Tafsir Surah Ali Imran Ayat 1 – 2 (Asas Akidah)

Ali Imran Ayat 1:

الم

Pembukaan yang sama dengan Surah Baqarah. Ini menjadi satu lagi isyarat bahawa ada kaitan yang rapat antara dua surah ini.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan mim, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alam’. Namun tidak pula dalam kes Surah Baqarah ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Maka ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-Qur’an. Iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah yang kononnya pandai bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah perli: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah sekarang pakailah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.


 

Ali Imran Ayat 2: Selepas menyebut huruf Muqatta’ah tadi, sekarang Allah memulakan ayat baru. Para ulama tafsir dan balaghah mengategorikan ayat ini sebagai Isti’naf Bayani, iaitu ayat baharu yang berfungsi untuk menjawab satu persoalan tersembunyi (muqaddar) yang timbul secara automatik di dalam minda pendengar selepas membaca ayat pertama tadi. Apabila telinga mendengar “Alif Lam Mim” yang penuh keagungan dan misteri itu, minda pembaca secara tidak sedar akan tertanya-tanya: “Siapakah yang menurunkan huruf-huruf yang agung ini? Dan siapakah pemilik kalam yang penuh mukjizat ini?” Nah sekarang Allah beri jawapannya.

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of existence.

MALAY
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.

 

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,

Ini adalah ayat Dakwa Surah ini. Allah ﷻ menegaskan yang tiada ilah melainkan Dia. Hanya Dia sahaja yang layak dipuja, diibadati, ditaati dan tempat kita minta doa.

Dan ayat ini bukanlah kali pertama kita dengar. Kita sebenarnya telah selalu baca iaitu di permulaan Ayat Kursi, bukan? Jadi ada kesinambungan dari Surah Baqarah yang diteruskan di dalam Surah Ali Imran ini.

Kalimah ini seringkali disebut oleh orang kita. Akan tetapi ramai yang tidak tahu maksud ‘ilah’. Dalam bahasa Melayu, ilah selalunya hanya disebut ‘Tuhan’. Tapi siapakah ‘Tuhan’? Ramai dalam kalangan orang Islam tak faham pun apakah maksud ilah itu, tapi Musyrikin Mekah amat faham lafaz ilah itu. Sebab fahamlah, mereka lawan Nabi kerana tidak ada persetujuan kefahaman dalam tauhid pada ilah. Maknanya, pertentangan itu adalah atas perkara akidah.

Akidah yang Haq adalah: tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah.

Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah. Iaitu kepada roh wali, malaikat dan jin. Mereka kongsi status ilah itu dengan Allah. Inilah akidah Musyrikin Mekah. Tugas terbesar Nabi Muhammad adalah menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah. Itulah Tauhid pada lafaz ilah.

Panjang perbincangan tentang maksud ilah dan bagaimana kekeliruan umat Islam sendiri menyebabkan Tauhid mereka tidak kemas. Ini kita telah terangkan di dalam Usul Tafsir.

Dalam konteks akidah Islam, perkataan “Ilah” (إله) bukan sekadar bermaksud “Tuhan yang mencipta”, tetapi bermaksud “Sesuatu yang dipuja, ditaati, dicintai, dan ditakuti secara mutlak melebihi segalanya”. Apabila seorang Muslim meletakkan sesuatu perkara pada kedudukan mutlak tersebut, dia telah menjadikan perkara itu sebagai “ilah” selain Allah, sehinggakan boleh merosakkan atau menggugurkan kalimah tauhid (La ilaha illallah) di dalam dirinya.

Al-Qur’an dan realiti kehidupan manusia menunjukkan beberapa contoh “ilah” moden dan klasik yang sering disembah secara tidak sedar:

1. Hawa Nafsu dan Keinginan Diri (Al-Hawa)

Ini adalah “ilah” yang paling dekat dengan manusia dan paling banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Apabila seseorang menjadikan kehendak nafsu sebagai undang-undang tertinggi dalam hidupnya (melebihi perintah Allah) dia telah mempertuhankan nafsunya.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia tahu sesuatu perkara itu haram secara mutlak (seperti menghalalkan zina, menghalalkan arak, atau menolak hukum syariat secara terang-terangan), tetapi dia tetap menghalalkannya demi memuaskan nafsu diri. Allah berfirman di dalam Furqan:43

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ
Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? 

2. Ideologi, Sistem, dan Undang-Undang Manusia yang Mengatasi Syariat

Menjadikan pemikiran manusia, ideologi barat/timur (seperti sekularisme tegar, komunisme, atau liberalisme yang melampau), atau sistem perundangan ciptaan manusia sebagai sesuatu yang lebih suci, lebih benar, dan lebih wajib ditaati daripada hukum Allah.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang menyakini bahawa undang-undang Allah sudah lapuk, tidak adil, atau dia secara sedar memberikan hak Hakimiyyah (kuasa mutlak menentukan halal dan haram) kepada manusia, lalu menolak autoriti Allah sebagai Pembuat Syariat.

3. Harta, Wang, dan Kebendaan (Al-Mal)

Ini dinamakan sebagai penyembahan materialistik. Bukanlah bermaksud seseorang itu sujud melutut di hadapan duit, tetapi seluruh hidup, cinta, takut, dan harapnya diserahkan kepada harta.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia sanggup melakukan apa sahaja demi wang, termasuk menggadaikan akidah (cth: murtad demi harta), menggunakan sihir/syirik demi melariskan perniagaan, atau menyakini bahawa wanglah yang memberi rezeki dan menghidupkannya, bukan Allah.

Sindiran Nabi SAW:

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ، وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ، وَعَبْدُ الْخَمِيصَةِ، إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ، وَإِنْ لَمْ يُعْطَ سَخِطَ
Celakalah penyembah dinar (wang emas), penyembah dirham (wang perak), dan penyembah khamisah (pakaian mewah/baldu). Jika dia diberi (harta dunia), dia merasa reda (gembira), namun jika tidak diberi, dia merasa marah (benci)

Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 2887

4. Pemimpin, Guru, atau Tokoh Agama yang Diikuti Secara Buta Tuli

Menjadikan manusia (sama ada ketua parti, pemimpin negara, malah guru agama sekalipun) sebagai entiti yang “maksum” (tidak boleh salah) sehinggakan kata-kata mereka ditaati walaupun jelas melanggar perintah Allah.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang itu tahu gurunya atau pemimpinnya menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, tetapi dia tetap mengikutinya dengan reda dan yakin.

Dalil Al-Qur’an: Kisah Ahli Kitab yang mempertuhankan paderi mereka di dalam Tawbah:31

اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ
Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah

Nabi SAW menjelaskan ayat ini bermaksud: Mereka mengikut paderi yang mengubah hukum halal/haram Allah.

5. Kuasa Ghaib Selain Allah (Sihir, Dukun, dan Khurafat)

Bergantung harap, takut, dan meminta pertolongan kepada makhluk halus, jin, syaitan, azimat, atau kubur keramat untuk mendapatkan perlindungan atau keuntungan.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Ini adalah syirik jali (nyata). Seseorang itu gugur tauhidnya apabila dia percaya bomoh atau jin tersebut mempunyai kuasa mutlak memberi manfaat dan mudarat secara berasingan daripada kehendak Allah.

Apabila kita faham maksud ilah, barulah kita menyembah Allah dengan sempurna. Kerana menyembah Allah itu bukan sahaja dari segi perbuatan, akan tetapi ia mesti dilakukan dengan memenuhi syarat-syaratnya. Kena ada 4 perkara:

1. Cinta (Mahabbah) – Penggerak Utama

Sembah Allah dengan rasa cinta bermaksud kita melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya bukan kerana terpaksa, bukan sekadar menggugurkan taklif (kewajipan), dan bukan seperti seorang hamba yang takutkan sebatan tuannya. Kalau sembah Allah tanpa rasa cinta, itu bukan ikhlas namanya.

Hakikatnya kita beribadah kerana kita rindu, sayang, dan bersyukur atas segala nikmat-Nya. Apabila ada cinta, ibadah yang berat (seperti bangun tahajjud di waktu sejuk) akan terasa ringan dan manis. Orang yang ada cinta kepada Allah, akan suka untuk buat ibadat dengan banyak.

Kata Ulama: “Sesiapa yang menyembah Allah dengan cinta sahaja tanpa rasa takut, dia boleh menjadi zindiq (bebas melanggar hukum kerana merasa Allah tersangat mencintainya).”

2. Agung (Ta’zim) – Melahirkan Rasa Hormat dan Khusyuk

Ta’zim bermaksud membesarkan dan mengagungkan kehebatan, kemuliaan, serta kekuasaan Allah SWT di dalam hati. Rasa agung ini lahir apabila kita sedar betapa kerdilnya diri kita manusia yang penuh dosa, berhadapan dengan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pentadbir Semesta Alam. Rasa ta’zim inilah yang melahirkan sifat khusyuk dalam solat, ketertiban dalam membaca Al-Qur’an, dan rasa gerun untuk meremehkan syariat-Nya.

3. Takut (Khauf) – Benteng daripada Maksiat

Sembah Allah dengan rasa takut bermaksud kita bimbang akan kemurkaan Allah, azab seksa neraka, dan takut sekiranya pengakhiran hidup kita mati dalam keadaan yang buruk (su’ul khatimah).

Takut kepada Allah tidak sama seperti takut kepada harimau (yang membuatkan kita lari menjauhinya). Takut kepada Allah membuatkan kita lari lurus menuju kepada-Nya untuk berlindung. Rasa takut ini berfungsi sebagai “brek” yang menghalang kita daripada melayan nafsu untuk melakukan maksiat ketika bersendirian.

4. Harap (Raja’) – Penawar Putus Asa

Raja’ bermaksud hati yang sentiasa bergantung harap, bersangka baik (husnuzon), dan mendambakan rahmat, keampunan, serta ganjaran syurga daripada Allah SWT. Kita tidak boleh ada rasa yakin yang ibadat kita diterima.

Hakikatnya: Selepas kita penat melakukan ibadah, kita tidak boleh sombong dengan amalan tersebut. Sebaliknya, kita meletakkan harapan yang tinggi agar Allah menerima amalan kita yang serba kekurangan itu. Sifat ini sangat penting sebagai “sayap pengimbang” agar seseorang itu tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun dia merasakan dosanya teramat banyak.

Inilah keseimbangan yang patut ada pada seorang mukmin, iaitu keseimbangan antara takut dan harap (khauf dan raja’). Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah (khauf dan raja’) yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ. Boleh gila jadinya kerana ada takut sahaja.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun. Seseorang yang tidak ada rasa takut tidak akan memperbaiki amal ibadat dia kerana sangka Allah terus terima.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:

“Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.“

Daripada 4 sifat ini, 2 kena ada sebelum sembah, dan 2 kena ada selepas sembah Allah. Sebelum sembah Allah, kita kena ada Cinta dan Ta’zim. Barulah kita rasa kita kena sembah Allah dan melakukan ibadat kepadaNya. Selepas kita melakukan ibadat, kena ada pula Takut dan Harap. Takut Allah tidak terima ibadah yang baru dilakukan dan di dalam masa yang sama, berharap sangat Allah terima.

 

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

Selepas diberikan Dakwa, seterusnya Allah ‎ﷻ terus beri Dalil kenapa hanya Dia sahaja ilah dan hanya Dia sahaja yang layak disembah. Di dalam ayat ini, Allah sebut dua Sifat Dia. Dua nama Allah SWT yang agung ini, iaitu Al-Hayyu (الحَيُّ) dan Al-Qayyum (القَيُّومُ), disebut bersama-sama dalam beberapa tempat di dalam Al-Qur’an (seperti dalam Ayat Kursi). Kombinasi dua nama ini disifatkan oleh para ulama (seperti Imam Ibnu al-Qayyim) sebagai pusat atau paksi kepada seluruh nama-nama Allah yang lain.

 

Al-Hayyu (الحَيُّ) – Yang Maha Hidup

Nama ini bermaksud Allah SWT mempunyai kehidupan yang mutlak, sempurna, kekal abadi, dan tidak didahului oleh ketiadaan serta tidak akan diakhiri oleh kematian.

Sifat Kesempurnaan: Kehidupan Allah bersih daripada segala sifat kekurangan makhluk. Allah tidak mengantuk, tidak letih, tidak sakit, dan tidak tidur (seperti yang disebut dalam Ayat Kursi).

Punca Kehidupan: Hidup-Nya adalah dengan zat-Nya sendiri, bukan kerana ada pihak lain yang menghidupkan-Nya. Malah, Dialah yang memberi pinjaman nyawa dan kehidupan kepada seluruh makhluk.

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Hayyu menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Zat (Sifat Dzatiyyah), seperti Ilmu (Maha Mengetahui), Sama’ (Maha Mendengar), dan Basar (Maha Melihat). Sesuatu yang tidak hidup, mustahil boleh mendengar, melihat, atau mengetahui.

Oleh kerana itu, hanya Dia sahaja ilah kerana Dia sahaja yang Maha Hidup dan tidak mati-mati. Semua makhluk akan mati semuanya. Nanti kita akan belajar tentang Nabi Isa عليه السلام dan Maryam رضي الله عنها. Mereka berdua telah pun wafat walaupun dipuja oleh penganut Kristian. Begitu juga dengan manusia lain dan mana-mana makhluk pun tidak akan kekal.

Dan ini menyentuh terus akidah Nasara yang percaya Anak Tuhan (Nasi Isa) mati selama tiga hari sebelum dihidupkan balik. Maka Allah tekankan di dalam ayat ini yang Tuhan tak mati-mati. Jadi tuhan jenis apa yang mati pula? Itu bukanlah Tuhan tetapi makhluk!

 

Al-Qayyum (القَيُّومُ) – Yang Maha Berdiri Sendiri & Mentadbir

Nama ini berasal daripada kata dasar Al-Qiyam (berdiri/tegak). Ia mengandungi dua makna yang sangat besar:

Pertama (Al-Ghinat Tam): Allah Maha Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan apa-apa atau sesiapa pun. Allah tidak memerlukan ruang, tidak memerlukan bantuan malaikat, dan tidak memerlukan ibadah daripada makhluk-Nya untuk mengekalkan kehebatan-Nya. Sebagai contoh, Allah cipta langit tapi Allah tidak memerlukan langit.

Kedua (Al-Iqamah): Allah ialah Pentadbir, Penjaga, dan Pengurus mutlak bagi seluruh alam semesta. Setiap detik, zarah di langit dan di bumi boleh terus wujud dan berfungsi hanya kerana Allah yang sedang “menegak” dan menguruskannya. Jika Allah berhenti mentadbir sekedip mata sekalipun, seluruh alam ini akan hancur runtuh. Kitalah yang memerlukan Allah, bukan?

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Qayyum menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Perbuatan (Sifat Fi’liyyah), seperti Al-Khaliq (Maha Pencipta), Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki), Al-Muhyi (Maha Menghidupkan), dan Al-Mumit (Maha Mematikan).

Allah ‎ﷻlah sahaja Dzat yang Sedia mengurus semua makhluk-Nya, tidak ada kuasa lain. Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها tidak dapat menguruskan alam ini. Begitu juga, para wali dan para Nabi tidak menguruskan alam ini. Maka untuk apa sembah mereka?

Dua nama dan sifat Allah ini sendiri sudah hebat. Tapi apabila digabungkan, ia memberi makna tambahan. Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa gabungan dua nama ini menghimpunkan seluruh sifat-sifat Allah tanpa ada yang tertinggal.

    • Al-Hayyu merangkumi semua Sifat Zat yang menunjukkan kesempurnaan diri Allah.
    • Al-Qayyum merangkumi semua Sifat Perbuatan yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah ke atas makhluk.

Apabila kita menyebut Al-Hayyu al-Qayyum, kita sedang menyeru Tuhan yang Sentiasa Hidup (Mendengar doa kita pada bila-bila masa tanpa mati) dan pada masa yang sama Mempunyai Kuasa Mutlak untuk mengubah dan mentadbir urusan hidup kita (Maha Mengurus).

Maka ia mengajar kepada kita untuk bergantung hanya kepada Allah. Sesiapa yang bergantung dan menyandarkan harapan kepada Allah, dia akan kuat dan dia akan selamat. Kerana itu Allah berfirman di dalam Furqan:58 

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ
Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati

Kalau bergantung kepada manusia, manusia akan mati akhirnya. Tapi Allah takkan mati-mati. Maka kerana itu berdoalah kepada Allah sahaja, tidak perlu istighasah kepada selain Allah. Banyak sangat polemik tentang istighasah ini sekarang, hanya kerana tidak faham tafsir Al-Qur’an.

Banyak hadis sahih mengisyaratkan bahawa gabungan nama Al-Hayyu al-Qayyum inilah Ismullah al-A’zam (Nama Allah yang Paling Agung). Nabi SAW menyatakan bahawa sesiapa yang berdoa kepada Allah dengan memanggil nama ini, nescaya doanya tidak akan ditolak dan permintaannya akan ditunaikan. Sifat inilah yang sering dibaca oleh Nabi SAW ketika baginda berada dalam kesusahan yang amat berat:

«يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ»
(Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri Mentadbir, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan).

Ini adalah salah satu pendapat. Ada lagi pendapat lain apakah yang dimaksudkan dengan Ismullah al-A’zam itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 1 – 2 (Asas Akidah)”

  1. “Nabi Isa عليه السلام dan Maryam رضي الله عنها sudah wafat. ‘ Harap ubah kpd Nabi Isa a.s. juga akan wafat dan Maryam r.a. sudah wafat

    Like

Leave a comment