Tafsir Surah Ali Imran Ayat 30 – 31

BALASAN BAIK DAN BURUK

Ayat 30:

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا وَما عَمِلَت مِن سوءٍ تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL

The Day every soul will find what it has done of good present [before it] and what it has done of evil, it will wish that between itself and that [evil] was a great distance. And Allah warns you of Himself, and Allah is Kind to [His] servants.”

MALAY

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

 

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا

hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, dihadapkan ke hadapannya

Ingatlah yang kita akan jumpa balik amalan yang kita buat di dunia dahulu. Mungkin kita pun sudah lupa kebaikan yang kita pernah buat itu. Namun Allah ﷻ telah merekod semua sekali perbuatan kita. Maka di akhirat akan ditunjukkan semuanya kepada kita walau sekecil mana pun seperti memberi senyuman kepada orang lain.

Kalimah محضرا maksudnya ia akan dibawa ke hadapan kita. Ia dari kata dasar ح ض ر yang juga digunakan untuk kalimah ‘hadhir’.

Allah ﷻ tunjuk semula kerana Allah ﷻ hendak balas. Segala penat lelah kita menjalankan amal yang baik itu semasa di dunia akan dibalas dengan berlebihan lagi. Nanti kita sudah tidak ingat susah payah kita dahulu kerana terlalu suka dengan balasan yang berlipat kali ganda itu. Jadi susah payah itu hanyalah di dunia ini sahaja.

 وَما عَمِلَت مِن سوءٍ

dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.

Malangnya, semuanya akan ditunjuk, termasuk juga perbuatan buruk kita sama ada besar ataupun kecil. Sebagai contoh, mungkin kita ada jeling tengok perempuan yang bukan mahram. Ini pun akan ditulis juga dan akan ditunjukkan dosa kita itu. Itu kalau ia tidak diampunkan semasa di dunia lagi.

تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا

dia ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.

Semua orang akan berharap kalaulah ada cara untuk menjauhkan benda buruk yang dia pernah buat dahulu. Kalimah أمداً maksudnya masa yang lama sangat. Maksudnya jauh sangat sampai hendak pergi ke situ pun tidak boleh dikira masanya.

Kemudian Allah‎ ﷻ tambah pula kalimah بعيداً yang bermaksud jauh sangat. Apabila digabungkan dua perkataan ini, hendak menunjukkan betapa orang itu hendak dijauhkan sangat dosa dia itu sejauh-jauhnya.

 وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya

Allah ‎ﷻ ajar kita supaya takut kepada-Nya. Allah ‎ﷻ beritahu Sifat-sifat-Nya dalam Al-Qur’an supaya kita kenal Dia dan berhati-hati dengan peringatan yang diberikan oleh-Nya. Jangan buat tidak tahu sahaja. Jangan baca kosong sahaja ayat-ayat ini.

وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

Selepas Dia takutkan kita dengan Sifat keras-Nya, Allah ‎ﷻ sebut pula sifat lembut-Nya pula. Begitulah Allah ‎ﷻ dalam memperkenalkan Diri-Nya, akan menyebut kedua-dua jenis Sifat-Nya itu. Ada Sifat jenis Jalal dan Jamal.

Apakah Sifat رَءوفٌ itu? Ini seperti bila kita tengok kesusahan orang yang kebuluran dan kita hendak tolong mereka. Hati kita remuk bila tengok keadaan mereka. Begitulah juga, Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang Dia tahu apa yang kita lalui. Allah ‎ﷻ tahu apa kita hendak, apa kita rasa, apa yang kita lalui, segalanya Allah ‎ﷻ tahu. Namun Allah ‎ﷻ berikan semua yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu sebagai ujian kepada kita. Kerana memang dunia adalah tempat ujian.

Maka amat indah sekali sifat ini kalau kita faham. Kita akan semakin kenal dan sayang kepada Allah ‎ﷻ. Barulah kita dapat rasa bahawa tidaklah Allah‎ ﷻ tinggalkan kita. Walaupun kita susah, tetapi kita sedar yang Allah ﷻ sedang perhatikan sahaja semua perkara yang kita sedang lalui itu dan ia akan dibalas nanti dengan kebaikan kerana apabila kita redha dengan kesusahan itu semua, kita akan diberi pahala.

Kawan paling rapat kitalah yang kenal dan tahu apa yang kita lalui. Kadang-kadang kita tidak perlu cakap pun, kita tahu dia tahu. Sekarang Allah ‎ﷻ kata Dialah kawan itu. Alangkah indahnya.

Allah ‎ﷻ juga tahu yang kadang-kadang dalam kita menjaga amal dan perbuatan kita, kadangkala tergelincir juga. Maka cepat-cepatlah mohon keampunan daripada Allah ‎ﷻ dan berhenti daripada meneruskan kesalahan itu. Allah ﷻ sanggup untuk ampunkan.


TAAT KEPADA ALLAH DAN RASUL

Ayat 31: Ayat ini adalah Ayat Tabshir (Ayat gembira).

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia bersifat رَءوفٌ. Maka selepas kita tahu sifat Allah ‎ﷻ begitu, maka timbullah rasa cinta kita kepada Allah ‎ﷻ.

Cinta memerlukan dua belah pihak saling mencintai, barulah lengkap. Kalau kita kasih kepada Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ murka, tidak ada gunanya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu cara bagaimana hendak mendapatkan kasih-Nya.

Cara untuk kasih kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan mengikut cara yang Allah ‎ﷻ suruh. Iaitu kita taat kepada kehendakNya. Sebagaimana kita sayang kekasih kita di dunia, tentulah kita akan ikut kehendak dia seboleh mungkin, bukan?

Dalam Tafsir Jalalain, ada disebut bahawa ayat ini tentang segolongan ahli syirik yang kata mereka seru para wali yang mereka seru dengan harapan Allah ‎ﷻ mencintai mereka. Mereka kata yang mereka seru itu bukan makhluk biasa tetapi yang mulia, yang disayangi Allah ‎ﷻ. Jadi mereka sebut-sebut dan puja wali itu supaya pujaan-pujaan itu sebut pula nama mereka di hadapan Allah ‎ﷻ, supaya kemudian Allah ‎ﷻ pula cinta mereka.

Maka Allah ‎ﷻ memperbetulkan pemahaman syirik ini. Fahaman salah ini juga banyak dalam masyarakat kita seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah, tarekat dan golongan Habib.

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, [O Muhammad], “If you should love Allah , then follow me, [so] Allah will love you and forgive you your sins. And Allah is Forgiving and Merciful.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

Kalau benar kasih kepada Allah ‎ﷻ, jangan buat fahaman agama ikut cara sendiri. Jangan pakai cara yang tidak tahu dari mana datangnya (tanpa dalil). Kalau buat cara sendiri, itu adalah kasih ‘sebelah pihak’ sahaja, sedangkan Allah ‎ﷻ murka kepada mereka. Itu maknanya perasan seorang diri sahaja. Cara Nabi ﷺlah yang Allah ‎ﷻ suka. Maka ikutlah cara yang Nabi ﷺ ajar.

Nabi ﷺ suruh kita ittiba‘ kepada baginda. Maksud ittiba’ itu adalah ikut dengan rapat. Macam kalau kita nampak tapak kaki di pantai, kita letak kaki kita letak betul-betul atas bekas tapak kaki itu menyelusuri pantai itu.

Ia berbeza sedikit dengan itaa’ah. Itaa’ah adalah taat atau ikut arahan iaitu, setelah disuruh buat sesuatu, kita lakukan seperti yang disuruh. Paling kurang yang kita lakukan adalah itaa’ah.

Akan tetapi ittiba‘ lebih tinggi lagi daripada itu. Kalau mahu Allah ‎ﷻ cinta kita, kena ittiba’ kepada Nabi ﷺ seperti yang diberitahu dalam ayat ini. Ia berlaku apabila kita tanya bagaimana hendak buat sesuatu (itaa’ah sudah diberi arahan baru buat). Maknanya orang yang ittiba’ itu orang yang ada inisiatif untuk tahu dan ikut.

Keinginan hendak ikut itu adalah kerana ada rasa cinta dan sayang kepada Nabi ﷺ. Maka dia hendak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh, selalu apabila seseorang itu sudah mula terima tauhid dengan cara yang betul, sudah belajar tentang kepentingan sunnah, mereka akan cari maklumat bagaimana Nabi ﷺ salat, cara baginda berpakaian, cara baginda makan dan sebagainya. Itulah yang dikatakan ittiba’. Semoga kita ada perasaan ini dalam hati kita.

Jadi cinta kepada Nabi Muhammad adalah dengan ikut cara baginda. Bukannya puja dan puji baginda melambung-lambung, dalam majlis bidaah, dengan cara yang bidaah. Zaman sekarang yang banyak mendakwa mereka cinta Nabi tapi buat dengan cara yang salah adalah golongan Habib. Sekarang  mereka terkenal di negara kita (asal mereka dari Yaman) dan ramai dari kalangan orang kita tertipu dengan mereka.

Apakah kesannya nanti kalau kita ada ittiba’?

يُحبِبكُمُ اللَّهُ

nescaya Allah mengasihi kamu

Sekiranya dapat ikut Nabi ﷺ, maka barulah Allah ‎ﷻ cinta kepada para pelakunya. Ayat ini menunjukkan betapa Allah ‎ﷻ sayangkan Nabi ﷺ sampai kalau kita ikut baginda, Dia akan suka dan akan cinta pula kepada kita.

Yang pertama sekali kita kena ikut adalah dari segi akidah (terutama sekali tauhid). Tinggalkan segala fahaman dan amalan syirik. Syirik itu lebih buruk daripada seorang isteri tidur dengan lelaki lain atas katil yang ada suaminya. Itu adalah perbuatan kurang ajar menduakan suami, tetapi syirik itu lebih buruk lagi kerana menduakan Allah ‎ﷻ!

Itulah bandingan mereka yang sebut nama Allah ‎ﷻ tetapi dalam masa yang sama, sebut dan seru pujaan lain. Malangnya, ilmu tauhid dan syirik ini jarang dipelajari oleh masyarakat kita, sampai menyebabkan banyak kekeliruan dan terdapat amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita, kerana mereka tidak tahu.

Kemudian selepas ikut hal tauhid (dan akidah), kena ikut dari segi ibadat dan adat. ‘Ibadat’ adalah hubungan makhluk dengan Allah ‎ﷻ dan ‘adat’ adalah hubungan makhluk dengan makhluk. Tentang dua perkara ini, memang ada yang menjaganya (mereka jaga ibadat dan adat mereka), tetapi ada yang culas dalam hal tauhid. Malangnya kalau hal tauhid tidak dijaga, sia-sia sahaja segala amalan yang dilakukan manusia itu kerana dia akan kekal dalam neraka.

وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

serta Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu.

Kelebihan kalau kita melakukan segala perkara yang disebut di atas, Allah ‎ﷻ akan tutup dosa kita. Kita manusia yang banyak dosa dan amat memerlukan pengampunan dosa daripada Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut dosa kita pun akan dihadhirkan di akhirat kelak. Maka untuk elak dan jauhkan dosa itu dari kita, hendaklah kita ikut cara Rasulullah ﷺ.  Kena belajar cara sunnah.

Malang sekali, ada orang yang mengaku cinta Nabi ﷺ sampai menangis kalau sebut nama Nabi ﷺ tetapi tidak ikut cara baginda, tidak ikut sunnah baginda. Amalan ibadat banyak yang mereka tambah. Itu semua dipanggil bid’ah. Ramai yang rasa ringan sahaja buat amalan bid’ah. Berbagai alasan mereka bagi untuk membenarkan amalan bid’ah mereka.

Ada pula yang sudah menjaga amalan ibadat ikut cara Nabi ﷺ tetapi cara Nabi ﷺ berurusan dengan makhluk, tidak pula mereka ikut. Maksudnya, akhlak Nabi ﷺ, mereka tidak ikut. Mereka tidak jaga hubungan dan ada yang zalim kepada orang lain. Dengan makhluk lain pun mereka tidak jaga (dengan binatang dan tanaman).

Lihatlah apakah maksud ‘akhlak’ itu. ‘Akhlak’ daripada kata dasar yang sama dengan ‘makhluk’. Maksudnya akhlak adalah tentang interaksi kita dengan makhluk Allah ‎ﷻ yang lain. Yang terbaik interaksi mereka dengan makhluk lain, mereka itulah yang ada akhlak yang terbaik. Maka akhlak ada satu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Sebagaimana Rasulullah jaga akhlak baginda, maka kita pun kenalah ikut juga.

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kepada Sifat-Nya yang Maha Pengampun. Ghafara maksudnya Allah ‎ﷻ akan menutup kesalahan dosa yang kita telah lakukan sampai tidak diketahui oleh mana-mana makhluk. Hanya Dia sahaja yang tahu. Kerana malu juga kalau orang lain tahu dosa kita, bukan?

Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa kita kerana Allah ﷻ kasih kepada kita. Allah ‎ﷻ amat bersifat kasih kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ bukan hendak menyusahkan hamba-Nya. Segala yang Dia lakukan dan arahkan kepada kita, adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Nota tambahan: ada puak-puak tertentu yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini sebagai ‘Ayat Pengasih’. Kononnya kalau dibaca, akan menyebabkan kita dikasihi. Sebagai contoh, Darul Syifa’ ada mengajar untuk baca ayat ini selepas setiap kali solat lima waktu.

Ini adalah amalan yang bid’ah dan karut. Ia termasuk salah satu penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Begitulah kalau tidak belajar tafsir, ramai yang akan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai sihir untuk mendapatkan sesuatu. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil wahyu sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Februari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment