Ali Imran Ayat 3: Sekarang Allah beritahu yang Dia yang menurunkan kitab-kitab wahyu. Akan tetapi sebelum ini, Allah mengingatkan kita siapa Dia dengan ayat اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ di dalam Ayat 2. Iaitu Allah menekankan tentang Tauhid. Allah tidak sebut NamaNya sahaja, tapi dikaitkan dengan NamaNya itu konsep Tauhid sekali. Jadi kita kena ingat Siapa yang menurunkan kitab-kitab wahyu ini.
نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
SAHIH INTERNATIONAL
He has sent down upon you, [O Muhammad], the Book in truth, confirming what was before it. And He revealed the Torah and the Gospel.
MALAY
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.
نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran,
Struktur ayat dari segi nahu agak menarik. Bagi yang tahu struktur ayat di dalam Bahasa Arab, ia mesti ada mubtada‘ dan khabar. Kalimah ٱللَّهُ adalah mubtada’ dan khabarnya adalah نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلۡكِتَـٰبَ. Jadi ayat yang lengkap adalah ٱللَّهُ نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلۡكِتَـٰبَ. Kalimat لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ adalah sisipan atau mu’taridah. Allah menyelitkan maklumat yang amat penting di dalam potongan ayat ini. Tujuannya adalah supaya kita berhenti sejenak dan memikirkan tentang siapakah Allah. Sekarang barulah kita sambung kepada ayat yang utama.
Kalimah ٱلكِتَـٰبَ di dalam ayat ini bermaksud Al-Qur’an. Kenapa Allah tidak menggunakan kalimah ‘Al-Qur’an’ di sini? Penggunaan kata nama ini (bukan sekadar menyebut “Al-Qur’an” yang bermaksud bacaan) adalah satu bentuk pujian dan pengagungan (Tashrif). Penggunaan kata Al-Kitab dengan huruf Alif Lam (ال) di hadapannya memberikan makna Al-Kamal (Kesempurnaan), seolah-olah Allah ingin menyatakan: “Inilah satu-satunya kitab yang paling sempurna dan paling layak dipanggil sebagai Kitab daripada segala jenis kitab yang ada di dunia.” Sebab itu nanti untuk Taurat dan Injil tidak digunakan istilah ‘Al-Kitab’ bagi keduanya.
Selain dari itu, digunakan juga kalimah ٱلكِتَـٰبَ di sini kerana Yahudi dan Israil lebih familiar dengan istilah ini. Dan Surah Ali Imran ini ada menyentuh mereka, jadi digunakan istilah ٱلكِتَـٰبَ. Tapi tidak banyak, kerana istilah Al-Qur’an yang lebih banyak digunakan.
Istilah ٱلكِتَـٰبَ juga digunakan kerana hendak menekankan yang ia adalah kitab wahyu yang mengandungi hukum hakam yang tertulis. Kita kena ikut segala hukum hakam itu.
Balaghah (Iltifat): Jika kita melihat ayat 2 sebelum ini, Allah disebut menggunakan kata ganti nama ketiga: “اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ…” (Allah, tiada Tuhan melainkan Dia…). Masuk sahaja ayat 3, subjeknya masih Allah (kata ganti nama ketiga/ghaib), tetapi ayat ini ditujukan secara langsung kepada Nabi Muhammad (kata ganti nama kedua/muwajjah – عَلَيكَ / Kepadamu). Perubahan dinamik ini dalam ilmu balaghah dipanggil Iltifat. Ia berfungsi untuk menghidupkan suasana teks, menarik perhatian pembaca, dan menunjukkan keakraban hubungan antara Sang Pencipta (Allah) dan utusan-Nya (Nabi Muhammad). Apabila bercakap terus, ia mengandungi unsur keakraban, kemesraan, dan ketenangan jiwa.
Allah menekankan di sini yang Dia yang menurunkan Al-Qur’an. Bukannya dari Nabi Muhammad, bukannya dari mana-mana tempat lain. Tapi dari Allah! Maka kerana Dia Tuhan kita, maka kenalah kita beri perhatian kepada Al-Qur’an ini. Ramai yang memang sudah menganggap Al-Qur’an ini mulia, mereka baca dan hafal, mereka simpan di tempat yang tinggi. Tapi adakah itu sudah cukup? Ada yang sayang Al-Qur’an, jadi dia gantung di dinding, di kereta, letak di bawah bantal dan sebagainya. Tapi adakah itu cukup? Inilah persoalannya yang kita kena fikir-fikirkan.
Ia juga hendak menolak tuduhan Ahli Kitab. Mereka juga ada kitab-kitab wahyu, tapi apabila Al-Qur’an datang, mereka tolak. Mereka kata kitab-kitab mereka dari Tuhan tapi Al-Qur’an ini dari syaitan! Jadi Allah hendak buat penegasan yang Al-Qur’an ini juga dari Allah.
Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah satu kemuliaan yang Allah sebut di dalam ayat ini. Allah tidak sebut orang lain, Allah tidak beri kepada sesiapa dari Bani Israil, tapi kepada Nabi Muhammad, dari Bani Ismail.
Balaghah: Penggunaan kalimah عَلَى. Perbezaan penggunaan huruf jar (kata sendi nama) عَلَى (`ke atas) dan إِلَى (kepada) selepas kata kerja نَزَّلَ membongkar rahsia keindahan balaghah (seni sastera) Al-Qur’an yang sangat mendalam. Ia membawa nuansa makna dan kesan psikologi yang jauh berbeza berbanding jika ditukar kepada إِلَيْكَ (kepada kamu). Berikut adalah 3 perbezaan utamanya mengikut huraian ulama tafsir dan nahu:
1. Kedudukan Tinggi
Menggunakan عَلَى dari sudut bahasa membawa maksud العِلى (ketinggian/di atas). Penggunaan عَلَيْكَ memberikan gambaran visual dan maknawi bahawa Al-Qur’an itu turun dari tempat yang Maha Tinggi (Lauh Mahfuz / Sisi Allah) lalu turun menyelubungi dan menaungi Nabi Muhammad.
Jika menggunakan إِلَى ia sekadar berfungsi sebagai penanda sempadan atau destinasi terakhir sahaja. Kalau ayat itu berbunyi نَزَّلَ إلَيكَ ia hanya bermaksud Al-Qur’an itu dihantar dari poin A dan sampai kepada poin B (iaitu Nabi Muhammad), tanpa memberi penekanan kepada keagungan dan ketinggian darjat sumber penurunan tersebut.
2. Beban Tanggungjawab dan Ketetapan Yang Utuh
Dalam kaedah bahasa Arab, huruf عَلَى sering digunakan untuk perkara yang bersifat tanggungjawab, kewajipan, atau bebanan yang berat (Contoh: كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ – Diwajibkan ke atas kamu puasa). Penurunan “ke atas” Nabi bermaksud Al-Qur’an itu datang sebagai amanah besar, ketetapan yang kukuh, dan wahyu yang berat untuk dipikul oleh jiwa baginda.
Jika menggunakan إِلَى, ia bersifat neutral. Sesuatu yang dihantar “kepada” anda boleh jadi sebuah hadiah, surat biasa, atau perkara ringan yang terpulang kepada anda untuk menerimanya dengan bersahaja atau tidak. Ia kurang menggambarkan elemen “amanah berat” yang wajib dipikul.
Ia adalah perli kepada golongan Kristian yang tidak jaga agama wahyu mereka. Hukum dan undang-undang sudah tidak mereka jaga lagi. Kerana apa? Kerana bagi mereka, asal terima Nabi Isa sebagai tuhan, semua dosa mereka akan dihapuskan, tunggu nak masuk syurga sahaja. Perasan masuk syurga tak habis mereka ini. Sedangkan agama ini bukan goyang kaki, tapi ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Dan semua itu disebut di dalam kitab wahyu.
Memang kadang-kadang Allah menggunakan kalimah إلى seperti di dalam Baqarah:4
وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu
Tapi di dalam Surah Baqarah itu Allah hendak menekankan yang Allah memberikan Al-Qur’an sebagai ‘hadiah’ kepada Rasulullah dan umat Islam. Sedangkan di dalam Ali Imran ini, penekanan adalah kepada tanggungjawab terhadapnya.
Ia bukan sahaja untuk Nabi Muhammad tetapi bagi kita, umat baginda. Kita juga telah dipikulkan dengan tanggungjawab ini untuk menyampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia. Tidak kiralah orang kafir atau orang Muslim sendiri. Kerana ramai Muslim pun tidak tahu menahu tentang Al-Qur’an ini. Dan ia memang tugas yang berat dan ditentang habis-habisan oleh golongan yang jahil. Antaranya mereka tuduh kita Wahabi, kita tafsir sendiri, dan berbagai lagi tohmahan. Sabar sahajalah.
3. Kemuliaan Khusus Bagi Penerima
Para ulama menyebut, penggunaan عَلَى dalam konteks penurunan wahyu mengandungi unsur penghormatan dan pemuliaan yang tinggi kepada Nabi Muhammad. Ia menunjukkan hati dan jiwa baginda telah dipilih dan “ditinggikan” kedudukannya oleh Allah supaya layak menjadi hamparan untuk menerima penurunan ayat-ayat suci tersebut. Ketika itu baginda sedang menerima penolakan dari puak musyrikin dan juga dari golongan Ahli Kitab. Dengan penekanan عَلَيكَ (ke atas ENGKAU) bermaksud Allah telah memilih baginda kerana baginda yang layak. Jadi jangan hirau kata-kata puak lain.
Di sini juga ada balaghah yang lain iaitu taqdim pada kalimah عَلَيكَ. Kerana susunan yang biasa adalah نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ. Ia bertujuan untuk memberikan makna pembatasan (Al-Hasr) dan pengkhususan (Al-Ikhtisas). Ia hendak menolak dakwaan sebahagian daripada manusia (kaum kafir) yang mendakwa bahawa wahyu turut diturunkan kepada mereka juga, dan bahawa mereka juga mampu untuk mendatangkan wahyu yang semisal ini. Tidak sama sekali. Wahyu itu diturunkan kepada Nabi Muhammad sahaja.
Tapi tentulah ia bukan sahaja untuk baginda. Ia untuk semua umat manusia. Ia menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya kita kena pelajari. Kerana Allah ﷻ yang turunkan, maka kita sebagai hambaNya, kenalah tahu apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Maka berhentilah setakat baca sahaja Al-Qur’an siang dan malam tanpa faham apa yang hendak disampaikan. Luangkanlah masa untuk belajar tafsir sedikit demi sedikit.
Kalimah نَزَّلَ maksudnya daripada segi bahasa adalah: menurunkan. Kenapa digunakan kalimah menurunkan? Kerana yang menurunkannya adalah Allah dan Allah di atas langit. Ini adalah satu lagi bukti dari bukti-bukti yang banyak sebagai dalil yang Allah di langit.
Balaghah: Susunan ayat yang biasa dalam tatabahasa Arab sepatutnya: نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ (Dia menurunkan Al-Kitab kepadamu). Namun, Allah mengubah susunannya (Taqdim wa Ta’khir) menjadi: نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ (Dia menurunkan kepadamu Al-Kitab).
Rahsia Balaghah: Mendahului kata ganti nama “kepadamu” (عَلَيكَ) yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW berfungsi sebagai Al-Ihtimam (memberi perhatian khusus) dan Al-Ikram (memuliakan kedudukan Nabi SAW). Allah ingin menegaskan betapa tingginya darjat Nabi Muhammad SAW di sisi-Nya kerana bagindalah insan terpilih yang dada dan jiwanya mampu menerima bebanan wahyu yang sangat berat itu. Allah yang mulia, menurunkan Al-Qur’an yang mulia kepada insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad.
Dan Allah kata Dia menurunkan Al-Qur’an itu بِالحَقِّ (dengan kebenaran). Ia bukan turun main-main, tapi ada sebab. Ia bukan untuk hanya dibaca dan dihafal sahaja, tapi ia mempunyai kepentingan berat dan besar. Ada beberapa maksud di sini:
1. Allah ﷻ menegaskan yang Kitab Al-Qur’an itu adalah benar dan ia diturunkan dengan tujuan memberitahu kebenaran – iaitu kebenaran tentang Allah ﷻ. Maka untuk kita tahu kebenaran, kenalah kita belajar tentang Al-Qur’an ini, iaitu dengan mempelajari ilmu tafsir.
2. Proses penurunan Al-Qur’an juga benar. Ia dari Allah dan bukanlah rekaan Nabi Muhammad atau baginda cedok dari mana-mana sumber lain.
3. Memang Nabi Muhammad layak menerima Al-Qur’an ini.
مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ
yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,
Al-Qur’an itu membenarkan ajaran akidah tauhid yang ada dalam Taurat dan Injil dan kitab-kitab yang lain. Kalimah ما بَينَ يَدَيهِ secara literal bermaksud ‘di antara tangannya’. Jadi ia bermaksud apa yang ada pada tangan mereka. Yang merujuk kepada kitab-kitab wahyu seperti Taurat dan Injil. Al-Qur’an bukanlah bawa benda baru tapi perkara sama yang telah disebut di dalam kitab-kitab wahyu sebelumnya. Syariat di dalam kitab-kita itu mungkin berbeza, tapi hal Tauhid sama sahaja.
Faedah (hikmah) menyebut hal ini adalah untuk menggesa dan mendorong penganut kedua-dua kitab (Yahudi dan Kristian) agar beriman kepada kitab yang diturunkan ini (Al-Qur’an), serta menyedarkan mereka tentang kewajipan beriman kepadanya. Hal ini kerana keimanan kepada kitab yang membenarkan (Al-Musaddiq / Al-Qur’an) secara pasti akan mewajibkan juga keimanan kepada kitab yang dibenarkannya (Al-Musaddaq / Taurat dan Injil yang asal). Kalau sudah percaya dengan Taurat dan Injil, kena jugalah percaya kepada Al-Qur’an juga kerana sumbernya adalah sama sahaja iaitu Allah. Ahli Kitab disuruh fikir: “Kalau Al-Qur’an ini membenarkan apa yang ada pada kita, kenapa kita hendak tolak? Adakah kita menolaknya kerana ia membongkar kepalsuan di dalam agama kita?”
Bagi sebilangan Ahli Kitab yang masuk Islam, ia sepatutnya menjadi ketenangan kepada mereka. Pegangan agama mereka sebelum ini tidaklah mereka tolak semua sekali. Ada sahaja perkara yang sama dipakai juga di dalam agama baru ini (Islam).
Bukanlah Allah ﷻ beritahu kitab-kitab itu sekarang benar. Ini adalah kerana semua kitab-kitab wahyu lain sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan. Antara yang diselewengkan adalah konsep Tauhid لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ. Kerana itu sebelum disebut tentang kitab, Allah sebut tentang Tauhid dahulu di dalam ayat sebelum ini kerana itulah yang paling penting. Namun sebelum ia diselewengkan, kitab-kitab itu juga membawa ajaran yang benar terutama sekali tentang Tauhid. Allah ﷻ hendak memberitahu, sama sahaja ajaran Tauhid di dalam kitab-kitab itu dengan Al-Qur’an.
Jadi di sini Allah hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an. Sedangkan mereka beriman dengan Taurat dan Injil. Tapi sumber Al-Qur’an adalah sama dengan sumber Taurat dan Injil juga iaitu dari Allah yang satu. Jadi kalau mereka menolak Al-Qur’an, mereka juga sebenarnya menolak kitab mereka sendiri.
Bagaimana contoh cara Al-Qur’an membenarkan kitab-kitab sebelumnya? Bukankah di dalam kitab-kitab itu menyebut kedatangan Nabi Muhammad? Nah sekarang Nabi Muhammad yang dijanjikan telah muncul.
Jadi sebenarnya ada persamaan perkara yang disebut di dalam Al-Qur’an yang sudah ada di dalam kitab-kita mereka. Kerana itu bagi orang yang mahir dengan Taurat dan Injil, apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, terus mereka menangis kerana mereka nampak ada persamaan. Tidaklah semua, tapi ada. Kerana itu Allah berfirman di dalam Qasas:53 tentang mereka ini,
وَإِذا يُتلىٰ عَلَيهِم قالوا ءآمَنّا بِهِ إِنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّنا إِنّا كُنّا مِن قَبلِهِ مُسلِمينَ
Dan apabila dibacakan (Al-Qur’an itu) kepada mereka, mereka berkata: “Kami beriman kepadanya; sesungguhnya; Al-Qur’an itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami, sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang membenarkan(nya).
Seperti yang kita tahu, kitab-kita wahyu sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan. Tapi tidaklah semua yang ada di dalam kitab-kitab itu langsung tidak boleh pakai. Ada sahaja yang benar; akan tetapi persoalannya, bagaimana kita hendak tahu mana benar dan tidak? Itulah tugas Al-Qur’an sebagai مُصَدِّقً iaitu mana yang benar, itulah yang diulang. Jadi kita cuma perlu baca Al-Qur’an sahaja. Yang mana Al-Qur’an tak sebut, maka itu adalah tanda ia tidak benar.
Selain dari itu, interpretasi ayat dari Bible/Injil juga diperbetulkan di dalam Al-Qur’an. Mungkin ada persamaan antara ayat Al-Qur’an dan Bible/Taurat dari segi teks, akan tetapi ia telah disalahtafsirkan oleh golongan Kristian. Sebagai contoh, di dalam John 1:1 ada disebut “In the beginning was the Word, and the Word was with God, and the Word was God.” Ayat ini merujuk kepada Nabi Isa (Jesus). Dan di dalam Al-Qur’an ada ayat yang mengatakan Nabi Isa adalah ‘kalimah dari Allah’ iaitu disebut di dalam Ali Imran:45
إِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam
Tafsiran salah mereka akan ayat ini adalah Jesus itu Anak Tuhan atau Logos. Maka mereka menyembah Jesus pula kerana jahil. Inilah antara kekeliruan yang ada di kalangan mereka. Maka Allah perbetulkan pemahaman ini. Nanti akan diterangkan apakah maksud ayat ini pada tempatnya.
Dan Al-Qur’an terus melakukan tugas membenarkan mana yang benar kerana kalimah مُصَدِّقًا adalah di dalam bentuk اسْمُ الْفَاعِلِ yang bermaksud ia bukan melakukannya sekali, tapi berterusan.
وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
dan Dia juga yang menurunkan Taurat dan Injil.
Sebelum ini telah disebut مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ. Tapi apakah yang dimaksudkan dengan بَينَ يَدَيهِ (di antaranya dua tangannya – di hadapan mereka – yang ada pada mereka). Begitu juga di Allah berfirman di dalam Baqarah:4 Allah berfirman:
وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu
Ketika itu Allah hanya sebut وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ tanpa disebut nama kitab-kitab itu. Dan sekarang baru disebut nama Kitab Taurat dan Injil dalam ayat ini, memberi isyarat bahawa surah ini adalah tentang puak Nasara kerana mereka sahaja yang terima Taurat dan Injil. Ini kerana puak Yahudi tidak terima Injil sebagai kalam Allah ﷻ.
Allah sebut dua kitab itu secara spesifik kerana kedudukan kitab yang dibenarkan oleh Al-Qur’an itu akan semakin meningkat tinggi dan tersohor kemuliaannya. Ia juga akan menambahkan lagi penerimaan yang baik serta rasa gerun/hormat di dalam hati-hati manusia terhadap dua kitab itu. Kerana kita sebagai umat Islam pun kena beriman dengan kitab-kitab itu juga.
Ia juga menekankan sifat Allah yang tidak pernah membiarkan manusia di dalam kesesatan. Bukanlah Allah baru berikan wahyu ketika Al-Qur’an diturunkan, tapi sebelum itu lagi telah banyak kitab-kitab wahyu sebagai petunjuk telah diberikan. Yang manusia jadi sesat bukanlah kerana tidak ada panduan, tapi panduan itu yang tidak diikut.
Allah tidak mengutuk kitab-kitab wahyu seperti Taurat dan Injil. Dan memang menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk beriman dengan semua kitab wahyu. Dan ia menjadi kebanggaan bagi golongan Ahli Kitab kerana merekalah yang beriman benar-benar kepada semua kitab wahyu itu. Macam kita umat Islam, kita tidak berpeluang kerana kita kenal Al-Qur’an sahaja. Kita beriman juga kepada semua kitab-kitab itu tapi setakat terima yang ia telah diturunkan juga oleh Allah. Sedangkan golongan Ahli Kitab, mereka boleh berbangga yang mereka beriman juga kepada kitab selain Al-Qur’an.
Seterusnya, (penyebutan ini) akan menonjolkan betapa buruk dan kejinya keadaan orang yang kufur terhadap kedua-dua kitab tersebut, serta menjelaskan impak rentetan daripada kekufuran itu yang berupa azab yang sangat pedih dan balasan seksaan (sebagaimana yang akan disebutkan pada ayat berikutnya).
Golongan Nasara pun kena terima Taurat juga kerana itu juga sebahagian daripada kitab mereka. Kalau dalam Bible mereka sekarang, Taurat itu adalah Old Testament dan Injil adalah New Testament. Tapi ia tidaklah sama. Apabila Al-Qur’an menyebut tentang Taurat (التوراة), ia tidak merujuk secara mutlak kepada kitab Torah (atau Pentateuch / Lima Kitab Nabi Musa) yang ada di tangan penganut Yahudi dan Kristian pada hari ini. Para ulama tafsir, perbandingan agama, dan akidah (seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Kathir) membahagikan isu ini kepada beberapa dimensi penting untuk mengelakkan kekeliruan:
Taurat yang dipuji dan disahkan oleh Al-Qur’an adalah Taurat yang asli, iaitu wahyu suci yang diturunkan secara langsung daripada Allah kepada Nabi Musa di Bukit Sina. Ia mengandungi hukum-hakam, syariat, cahaya petunjuk, serta khabar gembira mengenai kedatangan Nabi Muhammad. Manusia pada hari ini tidak mempunyai naskhah asal Taurat dalam bentuknya yang murni tanpa sebarang perubahan.
Kitab Torah yang ada sekarang (yang membentuk bahagian awal daripada kitab Old Testament / Perjanjian Lama) dinamakan oleh para sarjana sebagai Kitab yang telah mengalami Tahrif (Penyelewengan/Perubahan). Al-Qur’an sendiri menegaskan bahawa tangan-tangan manusia telah mengubah isi kandungan kitab tersebut di dalam Baqarah:79
فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.
Sebab itulah, Torah moden mengandungi campuran antaranya:
- Sisa-sisa Wahyu Asal: Hukum-hakam seperti Ten Commandments (Sepuluh Perintah Allah) yang masih selari dengan prinsip Islam.
- Tulisan Sejarah Manusia: Catatan peristiwa harian, salasilah keturunan, malah bab yang menceritakan tentang kematian dan pengkebumian Nabi Musa sendiri (menunjukkan ia ditulis oleh orang lain selepas kewafatan baginda).
- Unsur Dongeng & Fitnah: Terdapat dakwaan-dakwaan yang tidak layak di dalam Torah hari ini yang menuduh para Nabi melakukan dosa besar (seperti tuduhan zina atau mabuk terhadap Nabi Luth dan Nabi Daud) — sesuatu yang ditolak sekeras-kerasnya oleh akidah Islam.
Bagaimana dengan Bible? Situasinya hampir sama dengan isu Kitab Taurat. Di dalam Al-Qur’an, Allah menyebut tentang Injil (الإنجيل), manakala kitab yang ada pada penganut Kristian hari ini dikenali sebagai Bible (Al-Kitab) atau Gospel. Secara ringkasnya: Bible yang ada hari ini bukanlah Injil asli yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an, melainkan sebuah kompilasi karangan manusia yang hanya mengandungi sisa-sisa atau cebisan daripada wahyu asal tersebut.
Di dalam Islam, Injil ialah satu kitab wahyu tunggal yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada Nabi Isa (Jesus) untuk disampaikan kepada Bani Israil. Kitab Injil asli ini mengandungi ajaran tauhid (menyembah Allah yang Esa), hukum-hakam yang membenarkan sebahagian syariat Taurat, nasihat rohani, serta ramalan tentang kedatangan Nabi terakhir, iaitu Nabi Muhammad.
Sila ambil perhatian: Injil dalam perspektif Islam ialah wahyu yang diterima oleh Nabi Isa, bukannya buku yang ditulis mengenai kisah hidup Nabi Isa seperti yang ada di dalam Bible sekarang. Bible yang ada di tangan penganut Kristian hari ini bukanlah sebuah kitab tunggal yang turun dari langit, tetapi ia merupakan sebuah “perpustakaan besar” (kompilasi) yang mengandungi puluhan buku (kitab-kitab kecil) yang ditulis oleh ramai penulis berbeza dalam tempoh ratusan tahun.
Bible dibahagikan kepada dua bahagian utama:
-
- Perjanjian Lama (Old Testament): Mengandungi kitab-kitab Yahudi terdahulu termasuk Torah (Taurat yang telah berubah), Mazmur (Zabur), dan kitab para Nabi Bani Israil yang lain.
- Perjanjian Baru (New Testament): Bahagian inilah yang sering dikaitkan dengan Nabi Isa. Di dalam Perjanjian Baru ini, terdapat 4 kitab biografi utama yang dipanggil sebagai “The Four Gospels”, iaitu:
-
-
-
- Injil Matius (Matthew)
- Injil Markus (Mark)
- Injil Lukas (Luke)
- Injil Yohanes (John)
-
-
Para ulama tafsir dan pengkaji perbandingan agama menjelaskan beberapa sebab mengapa Gospels di dalam Bible hari ini telah mengalami penyelewengan (tahrif):
A. Ia Ditulis oleh Orang Lain, Bukan Nabi Isa
Empat Injil yang ada di dalam Bible hari ini bukan dari Allah, malah tidak ditulis oleh Nabi Isa pun. Ia merupakan catatan biografi (kisah hidup dan khutbah) Nabi Isa yang ditulis oleh pengikut-pengikutnya atau generasi selepasnya (Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes) puluhan tahun setelah Nabi Isa diangkat ke langit. Yang peliknya, tidak ada sesiapa pun yang tahu siapakah empat penulis ini, termasuk pengkaji Bible. Malahan, kisah-kisah yang mereka sampaikan banyak percanggahan antara seorang penulis dan penulis yang lain.
B. Ditulis di Atas Pihak Ketiga (ini boleh dilihat dari gaya penceritaan)
Gaya bahasa di dalam Bible moden adalah dalam bentuk penceritaan pihak ketiga, bukannya firman Allah yang langsung atau kalam Nabi Isa sendiri. Contoh ayat Bible: “Dan ketika Yesus berjalan di situ, Ia melihat seorang yang bernama Matius… lalu Ia berkata kepadanya: Ikutlah Aku…” (Matius 9:9). Ini membuktikan teks tersebut adalah penulisan memoir sejarah oleh manusia.
C. Wujud Ratusan Injil Lain yang Dimusnahkan
Dari sudut sejarah kemasukan agama Kristian ke Empayar Rom, terdapat ratusan naskhah “Injil” lain yang ditulis oleh pelbagai kumpulan awal Kristian (seperti Injil Barnabas, Injil Thomas, dll). Namun, semasa Persidangan Nicaea (tahun 325 Masihi), pihak gereja dan pemerintah Rom telah menapis dan memilih 4 Injil ini sahaja sebagai kitab rasmi, manakala Injil-Injil lain yang tidak selari dengan doktrin Triniti kerajaan telah diharamkan dan dibakar. Bagaimana sesuatu yang asli boleh ada banyak salinan yang bercanggah antara satu sama lain?
Mungkin ramai yang tidak tahu, di dalam sejarah rantaian wahyu, Kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa tidak berfungsi untuk meruntuhkan atau memadamkan sistem perundangan Kitab Taurat (hukum-hakam syariat Nabi Musa), melainkan ia datang sebagai pengesah, pelengkap, dan pembawa keringanan (fleksibiliti). Al-Qur’an menjelaskan dengan sangat harmoni bahawa Nabi Isa diutus untuk membenarkan syariat Musa, namun baginda diberikan autoriti oleh Allah untuk menghalalkan beberapa perkara yang dahulunya diharamkan atas kaum Yahudi sebagai bentuk kasih sayang dan keringanan. Ini kita lihat nanti di dalam Ali Imran:50, Nabi Isa AS berkata kepada Bani Israil:
وَمُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّورَٮٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم
“Dan (aku datang) membenarkan apa yang sedia ada di hadapanku dari Kitab Taurat, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian dari perkara yang telah diharamkan kepada kamu”
Para ulama tafsir menjelaskan bahawa Taurat adalah kitab yang sarat dengan hukum-hakam (Syariah), manakala Injil diturunkan lebih fokus kepada aspek akhlak, penyucian jiwa, kasih sayang, dawah, dan kemaafan. Injil tidak membawa sistem undang-undang yang baru akan tetapi ia “menumpang” kerangka besar hukum syariat yang sedia ada dalam Taurat. Ini disebut sendiri di dalam Bible (Matthew 5:17)
“Think not that I am come to destroy the law, or the prophets: I am not come to destroy, but to fulfil.”
Jadi sifat dan kandungan Taurat lain dan tugas Injil juga lain. Akan tetapi kedua-dua elemen ini ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an ada hukum dan ia juga ada elemen spiritual.
Balaghah: Perhatikan apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, kalimah نَزَّلَ digunakan dan apabila menyebut tentang Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ pula yang digunakan. Kedua-duanya bermaksud menurunkan, tapi kenapa menggunakan wazan yang berbeza? Apabila digunakan dua-dua kalimah ini di dalam satu ayat, maka kenalah kita bezakan antara keduanya.
Nazzala (نَزَّلَ – Kata kerja berulang/bertahap): Perkataan ini mengandungi makna At-Tadrij (penurunan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit, dan memakan masa yang lama).
Rahsia Balaghah: Allah menggunakan kata Nazzala khusus untuk Al-Qur’an kerana mukjizat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara bertahap-tahap selama kira-kira 23 tahun. Istimewanya, di hujung ayat yang sama, apabila Allah menyebut tentang kitab Taurat dan Injil, Allah beralih menggunakan perkataan أَنْزَلَ, kerana kedua-dua kitab terdahulu itu diturunkan sekali gus secara sekelip mata kepada Nabi mereka.
Penurunan Al-Qur’an secara beransur-ansur selama kira-kira 23 tahun mempunyai hikmah dan kelebihan yang sangat besar, sama ada terhadap diri Nabi Muhammad mahupun kepada para sahabat dan umat Islam keseluruhannya. Al-Qur’an sendiri merakamkan persoalan orang kafir yang mempertikaikan mengapa Al-Qur’an tidak diturunkan sekali gus, lalu Allah menjawabnya di dalam Furqan:32
وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ القُرءآنُ جُملَةً وٰحِدَةً ۚ كَذٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلنٰهُ تَرتيلًا
Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).
Kelebihan Al-Qur’an diturunkan beransur-ansur
1. Tugas menyampaikan dakwah adalah sesuatu yang teramat berat. Nabi SAW sentiasa berhadapan dengan ujian, ancaman, penghinaan, dan penolakan daripada kaum musyrikin. Apabila wahyu turun secara berkala, ia bertindak sebagai sokongan moral yang berterusan daripada Allah. Setiap kali Nabi berada dalam kesedihan atau menghadapi jalan buntu, Jibril akan datang membawa ayat baharu untuk memujuk, menguatkan semangat, dan memberikan panduan terus kepada baginda.
2. Masyarakat Arab pada zaman tersebut adalah masyarakat Ummi (majoritinya tidak tahu membaca dan menulis) yang bergantung sepenuhnya kepada kekuatan hafalan. Jika Al-Qur’an diturunkan sekali gus dalam sebuah buku yang tebal, sudah tentu ia teramat sukar untuk dihafal, diingati, dan difahami oleh para sahabat. Penurunan beberapa ayat demi ayat membolehkan para sahabat menghafalnya dengan mantap, memahaminya dengan mendalam, dan memindahkan ayat tersebut ke dalam dada mereka dengan sempurna sebelum berpindah ke ayat yang lain. Allah berfirman di dalam Isra’:106
وَقُرءَانًا فَرَقنَـٰهُ لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكثٍ وَنَزَّلنَـٰهُ تَنزِيلاً
Dan Al-Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.
Jadi maknanya Al-Qur’an ini bukanlah untuk dibaca sahaja tapi untuk difahami dan diamalkan. Kalau setakat dibaca sahaja macam orang Melayu sekarang buat, turun sekaligus pun tidak mengapa, bukan?
3. Masyarakat jahiliah ketika itu sudah sebati dengan tabiat buruk yang mendarah daging seperti menyembah berhala, berzina, berjudi, dan meminum arak. Untuk mengubah budaya ini, Islam menggunakan pendekatan psikologi yang bertahap untuk mengubah masyarakat. Contoh klasik adalah pengharaman arak. Allah tidak mengharamkan arak secara mengejut. Fasa pertama, Allah menyatakan ada manfaat dan ada dosa pada arak, tetapi dosanya lebih besar (Baqarah:219). Fasa kedua, Allah melarang solat dalam keadaan mabuk (Nisa’:43). Fasa ketiga, barulah arak diharamkan secara mutlak dan total (Maidah:90). Saidatuna Aisyah RA pernah berkata:
عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ قَالَ: إِنَّمَا نَزَلَ أَوَّلَ مَا نَزَلَ مِنْهُ سُورَةٌ مِنَ الْمُفَصَّلِ، فِيهَا ذِكْرُ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، حَتَّى إِذَا ثَابَ النَّاسُ إِلَى الْإِسْلَامِ نَزَلَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ، وَلَوْ نَزَلَ أَوَّلَ شَيْءٍ: لَا تَشْرَبُوا الْخَمْرَ، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الْخَمْرَ أَبَدًا، وَلَوْ نَزَلَ: لَا تَزْنُوا، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الزِّنَا أَبَدًا، لَقَدْ نَزَلَ بِمَكَّةَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنِّي لَجَارِيَةٌ أَلْعَبُ: {بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ} وَمَا نَزَلَتْ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَالنِّسَاءِ إِلَّا وَأَنَا عِنْدَهُ.
Daripada Yusuf bin Mahak, beliau menceritakan bahawa Saidatuna Aisyah RA pernah berkata: “Sesungguhnya ayat yang mula-mula turun daripada Al-Quran adalah surah daripada al-Mufassal (surah-surah pendek di bahagian akhir Al-Quran) yang di dalamnya disebut perihal syurga dan neraka. Sehinggalah apabila manusia telah murni hatinya dan kembali kepada Islam, maka barulah turun ayat-ayat mengenai halal dan haram. Sekiranya perkara pertama yang turun adalah larangan: ‘Janganlah kamu meminum arak’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan arak selama-lamanya’. Dan sekiranya turun larangan: ‘Janganlah kamu berzina’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan zina selama-lamanya’. Sesungguhnya telah turun di Mekah kepada Nabi Muhammad SAW ketika aku masih seorang kanak-kanak yang suka bermain, ayat (Qamar:46): ‘Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit.’ Dan tidaklah Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nisa’ (yang sarat dengan hukum-hakam) itu turun melainkan ketika aku sudah pun menjadi isteri di sisi baginda.”
Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 4993
4. Banyak ayat Al-Qur’an turun sebagai respons langsung kepada peristiwa yang sedang berlaku atau jawapan kepada soalan yang dikemukakan kepada Nabi. Apabila orang Yahudi atau musyrikin mencabar Nabi dengan soalan-soalan sukar (seperti bertanya tentang roh, kisah Ashabul Kahfi, atau Zulqarnain), Allah menurunkan wahyu yang bermula dengan lafaz “Mereka bertanya kepadamu…” (يسألونك) untuk memberikan jawapan yang tuntas.
Ia juga turun untuk menyelesaikan konflik domestik, seperti peristiwa Hadithul Ifki (fitnah terhadap Aisyah) di mana Allah menurunkan ayat untuk membersihkan maruah beliau selepas sebulan berlalu.
5. Al-Qur’an diturunkan dalam tempoh 23 tahun, mengharungi pelbagai fasa kehidupan Nabi SAW: fasa duka di Mekah, fasa hijrah, fasa perang, dan fasa kemenangan di Madinah. Walaupun situasi dan emosi manusia bertukar-tukar sepanjang dua dekad tersebut, gaya bahasa, uslub, kualiti sastera, dan intipati Al-Qur’an tetap konsisten, harmoni, dan langsung tidak mempunyai percanggahan antara satu sama lain. Ini membuktikan secara balaghah dan akidah bahawa ia bukan rekaan fikiran Muhammad, melainkan ia adalah sebagai bukti kalam mutlak daripada Allah Yang Maha Mengetahui.
Allah sebut ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ. Adakah ia sama dengan Torah dan Bible sekarang? Tidak! Taurat yang asal ialah wahyu mutlak daripada Allah yang diturunkan secara sekali gus kepada Nabi Musa AS khusus untuk Bani Israil. Torah hari ini pula merujuk kepada lima kitab pertama di dalam Hebrew Bible (Old Testament) yang dipanggil Pentateuch (Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, Ulangan). Dari sudut sejarah, manuskrip tertua Torah yang ada hari ini ditulis ratusan tahun selepas kewafatan Nabi Musa oleh para rabi, sehinggakan ia mengandungi kisah kematian dan pengebumian Nabi Musa itu sendiri.
Injil yang asal ialah wahyu mutlak (berupa satu kitab) yang Allah turunkan kepada Nabi Isa untuk membenarkan Taurat dan membawa syariat baharu. Bible (New Testament) yang ada pada hari ini bukan sebuah kitab yang ditulis oleh Nabi Isa, sebaliknya ia adalah kompilasi karangan biografi dan surat-surat yang ditulis oleh para pengikut kemudian (seperti Injil Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes).
Jadi Al-Qur’an menjadi kayu ukur atas kitab-kitab itu semua. Kalau ada kandungan dua kitab itu yang sama dengan Al-Qur’an, maka ia boleh diterima. Kalau tidak, kena ditinggalkan. Kita pun tidak tahu di manakah kitab tulen bagi Taurat dan Injil itu, kalau pun ada disorok oleh pihak tertentu. Yang pasti, ia sudah tidak boleh dijadikan sumber rujukan lagi bagi manusia kerana telah banyak diselewengkan. Rasulullah bersabda,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَؤُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ، وَقُولُوا: {آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ} الآيَةَ».
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Dahulu Ahli Kitab (kaum Yahudi) sering membaca kitab Taurat dalam bahasa Ibrani, kemudian mereka menafsirkannya ke dalam bahasa Arab untuk disampaikan kepada umat Islam. Melihat keadaan itu, Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula kamu mendustakan (menyalahkan) mereka, tetapi katakanlah: {Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), serta apa yang diturunkan kepada kamu…} (Surah Al-Baqarah: 136).'”
Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 7362 (Serta disebut juga pada No. 4485)
Ada juga pendapat lain yang mengatakan digunakan kalimah نَزَّلَ bagi Al-Qur’an kerana ia lebih kuat lagi dari kalimah أَنزَلَ. Oleh kerana Al-Qur’an lebih utama, maka digunakan kalimah penurunan yang lebih kuat.
Ada pula yang berpendapat kalimah نَزَّلَ digunakan kerana ia bermaksud ketika itu Al-Qur’an masih lagi di dalam proses penurunan sedikit demi sedikit sedangkan kalimah أَنزَلَ bermaksud penurunan yang telah lengkap, maka ia sesuai untuk Taurat dan Injil.
Perhatikan juga apabila disebut penurunan Al-Qur’an, disebut ia diturunkan kepada Nabi Muhammad (نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ). Akan tetapi tidak disebut kepada siapa diturunkan Taurat dan juga Injil. Tindakan ini adalah sebagai bentuk pengkhususan (Takhsis) dan penghormatan yang agung (Tasyrif) kepada baginda Nabi Muhammad melalui penyebutan tersebut. Nama kedua-dua Nabi tersebut tidak disebutkan di dalam ayat ini kerana paksi perbincangan (fokus utama) sekarang adalah mengenai kedua-dua kitab itu, bukannya mengenai pihak yang menerima penurunan kitab tersebut,
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 12 Jun 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Alhamdullilah syukur pada Allah SWT terima kasih Ya Allah terima kasih kpd penulis
LikeLike