Tafsir Surah Yusuf Ayat 39 – 40 (Kritikan terhadap agama syirik)

Yusuf Ayat 39: Maka Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak mereka tolong fikirkanlah apa yang baginda telah sampaikan itu. Gunakan otak dengan berfikir, jangan terus tolak, jangan pajakkan otak itu. Maka diberikan dengan sesuatu yang mereka boleh fikir-fikirkan. Jadi ini adalah salah satu daripada cara tabligh yang Allah ‎ﷻ ajarkan kepada kita.

يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجنِ ءَأَربَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيرٌ أَمِ ٱللَّهُ ٱلوَٰحِدُ ٱلقَهَّارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O [my] two companions of prison, are separate lords better or Allāh, the One, the Prevailing?

(MALAY)

Hai kedua penghuni penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?

 

يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجنِ

Hai kedua sahabatku penghuni penjara, 

Ini panggilan baik daripada baginda terhadap kedua-dua mereka. Beginilah kita kalau dalam berdakwah, kena gunakan bahasa yang baik-baik. Kena cakap dengan lembut dengan orang yang kita hendak dakwah. Cari apa persamaan antara kita dengan yang hendak didakwah itu. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, baginda sebut persamaan antara mereka iaitu sama-sama duduk dalam penjara. Ini kerana manusia bukan sahaja melihat apa yang kita kata, tetapi mereka juga melihat perangai dan akhlak kita. Bagaimana cara kita panggil mereka pun penting juga. Yang menjadikan mereka rasa mereka ada kaitan dengan kita adalah apabila kita sebut persamaan antara kita.

 

ءَأَربَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيرٌ

manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itukah,

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎menggunakan perumpamaan dalam mengajar. Kalimah أَربَابٌ adalah jamak kepada ربّ. Kalimah ربّ itu boleh membawa beberapa maksud dan kita pun telah lihat penggunaannya yang berbeza di dalam Surah Yusuf ini. Ia boleh jadi:

1. Allah ‎ﷻ atau tuhan selain Allah ‎ﷻ yang disembah
2. Tuan yang memiliki hamba abdi
3. Raja Negeri Mesir.

Baginda suruh mereka fikir, ربّ yang ramai itu baikkah? Mungkin yang dimaksudkan adalah tuhan (ilah) atau tuan kepada seseorang, atau raja. Ini kerana kalau di Mesir itu, keluarga diraja pun dikenal sebagai rabb juga. Di sini baginda suruh mereka fikirkan: kalau ada ramai tuhan, atau ramai tuan, bukankah menyusahkan hidup ini sahaja? Setiap tuan itu pula ada kehendak masing-masing; seorang tuan suruh buat A, tuan yang lain suruh buat B pula? Bukankah pening kepala kerana perlu memenuhi kehendak ramai tuan pula. Bukan di dalam ayat ini sahaja Allah ‎ﷻ membuat perbandingan ini malah ada lagi di tempat lain di dalam Al-Qur’an seperti di dalam Zumar:29 

ضَرَبَ اللَهُ مَثَلًا رَّجُلًا فيهِ شُرَكاءُ مُتَشٰكِسونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَل يَستَوِيانِ مَثَلًا
Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dirinya yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimiliki oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). 

Kalau ada tuan yang banyak, maka seorang hamba atau pekerja tidak akan dapat memuaskan hati semua tuan itu kerana tuan A mahukan hamba buat begini, tuan B hendak dia buat begitu pula. Sedangkan kalau hanya ada satu tuan sahaja, kita boleh memenuhi kehendak tuan itu, bukan? Maka begitulah dengan Allah ‎ﷻ, kita ikut arahan Dia sahaja.

Satu lagi maksud ربّ adalah yang mendidik, memupuk; atau dalam bahasa kita selalu kita gunakan istilah ‘tarbiyah’. Kita memang memerlukan tarbiyah daripada orang lain seperti ibubapa kita, rakan, guru dan sebagainya. Namun mana-mana pertarbiyahan tidak akan sempurna. Bos kita di tempat kerja hanya boleh tarbiyah dalam hal kerja sahaja; keluarga kita boleh tarbiyah dari segi emosi sahaja; kawan-kawan pun boleh nasihat sedikit sebanyak sahaja. Akan tetapi ربّ manakah yang boleh tarbiyah kita dengan paling sempurna? Itulah Allah ‎ﷻ!

Kalimah مُتَفَرِّقُونَ daripada kata dasar ف ر ق yang bermaksud belahan, bahagi, bezakan, bahagian, bantuan, kejayaan, hujah, bukti, meninggalkan, berbeza, takut. Ia bermaksud tuhan yang berbeza dan berlainan, ada banyak. Malah sifat mereka pun berbeza. Kuasa pun berbeza kerana ada yang lebih kuat dan berkuasa daripada yang lain kononnya. Kalau begitu, memang tidak layak untuk menjadi tuhan kalau begitu kerana sifat Tuhan mestilah mengalahkan semua selain-Nya. Lagipun jikalau ada banyak tuhan, maka berlawananlah mereka kerana hendak mendapat tempat tuhan no. 1 jadi hancur binasalah alam ini seperti disebut di dalam Anbiya’:22

لَو كانَ فيهِما ءآلِهَةٌ إِلَّا اللهُ لَفَسَدَتا ۚ فَسُبحٰنَ اللهِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai ‘Arsy daripada apa yang mereka sifatkan.

Jadi perbezaan tuhan-tuhan rekaan ini boleh dibahagikan kepada 3:

1. Ada banyak tuhan maka tidak ada yang mutlak kuatnya.
2. Bila banyak, mungkin bergantian menjadi tuhan, dan ini menandakan kelemahan kerana Tuhan tidak boleh dikalahkan.
3. Berbeza tugasan. Contohnya ada yang jaga api, ada jaga air dan sebagainya. Ini juga bukti lemahnya tuhan-tuhan itu.

Zaman sekarang kita tidak perlukan tuhan yang banyak untuk merosakkan dunia. Tuhan-tuhan rekaan itu diberi nama (dalam bahasa Arab disebut اسم atau ism). Sekarang dalam dunia ada banyak ism tetapi bukanlah nama tuhan yang disembah sebagai agama tetapi ideologi. Ada communisme, humanisme, pluralisme, feminisme dan entah berbagai-bagai isme lagi. Semua ini tidak akan dapat duduk bersama dan bersetuju antara satu sama lain. Maka penuhi kehendak Allah ‎ﷻ sahajalah.

Di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi contoh tuan atau tuhan yang banyak. Namun bukankah ini boleh menyinggung perasaan orang yang memang menyembah banyak tuhan? Tentu dua orang banduan itu agamanya menyembah tuhan yang banyak dan kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi contoh itu. Maka ini mengajar kita yang tidak salah kalau kita memberi contoh yang boleh menyebabkan orang yang kita dakwah tersinggung. Kerana itulah sahaja cara untuk membuka minda mereka. Kalau tidak boleh langsung cakap begitu, maka bagaimana hendak berdakwah?

 

أَمِ ٱللَّهُ ٱلوَٰحِدُ ٱلقَهَّارُ

ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?

Adakah tuhan yang banyak itu bagus atau Allah ‎ﷻ yang satu sahaja? Kalau kita menggunakan akal yang waras, tentulah tuhan yang satu itu lebih bagus. Kalau ada tuhan banyak, apa yang akan jadi? Tentu bercelaru hidup kita kerana hendak penuhi kehendak semua tuhan pula. Begitulah kalau kita lihat agama yang ada tuhan banyak seperti Hindu dan Yunani. Macam-macam perangai tuhan-tuhan mereka itu sampaikan berkelahi antara satu tuhan dengan tuhan yang lain, tidak lari jauh daripada perangai budak-budak pula kita lihat. Beginikah sifat tuhan? Tentu tidak!

Kalau kita kata baginda maksudkan ‘tuan’ dalam bentuk manusia, mana yang lebih bagus? Ada satu tuan atau ramai tuan? Bayangkan kalau seorang hamba ada banyak tuan, dan masing-masing suruh dia buat kerja. Seorang suruh begini dan seorang lagi suruh begitu; pening jadinya hamba itu. Kalau kita sekarang, bayangkan ada bos yang ramai, seorang suruh begini dan seorang lagi suruh begitu, bukankah pening jadinya? Sekiranya seseorang itu tidak bekerja sekalipun, bayangkan dia yang mempunyai emak dan ayah dan kedua-duanya memberikan arahan berbeza; tidakkah pening anak itu? Bukan sahaja pening kepala, malah kita akan rasa tidak keruan kerana tidak dapat memenuhi kehendak semua tuan kita, bukan? Kerana masing-masing akan ada kehendak berlainan dan mungkin berlawanan antara satu sama lain. Maka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak memberi perumpamaan – sembah dan taat kepada satu Tuhan sahaja iaitu Allah ‎ﷻlah yang lebih baik. Senang ikut satu arahan sahaja. Itulah ajaran tauhid.

Bukan sahaja tuan kita hendak puaskan, tetapi ada banyak elemen lagi yang mendesak kita, seperti kehendak keluarga, budaya, kehendak diri sendiri dan masyarakat, parti politik, dan sebagainya. Semua itu kita tidak akan dapat penuhi. Sebagai contoh, kalau kita tumpukan kepada kerja sahaja, keluarga kita akan terasa hati kerana telah diabaikan. Maka kita akan menjadi keluh kesah kerana tidak dapat hendak memenuhi kehendak semua orang. Herbert Bayard Swope (Pemenang pertama Pulitzer Prize for Journalism) pernah berkata: “I cannot give you the formula for success, but I can give you the formula for failure—which is: Try to please everybody.” Jadi kalau kita tumpukan perhatian kita untuk memuaskan kehendak Allah ‎ﷻ, maka kehendak-kehendak yang lain itu jatuh nombor dua sahaja. Yang penting, Allah ‎ﷻ dahulu yang kita utamakan. Kalau kita hendak puaskan hati manusia, tidak ada berjaya seperti kata Pepatah Arab:

رضا الناس غاية لا تدرك
“Keredhaan manusia adalah matlamat yang tidak akan tercapai.”

Maka jangan kita mencari redha manusia kerana kita takkan dapat. Hari ini orang ini redha, orang lain tidak redha. Esok bertukar pula, maka kita fokus ikut kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Kenapa kita tidak boleh puaskan hati manusia? Kerana kita ini lemah dan banyak kekurangan. Ada sahaja perkara yang terlebih atau terkurang yang kita lakukan kerana kita manusia yang tidak sempurna. Akan tetapi Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita, kenal kita dan sayang kita, tetap menerima kita dan boleh redha dengan kita kerana Dia Maha Penyayang.

Maka jelaslah sekarang bahawa memenuhi kehendak Yang Satu ٱلوَٰحِدُ itu lebih mudah. Akan tetapi, kalau satu itu juga ada yang kritik, kerana ia seolah-olah berseorangan, bersendirian. Bagi sesetengah manusia, banyak itu lebih bagus, lebih kuat. Kerana itulah Musyrikin Mekah hairan apabila Nabi Muhammad ﷺ menyeru hanya menyembah Tuhan Allah yang satu sahaja sedangkan bagi mereka, tuhan banyak lagilah bagus. Ini antaranya disebut di dalam Sad:5

أَجَعَلَ الآلِهَةَ إِلٰهًا واحِدًا ۖ إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عُجابٌ
Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.

Perhatikan bagaimana selepas Allah ‎ﷻ menyebut Nama-Nya ٱلوَٰحِدُ sebanyak 6 kali di dalam Al-Qur’an, setiap kali itu ia akan digandingkan dengan Nama ٱلقَهَّارُ untuk menutup sangkaan yang Allah ‎ﷻ itu lemah dan tidak berkuasa. Secara bahasa, ٱلقَهَّارُ berasal daripada kata dasar al-qahr (القهر), yang bermaksud:

  • Menguasai dan Menundukkan.
  • Memaksa dan Menundukkan dengan kekuasaan yang mutlak.

Malah Firaun sendiri menggunakan istilah ini seperti disebut di dalam A’raf:127

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ أَتَذَرُ موسىٰ وَقَومَهُ لِيُفسِدوا فِي الأَرضِ وَيَذَرَكَ وَءآلِهَتَكَ ۚ قالَ سَنُقَتِّلُ أَبناءَهُم وَنَستَحيي نِساءَهُم وَإِنّا فَوقَهُم قٰهِرونَ
Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka”.

Itu cuma keadaan seorang hamba yang perasan hebat sahaja seperti Firaun kerana dia sangka dia kuat dan boleh menundukkan Bani Israil. Dia lupa yang Allah ‎ﷻ lebih berkuasa daripada dia. Oleh itu, maksud nama Allah ٱلقَهَّارُ adalah Maha Perkasa yang Menguasai dan Menundukkan semua makhluk-Nya. Ia merujuk kepada Zat Allah ‎ﷻ yang memiliki kekuasaan mutlak untuk menguasai, menundukkan, dan memaksa seluruh ciptaan-Nya mengikut kehendak-Nya. Tiada satu pun yang dapat melepaskan diri daripada kekuasaan-Nya. Jadi walaupun Allah ‎ﷻ bersendirian, bukanlah Allah ‎ﷻ lemah tidak berkuasa. Memang Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pembantu pun kerana Allah ‎ﷻ Maha Kuat dan Maha Mengalahkan makhluk mana-mana pun. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hud:56

مّا مِن دابَّةٍ إِلّا هُوَ ءآخِذٌ بِناصِيَتِها
Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan nama Allah ini kerana dalam sistem beraja di Mesir, mereka mungkin hamba yang ada tuan, atau rakyat yang ada raja; dan tuan atau raja itu menguasai mereka dan boleh mencederakan malah boleh membunuh mereka. Namun di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak mengajar mereka bahawa ada lagi Tuan yang lebih besar daripada tuan-tuan dan raja itu iaitu Allah ‎ﷻ yang paling berkuasa dan mengalahkan semua makhluk. Tuan dan raja itu hanya berkuasa di dunia sahaja sedangkan Allah ‎ﷻ berkuasa di dunia dan di akhirat!

Kalau tuan yang ramai, maka tidak ada yang berkuasa penuh kerana masing-masing tuan itu ada kuasa. Tidak ada satu tuan pun yang berkuasa mutlak, maka itu bukanlah sifat Tuhan, kerana Tuhan itu kuasanya Mutlak seperti Allah ‎ﷻ yang bersifat ٱلقَهَّارُ. Dalam ayat ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan nama Al-Qahhar untuk mematahkan kepercayaan syirik. Baginda menegaskan bahawa tuhan-tuhan yang berbilang itu tidak mempunyai kuasa sebenar. Tuhan yang sebenar dan layak disembah adalah satu-satunya entiti yang memiliki kuasa mutlak, mampu menundukkan segala sesuatu, dan Dialah Allah, Al-Wahid Al-Qahhar. Ini adalah strategi dakwah yang sangat berkesan, memindahkan perbincangan daripada tafsiran mimpi kepada persoalan tauhid yang paling asas.


 

Yusuf Ayat 40: Sekarang kita lihat lagi Dalil Aqli digunakan dalam dakwah.

مَا تَعبُدُونَ مِن دُونِهِۦۤ إِلَّآ أَسمَآءً سَمَّيتُمُوهَآ أَنتُم وَءَابَآؤُڪُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلطَـٰنٍ‌ۚ إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ‌ۚ ذٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You worship not besides Him except [mere] names you have named them,1 you and your fathers, for which Allāh has sent down no authority. Legislation is not but for Allāh. He has commanded that you worship not except Him. That is the correct religion, but most of the people do not know.

  • The false objects of worship which you have called “gods.”

(MALAY)

Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

 

مَا تَعبُدُونَ مِن دُونِهِۦۤ إِلَّآ أَسمَآءً سَمَّيتُمُوهَآ

Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu namakan sahaja

Sekarang baginda menegur agama mereka pula. Setelah mereka mula berbicara, mungkin mereka hendak menceritakan dan mempertahankan agama mereka pula dan tuhan-tuhan mereka. Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu yang tuhan-tuhan yang mereka sembah itu tidak ada, tetapi hanyalah rekaan manusia semata-mata. Nama-nama tuhan mereka itu rekaan manusia sahaja ikut sesuka hati sahaja tanpa ada bukti dan dalil. Nama-nama itu tidak ada hakikat, tidak sama dengan sifat yang dinamakan. Ini macam orang yang bernama Bujang tetapi dia tidak bujang pun. Sedangkan nama Allah (Asmaul Husna) adalah Nama Allah dan ia juga adalah hakikat Sifat Allah.

Namun selain daripada nama Allah, manusia banyak yang reka tuhan dan nama tuhan mereka. Begitulah dengan agama-agama selain Islam – mereka ada bermacam-macam jenis tuhan, tetapi itu semua rekaan sahaja. Ada tuhan perang, tuhan cinta, tuhan laut, tuhan itu dan ini. Itu semua karut sahaja. Itu semua ambil daripada angin sahaja kerana tidak ada pun.

 

أَنتُم وَءَابَآؤُڪُم

kamu dan nenek moyangmu

Bukan sahaja mereka yang reka, tetapi diambil daripada rekaan datuk nenek mereka yang terdahulu. Ini kerana antara hujah yang digunakan manusia adalah perkara dan amalan yang mereka pegang itu bukan mereka reka, tetapi sudah lama ada. Ya memang umat kemudian pakai terima sahaja nama-nama rekaan itu. Ini kerana yang bubuh nama dengan sifat-sifat tuhan itu sekali adalah tok nenek yang dahulu yang umat kemudian hanya mengikut membuta tuli sahaja tanpa periksa. Mereka reka ada tuhan yang jaga langit, tuhan jaga bumi, tuhan jaga angin dan bermacam-macam lagi. Kemudian mereka meletakkan pula sifat-sifat mereka begitu dan begini – garang, bengis, lembut, ganas dan sebagainya. Itu semua rekaan sahaja dan selalunya diterima daripada ajaran datuk nenek zaman berzaman. Inilah kesilapan besar manusia dalam agama: selalu sahaja amalkan ajaran datuk nenek tanpa usul periksa.

Memang manusia suka untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, tetapi kalau dalam bab agama, memang mereka senang meneruskan amalan yang telah lama ada, langsung tidak boleh dipersoalkan.

Sikap sebegini tidak jauh beza dengan golongan melayu kita lah juga, kalau bab agama, mesti meneruskan apa yang telah lama diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka menjadi terlebih sensitif. Mereka ikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar ataupun tidak. Maka amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek sebegini. Oleh itu kita kena terus sahaja sampaikan ilmu.

Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa amalan tok nenek mereka selama ini adalah salah kerana terlalu percaya dan hormatkan tok nenek itu. Ini adalah sebagaimana kita hormatkan apa yang dilakukan oleh bapa kita jugalah. Berat hati kita untuk mengatakan bapa kita salah, bukan? Bagaimana salah sekalipun, mereka tetap bapa kita. Mereka sangka apabila amalan itu telah lama diamalkan maka tentulah ia benar kerana jikalau ia salah maka tentu telah lama ditolak.

Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agamawan juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah, masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada lagi amalan-amalan lain yang ada saki baki di dalam masyarakat kita.

Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat kerana,

    1. Sudah lama diamalkan jadi kenapa hendak tukar?
    2. Tok nenek yang kita hormat yang amalkan
    3. Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
    4. Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini

Al-Qur’an menegur hujah bathil mereka ini seperti disebut dalam Baqarah:170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.

Hujah mereka ini dijawab oleh Allah ﷻ di dalam sambungan ayat itu. Kalau amalan itu memang ada hujah dan dalil, maka bolehlah diteruskan, tetapi kalau ia dilakukan tanpa apa-apa sandaran agama, maka kenapa diteruskan? Takkan masih mahu mengikut amalan orang yang tidak berilmu hanya kerana semata-mata mereka itu tok nenek kita?

أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

Oleh itu orang yang berilmu dan telah membuka mindanya serta telah belajar agama mestilah berani meninggalkan amalan-amalan salah walaupun ia telah lama diamalkan. Kita tidak perlu untuk menjaga tradisi golongan yang sebelum kita jikalau ia menyelisihi wahyu.

Sekiranya amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat tidak ditegur, maka ia akan menjadi semakin teruk dan lama kelamaan akan dianggap sebagai agama dan benar. Sebab itulah amalan tok nenek itu dianggap sebagai baik kerana tidak pernah tegur oleh ahli agama yang sepatutnya tahu. Begitu jugalah kita terpaksa menegur amalan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana jikalau kita tidak tegur, entah apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita. Kalaulah kita dapat hidup selama 50 tahun lagi dan lihat amalan masyarakat ketika itu, kita pun tidak tahu masyarakat kita itu beragama apa agaknya kerana amalan sudah menjadi pelik-pelik.

Jadi ini adalah kritikan yang banyak terdapat di dalam Al-Qur’an tentang rekaan nama tuhan-tuhan yang dibuat oleh manusia. Kita boleh lihat juga terhadap di dalam A’raf:71 dakwah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun begini juga,

قالَ قَد وَقَعَ عَلَيكُم مِّن رَّبِّكُم رِجسٌ وَغَضَبٌ ۖ أَتُجٰدِلونَني في أَسماءٍ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم مّا نَزَّلَ اللَّهُ بِها مِن سُلطٰنٍ ۚ فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِّنَ المُنتَظِرينَ
Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan daripada Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga daripada orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.

 

مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلطَـٰنٍ‌

Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. 

Semua itu tidak ada سُلطانٍ (dalil) daripada Allah ‎ﷻ pun tentang perkara itu. Jika agama yang benar, mestilah ada dalil, bukan ikut-ikutan sahaja. Seandainya benar adanya pembantu Allah ﷻ, yang setara dengan Allah ﷻ, tentu Allah ﷻ akan suruh kita sembah juga dan minta pertolongan kepada ilah-ilah yang lain itu. Namun tidak. Kerana itulah amalan bertawasul kepada makhluk dalam doa tidak ada dalil langsung. Yang Allah ﷻ suruh kita lakukan adalah berdoa terus kepada-Nya.

Akan tetapi memang kebanyakan manusia (termasuklah orang Islam) tidak mementingkan dalil. Maka ini mengajar kita yang sangat penting untuk memastikan nama-nama Allah ﷻ diambil daripada dalil yang jelas dan sahih. Ini adalah prinsip asas dalam akidah Islam yang dikenali sebagai tauhid al-asma’ wa al-sifat (mengesakan Allah ﷻ dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya). Dengan memastikan nama-nama Allah ﷻ itu daripada dalil yang jelas, ia dapat menjaga kesucian dan keagungan Allah ﷻ. Ini kerana menetapkan nama yang tidak sesuai dengan keagungan Allah ﷻ akan merendahkan zat-Nya, seolah-olah menyamakannya dengan sifat makhluk. Dengan memastikan nama-nama Allah ﷻ berasal daripada dalil yang jelas, umat Islam dapat menjaga kesucian tauhid, mempraktikkan ajaran agama dengan benar, dan menghindari perbuatan yang boleh merosakkan akidah mereka. Hal ini adalah sebahagian daripada kewajipan seorang Muslim untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang betul, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ.

Salah satu contoh yang paling sering dibincangkan oleh para ulama ialah nama As-Syafi’ (الشفاء), yang bermaksud “Yang Maha Penyembuh”. Ramai umat Islam menggunakan nama ini ketika berdoa, terutamanya ketika memohon kesembuhan daripada penyakit, dengan menyebut “Ya Syafi, sembuhkanlah…” Namun, nama As-Syafi’ ini tidak termasuk dalam senarai 99 Nama-Nama Allah (Asma’ul Husna) yang masyhur, dan tidak ditemukan secara eksplisit sebagai nama Allah di dalam Al-Qur’an. Nama ini sebenarnya diambil daripada sifat Allah ﷻ yang disebut dalam hadith sahih. Dalam doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ kepada pesakit, baginda bersabda:

“اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ، أَذْهِبِ الْبَاسَ، اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا”
“Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah kesusahan ini, sembuhkanlah! Engkaulah yang Maha Menyembuhkan (Antash-Syafi), tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan daripada-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.”

(Riwayat Al-Bukhari No. 5675 dan Muslim No. 2191)

Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi ﷺ menggunakan perkataan “As-Syafi” sebagai sifat (adjektif) yang menerangkan bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya entiti yang boleh menyembuhkan. Namun, ini tidak bermakna “As-Syafi” adalah nama formal Allah ‎ﷻ seperti Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) atau Al-Malik (Yang Maha Raja). Contoh lain yang sering diperdebatkan adalah nama seperti Al-Hannan. Walaupun maknanya sangat baik (Yang Maha Penuh Belas Kasihan), statusnya sebagai nama rasmi Allah ‎ﷻ dalam Asma’ul Husna juga diragui oleh sebahagian ulama kerana hadith-hadith yang menukilkannya secara eksplisit dianggap lemah. Oleh itu, ulama berpendapat bahawa walaupun kita boleh memuji dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ dengan sifat-sifat-Nya seperti “Yang Maha Penyembuh”, namun kita harus berhati-hati dalam menetapkan nama-nama rasmi bagi Allah ‎ﷻ hanya berdasarkan dalil yang jelas daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih. Ini adalah untuk menjaga kesucian dan ketepatan akidah.

 

إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌

Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. 

Ingatlah yang keputusan itu milik Allah ‎ﷻ sahaja sepenuhnya. Hukum agama mesti ikut kehendak Allah ﷻ sahaja. Kalau kamu tidak menyembah Dia sahaja, maka kamu akan dihadapkan kepada-Nya dan akan menerima balasan yang buruk. Kepada mereka yang mengamalkan syirik akan kekal dalam neraka kerana dosa syirik adalah dosa yang besar.

Ada yang menggunakan potongan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan kerajaan dunia mesti menggunakan hukum Allah, syariat Allah di dalam pemerintahan. Cuma, ini bukanlah ayatnya. Kerana kita akan belajar nanti yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi menteri kewangan di dalam kerajaan yang bukan kerajaan Islam. Raja Negeri Mesir nanti bukanlah beriman dan kebanyakan rakyat Mesir tidak beriman seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap berkhidmat di Mesir sebagai salah seorang Menteri! Maka kalaulah kena duduk di dalam kerajaan yang mengamalkan undang-undang Islam sahaja, maka tentulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bersalah kerana baginda bukan setakat duduk sahaja, tetapi berkhidmat sekali! Maka maksud ٱلحُكمُ di dalam ayat ini adalah tentang agama, iaitu agama ini hanya milik Allah عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja dan agama-agama lain tidak berhak dan tidak sah.

 

أَمَرَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ‌

Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia.

Jadi keputusan dan arahan yang kita kena ikut adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Salah satu arahan dan ketetapan daripada Allah ‎ﷻ adalah Dia telah mengarahkan semua hamba-Nya untuk sembah Dia sahaja. Kalimah تَعبُدُوٓاْ di dalam ayat ini bukan sahaja ditujukan kepada dua banduan itu sahaja akan tetapi kepada semua manusia. Kalau sembah ilah yang lain, itu adalah syirik dan Allah ‎ﷻ tidak akan maafkan. Terlalu banyak ayat-ayat yang melarang menyembah selain daripada menyembah Allah ‎ﷻ.

 

ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ

Itulah agama yang tegak, 

Puja dan seru Allah ‎ﷻ sahaja, dengan tidak digabungkan dengan ilah yang lain itulah agama yang tegak dan lurus. Tegak maksudnya tidak berubah-ubah dan begitulah agama Tauhid yang sama sahaja zaman berzaman. Syariat antara Nabi mungkin berbeza, akan tetapi tauhid tetap sama tidak akan berubah-ubah. Inilah agama yang kita mesti pegang sekuat-kuatnya.

Sekarang bayangkan sebatang pokok yang utuh tegak, yang akarnya menjunam ke dalam tanah. Maka apabila datang banjir dengan air yang mengalir deras, ia tidak akan menumbangkan pokok itu. Itulah pokok tauhid. Bayangkan kalau kita dihanyutkan oleh air banjir dan kita pegang pokok itu, tentu kita akan selamat. Maka Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ibrahim:24

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصلُها ثابِتٌ وَفَرعُها فِي السَّماءِ
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah ﷻ telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak memahami tuntutan tauhid ini. Dek kerana tidak tahulah, maka mereka reka agama sendiri dan melakukan syirik. Oleh itu, untuk selamat, jangan ikut kebanyakan manusia di dunia ini. Teruskanlah usaha mencari agama yang benar. Kenalah terus mencari dan mengkaji.

Bukan sahaja bukan Muslim kena cari agama yang benar, tetapi umat Islam pun kena juga mengkaji dan memastikan yang amalan mereka tidak ada syirik. Malangnya kita dapat lihat mereka yang Muslim pun kadangkala tidak faham apakah tauhid dan apakah syirik. Maka ramai yang mengamalkan amalan syirik tanpa sedar.

Sekian dakwah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dua kawan baginda di dalam penjara itu. Tidak disebut mereka beriman atau tidak selepas itu. Beriman atau tidak, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menjalankan tugas dakwah kepada mereka. Begitu jugalah kepada kita, hanya disuruh sampaikan dakwah sahaja. Orang terima atau tidak, bukan di dalam tanggungan kita.

 

Kuiz (Soalan Jawapan Pendek)

Jawab setiap soalan dalam 2–3 ayat sahaja.

  1. Apakah cara dakwah yang ditekankan oleh Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dua sahabatnya di penjara berdasarkan Ayat 39?
  2. Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan dakwahnya dengan panggilan mesra, “Hai kedua sahabatku penghuni penjara”?
  3. Jelaskan perumpamaan yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang memiliki ramai rabb (tuan) berbanding hanya satu Tuan.
  4. Selain sebagai Tuhan yang disembah, apakah dua maksud lain bagi kalimah rabb yang disebut dalam tafsiran ini?
  5. Apakah makna nama Allah, Al-Qahhar (ٱلقَهَّارُ), secara bahasa, dan mengapa nama ini digandingkan dengan Al-Wahid (ٱلوَٰحِدُ)?
  6. Menurut Ayat 40, apakah hakikat sebenar tuhan-tuhan yang disembah selain Allah?
  7. Apakah kritikan utama yang disampaikan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap amalan menyembah tuhan berdasarkan nama-nama yang diwarisi daripada nenek moyang?
  8. Terangkan konsep tauhid al-asma’ wa al-sifat dan mengapa ia penting dalam akidah Islam.
  9. Bagaimanakah tafsiran ini menjelaskan maksud potongan ayat “Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah” (إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌)?
  10. Apakah maksud Ad-Din Al-Qayyim (ٱلدِّينُ ٱلقَيِّمُ) dan apakah analogi yang digunakan untuk menggambarkannya?

Glosari Istilah Utama

Tabligh: Penyampaian atau penyebaran ajaran agama Islam (dakwah).
Rabb (ربّ): Tuan, pemelihara, pendidik, atau Tuhan; kalimah jamaknya adalah arbāb.
Tarbiyah: Proses mendidik, memupuk, atau membimbing.
Dalil Aqli: Hujah atau bukti yang berasaskan penggunaan akal fikiran dan logik.
Asmā’ (أَسْمَاءً): Nama-nama; dalam Ayat 40 merujuk kepada nama-nama tuhan rekaan yang tidak mempunyai hakikat.
Sultān (سُلۡطَٰنٍ): Keterangan, bukti, atau dalil yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ.
Tauhid al-Asmā’ wa al-Sifāt: Mengesakan Allah ‎ﷻ dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya; prinsip akidah bahawa nama dan sifat Allah ‎ﷻ mesti berasaskan dalil yang sahih.
Syirik: Perbuatan menyekutukan Allah ‎ﷻ dengan sesuatu yang lain dalam peribadatan atau kekuasaan.
Bid’ah: Amalan baharu dalam agama yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 39 – 40 (Kritikan terhadap agama syirik)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Nabi Yusuf mengajak mereka menggunakan akal untuk berfikir dan merenungkan apa yang disampaikannya, bukannya menolak secara terus. Ini menekankan penggunaan hujah rasional (Dalil Aqli) dan pentingnya tidak “memajakkan otak.”
    2. Panggilan baik ini bertujuan mencari persamaan antara pendakwah (Nabi Yusuf) dengan yang didakwah (dua banduan), iaitu sama-sama menghuni penjara. Ini penting kerana akhlak dan cara panggilan mempengaruhi penerimaan dakwah.
    3. Baginda menggunakan perumpamaan hamba yang memiliki ramai tuan yang berbeza kehendak, yang akan menyebabkan kekeliruan dan kesukaran hidup, berbanding hamba yang hanya mengikut arahan satu Tuan sahaja, yang lebih mudah dipenuhi.
    4. Dua maksud lain bagi rabb yang disebutkan ialah tuan yang memiliki hamba abdi, dan Raja Negeri Mesir. Selain itu, ia juga membawa maksud yang mendidik atau memupuk (tarbiyah).
    5. Al-Qahhar bermaksud Maha Perkasa yang Menguasai dan Menundukkan dengan kekuasaan mutlak. Ia digandingkan dengan Al-Wahid untuk menolak sangkaan bahawa Tuhan Yang Esa itu lemah atau tidak berkuasa, sebaliknya Dia Maha Kuat dan mengalahkan semua makhluk.
    6. Tuhan-tuhan selain Allah itu hanyalah rekaan manusia semata-mata, iaitu “nama-nama yang kamu namakan sahaja” tanpa ada hakikat dan dalil yang menyokongnya. Mereka tidak memiliki kuasa sebenar.
    7. Nabi Yusuf mengkritik amalan yang berdasarkan ikutan nenek moyang (ābā’) tanpa usul periksa atau dalil dari Allah. Ini menunjukkan bahawa kebenaran agama tidak bergantung pada tradisi lama atau tempoh amalan tersebut.
    8. Tauhid al-asma’ wa al-sifat adalah prinsip akidah mengesakan Allah dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Ia penting untuk menjaga kesucian Allah dengan memastikan nama dan sifat-Nya hanya diambil berdasarkan dalil yang jelas dan sahih dari Al-Quran dan Sunnah.
    9. Ayat ini ditafsirkan sebagai merujuk kepada hukum agama, iaitu agama ini hanya milik Allah sahaja dan agama-agama lain tidak berhak atau tidak sah. Tafsiran ini menolak pandangan bahawa ia semata-mata merujuk kepada kewajipan kerajaan dunia menggunakan syariat Islam, berdasarkan konteks Nabi Yusuf yang berkhidmat dalam kerajaan bukan Islam.
    10. Ad-Din Al-Qayyim bermaksud agama yang tegak, lurus, dan tidak berubah-ubah (iaitu agama Tauhid). Analogi yang digunakan ialah pokok yang utuh tegak, yang akarnya menjunam ke dalam tanah (kalimat yang baik seperti pohon yang baik), yang tidak akan tumbang oleh arus deras.

    Like

Leave a comment