Tafsir Surah Yusuf Ayat 3 (Kisah yang Terbaik)

Yusuf Ayat 3: Ayat ini adalah jenis Jumlah Mu’taridah (selitan maklumat daripada Allah ‎ﷻ). Ayat ini sehingga ke ayat 101 adalah Perenggan Makro yang Kedua. Dalam perenggan ini, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Seperti yang telah disebut sebelum ini, surah ini diturunkan sebagai menjawab soalan daripada puak Yahudi. Mereka hendak bandingkan dengan kisah-kisah yang  mereka telah tahu daripada kitab mereka. Ia juga menjadi satu usaha untuk menjatuhkan kedudukan baginda.  Dalam konteks ini, mereka mengajukan pertanyaan spesifik tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka berkata: “Wahai Muhammad, ceritakanlah kepada kami tentang kisah seorang Nabi yang berpindah dari Syam ke Mesir.” Ini adalah cara mereka menguji Nabi ﷺ, kerana mereka tahu bahawa kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terlalu popular dalam kalangan bangsa Arab Quraisy yang buta huruf, dan tidak ada dalam syair-syair atau cerita-cerita Arab yang umum. Mereka berharap Nabi Muhammad ﷺ tidak akan mengetahuinya. Mereka kononnya hendak memerangkap Nabi Muhammad ﷺ kerana memang tidak ramai yang tahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Kalau ada yang tahu hanyalah mereka yang ada kitab wahyu, dan tidak ada kisah sebegitu dalam sejarah dan tamadun Arab. Mereka hendak melemahkan baginda namun sebaliknya kesannya mereka telah menyebabkan kedudukan baginda menjadi tinggi setelah dapat menceritakan kisah ini. Ini kerana ia membuktikan yang baginda memang menerima wahyu.

Oleh itu, apabila kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini diceritakan dalam Bahasa Arab, ia menjadi sebuah bukti yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul, kerana tidak pernah ada kisah ini disebut dalam bahasa Arab. Tentunya baginda hanya mendapat kisah ini daripada wahyu yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ.

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِمآ أَوحَينآ إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We relate to you, [O Muḥammad], the best of stories in what We have revealed to you of this Qur’ān although you were, before it, among the unaware.

(MALAY)

Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

 

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ

Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik 

Allah ‎ﷻ boleh sahaja meletakkan kalimah نَقُصُّ sahaja dan ia sudah cukup bermaksud ‘kami telah kisahkan’ kerana maksud ‘Kami’ sudah ada di dalam نَقُصُّ. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tambah kalimah نَحنُ sebagai penekanan. Tidak lain dan tidak bukan Kami (Allah ‎ﷻ) yang mengisahkan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kepada Rasulullah ﷺ. Jadi kisah ini bukan daripada Nabi Muhammad ﷺ tetapi daripada Allah ‎ﷻ, Tuhan sekalian alam yang tahu segalanya dan Tuhan yang mengatur segala kisah dalam dunia.

Oh ya, kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan istilah ‘Kami‘ sedangkan yang dimaksudkan adalah Diri-Nya sendiri? Kalau tidak faham tentang hal ini, senang sahaja kena tipu dengan orang Kristian contohnya yang kata: ‘Tuhan kamu pun bukan satu sebab dalam Qur’an kamu digunakan istilah ‘kami’, bukan? Kalau kami tentulah banyak! Jadi kena tahu yang istilah ‘Kami’ di dalam Al-Qur’an bukanlah bermaksud ramai tetapi perkataan ‘Kami’ dalam Al-Qur’an itu dipanggil ‘Royal We’. Ini adalah hendak menunjukkan kebesaran Allah ﷻ. Dalam dunia pun, kalau seorang Raja, mereka akan bahasakan diri mereka sebagai ‘kami’ juga, walaupun dia seorang sahaja. Cuba lihat bagaimana Queen Britain bahasakan dirinya.

Bukanlah Allah ﷻ sentiasa menggunakan istilah ‘Kami’ kerana kadang-kadang Allah ﷻ menggunakan juga istilah ‘Aku’. Biasanya Allah ﷻ akan menggunakan kalimah ‘Kami’, apabila kerja-kerja itu juga melibatkan urusan daripada para malaikat juga. Kerana para malaikat itu sebagai pekerja-pekerja Allah ﷻ – walaupun Allah ﷻ yang suruh, tetapi mereka yang jalankan kerja itu. Namun begitu, memang kebiasaannya, Allah ﷻ gunakan penggunaan kalimah ‘Kami’ ini. Ada juga masanya Allah ﷻ gunakan kalimah “Aku”. Ini jarang penggunaannya dalam Al-Qur’an dan selalunya dalam keadaan sangat marah dan sangat sayang. Atau apabila urusan itu hanya dalam urusan Allah ﷻ sahaja dan Allah ﷻsahaja yang mampu melakukannya.

Bangsa Arab dari dulu tidak keliru tentang kalimah “Kami’ ini kerana ini adalah perkara biasa sahaja dalam bahasa mereka. Tidaklah mereka rasa Allah ﷻ itu ramai, mereka tetap faham yang Allah ﷻ itu satu sahaja. Mereka tahu yang ia merujuk kepada kedudukan dan martabat Allah ﷻ (Raja segala raja). Ini kita tahu kerana tidak pernah sampai kepada kita, soalan Musyrikin Mekah tentang perkara ini. Tidak ada mereka menggunakan hujah ini untuk mengatakan Tuhan Nabi Muhammad ﷺ pun ramai seperti tuhan-tuhan mereka. Walaupun terdapat banyak perkara mereka ejek dan kutuk Al-Qur’an, namun bab ‘Kami’ ini mereka tidak pernah persoalkan. Ini kerana mereka faham bahasa Arab dan penggunaannya. Yang hairan dan keliru adalah mereka yang tidak tahu sahaja.

Dari segi bahasa pun kita boleh bincangkan lagi. Namun agak teknikal jadi kalau yang susah hendak faham bahasa boleh skip bahagian ini. Penggunaan dhomir dalam Al-Qur’an untuk Allah ‎ﷻ ada 3 jenis:

Kata ganti diri pertama (yang sedang berkata) متكلم
Kata ganti diri kedua (yang sedang mengadap bercakap) مخاطب
Kata ganti diri ketiga (yang jauh dan tidak ada di situ) غائب

Untuk dhomir pertama Allah ‎ﷻ hanya guna انا dan نحن
Untuk dhomir kedua Allah ‎ﷻ hanya guna أنت (anta)
Untuk dhomir ketiga Allah ‎ﷻ hanya guna هو (Dia)

Lihatlah bagaimana penggunaan dhomir yang Allah ‎ﷻ pilih dalam Al-Qur’an TIADA dhomir untuk istilah jamak (bilangan ramai) sebagai kata ganti-diri kedua dan ketiga. Ada انتم، هم، انتما، هن tetapi dhomir ini kita TAKKAN kita jumpa dalam Al-Qur’an yang Allah ‎ﷻ guna untuk Diri-Nya. Jadi tiada ada ramai Allah di sini.

Tambahan pula kita kena baca Al-Qur’an secara keseluruhan di mana Allah ‎ﷻ sentiasa menyebut Diri-Nya yang SATU di banyak tempat. Jadi takkan kita boleh berhujah yang Allah ‎ﷻ itu ramai pula.

Kalimah القَصَصِ daripada kata dasar ق ص ص yang bermaksud ‘ikut jejak langkah’. Digunakan untuk merujuk kepada kisah yang diberitahu berkali-kali (kerana mengulang jejak langkah sebelum itu). Oleh itu, القَصَصِ adalah kisah yang disampaikan dari generasi ke generasi. Namun begitu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidak ada di dalam sejarah bangsa Arab, tetapi ia ada di dalam riwayat Orang Yahudi. Mereka memang sukakan kisah ini dan selalu disebut dalam tradisi mereka dan diulang cerita kepada keturunan mereka.

Satu lagi asbabun nuzul surah ini adalah kerana permintaan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ sendiri. Di dalam sebuah hadith disebutkan penyebab turunnya ayat ini yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ,

أُنْزِلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْقُرْآنُ، فَتَلَاهُ عَلَيْهِمْ زَمَانًا، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَوْ قَصَصْتَ عَلَيْنَا؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: (نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَذَا الْقُرْآنَ)، إِلَى قَوْلِهِ (لَمِنَ الْغَافِلِينَ).
Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Al-Qur’an diturunkan kepada Rasulullah ﷺ, lalu baginda membacanya kepada mereka (para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ) untuk beberapa waktu. Maka mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, sekiranya engkau mengisahkan kepada kami (tentang umat-umat terdahulu)?’ Maka Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan: (Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Qur’an ini kepadamu), sampai firman-Nya (dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui).”

Musnad Ahmad: Kitab Musnad As-Shahabah, Musnad Sa’ad bin Abi Waqqas. (No. Hadis 1441)

Allah ‎ﷻ memberitahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita sedang baca sekarang adalah kisah terbaik. Ia tidaklah mengurangi kehebatan kisah-kisah di dalam Al-Qur’an yang lain. Semua kisah-kisah di dalam Al-Qur’an adalah hebat dan memberi pengajaran yang penting. Akan tetapi di dalam banyak-banyak kisah itu, kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ inilah yang terhebat. Secara keseluruhannya, Al-Qur’an itu sendiri adalah kata-kata yang terbaik seperti disebut di dalam Zumar:23

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

Jadi kita sudah terima yang Allah ‎ﷻ katakan ini adalah أَحسَنَ القَصَصِ (kisah terbaik). Apakah maksud ia adalah kisah yang terbaik?

1. Ia adalah kisah yang terbaik
2. Diceritakan dengan cara penceritaan yang terbaik
3. Diceritakan bahagian terbaik daripada sesuatu cerita itu.

1. Ia kisah yang terbaik kerana Allah ‎ﷻ yang pilih cerita ini dari entah berapa banyak cerita dalam dunia. Setiap hari akan ada sahaja cerita, bukan? Dari mula dunia ini Allah ‎ﷻ cipta sampailah sekarang di segenap pelusuk bumi, ada sahaja cerita yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Akan tetapi dalam banyak-banyak cerita itu, cerita inilah yang Allah ‎ﷻ pilih. Kerana Allah ‎ﷻ bukan setakat bercerita untuk menghiburkan kita, tetapi sebagai pengajaran. Begitulah juga dalam kisah ini ada pengajaran yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan.

Kalau manusia bercerita, mereka tidak akan boleh cerita sepenuhnya kerana manusia tidak tahu semuanya. Kalau kita baca sejarah raja-raja zaman dahulu pun, penulis sejarah hanya ceritakan apa yang mereka nampak sahaja. Mereka tidak boleh cerita dialog raja dengan penasihatnya, dengan anaknya; tentang apa yang di dalam hatinya. Sebaliknya apabila Allah ‎ﷻ bercerita, Allah ‎ﷻ boleh sebut dari sudut semua sekali yang Allah ‎ﷻ mahu kerana Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang terjadi.

2. Mungkin kita ada cerita yang  menarik tetapi kalau ia tidak disampaikan dengan baik, maka ia pun tidak jadi menarik dan bagus juga, bukan? Jadi cara penceritaan itu penting. Begitulah cara penyampaian kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang Allah ‎ﷻ sedang hendak sampaikan kepada kita (tidak lama lagi kita akan masuk kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, saya janji). Kisah baginda telah pernah diceritakan sebelum ini di dalam kitab Taurat akan tetapi kalau kita baca pun ia tidak menarik. Kali ini Allah ﷻ menceritakannya semula dengan cara terbaik menggunakan bahasa yang terbaik iaitu Bahasa Arab.

Jadi kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini diceritakan oleh Allah ﷻ dengan cara terbaik. Tetapi, mungkin kita tidak terasa begitu kalau kisah ini tidak disampaikan dengan menarik. Oleh itu, walaupun Allah ‎ﷻ sebut yang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah kisah terbaik, namun susah pula untuk orang kita hendak terima yang ini adalah kisah terbaik, bukan? Lebih-lebih lagi jika ingin menjadikan kisah ini menarik kepada kanak-kanak kerana sekarang sudah ada pelbagai perkara yang lebih menarik perhatian mereka seperti rancangan TV dan kartun serta permainan online di hujung jari sahaja. Maka kisah seperti kisah para Nabi ini tidak menarik perhatian mereka, malangnya.

Ini semua berpunca kerana kita tidak pandai bercerita kepada mereka. Ini adalah kerana selalunya apabila kita ceritakan kepada mereka, tidak ada nilai hiburan untuk mereka menyebabkan mereka berasa bosan. Oleh kerana itu, kisah para Nabi ini terpaksa bersaing dengan semua rancangan TV dan semua peranti permainan, bukan? Kita kena sedar yang hakikatnya manusia itu sifatnya sukakan elemen hiburan walaupun sebenarnya hiburan itu tidak bertahan lama pun. Sebagai contoh, kalau kita sudah menonton filem sekali, selalunya sudah tidak mahu hendak lihat lagi, bukan? Akan tetapi bukankah Al-Qur’an ini kita selalu ulang-ulang baca? Walaupun kita sudah baca beribu kali, kita tidak akan berasa bosan membacanya, bukan? Maka kita kena pandailah bercerita dengan menggunakan kaedah penceritaan Al-Qur’an. Untuk mendapatkannya, kenalah belajar dahulu tafsir Al-Qur’an.

Oleh itu, ada cabaran untuk menjadikan Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menarik kerana mungkin ada yang berasa seperti sudah pernah mendengar kisah ini di sekolah rendah, maka tidak ada kesan hiburan lagi di dalamnya. Oleh itu kita kena tahu apa kesudahan kisahnya supaya kita tahu apakah kebaikan untuk kita tahu daripada kisah ini.

3. Dalam satu cerita, bukan semua kita hendak dengar, bukan? Kerana itu kalau seseorang yang tidak pandai bercerita dan dia ceritakan semua sekali, kita pun rasa bosan. Yang kita mahu dengar adalah perkara yang penting sahaja. Kerana itulah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini Allah ‎ﷻ tidak ceritakan semua sekali tetapi hanya perkara yang penting dan kita perlu tahu sahaja. Ada banyak maklumat yang Allah ‎ﷻ tidak beritahu pun seperti nama baginda, apa baginda makan, apa baginda buat semasa dalam telaga dan banyak lagi perkara. Ini kerana tujuan Allah ‎ﷻ bercerita adalah untuk memberi petunjuk dan pengajaran, maka bukanlah semua kita kena tahu.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini pula unik di dalam Al-Qur’an kerana keseluruhan kisahnya disebut di dalam sebuah surah. Sedangkan kebiasaannya seperti kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kena dibaca dalam banyak surah.

Jadi kita sudah terima yang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah kisah yang terbaik. Apakah pengajaran dan kesannya kepada kita? Hendaklah kita mempelajarinya dan mengajar kepada anak-anak kita dan orang lain. Bayangkan kalau kita berikan sebuah buku kepada anak kita dan kita kata: “Ini ayah belikan buku kisah terbaik untuk Husna.” Apakah kehendak ayah itu? Mestilah kehendak kita adalah anak kita akan baca buku itu, bukan? Jadi begitulah kita kena belajar kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya kita boleh mengambil pengajaran daripadanya. Jangan setakat kita tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini hensem kemudian akhirnya menikah dengan Zulaikha pula.

 

بِمآ أَوحَينآ إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ

dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu,

Sekarang kisah ini disampaikan pula dalam Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kemudian sekarang kita dapat membacanya dan menjadi kisah yang menakjubkan zaman berzaman.

Allah ‎ﷻ berkata kisah ini ada ibrah – pengajaran seperti disebut di dalam ayat 111.

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal

Kalimah  عِبرَةٌ adalah daripada kata dasar ع ب ر yang bermaksud menyeberangi seperti menyeberangi air (sungai atau laut dan sebagainya). Ia digunakan kerana apabila sesuatu kisah itu memberi kesan kepada hati kita, ia sampai mengalirkan air mata kita (air menyeberangi dari mata meleleh ke pipi). Memang ada kisah yang kita tidak dapat menahan diri kita daripada mengalirkan air mata, bukan? Yang menariknya kata dasar ini juga boleh menjadi ta’bir iaitu perbuatan menafsir mimpi yang kita akan selalu gunakan di dalam surah ini seperti disebut di dalam ayat 43 nanti,

وَقالَ المَلِكُ إِنّي أَرىٰ سَبعَ بَقَراتٍ سِمانٍ يَأكُلُهُنَّ سَبعٌ عِجافٌ وَسَبعَ سُنبُلاتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يابِساتٍ ۖ يا أَيُّهَا المَلَأُ أَفتوني في رُؤيايَ إِن كُنتُم لِلرُّؤيا تَعبُرونَ
Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering”. Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’birkan mimpi”.

Begitulah nanti dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kita akan pelajari dan kita akan nampak bagaimana kisah ini terkena tepat sungguh dengan kita. Memang asalnya hanya fokus menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, namun sebenarnya kita seolah-olah sedang membaca kisah kita kerana ada kaitan rapat dengan diri kita kerana inilah kisah ini dikatakan sebagai ‘kisah yang hebat’.

Ada banyak karektor yang kita akan bertemu nanti tetapi nama-nama mereka tidak disebut pun. Nama mereka hanya dibincangkan dalam kitab tafsir sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut dalam Al-Qur’an kerana nama mereka tidak penting. Yang penting adalah kisah mereka. Yang hanya disebut adalah nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Ini menunjukkan yang Allah ‎ﷻ hanya berikan maklumat yang penting sahaja. Kita akan pelajari bagaimana dalam surah ini Allah ‎ﷻ akan beri kajian tentang manusia dengan cara yang amat hebat sekali. Kalau ada yang dapat menjalankan kajian tentang psikologi manusia dengan menggunakan surah ini, tentu ia akan menjadi amat hebat sekali.

Allah ‎ﷻ mengwahyukan surah ini sebagai tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kita telah pernah bincangkan nama يوسف ada mengatakan daripada kata akar أ س ف yang bermaksud sedih dan memang surah ini diwahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ pada Tahun Kesedihan. Pada tahun itu baginda telah kehilangan dua tonggak utama baginda iaitu Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dan bapa saudara Abu Talib. Ketika itulah juga Rasulullah ﷺ dan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ menghadapi penentangan yang sangat keras, penganiayaan, dan boikot kerana penaung Rasulullah ﷺ sudah tiada. Dalam keadaan penuh tekanan dan kesedihan itu, Surah Yusuf menjadi pujukan dan penguat hati yang sangat besar daripada Allah ‎ﷻ untuk Rasulullah ﷺ kerana ia menceritakan kemenangan setelah ujian berat. Ia juga mengandungi kisah menghiburkan setelah dianiaya oleh keluarga sendiri kerana Nabi Muhammad ﷺ juga ditentang oleh keluarga baginda sendiri. Ia juga mengandungi pemberitahuan bahawa janji Allah ﷻ pasti benar, mungkin sampainya lambat sahaja. Yang paling penting, ia mengandungi anjuran untuk bersabar dengan ujian.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini juga menjadi pengimbang kepada kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita telah banyak berikan perbandingan antara kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di pengenalan surah ini. Nabi Muhammad ﷺ sudah banyak diberitahu dengan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana banyak kisah baginda diberitahu di dalam Al-Qur’an tetapi belum lagi kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia berakhir dengan kemusnahan musuh baginda iaitu Firaun. Maka tentu Rasulullah ﷺ pun keberatan kerana baginda sayang umat baginda dan tidak mahu mereka dimusnahkan sebegitu rupa. Jadi penghujung kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ‎ﷻ memberikan satu lagi alternatif penyelesaian kepada penentangan iaitu pengakhiran yang menggembirakan semua orang. Maka begitulah bangsa yang menentang baginda tidaklah dimusnahkan semua sekali dan nanti mereka akan ramai-ramai masuk Islam.

Ayat selepas ini kita akan belajar tentang mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebenarnya di dalam Al-Qur’an ada tiga mimpi para Nabi. Mimpi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mimpi Nabi Muhammad ﷺ mengerjakan Haji. Sekali pandang ketiga-tiga mimpi itu tidak ada kaitan akan tetapi sebenarnya kita boleh kaitkan antara ketiga-tiga mimpi itu. Kesemuanya melibatkan Nabi Muhammad ﷺ.

Mimpi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut di dalam Saffat:102 

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama dengan Ibrahim, Ibrahim berkata: ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. 

Dipendekkan cerita, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah menyembelih anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana Allah ‎ﷻ telah menukar Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan kibash dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyembelihnya. Perbuatan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu menjadi Sunnah apabila ia terus dilakukan ketika mengerjakan ibadah Haji. Mimpi Nabi Muhammad ﷺ pula disebut di dalam Fath:27

لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
“Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, kebenaran mimpinya dengan benar (bahawa kamu akan memasuki Masjidilharam), sesungguhnya kamu akan memasuki Masjidilharam, dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala, dan mengguntingnya, sedang kamu tidak berasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak ketahui, lalu Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.”

Mimpi Nabi Muhammad itu adalah bayangan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada Nabi ﷺ yang baginda akan dapat mengerjakan Haji. Dengan dapat mengerjakan Haji setelah sekian lama keluar dari Mekah, maka dapatlah baginda menjalan sunnah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu melakukan qurban. Maka ia menjadi penzahiran kepada mimpi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kaitan antara mimpi dua Nabi ini agak mudah untuk dikaitkan. Akan tetapi bagaimana mengaitkan mimpi Nabi Muhammad ﷺ ini dengan mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bermimpi yang ahli keluarga baginda sujud di hadapan baginda. Penzahiran mimpi itu kita akan lihat di hujung surah ini nanti. Ketika itu abang-abangnya yang telah menzalimi baginda telah menyesal. Ketika itu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada di dalam kedudukan kuasa yang boleh sahaja jika baginda mahu, menghukum kesemua abang-abangnya itu. Akan tetapi baginda tidak melakukannya dan baginda berkata seperti yang dinaqalkan di dalam ayat 92,

قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
“Dia (Yusuf) berkata: ‘Pada hari ini tidak ada cercaan ke atas kamu, semoga Allah mengampuni kamu, dan Dia adalah Maha Penyayang di antara semua yang penyayang.'”

Maka konklusi kisah itu berakhir dengan harmoni kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaafkan mereka. Sekarang kita beralih kepada kisah Nabi Muhammad ﷺ ketika baginda menakluk Kota Mekah dan ketika itu baginda berkuasa dan boleh sahaja baginda menghukum pihak-pihak yang telah menzalimi baginda ketika baginda di Mekah dan yang telah berperang dengan umat Islam walaupun mereka telah keluar dari Mekah. Akan tetapi apa kata baginda pada ketika itu yang mengaitkan baginda dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Ucapan Rasulullah ﷺ yang dicatat adalah:

يَا أَهْلَ مَكَّةَ، مَا تَرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ بِكُمْ؟” “فَأَنَا أَقُولُ لَكُمْ مَا قَالَ يُوسُفُ لإِخْوَتِهِ: لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ، يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ، وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ”
“Wahai penduduk Mekah, apa yang kamu sangka akan aku lakukan kepada kamu?” “Maka aku katakan kepada kamu apa yang telah dikatakan oleh Yusuf kepada saudara-saudaranya: ‘Tidak ada celaan ke atas kamu pada hari ini, semoga Allah mengampuni kamu, dan Dia adalah Maha Penyayang di antara semua yang penyayang.’

Ucapan ini sering disebut dalam kitab-kitab sirah, seperti Sirah Nabawiyah oleh Ibnu Hisyam dan kitab-kitab tafsir ketika menafsirkan Surah Yusuf ayat 92. Walaupun lafaz ini mungkin tidak memenuhi syarat matan hadith secara teknikal bagi sesetengah ulama, ia adalah sebahagian daripada peristiwa sejarah yang masyhur dan diterima secara meluas dalam tradisi Islam. Ia mengesahkan bahawa kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an benar-benar menjadi inspirasi dan penghibur bagi Rasulullah ﷺ.

 

وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ

dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

Kalimah الغافِلينَ bermaksud ‘orang yang tidak tahu’. Kalimah ‘ghaflah’ ada dua jenis – dari segi intelektual atau spiritual. Nabi ﷺ dikatakan sebagai ‘ghaflah’ dalam ayat ini. Maksudnya baginda pun tidak tahu kisah ini wujud. Ini adalah kerana baginda adalah seorang yang ummiy (tidak tahu membaca dan menulis) daripada bangsa yang ummiy jadi baginda tidak mendapat akses dari mana-mana kitab wahyu yang menceritakan tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bangsa Arab yang lain pun tidak tahu untuk mereka cerita kepada baginda. Jadi baginda tidak kenal siapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum itu. Mungkin langsung tidak tahu atau mungkin tahu nama sahaja tetapi tidak tahu kisah baginda. Kemudian setelah baginda kenal, baginda memuji Nabi dan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan bapa-bapa baginda. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ الْكَرِيمُ ابْنُ الْكَرِيمِ ابْنِ الْكَرِيمِ ابْنِ الْكَرِيمِ يُوسُفُ بْنُ يَعْقُوبَ بْنِ إِسْحَاقَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِمُ السَّلاَمُ ‏”
Rasulullah ﷺ bersabda: “Seorang yang mulia, anak kepada seorang yang mulia, anak kepada seorang yang mulia, anak kepada seorang yang mulia, iaitu Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim, salam sejahtera ke atas mereka.”

(Sahih Al-Bukhari No. 3383 dan Muslim No. 2378)

Hadith ini secara terang-terangan menyebut empat generasi berturut-turut yang semuanya adalah para nabi yang mulia.

    • Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (seorang yang mulia)
    • Anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (anak seorang yang mulia)
    • Anak Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (anak seorang yang mulia)
    • Anak Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (anak seorang yang mulia)

Bukan baginda sahaja tidak kenal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana digunakan kalimah لَمِنَ الغافِلي (pastinya sebahagian daripada mereka yang tidak tahu) yang bermaksud masyarakat Arab pun tidak tahu dan baginda adalah salah seorang daripada mereka. Jadi ini adalah bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Takkan baginda boleh dapat maklumat ini sendiri melainkan baginda telah diberi wahyu oleh Allah ‎ﷻ.

Yang menariknya setelah baginda mengenali Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melalui cerita, baginda telah mendapat peluang untuk bertemu baginda ketika mi’raj. Ketika Nabi Muhammad ﷺ tiba di langit yang ketiga, baginda bersua dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Rasulullah ﷺ bersabda:

ثُمَّ صَعِدَ حَتَّى أَتَى السَّمَاءَ الثَّالِثَةَ فَاسْتَفْتَحَ، فَقِيلَ: مَنْ هَذَا؟ قَالَ: جِبْرِيلُ. قِيلَ: وَمَنْ مَعَكَ؟ قَالَ: مُحَمَّدٌ. قِيلَ: وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ؟ قَالَ: قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ. فَفُتِحَ لَنَا، فَإِذَا أَنَا بِيُوسُفَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، وَإِذَا هُوَ قَدْ أُعْطِيَ شَطْرَ الْحُسْنِ. قَالَ: فَرَحَّبَ بِي وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ
“Kemudian (Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) naik sehingga sampai ke langit ketiga. Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta dibukakan pintu. Ditanya: ‘Siapa ini?’ Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: ‘Jibril.’ Ditanya lagi: ‘Siapa yang bersamamu?’ Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: ‘Muhammad.’ Kemudian Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditanya: ‘Apakah dia telah diutus (untuk naik)?’ Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: ‘Ya, dia telah diutus.’ Maka pintu pun dibukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ternyata beliau telah diberi separuh daripada kecantikan (yang ada di dunia). Yusuf menyambutku dengan gembira dan mendoakan kebaikan untukku.”
(Sahih Bukhari No. 349 dan Muslim No. 162)

 

Komposisi Cincin

Kita baru sahaja habis membincangkan 3 ayat daripada Surah Yusuf ini. Sekarang kita hendak memperkenalkan satu perkara yang amat hebat dan menarik tentang apa yang digelar Struktur Cincin. “Ring composition” (juga dikenali sebagai struktur cincin atau struktur kiastik dalam kajian sastera) adalah satu bentuk struktur naratif atau tekstual di mana bahagian awal sebuah teks dipadankan atau dicerminkan oleh bahagian akhirnya, dan elemen-elemen di antara permulaan dan akhir itu juga saling berpadanan secara terbalik, membentuk satu “cincin” atau bulatan. Dalam konteks Al-Quran, teori komposisi cincin ini dicadangkan oleh beberapa sarjana moden, terutamanya oleh Michel Cuypers dan Raymond Farrin, sebagai satu cara untuk memahami koherensi (kesinambungan) dan susunan surah-surah Al-Qur’an.

Ciri-ciri Utama Komposisi Cincin dalam Al-Qur’an:

1. Struktur Simetris (A-B-C-B’-A’):

  • Teks dimulakan dengan topik atau tema (A).
  • Kemudian berkembang kepada topik atau tema lain (B, C, dan seterusnya).
  • Di tengah-tengah teks, terdapat titik pusat (pivot point) yang merupakan inti atau mesej utama.
  • Selepas titik pusat, teks kembali kepada topik-topik sebelumnya tetapi dalam urutan terbalik (C’, B’, A’), di mana C’ mencerminkan C, B’ mencerminkan B, dan A’ mencerminkan A.
  • Padanan ini boleh berlaku dalam bentuk:
      • Pengulangan kata atau frasa yang sama.
      • Tema atau konsep yang serupa.
      • Idea atau hujah yang berlawanan atau melengkapi.

2. Titik Pusat (Central Point/Core Message):

  • Salah satu ciri penting komposisi cincin adalah adanya inti atau mesej utama yang terletak di tengah-tengah struktur. Bahagian inilah yang sering menjadi fokus dan ringkasan kepada keseluruhan surah atau bahagian teks. Ia membantu pembaca memahami mesej terpenting yang ingin disampaikan.

3. Koherensi dan Kesatuan:

  • Teori ini berhujah bahawa komposisi cincin menjelaskan bagaimana surah-surah Al-Qur’an, walaupun diturunkan secara berperingkat-peringkat mengikut peristiwa dan keperluan yang berbeza sepanjang 23 tahun, mempunyai kesatuan dan susunan yang sangat rapi dan disengajakan. Ia membuktikan bahawa Al-Qur’an bukanlah koleksi ayat-ayat yang tidak teratur, tetapi sebuah kitab yang tersusun dengan teliti.

4. Aplikasi pada Surah:

  • Konsep ini dikatakan berlaku pada banyak surah dalam Al-Qur’an, baik surah yang panjang mahupun yang pendek.
  • Contoh paling terkenal adalah analisis Surah Al-Baqarah Sarjana seperti Raymond Farrin telah menunjukkan bagaimana Surah Al-Baqarah boleh dipecahkan kepada beberapa segmen yang membentuk struktur cincin besar, dengan ayat-ayat di tengah-tengah surah menjadi pusat utama (contohnya, ayat mengenai Kiblat yang baru, 2:142-152).
  • Malah surah-surah pendek seperti Al-Fatihah dan Al-A’la juga dikatakan menunjukkan struktur cincin.

Manfaat Memahami Komposisi Cincin:

  • Pemahaman yang Lebih Mendalam: Membantu dalam menafsirkan ayat-ayat dan surah-surah dengan lebih tepat kerana ia menyerlahkan hubungan antara bahagian-bahagian yang berbeza dan menumpukan perhatian pada mesej teras.
  • Bukti Keilmuan Al-Qur’an: Bagi pendukung teori ini, kewujudan struktur cincin yang kompleks dan konsisten ini dalam Al-Qur’an adalah bukti tentang asal-usul ilahi Al-Qur’an. Mustahil bagi seorang manusia (Nabi Muhammad ﷺ) untuk menyusun sebuah teks sebesar Al-Qur’an dengan struktur yang begitu canggih, terutama memandangkan ia diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa yang panjang.
  • Bantuan Hafalan: Susunan yang simetri dan berulang ini juga dapat membantu dalam proses hafalan Al-Qur’an.

Pandangan Mengenai Komposisi Cincin:

Walaupun ia mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan sarjana moden dan penceramah, penting untuk diingat bahawa ini adalah salah satu pendekatan tafsiran dan analisis struktur Al-Qur’an. Tidak semua ulama tradisional atau moden bersetuju sepenuhnya dengan skop atau aplikasi teori ini, namun ia adalah bidang kajian yang menarik dalam keilmuan Al-Qur’an kontemporari.

Secara ringkas, komposisi cincin dalam Al-Qur’an adalah satu teori mengenai struktur tekstual yang mendapati bahawa surah-surah Al-Qur’an tersusun secara simetri, di mana bahagian awal dicerminkan oleh bahagian akhir dalam urutan terbalik, dengan mesej utama terletak di tengah-tengah. Ini disifatkan sebagai salah satu aspek kemukjizatan Al-Qur’an.

Sekarang mari lihat apakah komposisi cincin bagi 3 ayat pertama surah ini. Kita telah habis menelusiri prolog atau mukaddimah surah ini. Selepas ini kita akan masuk ke cerita sebenarnya.

Nanti kita akan lihat bagi topik A ini akan ada pasangannya iaitu A’ yang kita tunjukkan nanti.

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Mengapakah puak Yahudi di Mekah mengajukan soalan tentang kisah Nabi Yusuf  kepada Nabi Muhammad ﷺ?
  2. Apakah yang dimaksudkan dengan “Jumlah Mu’taridah” dalam konteks Surah Yusuf Ayat 3?
  3. Jelaskan konsep ‘Royal We’ yang digunakan oleh Allah dalam Al-Qur’an dan mengapa ia tidak mengelirukan bangsa Arab dahulu.
  4. Apakah asal kata bagi “القَصَصِ” dan apakah implikasi maknanya dalam konteks Surah Yusuf?
  5. Berikan dua alasan mengapa kisah Nabi Yusuf disebut sebagai “kisah yang terbaik” oleh Allah.
  6. Bagaimanakah penurunan Surah Yusuf berfungsi sebagai ‘tasliah’ atau pujukan bagi Nabi Muhammad ﷺ?
  7. Terangkan mengapa Allah ‎ﷻ hanya menyebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam kisah ini, berbanding karektor lain.
  8. Apakah maksud kalimah “الغافِلينَ” dalam konteks Nabi Muhammad ﷺ sebelum Al-Quran diwahyukan?
  9. Jelaskan ciri utama “titik pusat” dalam teori komposisi cincin Al-Qur’an.
  10. Bagaimanakah ucapan Nabi Muhammad ﷺ semasa penaklukan Kota Mekah mengaitkan baginda dengan Nabi Yusuf ‎ﷻ?

Glosari Istilah Utama

  • Asbabun Nuzul: Sebab-sebab atau peristiwa-peristiwa yang melatarbelakangi penurunan sesuatu ayat atau surah Al-Quran.
  • Jumlah Mu’taridah: Frasa atau ayat sisipan yang memberikan maklumat tambahan atau penekanan, biasanya terletak di tengah-tengah ayat atau perenggan, seperti Ayat 3 Surah Yusuf.
  • Perenggan Makro: Bahagian besar dalam sesuatu surah yang merangkumi beberapa ayat yang mempunyai tema atau fokus yang sama.
  • نَحنُ (Nahnu): Kata ganti nama diri ‘Kami’ dalam bahasa Arab, digunakan oleh Allah dalam Al-Quran sebagai ‘Royal We’ untuk menunjukkan kebesaran dan kemuliaan-Nya.
  • انا (Ana): Kata ganti nama diri ‘Aku’ dalam bahasa Arab, kadang-kadang digunakan oleh Allah dalam Al-Quran, selalunya dalam konteks kemarahan atau kasih sayang yang mendalam, atau urusan yang hanya Allah mampu lakukan.
  • القَصَصِ (Al-Qasas): Kisah atau naratif, berasal dari kata dasar yang bermaksud ‘mengikut jejak langkah’, merujuk kepada cerita yang disampaikan dari generasi ke generasi.
  • Ibrah (عبرة): Pengajaran atau iktibar; sesuatu yang diambil untuk direnungkan dan dijadikan pelajaran, sering kali menyebabkan kesan emosi yang mendalam.
  • الغٰفِلينَ (Al-Ghafilin): Orang-orang yang lalai atau tidak mengetahui; dalam konteks ini merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ dan masyarakat Arab yang tidak mengetahui kisah Nabi Yusuf sebelum wahyu Al-Quran.
  • Ummiy: Seseorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Nabi Muhammad ﷺ digambarkan sebagai ummiy.
  • Tahun Kesedihan (عام الحزن): Tahun di mana Nabi Muhammad ﷺ kehilangan isteri baginda, Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib, yang merupakan pelindung utamanya.
  • Tasliah (تسلية): Pujukan atau hiburan, digunakan untuk menggambarkan fungsi Surah Yusuf sebagai penguat semangat bagi Nabi Muhammad ﷺ.
  • Mi’raj: Perjalanan malam Nabi Muhammad ﷺ dari Mekah ke Baitulmaqdis dan kemudian ke langit tertinggi.
  • Struktur Cincin (Ring Composition / Struktur Kiastik): Satu bentuk struktur naratif atau tekstual di mana bahagian awal teks dipadankan atau dicerminkan oleh bahagian akhirnya, dan elemen-elemen di antaranya saling berpadanan secara terbalik, membentuk simetri di sekitar titik pusat.
  • Titik Pusat (Pivot Point/Core Message): Inti atau mesej utama dalam struktur cincin yang terletak di tengah-tengah teks.
  • Koherensi: Kesinambungan atau kesatuan yang logik antara bahagian-bahagian yang berbeza dalam sesuatu teks.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 3 (Kisah yang Terbaik)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Puak Yahudi mengajukan soalan tersebut untuk menguji Nabi Muhammad ﷺ dan menjatuhkan kedudukan baginda, kerana mereka tahu kisah Nabi Yusuf tidak popular di kalangan bangsa Arab Quraisy yang buta huruf dan tiada dalam sejarah Arab umum. Mereka berharap Nabi tidak mengetahuinya.
    2. “Jumlah Mu’taridah” merujuk kepada selitan maklumat dari Allah, di mana Ayat 3 berfungsi sebagai pengenalan atau sisipan penjelasan sebelum masuk ke penceritaan utama kisah Nabi Yusuf dari Ayat 4 hingga 101.
    3. ‘Royal We’ (نَحنُ) adalah penggunaan kata ganti nama diri jamak untuk menunjukkan kebesaran dan kemuliaan Allah, sama seperti raja-raja di dunia. Bangsa Arab dahulu tidak keliru kerana ini adalah perkara biasa dalam bahasa mereka dan mereka tetap faham Allah itu Esa.
    4. “القَصَصِ” berasal daripada kata dasar ق ص ص yang bermaksud ‘ikut jejak langkah’. Ia merujuk kepada kisah yang diberitahu berkali-kali atau disampaikan dari generasi ke generasi.
    5. Kisah Nabi Yusuf adalah yang terbaik kerana Allah sendiri yang memilihnya dari jutaan cerita lain sebagai pengajaran, dan ia juga diceritakan dengan cara penceritaan yang terbaik, menggunakan bahasa yang indah dan memfokuskan pada intipati penting.
    6. Surah Yusuf diturunkan pada ‘Tahun Kesedihan’ Nabi Muhammad ﷺ setelah baginda kehilangan isteri dan bapa saudara yang menjadi penaung. Kisah ini menceritakan kemenangan setelah ujian berat dan hiburan setelah dianiaya, memberikan pujukan dan penguat hati kepada Nabi.
    7. Allah hanya menyebut nama Nabi Yusuf dan Nabi Ya’qub kerana tujuan penceritaan Al-Quran adalah untuk memberi petunjuk dan pengajaran, bukan sekadar cerita. Maklumat tentang nama karektor lain tidak penting bagi tujuan ini, melainkan kisah dan perbuatan mereka.
    8. “الغافِلينَ” bermaksud ‘orang yang tidak tahu’. Dalam konteks Nabi Muhammad ﷺ, ia bermaksud baginda tidak mengetahui kewujudan kisah Nabi Yusuf ini sebelum ia diwahyukan, menunjukkan bahawa baginda adalah seorang yang ummiy dan tidak mempunyai akses kepada kitab wahyu sebelumnya.
    9. Ciri utama “titik pusat” dalam teori komposisi cincin adalah mesej inti atau mesej utama yang terletak di tengah-tengah struktur simetri. Bahagian ini sering menjadi fokus dan ringkasan kepada keseluruhan surah atau bahagian teks, membantu memahami mesej terpenting.
    10. Nabi Muhammad ﷺ mengaitkan dirinya dengan Nabi Yusuf AS dengan mengucapkan kata-kata yang sama kepada penduduk Mekah semasa penaklukan kota: “Tidak ada celaan ke atas kamu pada hari ini, semoga Allah mengampuni kamu,” menunjukkan sikap memaafkan dan belas kasihan seperti Nabi Yusuf.

    Like

Leave a comment