Tafsir Surah Ali Imran Ayat 10 – 12 (Kepalsuan Sandaran Dunia sebagai Istidraj)

AZAB BAGI GOLONGAN KAFIR

Ali Imran Ayat 10: Setelah menyebut tentang kepastian Hari Akhirat dan permintaan doa minta diselamatkan, maka sekarang diseimbangkan pula dengan disebut tentang lawannya, iaitu kalau tidak selamat.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلآ أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allah at all. And it is they who are fuel for the Fire.

MALAY
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم

Sesungguhnya orang-orang kafir, tidaklah dapat menyelamatkan mereka harta benda mereka

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Hanya disebut mereka kufur (الَّذينَ كَفَروا) tanpa disebut mereka engkar dengan apa. Jadi ia boleh jadi macam-macam: engkar kufur dengan Allah, dengan hari akhirat, dengan wahyu, dengan Rasulullah, dengan segala rukun iman.

Mereka itu kaya raya akan tetapi harta mereka tidak boleh membantu mereka langsung, tidak kira walau kaya macam mana sekalipun.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai pada waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak akan mempunyai nilai langsung. Maka kalau orang ingkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka.

Harta benda dan kekayaan adalah antara perkara yang boleh melalaikan manusia dan menyebabkan manusia sesat. Ini kerana mereka sudah tidak ada rasa bergantung kerana semua senang dapat, masalah pun kurang. Mereka rasa mereka ‘telah cukup’. Maka mereka lupa kepada Allah. Allah telah sebut hal ini di dalam Alaq:6-7

كَلَّا إِنَّ الْإِنسَانَ لَيَطْغَىٰ ۝ أَن رَّآهُ اسْتَغْنَىٰ
“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas (durhaka/kufur). Kerana dia melihat dirinya telah cukup (kaya/senang).”

Apabila ada duit banyak, memang senang terpesona dengan dunia kerana senang sahaja untuk mereka buat maksiat sana sini. Hendak belajar agama pun sudah kurang, sebab sibuk ke sana sini. Kemudian untuk mendapatkan harta itu pula, ramai yang menggunakan cara yang salah, menipu, riba, dan sebagainya. Maka agama memang jauh dari manusia sebegini. Bukan semua, tapi ramai.

Maka ini mengajar kita, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Harta banyak mana pun bukannya boleh menyelamatkan kita kalau kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Harta yang kita cari dan kumpul, tapi kalau tiba-tiba kita jatuh sakit, harta yang dikumpul selama 10 tahun pun dihabiskan dalam masa seminggu sahaja.

Tapi sebenarnya harta itu sendiri tidak bersalah. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infakkan. Harta yang ada sebenarnya boleh menjadikan peluang untuk kita buat pahala dengan lebih banyak kalau kita ada kesedaran. Maka jadinya ia peluang untuk pahala, bukannya lubuk untuk dosa. Perhatikan syarah Hadis #25 tentang kelebihan orang yang ada harta dan mereka gunakan kepada kebaikan,

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ « أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ » رَوَاهُ مُسْلِمٌ
Daripada Abu Dzarr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa ada sejumlah orang sahabat Rasulullah ﷺ berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan-jalan lain untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih merupakan sedekah, setiap takbir merupakan sedekah, setiap tahmid merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekah, mengajak pada kebaikan (makruf) adalah sedekah, melarang dari kemungkaran adalah sedekah, dan berhubungan intim dengan isteri kalian adalah sedekah.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya lalu mendapatkan pahala di dalamnya? Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah akan mendapatkan dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka ia mendapatkan pahala.”

[Sahih Muslim, no. 1006]

 

وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئً

dan juga anak pinak mereka dari Allah sedikit pun

Juga anak atau pengaruh tidak akan menyelamatkan mereka daripada azab Allah ﷻ kerana ia tidak akan berguna sedikit pun. Harta dan anak pinak itu berguna ketika di dunia, bolehlah. Ada duit semua boleh jalan. Kalau anak ramai, macam-macam boleh buat.

Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta tadi dan sekarang disebut anak pinak pula. Anak pinak pun ada berkaitan dengan harta juga sebenarnya. Ramai yang sibuk mengumpul harta benda kerana mereka hendak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tetapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!

Lagi satu anak pinak ini senang sangat melalaikan kita. Sibuk kita bermain dengan mereka, sibuk tentang nasib mereka, tentang makan pakai mereka, tentang permainan mereka, sakit pening mereka dan sebagainya. Bukanlah salah, tapi kalau sampai ia melalaikan kita dari agama, dari beribadah dan dari mendalami ilmu agama, maka ia jadi buruk. Kerana itu ada yang kalau kita ajak kelas agama, sibuk kerana anak hendak peperiksaan, anak hendak tuisyen, anak itu dan ini. Jadi lemah ilmu agama kerana sibuk dengan anak sahaja akhirnya.

Balaghah: Kenapa Allah sebut harta dulu sebelum anak? Susunan perkataan di dalam Al-Quran tidak pernah berlaku secara kebetulan. Setiap perkataan yang didahulukan atau dikemudiankan mempunyai rahsia balaghah (keindahan bahasa) dan ketepatan psikologi yang sangat tinggi.

1. Dari sudut realiti kehidupan manusia, seseorang itu biasanya akan mencari dan memiliki harta terlebih dahulu sebelum mereka berkahwin dan dikurniakan anak. Harta menjadi wasilah (jalan) untuk membina keluarga. Maka, susunan ayat ini mengikut kronologi tabi’i kehidupan manusia di dunia.

2. Semua manusia di dunia ini—sama ada lelaki, wanita, orang tua, orang muda, malah orang yang mandul sekalipun—mempunyai keinginan dan kecenderungan yang sangat kuat terhadap harta. Namun, tidak semua orang mempunyai anak. Ada orang kaya yang tidak dikurniakan zuriat, dan ada golongan muda yang belum masanya memiliki anak. Oleh itu, Allah mendahulukan harta kerana fitnah (ujian) harta itu bersifat lebih umum dan terkena kepada setiap lapisan manusia berbanding anak.

3. Konteks ayat 10 ini sedang berbicara tentang orang-orang kafir. Dalam sejarah manusia, alat utama yang paling kerap menyebabkan manusia menjadi sombong, melampaui batas, dan kufur kepada Allah adalah kekayaan harta benda. Contohnya seperti Qarun, Firaun, dan pembesar Quraisy. Mereka menolak dakwah para nabi kerana mereka merasa “cukup” dan berkuasa dengan harta yang mereka ada. Sifat anak-anak biasanya hanyalah sebagai penyokong atau penguat (tentera) kepada kekayaan tersebut. Oleh itu, punca utama kesombongan (harta) didahulukan.

4. Manusia menghabiskan majoriti waktu hidupnya setiap hari (pagi hingga malam) untuk keluar bekerja demi mencari harta. Walaupun mereka menyayangi anak-anak, usaha dan fikiran manusia secara harian lebih banyak terarah kepada pengurusan harta dan ekonomi. Kadang mereka kata mereka cari harta untuk anak. Akan tetapi mereka mencari harta sampai anak terabai. Anak tidak mendapat kasih sayang ayah, anak tidak mendapat pendidikan agama.

Asbabun Nuzul: Selepas kejayaan umat Islam di Badr, puak Yahudi telah telah cuba menyakitkan perasaan para sahabat yang baru pulang daripada kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang para sahabat itu baru hadapi  tidak ada apa-apa sebenarnya; dan mereka kata nanti puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar. Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Mereka (Yahudi itu lagi hebat). Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat. Jangan bangga diri dengan kelebihan keduniaan yang ada.

 

وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

Ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi (menakutkan manusia dengan azab di akhirat). Mereka akan jadi bahan bakar api neraka. Harta dan anak pinak banyak tapi kena bakar dengan api neraka, buat apa?

Dan neraka jangan buat main-main. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi semakin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Ini kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri menjadi sakit disebabkan bertambah kepanasannya. Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan.

Untuk takut dengan neraka (dan supaya kita jangan buat dosa), maka kita hendaklah banyak baca ayat-ayat tentang Neraka. Ramai yang seolah-olah tidak takut dengan neraka sebab neraka ini tidak nampak lagi depan mata. Tapi ia boleh dibayangkan kalau kita selalu baca ayat-ayat tentangnya.


 

Ali Imran Ayat 11:

كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

SAHIH INTERNATIONAL
[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and those before them. They denied Our signs, so Allah seized them for their sins. And Allah is severe in penalty.

MALAY
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

 

كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka;

Kalimah كَدَأبِ bermaksud ‘seperti kebiasaan’. Kalimah دَأبِ bermaksud pekerjaan yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan dan berterusan. Seksa yang menimpa Firaun dan golongan sebelum mereka adalah kerana kederhakaan  mereka yang berulang dan berterusan.

Kenapa mereka degil? Kekufuran golongan kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta. Ini seperti yang berlaku kepada Firaun juga. Disebabkan dia kaya dan ada pengaruh besar, maka dia tidak mahu mendengar dakwah Nabi Musa عليه السلام. Bukan hanya Firaun sahaja, malah kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama. Ini memang kebiasaan yang berlaku zaman berzaman. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Saba’:34

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كٰفِرونَ
“Dan Kami tidak mengutus kepada sesuatu negeri seorang pemberi amaran pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: ‘Sesungguhnya kami kufur (ingkar) terhadap apa yang kamu diutus untuk membawanya’.”

Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah melawan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda merupakan seorang anak yatim dan miskin. Mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama macam yang telah dikenakan kepada Firaun.

Begitulah harta dan anak-anak boleh menyebabkan manusia kafir. Dan ini juga ada disebut di dalam Muddaththir:9-13

فَذٰلِكَ يَومَٮِٕذٍ يَومٌ عَسِيرٌ (٩) عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ غَيرُ يَسِيرٍ (١٠) ذَرنِى وَمَن خَلَقتُ وَحِيدًا (١١) وَجَعَلتُ لَهُ ۥ مَالاً مَّمدُودًا (١٢) وَبَنِينَ شُهُودًا (١٣)
Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar. (9) Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya). (10) (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), (11) Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, (12) Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. (13)

Harta, anak-anak, kekuasaan di dunia adalah istidraj. Istidraj adalah kesenangan yang melalaikan manusia sampai mereka lupa hendak ingat kepada Allah ‎ﷻ . Mereka sangka kesenangan itu baik bagi mereka, namun sebenarnya ia adalah buruk bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar yang mereka telah diperangkap.

Allah mengurniakan amwal (harta) dan awlad (anak-pinak) yang melimpah-ruah kepada orang kafir. Mereka menyangka kekayaan itu adalah bukti kemuliaan mereka, padahal ia adalah perangkap istidraj yang langsung tidak dapat menyelamatkan mereka di akhirat.

Kemudian Allah membawakan kisah yang telah diberikan segalanya—kerajaan yang stabil, sungai Nil yang mengalir, dan tentera yang kuat. Itu adalah puncak istidraj untuk Firaun sehinggakan dia berani mengaku sebagai tuhan, sebelum akhirnya Allah tenggelamkan dia di Laut Merah dalam sekelip mata.

 

كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم

mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. 

Kerana mereka tidak mahu juga pakai wahyu dari Allah ﷻ, maka Allah ﷻ azab mereka. Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ itu bermaksud tidak mahu ikut apa yang disampaikan dalam wahyu. Mungkin tidak disebut mereka ‘tolak’ wahyu, tapi apabila mereka tidak mahu ikut apa yang disampaikan, maka itu menjadi tanda yang mereka menolak ajaran wahyu.

Mereka telah menerima seksaan itu di dunia lagi. Ini kerana sebelum ini disebut tidak berguna harta dan anak-anak mereka. Dan kerana di dalam ayat ini digunakan dalam bentuk fi’il madhi (past tense). Jadi ia bermaksud azab yang mereka terima ketika di dunia. Azab akhirat belum bermula lagi. Di akhirat pun mereka akan kena azab juga. Ini seperti firman Allah di dalam Ra’d:34

لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ ۖ وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ
Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah.

 

وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Allah ﷻ mengingatkan kita betapa beratnya azab dari-Nya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal. Ini hendak menakutkan kita. Jangan main-main dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Allah ﷻ beri amaran dalam ayat ini. Allah banyak sebut ayat-ayat Al-Qur’an tentang azab di neraka.


 

Ali Imran Ayat 12: Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Di dunia lagi Allah ﷻ sudah boleh tunjuk. Maknanya sekarang diberitahu kepada orang kafir yang mereka akan dapat azab di dunia dan juga di akhirat, dua-dua mereka dapat.

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

SAHIH INTERNATIONAL
Say to those who disbelieve, “You will be overcome and gathered together to Hell, and wretched is the resting place.”

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

 

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا

Katakanlah kepada orang-orang kafir itu: 

Allah ﷻ suruh beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi sama ada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi. Iaitu mereka yang menentang ajaran wahyu.

Jadi ayat ini menjadi dalil kita wajib sampaikan ancaman Allah di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Tapi adakah kita telah sampaikan? Nabi Muhammad dan para sahabat sudah sampaikan, tapi adakah kita sudah sampaikan? Bagaimana kita hendak sampaikan kalau kita sendiri tidak faham dengan ajaran Al-Qur’an? Maka ini adalah tamparan hebat kepada kita. Bagaimana kita hendak berdakwah kalau kita sendiri tidak tahu agama sendiri?

Jadi Al-Qur’an ini bukan untuk umat Islam sahaja tapi untuk semua manusia termasuk orang kafir. Mungkin ada orang Islam yang sangka Al-Qur’an ini hanya untuk umat Islam sahaja. Dan ini adalah salah faham. Ini amat menyedihkan sekali kerana orang Islam sendiri tidak faham ajaran Al-Qur’an. Maka sekarang ia menjadi tugas kita untuk membumikan ajaran Al-Qur’an ini. Tentunya kita kena mulakan dengan umat Islam sendiri supaya ramai-ramai boleh sampaikan kepada orang lain juga.

 

سَتُغلَبونَ

Kamu akan dikalahkan

Allah ﷻ hendak beritahu yang orang kafir akan dikalahkan oleh umat Islam. Memang sekarang mereka nampak mereka kuat, tetapi nanti mereka akan dikalahkan. Akan tetapi kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada itu tidak akan dapat memenangkan mereka dan menyelamatkan mereka dari kekalahan. Kalah atau menang di tangan Allah.

Huruf س di dalam kalimah ini membawa maksud ‘akan’. Dan ia akan berlaku tidak lama lagi (Lil-Istiqlal al-Qarib). Dan ia memang berlaku. Ayat ini diturunkan di Madinah, dan tidak lama selepas itu, janji ini benar-benar tunai apabila orang kafir Quraisy kalah teruk dalam Perang Badar.

Ketika ayat ini diturunkan, umat Islam bukannya kuat lagi. Tapi Allah telah janjikan kemenangan kepada mereka. Ini kerana Allah hendak beritahu, kemenangan mereka nanti bukanlah kerana mereka kuat, akan tetapi kerana Allah akan tolong. Dan kenapa Allah tolong? Kerana mereka beriman. Allah berfirman di dalam Ghafir:51

إِنّا لَنَنصُرُ رُسُلَنا وَالَّذينَ ءآمَنوا فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَيَومَ يَقومُ الأَشهٰدُ
Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)

Tapi kenapa umat Islam sekarang tak menang-menang? Asyik lemah sahaja, asyik kalah sahaja. Ini kerana kita tidak beriman, jadi Allah tak tolong. Kerana Allah memang berjanji untuk menangkan umat Islam, tapi ada syaratnya: ءآمَنوا iaitu mereka kena beriman. Ini tafsir Al-Qur’an pun tidak tahu, bagaimana Allah nak tolong?

Mungkin ada yang mengkritik ayat ini kerana umat Islam sekarang sedang lemah, takkan boleh mengalahkan orang kafir sekarang. Akan tetapi ayat ini bukannya tentang sepanjang zaman. Tapi ia adalah tentang musuh umat Islam ketika ayat ini diturunkan. Iaitu puak Musyrikin Mekah yang dikalahkan di dalam banyak peperangan dengan tentera Muslim dan akhirnya Mekah ditakluk oleh umat Islam. Ia juga merujuk kepada musuh lagi satu iaitu puak Yahudi yang juga dikalahkan oleh umat Islam di Madinah. Sampaikan mereka dihalau keluar dari Semenanjung Arab ketika itu. Tapi itu ketika umat Islam kuat imannya, sekarang iman sudah lemah, maka bantuan Allah tidak kunjung tiba kerana syarat tidak dipenuhi.

 

وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ

dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam,

Beritahu kepada mereka: Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Perhatikan tiada huruf س di dalam kalimah تُحشَرونَ menjadi ستُحشَرونَ seperti سَتُغلَبونَ. Ini kerana huruf س itu adalah menunjukkan sesuatu yang akan berlaku tidak lama lagi. Sedangkan kejadian akhirat itu akan ambil masa yang lama lagi.

 

وَبِئسَ المِهادُ

dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Neraka itu bukanlah tempat berehat tetapi tempat dikenakan azab. Mereka hidup senang dan indah di dunia, tapi balasannya mereka akan merempat dalam neraka nanti! Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada neraka itu. Maka sepatutnya kita takut dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.

Kalimah المِهادُ sebenarnya adalah buaian. Bayi sedap tidur di dalam buaian kerana mereka rasa tenang dan selesa. Tapi adakah di neraka selesa? Tentu tidak! Maka ini adalah sindiran kepada mereka. Duduklah kamu dalam ‘buaian’ di neraka!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment