TAKLID BUTA
Tawbah Ayat 30: Di dalam ayat sebelum ini telah disebut yang golongan Ahli Kitab itu tidak beriman dengan Allah ﷻ dengan sebenar-benarnya. Sekarang disebut apakah antara masalah mereka, iaitu mereka melakukan syirik.
Mungkin ada orang Islam yang beranggapan, Ahli Kitab itu lebih kurang sama sahaja dengan Islam dan kerana itu mereka tidak patut diserang. Akan tetapi Allah ﷻ membetulkan fahaman mereka itu dengan menyatakan yang akidah Ahli Kitab itu amat jauh berbeza dengan Islam. Akidah mereka adalah akidah syirik.
Oleh itu, ayat ini adalah huraian kenapa mereka dikatakan ‘tidak beriman’. Allah ﷻ hendak memberitahu kita, apakah yang dimaksudkan mereka ‘tidak beriman’ itu. Di manakah kesalahan mereka?
وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ وَقالَتِ النَّصٰرَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ ۖ ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفوٰهِهِم ۖ يُضٰهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ ۚ قٰتَلَهُمُ اللَّهُ ۚ أَنّىٰ يُؤفَكونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The Jews say, “Ezra is the son of Allāh”; and the Christians say, “The Messiah is the son of Allāh.” That is their statement from their mouths; they imitate the saying of those who disbelieved before [them]. May Allāh destroy them; how are they deluded?
(MALAY)
Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu Anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”. Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling?
وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ
Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Uzair itu Anak Allah”
Allah ﷻ menegaskan kepada golongan muslimin, yang mereka mesti perangi golongan yang kata para Nabi itu Anak Allah. Kalimah ‘anak’ di sini maksudnya ‘wakil’ kerana kalau sekadar anak itu tidaklah hebat sangat, tetapi sebenarnya mereka beri pangkat ‘anak’ itu kerana mereka untuk menjadikan Nabi-nabi itu sebagai wakil mereka kepada Allah ﷻ.
Inilah pertalian tawasul mereka dengan Allah ﷻ. Mereka hendak seru dan berdoa kepada para Nabi itu. Tujuan diseru mereka itu adalah untuk menyempurnakan hajat mereka. Inilah tawasul sesat yang selalu kita tekankan dalam penulisan tafsir ini dari mula lagi.
Di sini disebut Uzair yang di dalam Bible dikenali sebagai Ezra. Terdapat Kitab The Book of Ezra dalam Bible sekarang. Nama beliau disebut di sini sahaja dalam Al-Qur’an akan tetapi kisah beliau juga ada disebut dalam Baqarah:259
أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula.
Panjang kisah itu sebenarnya, boleh rujuk pada tafsiran ayat itu. Cuma kedudukan beliau khilaf dalam kalangan ulama’ sama ada seorang Nabi atau hanya seorang lelaki soleh. Oleh kerana itu kita hanya sebut nama beliau sebagai Uzair sahaja di sini.
Dalam akidah penganut Yahudi, Uzair itu adalah ‘Anak Allah’. Ini adalah sebagai kaedah pengagungan sahaja kerana mereka pun tahu yang beliau bukanlah anak kandung Allah ﷻ. Ini kerana Uzair itu pada mereka amat hebat kerana mampu menghafal keseluruhan Kitab Taurat. Di atas telah disebut bagaimana beliau dimatikan selama seratus tahun. Ketika itu, Kitab Taurat telah dibakar oleh seorang raja yang zalim iaitu Bukhtunassar atau lebih dikenali sebagai Nebuchadnezzar II. Maka apabila Uzair dihidupkan semula dan mendakwa yang beliaulah Uzair, mereka minta beliau buktikan dengan menulis kembali Kitab Taurat yang telah dibakar itu.
Oleh kerana beliau dapat melakukannya, maka mereka telah menyanjung beliau sehingga ke tahap mengangkat kedudukannya sebagai Anak Tuhan. Ini adalah salah satu perkara di mana mereka telah berbuat syirik. Ini adalah kerana mereka hendak menjadikan beliau sebagai ‘wakil’ mereka kepada Allah ﷻ. Ini adalah akidah syirik yang kufur. Namun begitu bukanlah ini sahaja kesalahan mereka. Malah bukanlah semua sekte Yahudi menuhankan Uzair atau mengatakan beliau anak Tuhan. Ia sebagai contoh antara kesalahan yang dilakukan sebahagian daripada mereka.
Perkara ini telah dilakukan semenjak zaman berzaman oleh manusia di mana mereka telah mengangkat orang soleh untuk menjadi ‘broker’ (orang tengah) dalam doa. Masalahnya kemudian lama kelamaan kedudukan mereka diangkat terlalu tinggi, mulanya anak Tuhan sahaja tetapi akhirnya menjadi Tuhan terus. Lihatlah apa yang terjadi dengan Nabi Isa عليه السلام.
Maka Allah ﷻ menutup pintu syirik dengan mengarahkan kita untuk terus berdoa kepada-Nya sahaja tanpa perlu melalui perantaraan (broker) tanpa gaji itu. Kita kena faham bahawa ‘syirik’ adalah salah satu jenis ‘kekufuran’. Bukanlah syirik sahaja sebagai syarat untuk menjadi kufur. Syirik itu pun banyak jenis dan salah satunya menjadikan seseorang sebagai ‘wakil Allah’. Walaupun bukanlah semua penganut Yahudi memperkatakan yang Uzair itu Anak Allah, namun mereka tetap juga kufur.
Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’.
وَقالَتِ النَّصٰرَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ
dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”.
Sementara itu, puak Nasara pula mengatakan Nabi Isa عليه السلام itu adalah Anak Allah juga. Ini merupakan salah satu daripada fahaman konsep Triniti Kristian. Fahaman mereka sesat sekali sehingga ada sekte lain yang mengatakan Jesus itu sendiri adalah Tuhan. Ini pun adalah salah satu daripada akidah kufur mereka.
Kenapakah mereka mengatakan baginda anak Tuhan? Kerana baginda dilahirkan tanpa bapa. Mereka melihat itu adalah perkara yang hebat sangat sampaikan meletakkan kedudukan baginda sebagai anak Tuhan pula. Sedangkan jika mahu dikira hebat, hebat lagilah Nabi Adam عليه السلام kerana bukan sahaja baginda tidak ada bapa, emak pun tidak ada! Allah ﷻ sudah sebut perkara ini dalam Ali Imran:59
إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.
Di sini juga kita dapat lihat gelaran bagi Nabi Isa عليه السلام adalah Al-Masih. Ia daripada katadasar م س ح yang bermaksud sapu, gosok, melalukan tangan kepada sesuatu, memilih, mengurap (dengan minyak). Ini adalah kerana Nabi Isa عليه السلام mempunyai mukjizat menyembuhkan manusia dan baginda melakukannya dengan menyapu bahagian tubuh orang yang sakit itu.
Selain daripada baginda, Dajjal juga digelari Al-Masih juga. Akan tetapi ia kerana mata kanannya ‘disapu’ sehingga tidak ada. Ada juga pendapat yang mengatakan kerana dia berjalan seluruh dunia dan menyapu menghapuskan iman-iman manusia sehingga menjadi kafir untuk mengikutinya.
Oleh itu, Nasara juga ditempelak di sini kerana ada akidah mengagungkan Nabi mereka dan kata-kata mereka yang menjadikan makhluk sebagai anak Allah adalah perkara yang amat berat dosanya. Allah ﷻ sebut di dalam Kahf:4-5
وَيُنذِرَ الَّذينَ قالُوا اتَّخَذَ اللهُ وَلَدًا
Dan juga Al-Qur’an itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.
مّا لَهُم بِهِ مِن عِلمٍ وَلا لِآبائِهِم ۚ كَبُرَت كَلِمَةً تَخرُجُ مِن أَفوٰهِهِم ۚ إِن يَقولونَ إِلّا كَذِبًا
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
Oleh kerana itu Allah ﷻ menganjurkan kepada kaum mukmin untuk memerangi orang-orang kafir dalam kalangan Ahli Kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka telah mengucapkan perkataan yang sangat keji itu dan membuat kedustaan terhadap Allah ﷻ. Takkan mereka dibiarkan sahaja melakukan syirik kepada Allah ﷻ dan mengelirukan manusia yang banyak?
Bagaimana pula dengan kita? Kita belum sampai kepada tahap mendakwa Nabi Muhammad ﷺ itu sebagai Anak Allah lagi setakat yang kita tahu. Namun begitu kita tahu ada juga terdapat puak tarekat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sendiri adalah Allah ﷻ dalam bentuk manusia. Ini adalah kerana golongan tarekat memang selalunya jahil dan senang ditipu oleh syaitan. Ini seperti yang telah tular baru-baru ini di mana terdapat individu yang bernama Suhaini bin Mohamed ataupun digelar sebagai SiHulk yang telah membawa fahaman sesat yang mendakwa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Tuhan, serta dakwaan lain mengenai baginda ﷺ yang jelas sekali telah menyimpang jauh daripada ayat Al-Quran dan hadith.
Walaupun tidak ada yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu anak Allah ﷻ, akan tetapi ramai dalam kalangan masyarakat kita yang jahil, menggunakan Nabi Muhammad ﷺ sebagai wakil mereka kepada Allah ﷻ. Itu pun salah satu daripada konsep ‘anak Tuhan’ juga kerana salah faham inilah ada dalam kalangan orang Islam yang berdoa kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk sampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ; ada yang menggunakan keberkatan Nabi ﷺ sebagai wasilah untuk memakbulkan doa mereka; ini juga adalah amalan kufur dan syirik. Tidak kira sama ada yang melakukan perkara itu Ahli Kitab atau orang Islam, ia tetap kufur dan syirik.
ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفوٰهِهِم
Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka,
Itu semua adalah perkataan daripada mulut dan lidah mereka sahaja, dan bukannya datang daripada agama mereka yang asal. Ini kerana Nabi mereka tidaklah memperkatakan sedemikian. Oleh itu, apa yang mereka lafazkan dan iktikadkan itu bukan wahyu tetapi hasil daripada nafsu mereka. Maka ia tidak boleh dibuat hujah daripada dalil sama sekali.
Begitu juga, ajaran yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sebagai wakil Allah ﷻ, boleh bertawasul dengan baginda, boleh menggunakan keberkatan baginda dalam berdoa, itu pun tidak ada dalam agama Islam tetapi hanyalah ajaran yang datang kemudian. Sama sahaja modal yang syaitan gunakan untuk menyesatkan orang terdahulu dan modal yang sama diulang kepada umat Islam yang jahil. Mereka pun tidak dapat membawa dalil yang kuat melainkan hujah pusing sana dan pusing sini sahaja. Kita boleh lihat bagaimana teruknya mereka terpaksa ‘bersilat’ untuk menegakkan hujah batil mereka.
Oleh hal yang demikian kita mestilah menyampaikan pengetahuan ini kepada umat Islam kerana ramai yang tidak tahu perkara ini. Mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar. Mereka tidak perasan yang akidah mereka sama sahaja dengan akidah Yahudi dan Nasrani (Kristian). Memang begitulah orang jahil, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar sehinggalah ada orang yang dapat menegakkan hujah ke atas mereka.
يُضٰهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ
mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu.
Sebenarnya, mereka cuma meniru perkataan orang kafir sebelum mereka itu yang tidak ada ilmu daripada kitab wahyu. Semua itu adalah fahaman datuk nenek mereka yang telah kufur daripada akidah yang benar. Mereka kitar semula fahaman yang sama dan ulang-ulang sahaja. Ini kerana agama Yahudi dan agama Nasrani yang asal tidak begitu.
Sebagai contoh, fahaman Kristian sekarang ini diambil daripada seorang lelaki yahudi yang bernama St Paul atau Paulus atau Saulus. Dialah yang bertanggungjawab di atas semua perubahan dan penyelewengan terhadap ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام. Dialah orang yang pertama mendakwa Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak Tuhan. Seterusnya fahaman sesatnya itu telah diterimapakai oleh penganut Kristian ketika itu, sampailah sekarang. Oleh kerana mereka mengikut ajaran sesat golongan sebelum mereka itu, maka mereka pun menjadi sesatlah juga.
Kita pun tahu yang Musyrikin Mekah juga mencipta fahaman sesat tentang para malaikat. Mereka turut mendakwa yang para malaikat itu adalah anak Allah. Namun bezanya mereka bukan sahaja menjadikan anak yang seorang dua, malah keseluruhan para malaikat. Lebih dahsyat lagi mereka menuduh para malaikat itu adalah anak perempuan. Sementara kaum Yahudi dan Nasara mendakwa Allah ﷻ mempunyai anak lelaki, Musyrikin Mekah lebih teruk lagi sebab mendakwa Allah ﷻ mempunyai anak-anak perempuan pula iaitu para malaikat itu. Ini seperti disebut di dalam Saffat:149
فَاستَفتِهِم أَلِرَبِّكَ البَناتُ وَلَهُمُ البَنونَ
Tanyakanlah (ya Muhammad) kepada mereka (orang-orang kafir Mekah): “Apakah untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak laki-laki,
Semua dakwaan ini bertujuan semata-mata untuk mencari broker bagi menolong mereka menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Begitu jugalah dengan fahaman sesat masyarakat kita tentang tawasul ini. Ia datang daripada ajaran tok nenek kita juga yang tersilap tentang agama. Masyarakat kita yang tidak teliti dalam mengambil ilmu, maka mereka terimapakai sahaja apa yang disampaikan oleh mereka. Apabila kita tegur, mereka akan jawab: “Takkan tok nenek kita salah dan masuk neraka pula?”.
قٰتَلَهُمُ اللَّهُ
Dilaknati Allah mereka,
Menurut Ibnu Abbas رضي الله عنهما, makna ayat ini ialah ‘semoga Allah melaknat mereka’. Semoga Allah ﷻ melaknat mereka kerana akidah mereka punah. Janganlah kita pun ada akidah sesat yang sama kerana Allah ﷻ pun boleh melaknat kita juga. Kalau dilaknat oleh Allah ﷻ, maknanya tidak ada harapan untuk mendapat rahmat daripada Allah ﷻ lagi. Malang sekali, terdapat ramai lagi yang ada akidah seumpama mereka itu.
أَنّىٰ يُؤفَكونَ
bagaimana mereka sampai berpaling?
Ini adalah pernyataan takjub: segala wahyu dan hujah telah diberikan kepada mereka, bagaimana lagi mereka boleh terpesong? Memang teruk sangat mereka ini! Inilah yang akan terjadi jika wahyu ditinggalkan tetapi mengambil pendapat manusia yang tidak disandarkan kepada wahyu Allah ﷻ yang jelas. Oleh itu sekiranya masyarakat kita juga jahil wahyu seperti yang kita lihat sekarang, begitulah yang akan terjadi.
Tawbah Ayat 31: Ayat sebelum ini adalah mengenai kufur dari segi iktikad. Sekarang ayat ini adalah tentang kufur dari segi perbuatan pula. Ayat ini juga menjelaskan kenapa teruk sangat mereka itu sampaikan sanggup berkata-kata seperti di dalam ayat sebelum ini. Maka ini adalah puncanya.
اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا وٰحِدًا ۖ لّا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۚ سُبحٰنَهُ عَمّا يُشرِكونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They have taken their scholars and monks as lords besides Allāh,¹ and [also] the Messiah, the son of Mary.¹ And they were not commanded except to worship one God; there is no deity except Him. Exalted is He above whatever they associate with Him.
* By their obedience to them rather than to what Allāh ordained.
* By their worship of him in conjunction with Allāh.
(MALAY)
Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ
Mereka menjadikan pendeta-pendeta mereka dan rahib-rahib mereka sebagai rabb selain Allah
Lafaz أَحبارَهُم itu berasal daripada katadasar ح ب ر yang bermaksud ‘dakwat’. Ia merujuk kepada golongan ulama’ dalam kalangan Yahudi dan Nasara. Ulama’ mereka itu banyak membaca dan menulis sampaikan mereka dikaitkan dengan dakwat. Mereka banyak membaca dan menulis sampaikan jari-jari mereka ada kesan dakwat. Kerana itulah mereka digelar ‘ahbar’.
Lafaz وَرُهبٰنَهُم pula daripada katadasar ر ه ب yang bermaksud ‘takut’. Ini adalah biarawan mereka yang banyak menyendiri dan bermeditasi. Mereka adalah ahli ibadah dalam kalangan mereka. Sepertimana dalam agama kita iaitu jenis orang sufi itu (pun golongan yang pelik juga). Mereka itu adalah penganut Nasara yang jenis ekstrim. Sebab itulah ada pendapat yang mengatakan ajaran sufi itu diambil daripada puak Nasara. Ini adalah kerana apa yang mereka lakukan itu tidak ada dalam Islam pun. Setelah dikaji, rupanya amalan ini telah diceduk daripada Kristian.
Kenapa para rahib itu dikaitkan dengan ‘takut’? Kerana mereka takut dengan keduniaan. Mereka hanya mahu bermunajat kepada Tuhan sahaja. Mereka tidak mahu ada kena mengena dengan dunia. Kita seharusnya kena ingat yang amalan ini tidak ada dalam ajaran Islam. Islam tidak menyuruh kita menolak dunia terus. Itulah sebabnya pelik jadinya golongan sufi dan tarekat ini – kerana mereka banyak mengambil ajaran yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Entah ambil dari mana pun kita tidak pasti sebenarnya.
Allah ﷻ mengutuk Yahudi dan Nasara kerana menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai Tuhan. Begitulah juga yang terjadi kepada golongan Muslim yang sesat. Dari segi amalan dan perbuatan mereka, mereka telah menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan, selain daripada Allah ﷻ. Kalau kita kata begini, mereka akan marah kerana mereka kata mereka tidak sembah pun ulama’ dan rahib-rahib itu seperti mereka sembah Allah ﷻ. Kita pun lihat tidaklah mereka buat seperti itu, maka bagaimana pula?
Terdapat sebuah hadith yang menjelaskan perkara ini, iaitu kisah seorang lelaki yang hampir memeluk Islam, namanya Addi bin Hatim, tetapi beliau belum jelas tentang agama Islam. Apabila beliau mendengar ayat ini, beliau berkata ketika beliau beragama Nasrani, mereka tidak menyeru dan memuja ulama’ dan rahib mereka.
Nabi ﷺ beritahu, tidakkah dia mengikut hukum yang difatwa oleh ahbar dan rahib itu? Addi mengaku kata memang ada. Maknanya, penganut itu ikut sahaja fatwa yang ahli agama mereka beri sebagaimana mereka mengikut arahan Tuhan. Maka ulama’ mereka itu seolah-olah sudah sama kedudukan dengan Tuhan sehingga boleh menetapkan hukum pula. Golongan awam hanya mengikut sahaja walaupun ajaran mereka itu dan hukum yang mereka keluarkan tidak mengikut kehendak Allah ﷻ.
Oleh itu, apabila pemuka agama mereka menghalalkan yang haram dan menghalalkan yang haram, pengikut itu hanya mengikut sahaja. Tidakkah itu menjadikan pemuka agama mereka itu sebagai tuhan/rabb? Kerana sepatutnya mengharamkan dan menghalalkan adalah haq Tuhan. Oleh kerana mereka mengiyakan apa yang dikatakan oleh ulama’ dan rahib mereka itu, maka mereka juga telah kufur.
Hadith penuh mengenai kisah ini adalah seperti berikut:
أَنَّهُ لَمَّا بَلَغَتْهُ دَعْوَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فرَّ إِلَى الشَّامِ، وَكَانَ قَدْ تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَأُسِرَتْ أُخْتُهُ وَجَمَاعَةٌ مِنْ قَوْمِهِ، ثمَّ منَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أُخْتِهِ وَأَعْطَاهَا، فَرَجَعَتْ إِلَى أَخِيهَا، ورَغَّبته فِي الْإِسْلَامِ وَفِي الْقُدُومِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَدِمَ عَدِيّ الْمَدِينَةَ، وَكَانَ رَئِيسًا فِي قَوْمِهِ طَيِّئٍ، وَأَبُوهُ حَاتِمٌ الطَّائِيُّ الْمَشْهُورُ بِالْكَرَمِ، فتحدَّث النَّاسُ بِقُدُومِهِ، فَدَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِ عَدِيّ صَلِيبٌ مِنْ فِضَّةٍ، فَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ} قَالَ: فَقُلْتُ: إِنَّهُمْ لَمْ يَعْبُدُوهُمْ. فَقَالَ: “بَلَى، إِنَّهُمْ حَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلَالَ، وَأَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ، فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ”. وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا عَدِيُّ، مَا تَقُولُ؟ أيُفرّك أَنْ يُقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ شَيْئًا أَكْبَرَ مِنَ اللَّهِ؟ مَا يُفرك؟ أَيُفِرُّكَ أَنْ يُقَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ مِنْ إِلَهٍ إِلَّا اللَّهُ”؟ ثُمَّ دَعَاهُ إِلَى الْإِسْلَامِ فَأَسْلَمَ، وَشَهِدَ شَهَادَةَ الْحَقِّ، قَالَ: فَلَقَدْ رأيتُ وَجْهَهُ اسْتَبْشَرَ ثُمَّ قَالَ: “إِنَّ الْيَهُودَ مَغْضُوبٌ عَلَيْهِمْ، وَالنَّصَارَى ضَالُّونَ”
Bahawa ketika sampai kepadanya dakwah daripada Rasulullah ﷺ, beliau lari ke negeri Syam. Sejak zaman Jahiliah beliau telah masuk agama Nasrani, kemudian saudara perempuannya ditahan bersama sejumlah orang daripada kaumnya. Lalu Rasulullah ﷺ menganugerahkan kebebasan kepada saudara perempuan Addi ibnu Hatim رضي الله عنه dan memberinya hadiah. Saudara perempuan Addi ibnu Hatim رضي الله عنه kembali kepada saudara lelakinya dan menganjurkannya untuk masuk Islam dan menghadap kepada Rasulullah ﷺ. Akhirnya Addi رضي الله عنه datang ke Madinah. Beliau adalah pemimpin kaumnya, iaitu kabilah Tayyi’; dan ayahnya (iaitu Hatim At-Tai’) terkenal dengan kedermawanannya. Maka orang-orang Madinah ramai membicarakan kedatangan Addi ibnu Hatim رضي الله عنه. Addi رضي الله عنه masuk menemui Rasulullah ﷺ, sedangkan pada leher Addi رضي الله عنه tergantung salib yang terbuat daripada perak. Saat itu Rasulullah ﷺ sedang membacakan firman-Nya: Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah. (At-Tawbah: 31) Addi رضي الله عنه melanjutkan kisahnya, bahawa beliau menjawab, “Sesungguhnya mereka tidak menyembahnya.” Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak, sesungguhnya mereka mengharamkan hal yang halal bagi para pengikutnya dan menghalalkan hal yang haram bagi mereka, lalu mereka mengikutinya; yang demikian itulah ibadah mereka kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Addi, bagaimanakah pendapatmu? Apakah membahayakan bila dikatakan Allah Maha besar? Apakah kamu mengetahui sesuatu yang lebih besar daripada Allah bila Allah menimpakan bahaya kepadamu? Apakah membahayakanmu bila dikatakan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah? Apakah kamu mengetahui ada Tuhan selain Allah?” Rasulullah ﷺ mengajaknya masuk Islam. Akhirnya Addi رضي الله عنه masuk Islam dan mengucapkan syahadat yang benar. Addi رضي الله عنه melanjutkan kisahnya, bahawa setelah itu beliau melihat wajah Rasulullah ﷺ bersinar ceria, lalu bersabda: Sesungguhnya orang-orang Yahudi itu dimurkai dan orang-orang Nasrani itu orang-orang yang sesat.
(HR. Tirmidzi No. 3095, Ibnu Sa’ad dalam Thabaqat al-Kubra No. 289, al-Baihaqi dalam Sunan Kubra No. 20847, daripada Addi bin Hatim At-Tai’ رضي الله عنه)
Hadith hasan menurut Syeikh al-Albani dalam Ghiyatul Maram No. 6
Masyarakat kita pun melakukan kesalahan yang sama juga sebenarnya. Kita banyak hanya berpegang sahaja kepada pendapat yang dikeluarkan oleh ulama’ atau ustaz. Kita tidak tanya pun dari mana dalil yang mereka bawa itu – adakah daripada wahyu atau hanya pendapat mereka. Ramai dalam kalangan kita tidak teliti tentang perkara ini.
Selalunya ada pendapat yang dikeluarkan itu daripada manusia sahaja, atau yang didapati dalam kitab. Kita tidaklah menolak pendapat ulama’ atau kitab. Akan tetapi ulama’ atau kitab itu kenalah naqalkan/bawakan dalil daripada wahyu – sama ada daripada Al-Qur’an atau hadith sahih. Malangnya, budaya masyarakat kita pula kebanyakannya malas berfikir dan kurang minat untuk membaca apatah lagi mengkaji ilmu lebih-lebih lagi bab agama, maka apa yang keluar dari mulut manusia yang dipandang sebagai ada faham agama, mereka terima bulat-bulat sahaja.
Segelintir ulama’ dan ustaz pula bersikap garang tidak tentu fasal – apabila ditanya dan diminta dibawakan dalil, ramai yang marah. Sedangkan mereka sendiri sepatutnya bawakan dalil awal-awal lagi kerana agama ini tertegak atas nas. Bukannya daripada kitab itu dan ini. Bukan semua ilmu dalam kitab yang ditulis oleh manusia itu benar. Dek kerana terlalu percaya apa yang ada dalam kitablah yang menyebabkan agama kita ini sedang bercelaru akibat daripada banyak sangat pendapat yang tidak diambil daripada nas yang sahih.
Di sini kita dapat belajar bahayanya kalau kita terus sahaja terima apa-apa yang disampaikan oleh mereka yang dipanggil sebagai ulama’. Begitulah keadaan di dunia sekarang: yang membetulkan agama itu adalah ulama’ namun ulama’ lah juga yang merosakkan agama. Kebanyakan mereka mengambil peluang daripada sikap masyarakat kita sendiri yang malas membaca dan mengkaji ilmu terutama ilmu agama. Kebanyakan daripada mereka masing-masing mahukan jalan pintas untuk mendapatkan ilmu di mana semua maklumat berada di hujung jari sahaja. Terlalu banyak info sesat yang bercampur aduk dalam media sosial seperti TikTok, Facebook, Youtube dan sebagainya. Akibatnya, makin ramai yang keliru dan celaru. Ini kerana orang awam tidak akan rosak dengan kata-kata orang biasa tetapi mereka akan percaya dan yakin sungguh dengan kata-kata orang-orang yang dianggap sebagai alim ulama’. Tidak ramai yang ingin benar-benar memahami bab hukum hakam dalam agama sehinggalah terjadinya kes viral artis tersohor yang melafazkan ijab kabul ringkas dikecam hebat di media sosial. (https://www.astroawani.com/berita-hiburan/ijab-kabul-ringkas-sabri-angeline-sah-mufti-perlis-442112) Hanya apabila terdapat artis yang terkenal melakukan sesuatu yang terkait bab hukum hakam agama barulah masyarakat ambil peduli dan minat untuk belajar mengenainya. Apabila timbul isu sebegini barulah juga terbongkar yang manakah di antara agamawan kita yang benar-benar berilmu dan yang tidak. Sehingga ada ‘ulama’ yang berani dengan sewenang-wenangnya memberi hukuman zina terhadap perkara yang mereka tidak fahami!.
Walau bagaimanapun, dalam waktu yang sama, kita hendaklah seimbangkan dengan arahan Allah ﷻ untuk bertanya kepada ulama’ tentang perkara agama seperti disebut di dalam Nahl:43
فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui
Kita memang disuruh untuk bertanya kepada orang yang berilmu, akan tetapi jawapan itu mestilah yang ada sandaran dengan wahyu. Jangan kita lari daripada bergantung kepada wahyu yang Allah ﷻ sampaikan, sama ada daripada Al-Qur’an ataupun daripada hadith Nabi. Maka ulama’ itu hendaklah memberitahu kita jawapan yang diambil daripada wahyu.
Semuanya berpunca daripada kesilapan yang dilakukan oleh agama sebelum kita di mana mereka meninggalkan wahyu dan bergantung kepada pendapat dan kehendak agamawan mereka dalam kalangan ahbar dan rahib-rahib mereka. Hasilnya kita dapat lihat bagaimana mereka telah tersesat jauh daripada kebenaran.
.
وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ
dan Al Masih putera Maryam,
Ada antara mereka juga menjadikan Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan. Kalau anda perasan, kebanyakan tempat apabila Allah ﷻ sebut nama Nabi Isa عليه السلام, akan disebut yang baginda adalah putera Maryam. Ini adalah kerana baginda tidak ada ayah maka baginda dinasabkan kepada ibunya. Juga kerana Allah ﷻ hendak menekankan yang baginda adalah anak Maryam, anak ibunya, bukan anak Tuhan.
Akan tetapi kedudukan baginda telah disalah anggap oleh golongan Nasara (Kristian). Mereka telah mengangkat kedudukan baginda melebihi daripada yang sepatutnya. Inilah juga yang kita takut terjadi dalam masyarakat kita. Ada yang mengangkat kedudukan Nabi Muhammad ﷺ melebihi daripada yang sepatutnya. Sedangkan Nabi ﷺ sendiri sudah berpesan jangan buat begitu.
Daripada Ibn ‘Abbas yang berkata beliau pernah mendengar ‘Umar رضي الله عنه berkata di atas mimbar: Saya pernah mendengar Nabi ﷺ bersabda:
لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
“Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap Ibn Maryam (Nabi ‘Isa AS), sebaliknya saya hanyalah hamba-Nya. Maka kamu sebutlah (kepada Saya) Hamba Allah dan Rasul-Nya.”
(HR Bukhari No. 3445, 6830)
Sebagai contoh, ada yang minta berkat terus dengan Nabi ﷺ, minta syafaat terus dengan Nabi ﷺ; dan macam-macam lagi perkara salah yang dilakukan; termasuk ada yang kata Nabi Muhammad ﷺ itu bukan ‘manusia biasa’ sedangkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri disuruh beritahu bahawa baginda adalah manusia – ini terdapat dalam banyak ayat Al-Qur’an.
Semenjak kebelakangan ini pula sudah keluar golongan sesat yang mengatakan Allah ﷻ itu adalah ‘pangkat’ dan sebenarnya Nabi Muhammad ﷺ itu memegang pangkat Allah ﷻ. Mereka dakwa baginda berlakon sahaja sebagai manusia biasa sedangkan baginda itulah Allah ﷻ! Sebenarnya pendapat ini sudah lama ada kerana ia sama sahaja dengan kesesatan agama-agama yang terdahulu yang terlalu menyanjung Nabi mereka. Cumanya yang amat membimbangkan adalah kerana mereka telah berani menonjolkan diri mereka. Mereka sudah tidak segan silu lagi menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka yang amat pekat. Boleh rujuk fahaman SiHulk yang telah tular baru-baru ini: Ajaran SiHulk difatwakan sesat
Begitulah yang terjadi apabila masyarakat kita yang tidak faham Al-Qur’an kerana tidak ada rasa keperluan untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an. Banyak ilmu keduniaan lain didalami dan dipelajari sehingga ke peringkat tertinggi, malangnya pengajian Al-Qur’an masih lagi di tangkuk lama. Kebanyakannya hanya menekankan pembetulan tilawah, tajwid, tarannum dan lain-lain. Khatam Al-Qur’an berkali-kali dan seronok sangat dapat khatam namun apalah erti khatam tanpa memahami sedikitpun apa yang telah dikhatam berkali-kali itu? Segala suruhan dan larangan Allah ﷻ di dalam kitab wahyu ini tidak diambil peduli. Dek kerana itulah banyak fahaman dan amalan yang pelik dalam masyarakat kita semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Hafal ayat-ayat Al-Qur’an namun masih mengamalkan fahaman yang tidak berlandaskan Al-Qur’an. Kalau kita yang sedang berusaha memahami Al-Qur’an ini tidak perbetulkan mereka dengan menyampaikan ajaran wahyu ini, entah apalah yang akan terjadi kepada masyarakat kita kelak.
وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا وٰحِدًا
padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa,
Puak-puak ahli kitab itu telah melakukan kesalahan mengangkat selain Allah ﷻ sebagai tuhan, sebagai ilah sembahan dan seruan mereka. Sedangkan mereka tidak diarahkan dalam kitab mereka sendiri melainkan untuk sembah Allah ﷻ yang esa sahaja.
Suruhan untuk menaikkan kedudukan makhluk lebih daripada sepatutnya tidak ada dalam kitab mereka pun. Sebagai contoh, tidak ada dalam Injil itu yang mengatakan yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah tuhan, malah sebagai anak Tuhan pun. Ia hanyalah disebut dalam kitab-kitab tulisan tangan manusia.
Mereka lebih gemar mempelajari serta mempercayai apa yang ditulis dalam kitab yang ditulis oleh ahli agama mereka. Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita pun – pegang sangat ajaran dalam kitab seolah-olah itulah wahyu. Mereka tidak periksa pun sama ada yang tertulis dalam kitab itu selari dengan nas agama ataupun tidak.
Ramai yang marah kalau kita sebut begini – mereka kata mana ada mereka menjadikan para Nabi sebagai ilah. Mereka yang kata begitu adalah kerana mereka tidak faham konsep ilah. Ketahuilah, mereka yang seru Nabi itu telah menjadikan Nabi itu sebagai ilah. Padahal ilah itu hanya Allah ﷻ sahaja. Mereka menduakan ilah, bukan menduakan Allah ﷻ. Oleh itu kena faham di manakah salahnya.
Termasuk kesalahan yang disebut dalam ayat ini adalah menerima hukum yang disyariatkan oleh manusia dan ternyata perbuatan itu juga menduakan ilah. Kalau dalam Kristian, mereka menjadikan Pope mereka sebagai pembuat hukum. Bagaimana pula dengan kita? Tidakkah kita juga menjadikan mereka yang dipanggil sebagai ‘ulama’ sebagai pembuat hukum?
Sebaliknya kita sepatutnya menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja, menyembah Allah ﷻ sahaja dan melakukan ibadah kepada Allah ﷻ sahaja. Namun apakah maksud ibadah? Di antara definisi terbaik dan terlengkap adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله.
Beliau رحمه الله mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakupi segala sesuatu yang dicintai Allah ﷻ dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) mahupun yang nampak (zahir). Maka solat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang daripada yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafiq, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan do’a, berzikir, membaca Al-Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bahagian daripada ibadah.
Begitu pula rasa cinta kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya, takut kepada Allah ﷻ, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut akan seksaan-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian daripada ibadah kepada Allah ﷻ.” (Al ‘Ubudiyah, cet. Maktabah Darul Balagh hal. 6).
لّا إِلٰهَ إِلّا هُوَ
tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia.
Allah ﷻ tekankan tentang kalimah Tauhid di sini. Hanya Allah ﷻ sahaja tempat pengharapan kita dan tempat kita meminta doa. Hanya Allah ﷻ sahaja yang layak disembah dan ditaati. Jangan letakkan kedudukan makhluk sama dengan kedudukan Allah ﷻ.
Apabila Yahudi dan Nasara mengambil hukum selain daripada Allah ﷻ, maka mereka telah menjadikan ahbar dan rahib mereka sebagai ilah dan ini adalah satu kesyirikan. Maka begitu juga dengan kita, jangan kita lakukan perkara yang sama.
سُبحٰنَهُ عَمّا يُشرِكونَ
Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
Apa-apa sahaja rekaan mereka tentang Allah ﷻ yang tidak sesuai dengan Allah ﷻ itu ditolak oleh Allah ﷻ di sini. Semua itu tidak layak bagi-Nya. Allah ﷻ suci daripada apa-apa penafsiran yang salah yang mereka berikan itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 4 April 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
