahaja, ini tidak hebat. Sebaliknya Allah ﷻ kata Dia boleh mengampunkan dosa لِلنّاسِ iaitu mana-mana manusia.

Maka walaupun golongan Musyrikin Mekah itu telah lama melakukan kesalahan syirik, dan sekarang mereka menentang Rasul mereka sendiri, Allah ﷻ tetap memberi peluang kepada mereka. Allah ﷻ masih tetap bersedia memaafkan mereka kerana mereka masih ada pelindung kepada mereka seperti disebu dalam Anfal: 33

وَما كانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم وَأَنتَ فيهِم ۚ وَما كانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُم وَهُم يَستَغفِرونَ
Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun

Maknanya, selagi Rasulullah ﷺ ada bersama mereka, mereka akan selamat. Selagi baginda ada dalam kalangan mereka yang meminta ampun, maka mereka juga akan selamat. Maka ambillah peluang itu, jangan disia-siakan!

Apa pengajaran kepada kita? Setelah kita tahu yang Allah ﷻ maha pengampun, maka selalulah minta ampun kepada Allah ﷻ. Jangan lepaskan peluang ini. Ada yang tidak ambil peluang ini dengan bersungguh. Contohnya ada orang kita yang suka minta orang lain buatkan Solat Hajat bagi pihak mereka. Bila ditanya kenapa mereka sendiri tidak buat, mereka kata kerana mereka banyak dosa. Aduhai, kenapa bodoh sangat? Kalau sudah banyak dosa, mintalah ampun kepada Allah ﷻ, kenapa susah sangat untuk faham?

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَديدُ العِقابِ

dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras seksaNya.

Walaupun Allah ﷻ maha pengampun, namun jangan sangka Allah ﷻ akan sentiasa memaafkan sahaja. Allah ﷻ maha berkuasa untuk beri hukuman kepada makhluk. Oleh itu jangan senang hati sangat. Kalau mereka minta azab, Allah ﷻ boleh sahaja berikan azab kepada mereka. Yang pasti, kalau mereka tidak ubah perangai mereka, mereka akan dikenakan azab di akhirat kelak.

Sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang Dia sebagai Maha Pengampun, sekarang Allah ﷻ sebut tentang azab pula. Ini adalah rahmat daripada Allah ﷻ iaitu Allah ﷻ memberitahu benda baik dahulu. Ini sepertimana kita mengajak anak kita untuk belajar di sekolah supaya berjaya. Kita akan suruh dia dan berikan motivasi kepadanya supaya dia pergi sekolah. Kita tidaklah terus beri ancaman kepadanya, bukan? Kalau dia berdegil untuk pergi ke sekolah, barulah kita beri ancaman (ayah rotan kalau kau tak pergi sekolah!)


 

Ra’d Ayat 7: Ayat syikayah (rungutan Allah ﷻ) tentang kata-kata golongan Musyrik. Ini tentang kesamaran ketiga mereka. Mereka berkata kalaulah benar Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Rasul, kenapa baginda tidak mengeluarkan mukjizat seperti yang mereka minta? Nabi Muhammad ﷺ bukannya tidak pernah keluarkan mukjizat, tetapi mereka hendak mukjizat seperti yang mereka minta.

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ ۗ إِنَّما أَنتَ مُنذِرٌ ۖ وَلِكُلِّ قَومٍ هادٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieved say, “Why has a sign not been sent down to him from his Lord?” You are only a warner, and for every people is a guide.

(MALAY)

Orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu tanda (kebesaran) dari Tuhannya?” Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan; dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk.

 

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ

Orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu tanda (kebesaran) dari Tuhannya?”

Kalimah ءآيَةٌ di sini bermaksud mukjizat kerana maksud ءآيَةٌ adalah ‘tanda’ dan mukjizat itu adalah tanda kekuasaan Allah ﷻ (bukannya kuasa Nabi). Kenapa disebut tentang ءآيَةٌ mukjizat pula?

Kerana salah satu daripada hujah golongan musyrik untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ, mereka berhujah begini: “Kenapa Muhammad itu tidak dapat mukjizat?” Sebenarnya, Nabi Muhammad ﷺ sudah pernah tunjuk mukjizat kepada mereka untuk membuktikan kerasulan baginda. Namun mereka masih juga minta lagi dan lagi. Apakah mukjizat yang pernah ditunjukkan kepada mereka? Salah satunya adalah kejadian bulan terbelah seperti disebut dalam Qamar: 1-2 tetapi mereka tetap menolak juga.

اقتَرَبَتِ السّاعَةُ وَانشَقَّ القَمَرُ
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.

وَإِن يَّرَوا ءآيَةً يُّعرِضوا وَيَقولوا سِحرٌ مُّستَمِرٌّ
Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.

Mereka pernah pula mengatakan dengan nada ingkar yang isinya meminta agar Nabi Muhammad ﷺ mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka, dan semua bukit di Mekah dilenyapkan, lalu digantikan dengan ladang-ladang dan sungai-sungai. Allah ﷻ berfirman menjawab mereka dalam ayat lainnya:

وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالآيَاتِ إِلا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الأوَّلُونَ
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. (Isra’: 59)

Maka tidak memberikan mukjizat seperti yang mereka minta itu pun adalah sebuah rahmat daripada Allah ﷻ kerana kalau Allah ﷻ beri juga dan mereka tolak selepasnya, maka azab akan terus diberikan kepada mereka. Ini kerana kalau yang diminta telah diberi, tetapi masih berdegil juga, maka sudah tidak ada harap bagi mereka. Ini seperti disebut dalam Isra’: 59

وَما مَنَعَنا أَن نُرسِلَ بِالآياتِ إِلّا أَن كَذَّبَ بِهَا الأَوَّلونَ ۚ وَآتَينا ثَمودَ النّاقَةَ مُبصِرَةً فَظَلَموا بِها ۚ وَما نُرسِلُ بِالآياتِ إِلّا تَخويفًا
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti.

Di sini Allah ﷻ beri contoh kaum Tsamud yang minta mukjizat unta berita. Kemudian ia telah diberikan dan kita pun tahu yang mereka telah tetap kufur juga terhadap Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akhirnya mereka telah dikenakan dengan azab yang teruk. Maka Allah ﷻ tidak beri mukjizat yang diminta oleh Musyrikin Mekah itu kerana Allah ﷻ sedang memberi mereka peluang.

Allah ﷻ beri peluang untuk mereka berfikir. Jangan gopoh minta sesuatu yang tidak patut-patut. Apabila mereka minta mukjizat lain, ini bermakna mereka tidak nampak hebatnya mukjizat Al-Qur’an itu sendiri yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kena fikirkan tentang Al-Qur’an yang mereka sendiri pun pening untuk menolaknya. Mereka pun takjub juga dengan Al-Qur’an itu! Maka, kenapakah perlunya kepada mukjizat yang lain?

 

إِنَّما أَنتَ مُنذِرٌ

Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan; 

Bukanlah Allah ﷻ tidak boleh memberikan mukjizat itu kepada Rasul-Nya, tetapi Allah ﷻ tahu hati mereka, Allah ﷻ tahu yang permintaan mereka itu bukanlah untuk beriman, tetapi hanya untuk menentang sahaja. Kalau permintaan mereka dikabulkan, belumlah tentu mereka akan percaya dan mengubah sikap mereka. Ini telah terbukti pada Nabi dan Rasul yang terdahulu. Sebab itu Allah ﷻ memperingatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya permintaan-permintaan yang semacam itu, jangan dilayan.

Lagi pun baginda memang tidak ada kuasa untuk mendatangkan mukjizat setiap kali Musyrikin Mekah minta. Bukan kerja baginda hendak buat magik dengan mereka kerana baginda tugas hanya sebagai pemberi peringatan sahaja, bukan seorang yang memiliki mukjizat. Maka baginda jangan lagi minta mukjizat ditunjukkan kepada mereka yang masih tidak mahu beriman.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa tugas baginda hanyalah menyampaikan risalah Allah ﷻ yang diperintahkan kepadanya untuk menyampaikannya:

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ
bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya. (Baqarah: 272)

Oleh itu, bukanlah kerja baginda membawakan mukjizat sahaja (bila minta sahaja, dapat). Kita kena faham dengan perkara-perkara khawariqul adah (mencarik adat) iaitu perkara luar biasa. Antaranya mukjizat dan karamah. Mukjizat untuk para Nabi manakala karamah untuk para wali.

Para Nabi dan para wali tidak mempunyai mukjizat dan karamah. Mereka hanya diberikan pada ketika-ketika tertentu sahaja, apabila Allah ﷻ beri sahaja. Bukanlah mereka ada kuasa itu sendiri – bukanlah kalau mereka mahu menggunakannya sahaja, maka muncul mukjizat/karamah itu. Ia hanya berlaku sekali sekala sahaja. Bila masa untuk tunjukkan mukjizat atau karamah adalah ketentuan daripada Allah ﷻ semata-mata.

Selalunya di dalam ayat-ayat lain ada diberitahu yang Nabi itu menyampaikan amaran dan berita baik. Namun tidak ada dalam surah ini – disebut مُنذِرٌ sahaja. Ini adalah kerana surah ini adalah surah yang mengandungi banyak ancaman.

 

وَلِكُلِّ قَومٍ هادٍ

dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk.

Nabi Muhammad ﷺ adalah pemberi peringatan dan setiap umat ada Nabi/pemimpin/pendakwah yang mengajak kepada kebenaran dan menyampaikan wahyu Tuhan. Ini juga ada disebut melalui firman-Nya yang lain:

وَإِنْ مِنْ أُمَّةٍ إِلا خَلا فِيهَا نَذِيرٌ
Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan. (Fathir: 24)

Oleh itu semua umat ada pemberi petunjuk. Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Nabi dan Rasul yang pertama. Umat-umat sebelum ini pun sudah ada Rasul mereka yang menyampaikan hidayah kepada manusia. Itulah tugas mereka dan mereka pun tidak boleh keluarkan mukjizat ikut kehendak mereka sendiri.

Jelas di sini kita dapat tahu bahawa setiap kawasan atau negeri ada pemberi peringatan. Ini adalah tanda Allah ﷻ sayang kepada makhluk-Nya. Tidaklah semestinya seorang Nabi kerana Nabi juga boleh menghantar wakil mereka untuk menyampaikan dakwah seperti disebut dalam Yaasin: 13

وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا أَصحٰبَ القَريَةِ إِذ جاءَهَا المُرسَلونَ
Dan ceritakanlah kepada mereka satu perbandingan mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

‘Rasul’ di dalam ayat Yaasin ini bukanlah para Nabi tetapi utusan daripada Nabi. Maka utusan daripada Allah ﷻ boleh sahaja terdiri daripada pendakwah dalam kalangan manusia yang bukan Nabi. Macam kita sekarang tidak ada Nabi, bukan? Akan tetapi kita tetap menerima ajaran dan dakwah daripada para pendakwah. Sebab itulah orang yang ingkar dan dimasukkan ke dalam neraka akan ditanya tentang pemberi peringatan kepada mereka. Termasuklah kita nanti. Semuanya akan mengaku telah datang kepada mereka seperti disebut  dalam Mulk: 8-9

كُلَّما أُلقِيَ فيها فَوجٌ سَأَلَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم نَذيرٌ
Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”

قالوا بَلىٰ قَد جاءَنا نَذيرٌ
Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami pemberi ingatan,

Peringatan itu tidak semestinya dalam bentuk seorang manusia kerana Al-Qur’an juga adalah pemberi petunjuk juga dan ia bukanlah manusia. Oleh itu apabila dikatakan setiap umat akan mendapat petunjuk, ia bermaksud dengan berbagai cara – ada yang nampak mukjizat, ada yang nampak kebenaran yang dibawa oleh para Rasul, ada yang dapat membaca ilmu wahyu dan sebagainya.

Sebagaimana kita tidak ada lagi Nabi dan Rasul tetapi kita ada Al-Qur’an dan pendakwah yang mengajar dan mengajar kepada Al-Qur’an. Maka Allah ﷻ yang tentukan manusia dapat petunjuk jenis apa.

Habis Ruku’ 1 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ra’d Ayat 8: Dalil aqli tanbih ke 2. Allah ﷻ menyebutkan tentang ilmu-Nya Yang Maha sempurna. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu ghaib.

اللهُ يَعلَمُ ما تَحمِلُ كُلُّ أُنثىٰ وَما تَغيضُ الأَرحامُ وَما تَزدادُ ۖ وَكُلُّ شَيءٍ عِندَهُ بِمِقدارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh knows what every female carries¹ and what the wombs lose [prematurely] or exceed.² And everything with Him is by due measure.

  • With absolute knowledge inclusive of every aspect of the fetus’ existence.
  • Beyond their normal period of pregnancy and/or the number of fetuses therein.

(MALAY)

Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap betina, dan kandungan rahim yang kurang sempurna dan yang bertambah. Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.

 

اللهُ يَعلَمُ ما تَحمِلُ كُلُّ أُنثىٰ

Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap betina,

Allah ﷻ hendak memberitahu yang Allah ﷻ kenal makhluk itu sebelum mereka itu lahir lagi; Allah ﷻ tahu tentang mereka sebelum mereka kenal diri mereka lagi. Sebab itu Allah ﷻ beritahu apa yang ada dalam perut ibu yang hamil. Allah ﷻ tahu dengan segala maklumat yang lengkap walaupun kadang-kadang ibu itu sendiri tidak tahu yang dia sedang hamil. Bukan manusia sahaja, tetapi semua makhluk betina.

Kalau ibu itu tahu yang dia sedang mengandung pun, dia tidak tahu bagaimanakah kandungannya itu – sihat atau tidak, akal sempurna atau tidak, sihat atau cacat, ada satu atau lebih, dan sebagainya. Allah ﷻ sudah tahu segala-galanya. Perihalnya sama dengan yang disebutkan oleh firman-Nya:

هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَإِذْ أَنْتُمْ أَجِنَّةٌ
Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) kalian ketika Dia menjadikan kalian daripada tanah dan ketika kalian masih janin. (Najm:32)

Di dalam Luqman: 34 Allah ﷻ juga berfirman:

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الغَيثَ وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ
Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim.

Akan tetapi mungkin ada yang berhujah, zaman moden sekarang ini sudah boleh tahu tentang kandungan dalam perut ibu, bukan? Ini tidak sama kerana kalau ada doktor tahu pun ada banyak prosesnya. Doktor itu kena belajar dahulu sekian punya lama, hendak lihat pun memerlukan alatan khas, dan alat itu pula memerlukan elektrik. Ini semua tidak diperlukan oleh Allah ﷻ. Setelah dapat imbas pun, bukannya setiap kali berjaya. Kadang bayi dalam perut itu bergerak ke arah lain, menyebabkan pengimbas itu sudah tidak dapat mengesan janin itu. Malah walaupun dapat dikesan jantina janin itu tidak dapat dikenalpastikan secara tepat kerana kadangkala yang disangkakan anak perempuan, tahu-tahu anak lelaki pula yang keluar!

Doktor itu pun hanya tahu apa yang dia boleh imbas sahaja. Doktor itu tidak tahu pun sama ada anak itu akan sihat atau tidak, apakah nasib dia, beriman atau tidak, bila dia mati, tinggal di mana, di mana dia akan mati dan lain-lain. Maka jangan kata sama pula doktor itu dengan Allah ﷻ!

Apa pengajaran bagi kita sekarang? Kita tahu yang segalanya dalam takdir Allah ﷻ. Kita kena sedar yang kita hanya boleh merancang sahaja, namun sama ada menjadi atau tidak, ia terpulang kepada Allah ﷻ. Maka kena belajar serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ sepenuhnya.

 

وَما تَغيضُ الأَرحامُ

dan kandungan rahim yang kurang

Namun begitu ada rahim yang mulanya menyimpan kandungan tetapi selepas itu ‘berkurang’. Maksudnya kandungan itu gugur tidak menjadi. Begitu ramai yang mengalami keadaan begini. Kebanyakan ibu dan ayah berharap semoga kandungan itu sihat sampai dapat melahirkan, tetapi semuanya ditentukan oleh Allah ﷻ. Berkenaan hal ini, Rasulullah ﷺ ada bersabda,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الْأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي الْمَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ وَلَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ
Daripada [Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kunci perkara ghaib itu ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah ﷻ. Tidak ada yang tahu apa yang akan terjadi dengan hari esok kecuali Allah ﷻ. Tidak ada yang tahu apa yang terjadi di dalam rahim-rahim kecuali Allah ﷻ. Tidak ada yang tahu bilakan datangnya hujan kecuali Allah ﷻ. Tidak ada seorang pun yang tahu di mana dia akan meninggal. Dan tidak ada yang tahu bilakan terjadi hari kiamat kecuali Allah ﷻ.”
(Sahih Bukhari (4328))

Ia juga boleh bermaksud berkurangnya masa kehamilan itu kerana ada sahaja yang tidak cukup bulan tetapi terpaksa keluarkan anak itu.

 

وَما تَزدادُ

dan yang bertambah.

Allah ﷻ tahu bila rahim semakin besar. Ini tentang kandungan yang berterusan membesar dalam kandungan ibunya itu. Mulanya kandungan itu ringan tetapi lama-lama ia menjadi berat. Allah ﷻ yang mencipta makhluk itu dan membesarkan janin di dalam rahim.

Ia juga boleh bermaksud bilangan anak. Kadang-kadang bilangan anak dalam perut itu boleh bertambah. Disangkakan janin satu sahaja, tetapi kemudian baru tahu rupanya ada kembarnya.

Lagi satu tafsir, ia boleh bermaksud bertambahnya masa kandungan itu di dalam perut. Ini kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat memastikan berapa lama kandungan itu akan lahir. Maka ada tempoh kehamilan yang panjang dan ada yang pendek; semuanya itu adalah dalam taqdir Allah ﷻ. Ada yang kurang daripada 9 bulan dan ada juga yang sampai melebihi 9 bulan.

 

وَكُلُّ شَيءٍ عِندَهُ بِمِقدارٍ

Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.

Semua yang terjadi itu adalah dikira dalam qadar Allah ﷻ. Allah ﷻ menjaga setiap perkara, kecil atau besar. Sama ada kandungan itu menjadi atau tidak, berapa lama kandungan itu dalam perut, semua itu dalam penentuan Allah ﷻ. Berapa kadar rezeki yang dia akan dapat sepanjang hidupnya dan bilakan ajalnya, Allah ﷻ yang tentukan. Di dalam hadith ada disebutkan:

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ أَنَّهُ يُجْمَعُ خَلْقُ أَحَدِكُمْ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ إِلَيْهِ الْمَلَكَ فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ فَيَقُولُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَأَجَلَهُ وَرِزْقَهُ وَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
[Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; telah menceritakan kepada kami Rasulullah ﷺ dan baginda seorang yang jujur lagi dipercayai: “Penciptaan masing-masing kalian dihimpun dalam perut ibu selama empat puluh hari hingga menjadi segumpal darah. Kemudian menjadi segumpal daging seperti itu pula, kemudian Allah mengutus seorang malaikat kepadanya, dia diperintahkan dengan empat kalimat, kemudian Dia berfirman: ‘Tulislah amal, ajal, dan rezekinya serta sengsara atau bahagia.’ Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya ada salah seorang kalian berbuat dengan amalan penghuni syurga hingga tidak ada jarak antara dirinya dengan syurga kecuali sehasta, namun catatan telah mendahuluinya hingga dia mengerjakan perbuatan penghuni neraka dan akhirnya masuk neraka. Dan sesungguhnya ada salah seorang kalian melakukan amalan penghuni neraka hingga tidak ada jarak antara dirinya dengan neraka kecuali satu hasta, namun catatan mendahuluinya hingga dia mengerjakan amalan penghuni syurga dan akhirnya dia masuk ke syurga.”
(Sahih Bukhari (73))

Bahkan bukan kandungan dan nyawa seorang manusia sahaja yang Allah ﷻ tentukan, malah semua perkara di dalam alam ini. Lalu bagaimana puak musyrikin itu berani meminta azab? Allah ﷻ juga memberitahu yang apa sahaja yang kamu lakukan, Allah ﷻ rekodkan dan simpan. Kalau Allah ﷻ boleh rekod keadaan kamu dalam rahim ibumu, tentu Allah ﷻ boleh sahaja merekod apa yang kamu telah dan sedang lakukan.


 

Ra’d Ayat 9: Sambungan tentang ilmu Allah ﷻ yang tahu segalanya.

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ الكَبيرُ المُتَعالِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He is] Knower of the unseen and the witnessed, the Grand, the Exalted.

(MALAY)

Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak; Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi.

 

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak;

Allah ﷻ Maha Mengetahui segala perkara sama ada zahir atau pun tidak. Lihatlah bagaimana keadaan kandungan dalam perut pun Allah ﷻ tahu. Allah ﷻ tahu perkara yang makhluk nampak dan benda yang kita tidak nampak pun, Allah ﷻ pasti nampak. Pandangan kita terhad, nampak yang zahir sahaja; tetapi pandangan Allah ﷻ tiada terhad. Kalau pandangan yang zahir itu pun belum tentu betul. Kadang-kadang nampak dari jauh kawan kita dan kita sudah siap untuk menegur, tetapi bila sudah dekat, baru perasan itu bukan kawan kita. Nasib baik belum tegur lagi.

Golongan yang kafir bukannya tidak kenal Allah ﷻ, tetapi mereka ada tanggapan yang salah tentang Allah ﷻ. Sebagai contoh Musyrikin Mekah kenal Allah ﷻ itu sebagai Tuhan, sebagai Pencipta. Akan tetapi mereka sangka kalau mereka bercakap secara rahsia, Allah ﷻ tidak tahu; Yahudi dan Nasrani juga kenal Allah ﷻ, tetapi mereka anggap Allah ﷻ macam manusia pula mengambil anak. Maka di dalam Al-Qur’an Allah ﷻ banyak menyebut tentang sifat-sifat-Nya supaya manusia kenal betul-betul dengan Dia.

 

الكَبيرُ

Yang Maha Besar

Allah ﷻ itu Maha Besar. Allah ﷻ lebih besar daripada alam ini. Kita kena sedar betapa kerdilnya kita. Manusia kecil sahaja semasa dalam perut ibu mereka. Apabila sudah keluar pun, masih kecil lagi. Maka tidak perlulah berlagak dan sombong di atas muka bumi ini. Orang kata jangan besar kepala lah!

 

المُتَعالِ

Maha Tinggi.

Kalimah المُتَعالِ daripada katadasar ع ل و yang bermaksud tinggi; dinaikkan; ditinggikan; naik; mengatasi; berbangga; kenaikan pangkat atau martabat; mengambil; ketinggian; kemuliaan; kebanggaan; kurang ajar; ketinggian yang hebat; menguasai; menakluki; menang. Maka المُتَعالِ bermaksud kedudukan yang tinggi. Kedudukan Allah ﷻ amat tinggi. Manusia itu dan segala makhluk amat rendah kalau dibandingkan dengan Allah ﷻ. Maka tunduklah semua diri kepada-Nya, dan tertakluklah semua hamba kepada-Nya, baik dengan senang hati ataupun terpaksa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment